Friday, November 25, 2016

204.LELAKI BERJUBAH PUTIH KELUAR DARI KUBUR



MATAHARI sudah condong benar barulah kami bertolak balik ke Kuala Lumpur, setelah seharian berada di rumah Pak Boyot.  Mak Senit telah memasak gulai rebung campur ikan kering pada tengah harinya untuk hidangan.  Berselera sangat saya makan dengan ulam jering yang dikait sendiri oleh Pak Boyot di belakang rumahnya.  Kadir Misai juga kelihatan beberapa kali bertambah nasi.
Pak Boyot meminta biarlah kami balik lewat sedikit, tetapi kami terpaksa balik juga disebabkan Kadir Misai ada urusan ke Kota Bharu.  Dia mahu singgah di rumahnya di Melaka terlebih dulu sebelum menghantar saya balik ke Kuala Lumpur.
“Nanti jumpa lagi penunggu di Bukit Kijal…” usik Pak Boyot tersengih-sengih mengerling Kadir Misai.
“Ah, saya tak ikut jalan tu,”  beritahu Kadir Misai tertawa kecil.  “Saya ikut jalan Gua Musang, cepat sikit,”  jelasnya perlahan.
“Kau takut penunggu Bukit Kijal?”  kata Pak Boyot mengejeknya.
“Tak takut apa, ustaz dah beri petua…”  sahutnya sambil mencuit paha saya.
Sebenarnya Pak Boyot memang suka berjenaka.  Dia sering mengusik Kadir Misai kalau kami datang berkunjung ke rumahnya.  Kadangkala Kadir Misai juga suka mengusik bapa saudaranya itu.  Tetapi dia tidak pernah marah bila anak saudaranya itu sengaja menimbulkan kisah-kisah lamanya untuk menimbulkan gelak ketawa.
“Siapa berani tidur dengan mayat seorang diri, kalau bukan Bomoh Boyot…” Kadir Misai terkekeh-kekeh ketawa semasa kami makan tengahari.  Usikan Kadir Misai itu bukan saja untuk menimbulkan gelak ketawa, tetapi memang peristiwa benar yang dihadapi oleh Pak Boyot sendiri.
Dia datang berkunjung ke rumah kawannya Abu Jakil yang sakit tenat selepas diberitahu oleh isteri kawannya itu Kimah.  Tidak ada siapa pun datang menziarahi rumah Abu Jakil yang jauh terpencil di dusunnya di hulu kampung.  Abu Jakil mendirikan rumah di dusunnya jauh dari kampung, kerana tidak mahu tinggal berdekatan hingga sering menimbulkan kekecohan.
Dia cepat memberang sekiranya anak-anak itik jiran masuk ke sawahnya ketika anak benih baru diubah.  Bila-bila saja dia sanggup berkelahi kalau ada orang yang berani menyanggahnya.  Dia sanggup menetak kambing sesiapa saja yang berani menceroboh anak semaiannya.
Disebabkan dia suka bergaduh dengan jiran-jiran, Kimah memujuknya tinggal jauh di dusun supaya jauh dari masyarkat keliling.  Mereka tinggal tiga beranak saja.  Anaknya Harun yang baru berumur lima tahun itu masih belum bersekolah lagi.  Apatah lagi ketika ini persekolahan tidaklah penting sangat kepada ibubapa untuk anak-anak mereka.
Sewaktu Pak Boyot sampai di rumah Abu Jakil, hanya Kimah dan anaknya Harun itulah yang ada di rumah.  Tidak ada jiran-jiran mahu pun keluarga mereka yang datang menjengah.  Boleh dikatakan kebanyakan orang-orang kampung memang pernah bermasam muka dengan Abu Jakil.
Setelah melakukan pengubatan, Pak Boyot tidaklah terus balik kerana dilihatnya keadaan Abu Jakil semakin lemah.
Disebabkan hatinya serba salah mahu meninggalkan Kimah dua beranak menghadapi keadaan suaminya Abu Jakil, dia terpaksa menemankan mereka setidak-tidaknya hingga sampai keesokan harinya.  Tetapi malangnya, kira-kira jam 1.00 pagi Abu jakil pun menghembuskan nafasnya.
“Kita terpaksa beritahu orang-orang kampung,”  ujar Pak Boyot.  “Biar aku jemput, dan kau tungggu jenazah,”  katanya lantas bangun untuk memberitahu orang-orang kampung mengenai kematian Abu Jakil.
