PERLAHAN-LAHAN
pelupuk mata dikesat dengan lengan baju sebaik sahaja diberitahu Dolah Sepet
mengenai abangnya Andak Seman meninggal dunia. Memang sudah lama Lebai Midin
tidak jejak kaki ke rumah abangnya semenjak berpindah ke kampung isterinya di
hilir. Tersinggung juga dia apabila Andak Seman ungkit mengenai tanah
peninggalan pesaka yang tidak seberapa.
Lebai Midin sekadar
ingatkan abangnya tanah peninggalan pesaka itu sudah diwasiatkan kepada adik
mereka yang cacat anggota. Semua bersetuju Simek Tepok diberikan tanah
peninggalan pesaka itu. Cuma satu-satunya yang membantah memang Andak Seman
disebabkan adiknya yang cacat itu tinggal di rumahnya.
Perkara Simek Tepok
tinggal di rumahnya bukanlah penting sangat, kerana adiknya itu mampu membuat
kerja menumbuk padi atau mencari kayu api di belukar kebun getah. Siapa yang
menghayun rimbas di sawah sampai rumput menerung acup kepala menyembam ke
lumpur kalau bukan Simek Tepok. Seisi kampung tahu Simek Tepok bukan menumpang
makan tidur sahaja di rumah abangnya Andak Seman.
Sebab itu Lebai Midin
mendesak supaya Simek Tepok tinggal bersamanya di kampung hilir. Tetapi Andak
Seman berkeras tidak benarkan Simek Tepok tinggal bersama Lebai Midin. Manalah
tahu Simek Tepok akan didera bekerja sampai tidak ada masa rihat langsung.
"Abang Midin tak
sama dengan Andak Seman," pernah Simek Tepok beritahu Dolah Sepet tatkala
mereka sama-sama menajak tengah sawah. Sekalipun gunakan sebelah tangan sahaja
tetapi Dolah Sepet tahu tenaga Simek Tepok tetap mampu melunggah menerung
tumbuh meliar sampai acup kepala.
"Kenapa kau tak
mahu tinggal dengan Lebai Midin?" Dolah Sepet dapat mengagak memang Simek
Tepok sendiri tidak senang untuk menunggu lama di rumah Andak Seman. Apa lagi
anak-anak Andak Seman semua orang berpangkat yang menetap di bandar.
"Andak Seman tu
bukan boleh ajak berunding!" keluhnya perlahan apabila kenang sikap
abangnya yang cepat panas baran. Tahu sangat Simek Tepok kalau dia cuba
membantah keputusan Andak Seman tentu mukanya akan ditampar tidak bertangguh.
Biarlah segala keluhan di hatinya dipendamkan sahaja.
Satu-satunya kawan
yang boleh dia luahkan perasaan cuma Dolah Sepet yang bersempadan sawah. Itu
pun puas juga Dolah Sepet mendesak barulah Simek Tepok mahu mengakuinya.
Hinggalah tanah
peninggalan pesakanya dijual, Simek Tepok tetap tidak membantah. Apalah
salahnya tanah peninggalan pesaka itu dijual kalau boleh membantu Andak Seman
berniaga. Dia pun tidak perlu bersusah payah usahakan tanah peninggalan pesaka
itu, kalau Andak Seman sendiri mampu untuk menanggung hidupnya..
Ketika Andak Seman ke
bandar di rumah anak-anaknya, Simek Tepok tinggal bersendirian di pondok
papannya berhampiran rumah Limas Andak Seman tersergam. Satu-satunya yang
menjengah dia cuma Dolah Sepet. Tatkala Dolah Sepet menziarahinya di situ,
Simek Tepok sudah berhari-hari terkejang sakit.
Dalam keadaan Simek
Tepok sudah beberapa hari terkejang sakit inilah Lebai Midin terpaksa membawa
adiknya ke kampung hilir. Tersinggung benar dia dengan sikap Andak Seman tidak
pedulikan adiknya yang cacat kerana berhari-hari di bandar.
Tetapi Andak Seman
salahkan Lebai Midin kerana sengaja mahu mencari salahnya. Perkara Simek Tepok
terkejang sakit memang sudah ditakdirkan demikian, kenapa Lebai Midin sengaja
mahu salahkan dia? Siapa yang dapat melawan takdir tatkala sakit mengganggu?
Sampailah Simek Tepok
meninggal dunia, Lebai Midin tetap terkilan dengan sikap abangnya jualkan tanah
peninggalan yang diserahkan kepadanya. Seisi kampung tahu tanah pesaka
peninggalan itu dijual disebabkan Andak Seman mahu berniaga di bandar. Apa
salahnya dia jualkan tanah Simek Tepok sekiranya dia tidak abaikan adiknya yang
cacat itu?
Semenjak
bertahun-tahun selepas kematian Simek Tepok itu memang Lebai Midin tidak jejak
kaki ke rumah abangnya Andak Seman. Sekalipun arwah Simek Tepok tidak ungkit
mengenai tanah pesaka peninggalan yang dijual, tetapi dia dapat rasakan adiknya
arwah Simek Tepok memang terkilan juga.
