Saturday, December 15, 2012

43. TOK AWANG NGAH - MENGAPA TUBUHNYA JADI REPUT


Tidak jadi saya dan Mat Sitam ke Lancang menjemput Ulung Bahar kerana keadaan Saidon semakin teruk. Terkopak papan-papan dinding ditendangnya. Dia terus mengamuk, tidak peduli ditegah oleh Ngah Jamat sekalipun. Sebab itulah saya dan Mat Sitam mengambil keputusan tidak pergi menjemput Ulung Bahar.
Bukanlah bererti kami mengalah kepada kemahuan Saidon yang sudah dirasuk syaitan itu menyebabkan tidak jadi ke Lancang, tetapi kami tidak sampai hati membiarkan Ngah Jamat seorang sahaja lelaki di situ, sekiranya kami berdua pergi. Cuma Mak Ripah isteri Ngah Jamat yang ada di situ. Jiran-jiran lain belum datang kerana masing-masing belum ke rumah dari bekerja. Ada yang ke sawah, ada yang ke kebun, ada yang ke hutan mencari rotan. 
Mereka semua tidak tahu mengenai penyakit Saidon berbalik semula. Kalau jiran-jiran tahu mereka tetap akan datang menziarah. Mereka kasihan dengan nasib yang menimpa keluarga Saidon. Sebelum Saidon dihinggapi penyakit ganjil itu dia seorang yang selalu mengambil berat tentang jiran-jiran.
Jiran-jiran minta tolong perkara-perkara yang bersangkutan dengan tanah dan cukai tanah di Pejabat Daerah, dia sanggup. Kalau ada kenduri kendara, Saidon terlalu ringan tangan menolong. Kerja-kerja gotong royong juga Saidon akan memainkan peranan utama.
Sebab itulah simpati orang-orang kampung begitu mendalam terhadap Saidon dan keluarganya. Kudis yang menyelaputi seluruh badan Saidon memang meloyakan, Baunya hanyir serta nanah meleleh berlendir. Memang kalau tidak mengenangkan budi baiknya selama ini, orang-orang kampun jijik mahu menziarahi dia.
Tetapi semua derita yang ditanggung oleh Saidon sekarang bukanlah kehendak dia. Hanya Allah SWT yang mengetahui segala-galanya. Memang Saidon sendiri tidak mahu menderita dengan kudis tokak seluruh badan. Siapalah yang mahu berkeadaan begini?
Takdir telah menentukan segala-galanya. Selepas timbul cerita orang berkepala anjing muncul di kampung itulah, Saidon berubah kelakuannya. Dia menjadi orang yang cepat panas baran, berkelakuan perongos dan akhirnya dihinggapi penyakit kudis tokak seluruh badan.
“Bunuh! Bunuh aku !...” gerutu Saidon menyondol-nyondolkan kepalanya ke dinding.
“Sabar Saidon, jangan ikutkan perasaan,” rayu Mak Ripah saya melihatkan keadaan Saidon menyondol-nyondol kepala. Kudis yang berkerak dikepalanya berdarah akibat disondol-sondol.
Dari segi zahirnya kita melihat Saidon marah akan penyakitnya tidak sembuh sekian lama. Itulah yang menyebabkan dia meradang menendang-nendang dinding. Kemudian menyondol-nyondolkan kepalanya ke situ sambil memekik menyuruh orang membunuh dia.
Tetapi saya tidak melihat dari segi zahirnya. Saya yakin penyakit kudis itu bukannya penyakit kulit biasa yang kita lihat. Kalaulah penyakit kulit biasa tentu sudah sembuh bila dibawa ke hospital. Masakan kulitnya bertambah reput di samping beberapa bahagian sudah ditumbuhi ulat-ulat berengau.
“Kita cuba ubatkan dulu, sebelum panggil Ulung Bahar,” bisik saya pada Ngah Jamat, Saya sendiri tidak tertahan hiba di hati melihat keadaan Saidon menyondol-nyondol kepala ke dinding.
