Sunday, July 31, 2016

187. BAYI KELUAR DI BUSUT JANTAN



HAMPIR sebulan sakit kaki yang dihidapi Mat Usop tidak sembuh hingga berjalan pun terdengkot-dengkot.  Bengkak di buku lalinya sudah dibawa ke kelinik sampai disuntik jarum akibat penyakit gout.  Mengerang-ngerang dia sepanjang malam tidak dapat lelapkan mata apabila seluruh kaki kanannya berdenyut-denyut bagai di tusuk jarum.  Terpaksa pula telefon sepupunya minta hantar ke klinik tengah malam itu juga.

Selepas diinjek terasa sakit menusuk-nusuk itu hilang tidak mengganggu Mat Usop dapat tidur lena sampai ke pagi.  Tetapi sakit di tapak kakinya terus juga terasa bisa sekalipun tidak lagi menusuk-nusuk.  Terdengkot-dengkot Mat Usop berjalan tidak dapat jejakkan tapak.

Apabila ke klinik dia diberikan pil bagi menghilangkan gout.  Bengkak di buku lali dan di ibu jari kaki memang sudah seruh.  Tetapi kalau tersentuh mudah sahaja Mat Usop terjerit sampai menyumpah menyeranah akibat kesakitan yang mendenyut-denyut.

“Cuba-cuba bawa berurut,”  Kak Mayah mendesak ketika dia datang berkunjung.

“His, gout mana boleh diurut,”  jelas Mat Usop mendengus.  Tahu benar dia akibatnya kalau gout diurut.  Mudah sangat membengkak hingga denyut sakitnya bertambah pasang.

“Bidan tu tengok dulu, kalau tak boleh urut memang dia tak urut,”  beritahu Kak Mayah menyakinkan dia.

“Di mana bidan tu?”  soal Mat Usop.

“Di Rembau…”  ujar Kak Mayah perlahan.

“Emmm, jauhnya!”  Mat Usop menghela nafas apabila kenangkan mahu ke Rembau semata-mata untuk mengurut kaki.

“Nak berubat jangan kira jauh ke dekat!”  gerutu Kak Mayah menyesali sikap adiknya yang sengaja mengelak kalau dibawa berubat cara kampung.

Setelah didesak Kak Mayah terpaksa juga Mat Usop ke Kampung Solok di Rembau menemui Bidan Dubin.  Hampir satu jam pula menunggu disebabkan Bidan Dubin tidak ada si rumah ketika itu.  Tergea-gesa Dukun Sapan suaminya mengayuh basikal menjemput Bidan Dubin di rumah anak saudaranya di baruh kampung.

Kalau berurut memang Dukun Sapan tidak campur urusan isterinya.  Lainlah kalau memotong limau atau menjampi air di geluk, bila-bila Dukun Sapan akan menyanggupi.  Tengah malam pun diketuk pintu rumahnya dia akan bingkas bangun sekalipun terkuap-kuap menahan mengantuk.

Dukun Sapan tidak akan menolak kalau setakat membakar kemenyan atau menabur bertih.  Tetapi perkara mengurut atau berbidan memang urusan isterinya Bidan Dubin.  Biarlah dia tergocoh-gocoh mengayuh basikal menjemput isterinya apabila orang datang mahu berurut.

“Kemana mak cik?”  tegur Kak Mayah sebaik sahaja Bidan Dubin balik tersengih-sengih di hujung halaman.

“His, hari minggu memang tak boleh duduk di rumah,”  ujar Bidan Dubin lantas mengajak naik ke rumah.  “Macam nak pengsan mak cik kerana ramai sangat orang,”  katanya dalam keluhan memanjang.

Lepas sahaja makan tengah hari memang Bidan Dubin segaja ke baruh kampung menyembunyikan diri.  Di situ dia berehat supaya tidak diganggu.  Lainlah kalau yang datang menjengah orang yang sudah lama dikenalinya macam Kak Mayah.  Kalau tidak tentulah sampai santak Asar pun dia tidak akan balik ke rumah.

Memang tidak terlarat Bidan Dubin melayani tetamu yang datang bertali arus minta diurut.  Apabila kalau mengurut seluruh badan hampir satu jam dia terkial-kial menekan urat memintal.  Seluruh tenaganya habis tercurah sampai keringat juga memercik tidak henti-henti.

“Kalau gout, mak cik tak berani nak usik,”  lantas sahaja Bidan Dubin menolak sebaik diberitahu mengenai kaki Mat Usop yang membengkak kesakitan.

“Tapi dah hampir sebulan, tak mahu baik-baik,”  jelas Mat Usop tersengih-sengih.  Dia pun tidaklah mendesak sangat.  Kalau Bidan Dubin enggan memang dia tidak tersinggung apa-apa.  Biarlah dia terus mencuba ke klinik sekalipun berulang kali sampai bila-bila.

