Monday, January 11, 2016

158.MANGSA JAMPI TOK BATIN



BEBERAPA bulan selepas kenduri arwah dengan bertahlil, membaca doa selamat dan Yassin di rumah Lebai Bahamit, tidak lagi orang-orang kampung bercakap fasal jelmaan Lamat Tebong di rumah peninggalan itu. Tidak pernah lagi mereka melihat dapur rumah berasap seperti orang tengah bertanak nasi di situ.
Bukan sahaja jiran-jiran yang berhampiran, malah Kak Tiah dan Andak Lijah juga tidak pernah terserempak lagi jelmaan Lamat Tebong duduk melangut di pelantar dapur mendongak sangkar tekukur. Mereka juga tidak nampak bayangan Birah memasak di dapur hingga kedengaran lesung batu menumbuk lada dengan kukur bergerut-gerut memarut kelapa.
Mijun juga sudah berani menebas belukar di keliling rumah, di samping menarah rumput di halaman. Rumah buruk peninggalan Aki Mihin kelihatan kemas setelah dipelihara baik, sekalipun atap yang tiris dan lantai yang reput menampakkan rumah tersebut terbiar juga.
Terkejut juga Kak Tiah apabila diberitahu oleh suaminya mengenai amalan Lamat Tebong semata-mata mahu menjadi lelaki yang diminati oleh ramai perempuan. Di mana arwah adiknya itu menuntut amalan demikian, Kak Tiah juga tidak tahu. Tidak pernah dia mendengar fasal Lamat Tebong belajar ilmu yang tidak diredai Allah ini.
Kalau mahu dituduh arwah datuknya Aki Mihin, tidak pernah pula orang tua itu tahu fasal ilmu kebatinan. Dia sekadar bertukang kayu sahaja untuk menyara keluarga. Selepas kematian isterinya Itam Nimah, dia terus menduda sampai ke tua.
Sama juga macam Lamat Tebong yang menduda selepas kematian isterinya Birah. Tetapi jiran-jiran tidak pula melihat jelmaan Aki Mihin selepas kematiannya seperti Lamat Tebong yang kerapkali terlangut di pelantar rumah mendongak sangkar tekukur.
Kak Tiah juga tidak tahu mengenai arwah adiknya seringkali menampar Birah menyebabkan hidup perempuan itu terseksa. Semenjak gadis lagi Birah rela menjadi isteri Lamat Tebong sekalipun keluarganya tidak menyukai. Dia tetap berkeras mahu berkahwin dengan Lamat Tebong setelah beberapa kali bertemu semasa menumbuk emping.
Kalaulah Lebai Bahamit tidak memberitahu pengakuan Lamat Tebong mengenai serbuk cacing gelang itu, memang Kak Tiah menyangka adiknya terlalu mesra melayani Birah. Sebab itulah Birah terus bersabar sekalipun makan minumnya seringkali diabaikan.
"Tak tahu pula kakak amalan arwah ni," ujar Kak Tiah menghidangkan minuman sewaktu saya berkunjung ke rumahnya selepas solat asar di surau Lebai Bahamit. "Kakak lihat dia baik melayani arwah Birah, lemah lembut orangnya," dia menjelaskan sambil mengerling suaminya yang menyandar belakang kukuh-kukuh ke dinding tengah.
"Sebab tu kita jangan nilai yang zahir aje," sahut Lebai Bahamit lantas menghulurkan cawan minuman ke hadapan saya.
Kak Tiah mengeluh pendek. Memang dia tidak menyangka Lamat Tebong bersikap garang sampai sanggup menampar isteri. Hairan juga dia kenapa arwah adiknya itu menduda sahaja selepas kematian Birah? Kalau dia mempunyai ilmu memikat perempuan, tentu bila-bila sahaja dia boleh berkahwin lain. Sekiranya mana-mana perempuan cuba berdalih, Lamat Tebong boleh gunakan serbuk cacing gelang itu biar mereka tersungkur datang menyerah diri.
Apalah ertinya Lamat Tebong memiliki ilmu pengasih kalau tidak boleh berkahwin selepas kematian isteri? Lebih baik tidak menuntut apa-apa amalan kalau terpaksa menduda demikian. Tetapi Kak Tiah juga tahu bukanlah menjadi pantang larang berkahwin lain sekiranya seseorang itu amalkan ilmu pengasih.
"Kalau dia amalkan ilmu pengasih, kenapa tak kahwin aje selepas mati isteri?" Cikgu Bidin pula semacam tidak percaya arwah Lamat Tebong gunakan ilmu pengasih memikat Birah.