Dua orang anaknya yang masih kecil terkebil-kebil mata melihat ayahnya melatam-latam dinding. Mereka juga menangis terisak-isak tidak ketahuan apa. Sementara Lijah memang sudah hilang akal sejak datang menjemput Ngah Jamat tadi lagi.
“Kalau ustaz nak cuba, cubalah...” Ngah Jamat menepuk bahu saya.
“His, Ngah Jamat lah mulakan,” kata saya menginsut punggung ke depan sedikit.
“Saya dah mati akal ustaz,” ujar Ngah Jamat memberi pengakuan.
Serba salah juga saya mendengar jawapan Ngah Jamat. Masakan orang seperti dia kehilangan punca menghadapi suasana demikian. Tetapi semuanya ini adalah atas  pengalaman belaka. Boleh jadi Ngah Jamat belum pernah menerima pengalaman begini meyebabkan dia cepat kehilangan punca. Malah kebanyakan dukun akan kehilangan punca bila pesakit yang di ubatnya sudah sembuh, kemudian penyakinya berbalik semula akibat terlanggar pantang larangnya.
Memang dia tidak berupaya
Untuk mengubatnya lagi setelah penyakit yang sudah sembuh itu, berbalik semula. Teringat saya kepada bapa saudara saya bernama Mat Ali mengubat seorang kawan digigit ular tedung senduk pada bahagian tangannya.
Ular tedung senduk itu ditangkap oleh bapa saudara di sebatang anak sungai. Semasa balik dia bertemu dengan kawannya itu bernama Sahak. Kawannya ini pula memang suka mengikut Mat Ali bermain ular. Sudah menjadi kebiasaan Sahak akan meminta untuk bermain dengan ular, setelah ular berkenaan dapat ditangkap oleh Mat Ali.
Sahak ini pula terlalu nakal. Ketika dia melilitkan ular di lehernya seorang gadis di kampung itu mahu ke sungai. Dia pun mengacah-acahkan ular tedung senduk itu kepada gadis tersebut, menyebabkan gadis itu terperanjat.
Perbuatan Sahak ini menaikkan kemarahan ayah gadis berkenaan, lalu digunakan kebolehan dia menjadikan ular yang sudah jinak tadi garang semula. Sekali gus ular tedung senduk menerkam belakang tangan Sahak. Dia terjerit kesakitan. Mat Ali juga heran bagaimana ular yang sudah dijinakkannya tadi bertukar menjadi garang.
Bagaimanapun Mat Ali menyedari bahawa perbuatan Sahak tadi punca semangat ular berkenaan sudah dipermainkan oleh orang. Mahu tidak mahu  Mat Ali terpaksa melepaskan ular tedung senduk ke dalam belukar kerana dia sudah menjadi liar semula. Setelah ular itu pergi Mat Ali mengubati tangan Sahak yang digigit ular tadi dengan tangkalnya saja.
“Kau jangan menempuh cucur atap dua kali “ kata Mat Ali mengingatkan Sahak. “Bila kau balik ke rumah, terus saja masuk dan jangan keluar lagi selama tiga hari..” dia berpesan sungguh-sungguh pada Sahak.
Apabila melintasi kedai, sahak terlupa pesanan Mat Ali. Dia terus masuk ke kedai itu untuk membeli rokok. Bermakna dia telah melintasi cucur atap kedai sekali ketika memasukinya. Kemudian bila keluar dia melintasi cucur atap buat kali kedua. Tepat seperti yang diingatkan oleh Mat Ali sebaik sahaja Sahak keluar dari kedai dia terasa tangannya seperti direnggut kuat. Kepalanya berpusing langsung jatuh tidak sedarkan diri.
Orang yang ada di kedai terkejut melihat Sahak jatuh tidak sedarkan diri. Kebetulan ketika itu Mat Ali datang ke situ. Melihat keadaan tersebut Mat Ali hilang punca. Dia tidak berdaya lagi untuk membantu Sahak yang sudah melanggar pantangnya.
Mat Ali sendiri menyuruh orang-orang di situ membawa Sahak ke hospital kerana bisa gigitan ular tedung senduk itu sudah tidak dapat dikawal oleh Mat Ali lagi.
