Monday, December 15, 2014

103. APEK TUA BERTUKAR JADI RUSA

NAMPAKNYA usaha saya mahu belajar ilmu kebatinan selalu mendapat halangan.  Kalau pun nenek saya tidak membenarkan, orang berkenaan yang mempunyai ilmu kebatinan itu enggan mengajarkan kepada saya.  Bagaimana seorang kawan saya memberitahu memangnya sukar bagi orang-orang yang mempunyai ilmu kebatinan mahu menurunkan ilmunya kepada seseorang.

“Kadangkala…”  ujar kawan saya itu,  “Ada setengah orang-orang yang mempunyai ilmu kebatinan itu memberitahu sesiapa yang mahu menuntut bahawa syarat menuntut hendaklah murid tidak menemui guru selama tiga tahun, selepas saja ilmu itu diajarkan.”
“Mengapa pula begitu?”  Tanya saya ingin tahu.
“Kononnya” kata kawan saya itu lagi.  “Kalau bertemu dalam tempoh yang ditetapkan, salah seorang darinya akan mati.  Sebab itulah orang-orang yang mempunyai ilmu kebatinan tidak akan menurunkan ilmunya kepada seseorang sebelum tiba waktunya..”  jelas kawan saya itu selanjutnya.
Agaknya boleh jadi benar juga seperti yang dikatakan oleh kawan saya itu.  Sejak beberapa waktu saya mahu belajar sesuatu dari orang-orang tertentu mereka enggan mengajarkannya kepada saya.
Saya telah diperkenalkan oleh seorang kawan dengan Pak Musid di Kampung Hulu.  Kononnya Pak Musid seorang pemburu yang mahir di hutan.  Dia boleh berjalan sambil tidur ketika berada di hutan.
Kadangkala kedengaran senar dia tidur semasa berjalan merempuh belukar itu.  Anehnya tidak pernah tersesat, atau kakinya tersadung kepada akar-akar yang melintangi jalan.
Pak Musid hanya tersenyum bila saya nyatakan tujuan saya bertemu dengannya itu.
“Kau ni anak saudara Pawang Mahat?” soalnya.
Saya menganggukkan kepala.
“Jadi, kau ni cucu Mak Bidan di Kampung Hilir itulah…?”  dia tersengih-sengih merenung muka saya.
Saya mengangguk juga.
“Hiss, Pawang Mahat tu lagi banyak taunya dari saya.  Mak Bidan di Kampung Hilir itu pun bukannya calang-calang.  Mengapa  pula jumpa aku…?”  dia macam menyindir saya.
“Pawang Mahat lain, Pak Musid lain…”  ujar saya masih berharap.  “Boleh jadi apa yang ada pada Pak Musid, tak ada pada Pawang Mahat,”  kata saya merendah.
“Pawang Mahat tu guru aku…”  dia memberitahu sambil tertawa.  “Masakan aku lebih dari dia,”  ujarnya.
“Biarlah saya berguru pula pada Pak Musid,”  desak saya.
Namun Pak Musid tetap enggan mengajar saya apa-apa.  Dia tetap berkeras mengatakan pengetahuannya belum cukup tinggi.  Dia juga masih mahu belajar dari sesiapa saja.
Kebolehan Pak Musid ini bukan setakat berjalan sewaktu sedang tidur, tetapi boleh mengangkat barang-barang yang berat.  Banyak cerita mengenai dirinya diceritakan oleh kawan saya.  Kononnya pernah sewaktu berlaku peristiwa pemerintahan ‘Bintang Tiga’ selama empat belas hari dulu, Pak Musid di kepung oleh 15 orang gerombolan komunis yang lengkap dengan senjata.
Pak Musid dituduh oleh mereka menjadi talibarut Jepun.  Oleh itu dia di kehendaki oleh ketua gerombolan komunis datang bertemunya supaya boleh dibicarakan.  Pak Musid enggan menurut kemahuan gerombolan komunis lalu ditangkapnya salah seorang dari gerombolan itu.  Sebelah tangannya menjinjing punggung lelaki berkenaan seperti kucing menggonggong tikus saja sambil sebelah lagi tangannya menampar kepala lelaki itu.
