Sunday, June 26, 2016

182. SALEH DOBOK JADI BERUANG



TERDENGKOT-DENGKOT berjalan akibat jatuh tergeliat kaki semasa melalui lorong kecil dengan akar pokok-pokok kayu menungkal. Mudah sahaja kaki terlantus sekiranya tidak berhati-hati melalui lorong kecil berkenaan, apa lagi tatkala remang senja berbalam-balam. Tetapi Saleh Dobok mahu cepat ke rumah emak mentuanya Utih Siah setelah isterinya merengat-rengat perut mahu bersalin.

Sewaktu isterinya Milah Lekeh selamat lahirkan anak, Saleh Dobok masih berurut kaki disebabkan membengkak buku lali. Kalau tidak diurut tentu uratnya bertambah bengkak dimasuki angin. Sebab itu Ulung Sijah urutkan juga kaki Saleh Dobok sewaktu Milah Lekeh merengek-rengek mahu lahirkan anak.

Takat urutkan kaki tergeliat memang Ulung Sijah boleh juga diharapkan. Lainlah mengurut perempuan Iepas bersalin macam Milah Lekeh dia tidak sanggup. Urut perempuan lepas bersalin tidak sama macam urut kaki tergeliat sendi yang mesti mahir menjadi bidan. Cuma bidan satu-satunya yang tahu mengenai urut perempuan lepas beranak.

Tetapi Ulung Sijah tidak pernah mengaku dia mahir mengurut sama ada tergeliat kaki atau bukan. Manalah dia boleh tandingi Bidan Insun mengurut badan perempuan lepas bersalin. Sebab itu Bidan Insun yang uruskan urut seluruh badan Milah Lekeh selepas selamat lahirkan anak.

"Dah lama aku ni tak mengurut," beritahu Ulung Sijah apabila didesak oleh Saleh Dobok urutkan kakinya yang tergeliat.

"Ulung urutkan dulu, nanti saya minta pula Mak Insun," pujuk Saleh Dobok tidak tertahan dengan kesakitan yang menusuk-nusuk buku lali kakinya.

"Takat picit-picit dengan aku ni bolehlah," tersengih-sengih Ulung Sijah merendah diri.

"Buatlah macam mana pun, Ulung," ujar Saleh Dobok terkinjal-kinjal menahan sakit sebaik sahaja Ulung Sijah menekan buku lali kakinya yang membengkak.

Tahu sangat Saleh Dobok sengaja Ulung Sijah merendahkan diri apabila ia minta urutkan kakinya yang tergeliat. Sekalipun dia tidak pernah urutkan perempuan lepas bersalin, tetapi Ulung Sijah tidak pernah membantah kalau minta urutkan kaki tergeliat atau tangan terkehel. Kadangkala dia tidak urutkan pun, sekadar letakkan jari sahaja di tempat terkehel.

Sebaik sahaja Ulung Sijah letakkan jarinya di buku lali kaki, Saleh Dobok terasa tapak kakinya bergetar hingga sampai ke lutut. Memang Ulung Sijah tidak urutkan langsung pada bahagian membengkak itu, tetapi sekadar mengusap-usap sahaja.

Sekiranya Saleh Dobok tidak bertahan dengan meletakkan jarinya, Ulung Sijah boleh gunakan daun kelapa sahaja. Apabila dilumurkan daun kelapa dengan minyak, Ulung Sijah akan mengurut-urut daun kelapa itu sahaja dengan membacakan:

Bismillahhi aqottu jabna al-qoriba walisanal hayati wafamatta masyihi wal-asuyudi wayadayi sariqi walhariqi wazzolimi biqauli, urat engkau seribu empat ratus empat puluh empat, aku jadikan kepada empat, uri mari wari wali 'azani, dihimpunkan kepada satu, hu...

Apabila daun kelapa bergetar diurut oleh Ulung Sijah, sekaligus kaki yang tergeliat terasa direntap-rentap. Lama dia mengurut daun kelapa itu baru Ulung Sijah berhenti setelah dapat mengagak urat yang membengkak semakin seruh. Tetapi Saleh Dobok tidak perlu gunakan daun kelapa, kerana lelaki itu boleh bertahan kalau diurut buku lali kakinya.

"Sakit tak, Saleh?" sengaja Ulung Sijah bergurau semasa jarinya ditekan sedikit.

"Sakit tu, memanglah sakit," sahut Saleh Dobok perlahan terseringai mulut akibat menahan sakit. "Tapi, kalau tak diurut sampai bila pula nak tanggung sakit," jelasnya terherot-herot bibir apabila kesakitan ditekan oleh Ulung Sijah dengan jari hingga santak ke pangkal paha.

Dalam masa inilah Milah Lekeh melahirkan anaknya menyebabkan Bidan Insun terkejut kerana kaki bayi berkenaan membengkak pada buku lali. Cepat-cepat dia memberitahu Utih Siah mengenai bayi yang baru dilahirkan itu buku lali kakinya membengkak seolah-olah tergeliat.

