SERBA salah juga Ulung Bahar
kalau orang sudah datang memanggil di rumah. Kalau tidak pergi nanti dituduh
orang mementingkan diri saja, kalau pergi pula kerja sendiri terbengkalai.
Orang datang menjemput tidak kira siang atau malam. Walaupun diberi saguhati,
tetapi tidak tergamaklah mengambil lebih. Takut juga dia akan tuduhan orang
mengatakan dia bomoh cari wang.
Dia sendiri tidak mahu dipanggil
bomoh. Ulung Bahar tahu dirinya bukanlah bomoh. Tetapi entah mengapa orang
ramai menganggap dia seorang bomoh.
Segalanya bermula ketika dia
pergi ke rumah anaknya di Felda Air Kuning sepuluh tahun dulu. Jiran anaknya
memberitahu anak gadisnya berumur 17 tahun digigit lipan, sudah tiga hari tidak
baik. Sudah pun dibawa ke hospital, tetapi bisa lipan itu semakin bertambah
pasang.
"Di mana digigitnya?"
tanya Ulung Bahar.
"Paha..." beritahu
jiran itu sugul.
Ulung Bahar sengaja menziarahi
jiran itu setelah mendengar berita anak gadisnya digigit lipan. Adat berjiran
kenalah ziarah menziarahi bila ada di antaranya mendapat susah.
"Lipannya dapat
dibunuh?" tanya Ulung Bahar lagi.
"Tidak..." jiran itu
menggeleng kepala. "Tak sempat saya nak bunuh, sebab cepat sangat dia
menghilang masuk ke bawah tikar" ujarnya.
"Nampak lipannya?"
Ulung Bahar ingin tahu.
"Nampak..Nampak..."
jelas jiran tersebut. "Lipan bara, memang saya nampak lipan itu menyusup
bawah tikar, kemudian hilang" katanya mengingatkan kembali peristiwa
bagaimana anaknya digigit lipan bara.
Tiba-tiba saja anak gadisnya
terjerit sebaik selesai makan malam. Dia menepis bahagian pahanya sampai lipan
tersebut jatuh ke tikar. Cepat-cepat dia mahu memukulnya, tetapi cepat-cepat
pula lipan berkenaan menyusup ke bawah tikar.
"Cuba bagi saya air
sejuk" pinta Ulung Bahar.Dalam keadaan begini dia merasa patut juga
membantu. Dia bukanlah mahu menunjukkan pandai, tetapi tidak mungkin bisa lipan
bertambah pasang setelah tiga hari. Lagipun sudah dibawa ke hospital.
Jiran itu segera mengambilkan air sejuk.
Hatinya gembira kerana tiba-tiba saja ada orang sanggup menolong anaknya
digigit lipan. Tidak pula disangkanya Ulung Bahar boleh mengubati anaknya itu.
Kumat-kamit mulut Ulung Bahar
merenung air sejuk di dalam gelas di tangannya. Pada mulanya dia mahu menyuruh
gadis itu minum saja air tersebut, tetapi kemudian Ulung Bahar tidak jadi
memberikan air tersebut pada gadis berkenaan.
"His, permainan
orang..." Ulang Bahar mencebik bibir.
"Permainan macam mana tu Ulung?"
tanya jiran itu keheranan.
"Tak usahlah kita
panjangkan" sahutnya memerhatikan gadis itu masih mengerang kesakitan.
"Tak ada bisa lipan, cuma perasaan dia saja sakit..." ujar Ulung
Bahar sambil mengetuk-ngetuk jari telunjuk pada bibir gelas.
"Permainan macam mana
tu?" desak jiran itu lagi.
"Permainan orang
muda..." kata Ulung bahar tersenyum.
Termenung jiran itu memikirkan
maksud Ulung Bahar. Bila dia mengerling pada anaknya, gadis itu masih juga
mengerang-ngerang kesakitan. Tidak mungkin anaknya berpura-pura sakit kerana
dia sendiri melihat lipan bara tersebut jatuh dari paha anaknya. Lipan itu lari
menyusup ke bawah tikar.
Sekaligus dia memukulkan
jarinya kuat sedikit ke bibir gelas. Tiba-tiba terapung satu lembaga lipan
diperbuat dari upih pinang di dalam gelas tersebut. Macam dibuat-buat saja
nampaknya, gadis anak jiran itu pulih semula. Dia tidak merasa sakit apa pun.
Bila ditanya sama ada dia
digigit lipan atau tidak, dia sendiri tidak tahu.
"Lipan apa
pula...?"soalnya keheranan.
Cepat-cepat emaknya melihat
bahagian paha yang digigit lipan itu. Tidak ada kesan langsung digigit lipan.
