Sunday, December 21, 2014

104. RUSA PUTIH BAWA AKIBAT




 BERITA Pak Tua Mahat dihalang oleh puaka rimba itu tidak diketahui oleh sesiapa pun.  Jidin Bacul sendiri tidak tahu apa-apa.  Dia hanya melihat Pak Tua Mahat tercegat di tengah belukar pisang hutan dengan mengibas-ngibas kain hitam lilit kepalanya.
Hanya Pak Musid yang dapat melihat.  Dia nampak lembaga hitam itu bertenggek di atas tubuh rusa yang sudah ditembak.  Lembaga hitam itu besar tinggi hingga kepalanya juga tercecah keawan.  Pak Musid tidak dapat melihat dengan jelas muka lembaga hitam berkenaan.
Tetapi dia tahu itulah puaka rimba.  Siapa yang dihalang oleh puaka rimba tatkala memburu di hutan sudah pasti menerima geruh.  Bagi mereka yang tidak dapat melihat keadaan sebenarnya percaya bahawa ‘badi’ binatanglah yang selalu menyebabkan pemburu-pemburu menerima mala petaka yang tidak diduga.
“Binatang-binatang di hutan memang ada gembalanya,”  kata Pak Musid menerangkan kepada saya.  “Kadang kala gembala itu pandai berdolak dalik.  Itulah yang menyebabkan kita geruh,”  ujarnya lagi
“Dolak dalik macam mana Pak Musid?” soal saya.
“Hemmm….”  Katanya menarik nafas panjang sambil menarik celapa tembakau.  “Puaka jembalang ni jenis setan, dengan setan mana boleh berjanji.  Sebab itulah dia suka berdolak dalik,”  jelasnya, kemudian menggulung tembakau dalam rokok daunnya.
Lama saya memerhatikan dia untuk mendengar cerita selanjut darinya.  Tetapi dia menggertap-gertap bibir saja sambil menggulung rokok pada tapak tangannya.  Setelah siap digulung barulah dihisapnya sampai bara merah membakar pada hujungnya.
Sambil menghembuskan asap rokok yang berkepul-kepul barulah Pak Musid menerangkan,  “Kadangkala kita dah bakar kemenyan, dah simah minta jalan lalu hendak berburu, dah patuh dengan pantang larang, puaka jembalang tu datang juga mengganggu….”
“Tak bolehlah kita menentang puaka jembalang tu….?”  Saya merenung muka Pak Musid.
“Hah, hantu setan bukanlah berkuasa.  Yang Maha Berkuasa hanya Allah, sebab itu kita mesti minta pertolongan dari Allah,”  katanya tersengih-sengih.  “Tuntutlah ilmu Allah, iaitu untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.  Jangan tuntut ilmu puaka jembalang macam aku dulu….”  Dia mengingatkan.
“Tetapi saya mahu jadi pemburu macam Pak Musid…” sahut saya mendesak.
“Ilmu Allah semuanya dah lengkap.  Apa saja yang kau mahu ada di dalam ilmu Allah,”  tegasnya masih berkeras tidak membenarkan saya menuntut ilmu-ilmu kebatinan sepertinya.
“Sebab itu saya harap Pak Musid sudi mengajarkan,”  saya cuba memerangkap dia.  “Kalau Pak Musid mahu memberikan ilmu Allah juga saya bersedia menerimanya…”  ujar saya perlahan.
“Ilmu Allah belajarlah pada ahlinya.  Dalam Quran pun Allah ada berfirman belajarlah kepada orang yang berpengetahuan kalau kamu tidak mengetahui….”  Katanya menghisap rokok daun yang masih tersepit celah bibirnya.  “Cubalah kau belajar pada Lebai Joned atau To’ Guru Lah.  Tentu dia boleh mengajarkan…” tambahnya.
“Ah, dia guru agama,”  sahut saya masih mengharapkan dia mahu mengajar saya.
“Ilmu agama itulah ilmu Allah,”  dia menekankan lagi. “Kalau sampai belajar hakikat dan maarifat, atau pun tasauf, itu ilmu kebatinanlah,”  tegasnya sambil menghembus asap rokok dari mulutnya.
Nampaknya Pak Musid tetap berkeras tidak mahu menurunkan ilmu perburuan itu kepada saya.  Dia pun sama juga seperti arwah Pak Tua Mahat saya yang tidak mahu saya mengikuti jejak langkahnya.
