Saturday, June 20, 2015

129. BERLAWAN DENGAN USUNGAN MAYAT


HANYA selesai makan malam tatkala menyandarkan belakang kepada guni padi di tiang tengah untuk seruhkan perut, Utih Deman rasa berdebar hati apabila terdengar laungan dari arah kubur. Jeritan halus meminta tolong itu timbul tenggelam beberapa kali.
Ketika itu selepas maghrib sahaja keadaan keliling sudah gelap gelita. Apa sangat harapkan pelita ayan di tengah rumah sekadar menerangi penjuru bilik sahaja. Lainlah pada masa sekarang api elektrik sudah terang benderang serata kampung. Oleh itu selesai sahaja maghrib mereka terus makan malam tidak bertangguh. Kemudian duduk seruhkan perut sementara menunggu isya.
 Setelah solat isya memang Utih Deman tidak bertangguh bentang tikar bantal dan tarik selimut terus lelapkan mata. Kalau isterinya Uda Milah asak belakang pun dia tidak peduli lagi. Tetakala mata mengantuk memang Utih Deman mahu tidur sahaja macam batang pisang tergolek tidak bergerak.
 Cepat tidur sampai bersenar panjang pun apa salahnya, kerana pagi-pagi lagi dia akan bangun celikkan mata. Terkuap-kuap pun Utih Deman terpaksa ke perigi sama ada mandi atau mengambil wuduk.  Selesai sahaja solat subuh dan minum sarapan  yang dihidangkan oleh Uda Melah, dia akan terus menoreh di kebun getah.
Biarlah Uda Melah uruskan anak-anak ke sekolah. Setelah semuanya selesai Uda Melah akan galas tajak ke tengah sawah sampai matahari tegak di kepala. Uda Melah akan menajak rumput memanjang tengah sawah sementara menunggu Utih Deman habis menoreh.
Apabila siap sahaja kepingan getah tidak bertangguh pula Utih Deman turun ke sawah sama-sama menajak dengan isterinya. Kadangkala Uda Melah turun ke sungai membasuh kain, setelah suaminya Utih Deman mula menajak rumput di tengah sawah. Tahu sangat mereka suami isteri kerja-kerja demikian sampai bila pun tidak ada habis. Setiap hari mereka mesti buat kerja-kerja tersebut untuk menampung hidup sekeluarga.
Bukan Utih Deman sahaja yang menanggung kerja demikian, seisi kampung pun tidak lepas membuat kerja menoreh getah dan menajak sawah setiap hari. Tetapi kalau diberitahu ada jiran yang terlantar sakit, mereka akan jengah juga selepas zohor sementara menunggu asar. Hanya masa itu sahaja mereka terluang masa untuk menjengah jiran- jiran yang terlantar sakit.
Utih Deman sempat juga ziarah Anjang Tiamah ketika orang tua itu terkejang tengah rumah hingga berminggu-minggu tidak berselera makan. Anjang Tiamah bukan takat jiran sahaja tetapi emak saudara isterinya Uda Melah juga. Apabila diberitahu oleh Sahak Domeh meminta seisi kampung bacakan Yassin untuk emaknya yang terkejang sakit, Utih Deman pun ikut sama jejak kaki ke rumah Anjang Tiamah.
Mereka seisi kampung wajib bantu membantu apabila menghadapi sakit atau kemalangan. Ketika itu masyarakat kampung tahu sangat tanggung-jawab berjiran. Saya yang datang bertugas di kampung terperosok itu juga mesti ikut sama bercekang mata, apabila diberitahu mengenai Anjang Tiamah yang lama terkejang sakit.
Hanya beberapa bulan sahaja saya datang ke kampung berkenaan, Utih Deman sudah berkawan rapat. Kadangkala masak kuih lepat pisang pun Uda Melah akan hantar ke rumah saya. Utih Deman tidak kedekut kalau dapat ikan banyak tatkala menimba lubuk di tengah sawah, bila-bila dia akan suruh isterinya hantarkan pindang ikan ke rumah saya.
Memang berselera makan nasi dengan pindang ikan yang diberi oleh Uda Melah. Sekali sekala Ulung Sali dari Pelangai akan datang juga menjengah saya ke situ, apabila didengarnya Mat Deh berkunjung. Terkilan benar dia kalau tidak dapat bertemu sepupu saya itu setiap kali Mat Deh berkunjung ke kampung berkenaan.

Sewaktu Anjang Tiamah terkejang sakit, kebetulan pula Mat Deh berkunjung ke rumah yang saya sewa di kampung itu. Dalam perjalanan dia dari Temerloh ke Segamat ikut Jalan Mancis, memang dia akan singgah juga sebentar menemui saya. Sebab itu sengaja saya minta dia bertangguh setelah Sahak Domeh memberita mengenai mahu membacakan. Yassin.
"Aku nak cepat ke Segamat ni, Angah," ujar Mat Deh semacam mahu mengelak. Tetapi saya tahu Mat Deh tidak akan berkeras sekiranya saya mendesak. Semenjak di kampung lagi dia sentiasa mengalah apabila saya harapkan dia membantu. Tok Aji sentiasa ingatkan dia supaya membimbing saya apabila saya memerlukan.
