BARU saja mahu melelapkan mata isteri
saya menggerakkan kerana ada orang memanggil dari tengah halaman. Dalam keadaan
terkuap-kuap itulah saya memetik lampu lalu membuka pintu hadapan. Seorang
lelaki separuh umur terkial-kial menupang motorsikal hondanya.
"Maaflah ustaz saya
mengganggu..." cepat-cepat dia bersuara sebaik saja pintu terbuka.
Saya tersengih-sengih sambil terkuap-kuap.
Mata memang sudah mengantuk walau pun baru pukul 10 lebih. Tetapi sudah menjadi
kelaziman saya tidur awal sedikit kerana akan bangun semula pada tengah malam.
Bangun tengah malam ini pun bukanlah dilakukan setiap malam, cuma saya lakukan
apabila malam Jumaat. Saya akan melakukan Sunat Tahjud diikuti dengan Sunat
Tasbih juga.
"Maaflah ustaz" ulangi
lelaki berkenaan.
"Tak apa, silalah masuk..."
saya mempelawanya.
"Tak payahlah ustaz"
sahutnya terus mara ke pintu rumah saya. "Saya nak minta tolong pada
ustaz. Aki Sahak yang suruh panggil ustaz" katanya.
"Rumahnya di mana?" tanya
saya mahu mempastikan. Saya sendiri tidak berapa kenal dengan lelaki berkenaan,
tetapi rasanya dia lebih tua dari saya.
"Saya Sonok dari Kampung
Simpang" jelasnya menghulurkan tangan kepada saya. "Petang tadi saya
pergi ambil Aki Sahak di Mancis rumah anaknya. Aki Sahak ada di rumah saya,
tapi dia suruh panggil ustaz juga" dia tersengih-sengih.
Berdebar juga hati saya bila Aki Sahak
meminta saya datang. Tentulah perkaranya besar juga, kalau tidak masakan dia
menyuruh Sonok mencari saya. Mujur juga Sonok dapat mencari rumah saya di situ.
Kalau sekadar gangguan syaitan Aki Sahak tidak pernah memanggil saya. Dia
sendiri boleh menghadapinya kalau ada orang sakit diganggu syaitan.
Bagaimanapun saya tidaklah mahu
bertanya kepada sesiapa pun mengenai tujuan mereka memanggil saya. Memang sudah
saya duga biasanya kalau orang mencari saya pada tengah-tengah malam tentulah
perkaranya ada pesakit yang memerlukan rawatan. Heran juga saya selama datang
ke kampung itu, mereka sudah menganggap saya macam bomoh. Berkali-kali saya
memberitahu mereka saya bukanlah bomoh.
Disebabkan yang meminta saya datang
itu Aki Sahak membuatkan saya serba salah. Nampaknya saya mesti memikirkan
perkara mahu bertukar dari situ, kerana bimbang orang akan salah anggap. Nanti
mereka menyangka saya seorang bomoh, sedangkan saya tidak tahu apa-apa mengenai
ilmu bomoh.
Kalau saya tidak mahu datang apa pula
kata Aki Sahak. Sejak saya bertukar ke daerah itu, kerapkali sangat Aki Sahak
meminta saya membantu dia. Ingin juga saya membantah tetapi cepat-cepat dia
mengingatkan, "Kerja ni semua buat kerana Allah saja....".
Selepas bersiap-siap memakai baju,
saya pun terus membonceng motorsikal Sonok. Malam gelap gelita tidak ada
bintang-bintang di langit. Saya sampai di rumah Sonok kira-kira jam 11 lebih.
Aki Sahak sudah ada di situ duduk di hujung serambi. Beberapa orang jiran Sonok
juga ada di situ.
Saya memberi salam ketika menaiki
tangga rumah. Kemudian bersalaman dengan mereka yang duduk di serambi.
"Terus ke hujung ustaz, terus ke
hujung" seorang lelaki tua menyuruh saya duduk di hujung serambi dengan
Aki Sahak.
Kampung ini kira-kira empat batu jauhnya dari
tempat Aki Sahak tinggal. Semasa saya sampai itu mereka sudah bercerita fasal
anak Abang Amud yang tenggelam dalam lombong. Aki Sahak memberitahu sayalah
yang telah membantunya mencarikan mayat itu yang tenggelam di dalam lombong.
Akhirnya perhatian mereka sudah
beralih kepada saya, bukanlah kepada Aki Sahak. Sebenarnya Aki Sahak cuba
mengelak-ngelak juga apabila dipanggil orang merawat pesakit, tetapi kadangkala
serba salah juga. Tidak heranlah mengapa bomoh-bomoh terpaksa mengenakan
bayaran kerana penat lelah mereka terpaksa berjaga hingga jauh malam.
Malah ada kalanya tidak cukup tidur
sekiranya dipanggil orang. Bagaimana kalau sampai pagi baru selesai kerjanya?
