Sunday, July 23, 2017

237. RAHASIA PAWANG ULAR



MEMANG kejadian geruh seperti dialami oleh Usin Batan itu jarang berlaku, tetapi bukanlah bermakna sengaja menempah malang. Tahu sangat Usin Batan disebabkan tidak berhati-hati sewaktu memanjat pokok langsat dalam kegelapan itulah dia ditimpa geruh. Kalau dia menyuluh terlebih dahulu ke atas dahan tentulah malang demikian tidak akan menimpa nasibnya.
Gerun juga saya apabila kenangkan belitan ular sawa melingkar di tubuh. Tetapi tidak sama dengan Ulung Lihun kalau terserempak ular melintas di mana pun. Tidak bertangguh dia akan menyerbu menangkap ular berkenaan sekalipun terpaksa menyusup ke tengah belukar.
Bukan takat ular sawa sebesar batang pinang sahaja akan dijinakkannya, ular tedung selar tengah garang pun boleh ditundukkan. Cubalah ular ber-kenaan tegak dengan ekor cecah ke tanah mahu mematuk ubun-ubunnya, nescaya diserbunya tidak bertangguh. Dia akan menyambar kepala ular berkenaan hingga sama-sama berguling ke tanah.
Sebaik sahaja leher ular dicengkam, Ulung Lihun akan suakan tangannya biar dipatuk sampai meleleh darah. Apabila darah bekas dipatuk ular itu memancut segera Ulung Lihun tonyohkan muncung ular berkenaan biar habis diselaputi darah.
Dalam masa beberapa saat sahaja ular tedung selar tengah liar itu tidak akan mengangkat kepala lagi. Bila-bila sahaja ular tesebut mematuhi kemahuan Ulung Lihun. Tetapi saya tidak berani meyentuh ular tedung selar yang sudah dijinakkan oleh Ulung Lihun sekalipun dia memberi jaminan ular berkenaan tidak akan mematuk.
"Buat apa Ulung main ular?" saya mengusiknya apabila kenangkan kejadian geruh yang menimpa Usin Batan. Dia sendiri tahu kejadian yang berlaku itu, tetapi tidak pun datang menjengah. Bimbang juga dia mahu menjengah Usin Batan di hospital kalau tidak diminta membantu.
"Ular ni bukannya musuh, apa salahnya," jelas Ulung Lihun tersengih-sengih kerana menyedari saya tidak menyenangi sikapnya menangkap ular liar di tengah belukar.
Semua ular yang ditangkap akan dikurung di dalam peti kayu. Dia akan mandikan ular berkenaan setiap hari supaya sentiasa bersih. Terpaksa pula dia sediakan telur ayam untuk makanan ular yang dikurung. Setelah lebih seminggu dia mengurung ular berkenaan, Ulung Lihun akan lepaskan semula ke pinggir hutan.
Sebaik sahaja diberi tahu mengenai kejadian geruh yang menimpa Usin Batan mengeluh panjang Ulung Lihun. Dia dapat mengagak tentu ular sawa yang pernah dikurungnya berlingkar di atas dahan langsat menunggu mangsa. Manalah tahu ular berkenaan tengah kebuluran disebabkan tidak dapat menangkap mangsa akibat moyok setelah ditundukkannya.
Tahu sangat Ulung Lihun asal sahaja ular liar tengah belukar dapat ditangkap nescaya binatang itu akan bodoh beberapa bulan. Setelah dilepaskan ke tengah hutan pun ular berkenaan masih belum mampu menyambar mangsa sekalipun melintas di depannya.
"Usin Batan pun hanya luka," tutur Ulung Lihun menunduk kesal kerana menuduh dirinya bersalah menyebabkan ular sawa yang sudah bodoh menunggu mangsa di dahan langsat. "Bisa ular itu dah tak ada," dia mencecap-cecap mengerling saya.
"Nanti Ulung pula kena geruh macam tu," usik saya dalam ketawa pendek.
"Kalau dah takdir, macam mana nak elak?" lantas dia mengeluh penuh jujur.
Memang Ulung Lihun tidak bimbang apa-apa kalau diserbu ular berbisa sekalipun. Ular tedung selar yang bukan kepalang bisanya pun dapat ditundukkan, apa sangat dengan ular lain yang cuba mengganggu Ulung Lihun.
Tidak pernah pula Ulung Lihun diterpa ular. Sewaktu membantu emak saya di sawah, memang saya sendiri melihat ular sawa tiung melunsur pantas melarikan diri tatkala terserem-pak Ulung Lihun. Tetapi Ulung Lihun sendiri mengejarnya ke mana sahaja ular sawa tiung itu menyusup.
Marah juga emak saya dengan sikap Ulung Lihun gemar menangkap ular liar. Namun dia tetap tersengih-sengih mengakui ular bukannya musuh yang mesti ditakuti, kerana ular berkenaan tidak akan mengganggu selagi mereka tidak diganggu.