Apabila saya berfikir sedalam-dalamnya akan kata-kata arwah nenek saya, arwah Pak Tua Mahat dan Pak Musid sendiri, saya dapati mereka seolah-oleh menyesal kerana memiliki ilmu kebatinannya selama ini.  Setelah mereka mendalami pengajian agama, mereka dapati ilmu-ilmu kebatinan yang pernah dipelajarinya dulu tidak sama dengan ketinggian dan kemurnian ilmu agama.
Akan tetapi sebenarnya saya mencungkil rahsia ilmu kebatinan mereka hanya sekadar ingin tahu saja.  Tidaklah terlintas di hati saya untuk menjadikan ianya satu amalan.  Pada zahirnya saya dapat melihat mereka yang mempunyai ilmu kebatinan seperti ini bolehlah dikatakan rezekinya ‘panas’.  Kehidupan mereka bolehlah dikira susah.
Di zaman dulu memang orang memerlukan ilmu kebatinan, kerana itu sajalah ilmu yang boleh mereka tuntut.  Tetapi di zaman moden ini sudah banyak ilmu yang boleh dipelajari di sekolah-sekolah.  Ilmu-ilmu ini lebih besar gunanya dari ilmu kebatinan,
Bagaimana pun Pak Musid mahu juga menceritakan kepada saya asal mula ilmu perburuan yang dipelajarinya itu digunakan orang.  Katanya ilmu ini bermula dari seorang ahli perburuan juga.
“Begini ceritanya…..”  ujar pak Musid memulakan ceritanya dengan harapan saya memikirkan semula niat saya mahu belajar kepadanya itu.
Pak Malim seorang pembru, yang kerjanya sehari-hari memburu binatang di hutan.  Binatang-binatang yang diburunya ini dijual ke pekan (maksudnya pasar sari atau pasar minggu).
Di kampung itu memang terkenal lah Pak Malim ini sebagai seorang pemburu.  To’ Penghulu juga selalu memesan daging binatang-binatang hutan kepada Pak Malim, sekiranya dia berhajat.  Setiap kali pergi berburu tidak pernahlah Pak Malim balik dengan tangan kosong.
Satu masa isteri Pak Malim mengandung.  Entah macam mana isterinya ini mengidam hendak memakan daging rusa berwarna putih.  Kerana sayangkan isterinya, Pak Malim pun bernekad untuk memburu rusa putih ini.  Walaupun ditegah oleh isterinya, namun Pak Malim tidak menghiraukan.
“Aku hanya mengidam abang Malim, bukan bererti aku mesti mendapatkannya,”  ujar isterinya melarang pemergian Pak Malim.
“Kau jangan bimbang Ibah.  Aku tau kau mengidam kerana anak di dalam kandungan itu yang menginginkannya.  Aku sanggup mendapatkannya, Ibah,”  dia tetap berkeras mahu pergi berburu.
“Tak payahlah abang Malim pergi,”  sahut Ibah memujuknya.  “Aku tidak mengidam apa-apa.  Aku hanya mahu menduga hati kau,”  dia cuba berdalih supaya suamnya tidak pergi.
Tetapi Pak Malim dapat menduga bahawa isterinya berbohong.  Kalau isterinya tidak mengidam masakan dia meluahkan perasaannya.  Lagi pun itulah anak sulungnya yang bakal lahir.  Sejak beberapa lama mereka hidup sebagai suami isteri, masih juga belum mendapat anak.
Oleh itu apabila dia ketahuinya Ibah mengandung, dia sanggup melakukan apa saja agar Ibah merasa senang hati.  Di melarang Ibah membuat kerja-kerja yang berat agar anak di dalam kandungan itu selamat.  Sehinggakan untuk memasak nasi dan gulai pun, tidak dibenarkannya Ibah melakukannya.
Demikianlah sayangnya Pak Malim kepada Ibah.  Dia sangat berharap agar Ibah selamat melahirkan anak yang diidam-idamkanya selama ini.
Sebab itulah Ibah memberitahu dia mengenai keinginannya mahu memakan daging rusa warna putih,  Pak Malim bertekad untuk memburunya.  Dia mesti mendapatkan rusa putih itu supaya isterinya tidak kempunan.
“Tak payahlah abang Malim pergi.  Aku dah tak mengidam apa-apa,”  jelas Ibah degan harapan Pak Malim membatalkan hasratnya mahu berburu rusa putih itu.
