Sunday, January 21, 2018

263. RENGEKAN BAYI DEKAT TELAGA


JIran-jiran berhampiran semua dikejutkan walaupun sudah hampir jam 2.00 pagi. Mereka semua bergegas ke rumah Bedah sebaik saja diberitahu mengenai Delit dijumpai tertiarap tidak sedarkan diri semasa ke jamban membuang air besar. Mereka sudah dua malam berturut-turut ke rumah Razak kerana Saridah dirasuk bajang.
Delit terlentang di tengah rumah sejak dipapah naik oleh Alim dan Bedah. Nafasnya saja termengah-mengah. Mulutnya berbuih-buih bagaikan orang diserang sawan babi. Tetapi mereka tahu Delit tidak pun mengidap sakit sawan babi. Sudah lama mereka hidup berjiran memang tidak pernah pun didengar fasal Delit kena sawan babi itu.
Lagi pun kalaulah kena sawan babi tentulah Delit menyondol-nyondol ke Iantai. Sebaliknya dia hanya terlentang saja tidak bergerak-gerak. Nafasnya turun naik termengah-mengah bagaikan lepas berlari diserbu anjing gila.
"Tak panggil ayah kau, Bedah?" tanya Mak Jidah bila dilihatnya mereka semua mengadap saja dengan tidak berbuat satu apa pun.
"Dah, Alim pergi dengan Anjang Mamud" beritahu Bedah perlahan. "Ayah di rumah Saridah lagi agaknya. Orang tu berubat, cukupkan tiga malam, malam ni" katanya.
Lama juga mereka menunggu Alim dan Anjang Mamud balik dari rumah Saridah. Sudah jam 2.00 pagi tentulah Pak Jubin selesai mengubati Saridah. Boleh jadi juga Pak Jubin sudah batik ke rumah. Tetapi se-masa Anjang Mamud ke rumah Pak Jubin, memang Mak Tinah emak Bedah sendiri beritahu suaminya masih di rumah Saridah. Sebab itulah Anjang Mamud mengajak Alim ke sana.
Ketika ini Mak Tinah juga sudah terjongol apabila mendengar menantu nya tiba-tiba saja dijumpai tidak sedarkan diri tertiarap dekat telaga. Mungkin Delit menjadi mangsa bajang yang mengganggu Saridah kerana dia mesti mencari sasaran kepada keluarga Pak Jubin sendiri.
"Tak boleh kita biarkan macam ni aje  " rungut Mak Jidah memerhatikan Delit terlentang tidak bergerak-gerak.
"Sabarlah dulu, kita tunggu sampai Anjang Mahmud dan Alim balik menjemput Pak Jubin" sahut Kak Cum menyabarkan Mak Jidah. Dia tahu Mak Jidah tidak sabar melihat Delit terlentang demikian. Itulah juga yang dialami oleh emak Delit dulu semasa suaminya Mat Natar mengubati orang dirasuk pelesit.
Semua orang tahu aruah Injah Juling mati disebabkan pelesit membalas dendam. Terbeliak mata nya terbalik sampai terkinjal-kinjal kaki tangan menahan ketar. Seluruh tubuhnya bertukar menjadi kejang hinggalah dia menutup matanya. Mak Jidah tidak mahu apa yang berlaku ke atas aruah kakaknya Injah Juling itu terkena pula pada anak saudaranya sendiri Delit.
Kalau Injah Juling terkena bahana pelesit membalas dendam disebabkan suaminya mengubati orang dirasuk pelesit, Mak Jidah tidak mahu anak saudaranya menjadi mangsa bajang semata-mata kerana bapa mertuanya mengubati Saridah dirasuk bajang. Lain Iah kalau keluarga Pak Jubin yang menjadi mangsa!
