BALIK sahaja dari Bukittinggi saya terus menemui ayah
saya di kampung, disebabkan ada buah tangan dikirimkan oleh Mamak Bandaro.
Hanya sebentar sahaja singgah di rumah kerana meng-ajak isteri saya sama balik
ke kampung. Memang banyak tempat juga saya dibawa oleh Mamak Bandaro menjengah
sanak saudara di sana, sekalipun tidak sempat ke Bangkinang.
Apabila diberitahu kepada ayah saya mengenai Mamak Melano
di Kapur Sembilan dekat Bangkinang, cepat-cepat dia mengambil surat-surat yang
sekian lama disimpan baik-baik dalam laci almarinya. Dia membuka semula semua
sampul surat itu dan membacakan isi kandungan surat berkenaan di depan saya.
Terbayang di wajahnya akan keinginan mahu menemui
abangnya yang jauh di seberang, malah tidak pernah bersua muka. Hanya beberapa
keping poskad gambar Mamak Melano ditatapnya yang dikirimkan dari sana. Tentu
keinginan itu juga sama terpendam di hati Mamak Melano, setelah sekian lama
berutusan surat.
Tetapi Mamak Bandaro dan Darwis sudah berjanji akan
mengusahakan supaya mereka dua beradik akan dapat ditemukan. Darwis juga
berharap datuknya Mamak Melano akan jejakkan kaki di tanah Semenanjung,
sekalipun ayah saya tidak dapat menjengah sanak saudara di Kapur Sembilan.
"Ah, ramai saudara mara kita di sini pun jarang
bertemu," ujar emak saya semacam tidak menyenangi sekiranya ayah saya
seringkali ingatkan saudara mara di Sumatera.
"Bukannya sikit belanja kalau ke sana," dia
mencemik muka menyindir ayah saya.
"Bukannya aku nak ke sana!" lantas ayah saya
mencebek bibir disebabkan tersinggung. Marah juga dia kalau diungkit mengenai
hubungan kekeluargaannya yang terputus selepas kematian arwah Tok Aji. Dia
percaya sekiranya Tok Aji masih hidup tentulah orang tua itu akan berusaha merapatkan
kembali hubungan itu.
"Tengok Uda Lajis, datang juga dia cari keluarga di
sini," emak saya beritahu mengenai Uda Lajis yang balik ke kampung itu
berkahwin dengan saudara sendiri untuk merapatkan semula hubungan keluarga.
Bertahun-tahun Aki Amid melarikan diri ke Pahang se-telah
berselisih faham dengan kaum keluarga di kampung. Sampai dia berkahwin di Pahang
mendapat beberapa orang anak pun, Aki Amid tidak jejak kaki ke kampung lagi.
Merajuk benar dia disebabkan tersinggung apabila tanah miliknya dijual kepada
ayah saya oleh dua orang abangnya yang mempunyai nama dalam satu geran.
Tetapi ayah saya berikan juga bahagian Aki Amid kepada
Uda Lajis sekalipun geran tanah berkenaan tidak boleh dipecahkan. Biarlah Uda
Lajis mewarisi semula bahagian yang ditinggalkan oleh arwah ayahnya.
Ketika Aki Amid melarikan diri ke Pahang, memang siapa
pun tidak tahu ke mana meng-hilangnya. Setelah dia uzur benar baru dia
menghubungi ayah saya dengan menulis surat. Terkejut juga ayah saya apabila
dihubungi oleh Aki Amid setelah bertahun-tahun dia meninggalkan kampung
halaman.
Memang ayah saya kunjungi juga Aki Amid disebabkan uzurnya
semakin teruk. Dia kenal-kan anaknya Uda Lajis kepada ayah saya supaya carikan
jodoh di kampung.Kesal juga dia disebabkan lama meninggalkan kampung halaman.
Sebab itulah dia harapkan Uda Lajis meng-hubungkan semula dirinya dengan sanak
saudara di kampung.
"Aki Amid dulu mudah sangat tersinggung," keluh
ayah saya apabila kenangkan sikap Aki Amid hinggakan meninggal dunia pun tidak
sempat jejak kaki balik ke kampung. Tetapi ayah saya penuhi juga permintaan dia
supaya jodohkan Uda Lajis dengan sanak saudara di kampung.
Sebab itulah Uda Lajis menumpu ke rumah saya kalau mahu
mengadukan apa-apa pun masalahnya. Dia sudah anggap ayah saya sama juga seperti
Aki Amid yang boleh digantungkan harapan. Apalagi kalau mendengar saya balik ke
kampung nescaya Uda Lajis akan datang berkunjung. Dia sanggup sengkang mata
sampai jam 2.00 pagi tercokok berbual hingga terkuap-kuap menahan mengantuk.
Kadangkala dia akan terlelap juga sampai subuh baru balik ke rumah.
Memang Uda Lajis tahu sangat mengenai ayahnya yang
dikatakan keras hati sampaikan orang-orang kampung terkilan dengan sikapnya.
Tetapi Aki Amid tidak peduli apa pun sekiranya dia sekeluarga tidak dipedulikan
oleh orang-orang kampung.
