KETIKA saya mahu masuk tidur, Munir datang bersama
isterinya memberitahu bapa mertuanya kemalangan di Tanjung Malim. Emak
mertuanya juga ada bersama semasa kemalangan tersebut. Adik iparnya yang
berumur 12 tahun juga ada. Kejadian ini berlaku dalam tahun 1979.
Sebenarnya tidak ada apa-apa cerita pelik mengenai
Ustaz Badur bapa mertua Munir ini dalam kemalangan jalanraya tersebut. Disebabkan saya kawan
baik dengan Ustaz Badur, maka kemalangan yang menimpanya itu diberitahulah oleh
Munir kepada saya. Ustaz Badur terlibat dalam kemalangan itu kira-kira jam
11.00 malam semasa balik dari Taiping ke Kuala Lumpur. Kemalangan itu tidaklah
pula teruk sangat. Dia tiga beranak dimasukkan juga ke hospital Tanjung Malim.
Ustaz Badur yang teruk sedikit.
Malam itu saya minta maaf kepada Munir kerana
tidak dapat pergi ke hospital Tanjung Malim melawat Ustaz Badur. Sebenarnya dia
pun bukanlah hendak mengajak saya ke hospital di Tanjung Malim, cuma untuk
memberitahu saja mengenai kemalangan yang menimpa Ustaz Badur. Dia tahu benar
hubungan baik saya dengan Ustaz Badur hingga kalau saya datang ke rumahnya,
saya tidak akan silu-silu terus masuk sampai ke dapur.
Seminggu kemudian baru saya melawat Ustaz Badur di
rumahnya di Segambut. Ketika saya sampai dahi Ustaz Badur masih melecet dan
bawah matanya kelihatan lebam biru. Manakala Mak Seha isteri Ustaz Badur
terbaring tidak boleh bangun kerana sesak nafas sejak kemalangan. Dia tidak
boleh duduk lama-lama kerana badannya pun gemuk sedikit. Anaknya yang berumur
12 tahun bernama Zaqlul bersimen tangan, tetapi dia tersengih-sengih bila
ditanya mengenai kemalangan tersebut.
"Ho, seronoknya Ustaz, macam hero jatuh
tunggang balik" dia memberitahu dengan ketawa.
"Dekat selekoh belum sampai Tanjung Malim
kalau dari sini, di situlah" Ustaz Badur memberitahu. "Kalau nak
cerita, nanti orang tak percaya. Ustaz pun tahulah, orang sekarang ni mana nak
percaya cerita-cerita lembaga halus ni. Mereka kata tahyol" ujarnya
mencebikkan bibir.
"Mak Seha tak boleh bangun, baring aje
laa" saya menegur Mak Seha kerana dia terkial-kial bangun hendak sama
bercerita.
"Sikit-sikit boleh juga bangun Ustaz"
kata Mak Seha gagahi juga untuk duduk. Dia memang tidak senang diam kalau saya
berkunjung ke rumahnya. Ada saja yang dihidangkannya, terutama kalau waktu
makan nasi.
Sekiranya saya bergurau bertanyakan mana ulam, dia
akan cepat-cepat pergi ke belakang rumah mengambil pucuk gajus. Cepat-cepat
pula menumbuk sambal belacan perah asam limau. Ustaz Badur pula membakar petai,
kerana petai bakar lebih sedap dibuat ulam katanya.
Hubungan mesra antara saya dengan Ustaz Badur dan
keluarganya ini sudah terlalu rapat betul. Kadangkala kalau saya lama tidak datang
ke rumahnya baik Ustaz Badur mahupun Mak Seha mula menyuruh menantunya Munir
menelefon saya. Munir pula memang berkawan rapat dengan saya sebelum itu lagi,
dan dia akan memberitahu saya bapa mertuanya berpesan suruh datang ke rumah.
