Saturday, October 24, 2015

147. SUMPAH LELAKI BERKEPALA HARIMAU



TIDAK lama selepas berpindah ke kampung yang, dikelilingi sawah padi. Malim Melano dituduh membawa mala petaka ke situ. Tiba-tiba sahaja kampung berkenaan diganggu lembaga hitam tidak berpakaian yang menjelma di tengah rumah. Lembaga berkenaan akan menyerbu ke bilik gadis tengah nyenyak tidur tatkala malam diselubungi kesepian. Siapa lagi yang ganggu mereka kalau bukan Malim Melano sebaik sahaja dia berpindah ke situ.
Tetapi Tok Ompek tidak percaya mengenai gangguan lembaga hitam berbogel yang menceroboh masuk ke rumah itu perbuatan Malim Melano. Tahu sangat Tok Ompek mengenai Malim Melano yang ditemui tatkala solat maghrib di surau. Lantas sahaja Malim Melano meminta kebenaran menetap di kampung berkenaan dengan menumpang di surau tersebut.
Malim Melano tidak membantah apa-apa ketika Tok Ompek upahkan dia mencebak sawah atau membajak dengan kerbau. Setelah bekerja di sawah padi Tok Ompek itulah dia merasakan lelaki itu tempat dia bertumpu. Apa lagi sebelum meninggalkan kampung halaman di Solok memang Malim Melano sudah nekad tidak akan undur lagi ke belakang.
Biarlah dia menumpang di mana-mana tatkala di rantau orang Malim Melano akan tabah menghadapi segalanya. Sewaktu meninggalkan Solok terus ke Payakumbuh, dia sekadar harapkan nasibnya akan berubah apabila menyeberang ke Semenanjung. Malim Melano tidak mahu ingat apa-apa lagi mengenai kenangan silamnya semasa di kampung halaman.
"Sudah lama ambo tinggalkan Solok, Tok," ujar Malim Melano apabila Tok Ompek ingin tahu mengenai kampung halamannya yan ditinggalkan.
"Sawah padi di Solok tak sama dengan sawah padi di sini," tersengih-sengih Tok Ompek sebaik sahaja diberitahu oleh Malim Melano mengenai Solok yang sekadar didengar daripada arwah ayahnya.
"Bukan di Solok aje sawah padi, Tok," sahut Malim Melano perlahan bagaikan menyindir Tok Ompek yang tidak pernah jejak kaki balik ke kampung halaman. "Gunung Singgalang dan Gunung Merapi di lereng dan di sekelilingnya semua sawah padi," tutur dia tidak. berasa apa-apa perbezaan tatkala jengah muka ke kampung berkenaan.
"Aku sekadar dengar cerita dari mulut arwah ayah," beritahu Tok Ompek mengakui dia tidak tahu apa-apa fasal kampung halaman arwah ayahnya di Pariaman. Kadangkala Tok Ompek tertanya-tanya juga di lubuk hatinya kenapa arwah ayahnya tinggalkan kampung halaman di Pariaman hingga berpindah ke Semenanjung sekiranya sawah padi subur menghijau.
Berulang kali arwah ayahnya beritahu mengenai sawah padi luas terbentang di kampung halamannya di Pariaman. Apa lagi di lereng bukit di Solok jauh dari kampung halamannya, mereka sekadar tadah air yang mengalir dari puncak hukit masuk ke dalam lopak sawah.
Tatkala padi masak menguning dari jauh mereka melihat berombak-ombak rumpunnya dipuput angin. Tetapi ayahnya tidak terkilan apa-apa sekalipun tidak dapat balik jejak kaki ke kampung halamannya. Samalah macam Malim Melano tidak terkilan apa-apa setelah tidak dapat menjamah beras Solok yang terkenal di kampungnya.
Sebab itu Malim Melano tidak bimbang apa-apa kalau takat heret kerbau membajak di tengah sawah. Sewaktu di Solok pun dia memang mahir membajak hingga lumpur sawah iumat tidak bersisa. Tetapi Malim Melano tinggalkan Solok bukan disebabkan tidak mampu lagi mengheret kerbau membajak sawah. Biarlah dia tinggalkan Solok hingga namanya luput tidak disebut sesiapa pun!
Memang terharu Malim Melano tatkala jejak kaki ke kampung berkenaan, seisi kampung diganggu lembaga hitam tidak berpakaian menceroboh masuk ke rumah. Gadis yang menjadi mangsa tidak diperkosa apa-apa, tetapi sekadar diceroboh sahaja. Lembaga hitam tidak berpakaian itu akan tercegat di depan gadis tengah nyenyak tidur, kemudian berbaring dengan menghisap rokok daun.
Sebaik sahaja gadis berkenaan terjaga, dia akan menepuk-nepuk perlahan pada bahu menyebabkan mangsanya terkejut. Setelah dia terjun ke tanah melalui tingkap, barulah mangsa ketakutan lantas menjerit nyaring. Apabila jiran-jiran menjadi gempar dengan jerit mangsa terus menyerbu mahu membantu, mereka sekadang melihat mangsa terkejang di tempat tidur dengan pakaiannya terdedah.
Siapa lagi berani mengganggu penduduk kampung kalau bukan Malim Melano yang baru jejakkan kaki ke situ beberapa bulan. Seisi kampung tahu sangat mengenai mereka yang tinggalkan kampung halaman mereka di seberang tentu diusir penduduk-penduduk di kampungnya.
Tentu Malim Melano yang menjelma menjadi lembaga hitam tidak berpakaian itu mengganggu penduduk-penduduk kampungnya di Solok. Setelah diusir penduduk-penduduk kampung lantas dia melarikan diri ke Semenanjung. Apabila jejak kaki ke kampung mereka Malim Melano masih juga amalkan amalan buruknya hingga menjelma menjadi lembaga hitam tidak berpakaian.
"Lebih baik kamu berterus terang Malim Melano!" gerutu Tok Ompek mendesaknya setelah seisi kampung menuduh dia melakukan perbuatan menceroboh masuk ke bilik gadis tengah nyenyak tidur tatkala malam diselubung kesepian.
Malim Melano menggeleng perlahan. Memang dia tidak tahu Iangsung mengenai amalan hingga menjelma menjadi lembaga hitam tidak berpakaian. Apa lagi mahu menceroboh masuk ke dalam rumah yang terkunci rapat. Bukan mudah mahu menyusup masuk melalui celah dinding kalau terpaksa dikopakkan habis.
Tatkala dia mengambil keputusan tinggalkan Solok di kaki bukit bukau Setinjau Laut, memang Malim Melano tidak dapat menahan perasaan setelah isterinya Napisah tiba-tiba sahaja berubah hati. Dia tidak dapat bertahan apabila Napisah tengah terkejang tidur terangkat ke udara terus hilang dalam kegelapan malam. Sewaktu pagi matahari memancar dia akan melihat semula Napisah tergolek di tempat tidur.
Berturut-turut malam kejadian demikian berlaku, tidak seorang pun keluarga Napisah percaya apabila diberitahu mengenai malang yang menimpa Malim Melano. Memang Napisah tidak tahu apa-apa kalau didesak mengenai dia melayang ke udara tatkala tengah tidur nyenyak.
Manalah perempuan itu dapat mengagak apabila diselubungi mimpi seolah-olah ditatang lelaki tampan yang menjelma di depannya. Apabila dia melambai-Iambai tangan memanggil Malim Melano suaminya sekadar terkebil-kebil mata sahaja memerhatikan dirinya ditatang dibawa lari.
