Sunday, July 24, 2016

186. DENDAM PUAKA CULA TUPAI



MEMANG  sedih juga hati Jiyah dengan keputusan ayahnya Katib Nong menerima pinangan Tok Labit yang berumur lebih lapan puluh tahun.  Sudah gayut berjalan terketar-ketar pun Tok Labit masih ingin berkahwin lagi setelah isterinya Misun meninggal dunia.

Kalau mahu di kira tua, Misun tidaklah tua sangat.  Ketika meninggal dunia pun Misun hanya berumur 35 tahun  sahaja.  Dapat juga seorang anak perempuan hasil perkahwinannya dengan Tok Labit.

Apabila Tok Labit mengambil keputusan untuk berkahwin lagi, anaknya Saenah memang kuat menentang.  Tersinggung juga Saenah kerana ayahnya memilih gadis yang hampir sebaya dengan umurnya.

Tetapi keputusan Tok Labit tidak boleh disanggah.  Kalau Saenah tidak bersetuju, gadis itu mestilah tinggalkan rumahnya.  Siapa pun tidak boleh membantah keputusan Tok Labit, sekiranya dia sudah membuat ketetapan.  Cubalah Katib Nong menolak pinangannya, dia akan buat apa sahaja sampai lelaki itu sujud ke kakinya.

Tok Labit satu-satunya yang memiliki sawah berjenjang-jenjang di dalam kampung.  Ramai orang-orang kampung yang bekerja dengannya mengerjakan sawah.  Saleh Cetong yang bertubuh gagah itu bila-bila sahaja mematuhi perintah Tok Labit, kalau orang tua mahukan sesuatu.

Seisi kampung tahu fasal orang suruhan Tok Labit itu.  Siapa pun tidak boleh angkat muka, apabila Saleh Cetong sudah bercekak pinggang tengadah mereka.  Sebab itulah Katib Nong mengalah, sebaik sahaja Saleh Cetong masuk meminang.  Tahu benar dia nasib Misun sewaktu menolak pinangan Tok Labit.

Dalam masa dua hari sahaja Misun datang sendiri kerumah Tok Labit lantas menyembah muka ke dada orang tua itu dalam tangis memanjang. Misun yang mendesak supaya Tok Labit mengambilnya menjadi isteri.

“Bukan fasal dia ada harta,”  ujar Katib Nong memberi tahu kawannya Usop Ketir fasal desakan Tok Labit mahu berkahwin dengan Jiyah.

“Fasal Saleh Cetong?”  sahut Usop Ketir menggertap bibir apabila kenangkan sepupunya arwah Misun.  “Kalau fasal Saleh Cetong, kita lawan dia!”  katanya bersemangat mahu bertindak ikut perasaan.

Usop Ketir tidak bimbang kalau berdepan dengan Saleh Cetong.  Tubuh sasa Saleh Cetong belum tentu lagi boleh tercegat gagah kalau diserbu dengan buah langkah silat.  Hampir setahun dia tinggalkan kampung semata-mata menutut ilmu silat di Pahang.  Memang sudah lama dia berdendam mahu menguji kegagahan Saleh Cetong.

“Saleh Cetong tak boleh buat apa-apa,”  bisik Katib Nong menggeleng lemah.  “Tok Labit sendiri banyak ilmunya,”  jelasnya bercampur bimbang.

Biarlah Jiyah di pinang secara baik.  Tentulah dia sendiri malu kalau Tok Labit kenakan minyak dagu kepada Jiyah sama macam memikat arwah Misun.  Tidak sesen pun dibayar wang belanja kepada keluarga Misun selain daripada mas kahwin semasa melafazkan akad nikah.

Kalau diterima pinangannya secara baik, tentu Tok Labit tidak dapat mengelak membayar wang belanja.  Letakkan tinggi pun dia sanggup membayar.  Tok Labit tidak mahu mengalah untuk membuktikan keupayaannya.  Masakan orang yang berharta sepertinya cuba bedalih fasal belanja kahwin.

Seisi kampung tahu benar sikap Tok Labit sudah beberapa kali nikah.  Kebanyakan isterinya meninggal dunia tidak sampai setahun mereka berkahwin.  Kadangkala Tok Labit sendiri menceraikan dengan tidak bersebab.  Hanya Misun satu-satunya yang bertahan lama sehingga memperolehi seorang anak perempuan.

Tok Labit tidak menceraikan Misun, sekalipun dia berkahwin lain dalam masa yang sama.  Misun sendiri tidak penduli sangat apabila Tok Labit berkahwin lagi.  Dia tahu perempuan berkenaan tidak akan bertahan lama.  Tidak sampai setahun tentu Tok Labit ceraikan juga.

Sewaktu Misun berkeras menolak keputusan keluarganya supaya dijodohkan dengan Tok Labit, memang tersinggung hati orang tua itu.  Tetapi dia tetap bertenang menerima keputusan Misun.  Masakan gadis itu boleh melepaskan diri daripadanya.  Tok Labit tahu dia boleh menundukkan Misun bila-bila masa pun.

Malamnya tidak bertangguh Tok Labit membakar kemenyan sebaik sahaja menjelang tengah malam tatkala seisi kampung sunyi sepi.  Tok Labit mengeluarkan cula tupai yang disimpan baik-baik dalam sumpitan mengkuang dengan berbungkus kain kuning.  Ketika cula tupai itu diasapkan, terkejut Tok Labit apabila lembaga pendek berbulu menjelma di depannya.

