Saturday, May 7, 2016

175. BERLAWAN DENGAN HANTU TINGGI


    MUNGKIN tidak terlintas langsung di fikiran Deraman, sekiranya kereta dia tidak rosak tiba-tiba tentu akan terbabas apabila terlanggar ular besar melintang di hadapan. Ular besar melintang sampai sebesar batang kelapa itu tidak akan terjejas apa-apa kalau diserbu kereta tengah laju.

Kadangkala macam-macam rahmat daripada Allah yang kita tidak sedar berlaku secara tiba-tiba. Hanya selepas difikirkan berulang kali, barulah dapat difahami hikmat di sebalik kejadian tersebut. Sudah menjadi amalan ayah saya setiap kali dia meninggaikan rumah akan membacakan doa sebaik sahaja masuk ke dalam kenderaan.

Sewaktu hujan renyai-renyai turun menyerak dia sudah dapat mengagak bahaya di hadapan sedang menunggu, tetapi dia tidak tahu apakah bencana yang akan menimpa. Kalau mahu dituduh hantu tinggi melintas tatkala tengah malam, dia tidak merasa apa-apa setelah dihela nafas sambil menahan sampai berdegup di dalam kalbu. Disebabkan hujan renyai-renyai turun menyerak, segera ayah saya bacakan:

Ya Allahhu ya Rahman ya Rahinni ya Haiyun ya Qaiyum ya Zaljalal wal-ikram, hashiallahhu wani'mal wakilu ni'malmaula wani'manna-sir.

Sehingga tujuh puluh kali dia membacakannya tiba-tiba sahaia kereta Deraman mati enjin.

Segera Deraman turun memeriksa enjin, tetapi semuanya tidak ada yang rosak. Apabila batu-batu kecil di atas tebing jalan di selekoh jauh di hadapan mereka jatuh, cepat-cepat ayah saya memanggil Deraman supaya masuk semula ke kereta.

Dalam silauan cahaya lampu itulah mereka nampak kepala ular terjulur dari atas tebing. Perlahan-lahan ular besar itu turun dengan bersusah payah berinsut melintasi jalan aspal. memang Deraman melihat sendiri ular tersebut turun ke bawah gaung, sampai hampir setengah jam baru semua tubuhnya hilang ke dalam kegelapan malam.

Memang serba salah Deraman tidak ketahuan dalam saat demikian. Manalah tahu ular besar itu boleh berpatah balik menghulurkan kepala memerangkap mereka di dalam kereta. Siapa pun tidak dapat membantu sekiranya ular berkenaan berniat salah.

Tetapi sebaik sahaja ular besar itu menurun gaung, segera ayah saya menyuruhnya hidupkan enjin. Tiba-tiba sahaja enjin keretanya mudah dihidupkan semula. Hujan renyai-renyai juga tidak lagi turun menyerak sebaik sahaja keretanya meluncur meninggalkan selekoh jalan.

Tahu sangat saya mengenai ayah saya akan cuba mengelakkan dirinya daripada terperangkap dalam bahaya. Semasa membawa saya ke majlis kenduri kahwin di kampung pun, memang dia mengelakkan diri hingga tersisih daripada bahaya.

Saya masih berumur dua belas tahun ketika itu duduk di sebelahnya di hujung serambi menghadap hidangan. Sewaktu orang menatang air minuman melepasi kepala saya, tiba-tiba sahaja jag di dalam dulang meletup tidak semena-mena. Habis juga baju saya diperciki air minuman yang melimpah akibat jag meletup itu.

"Ha, kenapa tu?" laung Itam Minin tuan rumah yang berdiri di pintu tengah. Terkejut juga dia apabila tetamu yang hadir majlis kahwin anaknya gempar dengan kejadian jag air meletup sebelum sempat dihulurkan ke hadapan ayah saya.

"Jag air meletup, agaknya air panas sangat," Uda Leman yang menatang air memberitahu lantas membantu saya mengelap baju yang habis diperciki air.

"Air sirap, takkan air panas?" gerutu Itam Minin hairan juga dengan kejadian jag air berkecai selepas meletup sewaktu dihulurkan ke hujung serambi.

"Tapi jag ni meletup, macam diisi air panas," sahut Uda Leman terpaksa menghulurkan dulang minuman itu balik ke pangkal serambi.

Sewaktu Itam Minin menyambut dulang tersebut, dia sendiri terkejut melihat miang rebung berapungan di permukaan air sirap di dalam dulang. Mula-mulanya dia menyangka serbuk hitam biasa, tetapi setelah sama-sama diteliti mereka sahkan memang serbuk miang rebung.

Terduduk Itam Minin menahan kesal dengan kejadian tersebut. Bimbang juga kalau dituduh sengaja hulurkan air dibubuh santau kepada ayah saya di hujung serambi. Dia percaya memang orang mahu menganiaya majlis kendurinya, biar seisi kampung menuduhnya mahu memberi ayah saya santau.

"Siapa yang nak aniaya aku ni?" bentak Itam Minin terus menerpa ke penanggah mencapai parang panjang.

