Sementara
itu ayam-ayam lain pula bersama itek-itek bercampur gaul mengerumuni Mak Limah
untuk cepat segera mengecapi makanan pagi, seperti pagi yang lalu-lalu.
“Hebat kau
pagi ni Balung! Manja sangat ke, atau gatal sangat,” Mak Limah berkata sendirian kepada ayamnya
dalam nada yang riang.
Lusa anak
sulungnya Jalal akan pulang bersama isteri dan tiga orang anaknya yang masih
kecil belum bersekolah lagi. Mereka
dijangka menetap selama seminggu di kampung ini.
“Aku tak
sembelih kau Balung, baka kau baik dan biak,”
bersuara lagi Mak Limah pada ayam jantannya. Sementara ayam itek yang lain terus
mengerumuni bakul berisi padi.
Ayam
jantan itu terus melompat-lompat bagikan hendak memanjat tubuh Mak Limah. Mak
Limah terus tersenyum sambil berdiri bersama tangannya memegang bakul padi.
Si Balung
ayam jantan bapa tuanya terus mahu memanjatnya,
“Nantilah aku serakkan padi ini, biar semua merasa,” Mak Limah bersungut sambil melangkah kaki
menuju ke halaman belakang rumah tempat biasa dia memberi ayam makan, sementara
iteknya pula akan dilunggukkan padi-padi dalam beberapa besen kecil.
Langkah
Mak Limah di ikuti dengan rapatnya oleh ayam iteknya dengan bunyi suara yang
begitu bising. Si Balung terus
melompat-lompat bagikan hendak memanjat tubuh Mak Limah yang sedang berjalan.
Sampai
sahaja di ruangan, halaman yang kecil itu, Mak Limah terus menyerakkan
padi-padi untuk ayam-ayamnya, kemudian dia terus ke besen-besen yang sedia ada
seperti biasa untuk menaruhkan padi-padi bagi dimakan itek-iteknya.
Ayam itek
terus mengecapi makan yang di berikan, tetapi balung terus mengekuri Mak Limah
yang menuju ke halaman depan rumah.
Mak Limah
cuma memandang sebentar sahaja pada Balung,
“Nak makan di tangan pula hari ni, dah berapa lama kau makan berserak,
masa kecil bolehlah, aku ni sibuk,”
rungut Mak Limah bagaikan ayam jantan didiknya itu faham dengan
kata-katanya.
Balung
terus meluru pada pada Mak Limah yang menapak menaiki tanggan rumah. Pantas sekali Balung melompat naik ke beranda
lantas berkokok bertalu-talu.
Kemudian
Balung terus terbang menghinggapi pohon rambutan yang sedang berbunga di
halaman. Mak Limah memandang riang
sahaja telatah Balung. Kemudian Mak
Limah masuk ke dalam rumah.
Kokokan
Balung terus bertalu-talu di pagi yang sedang bermandikan cahaya matahari
dengan air embun yang antaranya masih ada lagi di hujung daun-daun pepohon.
Mak Limah
tidak ambil kisah langsung tentang kokokan Balung, dia juga selalu menikmati
kokokan yang begitu tapi selepas Balung mengecapi makanan pagi dan makan
tengahari juga petang.
Dia terus
membuat kerja-kerja di dapur sebelum turun ke tanah semula untuk membuat
kerja-kerja di kawasan tanaman sayurannya, musim ini padi di sawah baru sahaja
lepas di tuai.
Tiba-tiba
dalam Mak Limah leka membuat kerja dapur, dia terdengar bunyi ayamnya di
halaman dapur keriuhan cara terkejut.
Mak Limah tidak peduli sangat, kerana selalunya Balung mengacau ayam
betina bila ia sudah kenyang.
Lama-lama
kelamaan keriuhan ayah iteknya bertambah bingar, bagaikan ayam itek itu
disambar helang, masakan helang pagi-pagi lagi dah mencari mangsa, fikir Mak
Limah sambil menuju ke tepi tingkap.
Alangkah
terperanjatnya dia bila melihat seekor biawak sebesar pehanya sedang merayap di
halaman tempat padi di serahkan untuk ayam iteknya.
Biawak itu
merayap perlahan-lahan sementara ayam itek berkeliaran dalam ketakutan dan ada
juga antaranya yang meragut curi-curian padi di halaman tersebut.
Dengan
pantas Mak Limah membuka pintu dapurnya sambil mencapai parang panjang yang
selalu dibawanya ke sawah untuk meracik rumput di permatang.
