Sunday, May 22, 2016

177. MINYAK LINTAH MENUNTUT JANJI



HIBA benar sampai tersengguk-sengguk Ngah Semidin apabila isteri saya masuk ke biliknya bersama Uda Mahijah. Terkial-kial dia mencapai tongkat dibantu oleh isterinya mahu bangun ke serambi. Tetapi isteri saya masuk dahulu mendapatkan dia setelah diberitahu oleh Uda Mahijah mengenai Ngah Semidin sudah tiga bulan terkejang di katil.

Kalau mahu ke serambi dia akan bertongkat terketar-ketar menupang ketiak, akibat kakinya patah sampai tergucil pangkal paha. Payah benar dia mahu bangun hingga tergapai-gapai mahu mencari tongkat yang disediakan oleh menantunya Manap Repol.

Sewaktu saya bersarna isteri saya sampai di rumahnya siapa pun tidak ada. Baru sahaja masuk zohor memang anak-anaknya belum balik dari pejabat. Memang Uda Mahijah menyangka anaknya Naesah yang datang menjengah, tatkala isteri saya memberi salam dari tengah halaman.

Sebaik sahaja dia melihat isteri saya terjengah di situ, tidak bertangguh dia memaut bahu. Terlupa dia mempelawa saya masuk ke rumah apabila tergopoh-gopoh menarik isteri saya mendapatkan suaminya di bilik.

"Mahu juga kamu ziarah aku, Mayah," tersengguk-sengguk Ngah Semidin menahan rasa terharu dengan kunjungan isteri saya. "Mana suami kamu, tak ikut sama ke?" ujarnya masih menyembamkan muka ke bahu isteri saya.

Barulah Uda Mahijah menyedari dia terlupa mempelawa saya masuk disebabkan terlalu terharu sebaik sahaja isteri saya menjengah muka. Tetapi saya sudah pun tercegat dipintu bilik, sebaik sahaja Uda Mahijah mahu ke serambi mempelawa saya masuk.

"Hah, dah masuk pun suami kamu, Mayah," tersipu-sipu Uda Mahijah menatap muka saya apakala terserempak di situ.

"Macam inilah aku, Mayah," beritahu Ngah Semidin mencapai tongkat yang tersandar ke dinding. Dia mempelawa keluar semula ke serambi untuk membuktikan langkahnya masih gagah sekalipun terpaksa dibantu dengan tongkat kayu bertupang ke bawah ketiak.

Isteri saya tidak menyahut. Memang dia sudah lama mendengar bapa saudaranya kemalangan jatuh memanjat pokok, hingga tulang pahanya patah. Tetapi isteri saya menyangka sudah sembuh, disebabkan tidak siapa pun menjengah bapa saudaranya itu.

Semenjak pindah meninggalkan kampung halaman, memang keluarga isteri saya semacam putus hubungan dengan bapa saudaranya. Berkali-kali pula bapa saudaranya ingatkan sesiapa sahaja jangan menjengah dia selepas mengambil keputusan meninggalkaii kampung halaman.

Marah benar Ngah Semidin apabila bapa mertua saya menegur dia fasal jualkan tanah peninggalan yang sudah dibahagi sama rata adik beradik. Perkara dia jualkan tanah siapa pun tidak boleh campur lagi urusannya, kerana dia berhak mengenai bahagian tanah miliknya. Keputusannya mahu jualkan tanah bahagiannya, jangan siapa pun cuba nasihatkan dirinya.

Sebab itu Ngah Semidin ingatkan biarlah dia terbuang di kampung orang sampai bila-bila pun. Saudara mara atau adik beradik tidak perlu lagi menjengah dia sekalipun terlantar menanggung derita. Semenjak bertahun-tahun tidak siapa pun adik beradik menjengahnya, tiba-tiba sahaja Naesah memberitahu mengenai kemalangan yang menimpa ayahnya.

"Dia tu panas baran," jelas bapa mertua saya sebaik sahaja diberitahu mengenai kemalangan yang menimpa adiknya. "Nanti kita nak jengah dia, kita pula dilawannya bermusuh," ujar bapa mertua saya semacam keberatan mahu menjengah Ngah Semidin.

Jauh di lipatan hatinya bapa mertua saya menyangka tentulah kemalangan itu tidak seteruk mana. Kalau Ngah Semidin mengalami kecederaan teruk tentu Naesah datang sendiri memberitahu. Bapa mertua saya sekadar mendapat pesanan sahaja dari Naesah mengenai kemalangan yang menimpa ayahnya itu.

"Kalau kamu ada masa, kamulah jengah dia, Mayah," emak mertua saya mendesak, sekalipun dia sendiri tidak berura-ura mahu menjengah.

Tetapi isteri saya tidaklah mendesak sangat mahu mengajak menjengah bapa saudaranya itu jauh di Chemor. Dia juga merasakan Ngah Semidin hanya cedera sedikit sahaja apabila jatuh memanjat pokok. Apa sangat kalau terjatuh memanjat pokok mempelam di belakang rumah, atau pokok rambutan di hujung halaman? Kalau retak tulang pun mereka akan menuduh patah sampai tergucil pangkal paha.

