Monday, July 27, 2015

134. MAYAT BANGKIT DARI KUBUR


   LIKU jalan di lereng bukit yang sempit dan berkelok tajam dari Bukit-tinggi ke Lubuk Sekaping sama juga dengan liku jalan ke Tanah Rata dari Tapah sampai ke Renglet. Tetapi jurang dan ngarai jalan ke Lubuk Sakaping itu lebih curam kalau dibandingkan ke Tanah Rata.
Memang sudah lama saya tidak jejak kaki ke Tanah Rata, semenjak sepupu isteri saya berpindah ke Lembah Bertam di Ringlet. Ketika dia masih lagi di Tanah Rata, beberapa kali juga saya ke sana. Apalagi Tok Ya yang bertugas di tempat berkenaan sudah lama bersara.
Lainlah semasa Tok Ya masih lagi bertugas di Tanah Rata, saya akan singgah juga di rumah sepupu isteri saya itu. Memang Tok Ya juga sama macam Salim Sudin Mamai yang heboh dikatakan sudah meninggal dunia, tetapi hidup semula. Tetapi ketika saya menemui Tok Ya beberapa tahun dulu, dia tersengih-sengih sahaja kalau ditanyakan mengenai kejadian tersebut.
 Dia sendiri bagaikan tidak percaya apabila dimasukkan ke dalam rumah mayat setelah disahkan meninggal dunia. Hampir lima jam dia dibujurkan di situ sebelum keluarganya datang menuntut. Ketika dikeluarkan dari rumah mayat itulah pihak hospital mendapati denyut nadi Tok Ya masih berdetak.
Cepat-cepat dia disorong semula ke wad dengan diberikan bantuan pernafasan. Kejadian semasa negeri masih diperintah orang putih tentulah tidak siapa pun yang ambil tahu, disebabkan pihak hospital sengaja menutupnya. Hanya keluarga Tok Ya sahaja yang tahu mengenai dirinya dimasukkan ke rumah mayat hampir lima jam terbujur di situ.
Sebab itulah saya tidak hairan sangat kalau diungkit juga mengenai kejadian yang menimpa sepupu saya Salim Sudin Mamai itu. Cucunya Kasim Togel sendiri tidak percaya kalau dikatakan datuknya Salim Sudin Mamai sudah meninggal dunia kemudian hidup semula itu.
Ketika melalui jalan berliku ke Lubuk Sakaping itulah Mamak Bandaro beritahu saya mengenai Sabisah isteri Sutan Malim yang sudah dikebumikan selama tiga hari hidup semula. Terkejut juga saya apabila diberitahu demikian, kerana Mamak Bandaro tidak pernah beritahu apa-apa semasa mengajak saya ke rumah Sutan Malim di Lubuk Sakaping itu.
Empat hari Sabisah mengidap demam panas, dia menghembuskan nafasnya. Seisi kampung tahu mengenai kematian Sabisah. Siapa tidak kenal dengan Sabisah isteri Sutan Malim di kampung berkenaan? Dia akan jerkah siapa sahaja sekiranya berani menegur tatkala sempadan sawah dipokah habis.
Seisi kampung tahu Sabisah tidak oleh dihalang kemahuannya. Sutan Malim sendiri tidak berdaya menghalang isterinya tengadah siapa sahaja jiran yang berani menentangnya. Bila-bila dia sanggup bercekak apabila jiran-jiran berkeras mahu menghalang kemahuan dia.
Kambing menyerbu masuk ke tapak semaian pun Sabisah akan tusuk dengan lembing. Biarlah kambing berkenaan menggelepar akibat lembing tertusuk di rusuk. Sutan Malim juga akan dikibas dengan mata parang sekiranya memujuk minta dia bertenang. Sabisah tidak mahu Sutan Malim tunduk dengan kemahuan orang-orang kampung hingga biarkan sahaja harta benda mereka dibinasakan.