“Biasanya kalau kena injek di klinik sembuh…”  isteri Mat Usop, Naesah mencelah.  Dia tahu benar mengenai penyakit suaminya kalau mengerang-ngerang menahan sakit diganggu gout semalaman.  Apabila dibawa ke klinik Mat Usop akan sembuh selepas diberi suntikan oleh doctor.

Tetapi sudah hampir sebulan penyakit gout yang dihidapi oleh Mat Usop tidak juga sembuh.  Doktor di klinik juga sudah nasihatkan dia ke Hospital besar supaya mendapat rawatan lanjut.

“Kalau nak cuba boleh juga,”  lama Bidan Dubin terangguk-angguk barulah dia menuturkan perlahan.  “Mak cik tengokkan pada telur, kalau beransur sembuh bukanlah penyakit gout tu…”  katanya terus meminta supaya cucunya carikan telur ayam di reban.

Selepas telur ayam dua biji di jampi, Bidan Dubin menyuruh Mat Usop bawa balik sahaja ke Kuala Lumpur.  Apabila malam sebelum masuk tidur tersebut dipupuk pada buku lali dan di ibu jari kaki.  Kalau penyakit gout memang tidak akan sembuh setelah di pupuk telur tersebut.  Bidan Dubin sendiri nasihatkah Mat Usop ke hospital kalau dia benar-benar mengidap penyakit gout.

Kalau penyakit gout memang Bidan Dubin tidak mampu mengubatinya.  Biarlah Mat Usop ke hospital menemui doktor.  Dia sekadar mahu menguji sama ada penyakit yang dihidapi oleh Mat Usop itu benar-benar gout ataupun bukan.  Sekiranya penyakit itu beransur sembuh setelah dipupuk telur, memang Bidan Dubin sanggup mengubati.

Sebelum masuk tidur malamnya, Mat Usop pecahkan telur sebiji dengan membuang putihnya.  Kuning telur itu seolah-olah berpunat macam mata bisul hampir meletus.  Tetapi Mat Usop tidak peduli ada kuning telur itu berpunat ataupun tidak.  Dia hanya perlu pupukkan sahaja dan lekapkan kertas surat khabar biar kering melekat ke kulit.  Perkara sembuh atau tidak pun Mat usop tidak peduli juga.

Beberapa minit selepas telur itu kering di kaki, Mat Usop merasa seluruh badannya panas.  Dia tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam.  Terpaksa pula tidur di lantai tidak beralas satu apa pun.

Hinggalah santak subuh baru Mat Usop dapat lelapkan mata.  Jam sepuluh pagi dia terbangun sampai terlangsung tidak dapat tunaikan solat subuh.  Apabila terbangun tidur Mat Usop terasa sengal-sengal di kakinya hilang tidak mengganggu apa-apa lagi.  Sakit berdenyut-denyut yang menusuk juga sudah sembuh.

“Sembuh rasanya kaki ni,”  beritahu Mat Usop ketika sarapan pagi bersama isterinya Naesah.

“Kalau begitu, kena jumpa Bidan Dubin tu lagi,”  lantas sahaja Naesah mendesak.

“Emmm, tengoklah sehari dua dulu,”  Mat usop tidak mahu terburu-buru menemui Bidan Dubin.  Manalah tahu penyakitnya itu beransur pulih setelah memakan pil dan ubat yang dibekalkan oleh klinik.  Hanya kebetulan sahaja setelah di pupuk kuning telur yang dijampi oleh Bidan Dubin tiba-tiba sahaja penyakitnya sembuh.

“Jangan tangguh-tangguh kalau berubat!”  Naesah terus mendesak.  Dia tahu sangat sikap suaminya yang enggan berubat di kampung kalau tidak didesak.  Ada sahaja alasannya tidak mahu di bawa menemui dukun di kampung.

Memang Mat Usop tidak yakin sangat ketika menemui Bidan Dubin bagi menyembuhkan penyakit bengkak di kakinya.  Mungkin juga penyakit gout itu tengah pasang, sebab itulah lambat sangat sembuhnya sekalipun doktor sudah memberi suntikan.

Sebab itulah dia perlu bersabar.  Kalau tidak juga ada perubahan,  Mat Usop akan temui doktor pakar di hospital.  Biarlah darah dan air kencingnya diuji bagi mempastikan penyakit sebenar yang dihidapinya.

Mujurlah dia masih mampu memandu kereta sekalipun kaki berdenyut-denyut sakit.  Jarang pula dia boleh jejakkan kaki apabila dihinggapi penyakit gout sebelum itu.

Kali kedua menemui Bidan Dubin kakinya terus diurut macam terkehel urat.  Tidak terasa pun sakit sekalipun diurut sampai jari Bidan Dubin mencengkam kuat.  Tetapi Bidan Dubin jampikan juga tiga biji telur ayam kampung supaya pupuk sebelum tidur malam.

“Ah, kalau macam tu bukanlah kena gout,”  tersengih-sengih Bidan Dubin ketika mengurut kaki Mat Usop.

