MEMANG tanah bersempadan dengan tapak rumah Alang Limah itu dibeli oleh Anjang Kimin dari pesaka peninggalan keluarga Alang Limah sendiri. Terpaksa pula mereka ke pejabat tanah untuk pecahkan geran supaya mudah membayar cukai masing-masing
Alang Limah sendiri tidak berupaya mahu menghalang
apabila emak saudaranya Uda Kesum berkeras mahu jualkan. Kadangkala bertengkar
juga mereka fasal mahu membayar cukai ke pejabat daerah. Uda Kesum jarang mahu
dahulukan bayar cukai, kalau Malim Kecik kepejabat daerah urusan cukai tanah
berkenaan.
Apa lagi' mahu pecahkan geran tentulah Uda Kesum
mengelak. Kalaulah tidak disebabkan dia mandul sampai tidak beranak seorang pun
memang dia rela turunkan tanah pesaka itu kepada anaknya Alang Limah.
Tidak lama selepas jualkan tanah tersebut kepada Anjang
Kimin, tiba-tiba sahaja Uda Kesum diganggu sakit dalam perut. Puas berubat
hingga ke Jerantut pun, penyakitnya tidak mahu seruh. Duit hasil jual tanah
yang diterima daripada Anjang Kimin juga habis digunakan untuk berubat menemui
dukun ke sana ke mari.
Setelah didesak oleh Alang Limah supaya berubat ke hospital,
terpaksa juga Uda Kesum mematuhi. Siapa lagi boleh diharap kalau bukan anak saudara
sendiri. Lama juga terkejang di hospital akhirnya Uda Kesum menutup mata
rapat-rapat akibat lumpuh seluruh badan selepas mengidap sakit perut berpanjangan.
"Kami beli pun selepas berunding dengan Limah,"
jelas Utih Bedah setelah diberitahu mengenai gangguan di rumah limas
peninggalan suaminya Anjang Kimin. Dia sendiri terkejut setelah diceritakan
oleh Cikgu Sidik kejadian Saerah terserempak jelmaan Anjang Kimin memaku
dinding rumah.
Tetapi Utih Bedah mengakui suaminya seringkali mengeluh
kerana bermimpi jatuh tangga reput hingga terasa pinggangnya sakit. Kadangkala
kakinya lenguh-lenguh tidak menentu sebelum jatuh sakit terkejang di tempat
tidur.
Bagaimana Utih Bedah mahu mempercayai kalau suaminya
sekadar bermimpi. Beberapa kali juga Anjang Kim in merangkak di bawah katil
akibat diganggu mimpi berkenaan.
Memang dia melihat dinding dapur rumah tergajai
disebabkan papannya sudah reput. Tidak bertangguh dia mencapai martol untuk
memaku semula papan dinding biar kukuh tidak tergajai. Dia juga sandarkan
tangga untuk memaku dinding yang tinggi melangkaui kepala.
Sewaktu tangannya mahu memaku dinding kakinya berjejak
goyah di tangga disebabkan reput. Belum sempat tangannya berpaut tubuhnya sudah
tercampak ke tanah. Apabi la dia terkial-kial mahu bangun terasa pinggangnya
sakit hingga kaki juga lemah tidak bermaya. Serentak dengan itu dia terjaga
dengan tergolek di bawah katil terkial-kial.
Sebab itu Utih Bedah ketawakan dia sampai terkekeh-kekeh
di tengah malam. Geli benar hatinya apabila kenangkan suaminya yang sudah tua
boleh jatuh dari katil. Lainlah budak-budak tengah lasak memang tidak
menghairankan sekiranya jatuh ke bawah katil demikian.
Malah dia tidak peduil sangat apabila Anjang Kimin
beritahu mengenai mimpinya. Beberapa kali jatuh katil memang Anjang Kim in
diganggu mimpi yang sama. Bukan isterinya Utih Bedah sahaja tertawakan dia
fasal mimpi berkenaan, malah anaknya Bahari juga tertawakan.
"Ayah percaya dengan mimpi?" usik Bahari
mengerling ayahnya yang murung setiap kali kenangkan mimpi berkenaan.
"Buat malu aje, dah tua-tua jatuh katil!"
sengaja Utih Bedah mengejek suaminya.
"Aku pun tak mahu jatuh!" sahut Anjang Kimin
kesal dengan ejekan Utih Bedah. "Tapi, ini bukan perkara mimpi, mungkin
perkara lain," dia mendengus seolah-olah terkilan dengan kejadian yang
menimpa dirinya.
"Perkara apa lagi?" Bahari tetap tidak percaya
dengan alasan yang diberikan oleh ayahnya. "Ayah mimpi jatuh tangga, sebenarnya
ayah jatuh katil," ujar-nya ketawa memanjang disebab-kan ayahnya terlalu
percaya kepada mimpi.
Sepanjang dia terkejang sakit, memang Anjang Kim in tidak
mahu berubat ke hospital. Biar-lah dia tengadah kasau atap di rumahnya kalau
anak-anaknya tidak berupaya menemukan ubatnya. Dia tetap berpegang kepada mimpi
yang dialaminya hingga beberapa kali jatuh dari katil.
