Sunday, April 30, 2017

226. DURI IKAN SEMBILANG DITUSUK DI KEPALA



KEMERIAHAN majlis perkahwinan yang berlangsung di rumah Mat Sunud bertukar menjadi muram. Sebelum berlangsung majlis berinai pada sebelah malamnya, telah berlaku kekecohan di sebelah petangnya ketika rombongan pengantin lelaki datang dari Tangkak di Johor.

Keputusan kedua pihak keluarga pada peringkat awalnya sudah dimungkiri. Semasa perundingan awal diadakan bagi melangsungkan perkahwinan Masimah anak gadis Mat Sunud di Tanjung Karang, memang sudah dipersetujui majlis persandingan hanya diadakan di sebelah pihak perempuan saja.

Persetujuan ini dicapai memandangkan kampung mereka berjauhan. Kalau mahu diadakan juga terpaksalah diadakan selang seminggu pula. Ketika ini sanak saudara juga ramai yang membuat kenduri nikah kahwin. Pihak keluarga lelaki memanglah bersetuju majlis persandingan dilangsungkan di sebelah pihak perempuan saja. Entah macam mana kekecohan mula berlaku sebaik saja pengantin lelakinya Jabal ditempatkan di rumah jiran pengantin perempuan sebagai tempat persinggahan, tiba-tiba saja pihak perempuan mahu juga diadakan majlis bertandang di rumah keluarga pengantin lelaki di Tangkak.

Pada mulanya pihak keluarga pengantin lelaki berkeras juga, kerana tidak sanggup mengadakan dua kali kenduri. Semasa mereka menghantar pengantin lelaki memang sudah diadakan kenduri membaca doa selamat. Tentulah menjadi serba salah untuk memanggil jiran-jiran  semula sekiranya mahu diadakan juga majlis bertandang itu.

"Minta maaflah bisan..." Mak Icum memeluk leher Hajah Semiah ketika menyampaikan keputusan sanak saudaranya.

"Dah kemudian pula timbulnya desakan dari bapa-bapa saudara Masimah" katanya menangis teresak-esak menahan malu apabila pihak sanak saudaranya bersikap demikian.

Sekiranya dia enggan menyampaikan keputusan tersebut, mereka semua akan memulaukan majlis persandingan berkenaan. Alasan yang mereka berikan ialah Masimah bukan janda. Sebab itulah mereka memaksa mesti diadakan juga majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki. Lagi pun semasa rundingan awal dibuat, hanya Mat Sunud saja yang memutuskan dengan tidak memanggil sanak saudara  yang lain.

Walaupun pada mulanya Hajah Semiah emak Jabal yang ikut sama dalam rombongan menghantar anaknya enggan menurut kemahuan pihak perempuan disebabkan mungkir janji, tetapi dia kasihan juga melihat keadaan Mak Icum yang sudah merayu-rayu mengakui akan kesilapan pihaknya itu. Terpaksalah Hajah Semiah menerima dengan tabah hati keputusan yang tidak diduganya. Semasa rombongan pengantin lelaki balik semula ke Tangkak petang itu juga, Jabal ditinggalkan bersama emak saudaranya Ngah Rupai, dan sepupunya Berahim yang menjadi pengapit pengantin.

Semasa majlis berinai hendak diadakan, Masimah yang sudah duduk di pelamin tiba-tiba tergolek ke bawah. Dia menggelupur bagaikan ikan tidak mendapat air di atas riba Mak Andam. Mereka yang berkerumun di atas rumah mahu melihat pengantin perempuan di atas pelamin menjadi gempar dengan kejadian tersebut. Cepat-cepat pula Mat Sunud berkejar ke rumah jirannya Bahar tempat persinggahan pengantin lelaki, memberitahu supaya ditangguhkan dulu kedatangan pengantin lelaki.

Sebaliknya apabila Mat Sunud sampai di rumah Bahar, beberapa orang yang menemani pengantin lelaki juga menjadi cemas kerana Jabal terlentang di hujung serambi mengerang-ngerang sakit kepala. Dia juga masih belum lagi memakai pakaian pengantin untuk majlis berinai. Sementara di khemah di hujung halaman, masing-masing belum mengetahui peristiwa yang menimpa kedua-dua pengantin. Mereka asyik mendengar permainan pancaragam yang mendendangkan lagu-lagu merdu.

"Macam mana kita nak buat ni?" tanya Ngah Rupai berpaling pada Mat Sunud.

Dia memicit-micit kepala Jabal bagi mententeramkan anak muda berkenaan. "Nantilah, saya suruh budak-budak panggilkan dukun" sahut Mat Sunud lantas menghilangkan diri di celah-celah orang ramai yang berkerumun di serambi rumah Bahar.

Tidak lama kemudian dia muncul semula dengan termengah-mengah mengesat peluh pada lehernya.

"Tengoklah kejap lagi, saya dah suruh budak panggilkan dukun" ujarnya mengeluh lemah.

"Masimah, apa khabarnya?" soal Bahar pula setelah diberitahu mengenai Masimah juga tidak sedarkan diri.

"Entahlah..., macam tu juga nampaknya" Mat Sunud menggeleng-geleng kepala tidak keruan.

"Adakah Pak Nud syak sesiapa yang buat...?" Bahar merasakan bertanggungjawab penuh ke atas pengantin lelaki, disebabkan rumahnya dijadikan tempat persinggahan.

Apa yang berlaku ke atas Jabal dia tidak boleh lepas tangan begitu saja. Mat Sunud menggeleng kepala. Sukar juga dia mahu menuduh sekiranya tidak ada bukti yang sahih. Lagi pun menuduh dengan tidak ada bukti mungkin menyebabkan orang marah, sehingga menambahkan lawan di dalam kampung sendiri. Perkahwinan anaknya Masimah dengan Jabal pun bukanlah atas pilihannya, tetapi mereka berdua berjanji setelah bertemu di Kuala Lumpur.