Tetapi siapa yang mahu mempercayakan penjelasan Ulung Lihun? Masakan Usin Bantan sengaja mahu mengganggu ular sawa yang berlingkar di atas dahan pokok langsat hingga dia dicakup. Usin Bantan sendiri tidak akan naik memanjat pokok langsat sekiranya dia menyedari ular sawa berkenaan menunggu di situ.
Tetapi saya tahu Ulung Lihun bukan takat boleh jinakkan ular liar, malah dia boleh memanggil ular jenis apa di tengah belukar. Tidak seekor pun ular bersembunyi sebaik sahaja dia bersiul nyaring hingga berkumpul di depannya. Ulung Lihun akan menangkap beberapa ekor ular bisa disangkutkan ke lehernya, sementara yang selebihnya disuruh balik semula menyusup ke dalam belukar.
Memang dia tetap berahsia kalau ditanyakan kenapa gemar bermain ular bisa. Ayahnya Aki Sokol pun tidak tahu di mana Ulung Lihun menuntut sampai boleh jinakkan ular liar. Hanya yang Aki Sokol sedari semasa mengajak Ulung Lihun memanjat pokok pulasan jauh di hulu kampung semasa negeri masih lagi darurat.
Siapa pun tidak lagi tinggal di hulu kampung setelah diperintah berpindah ke dalam kampung berpagar. Tetapi Aki Sokol tidak tinggal di dalam kampung berpagar, sebaliknya berpindah ke kampung lain. Apabila musim buah-buahan, dia datang juga berbasikal ke hulu kampung berdekatan hutan besar.
Semasa memanjat pokok pulasan Aki Sokol biarkan anaknya Ulung Lihun mengutip buah yang digugurkan ke bawah ke dalam guni. Apabila dia naik ke atas sedikit, Aki Sokol. berdebar melihat seekor harimau belang terbaring tidur di tengah belukar lalang. Bimbang juga Aki Sokol sekiranya binatang tersebut terkejut lantas bangun menerkam.
"Lihun, jangan bising-bisng ye," bisik Aki Sokol di antara kedengaran dengan tidak dari atas pokok.
"Kenapa pula, ayah?" laung Ulung Lihun dari bawah pokok meyebabkan Aki Sokol bertambah cemas.
"Cakap cakap kuat-kuat," ujar Aki Sokol mengerling harimau yang masih tidur di tengah belukar lalang memanjang.
Belum sempat dia menyuruh Ulung Lihun naik memanjat pokok, tiba-tiba sahaja dia nampak anaknya mara ke tubir bukit dipenuhi lalang memanjang. Aki Sokol terpempan apakala melihat Ulung Lihun sengaja mendekati harimau berkenaan tengah tidur.
Lantas sahaja disepaknya kepala harimau itu menyebabkan terkejut binatang itu mahu menerkam. Tetapi sebaik matanya terjengil merenung Ulung Lihun, harimau itu menggeleng-geleng terus berjalan lemah melenggang mendaki bukit di hadapannya.
"Hah, buat apa nak takut-takutkan orang!" Ulung Lihun bercekak pinggang memerhatikan harimau itu melenggang perlahan meninggalkan kawasan dusun buah-buahan di pinggir bukit.
"Kau jangan berani-berani buta, Lihun!" lantas sahaja Aki Sokol ingatkan dia setelah turun mengumpulkan buah-buah pulasan yang sudah dipetik.
"Kita bukan cari dia," sahut Ulung Lihun tersengih-sengih disebabkan ayahnya cemas sangat.
"Harimau tu bukannya macam kucing, tahu!" marah juga Aki Sokol dengan sikap anaknya. Lantas sahaja dia mengajak balik dengan tidak bercakap sepatah pun sepanjang perjalanan.
Tetapi Aki Sokol juga tetap merahsiakan kejadian yang dilihatnya semasa memetik buah pulasan. Siapa pun tidak tahu mengenai Ulung Lihun sengaja menghalau harimau tengah tidur dengan penyepak kepalanya. Memang Aki Sokol tidak menduga langsung bagaimana anaknya dalam usia belasan tahun sudah berhadapan dengan harimau.
Kalau tidak disebabkan kambing Nenek Aji dibelit ular sawa sebesar pokok pinang, memang Aki Sokol tidak pernah beritahu sesiapa pun mengenai pengalamannya bersama Ulung Lihun di hulu kampung. Tatkala kambing di dalam reban mengembik panjang, Nenek Aji turun membawa suluh. Tetapi segera ditegah oleh Tok Aji setelah dapat mengagak tentu kambing tersebut dibelit ular.
Tok Aji merasakan tidak perlu lagi mahu membantu sekiranya kambing berkenaan mati dibelit ular sawa. Tetapi Nenek Aji tidak berputus asa segera dia memanggil Aki Sokol supaya bunuh juga ular sawa yang menceroboh masuk ke kandang kambing.