Bukan mudah mahu memu-juk Anjang Kimin supaya di-bawa ke
hospital. Marah benar dia asal sahaja didesak, sekalipun sepanjang malam dia
mengerang kesakitan. Terpaksa-lah Utih Bedah mematuhi apa sahaja kemahuannya selama
terkejang di tempat tidur.
Tetapi tanah
pesaka yang dibeli dari Uda Kesum itu tidak ada kena mengena dengan Anjang
Kimin. Memang Uda Kesum sendiri yang mendesak supaya mereka bell sahaja disebabkan
sukar mahu membayar cukai selagi tidak pecah geran. Kadangkala tersinggung juga
Uda Kesum apabila didesak oleh anak saudaranya Alang Limah.
Kalau tidak kenang anak kakaknya sendiri memang mahu juga
Uda Kesum mencarut-carut biar Alang Limah terkebil-kebil mata! Apa sangat yang
dihebohkan dengan cukai tanah kampung yang tidak seberapa. Siapa sahaja yang
pegang geran boleh bayar cukai terlebih dahulu. Selepas itu mereka boleh
berkira sama ada dibahagi dua atau pun tidak.
Disebabkan dia tidak mahu berpanjangan sebok mengenai
cukai tanah, fasal itulah Uda Kesum rela jualkan sahaja tanah berkenaan. Puas
juga dia memujuk Anjang Kimin membelinya biar mudah dipecah geran. Apa sangat
dikira dengan tanah peninggalan emaknya, kerana dia sendiri sudah memadai
dengan tapak rumah yang diwariskan oleh suaminya.
"Tapi, Uda Kesum memang pernah beritahu saya,"
tutur Alang Limah apabila diberitahu mengenai mimpi yang dialami oleh arwah
Anjang Kimin itu.
"Fasal Anjang
Kimin?" berdebar juga hati Utih Bedah dengan penjelasan Alang Limah. Kalau
dia sudah tahu kenapa didiamkan sahaja selama dengan tidak diberitahu
kepadanya.
"Bukan Anjang
Kimin," sahut Alang Limah mengisar duduk berpaling ke arah saya yang
terconggok di sebelah Cikgu Sidik. "Arwah Uda Kesum beritahu mengenai
moyangnya Pateh Deman," gementar juga suara Alang Limah apabila kenangkan
cerita yang disampaikan oleh Uda Kesum kepadanya.
Cikgu Sidik juga
berpaling ke arah saya sambil menghela nafas. Kalau tidak saya yang memulakan
bertanya mengenai tanah pesaka tersebut, memang Alang Limah sendiri tidak ambil
peduli sangat mengenai nenek moyangnya Pateh Deman itu.
Memang kampung tersebut diteroka lama semenjak Pateh Deman
datang ke situ. Bukan in tidah meneroka tanah hutan yang banyak binatang liar
melintas. Kadangkala tengah malam ngauman harimau juga dapat didengar di
sebalik bukit.
Sebab itu tidak siapa pun berani meneroka tanah hutan
kalau tidak berani berhadapan dengan gangguan binatang liar. Semenjak datang ke
situ memang Pateh Deman tidak bimbang kalau
takat binatang liar terjongol di tepi belukar.
Isterinya Nenek Birah sendiri sudah beberapa kali
terserempak suaminya tidur di atas perut harimau apabila keletihan selepas
penat memugar kebun. Sementara dia bawakan nasi bekal ke kebun baru diteroka,
Pateh Deman akan berteduh di bawah pokok rendang untuk berehat. Dia tidak
peduli sama ada berbaring di sisi harimau belang tengah lapar sekalipun.
Memang tergamam juga Nenek Birah apabila pertama kali
melihat kejadian demikian. Tetapi setelah beberapa kali terserempak dia sendiri
tidak bimbang apa-apa. Lantas sahaja dia melaung dari jauh supaya suaminya
bangun segera. Sekiranya Pateh Deman masih tidur bimbang juga dia mahu merapati
harimau yang terkuap-kuap sambil menjelirkan lidah tatkala menganga lebar itu.
Sebaik sahaja dikejutkan setelah dilaung oleh Nenek
Birah, segera sahaja Pateh Deman bingkas bangun. Dia akan menampar-nampar
punggung harimau itu supaya berundur masuk ke dalam belukar. Tidak bertangguh
harimau garang itu menyusup masuk ke dalam belukar.
"Awak ni, musuh pun buat main-main!" gerutu
Nenek Birah memerhati suaminya bersiap-siap untuk menyuap nasi.
"Manalah pula musuh, kalau musuh tentu dah
dibahamnya aku," sahut Pateh Deman ter-sengih-sengih mengerling
isteri-nya.
"Lambat laun tentu dibaham-nya juga," ujar
Nenek Birah melepaskan geram.
"Kalau ajal memang terletak pada taring dia, macam
mana nak elakkan," selamba Pateh Deman menjelaskan lantas menyuap nasi ke
mulut.
Sebelum jejak kaki ke situ, memang Pateh Deman sudah
bersedia menghadapi apa sahaja. Perkara harimau liar di tengah hutan tentu
tidak sama dengan dia disuruh gurunya bertapa sampai seratus hari. Tatkala berseorangan
di tengah gua jauh di, hutan belantara, dia mengalami bermacam-macam ujian yang
perlu ditempuhi.