Mereka sama-sama bekerja di Kuala Lumpur. Di mana mereka mula bertemu, kemudiannya memadu janji hingga memutuskan untuk ke jinjang pelamin, Mat Sunud sendiri tidak tahu. Setelah anaknya Masimah memberitahu Jabal akan masuk meminang, dia hanya menerima dengan dada yang tebuka.

Dalam rundingan dengan keluarga Jabal, memang Mat Sunud sendiri bersetuju majlis bersanding dibuat di Tanjung Karang saja kerana kalau mahu bertandang pula ke Tangkak banyak masalahnya. Setelah diputuskan perundingan, tiba-tiba saja abang isterinya yang tinggal di Felda Jengka tidak bersetuju majlis bersanding itu habis di Tanjung Karang saja. Semua sanak saudara Mak Icum menyalahkan Mat Sunud kerana membuat keputusan sendiri, apabila menetapkan hari perkahwinan Masimah dan Jabal.

"Ini kerja orang dengki ni, dia sengaja nak beri malu Pak Nud agaknya" gerutu Bahar menggertap bibir. Geram benar dia dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab semasa pengantin hendak naik ke pelamin untuk upacara berinai.

"Entahlah, Bahar...mati akal aku!" keluh Mat Sunud mengesat pelupuk matanya.

Jabal mengerang-ngerang menahan kesakitan yang menyucuk-nyucuk tengkorak kepalanya. Dukun yang dipanggil tidak juga datang lagi setelah setengah jam mereka menunggu. Ketika ini orang memanggil Mat Sunud  dari rumahnya kerana keadaan Masimah masih membimbangkan. Bergegas-gegas pula Mat Sunud balik ke rumah dalam keadaan cemas mencengkam hatinya.

"Apa ikhtiar kita makcik?" tanya Bahar berpaling pada Ngah Rupai.

"Tak tau laa makcik, terpulanglah pada orang sini" sahut Ngah Rupai sambil jarinya memicit-micit kepala Jabal.

Peluh membasahi belakang Jabal hingga bajunya lembab. Terpaksalah pula Ngah Rupai membukakan baju tersebut  supaya suhu panas badan Jabal dapat dikurangkan. Dalam masa yang sama Masimah juga tidak beransur sembuh. Dia menggelepar dengan nafasnya sesak tercungap-cungap sama seperti ikan terdampar di pasir.

Sehingga jam 11.00 malam barulah Mat Sunud memberitahu orang pancaragam supaya menghentikan permainannya, lantas memberitahu mengenai kejadian yang menimpa kedua mempelai. Bertambah lagi murungnya suasana setelah pancaragam memberhentikan permainannya. Hanya tinggal keluh kesah sanak saudara Mak Icum dan Mat Sunud melihatkan dua mempelai terlantar menahan kesakitan masing-masing.

"Wak Golan dah ke Ulu Selangor, Pak Nud..." beritahu Jali Tenjot yang disuruh memanggil dukun.

Sebaik saja disuruh memanggil dukun, Jali Tenjot terus menunggang motorsikal Hondanya ke rumah Wak Golan. Tetapi dia diberitahu Wak Golan sudah ke rumah anaknya di Gedangsa, Hulu Selangor. Bertambah hampa Mat Sunud setelah mendengar Wak Golan yang diharapkannya boleh memulihkan kedua mempelai tidak ditemui. Dia sendiri tidak tahu apa harus dilakukan. Sepanjang ingatannya hanyalah Wak Golan yang menjadi dukun di sekitar kampungnya. Kepada orang tua itulah mereka menggantung harapan sekiranya diancam gangguan demikian. Tetapi bila Wak Golan tidak ada mereka seolah-olah putus asa mencari ikhtiar yang lain.

"Kalau sakit macam ni, carilah tok imam-tok imam ke, minta doakan...." ujar Ngah Rupai apabila diberitahu oleh Mat Sunud mengenai Wak Golan yang sudah pergi ke rumah anaknya di Gedangsa.

"Hah, elok juga tu" sahut Bahar menyetujui cadangan Ngah Rupai.

"Elok kita panggilkan Haji Madan, minta doa-doakan" katanya menggesa supaya segera diberitahu kepada Haji Madan.

Jali Tenjot terus menunggang motorsikal Hondanya dengan tidak mendapatkan persetujuan dari Mat Sunud untuk memanggil Haji Madan di seberang jalan. Dia juga tahu Haji Madan guru agama di situ yang selalu ditemui oleh orang-orang kampung meminta jasa baiknya mendoakan anak-anak mereka supaya lulus dalam peperiksaan. Semasa Jali tenjot sampai di halaman rumah Haji Madan, isteri Haji Madan baru saja menghidangkan kopi kepada kami di serambi.

Kebetulan saya singgah di rumah Haji Madan bersama seorang kawan lagi dalam perjalanan dari Teluk Intan. Setelah Jali Tenjot naik ke rumah, dia diperkenalkan oleh Haji Madan kepada saya dan Bumin, sambil mengajaknya minum kopi terlebih dulu.

 "Apa halnya ni?" tanya Haji Madan lantas menghulurkan cawan kopi o ke hadapan Jali Tenjot.

Tergagap-gagap Jali Tenjot menceritakan kejadian yang menimpa di majlis berinai anak Mat Sunud.Terbayang kegelisahan di wajahnya, disebabkan dia adalah anak saudara Mak Icum. Kejadian tersebut bukan saja memalukan keluarga dia, malah sebuah kampung menanggung malu kepada keluarga pengantin lelaki. Tentulah cerita mengenai kejadian tersebut tidak akan lenyap dalam masa sehari dua, kemungkinan akan menjadi buah mulut kepada seisi kampung.

Majlis perkahwinan adalah bertujuan untuk sama-sama memeriahkan kedua mempelai, serta menemukan mereka dengan sanak saudara. Tetapi dengan kejadian yang tiba-tiba saja diserang sakit, bukanlah merupakan penyakit turun-temurun yang datang menyerang. Sudah tentulah ada orang yang iri hati melakukan kerja-kerja sihir bagi merosakkan nama baik keluarga Mat Sunud.

"Emm, kita minum kopi dulu" ujar Haji Madan tersengih-sengih.