"Permainan orang..."
ulangi Ulung Bahar.
Barulah jiran itu faham,
rupanya ada orang yang sengaja mempermain-mainkan anaknya dengan memuja upih
pinang tadi dengan digambarkan seperti lipan. Jadi, anaknya merasa seolah-olah
digigit lipan, sebaliknya sakit bisa lipan itu hanya pada pandangan anaknya
saja. Anaknya sendiri tidak menyedari apakah sebenarnya yang telah berlaku ke
atas dirinya.
"Pulangkan sajalah
Ulung..." jiran itu menggertap bibir. Marah sangat dia pada orang yang
melakukan tipu daya demikian.
Ulung Bahar tersenyum. Dia tahu
inilah sifat manusia mudah saja mahu membalas dendam apabila dianiaya.
Sepatutnya seseorang mukmin wajib
mendoakan orang yang menganiaya orang itu supaya insaf dan bertaubat.
"Kita pulangkan saja
Ulung" desak jiran itu.
"Apa faedah kita
dapat?" Ulung Bahar marah bila didesak demikian. Tidak sepatutnya jiran
itu memaksa dia melakukan sesuatu yang tidak disukainya.
"Biar dia jeran..."
sahut jiran itu masih menyimpan dendam.
"Jangan berdendam"
ujar Ulung Bahar mengingatkan. "Anak awak selamat cukuplah. Bersyukurlah
pada Allah..." katanya macam menyindir.
Sejak itulah orang-orang di
situ akan memanggil Ulung Bahar kalau mereka ditimpa sakit pening. Kadangkala
mereka sanggup mengajak anaknya Dalip menjemput dia ke kampung. Tidak dapatlah
Ulung Bahar mengelak lagi bila sudah ramai tahu mengenai kebolehannya.
Orang-orang jauh dari Gedangsa
di Selangor, Hutan Melintang di Perak, di Sabak Bernam, Pengkalan Kempas di
Port Dickson akan datang mencari Ulung Bahar, setelah mendapat tahu dari mulut
ke mulut yang bermula di Felda Air Kuning itu. Keballah dia dianggap seorang
dukun di kalangan masyarakat.
Malah Ulung Bahar juga pernah
dipanggil ke istana bagi mengubat kerabat diraja. Pendek kata nama Ulung Bahar
sudah dikenali oleh ramai pembesar-pembesar dan pegawai tinggi kerajaan. Jadi,
macam mana dia hendak mengelak apabila ada orang menjemputnya.
Kalau sudah orang-orang besar
memanggil tentulah serba salah mahu mengelak. Bila sudah pergi memenuhi
jemputan orang-orang besar, tentu tidak sedap hati kalau mengelak dari menerima
jemputan orang-orang kampung. Tentu mereka menuduh dia memilih pesakit kerana
mengejar wang. Hanya orang-orang besar saja yang sanggup memberi wang banyak.
Tetapi bukanlah itu maksud
Ulung Bahar. Dia terpaksa meninggalkan tanggungjawabnya mencari nafkah hidup,
disebabkan selalu dipanggil mengubati orang. Walaupun dia tinggal bersama
isterinya, disebabkan anak-anaknya semua sudah berumahtangga, tetapi
tanggungjawab mencari nafkah hidup masih menjadi fardhu ain yang tidak boleh
diwakilkan kepada sesiapa.
Apakah pendapatannya tidak
lumayan menjadi dukun? Perkara inilah yang sangat ditakutinya. Dia tidak mahu
dituduh mencari nafkah hidup dengan berdukun. Walaupun tidak salah, tetapi
tuduhan tersebut sangat menyeksa batinnya.
Inilah yang menyebabkan Ulung
Bahar termenung panjang bila diminta datang ke Kuala Lumpur oleh seorang Orang
Besar. Puas juga dia berfikir bagaimana caranya mahu mengelak, tetapi masih
juga buntu. Malu juga dia mahu ke rumah Orang Besar itu, kerana apalah
kurangnya ilmu bomoh-bomoh lain yang lebih terkenal.
Ulung Bahar merasa dirinya
terlalu kecil bila dibandingkan dengan bomoh-bomoh terkenal yang sering datang
ke Kuala Lumpur. Tetapi anak saudaranya yang berkhidmat di bawah Orang Besar
mendesak dia. Anak saudaranya itu sudah diberi kepercayaan oleh Orang Besar itu
untuk mencari dukun yang boleh mengatasi masalah dia.
"Jangan nak mengelak pula
Ulung" kata Meon mendesaknya. "Nanti malu saya kalau Ulung tak mau
datang" ujarnya penuh harapan.