Lagi pun sudah bertahun-tahun isteri saya tidak pernah menemui bapa saudaranya selepas Ngah Semidin merajuk meninggalkan kampung halaman. Dia masih bersekolah ketika Ngah Semidin rnerajuk selepas mengambil keputusan menjualkan tanah bahagiannya. Semenjak itu pula keluarganya tidak pernah bertemu Ngah Semidin di mana-mana.

Memang anak-anak Ngah Semidin sahaja menghubungi saudara mara di kampung. Tetapi mereka sekadar mengutus surat sahaja, hanya sekali sekala sahaja datang menjengah. Kalau saudara mara boleh cam pun hanya Naesah yang sudah beberapa kali ke kampung bersama suaminya.
Beberapa kali juga Naesah membawa isteri saya ke rumah-nya semasa masih bersekolah lagi. Tidak pernah pula Ngah Semidin berdendam sekalipun hatinya masih tersinggung dengan bapa mertua saya.

"Aku dengar kamu dengan suami kamu dari Naesah aje," perlahan Ngah Semidin mengesat pelupuk mata apabila mengajak kami keluar dari biliknya

"Tapi kami dengar ngah jatuh pokok dari ayah,": jelas isteri saya setelah duduk di serambi.

Terangguk-angguk Ngah Semidin apabila kenangkan abangnya yang sudah tidak bertemu muka sejak bertahun-tahun. Tidak patut dia merajuk hati sampai tidak mahu jejak kaki ke kampung.

Tetapi bapa mertua saya tahu, Ngai Semidin tidak mahu balik ke kampung disebabkan malu menjualkan tanah. Sebaik sahaja pecah kuasa tidak bertangguh dia jualkan tanah bahagiannya. Ke mana lagi dia mahu menumpang setelah tanah bahagiannya di-jual habis?

Sebaik sahaja meninggalkan kampung halaman, bapa mertua saya tahu dia bekerja di lombong. Tetapi saya ingatkan juga isteri saya mengenai sikap bapa mertua saya yang sama tidak mahu mengalah. Dia tidak akan menemui Ngah Semidin selagi adiknya sendiri tidak datang meminta maaf.

"Ngah kamu ni keras hati!" lantas sahaja Uda Mahijah mengejeknya sekalipun dadanya masih sebak menahan keharuan den-gan kunjungan isteri saya.

"Lupakan perkara yang dulu-dulu tu, uda," segera isteri saya memujuknya supaya tidak ungkit lagi perkara yang sudah berlalu. Dia sendiri tidak dapat menahan sebak apabila kenang-kan kejadian yang memisahkan keluarga mereka.

"Aku tak berdendam dengan ayah kamu," sekaligus Ngah Semidin menangis sambil memeluk tongkatnya erat-erat. "Cukuplah ngah, nanti saya pula menangis," sahut isteri saya mengesat pelupuk mata dengan suasana yang dicetuskan oleh Ngah Semidin.

"Tiga bulan ngah terlantar," keluh Ngah Semidin kenangkan nasib malang yang menimpa-nya. Kalau tidak disebabkan dia jatuh tatkala memanjat petai di hutan, siapa yang boleh tandingi dia meranduk ke hutan? Dia satu-satunya yang mampu meranduk sampai ke pinggir hutan besar.

Bukan takat memanjat petai tersergam di pinggir bukit, kalau menghela manau sudah ditetak perdu pun memang Ngah Semidin yang mampu lakukan. Kadangkala gerun juga Saleh Moyok ikut dia ke hutan apakala melihat Ngah Semidin bergayut di hujung dahan merengkuh buah petai.

Tidak boleh direngkuh dia akan anggit hujung dahan dengan tali biar rapat ke pangkal. Setelah ditetak buah, tidak bertangguh Ngah Semidin hulurkan ke bawah. Saleh Moyok akan menunggu di perdu pokok biar buah petai yang diberkas tidak terhempas ke tanah.

Sekiranya menetak manau pun, Ngah Semidin satu-satunya yang mahir memanjat pokok lain memangkas pelepah manau yang sangkut di dahan-dahan pokok. Setelah habis disisip pelepah, barulah batang manau boleh di-hela sampai rebah ke bumi.

Memang siapa pun tidak boleh tandingi Ngah Semidin. Sebab itu bila musim petai berbuah, Saleh Moyok tidak menolak sekiranya diajak oleh Ngah Semidin meranduk ke tengah hutan. Mereka akan memunggah banyak buah petai keluar dari hutan sekalipun berkandar menuruni curam bukit.

Saleh Moyok sendiri yang melihat Ngah Semidin melayang jatuh dari pokok petai. Lama dia terpempan tidak tahu bagaimana mahu membantu setelah Ngah Semidin terhempas di perdu pokok. Ketika Ngah Semidin jatuh macam gugus buah petai terhempas, memang dia tidak bergerak lagi.

Berdebar juga Saleh Moyok disebabkan Ngah Semidin tidak bergerak langsung. Setelah di-bukakan ikat pinggang seluar dan butang baju, segera Saleh Moyon mengipas dengan bajunya. Lama dia urut-urutkan belakang Ngah Semidin, barulah kawannya itu mula mengerang-erang.

"His, memang aku pun gelabah masa tu,' ujar Saleh Mogok mengurut dada apabila kenangkan kejadian semasa dia ikut Ngah Semidin ke hutan.

