Saturday, January 5, 2013

46. TOK AWANG NGAH - BANGKAI BABI HUTAN JADI LELAKI TUA BONGKOK

       Disebabkan hujan turun dengan lebat mencurah - curah, Pak Tua Mahat pun berhenti berteduh dahulu di bawah sebuah pokok besar. Ulung Sali  yang mengekor di belakangnya bersama Saban Keme segera melencong ke bawah bukit untuk mencari daun pisang karuk. Kemudian mereka berdua datang semula mendapatkan Pak Tua Mahat lalu menyelitkan daun - daun pisang karuk itu pada anak - anak kayu supaya dapat berlindung dari simbahan hujan yang lebat itu.

" Hah! Dah habis basah....buat apa daun pisang karuk ni lagi??? " kata Pak Tua Mahat sambil membukakan bajunya yang basah itu. Dia pun memulaskan bajunya supaya kering.

Ulung Sali hanya tersengih - sengih sahaja. Dia tahu memang mereka semua sudah dibasahi hujan, tetapi pabila daun pisang karuk itu disisip dijadikan atap berlindung dari simbahan hujan, tidaklah mereka berterusan basah. Setidak - tidaknya mereka sudah boleh memerah baju yang basah supaya airnya kering. Tidaklah sejuk sangat menjelang tengah malam.

" Kau sejuk ke, Saban? " kata Ulung Sali sambil mengerling kepada Saban Keme yang sedang berpeluk tubuh menahan sejuk itu.

" His, adakan tak sejuk....." ujar Saban Keme   sambil terketar - ketar.

Mereka bertiga berteduh di bawah pokok besar itu sambil menunggu hujan teduh. Tetapi hujan di dalam hutan itu tidaklah sama dengan hujan di tengah kampung kerana hujan tidak terus menyimbah ke tubuh mereka. Daun - daun pokok yang tinggi menjulang itu telah menampan hujan, menyebabkan mereka tidaklah kuyup sangat disimbahi hujan. Bagaimana pun memang terasa sejuk jugalah sementara menanti hujan reda.

Pak Tua Mahat menyarung semula baju basahnya yang sudah diperah air itu. Dia sudah biasa mengalami ditimpa hujan sewaktu berburu ke hutan. Kadangkala sehingga semalaman hujan turun tidak berhenti, dia tidak ambil peduli pun. Apabila hujan reda, dia akan terus juga menyuluh mencari binatang buruannya. Menjadi pantangan dia kalau masuk berburu ke hutan, apabila balik hanya dengan tangan kosong.

Sudah lama pula dia tidak pergi ke hutan bersama Ulung Sali. Memang Pak Tua Mahat serasi benar ke hutan bersama dengan Ulung Sali , kerana mereka berdua saling bantu membantu jikalau menghadapi apa - apa masalah. Lagi pun memang Ulung Sali  tahu benar akan selok belok jalan di dalam hutan pelangai itu.

" Dah teduh hujan ni, Bang Mahat..... " ujar Ulung Sali sambil mendongak memerhatikan titis hujan yang jatuh satu - satu menimpa kepala.

Pak Tua Mahat tidak menyahut. Dia pun keluar dari bawah tempat berteduh lalu meranduk belukar yang masih lembab akibat dibasahi hujan tadi. Ulung Sali dan Saban Keme pun mengikut langkahnya dari belakang.

" Lepas hujan macam ni elok la " kata Pak Tua Mahat  .

Ulung Sali hanya mengangguk. " senang la kita nampak jejak " sahutnya sambil menahan kesejukan akibat ditimpa hujan tadi.

Malam bertambah gelap disebabkan awan kelam tidak disinari cahaya bulan. Selepas hujan lebat turun mencurah - curah, kegelapan mula menyerkup kawasan hutan tersebut. Hanya silauan lampu picit di tangan sahaja menjadi pedoman mereka mencari lorong ditengah belukar di hutan berkenaan.

Baik Ulung Sali mahu pun Pak Tua Mahat memang gemar berburu kalau ditimpa hujan. Binatang hutan juga akan keluar selepas berlindung dari hujan lebat yang turun mencurah - curah itu. Ia akan melalui denai - denai yang selalu ditempuhinya lalu akan meninggalkan jejak berlubuk akibat tanah lembut selepas ditimpa hujan itu. Mudahlah mereka mengekori denai tersebut lalu mengendap arah yang dituju oleh binatang berkenaan.

" Kawasan hutan ini banyak kijang " beritahu Ulung Sali sambil mencecap - cecap bibirnya.

Memang dia selalu masuk ke situ untuk mengendap kijang. Ulung Sali tahu sangat di kawasan mana mahu menghambat rusa, kijang atau pun memipih pelanduk. Dia tahu sangat kawasan mana yang sesuai untuk mengendap ayam denak atau pun mahu menjerat napuh. Sejak berpindah ke pelangai, dia tahu sangat akan hutan di situ. Sama juga macam Pak Tua Mahat yang amat mengetahui sangat akan ceruk solok hutan di mentaus. Sejak mereka di kampung lagi memang berburu ke hutan sama - sama menjadi kegemarannya.