Habis tu, apa penyakitnya mak cik?”  berdebar juga hati Naesah apabila diberitahu demikian oleh Bidan Dubin.  Kalau bukan di ganggu penyakit gout, tentulah lain pula penyakitnya.  Patutnya tidak betah sekalipun sudah dibawa ke klinik.

Bukan sekali dua Mat Usop diganggu penyakit gout.  Asal sahaja makan udang atau ketam berlebihan nescaya gout akan membengkak di buku lali.  Terdengkot-dengkot Mat Usop berjalan sampai tidak boleh memandu kereta mahu ke pejabat.  Apabila dibawa sahaja ke klinik tengah berdenyut-denyut mengerang kesakitan, tidak bertangguh doktor akan memberi suntikan.

Tidak kira tengah malam, sekiranya penyakit gout menganggu memang Mat Usop akan ke klinik.  Selepas diinjek denyut di kaki hingga santak ke paha kan hilang serta merta.  Tetapi kenapa pula sakit gout itu tidak hilang selepas disuntik oleh doktor kali ini?

“Bukan gout ni,”  beritahu Bidan Dubin perlahan.

“Disampuk puaka ke?”  cepat sahaja Naesah menuduh.

“His, mana pula ada puaka,”  sahut Bidan Dubin tersengih-sengih mengerling Mat Usop.  “angin bisa masuk ke urat,”  katanya terus mencengkam kuat buku lali Mat Usop.

“Angin ahmar ke mak cik,?”  Mat Usop mula bersuara.  Bimbang juga dia kalau diganggu angin ahmar sampai seluruh badan tidak boleh digerakkan.  Perkara angin ahmar bukan oleh main-main macam di ganggu demam selsema.  Kalau lambat diubati tentu akan melarat hingga terjelepok jatuh seperti kain buruk tidak berguna.

“Tengoklah ubat  mak cik ni dulu,”  Bidan Dubin mencebik bibir sambil mengesat peluh di dahi dengan pangkal bahu.  Dia tidak memberitahu sama ada Mat Usop di ganggu angin ahmar atau pun tidak.  Perkara sakit yang mengganggu tidak perlu diberitahu pada Mat Usop.  Dia sekadar mengubati seperti yang dipesankan oleh arwah neneknya.

Memang arwah isterinya Bidan Munah pesankan baik-baik pada Bidan Dubin supaya memilih tanggung-jawab menjadi bidan sahaja.  Kalau sudah menentukan penyakit yang di hidapi orang, samalah macam dia mahu menjadi dukun pula.  Bidan Dubin tidak boleh menjadi dukun kalau sudah memilih mahu menjadi bidan.

Neneknya yang membesarkan dia.  Sebab itu dia mesti mematuhi apa sahaja yang dipesankan oleh neneknya Bidan Munah.  Lagipun Bidan Dubin bukanlah mewarisi kemahiran neneknya menjadi bidan di dalam kampung.  Sejak umurnya belasan tahun berulang kali dia bermimpi setiap malam dikunjungi perempuan tua bertelekung memanggilnya.

Enggan juga dia mengikut perempuan tua bertelekung itu.  Semakin dia berkeras tidak mahu mengikut, semakin kerap pula perempuan tua bertelekung itu menjelma di dalam mimpi.

“Marilah ikut moyang,”  perempuan tua bertelekung itu melambainya dari tengah halaman.

“Moyang ni siapa?”  Bidan Dubin memberanikan hati membentak marah.

“Moyang Gibuk,”  beritahu perempuan tertelekung ini tersenyum ramah.

“Moyang nak ajak saya ke mana?”  soal Bidan Dubin keras.

“Kalau cucu suka ikut sajalah,”  Moyang Gibuk terus memujuk dalam suara yang bergetar.

Moyang Gibuk tidak memaksa.  Dia tidak akan berkeras mengajak kalau Bidan Dubin enggan mengikutnya.

Tergamam Bidan Munah apabila di beritahu oleh cucunya mengenai mimpi yang berulang kali menjelma setiap malam.  Lama dia terpempan seolah-olah tidak percaya apabila Bidan Dubin menyebut fasal Moyang Gibuk itu, bulu romanya juga meremang setiap kali kenangkan Moyang Gibuk menjelma dalam mimpi Bidan Dubin.

Masakan Bidan Dubin berbohong kerana tidak siapa pun memberitahunya mengenai Moyang Gibuk itu.  Kalau Moyang Gibuk sudah menjelma bermakna cucunya akan dibimbing menjadi bidan.  Tentu cucunya mampu mewarisi kemahiran bidan yang diturunkan oleh Moyang Gibuk.

Memang cucunya tidak tahu pun mengenai Moyang Gibuk yang menjelma dalam mimpinya itu.  Tetapi orang tua-tua di kampungnya mudah sahaja meremang bulu roma  kalau disebut nama Moyang Gibuk.  Mereka gementar sekiranya Moyang Gibuk melompat di hadapan halaman menjelma menjadi harimau puaka.