Tentulah esoknya menjadi letih dan mereka tidak dapat bekerja mencari rezeki
nafkah hidup? Tetapi kebanyakan orang menuduh bomoh-bomoh itu mementingkan wang
semata-mata apabila mengubat pesakit.
Bagaimana kalau kami lakukan secara
sukarela seperti Aki Sahak ini? Nampaknya senang saja iaitu duduk sambil
berdoa. Tetapi ketika berdoa ini mestilah dengan khusyuk atau istilah moden
'kosentrasi', kadangkala terasa kepala bagaikan mahu pitam kalau 'khusyuk' ini
dilakukan sampai hampir satu jam. Inilah yang tidak difahami oleh kebanyakan
orang.
Apabila saya bertukar ke daerah kecil
ini Aki Sahak terus meminta saya membantu dia. Bagi penduduk-penduduk di daerah
ini pula asal saja mendapat tahu tentang seorang bomoh mereka akan segera
mendapatkannya kalau menghadapi kesakitan. Kadangkala diserang demam panas pun
segera mencari bomoh, pada hal penyakit demikian lebih baik dibawa ke hospital.
Kesihan juga saya melihatkan Aki
Sahak. Tidak pernah dia boleh duduk diam di rumah untuk beribadat dan
sebagainya. Ada saja orang menjemputnya. Kadangkala sampai ke Karak di Pahang,
ke Segamat di Johor, ke Tampin juga. Kadangkala dia sengaja melarikan diri ke
rumah anaknya di Mancis, namun dapat juga dicari orang.
"Anak Sonok ni hilang dari
rumah" beritahu Aki Sahak berpaling kepada saya. "Jadi, itulah nak
minta kau sama-sama bantu" jelasnya meleret senyum.
"Eh, Aki sorang pun
boleh....." ujar saya tersengih-sengih.
"Tidak..." sahutnya tegas.
"Aku tak kemampuan, sebab itulah perlu sangat kau membantu. Ini bukan
kerja manusia......" dia mula serius.
"Dah bagi tau polis?" soal
saya.
"Tak lagi, tapi ketua kampung dah
beritahu..." sahut Sonok perlahan.
"Bila hilangnya?" saya
memerhatikan Sonok tersandar pada jenang pintu induk rumah.
"Hari ni tadilah" jelasnya
bertambah gelisah. "Tengahari tadi dia mengembala kambing ke tepi kebun
getah nun, top...top....kambing aje balik petang tadi. Dia entah ke mana"
Sonok menerangkan.
Berita kehilangan anak Sonok yang
berumur 10 tahun itu segera diberitahu kepada jiran-jiran. Biasanya
petang-petang selepas balik dari sekolah, Tamin mengembala kambing di hujung
kampung. Dia bukanlah penuntut di sekolah tempat saya mengajar. Sebab itulah
saya tidak mengenali sangat keluarganya.
Kebanyakan penjaga murid di sekolah
saya mengajar memang saya kenali. Lagi pun sekolah yang jauh di kampung
pedalaman ini, bukanlah ramai sangat muridnya. Jadi, cepatlah dapat bermesra
dengan penjaga-penjaga mereka. Lagi pun mereka mulai mengenali saya, sejak
peristiwa anak Abang Amud.
Ketika ini penduduk kampung tempat Aki
Sahak tinggal itu pun masih belum tenteram akibat gangguan bunyi air disedut
lubang bergaung dari lombong tersebut. Terutamanya bila tengah malam
ornag-orang yang tinggal berhampiran dengan lombong dapat mendengarnya dengan
jelas.
Ada juga Tonel memberitahu Sali dia
ternampak dari jauh satu benda melintang di tengah lombong. Tidak lama kemudian
benda itu tenggelam semula ke dalam air. Mungkinkah ular besar yang dikatakan
oleh orang-orang kampung selama ini?
"Saya minta ustaz cuba-cubalah
sikit" pinta isteri Sonok tiba-tiba muncul di pintu induk rumah itu.
Matanya bengkak bekas menangis. "Cubalah ustaz, kalau mati nak tengok juga
mayatnya" dia mula terisak-isak menahan kesedihan yang menusuk.
"Hisss, jangan cakap macam
tu" Sonok mendongak sambil menguis paha Siti dengan sikunya. "Tak ada
apa-apa tu, boleh jadi Tamin sesat. Sabarlah sikit......" katanya macam
menasihatkan isterinya. Sedangkan dia sendiri pun saya lihat resah gelisah
sejak datang menjemput saya tadi.
"Cubalah ustaz" pinta Siti
lagi merayu-rayu. "Saya dah dengar fasal ustaz di Kampung Hulu bila anak
Amud jatuh ke lombong. Saya harap benar dengan ustaz ni" ujarnya tidak
menghiraukan suaminya yang tersandar pada jenang pintu induk rumah.
"Sabarlah kak...." saya pula
meminta dia bertenang. "Kita tengok dulu macam mana, jangan
tergopoh-gopoh. Kalau kita sudah yakin Allah saja memberi perlindungan dan
tempat meminta pertolongan, bertenanglah" kata saya mengingatkan.