Tiga hari Sahak tidak sedarkan diri di hospital.  Tangannya membengkak sampai ke lengan. Apabila dokter cuba mengurut tangan yang bengkak itu turunlah nanah bercampur darah pada bahagian gigitan ular. Semakin diurut semakin banyak darah dan nanah kelua, tetapi akhirnya bercampur dengan daging yang mula reput.
Hampir tiga bulan Sahak terlantar di hospital, barulah dokter mengambil keputusan membuat sedikit pembedahan bagi membuangkan bahagian daging yang mula busuk. Kemudian daging pehanya diambil bagi ditampalkan pada daging yang reput itu.
Inilah kejadian melanggar pantang dukun yang saya ketahui. Kalau lah di patuk ular biasanya dalam masa tiga hari boleh sembuh apabila dbawa ke hospital. Kalau lebih dari jangka masa demikian alamat masa itu akan mati. Tetapi kisah Sahak ini berlainan dari gigitan ular biasa, sebab ular yang mematuk Sahak itu semangatnya sudah dirasuk oleh satu kuasa lain.
Bila mengingatkan peristiwa Sahak ini, saya bandingkan dengan nasib yang menimpa Saidon. Walaupun Saidon bukannya digigit ular tedung senduk, tetapi masaalah yang dihadapinya adalah sama. Penyakitnya sudah sembuh apabila diubat oleh Ngah Jamat, tetapi cabuh semula setelah melanggar pantang.
Saya fikir Saidon tidaklah bersalah bila memakan rendang daging di rumah orang kenduri. Tentu dia merasa penyakitnya sudah sembuh betul. Masakan tidak boleh menjamah rendang daging setelah penyakitnya benar-benar sembuh, Sebab itulah dia berani menjamah. Kalaulah dia tahu cabuh pantang menjadi sedemikian tenat, mungkin dia tidak akan berani menjamah rendang daging seumur hidupnya.
Tetapi mengapa pula dipantangkan memakan daging?
Memang benar semasa anak lelaki saya dihinggapi sejenis kudis, dokter di klinik swasta tidak membenarkan anak saya makin daging, telur, kerang dan ayam. Setelah kudisnya sembuh, sengaja saya suruh anak saya memakan makanan yang dilarang oleh dokter.
Dua hari selepas itu kaki tangan anak saya kembali mengudis dan gatal. Bagaimanapun saya tetap tidak percaya dengan pantang larang makanan ini. Saya membaw anak saya ke klinik kerajaan di Setapak, Kuala Lumpur. Dokter yang merawatnya seorang perempuan bermini telekong. Dia tidak melarang memakan apa jua makanan.Dia memberi ubat minum untuk dua hari dan ubat sapu untuk tiga hari. Kemudian dia menyuruh isteri saya merebus semua pakaian anak-aak saya apabila membasuhnya.
Insya Allah, dua hari selepas itu penyakit kudis anak saya sembuh sampai sekarang.
Sebab itu saya yakin bukan disebabkan tersalah makan itu yang menyebabkan penyakit Saidon berbalik semula. Bagaimanapun saya tidaklah menerangkan kepada Ngah Jamat, kerana bimbang dia berkecil hati. Tetapi dari tingkah laku Ngah Jamat, saya percaya dia seorang yang boleh menerima hakikat sebenarnya. Tidak heranlah mengapa dia mengaku tidak mampu lagi mahu mengubat Saidon.
Lagipun setiap orang dukun mempunyai kepandaian sendiri seperti yang pernah dipelajarinya. Sekiranya dia menghadapi penyakit diluar kepandaiannya, maka cepat-cepat dia mengaku tidak sanggup mengubatinya.
“Cuba lah ustaz...” desaknya beriya-iya. “Kemenyan sebesar tungku tak dibakar, takkan berbau,” katanya menolak paha saya supaya rapat kepada Saidon yang masih menghantuk-hantuk kepala ke dinding.
 “Saya tak berani” jelas saya serba salah dengan desakan Ngah Jamat. “Elok Ngah Jamat mulakan, Insya Allah saya membantu dari belakang,” ujar saya perlahan.