Dia sanggup menyenseng lengan baju kalau permatang
sawahnya dipokah orang dengan tidak bersebab. Bila-bila dia akan menyergah
sesiapa pun kalau tapak semaiannya diserbu kambing ternakan orang. Biarlah
orang tuduh dia jadi ayam jantan berkokok di halaman orang, asalkan keluarganya
tidak dipermain-mainkan.
Sampaikan jiran dekatnya Ngah Latih pun dicekak leher
apabila menebang pokok pinang di sempadan tanah jatuh menimpa reban ayamnya.
Sebab itulah Ngah Latih menuduh dia keras kepala datang ke kampung orang.
Tetapi Aki Amid akan tentang siapa sahaja kalau tuduh dia menumpang di kampung
halaman orang, kerana dia tidak pernah meminta-minta.
Tanah tapak rumahnya dibeli dengan titik peluhnya setelah
bekerja kuat di estet. Masakan dia menumpang kalau tanah berkenaan dibelinya
sendiri. Jangan cuba siapa pun perkecilkan dia fasal menetap di kampung berkenaan.
Hingga Ngah Latih meno-long tengah malam akibat dipatuk
ular tatkala batik dari surau, tiba-tiba sahaja Aki Amid terjongol. Dia tidak
peduli fasal Ngah Latih marahkan dia disebabkan dicekak leher semasa menebang
pokok pinang hingga tumbang menimpa reban ayamnya. Tatkala Ngah Latih
memerlukan pertolongan dia wajib datang membantu.
Perkara bermusuh tidak akan berlanjutan menjadi dendam
pada Aki Amid. Dia akan berang tatkala hati tengah panas menahan kemarahan yang
memuncak, tetapi dia akan kembali melupakan segalanya setelah semua berlalu.
Sebab itu dia sanggup jengah Ngah Latih setelah diberitahu oleh Andak Sumi
mengenai suaminya dipatuk ular.
Lagipun Andak Sumi sepupu isterinya Melah Kebok, tentulah
tidak sampai hati Aki Amid membiarkan Ngah Latih mengerang-erang kesakitan sepanjang
malam. Apa lagi mahu dibawa ke hospital, siapa yang sanggup mengusung dengan
basikal sampai berpuluh-puluh batu ketika itu?
Ketika perintah orang putih bukan takat hospital sahaja
jauh dari kampung terperosok demikian, marah jalan juga dikelilingi belukar
padat. Masakan mereka larat mahu mengusung Ngah Latih ke hospital setelah
dipatuk ular semasa balik dari surau.
Dia sendiri tidak menyangka bayang hitam di depannya ular
tengah melintang jalan. Sebaik sahaja kakinya terdorong ke hadapan tidak
bertangguh ular itu mematuk sampai melekat taring ke betis. Ketika dipatuk
memang Ngah Latih merasa sakit di bahagian taring ular itu melekat sahaja.
Apabila tengah malam baru dia terasa bisanya menyenak sampai ke pangkal paha.
Sebab itulah Andak Sumi menyerbu ke rumah Aki Amid
jirannya yang paling dekat. Dia percaya Aki Amid tidak akan berdendam sekalipun
suaminya bermasam muka sebelum itu. Melah Kebok juga mendesak suaminya segera
menjengah kerana tidak mahu menghampakan sepupunya itu.
"Ambil garam dulu," perin-tah Aki Amid sebaik
sahaja melihat bekas patukan ular di betis Ngah Latih. Tidak bertangguh Andak
Sumi berkejar ke dapur ambilkan garam.
Apabila disuruh oleh Aki Amid gigit garam berkenaan, Ngah
Latih tidak membantah. Dia menggigit garam berkenaan sementara Aki Amid
membakar kemenyan sambil mengusap-usap buntat hitam yang berbungkus kain kuning
di tangannya.
Dalam beberapa minit sahaja Andak Sumi nampak beberapa
ekor ular tedung senduk naik ke rumah menyebabkan dia terkejut tidak keruan.
Apabila ular berkenaan melenggok-lenggok kepala bagaikan menggeleng, lantas Aki
Amid menyuruhnya segera tinggalkan rumah. Tidak bertangguh ular-ular berkenaan
menyerbu ke pintu terus hilang dalam kegelapan malam.
Lama Aki Amid mengusap-usap buntat di tangannya tiba-tiba
sahaja dia menampar lantai. marah benar dia sambil merenung tajam ke pintu
apabila ular yang diseru menjelma tidak naik ke rumah.
"Kalau kau tak mahu dipanggil, aku akan buat jalan
keras!" Aki Amid menggertap bibir lantas mengisar buntat di atas tapak
tangan. Ketika ini Andak Sumi nampak tapak tangan Aki Amid berasap laksana bara
api disimbah air.
Puas dia mengisar buntat di tangan, barulah seekor ular
sebesar lengan berwarna hitam berkilat naik di kepala tangga. Ular hitam itu
mengangkat kepala sebaik sahaja sampai di depan Aki Amid dengan lehernya kembang
bagaikan bunga teratai.
"Sekarang kau mahu baik atau buruk?" bentak Aki
Amid tidak berganjak dari tempat duduknya, sekalipun Andak Sumi sudah berundur
berlindung di belakang Melah Kebok.
Ular itu bergerak mahu mematuk ubun-ubun Aki Amid, tetapi
terpelanting jatuh ke lantai seolah-olah getah melantun tertampan ke dinding
keras. Tiga kali ular itu bingkas bangun mahu mematuk ubun-ubun Aki Amid,
tetapi dia tergolek ke lantai seolah-olah kepalanya dihenyak kuat.