"Tak boleh sabar macam ni, Cum" Mak Jidah mangerling ke arah Kak Cum. Tersinggung juga dia dengan sikap Kak Cum yang tidak ambil berat dengan keadaan Delit. "Dulu maknya, fasal sabar, sabar  macam inilah. lnilah kerja berdukun, tak betul-betul keluarga sendiri jadi mangsa" ujarnya seolah-olah melepaskan geram kepada Pak Jubin yang mengubati orang tetapi menantu sendiri menjadi mangsa.
"Eh, kalau Jubin tak datang, kita nak buat macam mana?" Mak Tinah pula mendengus dengan sikap Mak Jidah. Bukan sengaja mereka semua membiarkan Delit terlentang begitu. Cakap Mak Jidah itu seolah-olah menyindir suaminya sendiri. Tentu Mak Jidah menuduh suaminya yang menyebabkan Delit menderita diganggu bajang.
Tidak patut Mak Jidah menuduh demikian. Kalau dia bimbang anak saudaranya sendiri terlentang tidak bergerak-gerak, dirinya sendiri juga lebih lagi. Delit itu menantunya. Kalau apa apa menimpa diri Delit, tentulah dia juga menanggung sama.
Mak Jidah mengerling ke arah Mak Tinah, tetapi dia tidak berkata apa-apa. Bimbang juga dia kalau Mak Tinah tersinggung. Setidak tidaknya Mak Tinah itu berbisan juga dengan dia, tidak patut dia menyinggung luka hati perempuan tersebut.
Selepas 15 minit Alim dan Anjang Mamud pergi menjemput Pak Jubin di rumah Saridah, mereka berdua balik dengan hampa. Terjelepoh saja Anjang Mamud duduk di pangkal serambi macam termengah-mengah walaupun bukanlah Ietih sangat. Rumah Saridah pun bukanlah jauh sangat dari rumahnya. Kalau dilaung kuat pun boleh kedengaran.
"Ayah ke hutan dengan abang Razak" beritahu Anjang Mamud tergaruk-garuk kepala. "Buat apa ke hutan?" tanya Mak Jidah keheranan.
"Entahlah sahut Anjang Mamud berpaling pada Mak Jidah. "Aki Kidam kata macam tu, manalah aku nak tau" jelasnya mendengus.
"Saridah macam mana?" Mak Tinah pula bertanya pada anaknya.
"Entahlah aku tak naik ke rumahnya" kata Anjang Mamud membetulkan bohol kainnya. "Tapi kata Aki Kidam, dah tidur nyenyak dia  dia mencebik bibir.
Mereka semua berpandangan fasal Pak Jubin tidak ditemui. Mereka tidak peduli apa pun yang dibuat oleh Pak Jubin ke hutan, kerana tentulah orangtua itu memutuskan ubatnya sebagai seorang dukun. Tetapl mengapa mesti ke hutan tengah malam begitu? Tidak bolehkah ditunggu sehingga keesokan harinya?
Soal Pak Jubin ke hutan tidak penting lagi kepada Mak Jidah. Dia bimbang dengan keadaan Delit terlentang tidak bergerak-gerak Iangsung. Mulutnya berbuih-buih seperti anak kambing baru lepas menyusu.
 "Cuba-cubalah tengokkan budak ni, Lebai Cot" Mak Tinah berdiri di pintu tengah menggamit Lebai Cot tersandar di jenang tingkap serambi.
"Aku tak faham Kak Tinah oiii" Lebai Cot tergamam bila namanya dipanggil oleh Mak Tinah.
"Jangan kata tak faham, Cot “ Mak Jidah juga menerpa ke pintu tengah. "Tengah` macam ni, tak ada rotan akar berguna juga. Kalau ada kemenyan sebesar tungku, tak dibakar takkan berbau" dia terus melompat ke serambi menarik tangan Lebai Cot.
Bersenyajar Lebai Cot ditarik oleh Mak Jidah ke dalam. Dia tidak peduli sama ada Lebai Cot bersetuju atau tidak mengubati Delit. Memang Mak Jidah tahu Lebai Cot pernah juga mengubati orang dalam keadaan terdesak. Tetapi jarang dia mahu mengubati sesiapa pun kalau Pak Jubin atau Mat Natar ada.