Sebab itulah
perasaannya tersentuh asal sahaja kenang tanah pesaka peninggalan yang sudah
dijualkan itu. Apa sangat nilainya tanah berkenaan kepada Andak Seman kalau
bandingkan anak-anaknya semua berjaya berpangkat besar? Dia sendiri semakin
besar perniagaan di bandar!
Memang seisi kampung
tahu Simek Tepok kecewa apabila tanah pesaka peninggalan dijual abangnya Andak
Seman. Tetapi Simek Tepok pendamkan sahaja kekecewaan itu di dalam hatinya
menyebabkan dia jatuh sakit. Apabila didesak Dolah Sepet pun dia tetap
rahsiakan kegelisahan yang sentiasa menusuk perasaan-nya.
"Tak ada orang
yang nak mandikan jenazah, abang Midin," ujar Dolah Sepet tatkala naik ke
rumah memberitahu Lebai Midin.
Sebak dada Lebai
Midin apabila diberitahu demikian. Masakan di kampung hulu tidak ada sesiapa
pun mampu mandikan jenazah. Dia tahu Siak Busu pun tahu mandikan jenazah
terbujur. Masakan Siak Busu pun tidak mahu jejak kaki ke rumah Andak Seman,
kerana mereka tidak pernah pun bertengkar atau bermasam muka.
"Kenapa tak
jemput Siak Busu?" hairan juga Lebai Midin mengenai alasan yang diberikan
oleh Dolah Sepet. Takat mahu ziarah abangnya terkejang meninggal dunia,
bila-bila masa pun Lebai Midin akan jejak kaki. Wajib dia jengah abang kandungnya
sendiri setelah meninggal dunia, apalagi fardu kifayah menziarah mayat orang mukmin.
"Siak Busu yang
mahukan abang Midin mandikan jenazah," jelas Dolah Sepet setelah
dibisikkan oleh Siak Busu tatkala sampai pesan memberitahu Lebai Midin di
kampung hilir.
Serba salah juga Siak
Busu mahu mandikan jenazah sekiranya tidak desak Lebai Midin terlebih dahulu.
Seisi kampung tahu mengenai Lebai Midin yang mahir mandikan jenazah, kapankan
mayat dan uruskan fasal kerja-kerja pengkebumian.
Mereka di kampung
hulu sendiri harapkan Lebai Midin uruskan pengkebumian mayat supaya tidak
berbantah-bantah sesama saudara mara. Sebab itu Siak Busu lebih percaya Lebai
Midin lebih penting untuk uruskan mayat Andak Seman abang kandungnya sendiri.
"Hah, kamu pun
patut belajar mandikan jenazah!" gerutu Lebai Midin kesal kerana perkara
mandikan jenazah mesti difahami oleh sesiapa pun. Tidak boleh harapkan dia atau
Siak Busu sahaja. Manalah tahu mereka yang mahir mandikan, kapankan dan uruskan
pengkebumian jenazah juga diganggu aral sampai tidak dapat datang menjengah.
"Eloklah abang
Midin aje yang buat, dah tahu sempurnanya," sahut Dolah Sepet
tersengih-sengih sebaik sahaja Lebai Midin dan keluarganya bersiap-siap untuk
ke kampung hulu.
Sewaktu Lebai Midin
bersama isterinya jejak kaki di halaman rumah, hampir dia terjeluih muntah
akibat bau busuk menusuk-nusuk ke hidung. Tidak pernah dia tercium bau busuk
demikian tengik sampai meloyakan seolah-olah berdepan dengan bangkai sekawan
gajah yang bertimbun tulang di tengah hutan.
Tidak ramai
jiran-jiran yang menziarah kecuali anak-anak dan kaum keluarga Andak Seman
sahaja. Mereka pun tidak peduli sangat dengan mayat terbujur kerana
masing-masing sekadar bersembang menunggu kedatangan Lebai Midin. Sudah tentu
Lebai Midin yang boleh bersuara menetapkan waktu untuk kebumikan mayat.
"Kamu pegawai
tinggi, takkan tak tahu uruskan jenazah!" Iantas sahaja Lebai Midin
mencebek bibir mengerling Suhor anak Andak Seman yang tercegat di lunjur kaki
jenazah. Memang Suhor terpaksa menunggu Lebai Midin setelah Siak Busu serba
salah mahu mandikan jenazah.
Marah juga Suhor
dengan sindiran Lebai Midin tatkala jenazah ayahnya terbujur demikian. Kalau
tidak kenangkan dia memerlukan Lebai Midin memang dia akan membentak supaya
jangan sentuh jenazah. Tetapi dia tidak boleh berkeras setelah Siak Busu enggan
mandikan jenazah sekiranya tidak bersama dengan Lebai Midin.
Siapa lagi boleh
diharapkan kalau Lebai Midin juga tidak mahu mandikan jenazah ayahnya. Kalau
longgokkan duit sekarung pun tidak akan berguna apa-apa, kalau mereka yang
mahir mandikan jenazah enggan melakukan. Perkara fardu kifayah tidak akan
dihiraukan lagi apabila masing-masing sudah tersinggung.