“Eloklah bapak yang tunggu jenazah, kerana bapak tahu nak buat apa-apa pun,”  sahut Kimah cemas.
“Kalau macam tu, kau bawalah Harun temankan kau di jalan…”  Pak Boyot menyuruh Harun juga dibawa sama.  Bimbang juga dia mahu melepaskan Kimah berseorangan saja menempuh belukar kecil sebelum menyeberangi sawah untuk sampai ke kampung.
Sepeninggalan Kimah dan anaknya memberitahu Tok Imam dan orang-orang kampung tinggallah Pak Boyot seorang diri menunggu jenazah Abu Jakil yang siap dibujurkan.  Dia membakar kemenyan di samping membacakan Quran sementara menunggu kedatangan orang-orang kampung.
Sebaik saja Kimah meninggalkan rumah, hujan mula turun sekalipun tidaklah lebat.  Angin juga bertiup sepoi-sepoi di kala dinihari yang sepi itu.  Mujurlah Kimah berani juga menuju ke kampung yang jauhnya hampir sebatu, ketika dinihari hanya dua beranak saja dengan Harun yang baru berumur lima tahun.
Memang Kimah lebih rela menempuh kesepian malam memberitahu Tok Imam dan orang-orang kampung, dari menunggu jenazah bersendirian dengan anak kecil berumur lima tahun itu.  Dia sering mendengar cerita mengenai mayat yang bangun semula kalau tidak tahu menjaganya dalam waktu demikian.
Tidak lama selepas hujan turun serta angin bertiup itu tiba-tiba kain penutup mayat tersilak.  Berdebar juga Pak Boyot bila melihat kain penutup mayat itu tiba-tiba saja tersilak hingga menampakkan muka jenazah Abu Jakil.  Dia terus membacakan ayat-ayat Quran bercampur gementar sedikit.  Setelah diperhatikannya betul-betul bahawa kain itu tersilak disebabkan hembusan angin, barulah Pak Boyot menutup semula muka janazah itu dengan kain penutup.
Selepas itu suasana semakin mendebarkan Pak Boyot kerana  atap juga tiris hujan hingga air menitik betul-betul di atas muka jenazah.  Terpaksalah pula Pak Boyot mengheret tikar pengalas jenazah itu jauh sedikit bagi mengelakkan dari dititis hujan yang tiris.
“Emmm, macam-macam hal betul menimpa kau Jakil,”  keluh Pak Boyot macam kesal dengan  kejadian yang dihadapinya itu.  Kemudian dia kembali membaca Quran bagi mengisi kesepian malam.
Dalam masa membacakan Quran ini, sekali-sekala Pak Boyot terkuap-kuap menahan mengantuk.  Dia sendiri tidak tahu bilakah pula masanya dia terlelap disebabkan terlalu mengantuk, hinggalah dikejutkan oleh Tok Imam dan orang-orang kampung yang datang bersama Kimah.  Ketawa besar Tok Imam bila kenangkan Pak Boyot tertidur semasa berseorangan diri menjaga jenazah.
“Mujur juga jenazah itu tak bangun, semasa Pak boyot tidur…” kata Tok Imam disambut derai ketawa beberapa orang yang berkunjung sebaik diberitahu mengenai kematian Abu Jakil.
Peristiwa ini menjadi ejekan kepada Pak Boyot kerana dikatakan tidur bersama orang mati.  Tetapi Pak Boyot juga bukanlah orang yang mudah cemas menghadapi saat-saat demikian.  Perkara dia tidur berseorangan diri dengan jenazah Abu Jakil adalah perkara yang kecil saja kalau dibandingkan dengan peristiwa tertidur seorang diri di tengah hutan.
Bahaya di hutan tentulah lebih besar kerana binatang buas berkeliaran, sedangkan mayat yang terbujur itu tidak perlu dibimbangkan.  Bagaimanapun orang-orang kampung lebih takutkan mayat yang terbujur apabila menunggunya berseorangan diri.
Dia ke hutan bersama beberapa orang kawannya mencari rotan.  Masing-masing berpecah sebaik saja sampai di satu perhentian, dan berjanji bertemu semula di situ.  Pak Boyot yang mudah tertidur di mana saja dia berhenti, telah tertidur sebaik saja mengumpulkan rotan-rotan yang dicari.
