Sunday, April 19, 2015

120. MAYAT BANGKIT DARI KUBUR


     BANYAK sangat perkara yang di luar pengetahuan kadangkala dirasakan terlalu aneh hingga sukar mahu dipercayai oleh sesiapa pun.  Tetapi Tokji Jamadi sekadar mengangguk-angguk kepala sahaja apabila diberitahu oleh Hajah Kinah mengenai jirannya Mahaton.  Memang Mahaton juga tahu mengenai rumpun serai yang ditanam suaminya di belakang rumah, namun dia tidak mengesyaki apa-apa.
Mahaton sendiri tunjukkan kepada Hajah Kinah batu berlian bergugus-gugus yang diambil dari perdu rumpun serai.  Dia sendiri sanggup membeli batu berwarna biru dari Mahaton sekalipun dengan harga RM200 sebutir,  Mat Sunoh benarkan isterinya jualkan batu-batu berkenaan setelah ayah mentuanya Imam Barkat tidak menghalang apa-apa.
Tatkala Hajah Kinah tunjukkan cincinnya batu biru diikat emas Amerika itu kepada Tokji Jamadi, orang tua tersebut membelek-beleknya.  Hajah Kinah mengakui batu berkenaan dibeli daripada Mahaton setelah dia berkenan sangat mahu memilikinya.  Apalah salahnya dia membeli sebutir batu itu RM200  semata-mata dijadikan pernghias cincin.
Tidak terlintas pun di hatinya mahu dijadikan batu hikmat, sekalipun Mahaton beritahu batu biru berkilauan itu ditemui di perdu rumpun serai suaminya.  Batu berkenaan berangkai-rangkai seperti buah anggur segugus dengan bermacam-macam warna. Mat Sunoh letakkan dalam beg yang dibungkus dengan kapas disebabkan batu-batu tersebut hanya sebesar butir pasir sahaja.
Setelah berbulan-bulan di simpan barulah batu-batu berkenaan membesar laksana telur dieram.  Setelah membesar hingga sebesar ibu jari tangan, batu-batu tersebut tidak akan membesar lagi. Ketika inilah Mahaton jualkan kepada sesiapa sahaja yang ingin memilikinya.
Hajah Kinah membeli batu tersebut sekadar berkenan untuk dijadikan batu cincin.  Kilauanya tetap memancar sama dengan batu berlian yang dibeli dikedai emas.  Sebab itu Hajah Kinah sanggup membelinya sampai RM200 harga sebutir.  Tatkala ditunjukkan pada Haji Musir suaminya mendengus kerana tidak percaya perdu rumpun serai boleh mengeluarkan batu berwarna-warni.
Disebabkan Haji Musir tidak percaya, dia sendiri bawa ke kedai emas diikat dengan emas untuk dijadikan cincin.  Setelah disarung ke jari pun, suaminya tidak berminat mahu membelek-belek.  Tatkala Hajah Kinah hulurkan cincin tersebut kepada Tokji Jamadi, memang Haji Musir sekadar mengerling sahaja.
“Cincin ni batu apa?”  Tokji Jamadi membelek-belek batu cincin berwarna biru itu.
“Batu yang keluar daripada rumpun serai Mat Sunoh,”  beritahu Hajah Kinah berterus terang.
“Ada hikmat batu tu agaknya!”  segera Haji Musir mencelah dalam nada menyindir isterinya kerana bersungguh-sungguh sangat mahu membeli batu berkenaan sekalipun harganya sampai RM200 sebutir.
“Manalah ada hikmatnya, saya beli nak buat batu cincin,”  jelas Hajah Kinah tersinggung juga dengan sikap suaminya yang ungkit-ungkit fasal dia membeli batu susuk tersebut.
“Batu ini pun makhluk Allah juga,” ujar Tokji Jamadi lantas meletakkan batu cincin berkenaan di tepi tingkap hingga disilau cahaya matahari yang menerjah ke situ.
Tatkala batu berkenaan disilau cahaya matahari, Haji Musir melihat di atas batu berkenaan jalur putih macam bintang pecah enam.  Ketika ini Hajah Kinah juga terkebil-kebil mata kerana baru menyedari batu cincin tersebut berjalur putih macam bintang pecah enam tatkala terkena silau cahaya matahari.
Manalah dia tahu mahu membelek-belek demikian.  Sebaik sahaja dibeli daripada Mahaton dia sekadar jadikan batu cincin sahaja.  Tidak pernah pun Hajah Kinah suakan pada silau cahaya matahari.  Sebab itu dia memang tidak tahu mengenai jalur putih di atas batu tersebut apabila terkena silau cahaya matahari demikian.
Kemudian Tokji Jamadi meminta dia mengambil air segelas.  Setelah dihulurkan oleh isteri Tokji Jamadi air berkenaan, lantas Tokji Jamadi menyuruh Hajah Kinah masukkan batu cincin berkenaan ke dalam gelas.  Sebaik sahaja batu cincin cecah ke dasar gelas,bertambah hairan Hajah Kinah apabila melihat air di dalam gelas bertukar menjadi biru seolah-olah dibancuh dengan nila.
