Friday, December 16, 2016

207. KUCING HITAM MENCURU DUIT



TIDAK dapat kekecewaan di hatinya diluputkan begitu sahaja sekalipun setelah berkahwin. Kekecewaan yang begitu menghampakan perasaan itulah menyebabkan Merijah terpaksa juga menemui bapa saudaranya Wak Tatang. Puas juga dia mendesak barulah Wak Tatang bersetuju mahu membantunya dengan hati yang berat.
Memang lama dia memendam rasa terhadap Mat Deh semenjak sepupu saya itu mengajar di daerahnya. Tetapi Mat Deh yang lemah lembut itu mesra dengan sesiapa sahaja. Dia sendiri tidak tahu Merijah memang menaruh hati kepadanya di sebabkan keramahan dan tutur katanya yang bersopan.
Masakan Merijah pula mahu membuka mulut sekiranya lelaki seperti Mat Deh hanya mendiamkan diri sahaja. Malu juga Merijah kalau Mat Deh tidak melayani dia apabila dirinya sahaja yang menunjuk-nunjuk sangat.
"Buat apa hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong," ujar Wak Tatang nasihatkan anak saudaranya yang tidak dapat menahan perasaan marah sebaik sahaja mendapat tahu Mat Deh sudah berkahwin dengan Seminah.
Tetapi Merijah menuduh Mat Deh gunakan ilmu pengasih hingga dia tidak dapat melupakan sepupu saya itu. Kalau tidak disebabkan ilmu pengasih masakan Merijah tergila-gila sangat dengan Mat Deh. Percaya Juga Wak Tatang dengan tuduhan anak saudaranya disebabkan orang berilmu seperti Mat Deh tentu menggunakan ilmu pengasih juga.
Tidak mungkin anak gadis tiba-tiba sahaja jatuh hati kepada lelaki kalau sekadar tutur bahasa dan sopan santun semata-mata. Apalagi Mat Deh lama menaun di Mekah hingga boleh menghafal Quran. Banyak doa-doa yang boleh diguna-kan biar hati perem-puan tunduk hingga terkenangkan dia se-panjang masa.
"Kalau dia main ilmu pengasih, senang aje kita ajar," tegas Wak Tatang memberi jaminan untuk membantu anak saudaranya.
Lantas dia mandikan Merijah dengan air tujuh masjid dicampur bunga tujuh warna di kaki tangga rumahnya. Dua puluh satu hari dia tidak benarkan Merijah keluar dari rumah, biar terperuk sahaja di bilik jangan melihat matahari. Tentu Mat Deh akan meraba-raba bagaikan tidak melihat matahari selama dua puluh satu hari.
Selepas dua puluh satu hari baru Wak Tatang benarkan Merijah melinatas di hadapan tempat Mat Deh mengajar. Sebaik sahaja terserempak gadis itu tidak bertangguh Mat Deh menegurnya dengan ramah. Gembira benar Merijah seolah-olah merasakan Mat Deh tidak akan terlepas lagi daripada tangannya.
Tetapi tidak lama selepas itu dia sekadar mendengar Mat Deh sudah berpindah mengajar. Lagipun ketika itu tatkala negeri baru merdeka, memang orang macam Mat Deh diperlukan sangat. Dia dipindahkan mengajar ke pekan yang lebih ramai muridnya.
Dalam kehampaan itulah pula Supardin masuk meminangnya. Disebabkan keluarganya sudah bersetuju dia tidak dapat mengelak. Selepas berkahwin dengan Supardin memang dia dapat melupakan Mat Deh. Tetapi dendamnya tidak dapat dikikis habis hingga berdetak di hatinya untuk menyusahkan Mat Deh yang pernah melukakan hatinya. "
Memang dia amalkan ilmu pengasih!" bisik Merijah memujuk suaminya Supardin biar sama membantu tatkala merebahkan badan di sisi suaminya itu. "Kenapa awak tak berterus terang dengan nya?" ujar Supardin perlahan menahan rasa cemburu yang mula mengganggu.
"Kalau dah berterus terang, itu maknanya ilmu dia menjadi," jelas Merijah tidak dapat lagi menyembunyikan perasaan dendam di hati. Dia tiba-tiba sahaja membenci Mat Deh setelah lelaki itu tidak dapat ditundukkan sekalipun Wak Tatang sudah berusaha.