Selalunya demikianlah ibu-ibu
menghadapi dugaan apabila anak-anaknya menghadapi masalah. Tetapi saya tidak
dapat salahkan mereka, kerana perasaan manusia selalunya mudah digoda. Mereka
mudah hilang pertimbangan dan segera meminta pertolongan dari siapa saja, pada
hal tempat meminta pertolongan hanya semata-mata kepada Allah.
Ketika meminta pertolongan inilah
syaitan menjanjikan pertolongan. Orang yang tidak sabar akan segera meminta
pertolongan pada syaitan tadi. Akhirnya terpedayalah dengan perangkap syaitan
mahu menggoda manusia menukar aqidah, dengan meminta pertolongan kepadanya.
"Kita tunggu dulu apa kata Aki
Sahak" saya menepuk bahu Aki Sahak yang duduk mrnyandar pada dinding.
"Tak ada apa kita boleh buat,
sebab budaknya tak ada di sini" Aki Sahak tersenyum penuh makna. "Nak
dicari tak tahu di mana, sebab pancaindera kita hanya untuk melihat benda yang
nyata" ujarnya tersengih-sengih.
"Jadi macam mana ni Aki. Anak
saya Aki, macam mana" Siti terus meraung tidak dapat menahan perasaan
sebak yang menumpu di dadanya.
Kemudian Aki Sahak meminta saya
melakukan tidur seperti pernah dilakukan ketika mencari anak Abang Amud di
dalam lombong. Setelah berbincang dengan Aki Sahak saya bersetuju tidur sendiri
dengan tidak payah dikawal oleh Aki Sahak. Seperti yang telah saya jelaskan
cara pengubatan tidur samalah seperti bomoh-bomoh gunakan semasa mereka
'menurun', tetapi caranya saja berlainan. Bomoh-bomoh selalu menggunakan
'akuan' tertentu sebagai sahabat, manakala cara tidur yang saya lakukan hanya
satu penyerahan kepada Allah.
Cara memulakannya tidaklah memerlukan
menyeru berbagai-bagai nama, tetapi memudahi dengan berastaghfar kepada Allah
Yang Maha Pengampun, kemudian membaca A'uzubillah meminta dilindungkan dari
syaitan, Bismillahhirrahmannirrahim, Selawat kepada Rasullullah dan tasbih
mensucikan keagungan Allah. Para ahli sufi tidaklah perlu cara tidur seperti
yang saya lakukan, baginya memadai merenung saja ke dalam makrifat dan mereka
akan mengetahuinya.
Tetapi pengajian kita belum sampai
kepada tingkat ahli sufi, maka cara tidur inilah untuk merenung secara
makrifat. Itulah saya katakan amat sukar mahu menerangkannya di sini, kerana
hanya orang-orang yang mengetahui saja tahu apakah yang saya gambarkan ini.
"Kau tidur dulu dan cari di mana
budak tu sekarang" bisik Aki Sahak. "Tak payah beritahu apa-apa pada
Aki. Lepas tu nanti baru kita sama-sama mencari di mana dia" katanya lagi.
Saya mengangguk. Saya pun memulakan
tidur saya. Tidak lama kemudian saya merasa diri saya sudah berada di satu
kawasan paya. Saya terus menyeberangi paya hingga sampai ke seberangnya yang
dipenuhi oleh belukar rotan. Puas saya memerhati sekelilingnya tidak ternampak
pun anak lelaki Sonok yang hilang itu.
Dalam pada itu yang mesti saya
ingatkan ialah lorong-lorong jalan serta pedoman yang terdapat di situ untuk
membolehkan orang-orang kampung mencarinya nanti. Sebab cara yang saya lakukan
ini tidak dapat membawa Tamin balik ke rumah, kecuali kalau dipandu oleh Aki
Sahak. Kalau tidur bersendirian ini hanya untuk melihat saja, bukan untuk
melepaskan dia sekiranya dikawal oleh syaitan yang terdiri dari makhluk-makhluk
halus.
Saya menyusup di bawah duri-duri rotan
itu memerhatikan kalau-kalau dia disorokkan di situ, tetapi tidak juga
kelihatan. Biasanya yang melarikan budak demikian ialah bunian. Tempat yang
demikianlah selalunya disukai oleh bunian. Bagaimanapun Tamin tidak ditemui di
situ.
Hampir saja saya putus asa kerana
tidak dapat mencari Tamin. Dalam keadaan demikianlah saya membacakan Surah
Waddhuha untuk membuka jalan supaya
pandangan saya tidak dilindungi oleh makhluk-makhluk halus. Bagi memudahkan
lagi saya terus membesarkan diri hingga melangkaui pokok-pokok besar yang
tinggi.