" Banyak kijang pun, bukannya dia nak menyerah diri kepada kita... " ujar Pak Tua Mahat   seakan mengejek.

" Memanglah!!! " ujar Ulung Sali sambil tersengih - sengih mendengar ejekan Pak Tua Mahat  itu.

"Rezeki yang datang bergolek pun bukannya nampak bergolek - golek macam bola, kenalah digerakkan ketiak. Kalau tangan bersimpai, nasi di tangan pun tak dapat nak disuapkan ke mulut!!! " katanya pula menyindir.

Pak Tua Mahat tersenyum sahaja. Tetapi dia percaya memang kawasan hutan itu mempunyai bilangan kijang yang banyak. Hentak kaki ke tanah pun Pak Tua Mahat sudah dapat mengagak sama ada terdapat kijang, rusa atau napuh yang selalu bermain di situ.

Bagaimana pun berburu bukanlah semudah mengendap ayam denak di pinggir kampung. Sekiranya terdengar bunyi kokokan ayam memanjang, sudah pasti ada ayam denak yang mengekas. Bila - bila masa sahaja menggalas senapang ke situ, pasti tidak akan balik dengan tangan kosong. Tetapi berburu ke hutan terpaksa meranduk paya dan belukar untuk mencari denai binatang. Setelah bertemu denai pun, belum tentu lagi akan ditempuhi oleh binatang tersebut atau pun tidak. Kadangkala denainya ada berbekas jejak, diikuti sampai habis jejak pun tidak seekor binatang pun yang kelihatan.

Mereka terpaksa mencari denai yang lain pula sehingga terpaksa meranduk belukar tebal sekali pun. Setelah puas menyusur denai, mengendap dibalik belukar, menunggu dibalik tabir tetapi kadangkala tiada juga seekor pun binatang yang terjongol muncul.

"Banyak manau di hutan ni, Sali?? " soal Pak Tua Mahat sambil kepalanya terhangak - hangak memanjangkan leher.

" Ada juga agaknya... " sahut Ulung Sali perlahan. "aku tak pernah cari manau. Kalau petai tu, tak berapa pokok sangat " katanya sambil terangguk - angguk kepala.

Orang yang biasa ke hutan tidak sekadar mengetahui mengenai binatang buruan sahaja, tetapi juga tahu berapa batang pokok petai yang tumbuh di setiap bukit, berapa banyak rumpun manau yang merimbun, berapa anak - anak bukit di tengah lurah bukit besar. Kalau tidak hafal semuanya, tidak berertilah menjadi pemburu yang mengetahui setiap ceruk dan solok di hutan berkenaan.

"Selalu kau cari petai? " tanya Pak Tua Mahat lalu berhenti menyandarkan badannya pada sepohon pokok di tubir lorong.

" Ah! Untuk makan sendiri tu adalah juga " beritahu Ulung Sali lantas berhenti juga di depan Pak Tua Mahat. Dia kemudian menghenyakkan punggungnya ke atas banir pokok yang menungkal tinggi itu.

Saban Keme juga turut berhenti melepaskan lelah. Dia hanya mendengarkan sahaja bapa mertuanya dan Ulung Sali berbual - bual mengenai hutan di situ. Lagi pun memang tabiat dia tidak suka mencampuri bila orang lain bercakap. Bagaimana pun memang Pak Tua Mahat suka mengajak menantunya itu berburu ke hutan.

" Macam mana Saban, penat tak ? " tanya Ulung Sali sambil mencebikkan bibir kepadanya.

"Emmm, dah biasa berjalan di dalam hutan macam ni " beritahu Saban Keme sambil tersengih - sengih.

Saban Keme tahu, letih macam mana pun tidak akan berasa apabila binatang buruan sudah tergolek di depan mata. Lainlah kalau tiada seekor pun binatang buruan yang melintas, bukan sekadar keletihan sahaja yang menghantui perasaan malah kehampaan juga tidak dapat digambarkan yang mengguris hati.

Selepas berehat beberapa minit, mereka bertiga pun meneruskan perjalanan meranduk belukar lembab di tengah kegelapan malam. Ulung Sali berjalan di depan sekali dengan memegang lampu picit bersambung ubat 6. Dibelakangnya Saban Keme yang memegang lampu picit kecil sementara Pak Tua Mahat yang dibelakang sekali hanya menggalas senapang patah laras duanya sahaja.

Sekali sekala Saban Keme akan tergelincir apabila kakinya terserandung akar - akar yang merintangi jalan, tetapi cepat - cepat pula dia berpaut pada anak - anak kayu. Lorong di tubir bukit juga menjadi licin akibat ditimpa hujan yang turun mencurah - curah sebelumnya tadi. Namun Ulung Sali masih juga tidak menemui denai kijang yang dicari. Kalau tidak menemui denai kijang pun, manalah tahu mereka akan menemui denai rusa pula.