"Kahwin pun buat apa, bukan boleh beranak," lantas sahaja Utih Berahim men-celah. Tahu sangat dia rahsia kawannya itu enggan berkahwin lagi selepas kematian Birah.
Memang dia tahu Lamat Tebong sejak muda lagi sudah amalkan ilmu pengasih yang diturunkan oleh Aki Mihin, tetapi tidak pula Utih Berahim duga boleh membawa padah buruk. Kalau Aki Mihin tidak mengalami apa-apa padah buruk, kenapa pula Lamat Tebong terpaksa melalui jalan yang demikian menyedihkan.
Selepas kematian Birah, tahu sangat Utih Berahim perubahan kawannya itu. Seringkali dia terserempak Lamat Tebong bercakap sendirian menyebut-nyebut Birah seolah-olah berhadapan dengan arwah isterinya itu. Apabila dia tanyakan mengenai kelakuannya, Lamat Tebong tetap berdalih bagaikan tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku.
Ketika sama-sama memikat tekukur di tepi belukar sewaktu isterinya masih hidup, memang kerapkali Lamat Tebong mengeluh tidak mempunyai anak. Berkali-kali dia memberitahu fasal Birah tidak akan mengandung sampai bila-bila.
Hanya takat itu sahaja Utih Berahim tahu mengenai diri Lamat Tebong. Dia tidak perlu bertanyakan punca kenapa kawannya itu mengeluh fasal Birah tidak boleh mengandung. Perkara menentukan seseorang itu boleh mengandung atau tidak bukannya urusan manusia.
Dia pun tahu bagaimana Nabi Zakaria tersengguk-sengguk menahan rasa terharu kerana bersyukur setelah menerima wahyu mengenai isterinya yang telah berusia tua mengandung. Kalau nabi Allah sendiri tidak dapat menentukan perkara isterinya boleh mengandung ataupun tidak, apa sangat manusia biasa.
Tetapi Utih Berahim sekadar mendengar syarahan Lebai Bahamit selepas solat maghrib di surau sementara menunggu masuk waktu isyak. Manalah Utih Berahim tahu sangat mengenai ayat 7, 8 dan 9 dalam surah Mariam itu, kalau Lebai Bahamit tidak menjelaskan.
"Dah diberi makan kotor, macam mana nak beranak," keluh Lebai Bahamit sewaktu berdua sahaja dengan saya di surau berteduh daripada hujan selepas menunaikan solat asar. Mungkin disebabkan langit gelap sebelum masuk asar, tidak ramai yang datang berjemaah di surau.
Entah kenapa mahu sahaja Lebai Bahamit menyebut fasal Lamat Tebong apabila berhadapan dengan saya. Biasanya dia sentiasa berahsia sekiranya beberapa orang terconggok sama berbual, kalau sebut mengenai kejadian yang menimpa Lamat Tebong selepas kematiannya.
"Kalau ustaz tak terserempak, memang orang kampung anggap perkara tu kejadian aneh," tutur Lebai Bahamit memerhati titis hujan yang jatuh di cucur atap surau.
Disebabkan aneh itulah mereka semua menjadi takut, sehingga mereka tidak berusaha mahu membantu. Sekiranya mereka menyedari akan ketentuan Allah Subhanahu Wata'ala, tentulah mereka sama-sama berdoa biar roh sesiapa sahaja yang sudah meninggal dunia dicucuri rahmat Allah.
Kalau Lamat Tebong tidak memberitahu mengenai amalan yang diturunkan oleh Aki Mihin itu, memang Lebai Bahamit tahu tentu orang tua itu yang memberi petua. Masakan dia membiarkan cucu kesayangannya tidak dilayani oleh perempuan yang terasa berkenan di hati.
Aki Mihin menduda selepas kematian isterinya bukan disebabkan dia bimbang apa-apa, tetapi dia merasa keinsafan yang mendalam di dalam jiwanya. Memang dia mengaku di hadapan cucu menantunya Lebai Bahamit mengenai perbuatan kejinya semasa usia masih muda. Kadang-kala dia sengaja membawa perempuan balik ke rumah seolah-olah memperaga di hadapan isterinya.
Keinsafan itulah menyebabkan dia tidak mahu lagi berkahwin semata-mata mahu mengganti isterinya. Setelah keinsafan menular dalam jiwanya Aki Mihin juga melayani isterinya dengan baik. Tidak lagi bersikap kasar macam tidak menghargai langsung isterinya.