Ketika inilah saya nampak seorang budak
lelaki terselit di celah dahan pokok petai. Saya camkan betul-betul memang
benar itulah budak yang sedang dicari. Dari segi akal memang mustahil bagaimana
Tamin yang baru berumur 10 tahun itu boleh memanjat pokok yang dianggarkan lima
pemeluk. Pokok itu pula terlalu tinggi yang dahannya yang paling bawah sekali
sama tingginya dengan pucuk kelapa saka. Bayangkanlah bagaimana budak tersebut
boleh sampai di celah dahan pokok petai itu, yang saya anggarkan kira-kira
lebih 30 kaki tingginya.
Setelah saya cam semua pedoman di
kawasan pokok petai itu, saya pun balik semula. Apabila saya terjaga Sonok
suami isteri sudah duduk berdepan dengan saya. Tidak sabar-sabar lagi dia mahu
mengetahui sama ada saya sudah berjumpa atau belum anaknya.
Beberapa kali saya menggelengkan
kepala. Saya bagaikan tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Bagaimanapun
saya terus memberitahu mereka apa yang telah saya lihat.
"Dah kau pagar tempat tu?"
tanya Aki Sahak.
Saya menganggukkan kepala.
"Budak tu dia tak dapat ambil
lagi" Aki Sahak menghela nafas. "Jadi, kalau mahu malam ni juga kita
cari, kalau tunggu besok takut terjatuh pula budak tu. Maklumlah penjaga tak
dapat masuk dekat lagi" kata Aki Sahak merenung muka Sonok.
"Eloklah malam ni juga kita ke
situ" sahut Pak Jeli lelaki tua yang mula-mula menegur tatkala saya sampai
tadi. Dia ialah ayah Siti iaitu bapa mertua Sonok. Rupanya dia ini seorang
bomoh juga di kampung itu. Walaupun dia seorang bomoh tetapi tidaklah dia
merasa irihati dengan usaha-usaha yang kami buat.
Memang ada cerita mengatakan seseorang
bomoh itu akan marah apabila ada orang lain mahu menunjukkan kepandaian
melebihi dia. Tetapi itu adalah tanggapan saja. Seorang bomoh yang
bertanggungjawab tidak akan menghalang orang lain melakukan sesuatu untuk menolong
pesakitnya, malah dia sendiri akan sama-sama membantu mengikut kemampuannya.
Pak Jeli sendiri mengakui ilmu
bomohnya tidak sampai kepada kekuatan doa-doa yang menggunakan ayat-ayat Quran
ini. Selama ini dia sendiri memang mengakui akan kebolehan Aki Sahak.
Kira-kira 10 orang jiran ikut sama
dengan Sonok menuju ke tempat yang saya katakan seperti yang dapat saya lihat
tadi. Di antaranya ialah Tapa Sungkur yang biasa memanjat pokok petai. Sengaja
Tapa Sungkur menawarkan diri setelah mendengar keterangan saya bahawa Tamin
dibawa ke atas pokok yang tinggi.
Saya dan Aki Sahak juga ikut sama.
Malah Pak Jeli sendiri sanggup ikut sama. Maklumlah Tamin itu cucu
kesayangannya. Kami masuk ke hutan melalui kebun getah di hujung kampung dengan
membawa suluh andang dari daun nyiur kering. Pak Jeli membawa lampu suluh enam
sambung yang digunakan untuk menyuluh musang.
Disebabkan Tapa Sungkur yang selalu
masuk ke hutan dialah yang berjalan di hadapan sekali. Manakala saya berjalan
di belakang sedikit tetapi tidaklah jauh dari Tapa Sungkur, kerana pedoman
sebenarnya menuju ke tempat yang hendak dicari ialah di dalam ingatan saya.
Apabila masuk ke kawasan hutan saya
seolah-olah hilang pedoman. Tidak dapat hendak dicari tempat yang saya lihat
melalui tidur tadi. Mungkin keadaan malam terlalu gelap menyebabkan kami tidak
dapat mencari arah. Tapa Sungkur juga sudah berpusing membawa kami sampai ke
pinggir anak air, tetapi paya yang dicari tidak juga bertemu.
"Kalau paya bukan di sini
agaknya" Pak Jeli bersuara di belakang. "Yang aku tau kawasan paya di
sebelah baruh kebun getah tadi. Nampaknya kena berpatah balik kita....."
ujarnya meragui jalan yang dibawa oleh Tapa Sungkur.
"Di situ mana ada pokok
petai" laung Tapa Sungkur meyakinkan Pak Jeli jalan yang dituju sekarang
adalah betul. "Di situ pun tak ada belukar rotan......" katanya
menambah.
"Eloklah kita tengok
dulu....." sahut Pak Jeli mencadangkan.
"Jangan gopoh-gopoh" Aki
Sahak cepat-cepat mencelah. Dalam usaha demikian tidak boleh berbantah-bantah.
Kerja berbantah-bantah itu memang kerja syaitan untuk melalaikan insan sehingga
kerja-kerja yang mahu dilakukan tidak berhasil. "Kita tak boleh
gopoh-gopoh, semuanya mesti bersabar. Ikut dulu ke mana hala yang diingatkan
oleh ustaz tu tadi" ujarnya keras sedikit.
