Sunday, March 26, 2017

221. MAYAT BANGUN DUDUK BERLUNJUR


       Semasa hujan turun mencurah-curah petang waktu Asar, Tok Aji baru sahaja selesai tunaikan solat. Saya ikut sama berjemaah dengan tiga orang lagi kawan kerana Tok Aji solat di madr'asah. Disebabkan hujan masih turun mencurah-curah, Tok Aji tidaklah terus balik ke rumah, sekalipun rumah Tok Aji dengan madrasah hanya dipisahkan oleh halaman. Tok Aji hanya baring sahaja di tengah madrasah dengan melanggung tangan ke kepalanya.
Ketika ini saya sudah berusia tiga belas tahun, memang tengah lasak berkawan-kawan. Tetapi dia tidak galakkan sangat saya bermain ikut kawan menjerat burung atau menimba ikan di lubuk. Apabila habis mengajar di madrasah sengaja Tok Aji memanggil saya duduk di sisinya sambil dia berbaring di tengah madrasah.
Tok Aji akan bercerita mengenai pengalamannya semasa di kampung halaman di Sumatera. Bagaimanapun sehingga akhir hayatnya Tok Aji tidak pernah jejak kaki balik ke kampung halamannya. Entah kenapa terlalu sayu sangat hatinya kalau kenangkan mahu balik ke kampung halaman, setelah lama meninggalkan kaum keluarga di sana.
Sengaja Tok Aji memberitahu saya mengenai gurunya dari Jawa yang mengajar agama di kampungnya. Kiyai Wuruk memang seringkali memberikan ceramah agama di kampung Tok Aji. Tetapi sewaktu Kiyai Wuruk memberikan khutbah Jumaat di kampung Tok Aji, orang-orang dari kampung lain juga mengaku Kiyai Wuruk berkhutbah di kampung mereka.
Beberapa orang muridnya mengaku Kiyai Wuruk juga memberikan khutbah Jumaat dalam, masa yang sama di Semarang, Jawa. Tetapi Tok Aji tidak peduli sangat orang-orang kampungnya heboh bercerita mengenai keistimewaan Kiyai Wuruk itu. Marah benar ayahnya Haji Mualim kalau Tok Aji ikut sama hebohkan perkara-perkara demikian.
Ketika Kiyai Wuruk dijemput oleh ayahnya Haji Mualim berceramah dimadrasahnya di Batu Sangkar, sempat juga Tok Aji belajar sama kuliah yang diberikan oleh Kiyai Wuruk itu. Sebaik sahaja selesai mengajar nahu Arab suatu hari, Kiyai Wuruk meminta izin daripada ayah Tok Aji untuk berehat sebentar di bilik yang sengaja disediakan bagi kemudahan Kiyai Wuruk setiap kali berkunjung ke Batu Sangkar.
Tidak lama selepas Kiyai Wuruk masuk berehat ke biliknya, tiba-tiba sahaja beberapa orang murid Haji Mualim datang memanggil guru agama itu. Mereka cemas dengan keadaan keluarga yang terlantar sakit. Cepat-cepat Kiyai Wuruk keluar dari biliknya untuk ke rumah orang yang menjemputnya, dengan melintas betul-betul di depan Tok Aji.
Setelah Kiyai Wuruk turun meninggalkan madrasah, terus Tok Aji masuk ke bilik guru agama itu sampai tidak sempat meminta izin daripada ayahnya. Alangkah terkejutnya dia apa-bila melihat Kiyai Wuruk tertidur nyenyak kerana keletihan.
Disebabkan terperanjat melihat Kiyai Wuruk masih tertidur di bilik, segera Tok Aji keluar memberitahu ayahnya. Belum pun sempat Haji Mualim menjengah ke dalam bilik, Kiyai Wuruk keluar dari biliknya menyambung semula pelajaran nahu Arab yang diajarkan kepada murid-murid di tengah madrasah.
Hairan juga Tok Aji, siapa pula yang menyerupai Kiyai Wuruk turun mengikut orang-orang yang menjemputnya? Disebabkan nakalnya tidak bertangguh Tok Aji bertanya sebaik sahaja Kiyai Wuruk habis mengajar, "Bukankah Pak Kiyai pergi mengubati orang?"-
Tersenyum sahaja. Kiyai Wuruk menjelaskan, "Ya, Pak Kiyai baru saja balik dari sana."
Tetapi Tok Aji tahu Kiyai. Wuruk yang turun meninggalkan madrasah bersama orang-orang yang menjemputnya masih belum balik, sekalipun yang dilihatnya tidur di bilik sudah bangun mengajar semula. Bagaimanapun beberapa orang pelajar madrasah yang ikut sama Kiyai Wuruk ke rumah orang yang menjemputnya, memang melihat sendiri guru agama berkenaan doakan orang yang sakit sampai sembuh.
Mereka juga melihat Kiyai Wuruk tergesa-gesa balik sebaik sahaja orang yang sakit dapat dipulihkan. Takkala mereka mengekori Kiyai Wuruk dari belakang, guru agama itu terlalu pantas berjalan hingga hilang sebelum sempat mata berkedip.
Lama Tok Aji mahu memahami kejadian yang terasa aneh itu, barulah dia memperolehi rahsia di sebalik keistimewaan Kiyai Wuruk itu. Dia sendiri mengalaminya tatkala merajuk meninggalkan rumah setelah bertengkar kecil dengan nenek saya.
Memang Tok Aji mudah tersinggung kalau isterinya berleter panjang. Semenjak dia sakit hingga lumpuh sebelah kakinya, Tok Aji cepat sangat merajuk apabila tidak kena pada hatinya. Terpaksa dia turun meninggalkan rumah dengan langkahnya yang goyah, setelah bertengkar dengan nenek saya itu.
Tidak lama selepas dia turun meninggalkan rumah, ayah saya yang masih berumur tujuh belas tahun baru sahaja balik. Tidak bertangguh dia mengejar Tok Aji sebaik sahaja menyedari ayahnya merajuk meninggalkan rumah. Cepat-cepat ayah saya mengayuh basikal mengekorinya dari belakang supaya Tok Aji tidak terlepas ke jalan besar untuk menunggu bas.
Memang nenek tahu selepas asar Tok Aji turun dari rumah. Tentu dia tidak lepas ke mana dalam tempoh lima minit sahaja ayah saya mengejarnya dengan basikal. Tetapi sehingga sampai ke simpang jalan besar dalam jarak tiga batu dari rumahnya, ayah saya tidak menemui langsung Tok Aji dimana-mana.
Seminggu selepas itu ayah saya menerima surat dari kakaknya di Semenyih, bahawa Tok Aji sampai di sana sebaik sahaja bang asar di masjid. Hanya dalam beberapa minit sahaja Tok Aji sudah sampai di Semenyih yang jaraknya berpuluh batu dari kampungnya.
 Memang Tok Aji ramai anak-anak dengan beberapa orang isterinya, hingga ayah saya sendiri tidak berapa cam sangat adik beradiknya satu ayah. Apa lagi mereka yang tinggal jauh seperti di Semenyih, di Kota Tinggi, di Singapura dan Chemor.
Peristiwa Tok Aji merajuk meninggalkan rumah memang menjadi ingatan ayah saya sampai bila-bila pun. Hairan juga dia mengenai Tok Aji yang lumpuh sebelah kakinya boleh berjalan pantas hingga tidak dapat dikejar dengan basikal sekalipun. Tetapi apabila ayah saya sendiri memujuknya, Tok Aji balik juga mengajar di madrasahnya.
Malah ketika kawan ayah saya, Haji Usuh menunaikan fardu haji, dia juga terserempak Tok Aji solat jumaat di Masjidil Haram. Tok Aji sama-sama berjemaah bersama makmum yang ramai berasak-asak. Tetapi Haji Usuh, memang tahu Tok Aji tidak ikut sama menaiki kapal menunaikan haji tahun tersebut. Apalagi dia memang sering sakit akibat lelah hingga terlantar beberapa minggu di kampung.
Sebab itulah Tok Aji tidak merasa hairan apa-apa dengan peristiwa yang dialami oleh Kiyai Wuruk. Puas juga saya bertanya kepada Tok Aji rahsia sebenarnya Kiyai Wuruk boleh dilihat di beberpa tempat dalam satu k.etika, tetapi Tok Aji tidak mahu memberitahu apa-apa. Dia sekadar menyuruh saya mencari sendiri rahsia tersebut.
Tatkala Tok Aji berbaring tidur di tengah madrasah ketika hujan turun mencurah ini sengaja saya mengusiknya supaya dia tidak terlelap. Saya tahu dia tidak akan memarahi apa-apa kalau saya yang mengganggu. Memang saya satu-satunya cucu yang menjadi kesayangan dia, hingga nenek saya pun akan dimarahi kalau cuba meleteri saya.
Kadangkala apabila saya balik ke rumah ayah saya, dia akan menyuruh Lasah anak Mak Long saya menjemput sekiranya larnbat balik semula ke madrasah. Ayah dan emak pun tidak boleh rnelarang kalau Tok Aji tidak benarkan saya lama balik ke rumah.
"Tok, tidurkah"? sengaja saya menepuk-nepuk kepala lututnya disebabkan matanya tertutup rapat.
"Tidak, atuk baring-baring aje," sahutnya perlahan tetapi tidak membuka matanya yang terpejam.  
“His bohong, atuk tidur bersenar,” saya terus mengusiknya.
Dia tersengih-sengih dengan usikan saya itu, tetapi tetap tidak mengangkat tangannya yang terlanggung ke kepala. Dia juga tidak bangun membuka mata. Memang Tok Aji kelihatan seperti orang nyenyak tidur, kerana bagaikan lena hingga berdengkur. Bagaimanapun dia masih boleh berbual-bual dengan saya dalam suaranya di antara kedengaran dengan tidak sahaja.
Saya dapat menduga Pak Tua Mahat, abang emak saya yang tua juga mempunyai amalan demikian. Dia boleh tidur sampai berdengkur sewaktu berjalan di tengah hutan berburu. Memang Pak Tua Mahat pernah juga berguru dengan Tok Aji, selepas emak saya berkahwin dengan ayah saya.
Sebelum itu memang Pak Tua Mahat tidaklah rapat dengan Tok Aji, apalagi jarak kampung mereka juga jauh hingga lima batu. Setelah saya dewasa pernah juga saya mengikut Pak Tua Mahat berburu di hutan. Memang saya tahu dia boleh tidur sewaktu berjalan. Tidak pernah pula dia tersesat, kecuali kalau kakinya tersepak akar cepat-cepat dia akan tersedar. Selepas itu dia akan tidur semula sambil kaki terus melangkah mara.
