Sunday, May 15, 2016

176. PADAH SIHIR IKAN HARUAN



 SEPANJANG malam tidak dapat melelapkan mata disebabkan anak kecilnya Sidin menangis sampai lebam bibir. Puas juga Derih Tunjal bacakan Ayatul Kursi sampai seratus kali, tetapi telur anak kecil itu terus juga membengkak. Merungut-rungut Derih Tunjal marahkan isterinya Sahilah disebabkan tersengguk-sengguk mengantuk.

Kalau mengantuk pun apa salahnya Sahilah basuh muka, biar segar semula. Dalam saat demikian mereka berdua suami isteri tidak perlu tidur lelapkan mata. Siapa akan melayani anak kecil baru berumur dua tahun itu menangis tenar akibat telur membengkak sampai sebesar telur ayam?

Dalam keadaan tersengguk-sengguk itulah Sahilah terpaksa tuamkan telur anaknya dengan abu panas yang dibungkus dengan kain. Tetapi Sidin tidak dapat dipujuk sekalipun disuapkan puting susu ke mulutnya. Dia tidak peduli perut lapar sepanjang malam lagi, tetapi telur membengkak itu menyenak sampai ke dada.

"Hah, setan mana lagi yang mengaruk!" gerutu Derih Tunjal selepas bacakan Ayatul Kursi seratus kali. geram benar hatinya kalau gangguan syaitan mahu aniaya keluarganya sengaja dibuat oleh orang yang dengki kepada dirinya.

Manalah tahu orang yang sama bekerja di pejabat tergamak lakukan ilmu hitam untuk menganiaya keluarganya. Tahu sangat Derih Tunjal ramai orang yang sama bekerja dengannya tidak senang hati sebaik sahaja dia bertugas di situ.

"Awak tu mulut bisa sangat," lantas sahaja Sahilah salahkan suaminya, kerana beberapa kali dia mendengar orang-orang yang bekerja di tempat Derih Tunjal tidak senang dengan sikapnya. Apalagi mulut Derih Tunjal yang celupar, mudah sahaja menyindir dengan kata-kata kesat.

Siapa yang tidak tersinggung kalau disindir macam menguis sampah di tepi longkang. Tentulah mereka yang tersinggung sanggup ke mana sahaja mencari bomoh mahu membalas dendam Ke tengah hutan pun mereka akan gagahi juga meranduk belukar menemui bomoh Orang Asli yang berpengalaman fasal ilmu sihir.

"Apa kena mengena dengan mulut bisa?" Derih Tunjal mencebek bibir mengerling isterinya terbongkok-bongkok menuam telur Sidin yang membengkak.

"Orang sakit hati," sahut Sahilah mendengus dengan terkuap-kuap menahan rasa mengantuk. "Sebab tu dia bomohkan awak, tak dapat awak, hah anak yang menanggung!" dia terus menuduh sambil mencemik muka.

"Biar mereka nak cuba!" marah benar Derih Tunjal, tetapi tidak tahu kepada siapa. Kalaulah dia tahu sesiapa yang aniaya anaknya sampai telur membengkak sebesar telur ayam, bila-bila dia akan serbu ke rumahnya.

Memang Derih Tunjal tidak akan lepaskan orang yang berani aniaya anaknya dengan ilmu sihir. Kenapa tidak tujukan kepada dirinya sahaja sekiranya orang yang iri hati itu mahu lepaskan dendam kesumat? Derih Tunjal akan bangun tengah malam solat sunat tahajud, biar orang yang iri hati itu tidak dapat amalkan ilmu sihirnya.

Tetapi bukan mudah mahu menuduh tidak bersebab. Masakan orang yang gunakan sihir itu berani bersemuka. Disebabkan mereka tidak berani bersemukalah sampai tergamak gunakan ilmu sihir membalas dendam. Tahu sangat Derih Tunjal fasal kawannya mengidap busung sampai memboyot perut disebabkan dengki orang-orang sama bekerja di pejabat.

Terpaksa Derih Tunjal membantu keluarganya meranduk belukar mencari bomoh Orang Asli di tengah hutan. Tetapi Batin Bilin sudah tidak sanggup lagi mahu membantu disebabkan busung yang dideritainya hampir akan meletus tidak bertahan.

"Yang boleh ubat ni, batin yang buatkan dia juga," beritahu Batin Bilin setelah menyedari ia tidak mampu memulihkan Jeman.

"Mana kita nak tahu batin yang buatkan dia," ujar Derih Tunjal kecewa dengan pengakuan Batin Bilin.

"Ah, batin bukannya ramai sangat di sini, boleh dikira dengan jari," tersengih-sengih Batin Bilin semacam dapat mengagak siapa yang gunakan ilmu sihir hingga Jeman mengidap busung.

"Bolehkah batin tunjukkan?" Jeman gagahi bertanya sekali-pun terasa lelah apabila mahu berkuat untuk duduk. "Kalau aku tahu, senanglah pegang aje batin tu," sahut Batin Bilin menyebabkan mereka semakin gelabah.

Tidak sampai sebulan Jeman dibawa balik setelah lama terlantar di hospital dia meninggal dunia juga. Semasa Jeman meninggal dunia, memang Derih Tunjal melihat darah meleleh keluar melalui hidung, telinga dan mulut mayat.