Bukan takat harimau belang tercangkung di depannya menjilat-jilat
dada, malah ular sebesar batang kelapa juga menelannya sampai terasak ke usus.
Kalau tidak tabah menempuh ujian demikian, tentu Pateh Deman tidak sempat batik
menemui gurunya. Selepas gurunya mati, Pateh Deman sengaja mengambil keputusan
untuk berhijrah ke Tanah Melayu.
Dia berkahwin dengan Nenek Birah juga bukanlah di kampung
berkenaan. Tetapi setelah bernikah di Johor barulah dia berpindah mencari
tempat untuk meneroka. Tidak pernah pun dia beritahu mengenai amalannya kepada
Nenek Birah.
Apabila ramai orang meneroka di kampung itu, mereka
kenali Pateh Deman memang pandai bertukang kayu. Bukan takat dirikan rumah dia
boleh bertukang, sampaikan buat sarung dan ulu parang pun orang-orang kampung
tempah pada Pateh Deman.
Seisi kampung tahu dia tukang kayu yang mahir. Di sebalik
kemahiran Pateh Deman itulah Nenek Birah memahami asal sahaja dia mengetuk paku
ke dinding nescaya anak gadis akan mencarinya. Mereka tahan tercangkung memerhatikan
Pateh Deman bertukang sambil mengusik dengan senda gurau.
Memang cemburu juga Nenek Birah apabila gadis-gadis yang
datang mengilai ketawa tatkala usik mengusik dengan Pateh Deman. Tetapi dia terpaksa
pendamkan rasa cemburu itu jauh di sudut hati kerana suaminya tidak pernah
mencari gadis-gadis berkenaan. Hanya gadis-gadis itu datang melangut sehari
suntuk sebaik sahaja mendengar Pateh Deman mengetuk paku ke dinding.
"Wak ajarlah kita bertukang," usik Tisah gadis
berusia enam betas tahun yang datang melihat Pateh Deman bertukang rumah.
Sengaja dia ke situ hingga tidak jadi mahu ke sungai membasuh pakaian.
"Ah, orang perempuan kerjanya membasuh pakaian,
bukannya bertukang rumah," ujar Pateh Deman berpura-pura menasihati gadis
berkenaan.
"Kalau wak ajar apa salah-nya, boleh juga saya bantu
wak bertukang," terkekeh-kekeh Tisah mengerlingnya lantas melontarkan kain
ke arah lelaki tersebut.
Bukan Tisah sahaja
yang tergoda kalau mendengar Pateh Deman mengetuk paku ke dinding. Ramai gadis
sebaya di kampungnya akan berebut-rebut menjengah muka di tempat Pateh Deman
bertukang. Kalau tidak bertukang rumah pun, mereka akan cari juga di rumah
Pateh Deman apabila lelaki itu mengetuk paku ke mana-mana.
Siapa pun tidak berani melarang sekiranya gadis-gadis itu
datang mencari Pateh Deman. Bimbang juga mereka sekiranya gadis-gadis itu dipengapakan
oleh lelaki itu. Kalau tidak digalang tentu Pateh Deman tidak akan merosakkan
gadis-gadis yang boleh dianggap anak-nya itu.
Lagi pun anak-anak Pateh Deman sendiri sudah ada yang
berkahwin. Tentulah dia tidak tergamak mahu merosakkan gadis-gadis berkenaan
itu sekiranya orang-orang kampung tidak menyinggung perasaan dia. Takat usik
mengusik apa sangat salahnya.
Tetapi Nenek Birah tidak boleh biarkan Pateh Deman
menggoda gadis-gadis yang masih muda. Lambat laun tentu hati suaminya akan
terbuka juga mahu mengambil gadis ber-kenaan menjadi isteri. Masakan boleh
dibiarkan panggang di depan kucing sekalipun takat dihidu-hidu sahaja!
Memang nikah juga Pateh Deman dengan Tisah setelah
beberapa kali mereka bertemu. Keputusan Pateh Deman mahu menikah gadis yang
sebaya dengan anaknya itu tidak dapat dihalang oleh sesiapa pun. Malah
anak-anaknya juga tidak berani membantah setelah ayahnya membuat keputusan
demikian.
Nenek Birah yang mula-mulanya terkilan dengan perbuatan
suaminya itu, terpaksa juga mematuhi. Apalah gunanya dia menggalang kalau Tisah
sendiri sudah rela dimadukan. Bukannya Tisah tidak tahu mengenai Pateh Deman
yang sudah beristeri dan beranak pinak!
Tiga bulan selepas Pateh Deman bernikah dengan Tisah itulah
tiba-tiba Nenek Birah dikejutkan tengah malam oleh bayangan wanita muda
berpakaian serba putih kain kasa. Terkejut juga Nenek Birah kerana disangkanya
dia bermimpi.
Tetapi dia belum pun tidur tatkala bayangan wanita muda itu
menjelma. Dia masih terconggok di tengah rumah menganyam tikar, disebabkan
Pateh Deman bermalam di rumah Tisah.