"Kopi ni, Mak Aji kau sendiri yang tumbuk" katanya sambil mengerling isterinya yang tersenyum tersipu-sipu.

Disebabkan Haji Madan sudah dijemput orang lantas saya mengajak Bumin balik, kerana saya menumpang keretanya. Tetapi kalau saya melalui jalan tersebut ke Teluk Intan, memang saya singgah di rumahnya. Kadangkala kalau melebihi jam 11.00 malam pun saya tetap singgah, kerana dia masih belum tidur lagi. Malah dia akan memarahi saya kalau tidak singgah sekiranya dia tahu saya ke Teluk Intan atau ke Kampung Gajah melalui jalan tersebut.

"Biarlah saya minta diri dulu, tuan..." saya menghulur tangan untuk berjabat salam.

"Hiss, nanti dulu Ustaz" katanya menepis tangan saya.

"Ini Fardhu Kifayah, Jali ni datang betul-betul berharap, marilah sama" Haji Madan tidak membenarkan saya balik.

"Tak apalah tuan, Bumin ni ada hal besok" saya cuba mengelak.

"Halnya besok, bukan malam ni!" Haji Madan berkeras tidak mahu melepaskan saya pergi.

"Macam mana Bumin?" sengaja saya mencuit Bumin. Belum pun sempat Bumin menyahut cepat-cepat Haji Madan memotong,

"Bumin belum nak balik lagi tu, Ustaz ni aje yang pandai-pandai" dia bangun berdiri sambil meminta isterinya mengambilkan lampu picit.

Dia menarik tangan saya mengikutinya ke rumah pengantin. Bumin hanya tersengih-sengih melihat telatah Haji Madan yang langsung tidak memberi peluang kami mengelakkan diri mengikutinya. Malam sudah mulai sepi, tetapi kawasan sawah luas terbentang itu nampak berbalam-balam cahaya api dari setiap rumah. Di jalan besar melintasi sawah itu juga sekali-sekala ada juga kereta meluncur.

Semasa kami sampai di rumah Mat Sunud pengantin perempuan masih berpakaian pengantin lagi, tetapi sanggulnya sudah terurai. Dia menggelepar-gelepar juga tercungap-cungap sukar bernafas seperti ikan terdampar di pasir.

"Yang lelakinya di mana?" soal Haji Madan sebaik saja duduk menyandarkan belakang ke dinding.

"Di rumah Bahar" beritahu Mat Sunud.

Kemudian barulah Haji Madan  memperkenalkan saya dan Bumin kepada Mat Sunud dan keluarganya.

"Macam mana Ustaz?" Haji Madan menepuk bahu saya.

"Terpulanglah pada tuan..." ujar saya menghela nafas.

"Kalau macam tu, bawa pengantin lelaki tu ke mari" Haji Madan mencadangkan.

"Di sini, boleh kita sama-sama ikhtiarkan" katanya semacam memberi arahan kepada Mat Sunud.

Dengan tidak membantah Mat Sunud mengajak Jali Tenjot membawa pengantin lelaki ke rumahnya. Suasana muram di rumah pengantin itu jelas terbayang di setiap wajah yang lesu berceratuk memenuhi ruang rumah. Mereka masih kebingungan dengan peristiwa tersebut, walaupun sudah diusahakan dengan berbagai jampi serapah oleh beberapa orang yang berpengalaman juga mengubati penyakit seperti itu.

Disebabkan Wak Golan tidak ada, dua tiga orang yang pernah berguru dengan Wak Golan telah mencuba kemampuan masing-masing. Namun Masimah dan Jabal tidak juga dapat dipulihkan. Ketika Jabal dipapah datang ke rumah Mat Sunud, mukanya pucat. Kuku jari-jarinya lebam. Dia mengerang-ngerang juga menahan sakit kepala. Haji Madan menyuruh dibaringkan Jabal  berhampiran dengan Masimah.

Kemudian dia duduk di tengah-tengah pada bahagian hulu kepala. Dia menyuruh saya duduk di bahagian lunjur kaki kedua pengantin itu. Sebaik saja saya duduk tiba-tiba Masimah bingkas bangun lantas meludah saya berulang kali, menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut. Mat Sunud dan Jali Tenjot segera menerpa memegangkan Masimah yang tiba-tiba saja menjadi berang melihat saya duduk di lunjur kakinya. Sekali-sekala dia mengerling ke arah Jabal yang terbaring mengerang-ngerang menahan sakit kepalanya yang mendenyut-denyut.

"Kenapa kau marahkan dia....!" jerkah haji Madan menepuk dua tangannya ke paha.

"Orang ni jahat" sahut Masimah ketawa terkekeh-kekeh, menudingkan jarinya ke arah saya.

"Ha, ha...sekarang kau dah tunjukkan diri kau..." ejek Haji Madan meletakkan tapak tangannya ke kepala Masimah. Sekaligus gadis itu meronta-ronta sambil memekik kesakitan.

"His, belum apa-apa dah memekik, tadi kau tunjukkan kuat sangat...!" ujar Haji Madan tersenyum sinis.

Masimah meronta-ronta tetapi tidak dapat melepaskan diri dari pegangan Jali Tenjot dan Mat Sunud. Ketika ini terdengar bunyi dinding berdegam seperti dirempuh kuat tetapi tidak ada apa-apa yang kelihatan merempuh dinding.

 "Halau dia tu, halau dia...!" pekik Masimah menuding-nuding ke arah saya.

"Dia tu orang jahat, dialah yang suruh aku ke mari" katanya ketawa mengejek.

"Setan memang nak laga-lagakan orang" sahut Haji Madan tidak melepaskan  tangannya di kepala Masimah.

"Kau fikir kami percaya dengan tipu muslihat kau? Ustaz tu baru tak sampai sejam datang" ujarnya merentap tangannya dari kepala Masimah.