"Kalau kau berkeras, memang kau lagi teruk!"
keras Aki Amid mengancam terus menunjukkan buntat hitam itu. Sekaligus pula
kilauan memancar dari buntat berkenaan menyambar kepala ular tersebut.
Perlahan-lahan ular itu bingkas bangun dengan
terhuyung-hayang mendekati Ngah Latih yang mengerang-erang sakit. Kemudian ular
itu segera mematuk di bahagian bekas gigitannya sampai lima minit. Ketika ini
Andak Sumi nampak tubuh ular itu bertukar warna menjadi biru lebam. Sebaik
sahaja gigitannya terlepas dari betis Ngah Latih ular itu menggelepar terus
menyerbu ke tangga.
Aki Amid tidak peduli lagi mengenai ular berkenaan sebaik
sahaja hilang dalam kegelapan malam. Setelah ular tersebut menyelinap lari,
Ngah Latih tidak lagi mengerang-erang sakit. Dia mula lelapkan mata tertidur
akibat keletihan menahan kesakitan yang menyenak sampai ke pangkal paha.
Esok paginya baru Andak Sumi melihat bangkai ular tedung
tergelimpang di tengah halaman dengan tubuhnya pecah-pecah laksana kain terkoyak.
Tidak berani dia mahu mengheret bangkai ular itu dibuang ke sungai. Terpaksalah
dia meminta bantuan Uda Lajis buangkan bangkai ular tersebut ke sungai.
Semenjak itu pula Ngah Latih berbaik-baik semula dengan
Aki Amid. Kalau diminta menyeraya gotong royong melunggah sawah Aki Amid,
bila-bila dia sanggup bersama. Bukan takat Ngah Latih dipatuk ular sahaja Aki
Amid sanggup datang menjengah, Mail Boyak terherot mulut dihinggap badi ayam
hutan pun dia datang jejakkan kaki ke rumah.
Aki Amid tidak peduli fasal Mail Boyak bermasam muka
disebabkan dijerkah apabila kambingnya menyerbu masuk ke tapak semaian. Habis
anak benih Aki Amid diragut kambing, Mail Boyak tidak mahu mengaku bersalah.
Sebab itulah Aki Amid maki dia sampai ungkit keturunan.
Marah benar Mail Boyak dimaki Aki Amid. Sebab itu dia
bermasam muka tidak mahu menegur Aki Amid sampai bila-bila pun. Tetapi apabila
dia terherot mulut dihinggapi badi ayam hutan, terpaksa juga Ngah Latih jemput
Aki Amid.
Memang dia tidak berdendam apa-apa. Tidak berdalih pun
Aki Amid, dia tetap jengah adik Ngah Latih itu, apabila dijemput oleh Ngah
Latih. Memang Mail Boyak mengaku dia terkejutkan ayam hutan melintas beberapa
ekor sewaktu balik dari kebun pisangnya. Dia sendiri tidak menyangka akibat
terkejut itu sampaikan mulutnya terherot tidak bersebab.
"Hah, ini kena buat cara lain!" ujar Aki Amid
sebaik sahaja melihat keadaan Mail Boyak. "Ini bukan takat badi aje, tapi
angin ahmar juga," jelasnya tidak terburu-buru membuat keputusan.
Aki Amid percaya angin ahmar juga berpunca dari pesona
syaitan mahu memusnahkan manusia hingga sesiapa sahaja boleh lumpuh seluruh
anggota kalau tidak dapat menghindarkan. Dia sendiri mempelajari amalan
mengenai syaitan bernama ahmar yang menyebabkan sesiapa sahaja diserang angin
ahmar ini.
"Apa kelengkapan nak disiapkan aki?" Andak Sumi
terasa gelisah dengan keadaan Mail Boyak yang terherot mulut sekalipun masih
boleh bertutur tersekat-sekat suara.
"Lengkuas, jerangau dan molai," beritahu Aki
Amid perlahan.
Bukan susah sangat mahu sediakan lengkuas yang rumpunnya
merimbun di hujung halaman.Molai juga tumbuh membiak di baruh rumah dengan
jerangau macam belukar tidak bertebas. Memang mereka di kampung sentiasa
pelihara tumbuhan demikian dijadikan ubat apabila diperlukan.
Tidak perlu tercari-cari di rumah jiran kalau mahukan
lengkuas, jerangau atau molai. Mail Boyak memang tanam baik-baik setelah
diberitahu oleh arwah emaknya mengenai perlunya tumbuhan demikian. Bukan takat
Mail Boyak sahaja di kampung itu tanam lengkuas, jerangau atau molai, malah
Ngah Latih juga tanam di sebelah darat rumahnya.
Apa lagi Aki Amid memang lengkuasnya dipelihara
baik-baik. Jerangau dan molai juga sentiasa dipupuk dengan air perlimbahan biar
cepat tumbuh segar. Tetapi Aki Amid tidak tergesa-gesa mulakan berubat apabila
keadaan Mail Boyak teruk sangat.