Tetapi tahu sangat Pak Tua Mahat, asal sahaja ke hutan bersama saya tidak pernah seekor pun binatang melintas. Mengeluh panjang Pak Tua Mahat disebabkan balik dengan tangan kosong. Ditepuk daun palas ke busut pun, pelanduk tidak mahu datang bertandak,
Sebab itu apabila mahu berburu ke hutan, Pak Tua Mahat tidak akan memberitahu saya. Dia akan mengajak kawan-kawannya sahaja menggalas senapang. Asal sahaja saya tidak ikut sama, tentu dia akan balik dengan tangan tidak pernah kosong. Bukan takat ayam denak atau pelanduk sahaja tertonggeng disinggahi peluru senapang, malah kijang atau rusa juga tidak terlepas kalau melintas di depannya.
Bagaimanapun dia akan kirimkan kepada saya daging binatang buruan itu, disebabkan tidak ikut sama ke hutan bersamanya. Sekiranya saya mendesak mahu ikut sama, sengaja Pak Tua Mahat mengelak.
"Aku tahu kau pakai pelengang," ujarnya apabila saya terus memujuknya mahu ikut sama berburu ke hutan. "Sebab itu aku tak mahu bawa kau sama ke hutan," jelasnya berterus terang.
Tetapi saya sendiri tidak tahu mengenai amalan ilmu pelengang yang dikatakan oleh. Pak Tua Mahat itu. Manalah saya tahu siapa yang amalkan hingga binatang buas tidak keluar menjengah tatkala masuk ke hutan. Kalau saya tahu sesiapa yang amalkan tentulah boleh dituduh saya belajar daripadanya.
"Kalau saya ikut, kenapa pula"? hairan juga saya kenapa Pak Tua Mahat berkeras tidak benarkan saya mengikutnya berburu ke hutan.
"Kalau Angah ikut, jangankan pelanduk, katak puru pun tak akan jumpa," tuturnya menjuihkan bibir.
"Saya tak amalkan apa-apa, Pak Tua," ujar saya ikhlas.
"Boleh jadi, Tok Aji turunkan, tapi Angah tak tahu," Pak Tua Mahat tersengih-sengih menepuk bahu saya.
Memang saya tidak pernah tahu mengenai amalan ilmu pelengang itu. Kalau tidak diberitahu oleh Pak Tua Mahat, saya sendiri tidak tahu kenapa apabila ikut sama ke hutan tidak seekor pun binatang melintas.
Saya sekadar disuruh oleh Tok Aji amalkan membaca doa daripada surah al-Buruj ayat 20, 21 dan 22, kemudian disambung dengan:
Summum bukmum ummum fahum layar ji'un, summum bukmum ummum fahum laya'qilun, summum bukmum ummum fahum laya taqqalamun, summum bukmum ummum fahum layub sirun.
Tok Aji tidak pula menyuruh saya bacakan ayat itu apabila masuk ke hutan sahaja. Tatkala ikut Pak Tua Mahat mahu berburu ke hutan tidak pernah saya bacakan doa berkenaan. Cuma nasib saya sahaja yang malang, kerana tidak seekor pun binatang yang melintas di depan mata.
Dalam masa saya rnengusik Tok Aji tengah nyenyak tidur, sekalipun boleh berbual dengan saya inilah Mail Lembam datang berpayungkan daun pisang. Gelabah sangat dia memanggil Tok Aji dari tengah halaman madrasah.
Cepat-cepat pula saya menerpa ke pintu madrasah bertanyakan kepada Mail Lembam. Terketar-ketar dia kesejukan akibat basah disimbahi hujan mencurah-curah walaupun berpayung dengan daun pisang.
"Ada apa Pak Mail?" segera saya menegur sebaik sahaja melihat dia tercegat di tengah halaman terketar-ketar kesejukan.
"Mana atuk kau?" dia pula bertanya kepada saya.
"Atuk, .tidur di dalam," beritahu saya memuncungkan bibir ke arah Tok Aji terbaring di tengah madrasah.
"Tolong panggilkan atuk kau, katakan Mak Endut tengah nazak." desaknya tidak berganjak dari tengah halaman.
Sebaik sahaja saya mahu berpusing, tiba-tiba Tok Aji sudah berdiri dibelakang saya. Terkuap-kuap Tok Aji mendepa tangan di pintu madrasah setelah diberitahu oleh Mail Lembam mengenai keadaan kakaknya yang terlantar sakit.
Memang saya juga tahu Mak Endut sudah lama terkejang sakit sejak beberapa bulan. Sudah beberpa kali juga saya datang menjengah bersama Tok Aji, kerana Mak Endut itu mempunyai hubungan kekeluargaan dengan nenek saya.
"Hah, apa halnya Mail?" lantas Tok Aji menggamitnya supaya rapat ke tangga madrasah.
"Kak Endut sakit kuat, Bang Aji," beritahunya terketar-ketar menahan sejuk akibat basah lukus disimbahi hujan.
"Tak apa, mari pergi sekarang ni," sahut Tok Aji tidak mahu mendengar apa-apa penjelasan daripada Mail Lembam lagi.
Mail Lembam berundur ke belakang sedikit sambil menghulurkan daun pisang di tangannya kepada Tok Aji untuk dijadikan payung. Sengaja Tok Aji tidak mahu mencapainya, kerana sukar mahu memegang daun pisang berkenaan. Terus sahaja Tok Aji meranduk hujan tengah turun mencurah-curah dengan tidak berpayung apa-apa.
Hingga sampai ke rumah Mak Endut pun pakaian Tok Aji tidak setitik langsung ditimpa hujan. Hanya dalam keadaan terdesak demikian sahaja Tok Aji tidak disimbahi hujan sekiranya dia terus meranduk. Kalau di hari yang lain yang tidak ada hal mustahak, saya lihat sendiri pakaian Tok Aji akan basah kuyup tidak bertampan.
Setelah Tok Aji turun dari madrasah meranduk hujan bersama Mail Lembam, segera saya balik ke tengah madrasah. Terkejut benar saya apakala melihat Tok Aji masih nyenyak tidur dengan tangannya terlang-gung di kepala seperti tatkala saya tinggalkan.
"Atuk, mengapa tidur?" tidak bertangguh saya menepuk kepala lututnya sekalipun terasa bimbang siapa pula yang turun meranduk hujan bersama Mail Lembam.
"Ah, dia minta atuk bacakan Yassin aje." sahutya tersenyum dengan tidak bergerak langsung. "Angah tak payah tanyalah. Jangan ganggu atuk." rungutnya perlahan lantas mencuit bahu saya menyuruh jauh daripada situ.
Setengah jam kemudian apabila hujan mulai reda, nenek saya naik ke madrasah. Segera dia menyuruh saya mandi, sebaik sahaja melihat Tok Aji masih terbaring tidur. Tetapi nenek sengaja tidak mahu mengganggu Tok Aji ketika itu.
"Angah pergi siap-siap, Mak Endut dah tak ada," ujar nenek perlahan dalam keharuan yang menusuk.
 Apabila saya ke bilik air untuk mandi, nenek terus balik ke rumah dengan tidak mengejutkan Tok Aji supaya bangun. Selesai sahaja mandi, segera saya melintas di tengah madrasah. Ketika ini Tok Aji baru sahaja bangun dengan terkuap-kuap menutup mulut-nya.
"Mak Endut dah tak ada, tok." beritahu saya menyampaikan pesan nenek. Tok Aji sekadar mengangguk sahaja. Dengan tidak berkata sepatah pun, dia terus ke bilik air untuk mandi. Selepas solat maghrib barulah Tok Aji mengajak nenek dan saya menziarah. Beberapa orang kawan saya yang sama-sama berjemaah di madrasah, berjanji akan ikut sama menziarah selepas isya.
Sebaik sampai sahaja di rumah Mak Enduk sudah ramai jiran-jiran datang menziarah. Anak-anak Mak Endut semuanya duduk mengadap jenazah. Jidah, Suhur dan Indun bergilir-gilir membaca al-Quran di sisi emaknya. Ayah saya juga sudah sampai lebih awal setelah diberitahu mengenai kematian Mak Endut itu.
Memang ayah saya yang menyuruh pasangkan langit-langit dengan merentang kain batik lepas setentang dengan jenazah. Dia satu-satunya yang mengatur urusan, kerana sanak saudara sudah menyerahkan kepada dia untuk uruskan hal keluarga.
Tatkala kaum keluarga sibuk di tengah rumah uruskan jenazah untuk berjaga-jaga sepanjang malam, jiran-jiran yang datang menziarah berkumpul pula di serambi. Manakala orang-orang perempuan sibuk di dapur memasak air untuk membancuh kopi. Tidak seorang pun yang dapat lelapkan mata kalau sudah berkumpul menunggu jenazah.
Anak-anak kecil juga disuruh sama-sama membaca al-Quran di sisi jenazah. Saya juga disuruh oleh Tok Aji bacakan Yassin di sisi jenazah Mak Endut itu.
Selepas habis isya semua kawan-kawan saya yang sama-sama tidur di madrasah berkunjung menziarahi jenazah. Mereka terus sahaja membaca al-Quran sebaik naik ke rumah. Bergilir-gilir kami membacanya sampai santak subuh. Apabila saya merasa penat akibat duduk bersila terlalu lama, segera saya akan menyuruh kawan yang lain pula mengambil tempat saya.
Memang menjadi kebiasaan di kampung ketika itu, kanak-kanak tidak dibenarkan mencampuri orang-orang tua sedang berbual. Oleh itu saya bersama kawan-kawan tidaklah ke serambi, sekalipun Tok Aji duduk terconggok berbual dengan jiran-jiran. Kanan-kanak terpaksa menunggu di sisi jenazah membaca al-Quran bergilir-gilir.
Bau asap kelapa kukur dibakar memenuhi ruang tengah rumah. Kak Jidah masih duduk di hujung kaki jenazah emaknya, bertimpuh membaca al-Quran. Saya melihat dia tidak berhenti-henti meneruskan membaca al-Quran semenjak senja lagi. Abangnya Suhur berhenti juga melepaskan lelah, sementara kakaknya Indun ke dapur membantu saudara mara yang lain membancuh kopi. Mereka berdua tidak sama dengan Kak Jidah yang duduk sahaja menghadap jenazah emaknya.