"Abang Mat bukan nak kejar pangkat ke sana!" sengaja saya mengejekknya dengan tersengih-sengih mengerling ke arah dia.
Memang serba salah dia saya sudah mendesak. Mat Deh sama macam Tok Aji mereka tidak akan hampakan permintaan saya. Semenjak belajar di madrasah Tok Aji  bersamanya dia sudah menganggap saya macam adik sendiri, bukan lagi sepupu sahaja.
"Susahlah aku dengan kamu ni,” gerutu Mat Deh mendengus perlahan.
SeIepas jiran-jiran bacakan Yassin itulah keadaan Anjang Tiamah semakin lemah. Matanya terpejam dengan nafas sahaja turun naik. Beberapa kali dipanggil  oleh Sahak Domeh, namun  emaknya sudah tidak menyahut lagi. Anjang Tiamah nazak.
Masing-masing saling berpandangan dengan keadaan Anjang Tiamah selepas sarna-.sama bacakan Tassin beramai-ramai. Memang Mat Deh diminta megetuai bacakan Yassin itu.
"Apa ikhtiar kita, ustaz?" Sahak Domeh menepuk bahu saya dengan wajah kian bimbang.
Perlahan-lahan saya berpaling pada Mat Deh. Dia lebih berpengalaman tentulah banyak ikhtiar yang boleh difikirkan. Kemudian saya menyuruh Sahak Domeh beritahu sahaja kepada Mat Deh. Apabila Sahak Domeh mencuit bahunya, cepat-cepat Mat Deh memberi isyarat supaya bertenang sahaja.
Tahu sangat saya Mat Deh tidak berdiam diri. Dia tengah berdoa tatkala menghadapi Anjang Tiamah tengah terkejang tidak bergerak apa-apa lagi. Saya mendengar Mat Deh membacakan perlahan doanya:
"Allahhummaagh firli warfaldarajatahu fil muhdiyyina wakhlufhufi 'akibihi filghabirina waghfirlana walahu ya rabbil 'alamina wafsohlahu fi qobrihi wanauwirlahufihi."
Sebaik sahaja Mat Deh hembuskan ke ubun-ubunnya, nafas Anjang Tiamah yang kencang kembali tenang. Tetapi matanya tetap terpejam tidak buka sebenang pun. Kemudian saya menyuruh Sahak Domeh sudukan air sejuk yang sudah didoakan dengan bacaan Yassin itu ke mulut Anjang Tiamah.
Sehingga subuh keadaan Anjang Tiamah tidak juga berubah. Dia tetap terkejang tidak bergerak apa-apa, hanya nafasnya sahaja berombak-ombak lemah.
"Tak apalah, biar kami balik dulu," Mat Deh memberitahu jiran-jiran lain yang sama terconggok berkeliling, lantas mengajak saya balik ke rumah. Dia mahu solat subuh di surau. Keadaan Anjang Tiamah tidak perlu dibimbangkan lagi kerana semuanya adalah ketentuan Allah belaka.
Kalau dia terconggok di situ pun Mat Deh tidak boleh lakukan apa-apa lagi. Apalah gunanya dia sama-sama menghadap Anjang Tiamah tengah nazak. Dia dapat merasakan keadaan Anjang Tiamah memang menunggu saat sahaja, dan hanya Allah yang Maha Mengetahui segala-gala yang tersembunyi dan yang nyata.
Sebaik sahaja saya mengekori Mat Deh balik ke rumah bersiap-siap untuk ke surau solat subuh, Utih Deman juga ikut sama balik ke rumahnya. Selesai sahaja solat, Utih Deman segera menghampiri saya.
 "Macam mana Anjang Tiamah tu, ustaz?" bisiknya seolah-olah serba salah mahu terus menoreh getah. Tentulah terkilan juga hatinya kala tengah menoreh diberitahu ada kematian. Sekiranya dia tahu  Anjang Tiamah sampai saatnya Biarlah dia tidak menoreh langsung.
 "Hah, takkan kita nak mendahului ketentuan Allah," Mat Deh keraskan suara menyebab kan Utih Deman terkejut. Bagaimana Mat Deh boleh mendengar dia bercakap dalam keadaan berbisik, sedangkan jarak mereka duduk terlalu jauh?
"Saya cuma nak tahu aje? “ tersengih-sengih Utih Deman malu dengan sindiran Mat Deh
"Kalau Abang Deman nak menoreh, menorehlah," ujar Mat Deh mengisar duduk. "Jangan  disebabkan Anjang Tiamah, tergendala pula kerja Abang Deman," tegasnya macam dapat membaca segala yang terbuku di hati Utih Deman.
"Nanti tengah menoreh, meninggal pula dia!" rungut Utih Deman memang serba salah mahu turun menoreh getah.
 "Kalau Abang Deman sengaja menunggu dengan tak ikhlas tak manfaat juga," jelas Mat Deh selanjutnya.