Selepas dibawa masuk ke dalam rumah besar tersergam barulah Napisah dapat melepaskan diri. Tetapi dia tidak boleh meluru keluar meninggalkan rumah berkenaan disebabkan di setiap penjuru rumah dikawal beberapa ekor harimau tercangkung menyeringai taring. Bimbang juga dia akan dikerkah harimau-harimau yang berkawal itu kalau gagahi juga keluar meluru ke pintu.
"Kamu jangan takut Napisah!" lelaki tampan itu memujuk Napisah supaya tidak terburu-buru membuat keputusan.
"Tidakkah kamu tahu aku sudah punya suami?" bentak Napisah marah apabila diperlakukan demikian.
"Memang aku tahu, sebab aku suami kamu,' beritahu lelaki tampan itu terus memujuk Napisah.
"Kamu sudah gila, suamiku hanya Malim Melano," bertambah marah Napisah disebabkan lelaki tampan itu mempersendakan dirinya.
"Tidak, Malim Melano suami kamu pada zahirnya saja!" tegas lelaki tampan itu ingatkan dia lantas mengerling harimau-harimau di setiap penjuru yang menjadi pengawal rumah besar tersergam itu.
"Kamu jangan nak bohongi aku, setan!" segera Napisah mencapai belantan mahu memukul kepala lelaki berkenaan. Tetapi sekali gus pula lelaki tampan itu bertukar menjadi harimau terconggok di depan Napisah.
Gementar Napisah sebaik sahaja melihat harimau jelmaan lelaki tampan itu terconggok di hadapannya. Tenaganya menjadi Iemah hingga belantan di tangan tercampak ke lantai. Dia jatuh tergolek tidak boleh bergerak Iangsung. Ketika ini dia melihat harimau garang di hadapannya bertukar menjadi lelaki tampan berkenaan.
Dia tidak membantah apa-apa tatkala lelaki berkenaan memapahnya masuk ke bilik. Ketika ini Napisah tidak dapat melawan langsung disebabkan tenaganya Iemah tidak bermaya. Dia sekadar mengangguk perlahan setelah diberitahu lelaki tampan itu mengenai dirinya sudah sah menjadi isteri dia.
Manalah Napisah boleh membantah dalam masa dia terkurung dalam rumah besar tersergam. Selepas Napisah rela menerima lelaki tampan itu menjadi suaminya, lantas sahaja dia ditemukan dengan ramai perempuan-perempuan yang menunggunya di kawasan lapang. Ketika ini Napisah diberitahu mengenai Tok Cenaku yang memilih dirinya menjadi isteri yang ke 44.
Sudah menjadi sumpahan Tok Cenaku memilih isterinya hingga 44 orang, biar ketampanannya berterusan. Sebab itu semua isterinya beritahu Napisah mengenai Tok Cenaku tidak dimamah usia sekalipu umurnya sudah terlalu tua Tok Cenaku masih gagah laksana anak muda sanggup memikul seguni padi.
Tidak seorang pun isteri nya berani membantah apabila Tok Cenaku membawa mana-mana perempuan balik ke rumah. Dia sekadar memerlukan 44 isteri setiap malam, dan akan dibuang apabila tidak lagi memerlukan. Sebab itu Mak Bunga ingatkan Napisah supaya tidak membantah sangat kerana bimbang akan mengandung anak harimau.
Tahu sangat Mak Bunga mengenai isterinya yang membantah tidak mahu dijadikan 44 isteri Tok Cenaku. Tidak lama selepas Tok Cenaku usir dari rumah besar tersergam itu tiba-tiba sahaja perempuan itu mengandung. Tatkala me-lahirkan anak memang seisi kampung menjadi gempar apabila perempuan berkawin lahirkan anak harimau bersama uri tembuni.
"Biarlah bertahan macam ni Adik Napisah," bisik Mak Bunga supaya tidak membantah sangat kemahuan Tok Cenaku.
Bukan takat Napisah sahaja dilarikan Tok Cenaku, asal sahaja dia berkenan tatkala terserempak sesiapa sahaja perempuan nescaya akan dilarikannya. Tok Cenaku akan heret ke rumah besar tersergam dijadikan isteri biar seisi rumah mencukupi 44 orang perempuan.
Apabila pagi cerah melayah dengan matahari memancar Napisah terkejut dari tidur nyenyaknya. Ketika ini dia merungut-rungut sendirian apabila kenang mimpi yang menakutkan. Dia menjadi terpinga-pinga apabila Malim Melano mendesak ke mana dia menghilang sepanjang malam.
"Napisah ni sakit, Malim Melano," beritahu Haji Maskor setelah melihat keadaan perempuan itu tersengih-sengih sendirian di tengah rumah.
"Tapi, nenek mamak isteri saya tak percaya," tutur Malim Melano kesal dalam keadaan hatinya mendongkol.
"Mereka tak percaya Napisah sakit?" hairan juga Haji Maskor apabila kenang sanak saudara Napisah tidak pedulikan apa-apa.
"Sekadar percaya isteri saya hilang ingatan," sahut Malim Melano menahan sebak dada. "Tapi mereka tak percaya tubuh Napisah terangkat ke udara," dia menambah lantas mendengus perlahan.
"Jangan berputus asa, Malim Melano," segera Haji Maskor ingatkan dia supaya tabah menghadapi dugaan demikian.
Haji Maskor tahu Napisah memang tidak siuman semenjak ditemui Malim Melano beberapa kali tubuhnya terangkat ke udara. Belum sempat Malim Melano menariknya turun semula, Napisah hilang sebaik sahaja cecah pada atap. Sebab itu keluarga Napisah tidak percaya dengan kejadian yang menimpa perempuan itu.
Tatkala mereka sekeluarga sama-sama bercekang mata menunggu di rumah Malim Melano, memang Napisah tidak ke mana-mana. Dia merungut-rungut sahaja di tempat tidur sepanjang malam. Setelah diberitahu pada Haji Maskor, lantas sahaja dia menyuruh Malim Melano bangun tengah malam solat tahajud.
Sebab itu Malim Melano kuatkan tekad untuk bangun tiap-tiap malam tatkala kokok ayam sahut bersahut di dalam kampung. Biarlah terasa seluruh badan sakit-sakit apabila terus berzikir hingga santak subuh. Malim Melano tetap ingat petua yang diamalkan Haji Maskor lantas bacakan doa:
lz-yuhi rabbuka ilal-malaikati inni ma 'aku fathabbitul-lazina a-man saul-qi fi-qulubillazina fakaru ru'ba fadhribu fau-qol a'naq wadhribu minhom kulla bananin.
Ketika ini dia merasakan seluruh penjuru rumahnya bergoncang kuat bagaikan duduk di atas gelombang air. Semakin mantap zikir Malim Melano bertambah kuat goncangan rumah hingga terasa dirinya teroleng-oleng. Tetapi Malim Melano tidak bimbang apa-apa setelah menyerahkan dirinya di dalam perlindungan Allah.
Apabila dia ternampak ke tengah kabus memutih, Malim Melano melihat lelaki bongkok berkepala harimau bercekak pinggang di depannya. Setiap kali lelaki itu mahu menerkamnya lantas sahaja terpelanting bagaikan ditolak angin kencang yang menyerbu ke dada.