"Lari tak laju Ustaz" beritahu Mak Seha
termengah-mengah juga menahan sakit di dada. "Entah macam mana boleh
terbabas, tapi memang makcik nampak macam ada perempuan melintas masa tu. Jadi,
fasal itulah agaknya orang tua ni tak dapat kawal kereta" jelasnya
mengingat-ngingatkan peristiwa tersebut.
"Hah, itulah puncanya. Bukan saya aje yang
nampak, makcik ni pun nampak" ujar Ustaz Badur meramas-ramas lengannya
yang masih sengal-sengal. "Saya nampak perempuan pakai baju serba putih
melintas jalan, jadi fasal saya nak elakkan dia kereta saya terbabas" kata
Ustaz Badur menunjukkan sikunya, lengannya, dan dadanya yang luka dan melecet.
"Saya pun nampak, Ustaz" Zaqlul pula
menyampuk. "Saya yang pekik kat ayah, tanya siapa yang melintas" dia
tersengih-sengih juga.
Itulah pengalaman Ustaz Badur. Kalau mahu
dikatakan mengantuk hingga keliru terpandangkan di tengah jalan ada perempuan
memakai serba putih melintas, masakan isterinya Mak Seha dan anaknya Zaqlul
juga ternampak lembaga yang sama. Ustaz Badur tidak mengantuk, apa yang dilihatnya
itu memang pernah dilihat oleh pemandu-pemandu lain ketika melalui jalan
tersebut.
Walaupun di situ memang banyak selekoh tetapi
keadaannya tidaklah merbahaya sangat kalau dalam suasana biasa. Tetapi apabila
ada gangguan pemandu-pemandu tidak akan dapat mengawal kereta. Perkara yang
sama berlaku juga pada seorang kawan saya dalam perjalanannya mahu balik ke
Johor, melalui jalan Mantin di Seremban. Tiba-tiba saja kereta yang dipandunya
stereng keras tidak dapat dipulas lagi. Akhirnya keretanya terus menjunam ke
dalam gaung iaitu selekoh sebelum sampai ke Beranang.
Pada malam itu Ustaz Badur balik dari Taiping
setelah menghadiri majlis perkahwinan saudaranya. Disebabkan dia orang
berniaga, terpaksalah dia balik juga ke Kuala Lumpur kira-kira jam 6.00 petang.
Dia berhenti juga di pertengahan jalan untuk sembahyang Maghrib dan Isyak. Di
Ipoh dia berhenti juga untuk makan.
Hanya apabila sampai berhampiran Tanjung Malim,
dia merasa angin bertiup sejuk. Hujan turun renyai-renyai. Mak Seha
mengingatkan Ustaz Badur supaya tidak membawa kereta laju, kerana dia sudah
mendengar mengenai jalan selepas Tanjung malim itu sering orang bertemu lembaga
memakai serba putih berdiri di tengah jalan.
Kadangkala lembaga itu duduk pada cermin kereta
menyebabkan pandangan tertutup. Ustaz Badur pula tidaklah berdiam diri saja,
dia membacakan juga ayat-ayat suci Al-Quran yang terlintas di kepalanya semasa
memandu itu. Sementara Zaqlul duduk di belakang tidaklah tidur, walaupun
usianya masih anak-anak. Memang dia sukar tidur kalau di dalam kereta.
Hujan renyai-renyai turun tidak berhenti sehingga
sampai ke tol. Selepas tol, Ustaz Badur bercadang mahu singgah dulu di pekan
Tanjung Malim untuk berhenti minum kopi, tetapi Mak Seha tidak mahu.
"Dah dekat nak sampai, buat apa berhenti
lagi" ujarnya membantah, kerana dia mahu segera sampai ke rumah.
Zaqlul juga bersetuju dengan emaknya. Dia tidak
mahu berhenti minum terlebih dulu. "Banyak minum nanti banyak
kencing" katanya nakal.
Disebabkan anak dan isterinya tidak mahu berhenti,
Ustaz Badur pun tidak merasa seronok untuk singgah di Tanjung Malim.