Tiba-tiba sahaja dia meluru ke tengah halaman memangkas parang panjang sambil membentak marah. Tidak dapat lagi Itam Minin mengawal perasaan disebabkan malu benar dia dengan kejadian yang menimpa. Ke mana lagi dia mahu pandangkan muka sekiranya seisi kampung menuduh dia sengaja masukkan santau ke dalam minuman.

"Tak sudah-sudah orang nak aniaya majlis aku!" ujar Itain Minin tidak peduli siapa lagi. Beberapa orang jiran di tengah serambi turun memujuk Itam Minin supaya bersabar.

Tetapi dia tidak menghiraukan siapa pun lagi. Dia memangkas parang panjang di tangan meminta siapa sahaja yang rnenganiaya majlis kahwinnnya mara ke tengah halaman. Dia mahu menguji orang yang sanggup aniaya dirinya sampai masukkan santau ke dalam jag minuman.

Kalau mereka berani bercekak kenapa gunakan santau tatkala majlis tengah menerima tetamu. Apa salahnya turun sahaja ke tengah halaman biar sama menghunus parang. Itam Minin sanggup rebah ditetak parang, daripada menanggung malu kerana dituduh cuba gunakan santau.

"Minin, bawa mengucap banyak-banyak," ayah saya segera berdiri di kepala tangga memintanya buangkan sahaja parang di tangan.

"Mereka nak beri malu saya, bilal!" sahut Itam Minin tercegat di tengah halaman mendesak siapa sahaja yang menganiaya dirinya mara menghunus parang.

"Ah, perkara ni permainan syaitan," ujar ayah saya terus turun ke kaki tangga. Mahu rapat ke tengah halaman bimbang juga dia sekiranya Itam Minin menghambur. Dalam saat demikian memang sukar juga menyuruh lelaki itu bersabar.

Tetapi yang lain menjadi gempar dengan tindakan Itam Minin menghunus parang menyuruh siapa yang masukkan santau ke dalam jag air mara ke tengah halaman. Kenapa mahu berselindung sekiranya mahu tunjukkan diri? Apa salahnya bersemuka tentukan siapa yang bersalah, hingga tergamak memberi lawan racun santau untuk memuaskan nafsu!

"Kalau anak jantan, jangan main santau!" gerutu Itam Minin mengibas-ngibas mata parang memangkas angin. "Mari hunus parang, kita uji siapa berani bertentang muka!" tidak berganjak dia tercegat di tengah halaman memekik meminta lawan.

Memang Itam Minin tidak akan lepaskan sekiranya dia terserempak orang masukkan racun santau di dalam jag air. Bila-bila sahaja dia akan hayunkan mata parang, biar orang itu tersungkur menyembam bumi. Biarlah dia dimasukkan ke penjara pun, Itam Minin sudah nekad untuk bertindak.

Perkara memberi racun santau tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, selagi mereka berselindung sampai tidak dapat dikesan langsung. Hanya mangsa sahaja tiba-tiba sahaja batuk darah hingga merana bertahun-tahun sebelum menemui ajal. Sebab itu Itam Minin berdendam sangat sekiranya orang cuba aniaya majlis kenduri kahwin anaknya dengan masukkan santau dalam minuman.

"Pengecut, tak berani tunjuk muka!" semakin garang Itam Minin berligar di tengah halaman. Siapa yang berani rapat mahu memujuk juga akan dikibasnya dengan mata parang, selagi orang yang masukkan santau dalam minuman tidak menjongol muka.

Berdebar juga saya berdiri di muka pintu bersama jiran-jiran yang lain apakala melihat mata parang dipangkas ke udara oleh Itam Minin. Bimbang benar saya sekiranya hulu parang terlucut dari tangannya tatkala dipangkas ke udara itu. Manalah tahu mata parang itu akan terlontar ke arah muka pintu serambi. Tentu salah seorang yang tercegat di situ akan tercedera disinggahi mata parang.

"Sudahlah Minin, perkara kecil aje tu," ayah saya memujuknya sambil meminta serahkan parang di tangan. "Ada orang nak santau bilal, perkara kecil?" lantas sahaja Itam Minin menggenggam tinju dijolakkan melepasi kepala. "Dia nak rosakkan majlis saya, perkara kecil juga?" dia meluahkan rasa terkilan yang mengombak-ombak di dadanya.

"Cukuplah, saya selamat," ujar ayah saya lembut terus mara mendapatkan dia. "Majlis kenduri awak pun dah selamat," segera ayah saya memeluknya sebaik sahaja dapat mencapai parang di tangan Itam Minin.

Tersengguk-sengguk Itam Minin menahan rasa terharu yang menusuk ke jiwanya. Dia tidak meronta apa-apa setelah dipeluk oleh saya, manakala Lebai Rawi segera mengambil parang yang dihulurkan kepadanya. Lama juga ayah saya bersama jiran-jiran memujuknya barulah Itam Minin dapat mengawal perasaannya.

Dia percaya sekiranya jag berisi air sirap yang dihulurkan ke hujung serambi tidak meletup pecah, sudah tentu ayah saya menjadi mangsa terminum santau di tengah majlis kenduri kahwin anaknya.

