Sunday, February 8, 2015

110. AYAM MENENTANG HANTU BIAWAK




Lalu tangannya pantas meraba-raba ayam di atas bajunya dan sebentar ayam itu dipegangnya dan di angkat lalu diletakkan di atas tanah berdepan dengannya.

Sementara itu ayam-ayam lain pula bersama itek-itek bercampur gaul mengerumuni Mak Limah untuk cepat segera mengecapi makanan pagi, seperti pagi yang lalu-lalu.

“Hebat kau pagi ni Balung! Manja sangat ke, atau gatal sangat,”  Mak Limah berkata sendirian kepada ayamnya dalam nada yang riang.

Lusa anak sulungnya Jalal akan pulang bersama isteri dan tiga orang anaknya yang masih kecil belum bersekolah lagi.  Mereka dijangka menetap selama seminggu di kampung ini.

“Aku tak sembelih kau Balung, baka kau baik dan biak,”  bersuara lagi Mak Limah pada ayam jantannya.  Sementara ayam itek yang lain terus mengerumuni bakul berisi padi.

Ayam jantan itu terus melompat-lompat bagikan hendak memanjat tubuh Mak Limah. Mak Limah terus tersenyum sambil berdiri bersama tangannya memegang bakul padi.

Si Balung ayam jantan bapa tuanya terus mahu memanjatnya,  “Nantilah aku serakkan padi ini, biar semua merasa,”  Mak Limah bersungut sambil melangkah kaki menuju ke halaman belakang rumah tempat biasa dia memberi ayam makan, sementara iteknya pula akan dilunggukkan padi-padi dalam beberapa besen kecil.

Langkah Mak Limah di ikuti dengan rapatnya oleh ayam iteknya dengan bunyi suara yang begitu bising.  Si Balung terus melompat-lompat bagikan hendak memanjat tubuh Mak Limah yang sedang berjalan.

Sampai sahaja di ruangan, halaman yang kecil itu, Mak Limah terus menyerakkan padi-padi untuk ayam-ayamnya, kemudian dia terus ke besen-besen yang sedia ada seperti biasa untuk menaruhkan padi-padi bagi dimakan itek-iteknya.

Ayam itek terus mengecapi makan yang di berikan, tetapi balung terus mengekuri Mak Limah yang menuju ke halaman depan rumah.

Mak Limah cuma memandang sebentar sahaja pada Balung,  “Nak makan di tangan pula hari ni, dah berapa lama kau makan berserak, masa kecil bolehlah, aku ni sibuk,”  rungut Mak Limah bagaikan ayam jantan didiknya itu faham dengan kata-katanya.

Balung terus meluru pada pada Mak Limah yang menapak menaiki tanggan rumah.  Pantas sekali Balung melompat naik ke beranda lantas berkokok bertalu-talu.

Kemudian Balung terus terbang menghinggapi pohon rambutan yang sedang berbunga di halaman.  Mak Limah memandang riang sahaja telatah Balung.  Kemudian Mak Limah masuk ke dalam rumah.

Kokokan Balung terus bertalu-talu di pagi yang sedang bermandikan cahaya matahari dengan air embun yang antaranya masih ada lagi di hujung daun-daun pepohon.

Mak Limah tidak ambil kisah langsung tentang kokokan Balung, dia juga selalu menikmati kokokan yang begitu tapi selepas Balung mengecapi makanan pagi dan makan tengahari juga petang.

Dia terus membuat kerja-kerja di dapur sebelum turun ke tanah semula untuk membuat kerja-kerja di kawasan tanaman sayurannya, musim ini padi di sawah baru sahaja lepas di tuai.

Tiba-tiba dalam Mak Limah leka membuat kerja dapur, dia terdengar bunyi ayamnya di halaman dapur keriuhan cara terkejut.  Mak Limah tidak peduli sangat, kerana selalunya Balung mengacau ayam betina bila ia sudah kenyang.

Lama-lama kelamaan keriuhan ayah iteknya bertambah bingar, bagaikan ayam itek itu disambar helang, masakan helang pagi-pagi lagi dah mencari mangsa, fikir Mak Limah sambil menuju ke tepi tingkap.

Alangkah terperanjatnya dia bila melihat seekor biawak sebesar pehanya sedang merayap di halaman tempat padi di serahkan untuk ayam iteknya.

Biawak itu merayap perlahan-lahan sementara ayam itek berkeliaran dalam ketakutan dan ada juga antaranya yang meragut curi-curian padi di halaman tersebut.