Kalau tidak berkeras sudah tentu sempadan sawah akan ditentukan oleh siapa sahaja yang sanggup menyinsing lengan baju. Sebab itu Sabisah tidak mahu mengalah kalau takat orang-orang kampung mencabar dirinya.
"Sabisah tu keras kepala," Matusa yang pernah luka di dahi akibat ditetak dengan parang oleh Sabisah mencebek bibir setelah diberitahu mengenai kematian perempuan itu.
Sampai bila pun Matusa tidak lupakan kejadian dia leraikan Sabisah menyerbu ke rumah jirannya Jabal dengan parang terhunus. Marah benar Sabisah apabila Jabal melunggah sempadan sawah hingga air menyerbu masuk. Anak padinya tergenang air disebabkan sempadan sawah dipokah habis.
Belum sempat Jabal mahu menjelaskan Sabisah sudah menerkam naik ke rumah. Terpaksa Jabal terjun ikut tingkat akibat parang dikibas hampir menyinggahi dadanya. Sabisah juga terjun ke tanah menghambat Jabal yang terjerit-jerit meminta pertolongan.
Seisi kampung menjadi gempar dengan perbuatan Sabisah yang dikatakan sudah dirasuk. Tentu puaka jembalang sudah merasuk perempuan itu menyebabkan dia tidak pedulikan siapa lagi. Sutan Malim sudah tidak berdaya mahu menghalang. Kalau Sutan Malim suaminya sendiri sudah tidak dapat menghalang, siapa lagi yang boleh memaksa Sabisah mengalah?
Ketika inilah Matusa tercegat di hadapan memaksa Sabisah. Selalunya Sabisah tidak akan teruskan mengamuk kalau Matusa bapa saudaranya sudah tercegat menyergah. Tetapi Sabisah sudah tidak hiraukan Matusa lagi sekalipun bapa saudaranya itu puas memujuk supaya dia mengalah. Tiba-tiba sahaja Sabisah menghayun mata parang hingga tidak sempat dielakkan langsung oleh Matusa.
Tetakan Sabisah lantas menyinggahi dahinya menyebabkan darah banyak mengalir. Terpaksa pula Sutan Malim membayar seekor kambing, seguni padi dengan emas sebahara kepada Matusa disebabkan perbuatan Sabisah mencederakan.
"Orang keras kepala memang banyak musuh," keluh Sutan Malim disebabkan tidak ramai jiran jiran yang menziarah.
Beberapa orang jiran yang datang menjengah disebabkan kenang budi baik Sutan Malim sahaja kepada orang-orang kampung. Sutan Malim menyedari sikap isterinya menjadi kebencian orang-orang kampung, tetapi dia tidak boleh melakukan apa-apa.
Sabisah akan jerkah dia kalau nasihatkan supaya mengubah sikap. Memang Sabisah tidak pedulikan siapa lagi di dalam kampung. Asal sahaja berani menyinsing lengan baju, bila-bila Sabisah akan menyerbu tidak bertangguh. Baik lelaki, baik perempuan Sabisah tetap akan menyerbu sekiranya mencabar dia.
Empat hari Sabisah terkejang mengidap demam panas, memang tidak seorang pun jiran datang menjengah. Matusa yang tinggal berhampiran juga tidak sudi menjengah anak saudaranya itu. Hanya selepas Sutan Malim beritahu mengenai kematian isterinya barulah Matusa jejakkan kaki. Dia tidak tergamak mahu pulaukan sepanjang hayat apabila kenangkan budi baik Sutan Malim kepada keluarganya.
Selama dia terlantar akibat dahi ditetak mata parang Sabisah, memang Sutan Malim yang menanggung keluarganya. Setiap hari Sutan Malim akan beri apa sahaja keperluan dapur selagi Matusa tidak dapat turun bekerja. Dia sanggup lakukan apa sahaja untuk membantu keluarga Matusa setelah lelaki itu cedera parah tidak dapat turun bekerja di sawah.
 "Tak apalah, perkara mati fardu kifayah,’ jelas Matusa yang terpaksa ikut sama uruskan pengkebumian Sabisah.