Tidak pernah lambaga pendek berbulu lebat itu menjelma setiap kali dia mengasap kemenyankan cula tupai berkenaan.

“Apa salah aku?”  soal Tok Labit tidak keruan.

“Tak ada salah apa-apa.”  Beritahu lembaga pendek berbulu lebat itu tersengih-sengih menepuk bahu Tok Labit.  “Cuma nak ingatkan aje, jangan sampai kau melanggar pantang,”  ujar lembaga pendek berbulu itu memberi amaran.

Tersenyum Tok Labit dengan amaran tersebut.  Tidak pernah lembaga pendek berbulu itu menjelma memberi amaran demikian. Masakan mudah dia mengalah setelah melaluinya dengan tabah sejak memiliki cula tupai itu.

Bukan mudah dia mahu mendapatkannya.  Terpaksa bertapa di tengah hutan di atas pohon tinggi, sehingga dia melihat tupai jantan mati beragan di celah dahan.  Dia sendiri tidak dapat mengambil cula tupai berkenaan, disebabkan tercacak melekat ke celah dahan.  Kalau tidak berhati-hati mencabutnya, boleh jadi cula tersebut akan putus tidak berguna apa-apa.

Dia tidak boleh tergesa-gesa mencabut cula tupai mati beragan itu.  Biarlah terus bertapa hingga berhari-hari menunggu tupai jantan mati beragan itu reput.  Bimbang juga dia kalau-kalau cula berkenaan akan reput bersama bangkai tupai mati beragan itu.

Tatkala tengah malam di bawah kilauan bulan, Tok Labit melihat dalam kesamaran satu lembaga berbulu lebat merangkak dari pucuk pokok berkenaan.  Lembaga itu sendiri mengambil cula tersebut, kemudian diserahkan kepada Tok Labit.

“Kalau pakai cula ni, kau tak boleh mendapat anak,”  beritahu lembaga pendek berbulu lebat itu.

“Kalau dapat anak?”  sengaja Tok Labit mendesak supaya dia tidak terlanggar pantang larang.

Berdekah-dekah lembaga pendek berbulu itu ketawa seolah-olah bunyi tupai berdekik di hujung dahan.  Tetapi Tok Labit tidak rasa gementar berdepan dengan lembaga tersebut.  Sudah terbayang rasa persahabatan di antaranya sebaik sahaja lembaga bertubuh pendek yang berbulu lebat seperti tupai itu menjelma di hadapannya.

“Kalau beranak, kau tak boleh bercerai dengan isteri kau,”  lembaga pendek berbulu lebat itu masih berdekah-dekah ketawa.

“Kalau bercerai?”  semakin galak Tok Labit mahu mengetahui.

“Tak guna lagi kau simpan cula ni,”  ujar lembaga itu terus melompat ke hujung dahan laksana tupai menghambur jauh.  Kemudian hilang dalam kesamaran malam  di bawah kilauan cahaya bulan.

Sebab itulah Tok Labit terkejut apabila lembaga pendek berbulu lebat itu menjelma ketika dia membakar kemenyen.  Manalah tahu dia sudah melanggar pantang larang hingga gembala cula tupai itu menuntut geruh.  Tentu dia terpaksa menerima bala sekiranya gembala itu sengaja mencari geruh apabila dia melanggar pantang larang.

Tetapi dia tidak melanggar apa-apa pun pantang larang.  Lembaga pendek berbulu yang menjadi gembala cula tupai itu sudah memberi pengakuan bahawa dia tidak melanggar pantang larang yang ditentukan di antara mereka berdua.  Tok Labit masih boleh mengharapkan pertolongan daripada gembala berkenaan selagi dia mematuhi pantang larang tersebut.

Misun mesti di pikat.  Menolak pinangan dia samalah macam menghina dirinya.  Siapa sahaja perempuan yang menghina dirinya,  Tok Labit tidak boleh maafkan.  Apakala dibakar kemenyan, dia akan mengasapkan cula tupai yang diperolehi ketika bertapa di tengah hutan.

Ketika ini Tok Labit menbayangkan dirinya berada di sisi perempuan yang menolak pinangan dia.  Seluruh tubuhnya akan cair menenggelamkan tubuh perempuan itu hingga lemas bagaikan terkapai-kapai di tengah arus.  Kemana sahaja mahu melarikan diri perempuan itu akan ditolak ombak sampai tidak bertampan.

Hanya Tok Labit yang dilihat oleh perempuan berkenaan ke mana sahaja berpaling di tengah air berkocak.  Misun juga mesti menerima akibat setelah menolak pinangan dia.  Tetapi jelmaan gembala cula tupai itu lebih mengukuhkan semangatnya untuk menawan hati Misun.

Memang sepanjang malam Misun tidak boleh melelapkan mata.  Hatinya terasa bersalah kerana menolak pinangan Tok Labit.   Sebab itulah pagi-pagi lagi jejakkan kaki di rumah orang tua tersebut.  Tidak malu lagi dia terus menyembamkan muka ke dada Tok Labit dalam getar suara yang merayu-rayu merelakan dirinya menjadi isteri Tok Labit.