Tiba-tiba saja lelaki itu muntah tahi langsung menggelupur mati.  Apa bila melihat keadaan kawannya itu, kesemua anggota gerombolan yang hendak menangkap Pak Musid bertempiaran lari.
Cerita mengenai Pak Musid banyak diketahui oleh orang.  Saya juga mendengar mengenai peristiwa Pak Musid bertengkar dengan pekerja-pekerja kontrak membuat jembatan di kampung saya.  Ceritanya begini:
Kira-kira 15 orang pekerja kontrak bangsa Cina sedang membuat jembatan dikampung.  Kayu-kayu jembatan itu tiangnya 2’ x 2’ dan panjangnya kira-kira 20’.  Ketika itu tengah hari sedang tegak di kepala, kebetulan Pak Musid melintasi di tempat itu.
Melihat pekerja-pekerja Cina itu terkial-kial mengangkat sebatang tiang jembatan walaupun menggunakan tenaga 15 orang.  Pak Musid secara berjenaka mengejek kawannya yang sama-sama bekerja di situ.
“Hei, Leong lu tatak makan ka, itu kayu pun lu tatak boleh angkat,” kata Pak Musid tersengih-sengih memerhatikan kawannya itu terkial-kial.
“Lu ingat ini kayu selupa pokok bamboo ke…?”  sahut Leong menyeringai kerana kepanasan.
“Lubalik makan laaa Leong, kalau itu kayu jembatan lu tatak boleh angkat,”  ejeknya lagi sambil tertawa kecil.
Leong hanya tersengih-sengih dengan kata-kata Pak Musid itu.  Memang dia selalu berjenaka dengan  Pak Musid.  Oleh itu kata-kata Pak Musid ini tidak menjadi apa-apa kepada dia.  Lagi pun Pak Musid memang sudah berkawan lama dengan Leong.
Bagaimanapun kata-kata Pak Musid itu telah menyinggung perasaan salah seorang buruh kontrak membuat jembatan itu.
“Baliklah lu Leong, lu pegi makan dulu balu boleh angkat itu kayu tiang jembatan…” Pak Musid tersenging-sengih memerhati kawannya Leong bersama buruh kontrak itu mengangkat tiang jembatan tersebut.
“Lu jangan cakap itu macam laaa,” salah seorang pekerja buruh kontrak mula merah padam muka.
“Kalau lu boleh angkat, cuba angkatlah,” teriaknya menampakkan kemarahan.
“Kalau gua, satu orang pun gua boleh angkat.  Tak payah lima belas orang,”  ejek Pak Musid mengerling pekerja yang mula naik darah itu.
Leong cuba memujuk kawannya itu supaya tidak hilang kesabaran.  Lagi pun Pak Musid hanya bergurau.  Rupa-rupanya pekerja buruh kontrak itu tidak dapat menahan sabar lagi.  Dia tidak dapat membezakan sama ada Pak Musid bergurau atau sebaliknya.  Apa lagi ketika itu di tambah dengan kepanasan matahari yang memijar di atas kepala.
“Kalau lu boleh angkat gua kasi sama lu satu latus linggit…” pekik pekerja buruh kontrak itu sambil menuding-nuding jarinya kearah Pak Musid yang berdiri di atas tebing sungai.
Sikap lelaki Cina itu menyebabkan Pak Musid pula menjadi marah.  Dengan tidak bercakap sepatah pun, Pak Musid mencapai kayu tiang jembatan itu dengan sebelah tangannya lalu dicacakkan ke tengah sungai.  Kesemua 15 orang pekerja buruh kontrak itu tercengang-cengang melihat perbuatan Pak Musid.
“Apa macam mahu kasi gua satu latus..!”  herdiknya sambil menunjukkan kearah kayu tiang jembatan yang tercacak di tengah sungai.
Lelaki Cina itu menjadi pucat lesi.  “Gua minta maaf laaa latuk, tadi jam gua hati sangat panas.  Jangan malah latuk….” Rayunya sambil memegang tangan Pak Musid.