Sekali-sekala saya mengerling juga ke serambi sambil memasang telinga. Ketika menjaga jenazah masing-masing berbual tidak mengira apa pun. Kadangkala cerita melucukan juga dibualkan, hingga mereka terbahak-bahak ketawa di serambi. Apalagi Mail Lembam memang sering menjadi sasaran kawan-kawan kalau berkumpul di mana-mana.
Terkekeh-kekeh mereka ketawakan Mail Lembam disebabkan basah kuyup ketika menjempui Tok Aji sekalipun berpayung daun pisang. Sedangkan Tok Aji yang tidak berpayung apa-apa tidak basah setitikpun ditimpa hujan.
Memang mereka yang sania-sama menghadap Mak Endut melihat Tok Aji ikut sama membacakan Yassin. Tidak siapa pun menyedari Tok Aji masih terbaring tidur di madrasah ketika itu. Tentu mereka semua tidak percaya mengenai Tok Aji yang tidak berganjak pun dari tempat berbaringnya.
Tetapi nenek sudah memahami kalau Tok Aji mendiamkan diri sahaja demikian. Sebab itu sengaja dia menyuruh saya mandi dengan tidak mengganggu Tok Aji di situ. Dia tidak mahu saya melihat Tok Aji bangun daripada tidur dalam saat dia berada di tempat lain serentak dalam satu masa.
Dalam masa mereka di serambi becok berbual inilah tiba-tiba beberapa orang kawan saya yang sama membaca al-Quran terhenti membacakan. Mereka yang sibuk di dapur menyediakan minuman pun tidak perasan sangat kami tidak meneruskan membaca al-Quran. Kami lantas melompat lari ke tengah serambi.
Kak Jidah yang tekun duduk membaca al-Quran di hujung kaki jenazah emaknya sebelum itu juga, ikut sama melompat lari ke dapur. Memang saya juga terpaksa lari disebabkan terkejut apabila semua kawan-kawan meyerbu ke tengah serambi.
"Mengapa kamu semua ni?" lantas Tok Aji berdiri bercekak pinggang kehairanan. Semua orang di tengah serambi juga bingkas bangun disebabkan terkejut apabila kami menyerbu ke situ. Masing-masing segera menerpa ke pintu, menjengah ke tengah rumah tempat jenazah terbujur.
Berkali-kali Tok Aji beristighfar apabila melihat jenazah Mak Endut bergerak-gerak.  Kemudian perlahan-lahan kepalanya terangkat sedikit, langsung duduk hingga kain selubungnya melorot ke pinggang. Hanya kain selendang yang diikat ke dagunya sahaja tidak terurai. Sebaik sahaja mayat Mak Endut duduk, semua orang di tengah serambi pun terjun ke tanah. Orang-orang perempuan di dapur juga tergesa-gesa rnelompat ke tanah disebabkan ketakutan tidak menentu.
Disebabkan semua orang terjun ke tanah, saya bersama kawan-kawan juga segera ikut mereka larikan diri. Masakan tidak takut apabila melihat mayat bingkas duduk.
Masing-masing lari mengikut siapa sahaja di hadapan mereka, kerana bimbang mahu berpecah simpang-perinang. Setelah jauh bertahan di rumah jiran yang terdekat, masing-masing tercengang disebabkan takut tidak menentu.
Ketika ini saya lihat ayah saya bersama Mail Lembam berpatah balik ke rumah Mak Endut. Dia menyedari Tok Aji yang lumpuh tepok sebelah kakinya tidak terjun sama. Tok Aji masih bertahan di atas rumah seorang diri sahaja.
Melihatkan ayah saya dan Mail Lembam naik semula ke atas rumah, mereka yang bertempiaran lari terpaksa kuatkan semangat semula. Masing-masing berpatah balik setelah Tok Aji masih bertahan rnenjaga jenazah. Tidak patut mereka selamatkan diri masing-masing, sedangkan Tok Aji tidak berganjak pun dari atas rumah tersebut.
Rupa-rupanya sewaktu semua orang berterjunan ke tengah halaman mahu selamatkan diri, Tok Aji terus rnendekati jenazah Mak Endut. Lantas dijurus mayat tersebut dengan dua tapak tangannya dihalakan ke muka jenazah yang pucat kaku.
Sewaktu kami semua naik ke rumah, jenazah Mak Endut masih duduk berlunjur. Segera ayah saya menyuruh jiran-jiran yang lelaki duduk berkeliling dengan berzikir di sisi jenazah itu. Dalam masa orang ramai terus berzikir, Tok Aji tidak lepas menjuruskan dua tapak tangannya ke muka jenazah.
"Sekarang kau baring semula, pergi kau menghadap Allah yang menjadikan kau dan semua makhluk," ujar Tok Aji bagaikan memberi perintah.
Perlahan-lahan mayat Mak Endut rebah ke bantal seolah-olah dibantu orang berbaring semula. Saya sendiri melihat rnayat tersebut tidak jatuh terhempas. Memang mereka yang sama-sama menyaksikan kejadian itu mengurut-urut dada sambil beristighfar berulang kali.
"Endut jangan kau bangun lagi, kau kepunyaan Allah bukan kepunyaan kami," Tok Aji menampar tapak tangannya ke dahi jenazah tiga kali sebaik sahaja ianya rebah ke bantal. Kemudian, Tok Aji selubungkan semula mayat Mak Endut.
Setelah mayat Mak Endut dibujurkan semula barulah ayah saya bersama jiran-jiran yang lain berhenti berzikir. Bagaimanapun selepas itu ayah saya sendiri membaca Yassin di sisi jenazah. Kak Jidah yang tercungap-cungap ketakutan duduk semula di kaki jenazah membacakan al-Quran.
Tok Aji ,juga menyuruh anak-anak muridnya yang belajar di madrasah meneruskan baca al-Quran. Dalam ketakutan kami semua membacanya disebabkan takut kepada Tok Aji. Tetapi sekali sekala kami tetap mengerling juga ke arah mayat yang terbujur. Manalah tahu kalau-kalau mayat itu bingkas bangun lagi.
Sehingga pagi tidak ada lagi gangguan menimpa mayat Mak Endut. Terasa lega hati kami kerana tidak ada kejadian buruk berlaku sepanjang malam selepas mayat tersebut bingkas duduk berlunjur.
Sebaik sahaja pagi menjelang, ayah saya menyuruh Mail Lembam mengepalai menggali kubur. Masing-masing mempunyai tugas mengikut arahan ayah saya disebabkan Mak Endut memang sepupunya. Malah Mail Lembam sendiri menyerahkan urusan pengkebumian itu kepada ayah saya.
Sebenarnya Mak Endut meninggal dunia setelah beberapa hari sahaja menghidap sakit dalam perut. Semenjak suaminya meninggal dunia lebih enam belas tahun, Mak Endut tidak berkahwin lain. Dia yang terpaksa membesarkan anak-anaknya dengan menganyam tikar dan menjadi bidan kampung ketika itu.
Sebab itulah jiran-jiran percaya Mak Endut tidak pernah amalkan amalan yang salah, sehingga mayatnya bingkas bangun setelah dibujurkan.
"Serahkan urusan Allah kepada Allah, jangan kita ambil tahu sangat," Tok Aji ingatkan orang-orang kampung supaya tidak ungkit sangat mengenai kejadian mayat Mak Endut bangun duduk berlunjur.
Tahu sangat orang-orang kampung memang Mak Endut tidak amalkan ilmu salah. Dia taat mendirikan solat, berbudi bahasa dan tidak pernah menyakiti hati sesiapa. Kalau ada kenduri kendara di dalam kampung, tidak pernah dia uzurkan diri.
Jiran-jiran pun mengakui memang Mak Endut ramah mesra semasa hayatnya. Sebab itu mereka tidak percaya kalau dituduh Mak Endut berdamping dengan syaitan sama ada polong, pelesit ataupun hantu penanggal. Tetapi mereka merasa hairan kenapa mayat Mak Endut boleh bingkas duduk? Lainlah kalau dia amalkan ilmu-ilmu yang berdamping dengan syaitan.
"Kita tak akan tahu rahsia Allah, hanya Allah sahaja mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi," jelas Tok Aji apabila jiran-jiran mendesaknya memberitahu mengenai rahsia di sebalik kejadian itu.
Kira-kira pukul dua belas tangah hari mereka yang menggali kubur memberitahu kubur sudah siap digali. Lantas ayah saya menyuruh mandikan jenazah supaya boleh dikebumikan selepas zohor. Terpaksalah kami yang belajar di madrasah Tok. Aji bergotong royong mengangkut air dari telaga untuk ditampung dalam pasu dan besen besar.
Disebabkan kerja dibuat secara bergotong royong, dapatlah cepat semua bekas tampungan air diisi penuh hingga mencukupi untuk mandikan jenazah. Nenek saya ditugaskan untuk mandikan mayat, kerana dia sahaja diharapkan di kampung kami untuk mandikan jenazah sekiranya perempuan.
Sebaik sahaja jenazah hendak diusung ke tempat mandi di pelantar, sekali lagi orang yang mengusung memekik disebabkan terkejut benar apabila melihat di bawah jenazah merayap beratus-ratus ekor lipan bara seolah-olah menjadi tilam kepada jenazah . Mereka jadi gementar mahu menguis lipan-lipan bara itu disebabkan berpusu-pusu menyusup ke bawah jenazah.
"Ya, Allah, lindungilah hambaMu ini," keluh Tok Aji sambil menampung dua tangannya memohon doa.
Terharu benar mereka semua melihat keadaan mayat Mak Endut yang terus diganggu apabila mahu dimandikan. Apalah dosa Mak Endut sampaikan mayatnya terseksa demikian. Kalau malamnya mayat itu bingkas bangun duduk berlunjur, setelah tiba waktu untuk dimandikan lipan bara pula menghurung di keliling mayat. Lipan-lipan itu pula terlalu degil hingga tidak seekor pun berundur, setelah semua kain selubung dilingkupkan habis. Terlalu banyak merayap di sekeliling tubuh, dan ada yang bergelung menggigit tubuh mayat.
Marah benar ayah saya dengan kejadian itu. Tetapi mayat Mak Endut tidak dapat diusung ke tempat mandi selagi lipan-lipan bara itu merayap. Ketika ini Tok Aji tetap tenang menghadapi musibah, dengan air mukanya jernih sambil. menyebut-nyebut Allah dalanm keluhan yang mendalam.