Apabila sampai waktu dijanjikan, Lajim, Mat Biduk dan Wahab Gedeng pun menunggu di perhentian mereka berkumpul.  Tetapi sehingga petang mereka bertiga menunggu Pak Boyot tidak juga muncul.  Masing-masing menuduh Pak Boyot sudah balik terlebih dahulu, kerana hampir satu jam mereka menunggu Pak Boyot masih juga tidak nampak bayang.
“Kita nak tunggu ke?”  soal Wahab Gedeng meradang disebabkan puas menunggu di situ.
“Tunggulah dulu,”  sahut Mat Biduk memujuk kawan-kawannya.  “Tak baik pula kita tinggalkan dia seorang diri,”  ujarnya lagi.
“Mana tau dia balik dulu, kita tunggu aje laaa dia di sini…”  rungut Lajim pula bimbang sekiranya Pak boyot sudah balik terlebih dulu.  Sia-sia saja mereka menunggu di situ kalaulah orang tua itu balik dengan tidak memberitahu.
“Aku tak fikir macam tu,”  Mat Biduk yakin Pak Boyot masih belum balik.
“Orang tua ni kuat tidur, kau tau!”  jelas Wahab Gedeng yang memahami sikap Pak Boyot suka tidur di mana-mana kalau keletihan.  Kadangkala selepas membantu orang menggali kubur pun, dia boleh melelapkan mata di atas kubur.
Terpaksalah mereka bertiga mencari Pak Boyot menyusur denai yang dilaluinya.  Memang mereka tidak sampai hati untuk meninggalkan kawan yang sama-sama mencari rezeki di hutan.  Hampir senja mereka mencari tidak juga bertemu, akhirnya mereka sama-sama mengambil keputusan untuk balik.
Sampai saja di rumah memang ternyata Pak Boyot masih belum balik.  Sekali lagi mereka sekampung berbincang mahu mencari orang tua itu di hutan.  Walau bagaimanapun Ketua kampung menyuruh mereka berpecah kepada tiga kumpulan masing-masing diketuai oleh Lajim, Mat Bidukl dan Wahab Gedeng.  Tiap-tiap kumpulan mengandungi lima orang kembali masuk ke hutan malam itu juga untuk mencari Pak Boyot.
Hampir subuh kumpulan yang diketuai oleh Wabah Gedeng balik dulu, tetapi mereka tidak menemui Pak Boyot .  Sehingga pagi kumpulan yang diketuai oleh Lajim pula sampai dalam keadaan keletihan.  Mereka juga hampa kerana tidak menemui Pak Boyot.  Manakala Mak Senit pula bertambah gelisah dengan kehilangan suaminya di hutan.
Kira-kira hampir jam sebelas pagi kumpulan Mat Biduk pula balik,  Mereka menyangka tentulah kawan-kawannya sudah menemui Pak Boyot sebab itulah mereka tidak meneruskan mencarik orang tua itu.  Tetapi apabila diberitahu mengenai Pak Boyot masih belum ditemui, mereka sendiri merasa hairan kerana kawasan hutan kampung yang tidak sebesar mana tidak dapat di temui Pak Boyot.
“Hutan ni, bukannya sampai ke hutan besar…”  keluh Ketua kampung kerana dia percaya Pak Boyot tidaklah sesat sampai menyimpang jauh ke hutan besar.
Kehilangan Pak Boyot itu bukanlah membimbangkan Mak Senit saja, bahkan seisi kampung merasa bertanggung jawab.  Mereka tidak boleh membiarkan Pak Boyot begitu saja.  Tentulah ada sesuatu perkara menimpa ke atasnya menyebabkan dia tidak dapat keluar.
Setelah sama-sama berbincang, Ketua Kampung bersetuju melaporkan saja kepada pihak berkuasa.  Oleh itu kehilangan Pak Boyot di hutan bukanlah menjadi tanggungjawab penduduk kampung lagi, malah pihak berkuasa juga terpaksa membantu mencarinya.  Bagaimanapun selama dua hari gerakan mencarinya dibuat, tidak ada satu tanda pun menunjukkan Pak Boyot berada di kawasan hutan berkenaan.