Leong juga memujuk Pak Musid supaya tidak mengambil apa-apa tindakan kepada kawannya itu.  Dengan pujukan Leong mereka semua sama-sama pergi ke dedai kopi minum sambil berdamai.
“Kalau latuk mau juga itu satu latus, nantilah bila gua dapat gaji.  Sekalang gua tatak awang….”  Ujar lelaki Cina itu.
“Itu satu latus gua tak mahu, tapi lu jangan cakap itu macam sama gua,”  kata Pak Musid mengingatkan.
Peristiwa itu selesai begitu saja, kerana Pak Musid pun tahu dirinya bersalah.  Walaupun dia cuma bergurau, tetapi tidak seharusnya mengejek pekerja-pekerja tersebut yang sedang di dalam kepanasan kerana matahari tegak di kepala.
Itulah sebahagian dari cerita Pak Musid yang saya pernah dengar.
Apabila saya datang menyampaikan hasrat mahu menuntut darinya, dia cuba mengelakkan diri.  Berbagai-bagai dalih diberikannya kepada saya.  Tetapi saya tetap berusaha mendesak Pak Musid supaya mengajarkan sesuatu kepada saya.  Bagaimanapun dia tetap dengan pendiriannya tidak mahu mengajar saya.
Kata Pak Musid, “Ilmju kebatinan untuk dunia tidak memberi menafaat apa-apa.  Tuntutlah ilmu kebatinan untuk dunia dan akhirat…..”
Setelah beberapa kali saya memujuk supaya mengajarkan saya ilmu perburuan darinya, Pak Musid pun menceritakan kepada saya salah satu pengalamannya supaya saya berfikir panjang sebelum membuat keputusan.
Katanya, pada satu hari dia telah masuk ke hutan berburu bersama dua orang kawannya iaitu Pak Tua Mahat dan Jidin Bacul.  Pak Tua Mahat ialah bapa sudara saya sendiri. Pak Tua Mahat lah yang membawa senapang patah laras dua dengan menggunakan peluru penabur.
Setelah tidak berjaya mendapat apa-apa, mereka mengambil keputusan bermalam saja di hutan sambil menepuk pelanduk.  Pak Musid memang gemar menepuk pelanduk menggunakan daun palas.  Kononnya ada dua cara menepuk pelanduk ini.  Selain dari menggunakan daun palas, boleh juga di gunakan tempurung.
Menggunakan tempurung ini ada bahayanya.  Kadangkala harimau belang yang datang.  Tetapi bagi Pak Tua Mahat, dia tidak takut apa-apa dengan harimau yang ganas.
Selalunya Jidin Bacul yang menepuk daun palas kepada busut.  Manakala Pak Tua Mahat bersiap sedia dengan senapang laras dua untuk membedek mangsa.  Pak Musid pula akan menerpa dengan parang terhunus untuk menyembelihnya.
Keesokan harinya semasa mencuci muka di satu alur air, Jidin bacul memberitahu ada kesan tapak kaki rusa.  Dari kesannya ternyata tempat itu baru saja dilalui oleh rusa tersebut. Mereka pun tidak berlingah lagi terus mengekorinya.
“Ini jejaknya kearah pamah di bawah bukit,”  ujar Jidin bacul menunjukkan kesan tapak kaki rusa.
Pak Tua Mahat tersenyum melihat kesan tapak kaki rusa itu.  Sudah lama dia teringin untuk mendapatkan daging rusa.  Kalau daging pelanduk memang sudah selalu benar.  Setiap kali dia masuk ke hutan ada sajalah pelanduk yang diperolehinya.
Kalau rusa, napuh, kijang jarang boleh di temui.  Oleh itulah dia berazam akan terus menjejek kesan tapak kaki rusa tersebut.
“Emmm, tak lari ke mana dia,”  Pak Tua Mahat menggertap bibir.  “Dah tentu tak lepas dari belanga tu, kemana dia nak lari….!”  Katanya mencecap-cecap bibir.
“Jangan harap sangat To’ Pawang, nanti melepas kita,”  sahut Pak Musid tersengih-sengih.  Namun dalam hatinya berharap juga akan dapat menangkap rusa berkenaan.