Tiga hari selepas Sabisah dikebumikan, Sutan Malim bermimpi isterinya mendesak supaya kuburnya digali semula. Serba salah juga Sutan Malim mahu turutkan perasaan setelah bermimpi demikian. Perkara mimpi bukannya boleh diikuti sangat, apatah lagi mendesak digali semula kubur setelah mayatnya tiga hari dikebumikan
"Aku juga bermimpi Sabisah minta gali kuburnya," ujar Matusa setelah Sutan Malim beritahu mengenai mimpinya itu.
"Kalau mamak suruh gali, saya akan gali kubur Sabisah," Sutan Malim serba salah juga mahu membuat keputusan.
"Biar kita tanya imam dulu," tutur Matusa perlahan kerana tidak berani membuat keputusan.
Bukan mudah mahu membuat keputusan dengan masalah yang membabitkan banyak pihak. Mereka tidak bimbang pemerintah Belanda yang tidak pernah ambil tahu kehidupan orang-orang kampung pedalaman, tetapi perkara menggali semula kubur mesti diberitahu juga kepada imam. Malah ketua adat juga tidak boleh ditinggalkan.
Setelah diberitahu oleh Sutan Malim kepada imam, memang Angko Zawar terkejut besar. Dia juga bermimpi menemui Sabisah yang mendesaknya supaya kuburnya digali semula. Sabisah mengakui dia masih hidup di dalam kuburnya kalau digali semula.
 Angko Zawar yang menjadi imam kampung serba salah apakala didesak oleh Sutan Malim mengenai mimpi tersebut. Mereka bertiga sama-sama bermimpi didesak oleh Sabisah supaya gali semula kuburnya setelah tiga hari dikebumikan.
"Kalau tak digali, macam mana Sabisah betul-betul masih hidup?" Angko Zawar mengeluh panjang.
"Kami ikut keputusan Pak Angko," sahut Sutan Malim sudah mula merasakan kubur Sabisah perlu digali semula.
"Kita kena tanya juga Pak Marhalah," semakin terdesak Angko Zawar apabila kenang ketua adat juga wajib diberitahu. Imam kampung sepertinya memang ketua ibadat, tetapi dia tidak boleh membuat keputusan sendiri sekiranya tidak diberitahu kepada ketua adat terlebih dahulu.
Siapa lagi ketua adat kalau bukan Pak Marhalah? Seisi kampung mesti hormatkan Pak Marhalah sama seperti Angko Zawar juga. Keputusan mereka berdua samalah macam perintah raja alam yang mengambil tahu mengenai kehidupan mereka seisi kampung.
Disebabkan Pak Marhalah dan Angko Zawar yang perintahkan mereka berkumpul di musalat, seisi kampung tidak membantah apa-apa. Mereka sama-sama berkumpul untuk membuat keputusan sama ada kubur  Sabisah perlu digali semula atau tidak.
Sebaik sahaja selesai solat zohor, Angko Zawar sudah lantas tanyakan tiap-tiap seorang supaya membuat keputusan. Siapa yang berani membuat keputusan selagi Angko Zawar dan Pak Marhalah tidak bersuara apa-apa? Mereka datang berkumpul di mursalat  sekadar mahu mendengar keputusan Angko Zawar dan Pak Marhalah sahaja.
Disebabkan masing-masing tidak mahu membuat keputusan, Angko Zawar sendiri memberikan kata putus. Kubur Sabisah mesti digali sekalipun mereka sekadar berpandu pada mimpi. Menitik air mata Angko Zawar tatkala dia berdoa:
Qola rabbihkum bilhaqqi, warabunar rahmanul musta'anu 'ala matosi-fun.
Setelah Angko Zawar membuat keputusan yang dipersetujui oleh Pak Marhalah, beberapa orang kampung terus ke kubur selepas asar. Mereka gali semula kubur Sabisah. Siapa pun tidak berani mahu mulakan menggali tatkala masing-masing sampai di atas kubur.
