Saturday, February 23, 2013

53. TOK AWANG NGAH - BUAH KUNDUR BERGOLEK TENGAH MALAM

Sejak setengah jam sebelumnya gongong anjing memanjang di bawah rumah menyebabkan Embok Jah tidak dapat melelapkan mata. Bagaimanapun dia tidaklah bangun dari tidur kerana ketika ini dinihari sudah terlalu sunyi sepi. Embok Jah berbaring saja di atas tikar mengkuang berbantalkan bantal kekabu tidak bersarung. Hatinya berdebar-debar juga setiap kali bunyi gonggong anjing memanjang memecahkan kesunyian malam.

Petua orang tua-tua memang apabila anjing mengonggong panjang alamatnya dia terlihat sesuatu lembaga melintas. Di waktu malam anjing akan melihat lebih jelas sekalipun tidak dapat dilihat oleh pancaindera biasa. Sebab itulah Embok Jah merasakan ada sesuatu yang dilihat oleh sang anjing berkeliaran di tengah malam sepi itu.

Kemudian dia mendengar bunyi tapak kaki berjalan mengelilingi rumahnya, sementara gonggongan anjing mulai tidak kedengaran lagi. Perlahan-lahan Embok Jah mengerakkan suaminya, Wak Seman yang tidur berdengkur. Kadangkala dia sendiri takut mendengar dengkuran suaminya yang memanjang itu.

“Ada apa ...? “ tanya Wak Seman mengesatkan mata.

“Cuba dengar tu, dengar,” bisik Embok Jah berhati-hati mendengar bunyi tapak kaki orang berjalan mengelilingi rumahnya.

“Aku tak dengar apa-apa pun ,” kata Wak Seman merungut kecil kerana masih mengantuk. Memang dia merasa tidak senang diganggu tatkala sedang nyenyak tidur. “Aku tak dengar apa-apa pun, kau ni takut tak fasal-fasal ,” dia kembali menarik selimutnya untuk tidur semula.

Embok Jah tidak dapat berkata apa-apa kerana suaminya enggan mendengar katanya. Dia sendiri mendengar bunyi tapak kaki orang berjalan mengelilingi rumahnya, tetapi suaminya Wak Seman menafikan dia ada mendengarnya. Sepatutnya Wak Seman mestilah mengambil perhatian dengan apa yang diberitahunya. Tersinggunglah hati Embok Jah dengan tingkah laku suaminya itu.

Setelah Wak Seman tidur semula, bunyi tapak kaki yang berjalan itu semakin jelas kedengaran. Kalau hendak dikatakan pencuri, apa sangatlah hendak dicuri orang di rumahnya. Mereka tinggal berdua suami isteri saja di situ dan menumpang di hujung tanah Haji Karim.

“Hei, bangunlah. Cuba dengar tu,” Embok Jah merasa geram dengan sikap suaminya tidak mahu ambil peduli. Bunyi tapak kaki orang berjalan mengelilingi rumahnya sangat jelas kedengaran.

Wak Seman hanya mengeliat-geliat saja. Dia tetap tidak juga bangun menyiasat apakah yang sebenarnya yang berjalan mengelilingi rumahnya di bawah sana. Jangankan dia mahu bangun, membuka matanya pun dia tidak. Semakin digerakkan oleh Embok Jah, semakin kuat dia menarik selimut.

Melihat keadaan Wak Seman yang tidur macam batang kayu, menyebabkan Embok Jah menjadi marah. Dia mencapai parang di atas bendul. Kemudian dengan menggunakan lampu pelita ayan dia terus turun ke tanah mahu menyiasat sendiri apakah sebenarnya yang berjalan mengelilingi rumahnya. Hati Embok Jah marah sangat diganggu oleh bunyi tersebut, disamping sikap suaminya Wak Seman yang tidak mempedulikan apa-apa kalau sudah tidur nyenyak.

Dia memberanikan hati berdiri di atas anak tangga, bunyi tapak kaki orang berjalan itu senyap tidak kedengaran. Setelah mempastikan tidak ada apa-apa Embok Jah naik semula ke rumah.

