Sunday, August 14, 2016

189. BIDAN MAKAN URI TEMBUNI



KALAU tidak di sebabkan terlanjur cakap memang nenek tidak berhenti menjadi bidan.  Dia sudah berjanji tidak mahu lagi menjadi bidan setelah selamatkan Namilah yang beberapa kali pengsan ketika melahirkan anaknya yang ketiga.  Nekad nenek saya membuat keputusan, sewaktu Namilah pengsan hingga bibirnya biru lebam.

Memang keberah-berahan juga nenek menghadapi saat genting demikian, kerana tidak pernah dia diganggu sewaktu membidankan ibu bersalin.  Ketika Namilah pengsan kali ketiga itulah nenek menuturkan perlahan,  “Sekiranya selamat Namilah bersalin , aku akan berhenti menjadi bidan.”

Selepas nenek membuat keputusan demikian, tiba-tiba sahaja Namilah membuka mata.  Dalam masa beberapa minit sahaja dia melahirkan bayi comel lelaki dengan selamat.  Berlinang juga air mata nenek sewaktu memotong pusat, memandi dan membedungkan.  Keputusan yang dituturkannya itu tidak boleh ditarik balik lagi.

Tengah malam Seman Bauk suami Namilah menjemputnya di rumah memberitahu keadaan perempuan sudah sampai resa.  Macam biasa nenek tidak membantah apa sekalipun terkuap-kuap mengantuk sepanjang perjalanan membonceng basikal Seman Bauk.  Memang nenek sebelah emak saya terkenal satu kampung menjadi bidan terkenal.  Setelah arwah datuk saya meninggal dunia, dia hampir juga berhenti menjadi bidan selepas sahaja menyambut kelahiran saya.

Menggeleng juga nenek sambil menahan sebak apabila saya tidak menangis sewaktu dilahirkan.  Cepat-cepat dia memanggil Tok Aji yang menunggu di serambi rumah bersama ayah, apakala melihat dua tangan saya melekap ke telinga seolah-olah bercantum.

“Bisan, cuba tengok cucu kita ni,”  gementar nenek melihat saya tidak menangis seperti kebiasaan bayi di lahirkan.

“Kenapa pula tu, bisan bidan?”  nenek saya sebelah ayah juga mengurut-urut dada sambil beristighfar beberapa kali.

“Entahlah bisan…”  keluh nenek saya Bidan Ibah sambil mengusap-usap dada saya yang bernafas lega.

Sebaik sahaja Tok Aji dan ayah melihat saya tergolek dengan tidak menangis, perlahan-lahan Tok Aji membacakan Fatihah tiga kali dan dihembuskan ke ubun-ubun saya.  Kemudian dia menyuruh ayah saya melepaskan dua tangan yang melekap ke telinga seolah-oleh sedang azan.

“Jangan kuat-kuat Bilal Hud,”  nenek Bidan Ibah mengingatkan menantunya yang cemas kerana saya masih tidak menangis setelah beberapa minit dilahirkan.

“Tengok betul-betul tangan budak itu, melekat atau tidak, Hud,”  lantas Nenek Aji menampar bahu ayah saya.  Bimbang juga dia kalau anaknya tidak sabar hingga merentap tangan kecil yang melekap ke telinga.

“Bertenang, tak ada apa-apa, budak ni selamat…”  ujar Tok Aji tersenyum mengerling Nenek Aji.  “Hud, selawat banyak-banyak,”  dia semacam memberi arahan kepada ayah.

Apabila ayah melepaskan tangan yang melekap ke telinga saya ternyata ianya tidaklah bercantum melekat, tetapi mereka semua terkejut kerana emak saya terjerit tiba-tiba.

“Putus…!”  jerit emak saya memanjang terus pengsan tidak sedarkan diri.  Ketika ini saya mulai menangis sama seperti bayi yang baru dilahirkan.

Sewaktu mereka semua membantu emak saya, Nenek Bidan Ibah hanya uruskan mengerat pusat, memandi dan membedung saya.  Setelah semuanya sempurna barulah emak saya pulih semula.  Dia semacam tidak percaya kejadian yang berlaku keatas dirinya sewaktu melahirkan saya.

Sebab itulah Nenek Bidan Ibah mengambil keputusan tidak mahu menjadi bidan lagi.  Dia tidak mahu kejadian demikian berulang kepada cucunya hingga mereka sekeluarga cemas tidak menentu.

“Tak apa bisan, itu petunjuk baik pada Angah,”  pujuk Tok Aji meyakinkan nenek Bidan Ibah.

Memang Tok Aji tidak merasa hairan ketika saya dilahirkan tidak menangis seperti kebiasaan bayi, dengan dua tangan melekap ke telinga seolah-oleh sedang azan.  Malah dia teruskan juga kenduri bulan maulud yang ditangguhkan malam esoknya setelah emak saya mula merasa merengat-rengat sakit sejak petangnya.

Tidak jadi Tok Aji bersembahyang di madrasahnya, apabila emak saya semakin mengerang-ngerang sakit.  Hujan juga mulai turun lebat dengan guruh berdentam dan kilat menyambar sewaktu murid-murid Tok Aji di madrasah azan untuk solat Isya.  Ketika inilah saya dilahirkan dalam keadaan tidak menangis dan dua tangan melekap ke telinga itu.