Ngah Jamat bersila rapat merenungi Saidon menumbuk-numbuk dinding. Dia tidak bercakap sepatah pun untuk menyahut kata-kata saya tadi. Matanya tidak berkedip langsung.
Lama dia merenung ke arah Saidon tidak berkedip, tiba-tiba Saidon menjadi lemah. Saidon duduk semula menangis terisak-isak. Dia tidak lagi garang menerkam dnding seperti mula-mula tadi. Tetapi kepalanya dibasahi darah yang mengalir dari kuing kudis.
Setelah Saidon tenang barulah Lijah berani mendekati dia untuk megelap darah yang mengalir dari kuping di kepalanya. Bila disentuh saja oleh Lijah berkeping-keping daging reput lekat pada kain pengelap.Saya juga heran dengan penyakit yang dideritai oleh Saidon, kerana sebelum ini tidak pernah saya melihat penyakit seperti ini.
Tetapi apakah yang mesti diherankan. Allah SWT berkuasa melakukan apa saja.
Apabila Ngah Jamat sudah berkumat kamit mulut menundukkan kepala, saya juga memejamkan mata lalu memulakan zikir. Semakin lama semakin dapat saya rasakan diri saya sudah dapat menghampiri Saidon.
Sehingga saya sampai ke satu kawasan lapang seakan-akan gua batu yang tidak saya ketahui di mana letaknya. Ketika ini saya dapati Saidon hanya terbaring tidak bergerak. Manakala seorang lelaki berkepala anjing duduk menghadapnya. Seluruh badan lelaki berkepala anjing itu dipenuhi kudis dan kutu. Bulunya sudah banyak gugur seolah-olah anjing kurap saja rupanya.
‘Bunuhlah aku! Bunuh.....” jerit lelaki itu seolah-olah anjing sedang menyalak.
“Kalau kau nak mati. Matilah!” dia terkejut bila melihat saya tercegat di depannya. “Mengapa kau siksa Saidon, lepaskan dia pada keluarganya. Kau sendirilah mati! “ bentak saya memandang tajam ke arahnya.
“Awak orang baru di sini, mana tahu hal,” dia memarahi saya.
“Aku tak peduli hal awak,” sahut saya semakin rapat kepadanya. “Kalau badan awak sudah dipenuhi pekung, mengapa awak siksa Saidon. Awak sendirilah tanggung kena pekung seluruh badan.....!” ujar saya menyakitkan hatinya.
“Awak jangan campur, awak orang baru di sini,” bentaknya mahu menerkam ke arah saya. Tetapi ternyata dia tidak berdaya mahu melompat.
“Kalau aku campur ?” saya mahu menguji keberanian dia.
“Awak akan susah nanti !” katanya menakut-nakutkan saya.
“Awak sendiri tak larat nak berjalan ...” ejek saya mengerling dia dalam keadaan susah payah untuk bergerak.
“Aku susah, aku mesti bawa Saidon susah sama,” dia terus memberi amaran kepada saya.
 Saya membacakan Surah As-Safa lalu menghembuskan ke arahnya. Tubuhnya menjadi mengerekot macam dipanggang ke api. Terjerit-jerit dia menahan kesakitan. Laungnya sama seakan-akan salakan anjing.
‘Sekarang cakap siapa kau !” herdik saya mengancam lelaki berkepala anjing itu.
Dia tidak mahu bercakap. Sebaliknya menyalak saya seperti seekor anjing. Bagaimanapun dia tidak dapat menerkam kerana keadaan tubuhnya yang dipenuhi kutu serta kudis berkuping-kuping keras.
“Siapa kau ?” bentak saya lebih keras.
Dia tetap tidak menjawap kecuali menyalak seperti anjing. Dia berligar-ligar juga tidak jauh dari Saidon yang kelihatan terbaring. Di sekelilingnya dipenuhi dengan nanah yang berbau hanyir sehingga meloyakan anak tekak saya.
Bila dia engan memberitahu saya membeacakan Surah Al-Ikhlas tiga kali dan menghembuskan ke arahnya. Terjerit-jerit dia seperti seekor anjing kesakitan terkongkong-kongkong merebahkan badan ke tanah.