Termengah-mengah lelaki berkepala harimau bangun dari terguling di tanah apabila dadanya sakit bagaikan ditendang kuat. Melejeh-lejeh air liurnya setelah terasa dadanya senak tidak bertahan. Tatkala bangun menggeliat-geliat lelaki itu mengaku dirinya Tok Cenaku yang dikenali berkahwin dengan 44 orang isteri.
"Kamu nak bunuh aku, kerana Napisah isteri aku?" bentak Tok Cenaku menahan kesakitan dada seolah-olah ditendang kuat.
Malim Melano tidak monyahut apa-apa. Tatkala dia melompat bangun segera Malim Melano menghentak tumitnya tiga kali ke tanah dengan membacakan:
Kaf ha ya a'in sod, ha mim a'in sim kof, 'alallahhi tawakkalna rabbana la-taj 'alna fitnatan lil-qaumiz zolimina minajjina birah-matika minal qaumil-kafirin.
 Apabila dia mengisarkan tumitnya sekaligus lelaki berkepala harimau itu berputar lantas Malim Melano hentakkan tumitnya ke tanah semula. Ketika ini Tok Cenaku jatuh tertiarap dengan muka menyembam bumi.
Tiba-tiba sahaja ketawa berdekah-dekah sebaik sahaja duduk bersila di tanah mendongak memandang Malim Melano. Dia menepuk-nepuk dada memberitahu Malim Melano mengenai dirinya lama menetap di Kerinci. Siapa sahaja tidak boleh tandingi dia setelah menjelma menjadi harimau lantas berkahwin sampai 44 orang isteri.
Lainlah kalau dia tidak sempat berkahwin sampai 44 orang isteri, nescaya jelmaan harimaunya sudah ditewaskan sesiapa sahaja. Kalau takat mandi air di sungai lantas menyeberang tebing ke tebing sampai tujuh kali tatkala tengah malam memang Tok Cenaku boleh lakukan berulang kali.
Tetapi dia mampu berkahwin sampai 44 orang isteri, tentu tenaganya tidak mudah tewas. Sebab itu Tok Cenaku tidak akan mengalah setelah Malim Melano menjelma di depannya. Memang dia tahu Napisah yang dilarikan isteri Malim Melano sendiri menyebabkan dia tidak boleh berundur ke mana.
Tidak pernah sesiapa pun suami perempuan yang dilarikannya mampu menjelma di depannya hingga mengancamnya. Sekalipun serba salah dengan kemunculan Malim Melano di situ, tetapi Tok Cenaku tidak boleh mengalah. Sia-sia dia bertapa berbulan-bulan dengan meneguk air sungai Kerinci tujuh teguk setiap hari, kalau mudah sangat mengalah apabila diancam demikian.
"Kamu datang nak menguji aku, Malim Melano?" gerutu Tok Cenaku berkepala harimau itu mencemik marah.
Memang Malim Melano tidak menyahut sepatah pun tatkala dicabar. Dia terus berzikir jauh di lubuk hatinya hingga terasa seluruh tubuhnya bagaikan cair laksana lilin terbakar ke api. Ketika ini tidak siapa pun yang ditakutnya selain daripada kuasa Allah yang Maha Perkasa. Cubalah Tok Cenaku menerkam tunjukkan ketangkasan amalan harimau jelmaan yang ditakuti orang-orang kampung!
"Kenapa kamu tidak menyahut?" bentak Tok Cenaku bertambah marah disebabkan Malim Melano tidak pedulikan dia mengancam di depannya.
Tetapi Malim Melano tahu tenaga Tok Cena sudah tidak seberapa. Takala jatuh tersembam muka ke bumi Tok Cenak memang tidak mampu mahu menerkam ke arahnya. Sengaja lelaki berkepala harimau itu mahu tunjukkan ketangkasannya biar Malim Melano gementar tidak menentu. Masakan dia boleh tundukkan Malim Melano sama macam perempuan yang diseru namanya akan jatuh terjelepoh di hadapan nya.
Sebaik sahaja To Cenaku membakar kemenyan menyeru Napisah, sudah tentu bayangan harimau akan menerpa tidak bertangguh. Bila-bila sahaja bayangan harimau itu akan mematuhi perintahnya kalau disuruh ke mana sahaja. Hatta larikan Napisah tengah tidur nyenyak di sisinya, bayangan harimau di depannya tidak akan membantah.
Tidak bertangguh bayangan harimau melompat ke udara hilang pada bumbung atap laksana asap dihembus angin. Ketika harimau melompat di bilik Napisah, memang Malim Melano tidak melihat siapa tercegat di situ. Terkebil-kebil mata Malim Melano melihat tubuh isterinya terangkat ke udara terus hilang sebaik sahaja cecah pada bumbung atap.
"Napisah tu isteri aku Melano!" tegas Tok Cenaku menuntut supaya Malim Melano tidak membantah apa-apa.
Dalam masa Tok Cenaku terkial-kial mahu bingkas bangun, segera Malim Melano kisarkan tapak sekali sahaja mendengar bisikan Haji Maskor. Ketika ini dia merasa Haji Maskor tercegat di sisinya menyuruh bacakan:
Allahumma solli 'ala Muhammadil fatihi lima oghliqo wal-khotimi lima sabaqo wannasirol hoqqi bil-hoqqil hadi ila sirotim mustaqim sollallahhu 'alaihi wa-"ala alihi wasohbihi haqqo qodrihi wamiqdarihil 'azim.
Sekali gus guruh berdentam dengan kilat nemancar di udara. Belum sempat Tok Cenaku bersembunyi daripada kilauan kilat, tiba-tiba sahaja petir menyambar dadanya. Terjahan petir yang kuat itu menyebabkan Tok Cenaku tergolek dengan tubuh melecur disambar api. Ketika ini beberapa orang perempuan yang bersembunyi di dalam gelap bertempiaran lari dengan jerit pekik tidak ketahuan.
Di tengah perempuan yang bertempiaran lari itulah Malim Melano ternampak Napisah terpinga-pinga di bawah kilauan kilat memancar. Sebaik sahaja Napisah melihat Tok Cenaku tergolek di tanah berlumuran darah dengan kulit habis melecur, segera dia mencebek bibir. Marah benar Napisah disebabkan Tok Cenaku tidak pedulikan siapa pun semata-mata mahu kekalkan amalan tatkala lama bertapa di Kerinci.
Napisah satu-satunya yang tahu mengenai Tok Cenaku meninggalkan kampung halaman di Silungkang terus sahaja ke Kerinci di Jambi. Memang Tok Cenaku beritahu mengenai dirinya mahu menjadi lelaki tampan hingga sanggup bertapa ditengah gua semata-mata berbekalkan air sungai di Kerinci.
Tok Cenaku sekadar meneguk tujuh teguk sahaja air sungai berkenaan itu setiap hari dengan tidak menjamah apa-apa pun makanan. Lama dia bertapa tiba-tiba sahaja Tok Cenaku menyedari dirinya bertukar menjadi harimau yang boleh patahkan tengkuk kerbau tengah galak membajak di sawah.
Kecewa benar Tok Cenaku apabila menjelma jadi harimau ganas di tengah hutan setelah lama bertapa dengan meneguk tujuh teguk sahaja air sungai yang dicedok di Kerinci. Apalah maknanya menjelma menjadi harimau kalau dirinya tidak tampan. Tetapi Tok Cenaku diingatkan oleh gurunya perkara bertukar menjadi tampan tidak sama dengan menjelma jadi harimau hingga tumbuh belang seluruh badan.