Bidan Munah memang tahu benar mengenai pantang larang Moyang Gibuk apabila orang-orang kampung tidak bertabik-tabik menyebut namanya.  Apalagi Wahid Togel yang saban malam menyembah batu di tepi anak air menurun fasal mahu menang loteri.  Wahid Togel bernazar akan menyembelih kambing untuk berjamu memberi Moyang Gibuk daging paha setengah masak.

Balik dari menurun di batu besar di tepi anak air itulah, Wahid Togel terserempak harimau belang sebesar bapak lembu tercangkung di bawah pokok petai belalang.  Sebaik tersuluh dengan lampu picit sambung enam, Wahid Togel nampak harimau itu menjilat tubuh dengan tidak menghiraukan dia tercegat tidak jauh dari pokok petai belalang tersebut.

Sampai terkincit dalam seluar pun Wahid Togel tidak sedar apa-apa.  Terpaksa pula meranduk jalan tengah sawah melintas jauh untuk balik ke rumah.  Setelah sampai di rumah barulah Wahid Togel menyedari seluarnya habis bertakung kincit  macam kuah kacang dal tumpah.

Terbahak-bahak isterinya Zaimon ketawa mengejek dia disebabkan seluar dipenuhi kincit akibat ketakutan terserempak harimau jelmaan Moyang Gibuk.  Kalau harimau biasa sudah tentu diterkamnya Wahid Togel tidak bertangguh.  Tetapi jelmaan Moyang Gibuk hanya sekadar mahu mengajar Wahid Togel supaya tidak babitkan namanya kalau melakukan perbuatan yang salah.

Zaimon yang beritahu Bidan Munah fasal peristiwa suaminya terserempak Moyang Gibuk itu.  Sebab itu Bidan Munah ingatkan jangan sebut-sebut nama Moyang Gibuk sekiranya melakukan kerja-kerja yang tidak baik.

“Moyang Gibuk tu siapa uwan?”  Bidan Dubin hairan apabila neneknya ketakutan apabila dia memberitahu mengenai mimpinya.

“Nanti kau tahu juga, Dubin,”  ujar Bidan Munah cuba mententeramkan hatinya.  “Janganlah heboh-hebohkan sangat fasal mimpi kau tu,”  katanya menasihatkan cucunya.

“Moyang Gibuk tu jahat ke baik, uwan?”  semakin ghairah Bidan Dubin mahu mengetahui mengenai perempuan tua yang sering kali menjelma dalam mimpinya.

“Jangan kau sebut-sebut lagi namanya, Dubin,”  ujar Bidan Munah keras sedikit.  Dia tidak mahu cucunya terus mendesak untuk mengetahui sangat fasal Moyang Gibuk.  Sukar sangat dia mahu memberitahu Bidan Dubin kerana bulu romanya mudah sahaja meremang setiap kali kenangkan Moyang Gibuk keramat ghaib  yang selalu diberitahu oleh orang tua-tua di kampungnya.

Siapa pun tidak tahu sangat mengenai Moyang Gibuk.  Mereka hanya mendengar cerita sejak turun temurun mengenai keramat ghaib di kampungnya itu.  Hanya mereka menyedari Moyang gibuk sering kali menjelma seperti harimau sebesar bapak lembu sekiranya dia datang membantu.

Orang tua-tua percaya semasa Jepun pun askar-askar yang bengis tidak pernah jejakkan kaki ke kampung mereka.  Asal sahaja askar-askar Jepun masuk ke kampung mereka akan tersesat tidak dapat mencari jalan keluar.  Kalau hari malam mereka tertempiran lari kerana terserempak harimau merayau-rayau di tengah kampung.

Bukan masa Jepun sahaja, malah ketika darurat pun tidak ada pengganas masuk ke kampung mengganggu.  Mereka akan ketakutan apabila harimau sebesar bapak lembu terjongol di hadapan.  Tangan mereka menjadi lemah hingga tidak terangkat laras senapang untuk membedek harimau tersebut.

Memang Bidan Munah tahu benar mengenai jelmaan Moyang Gibuk itu.  Jangan siapa sahaja di dalam kampung cuba bercakap takbur mahu perkecilkan Moyang Gibuk,  bila-bila sahaja dia menjelma menunjukkan dirinya.  Tercangkung sahaja harimau sebesar bapak lembu menjilat-jilat tubuh sambil mata merenung tepat.

Tetapi cucunya Bidan Dubin sekadar bermimpi menemui Moyang Gibuk yang menjelma dengan diri sebenarnya.  Bidan Dubin melihat sendiri seorang perempuan tua bertelekung putih melambai-lambainya dari tengah halaman.

Mimpi Bidan Dubin terus berulang.  Moyang Gibuk menjelma lantas mengajaknya ikut dia ke mana pun.  Apabila Bidan Dubin beranikan hati mengikutnya, Moyang Gibuk terus membawanya kearah satu busut jantan di pinggir hutan.  Tiba-tiba sahaja busut jantan itu merekah hingga terjongol kepala seorang bayi.