"Kalau tak ada Saleh, belum tahu lagi nasib ngah," tersengih-sengih Ngah Semidin mengerling jirannya yang datang menjengah sebaik sahaja melihat saya berkunjung ke situ.

"Kami berdua ni tak pernah berenggang kalau ke hutan," jelas Saleh Moyon perlahan. Dia mengaku semenjak tiga bulan Ngah Semidin jatuh memanjat polcok petai, memang dia tidak jengah lagi ke hutan. Dia tidak perlu masuk ke hutan mencari manau atau petai sekiranya Ngah Semidin tidak ikut sama.

"Tapi masa itu, aku memang nampak orang bongkok di dahan petai,": tutur Ngah Semidin apabila kenangkan kejadian yang menimpanya tatkala memanjat pokok petai.

Sudah beberapa kali Saleh Moyok ingatkan dia mengenai zohor sudah masuk. Menjadi pantang larang orang tua-tua di kampungnya sekiranya tengah buat kerja apa pun mesti berhenti apabila masuk waktu zohor. Tengah hari rembang memang tidak baik teruskan kerja tatkala matahari masih tegak di kepala.

Tetapi Ngah Semidin tidak peduli sangat dengan pantang larang orang tua-tua. Bagaimana dia mahu turun dari pokok petai yang tinggi menjulang untuk lepaskan zohor terlebih dahulu? Kalau mahu solat zohor pun apa salahnya dia habiskan kerja terlebih dahulu.

Tentulah sia-sia mahu turun dari pokok setelah sampai di atas dahan. Sekiranya turun juga disebabkan pantang larang orang tua-tua, bukannya mudah mahu memanjat semula. Dia terpaksa berpaut pada pokok-pokok kecil, sebelum, sebelum dapat memanjat kearah pokok petai yang tinggi menjulang.

Dia tidak peduli pun laungan Saleh Moyok supaya duduk berihat sahaja di pangkal dahan sementara zohor berlalu. Apa gunanya baik memanjat ke dahan kalau sekadar duduk sahaja sampai setengah jam. Lebih baik dia anggit hujung dahan dengan tali biar buah petai bergugus-gugus rapat ke pangkal.

Sewaktu dia mengikat tali ke hujung dahan untuk menariknya ke pangkal, Ngah Semidin memang betul-betul meniti dahan. Sebaik sahaja dia berpusing ke belakang hatinya berdebar apakala melihat lelaki bongkok dengan belakang berbonggol bertenggong di pangkal dahan. Tersengih-sengih lelaki bongkok itu mengajak dia duduk sama di situ.

Cepat-cepat Ngah Semidin memerhati Saleh Moyok di bawah. Tentu kawannya juga melihat lelaki bongkok itu bertenggong di pangkal dahan. Bagaimana pula lelaki bongkok itu boleh naik memanjat sedangkan badannya sendiri lemah tidak bermaya.

Sebaik sahaja melihat Saleh Moyok mendongak ke atas sambil jari menuding ke arah pangkal dahan, tiba-tiba sahaja kakinya tergelincir. Dia terhumban ke bawah tidak dapat mengawal badan lagi.

"Agaknya silau cahaya matahari tu," lantas isteri saya menuduh. "Tengah panas rembang, bayang pokok pun ngah sangkakan orang," ujar isteri saya selanjutnya. Tentu Ngah Semidin sekadar melihat bayang-bayang di pangkal dahan akibat silauan cahaya matahari yang memijar.

"Entahlah," keluh Ngah Semidin masih gementar apabila kenangkan kejadian di atas pokok petai sekalipun sudah lebih tiga bulan berlalu.

"Tapi, dia berlari di atas dahan petai tu!" beritahu Saleh Moyok pula disebabkan merasa hairan Ngah Semidin tidak berpaut di mana-mana. Dia melihat Ngah Semidin berjalan di atas dahan petai, laksana meniti titian melintasi parit.

Sebab itu Saleh Moyok melaung dari bawah menyuruh dia segera balik ke pangkal dahan. Cepat-cepat dia menuding ke pangkal dahan biar Ngah Semidin berpaut di situ. Belum pun sempat Saleh Moyok mendesak dia balik ke pangkal dahan, Ngah Semidin sudah terhumban jatuh.

Puas juga kibaskan dengan kain ikat kepala biar panas memijar susut semula. Setelah suhu panas badan Ngah Semidin beransur kurang, barulah dia dapat membuka mata. Sehingga santak petang baru Saleh Moyok dapat memapah Ngah Semidin balik ke rumah, sekalipun kawannya mengerang-erang tidak berdaya mahu melangkah.

"Entahlah, Saleh nampak aku berlari di atas dahan," gerutu Ngah Semidin menatap mata isteri saya, "Tapi, aku rasa masih perpaut kuat pada ranting," kata-nya macam tidak percaya seperti yang dijelaskan oleh kawannya itu
.
Memang Saleh Moyok nampak dia berlari di atas dahan pokok petai dengan tangan tidak berpaut di mana-mana. Sebab itu Saleh Moyok sudah mengagak tentu kawannya itu dirasuk puaka hutan. Kalau tidak disebabkan Naesah berkeras mahu bawa ke hospital, memang Saleh Moyok akan cuba juga memujuk Ngah Semidin menemui Haji Tahari di Lumut.