Dia juga mengaku di hadapan Lebai Bahamit menurunkan amalan cacing gelang kepada Lamat Tebong, sampai cucunya itu mengikut jejak langkahnya tidak hiraukan langsung isterinya Birah. Aki Mihin tahu memang Birah sudah diberi makan serbuk cacing gelang yang keluar dari najis Lamat Tebong. Sebab itulah perempuan itu tidak terdaya lagi mahu berenggang, sekalipun Lamat Tebong tidak pedulikan dirinya.
"Bimbinglah adik kau tu, Bahamit," pesan Aki Mihin tatkala seluruh tubuhnya semakin lemah.
"Insya-Allah, aki," sahut Lebai Bahamit memberi jaminan untuk memenuhi pesanan orang tua tersebut. Terbayang di matanya keinsafan yang amat menusuk ke dalam jiwanya begitu bergelora mahu meluahkan segala isi hatinya, tetapi suara Aki Mihin semakin tersekat-sekat di kerongkong.
Siapa yang berani mengganggu Lasiah anak gadis Wak Sikim yang baru berusia 18 tahun hingga ramai pemuda yang berangan-angan mahu memikatnya. Setiap kali Lasiah melintasi permatang sawah menjinjing benih, anak-anak muda cepat-cepat berpaling untuk mengerling. Masing-masing mengharapkan Lasiah akan memberikan senyuman kepada mereka.
Apabila Wak Sikim mendehem masing-masing menunduk kecut perut kerana bimbang orang tua berkenaan sedar akan perbuatan mereka. Anak-anak muda di dalam kampung tahu benar sekiranya Wak Sikim naik berang. Mudah sahaja dia menghunus parang mengajak lawan.
Masakan mereka boleh mengelak tatkala mata parang dikibas ke dada sampai terasa elusan anginnya berdesup. Jangan cuba mahu mengganggu Lasiah kalau tidak cukup syarat ilmu di dada. Junus Kemek sampai terselit celah rumpun rembia diserbu Wak Sikim, semata-mata disebabkan kambingnya masuk menceroboh ke tapak semaian.
Marah sangat Wak Sikim apabila Junus Kemek berdalih tidak mengakui kambingnya menceroboh masuk ke tapak semaian dia. Masakan kambing orang lain berkeliaran, tiba-tiba sahaja Wak Sikim menuduh kambingnya yang menceroboh masuk. Disebabkan Junus Kemek berdalih itulah, Wak Sikim menerkam tidak bertangguh.
Ditamparnya muka Junus Kemek hingga tertumus ke tanah. Tidak cukup dengan tamparan keras hinggap ke muka Junus Kemek, dia menghunus parang mahu disendalkan ke dada biar lelaki itu mengaku salah. Kalau tidak mahu membayar ganti rugi benih semaiannya diragut kambing pun dia tidak peduli, asal sahaja Junus Kemek tidak berdalih apa-apa.
"Wak nak bunuh orang ke?" jerkah adik iparya Mat Delit sebaik sahaja diberitahu fasal Wak Sikim mahu menetak Junus Kemek.
"Orang macam ni mesti diajar!" sahut Wak Sikim tercegat memerhati Junus Kemek ketakutan bersembunyi di sebalik rumpun rembia.
"Tapi, kenapa sampai nak bunuh orang?" soal Mat Delit tidak suka dengan sikap abang iparnya mahu tunjuk keras kepala tidak bertempat.
"Kau juga nak kurang ajar dengan aku!" tersinggung juga Wak Sikim apabila Mat Delit cuba menghalang tindakannya.
"Jangan wak ingat parang tu boleh takutkan orang, Mat Delit ingatkan dia supaya tidak takbur hingga mahu mencabar sesiapa sahaja.
"Kau Delit, jangan campur hal aku!" ujar Wak Sikim menudingkan hujung mata parang ke arah dada Mat Delit.
"Saya tak campur, tapi saya nasihatkan wak jangan buat macam tu," tegas Mat Delit tidak berganjak menentang muka Wak Sikim.
"Buat macam mana?" jerkah Wak Sikim semakin berang dengan sikap adik iparnya.
"Kita hidup sekampung, buat apa tunjuk keras kepala?" perlahan sahaja Mat Delit menyabarkan abang iparnya yang sekian lama tidak boleh dilarang oleh sesiapa pun.
Disebabkan marah dengan teguran adik iparnya, lantas sahaja Wak Sikim melompat menyerbu ke arah Mat Delit. Tetapi lelaki itu tidak berundur sekalipun Wak Sikim mengancam dengan mata parang terhunus. Dia percaya Wak Sikim tidak akan tergamak mahu menetak dia tatkala bertahan di situ menunggu serbuan.
