Saturday, November 21, 2015

151. TANGKAL AZIMAT MENJADI BARA


   LAMA menahan sakit gigi hingga berdenyut sepanjang malam, sengaja dibiarkan kerana tidak mahu menjengah doktor di klinik. Bimbang sangat Mail Ketir mahu jejak kaki menemui doktor di klinik sekiranya gigi berkenaan akan direntap habis. Puas ayahnya memujuk Mail Ketir tetap berkeras tidak mahu jumpa doktor setelah kawan-kawannya di sekolah beritahu mengenai gigi akan dicabut kalau mengidap sakit berterusan.
Memang tatkala belajar di darjah empat Mail Ketir tidak pernah jejak kaki ke klinik. Asal sahaja diberitahu gigi akan diperiksa doktor yang datang menjengah ke sekolah nescaya Mail Ketir tidak tunjuk muka. Dia akan balik sahaja ke rumah dengan tidak memberitahu apa-apa kepada guru darjah.
Tahu sangat Kulup Bingit perangai anaknya takut sangat sekiranya diajak menemui doktor. Tatkala demam terkukul-kukul pun Mail Ketir tidak turuti kemahuan ayahnya asal sahaja disebut mahu bawa ke hospital. Tengah naik basikal pun Mail Ketir gigit tangan ayahnya lantas terjun melarikan diri balik ke rumah.
Mendengus marah Kulup Bingit apabila kenang perangai anaknya tidak mahu dibawa jengah doktor. Asal sahaja diberitahu mengenai doktor di daerah kecil di perkampungannya, Mail Ketir sudah terbayang lelaki India berkepala botak. Sampai bila pun Mail Ketir tidak boleh lupakan kejadian betisnya membengkak tidak bersebab.
Puas dipupuk daun pucuk sembung biar bengkaknya seruh oleh emaknya, namun bengkak betis Mail Ketir semakin memboyot laksana bapak haruan tengah kenyang. Andak Jikyah percaya tentu bengkak betis anaknya disebabkan keteguran puaka busut jantan semasa melintas parit di baruh kampung.
Sebab itu dia tuduh puaka busut jantan dilangkah Mail Ketir sewaktu tengah bercempera mandi di dalam parit. Selepas keteguran puaka parit itulah betis Mail Ketir mula membengkak. Bukan Andak Jikyah saja tuduh demikian, emaknya Bidan Tiyah juga percaya bengkak betis cucunya disebabkan keteguran puaka busut jantan.
Tetapi Kulup Bingit bimbang sangat bengkak anaknya akan melarat hingga membusuk macam nangka berulat. Manalah tahu daging betis akan reput laksana kayu lapuk dimamah anai-anai. Sebab itu Kulup Bingit pujuk Mail Ketir ke kedai rumah papan sederet di kampungnya makan roti canai. Tidak bertangguh dia lencongkan basikalnya masuk ke kawasan hospital seolah-olah rumah bangsal kecil sahaja.
Dalam masa perintah orang putih memang bangunan hospital tidaklah besar sangat. Doktor pun sekadar seminggu sekali sahaja datang menjengah. Satu-satunya yang mereka anggap doktor hanya pembantu hospital bangsa India berkepala botak. Sebaik sahaja Mail Ketir dibawa masuk menemui lelaki India berkepala botak itu, dia dipujuk dengan diberi gula-gula.
Ketika ini dua orang atendan masuk membantu. Memang Mail Ketir mahu melompat lari setelah menyedari dia dibawa ke hospital berkenaan. Belum sempat dia mahu melarikan diri, dua orang atendan berkenaan sudah memeluknya erat-erat. Dalam masa bergelut itulah pembantu hospital itu sempat membedah bengkak di betis Mail Ketir.
Tatkala balik ke rumah memang merungut juga Andak Jikyah dengan keputusan suaminya usung Mail Ketir ke hospital. Apabila Kulup Bingit tergesa-gesa bawa anaknya berubat ke hospital samalah macam tidak percayakan jampi serapah emaknya. Daun pucuk sembung yang dipupuk pada betis Mail Ketir sudah dijampi cukup, biar puaka yang bergayut di situ luruh macam semut dicucuh api.
"Kalau awak nak mati, boleh doktor tu ubatkan?" lantas Andak Jikyah menyindir suaminya disebabkan tidak dapat mengawal perasaan marah.
