Friday, November 7, 2014

099. DINIKAHKAN DENGAN PUTERI BUNIAN



 BULAN mengambang penuh. Malam bertambah sepi bila dinihari semakin hampir. Ketika ini Mat Akir terdengar suara Puteri Bungsu memanggilnya. Dia terus turun dari rumah mendapatkan Puteri bungsu. Kedatangannya disambut oleh Puteri Bungsu dengan penuh kasih sayang.
Seperti pertemuan teruna dara ketika itu,mereka hanya saling berbual mesra mencurahkan perasaan masing-masing saja. Mat Akir tidak menyentuh sedikit pun tubuh Puteri Bungsu,
Kasih yang suci bukanlah dengan berdakap-dakapan sepanjang malam, Baginya dengan pertemuan demikian sudah memadai untuk melepaskan rindu dendamnya selama ini. Untuk menunggu bulan mengambang penuh di tengah malam pun terlalu lama terasa pada Mat Akir.
Kalau boleh dia tidak mahu berpisah sesaat pun dengan Puteri Bungsu. Tetapi dia tidak boleh tergesa-gesa memutuskan untuk berkahwin dengan Puteri bungsu, kerana syarat sudah diberi oleh Penghulu Bunian, Dalam masa dia disuruh balik terlebih dahulu (bolehlah di anggap dalam masa bertunang), dia dikehendaki merahsiakan semuanya dari pengetahuan orang-orang kampung. Sekiranya dia berjaya melalui ujian itu,maka Penghulu Bunian bersedia menerima dia menjadi menantu.
Sebenarnya ujian itu terlalu berat. Gerak gerinya tentulah menjadi tanda tanya kepada penduduk-penduduk kampung, tetapi dia mesti menyakinkan oang-orang kampung bahawa dia masih normal. Walaupun ada pandangan mata kasar memang dia kelihatan seperti orang sakit hilang akal.
“Masa perkahwinan kita semakin hampir,” kata Puteri bungsu sambil dudukdi atas satu busut. “Putera Ali janganlah bimbang lagi, kita tidak akan berpisah,” ujarnya mengerling pada Mat Akir.
“Tetapi kita tidak boleh dengan keadaan demikian,” sahut Mat Akir. “Kalau keadaan ini berpanjangan, saya bimbang orang-orang kampung mengetahui akan perhubungan kita,” jelasnya serba salah.
“Tak apalah tentang perkara tu, Penghulu akan menolong Putera Ali. Tetapi, jaga-jagalah sikit jangan biarkan Pawang Bulin mendekati Putera Ali,” Puteri Bungsu memberi amaran.
“Kenapa pula dengan Pawang Bulin?” Mat Akir terkejut bila Puteri Bungsu menyebut nama Pawang Bulin.
“Dia tu musuh Penghulu. Saya takut dia akan mengganggu perhubungan kita,” jelasnya berbisik ketelinga Mat Akir.
“Saya akan tentang Pawang Bulin kalau dia berani mengganggu perhubungan kita….” Mat Akir menggertap bibir macam menyimpan dendam.
“Pawang Bulin tu bukan tandingan Putera Ali,” Puteri bungsu tersenyum dengan kata-kata Mat Akir. “Nantilah bila Putera Ali sudah menjadi keluarga kami, mungkin Penghulu akan mengajar Putera Ali banyak perkara lagi,” dia memberi keyakinan.
Pertemuan itu berakhir bila bulan mulai pudar di hujung malam. Puteri Bungsu meminta diri lalu hilang di dalam kabus tebal. Tiba-tiba Mat Akir menyedari dia berada di belukar senduduk di belakang rumahnya.
Dari keadaan yang di alami oleh Mat Akir itu, ternyatalah dirinya dapat dikuasai oleh bunian. Walaupun dia mempelajari banyak ilmu kebatinan, tetapi dirinya dapat dikuasai oleh bunian secara tidak disedarinya. Perkara seperti ini sebenarnya tidaklah diherankan, kerana mereka yang menyandarkan ilmu kebatinan dengan menyeru kuasa-kuasa ghaib (bukan meminta perlindugan dari Allah), mudahlah dikuasai oleh kuasa-kuasa ghaib itu pula.