Lebai Rawi juga mengakui mengenai amalan ayah saya lebih suka mengelak untuk jauhkan diri daripada segala mara bahaya. Kalau keluar dari rumah acapkali dia akan membacakan:

Bismillahhi watawakkaltu 'aliallahhu la haulawala qauwata illah billahhi wahuwa 'aliyul 'azzim, inna fatahna laka fathan mubinan, la qauwata illa billah, 'allallahhi tawakkalna rabbana la taj'alna fitnatan lilqaumiz zolimina minajjina birahmatika m inalqaumil kafirin.

Semenjak lama berkawan dengan ayah saya, memang banyak pengalaman yang dilalui oleh mereka. Apalagi mereka sentiasa ke mana sahaja bersama Dukun Tahak, Ketika mereka bertiga balik dari pekan kecil melalui Bukit Merah tiba-tiba sahaja basikal yang ditunggang tidak boleh dikayuh.

Ayah saya yang mengayuh basikal dengan Lebai Rawi di hadapan dan Dukun Tahak di belakang sama-sama melompat turun. Segera Lebai Rawi menyuluh rantai basikal sekiranya jatuh, tetapi lampu picitnya tidak menyala. Disebabkan jalan yang mereka ialui masih lagi hutan tebal ketika itu, keadaannya memang gelap gelita.

"Macam mana ni dukun?" sengaja ayah saya mengusik Dukun Tahak. "Ah, kita seret aje basikal ni," sahut Dukun Tahak tersengih-sengih di dalam gelap itu.

"Susah sangat, kita tinggalkan aje basikal tu di sini," Lebai Rawi pula bergurau sambil mencuit bahu ayah saya.

Mereka ketawa terkekeh-kekeh di dalam gelap itu sekalipun keletihan menunggang basikal naik bertiga dalam jarak tiga batu. Tidak ada apa-apa pun yang mereka bimbangkan selagi persahabatan sama-sama akrab.

Dalam masa Lebai Rawi meraba-raba rantai basikal, mereka dikejutkan oleh lembaga hitam yang berdiri tegak di hadapan. Terlalu tinggi lembaga itu hingga kepalanya cecah ke awan dengan kakinya terkangkang di antara tebing jalan.

"Geruh kita malam ni, dukun," bisik Lebai Rawi tidak jadi meraba rantai basikal. Cepat-cepat dia mengajak dua orang rakannya berundur sahaja.

Dalam saat demikian mereka tidak boleh berundur, selagi lembaga hitam itu terkangkang di jalan. mereka akan diapit dengan kakinya jika bergerak ke mana pun. Sudah tentu geruh menimpa mereka bertiga kalau gagahi juga mahu melepaskan diri.

"Hah, nampaknya kau nak cari geruh aku!" gerutu Dukun Tahak dengan tidak berlengah lagi terus menerpa ke kaki lembaga berkenaan. "Belum tahu geruh siapa lagi malam ni!" laung Dukun Tahak membentak memaut betis Iernbaga itu. Marah benar dia apabila dihadang jalannya tatkala melalui Bukit Merah.

Memang dia sudah diingatkan oleh datuknya Aki Bidin mengenai Bukit Merah itu memang jalan laluan hantu tinggi. Kalau mahu melintas di situ mesti jauhkan supaya tidak waktu dua belas tengah malam. Tatkala itulah hantu tinggi melalui jalan berkenaan.

Siapa melintas di situ tatkala waktu dua belas tengah malam memang tidak dapat dielakkan daripada geruh. Bimbang benar Aki Bidin kalau cucunya berjalan sampai tengah malam baru balik ke rumah. Tetapi anak-anak muda bukan boleh ditegah kalau mereka mahu meranduk tengah malam ke mana-mana pun.

"Jangan bimbang lebai," Dukun Tahak mengingatkan kawan-kawannya dalam suara yang sayup-sayup jauh di udara.

Ketika ini ayah saya melihat lembaga hitam itu menghayunkan kakinya hingga melepasi puncak-puncak bukit mahu melontarkan Dukun Tahak yang berpaut kuat di betisnya. Puas dihayun oleh lembaga hitam yang tinggi itu, Dukun Tahak tetap tidak terlepas daripada berpaut di betisnya bagaikan asap hitam berkabus.

Tiga kali dihayunnya hingga melepasi puncak-puncak bukit, lembaga hitam itu mengalah juga apabila Dukun Tahak berpaut kuat di betisnya. Terdengar di udara lembaga hitam itu mendehem tiga kali seolah-olah bunyi guruh yang bergema.

"Menanglah awak Tahak!" memang terdengar suara itu sayup-sayup di udara pada ayah saya dan Lebai Rawi.

"Aku bukan nak cari musuh!" bentak Dukun Tahak mendongak ke udara dengan tidak melepaskan pautannya. "Tapi, awak yang sengaja nak cari geruh kami," ujarnya meluahkan rasa marah yang mendongkol.

"Kalau macam tu eloklah kita bersahabat," bergetar suara lembaga hitam yang tinggi hingga kepala cecah ke awan itu. "Awak cabutlah bulu betis kami, tanda kita bersahabat," tegas lembaga hitam itu menggerak-gerakkan kakinya memberi isyarat supaya Dukun Tahak mencabut bulu betisnya.