“Tak baik kau halang abang, Ibah.  Berburu ni memang kerja abang, tahulah abang, bagaimana  mahu abang lakukan,”  dia tetap berkeras mahu pergi.
“Saat aku bersalin sudah hampir, bagaimana kalau abang lambat balik…?”  Ibah mengingatkan.
“Ah, jarang aku tak balik, Ibah,”  katanya sambil memegang perut Ibah yang memboyot.  “Percayalah, kita semua dalam selamat,”  ujarnya terus melangkah pergi.  Bersamanya dibawa juga anjing perburuannya bernam Si Birik.
Kerana keras hati suaminya, tidaklah dapat Ibah menghalangnya lagi.  Walaupun dia menyesal kemudian sudah tidak berguna.  Itulah menjadi pantang larang kepada orang tua-tua, isteri yang mengandung memberitahu suaminya akan barang yang di idamkannya.
“Kalau mengidam pu, mestilah disembunyikan dari pengetahuan suami.  Memadailah mencuba sendiri untuk mendapatkannya.  Kalau tidak dapat pun jangan beritahu kepada suami…”  Pak Musid mengingatkan semasa dia menceritakan kisah ini kepada saya.
“Kita sambung balik kisah Pak Malim tadi….”  Ujar Pak Musid meneruskan ceritanya.
Jadi, Pak Malim pun masuklah ke hutan untuk berburu.  Anjingnya Si Birik mengekor saja kemana Pak Malim pergi.  Sudah menjadi kebiasaan memang Si Birik tidak pernah berenggang dari Pak Malim kalau masuk ke hutan.
Bila tercium bau binatang hutan, Si Birik akan menghambat terlebih dulu.  Dia akan mengasak supaya binatang itu lari merempuh kearah Pak Malim.  Sebab itulah Pak Malim sangat sayang kepada Si Birik.  Sudah menjadi tabiat Pak Malim pula, kalau dia mendapat hasil buruan yang pertama dia akan memanggang bahagian paha binatang berkenaan.  Kemudian diberikan kepada Si Birik.
Setelah sampai ke dalam hutan Pak Malim ternampak seekor rusa melintas.  Dia pun memerintahkan Si Birik menghambatnya.  Setelah berjaya dia menangkap rusa berkenaan, didapatinya bulu rusa itu tidaklah putih.  Dia hanya memanggang paha rusa itu untuk diberikan kepada Si Birik.  Bagaimana pun bangkai rusa berkenaan ditinggalkannya saja di situ.
“Kalau tak dapat rusa putih aku tak balik Birik…..”  katanya memandang anjing hitam yang mengekor dia.
Dia terus berjalan masuk jauh ke hutan untuk memburu rusa berwarna putih.  Sehingga sampai pada satu gaung dia terpaksa berhenti penat.  Sekonyong-konyong melintaslah seekor rusa mahu meminum air pada alur digaung tersebut.  Pak Malim pun tidak berlengah lagi langsung memburunya.
Setelah dapat rusa berkenaan, didapatinya warna rusa itu tidak juga putih.  Dia semakin keletihan kerana terpaksa memburu hingga masuk jauh ke dalam hutan.
“Macam mana Birik, tak ada kau jumpa rusa putih,”  keluhnya sambil mengusap-ngusap bulu tengkuk anjing hitamnya.
Begitulah yang terjadi kepada Pak Malim.  Dia berjaya memburu dan membunuh rusa-rusa yang melintas di depannya.  Tetapi setiap kali rusa itu dapat dibunuhnya, bulu rusa itu tidak putih.  Oleh itu dia terpaksa meninggalkan bangkai rusa itu di situ,  terbiar dengan tidak dimakan.
Masuk hari yang ke tujuh, Pak Malim memburu rusa warna putih namun tidak juga berhasil.  Bagaimanapun dia bernekad, selagi tidak di jumpainya rusa warna putih dia tidak akanbalik menemui isterinya, Ibah.  Selama tujuh hari tujuh malam itu sudah banyaklah bangkai rusa terbiar di merata hutan akibat dibunuh oleh Pak Malim.
Setelah tujuh hari tujuh malam memburu di hutan.  Pak Malim bertemu sebuah pondok di tengah hutan itu.  Dia pun berhentilah di situ melepaskan penat.  Sewaktu dia berihat ini keluarlah seorang perempuan tua dari pondok tersebut.
“Jauh cucu ni datang,”  tegur perempuan itu terketar-ketar.