Nenek Bidan Ibah merasakan dirinya diuji disebabkan hujan lebat turun mencurah-curah dengan guruh dan kilat bertalu-talu.  Dia bimbang cucu-cucunya yang lain akan menerima padah lebih buruk sekiranya dia terus juga menjadi bidan.

Tetapi Tok Aji percaya tidak ada kena mengena dengan mala petaka, kerana saya dilahirkan ketika bang solat Isya dilaungkan dari madrasahnya di seberang halaman.

Berbelah bahagi juga hati Nenek Bidan Ibah untuk meneruskan tanggungjawabnya menjadi bidan.  Dia satu-satunya yang diharapkan, apalagi kalau fasal mengurut perempuan selepas bersalin.  Masing-masing mengakui terasa perisa sekiranya Nenek Bidan Ibah yang mengurut sampai di ulangi tiga pagi.

Puas juga Nenek Bidan Ibah mahu mengelak, tetapi dia tidak sampai hati apakala dijemput tatkala tengah malam diselubungi kesepian.  Ke mana lagi mereka mahu mengadu sekiranya dia terus juga menolak.  Lainlah kalau perempuan sakit mahu bersalin itu menjemput ketika siang masih banyak tempat mencari ikhtiar!

Hinggalah kejadian yang menimpa Namilah itu, Nenek Bidan Ibah benar-benar membuat keputusan muktamad.  Dia tidak akan menjadi bidan lagi, sekalipun diusung macam menandu raja.  Entah apa pula mala petaka yang mengganggu sekiranya dia berkeras juga mahu menjadi bidan.

“Kalau emak dah buat keputusan, janganlah berbidan lagi,”  ujar Pak Tua Mahat apabila Nenek Bidan Ibah merungut fasal orang-orang kampung masih juga mengharapkan diri.

“Orang kampung ni macam tak faham,”  gerutu Nenek Bidan Ibah kecewa dengan sikap orang-orang kampung yang masih juga mendesak.

“Ah, cakaplah berterus terang,”  tegas Pak Tua Mahat memahami apa sebenarnya yang terbendung di hati emaknya.

Memang Nenek Bidan Ibah melihat sendiri Ucu Nawa emak Seman Bauk mengikutnya sama ke sungai untuk membantu membasuh uri tembuni dan tikar yang di lembapi darah.  Tidak bercakap sepatah pun Ucu Nawa, sekalipun Nenek Bidan Ibah becok mengajaknya berbual.

Hairan juga dia dengan sikap Ucu Nawa pagi itu kerana tidak mahu melayani dia berbual.  Kalau tidak Ucu Nawa sendiri yang becok membebel sampai siapa pun tidak dapat mencelah.  Sewaktu ucu Nawa balik ke rumahnya mahu memberi ayam itiknya makan, Nenek Bidan Ibah menggesanya supaya segera balik ke situ untuk membantunya membersihkan uri tembuni dan membasuh tikar dan kain-kain yang di  lekati darah.

Ketika dia bersiap-siap untuk ke sungai, Ucu Nawa sudah menunggu di tengah halaman.  Di pelawa naik ke rumah untuk sarapan pun Ucu Nawa enggan.  Terlalu tergesa-gesa dia mengajak  Nenek Bidan Ibah ke sungai.

Sampai sahaja di sungai Ucu Nawa sendiri meminta mahu membasuh uri tembuni.  Terpaksalah Nenek Bidan Ibah mencuci tikar dan kain-kain yang dilekati darah.  Biarlah Ucu Nawa bersihkan uri tembuni menantunya.  Ketika terbongkok-bongkok membasuh tikar ke tengah air, berdebar hati Nenek Bidan Ibah apabila dilihatnya Ucu Nawa memakan sedikit demi sedikit uri tembuni tersebut.

Tidak bertangguh Nenek Bidan Ibah menerpa merentapnya lantas menolak Ucu Nawa dengan kasar.  Terkebil-kebil mata Ucu Nawa menatap mata nenek Bidan Ibah sambil tersengih-sengih.

Bibirnya merah di selaputi darah uri tembuni yang di kunyahnya bercepak-cepak.

“Kenapa kak Bidan tolak saya macam ni?”  ujarnya kesal.

“Oh, kau nak perdayakan aku,”  Nenek Bidan Ibah mendengus marah.  “Kalau Nawa, dia tak mahu makan uri tembuni!”  dia mengejek perempuan yang tercegat di hadapannya itu.

“Eh, apa yang Kak Bidan cakap ni?”  perempuan itu tersengih-sengih menyapu bibirnya yang diselaputi darah.