Baru saja dia membaringkan tubuhnya, bunyi tapak kaki orang berjalan itu kedengaran semula. Hatinya mula menuduh tentu ada pencuri mahu mencuri buah kelapa Haji Karim di hujung sawah. Atau ada juga yang berani mencuri padi di tengah sawah. Tetapi di kampung itu jarang pula kedengaran pencuri.

Puas mengagak-ngagak Embok Jah terus berbaring dekat dengan dinding yang boleh mengintai kebawah. Dia memerhatikan melalui lubang di celah dinding kalau-kalau ternampak orang melintas.Puas dia mengintai namun bunyi tapak kaki orang berjalan itu masih juga kedengaran, tetapi tidak sah siapa pun di tanah.

Timbullah ketakutan di hati Embok Jah. Dia mula meneka-neka yang bukan-bukan. Boleh jadi pengawal tanah Haji Karim yang didengarnya. Mana tahu, orang kaya seperti Haji Karim memang ada memelihara pengawal supaya hartanya tidak diganggu orang. Dia pernah juga mendengar cerita seorang lelaki Cina yang cuba memanjat pokok rambutannya tiba-tiba saja  jatuh terduduk tidak dapat bangun. Sehinggalah Haji Karim sendiri datang ke situ dan lelaki Cina itu meminta maaf, barulah lelaki Cina itu dapat bangun berjalan setelah belakangnya ditepuk-tepuk oleh Haji Karim.

Apabila diceitakan pada Wak Seman, suaminya tertawa terbahak-bahak macam mengejek dia. Wak Seman tidak percaya dengan cerita Embok Jah kerana dia sendiri tidak mendengar apa-apa. Kalaulah benar pengawal tanah Haji Karim tentulah Wak Seman juga boleh mendengarnya sama. Masakan Embok Jah seorang saja yang mendengar bunyi tersebut.

Kerana mahukan kepastian Embok Jah sendiri bertanyakan pada Haji Karim mengenai pengawal tanahnya yang dikatakan oleh Embak Jah berkeliaran itu.

“His, Embok jangan percaya dengan perkara karut tu,” Haji Karim menasihatkan dia. “Semua harta yang ada pada kita hanya kepunyaan Allah. Dia boleh mengurangkan dan dia boleh melebihkan. Tak ada pelindung selain dari Allah,” ujar Haji Karim geli hati dengan cerita Embok Jah.

“Habis apa Embok dengar tu?” dia masih lagi keheranan.

“Ah,, mungkin pendengaran Embok aje,” jelas Haji Karim. Dia sendiri heran dari mana Embok Jah mendengar cerita mengatakan dia menyimpan belaan tahyol untuk menjaga hartanya. Sepanjang hidupnya dia sendiri tidak tahu menahu mengenai benda-benda demikian.

Lagipun apalah perlunya benda-benda belaan ini, kerana harta dunia hanya untuk sementara. Allah SWT boleh menghilangkan harta di tangan kalau dikehendakiNya, sekalipun banyak menyimpan benda-benda peliharaan bagi mengawal harta. Tiada siapapun yang dapat mengatasi kekuasaan Allah.

Setelah mendengar penerangan Haji Karim, Embok Jah masih juga belum puas hati. Dia tetap terganggu dengan peristiwa yang dialaminya berturut-turut dua malam. Pada malam ketiganya Embok Jah bernekad untuk menyiasat sendiri. Apapun akan terjadi dia tidak peduli lagi. Hatinya yang takut sudah menjadi berani menghadapi apa juga kemungkinan. Biarlah suaminya tidur nyenyak tidak memperdulikan apa pun yang ditanggungnya sekarang.

Malam yang ketiga itu sehingga jam 12.00 malam dia berjaga menunggu bunyi tapak kaki orang berjalan, tetapi tidak kedengaran . Suaminya Wak Seman sudah tidur nyenyak. Dia bernekad tidak akan mengejutkan suaminya lagi kalau bunyi itu muncul pada waktu tengah malam.