Tetapi isteri Jeman sudah diberitahu oleh doktor, kalau Jeman meninggal jangan terkejut sekiranya darah meleleh keluar.Siapa pun tidak percaya apabila diberitahu Jeman mengidap leukimia sampai menderita berbulan-bulan. Keluarga Jeman tetap menuduh Jeman dianiaya hingga mengidap busung membengkak perut.

Batin Bilin juga dijemput mengambil hama busung semasa mayat Jeman dimandikan. Kalau hama itu tidak dikutip tentu akan menjangkit kepada orang lain pula. Biarlah Jeman sahaja menderita penyakit busung hingga perut memboyot besar, asalkan hamanya tidak menjangkiti sesiapa lagi.

Sebab itu Batin Bilin berjanji akan masukkan semua hama busung ke dalam tabung buluh. Dia akan buangkan jauh-jauh ke tengah hutan hama busung yang sudah dikurung di dalam tabung buluh itu supaya tidak dilangkahi sesiapa pun. Batin Bilin percaya siapa sahaja melangkah tabung buluh, tentu hama busung akan hinggap serta merta. Bila-bila sahaja hama busung akan menyusup masuk sampai perut membengkak menampung nanah bercampur darah.

Memang Derih Tunjal tahu sangat malang yang menimpa kawannya arwah Jeman. Masakan Jeman dihinggapi leukimia kalau keturunannya tidak pernah mengidap penyakit berkenaan. Hanya Jeman mengaku dia pernah mengalami demam panas yang teruk semasa kecilnya hingga terkejang tidak sedarkan apa-apa sampai tiga hari.

Arwah Jeman percaya dengan penjelasan doktor semasa demam panas itulah kuman leukimia sudah mula meresap ke dalam tubuhnya. Darahnya sudah tidak mampu lagi melawan kuman leukimia yang menyusup sejak kecil selepas sahaja sembuh daripada demam panas yang teruk itu.

Apabila kenangkan penjelasan arwah Jeman, terasa pula pada Derih Tunjal mustahil anaknya dianiaya sihir. Sudah puas dia bacakan Ayatul Kursi tetapi anak kecilnya terus juga menangis tenar sepanjang malam. Masakan dia tidak betul membaca Ayatul Kursi yang diamalkan sejak bertahun-tahun.

"Budak ni bukan diganggu syaitan!" lantas sahaja Derih Tunjal menggertap bibir mengerling isterinya Sahilah memujuk anak kecil yang semakin galak menangis.

"Habis, kenapa telurnya bengkak masa menangis macam ni gerutu Sahilah tidak percayakan suaminya. Masakan Sidin tidak diganggu kerana telurnya akan membengkak tidak menentu. Asal sahaja telurnya membengkak Sidin akan menangis sampai hilang-hilang suara. Lain-lah apabila telurnya tidak membengkak, bila-bila dia akan bermain riang bersama abang dan kakaknya.

"Tentu kena angin pasang," tubuh Derih Tunjal sebaik ingatkan nasihat abangnya supaya anak kecil itu diubati dengan diurut.

Semasa balik ke kampung, memang abangnya Mat Yassin tidak dapat lelapkan mata apabila anak kecil itu tiba-tiba sahaja menangis sepanjang malam. Terkejut juga mereka satu keluarga dengan tangisan anak kecil yang tidak boleh dipujuk-pujuk.

Tiba-tiba sahaja telur Sidin membengkak tatkala tengah malam waktu mereka satu keluarga nyenyak tidur. Cepat-cepat ayah mereka Andak Umar bangun minta Utih Yot sediakan bawang merah dengan minyak kelapa. Terkuap-kuap emak mereka Utih Yot mencari bawang merah dan minyak kelapa di dapur.

Setelah dijampi Andak Umar bawang merah digaul minyak kelapa itu, segera dia suruh Derih Tunjal sapukan ke bahagian telur yang bengkak. Semakin disapu minyak tersebut, bertambah tenar Sidin menangis hinggakan bengkak telurnya mengening-ngening merah macam buah kundang tengah masak ranum.

"Dah lamakah budak ni sakit macam ni?" tanya Mat Yassin disebabkan tidak dapat lelapkan mata setelah terkejut tidur tengah malam demikian.

"Memang dah lama, dah puas berubat macam-macam dukun," beritahu Derih Tunjal dalam keadaan serba salah.

"Tak bawa ke hospital?" Mat Yassin cuba melihat sendiri keadaan telur anak kecil yang membengkak itu.

"Dah bawa, hospital nak bedah aje!? sahut Sahilah semacam geram dengan keputusan mahu membedah telur anak-nya yang membengkak itu apa-bila diminta rawatan di hospital.

"Kalau macam ni, kena angin pasang," ujar Mat Yassin membelek-belek telur anak kecil yang mengening-ngening macam kundang masak. Dia percaya memang Sidin mengidap angin pasang.

Masakan angin pasang boleh dijampi serapah di hadapan dukun. Lainlah kalau gangguan syaitan memang Mat Yassin percaya boleh dijampi serapah. Perkara angin pasang mesti diurut biar lemak yang menutupi lubang cincin di bawah telur cair semula.