"Kakak tahu ke, Pateh Deman dah melanggar
pantang," beritahu wanita muda itu mengibas-ngibas pakaiannya hingga
terbau haruman wangi di segenap penjuru rumah.
"Ah,
biarlah!" sahut Nenek Birah tergamam dengan jelmaan bayangan wanita
berkenaan.
"Jangan kata
biar, kakak," lantas wanita muda itu mengingatkan dia. "Ilmu amalan
dia to dipantangkan nikah dua, lainlah kalau isteri tuanya meninggal
dunia," ujar wanita muda itu tersengih-sengih macam mengejek Nenek Birah.
"Biarlah dia
tanggung sen-diri!" sengaja Nenek Birah melepaskan geram kerana menuduh
wanita muda itu sengaja mahu menyakiti hatinya.
"Manalah tahu dia akan bunuh kakak, kerana takut
terlanggar pantang," semakin galak wanita muda itu menghasut biar Nenek
Birah hilang sabar. Tetapi dia tabahkan hatinya melawan godaan itu kerana
menyedari di hadapannya hanya jelmaan syaitan yang mahu merosakkan rumah
tangganya.
"Pateh Deman bukan gila!" tegas Nenek Birah
mencemik muka meluahkan rasa bencinya
"Sebelum dia bunuh kakak, eloklah kakak bunuh
dia," tersengih-sengih bayangan wanita muda itu menghasut untuk
me-nimbulkan rasa dendam Nenek Birah.
Disebabkan Nenek Birah tidak termakan hasutan, berulang
kali bayangan wanita muda itu menjelma. Malah tatkala Pateh Deman balik
bermalam di rumah pun jelmaan wanita muda itu tercegat di depan Nenek Birah
sewaktu Pateh Deman tengah nyenyak tidur.
Tetapi Nenek Birah tetap berkeras tidak mempercayai
hasutan bayangan wanita yang menjelma itu. Hinggalah Pateh Deman terjatuh
memanjat tangga untuk memaku dinding tatkala bertukang rumah, tiba-tiba sahaja
Tisah memarahi Nenek Birah.
Berkeras dia menuduh Nenek Birah sengaja menolak tangga
sampai Pateh Deman jatuh tertumus ke tanah. Hairan juga Nenek Birah apabila dia
dituduh sengaja mahu cederakan suami sendiri hingga tergamak menolak tangga
sewaktu Pateh Deman memanjat.
Memang Tisah nampak Nenek Birah yang menolak tangga
berkenaan. Apabila dia menerpa datang cepat-cepat Nenek Birah berlari
meninggalkan tempat itu. Disebabkan ter-lalu geram terus sahaja Tisah menyerbu
ke rumah Nenek Birah. Tidak percaya dia sekali-pun Nenek Birah mengaku dia
tidak pernah jejak kaki melihat Pateh Deman bertukang.
"Buat apa aku nak aniaya Pateh Deman!" marah
benar Nenek Birah apabila diserbu oleh Tisah demikian.
"Sebab Kak Birah mahu sama-sama putih mata,"
ujar Tisah bercekak pinggang tidak mahu menerima alasan yang diberikan oleh
madunya.
"Pateh Deman batik atau tak balik ke rumah, aku tak
hairan," jelas Nenek Birah tulus ikhlas kerana tidak berasa terkilan
se-kalipun suaminya tidak batik ke rumah.
"Habis, kenapa Kak Birah tolakkan tangga sampai wak
jatuh?" Tisah semakin garang kerana tidak mahu-mengalah.
"His, aku tak apa-apa, buat apa nak bising!"
segera Pateh Deman memujuk Tisah supaya tidak berkeras sangat mahu me-lawan
Nenek Birah.
Tetapi Tisah tidak puas hati. Dia menuduh Pateh Deman
sengaja mahu berdalih untuk melindungi Nenek Birah. Memang dia sendiri melihat
Nenek Birah tercegat di kaki tangga sewaktu Pateh Deman memanjat mahu memaku
dinding rumah. Belum sempat Tisah melarang, Nenek Birah sudah menolak tangga
berkenaan sampai Pateh Deman terhumban ke tanah.
Terkial-kial Pateh Deman bangun sambil menepis-nepis
pasir yang melekat ke kaki seluar. Sekalipun Tisah menuduh Nenek Birah yang
menolak tangga, memang Pateh Deman tidak melihat sesiapa pun tercegat di kaki
tangga berkenaan. Dia sekadar tidak dapat imbangkan badan menyebabkan
tergelincir daripada tangga hingga terhumban ke tanah. Lagi pun tidak patut
Tisah merungut marah, kerana dia tidak cedera apa-apa.
"Wak sengaja nak lindungkan Kak Birah!" gerutu
Tisah tidak puas hati dengan keputusan suaminya menyebelahi Nenek Birah.
"Memang aku tak nampak Birah menolak tangga,"
dia tetap berkeras menjelaskan kejadian sebenarnya.
"Tapi, saya nampak Kak Birah yang buat!" ujar
Tisah semacam tidak percaya dengan kejadian yang dilihatnya sendiri.
Masakan dia berbohong sebaik sahaja nampak Nenek Birah
menjeling ke arahnya lantas menolak tangga yang dipijak oleh Pateh Deman.