Puas dia menungu tapi tidak juga muncul bunyi yang membimbangkan sejak dua malam berturut-turut. Bunyi gonggong anjing juga tidak kedengaran mendayu dayu seperti malam sebelumnya. Percayalah Embok Jah gangguan itu tidak datang lagi mengganggu. Barulah dia dapat melelapkan mata.

Dia turun di tengah halaman duduk mencangkung memerhatikan di sekeliling rumah. Puas dia memerhatikannya tidak juga kelihatan apa-apa. Nyamuk pula banyak menyebabkan Embok Jah hampir tidak tertahan mahu menamparnya. Tetapi dia kuatkan semangat kerana kalau ditampar nyamuk berkenaan bimbang juga dia akan didengar oleh orang yang berjalan mengelilingi rumah.

Embok Jah terus mencangkung di tengah halaman. Tangannya memegang parang tidak berhulu erat-erat. Kalau musuh dia tidak akan tertangguh menyerbunya walau apa pun akan terjadi. Hatinya sudah tidak merasa takut lagi, sekalipun musuh yang di hadapannya lebih kuat dan perkasa. Dia mahu tahu apakah tujuan berjalan mengelilingi rumahnya pada waktu malam?

Dalam masa agak-ngagak itu Embok Jah mendengar bunyi tapak kaki orang berjalan itu makin hampir kepadanya. Dia pun mengamat-amati dari mana arah datangnya. Sebaik saja dia berpaling ke belakang dilihatnya sebuah benda bulat seperti buah kundur terlompat-lompat tergolek.

“Oh, kau rupanya !” bentak Embok Jah lalu ditetaknya buah kundur yang melompat-lompat itu sehingga kedengaran seperti tapak kaki orang berjalan. “Aku tau kau bajang....” kata Embok Jah lagi menetak berulang kali.

Walaupun di dalam gelap tetap Embok Jah dapat merasakan bahawa tetakannya menyinggah sasaran. Dia juga tahu memang menjadi pantang larang kalau ditetak dengan parang beletong.

“Cukuplah, jangan tetak aku lagi,” rayu bajang terketar-ketar kerana parang beletong itu melemahkan dirinya.

Itulah kisah mula Embok Jah menemui bajang diceritakan kepada saya oleh Usin Gagap semasa saya ke rumah kawan saya Haji Somo di Tanjung Karang. Kebetulan ketika saya ke sana Usin Gagap ada di rumah Haji Somo. Usin Gagap sengaja mahu berjumpa dengan saya kerana mendapat tahu dari Haji Somo saya boleh membuangkan gangguan bajang turun temurun yang dideritanya.

‘”Saya ni keturunan Embok Jah tu ustaz,” Usin Gagap menjelaskan.

“Tapi saya bukannya bomoh Bang Usin,” jelas saya mengingatkan dia.

“Ah, ustaz cubalah macam mana pun,” dia tetap merayu-rayu kerana yakin betul-betul saya boleh membuangkan gangguan bajang tersebut.

Sebenarnya saya tidak tahu apa-apa. Kalaulah bajang ini peliharaan turun temurun dari nenek moyangnya, tentulah Usin Gagap sendiri boleh membuangnya dengan jalan tidak lagi memeliharanya. Tetapi bagaimana pula dia meminta saya untuk membuangnya.

Susah juga saya hendak menolak kerana orang menganggap saya seorang bomoh yang boleh menyembuhkan penyakit. Mungkin Haji Somo cuma mahu menerangkan pengunaan ayat-ayat Quran boleh menyembuh penyakit, seperti yang pernah saya lakukan. Tetapi bukanlah bertujuan mahu jadi bomoh.

Hal ini samalah seperti seorang kawan saya meminta saya menuliskan beberapa pengalaman saya, telah dihubungi oleh pembaca-pembacanya untuk berubat. Ada diantaranya merayu-rayu mahu bertemu dengan saya bagi tujuan perubatan. Sebenarnya saya tidak berani melakukan kerana saya bukan seorang bomoh. Apa yang berlaku hanyalah secara kebetulan di kalangan kawan-kawan rapat saya saja, dan saya cuba membantunya.

