Saturday, April 23, 2016

173. JELMAAN LEMBAGA TIGA BERANAK



JALAN melalui permatang di permatang di tepi parit licin disebabkan hujan turun sejak tiga hari berturut-turut. Terpaksa Basir memperlahankan kereta kerana bimbang akan tergelincir hingga mengelongsor ke dalam parit. Siapa yang sanggup membantu sekiranya kereta terhumban ke dalam parit di situ?

Ngah Ucup yang sudah biasa di situ pun terdiam tidak bercakap apa-apa apabila kereta terhinggut-hinggut melalui jalan licin berbecak. Bimbang juga dia sekiranya kereta itu terbenam di dalam lumpur becak di situ. Memang tidak ada siapa pun yang akan datang membantu sekiranya kereta Basir terbenam hingga tidak boleh meluncur.

Tetapi Basir terpaksa juga meranduk becak tersebut asal sahaja dapat menemui Haji Sakari. Jauh dia datang ke Sungai Besar, masakan berpatah balik disebabkan jalan becak demikian. Terpaksa dia mencari Ngah Ucup dahulu sebelum mengajak menemui Haji Sakari melalui jalan permatang di tengah sawah itu.

Manalah dia tahu rumah Haji Sakari kalau tidak diajak Ngah Ucup ikut sama? Memang Ngah Ucup pun yang beritahu dia mengenai Haji Sakari itu, apabila dia balik bercuti hari raya menemui sepupunya. Lama sangat dia menanggung bimbang disebabkan isterinya Sirah sering mengadu sakit tengkuk.

Sudah puas berurut dengan bidan kampung pun, tetapi sakit tengkuk Sirah tidak juga beransur kurang. Kadangkala dia merasa seluruh badannya lenguh-lenguh hingga kaki lemah tidak boleh bergerak.

"Cubalah dengan Haji Sakari tu," beritahu Ngah Ucup yang sudah lama menetap di Sungai Besar.Sejak berpindah dari kampung halaman, memang di Sungai Besar itulah Ngah Ucup memulakan penghidupan baru. Tahu sangat dia mengenai Haji Sakari di seberang Parit Haji Dorani itu.

"Nantilah, kami akan cari Ngah Ucup kalau ke sana nanti," Sirah menjelaskan keinginannya mahu sangat berubat cara kampung seperti yang diberitahu oleh Ngah Ucup.

Apalah salahnya mencuba berubat dengan Haji Sakari. Perkara sembuh atau tidak bukannya mereka yang menentukan. Setidak-tidaknya dia sudah berikhtiar mahu mengubati penyakit yang telah menjadi idapannya selama ini.

Makin diurut tengkuknya bertambah menyakit pula apabila balik sahaja ke rumah. Malah hatinya mudah sahaja marah-marah tidak menentu. Kalaulah suaminya Basir tidak sabar menghadapi kerenahnya sudah tentu rumahtangga mereka porak-peranda.

Tetapi Basir tidak mudah terburu-buru mengambil apa pun keputusan. Dia tahu gangguan dalam diri isterinya menyebabkan Sirah menjadi marah-marah tidak menentu. Biarlah dia terpaksa memendam perasaan asal sahaja punca sebenarnya dapat dicari.

"Jauhkah lagi rumah Haji Sakari ni, ngah?" rungut Sirah di belakang disebabkan terlambung-lambung apabila kereta terperosok ke dalam lubang berbecak.

"Nak kata jauh, tak jauh," tersengih-sengih Ngah Ucup memberitahu disebabkan adik sepupunya itu tidak sabar sangat. "Nak kata dekat pun, tak dekat," ujarnya dalam ketawa memanjang.

"Ngah, ni nak bergurau aje!" Sirah mencebek bibir sekalipun suaminya Basir dan Ngah Ucup di hadapan tidak melihatnya.

"Ah, kalau jauh pun, takkan nak turun tengah sawah ni," sahut Basir keras mengejek isterinya. Dia sendiri kecewa melalui jalan yang becak di tepi permatang itu. Kalau tidak kenangkan mahu berikhtiar mengubati isterinya, memang dia tidak akan jejakkan kaki ke situ.

"Nak berubat, kena banyak bersabar," Ngah Ucup mengingatkan supaya sepupunya itu tidak mudah putus asa. Apa sangat dengan melalui jalan berbecak itu, kalau bandingkan dengan beberapa tahun menanggung sakit yang tidak berkesudahan.

Bukan takat Sirah mengidap sakit tengkuk sahaja, malah Basir juga mengalami keadaan rezeki yang tersekat-sekat. Beberapa kali tender yang dimohonnya menghadapi masalah, sekalipun sudah jelas berada dalam tangannya.

Tuntutan bayaran yang dikemukakannya juga bertangguh-tangguh menyebabkan dia mengalami banyak masalah kewangan. Tidak ada di mana pun silapnya, tetapi Basir tahu memang dia dianiaya. Perkara tahyol yang tidak pernah dia ambil tahu selama ini, mula terasa menjadi ancaman kepada dirinya. Kalau tidak disebabkan hatinya cekal, memang mudah dia menemui bomoh meminta bantuan.