 Perkara mahu mencari rezeki tidak sama dengan menghadap orang tengah nazak. Rezeki bila-bila pun boleh dicari selagi tenaga sihat tidak diganggu penyakit. Tetapi orang tengah nazak bukan sepanjang masa harapkan setiap orang menghadapnya. Apabila saatnya tiba dia akan pejamkan mata rapat-rapat buat selama-lama. Selepas itu dia tidak akan ganggu siapa lagi harapkan orang orang menghadapnya dengan doa yang tulus ikhlas.
 Memang tidak berguna apa-apa menghadap orang tengah nazak sekiranya hati serba salah apabila kenangkan mahu mencari rezeki. Sebab itulah Mat Deh ingatkan Utih Deman supaya tidak salahkan Anjang Tiamah yang terkejang, kalau hatinya serba salah mahu menoreh.
"Dapatkah diagakkan, sampaikah saatnya?" masih juga Utih Deman tidak dapat membuat keputusan.
"Itu urusan Allah, bukan hak kita menentukan," mendengus lemah Mat Deh disebabkan Utih Deman masih mendesak. Bagaimana dia mahu menerangkan sama ada Anjang Tiamah akan meninggal dunia atau pun tidak? Kalau Utih Deman mahu menoreh apabila salahnya terus sahaja ke kebun, kenapa mesti digendalakan kerja disebabkan bimbang Anjang Tiamah.
Sehingga jam sepuluh pagi keadaan Anjang Tiamah tidak juga berubah. Terpaksalah Mat Deh teruskan juga perjalanannya mahu ke Segamat. Dia tidak perlu menunggu di situ, sekali pun Sahak Domeh bercadang mahu mengulangi membaca Yassin selepas maghribnya.
Tetapi sebelum meninggalkan rumah tempat saya menyewa sempat juga Mat Deh berbisik kepada saya,” Tak payah bacakan Yassin maghrib nanti pun tak apa, cukuplah tu.”
Selepas Mat Deh bertolak ke Segamat, saya jengah juga Anjang Tiamah di rumahnya. Ketika saya sampai di tengah halaman, jian-jiran sudah ramai berkumpul. Beberapa orang jiran tengah menetak buluh dan pelepah rumbia untuk membuat usungan.
Di tengah rumah terdengar bacaan al-Quran beberapa orang jiran yang duduk mengadap jenazah. Ketika saya naik ke kepala tangga, Sahak Domeh bagitahu emaknya sudah meninggal dunia. Utih Deman juga sibuk di hujung serambi sediakan besen besar menadah air yang diangkut dari telaga. Di situlah jenazah akan dimandikan.
Memang Utih Deman tidak ke kebun getah menoreh disebabkan hatinya serba salah mahu meninggalkan Anjang Tiamah tengah terkejang demikian. Terkilan juga dia sekiranya Anjang Tiamah meninggal tatkala dia tengah menoreh di kebun. Apa pula kata jiran-jiran sekiranya dia tidak jengah muka sebaik sahaja di beritahu Anjang Tiamah meninggal dunia.
Uda Melah juga akan berleter panjang kalau Utih Deman menyeret basikal ke kebun dalam saat Anjang Tiamah tengah nazak. Apa sangat dengan harta dunia kalau dibandingkan dengan budi bahasa? Semasa Anjang Tiamah tengah sihat, siapa lagi diharapkan kalau Uda Melah mengerang tengah malam mahu bersalin? Seisi kampung kampung juga harapkan Anjang Tiamah apabila isteri masing-masing merengat perut mahu melahirkan anak.
Tiga hari pula Anjang Tiamah akan berulang mengurut seluruh badan sampai pulih setelah melahirkan anak. Memang Anjang Tiamah satu satunya diharapkan menjadi bidan di tengah kampung.
Masakan mudah sangat Utih Deman mahu lupakan jasa orang tua yang sudah banyak menolong Uda Melah bersalin. Semua anaknya yang dilahirkan memang Anjang Tiamah yang menyambut. Sebab itu Utih Deman keraskan hati tidak mahu menoreh dalam saat Anjang Tiamah terkejang tidak bergerak lagi.
Biarlah Anjang Tiamah tidak hembuskan nafas sehingga masuk maghrib setelah Sahak Domeh membuat keputusan untuk ulangi membaca Yassin. Utih Deman tidak terkilan tidak dapat menoreh. Apalah salahnya tidak menoreh sehari dua, bukannya boleh menjadikan dia miskin melarat kalau tidak menoreh pun.
Selagi padi penuh di kepuk, Utih Deman tidak bimbang apa-apa. Anak isterinya tetap dapat makan kalau padi penuh di kepuk. Kalau tidak berlauk dia boleh tahan lukah di sungai, bila-bila sahaja ikan semilang, terbul sisik atau baung masuk ke injap lukah. Uda Melah boleh kukur kelapa gugur di hujung halaman untuk masak gulai ikan lemak kuning.
Kalau mahu berselera lagi minta sahaja daun kunyit Anjang Tiamah buat perencah. Bila-bila pun Anjang Tiamah benarkan ambil sehelai dua daun kunyitnya di baruh dapur. Mereka hidup berjiran memang boleh meminta apa sahaja apabila jiran memerlukan. Tentu Uda Melah juga akan hantarkan sepiring gulai ikan masak lemak kuning ke rumah Anjang Tiamah.