Sebab itu guru Tok Cenaku beritahu supaya perkosa 44 orang wanita biar dirinya menjadi tampan seumur hidup. Lantas sahaja Tok Cenaku menjelma menjadi harimau terconggok di tengah bilik tidur sebelum memperkosa wanita ber kenaan. Dia tidak peduli apa pun rintangan asal sahaja kemahuan dirinya dapat dilaksanakan.
"Kamu tahu Malim Melano, umur aku sekarang sudah beratus-ratus tahun!' Tok Cenaku mengejeknya tetapi masih terkial-kial tidak dapat bangun akibat tenaga nya lemah seluruh badan.
Memang Malim Melano tahu jelmaan Tok Cenaku mahu lemahkan semangat nya biar segera berundur. Lantas dia mendengar bisikan Haji Maskor supaya bacakan al-Fatihah tiga kali diikuti lima ayat terawal surah al-Baqarah, ayat 16 dan 164 surah al-Baqarah serta Ayatul Kursi. Apabila dia terus membacakan ayat 256, 257 284, 285 dan 286 surah at Baqarah diikuti ayat 18, 1 dan 20 surah Ali Amran tiba tiba sahaja Tok Cenak tergigil-gigil tidak ketahuan Dia melambai-lambai tangan meminta Malim Melano tidak meneruskan membaca.
Tetapi Malim Melano juga mendengar Haji Maskor bisikkan ke telinganya supaya bacakan ayat 54, 55 dan 56 surah al-Araaf, kemudiannya ayat 117 dan 118 surah al-Mukminun terus dengan 11 ayat terawal surah as-Saffa menyebabkan Tok Cenaku menggelepar menahan senak perut yang menusuk-nusuk.
Saat ini Tok Cenaku mengakui amalannya sudah diturunkan sejak bertahun-tahun. Siapa sahaja amalkan mahu menjelma menjadi harimau selepas bertapa dengan meneguk tujuh teguk dari sungai setiap hari, dia tetapkan juga mesti perkosa sampai 44 orang wanita. Kalau tidak dapat perkosa wanita sampai 44 orang, nescaya akan kekal menjelma menjadi harimau seumur hidup.
Dalam masa Tok Cenaku menggelepar inilah, Malim Melano dikejutkan oleh Haji Maskor disebabkan sudah santak subuh. Ketika ini Napisah juga sudah termengah-mengah dengan ombak dada mencemaskan. Tidak lama selepas dibacakan Yasin dalam hembusan dingin pagi itulah Napisah menutup matanya rapat-rapat.
Sebak benar hati Malim Melano dengan kejadian yang menimpa isterinya disebabkan dia melihat sendiri jelmaan Tok Cenaku yang membuat pesona.
Ketika jenazah dibujurkan baik-baik, Malim Melano diberitahu mengenai bapanya Pak Kobeng terkejang mati dengan kepalanya bertukar menjadi harimau. Ekornya juga menjulur panjang sama macam Tok Cenaku menggelepar. Seluruh tubuh mayat melecur laksana tercampak ke dalam bara api.
Kejadian yang menusuk perasaannya itulah menyebabkan Malim Melano tidak tergamak mahu menatap muka sesiapa sahaja di kampung halamannya. Tatkala jejak kaki di Semenanjung pun dia tidak terus ke kampung berkenaan, tetapi lama menjadi buruh kasar di merata tempat.
Memang Haji Maskor memujuk dia supaya tidak tinggalkan kampung halaman kerana di mana-mana pun dugaan demikian tetap merobek perasaan. Tetapi Malim Melano berkeras juga meninggalkan kampung halaman di Solok, terus menetap di Payakumbuh. Setelah berpindah di Kapur Sembilan dia terus ikut kapal barang menyeberangi laut jejak kaki ke Semenanjung.
"Kalau saya menjadi punca kampung ni tak aman, biar saya berpindah Tok," tutur Malim Melano perlahan menahan perasaan terharu menatap muka Tok Ompek.
"Saya tak melarang Malim," ujar Tok Ompek memujuknya supaya tidak terburu-buru mengambil keputusan sama macam meninggalkan kampung halamannya. "Tapi, Malim bersihkan dulu nama Malim di sini," tegasnya ingatkan Malim Melano mengenai tuduhan orang-orang kampung.
"Apa lagi yang saya boleh buat, Tok?" memang kecewa Malim Melano apabila dia dituduh orang-orang kampung fasal kejadian lembaga hitam tidak berpakaian menceroboh masuk ke rumah.
"Kita buktikan bukan Malim yang amalkan amalan terkutuk tu!" Tok Ompek menggertap bibir disebabkan kenang orang-orang kampung mudah sangat menuduh.
Memang seisi kampung syak Malim Melano yang menjelma menjadi lembaga hitam tidak berpakaian itu. Belum pernah berlaku kejadian demikian sebelum Malim Melano jejak kaki ke situ. Tidak lama selepas Malim Melano menumpang di tanah Tok Ompek, tiba tiba sahaja kampung mereka diganggu lembaga hitam tidak berpakaian.
Siapa lagi yang amalkan ilmu hitam kalau bukan Malim Melano? Apa lagi dia datang dari seberang, memang mudah mereka syak fasal amalan ilmu hitam demikian. Mereka dengar mengenai amalan ilmu hitam sering digunakan oleh mereka yang baru jejak kaki ke kampung berkenaan.
Manalah mereka tahu fasal Malim Melano lama belajar agama di Padang Panjang, sebelum dia belajar dengan Haji Maskor. Tetapi Haji Maskor tidak pernah tunjuk dengan orang-orang kampungnya di Solok mengenai doa-doa tatkala diganggu amalan ilmu hitam.
Dia sekadar meminta mereka solat hajat atau solat tahajud sahaja, biar Allah lindungi seisi kampung daripada mara bahaya. Sebab itu Malim Melano pegang kukuh-kukuh ingatan Haji Maskor. Apabila Tok Ompek mendesak biar dia bertahan di kampung berkenaan, Malim Melano berikrar akan membantu lelaki berkenaan.
Setelah dimintanya kacang hijau digaul garam kasar, Malim Melano bacakan 100 kali surah al-Quraisy selepas solat maghrib. Kemudian ditaburkan keliling rumah Tok Ompek. Apabila diserunya supaya jelmaan lembaga hitam itu menyerbu ke rumah Tok Ompek, dia memberi isyarat supaya Tok Ompek sekeluarga tidur sahaja sepanjang malam.
Esok paginya sebelum matahari memancar, mereka isi kampung gempar melihat lelaki tidak berpakaian berjalan berkeliling rumah macam mencari ruang membolos keluar. Seluruh badan lelaki berkenaan berlumur minyak hitam hingga siapa pun sukar mahu mengenalinya.
Setelah ditepuk belakangnya tiga kali oleh Malim Melano baru dia tersentak. Segera Malim Melano mengajak naik ke rumah Tok Ompek. Sebaik diberi minum kopi o, lelaki itu terjerit kesakitan hingga jatuh tersungkur. Lama lelaki mengerang-ngerang kesakitan tiba-tiba minyak hitam yang melumuri badannya beransur hilang. Ketika ini mereka kenali lelaki berkenaan memang Surip Labang yang sudah lama meninggalkan kampung halaman.
"Ah, cerita dah bertahun-tahun dulu, mana saya nak ingat sangat, ustaz," tutur Malim Melano beritahu semasa saya berkunjung ke rumahnya. Memang anaknya Mat Sudi yang beritahu mengenai ayahnya baru sahaja balik ke rumah setelah berminggu-minggu terkejang di hospital.

