Sunday, July 17, 2016

185. MULUT MAYAT KUMAT KAMIT

 SETELAH dikirai-kirai baju yang dipakai melambak pasir jatuh ke lantai macam ditabur merata. Tertegun Lebai Midin melihat pasir yang banyak bertaburan di lantai apabila baju yang dipakai-nya dikirai-kirai itu. Memang dia merasa seluruh badannya miang asaI sahaja baju teluk belanga itu dipakai.

Tergaruk-garuk Lebai Midin disebabkan seluruh badannya tiba-tiba gatal tidak menentu. Sudah beberapa kali dibasuh oleh isterinya Semiah baju berkenaan tetap juga gatal asal sahaja disarungkan ke badan. Tetapi Lebai Midin tidak menyangka apa-apa, kerana baju tersidai di hujung halaman mungkin juga disinggahi miang buluh.

Sebab itu dia larang isteri-nya sidaikan baju berkenaan pada buluh pengampai. Lebai Midin sendiri rentangkan tali belati diikat dari batang pokok pinang hingga ke pokok kelapa di hujung halaman. Di situ Semiah sidaikan kain basuhan supaya tidak miang seperti disidaikan pada buluh melintang dibuat pengampai.

Sudah lama Semiah sidaikan kain basuhan pada buluh pengampai, tidak pernah pula miang buluh singgah pada kain sampai melekat setelah diangkat naik ke rumah. Bukan sehari dua dia gunakan buluh buat pengampai untuk sidaikan kain jemuran, sudah berbulan-bulan sejak buluhnya hijau sewaktu ditetak pada rumpun. Kenapa baju Lebai Midin sehelai itu sahaja gatal dilekati miang buluh?

"Takkan miang buluh melekat pada baju awak tu," Semiah tidak percaya baju teluk belanga suaminya itu dilekati miang buluh pengampai.

"Entahlah, tapi gatal seluruh badan aku ni," Lebai Midin menunjukkan kulit lengannya yang merah akibat digaruk kuat akibat gatal merenyam-renyam.

"Kalau macam tu, usah pakai baju tu!" lantas sahaja Semiah ingatkan suaminya supaya tidak berkeras sangat mahu memakai baju berkenaan. Lagi pun baju Lebai Midin bukannya sehelai sahaja, hingga baju teluk belanga itu sahaja yang mesti dipakai kalau ke surau.

"Tak apalah, kalau gatal pun aku nak pakai juga," tegas Lebai Midin tidak mahu mengalah.

Dia percaya penjelasan isterinya masakan miang buluh pengampai boleh menyebabkan bajunya gatal apabila dipakai. Kain lain yang disidai pada buluh berkenaan kenapa tidak dilekati miang? Sebab itu Lebai Midin sudah mula mengesyaki miang yang melekati bajunya bukan miang buluh pengampai!

Sebaik sahaja isterinya ke dapur untuk bertanak nasi, segera Lebai Midin mengirai-ngirai baju teluk belanga yang ditegah oleh Semiah untuk dipakai. Biarlah miang buluh melekati pada baju berkenaan, memang Lebai Midin tidak bimbang. Dia juga tidak hairan apa-apa sekiranya miang buluh tidak melekat di baju berkenaan tetapi gatal seluruh badan asal sahaja dipakai.

Apa sangat dihairankan pada Lebai Midin kalau bandingkan peristiwa Nabi Allah Ayub a.h. menanggung penderitaan penyakit kulit dengan tidak bersebab. Terpaksa Nabi Allah itu disisihkan oleh keluarganya tinggal di tengah padang pasir tandus. Siapa lagi yang menyebabkan Nabi Ayub a.h. menderita penyakit kulit kalau bukan disebabkan pesona syaitan?

Tetapi Lebai Midin tidak diganggu penyakit kulit seluruh badan. Dia sekadar menanggung gatal hingga bergaruk asal sahaja memakai baju berkenaan. Tentu tidak sampai sebesar debu pun ujian yang ditanggungnya kalau dibandingkan dengan Nabi Ayub apabila syaitan mengaruk di tengah keluarganya.

"Istighfarrullahhul azim," keluh Lebai Midin apabila kenang gangguan syaitan dengan berbagai-bagai cara yang sukar difahami kalau melalui akal manusia semata-mata.

Tiga kali dilibasnya baju itu ke tapak tangan sebelum dicampak ke lantai. Kemudian dia melangkah baju tersebut tiga kali sambil menghentakkan tumitnya ke lantai. Apabila dia mencapai semula baju berkenaan dikira-kirainya, Lebai Midin hembuskan tiga kali dengan membacakan:

Ma asoba mim musibatin illa bi-iznillahhi wamai yukmin billahhi yandi qolbahu, wallah-hu bikulli syai-in 'alim.

Ketika inilah pasir berserak di atas lantai hingga bertaburan merata. Tatkala Semiah menjengah ke serambi memang terkejut dia melihat terlalu banyak pasir berlonggok di lantai. Hairan jua dia apabila menyedari pasir yang banyak itu bersemburan dari baju yang dikirai-kirai oleh suaminya.