"Kalau awak nak berhenti minum, berhentilah
dulu. Nanti kempunan pulak" Mak Seha mengingatkan dia.
"Ah, aku seorang minum buat apa" rungut
Ustaz Badur. Setakat dia seorang mahu minum kopi buat apa singgah di pekan
Tanjung Malim yang terpaksa menyimpang jauh ke dalam sedikit. Lebih baik
berhenti di gerai-gerai yang ada di tepi jalan. Dia mahu singgah di pekan
Tanjung Malim kerana mahu mencari kuih pau yang terkenal di Tanjung Malim itu.
Melepasi kawasan perkampungan, tibalah di selekoh
yang gelap. Kiri kanannya pokok-pokok getah yang rimbun menjadikan kawasan di
situ bagaikan diserkup. Hujan renyai-renyai masih turun, tetapi jalan tidaklah
begitu licin. Sampai di kawasan selekoh itu Ustaz Badur tidaklah memecut
sangat. Lagipun orang tua sepertinya memang tidak suka membawa kereta laju.
"Eh, apa yang putih tengah jalan tu
ayah" Zaqlul menudingkan jari telunjuk ke hadapan.
"Orang nampaknya tu..." Mak Seha
tergamam sedikit.
"Orang gila ke agaknya, merayau tengah malam
macam ni" rungutnya apabila nampak lembaga berpakaian serba putih mara
menuju ke kereta.
Ustaz Badur cuba menekan brek, tetapi terasa
breknya tidak mencengkam. Dia menjadi kelam kabut kerana brek sudah ditekan
kuat, tetapi tidak memberi bekas. Kereta semakin hampir dengan lembaga
berkenaan. Mahu tidak mahu dia terus merempuh, dan merasa keretanya bukan
melanggar lembaga tadi sebaliknya menerpa ke tebing.
Semasa keretanya terbabas, Ustaz Badur lama
terduduk di bangku depan. Dia tidak tahu apa sudah berlaku. Hendak dikatakan
pengsan tidak pula, kerana dia sedar apa yang berlaku ketika itu. Dia tahu
Zaqlul yang mula-mula keluar dari kereta dan memanggilnya.
Mak Seha juga tergamam. Dadanya tersendal ke
depan, tetapi dia juga tidaklah pengsan. Dia masih ingat Zaqlul
memanggil-manggilnya suruh keluar. Dalam hujan renyai-renyai itulah Zaqlul
menahan sebuah kereta yang sedang hendak menuju ke Ipoh. Dengan bantuan pemandu
kereta itulah mereka bertiga dibawa ke hospital Tanjung Malim. Ketika ini
Zaqlul tidak sedar bahawa tangannya patah semasa kereta terhumban ke tebing.
Setelah sampai di hospital barulah dia merasa
tangannya sakit. Pemandu yang menolongnya itulah juga yang menelefon menantunya
Munir memberitahu tentang kemalangan tersebut.
"Mujurlah juga ada orang mahu menolong
saat-saat begini" ujar saya sambil melihat kesan melecet pada dahi Ustaz
Badur.
"Orang tua macam saya ni, tentulah dia orang
nak tolong. Lagipun inilah sebahagian dari pertolongan Allah juga" katanya
perlahan.
Memang pada zahirnya kita melihat makhluk yang
membantu kita dalam kesusahan demikian, tetapi sebenarnya hati makhluk itu
digerakkan oleh Allah supaya memberikan pertolongan. Inilah dimaksudkan oleh
Ustaz Badur pertolongan dari Allah itu.
Bagaimana kisah dia terserempak lembaga berpakaian serba putih di
Tanjung Malim, hingga menyebabkan keretanya terbabas itu tidaklah mendebarkan
sangat hatinya. Masa ini dia sempat membaca Qulhuallah beberapa kali. Sebab itu
dia dapat merasakan kemalangan yang menimpanya itu tidaklah berat. Biasanya kalau kereta
terbabas di situ jarang orangnya selamat. Kalau tidak pun kereta akan remuk
teruk terhumban ke bawah ke bawah gaung.