Mat Sunud menyangka saya tersinggung apabila diludah oleh Masimah beberapa kali menyebabkan dia berkali-kali meminta maaf. Tetapi saya tidak hiraukan sangat kekeliruan Mat Sunud itu, kerana saya menyedari sewaktu sampai ke halaman rumah saya melihat seolah-olah terbayang satu cahaya seperti benang putih di bumbung rumah sampai mencecah ke awan.

Oleh itu sebelum naik ke rumah saya sudah membacakan Ayat Kursi 33 kali sehingga saya duduk berhampiran dengan Masimah. Kemudian saya berzikir halus di dalam hati, menyebabkan benang putih itu terputus hingga kedengaran oleh orang ramai bunyi berdegam memukul ke dinding.

"Ustaz ni orang jahat...!" Masimah tersengguk-sengguk menangis seperti orang putus asa.

"Engkau yang jahat, menyusahkan orang!" suara Mat Sunud keras mengherdik.

"Kami bukan kacau kau, kenapa kau kacau kami?" dia sudah mula memahami apa sebenarnya sedang mengganggu anaknya ketika itu.

Memandangkan keadaan Masimah bertambah garang, sedangkan Jabal mengerang-ngerang saja menahan kesakitan, saya pun meminta izin untuk memegang kepala Masimah. Dia memarahi saya sebaik saja tangan saya menyentuh kepalanya, tetapi saya membongkok merapatkan mulut saya ke telinga kanannya. Saya melaungkan azan perlahan 5 kali di telinga kanan, dan 5 kali di telinga kiri. Semasa saya melaungkan azan ini Masimah menjerit-jerit mengatakan petir dan kilat memusnahkan rumahnya.

"Ah, rumah ni elok, tak roboh pun. Tak ada pun kilat, tak ada petir..." Mak Icum yang mendiamkan diri sejak tadi tiba-tiba saja bersuara lesu.

"Cukup dulu..." kata saya kembali duduk di lunjur kaki Masimah.

"Kalau kau berdegil, aku akan timpakan kau dengan gunung" ujar saya memberi amaran.

Masimah mulai ketakutan merenung muka saya. Tubuhnya menjadi longlai tidak bermaya.

"Nah, lawanlah sangat" sergah Haji Madan mengejek.

Ketika ini saya melihat Jabal tidak mengerang-ngerang lagi. Dia hanya keletihan terlentang melepaskan lelah. Saya bangun mengangkat kepala Jabal menghembuskan perlahan dengan membaca Surah Al-Ikhlas 11 kali diikuti dengan Surah Al-Falak dan Surah An-Nas sekali. Selepas itu barulah Jabal menggosok-gosok matanya lantas meminta air untuk diminum. Dia sendiri seperti orang kebingungan kerana tidak tahu apa yang telah berlaku kepada dirinya dan isterinya yang akan menjalani upacara berinai dan seterusnya bersanding.

Mujurlah mereka berdua sempat diakad-nikahkan sebelum majlis berinai itu. Setelah diterangkan kepadanya bahawa Masimah masih tidak sedarkan diri, Jabal mengangguk lemah. Dia sendiri mengadu masih terasa sengal-sengal di kepalanya walaupun tidaklah sakit berdenyut-denyut lagi.

"Haji Madan, buat apa kau bawa Ustaz ni?" Masimah menggertap bibir tetapi tidak berani merenung muka saya.

"Ah, aku tak mau layan kau. Aku beri tempoh lima minit. kalau kau tak pergi tinggalkan Masimah, Ustaz ni akan timpakan gunung, aku akan ambil barang mainan kau tu!" tegas Haji Madan memberi amaran.

"Buatlah, apa kau nak buat" sahutnya tersengih-sengih memaling mukanya merenung ke bumbung atap. Saya ikut merenung ke atas memerhatikan bumbung yang direnung Masimah. Lantas saya membacakan innahu minal-Sulaiman wainnahu bismillahhir Rahmannir Rahim 10 kali, kemudian saya seolah-olah terlihat seorang perempuan tua berambut penuh uban termengah-mengah memerhatikan ikan sembilang di lantai menggelepar tidak mendapat air. Duri sembilang itu tertusuk kepada buah limau yang berbungkus kain putih diikat dengan benang, tetapi sudah terlepas dari tusukannya.

"Ustaz, kita mulakan...." kata Haji Madan bangun sambil meminta air sejuk segelas. Setelah diberikan air tersebut,
Haji Madan menjulang gelas berisi air itu tinggi melampaui kepalanya, dan saya mendengar dia membacakan Ayat dari Surah Al-Jin Quluhiyya innahus tamaa nafarun minal-jinni...hingga beberapa ayat lagi. Kemudian saya menudingkan jari ke muka Masimah seolah-olah saya menuding ke muka perempuan tua yang mengadap ikan sembilang di lantai itu sambil membisikkan

"Sejuk kau, sejuk kau...aku kirimkan air batu...", sekaligus pula saya melupakan Masimah terbaring di hadapan saya. Ketika ini semua orang melihat Masimah terketar-ketar menahan kesejukan, hingga bibir dan jari kecut seperti terkurung di dalam air batu. Dalam masa inilah orang ramai mendengar satu letupan kecil di gelas yang dipegang olah Haji Madan.

Bila dia duduk semula sambil meletakkan gelas berisi air itu di hadapannya, semua orang melihat seekor anak sembilang sebesar ibu jari terkotek-kotek di dalam air. Tubuhnya terikat dengan benang yang bersambung pada sebiji limau berbungkus dengan kain putih. Kira-kira 15 minit kemudiannya barulah Masimah sedarkan diri semula. Hanya 5 bulan lepas kejadian itu, semasa saya dan Bumin singgah di rumah Haji Madan beliau menceritakan Jabal dan Masimah selamat disandingkan dengan tidak ada gangguan apa-apa. Tetapi Haji Madan sendiri terkejut bila diberitahu seorang dukun perempuan jauh dari situ, mati dalam keadaan mengerekot. Seluruh tubuhnya kecut seperti terkurung di dalam air batu.