"Eh, lepaskan aku dulu Ngah Jidah  _ " tersengih-sengih Lebai Cot fasal ditarik Mak Jidah sampai bersenyajar.
Mak Jidah tidak melepaskan. Dia terus menarik tangan Lebai Cot sampaikan mereka yang terconggok di situ semuanya ketawa melihat kelakuan Mak Jidah bagaikan kucing jatuh anak. Gelisah sangat dia melihat anak saudaranya terlentang tidak sedarkan diri.
"Cot ni, kalau tak digesa tak mau dia" beritahu Mak Jidah tersengih-sengih juga. Dia sedar kelakuannya itu menyebabkan semua orang yang terconggok di situ ketawa. Memang dia tidak sabar melihat Delit terlentang saja dihadap beramai-ramai. Setidak-tidaknya apalah salahnya dicuba juga mengubati dia sementara Pak Jubin datang.
Tentu Pak Jubin akan datang bila balik dari hutan. Mat Kidam akan sampaikan pesan kepadanya fasal menantunya tidak sedarkan diri sewaktu berkejar ke jamban berulang kali akibat sakit perut memulas-mulas.
"Hah, Cot jangan jadi rimau nak sembunyikan kuku ..." Mak Jidah melepaskan tangan Lebai Cot sebaik saja sampai ke sisi Delit terlentang tidak sedarkan diri.
Lebai Cot masih tersengih-sengih. Dia membetuIkan ketayapnya yang tersenget akibat direntap-rentap tangan oleh Mak Jidah. Berdebar juga hatinya bila didesak mengubati Delit. Tidak pernah dia disuruh mengubati kalau sakit yang memerlukan tenaga dukun-dukun besar seperti Pak Jubin atau Mat Natar.
Dia tahu sejauh mana kemampuan dia. Kalau sekadar pening kepala, sakit gigi atau sakit perut biasa, bolehlah dia cuba-cuba doa kan. Memang dia sama-sama belajar pondok dengan Razak, tetapi orang-orang kampung tidak pernah samakan dia dengan Razak.
Mereka menghantar anak-anak belajar mengaji Quran pada Razak. Orang-orang kampung juga meminta Razak menjadi imam berjemaah di surau. Mereka lebih memandang Lebai Cot cuma setakat boleh mengubati orang saja. Tentulah Lebai Cot sama juga macam Pak Jubin atau Mat Natar. Cuma Lebai Cot masih belum banyak pengalamannya kalau dibandingkan dengan Pak Jubin atau Mat Natar.
Sebab itulah mereka tidak pernah mengharapkan Lebai Cot mengajar anak-anak mereka mengaji Quran. Tidak pernah meminta Lebai Cot ke hadapan menjadi imam jemaah.
Memanglah serba salah Lebai Cot bila digesa Mak Jidah suruh ubati Delit. Sedangkan Razak pun tidak upaya mengubati isterinya Saridah sampaikan terpaksa memanggil Pak Jubin, masakan dia pula boleh melakukannya. Dia tahu pengetahuan Razak lebih mendalam dari dirinya. Semasa belajar di pondok Tok Aji, memang Razak lebih mesra dengan Tok Aji.
"Cot, aku serahkan pada kau laaa" Mat Jidah mencuit bahu Lebai Cot.
"Heh, jangan serahkan pada aku" sahut Lebai Cot mendongak memerhatikan Mak Jidah. "Berserahlah pada Allah. Dia Maha Kuasa melindungi kita semua" dia tersengih-sengih lantas bersila rapat mengadap Delit terlentang tidak sedarkan diri.