 "Hah, ajal maut di tangan Tuhan," ujar Kulup Bingit ingatkan isterinya supaya tidak menuduh ikut perasaan semata-mata.
"Awak ingat kaki Mail tu macam kaki kambing, boleh dilapah-lapah?" Andak Jikyah tidak peduli apa-apa pun selagi Kulup Bingit tidak mengubah sikap. Asal sahaja dipanggil dukun, cepat sahaja Kulup Bingit ambil keputusan mahu ke hospital. Sampaikan dia mahu bersalin pun Kulup Bingit desak ke hospital macam tidak sudi menjaga isteri sendiri lahirkan anak di rumah.
"Bawa bersabar Jikyah," pujuk Kulup Bingit tidak mahu isterinya berterusan luahkan rasa mendongkol di hati.
Tiga hari selepas dibedah bengkak betis Mail Ketil sembuh tidak mengalami sakit apa-apa. Tersengih-sengih sahaja Andak Jikyah apabila disindir Kulup Bingit fasal kaki anak mereka sembuh setelah darah bercampur nanah yang membengkak dibuang habis. Apabila Mail Ketir sudah boleh melangkah galak, siapa pun tidak boleh tuduh Kulup Bingit mengambil keputusan silap semasa terburu-buru usung anaknya ke hospital.
Tetapi Mail Ketir sendiri tidak mahu lagi jejak kaki ke hospital setelah betisnya dibedah. Asal sahaja terserempak lelaki India berkepala botak itu nescaya dia akan lari tidak bertangguh. Sebab itu Mail Ketir bertahan tidak mahu diajak ke hospital sekali pun giginya sakit berdenyut sampai menusuk gusi.
Dia terkilan benar apabila dibohongi ayahnya berdalih mahu mencari roti canai di kedai rumah papan sederet, tetapi tiba-tiba sahaja melancong ke simpang jalan menuju ke hospital. Kalau betis bengkaknya dibedah dengan ditusuk mata pisau, tentu giginya juga akan dicabut tidak bertangguh.
Apa lagi kawan-kawan di sekolah ingatkan dia fasal cabut gigi gunakan ragum atau pelayar macam merentap paku terlekat pada dinding. Dia akan ternganga-nganga apabila gigi terpasak kuat pada gusi direntap sekali gus. Kepalang sakitnya apabila gigi berkenaan direntap sampai terbongkar habis dari gusi!
Semakin kecut perut Mail Ketir apabila kenang lelaki India berkepala botak itu tercegat memegang ragum dengan pelayar. Dua orang atendan akan memaut dagunya kuat-kuat hingga tidak mampu mahu meronta. Mulutnya akan disengkang dengan besi kukuh biar ternganga tidak boleh terkatup ketika giginya direntap dengan ragum.
"Kamu jangan merepek, Mail!" ayahnya ingatkan dia supaya tidak terpedaya dengan usikan kawan-kawan di sekolah.
Tetapi Mail Ketir tetap tuduh ayahnya berbohong. Kalau ayahnya sengaja perdayakan dia semasa bedah betis yang membengkak, tentu ayahnya juga akan perdaya fasal rentap giginya dengan ragum. Sebab itu dia tetap berdegil menahan denyut kesakitan akibat gusi membengkak sampai menyendal pada kulit pipi.
Disebabkan Mail Ketir berkeras tidak mahu dibawa ke hospital, lantas Andak Jikyah heret dia menemui Aki Dabun. Tidak bercakap sepatah pun Aki Dabun terus mencapai tukul besi diketuknya paku ke bendul. Tiga kali diketuknya paku tersebut ke bendul dia hembuskan perlahan dengan jampi serapahnya:
Alur besi papanku besi, tempat aku menyurat, sapu guruh sapu gurih, bukan aku yang menggugurkan, bukan aku yang menggurihkan, gurihkan pada guru yang berempat, berkat hu...
Kemudian diketuknya lagi sampai paku berkenaan terbenam melekat ditusuk pada bendul. Ketika ini Mail Ketir menekup pipinya disebabkan menahan kesakitan seolah-olah ditusuk dengan hujung paku. Habis sahaja Aki Dabun mengetuk paku ke bendul, tiba-tiba sahaja Mail Ketir tersenyum lantas terkekeh-kekeh ketawa. Sakit giginya tidak lagi berdenyut-denyut bagaikan gusi luka dituris sembilu.