Terjerit juga Uda Biyah sebaik sahaja melihat suaminya Wak Sikim menghayun mata parang mahu menetak adiknya Mat Delit. Mahu juga dia menghambur menyelamatkan adiknya, tetapi Uda Biyah merasa pandangannya berbinar-binar. Hampir juga dia pitam sebaik melihat Wak Sikim menyerbu mahu melepaskan marah.
Belum pun sempat Wak Sikim menghampiri Mat Delit tiba-tiba sahaja dia tergelincir hingga jatuh tersungkur ke dalam lopak sawah. Parang di tangannya juga terlepas sampai terpelanting jatuh di hadapan Mat Delit. Tetapi Mat Delit sekadar tercegat sahaja tidak berganjak sedikit pun memerhatikan abang iparnya di dalam lopak sawah.
Saat ini Mat Delit memang mengisarkan tumitnya ke tanah dengan berdoa:
Kaf ha ya a'in sad, Ha mim a'in sim kaf, wa-imma yanza ghannaka minasy syaitanni nazghun fas-ta'iz billahhi in-nahu sami-'un 'alim.
Semenjak itu satu-satunya orang yang disegani oleh Wak Sikim di kampung, memang adik iparnya Mat Delit. Di sebalik sikap lemah lembut Mat Delit itu, Wak Sikim tidak berupaya mahu berkeras. Dia akan mengalah sekiranya Mat Delit sudah tercegat menghalangnya.
Tetapi selain daripada Mat Delit di kampung itu jangan cuba mahu angkat muka di depan Wak Sikim. Bila-bila sahaja dia sanggup cekak leher mengibas mata parang tidak bertangguh. Masakan anak-anak muda di tengah sawah berani mengganggu Lasiah tatkala berjengket-jengket kaki melangkah di permatang.
Dalam kebimbangan anak-anak muda berdepan dengan Wak Sikim inilah Aki Mihin cuba mengujinya. Tiga malam berturut-turut dia hayunkan limau berbungkus kain putih diikat dengan benang tujuh warna sambil menyanyikan jampi serapahnya:
Batu luak batu nani, dititik nila menila, di mana aku mandi, si anu sudah gila, dalam nasi beras pulut, sapu tenggang dibawa jati lalu, di mulut si anu sudah renggang, air diminum tidak lalu, aur ditendang pembetung tumbuh, pucuk mengilai lalu seberang, cari kain warna tujuh, buat pelimbai semangat si anu, bawa kepada aku, kalau kau tak pandang muka aku, kau gila tak makan gila tak minum, berkat la-illahha illallah hu
Setelah tiga malam dia nyanyikan jampi serapahnya tidak juga memberi kesan, lantas Aki Mihin meniup seruling buluh di perdu pokok dedali di permatang sawah. Sayup-sayup bunyi tiupannya hingga mengimbau jauh ke pelosok kampung.
Sebaik sahaja tiupan seruling buluh itu menyusup masuk ke jiwa Lasiah, tidak bertangguh dia berkejar ke sawah menjinjing bakul bekalan untuk emak dan ayahnya. Sengaja dia meniti permatang melintasi di hadapan Aki Mihin sekalipun terpaksa melencong jauh dari sempadan sawahnya.
Sampai seminggu Aki Mihin mengulangi meniup seruling buluhnya, sedar juga Wak Sikim perbuatan lelaki itu. Kalau sekadar meniup seruling buluh sahaja, masakan anak gadisnya gelisah sekalipun dia melarang Lasiah supaya tidak turun ke sawah.
Tetapi dia tidak boleh menuduh kalau sekadar mendengar Aki Mihin meniup seruling buluh. Lagipun Aki Mihin sudah beristeri sudah mempunyai anak, tentulah dia sendiri berasa malu kalau menuduh lelaki itu cuba memikat anak gadisnya.
"Ah, buat apa kau tiup seruling lagi, Mihin?" sengaja Wak Sikim menegur apabila mendekati Aki Mihin tersandar di perdu pokok dedali.
"Saja nak seronok, wak," sahut Aki Mihin tersenyum mengerling Lasiah berlari di seberang sawah meniti permatang.
"Anak-anak muda bolehlah main seruling lagi," Wak Sikim menyindir sambil mencebek bibir. Memang hatinya geram setiap kali Aki Mihin meniup seruling buluh tentu anak gadisnya gelisah tidak menentu.
"Apa salahnya wak, untuk hibur-hibur hati," tersengih-sengih Aki Mihin kerana disindir oleh Wak Sikim.