“Aku tau siapa kau sekarang...!” ejek saya menyakitkan hatinya. “Kau setan yang tak sempurna, sebab itu kepala kau jadi binatang, jadi anjing...!” bentak saya seterusnya.
Lembaga orang berkepala anjing itu mengolek-golekkan tubuh ditanah menahan kesakitan. Saya tahu, lembaga itulah yang meresap ke tubuh Saidon ketika penduduk kampung diganggu orang berkepala anjing. Tetapi bagaimana Saidon boleh terjerumus jadi demikian?.
“Cakap ! Mengapa kau ganggu Saidon ?” jerkah saya lagi.
Dia mendongak ke atas menyalak nyaring. Seluruh tubuhnya berkudis itu dipenuhi dengan nanah. Ternyata keadaannya benar-benar parah. Tetapi penderitaan itu terpaksa ditanggung oleh Saidon juga.
Disebabkan lembaga orang berkepala anjing itu masih juga tidak dapat bercakap, saya tidak boleh terus menerus menyerangnya. Bagi mencari jalan mendapatkan rahsia dirinya, saya mula menguatkan zikir Ya Latiff. Saya memohon doa kepada Allah supaya lembaga orang berkepala anjing itu memberitahu rahsia sebenarnya. Setelah mendapat rahsia tersebut barulah boleh diusahakan bagaimana mahu menyelamatkan Saidon dari genggamannya.
Selagi rahsia itu tidak diperolehi, saya tidak dapat melepaskan Saidon dari kawalannya. Saidon hanya terlentang sahaja tidak bergerak. Matanya saja terkebil-kebil memerhatikan lembaga orang berkepala anjing itu berligar-ligar di sampingnya. Saidon tidak berusaha langsung untuk melepaskan diri dari kawalan lembaga tersebut.
Selepas saya menamatkan zikir ini saya dapat melihat di mana Saidon mempunyai keinginan mahu belajar dari Ngah Jamat ilmu-ilmu kebatinan. Tetapi dia tidak berani berterus terang. Bagaimanapun dia sering berdamping dengan Ngah Jamat. Satu hari dia telah mencuri buku tulisan tangan Ngah Jamat mengenai jampi serapah dan ilmu perdukunan.
Dengan tidak setahu Ngah Jamat, dia telah menyalin beberpa amalan yang tercatit dalam buku tersebut. Saidon cekal untuk mengamalkan satu ilmu boleh bekerja kuat dengan tujuan dia boleh membuat kerja-kerja berat yang boleh mendapatkan pendapatan lumayan. Tentu dia mudah bekerja kontrak dengan menerima upah yang tinggi.
Dia pun mengamalkan dengan tidak mendapat bimbingan dari guru tertentu seperti Ngah Jamat. Apa yang disalin dari buku catitan Ngah Jamat itu diharapnya akan berhasil memperolehi cita-citanya itu. Inilah kesilapan besar Saidon melakukan amalan dengan tidak berguru. Setiap amalan seharusnya mempunyai guru membimbing supaya amalan itu tidak terpesong.
Tetapi Saidon tidak pernah memikirkannya. Baginya setiap amalan tidak perlu guru, memadai dengan membaca petua-petua seperti yang dicatitkan. Kira-kira 40 malam dia mengamalkan seperti yang disalainnya dari buku catitan Ngah Jamat dia merasa seluruh badannya ditumbuhi bulu. Ketika itu datanglah satu lembaga orang berkepala anjing mengajaknya merayau-rayau ke dalam kampung.
Setiap malam dia keluar mengikut lembaga berkepala anjing itu. Lembaga tersebut melatih dia, membimbing dia dan melindungkan dia dari sebarang ancaman. Sejak itu Saidon tidak lagi mengenal masyarakat kampung. Dalam masa ini Saidon sudah dapat merasakan dirinya cukup kuat kerana mampu memikul sebatang pokok sagu.
Malah dia pernah menguji kekuatannya dengan menggegarkan sebatang pokok kelapa hingga gugur buahnya. Selepas itu yakinlah dia bahawa amalannya selama ini sudah mencapai kejayaan. Sayangnya dia lupa akan lembaga orang berkepala anjing yang memimpinnya selama ini sering membawa dia mengganggu orang-orang kampung pada waktu malam.