Beberapa orang yang berceratuk di serambi juga masuk ke tengah induk rumah. Mereka mahu juga melihat bagaimana Lebai Cot mengubati Delit. Selama ini mereka tidak pernah mendengar Lebai Cot menjadi dukun seperti Pak Jubin. Mungkin Pak Jubin juga rnarah kalau didapati menantunya diubati oleh Lebai Cot.
Tetapi Mak Tinah isteri Pak Jubin sendiri yang meminta Lebai Cot mengubati Delit. Masakan Pak Jubin marah kalau isterinya sendiri yang sudah meminta Lebai Cot mengubati. Lagi pun Lebai Cot bersepupu dengan Mak Jidah dan aruah emak Delit sendiri. Sudah pangkat bapa saudara pula pada Delit. Apalah salahnya Lebai Cot membantu sementara menunggu ketibaan Pak Jubin.
"Mana kemenyan Bedah  ?" Mak Tinah mencuit bahu Bedah.
Perlahan-lahan Bedah bangun dari lunjur kaki suaminya mahu mencari kemenyan yang tersimpan di dalam sumpit di kepala tiang. Kemenyan berkenaan memang dibekalkan oleh ayah mertuanya untuk kegunaan mereka anak beranak jika diperlukan.
"Hemmrn, tak payalah kemenyan" cepat-cepat Lebai Cot melarang Bedah dari mengambilnya.
"Tak pakai tempat perasap, tak pakai bara, tak pakai kemenyan?" soal Mak Jidah keheranan. Dukun yang besar memang memerlukan tempat perasap, bara dan kemenyan. Kemenyan akan dibakar terlebih dulu sebelum dimulakan perubatan. lni yang dipelajari oleh semua dukun turun temurun.
Lainlah kalau sekadar menangkal air sejuk, atau beralin dengan tepung beras, atau mendahas sekiranya ketegur waktu senja memang tidak perlu membakar kemenyan. Sebaliknya kalau sudah berdepan dengan jembalang, puaka, polong atau bajang memang kerja besar. Sudah tentu memerlukan membakar kemenyan, menghiris limau, mengibas kain hitam dan merendang bertih.
Kenapa pula Lebai Cot tidak memerlukan semuanya? Tetapi mereka tahu Lebai Cot bukanlah dukun besar seperti Pak Jubin atau Mat Natar.
"Habis, nak sediakan apa?" tanya Bedah duduk semula di lunjur kaki suaminya.
"Aku bukan nak mengubatnya sahut Lebai Cot tersengih-sengih juga. "Buat apa nak siapkan itu ini. Ngah Jidah suruh aku duduk aje dekat Delit ni" ujarnya menginsut punggung sedikit ke hadapan.
Bedah terdiam. Dia tidak percaya Lebai Cot sekadar duduk saja di sisi Delit. Tentu cara Lebai Cot mengubati orang sakit tidak sama dengan ayahnya Pak Jubin atau mertuanya Mat Natar. Lebai Cot lama belajar pondok keluar dari kampung terpencil itu. Tentu dia tidak sekadar belajar agama macam Razak!
Mereka semua tidak bercakap apa-apa bila Lebai Cot meletakkan tapak tangan ke kepala Delit. Kemudian tangannya melorot ke bawah hingga sampai ke perut. Sebaik sampai saja tangannya pada bahagian perut Delit tiba-tiba saja Lebai Cot tersintak bagaikan tersentuh bara api.
Dia tersenyum sambil mengisar-ngisar kedua tapak tangannya. "Hah, nampaknya mengaku juga kau sedang mengganggu Delit ye   " katanya macam mengejek.
Orang-orang yang duduk dekat dengan Lebai Cot terdengar dia membaca Fatihah 17 kali, diikuti dengan Ayatul Kursi juga 17 kali. Lepas itu tidak terdengar lagi apa yang dibacanya, kecuali mulutnya saja terkumat-kamit. Ketika ini jugalah Delit tersengguk-sengguk macam kucing tercekik tulang.