Mereka tidak akan kehilangan jejak sekiranya sudah bertemu dengan denai binatang buruan. Melihatkan bekas jejaknya sahaja, Ulung Sali sudah tahu berapa lama denai itu telah ditempuhi. Dia akan dapat mengagak sejauh mana binatang buruan itu telah meninggalkan denainya. Ke mana arah yang ditujuinya? Semuanya sudah dihafali di dalam kepala Ulung Sali .

Apalagi Pak Tua Mahat yang sama masuk ke hutan dengannya. Dia tahu benar akan kebolehan Pak Tua Mahat kalau sudah menjejakkan kakinya ke tengah hutan. Binatang buruan tidak akan dapat lari ke mana apabila denainya sudah ditemui oleh Pak Tua Mahat. Bekas jejak binatang tersebut akan dipasaknya ke tanah hingga binatang berkenaan tidak dapat bergerak jauh.

Tatkala Pak Tua Mahat sampai menggalas senapang, bintang tersebut hanya akan tercegat sahaja menunggu bidikan senapang patah berlaras dua Pak Tua Mahat berdentum meletup. Sekali gus pula pelurunya akan melayang hinggap mencari sasaran di kepala. Binatang buruan itu akan tergolek menggelupur dengan darah membuak - buak di kepala. Serentak dengan itu, Ulung Sali  akan menerkam sambil menghunuskan parangnya lalu menyembelih ke batang leher. Mereka berdua sudah cukup mahir kalau berburu binatang di dalam hutan.

" Tak jumpa denainya lagi, sali? ' Tanya Pak Tua Mahat sambil menghelakan nafas.

"Belum, bang.... " sahut Ulung Sali sambil menggelengkan kepalanya.

" Agaknya fasal hujan tadi ni... " Saban Keme pula mencelah. " dia pun tak mahu keluar " kata Saban Keme lagi sambil tersengih - sengih semacam gelihati sangat apabila kenangkan rusa, kijang dan napuh pun kesejukkan ditimpa hujan sampai tidak mahu keluar dari tempat persembunyiannya.

"Ah! Kalau ada rezeki tak akan ke mana " ujar Ulung Sali memberikan keyakinan.

Hujan tidak ada lagi menitik tatkala malam makin menjadi sepi. Sekali sekala burung kuang berbunyi juga memecahkan kesepian yang mencengkam perasaan itu. Pak Tua Mahat mula terkuap - kuap sambil menggalas senapang patah berlaras dua nya dibelakang sekali mengekori Ulung Sali dan Saban Keme. Apabila matanya sudah mengantuk,  Pak Tua Mahat tidak peduli di mana sahaja dia tetap akan melelapkan matanya. Sambil berjalan pun dia boleh melelapkan mata hingga sampai bersenar kuat.

Ulung Sali dan Saban Keme memang tahu mengenai perangai Pak Tua Mahat yang boleh melelapkan mata tatkala berjalan di dalam hutan. Sebab itulah mereka tidak hiraukan sangat apabila menyedari Pak Tua Mahat sudah tersengguk - sengguk di belakang mahu melelapkan matanya. Kalau tidak diganggu, sampai ke pagi pun Pak Tua Mahat akan terus terlena.

" Ayah kau dah berdengkur, Saban " ujar Ulung Sali sambil menjuihkan bibirnya.

" Dah jadi kebiasaan dia " sahut Saban Keme sambil mengerlingkan matanya ke belakang. Dia nampak bapa mertuanya tersengguk - sengguk berjalan, tetapi bunyi dengkurnya memang kedengaran memecah keheningan tengah malam yang diselubungi kesepian malam itu.

Kadangkala ia menghairankan Saban Keme juga, bagaimana bapa mertuanya boleh tidur dengan nyenyak tatkala berjalan merentas belukar di hutan. Kakinya tidak akan tersepak tunggul atau terjelantus pada akar - akar pokok yang merentangi jalan mereka. Saban Keme juga nampak bapa mertuanya tidak perlu menyusup tunduk bawah akar merentang itu, tapi beliau tetap dapat melepasinya.

Apabila mereka berhenti melepaskan lelah, Pak Tua Mahat juga ikut sama berhenti. Tetapi dia tidak akan duduk menghenyakkan punggungnya. Sebaliknya dia akan berdiri dengan sebelah kaki sahaja, dengan sebelah lagi kakinya akan dibengkokkan hingga tapak kakinya akan tertampan pada paha. Selagi dia tidur nyenyak, Pak Tua Mahat akan berdiri dengan sebelah kaki sahaja. Saban Keme dan Ulung Sali  memang tahu sangat mengenai kebolehan diri Pak Tua Mahat jikalau dia terlalu mengantuk semasa berburu di dalam hutan itu.