"Biarlah dia buat-kan awak, lagipun dia tak berjaya, buat apa nak balas?" tegas Supardin tidak bersetuju dengan sikap isterinya yang masih mahu berdendam.
"Macam rnana dia terus amalkan, sedangkan saya dah kahwin dengan abang?" sengaja Merijah mahu menguji hati suaminya.
Berdetak juga hati Supardin apabila didesak demikian. Tentulah rumah tangganya tidak tenteram sekiranya Mat Deh amalkan ilmu pengasih kepada Merijah. Lainlah sewaktu Merijah masih beium berkahwin tentulah tidak menjadi apa-apa halangan. Bagaimana kalau Mat Deh menyimpan perasaan dendam setelah mendapat tahu Merijah sudah berkahwin? Tentu Mat Deh akan berusaha biar rumah tangganya pecah berkecai hingga boleh merampas Merijah semula.
Setelah berkali-kali dicuba oleh Wak Tatang membantu anak saudaranya, kerukunan rumah tangga Mat Deh tidak juga terjejas. Dia tanamkan limau berbungkus kain putih dan ditusuk dengan duri bulang, biar Mat Deh tidak dapat bergerak. Setidak-tidaknya Mat Deh tidak mampu lagi mencari rezeki untuk menyara keularga. :
“Kalau tak boleh juga, kita buat ikhtiar lain," Wak Tatang sudah mula nekad tidak mahu mengalah lagi. Apalagi Supardin sanggup membayar berapa sahaja upah asalkan Mat Deh tidak lagi mengganggu isterinya.
Tetapi Mat Deh sendiri tidak tahu menahu mengenai Merijah jatuh hati kepadanya. Dia sekadar memahami perempuan itu terlalu mesra terhadapnya. Selama dia mengajar di kampung berkenaan, Mat Deh sudah menganggap keluarga Merijah sama macam keluarganya juga. Kalau Merijah menjemput dia semasa hari perkahwinannya, memang Mat Deh sanggup luangkan masa untuk sama menghadiri.
Selepas mendapat tahu Merijah sudah berkahwin, Mat Deh datang juga menjengah muka. Tidak terlintas pun di hatinya datang menemui Merijah kerana mempunyai perasaan yang tersembunyi terhadap perempuan tersebut. Tetapi Merijah sengaja ingatkan suaminya Supardin mengenai kunjungan Mat Deh selepas hari perkahwinan mereka itu.
Sebab itu Supardin menyimpan rasa cemburu juga terhadap Mat Deh apabila berkunjung setelah Merijah berkahwin. Tentu Mat Deh masih menyimpan dendam terhadap Merijah, setelah amalan ilmu pengasihnya tidak memberi kesan.
Memang Seminah dapat merasakan gangguan syaitan terhadap suaminya, hingga tengah malam beberapa kali Mat Deh mengalami kejang otot tidak bersebab. Kadangkala dia mengidap gaut hingga kaki membengkak sampai terdengkot-dengkot berjalan.
"Kenapa tak ubatkan penyakit awak?" desak Seminah supaya suaminya tidak terlalu bersabar sangat dengan gangguan demikian.
Mat Deh sekadar tersenyum mengerling isterinya. Apa sangat dibimbangkan kalau semuanya sudah ditentukan Allah kepada hambaNya. Tidak pernah Mat Deh takut sekiranya dia menemui ajal disebabkan ilmu sihir manusia, sekira-nya Allah sudah menentukan segalanya terhadap musibah yang akan ditanggungnya.
Seminah tidak dapat membiarkan keadaan suaminya yang tidak berusaha menghindarkan musibah demikian. Sebab itulah dia bersusah payah menemui Haji Maasar. Kalau Haji Maasar tidak dapat membantu pun, setidak-tidaknya dia sudah berikhtiar meluahkan perasaan yang sekian lama terpendam.
Di luar pengetahuan Mat Deh, dapat juga Seminah memujuk Haji Maasar tengokkan di dalam geluk air apakah tujuan orang menganiaya suaminya. Tetapi Haji Maasar bukanlah dapat melihat dengan jelas. Dia hanya dapat mengagak melalui pengalamannya setelah melihat riak air di dalam geluk tersebut.
Memang rezeki juga makhluk Allah. Tentulah amalan manusia mampu menghindarkan rezeki daripada mendekati Mat Deh bagaikan angin yang menolak awan ke mana sahaja hala yang dituju. Hanya kesabaran Mat Deh sahaja dapat mengawal perasaan amarah, tatkala rezeki yang sudah di dalam genggamannya menjauh tidak bersebab.