Dalam keadaan serba salah inilah Aki Sokol bertanyakan pada Ulung Lihun sama ada boleh membantu. Betapa marahnya isteri dia Itam Tisah apabila harapkan Ulung Lihun membunuh ular sawa sebesar batang pinang.
"Lihun yang nak awak harapkan?" menggertap bibir Itam Tisah sebaik sahaja Aki Sokol mengajak anaknya membantu.
"Ah, ular to kalau kenyang tak mengusik," Ulung Lihun memujuk emaknya lantas turun mengekori ayahnya bersama Nenek Aji ke kandang kambing.
Ketika mereka sampai di kandang kambing mereka melihat ular sawa sudah membelit mangsanya. Tok Aji sekadar mengeluh pendek menyuluh ke arah kambing yang sudah tidak bergerak lagi dalam jeritan ular sawa itu. Bukan takat Itam Isah sahaja, dia sendiri yang berdiri di sisi Tok Aji terkejut melihat Ulung Lihun terus sahaja masuk ke dalam kandang.
Memang ular sawa tengah bergelut dengan mangsa tidak akan mempedulikan sesiapa pun. Sebab itu mudah sahaja Ulung Lihun mencekak leher ular sawa terus diheretnya keluar kandang. Setelah keluar dari kandang barulah kambing itu terlepas dari belitannya sekalipun sudah terkejang mati.
"Kalau lapar pun, buat apa ceroboh kandang kambing orang!" tersengih-sengih Ulung Lihun menyuruh ular sawa berkenaan mematuk tangannya.
Tetapi ular sawa berkenaan bukan sahaja mematuk tangannya malah terus membelit kuat lengan Ulung Lihun. Akibat cerutan yang kuat itu merah padam juga muka Ulung Lihun menahan kesakitan. Cemas juga Itam Tisah dengan keadaan anaknya hingga dia becok membebel tidak menentu seolah-olah menyalahkan Aki Sokol.
Dalam masa beberapa minit sahaja ular sawa itu mula mengendurkan belitannya setelah mulutnya ditonyoh dengan darah di tangan Ulung Lihun bekas patukannya.
"Dalam belukar banyak makan, buat apa cerobok kandang kambing ni?" ujar Ulung Lihun terus membawa ular sawa yang ditangkapnya balik ke rumah.
"Jangan dibawa balik, Lihun," jerit Itam Tisah bimbang kalau ular tersebut terlepas. Sudah tentu manusia juga akan menjadi mangsa sekiranya ular tengah kebuluran itu terlepas dari kurungan Lihun.
Tetapi Ulung Lihun tidak peduli pun laungan emaknya menegah. Dia terus meninggalkan kandang kambing dengan tidak bercakap apa-apa. Biarlah keluarga semua cemas, namun dia sudah buktikan ular liar yang tengah kebulur pun boleh dijinakkan kalau amalkan petua yang betul.
Beberapa kali juga saya mendesak Ulung Lihun, dia tetap berahsia menyembunyikan petua amalannya. Malah dia tidak benarkan saya menuntut amalan tersebut. Ulung Lihun sekadar memberitahu dia mendapat petua itu hanya melalui mimpi sahaja.
"Nanti marah Tok Aji, kalau Angah nak tuntut ilmu macam ni!" Ulung Lihun ingatkan saya kerana disangkanya saya bersungguh-sungguh sangat mahu mempelajari.
Memang tidak terniat saya mahu mempelajarinya. Jangan kata mahu menangkap ular tengah belukar, nampak sisiknya pun saya sudah geli gelemam. Tetapi saya sekadar mahukan rahsia bagaimana Ulung Lihun mampu tundukkan ular garang yang meliar itu.
Berkali-kali ditanya pun Ulung Lihun tetap memberi tahu dia sekadar bermimpi. Masakan dalam usia belasan tahun sepertinya mahu orang lain memberi petua menangkap ular-ular bisa. Siapa pun yang amalkan petua orang tua-tua tidak akan turunkan amalan mereka pada budak-budak berumur belasan tahun.
Jarak umur Ulung Lihun dengan saya pun lebih kurang sebaya sahaja. Sebab itu hubungan saya dengannya seperti kawan-kawan biasa sahaja sekalipun memang pangkat bapa saudara. Beberapa kali didesak ayahnya supaya belajar di madrasah Tok Aji, dia tetap berdalih. Ulung Lihun lebih rela membuat kerja-kerja berat membantu ayahnya daripada belajar di madrasah berkenaan.
Bukan takat mencucuk atap sahaja, malah dia juga akan memanjat sigai menetak pelepah rembia. Dia sanggup menoreh getah tua dengan memikul tangga di lereng bukit. Ulung Lihun tidak peduli apa-apa asal sahaja boleh mendatangkan wang.