Bingkas juga Saleh Dobok bangun dengan terdengkot-dengkot apabila diberitahu mengenai buku lali anaknya tergeliat. Dia mula merungut-rungut tidak menentu setelah meyedari bayi yang baru lahir terkenan kakinya yang tergeliat akibat terjelantus akar kayu memungkal di lorong ke rumah emaknya.

"Dah lahir pun terkena kenan!" gerutunya semacam tidak percaya dengan keadaan bayinya yang baru lahir itu.

"Takkan kakinya tergeliat masa lahir," keluh Bidan Insun cemas dengan keadaan bayi tersebut. Bimbang juga dia kalau Utih Siah menuduhnya lalai sewaktu bidankan bayi berkenaan lahir.

"Kalau kaki keluar dulu boleh juga kata tergeliat," sahut Utih Siah hairan kerana buku lali kaki bayi itu tiba-tiba sahaja membengkak. Macam mana berlaku demikian disebabkan Bidan Insun menyambut kepala bayi itu terlebih dahulu. Tentu tidak ada kena mengena dengan kaki yang boleh tergeliat sampai membengkak buku lali.

"Tentu disebabkan buku lali kaki saya ni!" gerutu Saleh Dobok salahkan kakinya tergeliat menyebabkan bayi berkenaan ditimpa geruh.

Tetapi segera ditenteramkan oleh Imam Suh yang datang menjengah sebaik sahaja diberitahu mengenai Milah Lekeh melahirkan anak. Memang dia sudah mendengar kebimbangan keluarga tu tatkala jejak kaki di tangga rumah lagi. Tidak sepatutnya Saleh Dobok marah dengan ujian Allah tatkala menerima kelahiran bayi tersebut.

Ketika itu siapa pun tidak akan terburu-buru ke hospital kalau mahu bersalin. Mereka rela jemput bidan kampung sahaja daripada terpaksa ke hospital jauh berbatu-batu. Kampung pendalaman di situ tidak harapkan apa-apa kalau mahu ke hospital hingga terpaksa bermalam di mana-mana. Biarlah mereka harapkan bidan di kampung sahaja uruskan isteri bersalin di rumah.

"Kaki budak ni kenan," jelas Bidan Insun menggeleng-geleng Iemah.

"Hah, kenan apa pula?" Imam Suh mendesak supaya,bayi itu dibersihkan dan meminta Saleh Dobok azan ke telinganya.

"Saya minta tolong Imam Suh aje azankan," sahut Saleh Dobok yang masih terdengkot-dengkot akibat kaki tergeliat.

Setelah bayi tersebut diazankan oleh Imam Suh, lantas dia meminta Ulung Sijah usapkan buku lali kaki bayi tersebut. Sewaktu Ulung Sijah mengurut buku lali kaki bayi berkenaan, Saleh Dobok yang terjerit-jerit kesakitan. Sampai berair mata Saleh Dobok dengan memegang kepala lututnya kukuh-kukuh sewaktu kaki terkejang seolah-olah diurut oleh Ulung Sijah.

Berkali-kali dia meminta Ulung Sijah hentikan mengurut disebabkan tidak tertahan dengan sakit yang berdenyut-denyut. Tetapi Ulung Sijah ingatkan dia sama ada mahu biarkan bayinya menanggung kesakitan berterusan atau dia sendiri mesti bersabar.

Kalau tidak kenangkan bayinya yang baru lahir memang Saleh Dobok melompat menendang siapa sahaja. Marah sangat dia disebabkan terpaksa menghadapi ujian demikian getir. Kenapa dia mesti menanggung segala kesulitan tersebut?

Lama berguling-guling di lantai akibat menahan kesakitan buku lali kakinya yang membengkak, Saleh Dobok terkejang tidak sedarkan diri. Ketika ini bengkak di buku lali kaki bayi berkenaan sudah bertambah seruh. Bayi itu juga tidur nyenyak setelah selesai Ulung Sijah mengusap-usap buku lali yang membengkak itu.

"Apa salahnya Pak Imam?" segera Utih Siah bertanya setelah melihat keadaan menantunya terbaring dengan nafas kencang berombak-ombak.

"Entahlah, saya tak faham ni," jelas Imam Suh serba salah juga kerana Saleh Dobok terkejang tiba-tiba.

"Kita kena panggii Aki Sahak," lantas Ulung Sijah ingatkan mereka supaya tidak bertangguh memberitahu Aki Sahak mengenai kejadian tersebut.

Memang Imam Suh bersetuju dipanggil Aki Sahak di Pelangai sekalipun jaraknya dengan kampung mereka hampir lima batu. Siapa lagi boleh diharap memanggil Aki Sahak kalau tidak ada orang lelaki. Satu-satunya lelaki yang boleh diharap cuma Saleh Dobok.

Kalau Saleh Dobok sendiri yang terkejang mereka boleh harapkan anak-anak muda belasan tahun. Tetapi siapa yang tahu ke Pelangai mencari Aki Sahak, disebabkan mereka tidak pernah rnenghadapi kecemasan demikian. Disebabkan tidak ada siapa lagi yang boleh diharapkan terpaksalah Imam Suh sendiri ke Pelangai.