“Kalau Nawa kau pergi, kalau polong kau tunggu!”  jerkah Nenek Bidan Ibah menghembus kearah perempuan itu dengan membacakan serapahnya:

Ungguh-ungguh anggah-anggah, datang nenek tongkat besi, terlanda engkau patah, terpijak engkau mati, mata kamak mata kamu, kamu ku budung badang, siah kiri siah kanak, siahkan keinderaku, aku tahu asal engkau jadi, darah ular sekati munur, asa engkau jadi…

Selepas nenek membacakan serapahnya perempuan itu menggeleng-geleng kepala terus berubah mukanya hingga berkedut-kedut kulit.  Dia merenung tajam dengan dendam yang membakar.  Tetapi belum sempat dia melakukan sesuatu terhadap nenek, dia tiba-tiba menggeletar apabila di atas tebing tercegat lelaki berjubah putih memegang buah tasbih.

Perempuan itu cuba melompat terbang, tetapi kakinya bagaikan terlekat di pasir sungai.  Terkial-kial dia mahu melepaskan diri dengan mulut merungut-rungut marah.  Setiap kali dia cuba berkuat di kelilingnya air mendidih laksana terjerang di dalam kawah.

“Tak patut Tok Syeikh buat aku macam ni,”  gerutu perempuan hodoh yang menjelma macam Ucu Nawa.  “Jembalang macam kau bukan boleh dibuat baik!”  jerkah Tok Syeikh berjubah putih itu menuding telunjuk kearah perempuan tersebut.  “Kenapa kau ganggu Siti Fatimah ni? “  dia mencemik muka sambil mengusap-usap janggutnya yang panjang sampai ke dada.

“Aku tak ganggu Bidan  Ibah,”  sahut perempuan itu tersengih-sengih semacam mengejek.

“Apa yang kau buat tu?”  bentak Tok Syeikh menjuruskan tangannya hingga memancar api menyala menerjah ke muka perempuan berkenaan.

Terjerit kesakitan perempuan tua di tengah air apabila mukanya disambar api yang memancar dari tapak tangan Tok Syeikh.  Dia cuba melompat tetapi kakinya masih terlekat tidak dapat di gerakkan langsung.

“Bila masa aku ganggu kau bidan Ibah?”  terketar-ketar perempuan hodoh itu sebaik sahaja Tok Syeikh melepaskan dia daripada terjahan api menyala.

Nenek tidak menyahut.  Dia membacakan serapahnya: 

Hai saudaraku yang berempat, berlima dengan aku, Keraman di kanan ku Kerabin di kiri aku, Muakib di hadapan aku, Mukarabin di belakang aku, engkau bela pelihara aku….

kemudian dia lantas mengusap tangan ke muka.

Ketika ini perempuan tersebut terpikik-pekik menetap matanya.  Semakin dia mengosok ke situ, matanya memercik darah menyebabkan dia menggapai-gapai tangan.  Air liurnya melejeh-lejeh bercampur nanah setiap kali mengombak-ombak bernafas seperti lembu disembelih.

“Nasib baik Tok Syeikh cepat datang,”  perempuan hodoh itu mengejek dalam terketar-ketar kesakitan.  “Kalau tidak tahulah nasib kau Bidan Ibah!”  katanya mahu mengancam nenek.

“Cuba kau ganggu Siti Fatimah,”  lantas Tok Syeikh membentak sambil menghentak tumitnya ke tanah.  Sekali gus pula kaki perempuan hodoh itu tenggelam ke pasir hingga paras lutut.

“Kenapa Tok Syeikh buat aku macam noi?”  dia bersuara lembut seolah-olah mengalah.

“Sebab kau nak tunjuk pandai dengan aku!”  sahut Tok Syeikh keras.  “Ingat kalau kau berani usik Siti Fatimah ni, ke lubang angin menapun kau pergi aku akan cari…!”  tegas Tok Syeikh mengisar tapak tangannya, tiba-tiba sahaja kepala perempuan tua itu berpusing seperti dipulas kuat.

“Aku minta maaf lah Tok Syeikh, aku tak buat lagi,”  gementar suara perempuan itu menahan kesakitan akibat lehernya berpusing dipulas sampai terteleng kepala tidak dapat bergerak.

“Jembalang macam kau ni, memang tak pernah serik!”  marah benar Tok Syeikh apabila perempuan hodoh yang dipanggilnya jembalang itu mengelirukan nenek dengan menjelma menyerupai Ucu Nawa.  Hampir terpedaya nenek hingga menyerahkan uri tembuni itu kepadanya.

Kalau nenek terlambat sudah tentu habis uri tembuni itu dimakannya.  Pada penglihatan mata kasar perempuan tua hodoh itu semata-mata memakan uri tembuni, tetapi sebenarnya dia memakan darah di dalam rahim Namilah.

Ketika ini jugalah Namilah terjerit kesakitan dengan darahnya tumpah tidak berhenti.  Tergesa-gesa anak Seman Bauk yang berumur sepuluh tahun berkejar ke rumah neneknya Ucu Nawa memberitahu.  Sebaik mendengar menantunya pengsan akibat tumpah darah, tidak bertangguh Ucu Nawa balik semula ke rumah Seman Bauk.

Hairan juga dia disebabkan Bidan Ibah sudah ke sungai membasuh tikar dan uri tembuni dengan tidak menunggunya.  Mereka sudah berjanji akan sama-sama ke sungai membasuh tikar dan membersihkan uri tembuni.

“Jemput saja Bidan Ibah,”  Ucu Nawa menggesa anaknya Seman Bauk setelah keadaan Namilah membimbangkan.