TAMAT

Sunday, April 23, 2017

225. PUKUL CUCU MATIKAN DATUK


  SELAMA tiga hari tiga malam Tok Sagak terkejang di tengah rumah dihadap oleh anak-anak dan cucu-cucunya. Nafasnya kencang turun naik dengan mata terpejam. Badannya sudah tidak bergerak selama tiga hari tiga malam itu juga. Orang-orang kampung sudah tiga malam juga berturut-turut berhimpun sampai empat puluh orang membacakan Yassin. Tetapi Tok Sagak tercungap-cungap juga terkejang di tempat tidurnya.
Anak-anak dan cucu-cucunya memang rela dia menghembuskan nafasnya lebih cepat dari terkejang saja tidak bergerak-gerak. Masing-masing berdoa biarlah Tok Sagak menghembuskan nafas dengan aman tenteram, asalkan tidak menanggung kepayahan seperti yang dideritainya ketika itu.
Mat Joi menantunya yang tua duduk di hulu kepalanya mencecahkan air yang sudah dibacakan Yassin ke mulutnya. Tetapi mulutnya tidak bergerak-gerak lagi sekalipun Mat Joi menggunakan hujung daun sirih untuk menyudukan air ke mulut orang tua berkenaan. Lambat air yang tergenang di bibirnya itu masuk ke dalam mulut melalui rekahan bibirnya yang terbuka sedikit.
 "Emmm, susahnya dia nak pergi" keluh Mat Joi sambil menyudukan air yang didoakan dengan bacaan Yassin itu ke mulutnya menggunakan hujung daun sirih.
"Mengucap Tok" cucunya Tahrim membongkok membisikkan ke telinganya.
"Ingatkan Allah, Allah... Allah, ingatkan Allah Tok" Tahrim membisikkan kuat sedikit.
Tetapi Tok Sagak tetap terpejam tidak bergerak apa-apa. Nafasnya kencang turun naik tercungap-cungap. Dia tidak lagi mengerang-ngerang sakit seperti tiga hari sebelumnya. Tidak lagi menggeliat-geliat meminta picitkan betis, paha, lengan, kepala dan dada. Dia sudah nazak menunggu panggilan Ilahi pada saat yang ditetapkan. Memang siapa pun tidak mengetahui masa yang tidak diundurkan dan tidak didahulukan walau sesaat pun itu.
"Ingatkan Allah, Tok. Allah, Allah, Allah..." Tahrim tidak lekang bibir dari telinga datuknya.
Dia berdoa biarlah datuknya sentiasa mengingati Allah dalam perjalanannya yang demikian. Tiga hari sebelumnya Tok Sagak mengerang-ngerang sakit di seluruh badannya. Kaki, betis, paha, lengan dan kepala semuanya berdenyut-denyut. Merintih-rintih dia minta dipicitkan. Anak-anak dan cucu-cucunya tidak lekang duduk menjaga disisinya bertukar ganti. Tahrim yang bertugas dengan askar pun diberitahu mengenai datuknya yang sakit, terpaksa balik tergesa-gesa.
Tetapi Tahrim tidak dapat lagi bercakap-cakap dengan datuknya. Dia sampai di kampung Tok Sagak sudah sehari semalam tidak dapat bercakap lagi. Tubuhnya terkejang saja tidak bergerak-gerak. Hanya nafasnya saja kencang turun naik tercungap-cungap. Semua sanak saudaranya tahu Tahrim memang cucu kesayangan Tok Sagak. Sepanjang masa dia mengerang-ngerang tiga hari sebelumnya sempat juga dia menyebut nama Tahrim berulang kali.
"Cubalah panggilkan sesiapa yang tau" tiba-tiba saja Pak Sidi adik Tok Sagak bangun dari hujung serambi. Gelisah juga dia melihat keadaan abangnya yang tercungap-cungap nazak sejak tiga hari tiga malam.
"Cuba-cuba bolehlah..." sahut Mat Joi mendongak ke pintu tengah memerhatikan Pak Sidi berjalan ke tengah rumah.
"Di Kampung Hilir tu, Bilal tu...cuba-cubalah tanyakan..." ujarnya memberitahu mengenai ayah saya.
 "Haa, dia tu...anak Tok Aji" Pak Sidi lantas terangguk-angguk bersetuju dengan cadangan Mat Joi.
Tidak bertangguh lagi dia menyuruh Tahrim ke Kampung Hilir menjemput ayah saya. Malam itu juga ayah saya ke rumah Tok Sagak. Ketika ayah saya sampai keadaan Tok Sagak masih tidak berubah, tetapi mulutnya sudah berbuih putih. Mungkin juga buih itu berpunca dari Surah Yassin yang tidak turun ke kerongkongnya.
"Dah baca Yassin?" soal ayah saya sebaik saja dia melepaskan lelah.
"Sudah tiga malam berturut-turut, Bilal...." sahut Pak Sidi menghela nafas.
"Cubalah Bilal tengok-tengokkan, di mana lagi silapnya" ujarnya  tidak sabar lagi melihat keadaan abangnya yang tercungap-cungap.
"Takat tengok-tengokkan, awak pun boleh tengokkan!" ujar ayah saya berjenaka.
Memang sikap ayah saya suka berjenaka sekalipun dalam keadaan orang-orang disitu semuanya resah gelisah.
"Ustaz, tak ada balik Tok Bilal?" tanya Mat Joi pula, kerana dia tahu anaknya Tahrim memang berkawan baik dengan saya.
"Minggu ni tak balik pula..." beritahu ayah saya tersengih-sengih.
Setelah duduk beberapa minit, barulah ayah saya merapati Tok Sagak yang sudah nazak itu. Dia membongkok melekapkan telinganya ke dada orang tua berkenaan sambil mulutnya terkumat-kamit membacakan: Allahhu yaptafilan-fusihina mautiha-wallati lamtamut-fimanamiha fayum-saqullati qadaalihalmaut, wayarsilauhra illa-ajalun masammim inna-fizalikaliayatun likulli-yatafaqarun...