Tatkala Haji Maasar berdiri melangkah geluk aimya, Seminah terkejut apabiIa terdengar dentuman kuat menerjah ke dinding rumah. Cepat-cepat Haji Maasar berdiri tegak memerhati ke dalam geluk air sambil membacakan doa:
Innallahha lahu-mul-kus samawati wal-ardh, yuhyi wayumitu wama lakuth min-duni-llahhi min-wali-yin wala-nasir.
Dia sendiri terkejut apabila melihat air di dalam geluk mengeluarkan asap nipis hingga permukaan air juga berkocak laksana sedang mendidih panas. Setelah membaca Fatihah dan surat al-Ikhlas tiga kali, dia menyeluk ke dalam geluk air. Kemudian dia menggenggam keluar tiga bungkusan sebesar kotak mancis yang kelihatan masih berlumpur bagaikan baru dikeluarkan dari tertanam di tanah.
"Apa yang berbungkus tu pak tua?" tegur Seminah setelah melihat bungkusan tersebut di tangan Haji Maasar.
"Emm, kepandaian orang," keluh Haji Maasar mencebek bibir setelah mengetahui punca kegelisahan Seminah.
Setelah dapat diambil bungkusan kecil yang tertanam di tanah itu, beberapa minggu Seminah dapat merasakan tidak ada gangguan dialaminya. Wang di dalam simpanan tidak lagi hilang tidak semena-mena, sekalipun Mat Deh tidak hiraukan sangat fasal wang yang hilang.
Tetapi tidak lama selepas itu kejadian wang hilang dalam dompet itu berulang lagi. Sengaja Seminah semat dengan pin itu dialihkan. Sehelai wang kertas hilang juga daripada simpanan.
Mengeluh panjang Seminah disebabkan kejadian tersebut berulang-ulang, sekalipun Haji Maasar sudah berusaha. Memang Haji Maasar tidak boleh membantu apa-apa, sekiranya Mat Deh sendiri tidak ambil hirau sangat. Lainlah kalau Mat Deh tumpukan perhatian kepada amalan syaitan yang mengganggunya ketika itu.
Sebab itu Seminah merungut. Sekiranya orang lain diganggu syaitan, bila-bila Mat Deh sanggup membantu. Tetapi dia sendiri tidak mahu berusaha mengatasi masalah yang ditanggungnya sejak sekian lama.
Saat inilah Wak Tatang tidak mahu mengalah. Sekiranya amalannya tidak berkesan menjejaskan rumah tangga Mat Deh, dia akan berusaha lagi. Kalau tidak boleh gunakan limau dibungkus kain putih dengan ditusuk duri bulang, dia salaikan pula kepalan tanah yang dibungkus kain putih.
Setiap kali kepalan tanah itu diganggang di bawah api, memang terasa pada Mat Deh bahang panasnya ke seluruh tubuh. Sebaik sahaja Mat Deh kepa-nasan cepat-cepat dia membacakan doa:
Allahhumma yaman nuruhu fi-sirrihi wa-sirruhu fi-khalqihi ikhfini 'an-'aayuninn zirina waqulubil hasi-dinci walbaghina kama hafaztar rohafil-jasadi innaka 'alai-kulli syai-in qadirun.
Sekaligus Mat Deh cepat melihat Wak Tatang salaikan kepalan tanah berbungkus kain putih ke api yang menyala. Tersenyum dia dengan sikap Wak Tatang yang terpaksa berjaga di tengah malam bukan menunaikan solat tahajud, tetapi menganiaya sesama makhluk dengan amalan ilmu syaitan.
 "Kenapa susah-susah ni?" tegur Mat Deh menyebabkan Wak Tatang terkejut.
"Oh, awak buatkan orang, tak apa!" ejek Wak Tatang serba salah kerana terserempak dengan Mat Deh.
"Buat macam mana tu?" soal Mat Deh tersenyum ramah.
"Tanyalah diri awak sendiri," tegas Wak Tatang lantas melarikan diri ke bawah gaung.
Ketika ini kaki Mat Deh terpijakkan batu-batu di atas bukit jatuh bergolek menimpa Wak Tatang. Batu-batu yang banyak jatuh menghentak kepala Wak Tatang yang tidak dapat mengelak daripada terjahan batu-batu itu.
Belum sempat Mat Deh menuruni bukit, tiba-tiba pula Marijah menerpa dengan keris terhunus di tangan. Wajah Merijah terlalu bengis lantas menikam ke dada Mat Deh bertubi-tubi.