Monday, October 19, 2015

146. SUSUK SUMBI MEMBALAS DENDAM



TAKAT pakai sumbi emas biar gigi memancar seri tentu siapa pun tidak peduli sangat, sekalipun melirik senyum tatkala terserempak di mana-mana. Apa sangat dengan sumbi emas ketika itu disebabkan ramai anak gadis kepingin pasangkan sumbi emas. Sebab itu Utih Soyah juga desak emaknya mahu pakai sumbi emas biar memancar seri asal sahaja tersenyum tatkala mengerling lelaki.
Tentu mudah lelaki terpikat apabila melihat sumbi emas memancar seri. Apa lagi kalau bertemu dalam majlis kenduri kahwin, mereka akan usik mengusik semasa menghiris datin pandan dibuat bunga rampai. Bangga sangat Utih Soyah sekiranya semua anak teruna akan mengerlingnya. Mereka akan berebut-rebut mahu mendekati dia lantas campakkan bunga telur ke atas riba.
Memang anak gadis macam Utih Soyah tidak akan berpeluang mahu usik mengusik dengan anak teruna sekiranya tidak bertemu dalam majlis kenduri kahwin. Ayahnya Pak Musir akan membentak marahnya sekiranya dia melayani anak teruna semasa menuai padi tengah menguning di sawah. Pak Musir tidak benarkan dia terkekeh-kekeh ketawa apabila berbual dengan anak teruna apabila mengemping selepas habis musim menuai.
Masa yang ditunggu-tunggu memang tatkala jiran-jiran buat kenduri kahwin selepas musim padi dipunggah masuk ke kepuk. Mereka akan berebut-rebut adakan kenduri kahwin semasa padi tengah banyak. Kadangkala berturut-turut minggu mereka berkumpul seisi kampung buat kenduri nikah kahwin sampai tumbangkan seekor lembu.
Ketika ini siapa pun tidak melarang anak-anak gadis usik mengusik dengan anak teruna sama ada tatkala inai pengantin, mahu pun sediakan bunga rampai di tengah rumah. Seisi kampung sudah macam bersaudara apabila berkumpul mahu raikan pengantin di atas pelamin. Masakan Pak Musir boleh membentak marah sekiranya Utih Soyah riang usik mengusik dengan anak teruna yang melayaninya.
"Nak buat apa pakai sumbi?" ujar Pak Musir apabila isterinya Tisah Kekeh beritahu fasal anaknya kepingin sangat sumbi emas pada gigi.
"Bukan mahal sangat belanjanya," merungut juga Tisah Kekeh apabila suami-nya membantah kemahuan dia.
"Tak mahal pun, mana nak cari duit?" Pak Musir mendengus disebabkan isterinya terus juga mendesak.
"Takkan rugi sangat kita, kalau Soyah tu nak bersumbi," semakin galak Tisah Kekeh meminta menyebabkan suaminya serba salah juga. Terpaksa juga Pak Musir mengalah setelah isterinya yang mendesak sangat mahu melihat Utih Soyah bersumbi. Setelah Utih
Soyah pasangkan sumbi emas, tiba-tiba sahaja gusinya membengkak. Tisah Kekeh dapat mengagak tentu anaknya tidak serasi pakaikan sumbi menyebabkan gusi bengkak sampai menanah.
Mahu dibuangkan sumbi berkenaan tentu terpaksa dicabut pula gigi disebabkan sudah melekat dipasak. Lama juga Utih Soyah mengidap sakit mulut akibat gusi membengkak setelah pasangkan sumbi emas. Memang merungut Pak Musir disebabkan isterinya berdegil mahukan anaknya bersumbi emas dengan tidak menyedari Utih Soyah tidak serasi dipasang sumbi.
"Ikutkan cakap awak, hah padanlah dengan muka!" gerutu Pak Musir kesal sangat dengan sikap isterinya tidak mahu mengalah apa-apa.
Tatkala Tisah Kekeh tunjukkan gusi anaknya yang bengkak pada Embah Kisin, orang tua itu tidak bimbang dengan keadaan yang menimpa cucunya itu. Perkara berhias untuk orang perempuan memang banyak dugaan. Apa lagi sumbi emas yang dipasang pada gigi tidak sesuai hingga gusi membengkak.
Tidak pernah Embah Kisin mengalah apabila diuji demikian. Bila-bila dia boleh tusukkan susuk sumbi pada gusi cucunya biar bisa emas yang digunakan Utih Soyah madal tidak menyusup musnahkan gigi. Tahu sangat Embah Kisin gusi cucunya tidak bertahan dengan bisa emas menyebabkan bengkak setelah dipasangkan sumbi berkenaan.
Setelah ditusukkan susuk sumbi itulah bengkak gusi Utih Soyah mengecut cepat. Manalah Utih Soyah tahu mengenai petua neneknya yang diturunkan sejak bertahun-tahun. Memang Embah Kisin tahu mengenai datuknya Resat Jambang gunakan susuk sumbi apabila giginya dipasang sumbi emas.
Setiap kali Resat Jambang tersengih menampakkan sumbinya nescaya perempuan yang mengerling ke arahnya tidak keruan mahu menatap muka. Memang Resat Jambang ingatkan anak perempuannya supaya tidak amalkan susuk sumbi, kerana bimbang tidak boleh mengandung.
Tetapi Resat Jambang tahu susuk sumbinya tidak penting sangat sama ada isterinya nnengandung atau pun tidak. Tatkala dia berkahwin empat orang sengaja Resat Jambang desak mereka semua tinggal serumah. Siapa pun isterinya tidak berani membantah setelah Resat Jambang membuat keputusan demikian. Manalah tahu Resat Jambang akan ceraikan sesiapa yang berdegil tidak mematuhi kemahuannya.
Memang semua isterinya tidak berani membantah apa-apa . Mereka tidak boleh berenggang setelah menatap sumbi emas pada gigi suaminya. Bukan mudah mahu melupakan Resat Jambang yang sentiasa menjelma di hadapan asal sahaja mahu melupakan dirinya. Tetapi rahsia Resat Jambang dikasihi isteri-isterinya, memang dia tidak pernah membentak marah sekalipun mereka berkasar terhadap dirinya. Sudah menjadi pantang larang Resat Jambang dia tidak boleh menyakiti hati semua isteri-isterinya selagi susuk sumbi masih tertusuk pada tubuh-nya.
Masakan Resat Jambang berani membentak marah kalau gusinya akan membengkak sampai memercik darah. Bukan mudah mahu sembuhkan gusi yang membengkak laksana ditusuk jarum sekiranya dia ikutkan perasaan marah tidak menentu terhadap semua isterinya.
Sebab itu Resat Jambang tidak akan marah tidak menentu terhadap semua isterinya. Kalau perasaannya mendongkol sangat dia akan gertap bibir sahaja kemudian melepaskan tinju menumbuk perdu pokok. Biarlah pokok yang ditinju Iayu daun laksana dilayur pada api hingga sedikit demi sedikit reput sampai ke akar.
"Ingat pantang larangnya, Soyah," ujar Embah Kisin ingatkan cucunya supaya tidak membentak marah di depan suami.
Hinggalah dia berkahwin dengan Mat Deris memang Utih Soyah pegang kukuh-kukuh pantang Iarang neneknya. Biarlah Mat Deris merungut sekiranya nasi lambat ditanak, Utih Soyah tetap diamkan diri sahaja. Dia tidak akan marah apabila dibentak Mat Deris kalau dia tidak dapat melayani suaminya.