Tahu sangat Mat Yassin mengenai penyakit angin pasang yang mengganggu anak-anak kecil itu kalau lambat diubat boleh menjadi burut yang menyusahkan.Tentu anak kecil itu akan menanggung seksa sekiranya angin pasang sudah menjadi burut sampai sebesar penumbuk.

Bukan anak Derih Tunjal sahaja menghidap angin pasang, anaknya sendiri sudah mengalami penyakit tersebut. Tetapi sempat Mat Yassin bawa menemui arwah Haji Rawi apabila anaknya menangis mengongoi tidak dapat menahan kesakitan.

Haji Rawi minta buatkan minyak dari kepala buah kelapa, dengan gunakan airnya memerah santan. Minyak kelapa itulah, didoakan oleh arwah Haji Rawi:

"Gembira Ali ali mali, wali mali, hidup di atas hidup di bawah, hidup dengan kata Allah, Qul lanyusibana illa makatabal-lahhu lana huwa maulana wa'allahhi falyatawakkalil muk-minin, bangkit engkau seperti sediakala, dengan gerak Allah, hu..."

Tiga pagi berturut-turut Mat Yassin sapukan minyak tersebut kepada telur anaknya., sampai sembuh betul. Memang dia yakin apabila arwah Haji Rawi memberitahu anaknya kena angin pasang. Marah Haji Rawi kalau menuduh dianiaya orang, kerana mereka tidak tahu siapa yang tergamak mahu melakukan.

"Perkara penyakit eloklah diubat aje, buat apa tuduh menuduh dianiaya orang," arwah Haji Rawi ingatkan dia.

Sebab itu Mat Yassin percaya memang Sidin mengidap angin pasang, bukannya dianiaya orang. Apalah gunanya menuduh orang menganiaya, kalau penyakit sebenarnya memang bukan disebabkan oleh sihir.

Tidak patut Derih Tunjal berkeras menuduh ramai sangat orang dengki terhadap dirinya disebabkan mulut bisa menyindir orang. Kalau pun Derih Tunjal menyedari orang tersinggung dengan sikapnya, apa salah-nya dia mengubah perangai? Buat apa menyindir orang sampai tersinggung hati kalau sama bekerja di satu tempat?

Tetapi Derih Tunjal mudah benar naik angin apabila masing-masing cuba bermuka-muka buat kerja. Dia tidak boleh biarkan orang-orang yang sama bekerja hanya berpura-pura rajin sekira-nya ketua tempat kerja ada terconggok. Apabila ketua menghilangkan diri, masing-masing sengaja mencari peluang.

Mendongkol benar perasaan Derih Tunjal dengan sikap mereka yang sengaja bermuka-muka. Tidak segan silu dia menyindir sampai terhambur cacian yang menyinggung perasaan. Sebab itu Derih Tunjal syak ada orang cuba aniaya dirinya, tetapi anak kecil yang tidak berdosa itu menanggung derita berpanjangan.

"Awak percaya dengan cakap abang Mat Yassin?" Sahilah mahu menduga hati suaminya setelah Derih Tunjal menuduh anaknya terkena angin pasang.

"Ini bukan perkara percaya atau tidak," keluh Derih Tunjal bertambah rimas dengan tangisan anaknya yang semakin galak.

“Kalau tak percaya, macam mana nak berubat?" Sahilah mencemik muka semacam tidak yakin dengan sikap suaminya mudah berubah-ubah fikiran. Dalam masa percaya anaknya terkena angin pasang, bila-bila Derih Tunjal menuduh Sidin dianiaya orang dengan sihir.

"Kita berubat dulu!" Derih Tunjal memberi keputusan sekalipun hatinya masih rusuh selagi anaknya tidak berhenti menangis.

Dia mesti menemui Mat Yassin. Tentu Mat Yassin tahu siapa yang perlu ditemui setelah arwah Haji Rawi meninggal dunia. Masakan Haji Rawi tidak turunkan amalannya kepada sesiapa pun. Setidak-tidaknya Mat Yassin juga mungkin amalkan amalan yang diturunkan oleh arwah Haji Rawi itu.

Sampai santak subuh baru Sidin berhenti menangis dalam keadaan letih hingga lemah longlai tidak bermaya. Bengkak telurnya juga mengendur kempis bagaikan belon dilepaskan angin.

Sewaktu dia menemui Mat Yassin, abangnya tidak sanggup mencuba amalan yang diturunkan oleh arwah Haji Rawi. Dia sekadar boleh doakan minyak kelapa yang dibuat daripada kepala buah kelapa, tetapi tidak tahu mahu mencari lubang cincin di bawah telur anak kecil itu.

Minyak yang telah didoakan itu hanya sebagai ikhtiar rohaniah, tetapi ikhtiar lahiriah sekira-nya mahu lakukan pengubatan. Mat Yassin memang tidak sanggup ubatkan dengan ikhtiar lahiriah. Dia sendiri tidak pernah yakin akan kemampuan dirinya sekalipun banyak amalan diturunkan oleh arwah Haji Rawi.

"Kena jumpa Alang Leman juga di Bagan Datoh," jelas Mat Yassin mendesak Derih Tunjal supaya tidak bertangguh-tangguh kalau mahu mengubati Sidin.