Tatkala lmam Suh ke Pelangai inilah tiba-tiba sahaja Saleh Dobok bingkas bangun dengan langkah terdengkot-dengkot. Marah benar dia pada bayi yang baru lahir itu menyebabkan kakinya tergeliat. Terpaksa pula Utih Siah dan Ulung Sijah bertahan dari serbuannya.

"Budak ni yang bawa bala ke rumah ni!" gerutu Saleh Dobok seolah-olah melepaskan geram yang mendongkol di hati.

Bimbang juga Utih Siah dengan perubahan sikap menantunya Saleh Dobok itu, kerana tidak ada siapa pun lelaki di rumah. Manalah tahu kalau Saleh Dobok tidak dapat mengawal diri, tentulah mereka semua orang perempuan tidak boleh bertahan. Tenaga lelaki bukan mudah mahu ditewaskan sekalipun dalam masa kakinya terdengkot-dengkot akibat tergeliat.

Cepat-cepat Utih Siah meminta Bidan Insun lindungkan bayi berkenaan daripada menjadi mangsa Saleh Dobok. Tetapi Saleh Dobok tidak peduli apa lagi. Kemarahannya sudah tidak dapat dikawal lagi apabila buku lali kakinya tergeliat parah semata-mata disebabkan mahu cepat memanggil Utih Siah emak mentuanya.

"Jangan biarkan budak tu hidup!" bentak Saleh Dobok mahu menghambat Bidan Insun yang merangkul bayi baru dilahirkan kukuh-kukuh dalam pelukannya.

"Kamu jangan cuba rapat dengan budak tu, Saleh!" sekali-gus Ulung Sijah melompat menghalang Saleh Dobok. Dia menuding jari telunjuk ke arah muka lelaki itu dengan membacakan Ayatul Kursi.

Tersengih-sengih Saleh Dobok macam mengejek Ulung Sijah yang masih tercegat membacakan Ayatul Kursi. Tetapi Ulung Sijah tidak berganjak berdiri menghalang Saleh Dobok daripada menerpa ke arah Bidan Insun. Dia akan cekak leher Saleh Dobok kalau cuba juga menerkam bayi dalam dakapan Bidan Insun di belakangnya.

Tatkala Saleh Dobok cuba mahu menerkam dia tergamam apabila melihat seorang lelaki muda berjubah putih berdiri di depan pintu. Dia merenung tepat ke muka Saleh Dobok dengan berpeluk tubuh membiarkan jubahnya berbuai-buai ditiup angin petang.

"Siapa kamu?" jerkah Saleh Dobok semakin marah apabila cuba dihalangi oleh lelaki muda itu.

Lelaki muda itu tidak menyahut. Tetapi dia membacakan Fatihah tiga kali menyebabkan angin bertiup kencang sampai berpusar di dalam rumah. Kemudian dia mendepakan tangannya lantas membacakan:

Falillahhil hamdu rabbis samawati warabbil ardhi rabbil 'alamin, walahul kibriya u-fissama watiwal ardhi wahuwa 'azizul hakim.

Apabila dia mengisar dua tapak tangannya, sekaligus Saleh Dobok membengkok menahan perutnya yang senak tidak semena-mena. Dia jatuh berguling ke lantai dengan mata terkebil-kebil. Buku lali kakinya yang membengkak terkinjal-kinjal diheret kerana tidak boleh diangkat.

Mereka yang terconggok di dalam rumah juga berasa hairan dengan kemunculan lelaki muda itu dengan sekonyong-konyong sahaja. Dari mana pula lelaki muda itu menjelma tatkala Saleh Dobok tengah memberang marah? Ketika ini Ulung Sijah merasakan seluruh tubuhnya menggeletar sejak dia memberanikan hati menghalang Saleh Dobok mahu menerkam bayi dalam dakapan Bidan Insun.

Dia dapat mengagak tentu Saleh Dobok tidak dapat mengawal perasaan lagi kalau sudah tergamak mahu menerkam anaknya sendiri. Tentu bayi tersebut terancam sekiranya dia tidak bertindak segera menghalang Saleh Dobok tengah hilang fikiran. Tatkala itu Saleh Dobok terlalu marah akibat kakinya akibat sangat setelah tergeliat.

Mudah sahaja Saleh Dobok hilang pertimbangan. Dia akan menjadi liar kalau tidak dihalang segera. Sebab itu tiba-tiba sahaja Ulung Sijah menjadi berani apakala melihat Saleh Dobok sudah bertukar menjadi beruang ganas mahu menerkam mangsa. Memang Ulung Sijah tidak bimbang apa-apa setelah mengagak beruang hitam tengah ganas itu semata-mata jelmaan Saleh Dobok.

Biarlah dia diterkam beruang tengah ganas itu asal sahaja bayi baru lahir itu dapat diselamatkan. Masakan tiba-tiba sahaja Saleh Dobok menjelma menjadi beruang hitam dengan bulu romanya memanjang lebat serta merta. Tentu pandangan matanya sendiri keliru disebab-kan keadaan ketika itu bertambah kelam kabut.