"Agaknya kau terkeliru," perlahan Pateh Deman
menuturkan setelah menyedari dia meIanggar patang larang amalan-nya.
Tahu sangat dia permainan mengetuk paku ke dinding itu
sekadar mahu memikat perempuan sahaja. Dia tidak dibenarkan nikah dengan
perempuan yang dipikat demikian, kecuali isteri tuanya meninggal dunia. Selagi
Nenek Birah masih hidup, bayangan wanita muda itu akan menjelma mengganggunya.
Geli geleman juga Pateh Deman apabila kenangkan wanita
muda yang menjelma itu. Memang dia tahu jelmaan puteri malam apabila mendampinginya
semasa tercegat di tengah gua amalkan petua gurunya. Puteri malam itu hodoh
dengan kulitnya bersisik laksana ular membelit mangsa. Dia mesti melayani
kemahuan puteri malam itu, kalau memerlukan ilmu pemikat yang digeruni.
Asal sahaja dia
tidak berkahwin lebih dari satu, sampai bila pun puteri malam tidak akan
menjelma di sisinya. Tetapi Pateh Deman sudah bersedia melawannya disebabkan
dia amalkan banyak petua untuk mempertahankan diri. Kalau puteri malam mahu
mencuba, bila-bila Pateh Deman akan seru sanggurung yang menjaga tujuh lurah
mendampingi dirinya!
Apabila jelmaan sanggurung sudah meresap dalam dirinya
tidak siapa pun boleh halangi dia hatta puteri maim sekalipun! Sanggurung
berkepala tujuh akan tercegat memusnahkan siapa sahaja yang cuba menguji
ke-tangkasan Pateh Deman.
Memang puteri malam tidak berani tunjukkan muka setelah
sanggurung berkepala tujuh tercegat melindungi Pateh Deman. Setelah menyedari
gangguan puteri malam itu, terpaksa Pateh Deman menyeru sanggurung berkepala
tujuh itu meresap dalam dirinya. Hingga dia dapat merasakan dirinya terconggok
di celah-celah tengkuk sanggurung melayang ke udara. Sebaik sahaja sampai di
tengah padang luas tidak bertepi mereka ter-serempak puteri malam menunggu
dengan mata bersinar meman-car api.
"Kau telah melanggar pan-tang, Deman!" bentak
puteri malam mencebek bibir.
"Apo kau nak buat sekarang?" sanggurung
berkepala tujuh bertempik hingga suaranya bergemuruh di udara.
"Salah seorang isteri kau mesti dihapuskan!"
sahut puteri malam selamba dengan ejekan menyakiti hati.
"Kalau kau ganggu isteri Deman, aku akan hancurkan
kau," tegas sanggurung memberi amaran keras.
"Kamu jangan masuk campur urusan ini!" marah
juga puteri malam apabila diancam demikian.
"Jangan tunjuk keras kepala," sanggurung
berkepala tujuh menghembuskan pancaran api hingga membakar keliling puteri
malam.
Terpaksa puteri malam melayang ke udara mengelakkan diri
dari terjahan api itu. Pateh Deman sendiri melihat puteri malam
termengah-mengah melarikan diri dengan dendam membara. Tetapi Pateh Deman tidak
bimbang apa-apa selagi sanggurung berkepala tujuh itu melindungi dia.
Hanya beberapa minggu selepas itu Tisah pula terkejut
apabila wanita muda itu menjelma di bilik tidur tatkala menunggu Pateh Deman
balik ke rumah. Berdebar juga hatinya apabila puteri malam perkenalkan diri
sebagai sahabat yang mahu membantunya.
Mudah sangat dia mempengaruhi Tisah yang memang berdendam
dengan Nenek Birah, sebaik sahaja dituduh madunya mahu aniaya dirinya. Sengaja
puteri malam tunjukkan bisa santau yang mahu diberikan oleh Nenek Birah untuk
membunuh Tisah.
"Tapi, kakak
tak sampai hati nak buat pada adik," pujuk puteri malam sengaja
menimbulkan syak wasangka di hati Tisah.
"Dia beri pada kakak suruh santau saya?"
menggertap bibir Tisah setelah diberitahu demikian.
"Takkan kakak
nak buat, kakak kesihankan adik," sahut puteri malam mengunjukkan botol
berisi ulat bubuk kepada Tisah. "Simpanlah santau ini, dan gunakan bila
adik perlu," jelas puteri malam tersenyum setelah Fisah mempercayai desakan
dia.
"Bolehkah santau ni diubat?" sengaja Tisah
ingin tahu sekiranya masih boleh ditemui penawar. Tentulah dia tidak dapat
sembunyikan rahsia sekiranya Nenek Birah dapat mencari penawar santau
berkenaan.
"Semua penyakit ada penawar," beritahu puteri
malam ingatkan dia supaya berhati-hati.
Tisah tidak beritahu apa-apa pada Pateh Deman mengenai
jelmaan puteri malam itu. Dia sendiri bangga setelah diberi botol berisi ulat
bubuk yang boleh terbang mencari mangsa. Asal sahaja diseru nama mangsa nescaya
ulat bubuk itu akan menuju ke sasaran. Sekaligus debu santau akan jatuh ke
dalam makanan sebaik sahaja kepaknya dikembang-kuncupkan.