Memang Suhor dengar
juga rungutan orang-orang kampung mengenai keluarganya yang dituduh sombong
kerana anak-anak Andak Seman berpangkat besar. Tetapi Suhor percaya mereka di
kampung iri hati dengan kejayaan keluarganya. Sebab itu mereka sengaja mencari
kesalahan keluarganya sampaikan ayahnya jualkan tanah Simek Tepok juga
diungkit-ungkit.
Anak-anak Andak Seman
berkahwin di bandar tidak jemput orang-orang di kampung juga dituduh tidak
kenang budi lagi. Sejak itu Suhor ingatkan ayahnya supaya tidak pedulikan
orang-orang kampung yang iri hati dengan kejayaan keluarga mereka.
"Fasal jenazah
ayah bawa balik ke kampung, kami serahkan pada Acik Midin laaa," jelas
Suhor mencemik muka menahan rasa marah yang bergelora dihatinya. Namun Lebai
Midin tahu sikap Suhor itu memang menampakkan kesombongan dirinya selama ini.
Sengaja Lebai Midin
tidak mahu ungkit apa-apa lagi setelah melihat jenazah abangnya perlu segera
disempurnakan. Dia tidak boleh bertangguh setelah diberitahu Andak Seman hanya
meninggal dunia satu jam sebelum itu, tetapi bau busuk terlalu tengit ke
seluruh penjuru rumah. Jiran-jiran yang terconggok di tengah rumah terus sahaja
turun setelah menjengah muka.
Di halaman rumah juga
mereka tidak mahu duduk bertenggong menunggu jenazah disempurnakan.
Masing-masing balik sahaja ke rumah disebabkan bau busuk meloyakan tekak itu
sampai ke tengah halaman. Lantas Lebai Midin menyuruh bakarkan nyiur kukur
setelah gaharu yang dibakar tidak memberi kesan apa-apa.
Terpaksa Mijah isteri
Andak Seman sendiri yang kukurkan nyiur disebabkan Lebai Midin tidak mahu
diparut. Siapa lagi boleh kukurkan nyiur kalau bukan Mijah? Harapkan menantu
atau anak perempuannya, mereka semua sudah tidak mahu mengukur nyiur. Kalau
digagahkan juga nescaya mata kukur akan meragas tapak tangah sampai berdarah.
Sebaik sahaja Mijah
membakar nyiur kukur itu, segera Lebai Midin bacakan doa:
Qul
mai-yunajjikum min zulumatil barri wal-bahri tad-'unahu tadhurru
'au-wakhufyatan la-in anjana min-hazihi lanaku nanna minasy-syakirin.
Setelah dia berdoa
Lebai Midin kisarkan tapak tangannya tiga kali, sekaligus pula angin bertiup
kencang beberapa minit. Tatkala angin kencang mulai reda, bau busuk yang menusuk-nusuk
itu hilang bersama hembusan angin berkenaan.
Sekalipun bau busuk
yang meloyakan itu sudah beransur hilang, Lebai Midin perintahkan juga supaya
nyiur kukur terus dibakar. Biarkan asap nyiur kukur itu memenuhi ruang tengah
rumah. Dia tidak benarkan gaharu yang dibawa dari bandar itu dibakar setelah
bau meloyakan itu dihembus angin jauh dari kawasan rumah.
Kemudian
perlahan-lahan Lebai Midin mengeluh lantas membacakan:
Innallahha
lahu mulkus samawati wal-ardhi yuhyi wayumitu wamalakum min dunillahhi min
waliyin wala-nasir. Setelah itu Lebai Midin duduk di sisi jenazah mem bacakan
ayat-ayat al-Quran.
Memang Lebai Midin
tidak menyangka abangnya Andak Seman meninggal dunia setelah adiknya yang cacat
Simek Tepok meninggal dua tahun sebelum itu. Semenjak Simek Tepok meninggal,
dia sekadar mendengar khabar sahaja mengenai Andak Seman berulang alik ke
hospital.
Tetapi sakitnya
tidaklah terkejang sampai tidak boleh bergerak ke mana-mana. Asal sahaja Andak
Seman tidak sihat badan Suhor akan bawa menemui doktor tidak bertangguh. Bukan
Suhor sahaja akan hantar ayahnya dapatkan rawatan doktor pakar, tetapi Juki
juga sanggup hantar berubat sampai ke luar negeri.
Mereka adik beradik
berkedudukan tinggi, masakan tidak mampu dapatkan rawatan. Saenah juga memang
doktor yang boleh merawat ayahnya sementara menunggu doktor pakar. Sebab itu
mereka tidak bimbang apa-apa mengenai penyakit ayahnya.
Andak Seman juga
tidak harapkan bantuan jiran-jiran kalau dia terkejang sakit. Sebab itu dia
tidak peduli sangat takat sakit darah tinggi atau gout terketar-ketar mahu
melangkah. Anaknya Saenah akan bekalkan ubat sampai sakitnya sembuh betul.