“Hah, nenek….”  Sahut Pak Malim tenang.  Dia sedikit pun tidak merasa gementar berhadapan dengan orang tua yang tidak dikenalinya itu.  “Cucu, ni pemburu.  Cucu nak berburu rusa berbulu putih.  Di mana nenek tahu adanya rusa berbulu putih?” soalnya.
“Oh, rusa berbulu putih tu ada, tapi nenek percaya cucu tak sanggup nak ke situ,”  jelas perempuan tua tersebut.
“Dimana….?”  Pak Malim menerkam perempuan itu dengan garang.
“Bahaya cucu, tempat tu merbahaya.  Nenek bimbang cucu geruh kalau ke situ,”  beritahu perempuan tua terketar.
“Kalau nenek tak cakap, cucu bunuh nenek,”  Pak Malim menghunus parangnya.  Dia dapat mengangak bahawa perempuan itu ialah nenek kebayan.
“Baiklah, baiklah cu…”  perempuan tua itu terseu-sedu menangis.  “Ramai juga pemburu tersesat ke sini tapi mereka tidak seberani cucu.  Dia balik semula ke rumah kalau nenek nasihatkan dia supaya balik,”  kata orang tua itu bercucuran air matanya.
“Di mana tempat rusa putih itu?”  jerkah Pak Malim tidak sabar mahu memburu rusa putih yang diidamkan oleh isterinya.
“Kalau cucu berkeras juga, nenek tak dapat nak menolong,”  sahutnya perlahan.  “Cucu tujulah ke matahari hidup dari sini.  Di sebalik bukit itu nanti, cucu berjumpalah dengan orang yang mengembala rusa putih itu,”  katanya menahan rasa sedih.
Setelah mendengar penerangan dari nenek kebayan tiu,  Pak Malim pun menuju kepada matahari hidup bersama Si Birik.  Perempuan tua tersebut memerhatikan saja dengan linangan air matanya.
Sejak Pak Malim pergi berburu rusa putih, lenyaplah kisahnya di kampung.  Ibah juga sudah selamat melahirkan seorang anak laki-laki.  Berita kehilangan Pak Malim sewaktu pergi memburu itu juga disampaikan kepada to’ Penghulu.
Orang-orang kampung sudah disuruh oleh To’ Penghulu mencari Pak Malim di hutan.  Mereka yang masuk ke hutan hanya menjumpai bangkai-bangkai rusa yang diburu oleh Pak Malim.  Bangkai-bangkai itu juga ada setengahnya sudah tinggal tengkorak saja.
Akhirnya orang-oang kampung berputus asa mahu mencari Pak Malim.  Oleh itu mereka berpendapat Pak Malim sudah hilang ketika berburu.  To’ Penghulu juga sudah habis ikhtiar mahu menolong Ibah mencari Pak Malim.
“Pak Malim itu bukan sebarang pemburu, kalau tak geruh dia,  siapa pun tak boleh menentangnya,”  kata To’ Penghulu mengingatkan Ibah supaya bersabar.
Ibah tahu To’ Penghulu berikhtiar mahu menolongnya.  Tetapi apa daya orang-orang kampung tidak dapat mencarinya.  Kalau Pak Malim mati di terkam binatang buas, setidak-tidaknya ada juga kesannya.  Si Birik juga tentu ada bersamanya.
Dengan terjumpanya bangkai-bangkai rusa bergelimpangan oleh orang-orang kampung, terbuktilah bahawa Pak Malim bernekad mahu mencarikannya rusa putih itu.  Dia percaya Pak Malim bernekad mencari rusa putih tersebut, sehingga lupa mengenai isterinya sedang mengandung.
Di sinilah timbul rasa kesal di hati Ibah.  Tetapi semuanya sudah berlalu.  Suami kesayangannya sudah bernekad tidak akan balik selagi tidak menemui rusa putih berkenaan.  Sehinggalah dua puluh tahun berlalu, berita mengenai Pak Malim hilang begitu saja.
Anak lelaki Ibah bernama Karium sudah menjadi anak muda yang tampan.  Berita mengenai kehilangan ayahnya Pak Malim ketika memburu rusa putih yang diidamkan emaknya tatkala mengandungkan dia itu sudah di ketaui juga oleh Kerimun.