"Macam itulah masa saya kecil-kecil dulu, ustaz," beritahu Mail Ketir menatap muka saya setelah isterinya Naemah mengerang sakit gigi sejak beberapa hari.
Setelah dibawa ke klinik memang tidak ada kesan rosak pada gigi gerahamnya. Takat makan ubat yang dibekalkan sakitnya sekadar reda beberapa jam. Selepas itu sakitnya akan menusuk-nusuk semula sampai Naemah terketar-ketar. Lehernya juga membengkak bagaikan diganggu benguk yang menyendal di bawah dagu.
Rusuh juga hati Mail Ketir apabila kenang Naemah mengerang-erang sakit gigi. Lainlah ketika masih kecil memang boleh dipujuk dengan pelbagai dalih. Tetapi semenjak hampir sepuluh tahun mereka berkahwin, memang selalu sangat Naemah diganggu sakit gigi.
Puas juga dia meminta rawatan di klinik, tetapi diberitahu isterinya tidak menghadapi masalah gigi. Sebab itu terkejut juga Mail Ketir apabila saya tanyakan mengenai dirinya masih belum menimang anak.
"Takkan mandul jadi punca sakit gigi, ustaz!" keluh Mail Ketir tersengih-sengih mengerling isterinya masih gelisah menahan denyut kesakitan.
Menggeleng lemah Mail Ketir apabila kenang isterinya mengidap sakit gigi disebabkan mandul tidak melahirkan anak. Hampir sepuluh tahun dia berkahwin dengan Naemah sudah beberapa kali terharap-harap sebaik sahaja diberitahu Naemah mula termuntah-muntah loya. Tetapi kecewa juga dia setelah beberapa hari kemudiannya Naemah tidak juga rnengandung.
Kalau tidak kenang bapa mentuanya Mudim Labak guru pencak silat, memang teringin juga Mail Ketir mahu berkahwin lain. Dia mahu buktikan dirinya mampu berikan zuriat biar Naemah tidak menuduh apa-apa. Setidak-tidaknya dia boleh buktikan pada Naemah dirinya bukan mandul hingga tidak boleh menjadi ayah.
Tetapi Mudim Labak bukan boleh tersinggung sekalipun disebabkan perkara kecil sahaja. Tentu bapa mentuanya akan membentak marah kalau dia gagahi juga berkahwin lain hingga dicekak leher tidak bertangguh. Kecil-kecil pun tubuhnya Mudim Labak tidak mengalah apabila diserbu kumpulan Bintang Tiga dalam masa negeri huru hara.
Mudah sahaja disikunya rusuk lelaki Cina memanggul senapang itu sebelum sempat melepaskan bedekan. Lima orang lelaki Cina segak dengan senapang tersandang di bahu tergolek dalam belukar senduduk akibat diserbu Mudim Labak. Cubalah siapa sahaja cabar dirinya, bila-bila Mudim Labak tidak akan tunduk!
Perkara bapa mentuanya guru silat pun bukanlah penting sangat pada Mail Ketir. Masakan bapa mentuanya mahu bertindak terburu-buru takat dia berkahwin lain. Banyak perkara dia perlu fikirkan sekiranya mahu sangat beristeri lain. Apalah maknanya berkahwin lain kalau sekadar mahu buktikan dirinya tidak mandul seperti dilakukan kawannya Suman Janggut setelah lama sangat merungut tidak mendapat anak.
Lama juga Suman Janggut berkahwin dengan Saerah, tetapi tidak mempunyai seorang pun anak. Berkeras Saerah menuduh Suman Janggut mandul sampai bertengkar tidak ketahuan. Setelah bercerai lantas sahaja Suman Janggut berkahwin dengan Kiah Songel. Memang tersinggung sangat dia apabila dituduh Saerah demikian. Sebab itu dia mahu tunjukkan pada Saerah bahawa dirinya tidak mandul apa-apa.
Tidak lama selepas Suman Janggut berkahwin, Saerah juga dilamar Berahim Tereng duda beranak tiga. Hairan juga Suman Janggut apabila kenang Saerah beranak juga setelah berkahwin dengan Berahim Tereng. Dia juga beranak sampai lima orang apabila Kiah Songel menjadi isterinya.