“Tok jangan sia-siakan hidup saya,”  tutur Misun sebaik sahaja mereka menjadi suami isteri.

“Takkan Tok nak buat macam tu,”  ujar Tok Labit tersenyum bangga setelah berjaya menundukkan perempuan itu.

“Sudah beberapa kali Tok kahwin tapi tak kekal,”  lantas sahaja Misun mengingatkan dengan suara yang manja.

“Mereka yang minta Tok lepaskan,”  beritahu Tok Labit apabila kenangkan isteri yang diceraikan disebabkan tidak mampu menjadi isterinya.

“Kenapa mereka tak tahan menjadi isteri Tok?”  Misun jujur mahu mengetahui sebab-sebab berlakunya perceraian, setelah masing-masing rela menjadi isteri Tok Labit.

Berat juga hati Tok Labit mahu memberitahu mengenai cula tupai mati beragan yang menjadi tangkalnya.  Tetapi hatinya menjadi lemah dengan kejujuran Misun.  Dia berterus terang memberitahu fasal cula tupai tersebut.

Berdebar juga hati Misun apabila kenangkan tangkal cula tupai mati beragan itu.  Tentulah bekas isteri Tok Labit menderita sepanjang hidup.  Kalau tidak masakan mereka lari meninggalkan Tok Labit, sekiranya tidak di ceraikan pun .

Tetapi Misun benar-benar kesihan dengan Tok Labit.  Umurnya yang semakin tua masih tidak mempunyai anak untuk menjaganya kalau terlantar sakit.  Siapa boleh diharapkan menjaga dia sewaktu terlantar sakit, sekiranya tidak mempunyai anak isteri.  Sudah berkali-kali berkahwin pun tidak seorang yang kekal menjadi isterinya sehingga melahirkan anak.

Biarlah seisi kampung menuduhnya gilakan harta Tok Labit, namun Misun mula mengasihi lelaki tua berkenaan.  Kejujurannya terpancar sehingga Saenah dilahirkan menjadi penghubung kasih mereka suami isteri.  Tok Labit sendiri sudah merasakan Misun satu-satu isterinya yang benar benar jujur terhadap dirinya.

Setelah mempunyai anak pun, Tok Labit masih juga memikat siapa sahaja perempuan yang diidamkannya.  Tidak kira siapa, Tok Labit akan memikatnya sekalipun isteri atau tunangan orang.  Mereka semua tidak boleh berkeras kalau perempuan itu sendiri yang mencari Tok Labit.

Memang Misun tidak peduli sangat fasal Tok Labit berkahwin hingga sampai empat sekalipun.  Dia tahu suaminya dikuasai oleh gembala cula tupai mati beragan itu.  Biarlah suaminya dengan dunia yang tidak boleh dijangkau oleh sesiapa.  Misun menyerahkan nasib masa hadapannya kepad Allah Yang Maha Berkuasa.

Hingga tengah malam selepas menunaikan solat sunat tahajud, Misun tercium bau harum semerbak di sekelilingnya.  Kalaulah Tok Labit tidak ke rumah isteri mudanya, tentu Misun akan kejutkan dia di tengah malam demikian.  Tok Labit dapat mengagak bau harum yang semerbak di serata penjuru biliknya berpunca dari mana?

Tetapi cuma dia dengan anaknya Saenah yang sudah belasan tahun umurnya saja tinggal di rumah itu.  Dalam masa Misun terpinga-pinga itu, tiba-tiba dia melihat seorang perempuan muda ikut sama solat di belakangnya.  Selesai sahaja mereka solat sunat tahajud, perempuan itu berisut ke hadapan mendekati Misun.

“Kakak ni siapa, dan dari mana?”  segera Misun memberanikan hati bertanya.

“Kakak nak temankan adik, kerana adik tinggal dengan Saenah aje,”  sahut perempuan itu ramah.  Setiap kali dia menggerakkan tangan bau harum kian semerbak di dalam bilik.

“Saya takut, kalau kakak tak beri tahu siapa kakak,”  Misun menjelaskan dengan jujur.  Memang dia ketakutan sebaik sahaja perempuan muda itu menjelma di sisinya dalam kesepaian malam demikian.

“Adik Misun tak usah takut,”  perempuan itu memujuknya supaya bertenang.  “Adik Misun orang yang jujur, sebab itu kakak kesihan,”  katanya lembut sambil menguis-kuis hujung jari ke tikar sembahyang.

“Macam mana kakak boleh dapat masuk?”  soal Misun tidak berganjak daripada tempat duduknya.

“Kakak ni Puteri Mayang,”  bergetar suara perempuan itu memberitahu Misun.  “Kakak bimbang adik akan dianiaya kalau tak berhati-hati,”  ujarnya mengigit bibir menahan rasa terharu.

Tetapi Misun tidak mengharapkan Puteri Mayang memberikan pertolongan kepadanya.  Biarlah dia menghadapi apa sahaja cabararan yang membelenggu hidupnya.  Sebab itulah Misun tidak pernah meninggalkan solat sunat tahajudnya setiap tengah malam apabila terbangun dari tidur.

“Biarlah orang nak aniaya saya kakak,”  Misun tetap nekad.