"Pasir apa pula ni?" gerutu Semiah disebabkan lantai serambinya dipenuhi pasir bagaikan ditabur berguni-guni.

"Awak dah lihat sendiri, kan?" sahut Lebai Midin menunjukkan pasir kian menipis keluar dari baju yang dikirai-kiranya.

"Saku baju awak tu berpasir ke?" Semiah mahu memastikan sama ada pasir itu keluar dari saku baju. Kalau dari saku bagaimana pula pasir boleh penuh di lantai serambi?

"Dah tak percaya kuasa Allah?" rungut Lebai Midin mendengus marah. "Kalau gangguan syaitan pun mesti dengan izin Allah juga!" ujarnya tidak mahu isterinya ungkit lagi mengenai kejadian tersebut.

Biarlah semuanya menjadi rahsia mereka berdua suami isteri sahaja. Tidak perlu diberitahu jiran-jiran kerana ianya berlaku di ruang serambi rumah mereka. Siapa pun tidak melihatnya kecuali dia dan Semiah sahaja tercegat di situ.

Memang Lebai Midin tidak mahu isterinya beritahu sesiapa pun kalau kejadian demikian berlaku di dalam rumah. Perkara yang sukar difahami oleh orang ramai biarlah menjadi rahsia supaya tidak menimbulkan fitnah. Manalah tahu jiran-jiran akan menuduh dia sengaja mengada-adakan cerita disebabkan dirinya guru agama di situ.

Seisi kampung tahu guru agama mesti měmpunyai keistimewaan. Air sejuk di dalam gelas didoakan pun boleh menjadi penawar penyakit. Apa lagi kalau guru agama tersinggung hati, tentu mereka akan ditimpa bencana: Ketika itu mereka merasakan keistimewaan guru agama itu sama macam aulia yang mendapat maghunah dari Allah Subhanahu Wataala.

Sebab itu Lebai Midin tidak mahu perkara keciI demikian menjadi buah mulut seisi kampung. Tidak ada apa-apa keistimewaan kepada dirinya kecuali dia berdoa sahaja setelah terasa diganggu syaitan dengan gatal-gatal seluruh badan asal sahaja memakai baju teluk belanga itu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana pasir keluar dari baju berkenaan hingga merata di lantai serambi.

Kalau Lebai Midin tahu mengenai pasir yang jatuh melambak ke lantai itu, memang dia tidak akan berdoa apa-apa. Cukuplah baju berkenaan diasingkan sahaja dengan tidak payah dipakai lagi. Bila-bila dia boleh hanyutkan baju berkenaan ke sungai macam tikar buruk yang sudah tidak digunakan lagi.

Tetapi Lebai Midin tahu pasir yang menjelma melalui baju teluk belanga itu memang hama yang merayap di celah tenunan kain. Dibasuh dengan bilas air atau disental berus pun hama berkenaan tidak akan hanyut selagi puncanya tidak dimusnahkan. Ketika ini Lebai Midin dapat bayangkan air siput babi digaul dengan kulit ulat mentibang dipertapakan tujuh malam di tepi busut jantan.

Air siput babi inilah direnjiskan ke baju tengah tersidai di pengampai, biar hama yang di-pertapakan pada busut jantan itu merayap sepanjang masa. Asal sahaja dipakai baju berkenaan nescaya seluruh badan akan dihinggapi tokak sampai busuk kulit.

Sudah terbayang pada Lebai Midin kulitnya akan busuk akibat hama yang dipertapakan di busut jantan. Setiap kali dia menggaruk kulitnya sampai berbekas darah, Lebai Midin memang tercium air busuk melekat disitu. Tetapi cepat-cepat dia usapkan tapak tangan dengan membacakan surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas.

Kemudian dia bacakan tujuh kali:

 Bismillahhil lazi laya dhurru ma'as mihi syai-un fil-ardhi wala fis-sama-i wahuwas sami'ul 'alim.

Setelah diusapkan tapak tangan ke seluruh badan, Lebai Midin merasakan gatal-gatal yang merenyam di kulit itu beransur hilang. Memang dia dapat mengagak sengaja syaitan digunakan menganiaya dirinya biar sampai tokak melohong di seluruh kulit.

Tatkala ini Lebai Midin tetap ingat dengan kejadian yang menimpa Syeikh Abdul Kadir Jailani yang diuji syaitan. Tatkala syaitan mengakui dirinya Jibrail membawakan boraq untuk tunggangan lantas sahaja Syeikh Abdul Kadir Jailani membacakan:

 A 'uzubillahhi minasy-syai-tonnir rajim.

Sekaligus syaitan terpelanting bagaikan ditolak angin kencang yang menerjah kuat.

"Bagaimana kamu tahu aku bukan Jibrail?" marah benar syaitan disebabkan wali Allah itu cam dia sebenarnya syaitan yang dilaknat.