Inilah kononnya yang terjadi pada Mat Akir. Lama juga dia mengalami keadaan seperti orang hilang akal, semenjak hilang tiga hari ketika masuk ke hutan mencari rotan, manau dan damar. Bagaimanapun dia tidak menampakkan perubahan pada dirinya kepada emaknya, kerana dia terus kehutan mencari rotan, manau atau damar seperti kebiasaannya.
Kadangkala dia pergi juga merawai ke sungai. Tempat yang ditujunya ialah di selekoh sungai tempat pokok kelepung tumbuh di tebing. Kadangkala puas dia duduk berjuntai kaki di perdu pokok kelepung itu, Puteri Bungsu tidak pun menjelma.
Setiap kali dia pergi merawai, banyak ikan yang diperolehinya. Inilah yang mengherankan Mak Teh. Bila ditanya oleh Mak Teh, dia tidak mahu bercakap berterus terang.
Bagaimanapun Mak Teh memang selalu mendengar bunyi orang berbual-bual di belakang rumahnya. Sehinggalah To’ Lah dan pemuda-pemuda kampung mengendap, barulah Mak Teh menyedari bahawa dakwaan Pawang Bulin mengenai hubungan Mat Akir dengan bunian itu benar.
Sepanjang bulan tidak mengambang, Mat Akir akan duduk termenung seperti orang bersedih. Tetapi bila bulan mengambang malam purnama, dia akan kelihatan riang gembira. Sikap Mat Akir ini pun dapat dicamkan oleh Mak Teh.
Mat Akir terlalu gelisah apabila bulan tidak mengambang. Dia terpaksa menunggu kemunculan Puteri Bungsu hanya pada malam bulan mengambang penuh saja. Inilah janjinya semasa meninggalkan perkampungan bunian dulu sebagai satu ujian untuk menentukan kejujuran hatinya.
Masa yang pendek itu dirasakan oleh Mat Akir seperti betahun-tahun lamanya. Dalam seminggu bulan mengambang penuh dia merasakan hanya beberapa saat saja dapat bertemu dengan Puteri bungsu. Setiap detik wajah Puteri Bungsu sentiasa bermain di matanya.
Pada malam bulan pernama yang diharap-harapkannya dapat bertemu Puteri bungsu, tiba-tiba dia diganggu oleh Latip Debok. Entah mengapa pada malam berkenaan Latip Debok tidur di rumahnya. Dia tidak sampai hati mahu menghalau Latip Debok supaya jangan tidur di rumahnya.
“Hai, bagaimana kalau dia datang pada malam ini. Tentu dia akan kata aku mungkir janji kalau tidak datang menemuinya…” bisiknya merasa kecewa kerana Latip Debok tidur dirumahnya pada malam tersebut.
“Apa kata kau Akir. Siapa nak datang malam ni?” Latip Debok terkejut dengan kata-kata Mat Akir. Rupa-rupanya keluhan Mat Akir itu dapat didengar dengan jelas oleh Latip Debok.
“Aku tak bercakap apa-apa pun,” sahut Mat Akir.
“Aku dengar kau cakap ada orang nak datang, siapa?”desak Latip Debok tersengih-sengih mengerling kawanya sejak kecil itu.
“Merepek kau, siapa pula yang nak datang malam-malam buta begini,” ujar Mat Akir merasa tersinggung dengan kata-kata Latip Debok.
“Aku tahu Akir, kau jangan nak sembunyi-sembunyi dari aku,” Latip Debok mengejak, “Jangan kau ikut perasaan kau, nanti binasa diri sendiri. Kau salah bawa, ilmu kau salah bawa…..” dia mengingatkan kawannya itu.
“Kau apa tahu, Tip,” dia menyindir Latip Debok pula. “Kau tak perlu ambil tahu soal aku, bukan aku mengusik orang lain. Aku juga tidak menyusahkan sesiapa!” katanya menggertap bibir.
“Jangan terpengaruh dengan ilmu bunian, nanti kau jadi bunian Akir,” Latip Debok berkata kuat sedikit. Dia memang sudah menduga sejak lama lagi, mengenai diri Mat Akir yang menuntut ilmu kebatinan yang berkaitan dengan bunian. Sayangnya Mat Akir tidak mencari ‘dinding’ pertahankan diri.