"Agaknya rezeki kamu belum nak beranak lagi, Mail," ujar Suman Janggut apabila kawannya merungut mahu berkahwin lain. "Kalau Naemah dah cukup layan kamu, tak payahlah kahwin lagi!" dia ingatkan kawannya itu supaya tidak terburu-buru sangat membuat keputusan.
Memang berat juga hati Mail Ketir mahu berkahwin lain kalau sekadar mahu tunjukkan dirinya tidak mandul. Naemah sendiri memujuk fasal mendapat anak atau tidak mendapat anak adalah urusan Allah Azzawajjalla. Apa lagi kenang bapa mentuanya Mudim Labak bermuka garang, mudah sahaja naik berang kalau hatinya tersinggung.
Dia sendiri melihat bapa mentuanya hunus parang cekak leher Berahim Tereng apabila bergurau menuduh' Mail Ketir memang keturunan mandul. Terkebil-kebil mata Berahim Tereng kerana tidak menyangka Mudim Labak tiba-tiba sahaja cekak lehernya dengan menghunus parang.
Masakan Berahim Tereng berani berkeras apabila dicekak leher oleh Mudim Labak. Tahu sangat dia mengenai Mudim Labak boleh serbu buaya terjongol kepala di tengah arus sungai. Kalau buaya ganas boleh diheret naik ke atas tebing, apa sangat dengan Berahim Tereng sekiranya berkeras mahu melawan.
Seisi kampung tahu kemahiran Mudim Labak apabila sekali sekala buaya terjongol kepala di tengah arus. Sebab itu sampai ke Sungai Tengi pun Mudim Labak dijemput orang fasal halau buaya supaya tidak mengganggu mangsa. Kadangkala dia akan membantu Pawang Bahar di Tanjung Karang sekiranya buaya berdegil setelah menyambar mangsa di mana-mana.
Asal sahaja buaya menyambar mangsa berdegil tidak mahu timbul ke permukaan arus, mereka akan panggil Pawang Bahar bersama dengan Mudim Labak. Tatkala Pawang Bahar berligar-ligar di tebing, Mudim Labak akan membakar kemenyan sambil mengisar tapak tangan. Sebaik sahaja Pawang Bahar kepal tanah dalam genggaman, Mudim Labak akan cincang buluh tumpat di tebing sungai.
Sekali gus Pawang Bahar melontar kepal tanah itu ke tengah arus. Tiga kali dilontar nescaya buaya ganas akan menyambar tidak bertangguh. Cepat-cepat pula Mudim Labak hentak tumitnya ke atas buluh tumpat tercancang biar terbenam sampai terpasak ke tanah. Dalam masa beberapa minit sahaja buaya yang menyambar kepal tanah itu akan terkapar di permukaan air dengan mulut membuak-buak darah.
Mudim Labak akan terjun ke tengah arus mengheret bangkai buaya berkenaan naik ke tebing!
Masakan Berahim Tereng berani angkat muka apabila dijerkah Mudim Labak. Lebih baik dia mengalah dalam saat Mudim Labak memberang tidak menentu. Sebab itu Mail Ketir bimbang juga mahu berkeras di depan bapa mentuanya. Apa lagi Naemah sendiri tidak pernah menyinggung perasaan dia sekalipun sudah lama berkahwin masih tidak mempunyai anak.
"Fasal mandul ke, isteri saya sakit gigi, ustaz?" desak Mail Ketir menatap muka saya dengan tersengih-sengih.
"Bukan fasal mandul," ujar saya perlahan kerana sukar mahu menjelaskan kepadanya tatkala terasa bulu roma meremang semasa saya membacakan:
 Innahu minas-Sulaiman wa-innahu bismillahhir rahmannir rahim, watawak-kaltu alalIahhi wakafa billahhi wakil, inna fikh-tilafil laili wannaharl wama khoIaqol-lahhu fissamawati wal-ardhi la-ayatil liqaumiy yattaqun.
Ketika ini saya bagaikan diserbu perempuan tua rambut mengerbang membawa telur sebiji dalam genggaman. Apabila saya merenung tajam ke mukanya perempuan itu tersentak lantas memakan telur mentah di tangannya hingga melejeh-lejeh pada bibir.