Dia tahu Wak Sikim tidak boleh menuduh, sekiranya dia tidak melakukan perbuatan sumbang dengan Lasiah. Memang dia tidak akan memulakan sekiranya Lasiah sendiri sekadar berlari melintas di hadapannya sahaja.
Tetapi apabila Mat Delit sendiri menemui dia, memujuknya supaya tidak gunakan ilmu pengasih memikat Lasiah, terasa juga malu di hati Aki Mihin. Mat Delit tidak berkeras setelah menyedari Lasiah tidak boleh melupakan Aki Mihin walaupun sesaat. Hampir sahaja Wak Sikim menyerbu menghunus parang menetak kepala Aki Mihin.
Dia tidak dapat menahan sabar, apabila Lasiah berterus terang mahukan Aki Mihin menjadi suaminya sedangkan lelaki itu tidak pernah membuka mulut.
Tentulah Lasiah sudah dipengaruhi ilmu pengasih menyebabkan dia tidak dapat lagi memikirkan masa hadapannya sekiranya berkahwin dengan Aki Mihin yang sudah berkeluarga.
Mat Delit tidak benarkan abang iparnya berkeras tidak menentu. Kalau Aki Mihin gunakan ilmu pengasih, apa salahnya berunding cara baik supaya dia lepaskan Lasiah daripada pengaruh amalan berkenaan. Biarlah dia memujuk Aki Mihin sebelum membuat keputusan terburu-buru.
"Lasiah masih muda, janganlah aniaya dia," ujar Mat Delit tenang menghadapi suasana yang mendesak demikian.
"Saya tak buat apa-apa pada Lasiah," lantas Aki Mihin berdalih dalam keadaan serba salah. Tersenyum Mat Delit dengan penjelasan Aki Mihin yang cuba berdalih, kerana di kampung itu memang orang tahu sangat akan kebolehannya kalau memikat perempuan. Mereka yang lemah semangat mudah sahaja terpengaruh hingga menurut sahaja kemahuannya.
Tetapi Mat Delit sekadar menasihati lelaki itu. Semenjak dia balik dari belajar pondok di Kelantan, memang Mat Delit disegani oleh seisi kampung. Aki Mihin tidak boleh berdalih untuk menyembunyikan kesalahannya di hadapan Mat Delit.
"Kalau tak buat apa-apa, tak mengapalah," perlahan saja Mat Delit menuturkan dengan ikhlas. "Tapi, Abang Mihin pun tahu, Allah Mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi," dia mengingatkan sebelum meninggalkan rumah Aki Mihin.
Kelembutan suara Mat Delit itulah menyebabkan Aki Mihin tidak berani mahu meneruskan memikat Lasiah dengan ilmu pengasihnya. Dia sedar maksudnya sekadar mahu melepaskan geram terhadap Wak Sikim yang bersikap keras tidak menentu. Melalui permatang sawahnya menyebabkan terpokah pun Wak Sikim mudah sahaja menyergah.
Apalagi kalau anak-anak muda bersiul tatkala Lasiah melintasi permatang menjinjing benih. Memang Aki Mihin tidak bimbang apa-apa sekiranya Wak Sikim cuba menerkam dengan parang terhunus. Tidak sia-sia lama dia belajar bersilat sampai diturunkan selempang hitam oleh Malim Timin. Dia tidak akan berundur sekiranya Wak Sikim berkeras mahu tunjuk garang.
Bila-bila Aki Mihin sanggup bertahan apabila Wak Sikim menerpa bagaikan harimau terlepas kurungan. Dia tahu bagaimana gurunya Malim Timin membuka langkah tatkala Jahid Gila mengamuk hingga memukul kepala neneknya dengan antan pengemping. Siapa lagi berani menghalang Jahid Gila bertubuh besar tegap itu, kalau bukan Malim Timin?
Terkial-kial adiknya Jahid Gila tengah penyakitnya naik pasang itu, apabila dipegang jari oleh Malim Timin. Jahid Gila tersentak laksana disambar karan elektrik sebaik sahaja jarinya tersentuh tangan Malim Timin yang menunggunya tidak berganjak sedikit pun.
Cubalah siapa pun menerkam tatkala Malim Timin sudah membiarkan dirinya berada di dalam bayang alif lantas membacakan :
Asyha-du tegak aku seperti alif, berdiri aku seperti zat, le-nyap aku dalam kandang, kandung kalimah la-illahha illallah, berkat hu Allah
Tetapi Aki Mihin bukan berniat mahu memperagakan amalan Malim Timin kecuali apabila dia terdesak sahaja. Selagi Wak Sikim tidak berkeras, dia juga tidak akan menunjukkan belang. Hanya berdepan dengan Mat Delit sahaja dia merasa tidak sanggup mahu berkeras. Hatinya menjadi lemah tidak bertenaga sebaik sahaja mendengar tutur kata Mat Delit yang amat lembut menusuk ke jiwanya.