Cuma Toha satu-satunya yang berani mencapai cangkul. Dia terus gali kubur sehingga mata cangkul terkena papan lahad. Sebaik sahaja papan lahad berdegam diketuk mata cangkul terus Toha memanggil Angko Zawar. Memang Toha juga bimbang kalau dia berseorangan di dalam lubang kubur. Biarlah papan lahad diangkat bersama-sama.
Ketika kubur habis digali mereka tidak tercium bau busuk yang meloyakan seperti mayat yang sudah reput setelah tiga hari terbiar. Angko Zawar yakin mimpinya bukanlah permainan tidur lagi. Setelah berdoa khusuk Angko Zawar sudah boleh membuat keputusan yang nekad.
"Jangan bimbang," Angko Zawar memberi semangat kepada Toha yang masih teragak-agak di dalam lubang kubur. "Kita tak tercium bau busuk, itu tandanya mimpi kita benar," dia semakin yakin setelah bau busuk tidak tercium dari liang lahad.
Toha menggamit Masal dan Sobah ikut turun ke dalam lubang kubur supaya papan lahad ditarik keluar. Terpaksa juga Masai dan Sobah terjun membantu. Mereka bukakan papan lahad ditarik naik ke atas tebing. Sebaik sahaja papan lahad dinaikkan, tidak bertangguh Sobah melompat naik ke atas apakala terdengar nafas mendengus dari Jiang lahad.
Disebabkan Sobah sudah melompat naik ke atas, Toha bersama Masai juga berlumba-lumba naik ke atas. Mereka sendiri tidak tahu kenapa bergegas naik, tetapi sengaja melompat ke tebing disebabkan Sobah sudah naik terlebih dahulu. Sobah yang berdiri di kepala, tentu sudah mendengar keganjilan menyebabkan dia tidak sabar lagi mahu bertahan lama.
"Kenapa kamu semua?" Pak Marhalah terkejut dengan keadaan mereka bertiga cemas tidak menentu.
Siapa pun tidak menyahut. Toha memandang Sobah yang tercegat di tebing lubang kubur tidak bercakap apa-apa. Tentu Sobah yang tahu kenapa tergesa-gesa melompat naik ke atas sebaik sahaja papan lahad ditarik hingga terbuka luas.
"Tak apa, biar saya yang turun," ujar Sutan Malim terus terjun ke dalam lubang kubur.
Ketika dia mahu menarik kapan putih keluar dari Jiang lahad, dia melihat bahagian tangan Sabisah bergerak. Terus sahaja dia menggamit Toha segera turun membantu. Gembira benar Sutan Malim dengan kejadian tersebut setelah dia mengaku bermimpi Sabisah mendesak supaya kuburnya digali.
Tidak bertangguh Toha turun membantu. Masai juga turun membantu setelah melihat Toha dan Sutan Malim terkial-kial menarik keluar tubuh Sabisah. Ketika mereka naikkan Sabisah ke atas tebing kubur, perlahan-lahan Sabisah membuka kain kapannya.
"Kalian tak perlu takut pada aku," terketar-ketar Sabisah bersuara dalam keadaan masih lemah.
Setelah Sabisah dikeluarkan dari kubur, segera Pak Marhalah menyuruh tanamkan batang pisang sebagai ganti. Mereka semua kebumikan batang pisang sama seperti kebumikan mayat juga. Sebaik sahaja kubur dikambus semula, mereka semua mengusung Sabisah balik ke rumahnya.
Semenjak Sabisah dibawa balik, perangainya berubah sama sekali. Suaranya lembut tidak membentak mengikut perasaan. Dia meminta maaf kepada sesiapa sahaja dalam linangan air mata apabila kenangkan perbuatannya sebelum itu.
Seisi kampung melihat perubahan luar biasa itu, kerana Sabisah yang mereka lihat ketika itu bukan lagi perempuan yang garang sebelum itu. Sabisah habiskan masanya di musalat, hingga makan minum juga tidak penting sangat kepadanya.