Selepas dicabutnya bulu betis lembaga hitam itu, tidak bertangguh Dukun Tahak melompat turun mendapatkan kawan-kawannya. Dia tunjukkan kepada ayah saya dan Lebai Rawi bulu betis lembaga hitam itu seakan-akan ijuk enau yang keras memanjang.

Menggeleng lemah Aki Bidin apabila diberitahu mengenai pengalaman yang dilalui oleh cucunya di Bukit Merah, Kalaulah Dukun Tahak sentiasa beringat sudah tentu dia tidak dihadang oleh lembaga berkenaan. Memang sengaja mereka bertiga mencari geruh kerana melintasi Bukit Merah tatkala tengah malam jam dua belas.

"Memang hantu tinggi yang hadang jalan kamu!" keluh Aki Bidin kerana cucunya terselamat. Jarang siapa pun mangsa terselamat sekiranya sudah terjebak demikian. Bila-bila Dukun Tahak boleh terpelanting jauh apabila kaki sudah dihayun kuat.

Saat ini barulah Dukun Tahak merasa gementar setelah diberitahu mengenai hantu tinggi yang mengancamnya. Kalau dia tahu hantu tinggi yang memintasnya memang Dukun Tahak tidak akan menerpa menangkap betis lembaga berkenaan.

Terasa gerun dia apabila kenangkan seperti berpaut pada pokok yang terhumban di udara semasa kaki lembaga itu dihayun kuat. Dia sendiri melihat ke bawah memang nampak rumah-rumah bagaikan kotak mancis berbalam-balam. Semakin kuat dihayun, Dukun Tahak nampak laut yang membiru di bawahnya.

Disebabkan hatinya marah sangat dihadang jalan, dia tidak peduli apa-apa lagi geruh yang menimpanya. Dia terus berpaut kuat di celah-celah bulu betis lembaga hitam itu laksana terperosok di celah ijuk enau. Terkial-kial dia berpaut supaya tidak terlepas genggaman.

"Hah, bernasib baik kamu, Tahak," berulang kali Aki Bidin mengeluh panjang apabila kenangkan cucunya terselamat setelah termasuk perangkap hantu tinggi yang dibimbangkannya selama ini.

Dukun Tahak tidak peduli sangat mengenai bulu betis lembaga hitam yang diterimanya itu. Dia serahkan sahaja pada datuknya biar Aki Bidin asapkan dengan kemenyan setiap petang Jumaat. Kalau Aki Bidin mahu menyimpan terus pun, Dukun Tahak tidak akan membantah apa-apa.

Tetapi semasa mereka bertiga mengambil upah menebang pokok besar di pinggir pekan kecil, pucat juga muka ayah saya apabila pokok yang ditebang tersembam ke bawah tubir sebelum sempat Dukun Tahak mengelak. Kadangkala hairan juga ayah saya, mudah sangat kawannya itu menerima tawaran penghulu mukim buat kerja pejabat daerah.

Sudah berkali-kali Pegawai daerah orang putih meminta penghulu mukim carikan kontraktor menebang pokok besar berkenaan. Tetapi siapa pun tidak berani mahu mencuba setelah beberapa kali ditawarkan tender.

Asal sahaja dapat tawaran penghulu mukim, memang Dukun Tahak akan mengajak ayah saya dan Lebai Rawi. Mereka berdua serba salah mahu menolak disebabkan sudah lama berkawan dengan Dukun Tahak. Biarlah kerjanya bahaya sangat, mereka bertiga sanggup sama-sama menempuhnya.

Sebab itulah mereka bersetuju membantu Dukun Tahak menebang pokok besar berkenaan. Biarlah orang lain takutkan puaka yang menjadi penunggu pokok itu sampaikan tidak berani menerima tawaran tender, namun mereka bertiga tidak bimbang apa-apa.

"Kalau semua takut nak buat, nanti kita mati tak makan," Dukun Tahak ingatkan apabila kawan-kawannya merungut mengenai kerja bahaya yang mereka mahu lakukan.

Pokok besar yang tersergam di tubir bukit itu bukan takat lima enam pemeluk, tetapi tinggi menjulang macam meranti di tengah hutan. Bukan mudah mahu tumbangkan kalau takat tenaga mereka bertiga sahaja. Tetapi Dukun Tahak memberi jaminan dua orang rakannya itu sekadar membantu sahaja.

Memang ayah saya dan Lebai Rawi tidak tergamak sekadar membantu sedangkan upahnya dibahagi sama banyak. Belum pernah Dukun Tahak mengambil upah berlebihan apabila mereka sama-sama mengambil upah menerima kontrak daripada penghulu mukim. Persahabatan itulah yang menyebabkan ayah saya dan Lebai Rawi tidak renggang dengan Dukun Tahak.

Mereka bertiga tidak akan berkira sangat kalau fasal pembahagian upah bekerja. Dukun Tahak sendiri tidak peduli sangat sekalipun dia lebih banyak membuat kerja tatkala menebang pokok di tubir bukit itu.

"Dukun, cepat lari pokok dah nak tumbang," jerit Lebai Rawi dari atas tebing apabila menyedari kawannya masih lagi di bawah tubir menarik tali yang diikatkan ke perdu pokok.