"Kalau tak jumpa denai, sampai ke pagilah nampaknya ayah kau nyenyak " kata Ulung Sali sambil tersengih - sengih menyuluh lorong di hadapan.

" Eeh! Kalau ayah dah lelap, kejap lagi jumpalah denai tu " beritahu Saban Keme dengan perlahan. Dia sudah memahami sangat jikalau mengikut bapa mertuanya berburu.

Bapa mertuanya memang mudah mengantuk apabila tidak terserempak dengan binatang buruan. Ketika inilah dia akan terlena dengan tidak mempedulikan lagi apa pun yang terjadi di sekelilingnya. Pak Tua Mahat memang tidak akan melawan rasa mengantuknya apabila jam sudah melewati pukul 12 tengah malam, sekiranya binatang buruan tidak juga terjongol muncul.

"Tak faham aku dengan ayah kau ni....." rungut Ulung Sali yang keletihan meranduk belukar lembab yang dibasahi hujan. " Cepat sangat rasa mengantuknya,  tak menyempat - nyempat... "katanya sambil tersengih - sengih seolah - olah menyindir sikap sepupunya itu.

Saban Keme hanya tersengih - sengih sama. Dia tidak peduli pun sama ada Ulung Sali merungut fasal bapa mertuanya nyenyak tidur atau pun tidak. Tetapi dia memang tahu akan kebolehan bapa mertuanya jika berburu ke hutan. Tidak pernah bapa mertuanya balik dengan tangan kosong sama ada dia terlelap atau pun tidak semasa berburu.

Memang dia tahu sangat akan sikap bapa mertuanya. Sejak sebelum menikah dengan Bibah iaitu sebelum Pak Tua Mahat menjadi bapa mertuanya, dia sering mengikut orang tua itu berburu ke hutan. Dia tahu sangat pantang larang Pak Tua Mahat, tahu apa yang perlu dibuat bila orang tua itu membuka kain hitam ikat kepalanya dan juga tahu bila mahu menerpa menindih kepala rusa dengan lutut sebaik sahaja Pak Tua Mahat sudah menghunuskan mata parangnya. Sebab itulah Pak Tua Mahat suka membawa dia ke hutan, sekali pun setelah menjadi menantunya.

"Hhhiss...ini dia!! " Ulung Sali pun mendepakan tangannya seolah - olah menghalang Saban Keme daripada meneruskan perjalanan ke hadapan. Dia pun menyuluh denai yang berbecak itu masih terdapat kesan tapak kaki kijang yang berbekas di situ.

"Ini bekas tapak kakinya.... " kata Ulung Sali dengan perlahan sambil menyuluh lagi dengan berhati - hati bagi memastikan yang dia sudah terjumpa akan denai yang dicari - carinya.

Saban Keme juga membongkok bagi mengamati akan jejak kijang yang berbekas pada lumpur berbecak di denai tersebut. Dia pun mengangguk - anggukkan kepalanya tanda berpuas hati setelah menemui jejak berkenaan. Setidak - tidaknya dia sudah boleh menyimpan harapan bahawa kijang tersebut tidak akan dapat lari kemana lagi.

"Kejutkan ayah kau!! " bisik Ulung Sali sambil tersenyum lebar. Tangannya tidak lepas menyuluh denai berbecak yang keruh bukat bekas ditempuhi kijang itu.

Cepat - cepat pula Saban Keme memegang bahu bapa mertuanya sambil menggoncang - goncang kuat. Pak Tua Mahat pun terkuap - kuap lantas menggengam penumbuknya lalu terus disumbatkan ke dalam mulutnya.

" Dah ada denainya " bisik Saban Keme  .

"Emmm...aku tahu " beritahu Pak Tua Mahat sambil terkuap - kuap lagi.

"Kita ikut denai ini? " soal Ulung Sali yang masih membongkok - bongkok menyuluh akan kesan jejak kijang yang berbekas di dalam becak berlumpur itu.

"Tak payah... " sahut Pak Tua Mahat. " Kita tunggu di situ " dia menuding pula ke arah kawasan lapang di bawah pokok besar yang berbanir itu.

Ulung Sali dan Saban Keme pun tidak membantah apa. Mereka menurut sahaja apa yang disuruh oleh Pak Tua Mahat. Mereka tahu orang tua itu lebih mahir kalau melihat jejak berbekas di denai. Sama ada mahu mengikut jejak tersebut atau tidak hanya terpulang kepada keputusan Pak Tua Mahat   sendiri.

Memang Ulung Sali sendiri mengakui akan kemahiran Pak Tua Mahat apabila berburu di hutan. Kalau menepuk daun palas, Pak Tua Mahat  tahu bila pelanduk akan datang bertandak. Beberapa ekor pelanduk akan datang menyerbu sebaik sahaja mendengar daun palas ditepuk pada busut. Semua pedoman Pak Tua Mahat memang tidak pernah mengecewakan mereka.