Kalau tidak kenangkan beruang hitam di tengah rumah itu jelmaan Saleh Dobok yang terdengkot-dengkot, memang Ulung Sijah gementar juga mahu bertahan. Tetapi hatinya bertukar menjadi berani setelah membacakan Ayatul Kursi berulang kali hingga terasa seluruh badannya menggeletar tidak menentu.

Saat inilah lelaki muda berjubah putih itu tercegat di muka pintu menghentakkan tumit tiga kali ke lantai. Terkejut Saleh Dobok berpaling ke pintu sekalipun yang dilihat oleh Ulung Sijah memang seekor beruang hitam tengah ganas.

Tatkala beruang hitam itu jatuh ke lantai berguling-guling, Ulung Sijah nampak lelaki muda itu memegang kaki beruang berkenaan. Sekaligus pula kaki yang dipegangnya berasap bagaikan bara disimbah air. Ulung Sijah dapat mendengar lelaki muda itu membacakan:

Wa-imma yanza ghannaka minasy syaitoni nazghun fasta'iz billahhi innahu sami'un 'alim.

Terkinjal-kinjal beruang hitam menahan kesakitan akibat kakinya dicekak oleh lelaki muda berkenaan. Setelah direntap tiga kali kaki beruang itu, perlahan-lahan Ulung Sijah melihat bulu roma panjang habis mereras jatuh ke lantai. Ketika ini Saleh Dobok sudah duduk termengah-mengah dengan kepalanya diusap-usap lelaki muda itu.

Belum pun sempat Ulung Sijah bertanya, lelaki muda itu terus sahaja turun meninggalkan mereka. Dia tidak bercakap sepatah pun hingga Ulung Sijah juga tertegun beberapa minit kerana hairan bagaimana lelaki muda itu menjelma. Sekiranya lambat lelaki muda itu tercegat di muka pintu nescaya beruang hitam tengah ganas yang menjelma daripada Saleh Dobok tidak dapat dihalang lagi.

"Emmm, kalau Ulung tak halang Saleh, entah apalah akan jadi," tutur Utih Siah sebaik sabaja Aki Sahak bersama saya naik ke rumah setelah dijemput Imam Suh.

"Kamu kenapa jadi macam tu, Saleh?" Bidan Insun masih hairan bagaimana Saleh Dobok boleh berubah menjadi ganas tatkala Imam Suh turun menjemput Aki Sahak. Mentang-mentang yang tinggal di rumah ketika itu semuanya perempuan, tiba-tiba sahaja Saleh Dobok dirasuk hingga menjadi liar tidak menentu.

"Entahlah, saya pun tak tahu!" Saleh Dobok menggeleng lemah disebabkan tidak dapat mengawal perasaan. Dia merasakan seolah-olah seluruh badan-nya berbulu laksana beruang tengah rimba. Tetapi serba salah juga dia mahu memberitahu Imam Suh mengenai kejadian yang menimpa dirinya.

Memang kakinya mulai sembuh sekalipun masih terasa  berdenyut kalau tumit dijejakkan. Buku lalinya yang membengkak juga sudah seruh sama dengan buku lali kaki bayinya yang nyenyak tertidur. Hairan juga Saleh Dobok disebabkan buku lali kakinya sudah sembuh setelah terlepas daripada dirasuk bayangan beruang berbulu hitam.

"Kenapa kamu nak bunuh anak kamu?" segera Utih Siah mendesak menantunya setelah Saleh Dobok tidak lagi bertindak ganas.

"Saya tak tahu apa-apa," jelas Saleh Dobok menggeleng-geleng kerana terlalu hairan dengan kejadian yang menimpa-nya.

"Kamu tak ingat apa-apa ke?" ujar Bidan Insun pula tersenyum apabila kenangkan Saleh Dobok mahu menerkam ke arahnya merampas bayi dalam dakapannya.

Saleh Dobok mengangguk perlahan. Tentu siapa pun tidak percaya kalau dia beritahu tubuh-nya menggeletar tatkala terasa bulu roma hitam menjelang. Memang siapa pun tidak melihat keadaan tubuhnya yang berubah menjadi seekor beruang ganas di tengah hutan.

Tatkala kakinya dicerut jerat melalui denai, Saleh Dobok menjadi marah tidak bertahan. Siapa sahaja berani mencerut kakinya mesti dikerkah dengan kuku runcing tajam. Dia akan meramas-ramas siapa sahaja memasang jerat hingga pergelangan kakinya dijerut tali jerat.

Dalam keadaan terdengkot-dengkot ini Saleh Dobok merentap kuat sampai pergelangan kakinya cedera patah setelah jerutan tali jerat terlucut. Sebab itu dia berdendam sangat akibat pergelangan kakinya dijerat. Dia bukan beruang hitam yang mesti dijerut kaki, tetapi Saleh Dobok yang mahu menjemput emak mentuanya Utih Siah ke rumah.