"Kenapa awak merahkan saya?" soal Mat Deh setelah menyedari Merijah terlalu garang menyerang dirinya.
Tetapi Merijah tidak menyahut. Berkali-kali dia menikam dengan keris, namun tikamannya seringkali terbabas. Mat Deh sekadar menepis sahaja kerana tidak sampai hati mahu bertindak kasar. Hairan juga dia kenapa bersungguh-sungguh sangat Merijah memusuhi dia, sedangkan sepanjang ingatannya tidak pernah pun dia memusuhi perempuan itu.
"Cukuplah Merijah!" pujuk Mat Deh meminta perempuan itu surut semula daripada meneruskan niatnya.
"Kau kenakan aku dengan ilmu pengasih"gerutu Merijah meluahkan rasa dendam yang mendongkol.
"Istighfarrullahhul 'azzim," keluh Mat Deh akibat tuduhan yang menusuk perasaannya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana cara mengamalkan ilmu pengasih itu.
"Awak tahu sakitkan hati orang aje!" bertambah marah Merijah setelah tikamannya tidak menyinggahi Mat Deh. Disebabkan terlalu marah kaki Merijah tergelincir hingga dia terhumban ke bawah gaung menimpa tubuh Wak Tatang yang merangkak mahu naik ke atas semula.
Sewaktu Mat Deh terbangun di tengah malam, dia mendengar esakan Seminah berhenjut-henjut. Cepat-cepat dia memegang bahu Seminah memujuknya supaya tidak ikutkan perasaan sangat. Tetapi esakan Seminah kian kuat setelah menyedari Mat Deh duduk di sisinya.
"Kenapa awak menangis tengah malam ni?" ujar Mat Deh tidak lepas memegang bahu isterinya.
"Dah tiga hari awak terkejang malam ni," jelas Seminah masih tersengguk-sengguk menahan rasa terharu setelah suaminya bangun memujuk.
Ketika ini Haji Maasar bersama keluarga yang datang ke rumah Mat Deh menerpa masuk ke bilik. Tertegun Mat Deh dengan kunjungan kaum keluarga setelah diberitahu oleh Seminah, dia terkejang tidak sedarkan diri sejak tiga malam.
Tetapi Mat Deh tidak merasakan apa-apa, kecuali dia berzikir berterusan. Pengalamannya terserempak Wak Tatang itu disimpan baik-baik menjadi rahsia hatinya.
Selepas terbangun di tengah malam, Mat Deh terus mengajak tetamunya ke ruang tamu. Emaknya Ngah Sabiyah yang sudah dua hari dijemput datang juga merasa hairan kerana Mat Deh tidak sakit apa-apa. Tenaganya tetap cergas sekalipun tiga hari terkejang di tempat tidur.
"Ustaz Mat Deh ni sakit," tutur Haji Maasar setelah mereka duduk, di ruang tamu.
"Ah, sakit tu urusan Allah, biarkan..." ter-sengih-sengih Mat Deh menatap muka Haji Maasar. Kemudian dia meminta Seminah bancuhkan kopi supaya mereka sama-sama dapat meneguk untuk menyegarkan badan.
Seminah tidak membantah. Dia terus ke dapur membancuh kopi. Hatinya yang sebak mula terasa lega disebabkan keadaan Mat Deh yang sudah pulih. Memang tidak ada tanda-tanda Mat Deh diganggu sekalipun tiga hari terkejang sahaja tidak bergerak apa-apa.
Setelah isterinya ke dapur, barulah Mat Deh tertunduk menggeleng-geleng lemah. Setiap kali kenangkan bayangan yang menjelma seolah-olah mimpi itu, dia semacam tidak percaya bagaimana Merijah terlalu memusuhi dirinya.
Semenjak menetap di kampung tempat Merijah tinggal, dia sudah menganggap keluarga perempuan itu sama macam keluarganya juga. Masakan Merijah memusuhi dia dengan menuduh dirinya kenakan ilmu pengasih.
"Saya tahu, ustaz Mat Deh dah sampai ke situ," lantas Haji Maasar menuturkan perlahan.
Mat Deh mengangguk. Dia tidak boleh menyembunyikan apa-apa daripada Haji Maasar. Masing-masing dapat mengukur pengalaman mereka di antara satu sama lain.