Malah semasa Zaqlul keluar dari kereta, memang
Ustaz Badur membaca Fatihah 17 kali, diikuti dengan Ayat Kursi 17 kali dan
Surah Yassin. Dalam masa inilah Zaqlul menahan sebuah kereta yang dalam
perjalanan menuju ke Ipoh. Pemandu kereta itu berbangsa CIna, telah menolong
Ustaz Badur sehingga semua kesnya selesai. Kira-kira jam 3.00 pagi, barulah
lelaki Cina itu meneruskan perjalanannya ke Ipoh.
"Begitulah Allah memberi pertolongan"
kata Ustaz Badur tersenyum. "Tiba-tiba saja lelaki Cina itu lalu, dan
terus bersusah payah menolong saya. Kalau kita benar-benar beriman kepada
Allah, kita akan sedar bahawa itulah pertolongan Allah yang
sebenar-benarnya" dia menjelaskan dengan terharu.
Saya mengangguk-ngangguk kepala. Tidak hairan
kepada saya mengapa Ustaz Badur berkata demikian, kerana orang yang bertaqwa
kepada Allah sentiasa bersyukur di atas segala pertolongan yang diterimanya
dari Allah. Kita berterima kasih kepada orang yang menolong, tetapi bersyukur
kepada Allah kerana kudrat dan iradatNya jua menyebabkan orang tersebut datang
memberikan pertolongan.
Kadangkala inilah yang disalah ertikan oleh mereka
yang ingin mempelajari ilmu. Saya pernah didatangi oleh seorang pemuda yang
beriya-iya sangat mahu mendapatkan ilmu yang boleh mengalahkan musuh. Saya
memberitahunya bahawa tidak ada ilmu itu pada saya.
"Kenalah awak cari orang lain untuk berguru,
kerana saya tidak pernah belajar ilmu macam tu" kata saya.
"Kalau awak mahu kalahkan musuh, janganlah
cari musuh" ujar saya sengaja bergurau.
"Tapi Ustaz, kalau kemenyan sebesar lutut tak
dibakar, mana nak ada bau" dia masih mendesak mahukan saya mengajar dia,
sedangkan saya sebetulnya tidak ada ilmu sedemikian.
Disebabkan dia bersungguh-sungguh sangat mendesak,
saya pun menyuruh dia hafalkan doa Haikal. Tidak lama kemudian dia datang
memberitahu bahawa doa yang saya ajarkan itu tidak memberi bekas, kerana dia
telah diserbu oleh beberapa orang lelaki.
"Dia pukul awak?" tanya saya.
Pemuda itu menggeleng kepala. "Tetapi dia
mengancam mahu memukul saya" ujarnya macam kesal.
"Apa salah awak?" soal saya lagi.
"Dia tuduh saya ganggu adik perempuannya"
beritahunya masih tidak puas hati kerana dia menuduh saya mengajar doa yang
bukan dihajatinya.
Pemuda itu memberitahu dia telah dikepung oleh 7
orang pemuda, masing-masing ada membawa senjata. Dia balik dari menghantar
seorang gadis yang baru dikenalinya, tetapi salah seorang pemuda itu mendakwa
wanita itu adiknya, dan seorang lagi tunangnya.
Dalam keadaan tergamam dia membacakan doa yang
saya ajarkan itu. Tidak lama kemudian 7 orang pemuda itu pun pergi meninggalkan
dengan memberi amaran supaya jangan mengganggu gadis berkenaan. Pada sangkaan
pemuda itu apabila dibacakan doa tersebut, maka 7 orang pemuda yamg
mengepungnya itu akan terpelanting seperti daun-daun kering ditiup angin.