Marah benar dia disebabkan bulu romanya tumbuh memanjang hingga menjadi beruang. Sebab itulah pemburu di hutan mahu menjeratnya biar mudah ditewaskan. Berkali-kali Saleh Dobok menjerit memberitahu dia bukannya seekor beruang ganas, tetapi siapa pun tidak pedulikan jeritannya. Pergelangan kakinya bertambah sakit sebaik sahaja jerutan tali jerat terlucut setelah dia meronta-ronta sekuat hati.

Saat ini siapa sahaja yang dilihat oleh Saleh Dobok cuba mahu menombaknya dengan lembing. Dia akan terguling ketanah sekiranya lembing yang berpuluh-puluh merejam ke arahnya. Tentu seluruh tubuhnya tidak bersisa direjam lembing dari segenap penjuru.

Sebab itu Saleh Dobok mesti menyerang sesiapa sahaja acahkan mata lembing ke arahnya. Dia mahu buktikan dirinya bukan beruang yang ganas mahu menerkam mangsa. Puas dia menjerit memberitahu mengenai dirinya ialah Saleh Dobok, tetapi siapa pun tidak pedulikan langsung. Masing-masing halakan mata lembing mahu merejam ke arah tubuhnya yang berbulu lebat laksana beruang tengah hitan.

Tatkala mata lembing himpir menujah ke dadanya Ulung Sijah satu-satunya yang selamatkan dia. Saleh Dobok dapat mendengar Ulung Sijah bacakan Ayatul Kursi hingga semua mata lembing yang direjamkan ke arahnya bersimpang siur tidak menyinggahi sasaran. Dia melihat Ulung Sijah bertukar menjelma menjadi lelaki muda berjubah putih selamatkan dia daripada tubuh rejaman mata lembing yang mahu menombak ke dadanya.

Lelaki muda yang menjelma tidak bercakap apa-apa. Dia sekadar mengurut-urut pergelangan kakinya sampai bulu roma tumbuh memanjang reras ke tanah. Sebaik sahaja bulu roma yang tumbuh memanjang di seluruh badannya reras, Saleh Dobok merasa pergelangan kakinya tidak sakit lagi.

"Tentu siapa pun takkan percaya, ustaz," bergetar suara Saleh Dobok memberitahu saya mengenai kejadian yang menimpanya. Kalau fikirannya terus berserabut tentu bayinya menjadi mangsa yang tidak berdosa. Masakan dia sengaja mahu cederakan anaknya sendiri sekiranya fikiran dia masih waras.

"Syukurlah kepada Allah, Saleh," lantas Aki Sahak ingatkan dia kerana terselamat daripada gangguan syaitan yang menjelma dengan pelbagai cara yang diluar akal manusia untuk memikirkannya.

"Insya Allah, saya akan buat kenduri kesyukuran," jelas Saleh Dobok beristighfar berulang kali apabila kenangkan dirinya dan bayinya terselamat sewaktu syaitan merasuk mahu memusnahkan keluarganya.

Sudah terlalu lama kejadian yang menimpa Saleh Dobok itu berlalu, tetapi dia tetap kenang sampai bila-bila sekalipun anaknya Munir sudah dewasa. Sewaktu Munir bersama isterinya jejak kaki ke rumah saya, dia sebut juga mengenai kejadian yang menimpa dirinya dan ayahnya ketika itu. Memang tidak tahu apa-apa pun tatkala kejadian itu berlaku, tetapi Saleh Dobok tetap beritahu berulang kali peristiwa tersebut.

Masakan dia boleh lupakan musibah yang hampir meragut nyawa Munir yang masih bayi. Bagaimana kalau dia yang bertukar seolah-olah seekor beruang ganas menerkam Munir dalam dakapan Bidan Insun? Tentu Munir akan dikerkah kuku runcing hingga tersiat kulit macam pisang dikupas! Ngeri juga Munir apabila kenangkan kejadian tersebut seolah-olah tubuhnya yang masih bayi sudah dikerkah habis.

Tatkala dia memberitahu pergelangan kakinya berdenyut sakit asal sahaja udara pagi terlalu sejuk, memang dia menuduh berpunca daripada kejadian semasa dia masih bayi. Tentu bengkak buku lali itu tidak sembuh betul sekalipun dia sudah dewasa.

Sudah beberapa kali dia meminta rawatan di hospital, tetapi penyakit yang mengganggu tidak juga dapat dikesan. Doktor sekadar berikan ubat gout apabila sakit berdenyut itu menusuk-nusuk sendi. Asal sahaja Munir makan ubat sakit berdenyut di buku lali kaki itu beransur hilang.

"Lama juga saya nak cari, ustaz," jelas Munir setelah lama mahu menemui saya sebelum terserempak Kadir Misai di Temerloh. Memang ayahnya Saleh Dobok sudah ingatkan dia supaya menemui saya disebabkan tidak pernah lagi bersua muka sejak bertahun-tahun.

Saleh Dobok tidaklah harapkan sakit buku lali kaki Munir boleh sembuh apabila meminta anaknya menemui saya, tetapi sekadar ingatkan kawan-kawan. Selepas kejadian dia hampir menerkam anaknya Munir, kerapkali juga Saleh Dobok mengajak saya berburu ke hutan.