Tetapi Dukun Tahak tidak mendengar langsung laungan kawannya itu. Dia terus terbongkok-bongkok membetulkan ikatan tali, biar pokok yang ditebang tersembam ke bawah bukit. Ayah saya yang mengapak perdu pokok juga segera berundur supaya sekahnya tidak menerjah ke belakang.

Memang tidak sempat mereka selamatkan Dukun Tahak apabila pokok besar tumbang ke arahnya. Beberapa orang yang ikut sama menyaksikan mereka bertiga menebang pokok besar juga terjerit ketakutan sebaik sahaja melihat pokok menimpa Dukun Tahak di bawah tubir.

Cepat-cepat penghulu mukim meminta orang ramai membantu memotong dahan-dahan kayu untuk mengeluarkan tubuh Dukun Tahak yang terhimpit di bawah pokok tumbang. Belum pun sempat orang ramai datang membantu, Dukun Tahak sudah merangkak keluar dari bawah timbunan dahan-dahan pokok tumbang itu. Hanya siku dan betisnya sahaja melecet seperti terguris ranting apabila ditarik keluar oleh Lebai Rawi.

"Ayah angah pun tahu fasal arwah Dukun Tahak ni," tersengih-sengih Lebai Rawi menceritakan mengenai kawannya itu.

Memang saya tidak pernah menemui Dukun Tahak disebabkan dia meninggal dunia sewaktu saya masih kecil. Tetapi saya tahu mengenai persahabatan mereka bertiga bagaikan isi dengan kuku. Sampai ke akhir hayatnya pun Lebai Rawi masih berkawan rapat dengan ayah saya, sekalipun sama-sama sudah tinggal berjauhan di lain kampung.

Setiap kali saya jejak kaki ke rumahnya, Lebai Rawi tetap kenang persahabatan mereka di masa lalu. Dia tidak dapat lupakan masa remajanya sampailah sama-sama berkeluarga.

"Tapi ayah angah tak sama dengan tok aji," jelas Lebai Rawi mengurut-urut misainya yang dijaga rapi.

Apabila dia kenang mengenai jag berisi air yang meletup pecah .di majlis kenduri kahwin anak perempuan Itam Minin, memang dia tahu orang sengaja mahu memberikan, santau ke hujung serambi. Biarlah tetamu yang dijemput menuduh Itam Minin sengaja mahu menganiaya mereka.

Lainlah dengan Tok Aji sekiranya menyedari gelas yang dihulurkan kepadanya berisi santau, bila-bila sahaja akan digugupnya. Tahu sangat Lebai Rawi yang belajar di madrasah Tok Aji mengenai orang tua itu tidak akan memberitahu sesiapa pun mengenai santau di dalam gelas air.

Selepas diteguknya dia akan luruhkan semula apabila sampai di rumah. Memang Lebai Rawi melihat sendiri Tok Aji luruhkan semula melalui muntah minuman yang diteguknya ke perdu rumpun pisang. Sebaik sahaja Tok Aji menyedari gelas air yang dihulurkan kepadanya berisi santau, dia sekadar mendehem sahaja.

Kemudian segera dia mem-bacakan:

Bismillahhil lazi layad-huru ma'asmihi syai-in fil ardha wala fissamaa-i wahuwa sami'ul, 'alim, bismillahhi amana billahhi waman yaumin billahhi la haupu 'alaihi.

Setelah diteguknya, Tok Aji muntahkan segala yang dimakannya di mana-mana. Sewaktu Tok Aji muntahkan air yang diteguknya ke perdu rumpun pisang, hanya tiga hari sahaja Lebai Rawi melihat rumpun pisang itu reput macam dimakan anai-anai.

"Dah tahu racun, kenapa pak aji minum juga?" sengaja Lebai Rawi mahu menguji gurunya. "Kamu jangan nak samakan yang hitam dengan yang putih," lantas sahaja Tok Aji menyindirnya. Memang dia tidak akan memberitahu sesiapa pun apa sahaja yang dilakukannya sekali pun mereka menganggap ganjil sangat.

Selalu juga dia marahi Lebai Rawi kalau kerapkali bertanyakan perkara yang dilakukannya. Memang pelik sangat pada Lebai Rawi kenapa Tok Aji sengaja meneguk air yang dihulurkan kepadanya, setelah dia sendiri tahu memang dimasukkan santau ke dalamnya?

Tetapi Dukun Tahak tidak akan jejak kaki di madrasah menemui Tok Aji kalau diajak oleh dua orang rakannya itu. Dia tetap mengelak sekiranya ayah saya dan Lebai Rawi singgah di madrasah Tok Aji. Sudah beberapa kali dia mengadu terasa sesak nafas sekiranya lama sangat terconggok di tengah madrasah.

Lagi pun sengaja Dukun Tahak tidak mahu berhadapan dengan Tok Aji, sehingga lututnya menjadi sengal-sengal sekiranya memandang muka orang tua itu. Bukan takat Dukun Tahak sahaja yang serba salah sekiranya berdepan dengan Tok Aji, datuknya Aki Bidin juga tidak akan berubat membakar kemenyan sekiranya Tok Aji terconggok sama di tengah rumah.