“Tak lama ustaz balik, emak hembuskan nafas,” beritahu Sahak Domeh sebaik sahaja saya duduk di sisi jenazah.
Saya mengangguk perlahan, kemudian terus membacakan Yassin di sisi jenazah. Setelah selesai saya turun ke tengah halaman disebabkan mereka sudah bersiap-siap untuk mandikan jenazah di hujung serambi. Besen besar tempat menadah air yang diangkut dari telaga juga sudah penuh, dengan Bidan Jibah sudah bersedia untuk mandikan jenazah berkenaan.
Ketika mayat tengah dimandikan itulah Latip Bincut beritahu mengenai Ripin Jegil yang datang menjengah. Pagi lagi Ripin Jegil sudah tercegat di muka pintu sebaik sahaja mendapat tahu Anjang Tiamah sudah nazak. Kalau isterinya Bidan Jibah tidak merungut panjang memang Ripin Jegil tidak mahu menjengah kakaknya itu.
Tidak tahu pula mereka kenapa Ripin Jegil marah sangat dengan kakaknya Anjang Tiamah, sampaikan tidak datang menjengah tatkala orang tua itu terlantar sakit. Sahak Domeh juga tidak pernah jejak kaki ke rumah bapa saudaranya itu memberitahu mengenai keadaan emaknya.
Sebaik sahaja melihat keadaan Anjang Tiamah terkejang tidak bergerak lantas Ripin Jegil bacakan al-Fatihah tiga kali dan surah al-lkhlas. Kemudian dia mengesat pelupuk matanya perlahan terus membacakan:
Qola haza rahmatun min rabbi fa-izaja-a wa-durabbi ja'alahu dakka-an wakan wa'du rabbi haqqan, watarakna ba'dhuhum yau ma-izin yamuju fi ba'dhin wanufikho fissuri fajama'nahum jam'an.
Setelah dihembus ke ubun-ubun kakaknya, dengan tidak bercakap sepatah apa pun Ripin Jegil turun ke tengah halaman. Dia terus ke baruh rumah menuju ke tepi telaga. Latip Bincut juga mengekori dari belakang mahu membantu. Manalah tahu Ripin Jegil mahukan diambil perkakas-perkakas tertentu mengikut petuanya.
Tetapi Ripin Jegil tidak meminta apa-apa. Dia menetak tiga pelepah batang keladi air dan dikerat panjang sejengkal. Tiga pelepah batang keladi air itu diletakkan di dahi, di pusat dan di hujung kaki. Perlahan-lahan Ripin Jegil menghembus tubuh kakaknya tiga kali dengan membacakan doa:
Qul innama ana basyarum mislukum yuho ilaiya innama ilahukum ilahun wahidun faman kana yaju liqo-a rabbihi falya'mal 'amalan solehan wala yusyrik bi'ibadati rabbihi ahadan.
Tujuh kali dibacakan oleh Ripin Jegil, baru dikutipnya semula tiga pelepah batang keladi panjang sejengkal itu. Dia membawa pelepah keladi air itu dengan tidak bercakap apa-apa pun. Jiran-jiran yang melihat perbuatan Ripin Jegil itu hairan juga tetapi tidak menegur apa. Masakan mereka boleh membantah Ripin Jegil lakukan apa pun kerana dia adik kandung Anjang Tiamah.
Sahak Domeh sendiri terkebil-kebil mata sahaja melihat bapa saudaranya tenang sahaja membawa pelepah keladi turun ke tengah halaman. Lama bapa saudaranya mengaji pondok di Kelantan, masakan dia amalkan petua yang tidak baik. Sejak balik mengaji pondok di Kelantan banyak kali bapa saudaranya menegur emaknya.
Marah juga Anjang Tiamah disebabkan adiknya seringkali meleteri dia kalau tidak jejak kaki ke surau. Macam mana dia mahu jejak kaki ke surau kalau terpaksa menunggu perempuan tengah sarat mengandung mahu melahirkan anak tatkala azan berkumandang sayup-sayup dari masjid? Manalah Ripin Jegil tahu mengenai tanggung jawab menjadi bidan di tengah kampung.
Lainlah isteri Ripin JegiI sendiri, Bidan Jibah memang boleh mengelak kalau dijemput orang ke rumah. Seisi kampung tahu Bidan Jibah tidak akan datang menjengah sekiranya dijemput tatkala maghrib hampir tiba. Apalagi apabila tengah malam sewaktu tengah nyenyak tidur memang dia tidak sanggup mahu bangun.
Sebab itu dia serahkan sahaja perkara membidankan sesiapa pun kepada Anjang Tiamah. Siapa lagi mahu ganggu Bidan Jibah kalau dia enggan dijemput datang. Dia sekadar sanggup membantu sekiranya Anjang Tiamah sudah terconggok mengadap perempuan mengandung tengah mengerang-erang sakit.
Tahu sangat seisi kampung mengenai Bidan Jibah yang tidak mahu datang membantu. Lainlah kalau sudah terdesak sangat sekiranya Anjang Tiamah terpaksa berkejar ke kampung lain. Mahu tidak mahu Bidan Jibah terpaksa juga datang membantu.