Pak Jeli tidak menyahut. Tapa Sungkur
juga diam. Mereka tidak mahu menyinggung perasaan Aki Sahak. Selama ini memang
Aki Sahak menjadi tumpuan penduduk-penduduk kampung berhampiran di daerah itu.
Kadangkala mereka kecewa mahu mendapatkan khidmat Aki Sahak kalau ada
orang-orang dari Karak di Pahang memanggilnya. Atau orang-orang dari Segamat
dan Tampin juga.
"Saya cuma agak-agakkan aje
Aki" tiba-tiba Pak Jeli menjelaskan dari belakang. Bimbang juga dia
kalau-kalau Aki Sahak tersinggung dengan sikapnya cepat sangat menyalahkan Tapa
Sungkur menunjukkan jalan.
"Tak baik berbantah-bantah"
ujar Aki Sahak mengingatkan sambil berdehem-dehem macam kahak tersangkut di
tekak. "Dengar dulu apa cakap ustaz, dia yang dapat mengagak
jalannya" katanya termengah-mengah menyusur lereng bukit.
Pak Jeli terus mendiamkan diri. Dia
juga termengah-mengah menyusur lereng bukit kerana banyak akar-akar pokok besar
menungkal. Malam bertambah gelap di dalam hutan demikian. Ketika ini sudah
lebih pukul 12 malam. Bunyi kuang sayup-sayup di balik bukit diselang-seli
bunyi ngiang-ngiang cengkerik bersahutan.
Saya berhenti sejenak di atas akar
kayu menungkal sambil mendongak ke atas. Melihatkan saya berhenti mereka semua
pun ikut sama berhenti. Aki Sahak pun sudah sampai di belakang saya.
"Nanti dulu Tapa..." Aki
Sahak memanggil apabila Tapa Sungkur yang di depan mahu meneruskan perjalanan.
Tapa Sungkur berpatah balik ke belakang mendapatkan saya.
Perlahan-lahan saya membaca Surah
Waddhuha bagi mendapatkan semula pedoman jalan menuju ke pokok besar yang kami
cari. Selepas membaca tiga kali Surah Waddhuha saya dapat melihat dengan jelas
paya di bawah lereng bukit. Paya itulah tidaklah buyau, tetapi cuma tanah pamah
yang ditumbuhi pucuk-pucuk paku.
"Cuba ikut ke bawah ni Tapa"
saya memuncungkan bibir ke bawah lereng bukit.
Tapa Sungkur terus melompat mencari
jalan untuk ke seberang tanah pamah tadi. Sonok mengekorinya dari belakang.
Manakala saya berjalan di belakang Sonok dan diikuti oleh Aki Sahak serta Pak
Jeli. Jiran-jiran yang lain semuanya berjalan di belakang.
Memang betul sebaik melepasi saja
kawasan tanah pamah itu kami menemui belukar rotan yang padat. Tidak ada lorong
mahu menembusi belukar ini. Kami terpaksa berlegar-legar mencari jalan untuk
naik ke bukit di sebelahnya.
"Bangsat...!" saya terdengar
Pak Jeli merungut. "Orang di sini nak cari geruh rupanya. Tahulah aku!
Tahulah aku! Ustaz ni akan ajar kau. Aku bawa ustaz ni untuk ajar kau...!"
dia menggertap bibir. Sebaik saja ke kawasan di situ Pak Jeli sudah dapat
menangkap gangguan tersebut, kerana dia memang pun seorang bomoh.
"Dia nak merasa penangan Aki
Sahak dengan ustaz dengan Pak Jeli, biarkan!" gerutu Tapa Sungkur
terkial-kial mahu mencari jalan melepasi belukar rotan yang padat.
"Jangan gempur dia dulu Jeli..."
kata Aki Sahak mengingatkan. "Kita jumpa anak Sonok dulu dan kita bawa
balik, lepas tu baru gempur" ujar Aki Sahak selanjutnya.
Dia bimbang Pak Jeli tidak sabar bila
menghadapi suasana demikian. Disebabkan dia seorang bomoh tentulah dia tidak
peduli apa lagi bila mahu menentang makhluk-makhluk halus demikian. Kadangkala
tindakan demikian boleh membahayakan orang yang sedang diganggu oleh syaitan
tersebut. Orang demikian sudah tidak ada semangat lagi, kerana sudah dikuasai
oleh makhluk-makhluk halus. Kalau tersilap langkah sukar untuk memulihkan
semula semangatnya.
"Jangan gempur dulu Jeli!"
ulangi Aki Sahak.
"Iyalah Aki..." sahut Pak
Jeli. "Saya serahkan pada Aki dan ustaz saja. Saya bantu dari
belakang" jelasnya.
Puas berlegar-legar kami sampai ke kawsan belukar bemban. Dari
sanalah Tapa Sungkur membelok ke kanan mencari pokok besar seakan-akan pokok petai yang saya sebutkan
itu. Sebaik saja melepasi belukar bemban itu barulah kami bertemu sebatang
pokok besar terpencil dari pokok-pokok yang lain.