Cepat-cepat dia menyeluk batu cincin tersebut mahu memastikan sama ada air di dalam gelas sudah bertukar menjadi biru.  Apabila dia mengangkat batu berkenaan, air tersebut kembali warnanya seperti sediakala.  Hanya disebabkan batu cincin itu sahaja warna air berkenaan biru laksana dibancuh nila.
“Batu delima biru agaknya,”  tutur haji Musir setelah melihat sendiri keanehan batu cincin isterinya.
Tokji Jamadi tidak menjelaskan apa-apa. Setelah cincin tersebut disarung semula ke jari Hajah Kinah dia sekadar berbisik menyuruh Haji Musir menemui saya.  Tatkala Haji Musir datang jejak kaki ke rumah saya, dia tidak mengajak isterinya Hajah Kinah.  Disebabkan dia datang bersama isteri keduanya Hajah Natisah, memang dia tidak tunjukkan mengenai batu cincin tersebut kepada saya.
Dia sekadar beritahu saya mengenai cincin Hajah Kinah yang diikat batu biru ditemui di perdu rumpun serai.  Sebab itu Hajah Natisah syak batu berkenaan yang menjadi punca barang-barang kemasnya hilang dalam persimpanan.  Tentu batu yang menjelma dari susuk berlian di perdu serai akan musnahkan segala barang-barang kemas milik Haji Musir.
Tetapi Haji Musir tidak percaya batu biru isterinya Hajah Kinah yang menjadi punca, kalau batu berkenaan mahu musnahkan barang-barang kemas, kenapa semua barang kemas kepunyaan Hajah Kinah tidak diusik langsung.  Masakan batu berkenaan sekadar musnahkan barang-bnarang kemas milik Hajah Natisah biar dua orang wanita itu saling tuduh menuduh.
“Kalau susuk berlian tu tak beri manfaat, buat apa dipakai?”  sengaja saya ingatkan Haji Musir demikian.
“Susuk berlian tu milik Mat Sunoh,” beritahu Haji Musir tersenyum apabila dituduh demikain. “Hajah Kinah hanya beli batu jelmaan susuk berlian tu aje!”  ujarnya serba salah juga dengan gangguan yang berterusan menimpa rumahtangganya bersama Hajah Natisah.
Manalah tahu Hajah Natisah percaya sangat batu susuk yang dipakai oleh Hajah Kinah musnahkan semua barang-barang kemasnya.  Tentu mereka berdua akan bermasam muka sekirannya terserempak di mana-mana.  Semenjak beberapa tahun mereka bermadu, tidak pernah pun bermasam muka apabila bertemu muka.
Sebab itu bimbang benar Haji Musir kalau kedua-dua isterinya bermasam muka sampai bercekak tidak segan silu apa-apa.  Perkara hati terguris bukan mudah mahu ditenangkan, selagi masing-masing tidak perpuas hati.  Hajah Natisah sudah mula mengesyaki batu cincin Hajah Kimah yang dibeli dari Mahaton itu menjadi punca.  Tentu Hajah Kimah tersinggung sekiranya diungkit di depan dia.
“Sebaik-baiknya awak yang berubat, Haji Musir,”  tutur saya mencebek bibir lantas menatap muka Haji Musir.
“Saya tak sakit apa-apa ustaz,”  jelas Haji Musir tersengih—sengih kerana hairan apabila dituduh dia berhadapan dengan masalah sakit.
“Sakit apa pula abang Aji ni, ustaz?”  lantas Hajah Natisah mendesak setelah diberitahu mengenai suaminya tengah sakit.
Masakan Haji Musir sakit disebabkan suaminya masih gagah terconggok.  Tidak pernah pula Haji Musir mengerang-erang hingga diusung masuk ke wad hospital.  Sekiranya Haji Musir mengidap sakit kepala, dia sekadar meminta rawatan di klinik sahaja.  Setelah diberi ubat darah tinggi nescaya Haji Musir akan pulih serta-merta.
Lagi pun tidak ada kena mengena sakit darah tinggi Haji Musir dengan barang-barang kemasnya yang hilang.  Sebab itu Hajah Natisah macam tidak percaya apabila suaminya mahu diubati, tatkala mereka berdua beritahu mengenai gangguan barang-barang kemasnya hilang.
Kalau tidak pencuri membolos masuk, sudah tentu toyol merceroboh.  Bila-bila toyol  boleh mencelus masuk asal sahaja elus angin boleh membolosi lubang sebesar jarum sekali pun.  Satu-satunya yang boleh larikan berang-barang kemas dalam persimpanan memang toyol yang diperintahkan oleh tuannya.