Dia perlu menunggu sampai malam selepas waktu isya. Ketika
inilah dia meminta pelita dipadamkan di tempat tidur Mail Boyak supaya
kelilingnya menjadi samar. Sengaja Aki Amid suruh pasangkan pelita di serambi
sahaja, biar dirinya tidak dituduh amalkan perkara yang bertentangan dengan
agama.
Tetapi jatuh di sudut hatinya dia tidak bermaksud mahu
keliling menjadi gelap baru boleh memulakan pengubatan. Sudah menjadi amalan
Aki Amid dia tidak dapat khusuk sekiranya pelita terpasang di depan muka.
Biarlah kelilingnya samar-samar tatkala dia mula amalkan amalan untuk
pengubatan demikian.
Setelah membaca al-Fatihah sampai 17 kali, Ngah Latih
nampak Aki Amid melenggok-lenggok badan di tengah kesamaran itu sambil mula
berzikir perlahan menyebut:
Ya Haiyun ya Qaiyum ya Lati fie ya
Zaljala-liwal-ikram,
hingga lima ratus kali. Ketika ini mereka yang terconggok
di situ mendengar suara Aki Amid bertukar menjadi garau seolah-olah bergaung
kuat sampai ke udara. "Tengokkan ni tok, saudara kita ni sakit,"
tiba-tiba sahaja Aki Amid bercakap sendirian dengan badannya masih lagi
terlenggok-lenggok bagaikan batang keladi di tengah arus.
Kemudian Aki Amid merungut-rungut tidak menentu. Sekali-sekala
dia memasang telinga bagaikan kurang jelas mendengar orang bercakap di
depannya. Selepas itu dia mengangguk-angguk lantas mencapai besen berisi
lengkuas, jerangau dan molai di sisinya.
Setelah meramas-ramas ramuan ubat di dalam besen itu Aki
Amid terus membacakan:
Innama ilahukumu Allahullazi
la-ilaha illahuwa wasi' kulla syai-in 'ilman, la-ilaha illallahhu wallahhu
akbar saddaqohu rabbahu faqola la-ilaha ilia ana wa-ana akbar.
Ketika ini besen di hadapan Aki Amid bergerak dan
berpusing tiga kali.
Lama Aki Amid membacakan doa, dia kembali berzikir
berulang kali hingga suaranya garau seolah-olah bergaung ke udara. Lebih satu
jam dia terconggok di tengah kesamaran itu, tiba-tiba sahaja Aki Amid berlari
ke jendela. Dia muntah di situ seperti menahan senak perut memulas-mulas yang
berlarutan.
Selepas dia muntah barulah Aki Amid benarkan memasang
pelita semula. Sebaik sahaja pelita terpasang mereka dapati mulut Mail Boyak
yang terherot sudah pulih semula. Beberapa kali Mail Boyak beristighfar kerana
terasa penyakitnya beransur sembuh sekalipun seluruh badannya masih
sengal-sengal.
"Terasa macam badan saya kena urut, masa Aki buat
ubat," jelas Mail Boyak perlahan apabila kenangkan seluruh tubuhnya
bagaikan diurut berulang kali setiap kali Aki Amid melenggok-lenggok kepala di
tengah kesamaran malam.
"Aku hanya berikhtiar, yang menyembuhnya hanya
Allah.”beritahu Aki Amid mengulum senyum setelah keadaan Mail Boyak beransur
sembuh.
“Siapa yang urut saya, aki?” terkial-kial Mail Boyak
menegakkan badan lantas mendesak.
“Awak sepatutnya bersyukur pada Allah, Mail,” gerutu Aki
Hamid mendengus perlahan. “Perkara yang kita tak tahu, tak perlu tanya.”
Katanya seolah-olah kesal dengan sikap Mail Boyak.
Memang Mail botak hairan juga apabila dirasanya seluruh
badan diurut kuat.Dia sedar Aki Hamid sekadar duduk bersila rapat beratip
dengan kepala berlenggok-lenggok. Tahu benar dia bukannya Aki Amid yang mengurut
di tengah kesamaran malam tatkala dia terkaku akibat badi ayam hutan.
Sekali-sekala terasa juga hembusan nafas sejuk singgah di
kulit Mail Boyak bagaikan lembaga terconggok di depannya. Tetapi dia tidak
melihat siapa pun di situ, kecuali terasa picitan jari mencengkam di seluruh
badan. Lama dia terasa jari itu memicit kuat barulah paha dan betis mulai boleh
digerakkan.
Tentu siapa pun tidak percaya semasa dia balik dari kebun
tatkala matahari tengah rembang seekor induk ayam hutan melintasi lorong dengan
memimpin beberapa ekor anak kecil. Lantas sahaja Mail Boyak terniat mahu
menangkap anak-anak ayam hutan itu yang berceridau menyusup ke bawah rumput.
Sudah terbayang di ingata-nya anak-anak ayam hutan itu
akan dikurung baik-baik sama macam sangkar burung. Dia akan jinakkan anak ayam
hutan itu biar boleh makan di tapak tangan. Kalau diternak sejak menetas tentu
mudah jinakkan anak-anak ayam berkenaan sampai boleh mengekas bersama ayam-ayam
kampung ternakannya.