"Aki..." Pak Jeli menarik
bahu Aki Sahak. Tangannya menyuluh ke atas dengan lampu picit sambung enam.
"Itu Aki, tengok tu, tengok" katanya bergetar menggertap bibir.
Kami semua nampak Tamin di atas pokok
tersebut. Bagaimanakah cara mahu memanjat ke atas sedangkan pokok itu terpencil
di situ. Kalau ada anak-anak kayu bolehlah memanjat mengikut anak-anak kayu.
Manakala Tamin pula berpaut pada dahan yang di atas sekali.
Bagaimanakah Tamin boleh sampai ke
atas pokok demikian besar? Sedangkan orang-orang dewasa pun tidak tahu
bagaimanakah caranya mahu naik memanjat memandangkan pokok itu tidak dapat
dipeluk. Demikianlah perlakuan mahkluk-makhluk halus yang tidak dapat kita
lihat melalui pancaindera biasa, kecuali melalui makrifat. Tentulah kerjanya
membawa Tamin ke atas pokok tersebut.
Disebabkan kami sudah tahu bahwa Tamin
berada di atas pokok yang tinggi, maka kami memang sudah membawa persediaan
yang cukup seperti tali serta kapak. Dengan perkakas-perkakas demikian mudahlah
Tapa Sungkur mahu memanjatnya.
Mula-mula Tapa Sungkur menakik pokok
itu dibuat bertangga bagi memudahkan kakinya berpijak. Tali dililitkan
sekeliling pokok dan dengan ini boleh memautkan pinggangnya di celah tali
tersebut. Sedikit demi sedikit dia menakik pokok dengan kapak, sedikit demi
sedikit dia naik ke atas. Sehinggalah Tapa Sungkur berjaya memanjat naik,
timbul juga masalah bagaimana mahu menurunkan Tamin.
Dia tidaklah pengsan atau tidak sedar
diri. Tetapi seperti orang kebingungan tidak tahu apa-apa pun berlaku ke atas
dirinya. Bila dipanggil namanya dia menyahut. Sebaliknya kalau ditanya yang
lain-lain dia hanya menggeleng kepala atau mengangguk saja.
Tali yang dibawa pula tidak cukup
panjang untuk membolehkan Tapa Sungkur menbawa Tamin turun. Kami semua menjadi
hilang akal. Adalah satu perkara mustahil untuk membawa seorang kanak-kanak
berumur 10 tahun turun dari pokok demikian tinggi. Kalau silap-silap berpaut
mungkin dua-dua sekali terjun ke bumi.
Setelah puas memikirkan cara untuk
menurunkan Tamin, akhirnya Pak Jeli sudah tidak sabar lagi. Saya lihat dia
menggertap bibir menahan perasaan marahnya.
"Aki, sekarang biar giliran saya
dulu" katanya memandang Aki Sahak.
"Silakan..." sahut Aki Sahak
perlahan.
"Ustaz, tadi giliran ustaz.
Sekarang biar saya pula" Pak Jeli menoleh kepada saya pula.
"Silakan Pak Jeli" kata
saya.
Itulah baiknya bila kita ramai.
Mungkin salah seorang dari kita mempunyai kelebihan dari satu segi, dan lemah
dari segi lain. Manakala dari segi yang lemah itu, orang lain pula mempunyai
kelebihan. Demikianlah antara saya, Pak Jeli dan Aki Sahak ketika ini.
Aki Sahak dan Pak Jeli memerlukan saya
untuk mencari di manakah Tamin dilarikan oleh syaitan. Tetapi dalam kelam kabut
untuk membawa Tamin turun dari pokok mungkin Pak Jeli lebih berpengalaman dari
Aki Sahak dan saya sendiri. Di sinilah pentingnya kami semua berpadu tenaga.
"Tapa..." laung Pak Jeli di
dalam gelap malam yang sepi itu. Suaranya bergaung ke balik bukit. "Tapa,
turun dulu. Biarkan dia di situ. Turun kau dulu..." dia menyeru Tapa Sungkur
supaya turun.
"Turun dulu Tapa" Aki Sahak
juga memanggilnya. "Biar Jeli pula naik. Jeli sendiri nak naik"
laungnya dari bawah.
Terpaksalah Tapa Sungkur turun dengan
hampa. Ketika ini sudah lebih pukul tiga pagi. Tamin masih juga belum dapat
dibawa turun.
"Setahu saya kawasan ni tak ada
pokok petai" keluh Tapa Sungkur sebaik saja dia sampai ke bawah. Hairan
juga dia dari mana datangya pokok petai di situ. Kawasan hutan di situ semuanya
sudah dalam kepala Tapa Sungkur. Dia sudah mahir di mana selekohnya, di mana
pokok petainya, di mana rotannya. Cuma dia satu-satunya yang selalu mencari
petai di situ.