"Kerana Jibrail tidak turun kepada manusia, kecuali kepada para rasul!" sahut Syeikh Abdul Kadir Jailani mengejek syaitan yang dilaknat itu.

"Bukankah aku bawakan kepadamu boraq?" syaitan masih cuba mahu menguji wali Allah itu.

"Boraq hanya diturunkan kepada Rasulullullah!" lantas sahaja Syeikh Abdul Kadir Jailani mengingatkan.

"Nampaknya kamu diselamatkan oleh ilmu kamu, Syeikh Abdul Kadir Jailani," tutur syaitan dengan penuh hampa setelah gagal memperdayakan wali Allah itu.

"Tidak, aku bukan diselamatkan oleh ilmuku, tetapi diselamatkan oleh Allah Subhanahu Wataala!" tidak bertangguh Syeikh Abdul Kadir Jailani melontar syaitan yang mengganggunya.

Sebab itu Lebai Midin juga yakin dia tidak diselamatkan oleh doa-doa dari ayat al-Quran, tetapi dengan ketentuan Allah Subha-nah u Wataala. Doa-doa berkenaan hanya sebagai syarat atau bahan dan ramuan sahaja. Tentu doa-doa berkenaan juga tidak akan bermakna sekiranya tidak dengan izin Allah Subhanahu Wataala.

Sudah tentu dirinya dengan Syeikh Abdul Kadir Jailani tidak boleh dibandingkan. Masakan wali Allah itu boleh diukur derjatnya dengan manusia biasa seperti dirinya. Na'uzubillah! Lebai Midin tidak mahu sesiapa pun membuat tanggapan demikian terhadap dirinya. Sebab itu dia mahu Semiah rahsiakan apa sahaja yang berlaku di dalam  rumahnya daripada pengetahuan orang-orang kampung.

Memang dia bersyukur kepada Allah kerana gatal-gatal yang menimpa dirinya tidak meIarat menjadi tokak di seIuruh badan. Tentu kulitnya akan busuk mengangkut nanah kalau tokak itu merebak tidak dapat diubati lagi. Kalau dia tidak cuba menguji dengan doanya, nescaya Lebai Midin sendiri tidak mengetahui apa-apa mengenai pasir berserak-serak dari baju berkenaan.

Lebai Midin tidak tahu puncanya mengapa baju tersebut boleh serakkan pasir, dan hama merayap akibat disihir orang dengan amalan syaitan. Sudah tentu sihir amalan syaitan kalau air siput babi dicampur kulit ulat mentibang dipertapakan di tepi busut jantan tengah belukar. Asal sahaja mahu membalas dendam amalan sihir tersebut dilakukan kepada sesiapa yang mereka benci sangat.

Tidak tahu pula Lebai Midin kenapa mereka membenci dirinya? Kalau tidak berpuas hati apa salahnya bersemuka sahaja luahkan perasaan yang terkilan selama ini? Apalah gunanya amalkan sihir syaitan semata-mata untuk membalas dendam, setelah mengetahui bahawa syaitan itu musuh yang nyata bagi manusia dan dilaknati Allah!

Sebulan selepas kejadian yang menimpa diri Lebai Midin itulah dia diberitahu mengenai kematian Itam Lahim akibat demam panas. Balik sahaja dari menangguk udang di baruh sungai, Itam Lahim berasa pening kepala. Marah juga isterinya Utih Ciah kerana suaminya berdegil turun ke sungai tatkala matahari tegak di kepala.

Sudah menjadi pantang larang orang tua-tua tidak benarkan turun ke sungai sewaktu matahari tegak di kepala. Macam-macam boleh berlaku apabila bunian juga turun mandi ke sungai. Manalah manusia boleh nampak bunian dengan mata kasar, hingga terlanggar tatkala mereka mandi bercempera.

Tentu bunian akan membalas dendam kalau rakan-rakan mereka tercedera akibat berlanggar dengan Itam Lahim. Sekalipun Lebai Midin seringkali ingatkan mereka mengenai kepercayaan karut demikian, tetapi Utih Ciah percaya suaminya geruh ketegur kerana turun menangguk udang ke sungai  tatkala matahari tegak di kepala.

Manalah Lebai Midin tahu mengenai bunian kalau bandingkan dengan Itam Lahim yang mahir ubati orang-orang kampung diganggu bunian. Asal sahaja sesiapa diganggu bunian, sudah tentu mereka akan menyerbu ke rumah Itam Lahim. Dia satu-satunya yang boleh memujuk bunian supaya berundur jauh dari kampung berkenaan.

Sebab itu Utih Ciah tidak harapkan sesiapa selepas suaminya terkejang tengah rumah dengan seluruh badan meruap-ruap panas. Kalau Itam Lahim sendiri tidak mampu pulihkan dirinya, siapa lagi boleh diharapkan memujuk bunian berundur dari situ.

"Kita kena ubati, Itam Lahim ni," sepupunya Usup Kubin mendesak Utih Ciah supaya berikhtiar.