Apabila saya tanyakan kepada Haji Musir mengenai Wak Daing dia terkejut,disebabkan saya jelaskan kepadanya seolah-olah kenal sangat saya dengan arwah ayah angkatnya itu.  Tersengih-sengih Haji Musir tatkala saya ungkit mengenai susuk berlian yang di tusukkan Wak Daing ke dahi di antara dua matanya.
Perlahan-lahan Haji Musir mengangguk apabila menyedari saya seolah-olah melihat sendiri Wak Daing tusukkan jarum susuk berlian itu.  Kemudian Wak Daing tusuk lagi dua jarum emas di pipi kiri dan kanan, dua lagi di belakang telinga dan satu di bawah bibir.
“Jadi lima susuk emas, satu susuk berlian?”  tercengang Hajah Natisah apabila suaminya mengakui dengan tidak dapat berdalih apa-apa.
“Dengan ustaz ni kena berterus terang,”  ujar Kadir Misai sebaik sahaja masuk ke rumah setelah diberitahu mengenai susuk yang dipakai Haji Musir.  Kebetulan pula dia mengunjungi saya tatkala Haji Musir bersama isterinya terconggok di tengah rumah. “Nak sembunyi pun, ustaz ni akan tahu juga!”  dia menambah dengan tersengih-sengih mengerling Haji Musir.
“Saya hanya ikut aje kemahuan Wak Daing,”  Haji Musir menuturkan perlahan apabila kenang ayah angkatnya mendesak dia supaya ditusukkan jarum sebesar hujung lidi.
“Tapi, masa muda-muda memang begitu,”  sahut Kadir Misai ketawa kecil kerana tahu sangat dia keghairahan di masa silam.  Apa sangat Haji Musir yang tusukkan susuk berlian kalau bandingkan dengan dirinya sanggup menggali kubur anak gadis sunti semata-mata mahu dapatkan minyak dagu.
Tentu Haji Musir tidak sanggup merangkak tengah malam yang diselaputi kegelapan, tatkala menyusur belukar kubur.  Dia sudah tentukan gadis sunti mati di dalam kampung supaya mudah menggalinya.  Mayat gadis sunti yang baru dikebumikan diheret naik ke tebing.  Dia akan layur dagu mayat berkenaan sampai airnya menitik ke dalam tempurung yang ditadahkan.
Setelah air dagu mayat cukup ditadah,  Kadir Misai tanamkan semula baik-baik sampai kubur tidak berbekas digali orang.  Air dagu mayat gadis sunti itu akan ditapakan hingga 44 malam di atas busut jantan, dengan dititikkan darah ibu jari tangannya setitis.  Tahu sangat Kadir Misai asal siapa sahaja gadis sunti disapukan minyak tersebut nescaya mereka akan menyerah tidak bertangguh.
Tetapi kejadian tatkala dia lama menetap di Siam mahu diluputkan sahaja dari jiwanya.  Semenjak dia balik ke kampung halaman di Lancang, memang ayahnya Pawang Munap sudah membentak marah.  Dia tidak dapat berbohong daripada ayahnya fasal minyak dagu anak gadis sunti yang digunakannya.
Marah sangat Pawang Munap dengan sikap anaknya Kadir Misai yang lama merantau, tetapi balik ke kampung halaman sekadar membawa air dagu mayat gadis sunti!  Jangan cuba anaknya Kadir Misai berdalih kerana Pawang Munap tahu setiap malam bulan mengambang penuh nescaya tangisan halus kedengaran mendayu-dayu dari botol berkenaan.
Selagi kadir Misai tidak titikkan setitis darah ibu jari tangannya tentu tangisan itu berterusan berturut-turut malam.  Ke mana Kadir Misai mahu sembunyikan botol minyak dagu berkenaan sekirannya berturut-turut malam merintih mendayu-dayu.
“Aku cekik leher klami kadir, kalau kamu tak buangkan!”  bentak Pawng Munap marah sangat dengan sikap anaknya amalkan amalan demikian.
Serba salah juga Kadir Misai mahu bertahan apabila ayahnya berkeras mendesak buangkan sahaja minyak dagu berkenaan.  Perkara buangkan minyak dagu tidak sama dengan menguis sampah di tepi longkang.  Bila-bila sahaja sampah boleh dikuis tidak bertangguh,  tetapi minyak dagu berkenaan mesti pulangkan semula ke kubur gadis sunti berkenaan.
Dia terpaksa menggali kubur tatkala malam diselaputi kegelapan mengheret semula mayat naik ke tebing.  Tentu mayat berkenaan sudah reput menjadi rangka tulang belulang.  Sama ada tulang rangka atau tengkorak sahaja yang tinggal,  Kadir Misai terpaksa pulang juga biar semangat yang sudah meresap dalam botol minyak dagu itu balik semula ke kubur berkenaan.