“Biarlah Kerimun mencari ayah, mak….”  Kata Kerimun meminta izin dari emaknya.  “Kalau ayah masih hidup tentu Kerimun dapat menemuinya.  Boleh jadi ayah malu untuk balik ke kampung kerana dia gagal mendapatkan rusa putih itu,”  ujarnya menyakinkan Ibah.
Walaupun berat hati Ibah mahu melepaskan anaknya Kerimun, namun dia terpaksa juga merelakan.  Kerimun berkeras mahu mencari ayahnya semula.Dia merasa bertanggungjawab untuk menemukan kembali ayahnya yang menghilang selama dua puluh tahun itu.
Setelah mendapat pedoman dari emaknya mengenai rupa ayahnya dan anjing pemburu Si Birik itu,  Kerimun pun masuk ke hutan dengan ditemani oleh anjingnya berwarna kuning bernama Kumbang.  Bersamanya dibawa juga lembing kepunyaan ayahnya bernama ‘lembing berambu’.
Kerimun mengikut arah ke hutan seperti yang diceritakan oleh orang-orang kampung kepada emaknya.  Dia berjalan itu mata lembingnya dihentak-hentak ke tanah, sambil dia menyeru,  “Akulah Malim Kerimun, pawang segala pawang, puyang segala puyang, dukun segala dukun.  Kalau tak geruh aku, jangan siapa pun melintas menggalang, tujuh tenggang pupus anak cucu kau….”
Setiap kali dia menghentakkan mata lembingnya, setiap kali pula Si Kumbang menyalak sambil menengadah ke langit.
Puas berjalan masuk hutan keluar hutan, naik bukit menuruni lurah, mengharungi selut dan paya, akhirnya Kerimun berhenti di bawah sepohon pokok besar.  Banir pokok itu setinggi parang pinggangnya.  Duduklah dia bersandar pada banir pokok tersebut.  Ketika duduk menyandar pada banir berkenaan tobaknya ditegakkan di sisinya.
“Sebab itulah menjadi pantang larang orang tua-tua kalau masuk ke hutan memukul banir kayu…”  jelas Pak Musid ketika bercerita itu.  “Orang tua-tua juga melarang menikam-nikam besi ke tanah semasa masuk ke hutan sama ada berburu atau lain-lain,”  jelasnya.
Selanjutnya dia menerangkan,  Kerimun berhenti di bawah pokok itu untuk melepaskan penatnya.  Tiba-tiba tergeraklah di hatinya supaya menyusur lereng bukit yang berdekatan manuju kearah matahari hidup.  Dia pun mencuit punggung Si Kumbang, terus berjalan menyusur lereng bukit berkenaan.
Kemudian sampailah dia kepada sebuah pondok buruk yang diperbuat dari ruyung nibung.  Atapnya juga diperbuat dari daun nibung yang dianyam.
“Kurr tok nenek moyang, jangan tegur sapa, anak cucu nak tumpang berteduh.  Ini Malim Kerimun pawang segala pawang, puyang segala puyang, dukun segala dukun…”  dia berseru tiga kali sebelum duduk di tangga pondok tersebut.
Tidak lama kemudian keluarlah seorang perempuan tua dari pondok berkenaan.  Rambutnya putih berjurai sampai ke tumit, mulanya berkedut-kedut hodoh, jalannya bongkok sambil bertongkat.
“Jauh ke cucu datang?”  tegurnya terketar-ketar.
“Jauh tak jauh, dekat tak dekat, kalau tak ada hajat tak sampai cucu ke sini,”  sahut Kerimun tersenyum mengerling perempuan tua itu.
“Apa hajat cucu, besarkah hajatnya?”  Tanya lagi perempuan tua berkenaan.
“Besar tak besar, kecil tak kecil, tapi hajat ni kalau tak sampai geruh sebuah hutan.  Itulah tuah berkat Malim Kerimun pawang segala pawang, puyang segala puyang, dukun segala dukun,”  katanya tersenyum.  Setiap kali dia bernafas bergoyanglah semua pokok yang ada di sekitar kawasan tersebut.
“Jadi, apa hajat cucu ni?”  soal perempuan tua itu dengan rasa gementar.
Kerimun pun menceritakanlah semuanya dari awal hingga akhir tentang riwayat ayahnya Pak Malim Panjang.  Setelah mendengar cerita Kerimun itu berlinanganlah air mata perempuan tua berkenaan.