Sudah beberapa kali Ulung Sali  camkan pedoman yang diberi oleh Pak Tua Mahat semuanya tidak pernah meleset. Kalau dia kata mesti diikut jejak pada denai, tentulah rusa atau kijang itu sudah tidak jauh dari situ. Pak Tua Mahat akan mengendap seorang diri ke hadapan. Tapak kakinya yang terpijak ranting kering pun tidak akan mengeluarkan bunyi berderap. Binatang buruannya tidak akan dapat menyangka yang Pak Tua Mahat sedang mengendapnya dengan senapang berlaras dua tergengam di tangan.

Bila Pak Tua Mahat sudah memberitahu tidak perlu dijejak, cukuplah sahaja menunggu di tempat denai yang ditemui itu. Selalunya tidak lama selepas mereka menunggu, sudah tentu binatang buruan itu akan terjongol terlangah - langah. Pak Tua Mahat juga sudah dapat mengagak sama ada binatang buruan itu sudah semakin hampir menjengah atau pun masih jauh lagi dari kedudukan mereka. Kemahiran Pak Tua Mahat ini memang benar - benar mengagumkan Ulung Sali. Tetapi dia juga tahu Pak Tua Mahat memang pantang sangat kalau saya ikut turut sama mengikutnya berburu ke hutan.

"Dah sampai dia, Abang Mahat? " tanya Ulung Sali  yang tidak sabar lagi itu.

"Kejap lagi agaknya " sahut Pak Tua Mahat sambil mendehem dehem.

"Selalunya tak lama kalau ditunggu ..... " keluh Saban Keme yang berdebar - debar menanti dengan penuh harapan itu. Jauh di lipatan hatinya dia sudah berdoa agar kijang tersebut datang menjengah juga. Sudah lama juga dia tidak menikmati daging kijang hasil buruan bersama bapa mertuanya.

"Emmm...tak sabar - sabar kau ni " kata Pak Tua Mahat sambil tersengih - sengih seakan menyindir menantunya. " Orang punya, kenalah tunggu sampai tuannya lepaskan dari gembala.... " jelasnya mengingatkan Saban Keme.

Saban Keme terdiam. Memang dia tidak bermaksud terlalu gelojoh mahu melihat kijang buruan itu tersungkur ditembak. Dia hanya sekadar mengingatkan kebiasaannya bila mengikut bapa mertuanya berburu, memang tidak perlu menunggu lama setelah tersua denai yang dilalui binatang buruan berkenaan. Binatang berkenaan akan berpatah balik semula ke belakang sebaik sahaja telah tercium bau Pak Tua Mahat. Ia seolah - olah menyerahkan dirinya sahaja kepada orang tua itu.

Sudah lebih setengah jam mereka bertiga menunggu di dalam gelap malam itu, tetapi tidak ada tanda - tanda kijang yang diharapkan itu akan menjengah di denai. Pak Tua Mahat mengeluh perlahan setelah melekapkan telinganya ke tanah beberapa kali. Kemudian dia pun bangun lalu memangkas beberapa anak - anak kayu sebesar ibu jari dan dikerat - keratnya panjang sejengkal sebanyak 7 batang.

Anak kayu tersebut kemudian dibelahnya had 3 suku sahaja lantas dicancangnya ke tanah dengan keadaan terkangkang. Dia pun mengatur anak kayu tercancang itu berbaris lurus dengan jarak satu hasta antara satu cancang dengan cancang yang lain. Saban Keme dan Ulung Sali hanya memerhatikan sahaja Pak Tua Mahat menjentik - jentik ketujuh - tujuh cancang kayu tersebut.

"Hah! Bersiap sekarang!!! " kata Pak Tua Mahat perlahan tapi terus juga menjentik jentik. Dia kelihatan tersenyum puas sambil menghela nafas panjang.

Di dalam kegelapan malam di tengah hutan itu hanya bunyi ngiang - ngiang saja yang melangsing, disamping hembusan angin sepoi - sepoi yang menderu memukul pucuk - pucuk kayu yang tinggi. Sekali sekala dengkung katak juga bersahut - sahutan di bawah gaung selepas hujan berhenti reda. Tetapi dengkung katak yang sayup - sayup di bawah gaung itu tenggelam juga oleh kelangsingan bunyi ngiang - ngiang yang berbunyi di segenap penjuru hutan itu.

" Siap Sali, Saban.... " dalam kelangsingan ngiang - ngiang itulah Pak Tua Mahat berhenti menjentik kayu yang tercancang di tanah. Dia mula meraba - raba senapangnya. Kemudian menghalakan muncung senapang ke arah denai yang mereka temui tadi.