"Mana aku tahu Alang Leman," rungut Derih Tunjal apabila diberitahu mengenai Alang Leman di Bagan Datoh. Bukannya dekat kalau terpaksa ke Bagan Datoh hingga bermalam tiga hari berturut-turut.

Mat Yassin sendiri beritahu, Alang Leman mahu mengurutnya tiga hari berturut-turut. Bukan boleh diubat hanya sekali lalu sahaja. Derih Tunjal mestilah bersabar menunggu sampai tiga hari, supaya lubang cincin yang diurut tidak diisi lemak selepas selesai diurut itu.

“Aku hantar kau ke sana," tegas Mat Yassin macam memarahi adiknya yang tidak ambil berat sangat mahu mengubati anak sendiri. Kalau Derih Tunjal ambil berat apa salahnya habiskan masa tiga hari di Bagan Datoh. Mereka boleh tumpang di rumah kawan-kawan di sana kalau mahu berubat tiga hari di rumah Alang Leman.

Kalau tidak didesak oleh Mat Yassin memang berat juga hati Derih Tunjal mahu ke Bagan Datoh. Lagipun dia tidak mengenali Alang Leman. Lainlah Mat Yassin memang ramai saudara mara isterinya di sana. Malah Alang Leman juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan isterinya.

Sudah dipesankan oleh Alang Leman supaya bawakan buah kepompong tiga biji. Dia akan tuam telur yang membengkak itu dengan buah kepompong yang dibembam kepada abu panas. Tiga kali diulangi dituam dengan buah kepompong itu, Alang Leman akan urut biar lubang cincin di bawah telur tidak disumbati lemak.

Angin pasang itu memang sama dengan pasang surut air  laut. Asal sahaja air laut pasang, sudah tentu penyakit itu mula menyenak ke perut. Sampai air surut barulah penyakit menyenak itu beransur hilang. Kalau ditanyakan kaitannya dengan air laut pasang surut memang Alang Leman sendiri tidak tahu.

Dia sekadar mewarisi amalan arwah ayahnya fasal mengurut penyakit angin pasang. Perkara yang dia tidak tahu, Alang Leman tidak perlu fikirkan apa-apa. Apabila orang yang mengidap angin pasang datang menemuinya, dia akan urut seperti amalan yang diwariskan oleh arwah ayahnya.

"Manalah aku tahu ada syaitan atau tidaknya," jelas Alang Leman apabila Derih Tunjal bertanya mengenai penyakit angin pasang yang mengganggu anak-nya.

"Apa kena mengena. dengan air laut pasang surut tu?" desak Derih Tunjal masih tidak puas hati dengan penjelasan Alang Leman.

"Aku pun tak tahu," tersengih-sengih Alang Leman memerhati Sidin yang riang diagah Sahilah.

"Alang gunakan jampi juga-kah?" Derih Tunjal sengaja mahu menguji.

 "Jampi apa pula, aku hanya belajar urut saja,:" beritahu Alang Leman menggeleng.

Serba salah juga dia mahu menerangkan kepada Derih Tunjal cara mengubati angin pasang itu. Perkara mengubati penyakit bukan macam minta tunjukkan cara bancuh tepung buat kuih. Bukan seminggu dua mahu amalkan biar sebati dengan amalan yang diturunkan oleh orang tua-tua.

Tetapi Derih Tunjal macamkan tidak sabar bagaimana anaknya boleh sembuh setelah tiga hari sahaja diurut oleh Alang Leman.

Sudah lebih setahun Derih Tunjal memendam perasaan dengan penyakit anak kecilnya itu. Asal sahaja masuk tengah malam tatkala air laut pasang nescaya anaknya akan langsing menangis, Sekaligus pula telur anak kecil itu membengkak macam belon kena pam.

Kalau tidak kenang nasihat Lebai Jori minta dia banyak bersabar, tentu Derih Tunjal akan membentak sekuat hati. Dia akan luahkan perasaan marah biar sama tenar dengan tangisan anaknya yang melangsing. Tetapi Lebai Jori ingatkan dia banyak bersabar dalam menghadapi apa sahaja dugaan.

Memang lama juga dia berulang alik ke surau Lebai Jori belajar agama. Terpaksa bangun tengah malam ikut Lebai Jori solat tahajud, terus wirid dan berzikir sampai santak subuh.

Sebab itu dia patuhi juga nasihat Lebai Jori supaya tidak cepat panas baran. Tahu sangat Lebai Jori sikap lelaki itu mudah sahaja sengseng lengan baju kalau hatinya tersinggung. Dia tidak peduli siapa pun yang cuba besar kepala di depannya nescaya akan diterkamnya tidak bertangguh.

"Semua penyakit ni pesona syaitan!" Alang Leman menatap muka Derih Tunjal tidak berkedip mata. "Kuman penyakit pun adalah syaitan," jelasnya mengusap-usap tangan ke muka beberapa kali.

Apabila kenangkan Haji Sulong ubatkan emaknya dihinggapi angin ahmar, memang Alang Leman tahu benar petua orang tua itu. Lama juga emaknya mengidap angin ahmar semasa jatuh tiba-tiba sahaja tatkala mahu ke bilik air mengambil wuduk. Tidak bertangguh adik beradiknya bawa emaknya ke hospital.