Beginilah saya hadapi dengan Usin Gagap semasa saya ke Tanjung Karang mengunjungi kawan saya Haji Somo ini. Sebenarnya saya sendiri belajar beberapa perkara mengenai fiqah dengan Haji Somo, kerana sesungguhnya saya masih kekurangan dengan ilmu. Malah sewaktu menunaikan umrah di Mekah saya sering beberapa kali, duduk mendengar ceramah agama di beberapa penjuru Masjidil-Haram, yang disampaikan oleh pensyarah-pensyarah dari Indonesia, Pakistan dan India. Kadangkala saya tidak faham apa yang disampaikannya, tetapi tetap mendengarnya terutama apabila menyentuh tentang tafsiran al-Quran.

Sebab itulah saya sering memberitahu kawan-kawan yang mengenali saya bahawa jangan sekali-kali menganggap saya ini bomoh. Saya tidak tahu mengubat apa-apa penyakit pun.

“Saya minta sangatlah ustaz, cubalah doakan sikit masalah saya ni,” Usin Gagap mendesak saya.

Sukar juga saya mahu memberikan jawpan kerana doa yang afdal adalah dilakukan sendiri oleh mereka yang memerlukan. Tetapi masalah yang dihadapi oleh Husin Gagap memang unik, kerana isterinya selalu sakit-sakit seluruh badan. Anaknya seorang juga sakit,, bagaimanapun pihak hospital memberitahu ianya mengidap sakit jantung berlubang.

Wallahualam!

Aapabila diceritakan masaalah ini kepada Haji Somo, maka Haji Somo menyuruhnya menemui saya. Inilah yang menyebabkan saya serba salah. Sebab itulah saya meminta Usin Gagap menceritakan apa yang diketahuinya tentang moyangnya Embok Jah itu.

SELEPAS bajang itu merayu meminta Embok Jah jangan menetaknya lagi, terasalah belas kesihan di hati Embok Jah. Tidak jadilah dia meneruskan menetak bajang yang tergolek seperti buah kundur itu.

“Apa kau hendak sudah tiga malam berturut-turut menakutkan aku?” herdik Embok Jah memberanikan hatinya.

“Aku tak bertuan,, belalah aku,” bajang seperti buah kundur tergolek itu merayu.

“Aku orang miskin, makan pun susah. Macam mana nak bela kau,” sahut Embok Jah menengking.

“Kalau kau bela aku, sudah tentu aku akan menolong kau. Kau akan jadi senang linang,” ujar bajang memberikan janji.

Mendengarkan bajang itu boleh membantunya menjadi senang, hati Embok Jah merasa ada baiknya dia menerima bajang itu untuk dibela. Lagipun bukan dia yang mencari tetapi bajang itu datang sendiri ke rumahnya. Sudah tentulah bajang berkenaan merupakan rezki juga padanya.

“Macam mana aku nak bela kau ?” Embok Jah mash juga sangsi.

“Belalah aku,” bajang itu meirntih-rintih minta belas kesian.

Setelah dirayu oleh bajang akhirnya Embok Jah bersetuju membela bajang berkenaan. Embok Jah hanya memerlukan sebulan sekali saja memberi makan iaitu apabila bulan mengambang penuh. Makan yang diperlukan oleh bajang hanyalah menyiramkan darah ke tubuhnya yang tergolek seperti buah kundur itu.

Embok Jah merasa tidaklah susah sangat hendak mendapatkan darah, kerana darah yang dikehendaki oleh bajang bukanlah semestinya darah manusia. Dia memerlukan apa saja darah sebagai makanan. Dia akan menunggu Embok Jah setiap kali bulan mengambang penuh di bawah pohon cenerai dekat dengan tanah perkuburan.