Tahu benar dia mengenai Haji Tahari kalau diminta ubatkan orang patah tulang sampai remuk sekaipun. Saleh Moyok sendiri sudah bawakan sepupunya Lajim akibat terperinci di perahu sewaktu mahu turun ke laut. Sekaligus sepupunya tersendal betis sampai tulang kering tersembul keluar.

Tatkala dibawa ke Lumut di rumah Haji Tahari, memang Lajam tidak sedarkan diri langsung. Perlahan-lahan orang tua itu masukkan masukkan semula tabung keting yang tersembul macam ranting kayu terkulai di rengkuh kuat. Setelah tulang keting dicantumkan semula, perlahan-lahan aji doakan:

Wa-in yuridu anyakhda'ua fain-na hasbakallahhu huwallai aiyadaka binisrihi wabilmukmi-nin, waalafa baina qulubihim lau anfagta mafilardhi jamiran ma allafta baina qulubihim walakinnallahha allafa bainahum innahu 'azizul hakim.'

Kemudian dia memegang ibu jari kaki Lajim, hingga tiba-tiba sahaja lelaki itu menggenjurkan kakinya. Selepas dia menggenjur kaki itulah Lajim membuka matanya. Dia terpinga-pinga kerana tidak mengetahui bagaimana dia sudah sampai di rumah Haji Tahari.

"Di mana aku ni?" ujar Lajim macam tidak percaya dia sudah dibawa ke Lumut oleh Saleh moyok.

"Dah sampai di Lumut, rumah Haji Tahari,": jelas Saleh Moyok perlahan mengerling Haji Tahari yang tersengih-sengih di lunjur kaki Lajim.

"Kaki aku macam mana?" lantas Lajim ingatkan kakinya yang patah sampai tersembul tulang keting. Kalau tidak terkejut melihat tulang ketingnya tersembul memang dia tidak pitam serta merta.

Mudah sahaja matanya berbinar ketakutan sebaik sahaja melihat tulang keting tersembul apakala tersendal di bibir perahu. Dia sendiri tidak menyangka boleh berlaku kemalangan demikian, takat tergelincir di tepi perahu.

Tetapi dia jatuh terkangkang menyebabkan betisnya tersangkut sampai tersendal kuat. Sebaik sahaja kawan-kawan datang membantu melepaskan kakinya yang tersepit, tiba-tiba sahaja mereka melihat tulang keting sudah tersembul. Berderau darah Lajim apakala terpandang tulang ketingnya sudah terjojol laksana kayu bumbung rumah bertembung.

Tidak sempat dia bercakap sepatah pun, matanya sudah berbinar. Kepalanya juga bagaikan berputar laksana gasing tengah ligat uri. Jiran-jiran juga sudah gelabah tidak menentu. Tetapi mereka tidak tergopoh-gopoh hantarkan ke hospital selagi keluarga Lajim tidak membuat keputusan.

Memang Saleh Moyok sendiri berkuat mahu bawakan ke rumah Haji Tahari. Biarlah jauh di Lumut, dipercaya perjalanan ke rumah Haji Tahari tidak memakan masa sangat. Apalah salahnya bersabar sedikit sementara sampai ke rumah orang tua itu.

Namun jauh di sudut hatinya, Saleh Moyok tetap berdoa biarlah Haji Tahari tidak ke mana-mana. Alangkah hampanya dia sekiranya orang tua itu sudah keluar dijemput orang! Kadangkala Haji Tahari dibawa orang sampai ke Parit Buntar atau ke Kulim sampai dua tiga hari di sana.

Ke mana lagi boleh diharapkan sekiranya Haji Tahari tidak ada di rumah. Dia memang tahu orang tua itu tidak sama dengan Pak Lobin, kalau keluar meninggalkan rumah. Pak Lobin juga dijemput orang semata-mata berurut dengan minyak lintah untuk kuatkan tenaga batin.

Haji Tahari tidak mahu bersubahat sekiranya orang yang minta urutkan dengan minyak lintah, semata-mata mahu berdamping dengan perempuan-perempuan cantik. Dibayar beratus-ratus ringgit pun Haji Tahari tidak mahu mengurut dengan minyak lintah, biar lelaki berkenaan lakukan maksiat.

Dia sekadar mengurut kalau terkehel urat. Perkara terkehel urat tidak sama dengan sengaja mahu kuatkan tenaga batin. Mereka yang berurut dengan minyak lintah memang mahu melakukan maksiat di mana-mana. Sengaja mahu memuaskan hawa nafsu sekiranya mampu berdepan dengan berapa orang pun wanita cantik.

Tetapi Haji Tahari percaya memang Pak Lobin juga bukanlah bersungguh-sungguh sangat mahu mengurut dengan minyak lintah. Kadangkala sengaja dia mahu larikan diri, tetapi orang-orang yang berkedudukan terus juga memburunya. Serba salah juga dia mahu mengelak apabila didesak oleh orang yang berkedudukan yang banyak membantu keluarganya.

Mahu tidak mahu terpaksa juga Pak Lobin mematuhi kemahuan orang-orang yang berkedudukan mahu berurut dengan minyak lintah. Mereka semuanya memuji-muji kepakaran Pak Lobin mengurut dengan minyak lintah hingga sampai dibawa ke mana-mana. Kalau Pak Lobin mahu lakukan maksiat pun mereka sanggup bawakan perempuan muda yang cantik di hadapan Pak Lobin. Na’uzubillah, Pak Lobin masih mampu mengawal dirinya, sekalipun terpaksa juga bersubahat.