Sebab itu Anjang Tiamah marahkan adiknya kalau cuba leteri dia. Sejak suaminya Lebai Timin meninggal dunia lima tahun sebelum itu, memang Anjang Tiamah tidak bertegur dengan adiknya. Sampaikan dia terkejang sakit pun Anjang Tiamah tidak benarkan Sahak Domeh beritahu Ripin Jegil.
Ketika Ripin Jegil menuju ke sungai membawa tiga pelepah batang keladi air panjang sejengkal itu, Latip Bincut mengekornya dari belakang. Sebaik sampai di tebing sungai lantas Ripin Jegil campakkan tiga pelepah batang keladi itu ke tengah arus.
 Tidak lama dia campakkan pelepah keladi itu ke tengah arus, Sahak Domeh berkejar mendapatkannya tercungap-cungap. Dalam keadaan termengah-mengah itu Sahak Domeh memberitahu bapa saudaranya mengenai emaknya baru sahaja menghembuskan nafas.
Ripin Jegil mengangguk perlahan. Dia tidak menyahut apa-apa, tetapi sekadar mengesat pelupuk matanya. Sebab itu Latip Bincut tahu apa yang dibuat oleh Ripin Jegil sebaik sahaja dia datang menjengah kakaknya. Tahu sangat Latip Bincut dia dapat mengagak sewaktu pelepah batang keladi itu dicampakkan ke tengah aruslah, Anjang Tiamah hembuskan nafasnya.
"Ah, dari Allah dia datang, kepada Allah dia kembali," ujar Ripin Jegil apabila ditanya oleh Latip Bincut mengenai petua dia campakkan tiga pelepah batang keladi ke tengah arus itu.
Selesai sahaja jenazah dikapankan, Ripin Jegil sendiri imamkan sembahyang jenazah. Saya berdiri di belakangnya, manakala Utih Deman di sebelah saya. Selesai sahaja sembahyang jenazah, tiba-tiba Utih Deman memegang bahu saya. Dia menarik saya jauh daripada orang ramai yang bersiap-siap mengangkat jenazah ke dalam usungan. Hairan juga saya dengan sikap Utih Deman ketakutan memberitahu saya:
"Ustaz tak nampakkah kaki jenazah bergerak-gerak masa kita sembahyangkan dia?"
Saya menggeleng. Mulanya saya menyangka hanya pandangan saya sahaja terkeliru apabila melihat kaki jenazah bergerak-gerak. Dalam usia saya masih muda lagi ketika itu, memang mudah terkeliru tidak menentu. Tetapi sengaja saya berpura-pura di depan Utih Deman.
"Memang saya nampak kaki jenazah bergerak, ustaz," ujar Utih Deman serba salah.
 "Utih salah pandang agak-nya," sengaja saya cuba berdalih dalam keluhan pendek.
Terdiam Utih Deman. Percaya juga dia mungkin pandangannya keliru semasa tengah sembahyangkan jenazah. Masakan kaki jenazah itu bergerak-gerak setelah sekian lama Anjang Tiamah terkejang tidak bergerak langsung. Manalah tahu angin bertiup kuat menerobos celah dinding hingga singgah ke kain kapan di bahagian hujung kaki.
Tentu hujung kain kapan itu yang bergerak akibat ditampan angin yang menerobos dari celah dinding. Tertunduk Utih Deman apabila kenangkan kejadian yang di luar dugaannya itu!
"Utih nampak kaki jenazah bergerak-gerak?" tiba-tiba Latip Bincut menghampiri Utih Deman.
Lantas Utih Deman mengangkat muka memandang ke arah saya. Bukan dia sahaja melihat kejadian tersebut. Tentu Latip Bincut juga nampak kaki jenazah bergerak-gerak semasa tengah disembahyangkan. Masakan matanya terkeliru kalau Latip Bincut juga nampak kejadian tersebut.
"Aku ingat, aku seorang aje yang nampak," gerutu Utih Deman perlahan setelah Latip Bincut juga mengakui dia melihat kaki jenazah bergerak-gerak.
"Jadi, Utih nampak kaki jenazah tu bergerak?" tersengih-sengih Latip Bincut setelah menyedari bukan dia seorang sahaja melihatnya. Bimbang juga dia kalau dituduh terlalu takut hingga terbayang kaki jenazah bergerak-gerak. Tentu seisi kampung akan mengejeknya kalau dia beritahu sesiapa dalam masa seorang pun tidak melihat kejadian itu.
Utih Deman mengangguk sambil mengerling ke arah saya Memang saya terkejut dengan kejadian itu kerana belum pernah dia mengalaminya. Dia melihat sendiri hujung kaki jenazah bergerak-gerak semasa mereka bersembahyang. Tetapi Ripin Jegil tidak peduli apa pun rungutan jemaah yang sama sembahyangkan jenazah.