Akibat dari gangguan itu orang-orang kampung berkumpul disurau membaca assin. Kesan dari orang-orang kampung membaca Yassin beramai-ramai itulah tubuh orang berkepala anjing itu mula dihinggapi kutu anjing. Akhirnya menjadi gatal serta ditumbuhi kudis seluruh badan.
Ketika dia termasuk perangkap Ngah Jamat, hampir juga dia dibunuh oleh orang-orang kampong. Mujurlah lembaga tersebut datang menyelamatkan dan melarikan dia. Bagaimanapun lembaga berkenaan tidak dapat mengatasi kekuatan Surat Yassin yang dibaca beramai-ramai oleh orang kampung. Penderitaan lembaga orang berkepala anjing inilah yang dirasakan oleh Saidon sekarang.
“Sekarang aku dah tahu siapa awak!” kata saya mencabar lembaga orang berkepala anjing itu.
Dia mahu melompat menerkam saya, tetapi tidak berdaya. Kulitnya semakin reput dan luruh berkeping-keping ke tanah.
“Kau dah nak mati. Kau tak boleh lawan Surat Yassin yang orang-orang kampung baca beramai-ramai dulu. Pergilah kau dan tinggalkan Saidon...” perintah saya mengingatkan dia supaya jangan berkeras.
Dia berpaling ke arah saya. Menyalak seperti anjing garang. Saya tahu dia pun jenis puaka juga. Dia mencari kesempatan bila diseru oleh Saidon dulu, dan meresapi semangat Saidon yang berminat sangat mahu menuntut ilmu-ilmu kebatinan, sekalipun dengan tidak berguru.
Bagaimanapun Saidon mesti diselamatkan. Saya tidak boleh menyerang puaka itu selagi Saidon tidak dapat  dibawa balik, kerana Saidon juga akan terancam sekiranya saya terus menyerang puaka orang berkepala anjing itu. Sebab mereka berdua sama-sama sudah menerima balasan dari Surat Yassin yang dibacakan oleh orang-orang kampung beramai-ramai.
Itulah  saya katakan, sesiapa yang dapat melihat ke dalam makrifat tentang bagaimana kuatnya ayat Allah, akan dapat menyaksikan sendiri bagaimana seksanya syaitan atau kaum kerabatnya apabila diserang dengan ayat-ayat Quran.
Lembaga orang berkepala anjing ini sudah merasakan derita akibat Surat Yassin itu. Seluruh tubuhnya ditumbuhi kudis. Dagingnya semakin reput jatuh berkeping-keping luruh seperti daun-daun kering. Tetapi dia masih tidak mati. Dia tetap bertahan walaupun bagaimana derita sekalipun.
“Kau dah tak tahan dengan bacaan Yassin dulu...” kata saya cuba memujuknya mengalah. “Sekarang lepaskan Saidon. Biar dia dijaga oleh keluarganya...” tegas saya sambil perlahan-lahan meniupkan Fatihah tiga kali.
Semakin dihembuskan Fatihah semakin luruh dagingnya berkeping-keping. Barulah saya dapat fahami bahawa langkah Ngah Jamat melarang Saidon memakan daging sesudah sakitnya sembuh dulu, adalah untuk menjauhkan dari orang berkepala anjing. Sekiranya Saidon dapat semla ke tangannya, dia tentu membalas dendam kepada Saidon. Bukan lagi bersahabat dengan Saidon seperti sebelumnya.
Apa yang dialami oelh Saidon sekarang adalah kesan dari balas dendam lembaga berkenaan. Ertinya kalau dia tersiksa biarlah sama-sama tersiksa. Saya cuba menjauhkan lembaga tersebut dari Saidon, tetapi dia seolah-olah tahu maksud saya. Dia tidak mahu bergerak jauh dari sisi Saidon.
