Tuesday, March 31, 2015

118. JEMBALANG TANAH KEPALA TUJUH



KALAU tidak diberi tahu mengenai ibu bapa memang sukar mahu mengenali anak-anak muda, apa lagi setelah tidak bertemu sejak bertahun-tahun.  Apabila diberi tahu oleh Surip mengenai dirinya anak Tijah Sengih, cepat saya cam dia berasal dari kampung saya juga.
Apabila Surip memberi salam sebaik sahaja keluar dari keretanya bersama isterinhya Mejiah dan anaknya Lili, isteri saya yang menyambutnya di pintu.  Terpaksa pula dia menunggu kerana saya baru saja mahu mulakan solat asar, sewaktu mereka sekeluarga sampai di depan rumah.
Setelah selesai solat baru saya menemui mereka.  Lama juga berbual-bual baru Surip memberi tahu ayahnya Ludin Tepek.  Tetapi Ludin Tepek sudah pun meninggal dunia setelah balik menunaikan fardu haji di Mekah.  Semasa balik dari Mekah dia jatuh sakit beberapa hari sebelum menghembuskan nafasnya.
“Ayah mula sakit sesak nafas semasa tawaf,” ujar Surip apabila kenangkan arwah ayahnya mengalami kesukaran tatkala menunaikan fardu haji.  Tetapi Ludin Tepek tabah mengharungi kesakitan itu sampai dia dapat sempurnakan hajinya.
Semasa balik pun dia sudah merasakan dirinya tidak berapa sihat hinggakan tidak sempat adakan kenduri kesyukuran setelah selamat balik.  Akibat sesak nafas yang berterusan itulah Ludin Tepek tidak upaya lagi bangun.  Dia terkejang saja di tengah rumah disebabkan terasa lemah seluruh badan.
Tidak sampai dua minggu dia terlantar, Ludin Tepek pun meninggal dunia.  Dua tahun seleps kematiannya baru saya mendapat berita tersebut setelah diberi tahu oleh Surip.  Manalah saya tahu mengenai keluarga mereka setelah Ludin Tepek menyertai Felda sejak bertahun-tahun dulu.
“Ayah selalu sebut nama ustaz,” jelas Mejiah pula memberi tahu mengenai bapa mentuanya yang sering kenangkan kampong halaman sebelum dia meninggal dunia.
“Dah selalu emak pesankan supaya cari ustaz, tapi saya tak ada masa,” Surip tersengih-sengih memberi tahu mengenai emaknya Tijah Sengih mendesak dia supaya menemui saya.
Tijah Sengih mengakui di depan anaknya Surip mengenai nasib malangnya mengalami lumpuh kaki setelah berulang kali bermimpi terserempak ular hitam.  Semenjak terkejutkan ular tedung senduk menyusup di sebalik tempayan beras, berulangkali dia tergamang-gamang akibat bermimpi diburu ular ganas.
Lama rumah mereka di ganggu dengan bunyi yang menakutkan itulah Tijah Sengih terlantar berbulan-bulan. Terpaksa diurut oleh arwah nenek saya biar kembali segar bugar semula.  Tetapi arwah nenek saya juga hampir putus asa setelah puas mencuba mengurutnya.  Kalau mahu dikatakan salah urat, nenek saya dapati urat kaki Tijah Sengih masih kuat berdenyut.
Biasanya kalau nenek saya sudah mengurut cepat saja dapat dipulihkan.  Seisi kampung tahu sangat mengenai nenek saya Bidan Ibah memang dikenali dengan kemahirannya mengurut.  Siapa pun tidak akan merasa sakit tatkala jarinya menekan urat-urat yang dimasuki angin, tetapi akan berasa sengal-sengal seluruh badan sampai tiga hari selepas dia mengurut.
Hilang saja sengal-sengal di seluruh badan barulah mereka berasa segar seluruh badan.  Bukan takat terseliuh sahaja mereka meminta nenek saya mengurut, kadangkala patah terkehel tulang pun mereka akan serbu ke rumah nenek saya.  Ketika itu manalah mereka mahu ke hospital terpaksa melalui jalan berbelok-belok sampai lebih dua puluh batu.
Sekiranya patah tulang, nenek sekadar kerat rotan sahaja lantas diukur pada bahagian yang patah.  Kemudian dia mematahkan tulang kaki ayam selasih lantas diurutnya kaki ayam itu dengan rotan berkenaan.  Ketika ini orang yang patah tangan atau kaki akan terjerit-jerit kesakitan sampai basah pelupuk mata.