Berkali-kali dia meminta ampun pada Matusa disebabkan menetak dahinya dengan parang terhunus. Dia tahu Matusa bukan sahaja menderita cedera di dahi, malah penglihatannya juga kabur. Hampir sebulan Sabisah balik semula ke rumah dia meminta Matusa datang menemuinya sebelah pagi sebelum mandi dan berkumur-kumur di telaga.
Apabila Matusa datang menemuinya, Sabisah menyuruh bapa saudaranya letakkan ibu jari kanan kepada langit-langit. Kemudian dia suruh Matusa ikut sama membacakan doanya sebanyak tiga kali:
Allahhuma mato 'inni bibosri waj'alhul warisa minni wa-oriniya fil 'uduwisay'ri wa-ansurni 'ala man tolaminni.
Kemudian ibu jari yang basah dengan air liur di langit-langit itu disapukan tiga kali kepada pelupuk mata. Setelah tiga hari Matusa berulang ke rumah Sabisah dia melonjak gembira apabila matanya dapat melihat semula.
Semenjak Matusa sembuh mata diubati Sabisah, seisi kampung mula menemui dia. Kejadian yang menimpa mereka sebelum Sabisah dikebumikan tidak perlu diungkit-ungkit lagi. Perubahan Sabisah itu amat menakjubkan mereka.
Setiap kali jiran-jiran datang menemuinya Sabisah akan nasihatkan mereka supaya mematuhi perintah Allah. Kadang-kala dia akan mengesat pelupuk mata setiap kali menyebut ayat-ayat al-Quran. Memang seisi kampung kagum dengan kemampuan Sabisah hafalkan ayat-ayat al-Quran hinggakan Angko Zawar juga mengakui akan kelebihan perempuan itu.
Sewaktu Toha mengidap demam panas hingga meracau-racau tidak menentu, tidak bertangguh isterinya Sapinah mengadu pada Sabisah. Memang Sabisah tidak membantah setelah diberitahu mengenai Toha terlantar sakit. Sebaik sahaja sampai di rumah Toha, dia menyuruh ambilkan pucuk pisang alaskan tempat tidur Toha.
Biarlah Toha dibaringkan di atas daun pucuk pisang yang berwap sejuk, supaya suhu panas badan lelaki itu berkurangan. Kemudian Sabisah meminta air sejuk segelas dibubuhkan dua tiga butir beras ke dalamnya. Perlahan-lahan Sabisah doakan air sejuk digelas dengan membacakan:
Bismillahhil kabirhu na'uzubillahhil 'azim minni syarri kulli' rannahari mM syarri hassarannar, labaksa labaksa rabbinnasi isyfi wa-antasy syafi la-syifa-a illa syifa-uka Bola inni wahanal 'azmu minni wasyta'alar ra'su syaiban walam akun bidu'a-ika rabbi syaqiyan.
Sebelah petang selepas asar Sabisah datang doakan air sejuk itu supaya diminum oleh Toha, selepas maghrib sahaja Toha merasakan demam tersebut sembuh sepenuhnya. Dia bangun menjamah nasi dengan berselera bagaikan kemaruk sangat.
Semenjak itu siapa sahaja mengidap sakit tidak bertangguh menemui Sabisah. Seisi kampung sebarkan cerita mengenai Sabisah yang sudah dikebumikan tiga hari di dalam kubur hidup semula. Dia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya, disebabkan Sabisah selepas keluar dari kubur menjadi perempuan yang soleh.
Dia mampu mengubati mereka yang terlantar sakit dengan membacakan doa-doa sahaja. Sutan Malim tahu benar mengenai isterinya sebelum dikebumikan memang tidak pernah menatap al-Quran. Tetapi Sabisah boleh hafal doa-doa daripada ayat al-Quran setelah digali semula dari kuburnya.
"Tentu aneh, ustaz," ujar Mamak Bandaro apabila menceritakan kisah Sabisah itu. Saya tersengih-sengih sahaja dengan mengangguk perlahan.