"Kau lagi malu, kalau Tuan
tu tak sembuh" Ulung Bahar mencari alasan.
"Sembuh tak sembuh kuasa
Allah..." balas Meon.
"Hah, mohon sajalah pada
Allah..." cepat-cepat dia memintas cakap Meon.
"Nak meminta pada Allah
pun ada aturannya" kata Meon menyindir. "Ulung tahu aturannya, jadi
kenalah Ulung tunjukkan aturannya" dia menambah sambil menghulur rokok
pada Ulung Bahar.
Sukar juga Ulung Bahar mahu
memberi keputusan. Pergi ke rumah Orang Besar tidak sama dengan rumah orang
kebanyakan. Orang kampung seperti dia banyak kesulitan mahu datang ke rumah
Orang Besar. Maklumlah orang sudah tua, lat-lat setengah jam mahu ke bilik air
saja. Tentulah dia kekok mahu ke bilik air saja bila berada di rumah Orang
Besar.
Begitu juga dengan makan minum.
Pinggan mangkuk di rumah Orang Besar semuanya jenis mahal. Kalau tidak biasa
memegangnya takut pula terlucut dari tangan dan terhempas pecah. Makan di rumah
Orang Besar juga terpaksa pakai sudu dan garfu. Mencedok gulai tergigil-gigil
dengan tangan kiri.
Ulung Bahar tidak biasa dengan
suasana begitu. Dia lebih senang minum di koleh. Makan bertinggung lutut duduk
di lantai. Ambil lauk cekup saja jari ke dalam piring gulai. Tentulah Meon akan
malu kalau dia tidak tahu menyesuaikan diri dengan suasana di rumah Orang
Besar.
"Bersiaplah Lung, kita ke
Kuala Lumpur" kata Meon tidak sabar.
"Banyak kerja aku ni,
Meon" sahut Ulung Bahar lemah.
"Ah, kerja-kerja tu Mak
Lung boleh tengokkan" balas Meon mendesak lagi. "Urusan Ulung di
Kuala Lumpur semuanya serahkan saja pada saya" tegasnya memberi jaminan.
Petang itu juga Ulung Bahar
dibawa oleh Meon ke Kuala Lumpur menemui Orang Besar berkenaan. Terperanjat
benar Ulung Bahar kerana terpaksa ditahan di pintu pagar sebelum dibenarkan
masuk. Bagaimanapun setelah melihat Meon, mereka berdua pun dibenarkan masuk.
Dia dibawa masuk menemui Orang
Besar berkenaan di bilik khas. Cuma mereka berdua saja di situ. Orang Besar itu
kelihatan sihat segar bugar. Tidak ada tanda-tanda ianya berpenyakit. Dia
berbual juga seperti orang biasa tidak kelihatan pun akan dirinya menderita
sakit.
Ulung Bahar tidaklah
bertanyakan tentang penyakit Orang Besar tersebut. Dia tidak perlu bertanya
apa-apa. Kalau dia sudah bertanya samalah macam terlalu mengetahui semua
penyakit. Seolah-olah dia bersedia mengubat semua penyakit.
"Saya ni nampak saja sihat
Tok Ulung..." Orang Besar itu bersuara sebaik saja semua orang keluar dari
bilik khas. "Sebenarnya saya ni sakit. Itulah nak minta tengok-tengokkan
pada Tok Ulung" katanya ramah.
"Cuba-cuba bolehlah
Tuan" sahut Ulung Bahar perlahan. "Saya ni pun bukanlah pandai
sangat. Maklumlah orang kampung" dia merendah diri.
"Orang bandar pun bukan
pandai sangat" sahut Orang Besar tersengih-sengih. Dia masih belum
menerangkan penyakitnya pada Ulung Bahar.
"Bodoh orang bandar tak
sama dengan pandai orang kampung" Ulung Bahar pula tertawa bila
mengenangkan dirinya tiba-tiba saja menjadi penting. Hinggakan Orang Besar
terpaksa menjemputnya datang ke rumah yang tersergam bagaikan istana.
"Bodoh orang bandar panjang ikhtiarnya, pandai orang kampung diri sendiri
pun tak terkemaskan..." dia masih merendah bila membandingkan dirinya
dengan Orang Besar itu.
"Panjang ikhtiar pun
panjang ikhtiar nak menipu bangsa" Orang Besar itu macam meluahkan
perasaan hatinya. Bagaikan terpancar kekusutan dalam fikirannya di sebalik
kemewahan hidup yang menyelubungi dia selama ini. "Terlalu ramai orang nak
menipu bangsa sendiri sekarang ni" jelas Orang Besar itu lagi.