Berminggu-minggu juga Mak Tiamah terkejang di wad hospital akibat angin ahmar hingga sebelah badannya menjadi lumpuh. Jiran-jiran mula menuduh Mak Tiamah kena tuju orang dengan angin sihir menyebabkan dia tidak dapat mengelak.

Tetapi Alang Leman tidak berupaya mahu membantu emaknya. Lainlah kalau emaknya dihinggapi angin pasang, memang bila-bila Alang Leman sanggup mencuba. Terkebil-kebil mata Alang Leman apabila kakaknya Yong Sibah menuduh dia yang menjadi punca emaknya dituju orang dengan angin sihir.

Tentu orang mahu membalas dendam terhadap Alang Leman yang menjadi dukun, tetapi angin tuju sihir itu singgah kepada emaknya. Sebak juga dada Alang Leman menahan rasa terharu apabila dituduh oleh Yong Sibah. Manalah dia tahu orang berdendam terhadapnya semata-mata disebabkan dia menjadi dukun.

Tidak pernah pun dia meminta sesiapa datang berubat ke rumahnya. Masakan dia boleh menolak sekiranya orang mendesak minta ubatkan anak kecil mengidap angin pasang sampai membengkak telur.

Setelah emaknya dibawa keluar, Alang Leman cuba memujuk adik beradiknya supaya mencuba pada Haji Sulong. Perkara sembuh atau tidak sembuh bukanya penting sangat. Memadailah mereka mencuba dulu sama ada serasi atau pun tidak berubat dengan Haji Sulong.

Hairan juga mereka apabila Haji Sulong suruh berendam dalam pasir laut sampai 44 pagi. Terpaksa mereka usung Mak Tiamah dibawa ke pantai direndam dalam pasir tepi laut sampai dua tiga jam. Selepas direndam pasir laut itulah Haji Sulong mengurut kaki Mak Tiamah.

Selepas diurut kaki dan tangan Mak Tiamah, lantas Haji Sulong berdiri tegak di belakang-nya. Dia membacakan tiga kali al-Fatihah, tiga kali surah al-ikhlas, sekali Ayatul Kursi dan meneruskan dengan:

"Alif lam mim sad, kaf ha ya a'in sad, ha mim a'in sim kod, la ilaha illa huwa rabbul arsyil azzim, usukan aiyuhal waji' billazai ini yasya yuskinil riho fayazlalna rawakido 'ala zohrihi, walau masakan fil laili -wannahara wahuwas sami'ul 'alim.

Tetapi tidak sampai 44 hari Mak Tiamah diusung ke tepi pantai berendam pasir laut, dia sudah boleh berjalan bertongkat. Lama juga dia mengikut amalan Haji Sulong, akhirnya Mak Tiamah dapat juga berjalan sekalipun tidak berapa gagah.

"Angin ahmar pun disebabkan oleh syaitan," ujar Haji Sulong apabila Alang Leman minta dia turunkan amalannya. "Memang asal syaitan tu diberi nama ahmar," katanya ingatkan Alang Leman setiap penyakit memang dibawa oleh syaitan untuk merosakkan manusia.

Bukan mudah Alang Leman mahu mengikuti amalan Haji Sulong. Masakan dia boleh mendapat segala kemahiran Haji Sulong kalau sekadar menghafal ayat-ayat yang diberikannya sahaja. Sudah beberapa kali dia terserempak ular tedung selar melintas jalan, Alang Leman sendiri terbebar tidak menentu.

Dia cuba bacakan ayat yang diturunkan oleh Haji Sulong lantas dihembuskan ke arah ular berkenaan, tetapi ular itu mengangkat kepala tinggi macam mencari mangsa. Terpaksa Alang Leman berundur perlahan-lahan mahu selamatkan diri.

Lainlah Haji Sulong kalau terserempak ular garang di tengah belukar. Dengan mengisarkan tumitnya sahaja ke tanah, ular tedung selar itu lemah longlai tidak terangkat kepala lagi. Kalau ditarik ekornya oleh Haji Sulong pun ular berkenaan tidak akan mematuk lagi. Tubuh ular itu menjadi seperti tali tidak berguna lagi. Sekiranya tidak dipulihkan oleh Haji Sulong nescaya akan mati menjadi bangkailah di situ.

Bukan takat ular garang sahaja lemah longlai terserempak Haji Sulong, malah buaya ganas di Sungai Tengi pun terkancing taring kalau berdepan dengan orang tua itu. Alang Leman sendiri ikut Haji Sulong bersampan, apabila orang-orang kampung gempar kelibat buaya terjongol kepala di permukaan air.

Terpaksa mereka di Sungai Tengi menjemput Haji Sulong, biar buaya berkenaan di halau jauh. Biarlah buaya berkenaan masuk ke sungai mana pun, asalkan jangan mengganggu mereka di situ. Mereka tahu Haji Sulong juga tidak tergamak membunuh buaya yang sudah terkancing taring. Kalau dibiarkan pun buaya berkenaan akan mati lama kelamaannya akibat terkancing taring disebabkan tidak dapat menyambar makanan.