Dia tahu anak-anaknya
tidak sama dengan anak-anak jiran yang lain takat belajar di sekolah menengah
sahaja. Mereka tidak sampai ke mana kalau bandingkan anak-anaknya yang berjaya
dalam kehidupan duniawi. Siapa tidak tahu mengenai anak-anaknya yang
berkedudukan tinggi di bandar. Tidak ada sebab dia mesti tertunduk-tunduk
hormat dengan orang kampung kalau terserempak melintas di jalan.
Semasa masuk ke bilik
air untuk solat tubuh, tiba-tiba sahaja Mijah terdengar suaminya jatuh. Tatkala
dia menjengah ke bilik air Andak Seman sudah tertangkup tidak bergerak apa-apa.
Belum sempat Mijah memberitahu jiran-jiran Andak Seman sudah tidak bergerak
lagi.
Siak Busu sendiri
ingatkan dia tidak perlu lagi dibawa ke hospital disebabkan tubuh Andak Seman
sudah kaku tatkala jiran-jiran sampai ke rumah. Terkial-kial Mijah mahu memapah
naik ke katil di bilik tidur, tetapi tenaganya Iemah tidak termampu. Semasa
Siak Busu, Dolah Sepet dan beberapa orang jiran mengangkatnya mereka menyedari
memang Andak Seman sudah meninggal dunia sebelum mereka jejak kaki ke situ.
"Ayah hembuskan
nafas dengan mudah," tutur Suhor bangga kerana kematian ayahnya tidak
menderita terkial-kial. Tentu ayahnya banyak membantu sesiapa sahaja hingga
Allah juga meredzai. Sebab itu ayahnya tidak menderita bertahun-tahun sama
seperti mereka yang tidak diredzai.
"Tengoklah tu,
dia terbujur macam orang tengah tidur," Saenah pula menegaskan lantas
merenjis-renjiskan air mawar biar bau harum semerbak memenuhi ruang tengah
rumah.
"Perkara
ketentuan Allah, jangan kamu nak mendahului takdir," lantas Mijah ingatkan
Suhor dan Saenah supaya tidak membuat tafsiran sendiri dengan kejadian yang
menimpa keluarga mereka.
Satu-satunya yang
memahami perasaan emaknya cuma Juki,. Dia tidak mahu kematian ayah mereka
semata-mata mahu tunjukkan kepada orang kampung tentang kemuliaan. Hanya
selepas kedatangan bapa saudara mereka Lebai Midin sahaja baru bau busuk yang
menusuk hilang dibawa angin kencang. Dalam tempoh satu jam ayahnya mati semua
jiran-jiran tahu mengenai bau busuk meloyakan itu mengganggu mereka.
Juki juga mematuhi
kemahuan Lebai Midin yang mahu segera dikebumikan supaya tidak menunggu selepas
zohor. Dolah Sepet sudah dikerah menggali kubur sejak matahari mula naik
segalah. Tidak bertangguh Dolah Sepet mengajak kawan-kawannya ke kubur sebaik
sahaja disuruh oleh Lebai Midin. Masakan dia mahu membantah keputusan guru
agama yang disegani sejak bertahun-tahun.
Belum pun jam 11.00
pagi Lebai Midin mahu mayat dimandikan segera setelah menerima pesan dari Dolah
Sepet kubur digali tengah siapkan liang lahad. Sementara mayat dimandi, dikapan
dan disembahyangkan tentu Dolah Sepet selesai tohok tebing kubur siapkan liang
lahad seluk ke dalam.
Memang Siak Busu
diharapkan oleh Lebai Midin mandikan jenazah sampai suci bersih. Semasa Siak
Busu mula jiruskan air bau busuk kembali menusuk ke hidung. Setelah diberitahu
kepada Lebai Midin, cepat-cepat dia menyuruh semua jiran-jiran turun ke tengah
halaman. Biar anak-anak Andak Seman sahaja mandikan mayat ayahnya mengikut
tunjuk ajar Siak Busu.
Terpaksa anak-anak,
menantu-menantu dan cucu-cucu-nya sahaja dibenarkan oleh Lebai Midin naik ke
rumah mandikan jenazah. Cucu yang besar memangku tubuh mayat, manakala yang
lain nya jiruskan air. Tatkala mencuci najis, Siak Busu meminta kebenaran
supaya mayat tersebut ditangkupkan setelah berkali-kali dicuba seperti biasa
tidak dapat diteruskan.
Lebai Midin tidak
memberikan kata putus. Dia sekadar bertanya kepada Juki dan Mijah. Setelah Juki
dan Mijah benarkan barulah Siak Busu tangkupkan mayat. Ketika ini dari mulut mayat
melambak ulat-ulat berenga sebesar pangkal lidi hingga penuh ditadah satu
besen. Ulat berenga itu masih terkuit-kuit hidup bagaikan menghurung tokak
tengah membusuk daging di buku lali kaki.
Terkejut Suhor
melihat ulat berenga penuh satu besen
itu. Sekalipun dia kesal ulat berenga itu terpaksa dikeluarkan melalui mulut
jenazah ayahnya, tetapi dia terpaksa juga mematuhi keputusan adik beradik yang
lain. Alangkah sedihnya dia melihat sendiri ulat berenga penuh satu besen itu
keluar melalui mulut mayat!