“Kakak sekadar nak menolong,”  Puteri Mayang berundur ke belakang setelah Misun enggan menerima pertolongan dia.

Misun tidak menyahut.  Dia menunduk menahan rasa bimbang yang mula bergejolak di hati.  Manalah tahu jelmaan perempuan muda yang tiba-tiba muncul di sisinya itu hanya gangguan syaitan untuk menguji keimanannya.  Dia tidak akan tergoda oleh gangguan demikian sama seperti suaminya Tok Labit yang bergantung tenaga kepada cula tupai mati beragan.

Jauh di sudut hatinya dia berdoa supaya Tok Labit meninggalkan amalan sia-sia yang tidak bermanfaat itu.  Apalah ertinya dia bergantung tenaga kepada cula tupai semata-mata mahu menundukkan semua perempuan, kalau kegelisahan sentiasa bersarang di hati.

Tok Labit sentiasa resah apakala meninggalkan isterinya kerana bimbang diganggu oleh lembaga pendek berbulu lebat yang menjadi gembala cula tupai itu.  Sudah beberapa kali Tok Labit terserempak gembala cula tupai itu tidur di sisi isterinya semasa di kerumah isteri yang lain.

Sebab itulah gembala cula tupai itu tidak mahu Tok Labit mendapat anak.  Lembaga pendek berbulu itu tidak akan dapat menjelma menyerupai Tok Labit, sekiranya ada orang lain di dalam rumah.  Pantang larang inilah terpaksa dipatuhi oleh Tok Labit menyebabkan dia tidak mempunyai pilihan lain.  Dia mesti ceraikan juga isterinya setelah terserempak diganggu oleh gembala cula tupai berkenaan.

Cuma Misun satu-satunya yang tidak dapat didekatinya.  Setiap kali gembala cula tupai melintasi rumah Misun dia akan ditolak angin kencang hingga terhumban jauh.  Saat ini Tok Labit sendiri merasakan dirinya tercampak sampai tertampan ke dinding.

“Saya hanya memohon pertolongan daripada Allah,”  tegas Misun meramas-ramas jarinya seolah-olah mengukuhkan semangatnya.

“Adik Misun memang orang baik,”  perempuan itu menuturkan perlahan.  Kemudian sedikit demi sedikit dia menghilang dalam silauan lampu malap di penjuru bilik.

Tidak lama selepas itulah Misun meninggal dunia setelah batuk darah selama tiga hari.  Termengah-mengah dia menanggung kesakitan yang menusuk-nusuk dada.  Tersengguk-sengguk Saenah menangis kesedihan kerana emaknyha tiba-tiba sahaja diserang batuk darah.

Hanya beberapa bulan sahaja selepas kematian Misun itulah, Tok Labit meminang Jiyah.  Sikap ayahnya itulah yang menyebak di dada Saenah.  Bukan setakat Jiyah masih muda hampir sebaya umur dengannya, tetapi emaknya baru sahaja dikebumikan.  Tidak patut ayahnya tergesa-gesa mengambil keputusan berkahwin lagi tatkala tanah kuburan emaknya masih merah.

Keputusan Tok Labit berkeras mahu berkahwin dengan Jiyah itu, menyebabkan Saenah nekad untuk meninggalkan rumah ayahnya.  Biarlah dia balik ke rumah keluarga emaknya, daripada memendam perasaan bersama ayahnya yang berkahwin lain.  Malam dia berkemas-kemas untuk meninggalkan rumahnya itulah Saenah mendengar ayahnya berdekah-dekah ketawa.

Apabila dia menjengah kebilik ayahnya berdebar hati Saenah sebaik sahaja melihat ayahnya berhadapan dengan lelaki bertubuh pendek dengan bulu penuh di seluruh badannya.  Hampir juga dia terjerit ketakutan.  Kalau tidak kenangkan ayahnya tersengih-sengih bangga berdepan dengan lembaga itu, tentu dia tergamam tidak dapat mengawal perasaan.

“Kalau Misun mati, memang kau tak langgar pantang,”  ujar lembaga pendek berbulu itu menepuk-nepuk bahu Tok Labit.  “Kau tak boleh ceraikan Misun kerana dia ada anak, itu sahaja pantang larangnya,”  tegasnya disambut gelak ketawa Tok Labit terkekeh-kekeh.

Sewaktu Saenah mahu melangkah meninggalkan bilik ayahnyha, dia terdengar lembaga pendek berbulu itu menuturkan dengan ejekan:

“Kau memang pandai, aku tahu Misun mati kerana kau racun supaya kau tak langgar pantang  larang.  Kalau Misun hidup, kau tak boleh ceraikan dia.  Lagipun aku tak boleh jejak kaki ke sini selagi Misun masih hidup, kerana dia kuat sembahyang…”

Tidak sempat menunggu pagi, tengah malam itu juga Saenah tinggalkan rumah ayahnya.  Terkejut datuknya Pak Musir sebaik sahaja Saenah naik ke rumah tatkala tengah malam sepi sesepi-sepinya.  Teresak-esak Saenah memberitahu datuknya mengenai kejadian yang dialaminya ketika di rumah ayahnya.

Tetapi Pak Musir tidak mahu Saenah heboh sampai satu kampung mengetahui rahsia tersebut.  Malu sangat dia sekiranya seisi kampung tahu tentang keburukan Tok Labit.  Kalau keburukan Tok Labit diungkit-ungkit samalah macam memberi malu kepada  anaknya  sendiri arwah Misun.