Terdiam Ulung Bahar mendengar
kata-kata berupa rintihan yang terluah dari mulut Orang Besar tersebut. Dia
bagaikan tenggelam oleh kekusutan fikiran yang menguasai dirinya. Inilah yang
dapat dirasakan oleh Ulung Bahar sebagai kesan pertama apabila bertemu Orang
Besar berkenaan.
Lama Orang Besar itu mendongak
memerhati siling dengan keluhan memanjang selepas meluahkan perasaannya di
depan Ulung Bahar. Kemudian perlahan-lahan dia bersuara. "Sebenarnya saya
ni dah tak melawan lagi Tok Ulung. Dah puas saya berubat..."
Tersentak juga Ulung Bahar
mendengar pengakuan terus terang Orang Besar tersebut. Tentulah hidupnya
sebagai Orang Besar pun tidak bermakna lagi kalau menanggung beban seksa batin
sepanjang hidup. Seseorang lelaki yang sudah hilang kelelakiannya samalah macam
anak patung untuk menjadi hiasan di sudut rumah saja.
"Orang yang membuatnya
saya tahu, tapi biarlah..." keluhnya menahan sebak di dada. Secara tidak
langsung Orang Besar itu mengakui sudah berkahwin lain. Akibat dari perkahwinan
itulah ada orang yang irihati menyebabkan tenaga kelelakiannya hilang.
Ulung Bahar tidaklah banyak
bertanyakan apa-apa mengenai masalah yang dihadapi oleh Orang Besar tersebut.
Tujuannya bukan hendak mengetahui bagaimana puncanya, tetapi cuba mengubati
sekiranya diizinkan Allah. Kalau tidak berhasil bukanlah tanggungjawab dia
lagi.
"Saya hanya mencuba Tuan,
kalau tak berjaya janganlah sesal pula" beritahu Ulung Bahar.
"Tidak, tidak..saya faham
Tok Ulung" cepat-cepat dia memintas cakap Ulung Bahar yang terlalu
merendahkan diri itu. "Tok Ulung cuma berusaha, yang menentukan tetap
Allah jua" katanya.
"Alhamdulillah, Tuan kata
macam tu..." sahut Ulung Bahar tersenyum.
Ulung Bahar meminta disediakan
geluk air. Dan dia akan memberitahu ketika yang baik untuk memulakan usahanya,
sama ada waktu Maghrib, atau Isyak atau tengah malam. Ini disebabkan dia mahu
melihat cara mana permainan sebelah pihak.
Segala yang dikehendaki oleh
Ulung Bahar dipersetujui oleh Orang Besar. Malam itu dia tidak dibenarkan oleh
Orang Besar mengikut Meon balik ke rumahnya di Gombak, tetapi disuruh menginap
di rumah Orang Besar itu. Ulung Bahar disediakan bilik di situ untuk berehat,
tempat tidur dan sembahyang. Selama di Kuala Lumpur dia dikehendaki menjadi
tetamu Orang Besar tersebut.
Selepas menunaikan Isyak, Ulung
Bahar memberitahu Orang Besar dia mahu memulakan usahanya mengubati masalah
yang dihadapi Orang Besar. Beberapa orang kerabat terdekat Orang Besar ada sama
setelah diberitahu mengenai Ulung Bahar akan mengubat itu. Memang kerabat
terdekat Orang Besar sudah tahu masalah tersebut, malah mereka semua sudah
berusaha menolongnya.
Fasal itulah Orang Besar
menceritakan masalahnya kepada Meon. Ketika inilah Meon teringatkan Ulung Bahar
di kampung. Lantas Meon menerangkan kepada Orang Besar akan kepandaian Ulung
Bahar selama ini. Maka tidak bertangguh lagi Orang Besar menyuruh Meon
memanggil Ulung Bahar. Segala perbelanjaan Meon membawa Ulung Bahar serta
perjalanan Ulung Bahar selama berada di Kuala Lumpur adalah di bawah urusan
Orang Besar.
Lebih kurang pukul 9.00 malam
Ulung Bahar mula menarik geluk air ke depannya. Mulutnya kumat kamit serta
matanya terpejam rapat. Sekali sekala dia membuka mata memerhati ke dalam geluk
sambil menghembus perlahan-lahan.
Ketika ini Ulung Bahar sudah
menguatkan zikirnya di dalam hati. Seluruh bulu romanya terasa meremang. Dia
melihat dalam makrifat tentang masalah yang dihadapi oleh Orang Besar. Sekali
sekala orang-orang yang melihat Ulung Bahar nampak dia mengerutkan dahi sambil
menggeleng-gelengkan kepala.