"Sepatutnya awak bersyukur kepada Allah,
kerana pemuda itu tidak jadi memukul awak" saya mengingatkan dia bahawa
pertolongan Allah selalunya datang secara tidak kita sedari. "Kalau awak
nak tengok dia terpelanting, itu bukan kuasa kita" kata saya seterusnya.
Itulah yang saya katakan bahawa orang yang tidak
mengerti apa itu pertolongan Allah sukar untuk saya memberitahunya. Terutama
pemuda-pemuda yang ghairah mahu mendapatkan ilmu kebatinan, mereka merasa
apabila dibacakan doa-doa tertentu maka musuh yang dihadapi akan terpelanting
atau sebagainya.
Yang penting kita jangan mencari musuh, kalau kita
tidak mencari musuh tentulah diri kita tidak ada musuh. Anehnya, mereka mencari
ilmu kerana mahu menentang musuh, bukannya untuk berserah diri kepada Allah.
Sebab itulah saya bersetuju dengan Ustaz Badur bahawa dia sentiasa bersyukur,
walaupun mendapat kemalangan jalanraya ketika itu. Dia bersyukur kerana tidak
menderita akibat kemalangan itu, di samping ada pula orang yang mahu
menolongnya ketika itu.
"Terserempak lembaga tu, tak pelik sangat
pada saya Ustaz" beritahu Ustaz Badur tersenyum. "Ada lagi yang pelik
kalau Ustaz nak dengar" katanya mengingatkan sesuatu.
Inilah yang seronoknya kalau saya bertemu Ustaz
Badur. Ada saja cerita yang hendak dicakapkan kepada saya. Dia memang kaya
dengan pengalaman, malah pernah kena tahan oleh British sebelum merdeka dulu
kerana penglibatannya dalam gerakan Islam, tetapi pihak British menuduhnya
sebagai puak pelampau. Lama juga dia ditahan di Melaka, sebelum dipindahkan ke
Morib.
Dalam masa dahinya masih lebam-lebam akibat
kemalangan jalanraya itu, dia masih bersemangat mahu menceritakan dengan saya
mengenai pengalamannya yang lain.
"Ustaz nak cakap fasal kena tahan dulu?"
tanya saya mengusiknya.
"Eh mana boleh kisah macam tu juga. Kisah tu
dah habis dah, negeri kita dah merdeka, buat apa kenang lagi kisah tu" dia
tersengih-sengih, kerana saya selalu mengusiknya untuk mengetahui kisah-kisah
dirinya semasa ditahan oleh British dulu.
Kadangkala dia memang enggan menceritakan balik
kisah semasa ditahan di khemah tahanan dulu. Ketika itu mereka tidaklah
menerima layanan yang sempurna, makan pun diberi nasi kawah. Kekotoran tahanan
dalam khemah terpaksa dibersihkan sendiri, kalau tidak semua kawasan akan
berbau busuk dengan najis. Dia banyak mengenali tokoh-tokoh utama utama yang
sama ditahan dulu, tetapi enggan memberitahu sama ada tokoh-tokoh itu mengenali
dia.
“Saya orang kecil, Ustaz. Mana dia orang nak
kenal” katanya mengukir senyum. Saya tahu Ustaz Badur memang suka merendah diri.
Ceritanya yang dikatakan oleh Ustaz Badur lebih
pelik dari cerita dia terbabas kereta
kerana terserempak perempuan berpakaian serba putih di Tanjung Malim. Itu
berlaku dalam tahun 1976.
Ketika ini dia mendapat tahu kawannya yang tinggal
di Puchong telah meninggal dunia di Hospital Besar, Kuala Lumpur. Kawannya itu,
Salihin sudah lama menderita sakit. Sudah dua minggu Salihin terlantar di
hospital kerana mengidap sakit barah perut.