Sebaik sahaja dia menerkam ke arah anak-anak ayam hutan
menyusup, tiba-tiba sahaja dia nampak seekor ular sawa berbatik sebesar betis
berlingkar di bawah rumpun senduduk di tepi belukar. Terkejut benar Mail Boyak
melihat ular sawa berkenaan berlingkar tidak bergerak. Bimbang juga dia mahu
mara ke hadapan sekalipun ular berkenaan menyusupkan kepala ke bawah
lingkarannya.
Batik ular itupun sudah cukup mendebarkan hatinya,
masakan dia berani mahu mendekati rumpun senduduk berkenaan. Manalah tahu ular
itu akan membuka lingkaran lantas menyambarnya dengan tidak bertangguh. Perkara
ular tengah belukar bukanlah boleh dimainkan macam menyepak tali ampaian jatuh
tiang.
"Saya terkejutkan ular sawa tu!" beritahu Mail
Boyak apabila kenangkan dia dituduh terkena badi ayam hutan.
"Nasib baik dia merupa macam ular," sahut Ngah
Latih mencebek bibir tetapi geli-gelemam juga asal sahaja disebut ular
berlingkar. "Kalau puaka tu menjelma tentu lagi teruk kamu," katanya
menghela nafas panjang.
"Badi barang hutan bukan boleh main-main!"
Andak Sumi ingatkan sepupu suaminya itu. Memang bimbang benar dia sekiranya
terkena geruh badi binatang hutan hingga tidak semena-mena terkejang kaku macam
batang pisang.
Sudah beberapa kali mereka di kampung berkenaan diganggu
badi binatang hutan kalau berburu-buru tidak memakai petua. Tahu benar Andak
Sumi mengenai badi burung puyuh yang keras benar kalau bandingkan dengan ayam
hutan atau rusa. Jarang sesiapa sandja terkena geruh badi burung puyuh dapat
diselamatkan apabila gigi terkancing dengan mata terbalik putih.
Lainlah badi ayam hutan masih boleh diselamatkan sekalipun
mulut terherot sampai sebelah badan mati tidak boleh digerakkan. Mereka akan
tuduh diganggu angin ahmar kalau malu dikatakan badi yang meng-ganggu mereka.
Tetapi perkara badi memang tidak sama dengan angin ahmar, kerana angin ahmar
boleh menyambar di tempat tidur sekalipun.
Siapa pun tidak akan terkena badi sekiranya tidak ke hutan
memburu tidak ikut petua. Mereka tahu binatang yang kuat geruh badinya memang
ayam hutan, kijang dan rusa. Binatang lain sama sahaja dengan ternakan yang
lain, sekadarkan liar sahaja menyusup ke tengah belukar.
‘Hah, saya tak cari dia," keluh Mail Boyak kesal
apabila dia terkejut sebaik sahaja nampak ular sawa berlingkar di perdu
senduduk.
Balik sahaja ke rumah dia sentiasa terbayang ular sawa
itu menjelma di mana-mana. Sampai nyenyak tidur pun dia termimpi-mimpi ular
berkenaan membelit seluruh tubuhnya sampai dia tidak dapat bergerak langsung.
Semakin kuat dia meronta bertambah keras pula cerutan ular sawa berkenaan
hingga terasa dia sesak nafas menyenak ke dada.
Sebaik sahaja membuka mata Mail Boyak tidak boleh lagi
menggerakkan badan. Sebelah badannya menjadi kebas seolah-olah masih dibelit
ular sawa berlingkar. Mulutnya terherot hingga sukar mahu bertutur untuk
memberitahu apa yang berlaku ke atas dirinya.
Tatkala Aki Amid dipanggil datang, memang Mail Boyak
tidak pengsan apa-apa. Dia hanya tidak dapat bersuara akibat sebelah badan
kebas tidak menentu. Apabila Aki Amid mula mengubati dia, sekali imbas Mail
Boyak nampak bayangan ular sawa itu perlahan-lahan membukakan belitan
menyelinap lari ke tengah kegelapan malam.
"Kalau kau tak lepaskan Mail, aku hantar kau ke laut
dalam!" memang Mail Boyak terdengar Aki Amid membentak kertas menuding ke
arah bayangan ular sawa yang bergerak perlahan ke tengah kegelapan malam itu.
Tidak berani ular berkenaan membantah setelah Aki Amid
menjadi berang setelah dia membakar setanggi. Sebaik sahaja bau asap setanggi
memenuhi ruang, Mail Boyak dapat melihat seolah-olah Aki Amid berpakaian serba
putih duduk bersila di depannya.
Aki Amid berbayang-bayang menjadi dua atau tiga bagaikan
berlapis-lapis badan. Dia percaya tentu matanya sendiri kabur akibat terkejang
sakit selepas dihinggapi badi ayam hutan. Sebab itulah pandangannya juga
berbalam-balam hingga tidak dapat melihat Aki Amid dengan jelas.
Tetapi dia masih boleh melihat isterinya terconggok tidak
berbalam-balam. Demikian juga Ngah Latih dan Andak Sumi jelas nampak terconggok
tidak jauh dari sisinya. Kenapa pula tubuh Aki Amid menjadi dua atau tiga
hingga suaranya juga garau apabila serentak berdoa.
Siapapun tidak tahu mengenai Aki Amid tiba-tiba sahaja
mampu mengubati orang. Uda Lajis sendiri tidak tahu sangat sekalipun dia beberapa
kali membantu ayahnya menyediakan ramuan ubat. Memang Aki Amid berahsia sangat
kerana dia tidak mahu orang-orang kampung menganggapnya bomoh di situ.