Selesai sahaja Siak
Busu mandikan ayah, terus dibujukan tengah rumah untuk dikapankan. Ketika ini
Lebai Midin sudah benarkan jiran-jiran naik ke rumah. Tatkala Siak Busu mahu
kapankan mayat, hairan juga dia disebabkan kain kapan tidak mencukupi. Masakan
kain kapan tidak cukup, kerana Suhor sendiri yang belikan sampai 25 ela.
Lantas sahaja Suhor
menuduh Siak Busu tidak tahu kapankan mayat disebabkan tidak tahu mengukur
kain. Hampir pula Juki bertengkar dengan abangnya kerana menuduh Siak Busu
demikian. Tatkala mereka ditimpa musibah pun abangnya masih mahu tunjukkan
sikap sombong terhadap Siak Busu yang datang membantu secara sukarela.
Lainlah kalau
dihantar mereka boleh upahkan sesiapa sahaja kapankan jenazah. Bila-bila Suhor
sanggup bayar sekira-nya Siak Busu menuntut upah kapankan jenazah ayahnya.
Tetapi Siak Busu bukan sebut perkara upah tatkala kain kapan tidak cukup
kapankan mayat.
Ditambah lagi kain
kapan pun masih juga tidak mencukupi. Sampaikan kaki hingga paras lutut pun
tidak dapat dilingkup habis. Sebab itu Suhor tidak sabar lagi lantas membentak,
"Kalau tak pandai kapan mayat, kenapa tak suruh orang lain?"
"Kamu nak suruh
siapa?" tidak bertangguh Juki menjerkah abangnya yang mahu menunjukkan
sikap keras kepala.
"Upah saja
berapa ratus mereka mahu!" tegasnya mencebek bibir menyindir Juki.
"Kalau begitu
kamu carikan orangnya, biar aku tambah lagi upahnya," bertambah marah Juki
disebabkan kelakuan abangnya yang mahu tunjuk kesombongan tatkala jenazah
terbujur.
Lebai Midin mendehem
tinggi. Tersinggung juga dia dengan sikap Suhor yang tidak mahu belajar dengan
kejadian yang menimpa keluarga mereka. Setelah menelan keluhan disebabkan mayat
tidak dapat dikapankan segera Lebai Midin membacakan doa perlahan:
Wama bikum
min ni-matin faminallahhi summa iza massakumudh dhurru fa-ilaihi taj-arun.
Sebaik sahaja
dihembuskan oleh Lebai Midin ubun-ubun mayat, sekaligus pula Siak Busu mudah
mengkapankan. Kain yang tidak mencukupi juga berlebihan bakinya setelah mayat
selesai dikapankan oleh Siak Busu.
Bau busuk yang
menuuk-nusuk itu semakin meloyakan sebaik sahaja mereka selesai bacakan talkin
setelah Andak Seman selamat dikebumikan. Tetapi siapa pun tidak hiraukan lagi
bau berkenaan disebabkan mayat sudah dikebumikan dengan sempurna. Mereka tidak
perlu bimbang lagi sekiranya bau tersebut boleh memudaratkan.
Sampai berhari-hari
bau busuk itu tetap mengganggu. Tetapi anak-anak Andak Seman tidak jejak lagi
ke kampung setelah ayah mereka selamat dikebumikan. Mijah juga dibawa ke bandar
kerana mereka buat kenduri tahlil di rumah Suhor. Tidak seorang pun jiran-jiran
di kampung yang dijemput apabila kenduri tahlil dibuat di rumah Suhor di
bandar.
Tiga bulan selepas
itu Siak Busu datang juga menemui Lebai Midin di kampung hilir beritahu dia
fasal dimarahi oleh Suhor. Memang Suhor tidak puas hati dengan kejadian yang
menimpa ayahnya. Sebab itu Suhor tuduh Siak Busu beritahu orang-orang kampung
mengenai ulat berenga satu dulang melambak keluar dari mulut jenazah ayahnya.
"Istighfarullahhul
azim, abang Midin," kesal benar Siak Busu tatkala beritahu Lebai Midin
mengenai sikap Suhor jerkah dia di surau kampung. "Takkan saya nak
hebahkan apa yang kita lihat dulu pada orang kampung," sebak sangat
hatinya apabila kenang Suhor bercekak pinggang mendongak di tengah halaman
surau.
"Suhor tu
takutkan bayang sendiri," memang terkilan juga Lebai Midin dengan sikap
Suhor yang sepatutnya bersyukur disebabkan orang-orang kampung sama-sama
kebumikan mayat Andak Seman. Tetapi dia tidak boleh jerkah Suhor macam anak
kecil nakal bermain lumpur selut.
Siak Busu pun sekadar
mahu Iuahkan rasa terkilannya pada Lebai Midin sahaja. Dia tahu masakan Suhor
mahu dengar nasihat Lebai Midin sekiranya mereka bertemu muka. Kalau tidak
disebabkan ayahnya meninggal di kampung, nescaya Suhor sendiri tidak akan jejak
kaki jengah jenazah ayahnya di situ.