Hanya Seminah sahaja gelabah setelah melihat suaminya menggelapar di tempat tidur, kemudian kaku tidak bergerak. Tubuh Mat Deh panas hingga berpeluh laksana kepanasan terganggang di api. Sampai santak subuh Mat Deh juga tidak bangun solat menyebabkan Seminah terpaksa memberitahu sanak saudara.
Memang tubuh Mat Deh kaku semasa Haji Maasar sampai di sebelah petangnya. Sebaik sahaja melihat keadaan Mat Deh berdetak juga hati Haji Maasar. Tidak bertangguh dia letakkan tapak tangan ke dahi Mat Deh dengan membacakan Fatihah. Dia terasa Mat Deh hanya tidur sahaja untuk mengubati  diri sendiri yang dianiaya dengan gangguan syaitan.
"Sabarlah, Seminah..." beritahu Haji Maasar setelah. dapat menyelami keadaan sebenar yang berlaku ke atas diri Mat Deh.
Setelah minum kopi, Mat Deh terus sahaja solat sunat syukur sementara menunggu subuh. Dia tidak tidur pun selepas solat sunat, tetapi membaca al-Quran sehingga santak subuh. Disebabkan tiga hari dia terkejang laksana orang sakit, selama tiga hari itulah dia tidak mengajar.
Selepas kejadian itulah Mat Deh balik sahaja ke kampung. Dia hanya dirikan madrasah sendiri sekalipun umurnya masih muda belum pun 40 tahun. Tidak sampai setahun dia mendirikan madrasah, Mat Deh mengalami semula kejadian terkejang kaku sampai tiga hari itu.
Masakan Seminah tidak gelabah dengan keadaan Mat Deh. Dia terkejang sahaja tidak bergerak apa-apa. Ngah Sabiyah sendiri memberitahu saya mengenai diri Mat Deh itu. Sewaktu saya sampai menjengahnya, Haji Maasar juga sudah ada terconggok di sisinya.
Saya hanya melihat sahaja Haji Maasar menjurus ke arah Mat .Deh sambil menepuk-nepuk tangan kiri ke kepala lututnya. Disebabkan saya belum kenal rapat sangat dengan Haji Maasar, tidaklah kami berbual sangat selepas dia mengubati Mat Deh. Tetapi Haji Maasar sekadar memberitahu sebenarnya Mat Deh mengubati dirinya sendiri ketika itu.
"Perempuan yang buatkan dia ni," jelas Haji Maasar tidak dapat menahan sabar lagi.
"Siapa agaknya pak tua?" tidak bertangguh Seminah mendesak. "Kalau dia mahukan Ustaz Mat Deh, saya rela bermadu, tegasnya seolah-olah melepaskan geram.
"Memang perempuan ni hendakkan Ustaz Mat Deh," ujar Haji Maasar menuduh sekalipun dia sedar tidak sepatutnya menuturkan demikian. "Dia upah orang gunakan ilmu pengasih, dah tak berjaya dia aniaya pula dengan gangguan syaitan," tegasnya menggertap bibir kerana tidak dapat lagi menahan kesabaran.
Saya hanya menunduk sahaja tidak menyampuk apa-apa. Biarlah Haji Maasar meluahkan rasa geram yang terbuku itu setelah bertahun-tahun Ustaz Mat Deh diganggu. Berpindah ke mana pun gangguan itu tetap tidak melepaskan Mat Deh, hingga keadaan rumah tangganya tidak tenteram.
Wang di tangan sekiranya tidak hilang, akan habis digunakan kerana berubat ke mana-mana. Memang Haji Maasar tidak mahu dibayar apa-apa, tetapi mahu menghubunginya terpaksa juga menaiki kereta ke Segamat. Kadangkala kereta Mat Deh juga rosak tidak bersebab.
Tetapi Mat Deh tidak mahu menuduh sesiapapun yang berkhianat dengan gangguan syaitan. Lama Mat Deh terkejang, Seminah mula mendekati saya. Dia berbisik supaya saya pula cuba tengokkan keadaan sepupu saya itu. Ngah Sabiyah juga mendesak kerana tidak sabar lagi dengan keadaan Mat Deh terkejang demikian.
"Cubalah angah...." ujar Ngah Sabiyah terharu sambil mengesat peIupuk matanya. "Ubat ni ikut rasi, bukannya kira dukun besar atau orang biasa" katanya macam mendesak.