Selesai sahaja jenazah di-sembahyangkan Ripin Jegil menyuruh mayat dimasukkan ke dalam usungan. Mereka mesti segera kebumikan jenazah Anjang Tiamah setelah semua urusan memandi dan mengkapankannya sudah selesai. Apa gunanya dilambat-Iambatkan kerana jenazah itu perlu dikebumikan segera.
Sebaik sahaja usungan memasuki kawasan tanah perkuburan, penutup usungan tiba-tiba sahaja diterbangkan angin menyebabkan jenazah terdedah tidak bertutup. Cepat-cepat pula mereka naikkan semula tutupan usungan itu.
Ripin Jegil yang berjalan di belakang usungan tidak bercakap apa-apa, sekalipun Sahak Domeh memegang bahunya tidak ketahuan.
"Bertenang, tak ada apa-apa!" Ripin Jegil mengingatkan setelah jenazah ditutup semula. Dia dapat mengagak masakan orang-orang kampung yang mengusung jenazah percaya kalau dikatakan tutupan usungan itu jatuh ditiup angin.
Ketika itu angin tidak bertiup langsung. Kalau dikatakan usungan ditandu senget sebelah juga sampai tutupannya tercampak ke bawah pun, tidak mungkin boleh dipercayai. Mereka sama-sama mengusung dengan tidak senget langsung.
Tetapi saya melihat Latip Bincut menyeringai memikul usungan bagaikan menanggung beban tersangat berat di bahunya. Kemudian dia melambai. Sahak Domeh supaya menggantikan tempatnya mengusung di bahagian hadapan. Sebaik sahaja Sahak Domeh mengambil  alih tempat dia memikul usungan, Latip Bincut menunjukkan bahunya melecet kepada saya.
 "Ah, takkan mengusung jenazah pun melecet bahu kau!" sengaja Utih Deman mengejek Latip Bincut apabila ditunjukkan bahunya yang melecet itu kepada saya.
Belum pun sempat Latip Bincut menyahut, mereka yang mengusung jenazah semuanya mengeluh kerana beban mereka terrlalu berat. Kalau tidak kenangkan mereka tengah mengusung memang tidak siapa pun sanggup memikul beban.
Sebaik sampai ke kubur masing-masing dapati bahu melecet setelah usungan di letakkan. Baik Sahak Domeh, baik Utih Deman mengusap-usap bahu mereka akibat melecet memikul usungan. Tetapi siapa pun tidak memberitahu usungan itu yang terlalu berat bagaikan bebanan sepuluh guni beras.
 "Kenapa bahu Utih tu?" Sahak Domeh mendekati Utih Deman yang mengusap-usap bahunya melecet.
"Entahlah," sahut Utih Deman sengaja mahu menyembunyikan rahsia usungan jenazah terlalu berat.
"Tapi usungan tu berat sangat!" lantas sahaja Sahak Domeh mengeluh pendek sambil menunjukkan bahunya yang juga melecet teruk.
"Cukuplah, kita selesaikan kerja ni dulu," segera Ripin Jegil ingatkan anak saudaranya supaya masuk ke liang kubur.
Mereka semua tidak membantah. Sebaik sahaja Ripin Jegil sudah perintahkan supaya jenazah dikebumikan, mereka turunkan jenazah itu ke lubang kubur. Memang Utih Deman disuruh menyambut bahagian kepala, kerana dia sahaja yang tahu bagaimana mahu erengkan sampai hidung jenazah mencium tebing.
Sahak Domeh menyambut di bahagian kaki, manakala Latip Bincut di tengah pinggang. Tidak pula terasa berat semasa mereka turunkan jenazah ke liang kubur.  Apalagi Sahak Domeh yang menyambut di bahagian kaki, manalah dia tahu berat atau tidaknya. Lainlah Latip Bincut yang menyambut di bahagian pinggang, tentulah dia yang tahu sama ada berat atau tidak.
Tetapi Latip Bincut sendiri tidak berasa berat apa-apa. Jenazah menjadi ringan sebaik sahaja disorong ke dalam liang lahad. Semasa Utih Deman disuruh oleh Ripin Jegil bukakan ikatan di bahagian kapan kepala, dia menjadi terkejut apakala melihat muka jenazah hitam bagaikan rentung.
Berdebar benar Utih Deman menatap muka jenazah bagaikan puntung kayu terbakar. Terpempan dia dalam keluhan panjang hingga beristighfar beberapa kali di dalam hati.
"Kenapa Utih?" segera Sahak Domeh memanjangkan leher setelah dilihatnya Utih Deman terkial-kial di bahagian kepala jenazah.
"Ah, tak ada apa-apa!" beritahu Utih Deman gugup. Kemudian cepat-cepat dia erengkan kepala jenazah biar hidungnya mencium tebing. Di juga sendalkan kepalan tanah supaya jenazah tidak terlentang.
Memang Utih Deman tidak beritahu siapa pun mengenai muka jenazah yang hangus laksana puntung terbakar itu. Sehingga selesai jenazah dikebumikan dia tetap rahsiakan Biarlah dia seorang sahaja mengetahui kejadian tersebut supaya hati Sahak Domeh tidak tersinggung. Manalah tahu Sahak Domeh akan berkecil hati sekiranya dia beritahu perkara tersebut kepada anak Anjang Tiamah.