Ketika Seman Bauk menerpa ke kepala tangga, nenek sudah tercegat di tengah halaman.  Dia tidak terkejut apabila diberitahu oleh Seman Bauk keadaan isterinya pengsan akibat tumpah darah.  Setelah menyuruh lelaki itu menanam uri tembuni tersebut, nenek terus naik kerumah.

Sebaik sahaja dia melihat Ucu Nawa duduk di kepala Namilah, segera nenek menggamitnya.  Kehairanan Ucu Nawa apabila Nenek menyuruhnya duduk di muka pintu dengan berlunjur kaki.  Kemudian nenek mengambil kunyit jantan lantas ditusuk dengan pisau lipat.

Dia meletakkan kunyit jantan ditusuk mata pisau itu di atas ubun-ubun Ucu Nawa dan dia berundur tiga tapak ke belakang.  Selepas itu nenek berselawat tujuh kali sambil menekan tapak tangan kiri dengan ibu jari kanannya.  Perlahan-lahan nenek membacakan serapahnya:

 Datang engkau pagi si geluguh si gelegah nama engkau, datang engkau senja di kilat di kilau nama engkau, datang engkau di hujan panas singat singu nama engkau, aku tahu asal kau jadi, orang beranak bunting asa kau jadi, Kabul Allah…

Setelah dihembuskan kearah Ucu Nawa, nenek menunggu beberapa saat.  Tetapi Ucu Nawa tidak berubah apa-apa.  Dia tetap duduk berlunjur kaki ke muka pintu terkebil-kebil mata mematuhi sahaja perintah nenek.

“Kalau begitu, kau memang Nawa,”  bisik nenek mencapai semula kunyit jantan ditusuk mata pisau di atas ubun-ubun Ucu Nawa.

Ketika mereka berpaling kearah Namilah, perempuan itu mulai sedar semula sekalipun dalam keadaan lemah.  Bibirnya juga pucat disebabkan banyak darah tumpah hingga berlenjun kain pengalasnya.  Hairan juga Seman Bauk kerana nenek mengubati Ucu Nawa yang tidak sakit apa-apa, dengan membiarkan sahaja Namilah terkejang tidak diubati.

“Kenapa mak makan uri tembuni?”  tegur Namilah setelah keadaannya pulih.  Darahnya juga mulai kering setelah tumpah hingga berlenjun kain alas.

“His, merepek budak ni,”  terkejut Ucu Nawa dengan tuduhan anaknya.  Tetapi dia tahu Namilah tentu hilang pedoman sewaktu pengsan akibat tumpah darah.  Tentu Namilah meracau-racau juga selepas sedar semula.

“Milah Nampak mak di sungai,”  ujar Namilah perlahan.

“Bila pula awak ke sungai?”  tersengih-sengih Seman Bauk kerana menyedari isterinya meracau-racau kerana belum pulih betul-betul lagi.

“Milah Nampak mak makan uri tembuni di sungai,”  beritahu Namilah tidak berkedip mata merenung emaknya.

Nenek memberi isyarat supaya jangan dilayani Namilah ketika itu.  Kemudian dia duduk di kepala Namilah lantas membakar kemenyan.  Kepala Namilah diasap dengan kemenyan, sebelum nenek menghembus ubun-ubun perempuan itu tiga kali.  Setelah itu dia menyeru nama Namilah, sehingga perempuan itu menyahut dengan lembut.

“Hah, ke mana kau Milah?”  tersenyum nenek memerhati perempuan itu menggosok-gosok mata seperti baru bangun daripada tidur.

“Entahlah,”  Namilah menggeleng lemah.  “Apa yang jadi pada Milah ni?”  katanya terpinga-pinga apabila kain alasnya yang berlenjun dengan darah itu digantikan oleh Seman Bauk.

Selepas itulah Namilah memberitahu seolah-olah dirinya merayau-rayau ketepi sungai dibawa oleh emak mertua Ucu Nawa.  Memang dia terasa darahnya tumpah disebabkan tersepak tunggul-tunggul kayu di tengah belukar sepanjang perjalanan ke tebing sungai.  Dia mengikut sahaja ajakan perempuan yang menjelma seperti emak mertuanya Ucu Nawa itu hingga turun ke air mencuci uri tembuninya.

Sewaktu Ucu Nawa memakan uri tembuninya dia cuba memekik, tetapi suaranya tersekat di kerengkung.  Puas dia mahu menerpa kearah Ucu Nawa, tetapi kakinya menjadi lemah.  Darahnya banyak tumpah mengalir ke tengah sungai menuju ke tempat Ucu Nawa berdiri.  Terkekeh-kekeh Ucu Nawa ketawa apabila dapat meminum air bercampur darahnya yang mengalir ke tengah arus.

Marah benar dia pada emak mertuanya yang sengaja mahu memakan uri tembuni cucu sendiri.  Tentu bukan Ucu Nawa lagi yang rakus memakan uri tembuni, tetapi syaitan yang menunggu peluang mahu memusnahkan dirinya.  Puas Namilah beristighfar beberapa kali untuk melawan perempuan yang menyerupai Ucu Nawa itu, namun tenaganya bertambah lemah.