Saya boleh menyerangnya dalam keadaan demikian. Bagaimanapun Saidon tentu terancam sama. Dalam keadaan begini mereka berdua sebenarnya sudah bersatu. Hanya untuk merenggangkannya menjadi masalah sedikit. Kecuali kalau Saidon berupaya menentang lembaga tersebut maka bolehlah saya membantu.
Dalam masa saya teragak-agak mencari jalan ini, Ngah Jamat muncul dari satu kepulan asap putih dari penjuru sebelah kanan. Saya lihat dahi Ngah Jamat bercahaya memancar-mancar hingga menyilaukan mata lembaga tersebut melihatnya.
“Dah lama aku bersabar dengan kau.....!” bentak Ngah Jamat keras. Suaranya bergema sampai mengegarkan bumi tempat lembaga itu berjejak.
“Aku tak cari Saidon, tapi dia yang cari aku...” sahut lembaga itu terketar-ketar. Suaranya tidaklah berapa jelas kerana seakan-akan rungutan anjing juga.
“Aku dah suruh kau pisahkan dia !” Ngah Jamat semakin marah.
“Dia cari aku lagi.....” katanya ketakutan.
“Apa pasala kau terima dia, bukankah kau dah berjanji tak akan menganggu lagi........" jerkah Ngah Jamat bercekak pinggang. Cahaya dari dahinya semakin bersinar menyilaukan.
Saya lihat lembaga itu terlalu takut melihat kehadiran  Ngah Jamat. Tidak seperti semasa berhadapan dengan saya. Bagaimanpun dia tetap tidak bergerak jauh dari sisi Saidon. Memang Ngah Jamat juga tidak akan menyerang lembaga berkepala anjing itu selagi dia tidak menjauhkan diri dari Saidon. Lagipun adalah mustahil mahu memisahkannya kerana ekor lembaga tersebut bercantum dengan ekor yang tumbuh pada Saidon.
Masaalah itu yang saya perhatikan sejak tadi. Kalau lembaga itu terus diserang bererti Saidon juga terancam.
Mungkin dengan kedatangan Ngah Jamat ini boleh mengelirukan lembaga berkenaan. Silauan cahaya di dahi Ngah Jamat mungkin boleh saya gunakan kesempatan untuk melepaskan cantuman dua ekor tersebut.
“Saidon tak bersalah, dia tak pernah panggil kau !” Ngah Jamat memberi ingatan keras. “Dia beramal tak berguru, mengapa kau berani mengaku guru...?” suara Ngah Jamat bergema dan mengerunkan.
Silauan cahaya di dahi Ngah Jamat semakin menganggu pandangan lembaga tersebut. Dia berpusing – pusing mahu menyembunyikan matanya dar silauan cahaya itu. Ternyata Ngah Jamat bukanlah sebarang dukun biasa, tetapi seorang ahli agama yang bermertabat. Tidak salah tekaan saya selama ini bahawa Ngah Jamat bukanlah sembarangan.
Memang saya sedari silauan cahaya di dahi Ngah Jamat itu adalah menunjukkan zikirnya yang mantap. Silauan zikir yang mantap itu tidak akan dapat ditentang oleh syaitan. Mata syaitan akan terbakar tatkala merenungi dahi orang-orang yang mempunyai zikir yang mantap.
“Kalau kau degil, seluruh keturunan kau akan mengutuk !” .  Ngah Jamat.
Dalam sekelip mata saja beratus-ratus lembaga orang berkepala anjing menjelma disitu. Semuanya menyalak seperti anjing menghadap lembaga yang dipenuhi kudis tokak seluruh tubuh itu. Salakkan itu menggerunkan siapa saja yang mendengarnya.
“Berhenti......!” perintah Ngah Jamat. Semua lembaga orang berkepala anjing itu patuh kepada perintahnya. Silaun cahaya di dahinya semakin bersinar memancar-mancar seperti matahari terbit pagi.
Bagi saya tidaklah mengherankan bila Ngah Jamat boleh memerintah semua lembaga orang berkepala anjing yang beratus-ratus itu. Kalau dengan doa dan ayat-ayat Allah, Nabi Sulaiman boleh memerintah seluruh makhluk jin termasuk syaitan, bukanlah mustahil bagi Ngah Jamat melakukan demikian bila sudah mengamalkan doa-doa tertentu dari ayat-ayat Quran itu.