Memang sudah lama juga Tisah harapkan orang akan membantu
dia pisahkan Pateh Deman daripada Nenek Birah. Dia tahu anak-anak Nenek Birah
memang memusuhi dirinya disebabkan berkahwin dengan ayah mereka. Tentu
anak-anak Nenek Birah dihasut supaya membenci dirinya!
Sebab itulah dendam Tisah lama sangat bergejolak dalam
hatinya. Kalau puteri malam tidak menjelma mengunjukkan ulat bubuk bersantau
pun, memang Tisah akan usahakan juga. Hati siapa tidak terluka apabila suami
sendiri menyebelahi madu tatkala berbalah panjang.
Tersinggung benar dia apa-bila Pateh Deman sengaja
mempertahankan Nenek Birah, sekalipun dia nampak madunya itu menolak tangga
hingga suami mereka jatuh berguling di tanah. Tetapi Pateh Deman sengaja
berpura-pura tidak melihat Nenek Birah melakukannya. Sepatutnya Pateh Deman
menyebelahi dirinya kerana mahu menyelamatkan suami sendiri dianiaya.
Sebaik sahaja diberi botol berisi ulat bubuk, tidak
bertangguh Tisah ikutkan petua yang ditunjukkan. Selepas diasap dengan
kemenyan, dia terus lepaskan bubuk berkenaan dengan memerintah ke rumah Nenek Birah.
Dia sendiri dapat bayangkan bagaimana bubuk itu melayang pantas mencari air
minuman di rumah Nenek Birah.
Memang Tisah seolah-olah nampak ulat bubuk itu taburkan
serbuk halus dari bawah kepak-nya, hingga dia sendiri tersentak tatkala ubat
bubuk berkenaan balik semula ke dalam botol tidak sampai beberapa saat.
Dua hari selepas itu Tisah diberitahu mengenai Nenek
Birah meninggal dunia akibat muntah darah berterusan. Puas Pateh Deman cuba
memulihkan tetapi dia tidak dapat selamatkan isterinya. Tergerak juga hatinya
mahu menuduh Tisah, tentu siapa pun tidak mempercayai.
Bila pula masanya Tisah mahu bubuhkan santau ke dalam
minuman Nenek Birah, sedangkan isteri mudanya memang tidak pernah amalkan
apa-apa. Lagi pun Tisah tidak pernah datang menjengah ke rumah Nenek Birah.
Masakan santau boleh digunakan sekiranya mereka tidak berbaik-baik terlebih
dahulu sebelum itu.
Sekiranya bermusuhan terus tentulah mangsanya boleh
berhati-hati. Sampai bila pun Tisah tidak boleh gunakan santau selagi Nenek
Birah sentiasa berhati-hati setiap kali berhadapan. Sebab itu Pateh Deman tidak
syak apa-apa terhadap Tisah.
Selepas kematian Nenek Bisah perasaan Pateh Deman
sentiasa tidak tenteram. Berturut-turut malam dia mimpikan Nenek Birah
menuduhnya sengaja biarkan Tisah aniaya dia. Memang berdebar juga hati Pateh
Deman dengan tuduhan itu sekalipun sekadar bertemu Nenek Birah di dalam mimpi.
Mahu dituduh Tisah tentu isteri mudanya tidak akan
mengaku. Masakan dia sanggup mengaku melakukan perbuatan demikian! Tetapi dia
percaya Tisah tidak melakukan. Tahu sangat dia mengenai Tisah yang tidak
per-nah amalkan apa-apa petua.
Bagaimana Tisah mahu lakukan kalau tidak tahu apa-apa
petua yang diamalkan. Bukan mudah mahu amalkan petua sekiranya tidak menempuh
banyak dugaan. Takat hafalkan jampi serapah sampai bila pun tidak memberi kesan
apa-apa!
Sebab itulah Pateh Deman terpaksa juga membakar kemenyan
seru sanggurung berkepala tujuh datang menjelma. Selagi tidak diseru sanggurung
datang membantu selama itulah pula dia diganggu mimpi demikian. Biarlah
sanggurung berkepala tujuh itu buktikan siapa sebenarnya melakukan perbuatan
meng-aniaya Nenek Birah.
Sebaik sahaja diseru tatkala tengah malam bulan mengambang
penuh, memang Pateh Deman sudah mengagak lembaga sanggurung berkepala tujuh
terlalu marah. Terkejut juga Pateh Deman dengan keadaan sanggurung
mendengus-dengus hembuskan api marak menyala dari hidungnya.
"Kau yang salah Deman!" gerutu sanggurung
mencemik muka macam mengejeknya.
"Kenapa pula
salah aku?" keras suara Pateh Deman mem-bentak.
"Kau biarkan puteri malam menipu Tisah!" sahut sanggurung
melenggok-lenggok tujuh kepalanya yang berleher panjang.
"Jadi, kenapa kau tak bantu aku?" Pateh Deman
terkilan kerana sahabatnya tidak membantu tatkala dia memerlukan pertolongan.
"Macam mana aku nak bantu, kalau kau sendiri tak meminta?"
lantas sanggurung mengingatkan Pateh Deman.