Ketika inilah dia nampak Nenek Bidan Ibah duduk di atas tengkuk Tok Syeikh berjubah putih tercepat di tebing sungai.  Jari Tok Syeikh memancar-mancar api menerjah ke muka Ucu Nawa, sehingga mukanya berubah menjadi perempuan tua hodoh dengan kulitnya bergugus-gugus seperti buah rambai tergayut,

Menggeletar perempuan tua hodoh itu apabila melihat Tok Syeikh menjengilkan mata sehingga keluar cahaya putih.  Silauan cahaya putih daripada mata Tok Syeikh itu menikamn ke mata perempuan tua tersebut menyebabkan dia terkinja-kinja kesakitan.  Apabila dia cuba melompat, kakinya tiba-tiba terlekat ke pasir sungai hingga tenggelam ke paras lutut.

Namilah nampak nenek melayang turun dari tengkuk Tok Syeikh memegang gada berduri, terus memukul kepala perempuan tersebut.  Berligar-ligar nenek di kepala perempuan itu laksana helang mahu menyambar mangsa.  Setiap kali nenek menghampiri di kepala perempuan hodoh tersebut, dia akan memukulnya berulang kali dengan gada berduri itu.

Terjerit-jerit perempuan hodoh itu disebabkan kesakitan yang amat sangat, tetapi nenek tidak mempedulikannya.  Dengan tidak ada rasa belas kasihan nenek terus memukulnya tidak bertahan.  Darah mengalir di kepala perempuan hodoh tersebut bagaikan mata air memancut di dasar telaga.

“Makan darah kau tu sendiri,”  perintah nenek berligar-ligar di kepala perempuan hodoh itu.  Apabila perempuan itu menggeleng-geleng membantah, nenek terus memukulnya dengan gada berceranggah laksana dahan limau dipenuhi duri tajam.

“Nasib baik Tok Syeikh tolong awak Bidan Ibah,”  gerutu perempuan hodoh itu menggertap bibir bagaikan menyimpan dendam.

“Kalau kau satu sama satu pun, tak terlawan kau Siti Fatimah ni!”  lantas Tok Syeikh menyahut sambil mengejeknya.

“Tok Syeikh tak patut buat aku macma ni,”? merintih-rintih perempuan hodoh itu disebabkan kesakitan yang terlalu menusuk-nusuk.

“Kenapa kau bawa jembalang tanah membantu kau?”  soal Tok Syeikh keras.  “Kalau kau nak lawan Siti Fatimah, kau lawan sendiri polong!”  bentaknya memusing-musingkan tasbih di tangan.

Sebaik sahaja Tok Syeikh menyebut demikian, tubuh perempuan hodoh itu terbelah dua.  Dari rekahan tubuhnya itu terjongol kepala ular tedung selar meliuk-liuk garang.  Tersenyum Tok Syeikh dengan perubahan jembalang tanah bersama polong mahu menentangnya.

Apabila Tok Syeikh memukul-mukul perlahan buah tasbih ke tapak tangannya, api menjulang dari celah rekahan tubuh perempuan hodoh yang terbelah itu hingga membakar kepala ular tedung selar tersebut.  Mengerekot kepala ular berkenaan dijilat api yang marak menyala.

“Apa lagi kepandaian kau, jembalang?”  ejek Tok Syeikh terkekeh-kekeh ketawa.

“Kita sama-sama tubuh halus Tok Syeikh,”  gerutu perempuan tua hodoh itu mencantumkan semula tubuhnya yang terbelah dua.  “Patutnya kita janganlah bermusuh,”  ujarnya merayu sambil menyentap-nyentap kakinya yang terlekat di pasir sungai.

Tok Syeikh tidak menyahut.  Dia memberi isyarat supaya nenek terus memukul kepala perempuan hodoh itu dengan gada berduri di tangan.  Beberapa kali nenek memukulnya tubuh perempuan hodoh itu tenggelam ke pasir, seolah-olah nenek memukul tunggak pagar ke tanah.

Selepas serluruh tubuh perempuan hodoh itu tenggelam di dasar sungai, nenek naik semula ketengkuk Tok Syeikh.  Kemudian dia mencapai tangan Namilah naik ke tengkuk Tok Syeikh untuk balik ke rumah.  Tiga kali Tok Syeikh hembuskan ubun-ubun Namilah, dia terasa darah tumpahnya berhenti serta merta.

“Emmm, dia rewan masa tu, memanglah begitu…”  jelas nenek selepas Namilah memberi tahu demikian.  Dalam keadaan tidak sedarkan diri memang sesiapa pun merasakan bagai bermimpi.

“Agaknya, itulah menyebabkan budak ni pengsan tadi,”  terangguk-angguk Ucu Nawa, setelah syaitan itu menjelma menyerupai dirinya bagi mengelirukan nenek.

Disebabkan kejadian yang menimpa Namilah itulah nenek membuat keputusan tidak mahu lagi membidankan sesiapa pun.  Biarlah mereka merayu-rayu nenek tetap enggan memenuhi permintaan mereka.  Carilah bidan lain di dalam kampung uruskan fasal perempuan yang mahu bersalin, atau bawa sahaja ke hospital supaya lebih selamat.