Selepas sepuluh minit dia mengurut kaki ayam selasih itu dengan rotan, dia melepaskan ayam selasih itu ke bawah tangga.  Apabila ayam selasih berjalan terjengket-jengket, orang yang patah tangan atau kaki itu sudah mula boleh gerak-gerakkan bahagian yang patah.
Tiga pagi berturut-turut mereka terpaksa datang berurut semula sebelum nenek saya berkumur-kumur atau sebelum solat subuh.  Lama juga  amalan petua nenek saya ini digunakan membantu orang-orang kampung apabila mengalami patah atau terkehel.
Tetapi Tijah Sengih tidak juga mahu sembuh setelah di urut oleh nenek saya.  Bagaimana pun nenek saya tidak pernah mengalah, dia tetap urut seluruh badan Tijah Sengih.  Setelah saya datang jejakkan kaki ke situ pun nenek saya terus juga mengurutnya.
Bukan harapkan ikhtiar saya sahaja bagi memulihkan Tijah Sengih, malah seisi kampung ikut sama membantu. Pak Tua Mahat demah kaki Tijah Sengih dengan umbut pisang karuk yang didiangkan ke api.  Berpeluh-peluh seluruh tubuh Tijah Sengih akibat didemah dengan umbut pisang karuk itu.
Ayah saya jua menyuruh Ludin Tepek tumbukkan halia dicampur dengan cuka.  Kemudian dipanaskan ke api dengan dibubuh di dalam tempurung kelapa.  Tatkala halia ditumbuk itu tengah suam disapukan ke bahagian kaki Tijah Sengih sampai ke pangkal paha.
Malah Usu Midun juga terpaksa berubat besar dengan menyediakan air tujuh geluk, bertih tujuh piring, mayang pinang muda belum pecah upih, limau tujuh jenis dan bunga juga tujuh jenis.  Terpaksa pula Ludin Tepek menuruti kemahuan isterinya meranduk pinggir hutan mencari kuala anak air disebabkan Usu Midun mahukan tujuh geluk air dari tujuh kuala juga.  Di situlah jembalang tanah menyusup masuk setelah dihambat oleh pawang-pawang sejak nenek moyangnya.  Asal sahaja jembalang tanah nescaya akan dibuang ke tengah hutan mengikut alur air oleh mereka biar jauh dari anak cucu.
Apabila Usu Midun sudah berubat besar bermakna dia menyeru jelmaan Tok Mahang sudah menjelma ketika ini bukan lagi Usu Midun yang terconggok di depan Tijah Sengih, tetapi Tok Mahang sendiri meresap ke seluruh tubuhnya.  Dia sekadar duduk di dalam telinga Tok Mahang sahaja setelah tubuhnya menjadi kecil, sekecil-kecilnya kalau dibandingkan dengan Tok Mahang.
Sewaktu dia membacakan jampi serapah bukan lagi Usu Mudin yang melakukan, tetapi Tok Mahang yang tersergam di depan mereka semua.  Usu Mudin dapat mendengar sayup-sayup Tok Mahang membacakan jampi semasa berubat besar itu, sekali pun mereka yang menghadap Tijah Sengih terkejang sekadar mendengar Usu Mudin yang merungut-rungut.
Tetapi dalam rungutan halus Usu Mudin itu mereka dapat mendengar dalam suara garau yang menggerunkan dukun itu menyebut:
“Songsang tapak songsang hati jantung engkau, patah sendi patah layang patah alih-alih, ambil besi petua, akan pemarak hati jantung hempedu rawan engkau, datang terlentang pulau kau tertangkup, jenjang lama engkau balik, aku tahu asal kau jadi, orang berlaki tujuh asal kau jadi…”
Tentu jembalang tanah akan gementar apabila diseru asal usulnya dari perempuan berlaki tujuh.  Memang Usu Mudin tahu mengenai asal usul jembalang tanah itu seperti diberi tahu turun termurun oleh Tok Mahang pawang besar sejak datuk nenek moyangnya.
Siapa sahaja amalkan ilmu pengasih memang akan dihampiri oleh jembalang tanah yang sengaja mencari kesempatan.  Sebab itulah rahsia Embah Gadeh mahu kelihatan sentiasa muda sepanjang umurnya, sekalipun sudah beratus-ratus tahun hidup ditengah kampung.