Moyang Gibuk  mengajarnya bagaimana membidankan bayi yang keluar dari rekahan busut jantan tersebut.  Bidan Dubin hanya mematuhi sahaja setiap tunjuk ajar yang diberikan.  Sewaktu terjaga daripada tidurnya di tengah malam, Bidan Dubin terkejut kerana di dalam rumah gelap gelita.  Dia ternampak bayang putih sekali imbas melayang menembusi bumbung atap.

Dalam ketakutan Bidan Dubin membangunkan neneknya.  Terpinga-pinga Bidan Munah apakala dikejutkan oleh cucunya di tengah malam yang sepi.

“Dia datang lagi, uwan,”  bisik Bidan Dubin diselubungi ketakutan.

Bidan Munah tidak menyahut.  Cepat-cepat dia mencari mancis api menyalakan semula pelita.  Minyak api masih penuh di dalam pelita, tetapi kenapa pula tidak marak menyala?  Kalau mahu dituduh angin meniup kencang tidak pula ada tanda-tanda elusan angin menerobos di celah dinding.

“Saya mimpi menakutkan,”  beritahu Bidan Dubin menceritakan pengalaman mimpinya dibawa Moyang Gibuk ke busut jantan di pinggir hutan.

“Dia nak bimbingkan kau menjadi bidan,”  tutur Bidan Munah duduk bertelegu kepala lutut menghadap pelita yang meliuk-liuk api menyala.

“Ah, saya tak mau jadi bidan,”  cepat sahaja Bidan Dubin mendengus.  Memang dia tidak berminat langsung mengikut jejak neneknya menjadi bidan di kampung.  Bau hanyir uri pun tekaknya mudah loya hingga terasa mahu melambak muntah.

Tentu dia akan memual-mual perut menahan  muntah sekiranya menjadi bidan uruskan ibu-ibu bersalin.  Hanyir darah ibu bersalin tidak sama dengan bau darah terluka jari ditusuk mata pisau.  Memang dia tidak dapat menahan loya tekak kalau tercium bau hanyir uri ibu bersalin.

Sebab itulah dia enggan menemankan neneknya berbidan ke mana pun.  Biarlah dia tinggal di rumah emak saudaranya bersebelahan rumah neneknya itu, apabila neneknya berbidan.  Masakan dia boleh menjadi bidan kalau didesak juga oleh jelmaan Moyang Gibuk.

Tetapi mimpinya terus juga berulang saban malam.  Semakin hatinya berkeras tidak mahu menjadi bidan, semakin kerap jelmaan Moyang Gibuk datang di dalam mimpinya.  Dia akan dibawa ke busut jantan di pinggir hutan membidankan bayi lahir di celah rekahan busut jantan itu.  Hanyir bau darah dan wap uri bayi menusuk-nusuk hingga meloyakan.

Lama kelamaan rasa jijik Bidan Dubin beransur hilang kerana saban malam dia bermimpi bergelumang dengan darah ibu bersalin dan uri bayi.

“Tanggung jawab jadi bidan ni bukan di dunia aje, Dubin,”  Bidan Munah mengingatkan cucunya.  “Kalau tak jujur, di akhirat nanti kita susah…”  katanya terharu apabila kenangkan tanggungjawab menjadi bidan itu adalah semata-mata untuk membantu ibu yang mahu bersalin.

Hinggalah kak Ibah hampir bersalin, suaminya Abang Kadir termengah-mengah cemas datang memanggil Bidan Munah di tengah malam.  Serba salah Bidan Munah disebabkan seminggu dia demam akibat jarinya dihinggapi ‘pelurut’.  Kena penyakit pelurut bukan macam kudis biasa, malah kuku jari pun menanah hingga terjongket mahu tercabut habis.

Abang Kadir sendiri melihat jari-jari Bidan Munah membengkak dengan kukunya menanah.  Macam mana Bidan Munah mahu menyambut bayi lahir, kalau tangannya tidak boleh mengenggam.  Tersentuh pun terasa ngilu hingga bisa menusuk-nusuk.  Tetapi siapa lagi boleh diharap kalau Bidan Munah sudah tidak mampu membidankan Kak Ibah.

Perkara bersalin bukan boleh ditangguh-tangguh.  Sampai sahaja gesa mahu melahirkan anak, tentu Kak Ibah juga tidak dapat menahannya.  Siapa pula tahu menyambut bayi, siapa pula akan mengerat pusat siapa pula akan urukan uri tembuni?

“Apa saya nak buat sekarang uwan?”  memang Abang Kadir buntu menghadapi masalah yang menimpa dirinya.  Di tengah malam demikian kemana pula dia mahu mendapatkan bantuan.  Satu-satunya yang boleh diharapkan hanya Bidan Munah di kampung itu.