Tetapi sikap panas baran Mat Deris sama juga macam bapa mentuanya Pak Musir. Mudah sahaja dia menghunus parang apabila tapak semaian diserbu kambing jiran-jiran. Siapa juga jangan cuba leraikan tatkala dia mencekak leher lawan. Dia tidak peduli sekalipun Iawannya saudara mara isterinya sendiri.
Tatkala kebun pisangnya diranduk lembu ternak Itam Kadir cepat sahaja Mat Deris menyingsing lengan bajunya. Puas dipujuk emak mentuanya Tisah Kekeh dia tetap berkeras menyerbu ke tengah halaman rumah Itam Kadir. Dia tidak peduli Itam Kadir adik emak mentuanya sendiri.
Kalau tidak disebabkan Pak Musir tampar mukanya hingga berbinar mata, memang Mat Deris mahu tunjuk keras kepalanya. Dia tahu tamparan keras Pak Musir sama macam guru silat tangkas mengilas tangan. Jangan cuba berkeras di depan bapa mentuanya kalau takat berani membabi buta tidak menentu!
Lama Pak Musir belajar memencak silat hingga boleh berjejak di atas bara merah menyala. Seisi kampung tahu mengenai Pak Musir memang mahir berpencak apabita mengelak diserbu musuh. Mereka melihat sendiri bagaimana Pak Musir mengelak tatkala diterkam ular tedung selar di tepi belukar.
Beberapa kali ular berkenaan menghambur tinggi, pantas sahaja dicekak lehernya terus dilibas ke tanah. Tiga kali Pak Musir libaskan tubuh ular berkenaan ke tanah memang tidak boleh lagi ia angkat kepala. Siapa mahu menguji ketangkasan Pak Musir memencak kalau tidak mahir membuka langkah silat?
Sebab itu Mat Deris tidak berani angkat muka selepas ditampar keras oleh bapa mentuanya di depan rumah Itam Kadir. Apa sangat dengan kebun pisang ditanduk lembu ternak Itam Kadir hingga hilang pertimbangan mahu bermasam muka sekeluarga? Sekalipun Mat Deris tidak berpuas hati, namun Utih Soyah tidak berani marahi suaminya.
Terpaksa Utih Soyah pendamkan perasaan yang mendongkol itu jauh di lubuk hatinya. Bimbang sangat dia mahu marahi Mat Deris apabila menyerbu ke rumah Itam Kadir disebabkan bimbang pantang larang arwah neneknya Embah Kisin. Tahu sangat dia apabila gusi membengkak hingga bernanah.
Sudah tentu giginya habis Iuruh sekiranya tidak dapat diubati. Siapa lagi mampu mengubati setelah nenek Embah Kisin meninggal dunia? Dia akan menanggung kesakitan akibat gusi berdenyut-denyut Iaksana ditusuk jarum di mana-mana.
Tatkala dia terkebil-kebil mata tengah malam setelah Mat Deris nyenyak tidur, Utih Soyah terkejut apabita terdengar bunyi tapak kaki berjalan di lantai rumah. Belum sempat dia gerakkan suaminya supaya bangun, Utih Soyah tergamam melihat lelaki berjambang berdiri di tengah rumah. Lantas sahaja lelaki berjambang itu menggamitnya supaya mara ke arahnya.
"Aku Tok Moyang kamu, Soyah," bisik lelaki berjambang itu ingatkan Utih Soyah supaya tidak bimbang apa-apa.
Sebaik sahaja dia mencapai tangan Utih Soyah, sekali gus Utih Soyah merasa dia berjalan melalui lorong yang diterangi api suluh daun kelapa di kiri kanan. Lelaki berjambang itu terus memimpin dia melalui jalan berkenaan hingga sampai ke pondok berdinding pelupuh buluh.
Lelaki berjambang itu mengajaknya naik ke pondok tersebut. Sebaik sahaja Utih Soyah naik di tengah pondok sudah tersedia dulang berisi tujuh biji Iimau, sepiring bertih, tempat bakar kemenyan, beras kunyit dan tiga batang jarum emas.
"Tok Moyang nak buat apa ni?" ujar Utih Soyah bimbang benar apabila dibawa ke pondok berkenaan.
"Tok Moyang nak bebaskan cucu dari pantang larang," beritahu lelaki berjambang itu ingatkan dia mengenai pantang larang yang ditetapkan oleh Embah Kisin.
"Cucu takut kalau mudarat pula," sahut Utih Soyah tidak mahu terburu-buru membuat keputusan.
"Kalau tersalah bawa memanglah mudarat," jelas lelaki berjambang itu terus membakar kemenyan.
Sebaik sahaja asap kemenyan melabun naik Utih Soyah melihat neneknya Embah Kisin berbayang-bayang di tengah asap. Apabila dia mendongak lantas jelmaan neneknya beritahu mengenai lelaki berjambang itu memang Resat Jambang. Tentu Resat Jambang tidak mahu Utih Soyah diganggu pantang larang hingga terpaksa pendamkan segala kemarahan di lubuk hatinya sekalipun Mat Deris menyinggung perasaan dia.
Memang sukar Uti Soyah mahu menahan rasa marah yang terpendam hingga menyebabkan di tersengguk-sengguk menangis. Manalah dia boleh menahan kemarahan berterusan kalau Mat Deris tidak pedulikan perasaannya.
Kadangkala sengaja Ma Deris menyindir disebabkan dia bersumbi emas. Apabila Mat Deris mengejek sumbi emasnya sama macam tahi gigi bertepek marah juga Utih Soyah. Tetapi dia terpaksa menyimpan jauh-jauh di lubuk hati supaya kemarahanya tidak meledak sampai membentak keras.
 Dalam masa asap kemenyan melabun itu, tiba-tiba pondok berkenaan bergoyang kuat tatkala angin kencang bertiup menerobos ke segenap penjuru. Tidak sempat lelaki berjambang menyambar tangan Utih Soyah, sekali gus dia melayang ke udara. Terkial-kial Utih Soyah di tengah tiupan angin kencang menerobos itu.
Lantas dia menjerit kuat melambai-lambai tangan rneminta lelaki berjambang selamatkan dirinya terapung-apung di udara. Jelmaan neneknya Embah Kisin juga bercaing-caing laksana kabus dipuput angin. Semakin lama terapung-apung semakin gementar hati Utih Soyah tidak dapat berjejak kaki di mana-mana. Suara jeritnya juga tidak kedengaran di mana-mana menyebabkan dia menangis merintih akibat ketakutan yang mendebarkan.
Ketika ini Utih Soyah terasa tangannya disambar jari halus. Apabila dia ditarik keluar dari kawasan angin kencang itu, Utih Soyah menyedari dia mengikuti perempuan muda berpakaian kebaya kain kasa nipis. Tersenyunn perempuan itu membelai-belai rambut Utih Soyah lantas beritahu dirinya terpedaya oleh jelmaan berkenaan.
"Resat Jambang tidak akan menjelma macam tu, Adik Soyah," ujar perempuan itu beritahu dirinya Puteri Sihalus yang berikan susuk sumbi pada Resat Jambang.
Segera Puteri Sihalus cabutkan susuk emas yang ditusuk pada gusinya oleh Embah Kisin. Setelah dicuci dengan air embun gusi Utih Soyah ditusuknya semula dengan jarum emas halus laksana rambut di celah gigi. Terasa sejuk gusi di celah gigi Utih. Soyah apabila jarum berkenaan ditusukkan. Dia bisikkan pada Utih Soyah supaya tidak bimbang dengan pantang larang yang diberikan Embah Kisin. Gusinya tidak akan membengkak sampai bernanah selagi susuk sumbi Puteri Sihalus tertusuk di situ.