Sebaik saja Tapa Sungkur sudah turun,
Pak Jeli terus mengelilingi pokok petai berkenaan. Kemudian dia menampar
perdunya tiga kali. Ketika ini Aki Sahak membisikkan kepada saya supaya
membantu Pak Jeli. Apabila saya dan Aki Sahak sudah terpaksa mengambil
keputusan menggempur bersama Pak Jeli, cuma kami bertiga sajalah dapat
berhubung antara satu sama lain.
Saya dengan Aki Sahak memang mempunyai
cara yang sama, tetapi Pak Jeli berlainan sedikit. Bagaimanapun kami masih
dapat bekerjasama. Sementara jiran-jiran yang sama ada di situ hanya melihat
kami bertiga dari mata kasar saja. Oleh itu mereka melihat hanya Pak Jeli
berkeliling pokok, sementara saya dan Aki Sahak berdiri memejamkan mata. Pokok
petai yang tersergam di depan kami sudah bertukar menjadi lembaga hitam yang
tinggi. Pak Jeli juga sudah berdiri sama tinggi dengan lembaga hitam berkenaan.
"Awak rupanya ye!" jerkah
Pak Jeli lalu menampar muka lembaga hitam itu tiga kali. "Awak tak tau ke,
bukankah cucu kawan yang awak larikan tu" dia bercekak pinggang mencabar
lembaga hitam itu seterusnya.
Lembaga hitam itu cuba menyiku Pak
Jeli, tetapi dengan pantas kakinya menyepak pada bahagian dada. Tamin masih
juga dikepitnya di celah ketiak.
"Sekarang serahkan cucu
aku!" suara Pak Jeli keras mengancam lembaga hitam tersebut.
"Aku tahu asal kau jadi, orang
memburu sesat di hutan asal kau jadi" bentak Pak Jeli bertambah marah.
"Awak jangan cari geruh
Jeli..." jerkah lembaga hitam itu. "Awak dapat sahabat baru, sahabat
lama dah lupa. Tak mengenang budi awak ni Jeli!" katanya menyindir.
"Kawan tak peduli." sahut
Pak Jeli. "Kalau awak tak serahkan cucu kawan, bertempurlah kita. Belum
tentu siapa yang geruh" Pak Jeli teru menyepak dagu lembaga hitam itu.
DIa tetap berkeras tidak mahu
melepaskan Tamin yang dikeleknya.
Seperti yang saya katakan Pak Jeli
mempunyai cara bomohnya. Dia terpaksa menentang lembaga hitam setinggi 30 kaki
dengan kekuatan tenaganya sendiri. Manakala saya dan Aki Sahak tidak menentang
dengan kekuatan secara makrifat, tetapi dengan ayat-ayat Quran saja.
"Wallauanna Quranna Suyirat
bihhil jibalu.." saya membaca doa lalu menghembuskan dari jauh. Serta
merta terpancar kilat dengan petir memukul kepala lembaga hitam itu.
Saya lihat Aki Sahak menghembuskan
ayat, "Lanarjumannakum..." sekaligus memancar panah api menyinggahi
tubuh lembaga hitam itu.
"Ampun.." teriaknya
merintih. "Belum pernah kawan jumpa ilmu macam ni tinggi. Ampun...Jeli,
minta sahabat baru awak tu, jangan seksa kawan macam ni. Kita bersahabat lagi
Jeli" ujarnya merayu-rayu meminta belas kasihan.
"Baru awak tau, siapa sahabat
kawan!" ejek Pak Jeli sambil menampar muka lembaga itu tiga kali lagi.
"Cukuplah Jeli, cukuplah"
rayu lembaga itu lagi.
"Sekarang, serahkan cucu aku!"
bentak Pak Jeli menyepak betis lembaga itu pula.
"Kalau awak nak berlawan, satu
sama satu Jeli..." dia mencabar Pak Jeli setelah panah api tidak
mengancamnya lagi.
"Awak pun kalau nak berlawan,
serahkan cucu kawan dulu" sahut Pak Jeli semakin berang. "Kalau awak
berani, dengan kawan, jangan dengan cucu kawan" Pak Jeli terus menyerbu
menyiku rusuknya.
Lenbaga hitam itu terhuyung-hayang
akibat disiku oleh Pak Jeli. Tetapi dengan pantas dia cuba membalas dengan
menampar Pak Jeli. Bagaimanapun Pak Jeli sempat mengelak. Sekali lagi Pak Jeli
menendang dada lembaga hitam berkenaan.
"Bukankah kawan dah cakap, awak
tak dapat mengalahkan kawan, bangsat puaka hutan jembalang tanah" Pak Jeli
menggertap bibir. "Sekarang lepaskan cucu aku!" jerkahnya.
Lembaga itu mengejek dengan ketawa.
Dia tetap tidak melepaskan Tamin dari keleknya. Ketika ini orang-orang yang ada
di bawah pokok hanya mendengar Pak Jeli berbantah-bantah dengan Tamin di atas
pokok. Suara Tamin bergaung sampai ke bawah.