Tetapi kejadian yang
menimpa Andak Seman itu bukan boleh dirahsiakan lagi. Seisi kampung melihat
sendiri ulat berenga sedulang selepas mayat dimandikan. Mereka juga gelisah
dengan bau busuk menusuk-nusuk tatkala mayat terbujur tengah rumah. Hanya
selepas Lebai Midin jejak kaki sahaja bau busuk itu beransur hilang.
Selepas sahaja mayat
selamat dikebumikan mereka seisi kampung juga menanggung bau busuk sampai
berminggu-minggu. Hujan turun lebat pun bau busuk yang meruap-ruap itu tidak
juga hilang. Disebabkan bau busuk itulah Mijah tidak mahu jengah muka balik ke
kampung. Malu sangat dia sekiranya orang-orang kampung akan mengejek dirinya
pula.
Sebab itulah Suhor
sengaja membentak Siak Busu kerana mengesyaki lelaki itu sudah memberitahu
seisi kampung mengenai ulat berenga penuh sedulang keluar dari mulut mayat.
Siapa sahaja akan mencebek bibir mengejek apa-bila terserempak emaknya di
mana-mana.
Memang siapa pun
tidak dapat Iupakan kejadian yang berlaku lebih dua puluh tahun. Siak Busu
masih terpandang-pandang ulat berenga penuh sedulang meremut-remut yang keluar
dari mulut mayat Andak Seman. Apabila kenang kejadian itu mudah sahaja dia
merasa loya tekak, kerana dia satu-satunya bukan dari keluarga si mati yang
terconggok mandikan mayat.
"Siak Busu tahu
segalanya, ustaz," jelas Lebai Midin mengerling Siak Busu apabila
kenangkan kejadian yang berlaku lebih dua puluh tahun dulu. "Tak ada apa
yang kita nak rahsiakan, semuanya ketentuan Allah belaka," ujarnya sebaik
sahaja saya jengah dia bersama Kadir Misai.
Setelah anak
saudaranya Naemah meminta Kadir Misai datang menjengah suaminya terkejang di
hospital dengan mulut berbuih-buih, lantas sahaja dia ingatkan biarlah dirawat
hospital terlebih dahulu. Sebaik sahaja boleh dibawa balik ke rumah, bila-bila
boleh cuba diubati cara doa-doa yang sesuai dengan ayat al-Quran.
Sekiranya masih
terkejang di hospital tentulah tidak sesuai mengganggu. Manalah tahu doktor
tidak benarkan dicampur aduk dengan doa-doa demikian tatkala dirawat di
hospital. Tetapi memang suaminya Suhor tidak mahu keluar dari wad hospital
selagi tidak sembuh betul.
Masakan Kadir Misai
boleh berkeras sekiranya Suhor tidak rela didoakan. Kalau Juki sendiri memujuk
tidak dipedulikan oleh Suhor, apa sangat dengan Kadir Misai sekadar bapa
saudara sahaja pada Naemah. Tetapi Naemah merayu juga supaya Kadir Misai tidak
berkecil hati dengan sikap Suhor apabila darah mengalir melalui hidung dan
telinganya.
"Kalau boleh,
tolonglah Pak Kadir doakan juga," bisik Juki memujuk Kadir Misai
disebabkan darah masih keluar melalui hidung dan telinga Suhor.
"Buat apa
panggil bomoh, dia bukan tahu sakit aku ni!" gerutu Suhor marahkan
isterinya Naemah yang bersungguh-sungguh sangat memanggil Kadir Misai.
"Siapa yang kata
Pak Kadir ni bomoh?" lantas Naemah ingatkan supaya Suhor tidak membebel
tidak tentu biji butir. Kalau tidak disebabkan suaminya berkeras enggan jengah
balik ke kampungnya tentu Suhor mengenali sanak saudara. Semenjak mereka
berkahwin sampai beranak pun, memang Suhor tidak mengenali Kadir Misai itu
pangkat bapa saudaranya.
Masakan Kadir Misai
tahu Suhor sekiranya Naemah sendiri tidak temukan mereka. Lagipun tidak ada
masa Kadir Misai mahu mengenali sanak saudara kalau mereka jarang balik ke
kampung. Sekiranya Naemah tidak mendesak dia datang menjengah Suhor terkejang
di hospital memang Kadir Misai juga tidak pernah menatap muka suami anak
saudaranya itu.
Disebabkan Suhor
tidak mahu didoakan, terpaksalah Kadir Misai balik sahaja ke rumah. Dia tidak
mahu jengah Iagi sekiranya Suhor bersikap biadap demikian. Apalah gunanya dia
mahu membantu kalau lelaki itu tidak ikhlas menerima kunjungannya.
Tetapi sebelum malam
menjelang, Juki datang bersama Naemah mendesak Kadir Misai datang menjengah
semula ke hospital. Ketika ini Suhor tidak sedarkan diri akibat darah banyak
mengalir melalui hidung dan telinga. Memang Suhor sudah membuat keputusan mahu
dirawat ke luar negeri sekiranya rawatan di dalam negeri tidak mampu memulihkan.