Kadangkala Aki Sokol juga tidak bimbang apa-apa kalau pagi-pagi lagi Ulung Lihun sudah ke kebun getah di pinggir hutan. Biarlah anak muda macam Ulung Lihun sanggup membuat kerja-kerja berat dalam saat keluarga mereka hidup susah di kampung. Apalagi dalam masa perintah darurat semua makanan dibeli pun dicatu.
Ketika Ulung Lihun menoreh pagi-pagi, Aki Sikol turun ke sawah bersama Itam Tisah dan anak-anak yang lain. Dia tidak bimbang lagi fasal mencari duit kerana Ulung Lihun sudah boleh diharap. Lagi pun umur bleasan tahun bukanlah kecil sangat kerana hampir juga mencecah- dua puluh tahun. Kalau berkahwin sudah tentu Ulung Lihun sudah boleh menjadi ayah juga.
Semasa dia sampai di kebun mahu mulakan menoreh pada suatu pagi, tiba-tiba namanya dipanggil ornag. Ulung Lihun tidak bimbang apa-apa. Kalau orang yang memanggil tahu namanya sudah tentu orang yang sudah biasa rapat dengan dia.
"Pakcik Mahat Tabung ke?" sahut Ulung Lihun memerhati ke arah belukar yang berbalam-balam. Lantas sahaja dia menuduh Mahat Tabung memanggilnya kerana mereka menoreh getah bersempadan kebun.
Tetapi lelaki yang memanggilnya tidak menyahut apa-apa. Dia terus meranduk keluar kebun getah tua itu terbatuk-batuk kecil. Segera Ulung Lihun memasang lampu di kepala lagi memudahkan dia menoreh getah dalam kesamaran pagi yang belum pun cerah sangat.
"Tak menoreh ke pagi ni, Pakcik Mahat Tabung?" Ulung Lihun mengusik kerana lelaki itu tercegat berdiri membelakangkannya.
"Banyak duit, kalau dada kosong, buat apa?" lelaki di dalam kesamaran gelap itu menyahut seolah-olah mengejek-nya.
"Kalau Pakcik Mahat Tabung ada ilmu, turunkan pada aku," ular Ulung Lihun sengaja mahu mengusik. "Pakcik Mahat Tabung pun dah tua, takkan ilmu nak bawa mati!" dia memerhati lelaki itu di balik rimbunan belukar yang berbalam-balam.
"Ilmu ni kena berguru, bukan boleh turun, turun aje!" lelaki berkenaan mengingatkan.
Tetapi ketika ini Ulung Lihun mendengar jauh di tepi sempadan Mahat Tabung bersiul-siul nyaring menandakan lelaki itu baru sahaja menjejakan kaki. Memang Ulung Lihun juga memahami jarang Mahat Tabung cepat sampai ke kebun. Kadang-kala matahari sudah naik segalah baru dia masuk ke kebun menoreh getah.
Sekiranya dia tidak berminat mahu menoreh Mahat Tabung terus mendapatkan Ulung Lihun berbual-bual panjang. Sebab itu dia sudah dapat mengagak masakan Mahat Tabung yang dilayannya bercakap di sebalik belukar berbalam-balam.
Setelah kawasan kebun mulai cerah melayan, Ulung Lihun memerhatikan ke kawasan belukar tempat lelaki itu berdiri. Berdebar benar hatinya apabila melihat jejak harimau di tanah dengan bulu-bulu berbelang kuning kemerah-merahan dan hitam bertaburan. Tetapi hati anak muda tengah berdarah panas seperti Ulung Lihun tidak pernah merasa gementar apa-apa.
"Pakcik Mahat Tabung, baru .sampai ke?" laung Ulung Lihun di tengali siulan mendayu-dayu di sebarangsempadan kebun.
"Hah, baru sampai, aku mengantuk Lihun," sahut Mahat Tabung terhenti bersiul setelah dilaung oleh Ulung Lihun. Dia tidak perlu menjengah Ulung Lihun ke kebun, dengar laungan di balik bukit pun Mahat Tabung boleh cam suara Ulung Lihun.
 "Mengantuk, balik tidurlah!" ujar Ulung Lihun dengan laungan memanjang untuk mengurangkan rasa bosan tatkala berseorangan menoreh di tengah belukar kebun getah. Kalau tidak kedengaran suara laungan di sebelah sempadan terasa bunyi sangat.
"Nak tidur, di pangkal pokok getah ni pun boleh tidur," hilai ketawa Mahat Tabung menyambut laungan Ulung Lihun. Kemudian dia terus bersiul mendayu-dayu dengan lagu tidak tentu irama.
Habis sahaja menoreh sementara menunggu getah turun ke mangkuk yang ditadah, sengaja Ulung Lihun menjengah ke sempadan kebun mencari Mahat Tabung. Lelaki itu tersengih-sengih apabila nampak Ulung Lihun datang ke situ. Setidak-tidaknya boleh juga dilawan berbual semasa dia terbongkok-bongkok menoreh.