"Dah pakai susuk ni Adik Soyah yang berkuasa dalam rumah tangga," bisik Puteri Sihalus tatkala membawa batik Utih Soyah ke tengah rumah.
Sewaktu bangun pagi-pagi lagi terkejut Mat Denis apabila melihat isterinya tertiarap tidur di tengah rumah. Terpinga-pinga Utih Soyah bangun disebabkan dia merasakan tengah bermimpi apabila dikejutkan oleh suaminya. Sebaik sahaja bangun lantas Utih Soyah merungut marah dengan menghentak-hentak kaki ke lantai.
Semenjak itu serba salah benar Mat Deris disebabkan isterinya mudah sangat marah hingga beberapa kali membentak di depannya. Kecut juga hati Mat Deris mahu berkeras tatkala Utih Soyah membentak marah. Apa lagi dia semakin bimbang isterinya akan meninggalkan dirinya kalau membantah kemahuannya.
Setelah beberapa kali dia terserempak Saleh Tibai bersama Utih Soyah, memang marah juga Mat Deris. Tetapi dia tidak tergamak mahu cekak leher Saleh Tibai apabila tiba-tiba sahaja perempuan berbaju kasa tercegat di depannya. Lantas sahaja Puteri Sihalus kibas muka Mat Deris dengan hujung bajunya hingga terasa pedih Iaksana dihiris mata pisau.
Tahu sangat Mat Deris dia tidak akan mampu menghalang Utih Soyah berlaku curang terhadap dirinya disebabkan susuk sumbi yang ditusukkan Puteri Sihalus. Lainlah Puteri Sihalus sama macam Embah Kisin yang boleh dicekak leher kalau mahu lepaskan geram. Tetapi Puteri Sihalus sekadar bayang-bayang sahaja tidak boleh dicekak apa-apa. Dia sendiri yang menerima akibat sekiranya mahu berkeras melawan jelmaan perempuan yang melindungi Utih Soyah itu.
Sebab itu Mat Deris mengambil keputusan cerai-an sahaja Utih Soyah. Biarlah Utih Soyah memilih Saleh Tibai kalau dia sudah tidak boleh diharapkan lagi. Tidak lama selepas ditinggalkan Mat Deris, memang Utih Soyah berkahwin juga dengan Saleh Tibai.
Dalam masa menjadi isteri Saleh Tibai jiran-jiannya ternampak Lahak Gonjeng sering berkunjung ke rumahnya. Hinggalah kejadian Saleh Tibai terserempak Lahak Gonjeng di dalam rumah bersama Utih Soyah. Tidak bertangguh Saleh Tibai hunus parang terus mencekak leher Lahak Gonjeng. Belum sempat dia menetak Lahak Gonjeng tiba-tiba sahaja tangannya direntap Puteri Sihalus.
Apabila Puteri Sihalus kibaskan hujung lengan bajunya ke muka, terjerit Saleh Tibai menahan rasa pedih Iaksana dituris dengan pisau. Sekalipun darah tidak memercik, namun Saleh Tibai merasa seolah-olah mukanya luka dihiris. Sebab itu dia mengambil keputusan tinggalkan sahaja Utih Soyah daripada terus menjadi suami yang tunduk kepada kemahuan isteri.
"Memang Utih Soyah amalkan susuk sumbi, Tok Aji," beritahu Kak Misun ketika Tok Aji meminta jiran-jiran bacakan Yasin dalam masa Utih Soyah terkejang semakin lemah tidak bermaya.
Kak Misun tahu mengenai sepupunya Utih Soyah akan mengidap sakit gusi hingga berdarah sekiranya tidak layani lelaki lain dalam masa dia bersuami. Apabila menjadi janda tidak pernah pula gangguan sakit gusi itu dihidapinya. Hairan juga Kak Misun dengan nasib yang menimpa Utih Soyah seolah-olah tidak boleh langsung bersuami.
"Hah, dendam sejak lama!" tutur Tok Aji perlahan merenung keadaan Utih Soyah terkejang dengan nafas termengah-mengah.
"Dendam macam mana tu, Tok Aji?" terkejut Kak Misun apabila Tok Uji sebut fasal dendam sejak sekian lama itu.
"Tok Aji bukannya bercakap dengan awak!" segera suaminya Uda Deraman ingatkan Kak Misun.
"Siapa yang berdendam?" Kak Misun masih lagi mengharapkan penjelasan.
Cepat-cepat Uda Deraman mencuit bahunya meminta bertenang tatkala Tok Aji beristighfar beberapa kali. Ketika ini Tok Aji seolah-olah melihat jelmaan perempuan berpakaian kebaya kain kasa itu berligar-ligar di kepala Utih Soyah. Apabila dibacakan Yasin, jelmaan perempuan itu semakin jauh ditiup angin.
Lantas Tok Aji ikut sama mengekorinya hingga menemui lorong dikelilingi api suluh daun nyiur kering di kiri kanan. Apabila sampai di kawasan pondok berdinding pelupuh buluh, perempuan itu segera berlindung di situ. Ketika Tok Aji tercegat di tengah halaman perempuan berkebaya kain kasa itu terjerit halus apabila rambutnya direntap lelaki berjambang di tengah pondok.
Marah benar lelaki berjambang itu sebaik sahaja dapat mencekak rambut perempuan berkenaan. Tatkala dia mengheret perempuan itu ke muka pintu, terkejut lelaki berjambang itu apabila ternampak Tok Aji tercegat di tengah halaman. Perlahan-lahan dia melambai tangan seolah-olah mengajak Tok Aji naik ke rumah.
"Dia nak perdayakan Soyah!" beritahu lelaki berjambang itu menahan sebak dada sebaik sahaja melihat keadaan Utih Soyah terkejang.
Utih Soyah bagaikan mengakui perempuan berkebaya kain kasa mengalami bengkak gusi sebaik sahaja Tok Aji membawa Aki Sigat balik ke rumah. Perempuan itu cuba, menghambat Aki Sigat, tetapi tangannya terkaku tidak boleh digerakkan. Terjerit-jerit dia meminta lelaki di muka pintu rumah Utih Soyah memapahnya naik semula ke rumah.
Memang perempuan itu beritahu Utih Soyah mereka tidak boleh bertahan lama setelah Tok Aji mandikan Aki Sigat di bawah tangga. Tatkala Aki Sigat terjeluih muntah, perempuan berkebaya kain kasa itu berguling-guling di lantai menahan perut memulas-mulas. Sekali gus pula Utih Soyah senak perut seolah-olah termuntah tidak bertahan.
Selepas mengalami senak perut berterusan itulah Utih Soyah terkejang tidak boleh bergerak kuat. Tidak bertangguh pula lelaki yang dilayaninya itu ketakutan tidak menentu terus tinggalkan Utih Soyah mengerang-erang berseorangan. Tatkala Kak Misun menjengahnya keadaan Utih Soyah sudah semakin lemah.
"Dengan Tok Aji, baru kena buku dengan ruas!" lelaki berjambang itu menggertap bibir lantas mencekak rambut perempuan itu lebih kuat.