Pawang Munap tidak peduli apa-apa.  Kalau kadir Misai menggali kubur gadis sunti jauh di Siam, dia mesti hantar juga ke sana.  Dia tidak mahu anaknya terpengaruh dengan amalan minyak dagu kalau takat mahu memikat gadis-gadis di dalam kampong.  Apa sangat mustahaknya minyak dagu berkenaan kalau bandingkan dengan gadis-gadis yang hendak dipikat  sekadar anak pingitan?
Dalam keadaan berat sangat hatinya terpaksa juga Kadir Misai mematuhi perintah ayahnya.  Biarlah dia meranduk kegelapan malam di tengah kampung jauh terpencil di pendalaman Siam, semata-mata menggali semula kubur gadis sunti yang lama ditinggalkan.  Dia akan cekak tengkorak gadis sunti itu untuk memulangkan semula semangat yang sudah meresap dalam minyak dagu tersebut.
Sebab itu dia tidak hairan sangat dengan susuk berlian yang ditusukkan ke tubuh Haji Musir.  Tentu Haji Musir tidak mengalami apa-apa ujian elain daripada dipantangkan memakan barang yang bercucuk sama ada sateh, cucur pisang atau buah jambu yang dicucuk lidi apabila dijual di garai-gerai.
Asal sahaja melanggar pantang, tentu kuloit haji Musir akan bertompok-tompok hitam laksana tahi lalat melekap di merata kulit.  Susuk berkenaan sekadar barapkan wajah sentiasa berseri-seri.  Apalagi tatkala matahari naik segalah, tentu wajah jug abercahaya bagaikan batu berlian dikilau memancar-mancar.
Tetapi Haji Musir tidak pernah mengalami dijerkah mayat gadis sunti sebaik sahaja kuburnya dipokah habis.  Kalau tidak cekal hati memang Kadir Misai tidak tertangguh melompat naik sebaik sahaja mayat gadis berkenaan bingkas duduk di sisinya.
Sebaik sahaja mayat gadis itu duduk mahu memeluknya, cepat-cepat kadirn Misai simbah dengan air yang dibekalkan oleh gurunya.  Menjerit mayat gadis berkenaan disimbah air dengan kadir Misai membacakan jampinya.
Hai gamak engkau senggamak, tolak telan lidah engkau kepada aku, kalau jabat pinggang ke atas, kalau tak mahu jabat pinggang ke bawah, aman yang punya kata, hak yang memberi tahu!
Tatkala mayat terketar-ketar dengan dua tangannya mengusap ke kepala, lantas Kadir Misai mengetuk jari telunjuk ke dahi mayat tersebut.  Sekali gus mayat gadis sunti itu rebah semula tidak bergerak.  Ketika inilah Kadir Misai mengheretnya naik ke tebing kubur.  Segera dia memasang api lilin melayur ke bawah dagu mayat tersebut biar minyaknya mengalir ditadah dengan tempurung.
Masakan Haji Musir sanggup bertahan sekiranya mayat di dalam liang lahad bingkas bangun  semasa digali.  Apa lagi sekiranya mayat berkenaan menerkam tidak bertangguh.  Dia percaya Haji Musir tidak sanggup menunggu untuk membacakan jampi mentera yang diturunkan oleh guru.
Tetapi air dagu mayat gadis sunti tidak sama dengan batu susuk yang keluar dari rumpun serai.  Bukan semua rumpun serai boleh keluarkan batu berwarna warni hingga boleh dijual RM200 sebutir.  Kadangkala rumpun serai mengeluarkan bunga juga tidak menjelma batu berwarna warni berkenaan.
Siapa sahaja menanam serai bunga tidak perlu diuji sampai berdepan dengan mayat gadis sunti bangkit dari kubur.  Kadir Misai satu-satunya yang sudah mengalami kejadian demikian.  Tatkala gandis sunti itu bangkit dari kubur Kadir Misai melihat matanya masih tertutup rapat dengan kain kapan diselaput tanah.
Apabila disimbah dengan air jampi yang dibekalkan oleh gurunya Tok Bujam, mayat gadis sunti itu tergamam.  Lantas sahaja mayat berkenaan menjerit kesakitan hingga terketar-ketar takut apakala membuka pelupuk mata menatap muka Kasir Misai.
Tentu Mat Sunoh yang menanam serai dibekalkan oleh ayah mentuanya Imam barkat itu tidak pernah mengalami ujian demikian. Takat serai berkenaan berbau wangi tatkala tengah malam tidak meremang pun bulu roma kalau bandingkan duduk tercangkung dalam kubang kubur dengan mayat terbaring tiba-tiba bangkit.
“Kadir ini banyak pengalamannya,”  ujar saya memberitahu Haji Musir mengenai Kadir Misai yang baru sahaja menjengah datang.
“Pak Kadir percya dengan susuk?”  Haji Musir tersengih-sengih mengerling Kadir Misai yang menguasap-usap lengan sambil memicit-micit perlahan.