Sebagai pencarik rotan mestilah dia menetak belukar rotan yang ditemui, tetapi denai yang dilaluinya terdapat beberapa rumpun rotan, namun tidak ada satu pun rumpun rotan ada kesan ditetak orang.  Kadir Misai yang diberi tahu mnengenai kehilangan bapa saudaranya juga datang ke sana.  Tetapi apalah yang boleh dibuat oleh Kadir Misai, sedangkan gerakan mencarinya secara besar-besaran pun tidak berhasil.
Petang itu juga Kadir Misai memjemput Pak Hid di Bukit Kelulut, Serting supaya membantu mencari Pak Boyot yang hilang semasa ke hutan.  Memanglah Pak Hid terkejut apabila diberitahu mengenai kehilangan kawan karibnya sejak muda lagi itu.  Dia terus ke Segamat bersama Kadir Misai dengan harapan kawannya itu sentiasa dalam selamat.
Hari yang ketiga Pak Boyot hilang itu gerakan mencarinya dihentikan buat sementara.  Pak Hid yang sudah sampai ke rumah Mak Senit tidak masuk ke hutan untuk mencarinya.  Hanya selepas maghrib dia melakukan solat sunat serta membaca Yassin.  Pak Hid meneruskan sembahyang sehingga masuk isya.  Selepas isya Pak Hid tidak terus makan, walaupun Mak Senit dan kadir Misai mengajaknya.
Orang-orang kampung yang berkumpul di rumah Pak Boyot sejak tiga hari kehilangannya, masih cemas kerana usaha mencarinya sudah diberhentikan.  Ada kalangan menuduh Pak Boyot sudah dibunuh oleh binatang buas.
“Insya Allah, dia selamat,”  kata Pak Hid selepas saja dia selesai menunaikan solat dan berzikir.
“Habis, dik mana dia sekarang?”  Mat Biduk tidak sabar-sabar lagi mahu mengetahui keadaan Pak Boyot sebenarnya.
“Itu urusan Allah janganlah kita mendahului Allah…”  jelas Pak Hid tenang.  “Cukuplah saya kata, Boyot sekarang ni dalam selamat,”  dia menambah sambil meminta air sejuk segelas untuk membasahkan tekak.
Tengah malam itu juga mereka yang berkumpul di rumah Mak Senit, semacam tidak percaya Pak Boyot balik mengheret rotan yang dicarinya.  Dia kelihatan letih disebabkan tiga hari terlantar di hutan.  Dalam suasana gembira itu Pak Boyot tidak dapat berkata apa-apa, selain senyumnya saja melirik lebar.
“Aku tersesat, tak dapat cari jalan pulang,”  beritahu Pak Boyot kepada mereka yang ingin tahu ke mana dia menghilang selama tiga hari itu.
Rahsia kehilangannya itu tidak diceritakan kepada sesiapa pun.  Bagaimana pun dia tidak dapat menyembunyikan dari Pak Hid apabila kawan karibnya itu sendiri bertanya.
“Aku nampak awak, Hid…”  ujarnya setelah orang-orang kampung balik ke rumah masing-masing.
“Kau jangan merepek!”  kata Pak Hid tersengih-sengih,  “Sejak aku sampai ke sini, sampailah sekarang aku tak berganjak dari rumah kau,”  dia menjuihkan bibir semacam mengejek Pak Boyot.
Pak Boyot hanya tersenyum.  Dia tahu Pak Hid sengaja menyembunyikan sesuatu yang dilihatnya dari beberapa orang yang masih lagi terconggok di serambi rumah Pak Boyot.  Mat Biduk, Lajim dan Wahab Gedeng masih tidak puas hati selagi belum dapat mendengar dari mulut Pak Boyot sendiri kemana dia menghilang selama tiga hari itu.
Tetapi dia tetap menyembunyikan rahsia tersebut.  Selepas dia terlena akibat keletihan di dalam hutan itu, dia berharap akan dapat bangun sebelum waktu bertemu semula di tempat di janjikan.  Malangnya dia terus terlena hingga malam menjelang.  Apabila dia membuka mata di dapatinya tempat dia berbaring tidur bukan lagi sebatang pokok tempat dia bersandar.  Dia tersandar pada dinding pagar sebuah kubur ditengah hutan berkenaan.  Pagar itu merupakan ruyung nibung yang keras, sementara nesannya pula tertegak dari banir pokok berteras.