Mak Jidah sudah mula merapati Delit. Mak Tinah juga sudah memegang lunjur kaki Delit. Mereka berdebar-debar melihat perubahan pada diri Delit yang mula tersengguk-sengguk. Mulutnya yang berbuih-buih juga sudah kering.
Tidak lama kemudian Delit menggeliat-geliat lemah. Peluh mula keluar memercik dari romanya. Puas pula Mak Jidah mengelap peluh di dahi, namun peluh Delit semakin banyak. "Panas !" kata-nya merengek-rengek seperti bayi baru pandai bercakap.
"Kalau panas buat apa tunggu, pergilah dari sini" Lebai Cot seolah-olah mengejek.
Barulah Mak Jidah sedar bahawa gangguan yang merasuk Delit sudah mula menunjukkan diri. Cepat-cepat dia berhenti dari mangelap peluh di dahi Delit.
"Siapa suruh kau ke sini?" tanya Mak Jidah geram.
"Tak ada siapa" sahut Delit terketar-ketar.
"Habis, mengapa kau ganggu Delit?" Mak Jidah menggoncang bahu Delit.
Delit tidak menyahut. Dia menggeliat-geliat lemah bagaikan cacing kepanasan. Dia mula membuka mata. Matanya kelihatan merah seperti orang mengidap sakit mata.
"Buat apa ke sini?" sergah Mak Jidah tidak sabar lagi.
"Aku nak cari jalan balik, tersesat" beritahu Delit merengek-rengek.
"Kalau nak balik aku beri jalan” jelas Lebai Cot menghembuskan perlahan-lahan ke muka Delit.
Tiba-tiba saja Delit terjerit kesakitan. "Kenapa bakar muka aku  ?" raungnya menekup kedua tangan ke muka.
"Baliklah kau sekarang" Lebai Cot mengangkat tangan kanannya tinggi ke atas kepala. "Tengok ke sini, dan ikut perintah aku" kata Lebai Cot menyuruh Delit melihat ke tapak tangannya.
Tetapi Delit cepat cepat berpaling. Dia tidak mahu melihat ke tapak tangan Lebai Cot. Malah tidak mahu menentang muka Lebai Cot.
"Apa lagi, tunjuklah berani kau pada Cot!" Mak Jidah semakin berani mencabar. Dia tahu gangguan yang merasuk Delit sudah tidak dapat bertahan lagi. Sebab itu dia menunjukkan dirinya melalui suara Delit yang terketar-ketar. Memang yang bercakap itu bukanlah Delit, sebaliknya gangguan yang merasuk Delit itu bercakap dengan tidak disedari oleh Delit.
"Kurang ajar punya orang tua .." Delit cuba bangun, tetapi rebah semula apabila Lebai Cot merapatkan tapak tangannya. "Depan Lebai Cot kau berani ye " dia menggertap bibir macam menyimpan dendam.
"Tak kiralah depan Lebai Cot ke, depan Jubin ke, depan Mat Natar ke. Kalau berani lawanlah. Jangan berani dengan orang tak salah apa-apa!" sahut Mak Jidah keras.
"Kalau kau tak mau pergi, aku bakar kau lagi!" Lebai Cot terus mengancam. Dia menuding jarinya arah ke pusat Delit, sambil tangan kirinya menepuk ke pangkal paha. Setiap kali dia menepuk ke paha. Delit terlolong-lolong bagaikan menahan kesakitan yang amat sangat.
"Mampus aku kalau macam ni" rengek Delit merintih-rintih.
"Kalau tak tahan, cabut Iaaa" Mak Jidah mengejek.
Lebai Cot tidak peduli apa pun dirintihkan oleh Delit. Dia tahu bukan Delit yang merintih, sebaliknya gangguan yang merasuk itulah. Rengekan yang terhambur melalui suara Delit itu memang dapat diagakkannya adalah suara bajang. Dia merengek seperti bayi kecil, kemudian menggeliat seperti bayi hendak dimandikan, mulutnya juga berbuih seperti bayi baru lepas menyusu.