Dia tahu rusa tidak sama dengan pelanduk atau kijang.  Rusa mudah dapat mengagak ada orang mengendapnya.  Dia cekap melarikan diri kalau terdengar ada orang mengedap.  Tetapi dia tahu Pak Tua Mahat bukanlah calang-calang pemburu di kampungnya.  Dia boleh mematikan langkah rusa itu kalau mahu melarikan diri juga.
Beberapa rantai mereka berjalan ke hadapan Pak Musid nampak seekor rusa tanduk bercabang sedang memakan taruk muda pisang hutan.  Cepat-cepat dia menepuk bahu Pak Tua Mahat ambil menunjukkan kearah rusa yang tercengang-cengang di tengah belukar pisang hutan itu.
Pak Tua Mahat tidaklah terus membedek.  Dia berdoa dengan menadah tangan terlebih dahulu, sebelum membedek muncung senapang mencari sasaran.  Pak Musid sudah bersedia memegang hulu parangnya dengan kemas. Sekiranya tembakan Pak Tua Mahat menepati sasaran, dia akan menerpa ke hadapan menghunus parangnya. Dialah yang akan menyembelihnya.
Sudah tentulah Jidin Bacul akan membantu dia menekankan kepala rusa itu ke tanah, supaya tidak dapat bergerak.  Kecekapan Jidin Bacul membantu inilah menyebabkan dia selalu dibawa ikut  sama berburu.
Matahari baru mahu tegak di kepala semasa mereka bertiga menghendap rusa di tengah belukar pisang.  Pak Tua Mahat berhati-hati membedekkan mucung senapangnya.  Sekaligus dentuman senapang berbunyi menggema di tengah belukar pisang hutan.  Sekaligus juga rusa menyerbu belukar pisang itu macam babi menyondol tanah.
Ada beberapa langkah menyerbu, rusa itu terhuyung hayang lalu rebah ke dalam belukar.  Cepat-cepat Pak Musid menerpa sambil menghunuskan parangnya, di ikuti oleh Jidin Bacul.  Sebaik saja sampai di tempat rusa itu rebah, Jidin Bacul memekik sekuat hati dalam keadaan ketakutan.
“Kita tertembak orang To’ Pawang,”  jeritnya tercungap-cungap.
Pak Musid undur ke belakang sedikit.  Di lihatnya yang terbaring di tengah belukar pisang hutan itu bukanlah seekor rusa, tetapi lelaki Cina tua yang memakai serba hitam.
“Haiya, tolong sama gua latuk…”  rengek apek tua itu kesakitan sambil tangannya menekup kesan darah pada bahagian kepala.
Pak Musid tertegun tidak dapat bercakap sepatah apa pun.  Jidin Bacul juga tertegak tidak bergerak memerhati apek tua itu merengak-rengak kesakitan.
“Tolong sama gua latuk,”  rintihnya menusuk-nusuk perasaan Pak Musid.
Apabila Pak Tua Mahat menjengah apek tua itu terketar-ketar menekup kesan darah pada kepalanya, peluh mula memercik pada dahi Pak Tua Mahat.  Dia mendongak ke atas memerhati matahari yang belum lagi tegak di kepala.  Kemudian memerhati dahan pokok-pokok hutan yang menjulang tinggi.
“Aku tak fikir geruh ku, perkara geruh memang adat orang ke hutan,”  bisik Pak Tua Mahat sambil merungkai kain lilit kepalanya yang berwarna hitam.  “Siap kita Musid..geruh tak dicari, malang tak ditempah, tapi kalau dah kata berjawab, gayung bersambut juga….”  Dia berligar di sekeliling tubuh apek tua yang masih terbaring di dalam belukar pisang hutan.
“Kawan serah pada awaklah To’ Pawang,”  sahut Musid lalu menacakkan mata parang ke tanah.
“Latuk, tolong latuk, tolong sama gua latuk,”  rintih apek tua itu lagi merengak-rengak.  Dia berligar-ligar juga di sekeliling tubuh apek tua tersebut sambil mengibas-ngibaskan kain hitam lilit kepalanya di tubuh apek tua itu.