Langkahnya
pantas sekali menuju pada biawak yang sedang merayap menghampiri beberapa ekor
ayamnya dengan lidah terjelir-jelir keluar.
Seram juga
Mak Limah hendak menghampiri biawak tersebut walaupun parang di tangannya sudah
sedia untuk menetak mangsa yang bakal memusnahkan ayam iteknya nanti.
Biawak
tersebut tidak sedikitpun mengindahkan kehadiran Mak Limah di kawasan itu. Ia terus mengekori perlahan-lahan beberapa
ekor ayam yang sedang mencuri-curi makanan.
Berdebar-debar
hati Mak Limah bila langkahnya menghampiri biawak tersebut dan bila perasaannya
dikumpulkan dengan penuh tenaga dia mahu menetak biawak tersebut dengan
parangnya.
Pantas sekali
biawak itu berpaling kearahnya bersama dengan mulut yang terbuka luas, merah
tekaknya bagaikan hendak menelan Mak Limah.
Terpekik
Mak Limah melihat keadaan itu, parang di tangannya tidak jadi di hayun. Terasa kaku pada tubuhnya. Berat kakinya hendak melangkah mara atau pun
undur.
Biawak itu
meluaskan lagi mulutnya menghala pada Mak Limah dan menghembuskan bunyi yang
menakutkan. Mak Limah kaku. Parangnya
terlepas dari tangan.
Mata Mak
Limah terus tajam memandang pada biawak tersebut. Sementara biawak tersebut terus mara padanya
perlahan-lahan dengan mulut yang terngaga dan menghembuskan nafas yang
mengerunkan.
Sewaktu
biawak tersebut hampir sangat dengan Mak
Limah, Mak Limah menjerit sekuat hatinya dan sepantas itu juga Balung
muncul dengan berlari menerpa pada biawak tersebut.
Dengan
taji yang tajam dan paruh yang kukuh, Balung menentang biawak tersebut, begitu
juga dengan biawak itu tidak juga melepaskan peluang menentang Balung dengan
mulut yang ternganga dan kuku yang tajam.
Mak Limah
tidak boleh berbuat apa-apa, Cuma matanya sahaja tepat memandang pada
perlawanan dua mahluk yang berlainan jenis itu. Ayam itek yang lain bertempiar
kerana perlawanan tersebut.
Akhirnya
Mak Limah dapat mententeramkan perasaannya.
Perlahan-lahan dia mencapai parang yang jatuh ketanah tadi. Di genggamnya hulu parang tersebut
begitu erat sekali. Dia menanti peluang sahaja untuk menetak biawak yang
mencabar Balung.
Ketika
Balung melompat tinggi mengelakkan diri dari terpaan biawak tersebut, pantas
sekali Mak Limah dari belakang menetak biawak tersebut.
Nasib Mak
Limah kurang baik. Tetakannya mengenai
ekor biawak itu saja. Putus ekor biawak
itu sepanjang sejengkal.
Dengan itu
juga biawak tersebut pantas lari menuju kearah semak berhampiran dengan sawah.
Balung
terus berkokok. Mak Limah
termanggu-manggu tidak tahu apa yang hendak dibuatnya. Dia cuma memandang sekejap sahaja pada Balung
yang sedang berkokok bertalu-talu.
Sementara ayam itek yang lain mengecapi seenaknya padi-padi yang masih
ada.
Mak Limah
terus masuk ke dalam dapur. Badannya
rasa seram sejuk. Kepalanya mulai terasa
pening. Dia meletakkan parang panjangnya di dekat pintu dapur.
Dengan
keadaan yang lemah, Mak Limah terus masuk ke biliknya. Lalu dia baring di atas katil dengan
berselimutkan selimut tebal untuk menghilangkan seram sejuk badannya.
Kokokan
balung cuma sekali-sekala sahaja kedengaran padanya. Kemudian dia terus terlena tidak sedarkan
diri.
Hari sudah
mulai senja. Mak Limah terjaga dan
pantas sekali dia bangun. Dia menuju ke
dapur untuk mengambil baldi penceduk air perigi. Dia tidak ambil kisah tentang
ayam iteknya kerana badannya terasa mulai demam.
Selalunya
tengahari dan petang ayam itek itulah yang dihitungnya dengan memberi makan dan
merebankannya, tapi senja ini tidak begitu, badannya yang mulai demam itu
digagahinya untuk pergi mengambil air sembahyang. Magrib akan menjelang, dua waktu sembahyang
sudah tertinggal tadi,
Waktu dia
hendak ke perigi, dia melihat ayam iteknya masih lagi tidak masuk reban. Kebanyakkannya sedang berkeliaran di depan
pintu reban tersebut. Ada yang cuba nak
masuk tetapi tak jadi. Mak Limah tidak
mahu ambil pusing, dia mahu segera mengambil air sembahyang di perigi.