"Aku tau kau bajang   ujar Lebai Cot Iantas membacakan 7 ayat terakhir Surat Yassin dengan jelas, diikuti pula dengan Ayatul Kursi 33 kali. Kemudian mulutnya terkumat kamit semula.
Ketika ini Delit menghempas-hempas badan bagaikan sotong kering kena bakar. Dia tergigil-gigil menahan kesakitan yang menyeksakan. Puas dia menghempas-hempas badan, dia meronta-ronta walaupun tidak ada siapa pun yang memegangkan tubuhnya. Hanya Lebai Cot saja duduk bersila rapat membacakan Surat Yassin yang diselang sell dengan doa apabila sampai pada ayat-ayat yang tertentu.
Habis saja Lebai Cot membacakan Surat Yassin, Delit sudah tidak menghempas-hempas badan lagi. Dia terkapar seperti ayam mati kena sembelih. Delit keletihan termengah-mengah tidak berdaya untuk bergerak. Perlahan-lahan dia membuka matanya yang terpejam, terbelalak, terpejam, terbelalak. ketika Lebai Cot membacakan Surat Yassin.
Mata Delit yang merah juga tidak lagi merah. Sudah kelihatan jernih semasa dia membuka mata.
"Hah, kenapa orang ramai-ramai ni ?" tanya Delit keheranan memerhatikan di sekelilingnya orang ramai mengadap dia.
"Hai, diam sajalah kau tu. Bawa berihat " Mak Jidah mengelap-gelap dahi Delit yang masih ber-peluh.
"Abang tu sakit" beritahu Bedah beralih dari lunjur kaki ke hulu kepala suaminya. Delit mengeluh perlahan-lahan. Dia mengeleng-geleng kepala bagaikan tidak percaya apa yang berlaku ke atas dirinya. Tetapi memang dia merasa seluruh tubuhnya lemah dan sengal-sengal.
Lebai Cot berundur ke belakang setelah mendapati Delit beransur pulih.
"Mujurlah Abang Cot ada  “ bisik Bedah perlahan.
"Eh, aku tak buat apa-apa pun  Lebai Cot tersengih-sengih bila Delit mengerling ke arahnya. "Aku picit-picit aje kepala kau tu. Agaknya kau pitam fasal kerap benar berkejar-kejar ke jamban" katanya tersengih-sengih bila kenang punca Delit ditemui tertiarap oleh Bedah.
Sedang mereka berkira-kira mahu balik, Mak Tinah bimbang juga mengapa Pak Jubin tidak muncul lagi. Masakan Mat Kidam tidak menyampaikan pesan Anjang Mamud menyuruh dia ke rumah Bedah. Tentu Pak Jubin tergesa-gesa juga datang sebaik saja mendengar menantunya tidak sedarkan diri.
Bukan Mak Tinah saja bimbang, Mak Jidah juga heran mengapa Pak Jubin tidak menjenguk muka lagi. Delit bukannya sama macam jiran-jiran lain di kampung. Delit itu menantu Pak Jubin sendiri. Mengapa menantunya sakit Pak Jubin tidak datang menjengah muka? Kalau tidak mahu meng-ubati menantunya apa salahnya datang menjenguk muka saja?
Tetapi mereka percaya Pak Jubin masih belum balik dari hutan bersama Razak. Apa pula dibuatnya ke hutan mereka tidak tahu. Boleh jadi Pak Jubin membuangkan penyakit, boleh jadi juga ada petua-petua lain yang mesti dipenuhinya. Mat Kidam tidak pula memberitahu Anjang Mamud kenapa Pak Jubin ke hutan tengah-tengah malam demikian.
Dalam masa ini pula anak-anak Bedah yang dua orang lagi terjaga. Semasa orang sedang berubat Mimah dan Sahak nyenyak tidur, walaupun abangnya Alim sudah bingkas bangun dikejutkan oleh emaknya. Mereka berdua serentak bangun menerpa ke pada emak dan ayah nya dalam keadaan ketakutan.