Serba salah juga
Kadir Misai mahu menjengah setelah terluka hati dengan sikap Suhor. Apabila
kenangkan Naemah tersengguk-sengguk merayu supaya jengah juga suaminya, lantas
Kadir Misai hubungi saya. Dia mengajak Juki ke rumah saya setelah diberitahu
Suhor terkejang tidak sedarkan diri.
Selepas maghrib saya
dibawa Juki ke wad Suhor yang terkejang tidak sedarkan diri. Memang darah
mengalir di hidung dan telinganya. Terpaksa pula letakkan kapas di telinga biar
darah tidak meleleh ke bantal. Tidak henti-henti Naemah mengelap hidung yang
berdarah mengalir berterusan.
"Dah minta pada
doktor nak keluar?" saya memandang Juki yang cemas dengan keadaan
abangnya. Apalagi Saenah adiknya sudah tentu tidak rela abangnya dibawa keluar.
Kalau di rumah tentu tidak mendapat rawatan sempurna.
"Doktor dah
rekmen nak hantar ke luar negeri," jelas Saenah yang menjadi doktor juga.
"Tapi, dia pengsan tak semena-mena," ujarnya tidak bersetuju kalau
Naemah berkeras mahu membawa Suhor keluar dari hospital.
"Biar ustaz ni
doakan dulu," Naemah mula berkeras setelah sekian lama dia mematuhi sahaja
kemahuan keluarga suaminya.
"Keputusan di
tangan Kak Naemah!" lantas sahaja Juki menyebelahi kakak iparnya. Saenah
tidak berhak membuat keputusan dalam saat demikian, kerana Naemah dan
anak-anak-nya wajib menentukan sendiri. Bila-bila Juki akan menyebelahi Naemah
kalau mahu mengambil keputusan.
Saenah tidak boleh
membantah setelah Juki sendiri mahukan Naemah membuat keputusan.
Tersengguk-sengguk Naemah menatap muka Kadir Misai harapkan dibuat apa sahaja
untuk membantu Suhor. Tidak menunggu apa-apa pun, saya terus bacakan Fatihah
tiga kali diikuti dengan surah al-Ikhlas tiga kali dan Ayatul Kursi 17 kali.
Kemudian saya bacakan 7 kali dengan berdoa:
Qul innama
ana basyarum mislukum yuho ilaiya innama ilahukum ilahun wahidun faman kana
yarju liqo-a rabbihi falya’mal 'amalan solehan wala yusyrik bi'ibadati rabbihi
ahadan.
Apabila saya
hembuskan ubun-ubunnya seolah-olah kepala Suhor berasap laksana bara disiramkan
dengan air. Memang Saenah sendiri melihat kepala abangnya bagaikan berasap
menyebabkan dia berasa hairan. Tetapi Saenah malu mahu bertanya apa-apa kepada
Juki.
Setiap kali dia
melihat kepala Suhor berasap, memang Saenah dapat bayangkan tatkala mayat
ayahnya dimandikan. Apabila ditekan belakangnya oleh Siak Busu, sekaligus mulut
mayat berbuih dengan bau busuk rnenusuk-nusuk. Ketika ini ulat berenga jatuh
melambak ke dalam dulang yang ditadahkan bersama besen. Geli gelemam Saenah
melihat ulat berenga meremut-remut di dalam dulang macam anak haruan
merenik-renik di permukaan lubuk.
Macam tidak percaya
dengan kejadian tersebut kerana belum pernah pun dilihatnya semenjak dia
bertugas di hospital. Tetapi kejadian yang menimpa abangnya Suhor tidak sama
dengan nasib malang ayahnya. Suhor masih terkejang sakit di hospital dengan
kepalanya berasap semasa saya doakan dia di situ.
Tetapi tubuh Suhor
tidak bergerak apa-apa sekali pun asap masih banyak melabun di celah rambutnya.
Tatkala Saenah mahu meminta bantuan pihak hospital supaya Suhor segera dirawat,
lantas sahaja dimarahi oleh Juki.
"Kamu tak
percaya kuasa Allah!" jerkah Juki yang sudah tidak sabar lagi dengan
perangai Saenah. "Sepatutnya kamu belajar dengan kejadian yang menimpa
Suhor sekarang," tegasnya ingatkan Saenah supaya tidak terburu-buru dalam
saat demikian.
"Apa-apa hal
bersabar dulu, Saenah!" Naemah juga tidak mahu adik iparnya membuat
keputusan sendiri sebelum berunding dengan adik beradik yang lain.
"Tunggu dulu apa
ustaz dengan Pak Kadir nak buat," ujar Juki selanjutnya setelah menyedari
kepala Suhor yang berasap bukan boleh dirawat dengan peralatan biasa.
"Kamu fikir kepala Suhor tu terbakar api rokok?" dia mencebek bibir
menunjukkan rasa jijik dengan sikap Saenah yang tidak mahu menghormati
ikhtiarnya menjemput Kadir Misai bersama saya ke situ.
"Sabarlah,
Juki," lantas Kadir Misai memujuk supaya bertenang dalam suasana cemas
demikian.