Lainlah Haji Tahari yang mudah menghilangkan diri hingga isterinya sendiri tidak tahu ke mana dia tinggalkan rumah. Asal sahaja mereka berniat salah datang ke rumahnya, memang Haji Tahari tidak akan ditemui. Puas didesak pun isterinya tetap mengaku tidak tahu ke mana Haji Tahari menghilang.

Memang isterinya tidak tahu betul ke mana Haji Tahari. Kadangkala isterinya tahu Haji Tahari tengah tunaikan solat di madrasah. Apakala orang berkedudukan datang semata-mata mahu berurut dengan minyak lintah, mereka sekadar melihat tikar sembahyangnya sahaja masih terbentang tengah madrasah. Kadangkala capalnya juga ada di depan pintu madrasah tidak berganjak sedikit pun.

Diulangi berturut-turut hari pun kalau mahu berurut dengan minyak lintah, mereka memang tidak akan menemui Haji Tahari. Tahu sangat orang tua itu mengagak kalau hati tidak jujur terhadap dirinya.

Memang Pak Lobin tidak boleh tandingi Haji Tahari mahu mengelak diri daripada desakan orang-orang berkedudukan. Mereka tidak segan silu datang ke rumah Pak Lobin di Kuala Kurau semata-mata mahu berurut dengan minyak lintah. Sampaikan megah sangat mereka beritahu Pak Lobin mengenai khasiat selepas diurut dengan minyak lintah oleh Pak Lobin.

Menitik air mata juga Pak Lobin menahan kesal disebabkan terpaksa mematuhi desakan orang-orang berkedudukan. Masakan dia boleh mengelak kalau mereka banyak membantu keluarga dia dapatkan bermacam-macam pertolongan. Kalau anak cucunya mahu dapatkan apa sahaja bantuan, bila-bila orang-orang berkedudukan bersedia menawarkan khidmatnya.

Sebab itu Pak Lobin terpaksa mencari lintah di tengah sawah. Dia mesti keringkan lintah berkenaan biar boleh dimasak dijadikan minyak. Setelah dimasukkan minyak lintah itu ke dalam botol, dengan lintahnya sekali terpaksa pula ditapakan di atas busut tatkala bulan tengah mengambang penuh.

Pak Lobin akan menunggu sampai minyak lintah yang di-tapakan mengeluarkan buih laksana berudu terkapung di dalamnya. Buih hitam itu bergerak-gerak bagaikan benda bernyawa di permukaan minyak. Setelah selesai semuanya baru lah minyak lintah boleh digunakan.

Ketika memulakan mengurut minyak lintah dengan meraba lu-bang,cincin di bawah kemaluan, Pak Lobin akan membacakan jampinya sampai terasa minyak di tangan seperti dirayapi hama. Mereka yang diurut dapat merasakan panas membahang seperti digosok serbuk cili.

Megah sangat orang yang sudah diurut minyak lintah oleh Pak Lobin, apabila berdepan dengan mana-mana perempuan pun. Mereka tahu perempuan itu akan memegang lutut meminta dikasihani supaya lepaskan diri daripada perangkap. Tahu sangat perempuan-perempuan berkenaan, mereka bukan lagi berdepan dengan manusia biasa.

Masing-masing mampu lakukan apa sahaja sekiranya perempuan itu terus bertahan. Tetapi masakan mereka boleh melarikan diri apabila orang-orang berkedudukan sudah mendesak. Bukan mudah mahu larikan diri setelah termasuk dalam perangkap mereka.

Sebab itu Haji Tahari tidak mahu bersubahat. Perkara mereka boleh dapatkan bantuan Pak Lobin, tidak penting kepada-nya. Biarlah mereka memaksa Pak Lobin, asalkan orang-orang berkedudukan itu tidak dapat pergunakan dirinya untuk meng-urut dengan minyak lintah.

"Minyak lintah tak sama dengan minyak gamat," tutur Haji Tahari semasa mengusap tulang keting Lajim yang patah. "Minyak lintah tu boleh gunakan buat jahat," tersengih-sengih dia memberitahu untuk melayani Lajim yang terherot-herot mulut menahan kesakitan.

"Buat jahat macam mana, tuan haji?" sengaja Saleh Moyok mendesak, sekalipun dia memang sudah lama mendengar mengenai khasiat minyak lintah Pak Lobin. "Awak cubalah cari Pak Lobin di Kuala Kurau," tegas Haji Tahari memegang kepala lutut Lajim.

"Apa gunanya nak buat jahat," keluh Saleh Moyok tersengih-sengih apabila kenangkan mereka yang tidak segan silu minta Pak Lobin urutkan. "Macam mana kalau saudara mara kita, orang buat jahat?" gelisah juga dia kenangkan nasib saudara maranya kalau termasuk perangkap orang-orang berke-dudukan yang minta urutkan minyak lintah itu.

Macam manapula kalau saudara mara orang-orang berkenaan terperangkap sesama sendiri? Tetapi, tentu mereka tidak pernah terfikir mengenai saudara mara sendiri. Di dalam benaknya, mereka masuk memuaskan perasaan sendiri selepas diurut dengan minyak lintah.