Lagi pun mereka juga saling kunjung mengunjungi disebabkan kebun yang ditoreh bersempadan. Kebun yang ditoreh Ulung Lihun pun kepunyaan emak Mahat Tabung. Sudah tentulah Mahat Tabung yang sentiasa uruskan kebun getah tua yang terpaksa gunakan tangga menorehnya itu.
Cuma Ulung Lihun satu-satunya yang sanggup menoreh gunakan tenaga untuk memanjat sampai ke dahan akibat kulit pokok sudah habis ditoreh. Siapa mahu menebang pokok getah dalam masa negeri perintah darurat. Pergi menoreh ke kebun pun tunggu sehingga selepas 6.00 pagi baru boleh jejak kaki ke kebun.
Lainlah Ulung Lihun dengan sikap keras hatinya. Dia tetap akan ke kebun sejak gelap subuh sekalipun dilarang oleh pemerintah ketika itu. Ulung Lihun tidak peduli sama ada dia akan ditembak atau tidak sekiranya meranduk belukar kebun getah sebelum jam 6.00 pagi. Sudah bertahun-tahun dia menoreh tidak pula pernah geruh menimpanya dengan terserempak pasukan bersenjata yang meronda di situ.
"Kau jangan berani sangat datang pagi-pagi, Lihun!" ujar Mahat Tabung sebaik menyedari Ulung Lihun sudah selesai menoreh, hanya menunggu getah habis menitik ke dalam mangkuk yang ditadah sahaja.
"Kalau nak mati, di tempat tidur pun boleh mati, Pakcik," tersengih-sengih Ulung Lihun memerhati lelaki itu tidak lagi bersiul sebaik sahaja dia menjengah di situ. Tahu sangat dia asal sahaja Mahat Tabung sampai ke tengah kebun getah tentu dia akan bersiul mendayu-dayu.
Mahat Tabung tidak peduli apa pun irama lagu. Asal sahaja dia berlagu, cukuplah. Kadangkala dia akan bersorak-sorak kuat dengan harapan Ulung Lihun akan menyahut dengan laungan. Memang sikapnya macam kurang siuman, tetapi Ulung Lihun tahu lelaki itu sekadar mahu mencari kawan.
"Ini bukan fasal mati, Lihun," Mahat Tabung mencebek bibir tatkala mengorek getah buku dari mangkuk berselaput. "Macam mana kalau kena tangkap?" dia tetap nasihatkan Ulung Lihun supaya tidak ikutkan sangat darah muda tengah panas.
"Kalau nak kena, apa nak buat Pakcik?" gerutu Ulung Lihun membersihkan getah yang melekat di jari tangannya.
"Aku cuma nak ingatkan kau," tutur Mahat Tabung mengalah dengan sikap keras hati Ulung Lihun.
Memang Mahat Tabung tidak peduli apa-apapun kalau Ulung Lihun terserempak pasukan keselamatan sebelum 6.00 pagi di kebun getah di pinggir hutan. Bila-bila sahaja mereka boleh melepaskan tembakan dalam masa negeri perintah darurat. Sebab itu dia ingatkan Ulung Lihun supaya tidak tunjuk sangat keras hati.
Tetapi terkejut juga Mahat Tabung apabila ditanyakan oleh Ulung Lihun mengenai dia sudah jejak kaki ke kebun sejak subuh gelap lagi. Siah malaikat empat puluh empat dia tidak akan ke kebun kalau perintah berkurung tidak habis sehingga 6.00 pagi. Mahat Tabung tidak akan me-nempah bala semata-mata mahu menoreh awal sangat.
"Agaknya kau bercakap dengan orang jahat tu," jelas Mahat Tabung dengan mata meliar memerhati keliling. Bimbang juga dia setelah diberi tahu oleh Ulung Lihun terserempak lelaki di kawasan kebun. Nescaya lelaki itu orang jahat yang sengaja mahu berselindung di situ.
Sebaik sahaja diberitahu oleh Mahat Tabung mengenai kejadian sebelah pagi Ulung Lihun melihat lelaki di kebun getah tempat dia menoreh, tidak bertangguh kampung berkenaan di kawal pasukan keselamatan. Siapa pun tidak dibenarkan lagi menoreh ke kebun di pinggir hutan.
Terpaksalah Ulung Lihun mematuhi juga perintah setelah Aki Sokol melarangnya ke kebun menoreh getah. Biarlah Ulung Lihun membantu bekerja di sawah sahaja. Padi banyak di kepuk pun boleh dijual sampai berguni-guni kalau mahukan wang. Apalah salahnya Ulung Lihun berhenti sahaja menoreh sementara keadan di kampung dapat dipulihkan semula.
Tidak lama selepas itulah Ulung Lihun bermimpi menemui orang yang terserempak di kebun getah. Lelaki itu berbulu bagaikan belang harimau, dengan ular penuh berlingkar di merata badan. Tersengih-sengih lelaki itu mengejek dia kerana cepat sangat memberi tahu Mahat Tabung pertemuan mereka.