Sejak membela bajang itu kehidupan Embok Jah suami isteri berubah. Dia mendapat rezeki yang berlipat ganda.

Haji Karim sendiri berasa heran kerana sawahnya yang diusahakan oleh Embok Jah tidak seberapa, tetapi hasilnya berkepuk-kepuk. Disebabkan Haji Karim bimbang dengan perubahan mendadak itu, maka dia telah menjualkan tanah sawah yang dikerjakan oleh Embok Jah itu kepada Embok Jah sendiri.

Selepas inilah Embok Jah mendapat seorang anak perempuan. Tidak lama selepas dia mendapat anak itu, suaminya Wak Seman meninggal dunia. Embok Jah tidaklah berkahwin lagi selepas kematian Wak Seman. Dia mampu memelihara anaknya Jarah, kerana hartanya semakin bertambah.

Demikianlah kehidupan Embok Jah. Padinya sentiasa menjadi. Berkepuk-kepuk padinya tidak habis setiap tahun. Kadangkala dijual berapa banyak pun padinya tetap penuh d kepuk. Buah kelapa di kebun kelapanya pun menjadi-jadi sehingga tidak putus-putus berbuah.

Segala janji bajang untuk memberikan kesenangan kepadanya ternyata ditunaikannya. Ternakan Embok Jah juga menjadi-jadi. Sehinggalah Jarah menjadi anak dara, kekayaan Embok Jah semakin bertambah. Malah dia lebih kaya dari Haji Karim sendiri. Tidak siapa pun tahu akan rahsia kekayaan Embok Jah.

Satu masa seorang pemuda telah masuk meminang Jarah. Pinangan itu diterima dengan senang hati oleh Embok Jah, walau pun Lamid yang meminang itu merupakan seorang pemuda miskin yang selalu mengambil upah mengopek kelapanya. Pada mulanya orang-orang kampung tidak yakin Embok Jah yang kaya raya itu mahu menerima pinangan Lamid.

Tetapi ternyata dugaan orang-orang kampung tidak tepat. Embok Jah tidak memilih taraf dan kedudukan untuk menerima menantunya. Setelah semuanya bersetuju maka Lamid pun dikahwinkanlah dengan Jarah.

Selepas menjadi suaminya, Jarah berubah sikap. Dia memandang rendah suaminya yang berasal dari orang miskin. Malah kalau ibu bapa Lamid datang berkunjung ke rumahnya dia tidak membenarkan naik ke rumah oleh Jarah. Perbuatan Jarah ini menyebabkan Lamid tersinggung menyebabkan berlakunya pertengkaran antara Lamid dan Jarah.

“Tak sedar diri jantan menumpang,” jerit Jarah melepaskan geram terhadap Lamid. “makan pun emak aku tanggung, nak tunjuk besar kepala,” katanya mengejek suaminya sendiri.

“Bangsat kau,” Lamid meninggikan suara kerana tersinggung dengan sikap isterinya. “Kaya harta apa gunanya kalau tak ada budi bahasa. Menantu apa namanya kalau menghalau mertua datang ke rumah,” jerkahnya.

“Kalau tak ada harta emak aku, kau mati kebulur,” Jarah menyakiti hati Lamid.

Disebabkan tidak tertahan dengan sikap isterinya yang sombong itu Lamid terus mempertahankan dirinya. Dia tidak rela Jarah mengungkit-ungkit tentang kekayaan Embok Jah. Dia duduk di situ pun dengan membuat kerja bukannya duduk saja tidak membuat apa-apa.

Kalau dia tidak mengusahakan kebun kelapa dan sawah Embok Jah tentulah tidak siapa mahu membantunya. Memang Embok Jah sendiri mengharapkan dia menguruskan semua kerja-kerja tersebut. Tentulah dia tersinggung bila Jarah mensifatkan dia hanya menumpang harta kekayaan Embok Jah semata-mata.