Disebabkan Puchong adalah jauh, jadi Ustaz
Badurlah yang diharapkan oleh isteri Salihin. Manakal Ustaz Badur pula tidaklah
keberatan menolong kawannya ini, apalagi dalam masa kesusahan sedemikian.
“Saya ini teruk sangat sakitnya, Ustaz” beritahu
Salihin terketar-ketar sewaktu staz Badur melawatnya pada jam 2 petang. Nafas
Salihin juga kencang turunnaik, tetapi dia begitu tabah menahan kesakitan yang
menyeksa.
“Jangan banyak fikir Lihin,” kata Ustaz Badur
menahan kesedihan kerana ketika ini Salihin juga ada di sisinya. “Awak ingat awak
sakit aje sudah, yang lain biar kita semua usahakan” dia mengingatkan kawanya
itu supaya bersabar.
“Disini Ustaz samalah macam keluarga kami,”
Salihin tersenguh-sengguh terharu kerana budi Ustaz Badur kepadanya terlalu
banyak semenjak 2 minggu dia dimasukkan ke Hospital. Selama itu memang Ustaz Badur suami isterlah
yang mengambil berat terhadap dirinya.
Sudah menjadi perangai Ustaz Badur pula, apabila
berkawan dia sanggup bersusah payah membantu apabila kawannya menghadapi
kesulitan.Bagi Mak Seha sikap suaminya ini memang sudah difahaminya sejak muda
lagi. Sebab itu dia juga turut sama bersusah payah membantu keluarga Salihin.
Disebabkan dia ada kereta jadi senanglah dia
mengulangi Salihin di hospital, dan sekiranya isteri Salihin mahu mandi atau
berihat, maka akan dibawanya ke rumahnya. Semu jasa baik Ustaz Badur ini sangat
menambat hati Salihin, kerana saudara maranya sendiri tidak seperti Ustaz
Badur.
“Kalau Uustaz banyak kerja di kedai, tak payahlah
susah-susah jenguk saya” Ujar Salihin lagi.
“His, jangan banyak ingat Lihin. Awak tu sakit...”
Ustaz Badur memarahinya, kerana dia tidak meminta jasa baiknya dibalas orang.
Dia hanya menolong Salihin bukan saja disebabkan kawan tetapi makhluk Allah yang
memerlukan pertolongan..
Ketika dia balik meninggalkan Salihin, kira-kira
pukul 3,00 petang, kawannya itu kelihatan riang, walaupun menderita sakit. Dia
tahu Salihin terlalu tabah menahan kesakitan yang dideritainya.Salihin
seolah-olah menyembunyikan kesakitannya untuk menggambarkan kegembiraan dengan
jasa baik yang dicurahkan oleh Ustaz Badur selama ini.
“Saya balik dulu Lihin, nanti malam datang pulak”
beritahu Ustaz Badur.
Dia berdoa biarlah Lihin, nanti cepat sembuh.
Penyakit barah memang lah merbahaya, tetapi dokter memberi jaminan penyakit
Salihin masih boleh diselamatkan. Malah Salihin juga sudah kelihatan lebih
segar kalau dibandingkan dengan sewaktu dia dimasukkan ke hospital dulu.
Pembedahan yang dijalankan ke atasnya juga memuaskan hati dokter.
Kira-kira pukul 6.00 petnag Ustaz Badur diberitahu
oleh isteri Salihin bahawa suaminya telah meninggal dunia. Jadi, terpaksalah
dia meminta Ustaz Badur menguruskanhendak membawa jenazah itu balik ke Puchong.
Mendengarkan kawannya sudah meninggal dunia, memang Ustaz Badur rusuh juga
disebabkan isteri Salihin bukanlah tahu sangat apa yang perlu dibuat.
Lebih kurang pukul 6.00 petang Ustaz Badur sampai
ke hospital, jenazah sudah dimasukkan ke mortuary (rumah mayat). Isteri Salihin
hanya menangis saja di kantin kerana tidak tahu apa lagi harus dibuat. Dia
hanya menunggu kedatangan Ustaz Badur. Kepada Ustaz Badur sajalah diserahkan
semua urusan untuk membawa jenazah suaminya
balik ke Puchong.