 "Aku ni pawang ular," beritahu lelaki itu semacam kecewa dengan sikap Ulung Lihun.
"Mana aku tahu fasal tok pawang, lainlah kalau tok pawang beritahu," lantas dia menyahut tidak bimbang apa-apa.
Sikap gila-gila bahasa Ulung Lihun memang seisi kampung sudah memahaminya. Sebab itu dia tidak bimbang apa-apa pun kalau berhadapan dengan musuh.. Apa sangat dengan pawang ular yang ditemuinya di dalam mimpi, bila-bila masa pun dia tidak akan berundur.
"Aku tahu hati kau berani," Pawang Ular memberi tahu dia bagaikan memujuk. "Tapi berani saja tak cukup, kalau dada kosong," dia ingatkan Ulung Lihun supaya digeruni binatang-binatang liar kerana selalu menoreh bersempadan dengan hutan.
Setelah dipujuk oleh Pawang Ular itulah Ulung Lihun bersetuju melakukan apa sahaja. Dia rela tidur bersama berpuluh-puluh ekor ular berbisa sepanjang malam sekalipun terasa ngeri di dalam mimpinya. Tiga malam berturut-turut Ulung Lihun merasakan di antara sedar dengan tidak dia dikerumuni ular-ular berbisa.
Bukan takat ular kapak, ular tiung, ular tedung senduk sahaja menjalar di seluruh tubuhnya, malah ular tedung selar juga melilit hingga menyusup ke bawah selimut. Ulung Lihun tidak boleh bergerak setelah diingatkan petuanya oleh Pawang Ular.
Selepas itulah pula Ulung Lihun merasakan seekor ular sawa sebesar tiang membelit tubuhnya. Cerutan ular sawa itu bertambah kuat hingga hampir dia tidak boleh bernafas. Tetapi Pawang Ular sudah ingatkan dia supaya jangan bergerak sedikit pun tatkala ular berkenaan laku-kan apa pun.
Mahu dikatakan dia bermimpi, Ulung Lihun masih sedar keadaan di kelilingnya. Rumahnya memang sepi disebabkan malam kian dinihari. Hanya sekali sekala kedengaran kuang sayup-sayup jauh di rimba. Memang dia percaya tidak tidur pun ketika ular sawa sebesar tiang itu membelit tubuhnya. Tetapi dari mana pula ular berkenaan menjalar naik ke tempat tidurnya.
Mungkin juga ular tersebut memanjat tiang serambi melalui kepala tiang sebelum menjalar ke tempat tidurnya di hujung serambi. Mahu menjerit memanggil ayahnya terasa suaranya tenggelam jauh di kerengkung. Dalam saat demikian memang Ulung Lihun sudah tidak mengharapkan apa-apa pun pertolongan lagi selain dari tenaganya sendiri.
Ular sawa berkenaan menjilat seluruh tubuh Ulung Lihun hingga mencecah lubang telinga dan celah kangkang juga. Setelah dijilat ular sawa itu sedikit demi sedikit cerutan yang kuat di tubuhnya mulai kendur. Dia nampak ular sawa tersebut menjalar memanjat tiang sebaik sahaja habis menjilat seluruh tubuh Ulung Lihun.
Setelah ular tersebut menjalar keluar cepat-cepat Ulung Lihun bingkas bangun. Sempat juga dia melihat ekor ular sawa berkenaan hilang di kepala tiang hingga terdengar geselan tubuhnya menuruni tiang hujung serambi turun ke tanah. Ketika ini Ulung Lihun tahu dia bukan lagi bermimpi. Malah seluruh badannya terasa sengal-sengal di segenap sendi.
Menjelang pagi barulah sengal-sengal seluruh badannya hilang. Tetapi dia merasa demam hingga tidak larat mahu turun ke sawah membantu emaknya. Merungut juga Aki Sokol disebabkan tiba-tiba sahaja Ulung Lihun memberi tahu mengenai dirinya demam walhal sejak semalamnya tidak pun ada tanda-tanda dia mengidap apa-apa penyakit.
Hingga jam 10.00 pagi baru Ulung Lihun turun ke sungai mahu mandi setelah seluruh tubuhnya berpeluh. Apabila peluh memercik banyak menandakan demamnya juga semakin beransur sembuh. Tatkala mahu menuruni tebing Sungai sekaligus ular tedung senduk melintas. Belum sempat Ulung Lihun mengelak tidak bertangguh ular hitam itu mengangkat kepala dengan leher mengembang terus mematuk.
Terasa juga berbinar-binar mata Ulung Lihun menahan kesakitan akibat taring ular yang bengkok itu terbenam di buku lali kaki. Terduduk dia disebabkan lututnya juga terasa sengal sebaik sahaja dipatuk ular tedung senduk yang masih tercegat di hadapannya mengangkat kepala.