Sewaktu dia mengambil keputusan mahu berhenti berbidan selepas saya dilahirkan, nenek pecahkan juga ikrarnya.  Dia terus berbidan apabila ornag-orang kampung memujuknya.  Apalagi keadaan isteri mereka yang mengandung memerlukan bantuan segera.  Tidak sampai hati pula nenek mahu membiarkan.

Beberapa kali juga dia diuji selepas membuat keputusan demikian.  Sewaktu Bibah Tocang mengerang-gerang sakit mahu bersalin pun nenek sudah diuji sampai keberah-berahan dia dihalang lembaga hitam tinggi dengan kepala cecah keawan di tengah perjalanan.

Terketar-ketar suami Bibah Tocang Latih Cerit yang menjemput nenek ke rumah di tengah malam tatkala kuang sahut bersahut di pinggir hutan.  Tiba-tiba sahaja lampu basikal Latih Cerit padam tidak bersebab.  Apabila dia melompat turun dari basikal Latih Cerit mendapati rantai basikalnya juga jatuh.

Ketika dia membetulkan rantainya, Latih Cerit terkejut melihat lembaga hitam tinggi berdiri di hadapannya.

“Kak Bidan, macam mana ni?”  bisik Latih Cerit gementar dihadang oleh lembaga hitam tinggi dengan iepaolanya cecah kea wan.

“Awak orang tinggi, buat apa kacau aku?”  nenek mendongak keatas sambil mengeluarkan lengkuas dari beg mengkuangnya.  “Patut awak menjaga anak cucu, ini awak pula yng menakut-nakutkan,”  lantas dia menguyah lengkuas tersebut, kemudian di semburkan kearah lembaga hitam tinggi dihadapannya.

Sedikit demi sedikit, lembaga tersebut hilang seperti asap ditiup angin kencang.  Setelah lembaga tersebut hilang nenek meneruskan perjalanan bersama Latih Cerit.  Lampu basikal Latih Cerit juga menyala semula dengan rantainya tidak pun jatuh daripada pengayuh.

Gangguan demikian tidak membimbangkan nenek.  Bila-bila pun dia sanggup menghadapinya.  Ketika menjadi bidan memang banyak gangguan perlu ditempuhi sama juga dengan dukun yang dijemput orang terutama di tengah malam tatkala kuang sahut bersahut di pinggir hutan.

Ketika itu kampong masih dipenuhi belukar tebal dengan kebun getah di kiri kanan lorong.  Kadangkala bayang harimau pun melintas ke tengah lorong kecil dari celah belukar berkenaan.  Apalagi musim darurat mudah sahaja dijerkah askar Gurkha kalau terserempak di tengah malam.  Kalau tidak bernasib baik akan diheret pula ke balai polis hingga dikurung dalam lockup sampai ke pagi.  Tunggu pula ketua kampung atau Tok Penghulu datang menjamin bertemu Tuan OCPD orang putih.

Memang jadi bidan atau dukun ketika itu macam-macam rintangan yang terpaksa dihadapi.  Tetapi nenek bersedia menjadi bidan disebabkan dia sudah berjanji dengan Tok Syeikh untuk membantu sesiapa pun.  Berulang kali Tok Syeikh menjelma dalam mimpinya memberi galakan supaya dia bersedia menjadi bidan.

Kalau di panggil orang di tengah malam nenek terpaksa layani juga.  Hanya nenek ingatkan mereka yang menjemputnya supaya tidak bercakap sepatah pun walau terserempak apa-apa.  Malah terserempak askar Gurkha meronda di pinggir kebun getah pun nenek tidak benarkan bercakap.  Apabila mereka melintas sudah tentu askar Gurkha yang meronda tidak akan mengangkat muka pun.

Bukan askar Gurkha sahaja nenek terserempak di tengah perjalanan.  Beberapa kali juga dia nampak komunis bersinggung bahu di tengah perjalanan, tetapi mereka seolah-olah tidak melihat nenek melintas di situ.  Kadangkala nenek dapat mendengar dengan jelas mereka berbual-bual sambil tertawa terbahak-bahak.

Nenek tidak pedulikan sesiapa pun ketika itu.  Tanggung jawabnya hanya untuk membidankan ibu yang mengerang-ngerang sakit mahu bersalin.  Kalau takutkan bahaya di tengah perjalanan memang semuanya tidak dapat dilakukan.  Biarlah apa pun bahaya di hadapannya memang nenek tidak pernah bimbang.

Tetapi kejadian yang menimpa Namilah itu benar-benar membimbangkan nenek.  Dia tidak mahu melanggar janji dan ikrar setelah membuat keputusan mahu berhenti berbidan.

“Kalau Siti Fatimah dah tak mahu berbidan, berhentilah…”  ketika Tok Syeikh menjelma dalam mimpi nenek.  “Lama sangat Siti Fatimah berikrar nak berhenti, takut banyak lagi gangguan,’  ujarnya mengingatkan dia.