Ulung Bahar melihat seorang
lelaki berpakaian seperti sami Budha tersengih-sengih menunggu kedatangannya.
Lelaki itu dipenuhi dengan tangkal azimat di seluruh badan. Lelaki itu
seolah-olah mempersilakan dia hampir kepadanya. Tetapi Ulung Bahar tidak mahu
datang hampir. Dia membaca Fatihah tiga kali lantas dihembus kepada lelaki
berkenaan.
Terpelanting lelaki itu bila
dihembuskan dengan Fatihah. Mukanya merah padam menahan perasaan marah.
"Aku terima kau baik-baik,
kau balas dengan jahat!" bentak lelaki itu cepat-cepat berdiri bercekak
pinggang.
"Kau nak tunjuk pandai
dengan aku, sekarang terima habuan kau pula" pekiknya mengambil debu tanah
lalu dihembuskan ke arah Ulung Bahar.
Terasa pada Ulung Bahar ribut
kencang mahu menerbangkannya, tetapi dia menguatkan zikir di dalam hati
menyebabkan ribut kencang tersebut tidak dapat menerbangkan dia. Setelah ribut
kencang itu berhenti, Ulung Bahar tidak nampak lagi ke mana lelaki tadi
bersembunyi.
"Kenapa kau lari?"
Ulung Bahar mencabar.
"Aku tak lari...!"
sahut lelaki tadi tertawa mengejek. "Nampaknya kau takut dengan aku"
lelaki itu terus mempersenda-sendakan Ulung Bahar.
"Aku tak takut pada kau.
Aku takut pada Allah" kata Ulung Bahar memerhati di sekeliling kawasan itu
menjadi hutan rimba yang jauh dari manusia. Tetapi suara lelaki itu tertawa
berdekah-dekah masih mengejek-ngejeknya.
Ulung Bahar membacakan Surah
Waddhuha dihembuskan sekelilingnya. Serentak dengan itu lelaki tadi tersungkur
di depannya. Terkial-kial lelaki itu bangun akibat jatuh terhempas.
"Sekarang
sembunyilah!" Ulung Bahar menyindir.
Kemudian dia mendengar lelaki
itu merungut dalam bahasa yang tidak difahaminya. Bagaimanapun dia dapat
mengagak lelaki tersebut menggunakan Bahasa Thai. Jelaslah kepadanya lelaki itu
adalah Bomoh Siam.
"Berapa upah yang orang
beri pada kau ni?" tanya Ulung Bahar.
"Aku bukan makan upah...!
sahut lelaki itu marah.
"Ah, Bomoh Siam macam kau
tak makan upah?" ejek Ulung Bahar mahu menyakiti hati lelaki tersebut.
"Aku menolong orang
saja" jawabnya membentak kerana terlalu marah diperolok-olokkan. Dia
sendiri hairan bagaimana Ulung Bahar boleh menembusi tempat persembunyiannya.
"Aku menolong orang, tapi macam mana kau boleh sampai ke sini?" dia
mendongak Ulung Bahar yang berdiri berpeluk tubuh di tempat dia terguling.
"Itu kuasa Allah..."
beritahu Ulung Bahar tersenyum.
"Sudah banyak dukun-dukun
Melayu mencari tempat aku tak jumpa, macam mana kau boleh jumpa?" pekik
lelaki itu berdiri dengan lutut.
"Kuasa Allah...!"
ulangi Ulung Bahar. "Kau tak takut kuasa Allah?" tesengih-sengih
Ulung Bahar mengejeknya lagi.
Lelaki itu menggeleng kepala.
"Baiklah, kau akan tahu
kuasa Allah" Ulung Bahar pun mula azan tiga kali. Sebaik saja azannya
bergema lelaki itu terumbang ambing apabila seluruh tempatnya berdiri bergegar.
Dia terhumban macam bertih direndang dalam kuali mencari tempat mahu berpijak.
"Ilmu apa kau pakai
ni!" jeritnya meminta Ulung Bahar berhenti dari azan.
"Kau kata tak takut
Allah" ejek Ulung Bahar.
"Aku takut, aku
takut..." sahutnya terketar-ketar.
"Sekarang cakap! Siapa
yang suruh kau?" Ulung Bahar mula keraskan suara.
"Orangnya baik..."
ujar lelaki itu termengah-mengah. "Dia dianiaya oleh Orang Besar tu, kalau
awak nak tau, Orang Besar tu jahat. Dah dapat manis sepah dibuang" jelasnya
memepertahankan diri.
"Berapa dia upah
kau?" soal Ulung Bahar.