"Mungkin ustaz tak percaya, tapi nantilah kita akan bertemu juga Sabisah," Sobri keponakannya yang menetap di Lubuk Sakaping itu menjelaskan.
Memang Mamak Bandaro juga sekadar mendengar dari Sobri mengenai kejadian yang menimpa Sabisah itu. Sobri tahu sangat peristiwa yang berlaku kepada Sabisah, kerana dia mengenali rapat keluarga berkenaan. Ketika ayahnya Tamiki lama mengidap penyakit batu karang, puas juga Sobri mencuba berubat ke hospital.
Kalau ayahnya tidak berkeras enggan benarkan hospital membedah batu karangnya, memang sudah lama Tamiki dibedah. Tetapi Tamiki lebih rela terjerit-jerit sakit tatkala mahu buang air semata-mata tidak mahu dibedah. Kadangkala dia berpaut-paut ke mana sahaja menahan kesakitan akibat tidak tus semasa buang air.
Pak Marhalah yang desak Sobri supaya menemui Sabisah sekiranya mahu mengubati ayahnya Tamiki. Disebabkan ayahnya enggan dibedah, terpaksa juga Sobri mengikuti kemahuan ayahnya bertemu Sabisah. Memang Sobri juga mengetahui ramai orang-orang kampung lebih percayakan bomoh daripada doktor di hospital. Sebab itulah ayahnya enggan apakala didesak supaya dibedah penyakit batu karang-nya.
Apabila Tamiki di bawa menemui Sabisah, perempuan itu minta dia sediakan buah tembikai marah. Sabisah sendiri memotong buah tembikai itu lantas berdoa:
Rabbanallahul lazi fis-sama-i tacioddo man ismaka amwata fis-sama-i wal-arsi kamarahma-tuka fis-sama-i far ala rahmataka fil-ardi waghfirlana haubana wakhothayana anta rabbit thaiyi-b inafa-unazil syafa-an min syifa ika-birahmatan min rahmatika 'alaiya hazalwaji'
Setelah memakan tembikai yang sudah didoakan oleh Sabisah itu, esok pagi-paginya Tamiki buang air hampir sesudu dia menampung pasir halus memutih yang keluar bersama kencingnya. Tiga pagi berturut-turut pasir halus itu keluar, memang terasa pada Tamiki sakit batu karang yang dideritainya sejak bertahun-tahun itu pulih sepulih-pulihnya. Dia tidak lagi terjerit-jerit menahan kesakitan apakala buang air ditandas.
Sobri mengakui ayahnya Tamiki tidak akan sembuh sekiranya tidak menemui Sabisah. Tetapi segera saya ingatkan dia Sabisah juga tidak mampu mengubati apa pun penyakit sekiranya tidak dengan izin Allah. Bukan sahaja Sabisah, malah doktor juga tidak mampu mengubati sakit sesiapa pun. Mereka sekadar berikhtiar, kerana yang menentukan sembuh atau tidak hanya ketentuan Allah semata-mata.
Ketika Mamak Bandaro mengajak ke Lubuk Sakaping menemui saudara maranya, memang saya tidak berniat pun mahu menemui Sabisah. Perkara Sabisah yang sudah dikebumikan selama tiga hari bangkit semula dari kuburnya tidak sama dengan Salim Sudin Mamai yang terbujur di tengah rumah. Salim Sudin Mamai tidak sempat dikebumikan disebabkan terbersin selepas direnjis air oleh ayahnya.
Tok Ya yang saya temui di Tanah Rata beberapa kali sebelum dia bersara juga pernah mengalami peristiwa diletakkan di rumah mayat hampir lima jam. Tetapi Tok Ya sendiri tidak dapat memberitahu apa sebenarnya telah berlaku, sekalipun dia telah disahkan mati sebelum disorong masuk ke rumah mayat.