Terkejut juga dia melihat ada sebuah kubur di tengah hutan demikian.  Bagaimana pula ada sebuah saja kubur tiba-tiba muncul di depan matanya.  Keadaan kawasan itu tidak berubah seperti siangnya apabila dia menyandarkan belakang pada sebatang pokok.  Di bawah pokok itu sebelah siangnya belukar kecil, tetapi saat itu dilihatnya sebuah kubur yang bersih tidak ada rumput-rumput tumbuh.  Tidak ada sampah sarap dan daun-daun kering bertaburan.
Pak Boyot terpinga-pinga menghadapi suasana yang menjelma secara tiba-tiba itu.  Dia seolah-olah terkepung oleh pagar kubur yang tercancang dari ruyung nibung itu.
“Hai, dah sampai kah geruh aku?”  rungut Pak Boyot lantas bangun berdiri.  Dia terus membacakan serapah menteranya tidak bertangguh lagi.  Saat ini dia merasakan dirinya sebagai seorang dukun sudah dicabar oleh puaka ditengah hutan demikian.
Sekalikgus dia melihat tanah kubur itu merekah perlahan-lahan mengelurkan kabus nipis.  Kabus memutih itu lama kelamaannya menebal hingga rekahan tanah di atas kubur semakin melebar.  Pak Boyot semakin terdesak apabila dia melihat dua tangan manusia keluar dari rekahan kubur itu.  Ketika ini dia merasakan dirinya seperti orang bodoh yang langsung terlupa untuk membacakan sebarang doa-doa, kecuali dia teringat untuk membacakan Al-Fatihah dan Al-Ikhlas berulang kali.
Memang Pak Boyot terasa gementar juga berhadapan dengan keadaan tersebut, tetapi dia tidak dapat bertindak apa-apa, kerana pagar kubur tercancang kukuh seperti tembok.  Dia tidak dapat melompati pagar berkenaan di sebabkan ianya separas dada, sementara kemuncaknya runcing tajam.
Boleh dikatakan dia terkurung di atas kawasan kubur yang  hanya sebuah itu.  Malam yang gelap itu menyebabkan dia tidak dapat mengagak arah jalan yang boleh ditempuhi untuk keluar.  Oleh itu terpaksalah dia menghadapi cubaan tersebut dengan nekad yang kukuh.
“Insya Allah, berkat guru-guruku, berkat kedua ibu bapaku, bahawa Allah akan melindungi aku!”  Pak Boyot menggertap bibir memerhati tanah kubur yang merekah mengeluarkan kabus serta dua tangan manusia yang terjulur ke atas.  Sedikit demi sedikit keluarlah seorang lelaki tua berjubah putih dari rekahan kubur berkenaan.
Sebaik saja lelaki tua berjubah putih itu keluar dari rekahan kubur dia terus duduk bersila diatas kubur sambil tangannya memegang buah tasbih.  Kemudian dia memberi salam dengan suara yang perlahan dan tenang Pak Boyot segera menjawab salamnya sekalipun hatinya masih berdebar-debar menahan gementar.
“Moyang tau, cucu takut,”  kata lelaki tua itu merenungi muka Pak Boyot.  Wajahnya putih bersih serta kelihatan janggut dan misainya yang putih tumbuh lebat dan dijaga kemas.  “Jangan takut, moyang sengaja nak berjumpa cucu,”  ujarnya ramah mesra.
Pak Boyot memegang pagar kubur itu serta digoyang-goyangnya, ternyata ianya tercancang kuat.  Pagar itu juga memang diperbuat dari ruyung nibung yang keras.  Barulah dia tersenyum, kerana memang sudah lama dia mendengar bahawa di kawasan hutan itu memang orang yang bernasib baik boleh bertemu dengan kubur Moyang Cindai.  Orang tua-tua di kampungnya memberitahu bahawa tanda-tanda kuburnya itu ialah pagarnya diperbuat dari ruyung nibung, manakala nesannya ianya banir kayu teras.
“Cucu ni berdepan dengan Moyang Cindai ke?”  tanya Pak Boyot memberanikan hati.
“Iya, moyang inilah Moyang Cindai,”  jelasnya perlahan.  Serentak dengan itu kedengaranlah oleh Pak Boyot bunyi laungan gajah menuju ke situ.  Tidak lama kemudian dia nampak seekor gajah putih tertegak di luar pagar kubur.