Hanya dalam beberapa minit sahaja, mereka terdengar bunyi becak di denai bercepau - cepau di lalui binatang. Mereka dapat mengagak tentu kijang yang ditunggu sudah terlangah - langah datang setelah diseru oleh Pak Tua Mahat melalui kayu tercancang yang dijentik - jentiknya itu. Kalau kijang berkenaan bersembunyi di sebalik 7 bukit pun, pasti ia akan datang juga bila sudah diseru oleh Pak Tua Mahat. Tidak ada seekor kijang pun yang akan dapat bertahan kalau baunya sudah dapat dicium oleh orang tua itu.

Mereka bertiga nampak 2 biji mata kehijau - hijauan mara dicelah - celah semak berdenai. Memang itulah mata kijang yang mereka nanti - nantikan sejak lebih setengah jam tadi. Ketika Ulung Sali  dan Saban Keme  masih lagi berdebar - debar dengan kemunculan 2 mata kehijau - hijauan itu, dentuman senapang Pak Tua Mahat pun menggegarkan kegelapan malam yang hanya disulami bunyi ngiang - ngiang melangsing itu. Rengekan memanjang pun kedengaran dicelah - celah semak sambil 2 biji mata kehijau - hijauan terpelanting ke situ.

" Cepat tengok!!! " perintah Pak Tua Mahat sambil berdiri tegak. Dia merasa bangga kerana dapat melepaskan tembakan tepat mengenai sasarannya. " Cepat..... " katanya lagi bagaikan mendesak.

Ulung Sali dan Saban Keme pun serentak melompat sambil memasang lampu picit lalu menyuluh ke arah semak - semak yang terdengar bunyi rengekan memanjang itu. Lampu suluh yang bersambung ubat 6 di tangan ulung sal iitu pun terang benderang menyilau sebentuk punggung hitam yang tertongggeng di balik semak itu.

" Bukan lar!!! " laung Ulung Sali seakan - akan kecewa.

" Apa dia?? " laung Pak Tua Mahat lalu cepat - cepat menerpa mendapatkan Ulung Sali dan Saban Keme

" Bukannya kijang tapi babi hutan " keluh Ulung Sali yang masih menyuluh ke arah tubuh babi hutan yang terkinjal - kinjal kaki di sebalik semak itu.

Terdiam Pak Tua Mahat sebaik sahaja melihat tubuh babi hutan yang tertonggeng di celah semak itu. Kaki babi hutan itu masih terkinjal - kinjal lemah. Dia masih tidak mati sekali pun peluru senapang patah telah menyinggahi tepat di sasarannya. Rengekannya yang terputus - putus itu menandakan nyawanya masih bercerai dengan badannya.

Kemudian Pak Tua Mahat tersenyum sambil mengerling ke arah tubuh babi hutan yang masih tergolek itu. " Emmm....kita kena perdaya lar, Sali " ujarnya seolah - olah menyindir.

" Hah!! Kalau dia nak tunjuk jantan, kita pun boleh tunjuk jantan juga " gerutu Ulung Sali pula sambil menggertapkan bibir bagaikan bersedia menyambut cabaran dari sesiapa pun jua.

" Tak apa, kau tengokkan Saban " beritahu Pak Tua Mahat yang meminta Ulung Sali melindungkan menantunya dari gangguan yang sedang mengancam mereka itu. Dia memang tahu Ulung Sali juga mampu bertindak. Tetapi biarlah kebolehan Ulung Sali itu digunakan untuk melindungi Saban Keme yang tidak tahu apa - apa mengenai permainan puaka hutan itu. Manalah tahu Saban Keme  pula yang akan menjadi sasaran sekiranya Ulung Sali tidak melindunginya.

" Kau tengokkan Saban.... " ulang Pak Tua Mahat sambil membuka ikatan kain hitam yang terikat di kepalanya. " biar aku tengok permainannya " katanya sambil memegang kain hitam yang sepanjang 2 hasta itu di tangan kirinya.

Ulung Sali mengangguk.

" Duduk di bawah kangkang aku, Saban " kata Ulung Sali sambil menggamit Saban Keme.

Saban Keme tidak membantah. Dia terus duduk di bawah kangkang Ulung Sali dengan tidak bercakap sepatah pun. Memang dia sudah menduga ancaman tersebut, sebab itulah dia mematuhi apa sahaja yang disuruh oleh bapa mertuanya atau pun Ulung Sali .

Saban Keme kemudiannya melihat bapa mertuanya berjalan berhampiran semak di tempat tubuh babi hutan itu tergolek selepas ditembak. Babi hutan yang ditembaknya itu masih belum mati kerana kakinya masih terkinjal - kinjal menendang angin. Rengekannya juga masih kedengaran merintih - rintih di dalam kelangsingan bunyi ngiang - ngiang dari segenap penjuru itu.

" Bangun kau!!! " bentak Pak Tua Mahat sambil memukul punggung babi hutan itu dengan kain hitam di tangan kirinya itu.