Setiap kali dia masuk ke hutan bersama saya, sentiasa sahaja dia mengeluh panjang kerana tidak terserempak seekor pun binatang perburuan. Kalau tidak diingatkan oleh Ulung Sali, memang dia tidak putus-putus mengajak saya ke hutan. Setelah diingatkan oleh Ulung Sali supaya tidak mengajak saya sama, sengaja dia mengelak-elak masuk ke hutan biar tidak diketahui oleh saya.

Asal sahaja saya tidak ikut sama memang Saleh Dobok dapat kancil atau kijang tengah meragut pucuk ludai. Dia akan lapah juga daging paha kijang kirimkan ke rumah saya. Semenjak itu memang Saleh Dobok masuk ke hutan tidak akan mengajak saya sama. Lantas sahaja dia dan Ulung Sali menuduh saya amalkan ilmu pelengang sampaikan tidak seekor pun binatang liar melintas tatkala masuk ke hutan.

Kadangkala marah juga Milah Lekeh disebabkan Saleh Dobok tidak serik mahu berburu ke hutan setelah kejadian menimpa anaknya. Bukan takat berburu sahaja, kadangkala Saleh Dobok memasang jerat juga di mana-mana denai.

Kalau jerat kijang dia akan mencari anak kayu sebesar lengan menjadi joran dengan tidak dipangkas perdunya. Dia akan sisip ranting hingga hujung anak kayu boleh dilentur sampai ke tanah. Di situlah dia akan ikat simpai dawai yang kasar untuk menanjul kaki binatang liar yang melintas melalui denai.

Tatkala kijang atau rusa meranduk denai menuju tubir air nescaya kakinya akan terpijak jerat yang disediakan. Sekaligus tali jerat menanjul kaki hingga joran bingkas membidas. Sudah tentu kijang atau rusa tidak terlepas apabila tali jerat merentap kuat sebaik sahaja bingkas membidas. Binatang liar itu tidak akan terlepas daripada jerat yang dipasang oleh Saleh Dobok.

Sebab itulah Utih Siah marah benar apabila Saleh Dobok jejak juga kaki hutan tatkala Milah Lekeh tengah sarat mengandung. Sudah menjadi pantang larang orang tua-tua supaya tidak aniayakan binatang semasa isteri tengah mengandung sarat demikian. Bila-bila anak dalam kandungan akan terkena kenan hingga lahir dengan keadaan cacat.

Tetapi Saleh Dobok tidak percaya sangat dengan pantang larang demikian. Dia tidak pernah aniaya binatang, selain daripada berburu ke hutan. Perkara berburu ke hutan tidak sama dengan aniaya binatang yang tidak berdosa.

Memang Saleh Dobok tidak peduli sangat leteran emak mentuanya Utih Siah apabila samakan Milah Lekeh mengandung dengan kijang dijerut jerat tengah bunting terkial-kial meronta mahu melepaskan diri. Tentu hati kijang tengah bunting juga sedih apabila kakinya terkena jerutan tali jerat menanjul kaki. Ketika inilah badi mudah menjadi geruh kepada sesiapa sahaja yang degil berburu menyebabkan pada menimpa isteri tengah sarat mengandung.

"Takkan sakit buku lali saya ni terkena kenan, ustaz?" tersengih-sengih Munir kerana emaknya Milah Lekeh percaya  dia terkena kenan disebabkan ayahnya seringkali memasang jerat di hutan.

Tetapi saya tahu memang Saleh Dobok pernah juga meminta Ulung Sali di Mentaus jampikan badi kalau anak kecilnya terkena penyakit kenan disebabkan dia berburu di hutan. Ulung Sali tumbukkan lengkuas dengan digagang ke api dalam tempurung lantas membacakan jampinya:

Ah badi mah badi,badi embun badi seratus sembilan puluh, itulah asal kaujadi, badi air setitik asal kau jadi, badi tanah segenggam asal kau jadi, badi datang engkau dari rimba raya badi kau ke rimba raya, datang kau di gaung guntung balik kau ke gaung guntung, tak balik kau berdosa pada pawang berempat...

Memang saya tahu benar dengan jampi mentera Ulung Sali kalau sesiapa diganggu badi binatang hutan. Lainlah Aki Sahak dia tidak ambil peduli sangat kalau gangguan badi akibat geruh semasa berburu di hutan. Tatkala Abang Amud terherot mulut disebabkan menembak ayam hutan bertenggek mengirai kepak di atas akar, Aki Sahak sekadar menggenggam kain hitam panjang sehasta.

Beberapa kali dikibaskan kain hitam itu ke kepala Abang Amud, dia membacakan Fatihah 17 kali, surah al-Ikhlas 17 kali diikuti dengan Ayatul Kursi 17 kali juga. Setelah itu dia bacakan 7 kali:

laqod ja-akum rasulum min anfusikum 'azizun 'alaihi ma-'anittum harisun 'alaikum bilmukminina ra-ufurrahim, fa-in tawallau faqul hasbiallahhu la-ilaha illahuwa 'alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul 'arsyil'azim.