"Ya Allah, sekiranya hamba-Mu ini bersalah, ampunkan dia. Sekiranya hambaMu ini dianiaya lepaskan dia daripada aniaya itu. Kepada Engkau kami mohon perlindungan, dan kepada Engkau kami mohon pertolongan," ujar Tok Aji perlahan dalam doa yang menusuk hati hingga tergenang air di pelupuk matanya.
Selepas Tok Aji berdoa dia menyuruh ayah saya bawakan sahaja tampungan air ke situ.
"Kita mandikan jenazah di sini." Tok Aji memberi isyarat supaya mandi dialaskan dengan batang pisang sahaja di situ.
Mereka semua tidak membantah. Perlahan-lahan dan berhati-hati mereka sorongkan batang pisang ke bawah mayat. Air yang ditampung juga semuanya diangkut ke sisi mayat. Tok Aji sendiri mandikan mayat membantu nenek.
Sebaik sahaja Tok Aji jiruskan air ke tubuh mayat di bawah kain selubung itu tujuh kali, tiba-tiba mereka melihat asap berkepul naik seperti bara api disiram air. Apabila dibuka kain selubungnya, kami dapati di bawah mayat Mak Endut memang bara merah yang padam disiram dengan air. Lipan-lipan yang merayap berkeliaran hitam menjadi arang.
Tidak siapa pun berani bertanya kepada Tok Aji, kerana dia sudah ingatkan jangan diungkit-ungkit lagi kejadian yang menimpa Mak Endut. Marah benar Tok Aji sekiranya masing-masing terlalu memikirkan perkara yang sudah ditentukan oleh Allah demikian.
Di atas tilam tempat dibaringkan itulah mayat Mak Endut dimandikan dengan dialas batang pisang, kerana masing-masing bimbang mahu mengusung ke pelantaran akibat lipan-lipan bara merayap berkeliaran. Kawasan tengah rumah menjadi lecah akibat air tidak telus ke celah lantai.
"Nampaknya, kau nak mandi di atas tilam Endut, sebab itu aku mandikan kau di atas tilam," kata Tok Aji menampar-nampar pipi mayat sewaktu nenek mencucikan. Muka Mak Endut tidak berubah apa-apa setelah dimandikan. Wajahnya kelihatan seperti tengah tidur nyenyak. Kulit belakangnya yang digigit lipan-lipan bara berkeliaran juga tidak berbekas apa-apa.
"Apa agaknya masalah mayat ni, ayah?" sengaja ayah saya mendesak, kerana dia sahaja yang bertanyakan demikian.
"Kau jaga urusan kau sendiri, jangan jaga urusan Allah!" ujar Tok Aji memarahi ayah saya. Terdiam ayah saya apabila diingatkan oleh Tok Aji demikian. Kalau ayah saya sendiri sudah ditegur begitu, tentu orang lain tidak lagi berani bertanya apa-apa.
Setelah dimandikan sampai selamat dikafan, tidak ada lagi gangguan ke atas mayat Mak Endut. Hinggalah mayat diusung ke kubur semuanya berjalan dengan selamat.
Selepas kematian Mak Endut, Kak Jidah tidak tinggal bersama abangnya Suhur atau kakaknya Indun. Dia lebih senang tinggal bersama nenek saya. Disebabkan dia masih anak dara belasan tahun, saudara maranya merasakan lebih baik sahaja dia tinggal bersama nenek saya. Lagipun memang dia sama-sama belajar di madrasah Tok Aji.
Kadangkala Kak Jidah menangis apabila diusik oleh Katib mengenai hantu tinggi yang menganggu mayat. Hantu itulah menyebabkan mayat bingkas bangun, duduk dan kemudiannya dipenuhi oleh lipan-lipan bara di bawah tubuh.
"Kita mesti tanam lengkuas di depan pintu madrasah ni, Kak Jidah," beritahu Katib yang sebaya dengan saya. Tetapi Kak Jidah tidak mahu mempercayai penjelasan Katib. Bagaimanapun Katib sendiri tanamkan rumpun lengkuas yang diambil dari rumahnya di depan madrasah, biar hantu tinggi tidak berani mengganggu.
Tok Aji tidak marah pun dengan perbuatan Katib menanam rumpun lengkuas di hadapan madrasah. Tetapi sengaja dia ingatkan Katib, "Lengkuas tu tak boleh menolong kau Katib, yang memberi pertolongan hanya Allah!" Sekalipun rumpun lengkuas itu mula tumbuh segar di hadapan halaman madrasah, tetapi setiap malam ada juga gangguan bunyi burung birik-birik yang ditakuti Katib. Terpaksa dia tidur mengereng kerana takutkan gangguan hantu tinggi yang dipercayainya melintas bersama burung birik-birik.
"Selepas sembahyang, banyakkan doa," pesan Tok Aji setiap kali melihat Kak Jidah murung tidak menentu.
Kak Jidah sentiasa mematuhi nasihat Tok Aji. Setiap tengah malam dia akan bangun lakukan solat sunat tahajud. Sampai tersengguk-sengguk Kak Jidah menangis tatkala berdoa memohon Allah cucuri rahmat ke atas roh emaknya.
Kadangkala saya juga terikut-ikut hingga terpaksa bangun tengah malam bersamanya dirikan solat sunat tahajud. Memang Tok Aji tidak menyuruh saya bangun tengah malam, tetapi apabila tidak bersekolah hujung minggu, tidak keberatan pula saya bangun tengah malam menemani Kak Jidah.
Setiap malam Kak Jidah bangun solat tahajud sejak kematian emaknya. Hampir dua bulan dia lakukan solat tahajud tidak pernah berhenti satu malam pun. Hairan juga saya dengan kesungguhan Kak Jidah menyempurnakan solat berkenaan seperti yang dinasihatkan oleh Tok Aji.
Kemudian pagi-pagi lagi dia sudah bangun untuk tunaikan solat subuh. Selepas itu membantu nenek saya ke sawah. Dia tidak kelihatan letih ke sawah walaupun tengah malam bangun menunaikan solat sunat tahajud itu.
Tetapi dalam masa inilah Abang Mat Nitar yang tinggal berhampiran rumah arwah Mak Endut jatuh sakit. Terpaksa emaknya Mak Relah menjemput Tok Aji minta doakan biar penyakit Abang Mat Nitar segera sembuh.
Keadaan abang Mat Nitar tiba-tiba berubah menjadi tidak siuman hingga meracau-racau tidak menentu. Dalam usianya dua puluh enam tahun, Abang Mat Nitar masih lagi belum berkahwin. Kalaulah tidak disebabkan pinangannya ditolak oleh Mak Endut sudah tentu dia akan berkahwin dengan Kak Jidah.
Semasa Tok Aji menjengah datang melihat keadaan Abang Mat Nitar, keadaan penyakitnya sudah bertambah teruk. Dia bertelanjang bulat dengan tidak memakai sebarang pakaian pun. Terjelepok Abang Mat Nitar di hujung serambil sambil memain-mainkan kemaluannya. Sekali-sekala dia tersengih-sengih sambil mengangakan mulutnya seolah-olah mahu bersuara.
"Apa sakitnya ni, Abang Aji?" tanya Mak Relah kebingungan dengan penyakit yang dideritai oleh anaknya.
"Entahlah, tak pernah aku tengok penyakit macam ni," jelas Tok Aji ikut sama berasa hairan.
"Dah sebulan dia macam ni, tak dapat bercakap, cuma air liurnya saja meleleh," beritahu Mak Relah kesedihan. "Nak kata sakit, dia tak sakit. Nak kata tak sakit, itulah rupanya," keluhnya memerhatikan Abang Mat Nitar tersengih-sengih memain-main kemaluan.
Selepas tiga hari Tok Aji mendoakan, terjongol sahaja Kapai adik Batin Jeli mencari Mak Relah. Terkejut juga Mak Relah disebabkan Kapai tergesa-gesa mahu menemui Abang Mat Nitar. Ketakutan sahaja dia sewaktu melihat orang ramai berkumpul menziarahi Abang Mat Nitar.
"Dah lama ke, Mat Nitar ni sakit, Mak Relah?" tanya Kapai bercampur bimbang.
"Dah lebih sebulan," jelas Mak Relah sayu.
"Tak tahu pula aku, dia sakit," keluh Kapai semakin serba salah. "Siapa ubatkan dia?" soalnya mengerling Abang Mat Nitar tersengih-sengih di hujung serambi memain-main kemaluannya sendiri.
"Abang Aji ni," beritahu Mak Relah memuncungkan bibir ke arah Tok Aji. Tiba-tiba sahaja Kapai memeluk lutut Tok Aji. Dia menangis sambil merayu pada Tok Aji supaya tidak membalas dendam kepada abangnya Batin Jeli.
"Abang Aji tolonglah, minta maaf aku pada Abang Aji," dia merintih mengharapkan belas kasihan. "Abang Jeli dah gila sekarang, dia bukan nak susahkan Mak Endut dulu, dia hanya nak tolong Mat Nitar," sambungnya menjelaskan kejadian yang menyelubungi di kampung itu sebelumnya.
"Percayalah Kapai, aku tak buat apa-apa pada Jeli," Tok Aji memujuknya supaya bertenang.
"Kalau Mat Nitar tak datang minta tolong, mampus Abang Jeli tak buat," Kapai tersedu-sedu menangis tetapi masih memegang kepala lutut Tok Aji.
Kapai sendiri mengaku memang abangnya Batin Jeli berikan minyak cenuai setelah pinangan Abang Nitar ditolak oleh Mak Endut. Tetapi Abang Mat Nitar berkeras tidak mahu menerima minyak cenuai semata-mata mahu memikat Kak Jidah.
Setelah didesak oleh Abang Mat Nitar, bersetuju juga Batin Jeli mengurung katak dengan diikat perutnya sampai terasa Mak Endut senak perut. Tujuh malam Batin Jeli bertapa di atas busut jantan, menunggu katak yang dikurung di bawah lesung mati akibat tercerut perut. Sebaik sahaja katak itu mati sampai reput di bawah lesung, Mak Endut juga menemui ajalnya dengan kehendak Allah Subhanahu Wataala.
Sebaik sahaja Abang Mat Nitar memberitahu mengenai Mat Endut meninggal dunia, sengaja Batin Jeli memotong upih pinang kering sama macam bentuk lipan bara. Dia menjampi serapah upih pinang hingga bergerak macam lipan bara yang merayap berkeliaran.
Kalaulah Kapai tidak terjongoi memberitahu mengenai kejadian yang berlaku, memang orang-orang kampung tidak tahu malang yang menimpa Mak Endut.