Barulah Pak Boyot dapat mententeramkan hatinya kerana tanda-tanda bertemu Moyang Cindai seperti yang diberitahu oleh orang tua-tua dia kampung itu sudah menjadi kenyataan.  Gajah putih itu adalah tunggangan Moyang Cindai, dan dia sentiasa muncul sekiranya seseorang itu dapat bertemu dengan Moyang Cindai.
Dia tahu mengenai cerita Moyang Cindai yang dikatakan keramat dikampung itu yang dipercayai menjadi pengawal mereka.  Kemunculannya sering membawa tuah kepada mereka yang menemuinya, kerana bukan sebarangan orang yang dapat bertemu dengan Moyang Cindai.
Saat ini Pak Boyot sudah menemui Moyang Cindai.  Dia tidak pernah berhajat mencarinya, tetapi secara tiba-tiba saja dia menemuinya di tengah hutan itu.
“Kenapa moyang takut-takutkan cucu macam ni…?”  soal Pak Boyot semacam kesal dengan kemunculan Moyanfg Cindai yang diluar dugaannya.
“Kenapa pula kata moyang nak takut-takutkan.  Tapi cucu sendiri yang takut,”  ujar lelaki tua berjubah putih itu tersenyum.
Kemudian dia mengajak Pak Boyot menaikki gajah putih yang menunggu di luar pagar.  Dia dibawa berjalan melihat keadaan di sekitar hutan hingga sampai ke satu perkampungan.  Kesemua penduduk kampung itu memakai jubah putih, dan mereka berkumpul di satu madarasah sambil berwirid.
Moyang Cindai mempelawanya masuk ke dalam madarasah bercampur gaul dengan penduduk-penduduk di situ.  Bimbang juga hati Pak Boyot untuk melangkah masuk kerana dia berpakaian lain dari mereka.  Masing-masing semuanya tunduk memberi hormat kepada Moyang Cindai, tetapi tidak seorang pun yang bercakap.
Setelah Moyang Cindai duduk di atas mimbar, mereka semua meneruskan lagi berwirid.  Manakala Pak Boyot pula serba salah kerana memikirkan pakaiannya kotor disebabkan itulah pakaiannya ke hutan mencari rotan.  Tetapi Moyang Cikndai semacam mengetahui akan kegelisahan Pak Boyot, dan dia memberi isyarat bahawa pakaian Pak Boyot tidaklah menjadi kesalahan di situ.
Semasa masing-masing meneruskan wirid, tidak di sangka-sangka angin kencang bertiup menyebabkan mereka yang duduk di situ bertempiran lari melindungkan diri.  Apabila angin kencang itu berhenti, tiba-tiba Pak Boyot melihat satu lembaga hitam tertegak di halaman madarasah.  Perutnya boncet, rambutnya mengerbang, pakaiannya compang-camping dan tubuhnya besar.  Mukanya pula berkedut-kedut dan kelihatan ada tanduk di kepalanya.
“Hah, kau nak lari dari aku ya…!”  pekik lembaga besar itu menuding jari telunjuk ke arah Pak Boyot.  Terkejut Pak Boyot dengan ancaman lembaga besar itu, sedangkan dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya lembaga tersebut.
Dari jari telunjuknya keluar api menyala-nyala menerjah ke muka Pak Boyot.  Tetapi segera dihembus oleh Moyang Cindai sambil dia menyebut: Qulna-yana rukuni bardan-wa-salamn al-Ibrahim. Dari hembusan mulut Moyang Cindai keluar air dingin lalu memadamkan api yang marak di hujung jari lembaga besar yang tercegat sombong di tengah halaman madarasah.
“Aku yang bawa dia ke mari, aku tak mahu dia menjadi hamba kau,”  suara Moyang Cindai jadi bergema hingga menggerunkan Pak Boyot sendiri.
“Tapi tuan tak minta izin dengan kami!”  sahut lembaga besar itu marah.
“Siapa nak minta izin dengan kau…!”  jerkah Moyang Cindai, lantas membacakan Fatihah sambil menyuruh Pak Boyot mengikutnya.
Serentak dengan itu tubuh lembaga itu tiba-tiba saja merekah memercikkan darah.  Dia terjerit-jerit berguling ke tanah menahan kesakitan.  Kemudian bangun semula dengan biji matanya merah mengeluarkan api.
“Selama ini aku yang menolong kau, bila kau mengubati orang Boyot,”  lembaga itu menggertap bibir sambil menuturkan kata-katanya dalam terketar-ketar.