"Lepaskan cucu aku!" bentak
Pak Jeli lagi.
"Awak kata kuat, cubalah ambil
sendiri..." lembaga hitam itu tertawa mengejek.
Kemudian saya lihat Pak Jeli menerkam garang
mahu merampas Tamin dari kelekan lembaga hitam itu. Mereka bergomol menunjukkan
kehandalan masing-masing. Ketika ini juga Aki Sahak membacakan sesuatu doa lalu
menghembuskan ke arah lembaga hitam tersebut. Sekaligus api dari segenap
penjuru menyerbu ke arah lembaga hitam.
Terjerit-jerit dia menahan kesakitan.
Tetapi Aki terus meniup ke arahnya. Saya juga mengulangi beberapa ayat lain
bagi membantu Pak Jeli yang membuat serangan.
"Hazihi jahannamullati kuntum
tu'adun..." saya menghembuskan ke arahnya. Serentak dengan itu petir dan
kilat memancar menerkam ke kepala lembaga hitam.
"Jeli, kau berani kerana
sahabat-sahabat kau membantu" rintih lembaga hitam itu gementar.
"Ilmu sahabat-sahabat kau terlalu tinggi. Belum pernah aku menentang ilmu
yang demikian tinggi..." katanya merayu supaya tidak diserang lagi.
Bagaimanapun Aki Sahak tetap tidak
mempedulikan rayuan lembaga hitam ini. Memandangkan Aki Sahak terus menentang,
saya juga tidak berhenti dari meneruskan serangan. Asap berkepul-kepul meliputi
lembaga hitam setinggi 30 kaki itu akibat tubuhnya terbakar. Dengan yang
demikian dapatlah Pak Jeli merampas semula Tamin dari bawah kelek lembaga itu.
Sebaik saja Tamin berada dalam tangan Pak Jeli, lembaga hitam itu terpelanting
jauh dihembus oleh Aki Sahak. Dia menjerit-jerit kesakitan ketika melayang ke
udara ditiup oleh Aki Sahak.
Apabila keadaan pulih semula kami pun
baliklah membawa Tamin yang masih dalam kebingungan. Kira-kira hampir jam 6.00
pagi barulah kami semua sampai di rumah Sonok. Terasa mengantuk betul mata
akibat keletihan dan tidak tidur semalaman.
Semasa dalam perjalanan balik itu
sempat Tapa Sungkur bercerita mengenai apa yang dilihatnya. Katanya dia hairan
bagaimana Pak Jeli yang sudah berumur itu boleh memanjat pokok petai yang
tinggi macam beruang memanjat pokok saja. Dia tidak perlu menggunakan apa-apa,
seolah-olah kaki dan tangannya melekat pada pokok berkenaan.
Semasa dia membawa Tamin turun dari
pokok mudah saja kepadanya seperti menjinjing kapas. Inilah yang menghairankan
jiran-jiran yang menyaksikan Pak Jeli menyelamatkan cucunya Tamin.
"Kalau macam tu bolehlah ajak Pak
Jeli cari petai ke hutan" Tapa Sungkur mengusik.
"Bukan selalu boleh buat macam
tu..." cepat-cepat Sonok mencelah bila mengenangkan bapa mertuanya boleh
memanjat pokok setinggi 30 kaki macam berjalan di atas tanah saja. "Hanya
masa-masa tertentu saja dia boleh lakukan macam tu. Kalau saja-saja nak tunjuk
mampus tak dapat" katanya menerangkan.
"Iya, ini bukan barang
permainan..." Aki Sahak pula bersuara keras. "Jangan heboh-hebohkan
sangat apa yang kamu lihat tadi. Kalau boleh perkara di pokok tadi, biar habis
di pokok saja" dia mengingatkan supaya keanehan yang dilihat sebentar tadi
tidak diceritakan kepada orang-orang kampung yang tidak ikut sama.
Saya juga setuju dengan Aki Sahak.
Perkara yang berlaku ke atas Pak Jeli yang dilihat boleh memanjat pokok
setinggi 30 kaki seperti berjalan di atas tanah, bukanlah satu pertunjukkan
sarkas. Ianya digunakan pada masa yang diperlukan saja.
Walaupun Tamin dapat dibawa balik
tetapi keadaannya masih belum pulih. Semangatnya masih dikuasai oleh lembaga
hitam yang melarikannya. Sebab itu dia masih dalam keadaan kebingungan, tidak
tahu apa yang terjadi ke atas dirinya.
Disebabkan saya tidak boleh lagi
menunggu lama di rumah Sonok, saya pun segera balik ke rumah. Lagi pun saya
terpaksa bertugas. Bayangkan bagaimana mahu bertugas dalam masa mata terlalu
mengantuk tidak tidur semalaman. Perkara mengubati Tamin saya serahkan pada Aki
Sahak dan Pak Jeli saja.
Terbaik.....
ReplyDelete