“Tok Syeikh tak mahu membantu lagi ke?”  sengaja nenek mahu menguji lelaki bejubah putih yang berdiri di hadapannya.

“Bukan tak mahu tapi kalau hati Siti Fatimah berbelah bagi, susahlah!”  katanya lembut seolah-olah kecewa dengan keputusan nenek mahu berhenti berbidan.

“Saya dah takut Tok Syeikh,”  beritahu nenek merendah bagaikan terharu akan berpisah dengan Tok Syeikh yang mendampinginya sekian lama apabila menjadi bidan. “Manalah tahu mati pula isteri orang di tangan saya,”  jelas nenek meluahkan perasaan yang mendongkol di dalam hatinya.

Memang dia kesal juga terlanjur cakap mahu berhenti berbidan semenjak saya dilahirkan.  Tetapi dia teruskan juga setelah didesak.  Semenjak itu pula terlalu banyak rintangan yang perlu di tempuhinya.  Puas dia membakar kemenyan dengan membacakan jampi serapah pun, Tok Syeikh jarang menjelma sekiranya keadaan dia tidak genting sangat.

Hanya dalam saat semakin genting barulah Tok Syeikh menjelma mendampingi dia.  Sebab itulah dia bimbang mahu meneruskan menjadi bidan setelah terlanjur cakap.

“Hati jangan berbelah bagi, Siti Fatimah,”  Tok Syeikh mengulagi lagi.

Nenek tidak menyahut.  Dia tahu keputusan demikian bermakna Tok Syaikh akan terus menghilang dari sisinya.  Kalau dia tidak menjadi bidan masakan lelaki berjubah putih akan menjelma membantunya.  Selama dia berbidan memang Tok Syaikh sentiasa mengawasi dia sampai semuanya selamat.

Tok Syeikh akan membisikkan ke telinganya apa yang perlu dibuat kalau bayi dalam kandungan songsang dengan punggung ke  bawah.  Dia akan membimbing nenek membacakan apa sahaja jampi serapah tatkala membersihkan uri tembuni ke sungai.  Nenek tidak berseorangan semasa dia membidankan sesiapa pun.

Ketika membidankan saya memang Tok Syaikh berkali-kali membisikkan kepada nenek dia malu disebabkan Tok Aji melihatnya.  Mahu juga dia lari meninggalkan nenek disebabkan Tok Aji berkali-kali melambaikan tangan kearahnya.

Kalau tidak kenangkan Tok Aji melayani dia dengan baik, memang Tok Syaikh sudah cepat-cepat meninggalkan nenek di situ.  Memang dia terasa malu apabila menusia biasa selain daripada nenek melihatnya ikut sama berbidan.  Tetapi dia terpaksa berdiri disisi nenek untuk membantunya.

Ketika nenek memanggil Tok Aji di sebabkan tangan saya melekap ke telinga dengan tidak menangis, memang Tok Syeikh tidak membenarkan.  Tok Syeikh mahu dia sendiri menanggalkan tangan yang melekap ke telinga itu.  Tetapi setiap kali dia cuba melepaskan, dia seolah-olah merentap tali yang terjerat di leher emak saya.

Hampir juga Tok Syeikh putus asa setelah tidak berdaya mahu membuat keputusan sama ada merentap tali yang terjerat di leher emak, atau melepaskan tangan yang melekap ke telinga saya.  Nenek tidak mahu salah seorang tidak dapat diselamatkan.

“Saya tak mahu geruh ni, menimpa anak saya,”  bisik nenek setelah Tok Syeikh mengaku tidak dapat membantu.

“Tok Syeikh tahu tak ada gangguan setan pada bayi ni,”  beritahu Tok Syeikh mengeluh pendek.  “Tapi, ini kehendak Allah, Siti Fatimah,”  katanya mengesat pelupuk mata disebabkan terharu menerima ujian demikian.

“Sebab itulah saya terpaksa minta Tok Aji membantu,”  ujar nenek mendengus kecewa.

“Nanti kita malu, Siti Fatimah,”  sahut Tok Syeikh masih berkeras tidak membenarkan nenek memberitahu kepada Tok Aji.

“Biarlah saya berhenti menjadik bidan,”  lantas nenek membuat keputusan sebelum menggamit Tok Aji masuk ke tengah rumah.

Ketika Tok Aji mara mendapatkan emak saya, cepat-cepat dia memberi isyarat kepada Tok Syeikh supaya jangan berundur.

“Saya sudah tahu semua ni,”  ujar Tok Aji tersenyum mengerling lelaki berjubah putih yang serba salah itu.  Ketika ini Nenek Aji dan ayah, sekadar melihat Tok Aji bercakap kepada Nenek Bidan Ibah sahaja.  “Tempat memohon pertolongan hanya kepada Allah, bukannya kepada Tok Syeikh,”  beritahu Tok Aji perlahan.

Tok Syeikh tidak menyahut.  Dia terangguk-angguk mengesat pelupuk matanya menahan keharuan yang menusuk-nusuk.

Apabila mengharap pertolongan daripada Tok Syeikh tentulah tidak siapa pun dapat melepaskan dari ujian sebenarnya.  Ketika Allah Subhanahu Wata’ala menguji Nenek Bidan Ibah dengan keadaan semasa saya dilahirkan dia tertegun kerana tidak dapat melakukan apa-apa.  Tok Syeikh sendiri tidak dapat memberi pertolongan!