Setiap ilmu kebatinan ada mempunyai ‘dinding’ yang bertujuan mempertahankan diri supaya tidak dikuasai oleh ilmu kebatinan itu. Sesiapa yang tidak mencari pendinding, dia akhirnya akan dimusnahkan oleh ilmu kebatinan itu sendiri.
Dia tidak berani memberitahu pada Mak Teh mengenai kegiatan Mat Akir menuntut ilmu kebatinan dari Pawang Bulin itu. Amalan-amalan yang diberi oleh Pawang Bulin belum habis, Mat Akir sudah mencari jalan sendiri. Tujuan Mat Akir pada mulanya hanya untuk murahkan rezeki dengan meminta bunian menolong mencarikan rotan, manau dan damar sebanyak-banyaknya untuk dia.
“Kau akan dikuasai bunian, Akir…..” kata Latip Debok lagi.
“Merepeklah kau Tip. Aku tak tahu apa yang kau cakapkan ini,” Mat Akir menyindir sambil berpusingke kiri ke kanan mengharapkan Latip Debok supaya cepat tertidur.
Malam sudah semakin larut. Burung pungguksudah mendayu-dayu berbunyi di tengah rimba. Tetapi Latip Debok tidak juga tidur. Sekejap-sekejap dia bangun menghisap rokok dauntembakau jawanya. Sekejap-sekejap dia ke dapur mencari air.
Bagi Latip Debok rumah Mat Akir itu sudah macam rumah dia juga. Sejak kecil lagi dia berkawan dengan Mat Akir. Mereka seringbertandang bergilir-gilir ke rumah masing-masing.
“Mengapa kau tak tidur….?” Tanya Mat Akir memerhati Latip Debok tersandar di tengah serambi.
“Kau mengapa pula tak tidur….?” Latip Debok mengerling sambil tersenyum. Dia memang ditugaskan oleh To’ Lah supaya mengawasi Mat Akir sama ada turun ke tanah atau pun tidak.
“Aku masih belum mengantuk,” kata Mat Akir mendongkol.
“Aku juga macam kau, belum mengantuk,” Latip Debok mendehem-dehem macam mengejek. “Mata tak mengantuk, macam mana nak tidur,” katanya tersengih-sengih sambil terkuap-kuap menahan mengantuk.
“Agaknya kau tak serasi tidur di rumah aku, sebab tu tak mahu lelap mata,” ujar Mat Akir kesal dengan sikap Latip Debok mengganggu dia. Hatinya bimbang kalau Puteri Bungsu sudah menunggu kedatangannya apabila bulan mula mengambang. Tentu Puteri bungsu menuduh dia menungkiri janji sekiranya dia tidak muncul.
Kalau digagahinya juga pergi menemui Puteri Bungu, tentulah rahsianya selama ini akan terbongkar. Rahsia inilah mahu di sembunyikannya dari pengetahuan manusia biasa.
“Ah, takkan tak serasi. Yang kau tak mahu tidur tu, adakah tidak serasi juga?” Latip Debok masih mahu mengelak. Tetapi dia merasa matanya sudah semakin mengantuk. Dia seolah-olah sudah tidak dapat lagi menahan rasa mengantuk itu. Di dalam, Mak Teh juga sudah lama terlina.
Dalam keadaan bersungguh-sungguh menahan rasa mengantuk itulah, akhirnya Latip Debok tertidur. Dia terkapar di tengah serambi tidak bergerak sedikit pun. Ketika ini bulan sudah mengambang penuh di tengah malam yang sepi.
Apabila Latip Debok terlina, Mat Akir mendengar namanya diseru berulang kali. Cepat-cepat dia bangun dari tempat tidurnya. Perlahan-lahan dia membuka pintu lalu turun ke tanah menuju ke belakang rumah. Sampai saja di belukar senduduk tiba-tiba kabus tebal menyelubungi dia. Puteri Bungsu sudah pun menunggu dia di situ.
“Sudah lamakah Puteri Bungsu menunggu saya?” Tanya Mat Akir bimbang Puteri Bungsu kecil hati kerana dia terlambat datang.