Memang Saleh Moyok tahu sangat perbezaan minyak lintah dengan minyak gamat yang di-gunakan untuk berurut. Kadangkala geli geleman dia apabila kenangkan orang tua-tua dulu sanggup menelan gamat hidup-hidup jadikan amalan. Mereka tabahkan hati menelan gamat biar tubuh badan tidak mudah luka sekiranya disinggahi senjata besi.

Macam tidak percaya Saleh Moyok apabila diberitahu mengenai keturunan nenek moyangnya di Negeri Sembilan pernah dipenggal leher, tetapi bercantum balik. Memang terkejut orang-orang kampung apabila nenek moyangnya yang menjadi penghulu dihukum bunuh sampai dipancung leher itu.

Sebaik sahaja kepala penghulu itu dipancung tiba-tiba sahaja besoknya dia balik ke rumah. Kepalanya yang putus terpenggal bercantum semula apabila embun turun di malam hari. Setelah dikebumikan pun kepala penghulu itu boleh bercantum semula.

Setelah dipujuk oleh tukang bunuh, barulah penghulu berkenaan mengaku amalkan menelan gamat hidup-hidup. Di-sebabkan tidak mahu orang-orangnya menerima padah, penghulu itu sanggup memberitahu rahsia untuk lemahkan amalannya itu.

Dia sendiri menyuruh tukang bunuh supaya tanamkan tubuhnya di lereng bukit yang berasingan dengan kepalanya, dan mesti dipisahkan oleh anak air. Setelah dipancung oleh tukangbunuh, mayat penghulu berkenaan di-tanamkan dengan kepalanya dipisahkan daripada badan pada lereng dua buah bukit. Lereng bukit berkenaan dipisahkan pula oleh anak air yang mengalir ke tengah perkampungan mereka.

Selama 44 malam pula orang-orang kampung mendengar laungan dari lereng bukit tempat kepala penghulu itu dikebumikan meminta badannya datang untuk bercantum semula. Laungan yang menggerunkan itu bergema di tengah malam hingga mereka yang lemah semangat terlantar demam beberapa hari.

Memang kejadian yang berlaku lebih 200 tahun dahulu di kampungnya melibatkan nenek moyangnya sendiri, tetapi Saleh Moyok tidak peduli sangat peristiwa itu. Dia sendiri tidak berbangga sangat dengan kemampuan nenek moyangnya yang boleh bangkit semula selepas kepalanya dipenggal.

Apalah yang boleh dibanggakan kalau kebolehan tersebut terpaksa juga menyerah kalah dengan membiarkan kepala di-penggal orang. Alangkah lebih baik kalau nenek moyangnya terus melawan sekalipun beberapa kali kepala dipenggal!

"Amalan menelan gamat hidup-hidup, memang amalan orang tua-tua dulu,": jelas Haji Tahari apabila diberitahu oleh Saleh Moyok mengenai kejadian yang menimpa nenek moyangnya itu.

Tidak hairan sangat Haji Tahari sekiranya kejadian itu berlaku ke atas penghulu berkenaan. Banyak kejadian di masa dahulu yang tidak mudah dipercayai oleh sesiapa pun sekarang. Biarlah mereka memikirkan sendiri sama ada kejadian demikian tahyol atau pun tidak. Haji Tahari tidak perlu beritahu sesiapapun sekiranya mereka tidak mahu mempercayai langsung.

Dia sendiri tahu memang ramai orang menuduhnya sengaja menghilangkan diri apabila menyedari orang datang mahu menemuinya dengan tidak ikhlas. Tetapi Haji Tahari mengakui dia tidak ke mana-mana apabila tunaikan solat di madrasah. Dia sendiri terkejut sekira-nya diberitahu oleh isterinya orang datang mahu menemui dia minta berurut.

Memang dia mengakui tidak ada siapa pun berkunjung ke madrasah. Habis sahaja solat dia terus balik ke rumah. Haji Tahari tidak tahu orang-orang berkedudukan tidak putus-putus mahu mengharapkan pertolongan dia. Kadangkala mereka sendiri sudah pesankan kepada orang-orang kampung akan datang berkunjung ke rumah Haji Tahari.

Apabaila Haji Tahari bersetuju menerima kedatangan mereka, tidak bertangguh mereka akan datang ke Lumut. Belum pun sampai ke Lumut tiba-tiba sahaja tayar kereta pamcit. Terpaksa pula mencari fomen baiki kereta terlebih dahulu. Sampai berjam-jam pula fomen baiki kereta hingga mereka terlambat sampai.

Semasa sampai di rumah Haji Tahari, mereka diberitahu oleh isteri orang tua itu Haji Tahari sudah dijemput orang ke Kulim. Tetapi tatkala ditanyakan kepadanya Haji Tahari tidak ke Kulim disebabkan menunggu tetamu yang mahu datang berkunjung.

"Nasib baik kami dapat jumpa tuan haji," Saleh Moyok menerangkan sebaik sahaja di-beritahu Haji Tahari tidak ke mana-mana sewaktu Lajim dibawa ke situ.

"Apa pula nasib yang baik tu?" sahut Haji Tahari mencebek bibir. "Aku pun tak boleh ubatkan kaki yang patah ni," jelasnya macam memarahi sikap Saleh Moyok yang terlalu bergantung harapan kepadanya.