"Biar aku tak beranak, kenapa awak nak menyibuk?" jerkah perempuan tua itu mengejek.
Memang saya tidak pedulikan jelmaan yang mengimbau ketika ini. Perkara tidak beranak masakan sama dengan Naemah mengerang-erang sakit gigi. Kalau dibawa ke klinik pun doktor tidak akan cabut gigi Naemah disebabkan tidak sebatang pun mengalami rosak sampai berlubang.
Lainlah bapa mentua saya sepanjang malam mengerang sakit gigi sampai terasa pitam di kepala, memang doktor menyuruh cabut sahaja giginya yang menjulur di depan laksana bilah buluh terjongket. Seminggu selepas sakitnya tidak lagi berdenyut, lantas sahaja dicabut tidak bertangguh.
Enam bulan selepas giginya dicabut, dia merungut pula apabila mata sebelah kanannya kelabu tidak boleh melihat apa-apa. Terus sahaja dia salahkan saya kerana tidak mahu doakan tatkala sakit giginya berterusan hingga berhari-hari. Manalah saya tahu mengenai dia mengidap sakit gigi kerana tidak pernah pun diberitahu sekali pun setelah dicabut di klinik.
"Kalau sakit lain tak apa, tapi sakit gigi ni tak tahan aku!" gerutu bapa mentua saya tatkala mengerang-erang menahan sakit gigi berdenyut hingga santak ke kepala.
"Ah, sakit apa pun memang tak tahan," sahut emak mentua saya ingatkan dia supaya tidak ikutkan sangat perasaan.
"Awak tak kena, mana awak tahu!" semakin keras bapa mentua saya merungut.
Tetapi apabila matanya sakit, dia juga merungut tidak tertahan menanggung kesakitan yang berdenyut kalau bandingkan dengan sakit gigi. Kadangkala sengaja emak mentua saya ingatkan fasal musibah yang mesti ditanggung dengan tabah. Dalam saat menanggung kesakitan demikian manalah dia pedulikan sangat apa pun dituturkan oleh emak mentua saya.
Sebab itu sukar saya mahu beritahu Mail Ketir mengenai jelmaan yang mengimbau di depan saya. Biarlah Naemah mengerang-erang menahan sakit gigi, asal sahaja perkara jelmaan itu tidak diungkit-ungkit. Tentu akan menimbulkan fitnah pula sekiranya diungkit juga mengenai jelmaan perempuan tua rambut mengerbang itu.
Memang Mail Ketir tidak mahu gigi isterinya dicabut kalau tidak rosak apa-apa. Tatkala kenang kejadian dia mengalami sakit gigi semasa kecil-kecil, tentu boleh harapkan arwah Aki Dabun. Sekiranya Aki Dabun belum meninggal dunia memang tidak bertangguh dia akan rumah sekalipun Cikgu Lasah dan Seminan cemas tidak ketahuan. Mat Jimin tidak bimbang apa-apa kalau takat ditiup angin dalam keadaan mahu menjengah mereka terkejang sakit.
Sebelum turun dari kereta memang Mat Jimin sudah cekalkan hati dengan membacakan:
Laqod ja-akum rasulum min-anfusikum 'azizun 'alaihi ma-'anittum harisun 'alai-kum bil-mu'minina ra-ufurra-rrahim, fa-in tawallau faqul hasbiyallahhu la-ilaha illa huwa 'alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul 'arsyil 'azim.
"Kenapa tu, Cik .Mat?" ujar Cikgu Lasah sebaik sahaja Mat Jimin melangkah masuk dan duduk di sebelah saya.
"Hah, kita tengoklah dulu," beritahu Mat Jimin mengerling saya lantas memerhati Siti Marliyah terkebil-kebil mata. Memang dia sendiri tidak dapat menahan kencing yang berterusan sejak berminggu-minggu.
"Perut awak senak macam mana?" segera saya usap kepala gadis sunti itu, tetapi segera dia menepis tangkas.
"Marliyah, jangan tunjuk biadap!" lantas Seminar menjegil mata dengan suara keras ingatkan anaknya disebabkan bersikap kasar.
"Bukan dia yang marah tu, Bang Seminan," Mat Jimin memujuk lelaki itu apabila menyangka Siti Marliyah marahkan saya tatkala kepalanya diusap.