"Hanya Allah yang mengetahui segala yang tersembunyi dan yang nyata," Tok Aji memujuk Kapai kerana tidak dapat membantu apa-apa. Manalah Tok Aji tahu bagaimana mahu membantu, kerana dia sendiri tidak tahu amalan yang diamalkan hingga arwah Mak Endut menerima nasib demikian malang akibat dendam yang bersarang di hati sesama makhluk itu.
SELESAI

Monday, March 20, 2017

220. BAHANA SUMPAH NENEK BIMAH



Mungkin kerana leka menonton TV, anak saya tiba-tiba sahaja tergeliat kaki apabila bangun daripada duduk. Terjengket-jengket dia kerana tidak boleh jejakkan kaki ke lantai. Apalagi budak baru berumur sepuluh tahun sepertinya, tentu sahaja merengek-rengek sepanjang malam tidak dapat lelapkan mata.
Memang saya bercadang mahu hantarkan sahaja ke hospital pada mulanya untuk dapatkan rawatan. Manalah tahu sendi buku lalinya terkehel pula. Kalau di hospital, mungkin kakinya boleh disimen biar tumit dapat jejakkan tatkala berjalan.
Rawatan di hospital tentu disimen sahaja untuk betulkan semula kedudukan  sendi buku lali yang terkehel. Tetapi isteri saya berkeras tidak mahu terburu-buru dibawa ke hospital. Biarlah diurut terlebih dahulu ikut cara tradisional bagi mengelakkan urat kaki yang terkehel itu dimasuki angin.
Jiran di sebelah rumah yang beritahu isteri saya mengenai tukang urut yang pernah pulihkan tangannya yang terkehel. Disebabkan isteri saya mendesak, terpaksalah saya menuruti kemahuannya. Lantas kami membawa anak kecil itu menemui Bilal Lah yang diberitahu oleh jiran berkenaan.
"Kenapa pula kaki ni?" soal Bilal Lah bergurau apabila melihat anak saya dipapah naik ke rumahnya.
"Kakinya tergeliat," beritahu jiran saya yang membawa kami menemui Bilal Lah itu.
"Memang terkehel sendi buku lali budak ni," jelas Bilal Lah sebaik sahaja memegang kaki anak saya dengan tidak perlu mengurutnya terlebih dahulu.
Selepas menepuk-nepuk bahagian buku lali anak saya, Bilal Lah mengetuk-ngetuk telunjuk ke kepala lututnya.
"Cuba, bangun berjalan," ujarnya semacam mendesak anak saya supaya bangun melangkah.
Tetapi anak saya enggan menuruti kemahuannya. Kakinya masih sakit berdenyut hingga tidak boleh dijejakkan. Takut benar dia mahu gagahi bangun kerana bimbang akan tergeliat lebih teruk lagi.
"Tak apa, cuba bangun!" desak Bilal Lah bagaikan memberi perintah.
Terpaksa juga anak saya bangun dengan dibantu oleh isteri saya. Sebaik sahaja dia jejakkan kaki ke lantai, anak saya lantas beranikan hatinya melangkah. Memang dia boleh berjalan sekalipun terdengkot-dengkot.
"His, jangan takut, jalan aje!" sengaja Bilal Lah kuatkan suara macam menyergah keras.
 "Sakit..." beritahu anak saya masih tidak berani berkuat untuk jejakkan tumitnya.
 "Cuba langkah perlahan-lahan," segera saya mencelah supaya dia tidak patah semangat.
Beberapa tapak anak saya melangkah, tiba-tiba dia boleh jejakkan kakinya yang tergeliat itu. Selepas boleh jejakkan kakinya, sengaja Bilal Lah menyuruh anak saya melangkah keliling dia terconggok di tengah rumah. Tidak sampai sepuluh minit anak saya sudah boleh jejakkan tumit, dan dalam masa setengah jam sahaja langkahnya semakin kukuh.
Memang mahir Bilal Lah sembuhkan buku lali anak saya yang tergeliat. Semalaman dia merengek kesakitan hingga kaki itu tidak boleh dijejakkan langsung, tiba-tiba sahaja boleh melangkah tidak sampai setengah jam disentuh jari Bilal Lah.
Tahu sangat saya Bilal Lah tidak sekadar menyentuhkan jarinya ke kaki anak saya. Dia hanya menepuk-nepuk ke buku lali, tetapi makrifatnya mengurut hingga sampai ke sendi tulang.
 Bukanlah perkara luar biasa sangat apa yang dilakukan oleh Bilal Lah, kerana Tok Alang saya sendiri pernah lakukan demikian. Kalau orang kampung terkehel sampai patah tulang datang menemui dia meminta pertolongan, Tok Alang lantas menyuruhnya bawakan ayam selasih hitam.
Dia akan patahkan kaki ayam selasih hitam hingga tersembul keluar tulang pahanya. Kemudian Tok Alang akan betulkan semula tulang kaki ayam yang patah paha itu. Ketika ini orang yang terkehel patah akan terjerit-jerit kesakitan, seolah-olah kakinya yang diurut oleh Tok Alang. Dalam tempoh dua tiga hari sahaja selepas itu, orang yang terkehel patah akan sembuh semula.
Tetapi saya tidak sempat bertanya apa-apa pada arwah Tok Alang mengenai cara dia mengubati orang terkehel patah. Kalau ditanyakan pun sudah tentu dia akan merahsiakan sahaja. Memang sudah menjadi tabiatnya terlalu kuat menyimpan rahsia dirinya.
 Pernah dia dilanggar lori hingga tercampak ke seberang jalan hingga sanak saudara menjadi cemas. Remuk basikalnya disondol lori sampai terperosok ke dalam longkang di tepi jalan. Lori yang penuh sarat membawa pisang itu pula terasak ke tebing. Orang ramai yang melihat kejadian itu tidak bertangguh mahu membelasah pemandu lori yang tergamam tidak ketahuan.
 Cepat-cepat. Tok Alang bingkas bangun dari dalam longkang menegah mereka supaya tidak terburu-buru bertindak. Dia sekadar menyapu-nyapu sikunya yang dipenuhi sampah dan pasir. Tubuhnya tidak luka apa-apa sekalipun  lutut seluarnya habis koyak berkecai. Terpaksalah pemandu lori itu berjanji untuk gantikan basikalnya yang tidak berguna.
"Entah apa-apa ilmu yang Pak Alang amalkan," pernah ayah saya menegur arwah Tok Alang.
 "Mana aku ada ilmu?" beritahu Tok Alang tersengih-sengih apabila didesak oleh ayah saya.
"Ilmu dunia buat apa?" sengaja ayah saya mengusiknya. "Kita perlu amalkan ilmu yang berguna di dunia dan di akhirat," ujarnya macam menasihati Tok Alang.
Tetapi Tok Alang tidak peduli sangat usikan ayah saya. Memang dia tidak akan tersinggung apa-apa sekiranya ditegur oleh ayah saya, sekalipun ayah saya pangkat anak saudara kepadanya. Segan juga dia dengan ayah saya kalau berkeras mahu membantah, apalagi mengingatkan dia fasal ilmu kebatinan yang tidak membawa apa-apa manfaat.
Tahu benar ayah saya mengenai amalan Tok Alang semenjak usianya masih muda lagi. Masakan Tok Alang boleh menyembunyikan rahsia itu daripada dia.
"Dah tua-tua ni, eloklah kuatkan ke masjid," desak ayah saya setiap kali bertemu Tok Alang di mana-mana.
Tok Alang sekadar tersengih-sengih sahaja. Perkara ke masjid bukan boleh dipaksa-paksa, kalau hati sendiri tidak ikhlas. Biarlah anak-anaknya sahaja yang jejak kaki ke masjid. Dia akan dirikan solat di rumah sahaja sama ada siang mahupun malam.
Sejak usia muda lagi rnemang Tok Alang dikenali mampu tundukkan perempuan sehingga mengikut sahaja kemahuannya. Dia boleh memukau janda muda yang menghinanya datang ke rumahnya tatkala tengah malam diselubungi kesepian.
Marah. benar dia pada janda muda yang tinggal jauh di kampung lain, disebabkan menjeling dia sewaktu berselisih di jalan. Kalau janda itu tidak menjeling apabila ditegur ramah, memang Tok Alang tidak pengapakan janda berkenaan.
Disebabkan marah benar dia, tengah malamnya Tok Alang ambilkan sebiji limau dibungkus dengan kain putih dan diikat benang tujuh warna. Dia hayunkan limau itu di tengah asap kemenyan sambil menyanyi perlahan, hingga janda muda tidak dapat lelapkan mata sampai ke pagi.
Sebaik sahaja pagi terang-terang tanah, tidak bertangguh janda muda itu terus menemui Tok Alang. Lama dia duduk di tangga rumah sebelum Tok Alang membuka pintu. Sengaja Tok Alang berpura-pura terkejut apabila melihat janda berkenaan duduk berjuntai kaki di tangga rumah.
Tetapi saya tidak arnbil tahu sangat mengenai kebolehan. Tok Alang memuja semangat perempuan sehingga datang mencari dia. Apa sangat mahu dibanggakan perempuan datang menyerah diri kalau semata-mata mahu menunjukkan kemegahan hawa nafsu?
Malah Tok Aji sendiri sering memarahi saya kalau sengaja berbaik-baik dengan Tok Alang untuk bertanyakan amalan demikian. Lebih baik duduk sahaja di madrasah habiskan belajar, daripada menemui Tok Alang. Memang Tok Aji tidak senang dengan sikap Tok Alang, sekalipun adik iparnya sendiri.
 "Sakit lagi tak.?" Bilal Lah mendongak mernerhati anak saya terdengkot-dengkot sedikit.  Setelah tiga empat kali berkeliling di tengah rumah, anak saya mula cepatkan langkahnya.
"Sakit sikit-sikit," beritahu anak saya mula tersenyum, seolah-olah merasa pergelangan kakinya semakin lega.
Ketika saya bersiap-siap untuk balik, Abang Jibut terjongol muka. Hairan juga saya apabila terserempak dia di situ. Memang saya menyangka Abang Jibut ke situ mahu mencari saya, tetapi rupa-rupanya dia sudah kenal lama dengan Bilal Lah. Sudah kerapkali Abang Jibut datang ke situ menemui Bilal Lah.
"Ustaz buat apa di sini?" soal Abang Jibut tercegat di pintu. _
"Anak saya, kakinya tergeliat," beritahu saya perlahan menghulur tangan bersalaman dengan Abang Jibut.