Tidak lama kemudian barulah adik Salihin dari
Sungai Besar datang, setelah dibertitahu oleh Ustaz Badur melalui telefon.
Mujurlah Kahar adik Salihin cepat mendapat berita dan terus saja datang ke
Kuala Lumpur. Dengan adanya Kahar waris terdekat Salihin, urusan untuk membawa
balik jenazah lebih mudah. Disamping itu anak-anak Salihin juga sudah
diberitahu oleh Kahar.
Salihin pun hanya mempunyai dua orang anak
perempuan saja. Masing-masing sudah mengikut suaminya. Semasa Salihin sakit mereka
tidaklah dapat berulang ke hospital, tetapi menjaga rumah Salihin di Puchong.
Lagi pun mereka mempunyai anak-anak yang kecil, menjadi kesulitan pula untuk
membawa budak-budak itu menziarahi datuknya.
Oleh itu mereka biarkan emaknya saja menjaga
Salihin di hospital. Sementara Ustaz Badur yang memahami kesulitan keluarga
berkenaan bersedia pula memberikan jasa baktinya menolong sesama insan.
Sehingga jam 8.30 malam barulah Ustaz Badur bersama Kahar dapat menguruskan
untuk membawa balik jenazah Salihin ke Puchong.
Setelah dokter mengesahkan, Salihin meninggal
dunia, jenazahnya pun dihantar ke mortuari (rumah mayat). Semasa mereka
mengambil jenazah Salihin di mortuary, kedua-dua menantu Salihin pun sampai,
ini memudahkan lagi kerja mereka. Aakop menantu Salihin yang tua disuruh
memandu kereta Ustaz Badur dengan membawa isteri Salihin da Mak Seha
menemankannya.
Sementara Rasul menantunya yang muda bersama-sama
Ustaz Badur dan Kahar membawa jenazah dengan kereta yang diberi oleh pihak
hospital.
“Terima kasihlahUstaz, jasa Ustaz tak dapat kami
bayar dengan emas ringgit’” isteri Salihin tersengguk-sengguk menangis apabila
jenazah suaminya dibawa masuk dalam kereta jenazah.
“Jangan menangis Cik Som, kita selesaikan dulu
Salihin ni. Lepas tu baru nak cakap apa pun” sahut ustaz Badur sambil menolak
Salihin masuk ke kereta jenazah.
Mak Seha juga menarik Som ke dalam kereta supaya
dia tidak berlautan menangis. Memang Som terasa sedihnya bukan kerana kematian
Salihin, tetapi sejak dua minggu Salihin dimasukkan ke hospital, saudara mara
yang lain tidak dapat melawat. Sebaliknya Ustaz Badur yang hanya kawan suaminya
sanggup berulang alik mengambil berat tentang diri suaminya di hospital.
Sampailah Salihin meninggal dunia, Ustaz Badurlah tidak kenal penat lelah
membantu.
Akob membawa kereta Ustaz Badur balik dahulu ke
Puchong. Dia tidak dapat mengulangi bapa mertuanya di hospital selama ini
kerana bekerja sebagai pemandu kereta membawa lori JKR, tentulah sukar mendapat
cuti lama-lama. Itu pun dia sudah menyuruh isterinya menjaga rumah mertuanya.
Selepas semuanya siap, mereka pun membawa jenazah
Salihin balik. Kaha dan Ustaz Badur duduk dibelakang bersama jenazah. Manakala
Rasul menantu Salihin duduk dihadapan.
“Alhamdulillah, selamat semuanya” kata Ustaz Badur
memandang Kahar.
Kahar mengangguk. Dia juga merasa lega kerana
masaalah di hospital sudah dapat diselesaikan dengan bantua Ustaz Badur.