Sebab itulah Utih Deman tidak terkejut sangat sebaik sahaja mendengar jeritan halus dari arah kubur. Memang dia berdebar juga kerana tidak pernah mengalami kejadian demikian sepanjang hidupnya sekalipun rumahnya tidak jauh dari jarak tanah perkuburan di kampung berkenaan.
"Awak tak dengar ke?" Utih Deman berpaling apabila bahunya ditampar oleh Uda Melah.
"Dengar apa pula?" sengaja Utih Deman berpura-pura untuk menyembunyikan keluhan hatinya.
"Eh, pekak telinga awak ni!" rungut Uda Melah bagaikan merajuk dengan sikap suaminya. "Hah tu, jerit halus dari kubur tu," dia menambah memuncungkan bibir ke darat rumah.
"Hah, biarkan," sahut Utih Heman keraskan suaranya. "Perkara di luar rumah malam-malam macam ni, jangan ambil peduli," ujarnya ingatkan Uda Melah mengenai pantang larang orang tua-tua.  
Sejak turun  temurun mereka diingatkan dengan pantang Iarang orang tua-tua supaya tidak menegur apa pun yang berlaku di luar rumah tatkala malam diserkup kegelapan. Ketika ini jembalang berkeliaran mencari mangsa. Siapa sahaja menegur akan dihinggapi jembalang tengah berkeliaran itu.
Utih Deman tidak mahu rumahnya menjadi sasaran kalau jembalang berkeliaran mahu mencari mangsa. Biarlah jeritan halus itu bertali-tali melaung sepanjang malam, dia tidak peduli apa-apa. Bukan isterinya Uda Melah sahaja mendengar jeritan halus tersebut, malah dia juga sudah mengagak arah datangnya memang dari kubur Anjang Tiamah.
 "Jangan, jangan dari kubur Anjang Tiamah," Uda Melah masih tidak dapat mententeramkan hatinya dengan bunyi jeritan halus yang berulang kali itu.
Serba salah juga Utih Deman mahu berdalih. Memang jeritan halus berulang kali itu dari arah tanah perkuburan. Apalagi sebelah siangnya jenazah Anjang Tiamah baru sahaja dikebumikan.
Dalam masa mereka tertanya-tanya dengan suara jeritan halus itu, Sahak Domeh memberi salam dari tengah halaman. Tergesa-gesa pula Utih Deman membukakan pintu serambi sekalipun dadanya berdebar kencang. Gementar juga dia apabila Sahak Domeh memanggil. Lantas sahaja dia menuduh tentu Sahak Domeh diganggu suara jeritan halus sampai datang menyerbu ke tengah halaman rumahnya.
"Utih, marl kita ke kubur," laung Sahak Doemh dari tengah halaman sebaik sahaja Utih Deman menjengah di pintu serambi.
"Ada apa?" sengaja Utih Deman tersengih-sengih apakala melihat Sahak Domeh tercegat di tengah halaman bersama saya dan Latip Bincut. "Eh, ustaz dengan Latip pun ada sama," bertambah serba salah Utih Deman.
"Marilah kita tengok kubur emak saya," ujar Sahak Domeh menggamit Utih Deman turun.
Cepat-cepat Utih Deman menyarung bajunya yang tersangkut pada paku di dinding. Dia mencapai pelita ayan di tengah rumah dijadikan suluh meranduk kegelapan  malam. Ketika ini memang tidak ada pun lampu suluh menerangi jalan sampai terang benderang dengan ubat sambung enam. Hanya harapkan pelita ayan ditampan dengan daun, biar tidak ditiup angin.
Terpaksa pula dibawa bekal gores api sekiranya api pelita padam tidak semena-mena. Dalam kegelapan itulah kami meranduk belukar tanah perkuburan dengan mengharapkan lampu pelita ayan dengan apinya meliuk-liuk ditiup angin.
"Ucu Ripin kamu tak ikut sama ke?" Utih Deman terhangak-hangak memerhati ke hadapan sambil menepuk bahu Sah Domeh.
"Ucu Ripin di rumah, dia yang suruh kami bertiga ke kubur," beritahu Sahak Domeh apabila kenangkan jeritan halus dari kubur itu sayup-sayup sampai ke rumahnya. Ketika itu memang dia mahu buat kenduri bertahlil dengan menjemput jiran-jiran.
Tetapi Utih Deman tidak kelihatan pun. Memang Utih Deman sudah beritahu saya sebelah siangnya merasa seram-seram sejuk seluruh badan bagaikan mahu demam. Sebab itulah tidak akan datang ikut sama bertahlil di rumah Sahak Domeh.
Saya sendiri menyangka demam Utih Deman tambah melarat menyebabkan dia tidak jejak kaki bertahlil. Sebaik sahaja dia menjengah di pintu, rupa-rupanya Utih Deman tidaklah demam sangat. Dia masih gagah tercegat menyahut salam Sahak Domeh.
Apabila sampai di kawasan tanah perkuburan pelita di tangah Deman beberapa kali padam ditiup angin. Puas juga kami pasangkan semula, tetapi apinya tetap padam sekalipun angin tidaklah bertiup kencang. Kami terus juga meranduk mendekati suara jeritan halus yang kedengaran sampai ke rumah Sahak Domeh.