"Ah, ustaz janganlah macam harimau sembunyikan kuku," lantas sahaja Haji Maasar mencuit bahu saya setelah Ngah Sabiyah bersungguh-sungguh sangat mendesak.
Memang saya melihat gerak saraf Mat Deh bukanlah terkejang menahan kesakitan. Dia mengubati dirinya sendiri tatkala menghadapi gangguan yang menguji kesabarannya selama ini. Semakin jauh saya menjejaki dia, terasa Mat Deh terlalu jauh di sempadan kawasan lapang yang berkabus. Dia seolah-olah duduk di sisi seorang lelaki berjubah hijau.
Mereka berdua terkejut tatkala saya sampai di seberang sungai tempat mereka. Sebaik sahaja Mat Deh ternampak saya berdiri di seberang tebing, dia segera mendapatkan saya dengan menyeberang berpijak di atas air sahaja.
"Buat apa angah susah-susah ke sini?" tegurnya apabila sampai di hadapan saya.
Disebabkan saya tidak menyahut apa-apa, Mat Deh menarik saya ke satu busut. Dia menunjukkan ke arah Wak Tatang dan Merijah salaikan kepalan tanah di atas api yang menyala. Kepalan tanah itu kian merekah dengan kain putih pembungkusnya sudah gemersik akibat terlalu lama diganggang ke api.
Apabila Wak Tatang kibaskan kain hitam di kepalanya, jelmaan kucing hitam melompat di hadapannya. Dia menyuruh kucing hitam berkenaan mencakar-cakar kepalan tanah tersebut. Tetapi Wak Tatang merungut-rungut disebabkan tidak memberi bekas langsung kepada Mat Deh.
Kemudian kucing hitam itu terus menerkam ke arah Mat Deh. Sebaik sahaja lompatannya hampir menyinggahi Mat Deh, tiba-tiba sahaja tubuhnya terhumban ke tanah. Serentak dengan itu kucing hitam tersebut bertukar menjadi asap hingga membentuk lembaga tinggi dengan kepalanya tercecah ke awan.
"Hah, hantu tinggi kau gunakan Wak Tatang!" tiba-tiba sahaja lelaki berjubah hijau menghampiri saya dan Mat Deh. "Patutlah kau boleh masuk ke rumah mencuri duit," ejek lelaki berjubah hijau lantas memukulkan tongkatnya ke tanah.
Wak Tatang menjadi gementar tatkala melihat lelaki berjubah hijau itu berdiri di sisi kami. Lembaga tinggi yang menjelma di hadapannya juga jatuh berlonggok di tanah seperti debu yang ditiup angin. Tidak sempat dia mahu bertindak, lelaki berjubah hijau itu menghembus nya menyebabkan debu berkenaan melayang tidak ketahuan.
"Aku nak menolong anak saudara aku, Sheikh," lantas Wak Tatang terketar-ketar tatkala bertentang mata.
"Kalau anak saudara awak gila bayang pun, awak nak tolong?" jerkah Sheikh berjubah hijau itu keras.
"Ustaz Mat Deh gunakan ilmu pengasih," sahut Wak Tatang mencebek bibir.
"Sekiranya Ustaz Mat Deh gunakan ilmu pengasih nak pikat anak saudara awak, tentulah dia tak nikah dengan Seminah," jelas Sheikh berjubah hijau mengejeknya.
Terkebil-kebil mata Wak Tatang apabila dituduh gunakan hantu tinggi untuk menganiaya Mat Deh. Hanya hantu tinggi dan hantu raya sahaja jenis syaitan yang boleh menjelma masuk ke rumah mencuri wang dalam simpanan sama seperti toyol.
Tahu sangat sheikh berjubah hijau itu jenis syaitan lain hanya bermain di luar rumah sahaja. Kalau polong ataupun pelesit dia akan merasuk ke dalam diri mangsanya. Tetapi hantu tinggi boleh menjelma menjadi kucing hitam untuk mencuri duit dalam simpanan untuk menakut-nakutkan mangsa.
Sudah berkali-kali dia mencuba Mat Deh, memang sukar untuk menakut-nakutkan dia. Masakan Mat Deh akan berpindah rendah untuk mengelakkan gangguan demikian, selagi dia berlindung kepada Allah semata-mata. Memang Mat Deh tahu sangat bayangan kucing hitam itu menyelinap masuk laksana kilat ke dalam biliknya, kemudian mencuri sehelai wang kertas di dalam dompet.