Kadangkala untuk mendapatkan kereta mayat bukanlah mudah,, kalau tidak tahu
bagamana caranya. Ustaz Badur dapat
menguruskan kerana dia juga mengenali beberapa orang pegawai di hospital
berkenaan.
“Esoklah kita kebumikan” beritahu Kamar lemah.
“ Malam ni tak sempat, lagipun dah pukul 8.30”
ujarnya sambil melihat jam di tangan.
“Ialah, eloklah besok saja” sambut Ustaz Badur.
Sekali sekala Kahar mengerling ke arah jenazah
abangnya yang terbujur kaku, tetapi kadang-kala bergerak-gerak juga mengikut
gegaran kereta berlari kencang. Dia tidak peduliu sangat jenazah itu bergerak
dalam keadaan kereta laju.
Apabila masuk ke jalan menuju ke Puchong selepas
jalan KLang Lama, Kahar cepat-cepat menepuk bahu Ustaz Badur bila dilihatnya
tangan jenazah terkeluar dari selimut yang menyelubunginya. Berdebar juga Ustaz
Badur melihat tangan yang terkeluar itu bergerak-gerak. Tetapi dia segera
mengingatkan, bahawa gegaran kereta itu yang menyebabkan tangan tersebut
bergerak-gerak.
Kahar mula merasa takut, kerana tidak mungkin
tangan yang bergerak-gerak itu disebabkan gegaran kereta. Dia mula gelisah. Mukanya jelas gementar kerana
jelas tangan itu bukan bergerak disebabkan gegaran kereta. Mustahillah abangnya
masih hidup kerana sudah 4 jam dimasukkan ke dalam mortuary yang sejuk seperti
peti ais tu.
“Ustaz...” dia memanggil Ustaz Badur.
Ustaz Badur
tahu Kahar ketakutan. Oleh itu cepat-cepat dia memegang tangan jenazah yang
terkeluar untuk dimasukkan semula ke bawah selubungnya. Tetapi sebaik saja dia
memegang tangan berkenaan, sekali gus tangan itu memagut tangannya pula. Kahar
sudah mahu terjun melarikan diri, tetapi segera ditahan oleh Ustaz Badur.
“Hus, nak apa ni?” jerkah Ustaz Badur memberanikan
hati. Bagaimana dia tidak lepas dari membaca Ayat Kursi.
“Nak minum, minta air....” sahut Salihin yang
sudah meninggal dunia itu cuba mengangkat kepala.
“Tidur dulu, balik ke rumah nanti baru minum”
sengaja Ustaz Badur mengeraskan suaranya.
Jenazah Salihin pun diam. Sehingga sampai di
rumahnya di Puchong ternyata Salihin masih hidup. Apabila dibawa kerumah terus
dia minta air. Satu malam itu menjadi tertanya-tanya bagaimana Salihin yang
sudah disahkan mati itu boleh hidup semula. Malah sudah hampir 4 jam dimasukkan
ke dalam rumah mayat yang sejuk seperti ais.
Bagaimanapun 11 hari kemudian barulah Salihin
meninggal dunia. Sekali lagi doktor mengesahkan bahawa dia benarbenar telah
meninggal dunia.
“Itulah kuasa Allah yang lebih besar dari
terserempak lembaga berpakaian serba putih itu’ ujar Ustaz Badur
tersengih-sengih mengerling ke arah saya.
“Perkara di Tanjung Malam itu perkara kecil pada
saya Usraz, tetapi perkara orang yang telah disahkan mati, sudah dimasukkan ke
dalam peti sejuk hampir 4 jam, kemudian hidup semula sehingga 11 hari di rumah
lebih besar ertinya, kalau kita mahu memahami akan kebesaran Allah, Inni
fizalika liayatin likilli sabansyakur....” keluhnya sambil mengesat pelupuk
mata yang mula digenangi air keharuan
TAMAT
No comments:
Post a Comment