Selepas
sahaja dia mengambil air sembahyang, dia terus masuk ke rumah dengan tidak
mempedulikan tingkah perangai ayam iteknya yang bertahan tidak mahu masuk
reban. Dia menyangkakan ayam itek itu tidak mahu masuk reban kerana belum
diberi makan.
Selesai
sahaja dia menunaikan sembahyang Magrib.
Dia terus menyalinkan pakaian sembahyang dan melangkah turun untuk
merebankan ayam itek, hendak memberi makan sudah lewat, hari sudah gelap.
Bersama di
tangannya lampu picit sederhana, dia turun menuju ke reban. Ayam iteknya masih berkeliaran tak tentu
hala, ada yang hendak masuk tidak jadi bagaikan takut sesuatu.
Puas sudah
Mak Limah mengiring ayam itek itu untuk masuk ke reban, tetapi tidak
berjaya. Lalu dia menyuluh ke dalam
reban melalui pintu reban.
Terperanjat
besar dia bila melihatkan seekor biawak sebesar biawak pagi tadi berada di
sudut dalam reban dengan ekor yang bergelumang darah.
Hatinya
cekal menghadapi suasana ini sekarang.
Dia menyuluh memastikan biawak tersebut.
Didapatinya ekor biawak tersebut seperti biasa, cuma darah sahaja yang
merah membasahi. Sedangkan dia yakin
ekor biawak pagi tadi telah putus dan dibiarkannya menggelitik di halaman
tempat memberi ayam makan.
Dia
mengamati biawak dalam reban itu.
Betul-betul biawak yang dia tetak pagi tadi kerana beberapa cakaran dan
patukan kuku paruh balung masih meninggalkan kesan di badan biawak tersebut.
Biawak
tersebut terus menentang cahaya lampu picit Mak Limah dengan mata yang
bersinar-sinar dan mulut yang ternganga luas bersama dengan bunyi hembusan
nafas yang sangat kuat.
Mak Limah
terfikir untuk mengatasi masalah tersebut.
Dia bangun lalu memanggil Balung.
Balung yang dari tadi tiada kelihatan olehnya datang berlari-lari.
Perlahan-lahan
Mak Limah memegang badan Balung lalu dicampakkannya ke dalam reban sambil
tangannya sebelah lagi menyuluh biawak yang sedang menanti begitu bengis.
Sebaik
sahaja Balung berada dalam reban, pantas biawak tersebut bergerak. Sekejap sahaja dengan dinding reban yang
dibuat dari papan berpaku itu pecah, biawak tersebut lari sekuat-kuatnya menuju
ke sawah.
Perasaan
Mak Limah sedikit bimbang tetapi digagahinya juga untuk melihat dengan menyuluh
semua dalam reban tersebut. Didapati darah begitu banyak berada dalam reban
itu.
Setelah
semua ayam iteknya masuk reban dan Mak Limah membetulkan semula dinding reban
yang pecah oleh biawak tadi, dia pun naik ke rumahnya dengan perasaan yang
bimbang dan tertanya-tanya akan kejadian yang berlaku pagi dan sebentar tadi.
Dalam
memikirkan keadaan yang berlaku, Limah setelah selesai sahaja makan malam terus
merebahkan dirinya untuk tidur.
Kokokan
ayam Balungnya yang bercampur dengan beberapa kokokan dari ayam jantannya yang
lain bersama-sama dengan ayam kampung yang lain bersahutan membuatkan Mak Limah
terjaga.
Selesai
sahaja dia menunaikan sembahyang Subuh dia terus turun untuk memberi ayam
iteknya makan. Pagi ini lebih awal lagi
kerana ayam iteknya tidak diberi makan petang semalam.
Cahaya
matahari belum lagi berapa terang, mataharipun masih belum muncul lagi. Mak Limah sudah melepaskan ayam iteknya untuk
diberi makan di tempat yang biasa.
Padi
diserakkan di halaman dan dilunggukkan dalam besen-besen yang disediakan untuk
itek.
Berlainan
sekali pagi ini. Ayam iteknya seperti
dalam ketakutan. Ada yang makan tetapi
tidak serancak biasa.