Cuma ayah saya satu-satunya diberitahu mengenai dia
amalkan tareqat semasa bekerja di estet sebelum berpindah menetap di Pahang.
Lama dia belajar dari gurunya sehingga mereka berpisah setelah mampu dengan
tidak perlu dibimbing lagi.
"Awak gunakan jin Islam ke?" sengaja ayah saya
menuduh nya tatkala mereka bertemu apa-ayah saya berkunjung ke kampungnya di
Pahang.
Tersengih-sengih Aki Amid. Dia tidak membantah apa-apa
sekiranya ayah saya membuat andaian demikian. Biarlah siapa pun menuduh, dia
tetap dengan pendiriannya tidak akan memberitahu sesiapa pun mengenai amalan
dan petuanya.
Tetapi dia tetap mengangguk apabila ayah saya tanyakan
sama ada dia amalkan surah al-Jin. Mana-mana ayat di dalam al-Quran boleh
diamalkan. Apa salahnya kalau dia membacakan surah al-Jin sampai lima ratus kali
setiap malam.
"Ayat Quran, boleh kita baca sepanjang masa,"
ujar Aki Amid semacam mengejek ayah saya.
Memang Aki Amid sendiri tengah uzur semasa ayah saya
berkunjung ke rumahnya di Pahang. Puas juga ayah saya mencari berpandukan
alamat yang diberikan itu, hingga menyusur masuk ke Lubuk Paku. Menitik juga
air mata ayah saya sebaik sahaja bertemu dengan Aki Amid yang sengaja membawa
diri jauh ke kampung halaman orang. Sebab itulah dia mendesak ayah saya supaya
carikan jodoh Uda Lajis di kampung sendiri supaya terjalin semula hubungan
keluarga yang kian lama terputus.
Perkara sengaja mahu memutuskan tali persaudaraan itu
tidak sama dengan perkara kita terpaksa merantau mencari nafkah. Kakak ayah
saya sendiri Ulung Libak pun pernah tersinggung sampai tidak mahu lagi bertemu
muka dengan ayah saya.
Puas juga ayah saya memujuk nya, tetapi dia tetap
berdegil tidak mahu berbaik-baik. Malah anaknya Mat Deh sendiri memujuk pun
Ulung Libak tidak peduli. Marah sangat dia dengan ayah saya disebabkan benarkan
emak saya uruskan arwah Nenek Aji tatkala sakit terlantar.
Memang perkara sakit tidak perlu rnenunggu siapa boleh
uruskan sama ada anak sendiri mahupun menantu. Siapa sahaja ada masa lapang
boleh uruskan asal sahaja ikhlas mahu berbakti kepada orang tua. Tetapi Ulung
Libak sengaja menyangka emak saya sekadar mengambil hati apabila uruskan Nenek
Aji terlantar sakit.
"Jangan putuskan silaturrahim, mak," pujuk Mat
Deh tidak mahu emaknya sengaja membesar-besarkan perkara demikian.
Tetapi Ulung Libak tetap berkeras tidak mahu berbaik-baik
dengan ayah saya. Sikap keras hati kakaknya itu memang tidak dihiraukan sangat
oleh ayah saya. Malah ketika Ulung Libak mengesyaki saya mengambil vvang masjid
yang disimpan oleh suaminya Imam Cumar pun ayah saya tidak tersinggung apa-apa.
Marah juga Tok Aji apabila Ulung Libak sengaja mengesyaki
saya mengambil wang berkenaan, tatkala membantu Imam Cumar terjatuh pokok memapahnya
balik ke rumah. Sewaktu berumur belasan tahun manalah saya tahu sangat fasal
perkara yang terpendam di hati ketika itu setelah Imam Cumar meminta papah dia
naik ke rumah.
Sebaik sahaja wang RM 16.00 kutipan untuk masjid itu
hilang, lantas sahaja Ulung Libak mengesyaki saya. Disebabkan, bimbang dengan
Tok Aji sengaja Ulung Libak melepaskan geram kepada ayah saya. Apabila Tok Aji
memarahi dia setelah diberitahu mengenai tuduhan itu, semakin bertambah marah
Ulung Libak.
"Aku didik angah bukan untuk perkara macam tu,"
gerutu Tok Aji perlahan di depan arwah Imam Cumar juga. "Kalau kamu
syakkan angah, bermakna kau juga syakkan aku!" tegas Tok Aji seolah-olah
menyebelahi saya.
"Tapi, memang tak ada siapa masa tu di rumah, hanya
angah..." ujar Ulung Libak tidak puas hati disebabkan Tok Aji berkeras
mahu melindungi saya. Sengaja pula mereka semua tidak bertanyakan kepada saya
mengenai kehilangan wang kutipan masjid itu.
"Orang buta aje yang tuduh angah tu mencuri,"
tutur Tok Aji terharu dengan tanggapan Ulung Libak demikian.
"Kami tak tuduh angah mencurl, tapi kalau dia ambil
apa salahnya pulangkan balik," tegas Ulung Libak berkeras tidak mahu
mengalah.