Baik Ulung Sali, mahupun Aki Sahak tidak pernah mahu bandingkan amalan masing-masing. Asal sahaja orang-orang kampung menemui mereka, tidak pernah Ulung Sali atau Aki Sahak hampakan. Mereka akan membantu mengikut kemampu-an masing-masing.

Kadangkala Ulung Sali akan menyuruh juga menemui Aki Sahak kalau dia tidak dapat sembuhkan penyakit. Aki Sahak juga akan hantar ke rumah Ulung Sali sekiranya orang yang datang menemuinya tidak dapat dibantu. Dia juga akan berusaha sama-sama dengan Ulung Sali membantu apabila keadaan penyakit bertambah tenat.

Sebab itu saya tahu sangat mengenai Saleh Dobok hampir berputus asa apabila anak kecilnya Munir berterusan mengidap sakit buku lali. Asal sahaja udara sejuk tatkala pagi berembun, memang Munir akan menangis langsing. Saleh Dobok sudah dapat mengagak tentu sakit pada buku lali anaknya menyebabkan Munir menangis tidak henti-henti.

Setelah matahari memancar sampai kabus tebal kian menipis di puncak bukit nescaya tangisan Munir akan reda. Tentu sakit di buku lali kaki itu disebabkan terkena kenan badi binatang hutan. Kesal juga dia disebabkan tidak mematuhi nasihat emak mentuanya Utih Siah supaya tidak lagi berburu. Bila-bila sahaja badi binatang hutan akan terus mencari geruh kalau Saleh Dobok terus berdegil.

Disebabkan anak kecilnya sentiasa sahaja menangis setiap pagi asal sahaja cuaca sejuk, Saleh Dobok mengambil keputusan tidak mahu lagi ke hutan. Dia tidak perlu berburu sekalipun dalam masa sebulan sekali dua sahaja dia memasang jerat akan memanggul senapang mengendap pelanduk.

Setelah berubat badi dengan Ulung Sali dan Aki Sahak tidak juga sembuh sakit buku lali anak kecilnya, lantas Saleh Dobok bernazar membawa nasi kunyit ke bukit batu bersendi. Dia sanggup lakukan apa sahaja asalkan penyakit yang mengganggu anaknya sembuh betul. Dia tidak mahu sakit buku lali Munir berterusan sampai bila-bila.

Kalau tidak disebabkan Utih Siah beritahu Aki Sahak mengenai menantunya membawa nasi kunyit ke bukit batu bersendi, memang saya tidak terniat mahu menawarkan diri untuk mencuba. Manalah tahu amalan Tok Aji masih boleh digunakan membantu Saleh Dobok dalam keadaan dia hampir berputus asa. Tentu dia tidak tergamak bawa nasi kunyit dengan panggang ayam dan bertih tujuh piring ke bukit batu bersendi itu, sekiranya dia menyedari batu berkenaan tidak berkuasa apa-apa.

Seisi kampung percaya batu bersendi di kaki bukit itu mempunyai penunggu. Sesiapa sahaja tidak berjamu di bukit bersendi itu nescaya diganggu penunggu di situ. Tatkala negeri masih diselubungi suasana tidak bermaya di bawah perintah orang putih, memang kepercayaan demikian masih tebal menusuk ke kalbu.

Sebab itu saya larang Saleh Dobok daripada menghantar sepantar nasi kunyit, ayam panggang dan tujuh piring bertih ke kaki bukit batu bersendir. Saleh Dobok tidak perlu membakar kemenyan di situ menyeru penunggu sembuhkan sembuhkan sakit di buku lali kaki anak-nya. Lantas saya mengajak Aki Sahak mencuba ikhtiar dengan berdoa, kalau Saleh Dobok berkeras tidak mahu membawa anaknya ke hospital.

Apabila saya jemput Ulung Sijah ikut sama, dia juga tidak membantah apa-apa. Bila-bila Ulung Sijah sanggup urutkan kaki Munir sekalipun terpaksa letakkan daun sirih tiga helai di situ. Sengaja saya biarkan Ulung Sijah terlebih dahulu urutkan buku lali kaki Munir dengan mengusap-usap tiga helai daun sirih yang dilumak dengan minyak kelapa.

Sewaktu Ulung Sijah mengusap-usap itu saya letakkan tapak tangan di dada anak kecil dengan membacakan Fatihah tiga kali. Ketika ini saya melihat Ulung Sijah seakan-akan geli gelemam mengurut daun sirih yang diletakkan di atas buku lali. Tetapi Aki Sahak memujuknya supaya meneruskan sahaja mengurut buku lali kaki Munir.

Beberapa kali Ulung Sijah tersentak akibat menahan rasa geli gelemam tidak menentu.  Disebabkan saya bersama Aki Sahak tidak berganjak dia juga serba salah mahu berundur.  Terpaksalah Ulung Sijah bertahan juga mengurut-urut  buku lali kaki anak kecil itu.

Setelah saya membaca lima ayat awal dari surah al-Baqarah, lantas saya bacakan ayat 163, 164 dan Ayatul Kursi. Kemudian ditambah lagi dengan ayat 256, 257 dan 284. Apabila saya teruskan dengan ayat 285 dan 286, saya tambah pula dengan surah Ali Imran ayat 18, 19 dan 20.