Ketika menghampiri kubur Anjang Tiamah, saya melihat seolah-olah unggun api menyala di atas kubur. Tergamam Sahak Domeh apakala melihat nyala api itu berpunca dari rekahan tanah kubur. Tidak ada unggun kayu di situ yang menyala kalau ianya dilakukan oleh orang yang sengaja mahu bersikap nakal.
"Ustaz, marilah ke depan," Sahak Domeh memanggil saya setelah menyedari keadaan sebenarnya berlaku. Jeritan halus meminta tolong itu memang datang dari rekahan tanah yang memancar nyala api itu. "Buatlah macam mana yang ustaz fikir baik," dia menahan keharuan dengan kejadian yang menimpa kubur emaknya.
Lantas saya mencapai jag air di tangan Latip Bincut yang telah didoakan dengan bacaan Yassin beramai-ramai di rumah Sahak Domeh. Ketika kami turun dari rumah pun, memang Ripin Jegil bersama jiran-jiran yang lain meneruskan membaca Yassin beramai-ramai. Sebab itu dia meminta saya temankan Sahak Domeh bersama Latip Bincut membawa jag air yang telah di-doakan bacaan Yassin itu.
Disebabkan mereka bertiga ketakutan dengan kejadian tersebut, sengaja mereka biarkan saya berseorangan sahaja menuju ke atas kubur. Sebaik sahaja dia mendekati kubur, tiba-tiba sahaja pelepah rembia yang dibuat penutup usungan melayang ke udara. Terpaksa saya mengelak kerana hampir menyinggahi kepala saya.
Pelepah rembia yang dianyam buat penutup usungan itu sebenarnya sudah ditetak untuk dimusnahkan sebaik sahaja jenazah selamat dikebumikan. Tiga kali pelepah rembia penutup usungan itu melayang ke udara seolah-olah menyerang menyebabkan saya hentakkan tumit tiga kali ke bumi dengan membaca-kan doa:
Qolillahhil hamdurabb is samawati • warabbil ardhi rabbil ‘alamin,walahul kibri ya-u fissamawati wal-ardhi wahuwal 'azizul-hakim.
Sekaligus pula terdengar desus angin laksana tiup basikal dibuka tutup, diikuti dengan pelepah rembia penutup usungan itu terpelanting ke tengah belukar. Kemudian terdengar pula di dalam belukar itu bagaikan babi hutan menyondol tanah. Lama belukar itu seolah-olah diserbu babi hutan barulah jeritan halus meminta tolong hilang bagaikan dibawa angin. Nyala api laksana unggun juga padam sebelum sempat saya siramkan air di dalam jag.
Disebabkan telah jejak kaki ke situ, saya siramkan juga air di dalam jag itu di atas kubur. Kemudian saya memanggil Sahak Domeh supaya pasangkan pelita. Saya desak mereka sama-sama bacakan Yassin di atas, kubur sekalipun gangguan itu tidak lagi menjelma.
Sepanjang membaca Yassin di atas kubur itu, Utih Deman masih lagi ketakutan sambil melingas-lingas memerhati keliling. Kesan rekahan di atas kubur tidak kelihatan lagi, sekalipun hangit laksana kain terbakar masih terhidu juga.
Memang kami berempat melihat kejadian yang berlaku di atas kubur Anjang Tiamah pada malam berkenaan. Balik dari menjengah kubur malam berkenaan baru Utih Deman berbisik kepada saya mengenai dia melihat muka jenazah menjadi hitam. Bimbang sangat dia mahu memberitahu kerana bimbang Sahak Domeh akan berkecil hati.
Tetapi Sahak Domeh juga mahu merahsiakan di memegang bahagian kaki jenazah seolah-olah menyentuh puntung terbakar. Terasa panas membahang, namun dia tetap tabahkan hati. Dia tidak mahu siapa pun mengetahui kejadian semasa emaknya dikebumikan.
Disebabkan malam itu kami berempat meranduk kegelapan untuk ke tanah kubur, terharu juga Sahak Domeh memberitahu saya sebelum naik ke rumahnya. Dia tidak terkilan dengan kejadian yang menimpa itu, kerana semuanya adalah ketentuan Allah. Siapa pun tidak dapat menyembunyikan sesuatu yang sudah menjadi ketentuan Allah akan berlaku di hadapan mata.
Memang kenangan lama itu sentiasa menjadi ingatan saya, setiap kali berkunjung ke kampung berkenaan. Sekalipun kampung yang dulu terperosok jauh, sudah mula membangun dengan jalan yang boleh dilalui kereta, tetapi kenangan saya bersama Utih Deman, Sahak Domeh dan Latip Bincut ini seolah-olah baru sahaja berlaku.
"Janganlah serik-serik datang ke kampung ni, ustaz" Utih Deman bergurau sewaktu menghantar saya bersama Kadir Misai ke kereta hanya beberapa rantai sahaja dari rumahnya ke jalan raya, setelah bertahun-tahun tidak bersua muka.