Tiba - tiba sahaja babi hutan itu bergerak bangun daripada celah - celah semak itu. Tetapi sebaik sahaja mengangkatkan kepala sambil memusingkan badan, kelihatan bukan tubuh babi hutan yang tergolek tadi yang berdiri tegak. Sebaliknya Saban Keme nampak tubuh seorang lelaki tua yang bongkok berlipat yang kelihatan tersengih - sengih sambil berpaut pada anak - anak kayu. Dia menepis - nepis sampah sarap yang terlekat pada seluar dan bajunya yang sepasang hitam itu.

" Hah!!! Tau pun kau nak tunjukkan diri kau yang sebenarnya " ejek Pak Tua Mahat .

" Dah orang tak beri, kenapa tok pawang degil juga hendak??? " sahut lelaki tua bongkok itu bersuara keras.

" Kenapa nak memandai - mandai dengan aku!!! " jerkah Pak Tua Mahat lantas melompat tinggi menyepak dagu lelaki tua itu. Sekali gus pula lelaki tua itu terpelanting jatuh ke atas tanah.

" Hak kita, kita punya suka laa... " orang tua itu membentak marah sambil menyapu - nyapu dagunya bekas disinggahi tapak kaki Pak Tua Mahat itu.

" Awak jangan berdalih!!!! " tiba - tiba Ulung Sali pula mencelah. " tak ada siapa pun yang berhak di hutan ini. Semuanya kepunyaan allah " katanya lagi lantas membacakan ayat surah al ikhlas sebanyak 7 kali.

Tersengih - sengih sahaja lelaki tua tubuh berlipat itu. " tak ada budi bahasa langsung kawan awak tu, Tok Pawang ".

" Dengan setan apa gunanya budi bahasa!!! " jerkah Ulung Sali keras. Dia terus membacakan ayatul kursi sebanyak 33 kali sambil tidak bergerak dari tempatnya berdiri tegak.

Ketika ini lelaki tua itu menggigil seperti pohon aur yang sedang ditiup angin kencang. Selepas itu dia bertempik kuat lantas mahu menerkam ke arah Ulung Sali, tetapi cepat - cepat disiku rusuknya oleh Pak Tua Mahat . Lelaki tua itu melayang ke udara dan berlegar - legar mahu mengancam Pak Tua Mahat . Bagaimana pun dia tidak berani mahu mendekati Pak Tua Mahat .

" Pencuri awak semua ni!! " jerkah lelaki tua itu marah.

" Kau jembalang yang menjadi pencuri " sahut Pak Tua Mahat lantas menghentakkan tapak kakinya ke tanah.

Sewaktu lelaki tua itu berlegar - legar di udara, angin pun mula bertiup kencang. Hutan yang lengang di dalam kegelapan malam itu bagaikan dilanda ribut dari segenap penjuru. Pokok - pokok kayu pun meliuk - liuk menampan terjahan angin. Deru kencang angin tersebut menenggelamkan bunyi ngiang - ngiang yang melangsing memanjang di bawah gaung itu.

Hanya deru ribut kencang sahaja yang kedengaran memukul pokok - pokok kayu di situ, Saban Keme gementar juga sekiranya pokok - pokok besar itu tumbang jongkang kalang menimpa mereka. Dia tahu angin ribut yang muncul secara mendadak itu memang berpunca dari puaka hutan yang sedang mengganggu mereka itu. Apa lagi kemarahannya semakin memuncak apabila Ulung Sali pula mencabarnya dengan membacakan ayat - ayat al quran.

Di dalam ribut kencang itu, Ulung Sali berdiri dengan tidak bergerak - gerak. Matanya terpejam tapi hanya mulutnya sahaja yang terkumat - kamit. Tetapi ribut itu tidak juga reda dengan memukul pokok - pokok kayu besar hingga meliuk - liuk.

Melihatkan ribut itu tidak juga berhenti, lantas Ulung Sali pun melaungkan azan beralun - alun di dalam tengah kegelapan malam itu. Gema suaranya yang lantang itu menyebabkan ribut itu mulai reda secara perlahan - lahan. Melihatkan ribut mulai berhenti, Pak Tua Mahat pun membongkok lalu menggengam sekepal tanah. Diramas - ramasnya tanah tersebut, kemudian ditiupkan ke arah lelaki tua yang berlegar - legar di awangan itu.

Sekaligus pula lelaki tua itu jatuh berdebap ke tanah. Punggungnya terhenyak menyebabkan dia menggeliat - geliat kesakitan.

" Balikkan semula kijang aku!!! " bentak Pak Tua Mahat .

" Mana ada kijang " sahut lelaki tua itu sambil tersengih - sengih. " Yang kau tembak tadi babi hutan " katanya semacam mengejek Pak Tua Mahat .

" Kau takkan menang! " kata Pak Tua Mahat seakan memberi amaran. " Kalau kau nak tunjuk keras kepala, cepatlah!!!! " bentak Pak Tua Mahat  lagi keras mencabar lelaki tua bongkok berlipat itu.