"Siapa boleh siahkan bunian?" lantas Utih Ciah mencabar Usup Kubin yang tercangkung di sisi Itam Lahim terkejang.

"Itam ni kena demam panas, kita bawa ke hospital," desak Usup Kubin selanjutnya bertambah cemas dengan keadaan Itam Lahim sudah terbalik mata.

"Kamu mana tahu fasal bunian, Usup!" Utih Ciah mencebek bibir menyindir sepupunya itu. "Bunian tu bukan macam manusia, boleh nampak dilihat dengan mata kasar," tegasnya kesal dengan sikap Usup Kubin mahu mendesak dia.

"Kita bawa dulu ke hospital, lepas tu baru berkira dengan bunian," Usup Kubin memujuk supaya hati perempuan itu berlembut. Asal sahaja bersetuju dibawa ke hospital sudah memadai. Selepas itu Utih Ciah boleh gunakan bertih biar bunian yang berkeliaran dapat dipujuk supaya tidak mengganggu Itam Lahim.

Memang Utih Ciah juga tidak benarkan menjemput Lebai Midin minta doakan air. Tahu sangat dia mengenai kemahiran suaminya Itam Lahim kalau berdepan dengan gangguan bunian. Sebaik sahaja Itam Lahim membakar kemenyan, dia tidak terconggok beratib di tengah rumah lagi. Ketika itu Itam Lahim sudah jejak kaki ke perkampungan bunian lengkap dengan kolam dan bunga-bunga di taman.

Tidak bertangguh Itam Lahim mara ke tengah mahligai dikelilingi kolam dan taman bunga menemui penghulu bunian. Bertih yang digenggam di tangan akan menjelma menjadi batu permata yang akan diberikan kepada penghulu bunian. Sudah tentu penghulu bunian akan memuji-muji Itam Lahim lantas berjanji akan membantu.

Sebutkan apa sahaja kemahuannya di depan penghulu bunian nescaya akan dipenuhi. Apa sangat kalau orang-orang kampung diganggu bunian sampai meracau-racau tidak menentu, tentu penghulu bunian akan perhambat orang-orangnya balik semula ke perkampungan. Tidak siapa pun bunian berani membantah perintah penghulunya yang boleh sumpah mereka hingga menjadi batu terjongkang tengah anak air.

Satu-satunya di kampung itu yang mahir memujuk penghulu bunian memang Itam Lahim. Kenapa Usup Kubin cuba memandai-mandai buat keputusan mahu hantar Itam Lahim ke hospital? Memang tersinggung benar hati Utih Ciah seolah-olah sepupunya mahu perkecilkan kebolehan suaminya!

Ketika ini seluruh badan Itam Lahim bertambah panas meruap-ruap. Lantas sahaja Usup Kubin menuduh Itam Lahim mengidap demam panas akibat  lama berjemur semasa turun menangguk udang. Biarlah Utih Ciah tidak percaya, namun jauh di sudut hati Usup Kubin memang lelaki itu menderita demam panas.

Bukan takat badannya sahaja panas meruap-ruap, malah matanya juga sudah merah akibat menderita panas tidak terkira. Wap panas itu terasa pada nafasnya yang berombak-ombak. Kalau tidak kenang Utih Ciah mudah meracau tidak menentu, memang dia akan bawa juga Itam Lahim ke hospital. Tetapi dia tidak sampai hati mahu bertelagah sampai bermasam muka dengan perempuan itu.

Setelah dipujuk oleh anak-anaknya barulah Utih Ciah bersetuju menjemput Lebai Midin. Setidak-tidaknya Utih Ciah mengalah juga sekiranya Lebai Midin mendesak supaya Itam Lahim dibawa ke hospital. Siapa lagi yang boleh disegani di kampung itu kalau bukan Lebai Midin?

Belum pun Usup Kubin turun ke tengah halaman mahu ke rumah Lebai Midin, dia diberitahu Itam Lahim sudah meninggal dunia. Wap panas yang menyusup ke seluruh badannya sudah tidak dapat dikawal lagi. Lantas sahaja Utih Ciah mengesyaki bunian yang berkeliaran mengawal Itam Lahim marah sangat sebaik sahaja Usup Kubin mahu menjemput Lebai Midin.

Tentu penghulu bunian tidak benarkan sesiapa pun menjemput Lebai Midin dalam saat Itam Lahim terkejang. Lainlah mereka sanggup bawakan bertih yang bertukar menjadi batu permata di depan penghulu bunian. Bila-bila penghulu bunian akan membantu sampai Itam Lahim pulih semula macam sediakala.

Tetapi yang mahir memujuk penghulu bunian memang Itam Lahim satu-satunya. Kenapa Utih Ciah harapkan Lebai Midin yang tidak dikenali langsung oleh penghulu bunian? Kesal juga Utih Ciah kerana memberi persetujuan menjemput Lebai Midin ke situ. Kalau tidak kenang anak-anaknya semua mendesak memang dia tidak benarkan Lebai Midin jejak kaki!