 "Inilah ustaz yang saya cakapkan pada Pak Bilal dulu," lantas sahaja Abang Jibut menggamit Bilal Lah. Rupa-rupanya Abang Jibut sudah memberitahu Bilal Lah disebabkan saya ikut dia ke Kemaman menemui Ngah Gadek.
"Saya dah agak, tapi tak berani nak tanya," ujar Bilal Lah mengerling saya. "Manalah tahu, nanti tersalah orang pula," katanya masih tidak berganjak daripada tempat duduknya.
"Abang Jibut nak berurut juga ke?" sengaja saya mengusiknya.
"Ada hal sikit," jawabnya tersengih-sengih mengerling Bilal Lah.
Memang dia sudah memberitahu Bilal Lah fasal menemui saya tatkala isterinya Sutinah menderita sakit ganjil. Hampir dia berputus asa dengan keadaan isterinya sekalipun berulang kali berubat dengan Bilal Lah. Setelah puas mencuba, Bilal Lah sendiri kehilangan punca mahu meneruskan mengubat Sutinah.
Asal sahaja masuk senja Sutinah mula merasa perutnya sebu hingga tidak berselera mahu menjamah makanan. Bukan takat tidak berselera makan, malah kalau didekati oleh Abang Jibut pun dia marah tidak menentu. Terlalu benci dia menatap muka suaminya ketika perutnya sebu seolah-olah kembung dimasuki angin.
Hampir tujuh tahun Abang Jibut menanggung gelisah dengan masalah yang dihadapinya itu. Setelah puas berubat di beberapa tempat sebelum diubati oleh Bilal Lah itulah, dia datang menemui saya. Kalau tidak Sarim Cabai yang bawakan dia menemui saya, memang saya tidak pernah mengenali Abang Jibut.
Ketika dia datang bersama Sarim Cabai menemui saya, Abang Jibut sudah tidak dapat lagi menahan sabar. Sudah nekad dia mahu menceraikan Sutinah kalau keadaannya tidak dapat diselamatkan lagi. Terpulanglah kepada keluarga Sutinah untuk mengubati penyakit yang dideritainya itu.
"Dah puas berubat, ustaz," keluhnya macam kecewa mengerling Sutinah yang ikut sama. Sutinah mengangguk lemah. Dia sendiri tidak tahu kenapa terlalu benci menatap muka Abang Jibut apabila malam menjelang? Kalau boleh mahu sahaja dia lari meninggalkan rumah membawa diri ke mana sahaja. Tetapi dia cuba tabahkan hati tidak mahu mengikut perasaan yang melonjak-lonjak.
 "Kak Sutinah sebenarnya sakit apa?" lantas saya berpaling pada Sarim Cabai.
"Cakaplah, Abang Jibut," desak Sarim Cabai disebabkan Abang Jibut masih teragak-agak mahu menjelaskan.
"Sebenarnya dah lama kena penyakit ni, ustaz," serba salah Abang Jibut mahu rnenerangkan keadaan penyakit yang diderita oleh isterinya. "Sejak baru kahwin dengan saya lagi, tapi baru sekarang ni makin teruk," katanya sayu apabila kenangkan kejadian yang menimpanya sejak berkahwin dengan Sutinah.
Mula-mula memang tersinggung juga dia dengan perubahan Sutinah tiba-tiba sahaja marah tidak menentu. Tetapi setelah menyedari isterinya menderita sakit, terpaksalah dia berusaha mengubati. Puas juga Abang Jibut berubat hingga menemui bomoh sampai ke Kelantan, tetapi penyakit ganjil yang dialami oleh Sutinah itu semakin pasang.
Kalaulah tidak berternu Kadir Misai tentu Abang Jibut sudah berputus asa disebabkan Sutinah masih juga tidak dapat dipulihkan. Kadir Misai yang menyuruh dia menemui Sarim Cabai untuk tunjukkan rumah saya, Kebetulan pula memang Abang Jibut sama berniaga dengan Sarim Cabai hingga kadangkala sering bertemu di Johor Bharu, di Kluang atau di Kuala Lipis.
Cuma Sarim Cabai satu-satunya yang berani bawakan orang menemui saya kalau diganggu penyakit. Sebab itu Kadir Misai sengaja menyuruh Abang Jibut menemui Sarim Cabai terlebih dahulu.
Kalaulah Kadir Misai sendiri datang bawakan Abang Jibut, saya pun tidak akan marah apa-apa. Mereka mahu mencuba apa salahnya? Manalah tahu penyakitnya serasi pula apabila saya doakan hingga boleh sembuh. Perkara penyakit boleh sembuh bukan terletak pada kemampuan dukun besar atau pun tidak, tetapi dengan izin Allah Subhanahu Wataala.
Sudah berkali-kali juga Abang Jibut membawa Sutinah menemui Bilal Lah, menyebabkan orang tua itu sendiri tidak tahu lagi bagaimana mahu lakukan. Sebab itu Bilal Lah menyuruh dia carikan orang lain sahaja mengubati Sutinah.
Kalaulah penyakit Sutinah tidak sembuh setelah berubat di mana-mana, memang Bilal Lah bersedia lakukan cara lain. Tahu sangat Abang Jibut tentu Bilal Lah akan bertapa jauh di hutan, sekiranya terpaksa setelah usaha lain tidak dapat memulihkan penyakit Sutinah.
"Habis, saya nak buat macam mana?" soal saya apabila Sarim Cabai membawa Abang Jibut dan Sutinah menemui saya.
 "Terpulanglah pada ustaz," sahut Abang Jibut sudah tidak mahu memikirkan apa-apa lagi. Biarlah semuanya diserahkan kepada keputusan saya. Dia sudah nekad mahu menghantar Sutinah balik ke Kemaman sekiranya penyakit Sutinah masih tidak boleh disembuhkan.
Hatinya mula menuduh tentu ada lelaki yang lain yang mahu mengambil Sutinah menjadi isteri hingga tergamak menganiaya mereka. Memang niat lelaki itu mahu runtuhkan kerukunan rumah tangganya. Kalau benar lelaki itu mahu sangat mengambil Sutinah, bila-bila sahaja Abang Jibut sedia serahkan. Tidak perlu gunakan iimu hitam hingga menyusahkan dia bersama Sutinah.
Saya tidak salahkan Abang Jibut kalau dia menuduh demikian. Masakan dia boleh bersabar setelah tujuh tahun memendam perasaan. Bukan mudah mahu rnenghadapi masalah yang rumit demikian, apalagi sudah beberapa orang bomoh yang ditemui menuduh Sutinah diganggu ilmu hitam.
Kalau tidak kenapa pula asal masuk sahaja maghrib Sutinah mula berubah? Dia akan gelisah menahan rasa perut sebu hingga tidak berselera mahu menjamah makanan. Saat ini kebenciannya terhadap Abang Jibut kian memuncak, tetapi dia cuba gagahi melawan tekanan perasaan itu.
"Tak apalah Abang Jibut, cubalah bersabar dulu," saya mengingatkan dia lantas meletakkan tapak  tangan pada ubun-ubunnya yang mengombak kuat dengan wap panas meluap.
Kemudian saya letakkan pula hujung jari telunjuk pada ibu jari tangan Sutinah dengan membacakan:
 innahu min Sulaiman wa innahla' Rahmannir Rahim,
dan diulangi tujuh kali. Tiba-tiba sahaja Sutinah menggeletar hingga seluruh. tubuhnya memercik peluh sejuk.
 "His, apa halnya ni, ustaz?" terkejut Abang Jibut melihat keadaan isterinya yang terketar-ketar tidak menentu.
Sengaja saya tidak menyahut apa apa, sebaliknya terus berdiri dengan meletakkan semula tapak tangan pada ubun-ubun Sutinah. Wap panas di kepala itu bertukar menjadi memijar seperti dilumur dengan cili. Bagaimanapun saya biarkan sahaja bahang yang memijar itu naik hingga ke paras siku saya.
Ketika ini lantas saya bacakan:
Huwa auwalu, wal akhiru, wal zahiru, wal batinu, wahuwal rabbil arsyil azzim.
Serentak dengan itu tiba-tiba sahaja Sutinah menangis mendayu-dayu bagaikan terlalu hiba sangat.
 "Siapa yang suruh kamu ganggu Sutinah?" bentak Abang Jibut tidak bertangguh melepaskan rasa geram yang sekian lama mendongkol. Belum pernah Sutinah mengalami kejadian seperti itu setelah beberapa kali dia menemui bomoh. Memang Abang Jibut yakin dengan tuduhannya selama ini, tentu isterinya telah diganggu ilmu hitam.
Sutinah menggeleng-geleng kepala. Tangisnya semakin sayu seolah-olah dada terlalu sebak menyayat perasaan. Terlalu sukar dia mahu menerangkan perasaannya ketika itu kepada Abang Jibut.
"Cakap, siapa suruh kau ganggu Sutinah?" jerkah Abang Jibut keras seolah-olah mahu mencabar. Tetapi Sutinah sekadar menggeleng-geleng kepala sahaja dengan tangisnya mendayu-dayu merintih hiba.
Segera saya menyuruh Abang Jibut azan tujuh kali di telinga kanan Sutinah supaya dia tidak lagi membentak tidak menentu. Semasa Abang Jibut azan, saya tidak lepaskan tapak tangan daripada ubun-ubun Sutinah. Sebaik sahaja Abang Jibut azan semakin kuat Sutinah menangis mendayu-dayu hingga bahu terhenjut-henjut.
 Ketika ini saya rasakan tidak lagi memegang kepala Sutinah, tetapi kepala perempuan tua yang berkudis seluruh tubuhnya. Mukanya hodoh dengan rambut mengerbang tidak terurus.
"Tolonglah ustaz," rayunya terketar-ketar ketakutan. "Kenapa ustaz seksa saya macam ni?" dia merintih hiba dengan harapan supaya dikasihani ketika itu. Saya tidak hiraukan apa-apa pun. rintihan perempuan tua berkudis seluruh tubuh itu. Tetapi saya terus bacakan al-Fatihah tiga kali diikuti dengan surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas. Kemudian saya membaca pula:
Alif lam mim sad, kaf ha ya a'in sad, ha mim a'in sim kaf, uskun aiyuhal waji’ billazi inyasya yuskinirriha fayazlalna rawa kida `ala zohrihi, innafi zalika la ayatin likulli sabbarin  syaku r .