Dengan pantas Mak Limah membuka pintu dapurnya sambil mencapai parang panjang yang selalu dibawanya ke sawah untuk meracik rumput di permatang.

Langkahnya pantas sekali menuju pada biawak yang sedang merayap menghampiri beberapa ekor ayamnya dengan lidah terjelir-jelir keluar.

Seram juga Mak Limah hendak menghampiri biawak tersebut walaupun parang di tangannya sudah sedia untuk menetak mangsa yang bakal memusnahkan ayam iteknya nanti.

Biawak tersebut tidak sedikitpun mengindahkan kehadiran Mak Limah di kawasan itu.  Ia terus mengekori perlahan-lahan beberapa ekor ayam yang sedang mencuri-curi makanan.

Berdebar-debar hati Mak Limah bila langkahnya menghampiri biawak tersebut dan bila perasaannya dikumpulkan dengan penuh tenaga dia mahu menetak biawak tersebut dengan parangnya.

Pantas sekali biawak itu berpaling kearahnya bersama dengan mulut yang terbuka luas, merah tekaknya bagaikan hendak menelan Mak Limah.

Terpekik Mak Limah melihat keadaan itu, parang di tangannya tidak jadi di hayun.  Terasa kaku pada tubuhnya.  Berat kakinya hendak melangkah mara atau pun undur.

Biawak itu meluaskan lagi mulutnya menghala pada Mak Limah dan menghembuskan bunyi yang menakutkan. Mak Limah kaku.  Parangnya terlepas dari tangan.

Mata Mak Limah terus tajam memandang pada biawak tersebut.  Sementara biawak tersebut terus mara padanya perlahan-lahan dengan mulut yang terngaga dan menghembuskan nafas yang mengerunkan.

Sewaktu biawak tersebut hampir sangat dengan Mak  Limah, Mak Limah menjerit sekuat hatinya dan sepantas itu juga Balung muncul dengan berlari menerpa pada biawak tersebut.

Dengan taji yang tajam dan paruh yang kukuh, Balung menentang biawak tersebut, begitu juga dengan biawak itu tidak juga melepaskan peluang menentang Balung dengan mulut yang ternganga dan kuku yang tajam.

Mak Limah tidak boleh berbuat apa-apa, Cuma matanya sahaja tepat memandang pada perlawanan dua mahluk yang berlainan jenis itu. Ayam itek yang lain bertempiar kerana perlawanan tersebut.

Akhirnya Mak Limah dapat mententeramkan perasaannya.  Perlahan-lahan dia mencapai parang yang jatuh ketanah  tadi. Di genggamnya hulu parang tersebut begitu erat sekali. Dia menanti peluang sahaja untuk menetak biawak yang mencabar Balung.

Ketika Balung melompat tinggi mengelakkan diri dari terpaan biawak tersebut, pantas sekali Mak Limah dari belakang menetak biawak tersebut.

Nasib Mak Limah kurang baik.  Tetakannya mengenai ekor biawak itu saja.  Putus ekor biawak itu sepanjang sejengkal.

Dengan itu juga biawak tersebut pantas lari menuju kearah semak berhampiran dengan sawah.

Balung terus berkokok.  Mak Limah termanggu-manggu tidak tahu apa yang hendak dibuatnya.  Dia cuma memandang sekejap sahaja pada Balung yang sedang berkokok bertalu-talu.  Sementara ayam itek yang lain mengecapi seenaknya padi-padi yang masih ada.

Mak Limah terus masuk ke dalam dapur.  Badannya rasa seram sejuk.  Kepalanya mulai terasa pening. Dia meletakkan parang panjangnya di dekat pintu dapur.

Dengan keadaan yang lemah, Mak Limah terus masuk ke biliknya.  Lalu dia baring di atas katil dengan berselimutkan selimut tebal untuk menghilangkan seram sejuk badannya.

Kokokan balung cuma sekali-sekala sahaja kedengaran padanya.  Kemudian dia terus terlena tidak sedarkan diri.

Hari sudah mulai senja.  Mak Limah terjaga dan pantas sekali dia bangun.  Dia menuju ke dapur untuk mengambil baldi penceduk air perigi. Dia tidak ambil kisah tentang ayam iteknya kerana badannya terasa mulai demam.