Nafas Tok Sagak yang kencang mula beransur kendur, tetapi dia menghelanya panjang sambil menghembuskan pula satu-satu.
"Siapa anak atau cucunya yang paling dia sayang?" soal ayah saya memerhati Pak Sidi.
 Menggeleng-geleng kepala Pak Sidi, kerana dia tidak dapat mempastikan siapakah di antara anak-anak atau cucu-cucunya yang menjadi kesayangan Tok Sagak. Sepanjang ingatan Pak Sidi semua cucu-cucu dan anak-anaknya mendapat kasih sayang yang sama dari Tok Sagak.
"Selalunya kalau ada apa-apa hal hendak dicakapkannya..." kata anak perempuannya yang tua Ulung Mahawa, "Dia cakap pada Tahrim saja. Memang Tahrim pun yang rapat sangat dengan dia...!" ujarnya memuncungkan bibir pada anaknya Tahrim.
"Kalau macam tu, Tahrim ke mari" ayah saya menggamitnya. Tahrim mendekati ayah saya dengan menginsut punggung.
 "Duduk disitu, dan letakkan mulut kau ke telinganya" ayah saya macam memberi perintah.
Tahrim mengikut saja perintah ayah saya lantas duduk di sisi kepala datuknya membongkok meletakkan mulutnya ke telinga orang tua itu.
 "Ikut apa yang aku cakap" ayah saya menepuk bahunya. Tahrim mengangguk memberi isyarat sudah bersedia melakukan apa saja yang dikehendaki oleh ayah saya.
"Atuk, pulanglah dulu. Segala yang tinggal ini terletak atas bahu aku..." kata ayah saya menyuruh Tahrim membisikkan  ke telinga Tok Sagak. Tahrim membisikkan seperti yang diajarkan oleh ayah saya itu.
Beberapa saat Tok Sagak membuka matanya, tetapi kemudian dipejamkan semula. Nafasnya satu-satu memanjang membayangkan betapa payahnya dia mahu bernafas dalam keadaan demikian. Kepayahan inilah yang menyebabkan sanak-saudaranya tidak sanggup lagi membiarkan dia lebih lama menanggung penderitaan tersebut.
 "Sekarang, kau cium pusatnya" perintah ayah saya selanjutnya. Tahrim beredar dari sisi kepala datuknya menginsut punggung ke sebelah rusuk datuknya pula. Dia membongkok mengucup pusat datuknya sambil menunggu arahan ayah saya seterusnya. Tetapi ayah saya tidak menyuruh apa-apa lagi. Dia membiarkan Tahrim membongkok mencium pusat datuknya. Kemudian dia mengisar-ngisar tangannya  membaca doa lantas  dihembuskannya perlahan-lahan ke kepala Tahrim. Selepas itu dia bangun membuka ikat tali pinggangnya. Dengan tidak diduga oleh sesiapa pun ayah saya memukulkan tali pinggang itu ke belakang Tahrim. Dua kali ayah saya memukulnya sebagai isyarat saja, tiba-tiba saja Tok Sagak menghembuskan nafasnya yang terakhir.
"Alhamdulillah" ayah saya tersenyum setelah diberitahu mengenai Tok Sagak sudah pun menghembuskan nafasnya.
"Kalau tidak sampai beratus kali pun kau kena tahanlah kena pukul Tahrim" katanya mengusik anak muda itu.
Tahrim tersengih-sengih. Dia tahu ayah saya memang suka berjenaka. Dia tidak peduli sama ada suasana gembira atau suasana muram dia tetap suka berjenaka.
 "Kalau sampai pengsan kena pukul pun, atuk punya fasal tak apa Tok Bilal...." ujar Tahrim terharu.
Dia tidak sedih lagi dengan kehilangan datuknya, tetapi terharu dengan kejadian yang dialami oleh datuknya itu. Sejak balik ke kampung setelah diberitahu mengenai datuknya sakit tenat, Tahrim sentiasa gelisah dengan keadaan orang tua itu. Dia sudah melakukan segala nasihat datuk saudaranya Pak Sidi, membukakan sekeping atap, sekeping lantai dan membuangkan anak tangga bongsu.
Masing-masing mengagak tentulah Tok Sagak mengamalkan ilmu 'sangka bunuh' menyebabkan terlalu sukar baginya mahu menghembuskan nafas. Tetapi setelah dilakukan petua-petua menghapuskan ilmu 'sangka bunuh' dengan membukakan atap sekeping, lantai sekeping dan membuang anak tangga bongsu, ternyata Tok Sagak tidak mengamalkan ilmu tersebut. Dia terus nazak dengan mengharapkan pertolongan bagi melepaskan dirinya dari kepayahan tersebut.
Setelah Tok Sagak meninggal dunia jenazahnya dibujurkan sementara menunggu hari siang. Ayah saya pun balik ke rumah selepas tugasnya disitu selesai. Semasa ayah saya sampai di rumah, saya sudah pun balik ke kampung. Dia terus memberitahu saya mengenai kematian Tok Sagak. Disebabkan sudah pukul 1.30 pagi ayah saya balik ke rumah menyampaikan khabar kematian Tok Sagak tidak dapatlah saya menziarahinya pada malam itu.
Esoknya barulah saya menziarahi jenazah Tok Sagak bersama ayah saya. Ketika kami sampai pukul 10.00 pagi, sanak saudaranya sedang memandikan jenazah kerana mahu segera dikebumikan. Tahrim memberitahu saya bau jenazah itu sudah mula mengganggu, walaupun kebiasaannya jenazah tidak akan berbau kalau satu malam  saja ditangguhkan pengkebumiannya. Keadaan di atas rumah juga menjadi gempar kerana sewaktu dimandikan daging jenazah pula menjadi reput bila digosok hingga terlekat pada sabun.
"Macam mana ni...?" Ulung Mahawa mula tersengguk-sengguk melihat daging jenazah mudah saja terlekang bila digosok kuat sedikit.