Perempuan tua itu terus menggaru-garu kudisnya hingga darah memercik keluar. Terketar-ketar dia akibat ketakutan menyebabkan tubuhnya semakin lemah. Azan yang bergema itu telah menyebabkan sebahagian kepalanya merekah ,seperti tanah kering pada musim kemarau.
"Aku bukan nak lawan kau ustaz," ujar perempuan tua hodoh itu mencebek bibir. Air liurnya meleleh keluar dari celah bibir laksana kambing terkunyah buah bacang busuk.
Tidak perlu saya melayani perempuan tua hodoh itu. Biarlah dia merintih-rintih sepanjang masa pun, memang tidak akan saya layani. Tugas saya sekadar bacakan doa-doa sahaja sehingga dia sendiri berundur jauh.
  "Siapa suruh kau ke sini?" Abang Jibut terus mendesak marah.
 "Buat apa tanya macam tu?" perempuan tua itu mencemik muka menampakkan bencinya pada Abang Jibut. Matanya melingas-lingas memerhati keliling seolah-olah mencari lorong untuk memboloskan diri.
"Kamu ni siapa?" tengking Abang Jibut masih tidak puas hati.
Tentulah sia-sia Abang Jibut mendesak kerana dia tidak, melihat dengan siapa dia berhadapan. Abang Jibut sekadar melihat isterinya sahaja yang tersengguk sengguk merintih.  Tentu dia tidak menyedari tapak tangan saya terletak di atas kepala perempuan tua hodoh dengan kulitnya dipenuhi kudis seluruh badan.
Sebab itulah saya tidak mahu bercakap apa-apa. Tidak ada gunanya melayani perempuan tua hodoh itu kalau dia tidak mahu berundur jauh. Sekiranya dia terus bertahan, saya juga terus memantapkan zikir hingga bergaung jauh di dalam hati. Biarlah perempuan tua hodoh itu mengakui sendiri asal usulnya.
 Hairan juga Abang Jibut kerana isterinya tidak meracau-racau memberitahu siapa yang amalkan ilmu hitam. Sutinah sekadar menangis sahaja mendayu-dayu. Setelah beberapa kali dia datang menemui saya, keadaan Sutinah mula berubah.
Dia tidak lagi diganggu sebu perut apabila masuk waktu maghrib. Penyakitnya pulih sekalipun sejak hampir tujuh tahun menanggung derita.
Selepas. Sutinah sembuh daripada penyakitnya, memang emaknya Uteh Merisah mengaku mengenai nenek moyangnya daripada Nenek Bimah pernah dikenali menjadi bidan dan bomoh di kampungnya.
Tahu sangat Uteh Merisah mengenai kisah Nenek Bimah yang tidak pernah kekal bersuami. Selepas beberapa bulan sahaja berkahwin dia akan bercerai lantas mencari anak teruna menjadi suami barunya. Sebab itulah dia sentiasa kelihatan muda walaupun usianya sudah lebih lima puluh tahun.
Setelah beberapa kali berkahwin dan bercerai, akhirnya dia berkahwin pula dengan Maaseh. Entah kenapa Maaseh guru agama yang datang berdagang ke kampung itu tertarik hati sahaja mahu berkahwin dengan Nenek Bimah?
Puas juga orang-orang kampung nasihatkan Maaseh supaya tidak cemarkan namanya dengan mengahwini perempuan itu. Tetapi Maaseh tetap dengan keputusan memilih Nenek Bimah.
"Semoga dia akan beriman kepada Allah," Maaseh memberi penjelasan mengapa dia tetap dengan keputusannya mahu berkahwin dengan Nenek Bimah.
"Bimah tu bukannya calang-calang orang, Maaseh," kata Pak Surip bapa angkatnya kerana bimbang guru agama itu akan terperangkap. Memang Pak Surip tahu benar latar belakang Nenek Bimah yang sudah berkali-kali berkahwin dan bercerai itu.
"Dia perlu dididik dengan agama, ayah," ujar Maaseh menaruh keyakinan yang tinggi untuk membimbing Nenek Bimah yang jauh lebih tua usia daripadanya.
"Nanti kau terperangkap," bimbang benar Pak Surip dengan nasib yang akan menimpa Maaseh sekiranya dia terus dengan keputusannya. "Sudah ramai suaminya menjadi korban dia!" beritahu Pak Surip cuba menghalang niat Maaseh untuk mengahwini Nenek Bimah. Tetapi Maaseh terus berkeras seolah-olah sudah dipukau oleh perempuan berkenaan.
Orang-orang kampung juga tahu siapa sahaja lelaki yang sanggup mengahwini Nenek Bimah, memang mereka sudah dipukau terlebih dahulu. Lelaki itu akan menurut apa sahaja kemahuan dan perintah Nenek Bimah. Malah kalau dia mencari lelaki lain pun, suaminya tidak akan berani membantah.
Kadangkala dia sengaja menyuruh suaminya tidur di serambi, apabila dia membawa lelaki lain tidur di biliknya. Kalau suaminya membantah, nescaya akan dihalaunya tidak bertangguh. Sepanjang malam suaminya akan duduk di tangga tidak tergamak meninggalkan Nenek Bimah, sekalipun sudah dihalau macam kucing kurap.
 "Ilmu Bimah tu kuat, Maaseh," ujar Pak Surip masih terkilan dengan keputusan anak angkatnya itu. Kesihan benar dia dengan nasib Maaseh kerana sudah dikenakan ubat guna-guna oleh Nenek Bimah.
"Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang beriman, ayah," Maaseh tetap juga dengan keputusannya yang sudah tidak boleh diubah lagi.
Selepas berkahwin dengan Nenek Bimah, memang Pak Surip sudah dapat menduga mengenai sikap Maaseh. Perempuan itu tidak dapat ditundukkan oleh guru agama muda itu. Sebaliknya Maaseh yang mematuhi apa sahaja kemahuan Nenek Bimah, hinggakan dia membuat hubungan dengan beberapa orang pemuda selepas itu,  Maaseh tetap mendiamkan diri.
Apalagi Maaseh memang jarang balik ke rumah. Dia habiskan masanya di surau sahaja saban malam. Hanya pada malam-malam tertentu sahaja dia akan balik ke rumah. Pada mulanya, Nenek Bimah hanya sekadar bersembunyi-sembunyi membuat hubungan liar itu. Dia akan membawa pemuda itu bermalam di rumahnya sewaktu Maaseh tidur di surau.
Apabila suaminya balik ke rumah, dia tidak benarkan pemuda berkenaan jejakkan kaki lagi.
Tetapi lama kelamaan dia tidak dapat membendung perbuatan buruknya. Pemuda yang membuat hubungan liar dengannya datang juga semasa Maaseh ada di rumah. Tidak segan-segan Nenek Bimah menyuruh Maaseh tidur di serambi disebabkan dia mahu tidur di bilik bersama pemuda berkenaan.
"Bukankah aku ni suami kamu?" Maaseh berlembut mengingatkan isteri yang sudah dipengaruhi ilmu syaitan itu. "Malam ni, aku tak mahu tidur dengan kau!" lantas sahaja Nenek Bimah mencemuh dengan tidak berselindung lagi.
"Perbuatan kamu ni dikutuk Allah," ujar Maaseh cuba memujuk isterinya.
 "Nak cakap fasal agama, pergi ke surau!" bentak Nenek Bimah terus menutup pintu bilik.
"Kalau mahu ingkar, aku terpaksa ceraikan kamu," jelas Maaseh dengan tenang, tetapi masih tercegat di depan pintu bilik.
Terkejut Nenek Bimah dengan keputusan Maaseh. Tidak pernah didengarnya sebelum itu suaminya sanggup melafazkan cerai di depannya. Mereka yang merayu-rayu hingga terpaksa melutut di depannya tidak mahu menceraikan dia. Hairan juga Nenek Bimah apabila ilmu guna-gunanya tidak memberi kesan untuk menundukkan Maaseh.
"Kau boleh berambus!" jerit Nenek Bimah dari dalam bilik melepaskan geram. Perlahan-lahan Maaseh berundur setelah isterinya tidak dapat dipujuk. Dia terus melangkah turun menuju ke rumah Pak Surip. Kecewa benar dia kerana tidak dapat membawa Nenek Bimah balik ke jalan yang diredhai Allah.
"Alhamdulillah, setidak-tldaknya kau tak jadi dayus macam suami-suami Bimah dulu," tutur Pak Surip bangga sekalipun masih terguris rasa terkilan di hati. "Kau masih mampu melafazkan cerai di depannya," dia menambah dengan rasa terharu yang memuncak.
Tidak lama selepas itu, tiba-tiba sahaja Liham adik Nenek Bimah tercungap-cungap datang mendapatkan Maaseh.
"Kenapa ni, Liham?" soal Pak Surip terkejut dengan kedatangan Liham ke situ.
"Tolonglah Kak Bimah tu, Pak Surip," terlalu cemas Liham hingga terputus-putus suara menuturkan.
 "Apa halnya ni?" terpaksa Pak Surip memujuknya supaya bertenang.
 "Tak tahulah saya, tapi saya dengar Kak Bimah terjerit-jerit minta tolong," beritahu Limah masih lagi cemas tidak menentu. "Saya tak berani nak naik ke biliknya," katanya dengan penuh harapan.
Disebabkan kasihan dengan permintaan Liham yang mendesak, terpaksa juga Maaseh bersama Pak Surip ke rumah Nenek Bimah. Tidak tergamak pula mereka membiarkan perempuan itu diganggu musuh. Manalah tahu nyawa Nenek Bimah terancam hingga terjerit-jerit meminta pertolongan.
Sewaktu mereka sampai di situ, jerit pekik Nenek Bimah masih melangsing, bercampur baur dengan suara pemuda yang bersama dengannya. Jiran-jiran yang tidak sampai hati mendengar jeritan yang merintih itu cuba juga menolong, tetapi mereka semua tidak dapat membolos masuk disebabkan bilik berkenaan berkunci rapat.
Mahu tidak mahu terpaksalah Liham pecahkan pintu dengan kapak. Sebaik sahaja pintu terpokah, mereka semua terkejut melihat keadaan Nenek Bimah berbogel dengan pemuda berkenaan. Tubuh mereka bercantum seolah-olah daging melekat. Tergapai-gapai tangan Nenek Bimnah meminta pertolongan, hinggakan amalannya selama ini tidak berguna apa-apa pun untuk membantu dalam keadaan demikian,
"Kau buat apa pada aku ni, Maaseh?" gerutu Nenek Bimah tiba-tiba memandang Maaseh yang tercegat di pintu bilik.