Kecut juga perut Alang Leman tatkala sampan masuk ke tengah air. Sebaik sahaja Haji Sulong mengocak permukaan sungai tiga kali dengan tangannya, tiba-tiba sahaja kepala buaya terjongol berhampiran dengan sampan. Lantas Haji Sulong membacakan:

"Assalamualaikum 'ala saiyi-dina khidir 'alaihissalamu, assa-lamu-alaikum 'ala saiyidina 'Aliyi radhiaallahhu 'anhuma, yuhibbu nahum kahubbillahhi wallazana amanu asyaddu hub-banlillahhi, zuiyina linnasi hubusy syahawati minannisa-i walbanina walqothiril muqanta-rah."

Kemudian ditepuknya kepala buaya itu tiga kali. Selepas itu Alang Leman melihat buaya itu mematuhi sahaja perintah Haji Sulong. Memang tidak ada siapa pun melihat lagi buaya berkenaan terjongol kepala selepas dihalau oleh Haji Sulong.

Memang Haji Sulong tidak akan membunuh binatang yang sudah ditundukkannya demikian. Bukan takat ular garang dengan buaya ganas di tengah sungai sahaja yang tidak dibunuh oleh Haji Sulong, bahkan nyamuk hinggap di lengannya pun tidak akan ditampar. Dia sekadar kuiskan sahaja biar nyamuk berkenaan terbang semula ke mana-mana.

Tahu sangat Alang Leman sikap Haji Sulong yang tidak mahu membunuh binatang, kecuali kalau menyembelih ayam atau kambing. Setelah menyembelih pun Haji Sulong tidak akan jengah lagi tatkala orang menguliti kambing yang sudah disembelih atau dilapah.

Masakan dia boleh tandingi Haji Sulong. Doa yang diajarkan oleh Haji Sulong sekadar dihafalnya sahaja. Belum pernah dia mencuba menampar kepala buaya terjongol di permukaan sungai. Dia sendiri gementar kalau terserempak ular tedung senduk hitam di tengah belukar.

Perkara hafalkan doa tidak sama dengan amalan yang diamalkan oleh Haji Sulong. Memang Alang Leman tahu benar Haji Sulong apabila sudah mengisar tapak tangan selepas solat sunat dua rakaat. Asal sahaja dia diminta membantu, dia tidak akan mengangguk sama ada bersetuju atau pun tidak.

Lantas sahaja Haji Sulong mengambil wuduk untuk solat sunat dua rakaat. Selepas selesai solat baru dia bersedia untuk memulakan. Dia akan beristighfar sampai 100 kali, diikuti dengan salawat 100 kali dan bertasbih 100 kali.

Tatkala Alang Leman menemui dia setelah didesak oleh Pak Ku, tersengih-sengih sahaja Haji Sulong sebelum Pak Ku membuka mulut memberitahu. Alang Leman sendiri hairan bagaimana tiba-tiba sahaja Haji Sulong dapat mengagak Pak Ku memang menderita lemah tenaga batin.

Sewaktu Pak Ku minta Alang Leman urutkan, dia sekadar menyangka Pak Ku mengidap angin pasang. Setelah dua hari dia mencuba urutkan dengan dituam buah kepompong, baru Alang Leman menyedari Pak Ku tidak diganggu angin pasang. Mati akal Alang Leman kalau diminta mengurut fasal menderita lemah tenaga batin.

Sebab itu dia beritahu mengenai Haji Sulong satu-satunya yang boleh mencuba ubatkan. Lainlah kalau Pak Ku mengidap angin pasang, memang bila-bila pun Alang Leman tidak akan menolak. Sudah bertahun-tahun dia dikenali oleh orang-orang kampung mampu urutkan selepas sahaja mengidap angin pasang sampai telur membengkak sebesar penumbuk.

"Kenapa tak kau aje yang cuba, Leman?" Haji Sulong mengusik setelah dapat mengagak Pak Ku mengidap lemah tenaga batin.

"Hah, bukan boleh diurut, tuan aji," sahut Alang Leman tersengih-sengih mengerling Pak Ku.

"Kau pun boleh, tapi sengaja tak mahu cuba!" ejek Haji Sulong setelah diberitahu mengenai Pak Ku mempunyai tiga orang isteri. Sebab itu tenaga Pak Ku tidak mampu lagi mahu bertahan.

"Tapi, saya agak bukan penyakit biasa, tuan aji," lantas sahaja Pak Ku berterus terang mengenai penyakit yang dialaminya. Dia akan mengalami lemah tenaga batin sekiranya mendampingi dua isterinya yang lain, tetapi tidak ada apa-apa pun masalah sekiranya dengan seorang lagi.

"Emmm, nak mencuba-cuba, bolehlah," Haji Sulong mencebek bibir tidak lagi mahu bergurau.

Sengaja Haji Sulong menunggu sampai tengah malam baru dia tunaikan solat sunat dua rakaat, dengan mengajak Pak Ku dan Alang Leman ikut sama. Selepas sama-sama berdoa, Haji Sulong membawa besen berisi air di hadapannya dengan diserungkup kain hitam.