"Kejadian macam ini jangan diungkit-ungkit," Tok Aji pernah ingatkan saya selepas kejadian menimpa Salim Sudin Mamai itu. Memang Tok Aji sendiri tahu sangat apa yang berlaku ke atas Lajis tatkala Pak Tua Mahat berburu ayam hutan.
Apabila diberitahu mengenai kejadian yang menimpa Sabisah itu saya tidaklah terkejut sangat. Apa sangat dengan Sabisah bangkit semula dari kubur kalau bandingkan dengan langit yang tidak bertiang? Benih-benih padi yang ditabur ke bumi boleh cambah hingga tumbuh mengeluarkan daun. Malah macam-macam lagi yang berlaku di luar kemampuan akal manusia untuk memikirkannya.
Sobri yang sekian lama menetap di Jakarta juga sudah bertahun-tahun tidak balik jejak kaki di kampungnya di Lubuk Sakaping. Hanya sekali sekala sahaja bertemu dengan Mamak Bandaro kalau dia singgah di Bukit Tinggi. Tetapi Sobri tidak teringat langsung mahu balik ke Lubuk Sakaping setelah jejakkan kaki di Bukittinggi apakala menemui Mamak Bandaro.
Setelah didesak oleh Mamak Bandaro tatkala saya berkunjung ke Bukittinggi itulah, tergerak sahaja hati Sobri mahu balik jejak kaki ke Lubuk Sakaping. Setiap kali mata meleret melihat jurang dan ngarai di bawah jalan lantas sahaja Sobri teringatkan kejadian Sabisah itu.
"Memang mamak pun nak cuba berubat," ujar Mamak Bandaro memicit-micit kepala lututnya.
"Tentu boleh, asal saja mamak yakin," sahut Sobri perlahan.
"Mamak juga pernah dengar mengenai kisah Sabisah tu," jelasnya mengakui kejadian itu. Kalaulah Lubuk Sakaping itu berhampiran, memang Mamak Bandaro akan jengah juga.
Tetapi dia tidak perlu sangat mahu menemui perempuan tersebut. Mereka yang datang menemui Sabisah tentu tidak percaya kepada kebolehan sendiri. Mereka tidak mahu berubat di hospital disebabkan jauh dari kampung halaman. Lainlah menemui Sabisah, mereka tidak perlu menaiki kereta melalui jalan kecil berliku-liku.
Ketika sampai di Lubuk Sakaping, Sobri sendiri tertanya-tanya kepada beberapa orang penduduk disebabkan sudah terlupa jalan menuju ke rumah Sutan Malim. Ayahnya Tamiki juga sudah lama meninggal dunia semenjak mereka berpindah ke Jakarta. Sebab itu Sobri lama tidak jejak kaki ke Lubuk Sakaping lagi.
"Sutan Malim sudah lama meninggal dunia," ujar seorang peniaga ubi sengkuang di depan gerainya apabila Sobri tanyakan mengenai Sutan Malim.
"Macam mana dengan isterinya Sabisah?" Sobri terus mendesak.
"Isteri Sutan Malim bukankan sudah lama meninggal dunia sebelum dia meninggal," beritahu peniaga ubi sengkuang itu menggeleng lemah kerana dia tidak pernah mendengar kejadian Sabisah yang sudah dikebumikan itu bangkit semula dari kuburnya.
 "Angko Zawar bagaimana?" coal Sobri seterusnya. "Angko Zawar juga sudah lebih dua puluh tahun meninggal," jelas lelaki peniaga ubi sengkuang.
Sewaktu singgah minum di sebuah gerai melalui jalan kampung di situ Sahab peniaga warung itu menjelaskan peniaga ubi sengkuang itu sebenarnya tidak siuman. Sahab sendiri beritahu mengenai lelaki itu sudah meninggal dunia, tetapi tubuhnya bergerak-gerak semasa mahu dimasukkan ke liang lahad. Cepat-cepat dia dibawa balik ke rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri. Seminggu dia terkejang barulah lelaki itu dapat membuka mata. Setelah sembuh dari terkejang sakit itulah dia menjadi tidak siuman.