Mak Limah
tidak ambil kisah tentang hal itu. Dia
terus semula ke dalam dapur untuk masak makanannya sebelum turun ke kawasan
sayuran. Seharian semalam sayurannya
tidak bersiram.
Selepas
sahaja dia menjamah segala makanan yang dia sendiri siapkan dia mencapai parang
panjangnya untuk turun ke kawasan sayuran yang tidak berpa jauh dari rumahnya.
Hati
begitu berat untuk melihat ayam iteknya makan.
Lalu dia menuju ke halaman dapur di mana ayam iteknya sedang makan dalam
keadaan yang takut-takut.
Matahari
sudah menerangi alam. Hati Mak Limah
lega kerana tiada apa yang berlaku pada pagi ini. Dia berdiri bangga melihat ayam iteknya dalam
keadaan yang selamat, cuma hati tertanya-tanya, kenapa ayam iteknya makan dalam
ketakutan.
Dia
mencari Balung yang tidak kelihatan olehnya, lalu dia memanggil Balung.
Sebentar
Balung berkokok di pinggir semak tepi sawah.
Dengan parang panjang di tangan, dia terus menuju arah tersebut.
Dalam
perjalanan dia menuju ke semak tersebut
di mana dia mengikut jalan biawak lari pagi semalam, dia begitu hairan
sekali.
Setiap
jaluran yang meninggalkan kesan-kesan darah biawak semalam tumbuh cendawan
berwarna merah seperti cendawan busut.
Jaluran itu terus kearah semak tersebut dengan cendawan yang tumbuh
berbaris.
Dia terus
mengikuti jaluran cendawan itu hingga ke semak dimana ayam Balung sedang
berdiri gagah bagikan menghadap sesuatu di dalam semak tersebut.
Dengan
berhati-hati dia meninjau ke dalam semak tersebut. Alangkah terperanjatnya dia bila melihat
biawak dengan ekor yang kudung kesan kena tetak baru lagi sedang memamah rakus
cendawan-cendawan berwarna merah yang tumbuh begitu banyak dalam semak tersebut
di atas kesan darah pada ekor biawak yang berlumuran dengan darah beku itupun
tumbuh cendawan berwarna merah.
Biawak
tersebut tidak mempedulikan dia dan ayam Balung yang berada di pinggir semak
tersebut memerhatikan ia makan cendawan tersebut.
Mak Limah
mengucap panjang, kemudian dia mengangkat ayam Balung dan dibawanya pulang.
Sampai
sahaja dia di rumah dia begitu tersentak bila melihat Pak Seman bersama Mak Uda
Gayah berdiri di halaman rumahnya dengan parang berada di tangan masing-masing.
“Ada kau
lihat biawak di sini semalam Limah?”
Biasa sahaja nada Pak Seman.
“Biawak?” Dalam kehairanan Mak Limah bersuara.
“Biawak tu
mengganggu ayam aku semalam, petang semalam masuk ke reban pula,” sampuk pula Mak Uda Gayah.
Dengan
tidak banyak cakap, Mak Limah terus membawa Pak Leman dengan Mak Uda Gayah ke
kawasan semak tepi sawah tadi. Kemudian
dia menceritakan segala hal yang berlaku semalam serta tentang cendawan yang
tumbuh pada kesan darah biawak yang ditetaknya itu.
“Heh!
Malam tadi masa aku ke masjid ada budak-budak bercerita tentang seorang India
yang sibuk mengatakan seekor biawaknya tertinggal dengan leher bercerut dawai
dan digantung pada sebatang pokok minggu lepas, bila dia datang semula ke tepi
sawah di pinggir hutan sana, biawak yang sebesar peha itu telah kering,” Pak Leman bercerita pada Mak Limah.
Terlopong
mulut Mak Limah mendengarnya. Hatinya
begitu kecut sekali.
“Semalam
India tu datang lagi mencari biawak di sawah sana, tetapi dia hairan, biawak
yang telah kering itu tiada lagi,yang tinggal cuma dawai penggantungnya
sahaja,” Pak Leman mengkahiri ceiranya.
Dalam
mereka bercerita itu tiba-tiba mereka terdengar bunyi menggelupur yang kuat
dalam semak tersebut, Pantas sekali
mereka meninjau ke situ.
Dalam pandangan mereka bertiga, biawak yang kudung
ekornya dengan mulut penuh dengan cendawan mengelupur dan sedikit demi sedikit
mulai lesu dan terus kering seperti
dipanggang. Mereka bertiga
berpandangan.
SELESAI
No comments:
Post a Comment