Tiga kali dia melangkah besen berisi air itu, sambil menghentakkan tumit ke lantai tiga kali juga. Dia berhenti sampai dua minit, kemudian mengulangi lagi melangkah besen tersebut dengan membacakan:

"Bismillahhir Rahmannir Rahim, fawaqqa'al haqqu waba-tala makanu yaf 'alun, qullan yusib ana illa makataballahhu lana huwa maulanawa'alallahhi falyatawakkalil mukminun."

Kemudian dia berligar di keliling besen berisi air. Tidak henti-henti Haji  Sulong berzikir hingga sampai santak 1.00 tengah malam, baru Alang Leman terkejut angin bertiup kencang hingga tingkap rumah terbuka. Pak Ku juga menjadi gementar tiba-tiba merenung ke tingkap yang terbuka.

Mahu bertanya kepada Haji Sulong bimbang juga Pak Ku, apabila melihat bayang hitam seperti ungka melompat masuk dari jendela terbuka. Tetapi bayang itu hilang sebaik sahaja disilau cahaya lampu di tengah serambi. Sebaik sahaja Pak Ku melihat bayang hitam seperti ungka itu hilang, tidak bertangguh Haji Sulong membuka kain hitam yang menutupi besen.

"His, apa bendanya ni?" tersegat Haji Sulong memerhati ke dalam besen berisi air, lantas menggamit Alang Leman. "Mari, Pak Ku," Alang Leman mengajak Pak Ku ikut sama melihat ke dalam besen berisi air itu.

Terkejut benar Pak Ku tatkala melihat air di dalam besen bertukar menjadi keruh berlumpur. Seekor ikan haruan sebesar lengan budak menggelepar dipenuhi lumpur, tetapi mulutnya ternganga akibat diikat dengan kain kuning.

"Huh, menyeksa binatang!" gerutu Haji Sulong terus mencengkam kepala ikan haruan berkenaan. Cepat-cepat dia membuka ikatan kain kuning yang menyengkang mulut ikan haruan itu.

"Mana datangnya ikan haruan ni, tuan aji?" sengaja Alang Leman bertanya macam orang bodoh. "Ah, kalau aku tahu, senanglah!" sahut Haji Sulong perlahan. Leman panggangkan ke dapur. Kemudian dia menyuruh Pak Ku makan ikan haruan berkenaan dan arang daripada kayu pemanggangnya disapukan ke bawah kemaluan. Kayu pemanggang itu dibawa balik ke rumah oleh Pak Ku untuk gunakan arangnya ganti minyak pengurut.

Seminggu selepas itu Pak Ku datang menemui Alang Leman memberitahu penyakitnya pulih semula. Hanya tiga bulan kemudiannya Alang Leman diberitahu mengenai Pak Ku ceraikan salah seorang daripada isterinya.

Perkara rumahtangga Pak Ku tidak penting sangat pada Alang Leman. Biarlah Pak Ku sendiri uruskan rumahtangganya. Tetapi kalau lelaki itu datang mahu minta uruskan penyakit lain daripada angin pasang, memang dia tetap membelok.

Ketika mula-mula Mat Yassin minta urutkan Sidin serba salah juga Alang Lernan. Sudah lama dia mengambil keputusan tidak mahu lagi mengurut disebabkan pergelangan tangannya membengkak macam telur tengah mengidap penyakit angin pasang.

Puas juga dia berubat, tetapi bengkak di tangannya akan mengening-ngening tatkala air laut tengah pasang. Terasa juga sakit menyenak hingga ke pangkal bahu setiap kali pergelangan tangannya membengkak. Dia dapat mengagak tentu penyakit angin pasang itu berbalik kepada dirinya sendiri setelah tidak dibayar pengeras.

Sebab itu merungut juga Uda Siah apabila orang tidak bayar pengeras. Kalau datang berurut memang mereka beri juga sampai sepuluh ringgit. Tetapi perkara beri sepuluh ringgit itu sama juga macam bayar upah, bukan bayar pengeras ikut amalannya.

Apa salahnya selepas sembuh datang semula Alang Leman beritahu mengenai penyakit itu sudah pulih. Alang Leman boleh putuskan ubat dengan jiruskan air ke kepala di kaki tangga rumah. Ketika inilah bayar dua puluh lima sen sebagai pengeras pemati ubat.

Tetapi habis sahaja berubat tidak siapa pun jengah Alang Leman beritahu mengenai penyakitnya sudah sembuh. Mereka merasakan bayar sepuluh ringgit sudah lebih daripada memadai, dengan tidak perlu pengeras pemati ubat.

"Kalau tak kenang kau Yassin, malas aku nak buat ni!" Alang Leman mengeluh pendek setelah didesak oleh Mat Yassin. "Dah lama aku berhenti mengubat," tegasnya serba salah sangat mahu menerima desakan lelaki itu.

Bukan mudah dia mahu lupakan jasa Mat Yassin tatkala isterinya Uda Siah terkejang tengah menguli tepung kuih di dapur. Termengah-mengah anaknya Senah datang memanggil ketika dia betulkan jaring mahu merentang di tepi parit mendekut burung ruak-ruak.

Seminggu Uda Siah batuk  darah hingga mukanya pucat lesi tidak bermaya. Sebaik sahaja adik beradiknya mengambil keputusan mahu bawa Uda Siah ke hospital, segera ditegah oleh Mat Yassin. Dia ingatkan Alang Leman supaya tidak terburu-buru ke hospital. Lainlah kalau penyakit biasa yang memerlukan rawatan di hospital, memang bila-bila masa sahaja boleh dibawa ke sana.