Sudah berkali-kali dia membakar kemenyan, tetapi pendamping yang diseru tidak juga menjelma. Bukan takat dia menyeru nenek tujuh petala bumi, malah Moyang Cindai yang dikatakannya tinggi ilmu agama juga tidak akan datang mendampingi dirinya.

"Bukan arwah Aki Bidin saja macam tu," Lebai Rawi menerangkan sewaktu saya mengunjunginya tatkala dia balik dari Mekah.

Tersengih-sengih dia beritahu mengenai bomoh kuil Cina yang memanggil topekong, tiba-tiba sahaja tidak jadi bergendang apabila Tok Aji melintas. Kemudian segera dia berkejar mendapatkan Tok Aji memintanya jauh meninggalkan kuil, biar dia dapat terus bergendang.

"Minta maaflah abang aji, tolonglah sama saya," bersungguh-sungguh sangat bomoh kuil itu merayu menyebabkan Tok Aji tercengang-cengang tidak tahu punca.

Beberapa hari selepas itu baru dia diberitahu oleh kawan-kawan Cina yang selalu menemuinya mengenai bomoh kuil itu nampak lembaga-lembaga yang diserunya semasa bergendang tidak berani mara, apabila ternampak Tok Aji melintas di hadapannya.

"Hah, macam-macam kisah masa lalu," beritahu Lebai Rawi setiap kali kenangkan masa silamnya kerana sudah banyak pengalaman yang dilalui.

Tetapi apabila saya sebut mengenai dia terjun ke tengah lombong sewaktu diburu tentera Jepun, cepat sahaja Lebai Rawi mengelak tidak mahu memberitahu apa-apa. Orang-orang kampung tahu sangat kejadian Lebai Rawi diburu tentera Jepun menyebabkan dia terjun ke dalam lombong.

Seminggu tentera Jepun mengepung kawasan lombong itu, tetapi Lebai Rawi tidak juga terjongol kepala. Semua belukar teberau yang menyerungkup tebing lombong juga ditetak, namun tentera Jepun tidak menemui Lebai Rawi di mana-mana.

Memang tentera Jepun juga percaya Lebai Rawi mati lemas kalau sudah seminggu tidak timbul di permukaan air. Selepas seminggu pun mereka tidak puas hati selagi Lebai Rawi tidak dapat ditawan. Mereka datang juga berulang menjengah ke tengah lombong mahu mempastikan mayat Lebai Rawi terapung ke permukaan air.

Dalam tempoh beberapa hari sahaja orang-orang kampung nampak bayangan buaya di permukaan air. Semenjak itu tentera Jepun menuduh Lebai Rawi sudah menjadi mangsa buaya. Sebab itu mereka tidak pedulikan lagi mengenai Lebai Rawi terjun ke lombong, sekalipun pegawai-pegawainya mendesak supaya buaya itu diperangkap.

Orang-orang Melayu ingatkan tentera Jepun buaya yang terapung di permukaan air lombong memang jelmaan Lebai Rawi. Kalaulah tentera Jepun percaya dengan pujukan orang-orang Melayu supaya menangkap buaya di dalam lombong, sudah tentu mereka akan berusaha memasang perangkap.

Tetapi tentera Jepun tidak percaya apa-apa. Masakan Lebai Rawi boleh menjelma menjadi buaya di tengah lombong hingga terjongol di permukaan air. Mereka percaya Lebai Rawi sendiri sudah menjadi mangsa buaya berkenaan apabila terjun ke lombong setelah diburu oleh tentera-tentera Jepun.

"Awak sembunyi di mana?" desak ayah saya setelah Lebai Rawi datang bersembunyi di rumah.

"Ada di celah-celah akar teberau di tepi tebing," jelas Lebai Rawi setelah merasakan dirinya selamat diburu oleh tentera Jepun lagi. "Nasib baik awak tak dibaham buaya," ayah saya mengusik sambil tersengih-sengih mengerlingnya.

"Masa orang kampung gempar buaya dalam lombong, awak di mana?" emak saya pula mendesaknya.

"Bersembunyilah celah akar teberau tu," ujar Lebai Rawi sengaja berdalih.

"Nasib baik Jepun tak tembak buaya tu," lantas ayah saya menepuk-nepuk bahu kawannya itu.

Lebai Rawi menggeleng lemah. Masakan dia boleh sembunyikan daripada ayah saya mengenai rahsia dirinya. Sama juga macam Dukun Tahak yang menyimpan bulu betis lembaga hitam tinggi yang terserempak dengan mereka di Bukit Merah. Sampai bila pun Dukun Tahak tidak dapat berdalih kerana mereka berdua menyaksikan sendiri kejadian yang menimpa rakannya berpaut ke betis lembaga berkenaan.

Tentu rahsianya juga memang diketahui oleh ayah saya. Sewaktu orang-orang kampung gempar apabila kepala buaya terjongol di tengah lombong, memang emak saya juga keberah-berahan berdiri di tebing lombong. Bimbang juga dia sekiranya buaya berkenaan mengerkah Lebai Rawi yang terjun ke lombong sebaik sahaja diburu oleh tentera Jepun.