Setiap kali Embah Gadeh berkahwin dengan suaminya, dia tidak benarkan suaminya masuk ke bilik tidur asal sahaja bulan mengambang penuh. Tidak siapa pun suaminya berani membantah kalau dimarahi oleh Embah Gadeh kerana bimbang akan dihalau isterinya.
Asal sahaja berkahwin dengan Embah Gadeh mereka akan lupa segala-galanya sekali pun terpaksa mematuhi apa sahaja kemahuan perempuan itu.  Mereka akan menangis di kaki tangga sekiranya dihalau oleh Embah Gadeh apabila cuba membantah.
Setelah enam orang suaminya Embah Gadeh masih juga tidak mempunyai anak.  Seisi kampung pun tidak dapat mengagak umur Embah Gadeh sebenarnya, kerana sejak kecil hingga masing-masing dewasa pun wajah Embah Gadeh tetap tidak berubah.
Hinggalah Malim Gandang sampai ke kampung itu setelah puas merantau.  Apabila terpandang sahaja dia wajah Embah Gadeh lantas sahaja Malim Gadang terpikat.  Sekali pun orang-orang kampung memujuk dia supaya tidak berkahwin dengan Embah Gadeh, tetapi Malim Gadang tetap berkeras mahu berlahwin juga.
Asal sahaja bulan purnama memang Malim Gadang tidak dibenarkan masuk ke bilik tidur.  Tetapi dia tidaklah tidur apabila beralih ke hujung serambi.  Sebaik sahaja bulan mengambang Malim Gadang sudah bersedia mengintai perbuatan isterinya dari lubang yang sudah disediakannya.  Memang Malim Gadang dapat melihat isterinya berlaku curang dengan lembaga hitam berkepala tujuh.
Apabila menjelang subuh lembaga hitam berkepala tujuh itu hilang tidak tahu ke mana.  Tetapi Malim Gadang  tidak marah terburu-buru setelah melihat sendiri perbuatan Embah Gadeh.  Keesokan malamnya apabila tidur di bilik isterinya.  Malim Gadang hanya berpura-pura tidur sahaja.  Setelah isterinya tertidur lantas saja dia bangun mencapai gunting di dalam gendongan kainnya.
Malim Gadang duduk beramal di penjuru bilik isterinya hingga dalam masa beberapa minit sahaja keluar kala jengking dari lubang hidung Embah Gadeh.  Cepat sahaja digunting oleh Malim Gadang kala jengking itu hingga putus dua.  Selepas itu keluar pula lipan bara dari telinganya merayap mencari Malim Gadang, tetapi tidak bertangguh diguntingnya sekali gus.
Sehingga menjelang subuh bermacam-macam binatang bisa termasuk ular, lipan, kala jengking, ulat bulu dan tebuan keluar dari rongga isterinya habis di gunting oleh Malim Gadang.  Setelah tidak ada lagi binatang bisa yang keluar, terus dibungkus oleh Malim Gadang bangkai binatang itu dengan kain hitam.
Keesokan paginya sebelum Embah Gadeh bangun tidur, Malim Gadang terus meninggalkan rumah itu dengan membawa bungkusan kain hitam berisi bangkai binatang-binatang bisa itu.  Sebelum dia meninggalkan kampong berkenaan, Malim Gadang menemui ketua kampung menjelaskan kedatangannya ke situ.
Dia sekadar datang membantu penduduk-penduduk kampung itu yang dalam ketakutan akibat perbuatan Embah Gadeh.  Siapa sahaja lelaki yang cuba mencemiknya nescaya akan datang merayu-rayu meminta Embah Gadeh menjadi isterinya setelah terkena ubat guna-guna perempuan itu.  Kalau Malim Gadang tidak datang ke kampung berkenaan, tentu Embah Gadeh akan memikat sesiapa sahaja lelaki di kampung itu supaya menjadi suaminya.
“Saya akan tanamkan bangkai binatang ini di tujuh kuala anak air,” jelas Malim Gadang kepada ketua kampung, kerana bangkai binatang sihir akan bercantum semula sekiranya dibuang begitu saja.
Sudah manjadi pantang larangnya apabila dipisahkan oleh anak air tentu mereka tidak dapat bersatu.  Setiap kali dia menggunting binatang-binatang bisa itu memang Malim Gadang membayangkan dia menggunting kepala lembaga hitam yang tujuh tatkala dilihatnya berlaku curang dengan Embah Gadeh.