“Segala pertolongan saya kepada Siti Fatimah pun semuanya dengan izin Allah,”  tersengguk-sengguk Tok Syaikh mengurut dadanya setelah menyedari Tok Aji melayaninya dengan baik.

Sewaktu Tok Aji menyuruh ayah saya melepaskan tangan yang melekap ke telinga itu, dia membacakan Fatihah tiga kali lantas di hembuskan ke ubun-ubun emak.  Tali yang mengerut leher emak juga putus serentak dengan tangan saya yang dilepaskan daripada melekap ke telinga itu.

“Ilmu Allah meliputi tujuh petala langit tujuh petala bumi,”  Tok Aji berpaling menatap muka Tok Syeikh yang tercegat di belakangnya.

Selepas kejadian itu jarang Tok Syeikh menjelma kalau Nenek Bidan Ibah dijemput orang.  Sebab nenek sendiri sudah membuat keputusan memanggil Tok Aji setelah Tok Syeikh tidak dapat membantu apa-apa.  Kalau lambat tangan yang melekap di telinga saya dilepaskan, kemungkinan saya lemas akibat uri tembuni belum dapat dikerat daripada pusat.  Sekiranya dilepaskan juga nescaya emak saya pula terancam bagaikan tali tercerut di lehernya.

Dalam keadaan serba salah itu Tok Syeikh mahu memilih untuk menyelamatkan saya, dengan membiarkan emak dalam bahaya.  Tetapi nenek berkeras mahu selamatkan emak saya juga.  Sebab itu tidak bertangguh dia memanggil Tok Aji.  Biarlah Tok Syeikh tersinggung dengan keputusan dia!

Setelah terlanjur cakap, nenek masih juga menerima jemputan orang-orang kampung.  Dia tidak dapat mengelak setelah didesak tatkala ibu sarat mengandung mengerang-ngerang menunggu bayi dilahirkan.  Terpaksa juga dia beranikan hati sekalipun menyedari Tok Syaikh tidak akan berdiri di sisinya.  Memang Tok Syeikh merajuk, setelah dia membuat keputusan demikian.

Selepas kejadian menimpa Namilah itu, nenek terasa serik untuk membidankan orang.  Kemahiran lahir sahaja tidak cukup baginya mahu membidankan ibu sarat mengandung tatkala mengerang-ngerang sakit.

Hinggakan saya tergeliat tangan meminta dia urutkan pun, nenek enggan mengurutnya.  Dia tahu kalau digagahi juga mengurut tidak tahu apa pula ujian yang akan dihadapinya.

“Fasal cemas nenek bidankan Angah, kalau nenek sakit tenat Angah mesti bacakan Yassin!”  tutur nenek semacam bergurau setiap kali dia bertemu saya.

Saya sekadar tersengih-sengih sahaja dengan gurauan nenek itu.  Perkara yang belum berlaku hanya dalam pengetahuan Allah Subhanahu Wata’ala sahaja.  Kita tidak mampu mahu menetapkannya.

Tetapi ketika nenek sakit hingga patah lidah, tiga malam berturut-turut ayah jemput orang-orang surau bacakan Yassin.  Hingga saya tersentak di satu tengah malam apabila digerakkan oleh lelaki separuh umur berjubah putih tatkala lena tertidur.  Lama saya merenungi lelaki berjubah putih itu dengan membacakan 17 kali Ayatul Kursi sambil menghembuskan perlahan kearahnya,
Dia cuba menutup mukanya dengan lengan apabila dihembuskan dengan Ayatul Kursi.  Kemudian dia berundur sedikit sambil memainkan buah tasbih di hujung jari.

“Tujuan saya datang baik, ustaz…”  bisiknya bergoyang-goyang disebabkan kakinya tidak jejak.  “Baliklah ke kampung, nenek ustaz berharap sangat,”  katanya sedih.

Perlahan-lahan saya meramas jari di samping memcubit lengan untuk menguji sama ada bermimpi atau tidak.  Memang terasa sakit lengan yang dicubit.  Setelah yakin tidak bermimpi saya segea beristighfar beberapa kali, diikuti dengan A’uzubillahhi minas syaitannir rajim, tiga kali dan Bismillahhir Rahmannir Rahim juga tiga kali.

Ketika saya balik ke kampung pagi-pagi lagi, emak sudah memberitahu keadaan nenek sejak tiga malam sebelumnya.  Dia sudah menghantar telegram, tetapi mungkin belum sempat saya terima.  Nenek tersenyum sewaktu menatap wajah saya sekalipun kepalanya tidak boleh diangkat.  Dia memberi isyarat supaya saya bacakan juga Yassin.

Hanya separuh sahaja saya membacakan yassin, tidak sempat menghabiskannya nenek sudah menghembuskan nafasnya.  Sekalipun kejadian itu berlaku puluhan tahun dulu, tapi masih segar dalam ingatan saya apabila kenangkan cerita Mat Usop mengenai Bidan Dubin itu.


SELESAI