“Aku tak cari kau, tapi kau datang cari aku.  Aku tak minta geruh kau, tapi geruh kau nak minta aku.”  Pak Tua Mahat menyeru dengan mengibas-ngibas kain hitam lilit kepalanya. “Aku tau asal kau jadi, orang menengadah ke langit asal kau jadi, pulang pulih kau kepada asal kau, hu….” Seru Pak Tua Mahat lagi.
“Mati laa gua latuk, mati laa gua.  Tolong sama gua, tolong latuk,” rengek apek tua yang terbaring di dalam belukar pisang hutan itu.  Kakinya terkinjal-kinjal seperti kaki rusa menendang angin.
Pak Tua Mahat terus mengibas-ngibas kain hitam ke tubuh apek tua itu,  Setiap kali dia mengibas-ngibas, mulutnya kumat kamit membaca jampi serapah.
Rengek apek tua tiba-tiba beransur-ansur hilang.  Pak Musid nampak kepala apik tua itu sedikit demi sedikit berubah menjadi kepala rusa.  Bulu rusa itu tegak meremang dengan darah memercik.  Lama kelamaan tubuh tersebut terus berubah menjadi rusa, seperti yang ditembak oleh Pak Tua Mahat tadi.
“Cepat sembelih Musid,” perintah Pak Tua Mahad.  Kain hitam lilit kepala tidak lepas dari tangannya.  Dia terus mengibas-ngibas kain tersebut macam mengawal sesuatu.
Pak Musid pun tidak bertangguh lagi lantas menghunus parang yang tercancang di tanah.  Cepat-cepat dia menyembelih rusa yang sudah tergolek di dalam belukar pisang hutan.  Jidin Bacul yang membantu menekan kepala rusa berkenaan ke tanah.  Kepala lututnya di sandal kuat-kuat pada bahagian telinga rusa itu.
Setelah siap disembelih Pak Musid nampak bulu rusa itu masih tegak meremang.  Terasa juga gerun di hatinya melihatkan peristiwa tersebut.  Tetapi dia tetap cekal selagi Pak Tua Mahat ada tertegak di situ.  Pak Tua Mahat masih berkeliling sambil mengibas-ngibas kain hitam ditangannya.
“Aku tahu asal kau jadi, orang menengadah ke lagit asal kau jadi, pulang pulih kepada asal kau, jangan kau ganggu anak cucu To’ Malim, huu….” Seru Pak Tua Mahat berulang kali.
Pak Musid pula duduk bersila di kepala rusa yang sudah disembelih itu.  Sambil menengadahkan tangan dia juga ikut sama berseru,  “Mati kau di timbun tanah tambak, kerat temiang panjang pendek, akan pelemang hati hempedu rawan kau, datang kau dari bencah mahang balik kau ke bencah mahang, datang kau dari rimba sekampung balik kau ke rimbasekampung, aku tahu asal kau jadi, hu…..”
Dua orang pawang pemburu itu bersatu menghadapi dugaan di hadapan mereka.  Jidin Bacul hanya memerhatikan saja kelakuan dua orang pawang  pemburu berkenaan.  Dia sendiri tidak tahu apa harus dilakukan, kerana rusa yang ditembak tiba-tiba bertukar menjadi seorang lelaki Cina yang sudah tua gaik.
Setelah bertukar semula menjadi rusa, bulunya tegak meremang seperti berus dawai yang keras.  Keanehan ini benar-benar menggerunkan hati Jidin Bacul.  Tetapi dia tetap bersabar mahu melihat kesudahan dari peristiwa yang baru dialaminya itu.
Apa yang tidak dilihat oleh Jidin Bacul ketika itu ialah di kawasan itu tertegak satu lembaga hitam berpijak atas tubuh rusa yang sudah disembelih tadi.  Hanya Pak Tua Mahat dan Pak Musid saja berdepan dengan lembaga berkenaan.  Jidin Bacul hanya dapat melihat mulut dua orang pawang pemburu itu saja kumat kamit.
“Kau datang menceroboh Mahat….”  Kata lembaga hitam tersebut.  Pak Tua Mahat melihat kepalanya cecah keawan.