Dia menjadi belas setiap kali kenangkan Lasiah yang baru berusia 18 tahun itu dianiaya dengan amalan ilmu pengasihnya. Kalau hatinya tersinggung dengan Wak Sikim, kenapa pula Lasiah yang mesti dianiaya? Memang disebabkan Mat Delit menemuinya itulah, Aki Mihin terpaksa mengalah.
Tiga malam berturut-turut dia membakar kemenyan membuka semula bungkusan limau diikat benang tujuh warna itu lantas membacakan surah an-Nas didahulukan dengan diikuti surah al-Falaq dan surah al-Ikhlas. Kemudian dia memohon kepada Allah Sub-hanahu Wata'ala supaya Lasiah lupakan sahaja dirinya.
Seminggu selepas itu Mat Delit datang menemuinya lantas menepuk-nepuk bahunya sambil menuturkan, "Terima kasih Abang Mihin, saya hormati amalan Abang Mihin, tapi yang Maha Berilmu hanya Allah Subhanahu Wata'ala."
Aki Mihin mengangguk perlahan. Dia tahu Mat Delit tidak sama dengan Wak Sikim yang keras kepala disebabkan pengalamannya mengajar pencak silat pada anak-anak muda. Siapa pun tidak dihiraukan apabila dia mula mengarut mencabar lawan. Tetapi belum pernah pula dia berdepan dengan Malim Timin setiap kali mengarut menunjukkan garang.
Masakan guru mengaji Quran yang lemah lembut seperti Mat Delit mahu berkeras tidak menentu. Dia sendiri menjadi serba salah apabila lelaki itu menemuinya meminta lepaskan Lasiah. Bagaimana Mat Delit boleh menuduh dia gunakan amalam ilmu pengasih untuk memikat anak gadis berusia 18 tahun itu?
 Tetapi memang dua malam berturut-turut Aki Mihin bermimpi seolah-olah kalau Mat Delit melangkah kepalanya. Setiap kali dia cuba mengelak, Mat Delit bagaikan duduk di awan-awangan melangkahi kepalanya menyebabkan dia gelisah tidak menentu. Sebab itulah dia terpaksa juga bangun di tengah malam membuka bungkusan limau berikat benang tujuh warna..
"Saya minta maaflah, Delit," tidak disedari lagi Aki Mihin dia menjelaskan demikian di hadapan Mat Delit.
Lama juga selepas pertemuan dengan Mat Delit itu, Aki Mihin sentiasa melarikan diri kalau terserempak keluarga Lasiah. Jauh di sudut hatinya memang dia sudah melupakan anak gadis tersebut. Dia tidak akan menganiaya Lasiah yang hanya baru berusia 18 tahun sahaja, kalau dibandingkan dengan usianya yang melebihi 40 tahun ketika itu.
Tentulah tidak manis dia mempermainkan anak gadis itu, sedangkan dia sendiri lebih tua daripada Mat Delit.
Hinggalah kejadian Lasiah tiba-tiba sakit meracau tidak menentu menyebabkan dia hilang ingatan langsung. Sebulan Lasiah terlantar tubuh badannya yang gempal menjadi kurus merincing. Marah benar Wak Sikim dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.
"Tentu kerja Mihin,” Wak Sikim mencapai parang di dinding mahu menyerbu ke rumah Aki Mihin. "Dulu dia yang tergila gila dengan Lasiah," gerutunya menggertap bibir, tidak dapat lagi menahan sabar apabila anak gadisnya terlantar sakit.
Lasiah tidak pedulikan siapa pun lagi. Dia membiarkan rambutnya mengerbang tidak terurus, sambil pakaiannya juga dibiarkan terlondeh. Terpaksa pula Uda Biyah bergegas-gegas betulkan kain anak gadisnya supaya tidak terlucut habis.
"Macam mana kalau bukan kerja Mihin?" bimbang juga Uda Biyah dengan tuduhan suaminya terhadap Aki Mihin.
"Dia fikir dia aje ilmu sihir!" bentak Wak Sikim menyimpan dendam yang membakar. Dia dapat menduga memang anaknya dikenakan sihir hingga terlantar hilang ingatan.