Sebab itulah dia terlalu marah bila Jarah tidak membenarkan kedua orang tuanya datang berkunjung ke situ. Malah Embik Jah sendiri tidak pernah bersikap demikian. Tetapi Lamid tidaklah mahu memberitahu masaalah rumah tangganya kepada Embok Jah. Dia tahu kalau diberitahu kepada Embok Jah tentulah perempuan itu akan memarahi Jarah.

Rumahtangga Jarah tidak aman ini diketahui juga oleh Embok Jah. Risau juga dia kerana harta kekayaan tidak dapat menjamin kebahagian rumah tangga anaknya. Padahal seingatnya dia tidak pernah bersikap sombong walaupun sudah menjadi kaya raya. Sebab itulah dia sanggup menerima Lamid menjadi menantnya walaupun lelaki itu miskin.

“Nampaknya kekayaan tak boleh memberi kebahagiaan pada anak cucuku,” keluh Embok Jah apabila mendapati anaknya Jarah sering bergaduh dengan Lamid. “Inilah kesan harta yang diperolehi dengan pertolongan bajang,” katanya terlepas cakap di depan Lamid.

Apa boleh buat kata sudah terlanjur. Rahsia kekayaannya sudah diketahui oleh Lamid. Oleh itu apabila berlaku pertengkaran dengan Jarah, dengan pantas Lamid akan menyebut mengenai harta kekayaan yang diperolehi melalui pertolongan bajang itu. Setiap kali Lamid mengungkit-ngungkit setiap kali pula Embok Jah jatuh sakit.

“Jangan kau nak tunjuk sombong, harta kau ni harta bajang tau!” Lamid mengejek.

“Harta bajang pun, kau sama juga makan,” balas Jarah geram.

“Sekarang aku tak mahu lagi harta bajang. Aku tak perlu lagi makan harta bajang,” katanya menahan kemarahan yang membara. Itulah pertengkaran terakhir antara mereka berdua. Selepas itu Lamid meninggalkan kampung tersebut tidak diketahui ke mana dia menghilang.

Sejak kehilangan Lamid Embok Jah sentiasa bermuram durja kerana tidak ada siapa yang mahu menguruskan hartanya. Lamid pula tidak mengetahui sikap Jarah yang selalu marah-marah itu rupanya ‘pembawa’ budak. Ketika itu Jarah sedang mengandung. Sehingga Jarah selamat melahirkan anak, Lamid tetap tidak balik ke kampung tersebut. Terasa menyesal Jarah, tetapi apa hendak dikatakan semuanya sudah berlalu.

“Macam inilah ustaz ceritanya,” beritahu Usin Gagap.

“Jadi perkara ni belaan turun temurun laaa,” ujar saya perlahan.

Usin Gagap mengangguk. Dia sendiri tidak mahu lagi ‘belaan” datuk nenek moyangnya datang menggangu keluarganya. Kerana ‘belaan’ itu tidak dijagalah menyebabkan keluarga Usin Gagap tidak kaya raya seperti kisah Embok Jah itu.

Kadangkala sukar juga mahu difikirkan oleh akal biasa, bagaimana ‘belaan’ demikian boleh memberikan kekayaan kepada sesaorang. Tetapi inilah diamalkan oleh orang tua-tua dulu yang masih berpegang kepada kepercayaan sebelum kedatangan Islam.

Usin Gagap memberitahu dia memang tidak pernah meninggalkan sembahyang, sentiasa berzikir kepada Allah, tetapi gangguan bajang turun temurun itu tetap tidak dapat dihindarkan.

“Sebab itu lah saya minta sangat ustaz menolong saya,” katanya macam merayu.

“Apa yang menjadi masalah Abang Usin?” soal saya.

“Isteri saya itulah,” jelasnya sayau bila mengenangkan masalah yang dihadapi oleh isterinya. Selama 20 tahun mereka berkahwin, sudah mempunyai  5 orang anak, penyakit isterinya sentiasa menganggu. Seluruh badannya sakit-sakit seperti dicucuk jarum, kadangkala perutnya sakit memulas-mulas sampai seluruh mukanya menjadi pucat.