Setiap kali bayangan kucing hitam itu menyelinap masuk, Mat Deh sekadar mengerling sahaja. Dia tidak akan berusaha mengurungnya untuk membalas dendam. Apa sangat dengan sehelai wang kertas yang dicuri oleh bayangan kucing hitam itu, kalau bandingkan dia terpaksa amalkan doa yang mahu menyusahkan orang lain.
Biarlah Wak Tatang menentukan pembalasan di tangan Allah sekiranya dia tidak mahu insaf, kenapa pula dirinya mahu ikut sama terjebak dalam amalan yang dilaknati oleh Allah itu. Sekalipun isterinya mendesak, Mat Deh tidak akan membalas apa-apa. Dia tetap bertahan dengan menyerahkan segalanya kepada Allah.
Dia tahu kucing hitam itu sekadar mencuri sehelai wang kertas sahaja, biar dia merasa takut. Asal sahaja ada wang yang baru diperolehi nescaya sehelai akan dicuri kucing hitam itu: Memang Wak Tatang merasakan siapapun tidak menyedari akan amalannya itu, menyebabkan dia melakukan berulang kali.
"Ilmu awak tak setinggi mana, kalau bandingkan dengan Allah!" ujar Sheikh berjubah hijau mengingatkan dia. "Janganlah dengan ilmu tak seberapa tu awak nak menunjuk-nunjuk," tegasnya dengan harapan Wak Tatang akan segera insaf.
Tetapi Wak Tatang sudah dikuasai oleh amalan syaitan menyebabkan dia tidak mahu mengalah. Selagi cita-citanya mahu memusnahkan hidup Mat Deh tidak tercapai dia akan meneruskan juga usaha nya. Hinggalah Sheikh berjubah hijau itu menjelma di depannya dengan mengetuk-ngetuk tongkat ke tanah. Setiap kali Sheikh berjubah hijau itu mengetukkan tongkatnya terasa dadanya bergegar kuat laksana ditujah hujung tongkat itu.
Setelah kucing hitamnya lebur menjadi debu, Wak Tatang segera menggamit Merijah mendekati dia. Merijah mara dari kegelapan di sekelilingnya menghunus keris. Tiba-tiba sahaja dia bertukar menjadi garang seperti seekor ular tedung selar sebaik sahaja nampak Mat Deh tercegat di situ.
Ketika ular itu menerkam, Mat Deh hanya memerhatikan Merijah menerpa dengan menikamkan keris bertubi-tubi. Dia masih merasa kesihan kerana tidak mahu mencedera kan Merijah. Tidak tergamak dia mahu menyakiti anak keluarga angkatnya yang sudah banyak menabur budi kepada dirinya. \
"Itu bukannya Merijah, tetapi jembalang tanah!" bisik sheikh berjubah hijau mengingatkan Mat Deh.
Sebaik sahaja Mat Deh menggenggam pergelangan tangan Merijah untuk mengelakkan hujung keris menusuk ke dadanya, segera saya membacakan doa dan menghembus ke arah Merijah:
Innahu mi-nas-Sulaimani wa-inna-hu bis-millahir Rahmannir Rahim.
Sekaligus tubuhnya menjadi lembik, hingga jelas ular tedung selar yang berpintal-pintal di tangannya. Cepat-cepat sheikh berjubah hijau itu menguis ular berkenaan dengan hujung tongkatnya hingga terpelanting ke tanah. Belum sempat ular berkenaan mahu mengangkat kepala, tidak bertangguh sheikh berjubah hijau memukul dengan tongkatnya berulang kali.
"Macam mana tiga nak lawan satu?" gerutu Wak Tatang marah selepas melihat ular yang diketuk oleh sheikh berjubah hijau itu menggelupur tidak bertahan.
"Tapi kau gunakan hantu tinggi dengan jembalang tanah!" sahut sheikh jubah hijau  mencebek bibir mengejeknya.
Terdiam Wak Tatang kerana sheikh jubah hijau tahu apa sahaja amalannya. Malu benar dia apabila hantu tinggi dan jembalang tanah itu disebut oleh sheikh jubah hijau. Apabila sheikh jubah hijau itu memukul kepala Wak Tatang dengan tongkat nya, kegelapan menyerkupi keadaan di sekelilingnya. Hanya saya mendengar jerit raung Wak Tatang sahaja menahan kesakitan akibat dipukul dengan tongkat sheikh jubah hijau.