Dalam masa Ulung Lihun masih terpinga-pinga seekor ular tedung selar kemerah-merahan menjalar pantas dari tengah belukar. Ular tedung selar menegakkan tubuhnya dengan ekor cecah ke tanah hingga bayangnya menyinggahi ular tedung senduk itu.
Terlingguk-lingguk ular tedung senduk itu mendekatkan semula kepalanya ke kaki Ulung Lihun. Kalau ular berkenaan mahu mematuk pun Ulung Lihun terpaksa menyerah sahaja di-sebabkan kakinya yang sengal akibat dipatuk itu terasa berat berpikul-pikul hingga tidak boleh diangkat lagi.
Lantas sahaja ular hitam itu menyondolkan kepalanya ke bahagian luka di buku lali kaki Ulung Lihun bekas dipatuknya. Sebaik sahaja muncungnya dipenuhi darah yang keluar dari bekas luka, ular tedung senduk mula menjalar semula. Kemudian terus naik ke atas ribaan Ulung Lihun seolah-olah mengaku tidak akan menyerang lagi. Sewaktu matanya berkedip Ulung Lihun melihat ular tedung selar di hadapannya disilau cahaya matahari hingga berbayang-bayang menjadi Pawang Ular yang ditemuinya di dalam mimpi. Memang tubuh Pawang Ular berbulu laksana belang harimau dengan mukanya bersisik bagaikan ular sawa.
"Tak ada binatang melata di bumi boleh tundukkan kau, Lihun," tersengih-sengih Pawang Ular menegurnya lantas duduk di perdu pokok kelepung di tebing sungai.
"Hah, macam takbur aje bunyinya, tok pawang!" sahut Ulung Lihun masih dilingkari oleh ular tedung senduk di lengannya. Teragak-agak juga di mahu memegang ular berkenaan sekalipun terasa geli gelemam akibat dijalari demikian.
"Ikutlah macam mana petua aku tu," beri tahu Pawang Ular tersenyum dengan gelagat Ulung Lihun yang jelas bodoh-bodoh alang perangainya.
Semenjak itulah Ulung Lihun tidak bimbang lagi menangkap ular liar kalau terserempak di mana-mana. Tetapi menjadi pantang larangnya tidak boleh membunuh seekor pun ular yang ditangkapnya. Bukan takat ular sahaja, kalau ke hutan pun Ulung Lihun tidak akan menjerat apa memerangkap binatang liar. Dia sekadar mencari buah petai atau umbut nibung sahaja.
Setelah beberapa tahun dia bertemu Pawang Ular itu, Ulung Lihun juga tetap berpegang kuat pada pantang larangnya. Dia tidak akan berburu binatang hutan sekalipun didesak kawan-kawan. Sewaktu saya mengajaknya ke hulu jeram memancing ikan bersetuju sangat Ulung Lihun apabila diajak meranduk hutan.
Sengaja dia mengajak berkhemah di atas pasir sungai di sebelah malamnya. Memang saya juga merasa seronok sekali-sekala ikut cadangan Ulung Lihun berkhemah di hulu jeram. Sewaktu berbaring selepas solat saya mendapati Ulung Lihun menghilang di dalam kegelapan malam. Bimbang juga saya di tepi air demikian memang kegemaran ular sawa bermain.
Sebelum itu memang dia merungut disebabkan bau busuk seperti bangkai di tempat khemah dipasang. Tetapi bau busuk itu hanya sekali-sekala sahaja. Sebab itu saya beranikan juga hati menjengah keluar. Manalah tahu kalau ular sawa menjalar datang, sempat juga mengelak kan diri daripada terperangkap.
Kemudian saya ikuti jejak Ulung Lihun di atas pasir hingga naik ke atas batu jeram. Memang menggeleng kepala saya apabila jauh di bawah jeram Ulung Lihun tengah mandikan seekor harimau sedang minum di situ. Saya percaya bau busuk yang berwap-wap sebelum itu memang harimau berkenaan tengah terkuap-kuap. Tentu Ulung Lihun yang mengembalanya turun ke bawah jeram supaya tidak boleh saya lihat harimau berkenaan berbaring berhampiran.
Tetapi saya tidak pernah beritahu Ulung Lihun mengenai kejadian di jeram itu sampai bertahun-tahun lamanya semenjak saya meninggalkan kampung halaman. Bukanlah saya mahu berahsiakan sangat. Manalah tahu Ulung Lihun akan tersinggung sekiranya kejadian dia jinakkan harimau tengah hutan diketahui oleh orang-orang kampung.
Memang rahsia Ulung Lihun boleh tundukkan binatang liar itu tidak dapat disembunyikan juga. Seisi kampung tahu juga fasal kebolehan dia sehingga orang-orang kampung sendiri menganggap Ulung Lihun memang pawang ular. Asal sahaja sesiapa dipatuk ular bisa nescaya mereka akan serbu rumah Ulung Lihun.