Setelah Itam Lahim hembuskan nafas yang akhir, Usup Kubin beritahu juga kepada Lebai Midin. Wajib jiran-jiran diberitahu mengenai musibah dalam keluarga kerana sudah menjadi fardu kifayah. Siapa  berani melawan fardu kifayah  yang sudah menjadi hukum?

Tatkala Lebai Midin naik ke rumah menziarah, jiran-jiran yang sudah menjengah berbisik-bisik juga mengenai bau busuk asal sahaja duduk di sisi jenazah. Puas dibakar setanggi pun bau busuk itu tetap juga menusuk-nusuk hingga terasa meloyakan tekak.

"Bunian ada bersamanya tu," ujar Utih Ciah setelah dia sendiri juga tidak tertahan bau busuk yang menusuk-nusuk.

"Kalau bunian tu busuk, halaukan aje!" gerutu anaknya Mat Bilin tidak sabar dengan keadaan yang mengganggu.

"Kamu jangan terlanjur cakap!" Utih Ciah ingatkan anaknya supaya tidak berlaku biadap di depan bunian. Manalah tahu bunian yang menziarah Itam Lahim akan tersinggung hingga berdendam panjang!

"Bau busuk ni, bukannya bunian," Mat Bilin ingatkan emaknya yang percaya sangat dengan gangguan bunian. Manalah emaknya tahu mengenai bunian selain daripada mendengar penjelasan ayahnya sahaja selama ini. Kalau bunian itu mematuhi kemahuan ayahnya, kenapa mereka tidak selamatkan Itam Lahim yang terkejang akibat seluruh badan panas meruap-ruap?

"Mulut kamu tu jangan ikut sedap bercakap, Bilin!" marah benar Itam Ciah dengan sikap anaknya seolah-olah mahu mencabar.

Tetapi cepat-cepat Lebai Midin meminta mereka tidak berbalah-balah di depan jenazah. Sewaktu Lebai Midin membuka kain kelubung mayat dengan membacakan al-Fatihah, Mat Bilin nampak mulut jenazah ayahnya kumat kamit tidak menentu. Cepat-cepat pula Lebai Midin menutupnya semula menyebabkan Mat Bilin terkejut.

Ketika ini bukan Mat Bilin sahaja melihat kejadian mulut mayat kumat kamit bagaikan sedang membaca jampi mentera, tetapi Usup Kubin dan Utih Ciah juga sama melihat. Tersenyum Utih Ciah kerana percaya suami-nya masih lagi mampu membacakan jampi mentera tatkala sudah terbujur kaku menjadi mayat.

"Tengok, kamu bukan calang-calang bomoh!" ujar Utih Ciah menyindir anaknya Mat Bilin. Tertegun Mat Bilin disebabkan terharu dengan sikap emaknya yang masih percaya ayahnya sedang berjampi  mentera dengan bunian yang berkeliling di sisi mayat.

"Mak, cuba bawa beristighfar banyak-banyak!" pujuk Mat Bilin cuba mententeramkan perasaan emaknya. Memang dia tahu emaknya terlalu sedih dengan kematian ayahnya. Tetapi perkara ajal maut hanya ketentuan Allah yang mesti diterima dengan tabah.

Bau busuk meruap-ruap itu masih juga memenuhi ruang hingga ramai jiran-jiran berundur turun ke tengah halaman. Segera Usup Kubin tanyakan kepada Lebai Midin sama ada dia memerlukan nyiur kukur sama seperti tatkala kejadian itu berlaku menimpa keluarga arwah Andak Seman.

Tetapi Lebai Midin menggeleng lemah. Dia percaya bau busuk yang meruap-ruap itu tidak sama dengan kejadian di kampung hulu. Ketika ini Lebai Midin seolah-olah melihat abangnya arwah Andak Seman terconggok memamah bangkai yang dihurungi ulat berenga. Asal sahaja bangkai yang dihidangkan habis dimakan, berlonggok lagi hidangan bangkai tersaji di depannya.

Bayangan yang dilihat oleh Lebai Midin itu memang mengharukan perasaannya. Tetapi dia tidak dapat menuturkan apa-apa selain daripada beristighfar berulang kali. Masakan mayat terkejang di depannya bingkas bangun makan bangkai yang terhidang di depannya. Tentu mereka yang terconggok di situ akan menuduhnya sengaja mahu memfitnah melihat mayat bingkas bangun memamah bangkai.

Dia sekadar melihat bayangan sahaja seolah-olah bangkai bertimbun dihidangkan. Perlahan-lahan mayat yang terkejang, bangun memamah bangkai berkenaan. Sebab itu Lebai Midin tidak dapat mahu menerangkan keadaan sebenar ketika itu apabila jiran-jiran tercium bau busuk yang menusuk-nusuk.

"Habis, kita nak buat macam mana Tuan?" Usup Kubin tidak sabar lagi dengan bau busuk yang meruap-ruap ketika itu. Kalau Lebai Midin tidak mahukan nyiur kukur sudah tentu keadaan mayat Itam Lahim tidak sama dengan kejadian yang menimpa Andak Seman.