Seminggu selepas perkahwinan Jiyah dengan Tok Labit itulah, keluarga perempuan itu bimbang kerana anaknya tidak mahu melayani suaminya.  Bimbang benar mereka kalau Tok Labit membalas dendam sampai menyuruh Saleh Cetoang mengancam.  Cuma Usup Ketir satu-satunya sanggup membantu sekiranya Saleh Cetong cuba tunjukkan keras kepala di dalam kampung.

Sejak malam bersanding lagi Jiyah enggan mendekati Tok Labit.  Tergamam lelaki tua itu apakala melihat Jiyah menjelma menyerupai arwah Misun duduk bertimpuh di atas tilam pengantin.  Ketika dia menyeru gembala cula tupainya menjelma, lembaga bertubuh pendek itu cair laksana lilin terbakar.

“Aku Puteri Mayang, Labit…”  seolah-olah Jiyah menyindirnya dengan kerlingan tajam.  “Kau aniaya Misun, bermakna kau sengaja ceraikan dia,”  suaranya keras mengancam.

“Tapi, aku tak langgar pantang larang!”  sahut Tok Labit gementar kerana disedarinya gembala cula tupai itu tidak berdaya menentang Puteri Mayang yang menjadi sumpahannya.

“Kau tak boleh berdalih,”  ujar Puteri Mayang yang menjelma menyerupai Jiyah.  “Aku yang memberi cula tupai dengan gembalanya, maka aku yang mengambilnya semula,”  dia tersengih-sengih mengejek lelaki tua itu.

Sekaligus Tok Labit merasa tenagayan menjadi lemah tidak bermaya.  Kegagahannya selama ini bertukar moyok tidak mampu bergerak.  Malah kakinya juga goyah apakala melangkah.

“Aku tak ceraikan Misun, tetapi dia mati,”  Tok Labit masih merayu supaya tenaganya dipulihkan semula.

“Tapi kau racun dia, samalah macam kau sengaja ceraikan Misun,”  tegas Puteri Mayang tidak mahu bertolak ansur.

Tetapi keluarga Jiyah tidak tahu apa-apa mengenai masalah yang ditanggung oleh Tok Labit.  Kalau mereka menyedari Tok Labit tidak segagah mana, tentu Katib Nong sendiri akan mengusirnya.  Katib Nong sekadar melihat anaknya Jiyah sengaja menjauhkan diri daripada suaminya.

Tok Labit pula tidak berani lagi mengangkat muka menatap wajah keluarga Jiyah.  Kalau berjalan pun tergoyah-goyah kaki sambil menunduk malu.

Setelah balik ke rumahnya pun, Jiyah tidak mahu ikut sama.  Dia tetap bertahan di rumah ayahnya, sekalipun di desak oleh keluarganya.  Memang Tok Labit tidak berani memaksa Jiyah mengikutnya balik ke rumah setelah isterinya enggan ikut sama.  Bimbang juga dia kalau-kalau rahsianya akan di ketahui Jiyah.  Tentulah bila-bila masa sahaja Jiyah akan paksa dia ikut telunjuk.

“Tak perlu takutkan Tok Labit tu,”  Usup Ketir sengaja api-apikan Katib Nong anak beranak
.
Semakin galak Usup Ketir memberi semangat setelah Saleh Cetong ditemui mati dengan kepala terjunam ke dalam telaga.  Hairan juga orang-orang kampung bagaimana Saleh Cetong boleh jatuh ke dalam telaga dengan kaki tercodak ke atas.

“Tapi, Tok Labit banyak peliharaannya,”  Katib Bong masih ragu-ragu sekalipun Saleh Cetong orang suruhan Tok Labit ditemui mati tertonggeng dalam telaga.

“Kita cari kelemahan dia,” tegas Usup Ketir yang masih berdendam kerana menyedari sepupunya, arwah Misun mati disebabkan termakan racun. Memang dia mengesyaki Tok Labit sahaja tergamak melakukan.  Kalau bukan Tok Labit siapa lagi yang berdendam dengan Misun sampai sorongkan racun ke hadapannya?

Tetapi Jiyah sendiri sudah nekad tidak mahu menerima Tok Labit.  Kalau tidak kenang ayahnya mendesak, memang dia sanggup membantah di hadapan Tok Labit.  Sewaktu hampir bersanding Jiyah tahu dia tidak dihiaskan jadi pengantin. Dia melihat sendiri jelmaan arwah Misun disanggul oleh mak andam sampai diarak naik ke pelamin.

Dia sendiri hairan disebabkan siapa pun tidak melihatnya ketika itu, sekalipun ikut sama berdiri di tengah jemputan yang ramai.  Ketika arwah Misun mengejek-ejek Tok Labit pun dia melihatnya seolah-olah diselubungi mimpi yang aneh.

Disebabkan bimbang Tok Labit akan berdendam, Jiyah bersetuju dengan pujukan Usup Ketir untuk membunuh orang tua itu.  Sengaja Jiyah meninggalkan kampung halaman semasa Tok Labit ditemui mati tergantung di pokok kekabu di hujung halaman rumahnya.  Siapa pun tidak menyedari kejadian tersebut, sehingga mayatnya reput dan berbau busuk barulah seisi kampung menjadi gempar.