Hinggalah saya diberi tahu oleh ayah saya mengenai Ulung Lihun jatuh sakit hingga terkejang berminggu-minggu setelah terkejutkan cacing gelang-gelang. Hairan juga isterinya Utih Demah suaminya yang dikenali oleh orang-orang kampungnya sebagai pawang ular tiba-tiba terkejut tatkala terpijak cacing gelang-gelang menyebabkan"dia terkejang sakit.
Tiga malam ayah saya mengunjungi Ulung Lihun yang terkebil-kebil mata sahaja tidak bergerak. Utih Demah anak beranak juga sudah mula meratapi nasib yang menimpa suaminya yang terkejut hingga terkejang' tidak bergerak-gerak. Terpaksa pula Utih Demah anak beranak sudukan bubur biar Ulung Lihun dapat disuap makan.
Ketika saya balik ke kampung menziarah keluarga, ayah saya lantas sahaja mengajak ke rumah Ulung Lihun setelah orang-orang kampung bersetuju bacakan Yassin beramai-ramai. Memang terkejut juga saya diberi tahu mengenai penyakit yang dihidapi oleh Ulung Lihun semata-mata disebabkan terkejut setelah terpijak cacing gelang-gelang umpan anaknya mahu memancing ikan.
Lantas saya dapat mengagak sewaktu memancing di hulu jeram memang Ulung Lihun tidak umpankan cacing. Dia umpankan ulat lundi yang dikorek di tanah gembur. Tentu ikan sebarau di olak jeram galak menyambar asal sahaja dihulur-kan kail yang diumpan dengan ulat lundi.
"Terkejutkan cacing, dia jadi macam ni, Angah," tersedu-sedu Utih Demah menjelaskan dalam keharuan yang menyebak di dada.
Saya mengangguk. Perkara terkejutkan cacing tidak penting sangat. Kadangkala untuk jadi peringatan juga, kerana seseorang yang mampu tundukkan binatang ganas di tengah hutan tiba-tiba tidak bermaya akibat terkejutkan cacing. Dia sendiri tahu cacing gelang-gelang itu jadi permainan anak-anaknya buat umpan memancing ikan di lubuk.
Selesai sahaja dibacakan Yassin, keadaan Ulung Lihun tidak juga berubah. Matanya sahaja terkebil-kebil tetapi tubuhnya mulai berpeluh. Dia tidak bergerak pun, apatah lagi mahu mengeluh menahan kesakitan. memang masing-masing tidak tahu apa sebenarnya yang dihidapi oleh Ulung Lihun.
Segera saya membongkok dan perlahan-lahan azan di telinganya sebelah kanan tujuh kali, diikuti dengan membaca surah at-Tariq. Kemudian saya hembus pada ubun-ubunnya dengan al-Fatihah tiga kali, surah al-Ikhlas tiga kali, surah al-Falaq tiga kali dan surah an-Nas tiga kali juga.
Dalam keadaan Ulung Lihun masih juga terkejang saya letak-kan tapak tangan ke atas dadanya dengan membacakan doa:
Bal-nuqzifu bil-haqqi 'ala-bathili fayad maghuhu fa-iza huwa • hiqun, walakumul wailu mimma tusifun. .
"Sabarlah Demah," bisik ayah saya mendekati Utih Demah yang masih sugul. "Sama-samalah berdoa dengan Angah tu," dia ingatkan perempuan itu supaya tidak berputus asa.
"Jiran-jiran memang desak hantar ke hospital," saya benar Utih Demah dengan keadaan Ulung Lihun. Tetapi dia, tidak boleh berkeras kalau. Aki Sokol dan Itam Tisah tidak bersetuju dibawa ke hospital.
Memang Aki Sokol juga sudah membakar kemenyan mengubati penyakit anaknya, sampai gunakan mayang pinang dara buat semah dengan bertih tujuh piring. Tetapi dia tidak berputus asa sekalipun gagal memulihkan anaknya akibat terkejut setelah terpijak cacing gelang gelang itu.
Apabila balik semula ke rumah ayah saya, memang emak saya juga hairan bagaimana Ulung Lihun yang boleh tundukkan binatang ganas di hutan, tiba-tiba menjadi lemah longlai terkejutkan cacing gelang-gelang. Apa sangat cacing gelang-gelang kalau bandingkan dengan ular tedung selar yang bisa kalau mematuk.
Sewaktu bersiap-siap untuk balik semula ke rumah saya, Mat Jabit anak Ulung Lihun memberi salam dari tengah halaman. Tersengih-sengih dia memberi tahu ayahnya sudah boleh bangun sejak subuh lagi. Berkali-kali Ulung Lihun bertanyakan saya kepada isterinya.
"Mana Angah, mana Angah?" tuturnya sebaik sahaja menggeliat-geliat lantas duduk mengusap-usap muka. Utih Demah dapat mengagak tentu Ulung Lihun dapat meneka saya duduk di sisinya hingga ke dinihari. Sebab itu dia desak anaknya jemput juga saya datang menjengah suaminya.