Sampai sahaja di halaman rumah Haji Sakari, lantas Ngah Ucup memberi salam. Isteri Haji Sakari di dapur yang menyahut sambil membukakan tingkap ,dapur. "Naiklah, dia masih sembahyang," beritahu Hajah Saamah sebaik melihat Ngah Ucup tercegat di tengah halaman.

Hajah Saamah tidak perlu bimbang apa. Tahu sangat dia asal sahaja orang berkunjung di rumahnya tatkala senja menjelang memang mereka mahu menemui suaminya. Mereka bimbang .tidak dapat menemui Haji Sakari sekiranya datang selepas isya.

Siapa pun tidak tahu ke mana Haji Sakari apabila turun sahaja ke tanah selepas isya. Lainlah kalau ada tetamu datang berkunjung, dia akan tetap menunggu sekalipun sampai santak tengah malam.

Memang Hajah Saamah sendiri tidak tahu ke mana suaminya selepas solat isya. Dia sekadar menduga Haji Sakari mengajar pencak silat di merata tempat. Kadangkala ke Pasir Panjang atau ke Parit Haji Dorani. Malah sampai ke Bagan Datoh juga Haji Sakari akan jejak kaki kalau dijemput mengajar silat.

"Oh, dia bukan bomoh aje, tetapi guru silat jugakah?" bisik Basir sewaktu menaiki tangga mengekor Ngah Ucup.

"His, dia tak suka dipanggil dirinya bomoh," lantas Ngah Ucup mengingatkan suami adik sepupunya itu.

Apabila mereka naik ke rumah, Haji Sakari masih lagi wirid di atas sejadah di tengah rumah. Dia tidak peduli dengan tetamu yang datang tatkala tengah duduk di atas sejadah demikian. Biarlah mereka semua menunggu sampai dia selesai tunaikan solat dengan berwirid panjang.

Tidak perlu dia terburu-buru melayani tetamu kerana tujuan mereka sudah dimaklumi benar oleh Haji Sakari. Mereka tidak akan jejak kaki ke rumahnya kalau tidak disebabkan mahu berubat. Kalau sekadar mahu belajar silat mereka boleh buka gelanggang di kampung masing-masing. Tidak perlu datang ke rumahnya meranduk jalan becak di atas permatang parit.

Tetapi hampir sepuluh minit mereka di atas rumah, Sirah tidak juga naik ke rumah. Masakan Sirah masuk ikut pintu dapur, kerana Hajah Saamah menjengah di pintu tengah tidak kelihatan pun Sirah ikut sama.

"Eh, mana Sirah?" ujar Ngah Ucup sebaik sahaja menyedari Sirah tidak ikut sama naik ke. rumah.

Cepat-cepat Basir turun semula ke tanah. Ketika sampai di tengah halaman dia melihat Sirah masih tertegun di belakang tempat duduk kereta. Apabila didesak naik ke rumah, Sirah lantas membantah. Dia mengajak Basir balik sahaja ke Kuala Lumpur.

"Bukankah awak yang hendak sangat berubat ke sini?" hairan juga Basir dengan sikap Sirah tiba-tiba sahaja tidak mahu lagi berubat setelah jejakkan kaki ke situ.

"Haji Sakari ni bukannya bomoh!" rungut Sirah berkeras tidak mahu lagi berubat. "Dia tu guru silat, kita bukannya nak belajar silat," tuturnya macam mengejek.

"Kita cubalah dulu, sia-sia kita datang jauh macam ni," pujuk Basir semoga isterinya tidak mengubah fikiran. Kalau tidak disebabkan Sirah kuat mendesak memang dia sendiri tidak akan datang ke Sungai Besar. Apalagi datang sewaktu malam hingga terpaksa melalui lorong kecil di tengah sawah demikian.

"Ah, marilah balik," Sirah masih enggan keluar dari kereta. Ketika ini Ngah Ucup sudah menjengah di pintu. Dia mendesak menyuruh naik disebabkan Haji Sakari sudah selesai berwirid.

"Kenapa tu?" mendengar Haji Sakari bersuara dari tengah rumah. "Naiklah, silakan..," katanya bagaikan menyeru supaya tetamunya segera naik ke rumah.

Sirah menunduk. Dia tiba-tiba menangis teresak-esak tidak mahu turun dari kereta.

"Eh, kenapa awak menangis?" Ngah Ucup mendengar Basir tergamam dengan keadaan isterinya ketika itu.

Segera Ngah Ucup turun ke tengah halaman. Dia menyedari sepupunya enggan naik ke rumah bukan disebabkan hatinya tidak mahu berubat, tetapi perasaan gementar mula menyelubungi diri apabila mahu berdepan dengan Haji Sakari.

Ketika ini Hajah Saamah juga berdiri di kepala tangga memujuk supaya Sirah naik ke rumah. Dia juga tahu perasaan Sirah mula resah sebaik sahaja kereta membelok masuk ke tengah halaman. Tahu sangat Hajah Saamah sudah beberapa orang mengalami kejadian demikian semasa datang mahu menemui suaminya.

Disebabkan Sirah masih juga tidak mahu naik ke rumah, lantas Hajah Saamah turun ke tengah halaman. Dia memegang tengkuk Sirah dan perlahan membacakan:

Fa-uttahazat min duni-him hijaban fa-arsalna ilaiha rohana fatamas-thala laha basyaran sawiya,

dengan diulangi tiga kali.

Apabila dihembuskannya ke ubun-ubun Sirah, perempuan itu menjadi tenang semula. Kemudian Sirah mengangguk bersetuju untuk naik ke rumah.

Sebaik sahaja naik ke rumah Sirah masih terasa seluruh badannya seram sejuk tidak menentu. Mahu sahaja dia lari terjun ke tengah halaman disebabkan keadaan gelisah semasa terconggok di tengah rumah Haji Sakari. Kalau dia kukuhkan semangat mahu berubat memang tidak bertangguh dia menjerit sekuat hati terus melompat ke tengah halaman.

Tetapi Sirah dapat mengawal perasaannya. Dia memang bernekad mahu berubat, biar sakit di tengkuknya sembuh tidak mengganggu lagi. Lama sangat dia menanggung sakit yang tidak mahu beransur sembuh. Sakitnya pula tidak berpanjangan hingga dia terkejang melepek di tengah rumah.

Sakit di tengkuk datang bila bulan tengah penuh. Kemudian menular sampai kedua-dua kakinya lenguh-lenguh sepanjang malam. Dia akan menanggung sakit hingga lebih seminggu. Selepas itu akan hilang sendiri sebelum mengganggu semula sebaik sahaja bulan tengah penuh.

Ayah mertuanya Haji Sibun sudah pun tunjukkan dia amalan membaca Ayatul Kursi. Setiap kali dibacakan Ayatul Kursi semakin bertambah teruk dia menanggung sakit berdenyut-denyut di tengkuk itu.

Memang Basir juga hampir putus asa dengan keadaan isterinya.Biarlah sakitnya berterusan asal sahaja tidak melepek sampai terkejang di wad hospital. Sudah berkali-kali dibawa menemui doktor pakar pun, dia diberitahu Sirah sekadar mengidap darah tinggi.

Sebab itu Basir tidak peduli sangat sekiranya Sirah diganggu darah tinggi. Biarlah rezekinya juga tersekat-sekat, kerana dia percaya rezekinya ditentukan oleh Allah. Kalau sesiapa pun aniaya dia dengan ilmu hitam lambat laun rezeki yang tersekat-sekat itu akan sampai ke tangan nya juga.

Siapa sahaja tidak akan dapat menghalang sekiranya Allah mahu memberi kurnia atau mahu menurunkan musibah kepada makhluk. Basir tidak peduli berapa lama pun mereka mahu aniaya dia dengan ilmu sihir, kerana ilmu sihir itu memang mainan syaitan yang dilaknat.

"Macam mana sekarang?" Haji Sakari mengerling Sirah yang menahan perasaan resahnya.

"Entahlah, tak dapat nak cakap, tuan haji," beritahu Sirah yang sudah menyerahkan kepada Ngah Ucup untuk menerangkan segala yang dialami di depan Haji Sakari.

"Penyakit tak mahu sembuh-sembuh," tutur Ngah Ucup bagaikan merungut-rungut apabila kenangkan penyakit yang menimpa sepupunya itu. "Sebab itu dia orang datang nak minta tuan haji doakan," katanya seolah-olah mendesak Haji Sakari.

"Kita cubalah," sahut Haji Sakari tersenyum menggulung rokok kertas di depannya. Dia tidak perlu tergesa-gesa sebaik sahaja diberitahu mengenai masalah yang dihadapi oleh Sirah.

Apa sangat malang yang menimpa Sirah kalau bandingkan dengan musibah yang dialami oleh Ngah Ucup sendiri. Sampai tiga hari Ngah Ucup terkejang di katil hospital akibat kepalanya dihembat kayu sauh tatkala ikut taukeh Cina ke laut.

Tiga bulan Ngah Ucup bingung bagaikan tidak siuman setelah keluar dari hospital disebabkan hembatan kayu sauh itu terlalu kuat, Ayahnya Wak Marun bawakan dia menemui Haji Sakari untuk memulihkan ingatan Ngah Ucup yang terganggu.

Semasa Sirah sendiri menjengah ke rumahnya selepas tiga bulan keluar dari hospital, Ngah Ucup tidak cam sangat sepupunya. Dia sekadar tersengih-sengih sahaja tidak ketahuan. Memang siapa pun tidak menaruh apa-apa harapan Ngah Ucup, akan pulih semula.

Setelah dibawa menemui Haji Sakari, dia diurut tengkuk-nya tiga petang berturut-turut. Kemudian Haji Sakari bekalkan tujuh butir kemenyan untuk direndamkan di air. Ngah Ucup disuruh mandi air kemenyan yang direndam itu lat tiga hari sekali.

Dua puluh satu hari dia mandi air yang direndam kemenyan itu, Ngah Ucup merasakan dirinya seolah-olah bangun daripada tidur. Ingatannya pulih semula sehingga dapat menceritakan semula kejadian yang menimpanya di laut tatkala dihembat kayu sauh.

Sebab itu musibah yang menimpa Ngah Ucup lebih teruk daripada Sirah sendiri. Setidak-tidaknya Ngah Ucup terlantar tiga hari sampai terkejang tidak sedarkan diri dengan kepala berbalut. Darah banyak keluar akibat hembatan kuat kayu sauh.

Derita lahiriah yang ditanggung oleh Ngah Ucup memang boleh dilihat oleh siapa sahaja, hingga dia hilang ingatan. Tidak sama dengan Sirah yang tidak dapat dilihat penyakit yang ditanggungnya. Tetapi Haji Sakari tahu mengubati Ngah Ucup tidak sama dengan mendoakan Sirah.

Manalah siapa pun dapat menduga sama ada Sirah mengalami sakit atau pun tidak. Kalau dilihat lahiriahnya Sirah tetap sihat tidak mengalami apa-apapun derita kesakitan.

"Kemenyan ada kami bawa, tuan haji," ujar Ngah Ucup yang sudah mengagak Haji Sakari memang memerlukan kemenyan.Haji Sakari tidak menyahut apa-apa. Dia mencapai bungkusan kemenyan yang dihulurkan oleh Ngah Ucup terus ke penjuru rumah.Di situ dia memasang, lampu kecil dengan membelakangkan tetamunya. Lama dia membongkok di depan lampu kecil itu, barulah Haji Sakari datang semula mendapatkan tetamu yang menunggu di tengah rumah.

Dia menghulurkan kemenyan yang dibungkus dengan kertas kepada Basir. Tersengih-sengih Haji Sakari tidak mahu menerangkan apa-apa mengenai gangguan yang dialami oleh Sirah. "Ah, tak ada apa-apa gangguan," tutur Haji Sakari apabila didesak oleh Ngah Ucup. "Cuba-lah dulu rendam kemenyan ni tiga hari, kemudian tumbuk dan mandi airnya," dia menjelaskan aturan yang mesti dibuat.

"Apa sakitnya, tuan haji?" Basir juga tidak puas hati dengan penjelasan Haji Sakari.

"Entahlah, saya pun tak tahu," beritahu Haji Sakari semacam mahu merahsiakan."Tapi, cubalah dulu mandi air kemenyan tu," tegasnya mengingatkan lelaki itu.

Kemenyan yang sudah dibelah tujuh butir itu bukan sahaja direndam untuk dimandikan, tetapi Haji Sakari suruh renjiskan juga di sekeliling rumah sebaik sahaja cukup tiga hari.Tiap-tiap butir Sirah perlu rendam tiga hari, sampai habis semuanya tujuh butir itu selama 21 hari.

Selepas direnjiskan air kemenyan itu dua belas hari, Sirah menjadi rimas kerana seluruh badannya ditumbuhi panau. Tetapi kulitnya tidaklah gatal seperti orang mengidap panau yang tumbuh merata badan. Bimbang juga Sirah disebabkan panau itu semakin banyak tumbuh di lengan hingga melarat ke tangan juga.

Apabila diberitahu Basir, tidak sabar juga dia mahu belikan ubat panau biar kulit isterinya pulih semula. Tetapi dia tidak mahu terburu-buru selagi ubat Haji Sakari belum cukup 21 hari. Dia akan jengah Haji Sakari lagi ke Sungai Besar sekiranya penyakit panau yang tumbuh di kulit isterinya masih juga tidak hilang.

Belum pun cukup 21 hari mandi air kemenyan tersebut, hairan juga Basir apabila keretanya tiris air tatkala hujan turun mencurah. Mekanik di bengkel kereta juga tidak dapat mencari punca air boleh tiris ke dalam kereta.

"Ah, macam-macam pula balanya," gerutu Basir sebaik sahaja menemui Ngah Ucup mengajaknya ke rumah Haji Sakari.

Terkejut juga Ngah Ucup apabila diberitahu Basir mengenai kejadian tersebut. Manalah dia tahu kejadian tersebut boleh menimpa Basir bersama Sirah setelah dibawa menemui Haji Sakari. Perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar bukan boleh diagakkan punca berlakunya. Lainlah Haji Sakari boleh mengagaknya sekalipun berahsia sangat sewaktu menghulurkan kemenyan itu kepada Basir.

Sebab itu Ngah Ucup terus sahaja mengagak Basir suami isteri ke rumah Haji Sakari sebaik sahaja selesai maghrib. Ketika mereka sampai di rumah Haji Sakari memang sudah ada sebuah kereta tersergam di halaman rumah.

"Ini cucu saya dari Teluk Intan," beritahu Haji Sakari memperkenalkan apabila mereka bersalaman.

Lelaki itu tersengih-sengih sahaja apabila diperkenalkan oleh Haji Sakari cucunya. Tetapi lelaki itu meminta doakan pada Haji Sakari sehingga dia tunaikan solat maghrib bersama di rumah berkenaan. Selepas Haji Sakari bekalkan kemenyan, lelaki itu terus sahaja meninggalkan mereka.

Belum pun sempat Ngah Ucup memberitahu mengenai panau yang tumbuh merata badan Sirah, mereka mendengar orang memberi salam dari tengah halaman. Apabila terjongol sahaja orang tersebut di muka pintu, seorang perempuan mengerang kesakitan mengampu tangannya yang bengkak dengan dipapah oleh suaminya.

"Kenapa ni?" soal Haji Sakari perlahan.

"Jatuh motosikal," jelas lelaki macam kesal apabila motosikalnya terbabas menyebabkan isterinya jatuh menumpu tangan ke tanah. Sebab itulah tangan isterinya terkehel teruk di bahagian siku.

"Dari mana?" Ngah Ucup pula mencelah kerana lelaki itu tidak segera ke hospital setelah isterinya jatuh motosikal.

"Dari Pasir Panjang," jelas lelaki itu mengeluh pendek.

Disebabkan perempuan itu mengerang sakit, Basir tidak berkecil hati Haji Sakari memberikan perhatian kepadanya. Biarlah Haji Sakari urut siku perempuan itu yang terkehel.

Memang Haji Sakari tidak banyak bercakap. Dia terus memegang tangan perempuan itu hingga terjerit kuat. Apabila Haji Sakari menepuk tiga kali siku perempuan berkenaan, Basir mendengar bunyi berdetup. Hampir setengah jam Haji Sakari mengurut, dia mengambil rotan sepanjang sehasta. Dia meletakkan rotan tersebut di tangan perempuan berkenaan seolah-olah mengukur panjangnya.

Ketika Haji Sakari mengukur tangan perempuan itu dengan rotan, anaknya Juruh berbisik pada Basir mengenai rotan itu yang akan diurutnya tengah malam selepas perempuan itu balik ke rumah. Memang perempuan itu terasa sakit apabila Haji Sakari mengurut rotan berkenaan.

Sebab itu perempuan berkenaan tidak perlu bimbang sekiranya tangannya berdenyut sakit apabila tengah malam. Tahu sangat Junuh mengenai petua ayahnya itu. Memang ayahnya tidak akan mengurut rotan tersebut di situ kerana bimbang perempuan berkenaan tidak  sanggup menahan sakit.

Kalau perempuan itu tidak melibat dia mengurut rotan berkenaan, tentulah sakitnya tidak seberapa. Sudah ramai orang yang terkehel datang menemui ayahnya apabila tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital.

Junuh dapat mengagak asal sahaja ayahnya mengambil rotan tersebut diukur ke bahagian yang terkehel, sudah tentu tulangnya patah. Kalau takat terseliuh urat memadai diurut sahaja dengan minyak hijau yang disediakan.

"Patah agaknya tu," Junuh sengaja mahu menduga sebaik sahaja ayahnya meletakkan semula rotan sepanjang sehasta itu ke lantai.

"Ah, sikit aje tu," sahut Haji Sakari menyuruh lelaki berkenaan ikatkan tangan isterinya ke leher biar dapat diampu kuat. Semasa mereka menuruni tangga untuk balik, Basir mendengar perempuan itu teresak-esak menangis. Memang sakitnya tidak dapat ditahan-tahan. Tetapi dia tidaklah mengerang lagi seperti tatkala naik ke rumah. Sebaik sahaja sikunya berdetap ditepuk tiga kali oleh Haji Sakari, terbayang wajahnya lega.

Sakit di bahagian siku itu tidaklah berdenyut kuat, sekalipun masih menusuk-nusuk ngilu. Memang cemas juga Sirah sewaktu melihat perempuan berkenaan naik dengan mengerang-erang sebelum itu. Tetapi Haji Sakari tidak bimbang apa-apa, seolah-olah dia menerima tetamu biasa sahaja setiap kali orang memberi salam dari tengah halaman.

Apabila Basir menginsut punggung mendekati Haji Sakari, saya memberi salam dari tengah halaman. Terlambat pula saya sampai bersama Kadir Misai dalam perjalanan mahu ke Sitiawan. Sengaja saya mengajak Kadir Misai singgah di rumah Haji Sakari setelah melalui jalan ke Sungai Besar.

Setidak-tidaknya saya berhenti dulu solat isya di situ. Disebabkan saya terus ke bilik air di hujung halaman, tidaklah saya terus naik ke rumah setelah memberi salam. Kadir Misai juga ikut sama ke bilik air mengambil wuduk.

Apabila naik ke rumah saya terus solat setelah diperkenalkan oleh Haji Sakari kepada tetamu nya. Saya tidak peduli sangat urusan mereka, setelah mencapai sejadah di tepi dinding. Memang saya tahu siapa sahaja yang mengunjungi Haji Sakari memang urusannya mahu berubat.

Lainlah saya beberapa kali singgah sekadar mahu menemui orang tua itu sahaja. Memang saya akan singgah di Sungai Besar kalau dalam perjalanan ke Sitiawan melalui Sabak Bernam. Tidak sedap hati pula sekiranya tidak singgah menjengahnya.

"Ustaz, tidur sini ajelah," pelawa Hajah Saamah sebaik sahaja saya selesai solat.

Saya tersengih-sengin sahaja tidak menyahut apa-apa. Memang Haji Sakari tahu saya tidak akan bermalam di mana-mana kalau singgah dalam perjalanan.

"Ah, ustaz tu mana nak tidur di rumah ni," sahut Haji Sakari mengerling saya.

"Sekali-sekali apa salah-nya?" ujar Hajah Saamah mencebek bibir.

"Orang macam ustaz ni, suka tidur dalam kereta," terkekeh-kekeh Kadir Misai bergurau kerana dia tahu saya akan meneruskan perjalanan sekalipun singgah di mana-mana.

"Rasanya, ustaz ni macam pernah jumpa," tiba-tiba sahaja Ngah Ucup mendekati saya. Dia merenung muka saya seolah-olah mahu camkan sangat.

"Ah, masa awak berubat disini dulu, ustaz ada datang," Hajah Saamah mengingatkan.

Tetapi saya tidak ingat sangat sesiapa yang berkunjung ke situ. Manalah saya mahu cam kerana  urusan mereka dengan Haji Sakari tidak babitkan saya. Semasa saya singgah di rumah orang tua itu hanya untuk berihat sahaja.

Dalam masa berbual-bual itulah Sirah tiba-tiba sahaja menendang meja. Hampir sahaja kerusi yang ditolak dengan kaki menimpa suaminya Basir.

"Eh, kenapa pula ni?" Basir terkejut dengan sikap Sirah bertukar marah-marah tidak menentu.

"Mari balik," bentak Sirah menggertap bibir. "Haji Sakari ni bukan nak berubat, dia asyik bercakap dengan ustaz tu aje," katanya macam berkecil hati seolah-olah Haji Sakari tidak ambil peduli sangat mengenai masalah dia.

Tersentak Ngah Ucup apabila Sirah mencerca Haji Sakari dengan tidak ada segan silu. Apa pula kata Haji Sakari disebabkan dia yang membawa Sirah suami isteri ke situ. Tentu tersinggung pula hati orang tua itu. Malu juga Ngah Ucup dengan tindakan sepupunya menuturkan kata-kata yang kesat demikian.

"Apa yang kamu cakapkan ni, Sirah?" lantas Ngah Ucup keraskan suaranya menahan rasa geram yang mendongkol di hati.

"Ngah Ucup pun sama!" Sirah merenung tepat ke muka Ngah Ucup. "Buat apa berubat ke sini, bukannya boleh baik," gerutunya macam meluahkan rasa kesal.

"Tak baik kamu cakap macam tu," semakin serba salah Ngah Ucup dengan kelantangan suara Sirah menuduh demikian.

"Sabar dulu, Ucup," segera Haji Sakari ingatkan lelaki itu supaya tidak berkeras. Dia percaya bukan Sirah yang membentak tidak segan silu di rumah orang, tetapi gangguan yang merasuk dalam dirinya.

Ketika Sirah mula-mula jejak kaki ke rumahnya pun, perempuan itu mengakui dia tidak sedar apa-apa sewaktu suaminya mendapati dia enggan naik ke rumah. Puas dipujuk oleh Basir dia tetap berkeras mahu duduk dalam kereta sahaja.

Hanya dia menyedari Hajah Saamah sahaja memicit-micit tengkuknya mempelawa naik. Hairan juga Sirah kerana dia seolah-olah terlelap di atas kereta sewaktu suaminya dan Ngah Ucup naik ke rumah. Tiba-tiba sahaja dia berasa mengantuk sampai tersandar melelapkan mata.

"Ada gangguan agaknya ni, tuan haji," ujar Kadir Misai mengusap-usap muka. Ketika ini bulu romanya meremang hingga tengkuk bagaikan mengembang. Mudah sahaja Kadir Misai mengalami keadaan demikian asal sahaja berdepan dengan sesiapa sahaja dirasuk gangguan syaitan.

Haji Sakari mengangguk. Kemudian dia menyuruh isterinya ambilkan air sejuk segelas. Segera Hajah Saamah ke dapur lantas bawakan air segelas dihulurkan kepada Haji Sakari.

Tiba-tiba sahaja Haji Sakari hulurkan gelas air itu ke hadapan saya dengan tidak bercakap apa.apa. Dia sekadar memberi isyarat menyuruh saya doakan.

Disebabkan Haji Sakari sendiri mendesak, terpaksa juga saya penuhi kemahuan dia, Dengan tidak membantah apa-apa, lantas saya letakkan tapak tangan di permukaan gelas. Apabila saya bacakan al-Fatihah tiga kali terasa air di dalam gelas mengombak hingga cecah ke tapak tangan saya. Air yang tercecah ke tapak tangan memang panas seolah-olah tengah mendidih di dalam cerek.

"Kenapa, ustaz?" Haji Sakari menepuk bahu saya disebabkan dia melihat saya menggeleng-geleng kepala.

Saya tidak menyahut. Tentu Haji Sakari juga sudah dapat mengagak apa yang alami ketika itu. Memang dia sendiri tahu gangguan yang menyelubungi Sirah semasa perempuan itu suami isteri datang menemui dia. Tetapi dia sengaja rahsiakan apa sahaja daripada Sirah.

Kalau ditanyakan pun kepadanya Haji Sakari sekadar tersenyum sahaja. Dia tidak akan memberitahu apa-apa kerana bimbang akan dituduh bermacam-macam. Bukannya mudah mahu menerangkan perkara yang orang lain tidak melihat sendiri apa sebenarnya berlaku.

Sebab itulah apabila didesak oleh Ngah Ucup, dia sekadar menyuruh cuba sahaja kemenyan yang dibekalkan. Tahu sangat saya mengenai Haji Sakari disebabkan lama berkawan dengannya. Sampai bila pun dia tidak akan memberitahu apa-apa mengenai gangguan yang merasuk Sirah.

"Ada apa, ustaz?" segera Ngah Ucup mendesak tatkala melihat saya tersentak dengan tangan masih menekup permukaan gelas. "Tuan haji ni, sampai bila pun tak mahu dia cakap," ujarnya perlahan kerana menyedari Haji Sakari tidak akan bercakap apa-apa mengenai penyakit yang dihidapi.

Apabila orang datang menemuinya, Haji Sakari sekadar doakan. Perkara jenis penyakit yang dihidapi dia tidak akan memberitahu apa-apa. Dia bukan bomoh yang memahami jenis penyakit yang dihidapi oleh sesiapa sahaja datang menemuinya.

Kalau datang minta doakan, bila-bila dia akan menyanggupi. Tetapi sekiranya minta sembuhkan penyakit memang Haji Sakari menolak. Dia tidak mampu mahu sembuhkan penyakit sesiapa pun.

Lainlah kalau yang datang menemui dia disebabkan terkehel urat. Haji Sakari akan urutkan biar bengkak urat tidak mengangkut angin. Kalau patah tulang pun dia hanya betulkan semula kedudukan tulang itu supaya tidak berselisih.

Selepas itu dia akan menyuruh ke hospital kalau mahukan rawatan secara moden. Tetapi tidak pernah pula orang yang menemuinya ke hospital setelah tulang yang patah dibetulkannya semula. Apabila balik ke rumah tengah malamnya orang itu akan menahan sakit berdenyut-denyut sampai meleleh kencing dalam kain di tempat tidur.

Tetapi sakit berdenyut-denyut itu dalam tempoh setengah jam sahaja. Apabila sakit itu beransur hilang, dia akan tertidur lena sampai pagi. Ketika bangun tidur memang tidak terasa lagi sakit yang berdenyut-denyut di bahagian tulang yang patah itu.

Memang Haji Sakari tidak akan memberitahu apa-apa sekiranya ditanyakan kepada dia mengenai sakit berdenyut-denyut di tengah malam. Tetapi anaknya Junuh akan bukakan juga rahsia. Junuh akan beritahu ketika itulah ayahnya akan mengurut rotan yang diukur ke bahagian yang patah sebelum itu.

Tahu sangat orang yang pernah menemui Haji Sakari ketika mengalami patah tulang. Sepanjang masa menanggung sakit di tengah malam sampai meleleh kencing dalam kain itu, memang terasa tulang yang patah bagaikan diurut kuat. Lama diurut-urut barulah kesakitan itu beransur hilang, langsung ter-tidur nyenyak sampai ke pagi.

"Biarlah ustaz tu cuba dulu, jangan ganggu dia," Haji Sakari bersuara perlahan meminta Ngah Ucup bertenang. Memang Haji Sakari sengaja menyuruh saya cuba doakan sekiranya datang menjengah ke situ. Saya juga tidak membantah apa-apa, kerana banyak pengalamannya yang boleh saya jadikan pedoman. Lagipun dia bukan mahu menguji apa-apa, tetapi sekadar meminta secara ikhlas.

Apabila saya bacakan:

Ya qadim ya daim ya Ahad ya Wahid ya Samad

dengan diulangi seratus kali, tiba-tiba sahaja air di dalam gelas bertukar menjadi merah. Segera Kadir Misai membongkok mengamati ke tapak tangan saya, kerana disangkanya tapak tangan itu luka berdarah.

Lantas saya mencuit Kadir Misai menyuruhnya berundur, kerana tidak perlu bimbangkan apa-apa. Sebenarnya saya tidak menyedari air di dalam gelas sudah merah disimbahi darah. Tetapi saya tahu kocakan air di dalam gelas itu panas laksana tengah mendidih.

"Tangan ustaz berdarah ke?" tegur Ngah Ucup sebaik melihat darah melimpah ke bibir gelas.

"Tak apa, ustaz tahu.apa dia buat," ujar Haji Sakari memegang buah tasbih.

Ketika ini Sirah berdiri menghentakkan kaki ke lantai.ia bercekak pinggang mahu menyepak gelas di bawah tapak tangan saya. Tiba-tiba sahaja dia terkaku tidak dapat bergerak seolah-olah kakinya terlekat di lantai.

"Hah, kenapa tak teruskan?" Haji Sakari semacam mengejek sambil mendongak Sirah tercegat di tengah rumah.

Sirah tidak menyahut. Dia menggeleng-geleng kepala dengan menggenggam tangan erat-erat. Mulutnya terherot-herot bagaikan mahu bersuara, tetapi air liurnya sahaja meleleh di celah bibir.

"Awak ingat boleh main-main dengan ustaz ni!" tersengih-sengih Haji Sakari setelah melihat Sirah terkial-kial mahu melepaskan diri akibat kaki terlekat di lantai.

Hairan juga Basir dengan Ngah Ucup dengan keadaan Sirah tercegat di tengah rumah tidak dapat melangkah. Memang tidak pernah dia melihat kejadian demikian, sekalipun sudah beberapa kali jejak kaki ke rumah Haji Sakari.

Sirah yang tiba-tiba menjadi garang hingga bingkas bangun mahu menyerang saya, berubah menjadi lemah terkial-kial. Macam tidak percaya sahaja Basir apabila melihat isterinya bagaikan berlakon di tengah pentas.

Memang dia bangun juga menyuruh isterinya duduk semula, tetapi segera dihalang oleh Haji Sakari. Tahu sangat Haji Sakari sudah tentu Basir sekadar melihat Sirah tercegat di tengah rumah dengan kaki seolah-olah terlekat di lantai. Kemudian Haji Sakari membacakan:

Izyuho rabbuka ilal malaikati anni ma'akum fasabbitul lazi na-amanu saulqi fi-qulubil lazinakafarur ru'ba fadribu fau-qol a'naqi wasribu minhum kulla bananin.

Apabila dia memukulkan buah tasbih ke belakang tangan saya yang menekup air di dalam gelas, perlahan-lahan Sirah duduk semula. Tubuhnya menjadi lemah longlai lantas rebah ke lantai terbaring dengan menggeliat.

Ketika saya membuka mulut gelas di dalam air yang merah bagaikan bercampur darah itu berapungan serbuk hitam seperti selasih. Tapak tangan saya juga hitam seolah-olah berjelaga akibat serbuk hitam yang banyak terapung di permukaan air.

Segera saya ke bilik air membasuh tangan akibat hitam seperti disinggahi jelaga pelita. Ketika saya mara ke tengah halaman untuk ke bilik air memang diadang oleh tiga lembaga hitam seperti orang India tengah mabuk.

Saya tidak hiraukan mereka yang cuba mendekati saya, tetapi terhuyung-bayang tidak ketahuan. Sebaik sahaja saya mahu masuk ke bilik air lembaga perempuan seperti India itu menolak suaminya yang terhuyung hayang supaya menerkam ke arah saya. Tetapi lelaki itu teragak-agak mahu menerpa.

Apabila saya berpaling ke arahnya lembaga kecil seperti kanak-kanak segera memegang paha ayahnya seperti ketakutan. Saya sendiri tidak tahu sama ada lembaga itu tiga beranak ataupun jelmaan yang cuba mengelirukan. Keadaannya memang sama seperti keluarga India tiga beranak sedang mabuk terhuyung-hayang.

Puas saya merenung mukanya tetapi tidak cam sangat, kerana mukanya seperti buih yang terapung di tengah air. Kadangkala hilang dalam silauan cahaya lampu dari atas rumah.

Setelah menghentakkan tumit tiga kali ke tanah saya kisar kuat-kuat lantas membacakan:

Wa-imma yanza ghannaka minasy-syaitanni nazghtin pasta'iz billahhiinnahu sami'un 'alim.

Tiga lembaga itu semakin terhuyung-hayang dengan air liur melejeh-lejeh di bibirnya. Mereka merungut-rungut tetapi saya tidak memahami biji butirnya. Dalam rungutannya itu memang dia mengerang-erang tidak menentu.

Mereka membongkok-bongkok bagaikan meminta ampun, tetapi terus merungut juga. Apabila saya bacakan surah al-Ikhlas sebelas kali tiga tubuh lembaga itu hancur laksana abuk rokok ditiup angin. Hanya rungutannya sahaja terdengar halus seolah-olah tubuhnya direntap kuat ke dalam gelap malam.

Habis sahaja saya membasuh tangan, cepat-cepat saya naik ke rumah. Ketika ini Sirah sudah pun duduk meneguk kopi yang disediakan oleh Hajah Saamah.

"Saya nak suruh ustaz doakan air tu, biar Cik Sirah ni minum," ujar Haji Sakari sebaik sahaja saya duduk. "Kalau dah campur darah macam mana nak minum?" katanya tersengih-sengih mengerling saya.

Saya juga tersengih-sengih. Puas Ngah Ucup mendesak bertanya, tetapi saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu menerangkan. Kalau Sirah tidak tahu apa yang berlaku ke atas dirinya, masakan saya dan Haji Sakari dapat menjelaskan.


SELESAI