Ketika ini anak kecil itu mula menggeliat kuat dengan dua kakinya menendang-nendang. Saya sekadar bacakan doa sahaja daripada surah al-'Araaf ayat 54, 55 dan 56 dengan di-teruskan surah al-Mukminin ayat 117 dan 118. Sebaik sahaja saya bacakan 11 ayat terawal daripada surah as-Saffat, tersentak anak kecil itu menangis hingga mulutnya ternganga luas.

Sekalipun tangisnya langsing hingga berombak-ombak dada, saya bacakan juga ayat 33, 34 dan 35 dari surah ar-Rahman diikuti dengan ayat 21, 22, 23 dan 24 surah al-Hasyr dan 4 ayat terawal surah al-Jin. Tatkala saya membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas, tangisan anak kecil itu mula mengendur.

Tiga pagi saya ulangi ke rumah Saleh Dobok dengan memaksa dia membuangkan nasi kunyit, ayam panggang dan tujuh piring bertih di kaki bukit batu bersendi, tidak pernah lagi Munir merengek sekalipun cuaca sejuk di kampung pedalaman itu.

Sehingga Munir membesar dia tidak lagi diganggu sakit pergelangan kaki, sekalipun Saleh Dobok bimbang juga kalu anaknya tergelincir. Sampaikan anaknya bermain dengan kawan-kawan pun Saleh Dobok akan awasi kerana bimbang buku lali kakinya tergeliat. Tetapi semen-jak itu pula dia galak semula berburu ke hutan sekalipun dilarang oleh isterinya Milah Lekeh.

"Ayah tu memang degil, dah tua-tua pun tak serik nak berburu," beritahu Munir selanjutnya mengenai kegemaran ayahnya masuk ke hutan berburu. Kalau terpaksa ambil permit pun Saleh Dobok tidak peduli disebabkan kegemarannya masuk ke hutan memasang jerat atau perangkap.

"Hutan pun rezeki yang dikurniakan Allah," ujar saya ingatkan Munir supaya tidak percaya sangat dengan badi yang menyebabkan penyakit buku lali kakinya berbalik semula. Manalah tahu penyakit gout yang di-beritahu doktor itu benar-benar meresap di pergelangan kakinya.

Tetapi Saleh Dobok sengaja mendesak Munir menemui saya, kerana bertahun-tahun dulu kakinya sembuh setelah saya doakan bersama Aki Sahak dan Ulung Sijah. Sejak bertahun-tahun pula Ulung Sijah dan Aki Sahak sudah lama meninggal dunia.

Sebab itu Saleh Dobok meminta anaknya mencari saya. Sekalipun dia tidak harapkan saya boleh doakan penyakit anaknya, tetapi Saleh Dobok rasa tidak terkilan sekiranya dapat juga anaknya menemui saya. Perkara sembuh atau tidak penyakit yang dihidapi, bukan penting sangat kepadanya. Hanya urusan Allah sahaja untuk menyembuhkan atau mendatang-kan penyakit!

"Kaki saya ni bukan disebabkan badi ke, ustaz?" Munir mengerling isterinya disebabkan saya tidak mahu sangat ungkit mengenai penyakit lama yang dihidapinya.

Lama dia terdiam baru Munir jelaskan mengenai beberapa orang di kampungnya terserempak dengan Ulung Sijah yang sudah bertahun-tahun meninggal dunia itu. Dia beritahu mengenai Lasim terkehel lutut disebabkan jatuh motosikal terlanggar lembu melintas jalan.

Sewaktu dirawat di hospital Lasim meracau-racau tidak menentu disebabkan menahan kesakitan. Tatkala tengah malam dalam suasana samar-samar Lasim nampak perempuan tua dengan muka yang bersih mendekati dia. Perempuan itu tidak bercakap apa-apa terus sahaja mengurut kepala lututnya sampai dia terjerit-jerit kesakitan.

Tetapi siapa pun tidak mendengar jeritan Lasim. Dia ingatkan Lasim supaya tidak memberi tahu sesiapa sehingga tiga malam berturut-turut mengenai kedatangannya. Setelah tiga malam berturut-turut lutut Lasim diurut barulah perempuan tua itu memberitahu dirinya Ulung Sijah.

Manalah Lasim pernah menatap wajah Ulung Sijah yang telah meninggal dunia sebelum dia lahir. Dalam keadaan percaya dengan tidak, Lasim merasakan lututnya yang terkehel sembuh betul setelah diurut tiga malam berturut-turut oleh Ulung Sijah. Bukan Lasim sahaja yang menerima nasib baik, malah Timah Juling yang patah kaki tergelincir di perigi juga sembuh setelah dikunjungi oleh Ulung Sijah tiga malam berturut-turut.

"Saya macam tak percaya aje, ustaz," jelas Munir tatkala memberitahu mengenai Ulung Sijah menjelma mengurut mereka yang terkehel atau patah tulang.



SELESAI