“Hah, susuk tak seberapa kalau bandingkan dengan minyak dagu,”  jelas Kadir Misai menyebabkan Haji Musir tercengang kehairanan.
“Minyak dag utu macam mana?”  Haji Musir bnagaikan tidak percaya dengan penjelasan Kadir Misai itu.
“Hah, kerja menganiaya orang,”  kesal benar Kadir Misai apabila kenang dia amalkan minyak dagu semasa lama merantau di Siam.  Tok Bujam yang turunkan kepadanya gunakan minyak dagu sekiranya diberi malu oleh mana-mana perempuan tatkala merantau jauh dari kampung halaman.
Memang Tok Bujam mudah tersinggung kalau gadis yang ditegur mudah sahaja berpaling muka mendengus benci.  Tentu gadis berkenaan menghinanya disebabkan kulitnya hitam sawo matang.  Marah benar dia sekiranya gadis-gadis sengaja memilih lelaki tampan apabila menentukan pasangan.  Sebab itu dia akan asapkan kemenyan botol berisi minyaki dagu sampai bayangan gadis menjelma di depannya.
Sebaik sahaja mulut botol dibuka hingga tercium bau minyak di dalmnya, nescaya gadis yang sombong laku di depannya akan menyerbu datang ke rumah.  Gadis berkenaan akan melutut di depannya tidak mahu  berenggang sejenak pun.  Selagi Tok Bujam tidak memberi pengakuan mahu berkahwin sampai bila pun gadis tersebut tidak akan balik ke rumah.
Cubalah mana-mana gadis pun tunjukkan sombong laku di depan Tok Bujam.  Sebab itu dia desak Kadir Misai amalkan juga minyak dagu biar anak angkatnya itu diperhina gadis-gadis comel terserempak di jalan.  Biarlah gadis-gadis berkenaan mengekori Kadir Misai balik ke rumah setelah minyak dagu diperolehinya.
“Saya pakai susuk hanya nak suka-suka aje!”  lantas Haji Musir mengakui fasal dia tusukkan susuk ke mukanya.
Sewaktu usia muda manalah dia mahu berfikir panjang apabila ayah angkatnya Wak Daing desak tusikkan susuk.  Ramai gadis-gadis muda yang berkunjung ke rumah Wak Daing semata-mata harapkan ditusuk susuk emas ke mukanya. Apalah salahnya dia yang menumpang dirumah Wak Daing ditusukkan sama.
Lagi pun semasa merantau jauh dari kampung halaman ke Singapura., Cuma Wak Daing satu-satunya tempat dia mengadu apa-apa masalah.  Sebab itu Haji Musir tidak membantah apa-apa.  Memang di rumah Wak Daing menhjadi tumpuan sekiranya mereka harapkan ditusuk susuk emas.  Tenbu wajah mereka sentiasa segar laksana emas yang dijadikan perhiasan selagi susuk berkenaan kekal di dalam tubuh.
“Apabila umur kamu lebih lima puluh, susuk ni mesti dibuang,”  beritahu Wak Daing ingatkan sesiapa sahaja meminta bantuannya.
“Kenapa pula begitu, Wak?”  mereka yang dating menemuinya tidak berpuas hati.
“Susuk ni tak berupaya nak lawan umur kita!”  Wak Daing menjelaskan perlahan.
“Oh, nanti wajah kita lagi hodoh?”  gadis yang menemuinya mendesak mahu tahu.
Wak Daing menggeleng lemah.  Memang umur yang sudah tua tidak akan kelihatan muda sekalipun gunakan susuk.  Tetapi Wak Daing serba salah mahu beritahu mengenai emak saudaranya Siti Umin memang gunakan susuk berlian.  Di kampung halamannya memang Siti Umin perempuan yang mudah memikat mana-mana lelaki.
Wajahnya tidaklah cantik sangat, tetapi ramai lelaki terpikat sebaik sahaja menatap Siti Umin.  Apalagi tatrkala Siti Umin menjadi janda selepas kematian suaminya, beberapa orang masuk melamar sebelum cukup 100 hari suaminya meninggal dunia.
Terpaksa pula datuk Wak Daing memberikan pelbagai helah biar lelaki-lelaki berkenaan tidak tersinggung hati.  Ayah Wak Daing sendiri serba salah disebabkan kakaknya menjadi rebutan ramai lelaki sebaik sahaja menjadi janda.
Tetapi ayah Wak Daing tidak dapat sembunyikan kemahiran ayahnya gunakan susuk emas hingga menyebabklan Sisi Umin menjadi rebutan ramai lelaki sebaik sahaja menjadi janda.
Tetapi ayah Wak Daing tidak dapat sembunyikan kemahiran ayahnya gunakan susuk emas hingga menyebabkan Siti Umin menjadi rebutan.  Dalam masa Siti Umin terus dilamar berulang kali oleh mereka yang kecewa menjadikan dia isteri, Wak Daing hanya menyedari tidak lama selepas itu emak saudaranya terkejang menderita batuk darah.