"Aku tolong saja"
"Mana boleh! Bomoh Siam
mesti terima upah!"
"Aku ambil sikit..."
"Berapa?"
"Satu ribu..."
"Bodoh punya Bomoh Siam!
Kenapa tak minta lebih?"
"Tak boleh, kita nak
tolong aje..."
"Selalu Bomoh Siam ambil
upah sampai lima ribu!"
"Itu Bomoh Siam
moden..."
Terkekeh-kekeh Ulung Bahar
tertawa mendengar kata-kata lelaki berkenaan. Manakan tidak ketawa bila dia
menyebut Bomoh Siam moden yang ambil upah mahal, sedangkan dia adalah Bomoh
Siam yang bertugas menolong orang.
Bagi Ulung Bahar memang selalu
menghadapi keadaan demikian. Sebab itulah dia boleh berhujah dengan syaitan
yang datang mengganggu. Syaitan juga mempunyai ilmu psikologi bila berhadapan
dengan manusia. Oleh itu manusia yang terperdaya dengan ilmu psikologi syaitan
akan cepat mengalah.
Sikap mengalah syaitan bukanlah
bererti dia benar-benar mengalah. Sebaliknya mencari strategi untuk menyerang
balas. Sebab itu Ulung Bahar sengaja menyoal macam-macam biar syaitan sendiri
serba salah mahu menjawab.
"Kalau begitu cakap, apa
yang kau buat pada Orang Besar?" tanya Ulung Bahar.
"Aku tak buat apa"
jawabnya tersengih-sengih.
"Kalau tak cakap aku
azan!" cepat-cepat Ulung Bahar mengugut.
"Eh, jangan..."
rayunya mula berpusing-pusing mahu mencari helah.
"Jangan cari helah!"
jerkah Ulung Bahar yang sudah tahu cara mana syaitan mahu bertindak.
Lelaki itu menjadi serba salah,
sebab apa saja helah yang mahu dibuatnya sudah diketahui oleh Ulung Bahar. Dia
menjadi hairan kerana selama ini dukun yang mengubat Orang Besar terperdaya
dengan helah dia. Tetapi menghadapi Ulung Bahar dia menjadi kebingungan.
Dia sudah meniupkan ribut kencang tetapi tidak
berjaya menerbangkan Ulung Bahar kerana zikirnya yang mantap. Dia membawa Ulung
Bahar merentas hutan, tetapi Ulung Bahar dapat mencari tempat persembunyiannya.
Apa saja helah yang dibuatnya dapat dikesan oleh Ulung Bahar.
Sudah banyak dukun-dukun Melayu
yang ditentangnya, akhirnya dia dapat memperdayakan. Kadangkala apabila
ditiupkan ribut kencang mereka tidak dapat bertahan. Mereka cepat berlindung
diri dan terus balik meninggalkannya. Kalau ada pun yang boleh bertahan dari
ribut kencang, akan sesat meraba-raba bila dibawa merentas hutan rimba.
Ternyata Ulung Bahar sangat
berbeza dari dukun-dukun Melayu yang pernah cuba mengubat Orang Besar. Malah
Bomoh Siam yang dipanggil mengubati Orang Besar juga tidak berdaya menentang
dia.
Tertanya-tanya dia apakah ilmu
yang digunakan oleh Ulung Bahar. Hanya yang didengarnya Ulung Bahar menyebut
kuasa Allah. Tentulah ilmu Ulung Bahar ini bukan ilmu baru, tetapi sudah ujud
sejak bertahun-tahun. Ilmu yang ada padanya tidak dapat menentang ilmu yang
dimiliki oleh Ulung Bahar.
"Apa ilmu yang awak
pakai?" tanya lelaki itu gementar.
"Ilmu Allah yang
diturunkan kepada umat Islam" jelas Ulung Bahar.
"Bolehkah awak ajar
aku?" dia mahu menguji.
"Jangan nak cari
helah..." Ulung Bahar mengingatkan. "Cakap, apa awak sudah buat pada
Orang Besar?" bentaknya keras.
"Tak buat apa pun..."
sahutnya tersengih-sengih.
Tidak bertangguh lagi Ulung
Bahar terus azan. Bumi tempat lelaki itu berpijak bergegar kuat. Dia
terlambung-lambung macam bertih di dalam kuali tidak dapat berjejak.
Terpekik-pekik dia meminta Ulung Bahar memberhentikan azan. Tetapi Ulung Bahar
tidak peduli. Dia terus azan berulang kali.
"Aku cakap, aku
cakap..." tercungap-cungap lelaki itu merayu pada Ulung Bahar supaya
berhentikan azan.