"Itulah orang bencikan awak, Lasiah yang menjadi mangsa," ujar Uda Biyah kesal dengan sikap suaminya yang keras kepala dengan orang-orang kampung. Kalau mereka tidak berupaya mahu menentang tenaga Wak Sikim, tentu mereka gunakan ilmu halus untuk membalas dendarn.
"Siapa lagi yang guna sihir, kalau bukan Mihin?" Wak  Sikim menggenggam erat erat hulu parang di tangan. Dia tahu Aki Mihin berguru memencak silat dengan Malim Timin. Sebab itu Aka Mihin berani angkat muka dengannya untuk menguji amalan masing-masing. Tetapi Wak Sikim tidak bimbang siapa pun guru Aki Mihin, asal sahaja mengganggu keluarganya dia akan cekak leher dengan menyendalkan mata parang.
“Bukan Abang Mihin sahaja yang pandai, wak," Iantas Mat Delit mencelah untuk menyabarkan abang ipar nya yang mudah panas baran.  "Malah siapa sapa sahaja pandai, siapa sahaja yang kuat, Allah Subhanahu Wata'ala lebih pandai dan kuat “ tegasnya semacam meluat dengan sikap Wak Sikim mudah sahaja mahu  menunjukkan garang.
Dia percaya malang menimpa Lasiah, memang disebabkan orang kecewa dengan sikap Wak Sikim. Mereka sanggup lakukan apa sahaja, asalkan puas. Setidak-tidaknya keangkuhan Wak Sikim selama ini patut juga ditundukkan, biar dia menyedari betapa orang lain juga boleh bertindak balas.
"Awak ni angkuh macam tak takutkan Allah," Uda Biyah juga tidak sabar lagi dengan kelakuan suaminya mudah sangat mencabut hulu parang.
"Cuba bertenang, wak," Mat Delit mengingatkan dalam suara yang perlahan. Lasiah sakit, ikhtiar kita ialah mengubatkan, bukannya menuduh orang sampai timbulkan syak wasangka," katanya mengejek sikap abang iparnya yang tidak henti-henti menuduh Aki Mihin.
 Setelah diberitahu mengenai keadaan Lasiah terlantar sakit, Aki Mihin tetap datang menjengah. Memang dia tahu Wak Sikim menuduhnya gunakan sihir ilmu syaitan biar Lasiah diserahkan kepadanya. Tetapi perkara serahkan Lasiah kepadanya tidak penting sangat kalau dibandingkan mahu membersihkan namanya yang kian tercemar.
Terasa sangat pada Aki Mihin, asal sahaja orang –orang kampung diganggu ilmu syaitan dia lah satu-satunya yang dituduh Seolah-olah dia satu-satunya yang tahu fasal ilmu pengasih hingga anak-anak gadis tergila-gila.  Sudah berapa ramai anak gadis di kampung itu yang dirosakkannya, dia sendiri tidak tahu?
Kalau benarlah ilmu pengasihnya sudah merosakkan ramai anak gadis, bila-bila dia sanggup menyembah gadis yang sudah dirosakkan itu untuk meminta ampun!
Tetapi tidak seorang pun gadis di kampung itu yang telah dirosakkan oleh Aki Mihin. Sekiranya hati dia tidak dilukakan, sampai bilapun Aki Mihin tidak akan hayunkan limau di tengah malam. Dia tidak membacakan jampi serapah semata-mata untuk memikat anak gadis biar menyerah diri ke pangkuannya.
Sebab itu dia datang jengah Lasiah. Biarlah Wak Sikim menerkamnya sebaik sahaja dia jejak ke kepala tangga. Sekiranya kedatangan baik disambut dengan cara jahat, memang Aki Mihin tidak diamkan diri. Dia akan mengelak juga supaya Wak Sikim tahu di dalam kampung itu masih ada orang yang mampu menewaskannya.
Tetapi Wak Sikim tidak berganjak daripada tempat duduk semasa Aki Mihin naik ke rumah bersama isterinya. Dia sendiri tertunduk mengesat pelupuk mata sebaik sahaja melihat keadaan Lasiah terlantar hingga tulang pipi cengkung akibat terlalu kurus.
"Nak buat macam mana ni Abang Mihin?" lantar sahaja Mat Delit menegur sebaik sahaja Aki Mihin duduk.
Aki Mihin tidak menyahut. Dia memandang Wak Sikim yang berpaling tidak mahu menatap mukanya. Tetapi dia tetap bersabar selagi Mat Delit melayani dia dengan baik. Dia datang menjengah Lasiah pun bukan disebabkan Wak Sikim, tetapi kenangkan Mat Delit yang sentiasa merendah diri setiap kali bertutur.