“Aku tak menceroboh, tapi awak yang nak tunjuk keras kepala,”  sahut Pak Tua Mahat.
“Kalau awak berkeras, kami pun berkeras,”  kata Pak Musid pula.
“Kau berdua inilah yang berkeras.  Kau berdua yang selalu ganggu binatang gembala kami….”  Lembaga hitam itu semakin marah.
“Kami dah minta pada To’ Malim, kami anak cucu To’ Malim.  Awak jangan cuba berdolak dalik,”  ujar Pak Tua Mahat.
“Sekarang apa awak hendak?”  laung Pak Musid menggertap bibir.  “Awak nak lepaskan hak kami, atau kami menyeru To Malim datang.  Kalau awak tak pergi, kami terpaksa panggil To’Malim,”  kata Pak Musid dengan matanya dilihat oleh Jidin Bacul terpejam kejap.
Lembaga hitam itu tetap bertenggek di atas tubuh rusa yang sudah disembelih.  Dia berkeras tidak mahu meninggalkan rusa tersebut.  Ketika inilah Pak Musid melihat tubuh Pak Tua Mahat beransur-ansur menjadi besar.  Pak Tua Mahat berdiri sama tinggi dengan lembaga hitam berkenaan. Kepalanya juga cecah sampai keawan.
Pak Musid dapat mendengar laung kesakitan di udara.  Suara Pak Tua Mahat sudah tidak kedengaran lagi.  Yang dapat didengar oleh Pak Musid hanya tempik herdik Pak Tua Mahat.  Suaranya keras dan berang.  Sedikit demi sedikit suara lembaga hitam yang pada mulanya berkeras tadi hilang begitu saja.
Bayang hitam yang bertenggek di atas tubuh rusa juga hilang.  Hanya tubuh Pak Tua Mahat saja yang kelihatan oleh Pak Musid.  Saat ini.  Jidin Bacul nampak bulu rusa yang tegak meremang seperti berus dawai sudah lembut semula, kembali menjadi bulu rusa kebiasaannya.
Semasa Pak Musid membuka matanya dia melihat Pak Tua Mahat masih berdiri di depannya dengan kepala mendongak ke langit.  Kain hitam lilit kepala masih tidak lepas dari tangannya.  Dia mengibas-ngibaskan kain hitam itu ke tubuh rusa semakin keras.
Sebaik saja Pak Tua Mahat berhenti mengibas-ngibas kain hitam di tangannya, kelihatan oleh Pak Musid dia mengambil darah pada leher rusa bekas sembelih tadi.  Kemudian dia memalitkan darah pada tangannya itu ke seluruh tubuh rusa itu.
Setelah itu Pak Tua Mahat duduk seperti orang dalam keletihan.  Dia memerintahkan Jidin Bacul mengulit dan melapah rusa tersebut.  Pak Musid lah membantu Jidin Bacul mengulit dan melapah.  Pak Tua Mahat hanya tersandar di pangkal rumpun pisang tidak bercakap sepatah apa pun.
Inilah pengalaman Pak Musid yang diceritakannya kepada saya.  Katanya tidak lama selepas itu Jidin Bacul kena sakit telinga.  Di dalam telinganya berdarah, pada hal tidak ada kesan bisul atau bengkak.  Lamanya juga Jidin Bacul mengidap sakit telinga itu.
Kita-kira sebulan dia mengidap teliga berdarah itu, akhirnya dapat di pulihkan semula oleh Pak Tua Mahat.  Barulah Jidin Bacul teringat bahawa dia menekan kepala lututnya ke pangkal telinga rusa, semasa Pak Musid menyembelihnya.

SELESAI




   

1 comment:

  1. t. kasih tuan di atas usaha tuan mengemaskini siri cerita tok awang ngah..  saya salah seorng dr ribuan pengikut setia yg sntiasa trnnti nti kemunculan siri yg trkini.. mungkin usaha tuan dianggap kecil, namun bg saya ianya sgt besar nilainya.. ribuan t. kasih saya ucapkan dn smoga tuan tidak jemu utk mengemaskini siri yg trbaru akn datang..

    ReplyDelete