“Janganlah Putera Ali bimbang, sebenarnya saya sudah tahu apa yang membimbangkan hati Putera Ali,” sahut Puteri Bungsu tersenyum. “Saya tahu Putera Ali sudah mula di ganggu orang. Kawan Putera Ali itu sudah tidur, dan dia tidak akan terjaga selagi Putera Ali masih ada di sini,” ujarnya perlahan.
Barulah Mat Akir sedar bahawa Puteri bungsu memang sudah mengawasi Latip Debok.
“Mari tengok kearah itu,” Puteri Bungsu memegang tangannya lalu menunjukkan kearah sekumpulan orang yang terhendap-hendap mencari sesuatu. Mat Akir nampak To’ Lah dengan beberapa orang anak muda menjengah kearah tempat dia bertemu dengan Putri Bungsu.
“Itu Ketua Kampung To’ Lah. Apa dicarinya?” bisik Mat Akir serba salah.
“Mereka mengendap kita,” beritahu Puteri Bungsu.
“Mengapa dia mesti ambil tahu hal kita,” Mat Akir merungut dengan perbuatan orang-oang kampung. “Kita tidak pernah mengganggu sesiapa pun, mengapa mereka mesti mengganggu kita,” katanya menyimpan perasaan dendam.
“Putera Ali mesti bersabar,” Puteri Bungsu mengingatkan. “To’ Lah itu orang tua, tentulah dia tidak mahu kampungnya dicemar oleh orang-orang muda yang tidak bertanggungjawab. Putera Ali tidak boleh marah kepadanya. Sebab itu kita mestilah menjaga diri kita supaya tidak terlanjur,” bisik Puteri Bungsu lagi.
Mat Akir tidak menyahut. Dia merasa jari Puteri Bungsu begitu lembut memaut lengannya. Hatinya berdebar bila setiap kali jari-jari Puteri Bungsu mengusap-ngusap pipinya. Ketika ini dia tidak peduli lagi fasal To’ Lah dan orang-orang kampung sedang mengendapnya.
Biarlah To’ Lah terserempak dia di situ. Dia percaya To’ Lah tidak akan menemui dia di situ selagi Puteri Bungsu ada di sampingnya. Bagaimanapun hatinya tersinggung juga kerana orang-orang kampung cuba mengganggu perhubungan dia dengan Puteri Bungsu.
Tentulah perhubungannya dapat dipisahkan sekirannya To’Lah menemui dia di situ. Kalau To’ Lah mengeluarkan kata-kata kesat kepada Puteri Bungsu, sudah tentu puteri bunian itu tersinggung. Gadis-gadis mudah tersinggung kalau hatinya dilukai. Mereka akan pergi meninggalkan tempat itu bila hatinya tersinggung.
Inilah yang membimbangkan Mat Akir.
Dia tidak mahu hati Puteri Bungsu tersinggung. Kalau To’ Lah sudah mengeluarkan kata-kata kesat, pasti Puteri Bungsu lari meninggalkan dia. Dia akan kehilangan Puteri Bungsu buat selama-lamanya. Mat Akir tidak mahu Puteri Bungsu meninggalkan dia, kalau semata-mata To’ Lah yang menyinggung perasaannya.
“Bagaimana kalau To’ Lah tahu perhubungan kita?” Tanya Mat Akir gelisah.
“Oh, dia tidak akan tahu selagi kita tidak terlanjur,” Puteri Bungsu meletakkan kepalanya ke bahu Mat Akir.
Mat Akir dapat mencium bau harum yang menyegarkan dari tubuh Puteri Bungsu. Semakin erat Puteri Bungsu memeluknya, semakin berdebar hati Mat Akir. Tetapi dia tetap menahan godaan yang menyesakkan nafasnya itu. Dia tahu Puteri Bungsu sengaja mahu menguji perasaan dia.
“Kasihkah Puteri bungsu kepada saya?” bisik Mat Akir ke telinga Puteri Bungsu.
“Mengapa Putera Ali bertanya kepada saya, sepatutnya Putera Ali bertanya diri sendiri,” sahut Puteri Bungsu sambil mencium di bawah telinga Mat Akir.