Tentulah dia tidak datang membantu sekiranya tidak diseru
setiap masa. Pateh Deman sendiri memahami pertolongan makhluk seperti
sanggurung tentulah tidak sama dengan pertolongan Allah Subhanahu Wa-taala.
Sanggurung tidak akan memberi pertolongan kalau tidak diberi ganjaran,
setidak-tidaknya sediakan ancak dengan daging kambing mentah di tujuh lurah
tempat angin membolos.
Terpaksa pula diseru sampai sanggurung menjelma baru
boleh meminta pertolongan sebagai syarat bersahabat. Kalau dia tidak menjelma
masakan Pateh Deman boleh menyuruh halang puteri malam menghasut Tisah.
Lain-lah Tisak tidak sama seperti Nenek Birah yang berulang kali digoda puteri
malam.
"Sekarang aku nak minta tolong!" Pateh Deman
tidak dapat lagi mengawal perasaan. "puteri malam mesti dihapus-kan,"
lantas dia menggenggam tangan menghentak ke bumi.
Sekali imbas dia nampak sanggurung mengangguk terus
menyerbu ke udara. Memang Pateh Deman melihat sendiri lembaga sanggurung
berkepala tujuh itu menerkam ke arah puteri malam. Tangannya yang keras
mencengkam tengkok puteri malam lantas disiat-siat bagaikan mencarik kain buruk
tidak berguna.
Jeritan halus puteri malam tenggelam dalam cengkaman
sanggurung seolah-olah segala dendam Pateh Deman sudah berbalas. Hingga santak
subuh baru Pateh Deman melelapkan mata setelah sepanjang malam didampingi oleh
sanggurung berkepala tujuh itu.
Belum pun sempat dia melelapkan mata, jirannya cemas
memanggil dia dari tengah halaman. Sepanjang malam jiran-jiran terpaksa berjaga
di rumah isteri mudanya Tisah apabila tidak semena-mena memekik ketakutan
diserbu lembaga berkepala tujuh.
"Ah, apa pula balanya ni?" rungut Pateh Deman
yang terpaksa bermalam di rumah peninggalan Nenek Birah apakala mahu menyeru
sanggurung.
"Tak tahulah wak, tiba-tiba aje Tisah menjerit dia
nampak lembaga berkepala tujuh," jelas jiran itu mendesak supaya Pateh
Deman segera balik ke rumah isteri mudanya.
"Huh, syaitan!" gerutu Pateh Deman sewaktu
melangkah turun meninggalkan rumah Nenek Birah.
Memang dia sudah menduga puteri malam tentu menyerap
isterinya Tisah sehingga sanggurung tidak dapat membezakan di antara satu sama
lain. Tentu sanggurung bertindak terhadap siapa sahaja yang berdamping dengan
puteri malam, setelah dia sendiri meminta pertolongan.
Ketika Pateh Deman jejakkan kaki ke rumah Tisah memang
dilihatnya seluruh tubuh perempuan itu calar balar bagai-kan dicakar kuku
runcing. Hairan juga jiran jiran dengan keadaan tubuh Tisah berubah seperti
dicakar harimau ganas setelah terkejang kaku menjadi mayat.
Mengeluh panjang Pateh Deman dengan kejadian yang menimpa
Tisah. Jauh di sudut hatinya dia dapat mengagak memang Tisah yang aniaya Nenek
Birah. Tentu Tisah sudah dirasuk puteri malam sehingga sanggup gunakan santau
yang dipuja dari jauh untuk memus-nahkan mangsa.
Memang dia sendiri tidak dapat renggangkan diri dengan
puteri malam selagi amalkan petua mengetuk paku ke dinding itu. Hentakan paku
ke dinding itu memang meruntun perasaan siapa sahaja wanita yang dimakrifatkan
terlekat di hatinya. Selagi paku itu tidak dicabutkan dari dinding selama itu
perasaan wanita berkenaan terlekat tidak dapat melupakan dia.
Sebab itulah puteri malam pantangkan dia berkahwin lebih
dari satu sekiranya amalkan petua tersebut. Asal sahaja bulan mengambang puteri
malam akan menjelma meminta dilayani. Pateh Deman tidak boleh membantah
sekiranya mahu meneruskan amalan petua memaku ke dinding itu.
"Setelah
Pateh Deman meninggal dunia pun, jiran-jiran kerapkali nampak dia bertukang,"
jelas Alang Limah apabila kenangkan cerita emak saudaranya Uda Kesum.
Kadangkala tengah hari waktu matahari tegak di kepala pun
pernah jiran-jiran nampak jelmaan Pateh Deman memanjat tangga memaku dinding.
Malah mereka juga dengar dentaman martol diketuk memaku dinding itu. Tetapi
dalam masa beberapa minit sahaja bayangan itu hilang setelah jelmaan di atas tangga itu jatuh terguling ke tanah.
"Memang tanah yang dibeli Anjang Kimin itu tapak rumah
Pateh Deman kononnya," bergetar suara Alang Limah ketakutan tatkala
menceritakan semula kejadian berkenaan. Dia sendiri tidaklah tahu sangat kalau
tidak diterangkan oleh Uda Kesum.