"Sama-samalah kita memohon kepada Allah," bisik Lebai Midin meminta sesiapa sahaja di tengah rumah bacakan surah Yasin. 

"Cuba Utih cari, kalau Itam ada simpan apa-apa amalan dia!" segera Usup Kubin mendesak kerana mengesyaki Itam Lahim menyimpan barang-barang lama. Tentu barang-barang lama berkenaan yang menyebabkan bau busuk menusuk-nusuk.

"Simpan apa pula?" keluh Itam Ciah mula mengalah dengan kemahuan Usup Kubin dan Mat Bilin.

"Manalah tahu keris lama ke, badik lama ke atau apa-apa pun," sahut Mat Bilin pula bersetuju dengan penjelasan Usup Kubin.

Lama juga Utih Ciah memikir-mikirkan mengenai barang-barang yang disimpan arwah suaminya. Kemudian tidak bertangguh dia menyelongkar gobok buruk di bawah pangkin dapur tempat suaminya menyimpan perkakas berubat. Di situ memang tersorok keris, badik, cebisan kain hitam dan botol.

Sebaik sahaja barang-barang itu ditunjukkan oleh Utih Ciah semakin tengik bau busuk yang meloyakan tekak itu. Sewaktu Usup Kubin cuba memegang keris lama yang sudah berkarat memang terasa padanya bahang panas. Tetapi tidak ada apa-apa kejadian ganjil berlaku semasa Usup Kubin dan Mat Bilin membelek-belek mata keris dan badik yang usang itu.

Apabila mereka mencapai botol kecil bersumbat gabus itu, segera dilarang oleh Lebai Midin. Bau busuk tersebut memang meruap-ruap dari botol kecil berkenaan semasa sumbat gabusnya dibuka oleh Usup Kubin. Sebaik sahaja direnung oleh Lebai Midin dia dapat merasakan botol kecil itu seolah-olah dipertapakan di tepi busut jantan.

Tahu sangat Lebai Midin isi botol tersebut memang air siput  babi bercampur serbuk kulit ulat mentibang yang digiling lumat. Segera dia menggenggam botol kecil itu lantas membacakan:

Bismillahhi masya Allah layasu-qul hairu illallah, bismillahhi masya Allah layasriful su-i illallah, bis-millahhi masya Allah makana min-ni 'matin faminallah, bismillahhi masya Allah layati bilhasnati illallah, bismillahhi masya Allah la-haula wala qauwata illa billah.

Kemudian dia menyuruh Mat Bilin membakar sahaja botol berkenaan. Tidak bertangguh pula Mat Bilin membakarnya ditengah unggun api manggar kelapa kering. Sewaktu api menjulang naik, Mat Bilin campakkan botol kecil itu. Dalam masa beberapa minit sahaja dia mendengar letupan kecil akibat botol berkenaan pecah berderai.

Sekaligus pula mereka yang tercegat di tepi halaman melihat asap hijau berkepul-kepul dari api yang diunggun oleh Mat Bilin. Asap hijau itu menjulang tinggi seolah-olah cecah ke awan dengan berpusar bagaikan ditiup angin kencang.

Sebaik sahaja asap hijau berkepul itu hilang, api yang marak menyala juga padam serta merta. Hanya tinggal bara daripada manggar kelapa kering itu berserak-serak bagaikan bentuk kulit mentibang berongga-rongga. Selepas botol kecil itu meletup pecah dalam api marak menyala, bau busuk meruap-ruap itu hilang beransur-ansur.

Sekalipun bau busuk itu sudah tidak terhidu lagi, tetapi Lebai Midin meminta Mat Bilin segerakan juga pengkebumian ayahnya Itam Lahim. Tidak perlu mahu menunggu sehingga selepas zohor untuk usung mayat ke kubur. Disebabkan Mat Bilin sendiri sudah memberikan keputusan, Utih Ciah juga tidak membantah apa-apa.

Semasa mayat mahu dimandikan terkejut Mat Bilin melihat pelupuk mata ayahnya berair bagaikan tengah hiba menangis. Cepat-cepat dia beritahu Lebai Midin dengan keadaan tersebut. Tetapi Lebai Midin ingatkan dia tidak bertanya apa-apa, kecuali teruskan sahaja mandikan mayat.

"Kenapa mayat ayah ni menangis?" keluh Mat Bilin tidak berpuas hati kerana air mata masih juga berlinang sekalipun sudah dikesat berulang kali semasa mereka bersiap-siap untuk kapankan.

"Sudahlah, Bilin, kita sempurnakan sahaja pengkebumian," segera Usup Kubin ingatkan anak muda itu.

"Apakah salahnya ayah ni?": hati Mat Bilin tetap terharu dengan kejadian tersebut disebabkan air mata terus berlinang di pelupuk mata mayat Itam Lahim.