“Biar dia jadi jembalang tanah selagi bangkai binatang ini dipisahkan oleh tujuh kuala anak air!” ujar Malim Gadang sebelum meninggalkan kampung berkenaan.
Apabila Embah Gadeh terbangun tidur memang terkejut dia mendapati Malim Gadang tidak ada lagi di sisinya.  Dia mula merasa tubuhnya sengal-sengal hingga termengah-mengah.  Tatkala melihat ke cermin Embah Gadeh mendapati wajahnya terlalu tua sampai kulit pipi berkedut-kedut mengelambir.
Tenaganya juga lemah tidak berupaya mahu berjalan gagah.  Langkahnya terketar-ketar hingga terpaksa menggunakan tongkat.  Sewaktu melalui tengah kampung penduduk-penduduk mula mengejeknya disebabkan umur yang sudah tua dan berwajah hodoh tetapi mahu memikat lelaki muda.  Saat ini Embah Gadeh menyedari kekuatan sihirnya sudah mansuh setelah berkahwin dengan Malim Gadang.
Disebabkan malu dengan keadaan wajahnya yang hodoh Embah Gadeh melarikan diri ke hutan.  Dia mahu mencari binatang-binatang bisa yang dimusnahkan oleh Malim Gadang di tanam di kuala tujuh anak air.  Semenjak itu orang-orang kampung tidak lagi menemui Embah Gadeh.
Setelah bertahun-tahun selepas itu pernah ditemui orang kampung seorang perempuan tua yang hodoh berinsut punggung melalui anak air.  Dia tidak boleh lagi berjalan disebabkan sudah lumpuh bahagian kakinya.  Asal saja ditegur oleh perempuan tua lumpuh itu nescaya mangsanya akan menjadi lumpuh juga.
Hinggalah tok pawang di kampung berkenaan memberi tahu perempuan tua lumpuh itu adalah jelmaan Embah Gadeh yang hilang sejak bertahun-tahun.  Tok Pawang itu menamakan jelmaan Embah Gadeh itu sebagai jembalang tanah di sebabkan ianya berinsut punggung di dalam air sahaja tidak mahu jejak ke tanah.
Keturunan tok pawang inilah memberi petua sampai kepada Tok Mahang mengenai gangguan jembalang tanah yang boleh menjadikan mangsanya lumpuh itu.  Sebab itu Usu Midun pegang kuat-kuat petua Tok Mahang apabila dia menjadi dukun di dalam kampung menggantikan datuknya Dukun Samid.
Setiap kali dia berubat besar memang Usu Midun akan menyeru jelmaan Tok Mahang tercegat di depannya hingga dia merasakan tubuhnya kecil sampai terperosok dalam lubang telinga Tok Mahang.  Saat ini dia akan dibawa ke mana saja oleh Tok Mahang mencari punca penyakit yang dihidapi mangsa.
Setelah berubat besar pun keadaan Tijah Sengih tidak juga berubah.  Dia terkejang saja di tengah rumah akibat bahagian kakinya lumpuh tidak boleh berjejak.  Tetapi Tijah Sengih tidak peduli apa lagi. Siapa saja mahu ubati dirinya dia tidak akan membantah.  Kalau Usu Midun mahu ulangi berubat besar pun dia sanggup.  Apa salahnya sekiranya nenek saya juga mahu mengurut berturut-turut pagi sampai sembuh.
Semenjak Tijah Sengih terkejang sakit tidak lagi berlaku kejadian pasir berserak-serak di lantai dari atap.  Ludin Tepek juga tidak henti-henti bangun tengah malam buat solat tahajud sepanjang hampir enam bulan isterinya terkejang itu.
“Kalau tak boleh sembuh, bawa ke hospitallah Ludin,” nenek saya mengeluh pendek setelah puas mengurut kaki Tijah Sengih.  “Bukan aku tak mahu urut, tapi kalau kamu sabar, tak apa,” jelas nenek saya ingatkan Ludin Tepek supaya tidak menuduhnya membiarkan Tijah Sengih menanggung kesakitan sekian lama.