"Sekarang cakap!"
herdik Ulung Bahar.
"Aku dah lepaskan dalam
Sungai Gombak" kata lelaki itu gementar.
"Apa yang kau
lepaskan?" soal Ulung Bahar mengancam.
"Ikan haruan..."
jelasnya terketar-ketar. "Ada penunggunya di situ..." ujar lelaki itu
dalam ketakutan.
Setelah mendapat rahsia dari
lelaki yang berpakaian seperti Sami Budha itu, Ulung Bahar menghembus lelaki
itu dengan ayat Al-Ikhlas hingga melayang-layang seperti bunga lalang. Kemudian
Ulung Bahar terus melayangkan dirinya di sepanjang Sungai Gombak.
Puas dia mencari-cari di kawasan yang dituju
tetapi tidak juga berjumpa. Ulung Bahar terus membaca Surah Waddhuha dengan
penuh khusyuk. Ketika ini dia sampai jauh dari bangunan-bangunan tinggi di
tengah bandar. Air Sungai Gombak yang keruh jelas pada penglihatan dia.
Dalam masa dia memerhatikan di
sekitar kawasan Sungai Gombak itu, tiba-tiba dia nampak seorang perempuan
cantik berdiri di tengah sungai memegang tangguk. Dia percaya perempuan ini
bukannya bunian, tetapi penunggu sungai yang menjelmakan dirinya sebagai isteri
muda Orang Besar.
Memang Ulung Bahar tahu Orang
Besar sudah berkahwin dengan seorang gadis cantik berasal dari Kelantan.
Perkahwinan itu tidak kekal. Hanya selama lapan bulan saja. Gadis itu
diceraikan setelah Orang Besar diberi tangkal pembenci oleh isteri tuanya,
sebaik saja isteri tuanya mendapat tahu Orang Besar berkahwin lagi.
Tidak lama selepas penceraian
itu Orang Besar bermimpi dia dikhatankan oleh seorang mudim yang dikenalinya.
Esoknya apabila dia bangun dari tidur, dia merasa kemaluannya ngilu. Lama
kelamaan tidak terasa lagi kalau dijentik pun.
Orang Besar telah bertemu ramai
dukun untuk mengubatnya. Sejak lapan tahun dia mengidap dan menderita keadaan
demikian. Isteri tuanya terasa juga menyesal, tetapi lebih gembira kerana Orang
Besar tidak akan berkahwin lagi. Bagaimanapun ada juga dukun menasihati dia
supaya rujuk semula dengan bekas isteri muda yang pernah diceraikan.
Tetapi dia diberitahu jandanya
itu sudah berkahwin lain. Orang Besar tidak mahu sangat ambil tahu mengenai
diri jandanya itu. Soal yang penting dia harus mengatasi masalah yang
dihadapinya.
"Buat apa awak bawa
tangguk, kalau tak menangguk ikan?" tegur Ulung Bahar mendekati perempuan
cantik yang berdiri di tengah sungai.
"Kita punya sukalah"
sahut perempuan itu mengerling ke arah Ulung Bahar.
"Kalau tak mahu menangguk,
pinjamkan aku. Biar aku yang menangguk" ujar Ulung Bahar. Bagaimanapun di
tidak leka semasa berhadapan dengan perempuan cantik tesebut.
Masa ini terasa ribut bertiup
kencang. Ulung Bahar terus bertahan di tengah ribut kencang. Kemudian dia azan
sekuat hatinya menyebabkan ribut kencang terhenti tiba-tiba. Lelaki yang
berpakaian seperti Sami Budha tadi tersungkur di tengah sungai.
Bersama dengan perempuan cantik
di sampingnya, lelaki berkenaan melemparkan bola api ke arah Ulung Bahar.
Perempuan itu melontarkan serpihan besi tajam seperti paku menerjah ke tubuh
Ulung Bahar. Tetapi semuanya tidak memberi kesan kepada tubuh Ulung Bahar yang sentiasa
berzikir.
Akhirnya mereka berdua mengeluh
panjang kerana melihat Ulung Bahar tetap berdiri di tebing sungai mengejek
mereka. Ternyata serangan mereka berdua menjadi sia-sia.
"Tadi, awak dah kalah.
Masih degil lagi mahu melawan!" cabar Ulung Bahar.
Lelaki tersebut tidak menyahut.
Dia serba salah mengerling perempuan cantik di sebelahnya. Perempuan itu
melemparkan tali lantas membelit seluruh tubuh Ulung Bahar. Mereka berdua
ketawa berdekah-dekah melihat tali tersebut melilit seluruh tubuh Ulung Bahar.