Datuknya tahu mengenai emak saudaranya termakan santau disebabkan mereka yang kecewa ditolak pinangannya.  Lama juga Siti Umin mengalami kesakitan terkena santau, akhirnya dia menutup mata rapt-rapat.  Memang Wak Daing sendiri melihat emak saudaranya meninggal dunia, hingga menyebabkan ayahnya merajuk lantas meninggalkan kampung halaman.
Mereka sekeluarga berpindah ke Singapura, setelah ayah Wak Daing mahu melupakan sahaja amalan susuk yang menimbulkan kesengsaraan kepada kakaknya Siti Umin.  Tetapi datuk Wak Daing tidak salahkan amalan susuk itu menyebabkan dia kehilangan anak.  Manusia yang sengaja ikutkan perasaan menyebabkan semua orang menanggung padah.
Tidak sempat datuknya buangkan susuk yang sudah meresap dalam tubuh emak saudaranya semasa Siti Umin meninggal dunia.  Datuknya sekadar bacakan jampi mentera sahaja biar susuk di dalam tubuh mayat luruh dengan sendiri.  Memang datuknya sendiri yang jiruskan air semasa mayat dimandikan.
Tatkala mayat diusung ke kubur beberapa kali mereka yang mengusung nampak kilauan memancar dari bawah usungan bagaikan kilat menyambar.  Tetapi mereka serba salah mahu memberitahu sesiapa pun mengenai kilauan cahaya yang memancar itu.
Setelah mayat Siti Umin dimasukkan ke liang lahad juga mereka ternampak kilauan cahaya memancar tidak tahu dari mana arahnya.  Sebaik sahaja disuruh timbus, sekaligus mayat berkenaan bingkas bangun.  Tidak bertangguh mereka yang menunggu di dalam kubur berhamburan melompat keluar.  Masing-masing terkejut apabila mayat Siti Umin bingkas duduk lantas melingas ke kiri dan ke kanan.
Kalau tidak disebabkan Kiyai Sobani masih tercegat di tepi lubang kubur, memang mereka yang menghantar mayat habis bercempera lari.  Wak Daing masih kanak-kanak ketika itu sudah meranduk belukar, sekalipun dia tidak tahu kenapa mereka yang menghantar mayat ke kubur bertempiran lari.
Wak Daing sekadar diberitahu mengenai mayat Siti Umin bingkas duduk di tengah liang lahad.  Masakan dia berani menjengah ke dalam kubur setelah orang-orang kampung bercempera lari tidak ketahuan.  Apa lagi kanak-kanak sepertinya tidak akan berfikir panjang sebaik sahaja orang lain merempuh ke mana-mana.
Tetapi Kiyai Sobani tetap bertahan di situ.  Dia tidak bergerak seolah-olah menunggu mayat yang bingkas bangun naik ke tebing.  Mereka yang bercempera lari segera berpatah balik apabila melihat Kiyai Sobani tercegat di tebing lubang kubur.
“Siti Umin bangun dalam kuburnya,”  masing-masing tersipu malu apabila berpatah bali9k mendapatkan Kiyai Sobaniu.
“Jadi, kamu semua takut?”  lantas sahaja Kiyai Sobani mengejek mereka yang termengah-mengah tidak menentu.  “Masa Siti Umin hidup semua mahu mendekati dia, kenapa sekarang lari!”  ujarnya tidak berkedip mata memerhati mayat Siti Umin yang masih lagi duduk di liang lahad.
“Orang hidup tak sama dengan orang mati Pak Kiyai,”  sahut lelaki yang pernah meminang Siti Umin.
“Lebih baik orang mati dari orang tak berhati perut!”  gerutu Kiyai Sobani kecewa disebabkan orang-orang kampung melarikan diri semasa mayat berkenaan bangkit tidak semena-mena.
Masing-masing terdiam apabila Kiyai Sobani menyindir mereka.  Memang mereka sama dengan sesiapa sahaja tidak berhati perut apabila lari ketakutan.  Sepatutnya mayat Siti Umin mesti disempurnakan sebaik-baiknya sekali pun bangkit laksana bernyawa.
Setelah mereka semua dapat ditenteramkan lantas Kiyai Sobani menyuruh sama-sama membaca al-Fatihah.  Kemudian dia menggenggam tanah diramas-ramas sebelum dilimparkan kearah mayat Siti Umin.  Tatkala tanah tertaburan ke kepalanya mayat tersebut mendongak ke atas sekalipun kain kapanya masih tidak terbuka.
Apabila Kiyai Sobani menuding jarinmya, operkahan-lahan mayat Siti Umin menunduk semula.  Ketika ini Kiyai Sobani menyuruh seorang muridnya turun ke lubang kubur merebahkan se4mual mayat Siti umimn dengan duduk di tengah liang lahad.  Sewaktu muridnya melompat turun ke dalam kubur segera Kiyai Sobani membacakan.