Pernah juga isterinya batuk-batuk hingga keluar darah hidup. Apabila dibawa ke hospital pihak doktor mengagakkan batuk kering. Usin Gagap sudah pun membawa isterinya berubat di hospital batuk kering di Kuala Lumpur, tetapi setelah diperiksa dengan rapi tidak ada tanda-tanda batuk kering itu.

Usin Gagap sudah juga membawa isterinya berjumpa bomoh. Ada bomoh yang mengatakan isterinya termakan santau. Setelah diubat, penyakit isterinya tidak juga berubah.

Usin Gagap hampit putus asa, kerana sejak berkahwin dengan isterinya penyakit itu tetap tidak berubah. Kalau termakan santau atau pun dihinggapi batuk kering, masakan isterinya boleh bertahan sehingga 20 tahun kalau dilihat dari segi zahirnya. Tetapi kalau sudah ditentukan Allah, tidak sakit pun boleh menemui ajal.

Kerunsingannya ini, diceritakan pada Haji Somo. Itulah sebabnya Haji Somo lah yang mengaturkan pertemuan saya dengan Usin Gagap, kerana dia tahu saya akan datang ke rumahnya pada hari Ahad itu.

Mula-mula tersinggung juga saya pada Haji Somo yang mendorongkan Usin Gagap menemui saya, kerana sudah berkali-kali saya mengingatkan dia janganlah dorongkan sesiapa pun menemui saya. Tetapi setelah memikirkan Usin Gagap beriya-iya sangat berharap, maka saya bersetujulah untuk mencari punca masaalahnya.

Sebelum itu saya hendak tahulah samada Usin Gagap pernah menuntut ilmu-ilmu kebatinan dan berpa banyak ilmu –ilmu kebatinan yang diamalkannya. Usin Gagap memberitahu dia tidak pernah menuntut ilmu-ilmu kebatinan. Sebab itulah saya tanyakan sekiranya datuk neneknya pernahmenceritakan samaada mereka dulu ada benda-benda ‘belaan’.

Dari sinilah baru dia teringat akan cerita Embok Jah. Isterinya mengaku dia merupakan salah seorang keturunan dari Embok Jah itu. Malah sebahagian tanah pusaka peninggalan Embok Jah di kampungnya adalah miliknya.

Semasa Lipah, isteri Usin Gagap keluar menatang air  bersama isteri Haji Somo, dia kelihatan sihat walaupun tubuhnya kurus. Mukanya yang kecil serta pipi cengkung , memperlihatkan tanda-tanda dia menanggung penderitaan yang lama melawan penyakitnya. Mujurlah dia mempunyai pendidikan agama yang baik dan banyak menghafal doa-doa dari ayat Quran.

“Sekarang kakak tak rasa sakit apa-apa?” tanya saya sebaik saja Lipah duduk sambil menuangkan air.

“Sekarang ni tak sakit, tapi ada masa-masanya terasa menyucuk-nyucuk seluruh badan macam ditusuk jarum.” Jelasnya memberitahu.

“Insya Allah kita akan cuba tengokkan penyakit kakak itu,” saya memberi jaminan walaupun saya tidak tahu apa harus dilakukan.



Nota.  Cerita ini macam tiada penamatnya..Tetapi sampai setakat itu saja ceritanya yang tertulis dalam buku tersebut

6 comments:

  1. Aisey, cerita tergantung, hehe

    ReplyDelete
  2. Memang macam tergantung ..... tetapi itulah ceritanya yang terdapat dalam buku siri BERKELAHI DENGAN SYAITAN yang tajuk bukunya adalah MINYAK DAGU MAYAT ANAK DARA. ms 114 hingga ms 124.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum...

    Cerita2 tamar jalis pergi mana???

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum...

    Cerita2 tamar jalis pergi mana???

    ReplyDelete
  5. dah ditarik ,,,, atas arahan pemegang hak milik

    ReplyDelete
  6. Salam...tok ada simpan cerita tulisan latifah ayu martini@nenek kebayan?

    ReplyDelete