“Kalau dia mendengar nasihat nenek tidak begitulah jadinya,”  ujar perempuan tua itu kesedihan.  “Tapi, apakan daya dia degil.  Nenek hanya menjaga di hutan ini, kalau bukan jagaan nenek tak adalah kuasa nenek.  Lagi pun Pak Malim itu dah banyak membunuh binatang gembala nenek dengan mensia-siakan begitu saja.  Nenek tak berani menghalang dia….”  Kata perempuan tua itu lagi.
“Macam mana cucu nak jumpa ayah cucu tu….?”  Desak Kerimun lembut.
Perempuan tua itu tidak bercakap banyak.  Dia mengambil perasap lalu membakar kemenyan sambil menyeru-nyeru nama Pak Malim.  Seketika itu juga terdengar bunyi ribut datang, di samping salakan anjing yang sudah bertukar bunyinya seakan-akan bunyi burung lelayang selepas hujan teduh.
Apabila ribut itu berhenti.  Kerimun nampak satu lembaga manusia tegak berdiri di depannya tetapi menengadah ke langit.  Lembaga itu besar tinggi dan kepalanya seolah-olah tercecah ke awan.  Kemudian Kerimun melihat perempuan tua itu sujud pada kaki lembaga berkenaan.
“To’ puaka, anak To’ puaka yang suruh kami memanggil.  Dia nak jumpa sangat dengan To’ puaka..”  beritahu perempuan itu terketar-ketar.
“Siapa kau…..?”  Tanya lembaga hitam yang tinggi mencecah keawan itu.  Suaranya bergemuruh bagaikan menggegarkan segenap penjuru hutan.
“Aku Kerimun….”  Sahut Kerimun garang.  “Aku nak cari ayahku Malim Panjang.  Kau bunuh ayah ye, kalau begitu aku akan bunuh kau,”  pekik Kerimun sambil menimang-nimang lembingnya.
Tetapi laungan Kerimun itu tidak bersahut.  Kerimun merasa kepalanya dititik air.  Apabila dia mendongak ke atas dilihatnya lembaga itu menangis.
“Pulanglah nak, pulanglah….”  Kata lembagai itu tersedu sedan.  “Ayah dah kenal kau, lembing berambu tu lembing pesaka.  Ayah tak dapat balik semula kepada asal ayah, kerana melanggar pantang.  Sampaikanlah kepada keturunan kau apa yang kau lihat sekarang ni,”  jelasnya dengan bercucuran air mata menimpa kepala Kerimun. 
Setelah di cabutnya bulu betisnya kira-kira sepanjang ijuk enau, Pak Malim Panjang  yang sudah bertukar menjadi puaka hutan atau hantu raya itu lenyaplah dari pandangan Kerimun.
Sebelum dia hilang di pesannya kepada Kerimun supaya menanam rumpun lengkuas di hujung halaman rumah anak cucunya, supaya dia dapat mengenal keturunannya.  Dia juga melarang menimang-nimang lembing atau besi bila ke hutan.
“Kalau ada ribut, bakarlah lada kering, garam dan kulit bawang, supaya ayah tahu anak cucu ayah.  Kalau terdengar birik-birik waktu malam alihkan badan sama ada mengereng ke kiri tau ke kanan.  Dengan ini ayah akan kenal anak cucu ayah, supaya orang-orang ayah tidak mengganggu anak cucu ayah….”
Itulah pesan terakhir Pak Malim kepada anaknya.  Apabila Kerimun balik semula ke kampung semua yang dilihatnya itu diceritakanlah kepada emaknya.
“Bermula dari sini, ilmu perburuan ini kita mulakan…..”  jelas Pak Musid mengakhiri ceritanya.
Kemudian dia menambah lagi, “Sebab itu setiap jampi mentera perburuan ini kita akhirkan dengan berkat doa Malim Kerimun, berkat Rasullullah, berkat Laillahhaillallah..”
Bila mendengar cerita Pak Musid ini hati saya, semakin tawar mahu menuntut darinya.  Sejauh mana kebenaran ceritanya tidaklah saya hiraukan sangat, tetapi ada semacam perasaan takut bila saya kenang-kenangkan ceritanya itu.
“Birik-birik yang di dengar lalu pada hujung malam itu, kononnya berasal dari Si Birik Pak Malim Panjang itulah.  Sebab itu juga anjing yang menyalak pada tengah-tengah malam ada sesuatu yang dilihatnya, kerana Si Kumbang anjing Kerimun itu dapat melihat lembaga Pak Malim yang sudah bertukar itu….kata Pak Musid lagi.
SELESAI