Selalunya tengahari dan petang ayam itek itulah yang dihitungnya dengan memberi makan dan merebankannya, tapi senja ini tidak begitu, badannya yang mulai demam itu digagahinya untuk pergi mengambil air sembahyang.  Magrib akan menjelang, dua waktu sembahyang sudah tertinggal tadi,

Waktu dia hendak ke perigi, dia melihat ayam iteknya masih lagi tidak masuk reban.  Kebanyakkannya sedang berkeliaran di depan pintu reban tersebut.  Ada yang cuba nak masuk tetapi tak jadi.  Mak Limah tidak mahu ambil pusing, dia mahu segera mengambil air sembahyang di perigi.

Selepas sahaja dia mengambil air sembahyang, dia terus masuk ke rumah dengan tidak mempedulikan tingkah perangai ayam iteknya yang bertahan tidak mahu masuk reban. Dia menyangkakan ayam itek itu tidak mahu masuk reban kerana belum diberi makan.

Selesai sahaja dia menunaikan sembahyang Magrib.  Dia terus menyalinkan pakaian sembahyang dan melangkah turun untuk merebankan ayam itek, hendak memberi makan sudah lewat, hari sudah gelap.

Bersama di tangannya lampu picit sederhana, dia turun menuju ke reban.  Ayam iteknya masih berkeliaran tak tentu hala, ada yang hendak masuk tidak jadi bagaikan takut sesuatu.

Puas sudah Mak Limah mengiring ayam itek itu untuk masuk ke reban, tetapi tidak berjaya.  Lalu dia menyuluh ke dalam reban melalui pintu reban.

Terperanjat besar dia bila melihatkan seekor biawak sebesar biawak pagi tadi berada di sudut dalam reban dengan ekor yang bergelumang darah.

Hatinya cekal menghadapi suasana ini sekarang.  Dia menyuluh memastikan biawak tersebut.  Didapatinya ekor biawak tersebut seperti biasa, cuma darah sahaja yang merah membasahi.  Sedangkan dia yakin ekor biawak pagi tadi telah putus dan dibiarkannya menggelitik di halaman tempat memberi ayam makan.

Dia mengamati biawak dalam reban itu.  Betul-betul biawak yang dia tetak pagi tadi kerana beberapa cakaran dan patukan kuku paruh balung masih meninggalkan kesan di badan biawak tersebut.

Biawak tersebut terus menentang cahaya lampu picit Mak Limah dengan mata yang bersinar-sinar dan mulut yang ternganga luas bersama dengan bunyi hembusan nafas yang sangat kuat.

Mak Limah terfikir untuk mengatasi masalah tersebut.  Dia bangun lalu memanggil Balung.  Balung yang dari tadi tiada kelihatan olehnya datang berlari-lari.

Perlahan-lahan Mak Limah memegang badan Balung lalu dicampakkannya ke dalam reban sambil tangannya sebelah lagi menyuluh biawak yang sedang menanti begitu bengis.

Sebaik sahaja Balung berada dalam reban, pantas biawak tersebut bergerak.  Sekejap sahaja dengan dinding reban yang dibuat dari papan berpaku itu pecah, biawak tersebut lari sekuat-kuatnya menuju ke sawah.

Perasaan Mak Limah sedikit bimbang tetapi digagahinya juga untuk melihat dengan menyuluh semua dalam reban tersebut. Didapati darah begitu banyak berada dalam reban itu.

Setelah semua ayam iteknya masuk reban dan Mak Limah membetulkan semula dinding reban yang pecah oleh biawak tadi, dia pun naik ke rumahnya dengan perasaan yang bimbang dan tertanya-tanya akan kejadian yang berlaku pagi dan sebentar tadi.

Dalam memikirkan keadaan yang berlaku, Limah setelah selesai sahaja makan malam terus merebahkan dirinya untuk tidur.

Kokokan ayam Balungnya yang bercampur dengan beberapa kokokan dari ayam jantannya yang lain bersama-sama dengan ayam kampung yang lain bersahutan membuatkan Mak Limah terjaga.

Selesai sahaja dia menunaikan sembahyang Subuh dia terus turun untuk memberi ayam iteknya makan.  Pagi ini lebih awal lagi kerana ayam iteknya tidak diberi makan petang semalam.

Cahaya matahari belum lagi berapa terang, mataharipun masih belum muncul lagi.  Mak Limah sudah melepaskan ayam iteknya untuk diberi makan di tempat yang biasa.

Padi diserakkan di halaman dan dilunggukkan dalam besen-besen yang disediakan untuk itek.

Berlainan sekali pagi ini.  Ayam iteknya seperti dalam ketakutan.  Ada yang makan tetapi tidak serancak biasa.