Ketika ini Tok Aji kisarkan tumitnya ke tanah menyebabkan angin berpusar di sekeliling pondok berkenaan. Lelaki berjambang itu berpaut kuat pada jenang pintu akibat angin berpusar itu menolaknya hingga terangkat kaki ke udara. Tetapi dia tetap cekak juga rambut perempuan berkenaan tidak mahu dilepaskan.
Memang Tok Aji tidak peduli siapa pun menjelma di depannya.Biarlah lelaki berjambang itu sengaja berbaik-baik, Tok Aji tetap bacakan juga:
Walillahhi ghaibus samawad wal-ardhi wa-ilaihi yurja-'ul-amru kulluhu fa'budhu watawak-kal 'alahi wama rabbuka bighopilin 'amma ta'malun.
Gementar lelaki berjambang itu apabila tiupan angin kencang semakin mengancamnya. Ketika ini terketar-ketar dia beritahu mengenai dendam perempuan berkebaya kain kasa itu terhadap dirinya berkahwin dengan ramai perempuan. Dia mengakui perempuan berkenaan isterinya yang menghilangkan diri setelah tidak tertahan dimadukan suami.
Tatkala isterinya Sihalus balik semula ke rumah, keadaannya sudah berubah dengan sumbi emas memancar pada giginya. Sebaik sahaja lelaki berjambang itu melihat Sihalus balik semula ke rumah dia menyedari tentu jelmaan semata-mata. Sebab itu dia usir sahaja Sihalus tidak benarkan jejak naik ke rumahnya.
Tidak lama selepas Sihalus tinggalkan rumahnya, semua isteri lelaki berjambang itu mengalami sakit gusi hingga berdarah. Lama kelamaan gusi berkenaan mengangkut nanah menyebabkan gigi habis Iuruh tidak bersisa. Akibat sakit mulut yang dihidapi semua isteri lelaki berjambang itu meninggal dunia juga menahan kesakitan tidak boleh diubati lagi.
Sebab itu lelaki berjambang itu tahu mengenai susuk sumbi Sihalus yang musnahkan gusi. Biarlah dia bertapa bertahun-tahun asal sahaja dapat melawan susuk sumbi Sihalus. Asal sahaja dia berkahwin lain sudah tentu isterinya akan mengalami sakit gusi hingga bengkak menanah.
Kalau tidak dihalang amalan susuk sumbi berkenaan, sampai bila pun dia tidak boleh berkahwin lagi. Sia-sia sahaja dia berkahwin sekiranya isteri-nya menderita menanggung kesakitan sakit gusi demikian. Semasa lelaki berjambang itu bertapa ke tengah hutan, dia tidak balik lagi ke rumah. Semenjak itulah seisi kampung tidak lagi melihat lelaki berjambang berkenaan.
"Resat Jambang memang keturunan aku!" ujar lelaki berjambang itu mengesat pelupuk mata, tetapi tidak lepaskan rambut perempuan yang dicekaknya.
Tetapi Tok Aji memberi isyarat tidak mahu dengar apa-apa pun penjelasan lelaki berjambang. Saat ini Tok Aji tidak perlu lelaki berjambang itu beritahu mengenai Resat Jambang. Kalau tidak diberitahu pun memang seisi kampung memahami Resat Jambang datuk aki Embah Kisin yang tusukkan susuk sumbi pada cucunya Utih Soyah.
Memang Embah Kisin tidak akan tusukkan susuk umbi berkenaan sekiranya Utih Soyah tidak mengalami sakit gusi setelah dipasangkan sumbi emas. Manalah emaknya Tisah Kekeh tahu mengenai Utih Soyah tidak serasi dipakaikan sumbi emas dalam masa anak-anak gadis di kampungnya kepingin sangat mahu memakai sumbi emas.
Siapa lagi turunkan amalan susuk sumbi itu kepada Embah Kisin kalau bukan datuknya sendiri Resat Jambang? Sebab itu Tok Aji tidak peduli apa-apa tatkala lelaki berjambang itu sebut mengenai Resat Jambang keturunan dirinya
Apabila Tok Aji mengusap-usap muka beberapa kali, segera saya mencuit bahunya. Saya beritahu mengenai Utih Soyah sudah meninggal dunia. Tok Aji sekadar mengangguk-angguk kepala sahaja, lantas memberi isyarat supaya mayat dibujurkan di bawah bumbung rumah.
"Macam mana pun, Soyah ni adik ipar awak juga," bisik Tok Aji pada Nenek Aji setelah mayat Utih Soyah dibujurkan baik-baik.
Nenek Aji mengeluh perlahan. Dia tahu semasa Aki Sigat dibawa balik ke rumahnya, memang Utih  Soyah sudah tidak boleh bangun. Kak Misun sendiri menyedari Utih Soyah mencapai penyapu mahu menghambat Aki Sigat supaya tidak balik ke rumah Nenek Aji.  Tiba-tiba sahaja tangannya kaku tatkala mahu menghayun penyapu berkenaan biar menyinggahi belakang Aki Sigat.
Setelah dipapah oleh lelaki yang melayai dia naik ke rumah, keadaan Utih Soyah bertambah tenat. Dia menggelepar menahan senak perut hingga terjeluih beberapa kali. Tetapi dia termuntah-muntah sekalipun terjeluih sampai merah muka menahan kesakitan. Sebab itu lelaki berkenaan menjadi cemas dengan keadaan Utih Soyah. Serba salah dia mahu memberitahu Kak Misun, kerana tidak ada apa-apa hubungannya dengan Utih Soyah.
Dalam keadaan cemas itulah dia melarikan diri. Terus sahaja ditinggalkan Utih Soyah mengerang-erang sendirian di tengah rumah. Erangan Utih Soyah yang kuat itu terimbau juga sampai ke rumah Kak Misah. Sebab itulah tidak bertangguh Kak Misah mengajak suaminya Uda Deraman menjengah sama.
"Sigat baru aje tinggalkan kampung," ujar Nenek Aji perlahan apabila kenang adiknya mengambil keputusan tinggalkan kampung halaman sebaik sahaja tubuhnya segar semula. Dia tidak peduli mengenai Utih Soyah terkejang sakit harapkan Aki Sigat datang menjengah.
Memang Aki Sigat tidak akan datang menjengah bekas isterinya setelah dia mengambil keputusan menceraikannya. Dia tidak akan menatap wajah Utih Soyah lagi sekalipun diberitahu mengenai keadaan bekas isterinya terkejang sebut namanya berulang kali. Terharu juga Nenek Aji dengan keputusan adiknya yang merajuk setelah menyedari dia ditundukkan oleh amalan susuk sumbi isterinya.
Dalam masa mayat dibujurkan itu Kak Misun terkejut melihat gusi Utih Soyah berdarah. Cepat-cepat dia beritahu Uda Deraman apabila gusi mayat tiba-tiba berdarah. Apabila mereka beritahu Tok Aji, dia beristighfar sahaja beberapa kali. Tok Aji ingatkan Kak Misun supaya bertenang sahaja tatkala menghadapi suasana demikian.
"Tak ada siapa boleh mengatasi kuasa Allah," tutur Aki Sigat perlahan apabila saya ungkit mengenai peristiwa masa lalunya. Setelah beberapa kali saya temui dia di Melaka, barulah Aki Sigat jejak kaki semula ke kampung menjengah Nenek Aji.
Tersengih-sengih juga Aki Sigat beritahu kakaknya disebabkan dia beristeri empat juga di Melaka.
"Tak serik-serik kamu ni, Sigat!" gerutu Nenek Aji mengerling Tok Aji yang uzur terbatuk-batuk di hujung serambi.