"Tuduh mengambil samalah macam tuduh mencuri, suami
kamu imam, mahu kamu imam jadi buta?" mula Tok Aji keraskan suaranya
apabila Ulung Libak sengaja berdegil.
Setelah melihat ayahnya marah lantas Ulung Libak mendiamkan
diri sahaja, sekalipun hatinya masih lagi mendongkol. Imam Cumar juga kesal
dengan kehilangan wang kutipan masjid itu kerana bimbang dituduh tidak amanah.
Sebab itulah dia gagahi juga bangun solat tahajud tengah malam supaya wang
kutipan masjid itu tidak membebankan dirinya.
Tiga malam Imam Cumar lakukan solat sunat tahajud itu,
Ulung Libak temui wang berkenaan di bawah lipatan kain dalam almari. Memang
Imam Cumar sendiri mengakui dia tersalah letak kerana masih ingatkan wang
kutipan berkenaan disimpan dalam celapah rokoknya.
Disebabkan takut dimarahi oleh Tok Aji sengaja Ulung
Libak tidak memberitahu mengenai wang kutipan masjid itu ditemui di bawah
lipatan kain dalam almari. Tidak sampai sebulan pula Imam Cumar tiba-tiba
mengidap gatal pelupuk mata menyebabkan buta tidak dapat melihat.
Sampai Tok Aji meninggal dunia pun keadaan mata Imam
Cumar tidak juga pulih. Lebih lima belas tahun dia tidak dapat melihat apa-apa
hingga meninggal dunia pun, dia simpan baik-baik rahsianya mengenai menuduh
saya mengambil wang kutipan masjid berkenaan.
Kalaulah Mat Deh sendiri tidak beritahu kepada saya
selepas kematian ayahnya Imam Cumar, memang saya sendiri tidak tahu apa-apa
mengenai kejadian itu. Bukan Imam Cumar suami isteri sahaja rahsiakan, tetapi
ayah saya dan Tok Aji juga rahsiakan
kerana bimbang saya tersinggung dengan tuduhan demikian. Tentulah dalam masa
umur belasan tahun memberi kesan buruk dalam pemikiran sekiranya dituduh
melakukan perbuatan tersebut.
Sebab itulah Mat Deh ingatkan emaknya mengenai kejadian
kehilangan wang kutipan masjid itu apabila enggan berbaik-baik dengan ayah
saya. Menitis juga air mata Mat Deh apabila kenangkan sikap emaknya yang
berkeras sangat mahu bermasam muka sesama adik beradik.
Tetapi semasa diberitahu kakaknya sakit, segera ayah saya
berkunjung ke rumahnya. Biarlah kakaknya tidak mahu bertemu muka dia tetap juga
jengah kakaknya. Sengaja dia mengajak Mat Deh temankan biar Ulung Libak tidak
berkeras. Dia wajib ziarahi kakaknya apa-bila diberitahu Ulung Libak terkejang
sakit.
Kebetulan pula saya balik ke kampung tatkala diberitahu
mengenai Ulung Libak sakit. Terpaksa pula saya memujuk emak disebabkan dia
berkecil hati dengan sikap kakak iparnya itu. Disebabkan saya memujuknya mudah
sahaja emak saya mengalah.
Sewaktu sampai di rumah Ulung Libak, masing-masing
berligar tidak dapat masuk ke dalam bilik. Puas juga Mat Deh dan ayah saya
mencari punca pintu terkunci dari dalam, disebabkan Ulung Libak mengerang-erang
tidak dapat bangun. Masakan dia boleh mengunci pintu dari dalam semasa keadaan
terkejang tidak boleh bergerak itu.
"Macam mana ni angah?" segera Mat Deh menggamit
sebaik sahaja saya datang bersama emak. Ketika ini saya masih lagi belum
berkahwin, memang tidak ada keluarga lain datang ikut sama.
"Pintu ni terkunci dari dalam," beritahu ayah
saya, sekalipun terdengar dari luar Ulung Libak memanggil-manggil ayah saya
datang membantunya.
"Kenapa tak pecahkan saja pintu to?" lantas
emak saya bersuara setelah menyedari keadaan pintu berkenaan terkunci dari
dalam.
"Kalau tak ada jalan lain, kita kena pecahkan
juga," beritahu Mat Deh tetap bertenang meng-hadapi suasana demikian.
Kemudian Mat Deh memanggil emaknya lantas meminta menyeru
nama ayah saya tiga kali. Terketar-ketar suara Ulung Libak mematuhi perintah
anak-nya. Mat Deh juga meminta emaknya bermaaf-maafan dengan ayah saya dan
berikrar tidak akan memutuskan tali sila-turrahim.
Setelah Ulung Libak berjanji dengan suara terketar-ketar
dari dalam bilik, segera Mat Deh membacakan doa tiga kali:
Laqad
ja-akum rusul-um-min anfusikum 'azizun 'alaihi ma-anittum harisun 'alaikum
bilmukmini na-ra ufurrahim, fa-in tawallau faqul hasbiallahhu la-ilaha illa
huwa 'alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul 'arsyil 'azim.
Sebaik sahaja Mat Deh usapkan tapak tangannya ke pintu
itu, tiba-tiba sahaja pintu bilik terbuka. Ketika kami masuk ke bilik Ulung
Libak memang terkejang tidak dapat bergerak dengan selimutnya berlubang-lubang
bagaikan kesan dicucuh api.