"Bomoh macam dia, banyak amalannya," ujar Utih Ciah percaya bukan suaminya yang terbujur di situ, tetapi bunian yang menyerupai Itam Lahim. Ketika ini tentu Itam Lahim sudah dibawa penghulu bunian ke perkampungannya, setelah botol peninggalannya dibakar.

"Cukuplah tu Utih," pujuk Usup Kubin meminta sepupunya tidak ikutkan sangat perasaan. "Biar urusan Allah ditentukan Allah, kita semua hambaNya saja," dia mendesak terus sahaja dikapankan sekalipun air mata mayat masih berlinangan.

Selepas disembahyangkan pun orang ramai masih melihat kain kapan itu lembap di bahagian mata. Tetapi Lebai Midin ingatkan mereka supaya tidak persoalkan sangat keadaan demikian. Perkara air mata masih berlinang tentu disebabkan wap panas meruap-ruap akibat demam panas. Sebab itu mereka tidak perlu bimbang apa-apa mengenai kejadian demikian.

Disebabkan Lebai Midin sudah membuat keputusan supaya mayat dikebumikan cepat, memang sebelum zohor mereka usung ke kubur. Sebaik sahaja mayat diturunkan ke liang lahad, terjerit kecil Mat Bilin di bawah apakala mendapati liang lahad dipenuhi siput babi dengan ulat mentibang berlonggok. Terpaksa pula mayat dinaikkan semula ke tebing bagi membolehkan Mat Bilin mengaut siput babi dan ulat mentibang ke dalam pungkis. Sampai berpungkis-pungkis dikaut masih banyak lagi siput babi dan ulat mentibang merayap di dalam liang lahad itu.

Mengeluh panjang Lebai Midin sambil menggeleng-geleng lemah. Kemudian dia menyuruh Usup Kubin azan tujuh kali di hulu kepala mayat. Setelah Usup Kubin azan, Lebai Midin meletakkan tapak tangannya di kepala mayat dengan membacakan:

Walahu masakana fil-laili wannhari wahuwas sami'ul 'alim, summa sauwahu, wanofakho fihi min-rohihi waja'ala lakumus sam'a wal-absaro wal-af-idato qolilan matasyukurun, wanunazzilu minal qur-ani mahuwa syifa-un warahmatun lil-mukminin.

Setelah diusapkan tapak tangannya ke muka mayat perlahan Lebai Midin menuturkan, "Itam Lahim, pergilah kau menemui khaliq, segala kesalahan kau pada aku, dengan nama Allah aku maafkan."

Kemudian Lebai Midin memberi isyarat supaya mayat diturunkan ke liang lahad. Ketika ini barulah Mat Bilin dan Usup Kubin melihat liang lahad itu bersih tidak diganggu siput babi dan ulat mentibang lagi. Sehingga mayat Itam Lahim  selamat dikebumikan, tertanya-tanya juga Mat Bilin mengenai kesalahan ayahnya kepada Lebai Midin.

Kalau tidak masakan mudah sahaja mayat ayahnya dikebumikan selepas Lebai Midin maafkan kesalahannya. Tentulah kesalahan ayahnya amat berat hingga kejadian demikian menimpanya. Tetapi Lebai Midin tidak mahu memberitahu apa-apa kecuali menggeleng-geleng lemah.

Beberapa kali didesak oleh Mat Bilin mengenai kesalahan ayahnya arwah Itam Lahim, namun Lebai Midin menunduk tidak bercakap apa-apa. Tahu sangat Mat Bilin mengenai sikap Lebai Midin mahu merahsiakan sahaja. Tetapi Mat Bilin merasa terkilan sekiranya tidak tahu mengenai kesalahan yang telah dilakukan oleh ayahnya kepada guru agama itu.

Memang Mat Bilin dengar juga mengenai ayahnya mahu cederakan Lebai Midin di surau dengan meletakkan buah kelapa di tangga surau selepas maghrib. Dia percaya tentu Lebai Midin akan tergelincir jatuh sebaik sahaja terpijak buah kelapa berkenaan semasa menuruni tangga. Di tengah gelap malam tentu  Lebai Midin tidak perasan mengenai buah kelapa yang sengaja diletakkan oleh Itam Lahim di situ.

Selepas letakkan buah kelapa di tangga, lantas Itam Lahim bersembunyi di bawah surau. Dia mahu memastikan Lebai Midin turun selepas selesai solat isya tetap terpijak buah kelapa biar bergolek ditangga. Ketika ini Lebai Midin akan jatuh di tangga surau tidak bertampan.

Ketika ini beberapa ekor kambing di bawah surau tidak semena-mena menanduk punggung Itam Lahim yang tercangkung di situ. Puas dia mengelak, beberapa ekor kambing jantan di bawah surau berterusan menanduknya. Marah benar Itam Lahim dengan kambing-kambing jantan itu seolah-olah tahu sangat dengan perbuatannya mahu cederakan Lebai Midin.

Disebabkan kambing-kambing jantan itu terus juga menanduk punggungnya macam menyerang musuh bertubi-tubi, terpaksa juga Itam Lahim melompat ke halaman surau dalam kesakitan. Tidak bertangguh pula anaknya Mat Bilih menyuluh dari atas surau, hingga nampak ayahnya terkedek-kedek diserbu beberapa ekor kambing jantan.