Memang Uda Kesum mengaku sudah beberapa kali ternampak
jelmaan orang bertukang rumah di kawasan belukar tidak jauh dari rumahnya.
Sekalipun tidak ada rumah tersergam di situ, tetapi dia seolah-olah nampak
bayangan rumah papan berbalam-balam. Terpaksa pula dia menggosok-gosok mata
mahu memastikan, namun dalam sekelip mata sahaja bayangan itu laksana kabus
ditiup angin.
Siapa mahu percayakan Uda Kesum kalau dia beritahu
jiran-jiran. Sebab itulah dia sengaja pendamkan sahaja kejadian yang dialaminya
sehingga tanah berkenaan dijual kepada Anjang Kimin. Tidak sempat dia mahu
ceritakan pada Anjang Kimin mengenai tanah peninggalan Pateh Deman itu, Uda
Kesum sudah jatuh sakit berterusan.
Dia juga tidak sempat mahu beritahu Anjang Kimin tapak
rumah dia dirikan rumah limas tersergam itu kononnya di situlah tapak rumah
Pateh Deman. Tetapi kalau dia beritahu pada Anjang Kimin pun, masakan lelaki
itu mahu mempercayainya. Tentu dia sendiri ditertawakan oleh Anjang Kimin kerana
percayakan sangat dengan kejadian demikian.
"Macam mana ustaz, tentu ustaz pun tak percaya
agaknya?" lantas Malim Kecik menatap muka saya.
"Ini bukan perkara percaya atau tidak," sahut
Cikgu Sidik setelah diterangkan oleh Alang Limah di depan Utih Bedah sendiri.
"Tetapi iman kita kepada Allah Yang Maha Mengetahui segala yang nyata dan
yang tersembunyi," sengaja dia memintas sebelum sempat saya menjawab.
Apa sangat dengan kejadian yang diceritakan oleh Alang
Limah itu kalau bandingkan dengan mereka yang sengaja menjadikan syaitan
penolong dengan menyeru segala puaka. Masakan puaka itu mampu membantu
sekiranya gangguan syaitan yang lain merasuk.
Tentulah siapa sahaja yang akan menjadi mangsa syaitan
yang sengaja mengelirukan diri masing-masing. Kadangkala jelamaan yang tercegat
di depan mata pun semata-mata mahu memperdayakan. Sebab itulah Cikgu Sidik cepat
sahaja memintas cakap Malim Kecik apa-bila menanyakan kepada saya sama ada
percaya atau pun tidak.
Cikgu Sidik sendiri sudah mengagak tentu Alang Limah
tidak akan membuka mulut, sekiranya saya tidak bertanya mengenai tanah pesaka
yang dibeli oleh arwah Anjang Kimin itu. Tentulah ada sebab-sebab di sebalik pertanyaan
saya mengenai tanah pesaka itu kepunyaan siapa, sebelum mendoakan Saerah yang
terkejut apabila nampak lembaga Anjang Kimin bertukang rumah.
Tahu sangat dia sepanjang hubunganya dengan sepupu saya
Mat Dah, memang banyak pengalaman yang ditempuh. Beberapa kali dia mengikut Mat
Dah semasa sama-sama mengajar di kampung pendalaman tatkala perintah orang
putih.
Dia sendiri akan tertawakan siapa sahaja kalau
terserempak bayangan lembaga di mana-mana. Apabila kenangkan kejadian dia
tersuluh kelawar berterbangan di celah atap kuarters sekolah, memang Cikgu
Sidik geli hati benar sekiranya orang terkejut terserempak lembaga di tengah
malam.
Lantas sahaja dia menuduh mereka yang terlalu takut, tersuluhkan
tunggul pun akan disangka hantu. Tetapi selepas dia sendiri melihat bayangan
gadis tergantung di pokok medang tepi sungai berhampiran surau,
ke-berah-berahan juga Cikgu Sidik.
Tatkala jemaah lain sudah naik ke surau, dia masih lagi
mengambil wuduk di tebing sungai. Ketika inilah dia mendengar rintihan halus di
sebelah hulu. Tatkala dia mendongak ke pokok medang tubir tebing, berderau
darahnya apabila nampak perempuan tergantung dengan tercerut leher.
Tidak bertangguh dia lari ke kaki tangga surau sebelum
sempat mengambil wuduk. Selesai jemaah dirikan solat maghrib pun, Cikgu Sidik
masih terkaku di tangga surau tidak bergerak. Memang dia ingat apa yang
berlaku, tetapi tubuhnya sahaja tidak boleh digerakkan tidak ber-sebab.
Selepas didoakan oleh Mat Dah barulah dia dapat mengucap
panjang. Malu benar dia apabila mengaku terkejut melihat perempuan tergantung
di pokok medang. Sebelum itu memang sudah beberapa kali kawan-kawannya
ternampak, tetapi bayangan itu akan hilang seperti asap sebaik sahaja ditegur.
"Perkara macam ni jangan kita ikutkan
perasaan," ujar Cikgu Sidik perlahan sambil tersenyum mengerling saya.
"Ustaz ni tentu lebih tahu, tapi, mesti tambahkan iman kita, hanya kepada
Allah sahaja memohon pertolongan," katanya mengusap-usap muka lantas
beristighfar beberapa kali.