Di tengah kegelapan itulah saya merasa diri terapung hingga terhumban semula ke tengah rumah Mat Deh. Saat ini Mat Deh sudahpun duduk tersengih-sengih memerhatikan ke arah saya yang baru sahaja membuka mata dan terasa seluruh badan sengal-sengal.
"Buat apalah angah susah-susah ni," ujar Mat Deh terus ke bilik air. Dia mandi dan terus mengambil wuduk. Selepas solat zohor, dia berbual-bual lagi dengan kami.
Setelah melihat keadaannya segar tidak membimbangkan apa-apa, saya memberitahu nya untuk balik. Tetapi Mat Deh meminta saya menunggu selepas asar sekiranya mahu balik ke rumah. Terpaksalah saya penuhi juga hasrat nya supaya menunggu sampai asar.
Sebaik sahaja masuk asar tidak bertangguh Mat Deh mengajak solat bersama. Haji Maasar disuruhnya ke hadapan menjadi imam. Saya terpaksa menuruti sahaja disebabkan mahu cepat balik kerana bimbang ketinggalan bas. Lainlah kalau tinggal di pekan mudah mendapatkan bas kalau mahu ke mana pun, tetapi saya lama di kampung pedalaman. Hanya harapkan ada motorsikal untuk ditumpang sahaja apabila sampai di gerai di persimpangan jalan besar.
Setelah selesai solat asar Mat Deh meminta isterinya siapkan kopi terlebih dahulu, seolah-olah dia mahu rnenghalang supaya saya tidak balik. Sewaktu Seminah membancuh kopi di dapur inilah Mat Deh memberitahu dia mahu berbaring sebentar.
Ketika Seminah ke dapur, saya duduk di sisinya sambil berbual dengan Haji Maasar dan Ngah Sabiyah. Tiba-tiba sahaja Mat Deh terbersin lantas memberitahu terasa sesak nafas. Belum pun sempat Seminah membawa kopi keluar keadaan Mat Deh bertambah lemah.
Sebab itulah saya dapat mengagak kenapa dia tidak benarkan saya balik. Dia kembaIi terkejang hampir setengah jam, baru membuka mata  semula tersenyum memandang saya.
"Macam mana Abang Mat?" segera saya mengusap-usap dadanya.
"Ah, semua badan aku sakit-sakit, cuma hati aje yang tenang," jelasnya perlahan melirik senyum.
Setelah menggenggam tangan Mat Deh, saya segera menggamit Ngah Sabiyah mendekati anaknya. Tergamam juga Ngah Sabiyah kerana tidak menyangka perubahan diri Mat Deh secara tiba-tiba. Ketika Seminah keluar menatang minuman, keadaan Mat Deh semakin lemah.
"Kau kena bersabar Seminah," bisik Haji Maasar sebaik sahaja Seminah meletakkan dulang air.
"Kenapa pak tua?" soal Seminah gugup.
Haji Maasar tidak menyahut. Seminah juga terpempan apakala melihat saya membaca Yassin perlahan di sisi Mat Deh. Saat ini barulah dia menyedari keadaan Mat Deh sebenarnya. Belumpun habis saya bersama Haji Maasar membacakan Yassin, perlahan-lahan Mat Deh menutup matanya. Dia menghembuskan nafas dengan tenang sehingga tidak terbayang pun akan kesakitan yang ditanggungnya selama ini.
Tiga bulan selepas Mat Deh meninggal dunia itulah, Lias Pekak mengajak saya ke kampungnya. Risau benar dia dengan keadaan abangnya suami isteri mengidap penyakit muntah-muntah sejak berbulan-bulan. Asal sahaja mereka menjamah makanan akan muntah-muntah berterusan sehingga mukanya pucat lesi.
Apabila saya sampai di kampung Lias Pekak, terkejut saya kerana abangnya Supardin dan isterinya Merijah itu sama dengan bayangan orang yang saya lihat ketika mendoakan Mat Deh. Daripada Lias Pekak juga saya mendapat tahu, semenjak tiga bulan sebelum itu bapa saudara Merijah yang cuba mengubatinya tiba-tiba sahaja menjadi gila.
Memang Wak Tatang itu bapa saudara Merijah. Dia hanya tersengih-sengih tatkala saya dan Lias Pekak menziarahinya. Sekali sekala dia menghantukkan kepalanya ke dinding hingga berbekas lebam biru dan bincut-bincut tidak menentu.
"Istighfarullahhul azzim..."keluh saya sewaktu meninggalkan Wak Tatang yang tersengih-sengih berterusan.