Tidak menjadi kesalahan kalau kita menggunakan syaitan-syaitan untuk memerangi syaitan-syaitan yang lain. Sebaliknya kalau kita bersahabat dan meminta pertolongan dari syaitan, ini adalah bertentangan dari akidah. Sebab itulah ramai alim ulama tidak membenarkan sangat kita mempelajari kebatinan Islam, kalau tidak mendalami pengajian Islam.
Sebab itulah saya tercari-cari tentang kebatinan Islam ini. Tetapi janganlah fikir semuanya dapat dengan mudah, kecuali dengan izin Allah belaka.
Berbalik kepada cerita Ngah Jamat tadi, saya melihat beratus-ratus lembaga berkepala anjing sudah mengawal Saidon dari ancaman lembaga yang penuh ditumbuhi kudis itu.
“Kau yang bersalah, maka kau sendiri mesti menerima hukuman,” ujar Ngah Jamat memberi isyarat kepada lembaga berkepala anjing yang lain supaya melepaskan Saidon. “Kau tak akan lepas lagi, kawasan ini semua sudah dikawal oleh ustaz tu....” kata Ngah Jamat menudingkan jari ke arah saya.
Rupa-rupanya Ngah Jamat sudah pun tahu saya ada di situ. Dengan ini saya semakin bersemangat kerana saya tidaklah berseorangan menghadapi lembaga orang berkepala anjing yang mengancam Saidon.
Lembaga itu memang tahu dirinya sudah terkurung, sebab itulah dia semakin gementar dengan kedatangan Ngah Jamat. Pada mula-mulanya dia hanya berpura-pura  saja mahu menentang saya, pada hal dia sendiri tahu kekuatannya tidak dapat menandingi kekuatan ayat Quran yang saya bacakan.
Seperti tidak bermaya lembaga yang dipenuhi kudis itu mengelak sedikit apabila beratus-ratus kaum kerabatnya yang mematuhi Ngah Jamat melepaskan Saidon darinya. Dia terjerit-jerit sebaiknya Saidon diambil oleh kaum kerabatnya lalu diserahkan kepada Ngah Jamat.
Kemudian mengelupur ke atas tanah menahan siksa yang amat sangat. Selama ini kesakitannya dikongsi bersama oleh Saidon. Tetapi selepas Saidon dipulangkan kembali oleh kaum kerabatnya kepada Ngah Jamat, dia menganggung siksa akibat bacaan Surat Yassin itu bersendirian saja.
Ngah Jamat pun menyuruh semua lembaga orang berkepala anjing meninggalkan tempat itu. Mereka semua mematuhi perintah Ngah Jamat, lalu ghaib dari pandangan saya.
Selepas itu dia memberi isyarat kepada saya mengajak balik semula. Dia sendiri yang mengawal Saidon untuk dibawa balik. Kemudian kami berdua pun berpisah.
Apabila saya membuka mata, saya dapati Saidon sudah terbaring letih. Manakala Ngah Jamat sedang menghisap rokok daunnya. Dia tersenyum melihat saya masih lemah.
“Syukurlah ustaz ada membantu....” katanya sambil menghulur gelas berisi kopi o. Saya tidak menyahut, kerana pengalaman begini hanya saya dan Ngah Jamat saja yang dapat merasakan. Sedangkan jiran-jiran yang lain tidak tahu apa-apa mengenai apa yang telah berlaku.
“Insya Allah, abang Saidon akan sembuh kak...” saya memberitahu Lijah yang masih dalam keadaan sedih.
Keesokkan harinya saya diberitahu oleh Lijah, kudis di seluruh badan Saidon sudah mulai kering. Tidak ada lagi nanah membengkak. Bagaimanapun saya terpaksa balik juga setelah tidak disangka-sangka sampai dua malam di rumah Ngah Jamat.
Alhamdulillah, saya mendapat khabar dari Mat Sitam, dua minggu selepas itu penyakit  Saidon sembuh betul.
-------Selesai------

No comments:

Post a Comment