Tetapi ayah saya tidak bimbang apa-apa sekiranya buaya berkenaan mengerkah Lebai Rawi. Dia merasa kecut perut sekiranya tentera Jepun menembak buaya berkenaan sebaik sahaja terjongol di permukaan air. Manalah tahu tentera Jepun lebih bimbangkan buaya di tengah lombong daripada Lebai Rawi, sehingga terpaksa melepaskan tembakan berdas-das.

Dalam hatinya ayah saya sentiasa sahaja berdoa:

Qul bifadlillahhi wabirahmatihi fabizalika falyaprahu huwa khairummimma yajma'una.

Ketika itu tentera-tentera Jepun yang memburu Lebai Rawi lebih bergembira kerana yakin musuhnya sudah dikerkah buaya. Kalau musuhnya mati lemas tentulah sekiranya tidak terapung ke permukaan air. Sebab itu mereka yakin memang Lebai Rawi sudah dikerkah buaya yang terjongol beberapa kali di permukaan air lombong yang hitam berolak.

"Kalau mereka tembak buaya tu, tak bimbang sangat kita," emak saya macam terkilan apa-bila ayah saya gembira sangat tentera-tentera Jepun tidak melepaskan tembakan membedek buaya terjongol kepala. "Macam mana kalau buaya tu naik merangkak ke tengah kampung ni?" tegas emak saya kesal disebabkan Jepun tidak menerima rayuan orang-orang kampung supaya menembak buaya berkenaan.

Tetapi selepas kejadian tentera Jepun tidak dapat memburu Lebai Rawi itu, siapa pun tidak melihat lagi buaya terjongol di tengah lombong. Setiap kali orang-orang kampung mengendap di tepi tebing mahu pastikan buaya itu menjelma lagi, tidak siapa pun melihat kelibatnya lagi.

Hanya Lebai Rawi terpaksa bersembunyi di dusun ayah saya supaya tidak melihatnya di tengah kampung. Bimbang juga ayah saya sekiranya masih ada orang yang sengaja aniaya membuat laporan kepada tentera Jepun biar Lebai Rawi dapat ditawan.

Tetapi Lebai Rawi tidak akan beritahu sesiapa pun mengenai buaya yang terapung di dalam lombong sewaktu dia terjun ke situ. Kalau ayah saya mengusiknya dia sekadar tersengih-sengih sahaja. Memang dia tidak dapat berahsia dengan ayah saya kerana boleh menyelam di tengah air sampai berjam-jam.

Apabila memasang jaring di tengah sungai, Lebai Rawi sendiri masuk ke tengah air. Biarlah ayah saya dengan Dukun Tahak menunggu di tebing sahaja. Kadangkala jenuh juga mereka berdua menunggu di tebing, namun Lebai Rawi tidak juga terjongol.

"Orang dulu-dulu yang banyak kepandaian tu," Lebai Rawi tetap berdalih sekiranya saya terus mendesak mengenai kejadian dia terjun ke lombong sewaktu diburu tentera Jepun. "Kita sekarang ni tak mahu lagi amal-amal macam tu," tersengih-sengih dia mengerling saya.

"Kalau Pak Wi tunjukkan, apa salahnya saya amalkan," sengaja saya mengusik dia menyebabkan Lebai Rawi terkekeh-kekeh ketawa.

"Nak tunjuk macam mana?" lantas Lebai Rawi mencebek bibir. "Patutnya angah yang tunjukkan Pak Wi," dia memanjangkan leher apabila orang memberi salam di tengah halaman. Cepat-cepat pula dia menyahut lantas menyuruh tetamu naik ke rumah.

Rupa-rupaya Utih Resat datang bersama cucunya patah paha akibat jatuh motosikal. Terkial-kial pula dia bersama anaknya memapah Manan naik ke rumah.

"Hah, patah kenapa tak bawa ke hospital?" ujar Lebai Rawi macam mahu mengelak.

"Eloklah tengokkan pada lebai dulu," sahut Utih Resat tersengih-sengih sekalipun terbayang kegelisahan di wajah-nya.

"Macam mana boleh patah ni?" gerutu Lebai Rawi memegang ibu jari kaki Manan, tetapi anak muda itu berkerut dahi menahan kesakitan.

"Jatuh motosikal," beritahu Manan terkinjal-kinjal akibat sakit berdenyut-denyut sekalipun ibu jari kakinya sahaja dipegang oleh Lebai Rawi.

Sengaja datuknya Utih Resat yang berkeras mahu menemui Lebai Rawi, kerana tidak mahu Manan disimen kaki. Lagi pun Manan tidak terkejang pengsan macam kawannya Badar yang sama-sama jatuh terhumban ke atas aspal.

Manan sekadar membonceng di belakang Badar sahaja semasa motosikal merempuh rusuk bas. Memang kawannya cedera teruk disebabkan terhumban ke seberang jalan sampai tidak sedarkan diri. Dia hanya terhimpit paha sahaja di bawah motosikal menyebabkan tulangnya patah.