"Kalau Abang Mihin boleh ubatkan, cubalah," ujar Mat Delit perlahan.
"Dah ramai dukun mengubatnya tak termampu," Wak Sikim tiba-tiba bersuara keras.
"Manalah tahu penyakit sembuh, kalau dapat dicari puncanya," dia sengaja mengejek untuk melepaskan perasaan geram yang mendongkol di hati.
"Wak, cuba bertenang dulu," Mat Delit meninggikan sedikit suaranya kerana  bimbang Aki Mihin akan tersinggung. Tetapi Aki Mihin hanya tersengih-sengih sahaja.
"Delit pun tahu kita makhluk tak upaya nak mengubat," sahut Aki Mihin ikhlas. "Saya serahkan pada, Delit, dan saya akan membantu, insya-Allah," tegasnya dalam keluhan memanjang.
Mat Delit hanya membuat keputusan untuk membacakan Yassin sahaja di sebabkan tidak ada ikhtiar lain lagi. Keadaan Lasiah juga sudah semakin tenat. Kalau Wak Sikim menggunakan akal fikiran, tentu dia dapat menilai keikhlasan Aki Mihin menjengah Lasiah, memang bukan dia yang tergamak melakukan perbuatan sihir.
Tiga maghrib Mat Delit mengajak jiran jiran membacakan Yassin beramai-ramai, Lasiah meninggal dunia juga. Aki Mihin sendiri duduk di hujung kaki gadis itu membaca Yassin, tatkala Lasiah perlahan-lahan menghembuskan nafas.
Sebaik sahaja Lasiah meninggal dunia, tiba-tiba sahaja halaman rumah Wak Sikim gempar disebabkan riuh orang memekik-mekik tidak menentu. Tatkala disuluh ke tengah halaman Uda Biyah melihat Kusip anak saudara Sikim berlari-lari di tengah halaman itu
"Aku nak ikut Lasiah aku nak ikut," Kusip jerit-jerit di tengah halaman. sewaktu orang ramai membujurkan mayat di tengah  rumah.
"Kenapa kau ni, Kusip?" jerkah Wak Sikim dari pintu serambi terkejut dengan kelakuan anak kakaknya itu. Memang dia tahu fasal kusip seringkali mengusik Lasiah, tetapi anak gadisnya tidak melayani sangat. Kalau Lasiah tidak membantah, Wak Sikim juga tidak melarang Kusip dijodohkan dengan anaknya.
Kusip tidak menyahut. Dia terus menjerit-jerit dalam kegelapan malam hingga terpaksa dileraikan. Wak Sikim sendiri bersama beberapa orang jiran mengheret Kusip naik ke rumah. Tetapi Kusip tidak mahu masuk ke dalam menjengah jenazah Lasiah.
"Aku nak kahwin dengan Lasiah," ujar Kusip mengongoi-ngongoi dalam suara tergigil-gigil.
"Lasiah dah meninggal, Kusip," Uda Biyah tersengguk-sengguk menahan kesedihan yang menyebak di dada.
"Aku mesti kahwin dengan Lasiah!" rungut Kusip tidak henti-henti mengongoi-ngongoi.
Semenjak kematian Lasiah itu, Kusip menjadi tidak siuman. Dia melilau sekeliling kampung memberitahu mahu berkahwin dengan Lasiah. Kadangkala dia duduk di perdu rumpun pisang memanggil orang lalu lalang kipaskan dia bersanding dengan Lasiah di situ.
Tahu sangat Wak Sikim, memang Kusip yang tergamak menyebabkan Lasiah terlantar sakit. Kusip sanggup meminta pertolongan batin Orang Asli di hutan semata-mata mahu menundukkan hati Lasiah. Tidak disangkanya pula ilmu pengasih yang dikenakan kepada Lasiah, bertukar menjadi penyakit yang menyeksa dirinya hingga menemui ajal yang ditentukan Allah Suhhanahu Wataala demikian.
Kekesalan inilah ditanggung oleh Aki Mihin. Kalau tidak disebabkan dia juga memuja Lasiah dengan ilmu pengasih, tentulah hati Lasiah boleh dipujuk mengasihi Kusip. Selepas itulah Aki Mihin mengambil keputusan membawa keluarganya berpindah ke kampung yang baru.
"Memang aki yang turunkan ilmu pengasih tu pada Lamat, ustaz," beritahu Lebai Bahamit, mengerling saya yang tertunduk mengeluh pendek. "Tentu susah nak percaya cerita macam ni, betul tak ustaz?" dia menambah kerana bimbang saya tidak mempercayai cerita mengenai Aki Mihin itu.