“Macam mana nak buat sekarang ustaz?”  soal Fakeh Akir sebaik sahaja saya bersama Bomoh Sidin naik ke rumah.  Sejak dua malam saya singgah di madrasah Haji Siajid, dua malam pula diajak oleh Bomoh Sidin kerumah Fakeh Akir.

Rusuh sangat hati keluarga Fakeh Akir dengan keadaan anaknya Seriyah, sekalipun sudah beransur pulih.  Kalau tidak di jemput saya pun, memang gangguan yang merasuk itu sudah mulai reda.  Tetapi Fakeh Akir tidak sabar mahu melihat anaknya cepat sembuh.

“Penyakit dah lama, sembuhnya tentulah beransur-ansur,”  ujar Bomoh Sidin tersengih-sengih berpaling memandang Alang Kamat.  Sejak lebih seminggu anaknya Lajis moyok seperti orang tua ganyut sedang uzur,  Alang Kamat suami isteri juga berulang alik ke rumah bisannya.

Bimbang juga mereka kalau penyakit Lajis tidak pulih sementara cuti penggal persekolahan habis.  Kalau sekadar penyakit biasa tentulah Lajis sudah sembuh selepas mendapat rawatan di klinik.  Tidak ada sebab tubuhnya menjadi lenguh-lenguh hingga tenaganya pun tidak segagah mana.

“Kalau dibuat oleh orang, kita pulangkan balik penyakit tu!”  Ulung Simek pula mencelah melepaskan geram yang mendongkol.  Marah benar dia apabila anak saudaranya di aniaya sewaktu melangsungkan perkahwinan.

“Siapa orang yang menganiaya tu?”  desak Ngah Tisah pula mencemik muka.

“Ustaz tentu tahu tapi dia tak mahu cakap,”  Alang Kamat sengaja menuduh untuk menduga rahsia yang menyelubungi penyakit anak dan menantunya.

Saya menggeleng-geleng sambil menghela nafas.  Alangkah sia-sia menuduh sekiranya kita tidak mengetahui apa-apa segala urusan Allah Subhanahu Wata’ala.  Sebaik-baik di lakukan ialah berubat sama ada di klinik atau cara mana sekalipun apabila diganggu sakit, di samping berdoa memohon pertolongan Allah.  Selebihnya terserahlah kepada kudrat dan iradatNya semata-mata.

Tetapi Alang Kamat percaya Lajis dianiaya orang di sebabkan berkahwin dengan Seriyah.  Sebelum Seriyah berkahwin dengan Lajis pun, memang sudah ada pemuda lain dari Jemapoh masuk meminang.  Tentu pemuda itu irihati dengan keputusan Fakeh Akir menerima Lajis menjadi menantu, menyebabkan dia sengaja membuat aniaya.

Menggertap bibir Ulung Simek mahu membalas dendam sebaik sahaja diberitahu mengenai pemuda yang tidak di terima pinangannya oleh Fakeh Akir itu.  Lantas dia mendesak Fakeh Akir tunjukkan rumah pemuda berkenaan.  Dia akan cekak leher pemuda itu biar sujud ke kakinya meminta belas kesihan.

“Kita mesti ajar siapa saja aniaya keluarga kita!”  tegas Ulung Simek menggenggam penumbuk sambil meninju-ninju ke tapak tangan.

“Tak ada siapa pun aniaya keluarga Fakeh Akir,”  sahut Bomoh Sidin perlahan lantas menegakkan sandar belakang ke dinding.  “Kenapa mencari dosa dengan menuduh orang lain?”  katanya mencebik bibir menatap muka Ulung Simek.

Serba salah Ulung Simek apabila kata-katanya disanggah oleh Bomoh Sidin.  Kalau tidak kenang Bomoh Sidin jejak kaki ke situ mahu mengubati Lajis dengan Seriyah, nescaya akan dijerkahnya fasal membantah.  Kenapa mesti biarkan orang menganiaya keluarganya macam mencabar jantan dia?

Gangguan keluarganya samalah macam memijak kepala Ulung Simek juga.  Bila-bila dia sanggup bercekak kalau berani pijak kepalanya macam melangkah batang melintang di tengah jalan.  Cubalah cabar jantannya, Ulung Simek akan cari di mana pun mereka bersembunyi!

“Malam tadi ustaz dah tengokkan siapa agaknya?”  lembut suara Ucu Mijah bertanya setelah masing-masing berpandangan.

“Agaknya apa?”  sengaja saya berdalih untuk mengelakkan terus di desak.

“Orang yang aniaya kami?”  Ngah Tisah pula memintas.

“Tak ada siapa pun menganiaya,”  ujar saya tersenyum dengan sikap mereka yang tidak ketahuan.  “Semua ini musibah dari Allah, dan kita wajib memohon pertolongan Allah bagi menjauhkan musibah ini,” tegas saya tidak mahu mereka saling tuduh menuduh hingga menimbulkan kekeliruan.

“Ini tentu kerja budak Jemapoh tu,”  sahut Ulung Simek tetap berkeras mahu bertindak balas.