Beberapa kali Mat Deh beristighfar melihat keadaan
emaknya yang mengerang-erang sekalipun masih sedar dengan apa yang berlaku.
Memang Ulung Libak mengakui dia tidak dapat bangun membukakan pintu, tetapi
hairan bagaimana pintu biIiknya terkunci.
Sebak benar hatinya sampai menitiskan air mata sebaik
sahaja ayah saya memeluknya erat-erat. Dalam esak tangisnya dia berjanji tidak
akan bermasam muka dengan adik beradik sampai tidak mahu bertemu muka. Perkara
memutuskan tali persaudaraan bukan sahaja tidak disukai oleh arwah Tok Aji,
malah tidak dibenarkan oleh ajaran agama.
Sebelum Mat Deh dan ayah saya sampai ke situ memang puas
juga Ulung Libak meminta tolong, apabila kain selimutnya tiba-tiba sahaja
memercik api dengan tidak bersebab. Dia cuba bingkas bangun mahu membuang
selimut tetapi tenaganya lemah tidak bermaya. Terpaksa dia bacakan surah
al-Ikhlas hingga seratus kali untuk tenteramkan hatinya yang gelabah dalam saat
demikian.
Habis sahaja dia membacakan surah al-Ikhlas itulah Ulung
Libak mendengar suara Mat Deh bersama ayah saya di luar bilik. Lantas dia
beristighfar beberapa kali kerana menyangka kejadian itu berlaku sekadar mimpi
sahaja. Tetapi apabila ditunjukkan oleh Mat Deh kain selimutnya berlubang-lubang
bagai bekas dicucuh api, semakin hairan Ulung Libak.
"Ini semua hikmah dari Allah, mak," ujar Mat
Deh meminta emaknya bertenang. "Dah lama benar kita adik beradik bermasam
muka," tuturnya kesal dengan masalah yang berlaku di dalam keluarga
sendiri.
Kalaulah arwah Mat Deh masih ada tentu dia juga ingin
ikut sama menemui sanak saudara di Bukittinggi atau di Bangkinang. Apa sangat
dengan laut yang memisahkan jasad asal sahaja tali persaudaraan masih terjalin
erat.
Tetapi Mat Deh meninggal dunia setelah tiba-tiba sahaja
batuk darah. Puas juga ayah saya juga selamatkan, tetapi Allah lebih mengetahui
segalanya. Siapa pun tidak berdaya mahu melawan ketentuan Allah yang telah
menentukan segala kejadi-an akan berlaku.
Setiap kali Uda Lajis datang berkunjung memang saya teringatkan
arwah Mat Deh. Sekalipun Uda Lajis tidak sama dengan kebolehan Mat Deh, tetapi
sikapnya dalam hubungan kekeluargaan memang sama. Mereka terlalu mengambil
berat hubungan keluarga hingga sanggup bersengkang mata sampai santak tengah
malam sekiranya menghadapi kesusahan.
"Aku ke rumah angah dulu, tapi Hajah Yah kata angah
ke Sumatera," tersengih-sengih Uda Lajis naik ke rumah ayah saya sebaik
sahaja mendapat tahu saya balik ke kampung.
"Emmm. bertemu saudara mara di sana." beritahu
saya lantas bersalam dengannya.
"Angah bolehlah ke sana, ada duit apa
salahnya!" ujar Uda Lajis menyandar belakang ke kusyin sebaik sahaja
duduk.
"Bukannya duit sendiri, duit orang beri." jelas
saya perlahan kerana pemergian saya ke sana diuruskan oleh Mamak Bandaro. Kalau
menggunakan perbelan-jaan sendiri tentulah saya juga tidak mampu mahu ke sana.
Tetapi Uda Lajis tidak lama menemui saya. Bergegas-gegas
sangat dia mahu balik kerana mahu menghantar sepupunya menemui Ucu Bahili di
Felda. Sudah lama benar sepupunya tidak tenteram akibat gangguan di rumahnya di
Kuala Lumpur.
Kadangkala terbangun tengah malam sepupunya melihat bayangan
hitam di penjuru bilik. Apabila dipasang lampu serta merta sahaja bayangkan
hitam itu hilang dengan meninggalkan bau hamis. Dia melihat Ionggokan kertas terbakar
di penjuru bilik sebaik sahaja disuluh ke situ.
Sebaik sahaja kejadian demikian berlaku, dia segera melihat
dompet wangnya nescaya sebahagian duit di dalamnya akan hilang. Hairan benar
dia dengan kejadian yang sukar mahu dipercayai boleh berlaku di tengah pekan
Kuala Lumpur.
Apabila diberitahu kepada Uda Lajis, teringat sahaja dia
kepada Ucu Bahali di Felda. Biarlah dicuba pada Ucu Bahali kalau gangguan
syaitan itu tidak boleh lagi dikawal dengan membacakan ayat-ayat al-Quran. Dibacakan
Yassin hingga 41 kali pun, kejadian tersebut berulang juga hingga sampai
berturut-turut malam.
"Macam-macam kepandaian orang!" gerutu Uda
Lajis tatkala menuruni tangga apabila kenangkan kejadian yang menimpa sepupunya
di Kuala Lumpur.