Memang Pak Tua Mahat juga ingatkan Luding Tepek supaya membawa isterinya ke hospital kalau dia tidak sabar dengan penyakit yang dideritai oleh Tijah Sengih.  Dia sudah berusaha demahkan kaki Tijah Sengih dengan umbut pisang karuk yang diganggang ke api, tetapi tidak juga memberi bekas.  Hanya bahagian kaki itu meruam-ruam merah sampai gatal tergaruk-garuk.
Sekiranya mengubati penyakit demikian tentu Pak Tua Mahat juga mengelak. Lainlah kalau memburu ke hutan seisi kampung akan berharap kepada Pak Tua Mahat.  Asal saja disebabkan badi binatang hutan tahu sangat Pak Tua Mahat mengubatinya.
Dia akan demah dengan umbut pisang karuk sekiranya lumpuh akibat terkena badi rusa hingga tidak bergerak seluruh badan. Perkara badi rusa bukan takat tubuh rusa yang ditembak bertukar menjadi Cina tua, kadangkala tiba-tiba saja lumpuh seluruh badan macam Manap Pekak.
Tiada siapa menduga Manap Pekak boleh bangun berjalan semula setelah ditimpa lumpuh balik dari berburu di hutan.  Dia tergamang melihat rusa yang ditembak oleh Pak Tua Mahat bertukar menjadi Cina tua berpakaian serba hitam.
Tetapi dia tahu kemahiran Pak Tua Mahat bila berburu di hutan.  Sebaik sahaja rusa yang ditembak bertukar menjadi Cina tua tergolek berlumuran darah, tidak bertangguh Pak Tua Mahat memangkah anak-anak kayu di kerat panjang sehasta.  Kemudian dicancang empat penjuru mengepung tubuh Cina tua yang mengerang-erang kesakitan.
Lantas sahaja Pak Tua Mahat menyembelihnya tidak peduli apa.  Selepas itu Pak Tua Mahat memangkas daun anak-anak kayu itu dicekak lantas di kibas-kibas ke tubuh Cina tua yang mula menendang-nedang angin. Lama kelamaan tubuh itu akan bertukar menjadi rusa semula dengan bulunya menegang tegak.
Seram sejuk Manap Pekak melihat kejadian tersebut seolah-olah menjelma dalam mimpi sahaja.  Perkara badi rusa itu sudah kerap kali diberi tahu oleh Pak Tua Mahat supaya dia tidak terkejut sangat menghadapi ujian demikian.
Tahu sangat Manap Pekak bukan semua rusa di hutan berbadi sampai boleh mengancam nyawa.  Sekali sekala tersesat juga rusa jadi-jadian yang memang dikawal puaka hutan.  Tetapi Pak Tuan Mahat tidak peduli rusa apa pun termasuk perangkap dia akan tembak tidak bertangguh.
Masakan rusa jadi-jadian boleh pengapakan dia apabila Pak Tua Mahat ungkit mengenai asal usulnya dari orang berpekung leher.  Sejak turun temurun Pak Tua Mahat diingatkan mengenai kejadian lelaki mengidap tokak di lehernya.
Akibat tokak yang merebak tidak mahu sembuh itu dia mengurungkan diri di rumah sahaja.  Malu sangat dia mahu menemui orang-orang kampung sama ada untuk berubat atau bertanyakan punca penyakitnya.  Sepanjang hari dia duduk di biliknya sahaja melihat tokak di lehernya melalui cermin. Setiap kali dilihatnya tokak itu semakin membesar hingga merebak sampai ke dada.
Terpaksa emaknya pupukkan dengan daun-daun kayu yang dupupuk ke leher itu dilekangkan nescaya tokaknya akan kelihatan merah menampakkan daging yang luka.
Disebabkan tidak tertahan dengan penyakit tokak itu, dia tidak mahu lagi melihat tokaknya melalui cermin lagi.  Dia duduk berkurung di dalam biliknya dengan tidak mahu melihat cahaya matahari.  Sekali sekala apabila mahu mengetahui keadaan tokaknya dia akan meraba-raba sahaja.
Sekiranya tokak itu lembap kerana nanah, segera dilapnya dengan kain  buruk.  Disebabkan lama sangat dia berkurung di dalam bilik tidak disedarinya di celah-celah dinding dan lantai sudah bersarang pijat-pijat.  Sewaktu dia tidur pada sebelah malamnya pijat-pijat itu telah menghurung tokaknya hingga penuh di bahagian leher hingga ke dada.