Melihat keadaan tersebut ayah saya menasihatkan supaya jenazah dimandikan dengan tidak payah digosok. Hanya disiramkan saja air mengikut ala kadar saja bagi mengelakkan daging jenazah habis luruh. Bau busuk juga meruap-ruap sekali sekala bila angin bertiup, seolah-olah jenazah itu sudah tiga hari meninggal dunia.
Atas sebab-sebab demikianlah pengurusan mengkebumikan jenazah dilakukan dengan segera. Memandikan jenazah pun tidak memakan masa yang lama, hanya cukup sekadar dapat dibersihkan saja. Selepas itu dikapan dengan dibubuh banyak sedikit kapur barus. Setelah selesai disembahyangkan, kami sama-sama menghantarkannya ke kubur.
Tahrim disuruh oleh ayah saya memikul usungan dengan tidak digilir-gilir hingga sampai ke kubur. Dia juga menyambut jenazah dari lubang kubur untuk dimasukkan ke liang lahad. Semua yang disuruh oleh ayah saya dipatuhi oleh Tahrim. Saya juga ikut sama memikul usungan Tok Sagak, tetapi kami memikulnya secara bergilir-gilir.
Pada malam selepas Tok Sagak dikebumikan, Mat Joi datang ke rumah ayah saya kira-kira jam 12.30 malam memberitahu Tahrim tidak sedarkan diri secara tiba-tiba. Tubuhnya menggeletar seperti orang dalam ketakutan, matanya meliar memerhati sekeliling kasau atap, sambil bibirnya kumat-kamit merungut tidak tentu biji butir.
Disebabkan saya masih berada di kampung, saya pun ikut menemankan ayah saya ke rumah Mat Joi setelah diberitahu mengenai kejadian yang menimpa diri Tahrim. Kebimbangan yang bersarang di hati Mat Joi selepas kematian mertuanya, bertambah lagi dengan keadaan Tahrim. Apa lagi cuti Tahrim juga sudah tamat tempohnya. Ketika saya bersama ayah saya sampai, saya dapati Tahrim menyorokkan mukanya di bawah bantal. Dia terketar-ketar bagaikan menghadapi ancaman yang amat mengerikan. Tidak ada sepatah kata pun terluah dari mulutnya kecuali rungutan yang tidak difahami biji butirnya.
"Tok Bilal tengokkan laa Tahrim ni...." ujar Ulung Mahawa terharu setelah mempersilakan kami duduk.
"Tolong laa....tengokkan Ustaz, apa kenanya Tahrim ni...besok nak balik kerja dia tu" jelasnya bercampur bimbang sekiranya Tahrim tidak dapat balik bertugas semula setelah cutinya berakhir.
"Hah, tengokkanlah Angah" ayah saya menepuk paha saya.
Serba salah juga saya apabila ayah saya sudah melepaskan tanggungjawab yang diharapkan oleh Mat Joi darinya itu, kepada saya pula. Kadangkala berdetak juga hati saya tidak mahu menziarahi teman-teman yang menghadapi gangguan seperti dialami oleh Tahrim. Tetapi sekali sekala saya balik ke kampung hati saya merasa macam bersalah kalau tidak menziarahi jiran-jiran atau kawan-kawan yang sakit demikian.
Tujuan saya untuk menziarahi sudah bertukar pula dengan harapan keluarga berkenaan meminta diubati si sakit. Sewaktu Mat Joi datang menjemput ayah saya, tujuan saya mengikutnya semata-mata untuk menziarahi Tahrim yang dikatakan sakit. Tetapi ayah saya sendiri yang menyuruh saya mengubati Tahrim.
"Tengokkanlah Ustaz, Tahrim ni.." desak Ulung Mahawa lagi. Saya tidak menyahut.
Saya mendekati Tahrim yang menyembunyikan mukanya di bawah bantal.
"Apa kena kau Tahrim?" soal saya menepuk-nepuk bahunya.
 Dia menggeleng-gelengkan kepala sambil mulutnya merungut-rungut. Tidak dapat saya fahami langsung biji butirnya.
 "Apa yang kau nampak?" soal saya lagi. Tahrim merungut-rungut juga, sambil jari telunjuknya menuding ke ceruk pintu.
"Tak ada apa pun di situ..." beritahu saya tersengih-sengih.
 "Bukalah muka kau, tak ada siapa pun di situ" kata saya merenung ke ceruk pintu yang ditudingnya.
Lama saya merenung ke situ barulah saya nampak berbayang-bayang Tok Sagak berdiri melambai-lambai. Saya terus bangun mendapatkan Tok Sagak lantas berjabat tangan. Kemudian saya mengajak ke serambi duduk disitu, sambil saya memarahi dia kerana datang mengganggu Tahrim.
"Tok, bukan nak ganggu dia...tok nak jaga dia.." ujar Tok Sagak perlahan.
"Tak perlu tok jaga dia" jelas saya memujuknya.
"Allah lebih baik melindungi dia dari tok sendiri" kata saya mengingatkan dia.
"Tok sayangkan dia..." balasnya menunduk.
"Allah lebih sayangkan dia dari tok" saya masih berkeras tidak membenarkan dia mengganggu Tahrim.
Dia terdiam bila saya bacakan Surah Al-Ikhlas di depannya 11 kali, menyebabkan dia menangis tersedu-sedu.
"Tok jangan menangis, janganlah tok bimbangkan dia. Allah lebih sempurna pemeliharaanNya dari tok" ujar saya tegas.
"Sedangkan tok sendiri pun mengharapkan perlindungan Allah, macam mana tok nak melindungkan orang lain. Tok pun makhluk yang lemah..." kata saya menepuk-nepuk bahunya berulang kali.
Dia mengangguk-angguk mempersetujui nasihat saya.
"Baliklah tok dulu..Tahrim pun nak balik bekerja besok. Nanti kalau Tahrim dibuang kerja, tentu tok juga tak sukakan?" ujar saya memujuknya.
Bayangan Tok Sagak mengangguk. Dia bangun lemah dari tempat duduknya meminta diri untuk meninggalkan rumah tersebut. Sebelum dia menuruni tangga sempat dia masuk ke dalam mengucup dahi Tamrin. Kemudian dia berjabat salam dengan saya sebelum meninggalkan rumah tersebut dengan linangan air matanya.