Mak Limah tidak ambil kisah tentang hal itu.  Dia terus semula ke dalam dapur untuk masak makanannya sebelum turun ke kawasan sayuran.  Seharian semalam sayurannya tidak bersiram.

Selepas sahaja dia menjamah segala makanan yang dia sendiri siapkan dia mencapai parang panjangnya untuk turun ke kawasan sayuran yang tidak berpa jauh dari rumahnya.

Hati begitu berat untuk melihat ayam iteknya makan.  Lalu dia menuju ke halaman dapur di mana ayam iteknya sedang makan dalam keadaan yang takut-takut.

Matahari sudah menerangi alam.  Hati Mak Limah lega kerana tiada apa yang berlaku pada pagi ini.  Dia berdiri bangga melihat ayam iteknya dalam keadaan yang selamat, cuma hati tertanya-tanya, kenapa ayam iteknya makan dalam ketakutan.

Dia mencari Balung yang tidak kelihatan olehnya, lalu dia memanggil Balung.

Sebentar Balung berkokok di pinggir semak tepi sawah.  Dengan parang panjang di tangan, dia terus menuju arah tersebut.

Dalam perjalanan dia menuju ke semak tersebut  di mana dia mengikut jalan biawak lari pagi semalam, dia begitu hairan sekali.

Setiap jaluran yang meninggalkan kesan-kesan darah biawak semalam tumbuh cendawan berwarna merah seperti cendawan busut.  Jaluran itu terus kearah semak tersebut dengan cendawan yang tumbuh berbaris.

Dia terus mengikuti jaluran cendawan itu hingga ke semak dimana ayam Balung sedang berdiri gagah bagikan menghadap sesuatu di dalam semak tersebut.

Dengan berhati-hati dia meninjau ke dalam semak tersebut.  Alangkah terperanjatnya dia bila melihat biawak dengan ekor yang kudung kesan kena tetak baru lagi sedang memamah rakus cendawan-cendawan berwarna merah yang tumbuh begitu banyak dalam semak tersebut di atas kesan darah pada ekor biawak yang berlumuran dengan darah beku itupun tumbuh cendawan berwarna merah.

Biawak tersebut tidak mempedulikan dia dan ayam Balung yang berada di pinggir semak tersebut memerhatikan ia makan cendawan tersebut.

Mak Limah mengucap panjang, kemudian dia mengangkat ayam Balung dan dibawanya pulang.

Sampai sahaja dia di rumah dia begitu tersentak bila melihat Pak Seman bersama Mak Uda Gayah berdiri di halaman rumahnya dengan parang berada di tangan masing-masing.

“Ada kau lihat biawak di sini semalam Limah?”  Biasa sahaja nada Pak Seman.

“Biawak?”  Dalam kehairanan Mak Limah bersuara.

“Biawak tu mengganggu ayam aku semalam, petang semalam masuk ke reban pula,”  sampuk pula Mak Uda Gayah.

Dengan tidak banyak cakap, Mak Limah terus membawa Pak Leman dengan Mak Uda Gayah ke kawasan semak tepi sawah tadi.  Kemudian dia menceritakan segala hal yang berlaku semalam serta tentang cendawan yang tumbuh pada kesan darah biawak yang ditetaknya itu.

“Heh! Malam tadi masa aku ke masjid ada budak-budak bercerita tentang seorang India yang sibuk mengatakan seekor biawaknya tertinggal dengan leher bercerut dawai dan digantung pada sebatang pokok minggu lepas, bila dia datang semula ke tepi sawah di pinggir hutan sana, biawak yang sebesar peha itu telah kering,”  Pak Leman bercerita pada Mak Limah.

Terlopong mulut Mak Limah mendengarnya.  Hatinya begitu kecut sekali.

“Semalam India tu datang lagi mencari biawak di sawah sana, tetapi dia hairan, biawak yang telah kering itu tiada lagi,yang tinggal cuma dawai penggantungnya sahaja,”  Pak Leman mengkahiri ceiranya.

Dalam mereka bercerita itu tiba-tiba mereka terdengar bunyi menggelupur yang kuat dalam semak tersebut,  Pantas sekali mereka meninjau ke situ.

Dalam  pandangan mereka bertiga, biawak yang kudung ekornya dengan mulut penuh dengan cendawan mengelupur dan sedikit demi sedikit mulai lesu dan terus kering seperti  dipanggang.  Mereka bertiga berpandangan.



SELESAI