"Kenapa, kau mengigau?" soal emaknya Bedah.
Mimah dan Sahak tidak menyahut. Dia ketakutan sambil menunjukkan jari telunjuk ke bumbung. Lebai Cot mendongak ke bumbung.
"Tak ada apa-apa pun" katanya memujuk budak dua beradik itu. Tetapi mereka berdua tetap dalam keadaan , takut juga.
Lebai Cot merapati mereka berdua. Dia meletakkan tapak tangannya ke atas ubun-ubun Sahak dan Mimah. Beberapa minit dia meletakkan tapak tangannya di situ, tiba-tiba saja Sahak dan Mimah kembali tidur semula. Mereka berdua tersepuk di sisi ayahnya. Masa inilah semua orang di atas rumah itu terdengar bunyi bayi menangis tidak jauh dari situ.
"Mari Mud, kita cari budak menangis tu"  Lebai Cot berdiri lantas menggamit Anjang Mamud. Mereka berdua terus turun ke tengah halaman. Mak Jidah juga ikut sama turun ke tengah halaman. Dia juga mahu tahu siapakah bayi yang didengar menangis itu.
Semasa turun ke tanah sempat juga Mak Jidah mencapai pelita minyak tanah. Dia menyuluh ke arah bunyi budak menangis itu walaupun apinya meliuk-liuk ditiup angin.
"Di belakang rumah bunyinya ...." bisik Anjang Mamud menggengam lampu picit erat-erat. Dia menyuluh ke belakang rumah tetapi tidak berani berjalan di depan. Bimbang juga dia kerana bulu tengkuknya sudah merasa meremang tegak. Bunyi rengekan bayi itu semakin lantang seolah-olah dahagakan susu.
"Jalanlah kau dulu " desak Mak Jidah menolak bahu Alang Mamud. "Kau bawa lampu, kaulah ke depan" katanya menyuruh Anjung Mamud berjalan di depan.
Mahu tidak mahu Anjang Mamud berjalan juga ke hadapan diikuti oleh Lebai Cot. Mak Jidah mengekori di belakang sekali membawa lampu pelita yang malap akibat ditiup angin. Sampai di belakang rumah bunyi rengekan bayi itu semakin jelas.
"Nanti.... " ujar Lebai Cot menarik bahu Anjang Ma-mud. "Bagi aku lampu, biar aku di depan" katanya mencapai lampu picit di tangan Anjang Mamud. Dia menyuluh di sekeliling mencari arah bunyi suara bayi menangis itu. Tangisnya semakin langsing sama seperti anak dalam buaian laparkan susu emaknya.
"Bajang” bisik Lebai Cot terbongkok-bongkok menyuluh ke arah rumpun mengkuang di baruh rumah. Tidak ada apa pun yang kelihatan di situ selain dari bayang rumpun mengkuang berbalam-balam disinggahi cahaya lampu picit di tangan.
"Tetapi bunyinya arah ke telaga, Abang Cot" Anjang Mamud menepuk bahu Lebai Cot. Mereka bertiga berpatah ke belakang menuju arah ke telaga.
"Itu dia, itu dia Cot. Itu dia Cot!" jerit Mak Jidah menuding ke daun nyiur kering dinding telaga. "Itu dia Cot  " katanya termengah-mengah mengangkat pelita di tangan tinggi ke atas kepalanya. Masa ini juga Mak Tinah menerpa ke tingkap dapur membuka tingkap, setelah mendengar jeritan Mak Jidah.
Mak Jidah tersuluh lembaga seperti buah kundur melompat-lompat di kaki dinding telaga. Tidak bertangguh lagi Lebai Cot menangkap lembaga berkenaan sambil menjinjing muIutnya seperti paip getah yang terjulur kira-kira sejengkal.