Apabila saya menyuruh Mat Jimin bacakan Ayatul Kursi 33 kali tiba-tiba sahaja Mat Jimin terangkat hingga satu hasta terapung di udara. Cepat-cepat Cikgu Lasah berundur terus menyuruh Seminan pegangkan anaknya yang meronta-ronta. Terpaksa pula isterinya Bedah membantu setelah Seminan hampir terguling akibat Siti Marliyah meronta lebih kuat tenaganya.
Terkekeh-kekeh Siti Marliyah ketawa mengejek Mat Jimin terapung di udara sampai satu hasta. Tetapi Mat Jimin tidak bimbang apa-apa dalam keadaan demikian. Dia terus juga bacakan Ayatul Kursi hingga Siti Marliyah mendengus menggeleng kepala. Lama Mat Jimin terapung di udara barulah perlahan-lahan dia terhenyak duduk semula di lantai.
"Tok pakai ilmu apa ni?" gerutu Siti Marliyah mencebek bibir dengan suara serak parau. "Tok tahu tak, umur kami ni dah tiga ribu tahun!" tuturnya seolah-olah mahu mengugut.
"Fasal umur dah tiga ribu tahun, kencing pun merata-rata," jerkah Cikgu Lasah disebabkan saya tidak menyahut apa-apa.
"Kamu tak tahu hal, jangan masuk campur!" lantas Siti Marliyah mencemik muka mengejek Cikgu Lasah.
"Sepatutnya kamu jangan campur urusan Abang Seminan," ujar Mat Jirnin juruskan tapak tangan ke muka Siti Marliyah menyebabkan gadis sunti itu terjeluih muntah.
Apabila dia mahu meronta tubuhnya nnenjadi lemah longlai tidak bertenaga. Mengerang-erang dia menatap muka saya bagaikan minta belas kasihan. Tetapi saya tidak peduii apa-apa. Tatkala tubuh Mat Jimin terangkat ke udara semasa duduk bersila rapat, memang saya nampak lelaki perkasa dengan lehernya penuh kalung azimat bercekak pinggang merenung marah.
Dia cuba mahu humbankan tubuh Mat Jimin, tetapi tenaganya tiba-tiba sahaja lemah tidak berdaya menghambur. Ketika ini dia memerhati ke arah saya dengan isyarat supaya tidak membantu Mat Jimin. Sebaik sahaja Mat Jimin diletakkan semula ke lantai, barulah Ielaki berkenaan boleh bergerak.
Tatkala mengisar tangkal azimat yang terkalung di lehernya, tiba-tiba sahaja tapak tangan lelaki berkenaan melecur apabila tersentuh tangkal azimatnya. Ketika ini bukan Siti Marliyah yang membentak Cikgu Lasah, tetapi lelaki perkasa yang memakai kalung tangkal azimat itu. Tubuhnya terbayang-bayang bagaikan bersatu dengan tubuh Siti Marliyah.
"Kami ni makan upah, Tok," beritahu lelaki perkasa memakai kalung azimat itu mengharapkan saya berhenti berdoa. Dia tidak dapat bertahan apabila tangkal azimat di lehernya bertukar menjadi bara api yang menyeksa.
Lantas sahaja dia membentak marah beritahu mengenai umurnya sudah tiga ribu tahun, kalau mahu bandingkan dengan umur saya sendiri. Lelaki itu juga mengaku dia berkahwin dengan 44 orang isteri yang tunduk mematuhi perintahnya. Tidak seorang pun isterinya berani membantah, sekalipun tinggal bersama di bawah satu bumbung.
Dia sengaja mahu menakut-nakutkan saya mengenai ilmu kebatinannya yang amat tinggi. Tentu siapa juga akan menjadi gementar setelah mengetahui kehebatannya sejak sekian lama, kalau gagahi juga mahu menghalang. Tetapi saya tahu lelaki berkenaan sengaja mahu menyembunyikan ketakutan setelah tangkal azimatnya bertukar menjadi bara api.
Sebab itu saya tidak hairan sangat apabila gusi Naemah memercik darah hingga puas berkumur-kumur. Tentu kejadian yang dialami Siti Marliyah lebih teruk kalau bandingkan dengan kejadian yang menimpa Naemah. Memang Mat Ketir gelabah dalam saat demikian setelah melihat Naemah semakin banyak darah mengalir pada gusinya.
---------------bersambung