“Saya mahu tahu hati Puteri Bungsu sendiri,” kata Mat Akir.
“Segala-galanya terletak pada hati Putera Ali. Saya ibarat kain yang putih, terpulanglah kepada Putera Ali mahu mencorakkan,” dia semakin erat merapatkan tubuhnya kepada Mat Akir.
Mat Akir terdiam. Hatinya tidak berubah mengenai cintanya terhadap Puteri Bungsu. Walaupun diketahuinya bahawa Puteri Bungsu bukan manusia biasa, tetapi dia sanggup menerimanya demi cintanya yang mendalam. Cintanya yang suci inilah yang meyakinkan Puteri Bungsu untuk membawa Mat Akir masuk ke dalam masyarakat bunian.
Kalau cinta Mat Akir hanya sekadar memuja kecantikan dirinya, sudah lama dia melepaskan Mat Akir dari perasaannya. Mat Akir juga akan terpedaya oleh keindahan-keindahan yang sengaja diciptakan untuk anak muda itu terus berkhayal. Tetapi dia tahu Mat Akir memang benar-benar mencintai dirinya. Dia tidak akan memperdayakan anak muda itu.
Sehinggalah bulan mulai pudar di balik awan, Puteri Bungsu meminta diri untuk balik ke tempatnya. Apabila Mat Akir naik semula ke rumah, dia merasakan dakapan Puteri Bungsu semakin erat. Dan dia berjaya menghadapi godaan yang mendebarkan itu.
Esoknya, Mak Teh pula mendesak dia menceritakan apa sebenarnya telah berlaku kepada dirinya selama ini. Kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikannyalah, Mak Teh terpaksa bersetuju denan nasihat To’ Lah supaya meminta pertolongan dari Pawang Bulin.
“Kalau kau tak mahu cakap, aku panggil Pawang Bulin ke sini,” Mak Teh mengingatkan. “Aku tak suka bunian mengganggu rumahtangga aku, jangan sekali-sekali bunian nak larikan anak aku,” katanya macam bercakap kepada bunian, walaupun yang duduk di hadapannya itu ialah anaknya sendiri Mat Akir.
“Apa yang mak cakapkan ni,” Mat Akir cuba mengelak dari membincangakan perkara bunian. “Saya ni tak sakit apa-apa, buat apa panggil Pawang Bulin,” katanya lagi.
“Sakit ke tak sakit ke, aku tetap panggil Pawang Bulin. Aku tak mahu bunian ganggu anak aku,” teas Mak Teh dengan perasaan benci. Dia percaya dengan kata-katanya itu boleh menyinggung hati bunian. Bila hati bunian tersinggung mereka akan meninggalkan Mat Akir.
“Saya tak mahu mak panggil Pawang Bulin. Saya bukannya sakit,” bantah Mat Akir. Pesanan Penghulu Bunian supaya jangan menghampiri Pawang Bulin tetap di ingatnya betul-betul. Hanya kepada dirinya sajalah terletak keupayaan Penghulu Bunian untuk melindungkan dia dari keupayaan Pawang Bulin.
Kalau Mat Akir boleh ditewaskan oleh Pawang Bulin, bererti Penghulu Bunian tidak akan berjaya membawa dia masuk ke dalam masyarakat bunian. Sekiranya Mat Akir dapat membawa Puteri Bungsu keluar dari masyarakat bunian, tentu Mat Akir tidak sanggup memenuhi syarat-syaratnya. Akhirnya Mat Akir juga menerima padahnya menjadi gila nanar seumur hidup.
Sebab itu terletak kepada tangan Mat Akir sendirilah supaya dia sentiasa menjauhkan diri dari Pawang Bulin.
“Kau dah jauh dibawa oleh bunian, Akir. Cuba ingatkan balik, nak. Cubalah lepaskan diri kau dari bunian, kau pun bukannya sebarang orang. Tak kan kau tak dapat melepaskan diri,” Mak Teh cuba memujuk Mat Akir supaya menerima cadangannya berubat dengan Pawang Bulin.
Mat Akir jadi serba salah. Dia tidak boleh menyinggung hati emaknya, sebelum berjaya melepaskan diri darikawalan Pawang Bulin. Dia hanya mendiamkan diri saja bila emaknya menimbulkan perkara mahu berubat dengan Pawang Bulin.