Rabbana innana sami’na muna diyai-yuna di-lil-imani an-aminu birah-bikum fa-amanna rabbana faghfirlana zunubana wakaffir ‘anna syaiyi-atina watawaffana ma’al abrar.
Tatkala muridnya hembuskan ubun-ubunb mayat dengan membacakan Fatihah tiga kali perlahan-lahan mayat Siti Umin dapat direbahkan semula.  Kemudian Kiyai Sobani menyuruh muridnya bacakan istighfar 100 kali, dan diusap dari kepala hingga ke hujung kaki.
Terkejut benar muridnya apabila ditunjukkan pada tapak tangannya melekat tiga batang jarum emas halus laksana rambut.  Segera dihulurkan jarum emas berkenaan kepada Kiyai Sobani sebaik sahaja dia melompat naik ke tebing kubur.
“Sekarang kebumikan mayat Siti Umin,”  perintah Kiyai Sobani memberi jaminan kejadian mayat bingkas bangun itu tidak akan berulang lagi.
Tiga batang jarum halus sebesar rambut itu diserahkan oleh Kiyai Sobani kepada datuk Wak Daing.  Kemudian Kiyai Sobani menepuk-nepuk baju datuknya dengan melirik senyum.  Sewaktu balik meninggalkan kubur memang tidak segan-segan datuknya mengakui telah tusukkan susuk emas ke muka arwah emak saudaranya Siti Umin.
Sebab itu Kiyai Sobani ingatkan datuknya mengenai mayat Siti Umin seolah-olah tidak mahu diterima oleh bumi apabila bingkas bangun tidak semena-mena.  Selagi susuk tersebut tidak dikeluarkan dari tubuhnya Siti Umin tidak akan rebah semula supaya mudah dikambus kuburnya.
Malu juga datuknya dengan kejadian yang menimpa Siti Umin.  Tidak lama selepas itu ayah Wak Daing meninggalkan kampung halamannya jauh di kepulauan, terus menetap di Pontian.  Kemahiran menggunakan susuk yang diwarisi dari ayahnya di kepulauan tidak disisihkan.  Dia tetap amalkan juga sekalipun jauh di lipatan hatinya masih tidak dapat menjelma kejadian yang menimpa kakaknya arwah Siti Umin.
Memang Wak Daing juga amalkan susuk yang diwariskan sejak arwah datuknya itu.  Lama dia menetap di Pontian berulah Wak Daing berhijah ke Singapura.  Dia tidak mengelak sekiranya wanita-wanita yang mahu gunakan susuk meminta dia tusukkan ke muka.  Tahu sangat Haji Musir, semenjak dia jadikan Wak Daing ayah angkatnya memang ramai orang menemuinya minta tusukkan susuk.
Di sebabkan Haji Musir sudah mula berniaga, lantas sahaja Wak Daing nasihatkan dia supaya gunakan susuk juga.  Wak Daing sendiri tusukkan susuk berlian pada dahinya biar perniagaannya mencapai kejayaan.  Sebab itu Haji Musir bersetuju ayah angkatnya tusukkan susuk berlian kalau boleh membantu perniagaan.  Dia tidak akan gunakan susuk sekiranya mahu memikat perempuan hingga ramai sekeliling pinggang.
Apa sangat susuk berlian semata-mata mahu melihat perempuan.  Bila-bila perempuan mudah dipikat sekiranya perniagaan dia mencapai kejayaan.  Bukan takat di Singapura sahaja Haji Musir buat perniagaannya, tetapi sampai ke Taiwan sahaja.  Tentu Wak Daing juga gembira dia berniaga hingga ke Taiwan setelah ditusukkan susuk berlian ke dahinya.
Dalam masa berulang alik dari Singapura ke Taiwan inilah Wak Daing meninggal dunia.  Haji Musir sendiri tidak sempat menjengah tatkala ayah angkatnya menutup mata.  Selepas balik dari Taiwan baru dia diberitahu mengenai kematian Wak Daing.
“Wak Daing meninggal semasa saya ke Taiwan, ustaz,”  jelas Haji Musir setelah dia tidak dapat rahsiakan lagi mengenai susuk berlian yang ditusukkan ke dahi di antara dua matanya.  “Jadi, dia tak buangkan susuk saya tu,”  dia tersengih-sengih mengerling isterinya Hajah Natisah.
Memang Wak Daing juga ingatkan dia mengenai susuk tersebut mesti dikeluarkan juga apabila usianya 50 tahun.  Tetapi belum sempat umurnya menjangkau 50 tahun Wak Daing sudah meninggal dunia terlebih dahulu.  Siapa lagi boleh diharapkan membuang susuk berkenaan setelah Wak Daing meninggal?  Sebab itulah Haji Musir sengaja pendamkan rahsia tersebut jauh di lipatan hatinya.