"Aku tak buat apa-apa," tegas Maaseh beristighfar beberapa kali. "Sebenarnya Allah mau menunjukkan kepada hambaNya bahawa ilmu syaitan itu amat terbatas," ujar Maaseh menahan rasa terharu dengan perbuatan perempuan itu.
Terdiam Nenek Bimah sekalipun hatinya mendongkol marah. Dia merasa dirinya dianiaya oleh Maaseh hinggakan seisi kampung melihat keadaan dia berbogel dengan pemuda berkenaan. Tubuh mereka berdua bercantum tidak boleh dilekangkan lagi.
 "Habis, nak buat macam mana ni, bang?" Liham menepuk bahu Maaseh dalam keadaan serba salah.
Tahu sangat Liham memang kakaknya derhaka kepada suami. Tetapi dalam keadaan demikian kakaknya mesti diselamatkan. Kejadian yang memalukan semua kaum keluarganya itu tidak boleh dijadikan tontonan ramai.
 "Kalau boleh tolong, kita tolonglah dia, Maaseh," bisik Pak Surip kebingungan kerana tidak pernah melihat kejadian yang menakutkan itu.
"Cubalah buat macam mana pun, bang," rayu Liham selanjutnya semakin tidak ketahuan.
"Kejadian ini terjadi dengan kehendak Allah, maka kepada Allah kita mohonkan pertolongan dan perlindungan," ujar Maaseh perlahan lantas ke hujung serambi untuk tunaikan solat sunat dua rakaat.
Selepas selesai solat, dia meminta sediakan air sejuk satu jag daripada Liham. Dia bacakan Yassin, kemudian siramkan air di dalam jag itu ke tubuh Nenek Bimah yang bercantum dengan tubuh pemuda berkenaan. Selepas itu dilangkahnya tiga kali tubuh mereka, lantas ditamparnya kepala Nenek Bimah dan pemuda itu tiga kali.
Tiba-tiba sahaja kedua-dua tubuh itu renggang sebaik sahaja kepalanya ditampar. Barulah terbit rasa malu di dalam hati Nenek Bimah apabila berdepan dengan jiran-jiran. Manalah dia mahu letakkan muka kerana semua jiran-jiran melihat dia dalam keadaan memalukan? Disebabkan terlalu malu itulah Nenek Bimah terlalu berdendam terhadap Maaseh. Dia percaya Maaseh sengaja gunakan ilmu kebatinan biar dia menanggung malu berdepan dengan orang-orang kampung. Kalau Maaseh mahu tunjukkan kehebatan menguji dia dengan ilmu kebatinan, Nenek Bimah juga boleh lakukan.
Tidak lama selepas kejadian itu tiba-tiba sahaja orang kampung diberitahu mengenai kematian Maaseh di rumah Pak Surip. Mereka tahu Maaseh meninggal dunia disebabkan terminum racun, tetapi tidak berani menuduh siapa pun melakukan perbuatan itu.
Liham syak juga kakaknya yang meracun Maaseh. Marah juga dia dengan perbuatan kakaknya, tetapi Pak Surip ingatkan Liham jangan menuduh sesiapa pun. Manalah mereka dapat buktikan kalau berkeras menuduh Nenek Bimah laku-kan?
 "Biarlah Allah tentukan segalanya," bisik Pak Surip mententeramkan Liham.
 Disebabkan malu dengan perbuatan kakaknya itu, Liham meninggalkan kampung halaman berpindah ke tempat lain. Siapa pun tidak tahu ke mana Liham membawa hatinya yang kecewa. Dia tidak menghubungi sesiapa pun di kampung itu, selepas jauh membawa diri.
 Hanya dalam tempoh sebulan sahaja selepas Maaseh dikebumikan, tiba-tiba seluruh tubuh Nenek Bimah dihinggapi kudis. Kulitnya merekah-rekah seperti tanah sawah yang kering tatkala musim kemarau. Siapa pun tidak pedulikan Nenek Bimah lagi selepas tubuhnya dihinggapi kudis hingga daging membusuk.
Jangan katakan anak-anak muda mahu terpikat, malah anak-anaknya tidak pernah menjengah. Memang Nenek Birnah mempunyai anak dengan suaminya yang terdahulu, tetapi masing-masing tidak pernah rapat dengan Nenek Bimah. Kalau mereka datang menjengah pun, Nenek Bimah akan menghalaunya.
"Sampai mati pun, penyakit tu tak sembuh-sembuh, ustaz," beritahu Uteh Marisah mengenai kejadian yang menimpa nenek moyangnya sejak beberapa keturunan dahulu. Memang saya ingin juga tahu, bagi mencari punca sebenar siapakah jelmaan perempuan tua hodoh berkudis seluruh badan yang saya lihat itu.
Tentulah perempuan tua yang menjelma itu mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Sutinah. Kalau tidak masakan bayangannya menjelma apabila Sutinah diganggu penyakit ganjil itu. Masakan Sutinah diganggu ilmu hitam sekiranya dia sekadar menangis sayu. Sutinah akan melompat bengis kalau diganggu ilmu hitam apabila didoakan demikian. Sebab itu saya dapat mengagak Sutinah sekadar diganggu saka keturunan yang diamalkan oleh nenek moyangnya dahulu.
"Boleh jadi Nenek Bimah tu yang merasuk Sutinah," tuduh Abang Jibut tersenyum disebabkan isterinya sembuh semula.
Tetapi saya tidak dapat menerangkan apa-apa selanjutnya. Asalkan Sutinah sembuh sudah memadai. Selepas itu, Alhamdulillah, Sutinah tidak diganggu sebu perut setiap senja menjelang. Dia boleh melayani Abang Jibut sebagai suami yang perlu dimesrai sepanjang masa.
Segala yang menimpa isterinya itu habis diceritakan oleh Abang Jibut kepada Bilal Lah yang menjadi bapa angkat-nya. Sebab itulah ketika terserempak Abang Jibut selepas mengurut kaki anak saya di rumahnya, Bilal Lah menjadi rapat dengan saya.
"Masa muda-muda dulu, saya pun jahat, ustaz," ujar Bilal Lah apabila saya berkunjung ke rumahnya selepas itu. "Tapi, selepas kahwin dengan mak cik ini, saya ubah perangai," dia ketawa terkekeh-kekeh apabila kenangkan peristiwa masa lampaunya.
"Pak Bilal ni suka berlawak, ustaz," Abang Jibut mencelah sambil mengerling orang tua itu.
Sekalipun Abang Jibut tidak menerangkan kenapa dia sering menemui Bilal Lah, tetapi saya tahu memang dia mempelajari beberapa amalan daripada orang tua berkenaan. Tentulah dia tertarik hati mahu mempelajarinya setelah mengalami kejadian yang menimpa Sutinah sejak bertahun-tahun.
"Abang Jibut nak belajar apa daripada Pak Bilal?" sengaja saya mengusiknya kerana dia memegang buku catatan di tangan.
 Tersengih-sengih Abang Jibut dengan usikan saya. Dia tidak perlu berahsia lagi di hadapan saya, kerana sudah beberapa kali dia memberitahu tujuan kedatangannya ke situ.
"Zaman sekarang buat apa nak bertapa-tapa lagi?" ujar saya bergurau tetapi memang mengingatkan dia supaya tidak terpengaruh sangat mahu mempelajari amalan demikian.
Tetapi Abang Jibut tidak menyahut. Malu juga dia mahu menerangkan keinginannya tiba-tiba sahaja mahu belajar amalan tersebut. Tentulah memakan masa dia mahu mencapai tahap yang dilalui oleh Bilal Lah yang sudah amalkan sejak usianya masih muda lagi.
"Bukan senang nak bertapa ni," jelas Bilal Lah seolah-olah tidak menggalakkan Abang Jibut terpengaruh sangat dengan amalan bertapa itu. Lainlah di masa lalu peluang mahu belajar memang terbatas, hingga mereka terpaksa bertapa jauh di tengah hutan.
 Ketika mula bertapa dulu, memang Bilal Lah masuk ke gua-gua jauh di tengah hutan. Saat ini hutan rimba masih belum diteroka sesiapa. Tentulah tidak ada siapa pun akan mengganggu apabila dia mengasingkan diri jauh ke tengah hutan.
Tentulah masa sekarang amalan bertapa itu sudah tidak sesuai lagi. Kadangkala tengah hutan pun sudah menjadi tempat laluan orang berburu di tengah malam. Sudah tentu pertapaan mereka terganggu sekiranya terserempak orang melintas.
 Masakan Abang Jibut sanggup menempuh dugaan sepertinya tatkala membawa diri ke tengah hutan dengan hanya berbekalkan tujuh butir bertih setiap hari. Tetapi di masa lalu, memang Bilal Lah boleh lalui. Dia tidak pernah memikirkan perkara dunia, tatkala memencilkan diri di tengah gua dalam hutan rimba.
Sebab itu Bilal Lah tidak goyang hatinya tatkala tubuhnya dikelilingi beribu-ribu ekor ular bisa. Malah dia sengaja biarkan dirinya ditelan ular sawa besar hingga terasa sejuk tatkala melalui kerengkungnya. Ketabahan hatinya menyebabkan ular sawa tersebut luahkan dia dengan meninggalkan buntat hitam berkilat di atas ribanya.
Masakan Abang Jibut boleh bersabar sekiranya ditelan ular hingga sampai ke kerengkung. Tentu Abang Jibut akan menghambur lari sebaik sahaja tubuhnya dilulur ular besar mengangakan mulut.
Bukan takat dilulur ular besar sahaja yang dilalui Bilal Lah sewaktu bertapa di tengah gua, malah dia dicampakkan oleh lembaga besar ke dalam gaung berjurang. Sewaktu tubuhnya terhumban ke bawah gaung, dirinya tidaklah terhempas ke batu jeram. Bilal Lah hanya jatuh ke atas rimbunan rumpun buluh seolah-olah tilam empuk yang tidak mencederakan diri.
Di situ dia dilayani oleh dayang-dayang cantik. Tetapi Bilal Lah tetap tidak melayani dayang-dayang cantik itu hingga dia didatangi lelaki berjubah putih. Sebaik sahaja diberikan oleh lelaki itu keris berbungkus kain kuning, Bilal Lah merasa dirinya diterbangkan angin balik semula ke tempat dia bertapa.
"Hah, banyak rintangan perlu ditempuh kalau mahu bertapa," tutur Bilal Lah selanjutnya. Bagaimanapun, memang banyak pengalaman Bilal Lah yang berguna kepada saya untuk dijadikan panduan.