Terdiam Saleh Moyok. Memang dia bersalah menuturkan kata demikian, kerana dia tahu Haji Tahari akan tersinggung. Kalau mahu minta tengokkan kaki yang patah, cukuplah beritahu sahaja masalahnya. Kalau dia mampu doakan, tentu dia akan mencuba.

Setelah tulang keting Lajim dibetulkan semula, Haji Tahari pupuk dengan daging burung but-but yang dikukus. Dia bacakan doa dengan memegang ibu jari kaki Lajim sahaja:

Ya qadim, ya daim, ya ahad, ya wahid, ya ,samad, Allahumma inni as-alaka bismikal ahadal 'aza wada'waka, allahhumma bismikal ahadal samad wada' waka, allahhumma bismikal 'azimil witri wada’wake, allahhumma bismikal kabiral rnuta'allazi mala-al arkana kullaha an tak'afa 'inni ma asbahata wama amsitafihi.

Tiga hari dia menyuruh Lajim datang berturut-turut supaya dapat dirawat sampai sembuh. Bermakna tiga kali ubat pupuk daging burung but-but dikukus itu diganti. Memang Haji Tahari tidak benarkan Lajim bergerak kuat setelah kakinya dipupuk dan diapit dengan papan di betisnya.

Hampir sebulan juga Lajim tidak dapat berkuat mahu ke mana-mana. Dia terpaksa bertongkat dengan bertupang ke bawah ketiak. Memang lambat sembuh betul, tetapi kaki Lajim tidak berdenyut sakit lagi setelah diubati oleh Haji Tahari. Selepas tiga bulan baru Lajim dapat berkuat hingga terasa tulang ketingnya yang patah pulih seperti sediakala.

"Kalau Naesah setuju, dulu lagi saya dah bawa Ngah Semidin ni ke Lumut, perlahan Saleh Moyok menjelaskan dalam dalam keluhan pendek.

"Memang Naesah yang berkuat nak bawa ayahnya ke hospital," sahut Uda Mahijah lemah, kerana dia tidak 'dapat menghalang kemahuan anak-anak. Kalau dia berkeras mahu berubat cara rawatan kampung, manalah tahu keadaan suaminya bertambah teruk. Tentu anak-anak akan menyalahkan dia kerana percaya sangat dengan rawatan seperti itu.

"Di mana-mana pun sama juga," isteri saya pula menjelaskan sambil mengerling ke arah saya. "Tapi kita mesti yakin yang menyembuhkan hanya ketentuan Allah,": katanya semacam mengingatkan Uda Mahijah supaya tidak kesal apa-apa.

Perkara kecederaan Ngah Semidin lambat sembuh bukan ditentukan oleh hospital. Mereka sudah berusaha mengikut kaedah yang ditetapkan. Kadangkala mudah pula orang lain sembuh apakala dibawa ke hospital. Mungkin malang yang menimpa Ngah Semidin tidak sama dengan mereka yang pernah mengalami kemalangan demikian.

Jiran saya juga dimasukkan ke hospital akibat patah tangan, tetapi cepat sembuhnya selepas dibalut dengan simen. Lama juga simen di tangannya dibiarkan sebelum dibenarkan dibuka. Bagaimana pula kecederaan di kaki Ngah Semidin tidak sembuh sampai terkejang lama di katil.

"Mayah tak sama dengan Naesah," Ngah Semidin menuturkan perlahan sambil mengusap-usap kepala lututnya. Lantas dia menunjukkan pergelangan kakinya yang membengkak disebabkan lama duduk di kerusi. Terpaksa pula dia naik ke katil lunjurkan semula kakinya supaya tidak membengkak buku lali.

"Tak sama macam mana pula, ngah?" terkejut juga isteri saya dengan tanggapan Ngah Semidin itu.

"Mayah mahu ikut cakap mak ayah," ujarnya dalam keluhan memanjang. "Naesah ni lain sikit," katanya macam menyimpan rahsia yang terpendam.

Isteri saya tertunduk dengan penjelasan Ngah Semidin. Dia sendiri tidak memahami sangat maksud yang tersirat di sebalik tuduhan Ngah Semidin mengenai anaknya Naesah. Masakan mendesak dia berubat di hospital mudah sahaja Ngah Semidin menuduh demikian.

Tentu Naesah merasakan ayahnya perlu dibawa segera ke hospital. Saleh Moyok tidak berhak mencampuri urusan keluarga mereka, sekalipun lelaki itu berjasa menyelamatkan ayahnya yang ditimpa kemalangan di hutan.

Siapa yang memapah ayahnya balik ke rumah kalau bukan Saleh Moyok? Tentu ayahnya akan terkejang di perdu pokok petai sampai berhari-hari sekira-nya Saleh Moyok tidak sama ke hutan. Tetapi Naesah tetap tidak benarkan Saleh Moyok membuat keputusan ke mana ayahnya perlu dirawat.

Perkara Saleh Moyok keturunan penghulu yang dipancung kepala kemudian bercantum semula tidak penting kepada Naesah. Manalah dia tahu mengenai kejadian yang sudah berlaku lebih 200 tahun dahulu. Lainlah kalau Saleh Moyok sendiri yang mengalami kejadian dipancung kepala, kemudian bercantum semula. Bila-bila dia akan mempercayai Saleh Moyok boleh membantu mengubati ayahnya.