Sebaik sahaja diberitahu kepada Utih Resat, cepat-cepat dia mendesak anaknya Suman Tepek jangan biarkan Manan terlantar di hospital. Manan mesti dibawa berubat dengan Lebai Rawi, sekalipun cucunya bimbang tidak dapat membuat tuntutan insuran.

"Biar tak dapat duit insuran," rungut Utih Resat tidak menyenangi keputusan cucunya mahu dirawat di hospital. "Aku mahu Lebai Rawi tengokkan juga,:" ujarnya masih membebel ketika sampai di rumah Lebai Rawi pun.

"Awak tak menyesal kalau apa-apa terjadi pada cucu awak ni?" lantas Lebai Rawi menatap mukanya. "Takkan awak nak sia-siakan cucu aku!" tersengih-sengih Utih Resat dalam kegelisahan dengan keadaan Manan.

Memang dia tahu Lebai Rawi sekadar bergurau. Dia sendiri pernah mengalami patah tulang bahu akibat dihentak buntut senapang semasa menembak musang di atas pokok kelapa. Tiba-tiba sahaja buntut senapang menghentak kuat ke bahu sebaik sahaja tembakan dilepaskan.

Dia sendiri tidak tahu apa-apa lagi mengenai musang yang ditembak setelah jatuh tidak bertampan. Tangannya terkulai tidak boleh menggenggam apa-apa. Lebai Rawi sendiri menyuruh jiran-jiran papah Utih Resat naik ke rumah.

Tidak sampai setengah jam diusap oleh Lebai Rawi tangannya, Utih Resat terasa tulang bahunya seperti direntap-rentap. Terpaksa dia menahan sakit hingga terkencing di dalam kain, sekalipun Lebai Rawi hanya memegang hujung jarinya sahaja.

Tahu sangat Utih Resat fasal kemampuan Lebai Rawi boleh ubatkan patah tulang dengan cara yang diamalkannya. Lainlah kalau tidak ada tempat lagi boleh diharapkan, memang dia terpaksa juga hantar cucunya ke hospital. Setidak-tidaknya Manan boleh juga temankan Badar yang terkejang tidak sedarkan diri.

"Agaknya tulang paha terkeluar ni,” beritahu Lebai Rawi setelah memegang hujung jari kaki Manan. Dia percaya tulang di pangkal paha itu tercabut setelah dapat dirasakan melalui sentuhan di ibu jari kaki sahaja.

Saya melihat Lebai Rawi mengusap-usap pangkal pahanya sendiri sambil membacakan:

"Balaqodirina 'ala an nusauwiya bananahu, walau anna Quranan suiyirat bihiljibalu au qutti'at bihilardh au kullima bihilmauta bal-lillahhil amru jami'an, ya syafi ya qafi ya muafi."

Apabila dia menampar kuat ke pangkal pahanya, tiba-tiba saja Manan terjerit berguling ke lantai. Lima minit dia terkinjal-kinjal kesakitan hingga berpeluh seluruh badan, barulah dia tersenyum memerhati Lebai Rawi.

"Hah, kenapa kamu?" usik Lebai Rawi macam mengejeknya. "Aku bukan tepuk paha kamu, aku tepuk paha aku sendiri." ujarnya tersengih-sengih mengerling anak muda itu.

"Sakitnya paha saya masa Aki Lebai buat tu," sahut Manan masih mengusap-usap pahanya sekalipun kesakitannya sudah tidak berapa.

"Kalau kamu kena dengan ustaz ni, dia pandang aje kamu dah sakit,” sengaja Lebai Rawi bergurau sambil mencuit bahu saya. Kemudian dia suruh ambilkan kayu diikatkan ke paha dengan kain bandage.

Memang saya tahu Manan sembuh selepas sebulan lebih berubat dengan Lebai Rawi, tetapi kawannya Badar terpaksa terlantar di hospital sampai tiga bulan. Badar sendiri memang tidak mahu berubat di kampung, kerana bertekad mahukan tuntutan insuran. Dia tidak akan dapat membuat tuntutan insuran sekiranya tidak dirawat di hospital.

Mungkin disebabkan cederanya teruk, Manan beritahu mengenai Badar yang terpaksa dimasukkan besi ke pangkal pahanya. Kakinya juga mengecut hingga menjadi pendek sampai sejengkal. Ketika Badar dibawa oleh Manan menemui Lebai Rawi, dia jalan terdengkot-dengkot akibatnya kakinya pendek sebelah.

"Dia dapat insuran lebih tujuh puluh ribu," ujar Manan bangga disebabkan kawannya itu dapat wang insuran.

"Elok-elok dapat duit tu jangan naik motosikal laju-laju lagi," sengaja Lebai Rawi ingatkan dia biar insaf dengan kejadian yang menimpa anak muda itu.

Memang saya sendiri terserempak dengan Badar semasa berkunjung ke rumah Lebai Rawi. Tetapi Badar tidak kesal dengan malang yang menimpa dirinya itu sekalipun jalannya terdengkot-dengkot akibat kaki pendek sebelah. "Sudah suratan takdir saya macam ni, ustaz," jelas Badar merendah menunjukkan ke.san cedera yang dialaminya akibat jatuh motosikal itu. Saya tahu memang Badar tidak kesal apa-apa menerima ketentuan Allah demikian.


SELESAI