Kira-kira setengah jam selepas itu saya merasa bahu saya ditepuk. Apabila saya berpaling saya dapati ayah saya tersenyum gembira.
"Alhamdulillah.." kata saya memberi isyarat dengan ekor matanya menunjukkan Tahrim sudah mula sedarkan diri sekalipun tubuhnya masih lemah lagi.
 "Apa kena kau Tahrim?" tanya ayah saya tersengih-sengih mengusiknya.
"Entahlah, Tok Bilal" sahutnya menggeleng-geleng lemah.
"Apa kenanya Ustaz?" Ulung Mahawa pula mendesak saya.
"Entahlah Ulung" beritahu saya serba salah mahu menerangkan sesuatu yang tidak dapat hendak digambarkan kepadanya.
"Tahrim dah sembuh, syukurlah" ujar saya supaya tidak didesak lagi oleh Ulung Mahawa.
 Bagaimanapun Ulung Mahawa tidak puas hati dengan jawapan saya itu, tetapi dia tidaklah berani mendesak sangat. Jauh di sudut hati Ulung Mahawa dia menuduh ada di antara saudara-maranya yang irihati kepada anaknya Tahrim, disebabkan dia merupakan  cucu kesayangan aruah Tok Sagak. Sebab itulah mereka melakukan apa saja untuk memusnahkan Tahrim. Namun saya tetap menafikan anggapan Ulung Mahawa itu. Inilah menyebabkan dia tidak berpuas hati dengan penjelasan saya.
Hanya beberapa bulan selepas itulah baru Tahrim menceritakan kepada emaknya, dia ketakutan sewaktu dikatakan tidak sedarkan diri itu, kerana aruah datuknya Tok Sagak datang mengajaknya pergi. Puas Tok Sagak menghulur tangan meminta Tahrim memautnya, tetapi Tahrim ketakutan untuk menyambut tangan aruah datuknya. Entah mengapa Tahrim dapat berfikir bahawa datuknya baru saja meninggal dunia sebelah siangnya.
Sebab itulah dia tidak mahu menyambut tangan yang dihulurkan oleh Tok Sagak mengajaknya pergi dari situ. Dia seolah-olah nampak datuknya berbual-bual dengan saya di serambi. Pada mulanya dia nampak datuknya bercakap dengan suara lantang tidak puas hati kerana saya menghalang  dia dari membawa cucunya. Tetapi suaranya lama kelamaan merendah hingga menangis teresak-esak. Tahrim pula tidak tahu apa yang saya cakapkan bersama datuknya. Tidak lama setelah datuknya bercakap-cakap dengan saya, Tahrim dapat melihat dengan jelas datuknya mencium dahinya sebelum pergi menuruni tangga.
Selepas itu tiba-tiba saja sekitar rumah menjadi gelap gelita beberapa minit, hingga dia terkejut bangun dari tidurnya. Hairan juga dia bila didapatinya saya dan ayah saya beserta beberapa orang jiran lain ada di sisinya.
Tetapi cerita Tahrim tidak habis disitu saja. Sehingga dia berhenti askar pun saya mendengar cerita mengenai keistimewaan dirinya, sedangkan dia sendiri tidak mengetahui dari mana datangnya keistimewaan tersebut. Saya mendengar cerita Tahrim menolong sepupunya menebang pokok rambai berhampiran dengan rumahnya. Semasa pokok rambai tumbang, Tahrim tidak dapat mengelakkan diri lantas dihempapnya.
Sepupunya Mat Derih menjadi panik, lantas melaung memanggil jiran-jiran datang membantu. Sewaktu jiran-jiran sampai, Tahrim merangkak-rangkak keluar dari bawah dahan dan ranting-ranting rambai yang menimpanya. Hanya bahu dan belakangnya saja calar-calar ringan, sedangkan seluruh anggota badannya tidak terjejas langsung. Bila ditanyakan oleh Mat Derih mengenai peristiwa tersebut, Tahrim hanya menggeleng-geleng kepala saja, kerana dia sendiri pun tidak tahu apa yang telah terjadi.
Semasa masih berkhidmat dalam askar pun, Tahrim pernah mengalami kejadian yang tidak disangka-sangkanya. Pasukannya telah membuat operasi jauh ke hutan. Apabila berkhemah di satu kawasan Tahrim ditugaskan berkawal hingga tengah malamnya. Dengan tidak disedarinya Tahrim merasai tersangat mengantuk lantas tertidur waktu berkawal ini. Kira-kira jam 2.00 pagi seorang anggota lain yang ditugaskan menggantikan tempat Tahrim berkawal datang ke tempat dia berkawal. Alangkah terkejutnya kawan itu apabila dilihatnya Tahrim tidur nyenyak di atas perut seekor harimau yang berbaring di sisinya.
Keesokan harinya Tahrim disoal oleh ketuanya mengapa tidak mahu digantikan berkawal oleh rakannya, dia sendiri terpinga-pinga tidak tahu apa yang telah berlaku ke atas dirinya. Apabila diberitahu oleh kawannya dia tertidur di atas perut harimau yang mengambil alih tugasnya berkawal, Tahrim hanya menerangkan semuanya itu cerita karut.
Setelah bersara dari askar Tahrim menetap semula di kampung. Setiap kali saya balik ke kampung, saya akan singgah minum kopi di warung kecil yang dibukanya.
"Beginilah Ustaz" kata Tahrim tersengih-sengih bila saya singgah minum kopi di warungnya.
"Masa muda jadi askar, dah tua jadi jaga" ujarnya berjenaka.
"Tapi jadi jaga di warung ni bagus, Rim" sahut saya tersenyum.
 "Bukannya jadi jaga berdiri depan bank perhatikan orang keluar masuk bawa duit. Tapi jadi jaga di warung ni, sendiri memerhatikan duit keluar masuk" saya sengaja mengusiknya. Bagaimanapun setiap kali saya mahu membayar duit kopinya, Tahrim tetap menolak. "Bukan selalu Ustaz minum di warung ni, sekali-sekala aje" katanya memasukkan semula wang yang saya berikan ke poket saya.

TAMAT