"Hasbiallahu
Lailahaillallah alaihi watawakkal.." kumat kamit mulut Ulung Bahar membaca
doa mengehembuskan ke seluruh tubuhnya. Tali yang melilit tubuhnya jadi cair
seperti air. Sekali lagi lelaki dan perempuan cantik itu tercengang kerana
Ulung Bahar tidak takut pun menghadapi serangan mereka.
"Hei, bomoh bodoh..!"
jerkah Ulung Bahar bercekak pimggang di atas tebing sungai. "Kau nak mengaku
kalah atau nak merasa lagi serangan aku?" tanyanya memberi amaran.
Tidak bertangguh lagi lelaki
itu terus menghilangkan diri. Dia tidak berani lagi bertahan apabila Ulung
Bahar sudah memberi amaran. Hanya tinggal perempuan cantik itu kebingungan
ditinggalkan lelaki tadi.
Memandangkan perempuan cantik
itu degil, Ulung Bahar membaca beberapa ayat lagi menyebabkan perempuan itu
berputar seperti gasing beruri ligat. Laungnya bergema kerana berputar-putar di
dalam air. Setelah putaran itu berhenti dia termengah-mengah menengadah Ulung
Bahar. Kecantikannya juga luntur akibat diputar tadi.
"Bukan aku yang
salah" dia merayu supaya dibebaskan.
"Jangan berdalih!"
jerkah Ulung Bahar.
"Iya..." katanya
gementar. "Botak tadi yang suruh. Dia suruh aku jagakan haruan yang
dilepaskan di sungai ni" ujarnya bertambah gerun bila mengerling Ulung
Bahar.
"Mengapa kau ikut cakap
dia?" tanya Ulung Bahar mahu menduga.
"Kalau tak ikut dia bunuh
aku..." jelasnya menangis teresak-esak.
"Kau takut pada dia?"
ejek Ulung Bahar seterusnya.
Dia mengangguk lemah.
"Kau tak takut Allah...!
suara keras Ulung Bahar semakin menggerunkan dia. Dia mengangguk juga.
"Kalau kau takutkan Allah,
jangan pedulikan botak tadi" perintah Ulung Bahar merentap rambut
perempuan tersebut. "Sekarang serahkan pada aku haruan tu!"
bentaknya.
Mahu tidak mahu terpaksalah
perempuan tadi menangguk ikan haruan yang dilepaskan ke dalam sungai. Ulung
Bahar terus menangkap ikan tersebut dari tangguk perempuan berkenaan melalui
makrifat. Dan terus dibawanya semula ke rumah Orang Besar.
Ketika ini mereka yang ada di
rumah Orang Besar melihat Ulung Bahar mengetuk jari telunjuknya ke bibir geluk.
Tiga kali dia mengetuk berdentum seekor haruan yang masih berlumpur lagi
tubuhnya menjelma di dalam geluk.
"Alhamdulillah..."
Ulung Bahar menarik nafas.
Orang Besar terkejut melihat
ikan haruan di dalam geluk di depan Ulung Bahar. Geluk itu juga menjadi keruh
disebabkan lumpur yang dibawa oleh haruan tadi. Kemudian dia membelah perut
ikan itu. Di dalam perut ikan haruan berkenaan terdapat segulung benang kuning
yang diikat pada paku setengah inci.
Barang-barang yang dikeluarkan
dari perut ikan itu diambil oleh Ulung Bahar dibungkus dengan sapu tangannya.
Ikan haruan itu juga dibungkus dengan plastik, kerana menurut Ulung Bahar dia
sendiri akan membuangnya ke laut.
Setelah semuanya selesai, Ulung
Bahar tidak membuat apa-apa tangkal atau azimat untuk Orang Besar. Dia hanya
membacakan doa lalu dihembuskan ke kepala Orang Besar. Kemudian dia menyuruh
Orang Besar solat tengah malam dua rakaat.
Tidak ada ubat-ubat lain yang
diberikan oleh Ulung Bahar. Selepas dia mengubat malam itu, esoknya dia terus
balik ke kampung. Orang Besar bertanya sama ada dia akan mengubatnya tiga kali
ulang, tetapi Ulung Bahar menjawab, "Nak ubat apa lagi Tuan, bukannya Tuan
sakit..." dia tersenyum mengerling Orang Besar.
Khabarnya Orang Besar berkahwin
lagi tidak lama selepas itu. Selepas peristiwa ini isteri Orang Besar tidak
lagi mencari tangkal pembenci. Dia sendiri tidak marah lagi kalau Orang Besar
berkahwin lain.
TAMAT
No comments:
Post a Comment