Apabila kenang kejadian yang menimpa Siti Umin memang kecut juga perut Haji Musir.  Tentu jiran-jiran semua terkejut apabila mayat dimasukkan ke liang lahad bingkas bangun tidak semena-mena.  Lainlah kalau mereka yang menghantar mayat ke kubur sama macam Kiyai Sobani, bila-bila dia mampu mengawal keadaan.  Bagaimana kalau semua bercempera lari meranduk belukar sebaik sahaja mayat terbujur tiba-tiba bangkit di tengah liang lahad?
Dia tidak mahu nasib malang Siti Umin yang diberitahu oleh Wak Daing akan menimpa dirinya pula.  Disebabkan sibuk sangat dengan perniagaannya sampai Haji Musir terlupa mengenai susuk berlian yang digunakannya.  Hinggalah isteri tuanya Hajjah Kimah membeli batu yang menjelma di perdu rumpun serai kepunyaan Mahaton, barulah Haji Musir berasa bimbang.
Semenjak kerusuhan mengganggu perasaannya, Haji Musir semakin bimbang disebabkan dia sudah melanggar pantang larang Wak Daing semasa tempoh susuk ditusukkan belum berakhir.  Wak Daing sudah ingatkan dia supaya tidak memakan apa sahaja yang dicucuk selama 100 hari.  Tetapi Haji Musir tidak dapat menahan keinginannya mahu menikmati sate daging yang dicucuk lidi.
Setelah memakan beberapa cucuk sate, baru Haji Musir menyedari dia sudah melanggar pantang.  Tetapi dia tidak beritahu apa-apa kepada Wak Daing kerana bimbang orang tua itu memarahinya.  Kenapa dia tidak boleh bersabar menunggu selama 100 hari.  Apa sangat mahu gelojoh menikmati sate hingga tidak boleh menunggu sampai habis pantang.
Tetapi dia tidak boleh berbohong pada Wak Daing.  Tatkala kulit mukanya berbintat-bintat hitam ditumbuhi tahi lalat, lantas sahaja Wak Daing menuduhnya melanggar pantang larang.  Terkebil-kebil mata Haji Musir kerana Wak Daing tahu punca kulit mukanya berbintat-bintat hitam setelah melanggar pantang larang.
Terpaksa pula Wak Daing menyuruhnya mencari tujuh jenis limau disapu ke mukanya dengan dicampur tepung beras digiling.  Tujuh jenis bunga juga dicampur sebelum dipupuk ke muka Haji Musir.  Tiga malam berturut-turut Wak Daing ubati mukanya barulah bintat-bintat hitam yang tumbuh di merata kulit muka Haji Musir beransur-ansur hilang.
“Saya memang nak buang susuk ni, ustaz,”  terharu juga Haji Musir mahu mendesak saya bunagkan susuk berlian yang sekian lama ditusukkan ke mukanya.
“Saya tak tahu nak buangkan,” lantas saya mengakui tidak tahu apa-apa mengenai susuk demikian.  “Tapi Pak Kadir ni tahu macam mana nak buang,”  beritahu saya memandang ke arah Kadir Misai.
“Insya Allah, tapi kena berpantang juga,”  sahut Kadir Misai terangguk-angguk.
“Apa pantangnya, Pak Kadir?”  segera Hajah Natisah mencfelah kerana bimbang dia juga akan menanggung padah yang sama.
“Sama macam pantang yang ditetapkan Wak Daing,”  ujar Kadir Misai tersengih-sengih.
“Emm. Lain yang sakit lain pula yang diubat,”  Hajah Natisah mencebek bibir apabila kenang dia menemui saya disebabkan barang-barang kemasnya sudah beberapa kali hilang dalam persimpanan.  Memang dia mengesyaki gangguan toyol yang membolos masuk ke bilik tidur.
Setelah suaminya Haji Musir menemui Tokji Jamadi di Batu Pahat, tiba-tiba sahaja orang tua itu menyuruhnya menemui saya.  Tatkala mereka berdua suami isteri menjengah datang lantas sahaja suaminya Haji Musir mengaku dia memakai susuk berlian dan susuk emas.
Memang Hajah Natisah tidak percaya apabila diberitahu mengenai barang-barang kemasnya hilang disebabkan susuk yang dipakai Haji Musir.  Susuk berlian yang ditusukkan ke tubuh Haji Musir sudah cukup memusnahkan barang-barang kemas berkenaan.  Kadir Misai dapat melihat seolah-olah tubuh Haji Musir menjadi laksana besi berani yang mudah menarik mana-mana sahaja emas yang bernilai.
“Awak kena siapkan tujuh helai daun pucuk bulat kelapa,”  Kadir Misai ingatkan Haji Musir.
Haji Musir tidak membantah.  Dia sanggup cari apa sahaja ramuan asal sahaja susuk yang sudah ditusukkan ke tubuhnya dapat dikeluarkan semula.
 SELESAI