Belum sempat saya mahu menerangkan kedudukan sebenarnya, tiba-tiba Seriyah merengek-rengek.  Dia gelisah tidak menentu sambil menumbuk-numbuk lantai seolah-olah kecewa.  Ngah Tisah yang duduk di sebelahnya segera mententeramkan dia.  Sebaik sahaja Seriayah menangis terhenjut-henjut bahu, Lajis pula menunduk dengan terbatuk-batuk payah.

Bomoh Sidin berpaling kepada saya dengan mengeluh pendek.  Perlahan-lahan dia mengambil kain hitam sepanjang dua hasta yang tersanding di bahunya.  Sambil menepuk bahu saya. Dia terus bangun mendekati Lajis.  Dengan kain hitam itu Bomoh Sidin mengibas-ngibaskan ke kepala Lajis lantas membacakan serapahnya:

Ah badi mah badi, embun badi seratus Sembilan puluh itulah asal kau badi, air setitik asal kau jadi badi, tanah segengam asal kau jadi badi, datang engkau dari rimba raya balik kau ke rimba raya, datang kau di gaung guntung balik kau ke gaung guntung, tak balik engkau berdosa kepada pawang berempat, tak balik engkau ke gaung guntung derhaka kau kepada Tuhan sebenarnya.

Tiga kali dia kibaskan kain hitam sepanjang dua hasta itu ke kepala Lajis, saya melihat cikgu muda itu mengeluh panjang lantas mengurut-urut dadanya.  “Apa kau rasa, Lajis?”  soal emaknya gelisah.

Lajis menggeleng-geleng.  Dia sendiri tidak menyedari apa sebenar yang dialaminya selain merasa sendi-sendinya lemah dan tidak bertenaga.  Kalau dia terbatuk-batuk hanya terasa kahak penuh di kerengkung, sekalipun apabila diluahkan tidak ada apa-apa tersembur keluar.

Setalah Bomoh Sidin mengkibas kain hitam ke kepala Lajis, saya mara mendapatkan Seriyah teresak-esak menangis.  Ngah Tisah memujuknya supaya bertenang, tetapi Seriyah semakin sayu berhia-hiba tersengguk.

Terpaksa saya duduk mendiamkan diri beberapa minit untuk bertenang.  Setelah terasa lapang perasaan barulah saya membaca Fatihah, surah Al-Ikhlas, surah Al-falaq dan surah An-Nas.  Kemudian saya beristighfar beberapa kali sebelum memulakan zikir supaya fikiran sentiasa tenang.

Lama kelamaan saya merasakan diri terlalu jauh melangkau hingga ke halaman rumah tersergam dengan beberapa batang pokok kekabu di hujung halamannya.  Di salah sebatang pokok kekabu itulah mayat reput tergantung sudah dihurung ulat berenga.  Saya tersenyum melihat suasana disekitar rumah tersergam itu, kerana menyedari cuba diperdaya oleh penglihatan tersebut.  Tidak bertangguh saya membacakan surah Ad-Dhuha sebelas kali.

Ketika ini angin bertiup sepoi-sepoi sehingga mayat tergantung yang reput itu luruh seperti lilin terbakar.  Rangkanya bergerak-gerak bagaikan terayun-ayun di pokok kekabu berkenaan.

“Baliklah kamu Tok Labit, di sini bukan tempat kamu,”  ujar saya menghembus ke arahnya dengan membacakan Fatihah tiga kali.

Rangka mayat tergantung itu tiba-tiba terjatuh ke tanah lantas menjelma menjadi orang tua kurus yang uzur tidak bermaya.  Tangannya terkapai-kapai menuding kearah lembaga pendek berbulu lebat yang ditunggang oleh perempuan muda berpakaian kain nipis putih.

“Aku tak dapat lepas,”  bisik lelaki tua kurus itu sayu, apabila perempuan muda itu memukulnya berulang kali dengan cemati.  Kesan berbirat di belakangnya timbul sebesar jari kelengkeng akibat disebat dengan cemati di tangan perempuan tersebut.

“Kenapa berkawan dengan syaitan?”  sengaja saya mengejeknya.

“Bukan aku yang memukulnya,”  tiba-tiba perempuan muda yang bertunggang ditengkuk lembaga pendek berbulu itu mencemik muka.  “Bomoh Sidin yang memukulnya,”  dia berundur sedikit apakala saya mengisar tumit ke tanah.

Ketika ini Bomoh Sidin mengkibaskan kain hitam ke kepala lelaki tua kurus itu menyebabkan terpancar cahaya bagaikan kilat menerjah ke muka perempuan muda tersebut.  Dengan pantas dia menyebat lelaki kurus itu dengan cemati untuk melepaskan geram akibat matanya kesakitan disilau cahaya daripada kibasan  kain Bomoh Sidin.

Menggeliat-geliat lelaki tua itu menahan kesakitan.  Saya dapat mengagak Tok Labit sendiri terseksa disebat cemati gembala cula tupai yang dibangga-banggakan sebelum itu.  Dia sendiri menerima padah di sebabkan terpengaruh dengan cula tupai yang diharapkan boleh memberi kebahagian kepadanya.

“Jangan kau ganggu Tok Labit, cukuplah Allah memberi pembalasan kepadanya,” saya memberi amaran supaya perempuan muda itu menjauhkan diri.