Tetapi Uda Siah tiba-tiba sahaja terkejang di dapur sewaktu menguli tepung kuih. Mulutnya berbuih-buih macam air berkocek di tepi lopak. Uda Siah akan terbatuk-batuk sampai menyembur darah. Masakan penyakit seperti itu boleh dibawa ke hospital.

Kalau Uda Siah dihinggapi demam malaria, memang Mat Yassin bersetuju dihantar ke hospital. Apalagi kalau jatuh tergelincir di dapur hingga patah tulang, ke mana lagi dirawat kalau tidak di hospital? Tetapi Uda Siah tiba-tiba sahaja terkejang tidak bersebab!

Dalam keadaan terdesak itu Mat Yassin gagahi juga cuba gunakan amalan yang ditunjukkan oleh arwah Haji Rawi. Biar-lah tidak memberi kesan apa-apa dia akan mencuba sahaja. Manalah tahu boleh memberi manfaat juga tatkala semua orang tengah berharap.

Setelah meletakkan tiga helai daun sirih di atas dada. Uda Siah lantas Mat Yassin bacakan:

Lakhulqus samawati walardhi akbaru min kholqinnasi walakinna aksarannasi laya'- lamuna, farji/il basara haltara min futhurin, thummarji'ilbasara kartaini yanqolibu ilaikalbassara khosi-an wahuwa hasir.

Apabila dihembuskan kepada dada Uda Siah tiba-tiba sahaja daun sirih itu layu bagaikan dilayur ke api. Serentak dengan itu darah memercik dari atas daun sirih itu merenik-renik laksana gelas berpeluh diisi ais

"Hah, kenapa tu Yassin?" bisik Alang Leman sebaik sahaja melihat daun sirih itu memercik darah.

"Entahlah, saya pun tak tahu, alang," beritahu Mat Yassin hairan dengan kejadian itu. Apalagi dia sendiri tidak pernah mengalami kejadian demikian.

Tetapi dia tidak gelabah dengan keadaan yang menimpa Uda Siah. Segera Mat Yassin mencapai daun sirih yang memercik darah itu. Ketika dia memegangnya terasa pada Mat Yassin daun sirih itu bagaikan sepotong daging selepas dilapah.

Saat ini dia ingatkan arwah Haji Rawi sentiasa kuatkan zikir di dalam hati apabila berdepan dengan suasana yang mendebarkan. Semakin kuat zikirnya bertambah tenang dia menghadapi keadaan itu. Kalau hati tidak tenang masakan dia boleh memikirkan apa yang perlu dibuat seterusnya.

Sebaik sahaja Mat Yassin meramas-ramas daun sirih yang memercik darah itu seolah-olah menggenggam sepotong daging dilapah, lantas dia membacakan doa:

Hossantukum bilhaiyil qauyumillazi layamutu abadan wadafaitu 'ankumussu-a bilahau-la wala qauwata illa billahhil 'aliyil 'azim.

Ketika ini barulah Uda Siah menggeliat-geliat bagaikan menahan kesakitan. Setelah menyedari Uda Siah memang diganggu penyakit yang tidak mungkin boleh dirawat di hospital, segera Mat Yassin mengajak saya ke rumah Alang Leman.

Sebab itu serba salah juga Alang Leman mahu mengelak apabila Mat Yassin sendiri datang menemui dia meminta urutkan Sidin. Kalau tidak kenangkan Mat Yassin, apalah salahnya kasihankan anak kecil seperti Sidin. Tidak tergamak pula Alang Leman biarkan anak kecil itu terjerit-jerit menangis menahan kesakitan akibat telur membengkak tatkala air laut tengah pasang.

Tiga hari Mat Yassin mengajak adiknya Derih Tunjal berulang di rumah Alang Leman, kebetulan pula saya ke rumah Nyok Sirun di bagan. Singgah juga saya di rumah Alang Leman, setidak-tidaknya bertanya burung ruak-ruak yang didekut.

"Hah, ustaz datang ni, alang," beritahu Mat Yassin menjengah di jendela sewaktu saya sampai di tengah halaman.

Segera pula Uda Siah menerpa ke pintu sebaik sahaja diberitahu saya datang bersama dengan isteri saya. Tidak bertangguh Uda Siah turun ke tengah halaman memeluk isteri saya, sampaikan tercengang Sahilah di tengah serambi.

"Alang, masih berdukun lagi?" usik saya setelah diberitahu oleh Mat Yassin mengenai anak saudaranya yang mengidap pasang itu.

Alang Leman tidak menyahut. Dia tunduk tersengih-sengih mencapai celapah rokoknya. Terasa juga padanya saya seolah-olah ingatkan dia perkara penyakit berbalik kepada diri sendiri itu, tidak ada kena mengena dengan pengeras pemati ubat.

Memang siapa saja mahu memberi kebaikan kepada orang, tidak akan terlepas daripada dugaan dan cubaan. Siapa pun tidak dapat mengagak cara dugaan dan cubaan itu datang mengganggu, kerana semuanya ketentuan Allah belaka.


SELESAI