“Emmm, kalau nak jemput Bidan Supi, jauh benar di Chengkau,”  keluh Bidan Munah serba salah mahu memberi keputusan.  Kalau mahu menjemput Bidan Supi di Cengkau tentu jauh pula Abang Kadir berkayuh menunggang basikal.  Mana tahu dalam perjalanan ke Chengkau, isterinya bersalin seorang diri di rumah.

“Kalau tak ada jalan lain, kena jugalah saya ke Chengkau,”  Abang Kadir menghela nafas panjang.  Dia tahu bukan sengaja Bidan Munah mengelak, tetapi penyakit pelurut di jarinya yang menghalang dia.  Kepalang sakitnya penyakit pelurut yang menbengkak sampai terjongket kuku mengangkut nanah!

Belum pun sempat Abang Kadir bergerak anaknya Mansor berkejar termengah-mengah memberitahu emaknya sakit mengerang-ngerang.  Mansor baru berumur 12 tahun itupun tidak bimbang apa meranduk kegelapan malam menuruti ayahnya ke rumah Bidan Munah.

“Mak, sakit…”  beritahu Mansor bagaikan putus nafas termengah-mengah.

“Balik kau dulu Kadir, nanti aku datang,”  tidak sampai hati pula Bidan Munah dengan keadaan yang menimpa lelaki itu.  Dia mesti membantu juga kalau sudah terdesak.  Biarlah jari-jarinya bengkak mengangkut nanah tidak boleh menyambut bayi, setidak-tidaknya dia boleh menunjukkan cara mana perlu dilakukan oleh Abang Kadir menyelamatkan Kak Ibah.

Sewaktu Bidan Munah berkemas-kemas mahu ke rumah Abang Kadir, tiba-tiba sahaja Bidan Dubin menawarkan diri untuk ikut sama.  Dia sendiri meminta neneknya memberi panduan kalau dia membantu membidankan Kak Ibah.

Memang Kak Ibah mengerang-ngerang kesakitan sewaktu Bidan Dubin bersama neneknya sampai.  Terkejut juga Abang Kadir apabila Bidan Dubin yang masih anak dara sunti berumur 15 tahun ketika itu, terus memegang perut isterinya.  Bidan Munah hanya duduk di belakangnya memberikan panduan bagaimana dia mesti lakukan.

Ketika itu Bidan Dubin bagaikan masih dirasuk oleh mimpinya ketika di bawa oleh Moyang Gibuk ke busut jantan di pinggir hutan.  Dia melihat sendiri Moyang Gibuk di sisinya memberikan panduan supaya mencekak perut Kak Ibah seperti mencekak kepala busut jantan.

Bidan Dubin dapat merasakan gerakkan lembut bayi dalam kandungan kak Ibah sama ada lelaki atau pun perempuan.

“Emmm, rasa-rasanya macam lelaki budak ni,”  tersenyum Bidan Dubin memberitahu seolah-olah dia bidan yang sudah mahir.  Memang Moyang Gibuk yang membisikkan kepadanya ketika itu.

Abang Kadir tidak menyahut apa-apa.  Entah kenapa dia terpaksa membenarkan Bidan Dubin melakukan apa pun, sekalipun dia tahu gadis sunti itu bukanlah mahir menjadi bidan.

“Songsangkah kedudukan budak tu?”  Bidan Munah juga cemas, kerana bimbang cucunya gagal membantu Kak Ibah.

Perempuan itu mengerang-ngerang kesakitan, tetapi mulai mengendur apabila Bidan Dubin memegang perutnya.  Tetapi dia tidak menyedari yang mengusap-usap perutnya ketika itu bukan lagi Bidan Dubin, kerana yang terconggok di sisinya memang Moyang Gibuk.

“Ambilkan air segelas, Abang Kadir,”  perintah Bidan Dubin perlahan.

Tidak bertangguh Abang Kadir ke dapur mengambil air segelas di dapur.  Dalam kebimbangan itu dia mula merasa yakin dengan kebolehan anak dara sunti berumur 15 tahun itu.  Setidak-tidaknya Bidan Munah sudah banyak mencurahkan kemahiran kepada cucunya itu.

Sebaik sahaja Abang kadir menghulurkan air di gelas kepadanya. Lantas Bidan Dubin membacakan jampi kerapah yang jelas dapati didengar:

 Tulang badar tulang maliku, tiga tulang halus, daging bergerak darah beralur, urat mina bersusuk beralur kala, yang beku minta pecahkan, yang kusut minta usaikan, ah bukan aku yang punya tawar, Nabi Allah Yunus yang punya tawar, berkat Lail-lahha illallah hu…

Selepas air yang sudah dijampi Bidan Dubin itu di minum oleh Kak Ibah, sekaligus sahaja bayi dalam kandungan mudah dilahirkan.  Bidan Dubin sendiri menyambutnya sama seperti bidan yang sudah mahir.  Dia mengeratkan pusat dengan sembilu buluh yang disediakannya sendiri, kemudian dimandi dan dibersihkan.