Tetapi perempuan itu terus mengejek.  Dia tersengih-sengih memukul-mukul cematinya ke udara untuk mengancam Tok Labit.

Disebabkan perempuan itu berdegil saya membacakan: 

Huwallahulazi lailaha illa huwa’ali mul ghaibi wasyahadati huwarahmanur Rahim. 

Ketika ini Bomoh Sidin berdiri tegak dengan terkangkang hingga Tok Labit terperosok di bawah kangkangnya.  Serba salah juga perempuan muda itu mahu bertindak, apakala Tok Labit bertahan di bawah kangkang Bomoh Sidin.

Setelah perempuan itu tidak dapat menyeksa Tok Labit saya terus membacakan:

 Huwallahullazi lailaha illa huwalmalikul quddussus salamul mukminul muahiminul azizul jabbarul mutakabiru subhanallahi ‘amma yusyrikun.

Sekaligus kabus memutih tebal menyerkup perempuan itu terus memintalnya hingga berpilin-pilin dengan lembaga pendek berbulu itu. Jeritannya langsing beralun-alun di tengah pintalan kabus tebal itu laksana kabus dipusar angin kencang.

Semakin kencang kabus tebal itu berpintal-pintal, semakin galak saya membacakan:

Huwallahul khaliqul bari ul musauwirulahul asma-ul husna, yusab bihu lahu mafis samawati wal’ardhi wahuwal azizul hakim.

Pintalan kabus itu terus bertukar menjadi bara merah yang memercik laksana besi dilebur ke api.

“Ustaz, nak bunuh aku ke?”  jerit suara perempuan itu dalam putaran kabus merah berpintal-pintal itu.

“Aku tak berkuasa membunuh kau, hanya Allah yang berkuasa!”  sahut saya mengisar tapak tangan.

“Kau tak berhak mengganggu keluarga Fakeh Akir,”  saya mendengar Bomoh Sidin membentak kuat.  “Kalau kau nak balas dendam dengan Labit, jangan kau kacau orang lain.”  Dia mengingatkan lantas mengkibas-kibas kain hitam seolah-olah pedang  tajam yang berdecap-decap dipangkas ke leher musuh.

Perempuan muda itu tidak menyahut.  Dia terkurung dalam pintalan kabus merah berpilin-pilin.  Setiap kali dia menjengahkan muka di celah pintalan itu, api akan menyambar menyebabkan seluruh kulitnya melecur.

“Ustaz, lepaskan aku,”  rintihnya menangis teresak-esak dalam pintalan kabus itu laksana gelung yang berputar ligat.

“Kenapa minta tolong dengan ustaz, kau orang kuat, lawanlah,” Bomoh Sidin mengejek dengan senyuman yang menyakitkan hatinya.

“Aku tak sengaja, maaflah,”  perempuan itu terus merayu-rayu di tengah pintalan kabus merah itu.  “Bukan maksud aku nak ganggu keluarga Fakeh Akir, aku tersesat,”  ujarnya tersengguk-sengguk kerana tidak berani menjengah keluar.  Dia tahu api akan menyambar mukanya hingga melecur kulit sekiranya menjengahkan muka di celah putaran kabus merah berkenaan.

Tetapi saya tidak menyahut.  Di dalam hati saya zikir terus bergema bagaikan bertala-tala naik ke udara.  Gema yang bertala-tala itu terus menjadi hingar mengancam perempuan muda yang terkurung di dalam pintalan kabus merah.

“Bomoh Sidin, minta tolonglah pada ustaz berhentikan membaca,”  gerutu perempuan itu memujuk  “Aku hanya nak tolong Misun, aku kesihan padanya,”  ujarnya dengan penuh harapan.

“Diri kau sendiri tak boleh tolong, macam mana nak tolong orang?”  lantas saya menyindirnya, diikuti dengan aman  yang diulangi tujuh kali.  Kemudian saya membacakan Fatihah, surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan surah An-Nas.

Sengaja saya membiarkan dia terus di putar oleh kabus tebal seperti mesin pengisar yang tidak henti-henti.  Jeritannya semakin halus tenggelam di dalam putaran yang semakin ligat.  Tersenyum Bomoh Sidin, sebaik sahaja berundur meyandar belakang ke dinding apabila saya meminta Ucu Mijah hulurkan air sejuk segelas.

“Jauh ustaz berjalan, patutlah haus,”  Bomoh Sidin mengusik lantas melipat kain hitam sepanjang dua hasta yang digunakannya untuk mengibas kepala Lajis.

Esoknya Fateh Akir datang ke madrasah Haji Siajid bersama Lajis dan Seriyah.  Memang dia tahu saya masih belum balik lagi meninggalkan madrasah.  Lajis sendiri mengaku sengal-sengal tubuhnya sudah beransur hilang.  Malah Seriah juga sudah semakin mesra melayani suaminya.

Ketika saya singgah di rumah Pak Hid di Bukit Kelulut, memang dia mengakui tapak rumah yang didiami oleh Fateh Akir  dibelinya dari Mak Demin.  Tapak rumah itu dimiliki oleh Mak Demin sejak turun temurun daripada waris Tok Labit.  Mengeluh panjang Pak Hid memberitahu saya mengenai kejadian yang menimpa keturunan Tok Labit itu.


SELESAI