"Dah berubat ke hospital pun, masih juga macam ni," gerutu Uda Mahijah tidak sabar lagi dengan keadaan suaminya masih tidak sembuh.

"Sabarlah Uda, kalau lambat sembuh pun bukannya kuasa kita," pujuk isteri saya mententeramkan perasaan Uda Mahijah yang masih terharu dengan kunjungan kami ke rumahnya.

"His, kalau Uda tak sabar, tak tahulah macam mana jadinya," keluh Uda Mahijah selanjutnya.

Memang sudah jelak dia dengan pujukan jiran-jiran memintanya bersabar. Naesah juga kerapkaii ingatkan dia supaya bersabar sahaja, salangkan anaknya seminggu sekali sahaja datang menjengah. Siapa yang terconggok sepanjang hari menghadap Ngah Semidin yang terkejang, kalau bukan dia?

Bukan takat makan minum sahaja dia terpaksa uruskan, tetapi buang air dan istinja juga dia mesti lakukan biar suaminya bersih sepanjang masa. Tentu siapa pun tidak akan bertahan dengan kesabaran demikian kalau suaminya terus juga terkejang.

Kemudian isteri saya berbisik minta tengokkan juga bapa saudaranya yang patah pangkal paha akibat jatuh dari pokok petai. Memang Ngah Semidin mengakui besi yang disorongkan ke pangkal paha menggantikan tulangnya akan terasa ngilu apabila bergerak kuat, Ibu jari tangannya yang tercabut tulang juga sudah disendal dengan ikatan dawai supaya tidak renggang.

"Semuanya dah tak ada lagi yang asli," keluh Ngah Semidin apabila kenangkan tulang pahanya diganti dengan besi sampai disorong hingga ke pangkal.

“Syukurlah, awak pun dah selamat,”  cepat sahaja Saleh Moyok memintas untuk memujuk kawannya itu.

Apa sangat dengan tulang paha dipasak dengan besi kalau bandingkan dengan nenek moyangnya terpaksa dipancung leher, sekalipun boleh bercantum semula masih juga tidak dapat menyelamatkan diri.  Kaum kerabat terpaksa membiarkan sahaja dia dipancung kerana tidak berupaya mahu melawan mereka yang menjatuhkan hukuman.

“Biarlah ustaz doakan sikit,”  isteri saya seolah-olah mendesak saya.

“Cubalah, ustaz,”  segera Uda Mahijah meminta saya mendekati Ngah Semidin.

Saya tidak membantah apa-apa, lantas membacakan al-Fatihah tiga kali diikuti surah al-Ikhlas tiga kali juga.  Selepas bersalawat dan beristighfar saya bacakan:

Qul innama ana basyarum mislukum yuho ilaiya innama ilahukum ilahun wahidun famankana yarju ilqo-arabbihi falya’mal ‘amalan solihan wala yusyrik bi’ibadati rabbihi ahadan,  dengan diulangi tujuh kali.

Ketika ini seolah-olah saya melihat Ngah Semidin masih terconggok di dahan pokok petai bersama lelaki bongkok di pangkal dahan.  Lelaki bongkok itu tersengih-sengih berdiri bagaikan sama tinggi dengan pokok petai tersergam.

“Aku yang jaga minyak lintah yang kau tapakan di busut,”  bergerak-gerak bibir lelaki bongkok itu mengerling Ngah Semidin.  “Kenapa kau biarkan minyak lintah tu tak diasap kemenyan?”  marah benar dia disebabkan Ngah Semidin tidak lagi hiraukan minyak lintah yang pernah ditapakannya.

Sudah lama dia tinggalkan amalan mengurut dengan minyak lintah semenjak berpindah ke Chemor.  Kalau didesak orang pun Ngah Semidin tidak sanggup lagi mengurut, hingga minyak lintah yang ditapakan pun tidak digunakan lagi.

Gunakan minyak lintah samalah macam aniaya orang juga.  Tenaga selepas gunakan minyak lintah, bukan disebabkan diurut sahaja.  Jampi mentera yang digunakan memang menyeru penunggu minyak lintah semasa ditapakan di busut.

Apabila saya tepuk pinggang Ngah Semidin lantas saya bayangkan menghentak kepala lelaki bongkok di pangkal dahan sampai dia terpenyek disitu. Lelaki bongkok itu terhenyak dengan tidak dapat bergerak apabila saya bacakan:

Laqad ja-akum rasulun min anfusikum 'azizun 'alaihi ma 'anittum harisun 'alaikum bilmukminina ra-ufurrahim, fa-in tawallau faqul hasbi Allahhu lailaha illa huwa 'alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul 'arsyil'azim.

Selepas saya doakan terkejut Ngah Semidin apabila saya menyuruhnya buangkan sahaja minyak lintah yang masih disimpannya. Uda Mahijah sendiri tidak tahu mengenai minyak lintah tersebut, menyebabkan Ngah Semidin tersengih-sengih menundukkan kepala. Berkali-kali ditanyakan oleh Saleh Moyok mengenai minyak lintah itu dia sekadar menggelengkan kepala sahaja.


SELESAI