Dengan tidak disangka - sangka, lelaki tua itu menerkam ke arah Pak Tua Mahat. Secepat kilat pula Pak Tua Mahat mengelak hingga lelaki tua itu terbabas.

" Jaga Saban tu, Sali....dia niat salah nampaknya ni. Jaga jangan geruhnya berpindah pada Saban... " Pak Tua Mahat mengingatkan Ulung Sali supaya bertahan sahaja di situ.

Kemudian Pak Tua Mahat membawa lelaki tua itu ke bawah pokok tempat mereka menunggu denai sebelumnya tadi. Beberapa kali lelaki tua itu cuba menerkam ke arah Pak Tua Mahat tetapi dengan mudah sahaja Pak Tua Mahat mengelaknya.

Hinggalah suatu ketika lelaki tua itu menerkam dari arah atas lalu tersembam pada pokok kayu tersebut. Saban Keme nampak tangan lelaki tua itu terlekat pada pokok berkenaan dan tidak dapat melepaskan cengkamannya yang tertusuk pada pokok tersebut. Sekaligus pula Pak Tua Mahat  mencabutkan semula anak kayu yang dicancangnya ke tanah tadi, lalu ditaupkan semula kangkangnya.

" Aku dah cakap, kau takkan menang! " ujar Pak Tua Mahat seakan menyindir sambil memerhatikan sahaja lelaki tua itu terkial - kial akibat cengkamannya melekat pada pokok kayu besar itu.

Selepas itu dia memancangkan semula anak - anak kayu tersebut disekeliling semak tempat babi hutan yang terbaring selepas ditembak tadi. Kesan - kesan darah masih berbekas pada daun - daun kayu di sekitar semak.

Pak Tua Mahat  lalu mengambil kain hitam lilit kepalanya dan dikibaskan sampai 7 kali di kawasan yang dipancangnya anak kayu itu. Barulah nampak pada Saban Keme di sebalik semak itu berubah sedikit demi sedikit punggung binatang yang tertonggeng itu dari hitam kepada perang kemerahan.

" Cukuplah tu, Sali " Pak Tua Mahat berpaling lalu menggamit Ulung Sali. " Sembelihlah binatang ni " katanya sambil menghunus parang lalu dihulurkan kepada Ulung Sali .

Cepat - cepat Ulung Sali menerpa bersama Saban Keme. Ternyatalah kijang yang terbaring disebalik semak, masih menggeletek - geletek menahan kesakitan. Setelah siap disembelih, Pak Tua Mahat  terus mengajak Ulung Sali dan Saban Keme  balik.

Teringin juga Saban Keme  mahu menyuluh ke arah pokok kayu tempat lelaki tua tadi terlekat, tetapi dia merasa takut pula. Tetapi dari dalam kegelapan itu dia tidak nampak apa - apa pun pada pokok tersebut, selain daripada kehitaman yang menyeramkan pandangannya. Pak Tua Mahat pula tidak berkata apa - apa selepas peristiwa itu sampailah balik ke rumah Ulung Sali .
                                                 Selesai.

11 comments:

  1. Terima kasih byk pd tn manjalara..sbdj tamar jalis dan tok awang ngah adalah penulis kegemaran sy sekeluarga..yg sedihnya smua simpanan buku2 kedua2 penulis siri ini habis dimakan anai2 dirumah sy..dgn adanya blog ini dptlah menceriakan sy kembali..terima kasih diatas susah payah tn..

    ReplyDelete
  2. terima kasih juga kerana singgah ke halaman blog saya

    ReplyDelete
  3. Kisah pertama di tahun 2013. Terima kasih atas usaha anda Encik Manjalara

    ReplyDelete
    Replies
    1. aki mustawi..
      Tajuk yg sebenarnya : BANGKAI BABI HUTAN JADI LELAKI TUA BONGKOK
      Kisah Pak Tua Mahat (Tok ustaz sebelah ibunya) pergi memburu bersama Ulung Sali dan menantunya Saban Keme mendapat tentangan dari gembala rusa yg merupakan Lelaki tua bongkok., yang mana rusa yg di tembak bertukar menjadi babi hutan dan bertukar menjadi lelaki tua bongkok kemudian kembali asalnya - rusa.
      Kisah ini terdapat dlm buku GADIS DI SALAI ATAS BARA

      Delete
  4. Ada sambungan cerita aki sahak muntah darah x?

    ReplyDelete
  5. Ada sambungan cerita aki sahak muntah darah x?

    ReplyDelete
  6. Dah lama tak baca cerita Tamar Jalis dan Tok Awg Ngah... Tak bosan nak baca.. Thanks Mr Manjalara..

    ReplyDelete
  7. Best...sangat suka genre seram sejak umur 12thn.....skrg ni tua2 pun suka juga kisah2 seram tok awang ngah.

    ReplyDelete