“Sekarang Boyot tak perlukan kau lebih baik kau pergi,”  perintah Moyang Cindai.  Dia kemudian menyuruh Pak Boyot membacakan Innahu min Sulaiman wainnahu Bismillahir-rahmannir Rahim. Sebaik saja Pak Boyot membacakannya sekaligus serkap besi jatuh dari atas mengurungi lembaga itu.  Dia cuba meronta-ronta mahu melepasi kurungan, tetapi serkap besi itu terlalu kukuh.
Lembaga itu menghantuk-hantuk kepalanya kepada jerjak besi yang cancang menjadi kurungan.
Setiap kali dia menghantukkan kepalanya ke jejak besi itu kepalanya memercikkan darah.  Hingga tanduknya juga terkeweh apabila terhantuk kuat kepada jerjak besi yang menjadi kurungan itu.  Terbayang kemarahan di wajahnya disebabkan dia tidak berupaya melepaskan diri.
“Sekarang kau tau, kau takkan dapat menundukkan Boyot lagi,”  ejek Moyang Cindai ketawa memanjang.  “Aku bawa dia kemari kerana aku tau kau akan datang mencarinya!”  ujarnya lagi.
Mata lembaga itu mengeluarkan api membakar jerjak besi yang mengurungnya.  Tetapi percikan api dari besi cair itu singgah keseluruh badannya menyebabkan ianya melecur.  Terjerit-jerit dia kerana tidak tertahan menahan terjahan api yang memercik dari jerjak besi yang dibakarnya.
“Tuan, biarlah dia bersama aku…”  rayu lembaga besar merenungi muka Moyang Cindai.
“Aku tak biarkan dia menjadi hamba syaitan,”  sahut Moyang Cindai marah.
Kemudian dia menyuruh Pak Boyot membaca 4 ayat terawal dari surah Jin yang diajarnya ketika itu juga.  Pak Boyot menurut saja arahan Moyang Cindai.  Setelah membacanya berulang kali, Pak Boyot ternampak muncul beberapa orang kerdil mengelilingi pagar besi yang mengurungi lembaga besar tadi.
“Perintahkan dia menentang syaitan itu!”  Moyang Cindai semacam mengajar Pak Boyot.
Dalam keadaan serba salah Pak Boyot pun memerintahkan beberapa lembaga kerdil itu menyerang lembaga besar dalam kurungan.  Lembaga-lembaga kerdil itu menyerbu masuk ke dalam kurung lantas beramai-ramai menggigit lembaga besar itu.  Ketika ini lembaga besar itu cuba melawan, tetapi berpuluh-puluh lembaga kerdil menerkam dan menggigit.
Dia tidak dapat bergerak bebas di dalam kurungan itu sedangkan lembaga-lembaga kerdil yang ramai itu menggigit di seluruh badannya.  Terjerit-jerit dia menahan kesakitan akibat gigitan tersebut.  Darah memercik banyak dari luka bekas kena gigit itu.
“Tuan, jangan seksa kami macam ni!”  jerit lembaga besar itu merintih-rintih bercampur geram.
Tetapi Moyang Cindai tidak menghiraukan rintihan tersebut.  Dia mengingatkan Pak Boyot itulah lembaga yang diserunya setiap kali dia mengubati orang-orang sakit.  “Buangkan ilmu yang sebegini, carilah ilmu yang diredhai Allah,”  pesan Moyang Cindai.  Dia mengajak Pak boyot menunggang gajah putih itu semula dengan membiarkan lembaga besar itu terkurung dan dikerkah oleh lembaga-lembaga kerdil tersebut.
Apabila sampai semula ke kubur tempat mereka mula-mula bertemu, Pak Boyot melihat Pak Hid ada menunggu di situ.  Kemudian Moyang Cindai menyuruh dia balik mengikut Pak Hid.  Cahaya memutih yang mengelilingi Pak Hid itulah menerangi perjalanannya menempuh gelam malam di tengah hutan berkenaan.
Keesokan harinya Pak Boyot membawa Pak Hid dan orang-orang kampung untuk melihat kubur Moyang Cindai yang ditemuinya.  Tetapi yang ditemuinya hanya belukar enau, dan longgokan rotan sebahagian yang ditinggalkan oleh Pak Boyot semasa kehilangannya itu.  Tidak ada pun tanda-tanda yang menunjukkan di situ ada kubur.

SELESAI