"Saenah ini kena
berterus terang, Pak Kadir," sahut Juki masih menahan gelora kemarahan di
dadanya. "Kalau tak cakap macam tu, dia tak faham!" gerutunya
perlahan setelah saya memberi isyarat meminta dia tidak ikutkan sangat
perasaan.
Ketika ini tangan
Suhor mula bergerak perlahan. Dia membuka pelupuk mata, tetapi masih belum cam
siapa yang berdiri di sisinya. Darah juga kian kering di hidung dan di telinga
apabila Naemah mengelapnya. Naemah menghela nafas dengan melafazkan syukur
beberapa kali setelah melihat darah yang mengalir mulai kering.
Kemudian saya
hembuskan lagi ubun-ubunnya tiga kali dengan membacakan:
Laqod
ja-akum rasulum min anfusikum 'azizun 'alaihi ma 'anittum harisun 'alaikum
bilmu’minina ra-ufurrahim,fa-in tawallau faqul hasbi-yallahhu la-ilaha illahuwa
'alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul 'arsyil 'azim.
Tujuh kali saya
doakan dengan ayat tersebut, perlahan-lahan asap di celah rambut itu menipis
terus hilang tidak berbekas apa-apa. Menggeleng-geleng Saenah, tetapi dia
merungut dengan menuduhnya sama seperti permainan silap mata.
Memang saya tidak
salahkan Saenah merungut, kerana dia tidak memahami keadaan sebenarnya. Dia
sekadar melihat Suhor terkejang dengan kepala berasap sahaja. Masakan Saenah
melihat berpuluh-puluh ekor ular bisa berlingkar di kepala Suhor macam ulat
berenga beremut-remut ditadah dalam dulang.
Setiap kali Suhor
gerakkan kepala tidak bertangguh ular bisa itu mematuk sampai darah meleleh
melalui hidung dan telinganya. Sekalipun bayangan itu sekadar dilihat dalam
imbasan sahaja, tetapi penderitaan yang dialami oleh Suhor samalah dengan patukan
ular bisa yang tidak mempunyai belas kasihan.
Tentu Saenah sendiri
akan terjerit ketakutan sampai menggeletar seluruh badan kalau melihat sendiri
keadaan yang dilihat dalam bayangan tersebut. Memang tidak mudah mahu
melihatnya kalau sekadar tercegat berdiri di sisi Suhor sahaja. Masakan saya
dapat menerangkan keadaan tersebut kepada Saenah setelah dia merungut
menuduhnya macam satu permainan silap mata.
Bukan saya sahaja
tidak dapat menerangkan kepadanya, mungkin Lebai Midin juga tidak berupaya.
Bagaimana dia mahu menerangkan kejadian ulat berenga penuh sedulang keluar dari
muIut mayat laksana muntah terjeluih? Masakan perkara silap mata kalau ubat
berenga itu meremut-remut hidup laksana anak haruan tengah lubuk.
Tiga hari selepas itu
saya tidak jengah lagi Suhor ke hospital, kerana Juki tidak memberitahu
apa-apa. Kadir Misai juga sudah balik ke Pahang setelah tidak tertahan dengan
sikap Saenah, sekalipun anak saudaranya Naemah terus memujuk. Dalam tempoh tiga
hari itu Suhor sudah mulai segar setelah darah tidak lagi mengalir di hidung
dan di telinganya.
Sebab itu Suhor
berkeras juga mahu dirawat ke luar negeri. Dia tidak peduli Naemah memintanya
supaya ulangi lagi menjemput Kadir Misai atau saya ke hospital. Suhor juga
tidak hiraukan Juki mendesaknya supaya bersabar sebelum ambil keputusan ke luar
negeri.
Seminggu selepas
Suhor bercadang mahu dapatkan rawatan ke luar negeri itu, dia kembali diganggu
kejutan sampai seluruh badan kejang kaku. Darah kembali mengalir di hidung dan
di telinga. Tidak sempat lagi dia dibawa ke luar negeri dengan keadaan yang
menimpanya itu.
Setelah diberitahu
Kadir Misai keadaan Suhor bertambah tenat, dia sendiri jelaskan kepada Naemah
tidak mahu mencampuri urusan keluarga Suhor. Masakan dia boleh membantu sekiranya
Suhor sendiri tidak harapkan apa-apa bantuan.
Bukan takat Kadir
Misai sahaja tidak mahu jengah, malah Juki berasa malu mahu menjemput saya.
Hanya setelah Suhor meninggal dunia barulah dia beritahu. Tetapi saya sudah ke
Bukittinggi semasa Juki menelefon ke rumah mengenai kematian Suhor. Darah masih
juga mengalir di hidung dan di telinganya sewaktu mayat dimandi dan dikapankan.
"Hanya Allah
yang Maha Mengetahui segalanya, ustaz," keluh Lebai Midin apabila kenang
kejadian yang menimpa abangnya arwah Andak Seman dan anak saudaranya Suhor itu.
Sebak juga dadanya disebabkan Saenah juga seolah-olah mengikuti jejak langkah
ayah dan abangnya, hingga tidak percaya kejadian demikian boleh berlaku
bila-bila masa sahaja.
SELESAI