Setelah semuanya selesai gadis sunti itu menyerahkan bayi tersebut kepada Abang Kadir untuk diazankan.

“Budak ni, lelaki…”  ujar Bidan Dubin tersenyum riang.

Memang hairan juga Bidan Munah dengan kemahiran cucunya membidankan Kak Ibah.  Tidak banyak panduan yang diberikannya, tetapi Bidan Dubin dapat melakukan dengan sempurna.  Sampai Kak Ibah pun tidak merasa kesakitan  sangat ketika meneran bayi berkenaan.

Balik sahaja ke rumah Bidan Munah mendapati cucunya terus sahaja masuk ke bilik tidur.  Apabila bangun tidur pagi-pagi lagi cepat-cepat Bidan Dubin memberitahu dia bermimpi membidankan Kak Ibah.  Terkejut benar Bidan Munah kerana dia sendiri melihat cucunya yang membidankan, bukan lagi bermimpi.

“Bukankah kau sama ke rumah Kadir malam tadi?”  soal Bidan Munah.

Tertunduk Bidan Dubin apabila diberitahu dia memang ke rumah Abang Kadir.  Seingat-ingatnya dia sekadar bermimpi sahaja mengikut Moyang Gibuk.  Dia hanya melihat Moyang Gibuk membidankan Kak Ibah supaya dia belajar.  Memang Moyang Gibuk menunjukkan kepadanya bagaimana mahu membidankan.

“Tidak, saya hanya bermimpi,”  jelas Bidan Dubin.  “Saya mimpi dibawa Moyang Gibuk ke rumah Abang Kadir,” katanya memberitahu mengenai pengalaman mimpinya membidankan Kak Ibah tengah mengerang-nerang sakit.

Terdiam Bidan Munah.  Dia menyedari yang datang membidankan Kak Ibah bersamanya di tengah malam itu bukanlah cucunya, tetapi Moyang Gibuk yang menjelma macam Bidan Dubin.  Patutlah dia melihat betapa mahirnya Bidan Dubin membidankan perempuan itu.

Terpaksalah Bidan Munah menyembunyikan rahsia tersebut daripada pengetahuan cucunya.  Tetapi satu kampung sudah heboh fasal Bidan Dubin yang masih anak dara sunti itu mampu membidankan Kak Ibah.  Bidan Dubin juga boleh membacakan jampi serapah air selusuh setelah keadaan Kak Ibah semakin sukar mahu melahirkan anak.

Memang Kak Ibah sendiri melihat Bidan Dubin mengusap-usap perutnya sampai selamat bersalin.  Abang Kadir dan Bidan Munah juga menyaksikan bagaimana Bidan Dubin mengerat pusat bayi, uruskan uri tembuni dan sempurnakan mandi dan bersihkan.  Mereka melihat betapa mahirnya Bidan Dubin sama seperti Bidan Munah juga.

Setelah yakin cucunya didampingi oleh Moyang Gibuk, Bidan Munah meminta ubatkan penyakit pelurut di jarinya.  Setidak-tidaknya dia dapat menguji sejauh mana cucunya sudah didampingi.

Bidan Dubin mengambilkan tiga biji telur ayam diletakkan di bahu  neneknya.  Kemudian dia membacakan jampi serapah yang dibisikkan oleh Moyang Gibuk ke telinganya.  Lantas sahaja Bidan Dubin membacakan serapah itu: 

Ah badi mah badi, badi embun embun badi seratus Sembilan puluh, itulah asal kau jadi badi, air setitik asal engaku jadi badi, tanah segenggam asal  engkau jadi badi, datang engkau di rimba raya balik kau kerimba raya, datang kau di gaung guntung balik kau ke gaung guntung, tak balik engkau berdosa engkau ke pawang berempat, tak balik engkau ke gaung guntung derhaka engkau kepada Tuhan yang sebenarnya, Kabul berkat pengararan guruku, berkat laillahha illallah hu…

Sebiji telur itu di pecahkan ke dalam piring.  Bidan Munah melihat darah di dalam kuning telur berkenaan.  Kalau mahu dikatakan telur mahu menetas,  Bidan Munah tahu telur tersebut tidak pernah dieramkan.  Baru dua hari sahaja induk ayamnya bertelur di sarang.

Kuning telur itulah disapukan ke jari Bidan Munah yang dihinggapi penyakit pelurut.  Esoknya sahaja Bidan Munah mendapati kuku jari yang terjongket mulai kering nanah.  Setelah dibersihkan kuning telur daripada jarinya, bengkaknya juga sudah mengecut.  Sakit berdenyut-denyut juga tidak terasa lagi, tetapi mulai gatal merenyam-renyam.

Malam sebelum tidur, Bidan Munah pecahkan sebiji lagi telur.  Kuning telur tidak lagi berdarah tetapi kelihatan memutih laksana di tabur dengan tepung.  Malam ketiganya kuning telur yang dipecahkan ke dalam piring kelihatan bergaris seperti di rentangi benang putih.

Tiga malam di sapukan dengan kuning telur yang di jampi oleh Bidan Dubin itu, penyakit pelurut di jari Bidan Munah sembuh betul.  Kuku jarinya yang terjongket akibat membengkak dan menanah tidak tertanggal daripada isi, hanya berbekas parut kudis sahaja.

“Kau mesti pilih, sama ada menjadi bidan atau dukun,”  Moyang Gibuk menjelma lagi dalam mimpi, Bidan Dubin meminta dia membuat pilihan.

“Apa salahnya saya memilih dua-dua sekali,”  sahut Bidan Dubin memberanikan hatinya.

“Jangan tamak Dubin,”  perempuan tua yang menjelma dalam mimpinya itu semacam memberi amaran.  “Terlalu berat kau memikulnya, pilihlah satu sahaja,”  dia mengingatkan sambil merenung tepat ke muka Bidan Dubin.

Tidak sempat Bidan Dubin bertanya lagi, Moyang Gibuk menghilang bersama kabus memutih.  Berpeluh-peluh Bidan Dubin ketika dia terbangun daripada tidur seolah-olah kena wap panas membahang.

Apabila diberitahu pada neneknya Bidan Munah sendiri menyuruh dia menjadi bidan sahaja.  Lagi pun menjadi dukun bukan tugas orang perempuan sepertinya.  Biarlah tugas dukun itu di serahkan kepada orang lelaki sahaja.  Bila-bila pun orang lelaki boleh turun dari rumah sekiranya dijemput orang hatta tengah malam sepi sekalipun.

Sejak itulah pula Bidan Dubin dikenali menjadi bidan di tengah kampung tersebut.  Mereka tahu kalau Bidan Dubin datang ke rumah membidankan ibu bersalin memang dia didampingi Moyang Gibuk.  Apabila Moyang Gibuk sudah menjelma, mereka tidak bimbang lagi gangguan pelesit polong bila-bila pun.

Sewaktu Timah Lawar bersalin pun, suaminya Udin Pucong tidak berlengah menjemput Bidan Dubin.  Ketika ini Bidan Dubin sudah pun berkahwin dengan Dukun Sapan.  Tidak perlulah dia menunggu Bidan Dubin balik sama setelah memberitahu mengenai isterinya hampir bersalin.

“Baliklah kau dulu, kejap lagi aku datang,”  ujar Bidan Dubin menjengah di tingkap sewaktu dijemput oleh Udin Pucong.

“Beranikah kak Bidan datang seorang, malam-malam macam ni?”  sengaja Udin Pucong menunggu di tengha halaman.

“Tak apa, Abang Sapan boleh hantarkan,”  dika menjelaskan.

Memang Dukun sapan tidak keberatan menghantar isterinya apabila dijemput orang.  Apalagi ibu mengandung yang mahu bersalin, tentu sentiasa di bayangi oleh bahaya.  Kalau lambat dibantu tentu macam-macam perkara buruk boleh berlaku ke atas dirinya.

Sebaik sahaja Udin Pucong sampai di rumahnya dia terkejut kerana Bidan Dubin dan Dukun Sapan sudah tiba di rumahnya. Bidan Dubin bertungkus lumus menyambut bayinya yang baru sahaja dilahirkan.  Semacam tidak percaya Udin Pucong kerana dia memang tidak singgah di mana-mana.

“Kau singgah di mana, Udin?”  Tanya emak mertuanya Mak Idun sewaktu Udin Pucong naik ke rumah.  “Orang dijemput dah datang orang yang menjemput tiba kemudian,”  katanya semacam mengejek menantunya disebabkan lambat balik setelah menjemput Bidan Dubin.

“Kak Bidan dengan Abang Dukun ikut jalan mana?”  Udin Pucong pula bertanya dengan tidak menyahut soalan emak mertuanya.

“Ah, jalan mana pula jalan biasa juga lah..”  ujar Dukun Sapan tersengih-sengih.

Memang dia tahu sekiranya keadaan perempuan mengandung itu sudah hampir gesa, basikal yang di kayuhnya tidak akan jejak lagi di bumi.  Dia sendiri tidak sedar bila kakinya jejak ke rumah orang yang menjemput.  Dukun Sapan tidak perlu sangat ambil tahu kalau sedang menghantar isterinya.  Kadangkala dia sendiri merasa seram sejuk apabila terasa basikanya diterbangkan oleh Moyang Gibuk dalam gendong kainnya.

Selepas berubat dengan Bidan Dubin itulah Mat Usop bersama isterinya Naesah datang ke rumah.  Dia yang memberitahu mengenai Bidan Dubin mengubati dia dengan hanya menjampi serapahkan pada telur ayam sahaja.

“Itu pun ikhtiar juga namanya,”  jelas saya pada Mat Usop supaya dia tidak membanding-bandingkan ilmu seseorang, kerana yang Maha Berilmu hanya Allah Subhanahu wata’ala sahaja,


SELESAI