Terpaksa Itam Lahim melompat naik ke tangga surau elakkan diri daripada diserang kambing-kambing jantan tengah mengaruk. Hairan juga mereka yang terconggok di atas surau melihat Itam Lahim menjengah muka. Selama ini tidak pernah pun Itam Lahim jejak kaki ke surau, kenapa malam berkenaan tiba-tiba sahaja dia terjonggol.

Dalam keadaan serba salah itulah Itam Lahim mengaku dia mahu cederakan Lebai Midin. Selagi dia tidak jelaskan apa yang terpendam di hati, beberapa ekor kambing jantan mendongak di kaki tangga mahu menyerbu. Hairan juga dia melihat kambing-kambing jantan itu menjadi garang bagaikan dirasuk jembalang.

"Aa yang kamu marahkan Lebai Midin ni, Itam Lahim?" tutur Usup Kubin kesal dengan sikap abang ipar sepupunya itu.

Serba salah juga Itam Lahim mahu terangkan. Tentu sesiapa sahaja akan salahkan dia tiba-tiba sahaja marahkan Lebai Midin, disebabkan lelaki itu tidak benarkan mereka yang belajar di surau percaya sangat dengan kuasa bunian. Lebai Midin ingatkan sesiapa sahaja yang belajar di surau tidak ada makhluk yang lebih berkuasa, kerana yang Maha Berkuasa hanya Allah Subhanahu Wataala.

Memang Lebai Midin tidak pernah menyakiti dia. Lebai Midin sekadar ingatkan supaya tidak bawa panggang ayam mentah di dalam ancak dipuja di atas batu tepi hutan di tengah alur air cabang tiga. Cuma Itam Lahim satu-satunya yang suruh mereka lakukan demikian supaya bunian tidak mengganggu.

Seisi kampung menjadi gempar apabiIa dirasuk hingga meracau-racau tengah malam. Siapa sahaja mangsa yang dirasuk mengakui datang dari alur air cabang tiga. Tidak bertangguh mereka menjemput Itam Lahim jampikan biar bunian tidak mengganggu. Siapa lagi yang datang dari cabang tiga anak air kalau bukan bunian.

Itam Lahim ikatkan kain kuning di lengan sesiapa sahaja menemuinya supaya menjadi tangkal. Bunian tidak akan ganggu sesiapa memakai tangkal yang dibekalkan oleh Itam Lahim. Tetapi Mat Bilin anak-nya sendiri tidak pernah memakai tangkal lilit kain kuning di lengan. Masakan Mat Bilin mahu gunakan tangkal demikian semenjak belajar agama dengan Lebai Midin di surau!

Sebab itu Itam Lahim tersinggung benar dengan Lebai Midin. Menegah seisi kampung gunakan tangkal yang dibekalkannya, samalah macam perkecilkan dirinya.

Tetapi kejadian di surau malam berkenaan sudah diselesaikan dengan baik. Itam Lahim meminta maaf setelah mengakui mahu cederakan Lebai Midin. Selagi dia berkeras tidak mahu meminta maaf beberapa ekor kambing jantan yang mendongak di tangga surau terus juga menerkam mahu menanduk. Sebaik sahaja Itam Lahim meminta maaf di depan Lebai Midin, tiba-tiba sahaja kambing berkenaan menyusup semula masuk ke bawah surau.

"Sudah lama kejadian tu berlaku, ustaz," beritahu Lebai Midin perlahan menatap muka saya. "Dah Iebih dua puluh tahun, memang saya pun dah lupa," dia menambah tetapi tersekat-sekat suraunya. Kalaulah Kadir Misai tidak sebutkan mengenai kejadian yang menimpa Suhor memang dia mahu rahsiakan semuanya.

"Ustaz pun sekadar nak tahu aje," ujar Kadir Misai kerana masih terkilan dengan sikap arwah Suhor. Kalau Suhor bukan suami anak saudaranya Naemah, memang dia tidak ambil peduli sangat. Tetapi anak-anak Suhor bersama Naemah memang mempunyai pertalian darah dengannya.

Bimbang juga Kadir Misai sekiranya anak-anak Naemah juga hilang pedoman. Perkara yang tidak dapat dilihat dengan akal fikiran manusia, memang sukar mahu dijelaskan. Kecuali mereka yang memahaminya seperti Lebai Midin sekalipun dia cuba merahsiakan banyak perkara.

"Sebenarnya ustaz lebih banyak tahu dari saya, Pak Kadir," tersengih-sengih Lebai Midin apabila didesak oleh Kadir Misai mengenai kejadian yang dialaminya lebih dua puluh tahun dulu.

Kemudian dia berpaling ke arah saya lantas menepuk-nepuk bahu saya. Tetapi saya sekadar tersenyum sahaja dengan sikap Lebai Midin itu.

SELESAI