Cepat-cepat pula dia membawa rawai ke sungai. Dia menuju ke pokok kelepung di tempat dia selalu memasang rawai.
Setiap hari ke situlah dia datang memasang rawai, apabila emaknya mula meminta pertolongan dari Pawang Bulin. Pada malam pertama Pawang Bulin membakar kemenyan untuk mengubatnya, Mat Akir merasa dadanya macam terbakar. Dia merasakan seolah-olah api kemenyan itu ditaburkan ke dalam hatinya.
Semakin kuat Pawang Bulin membaca jampi serapah, semakin kuat pula Mat Akir membaca jampi serapah, menghalang Pawang Bulin menyeru itu dan ini. Pawang Bulin sendiri merasakan perlawanan dalam diri antara dia dengan Mat Akir. Di samping itu Pawang Bulin mendapati Penghulu Bunian ada membantu Mat Akir dalam perlawanan dalam diri itu.
Walau pun tidak berjaya pada malam pertamanya Pawang Bulin berjanji akan datang lagi. Dia akan cuba menyelamatkan Mat Akir dari dikuasai oleh bunian.
Pada malam Pawang Bulin datang mengubat itulah Mat Akir bermimpi kononnya Puteri Bungsu jatuh sakit. Puteri bungsu memanggil-manggil dia supaya meninggalkan rumahnya. Selagi dia berada di rumah itu dengan diubat oleh Pawang Bulin, selagi itulah Puteri Bungsu tidak boleh sembuh dari sakitnya.
Esoknya, pagi-pagi lagi Mat Akir sudah membawa rawai ke sungai. Setelah memasang rawainya, dia duduk termenung di atas perdu pokok kelepung, tempat Puteri bungsu selalu duduk menjuntaikan kaki ke air. Disitu, dia mula membaca jampi serapah yang diamalkannya selama ini.
Sekonyong-konyong muncullah Penghulu Bunian di situ. Penghulu Bunian tersenyum melihat dia duduk di situ.
“Memang hati Putera Ali bersih. Saya bersedia menerima kedatangan Putera Ali, dan Putera Ali lah yang berhak ke atas masyarakat bunian sekarang ini,” ujar Penghulu Bunian memegang tangan Mat Akir.
Mat Akir bangun mengikut ke mana dituju oleh Penghulu Bunian. Dia di bawa masuk ke perkampungan bunian. Di situlah dia pernah dibawa oleh Puteri Bungsu sebelumnya. Sampai saja di dalam istana Penghulu Bunian, dia dibawa oleh seorang perempuan tua ke bilik tidur Puteri Bungsu.
Semasa Mat Akir masuk ke situ didapatinya memang benar Puteri Bungsu sedang terbaring sakit.
“Maafkan saya Puteri Bungsu, kerana saya menyusahkan Puteri Bungsu,” katanya lalu memegang jari Puteri bungsu. Dia dapat merasakan jari itu terlalu lembut bagaikan kapas.
“Tidak apa-apa, Putera Ali sudah menyelamatkan nyawa saya. Kalau tidak kerana kejujuran hati Putera Ali, sudah tentu saya mati di bunuh oleh Pawang Bulin,” dia menjelaskan sambil menangis teresak-esak.
Dengan keputusan nekad Mat Akir itu kekallah dia tinggal bersama Penghulu Bunian. Dia kemudiannya dinikahkan oleh Penghulu Bunian dengan Puteri Bungsu. Mulai saat itu lenyaplah cerita Mat Akir dari kampungnya. Hanya tiga empat tahun selepas kehilangannya itu dia pernah muncul, dan memberitahu keluarganya tentang perkahwinannya dengan bunian itu.
Selepas itu sampailah dengan apa yang diceritakan oleh nenek saya kepada saya. Mat Akir tidak muncul-muncul lagi. Kehilangannya dianggap oleh saudara maranya sebagai sudah tidak ada lagi. Walaupun Mat Akir tidak meninggalkan zuriat, tetapi zuriat dari kakaknya itulah dalam beberapa keturunan sampai kepada nenek saya.
Selesai

2 comments: