Saturday, May 2, 2015

122. LEMBAGA MANUSIA KEPALA HARIMAU



TIDAK semua amalan sama sahaja kesannya setelah diamalkan sejak bertahun-tahun.  Kadangkala puas duduk bertapa jauh ke tengah hutan lain pula yang dicapai hingga hajat sebenarnya tinggal begitu sahaja.  Memang tidak terniat langsung di hati Tok Sebaluk mahu menjadi kebal tidak lut senjata besi apabila masuk ke hutan mencari gua tempat bertapa
Setelah diberi petua biar beramal dengan bertapa sekadar memakan bertih tujuh butir setiap hari memang Tok sebaluk mahu menjadi pawang besar.  Dia tidak akan berbangga diri sekiranya mampu ubati penyakit siapa sahaja mengidap hingga terkejang berminggu-minggu.
Tahu sangat dia mengenai bapa saudaranya Malim Labih amat dikagumi penduduk-penduduk kampungnya apabila menjadi pawang besar.  Asal sahaja mahu tegakkan rumah di tapak yang baru diratakan tanah nescaya mereka meminta Malim Labih tepung tawar dahulu.  Tatkala tiang rumah ditegakkan, Malim Labih akan letakkan kain putih di kepala tiang setelah ditepung tawar.
Mahu menebang tebas hutan sewaktu meneroka pun mereka akan meminta Malim Labih bakarkan kemenyan.  Kalau tidak diberitahu Malim Labih nescaya banyak nahas menimpa mereka yang sama-sama meneroka.  Manalah tahu pokok lima enam pemeluk yang ditebang akan menimpa kepala sampai remuk tidak bersisa.
Memang Malim Labih diperlukan mereka kalau mulakan kerja-kerja gotong royong di tengah kampung.  Siapa lagi diharapkan kalau bukan pawang besar yang tahu fasal gerak pelangkah apabila mahu memulakan kerja?  Tetapi Malim Labih ditemui mereka tersandar di perdu pokok dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum diusung balik ke rumah.
Siapa pun tidak mengetahui punca Malim Labih tidak sedarkan diri semasa masuk ke hutan berburu seorang diri.  Setelah seharian Malim Labih tidak balik ke rumah, lantas Tok Sebaluk menjejaknya sampai ke pinggir hutan.  Terkejut benar Tok Sebaluk bersama rakan-rakannya apabila menemui Malim Labih tersandar di perdu pokok dengan memeluk anak kayu dipangkas panjang sedepa.
Mulutnya berbuih-buih dengan mendengus-dengus laksana kerbau disembelih leher.  Cepat-cepat mereka usung Malim Labih balik ke rumah dalam keadaan tidak boleh bercakap sepatah pun.  Hingga dia menutup mata rapat-rapat, tidak seorang pun tahu sebab musabab Malim Labih ditimpa bencana demikian.  Namun mereka tetap menuduh tentu Malim Labih diserbu puaka hutan sampai dia tidak dapat bertahan.
Sebab itu Tok Sebaluk mahu menguji kebolehan dirinya apabila dia mengambil keputusan bertapa ke tengah hutan.  Sengaja dia mencari gua batu di celah bukit biar ditemui manusia atau binatang buas yang melintas.  Di situ dia akan memakan tujuh butir bertih sahaja setiap hari.
Lama dia terperosok di celah gua batu di kaki bukit, hingga tidak tahu sama ada malam atau siang bertukar waktu dia tetap tidak berganjak ke mana.  Di situ dia dijengah jelmaan bapa saudaranya Malim Labih yang mengajaknya menebang pokok nibung tunggal di tengah air.  Terasa pedih juga tapak tangan Tok Sebaluk apabila ditusuk duri-duri nibung tatkala menebang dengan ditetak belakang tangan sahaja.
Puas dia mencuba barulah belakang tapak tangannya boleh memangkas perdu pokok nibung yang keras beruyung.  Setelah pokok nibung tumbang ditetak dengan belakang tapak tangannya, segera Malim Labih memecah ruyung dengan kukunya.  Mudah sahaja Malim Labih mengumpil ruyung nibung dengan kuku bagaikan merentap batang keladi tengah becah.
Dia sendiri tusukkan ruyung nibung sebesar ketul beras yang diumpil dengan kukunya ke tengah tulang belikat Tok Sebaluk.  Memang Tok Sebaluk tidak membantah apa-apa tatkala jelmaan bapa saudranya itu tercegat di depannya.  Saya juga hati Tok Sebaluk apabila diberitahu oleh bapa saudaranya mengenai kejadian dia terperangkap di tengah hutan.
Malim Labih beritahu Tok Sebaluk mengenai rusa jantan yang dijejakinya masuk ke tengah belukar ditumbuhi rumpun nibung beribu-ribu batang.  Sengaja rusa jantan berkenaan bertahan di situ menyebabkan Malim Labih tidak dapat menyusup masuk.  Sebab itu dia segera memangkas anak kayu sebesar lengan dikerat panjang sedepa.
Setelah mengepung rusa jantan supaya tidak terlepas dari kawasan belukar rumpun nibung, lantas dia bersandar di perdu pokok leban.  Malim Labih memeluk anak kayu yang dipangkasnya terus menyeru pendampingnya.  Tetapi pendampingnya tidak menjelma akibat rumpun-rumpun nibung terlalu tebal.  Sekelip mata sahaja hutan nibung tumbuh meliar dengan beribu-ribu ekor rusa jantan berkeliaran di situ.
Asal sahaja rusa-rusa jantan itu menggesel tubuh ke perdu pokok nibung nescaya pucuknya akan melentur ke bumi.  Tidak bertangguh rusa-rusa jantan berkenaan meragut pucuk-pucuk nibung berkenaan seolah-olah mengejek Malim Labih.  Disebabkan terlalu marah, Malim Labih berkeras mahu bertahan di situ.  Dia akan serbu pokok-pokok nibung berkenaan biar rusa-rusa jantan yang bertahan di situ tidak dapat lari ke mana.
“Aku dah kekal di sini, Sebaluk!”  ujar Malim Labih perlahan dengan linangan air mata setelah mengambil keputusan tidak mahu meninggalkan kawasan belukar rumpun nibung.  Dia tetap berdendam dengan rusa jantan yangh berlindung di situ hingga bertahan di sekeliling kawasan rumpun biar tidak seekor pun rusa-rusa berkenaan lepas membolos diri.
“Kenapa mamak tak mahu balik,”  tutur Tok Sebaluk kesal dengan keputusan bapa saudarnaya.
“Buat apa balik, kalau aku diperolok-olokkan!”  sahut Malim Labih menahan keharuan yang menusuk di hatinya.  Dia terpaksa meninggalkan anak isteri semata-mata mahu tunjukkan amalannya tidak boleh ditewaskan oleh sesiapa pun.
“Tapi, mamak tewas kepada puaka hutan,”  senjata Tok Sebaluk mengejeknya disebabkan Malim Labih terpedaya dengan rumpun nibung di tengah hutan.
“Tak sama yang zahir dengan yang batin!”  tersenyum Malim Labih apabila diejek demikian.  “Kamu hanya tahu yang  zahir sahaja, sebab itu kamu kata aku tewas,”  jelasnya macam menyindir Tok Sebaluk.
“Yang batin hanya dalam pengetahuan Allah,”  beritahu Tok Sebaluk kerana menyedari kejadian yang manimpa bapa saudaranya memang geruh yang tidak dapat dielakkan.
“Jadi, kamu tak mahu mencarinya?”  lantas Malim Labih ketawa terkekeh-kekeh mengerling Tok Sebaluk.
Biarlah anak saudaranya sekadar melihat dia tersandar di perdu pokok leban yang mulut berbuih-buih.  Manalah Tok Sebaluk tahu mengenai tubuh Malim Labih yang tersandar dengan mendengus-dengus seperti rusa disembelih.  Sebab itu dia mengajak kawan-kawannya mengusung tubuh Malim Labih balik ke rumah.
Dalam masa beberapa jam sahaja Malim Labih dibawa balik ke rumah dalam keadaan terkejang tidak sedarkan diri, nafasnya terhenti berdetak.  Seisi kampung tahu memang Malim Labih meninggal dunia setelah ditemui pingsan di pinggir hutan.  Manalah mereka tahu mengenai Malim Labih tengah bertahan di tengah hutan nibung melawan puaka hutan yang mahu mengujinya.
Setelah dikebumikan berturut-turut malam juga seisi kampung mendengar laugan Malim Labih bersama puputan angin berdesir menerjah daun-daun pokok.  Berulang kali dia mendesak supaya kuburnya digali semula, tetapi siapa pun tidak berani lakukan.  Sebab itu mereka tahu pawang besar seperti Malim Labih tidak akan menyerah kalah sekalipun ditemui terkejang tidak sedarkan diri.
Orang-orang kampung menuduh pawang besar yang mati tidak akan sama  dengan keluarga mereka.  Kadangkala mereka menuduh pawang besar juga boleh menjelma menjadi harimau setelah meninggal dunia.  Sebab itu mereka tidak hairan apa-apa tatkala mendengar laungan Malim Labih berturut-turut malam selepas dia dikebumikan.  Tentu pawang besar seperti Malim Labih masih tinggalkan amalannya.  Masakan amalan pawang besar tidak didampingi oleh akuan yang sentiasa mengiringinya ke mana sahaja.  Siapa pun tidak boleh melihat dengan mata kasar akuan yang mendampingi pawang besar seperti Malim Labih.
Apabila dia meninggal dunia sudah tentu akuan tersebut berkeliaran mencari tuan yang lain.  Siapa lagi yang menjadi tumpuan kalau bukan keluarga Malim Labih sendiri.  Jiran-jiran seisi kampung yang desak Tok Sebaluk menerima akuan yang ditinggalkan oleh Malim Labih itu, asal sahaja laungannya berturut-turut malam itu menjadi reda.
Tetapi laungan Malim Labih bersama puputan angin malam itu beransur-ansur hilang selepas 44 hari dia dikebumikan.  Tidak lama selepas itulah Tok Sebaluk diganggu mimpi mengenai Malim Labih tengah beramal semasa dia tersandar di perdu pokok leban.  Kalau Tok Sebaluk bersama rakan-rakannya tidak usung dia balik ke rumah nescaya Malim Labih tidak terkejang kaku.
Kesal juga Malim Labih apabila dirinya diusung balik ke rumah tatkala dia tengah bergelut demikian.  Dia ingatkan Tok Sebaluk mengenai dirinya yang zahir sahaja mereka usung balik ke rumah, manakala yang tidak zahir tertinggal di tengah hutan pokok nibung.
Apabila Tok Sebaluk masuk ke hutan bertapa di celah gua di kaki bukit bukannya kasad dia mahu bertemu jelmaan bapa saudaranya Malim Labih.  Dia sekadar mahukan amalkan petua yang diwarisi daripada nenek moyangnya.  Malim Labih juga memang amalkan petua yang sama sejak turun temurun lagi.  Sebab itu dia sengaja asingkan diri bertapa di celah gua, biar tidak ditemui sesiapa pun sampai berbulan-bulan.
Tatkala bertapa memakan tujuh butir bertih sehari, memang dia tidak boleh bercakap dengan sesiapa pun.  Tubuh badan juga tidak boleh bergerak sekalipun bersatu menjadi batu di celah gua berkenaan.  Dia sudah nekad asingkan diri di tengah hutan sekalipun tidak dapat balik semula ke rumah menemui sanak saudara.  Memang Tok Sebaluk tahu apabila masuk ke hutan bertapa dia sudah membuat keputusan meninggalkan sanak saudara sampai hilang tidak dapat ditemui lagi.
Sewaktu Tok Sebaluk balik semula ke kampung halaman, memang sisi kampung terkejut kerana lebih tujuh tahun dia menghilang.  Tiba-tiba sahaja Tok Sebaluk yang disangka sudah mati di tengah hutan menjongol muka di tengah kampung.  Memang sanak saudara juga tidak menyangka Tok Sebaluk balik semula menemui mereka.
“Perkara yang zahir jangan disamakan dengan perkara yang batin,”  jelas Tok Sebaluk apabila didesak mengenai kehilangannya lebih tujuh tahun.  Tetapi Tok Sebaluk sekadar menyangka dia bertapa di celah gua batu di kaki bukit itu hanya tujuh hari sahaja.  Tatkala dia masuk ke hutan bertapa Tok Sebaluk hanya membawa bekalan tujuh butir bertih sehari itu semata-mata untuk tempoh tujuh hari sahaja.  Manalah dia tahu sama ada bekalan bertihnya sudah habis atau pun belum.
Siapa pun tidak akan percaya dia sempat menemui bapa saudaranya Malim Labih di tengah hutan pokok-pokok nibung yang luas.  Di situ rusa berkeliaran memakan pucuk nibung.  Asal sahaja dia mahu menjamah daging rusa,  Malim Labih akan mencekak tengkuk rusa yang dia berkenan.
Sebab itu Tok Sebaluk tidak akan terpengaruh mahu meratah daging rusa panggang yang disogok bapa saudaranya Malim Labih.  Biarlah dia menanggung lapar sepanjang hari, namun Tok Sebaluk tidak akan melanggar pantang larang semasa bertapa.  Dia mesti menjamah tujuh butir bertih sekalipun di depannya Malim Labih yang mendesak memakan daging rusa panggang.
Dia tidak berganjak ke mana-mana di celah gua batu berkenaan tatkala jelmaan bapa saudaranya mengajak dia ke hutan dipernuhi rumpun nibung menjolak pucuk keawan. Tentu mereka yang melintasi tempat dia bertapa akan terkejut sekiranya melihat rumput dan lumut sudah bersatu dengan tubuhnya.  Tahu sangat  Tok Sebaluk keadaan dirinya ketika itu sudah dibaluti batu dan tanah di tubir kaki bukit. 
Hinggalah kilat memancar dengan petir bergema menyambar gua batu tempat dia berlindung.  Dia terpelanting hingga terhumban ke kaki bukit sebaik sahaja gua batu berkecai disambar petir bergema.  Ketika inilah Tok Sebaluk menyedari dia tidak boleh meneruskan bertapa lagi di situ.
“Tujuh tahun kamu tak balik ke rumah,”  beritahu adiknya Ucu Kimat bercampur hiba menatap wajah abangnya Tok Sebaluk.
“Aku rasakan hanya tujuh hari sahaja,” ujar Tok Sebaluk tersengih-sengih apabila menyedari terlalu lama dia bertapa di celah gua batu berkenaan.
“Kami semua menyangka kamu dah tak pulang lagi,”  Ucu Kimat meluahkan rasa yang terbuku di hatinya.
“Ajal maut bukan kita menentukan,”  tersengih-sengih Tok Sebaluk ingatkan adiknya supaya tidak ikutkan sangat perasaan yang semakin sebak.
Sebab itu dia ingatkan sanak saudaranya mengenai kejadian yang menimpa Malim Labih.  Sekiranya mereka bersabar dengan keadaan sewaktu menemui Malim Labih tersandar tidak sedarkan diri di perdu pokok leban, tentu orang-orang kampung tidak kebumikan mayatnya.  Zahirnya memang mereka melihat Malim Labih mengerang-erang di perdu pokok laksana mendengus seperi rusa disembelih leher.
Manalah mereka tahu ketika itu Malim Labih bertahan di tengah hutan pokok nibung di hutan belantara.  Dia tidak mahu rusa-rusa jantan yang berkeliaran di situ membolos keluar.  Dalam masa dia asyik mengawasi rusa-rusa yang berkeliaran di kawasan hutan nibung itu,  Malim Labih tidak dapat lagi mencari lorong keluar dari tempat tersebut.  Puas dia berpusing-pusing memerhati lorong keluar tidak juga bertemu, terpaksalah Malim Labih mengambil keputusan berkampung di situ.
Hinggalah dia melihat anak saudaranya Tok Sebaluk mendirikan pondok di pinggir kawasan tersebut.  Tidak bertangguh dia mengajak Tok sebaluk ikut sama berkunjung ke tempat perkampungannya.  Bangga sangat dia dapat tunjukkan kepada Tok Sebaluk perkampungan dia di tengah hutan rumpun nibung, setelah orang-orang kampung menutup lorong dia mahu keluar.
Berturut-turut malam dia melaung dari tengah hutan rumpun nibung itu supaya orang-orang kampung bukakan semula lorong yang sudah ditutup rapat.  Memang dia sendiri tidak mampu membukakan lorong berkenaan, kerana mereka yang zahir sahaja mampu  lakukan.  Manalah sama perkara yang zahir dengan perkara yang bukan zahir kalau mahu berkeras membuat keputusan sendiri.
“Kami tahu fasal kamu bertapa, tapi kenapa lama sangat!”  bisik Ucu Kimat sengaja mahu mengetahui rahsia abangnya itu.
“Bertapa bukan macam memanggul tajak masa musim turun ke sawah,”  beritahu Tok Sebaluk perlahan menatap muka mereka yang berkumpul ramai di tengah serambi rumahnya.
Memang siapa pun tidak akan percaya mengenai dirinya lama di tempat Malim Labih berkampung.  Berulang alik dia berkunjung ke situ hingga Malim Labih tusukkan buntat nibung sebesar ketul beras ke tengah tulang belikatnya.  Setelah ditusukkan buntat nibung itu ke tubuhnya Tok Sebaluk tahu kulitnya menjadi keras laksana ruyung nibung.
Hingga dia terpelanting keluar dari celah batu gua, baru Tok Sebaluk menyedari lama dia bertapa di situ.  Tidak siapa pun tercegat di sisinya hatta bapa saudaranya arwah Malim Labih.  Dia tidak pernah jejak kaki di kawasan hutan nibung dengan rusa-rusa berkeliaran meragut pucuk.
“Emmm, tak sama yang zahir dengan yang batin!”  keluh Tok Sebaluk apabila kenang dia dibawa berkeliling hutan rimbun pokok nibung bersama Malim Labih.  Rusa-rusa yang berkeliaran akan datng menyerah diri apabila digamit oleh Malim Labih supaya datang melutut.
Selepas dia balik ke tengah kampung, memang Tok Sebaluk satu-satunya diharapkan mereka menjadi pawang besar.  Siapa lagi boleh menjadi pawang besar menggantikan Malim Labih, kalau bukan Tok Sebaluk yang lama bertapa di tengah hutan.  Mereka tahu tentu tubuh badan Tok Sebaluk juga sudah ditumbuhi lumut dan anak-anak kayu semasa bertapa di celah batu.  Dia akan menjadi batu di situ selagi tidak disambar petir hingga gua tempat dia bertapa pecah berkecai.
Tidak lama selepas Tok Sebaluk balik ke kampung halamannya, seisi kampung menjadi kelam kabut diganggu harimau jelmaan.  Selang dua malam sekali lembu di kandang akan diheret ke tepi hutan.  Apabila dijejaki bangkai lembu yang ditinggalkan mereka tidak melihat jejak kaki harimau di mana-mana.  Tetapi kesan bangkai lembu yang ditinggalkan memang dikerkah harimau ganas menyerbu dari hutan.
Apabila diberitahu mengenai kejadian kampung mereka diganggu harimau jadian, Tok Sebaluk sekadar mengertap bibir sahaja.  Dia merasa dirinya seolah-olah dicabar hingga musuh boleh masuk menceroboh.  Harimau jadian yang mengganas tentu mahu menguji dirinya semenjak balik dari bertapa selama tujuh tahun.
Kenapa harimau jadian berkenaan tidak mengganggu semasa dia tidak bertapa ke tengah hutan?  Selama dia menghilangkan diri dari kampung halaman memang tidak ada gangguan di mana-mana.  Bagaimana pula harimau jadian tersebut menjelma sebaik sahaja dia balik jejak kaki ke kampung halaman.
“Siapa yang berani tunjuk jantan?”  gerutu Tok Sebaluk menelan keluhan pendek sebaik sahaja diberitahu mengenai gangguan di kampung mereka.
“Dah banyak lembu ternak kita dikerkah harimau!”  jelas jiran yang kecewa apabila lembu jantan tengah naik badan diheret harimau ke tepi hutan.  Di situ bangkai lembu ditinggalkan tergolek dengan isi perutnya habis dikerubung sampai terburai.
“Kalau harimau di hutan, akan aku ajar,”  tutur Tok Sebaluk menyimpan dendam yang membara.  “Tapi, kalau harimau jadian akan ku tambat lehernya!”  tegasnya macam memberi jaminan kepada orang-orang kampung.
“Harimau jadian tidakkah menceroboh masuk ke rumah, Tok?”  bimbang juga jiran-jiran sekiranya harimau berkenaan akan membolos masuk ke rumah sekirannya tidak dihalang.
“Biar dia menceroboh masuk ke rumah, aku nak tengok jantannya!”  Tok Sebaluk mengusap-usap tapak tangan ke muka.  Ketika ini mereka yang berkumpul di rumahnya dapat melihat muka Tok Sebaluk mecam diselaputi cahaya api yang membara.
“Kita berkawal seluruh kampung, Tok.”  Salah seorang daripada jiran mendesak supaya setiap orang berjaga-jaga sepanjang malam.
“Tak payah, biar aku aje tengok pandainya!”  sahut Tok Sebaluk meninjau-ninjau penumbuk ke kepala lututnya melepaskan rasa marah yang mendongkol.
Memang Tok Sebaluk tidak memerlukan bantuan sesiapa pun, apabila dia menyusup di tengah kegelapan malam.  Apabila susuk nibung sebesar ketul beras menjadi buntat bergerak-gerak di saluran uratnya, Tok Sebaluk mula dapat mencium bau hamis bulu harimau terhendap-hendap mencari mangsa.
Tatkala dia merasa buntat nibung di dalam tubuhnya bergerak pantas, Tok Sebaluk membiarkan berpuluh-puluh rumpun nibung tumbuh di merata kampung.  Dalam kegelapan malam itu dia nampak seekor harimau bergerak terlangah-langah menyondol perdu rumpun nibung.  Apabila melihat sebahagian tubuh harimau sama macam manusia melangkah terjengket-jengket segera Tok Sebaluk menyeru.
Besi yang tumpul yang telan, besi yang bernyata tidak berisi, kehendak lawan lawan diriku, kerana aku tahu asal kau jadi, bukat kalbu baku datang dari hak, aku pun datang dari hak, tempat permulaan kita tempat kediaman kita, di dalam kalimah kita bersaksi dengan kalimah…
Semasa dia menghambur tinggi sampai ke pucuk pokok nibung, Tok Sebaluk nampak harimau yang terlangah-langah cuba menghambur juga.  Tetapi lompatan harimau tidak sampai sedepa, dengan kakinya terketar-ketar tidak mampu bergerak.  Bahagian pinggang harimau masih kekal tubuh manusia hingga ke kaki menyebabkan payah sangat ia mahu bergerak.
Hanya bahagian pinggang sampai ke kepala sahaja bertukar menjadi harimau tergeleng-geleng kepala.  Selagi tubuhnya tidak habis bertukar menjelma menjadi harimau nescaya tenaganya tidak segagah mana.  Ia tidak mampu mengerkah tengkuk lembu ternak di dalam kandang, apatah lagi mahu mengheret sampai ke tepi hutan.
Tetapi mengerkah tengkuk lembu ternak tidak penting sangat kepadanya.  Apabila dia menjelma menjadi harimau sudah tentu mahu menguji siapa yang berpengalaman di dalam kampung mampu menyekat kebolehan dirinya.  Bila-bila dia sanggup menguji siapa sahaja menjadi pawang besar kalau tidak mahu tunduk kepadanya.  Tahu sangat dia seisi kampung tidak akan membantah apa sahaja kemahuan pawang besar yang menentukan apa sahaja keputusan di dalam kampung.
Sebab itu pawang besar mesti diuji.  Pawang besar juga mesti tunduk kepada kemahuan dia sekiranya mahu menguasai orang-orang kampung.  Setelah pawang besar dapat ditundukkan nescaya dia satu-satunya yang berkuasa di situ.  Seisi kampung akan mematuhi apa sahaja kemahuannya.
“Kalau kau mahu menguji aku, memang kamu mencari geruh!”  bentak Tok Sebaluk setelah keadaan harimau jadian terkemamar tidak keruan.  Tubuhnya menjadi lemah tidak bertenaga setelah tidak dapat memnjelma sepenuhnya menjadi harimau garang mahu menerkam mangsa.
“Belum tahu lagi siapa ditimpa geruh, Tok Sebaluk,”  sahut harimau jadian terketar-ketar mahu menghambur tinggi.  Dia menjadi keliru disebabkan merata tempat rumpun nibung tumbuh hingga tidak tahu jalan membolos keluar.
“Garuh aku bukan pada taring kamu!”  tegas Tok Sebaluk terus melompat ke hadapan harimau jadian tersebut.
“Kamu berani kerana pakai buntat nibung, Tok Sebaluk!”  jerkah harimau jadian menyeringai taring mahu melepaskan geram.  Tahu sangat dia di saat demikain tenaganya tidak seberapa.  Lompatannya juga tidak gagah mahu menghambur tinggi menewaskan lawan.
“Habis, kamu fikir diri kamu berani kerana tenaga nasi aje?”  lantas Tok Sebaluk mengejek lawan yang sengaja mahu mengujinya.
“Kalau kudrat nasi aje, kamu akan tewas Tok Sebaluk!”  harimau jadian tersebut mahu menyakiti hati Tok Sebaluk.
“Kamu pun kalau kudrat nasi aje tak sempat nak melangkah ke sini,”  tahu sangat Tok Sebaluk tujuan harimau jadian itu mahu memperolok-olokkan dirinya.  Sebab itu dia akan cemati dengan kayu tas yang sudah sedia di tangannya.
Sebaik sahaja melihat kayu tas di tangan Tok Sebaluk, seluruh tubuh harimau jantan menjadi lemah tidak bermaya.  Bukan takat langkahnya sahaja goyah, gerak badannya juga terketar-ketar.  Dia cubha berpatah balik ke belakang mencari jalan keluar mahu melarikan diri.  Tetapi hutan nibung mengelirukan pandangan hingga tidak kelihatan ruang mahu memboloskan diri.
Kemana sahaja dia berundur nescaya rumpun nibung menunggu di mana-mana.  Merata tempat di penuhi dengan rumpun-rumpun nibung yang terlalu banyak.  Di situ dia tersesat meraba-raba tidak menemui jalan keluar langsung.  Kalau mahu menghambur tinggi pun tenaganya tidak mampu melonjak kuat.
Ketika ini harimau berkenaan terkebil-kebil mata sahaja menunggu kemaraan Tok sebaluk.  Dia tidak berdaya mahu mengelak apabila dicemat dengan kayu tas hingga berbirat pada dahi.  Menggeleng-geleng kepala harimau tersebut menahan kesakitan akibat dahinya dicemat kuat dengan kayu tas.  Kalau tenaganya gagah memang dia akan menerkam tidak bertangguh.
Tiga kali dicemat oleh Tok Sebaluk, harimau jadian itu lantas bergolek ke tanah menahan kesakitan.  Beberapa lama dia menggelepar di tanah tenaganya bertambah lemah.  Harimau tersebut terbaring tidak bergerak apa-apa semasa lehernya diikat dengan tali akar lantas diikat ke perdu pokok.
Pagi-paginya sewaktu embun masih lembab, Ucu Kimat terkejut sewaktu menuruni tangga melihat abang iparnya Jumir Bauk terbaring di tengah halaman dengan lehernya ditanjul tali akar.  Jumir Bauk termengah-mengah sahaja disebabkan tali tersebut diikatkan ke perdu pokok kelapa.
“Kenapa kamu tidur di sini?”  Ucu Kimat mencuit bahu abang iparnya yang terpinga-pinga tidak menentu.
“Rasanya aku tidur di rumah, macam mana pula tergolek di tengah halaman!”  gerutu Jumir Bauk menyembunyikan rahsia dirinya.  Memang dia tahu Tok Sebaluk yang menyebabkan dia terbaring di situ dengan leher ditanjul tali akar.
“Takkan tidur di rumah boleh sampai ke tengah halaman,”  ujar Ucu Kimat tersengih-sengih mengerling Jumir Bauk.  “Agaknya kamu mengigau hingga berjalan turun dari rumah,”  geli juga hati Ucu Kimat apabila kenang abang iparnya mengigau lantas bangun turun ke tengah halaman.
“Boleh jadi aku mengigau,”  keluh Jumir Bauk mendengus perlahan dengan menyimpan rasa dendam di hatinya.
“Kalau buat silap, cukuplah jangan ulang lagi!”  sengaja Tok Sebaluk ingatkan lelaki berkenaan yang mahu menguji dirinya.
Tertunduk Jumir Bauk apabila disindir demikian.  Bimbang juga dia sekiranya rahsia dirinya diberitahu oleh Tok Sebaluk kepada penduduk-penduduk kampung.  Tentu mereka akan tahu rahsia dirinya bertukar menjelma menjadi harimau jadian hingga membaham daging lembu mentah.
Kadangkala loya juga tekaknya apabila kenang terpaksa mengerkah tengkuk lembu dengan darah membuak-buak.  Saat ini Jumir Bauk merasakan dirinya terlalu kecil laksana tikus bersembunyi di dalam telinga harimau.  Setiap kali harimau berkenaan menerkam mangsa, memang dia sendiri terasa menghambur tinggi.  Asal sahaja harimau berkenaan membaham daging mentah, Jumir Bauk sendiri merasa dia terbongkok-bongkok mengerkah sama.
Sebab itu dia dapat merasakan darah lembu yang tergolek tatkala taring mengerkah kuat.  Dia bersatu dangan tubuh harimau jadian yang menjelma sebaik sahaja dibakar kemenyan.  Kalau dia tidak membakar kemenyan menyeru harimau jadian itu menjelma nescaya bayangan harimau tersebut tercangkung di tengah rumah.  Tentu isterinya akan terjerit-jerit ketakutan tatkala melihat harimau besar tercangkung menunggu mangsa.
Bukan mudah mahu buangkan amalan yang telah diamalkan sejak bertahun-tahun.  Sudah lama Jumir Bauk bernekad mahu amalkan pengering taring harimau, supaya tidak diganggu binatang buas apabila masuk ke hutan mencari rotan, damar atau manau.  Masakan dia mahu membuang pengering taring harimau berkenaan, setelah bersusah payah melalui ujian yang mencabar kesungguhannya.
Dia diminta masuk ke hutan tatkala senja mula mengepak dengan berbekalkan rotan sega panjang sehasta.  Sebaik sahaja jejak kaki di pinggir hutan Jumir Bauk sudah diterpa harimau belang yang menunggu di sebalik belukar.  Jumir Bauk melihat ekor harimau berkenaan masuk ke bawah perut bersiap sedia untuk menerkam.  Saat ini dia terpaksa bertahan dengan menggenggam erat-erat rotan sega panjang sehasta.
Sebelum harimau berkenaan menerkam Jumir Bauk sempat menyeru perlahan:   
Huk insan jurbatuha, wabillahhi wabillahhi wabillahhi, hai nanar putih engkau bersifat nur, aku bersifat alif, kandang aku dalam kandung kalimah hu….
Apabila dia mengibas-ngibas rotan sega panjang sehasta itu tiga kali, harimau berkenaan menyeringaikan taring terus meniarap dengan mendongakkan kepala.  Jumir Bauk mara kehadapan lantas mencemat tigha kali kepala harimau itu menyebabkan binatang tersebut tergeleng-geleng menyerah kalah.
Setelah diusap-usap kepalanya oleh Jumir Bauk, segera harimau itu bingkas bangun melompat masuk ke tengah belukar.  Tidak bertangguh Jumir Bauk mengikuti jejak harimau itu hingga sampai ke tengah belukar resam.  Langkah Jumir Bauk terhenti sewaktu dia melihat di tengah belukar resam itu satu lembaga manusia berkepala harimau tercegat menunggunya.
Tersengih-sengih lembaga manusia berkepala harimau itu apabila melihat Jumir Bauk melibas-libas rotan sega panjang sehasta di tangannya.  Tetapi Jumir Bauk tidak bimbang apa selagi dia cekal menghadapi dugaan yang demikian mencabar.  Sudah berkali-kali diingatkan oleh gurunya mengenai dugaan yang perlu dilalui sekiranya dia berkeras sangat mahukan amalan pengering taring harimau itu.
“Kamu nak pukul aku dengan rotan tu, Jumir,”  terkejut juga Jumir Bauk apabila lembaga berkenaan mengejeknya.
“Siapa saja menghalang aku pukul!”  tegas Jumir Bauk tidak gentar berhadapan dengan lembaga tersebut.
“Aku bukan nak haling kamu,”  tersengih-sengih lembaga itu mengerling Jumir Bauk dengan mata melingas-lingas.
“Kenapa kau tercegat di situ?”  Jumir Bauk bersiap sedia mahu menyerbu ke hadapan, tetapi dia tidak perlu terburu-buru.  Sebab itu dia menunggu sahaja sekiranya lembaga itu mahu menyerangnya terlebih dahulu.
“Aku nak membantu kamu,”  beritahu lembaga itu ramah seolah-olah memujuk Jumir Bauk supaya bertenang.
“Macam mana aku nak percayakan kamu?”  sahut Jumir Bauk tetap berwaspada dengan dugaan yang dihadapinya ketika itu.
Bukan mudah mahu amalkan demikian kalau tidak cekal menghadapi dugaan.  Kalau dia tidak berwaspada nescaya mudah ditewaskan.  Padahnya tentu dia sendiri akan menjadi tidak siuman apabila diganggu berterusan oleh lembaga berkenaan.  Tetapi Jumir Bauk nekad mematuhi apa sahaja petua yang ditunjukkan oleh gurunya selagi dia memegang rotan sega panjang sehasta itu.
Tatkala lembaga berkepala harimau itu mara mendekatinya tidak bertangguh Jumir Bauk mencemat dengan rotan sega panjang sehasta.  Sekaligus kesan berbirat merah timbul berbekas di muka lembaga tersebut.  Menyeringai lembaga itu akibat kesakitan dicamat kuat.
Kemudian Jumir Bauk mengisar tumitnya ke tanah dengan menyeru:
Di kanan uri di kiri tembuni, di hadapan tetuban di belakang darah, kudus kidam kafar berjal, tegak aku seperti alif, berdiri aku seperti zat, kandang kandung aku dalam kalimah, hu…
Tersenyum lembaga berkepala harimau itu lantas memberi isyarat supaya Jumir Bauk bertenang.  Perlahan-lahan harimau berkenaan menjadi bayang-bayang laksana asap yang hilang dipuput angin.  Sebaik sahaja lembaga berkepala harimau itu hilang, terkejut Jumir Bauk apabila dilihatnya gurunya tercegat di situ.
“Memang kamu berani, Jumir,”  lantas gurunya menepuk-nepuk bahu Jumir Bauk yang terasa sebak dada sebaik sahaja melihat gurunya menjelma menjadi lembaga manusia berkepala harimau.
“Maafkan saya tok guru,”  segera Jumir Bauk memeluk leher gurunya kerana merasa bersalah mencemat dengan rotan panjang sehasta itu.
“Hah, itu memang ujian yang mesti kau tempuh,”  bisik gurunya ingatkan dia mengenai amalan yang mahu diamalkannya.
“Tapi saya telah memukul tok guru!”  jelas Jumir Bauk kesal apabila terpaksa bertindak kasar.
“Beramal memang macam itu, Jumir,”  ujar gurunya perlahan tersengih-sengih mengusap-usap kepala Jumir Bauk.  “Tapi kau mesti ingat, amalan macam ini bukan nak menunjuk-nunjuk,”  tegas gurunya memberi amaran supaya tidak menguiji amalan orang lain dengan kelebihan yang dimiliki.
“Saya tahu, kita beramal untuk pertahankan diri aje,”  Jumir Bauk memberi pengakuan tiedak akan melanggar amanat gurunya.
“Tak semua amalan boleh bertahan, Jumir,”  di tengah kesamaran senja itu gurunya masih tetap berpesan.  “Kamu tak boleh melawan buntat nibung!”  belum sempat dia bertanya apa-apa jelmaan gurunya hilang bersama kesamaran senja.
Dia tahu di hadapannya sekadar jelmaan gurunya sahaja.  Sebab itu Jumir Bauk perlu balik semula ke tengah kampung sekirannya mahu bertanyakan apa pun mengenai pengalaman yang dilalui semasa masuk ke hutan tatkala senja mengepak.  Tetapi terkejut benar Jumir Bauk apabila diberitahu gurunya tidak tahu langsung mengenai lembaga manusika berkepala harimau itu.
Memang gurunya tidak menjelma menjadi manusia berkepala harimau yang ditemui oleh Jumir Bauk di tengah belukar resam.  Sebab itu gurunya syak Jumir Bauk terperangkap amalan syaitan yang menjadikan dirinya harimau jadian.  Apabila gurunya mendesak dia buangkan sahaja amalan tersebut, tiba-tiba sahaja gurunya ditemui terkejang mati di tengah rumah.  Seluruh badan calar balar laksana dikerkah kuku harimau.
Sebaik sahaja Tok Sebaluk yang menghilang selama tujuh tahun balik semula ke kampung, memang Jumir Bauk seringkali merasa bersebar-debar hati.  Setiap malam tidurnya menjadi gelisah tidak menentu.  Asal sahaja dia terlelap nescaya Jumir bauk berasa seolah-olah dia duduk di dalam telinga harimau.  Dia dibawa menghambur ke mana sahaja dengan tidak dapat menghalang apa-apa.
Jumir Bauk melihat sendiri harimau berkenaan mengerkah lembu ternak di dalam kandang terus diheret ke pinggir hutan.  Tatkala harimau mengerkah daging lembu mentah berlumur darah, seolah-olah dia sendiri yang memamah tidak bersisa.  Loya benar tekaknya setiap kali ingatkan hanyir darah daging mentah yang dimamah berturut-turut malam.
Hinggalah dia terserempak Tok Sebaluk mencekak tengkuk harimau ganas yang menghambur di celah rumpun nibung yang tumbuh meliar di mana-mana.  Jumir Bauk sekadar duduk sahaja di dalam telinga lembaga harimau itu sepanjang malam.  Sebaik sahaja Tok Sebaluk menanjul leher harimau tersebut dengan tali akar.  Jumir Bauk cuba merangkak keluar dari telinga lembaga berkenaan.
Tetapi dia tersesat di tengah hutan nibung yang tumbuh meliar.  Merayau-rayau dia mencari lorong keluar hingga terasa letih tidak bermaya.  Kemudian di terbaring tidur di perdu pokok nibung sampai dikejutkan oleh adik iparnya Ucu Kimat.  Terpinga-pinga dia bingkas bangun tatkala menyedari dirinya tergolek di hujung halaman rumah Ucu Kimat dengan lehernya ditanjul tali akar tertambat ke perdu pokok kelapa.
Sekalipun hatinya berdendam pada Tok Sebaluk, namun jauh di lipatan sanubarinya Jumir Bauk tidak tahu kenapa dia marah sangat kepada lelaki itu.  Asal sahaja terserempak Tok Sebaluk nescaya seluruh tubuhnya terasa sengal-sengal sepanjang hari.  Sewaktu dia terkejang tidak mampu mengerakkan tubuhnya, Jumir Bauk tahu memang Tok Sebaluk memiliki buntat nibung yang ditusukkan macam susuk ke tubuhnya.
“Aku tahu, kamu pakai buntat nibung, Tok Sebaluk!”  bisik Jumir Bauk tatkala Tok Sebaluk menziarahi dirinya yang terlantar sejak berbulan-bulan.
“Kamu bukan amalkan pengering taring harimau, Jumir,”  ujar Tok Sebaluk perlahan ingatkan lelaki itu. “Tapi kamu diperangkap amalan syaitan hingga bertukar menjadi harimau jadian,”  jelasnya dalam keluhan yang berat.
“Aku hanya amalkan sahaja amalan tu,”  kesal juga Jumir Bauk disebabkan amalan harimau jadian itu meresap dalam dirinya.  Dia tidak dapat mengelak lagi setelah amalan tersebut sebati dengan dirinya.  Memang dia tidak dapat mengawal dirinya apabila jelmaan harimau jadian itu sekaligus membawa dia ke mana sahaja.
Sewaktu Jumir Bauk menutup mata, memang seisi kampung melihat dia bagaikan harimau menghempas-hempas badan.  Terpaksa pula Imam Soh yang uruskan pengkebumian mayat meminta Tok Sebaluk tidak datang menjengah.  Asal sahaja Tok Sebaluk tercegat di situ nescaya bulu roma mayat tumbuh memanjang bagaikan belang harimau tergolek mati.
Setelah Jumir Bauk dikebumikan mereka seisi kampung menjadi rusuh apabila diberitahu oleh Ucu Kimat fasal kuburnya berlubang hingga ke liang lahad.  Beberapa kali dikambus pun lubang sebesar batang kelapa iotu terbolos lagi.  Terpaksa Imam Soh curahkan air yang didoakan bacaan Yasin, biar lubang tersebut tidak lagi terbolos.
Memang terharu benar hati Itam Jabal apabila kenang amalan mereka di masa lalu.  Cekal sungguh mereka amalkan apa pun amalan asal sahaja dapat memenuhi hasrat yang terpendam.  Mereka tidak akan membantah apa sahaja petua yang diberikan oleh guru semata-mata mahu mencapai amalan itu.
“Tok Delih itu memang ada kaitan dengan Tok Sebaluk,”  beritahu Itam Jabal menatap muka saya.  “Tapi saya tak tahu sama ada dia keturunan Tok Sebaluk atau bukan, ustaz,”  dia menambah mengusap-usap tangan ke muka dalam keluhan perlahan.
Sukar juga saya mahu memahami perkara yang di luar pengetahuan saya.  Perkara Tok Sebaluk tidak sama dengan Tok Delih atau pun kegelisahan yang ditanggung oleh Itam Jabal dengan susuk nibung yang ditusukkan ke tubuhnya.  Lainlah Kadir Misai memang dia tahu gunakan tujuh helai daun pucuk bulat pokok kelapa.  Setelah ditulisnya daun kelapa, Kadir Misai akan menyuruh rendam di dalam timba.
Itam Jabal akan disuruh mandi air yang direndam daun kelapa itu tiga pagi berturut-turut sebelum matahari naik segalah.  Lidi daun kelapa itu akan diserahkan semula kepada Kadir Misai.  Apabila tujuh batang lidi pucuk bulat daun pokok kelapa itu dibakar oleh Kadir Misai, nescaya Itam Jabal akan merasa perutnya memulas-mulas tidak menentu.
Sekiranya termuntah nescaya susuk nibung akan terjeluih keluar.  Memang Kadir Misai yang boleh diharapkan kalau Itam Jabal gunakan susuk nibung demikian.
ooooo00oooo