Apabila dia terkejut tengah malam dirabanya tokak itu terasa kulitnya licin akibat pijat-pijat penuh tertonggeng di situ.  Di urutnya dari atas ke bawah sudah tidak terasa lagi tokak bernanah itu hanya kulit pijat-pijat itu saja licin.
“Mak, tokak aku dah sembuh,” beri tahu lelaki itu dari balik dinding  bilinya dengan perasaan gembira.
“Mana kamu tahu?” ujar emaknya di dalam gelap malam yang tidak dipasang api pelita itu.
“Aku rasa dah licin kulit aku ni, tak bernanah lagi,” jelasnya semakin gembira.
“Kamu rasa macam mana?” emaknya tidak berapa percaya dengan penjelasan anaknya. Masakan tokak yang sudah merebak itu boleh sembuh dengan tidak diubati.
“Aku urut dari atas ke bawah, kulitnya dah keras,” dia tatap yakin bahawa tokaknya sudah sembuh betul.
“Cuba kamu urut dari bawah ke atas pula,” lantas emaknya mahu menguji sama ada benar tokak tersebut sudah benar-benar sembuh.
Sebaik sahaja dia mengurut dari bawah keatas menggeletar seluruh tubuhnhya apabila terasa kesat tatkala buntut pijat-pijat yang menangkap di atas tokak itu tertonggeng.  Dalam keadaan geli-geleman dia terkejut terus meluru terjun ke tengah halaman.
Tatkala terjun inilah kakinya tersangkut di tangga menyebabkan dia menjerit kesakitan.  Laung jeritannya bertukar menjadi halus hingga kedengaran kuak kuak saja.  Cepat-cepat pula emaknya memasang lampu pelita mahu menyuluh ke tengah halaman.
Sebelum sempat emaknya menyuluh dia terus berlari kencang ke dalam hutan berhampiran mahu menyembunyikan tokak dilehernya.  Malu sangat dia mahu tunjukkan kepada emaknya setelah mengaku tokaknya sudah sembuh betul.
Berbulan-bulan selepas kehilangan anaknya itu, tiba-tiba emaknya melihat seekor rusa menjilat-jilat garam yang terletak di pelantar dapur. Sebaik terpandang oleh emaknya rusa tersebut di lihatnya bahagian leher hingga ke dadanya berwarna putih.  Jinak sangat rusa itu hingga makan garam di tapak tangannya.
Tahulah emaknya rusa tersebut memang jelmaan anaknya yang hilang melarikan diri setelah terpandang bulu putih di bahagian leher hingga ke dada kesan tokaknya.  Setelah cam mengenai rusa tersebut anaknya, perempuan itu menyuruh rusa itu jauhkan diri ke dalam hutan supaya tidak diburu manusia.
Sebab itu Pak Tua Mahat tidak akan menembak rusa tengah meragut pucuk pisang karuk di hutan.  Kalau rusa meranduk tengah belukar pisang karuk pun dia tidak akan membedek senapangnya. Tetapi apabila kejadian rusa yang ditembak bertukar menjadi Cina tua, Pak Tua Mahat dapat mengagak puaka hutan sengaja mahu mencari geruhnya.
Kalau puaka hutan mahu mencari geruh, dia tidak akan mengalah.  Hama badi itu sama juga macam pijat-pijat yang menghurung tokak hingga tidak dapat dibezakan penyakit tokak yang dihidapi. Dia akan mengusap pijat-pijat itu songsang hingga buntutnya tertonggeng biar tokak di bawahnya tidak dapat dilindungkan.  Tatkala ini nescaya rusa itu akan melaung hingga puaka hutan itu tidak dapat menyembunyikannya lagi.
Tetapi Manap Pekak pula yang tergamang menyebabkan dia terlantar demam akibat seram sejuk balik dari berburu bersama Pak Tua Mahat.  Setelah beberpa hari terlantar itulah Manap Pekak bertukar menjadi lumpuh bahagian kaki.  Dia tidak mampu lagi bangun berjejak di lantai, hanya terkejang mengarapkan bantuan isterinya saja.
Sebaik saja diberi tahu pada Pak Tua Mahat dia sudah dapat mengagak memang Manap Pekak diganggu badi rusa.  Tidak bertangguh dia carikan umbut pisang karuk supaya di demah kaki yang lumpuh itu.  Umbut pisang karuk itu digangang ke api sampai terasa panas suam.  Tatkala didemah kaki Manap Pekak dia bayangkan hama badi itu sama macam pijat-pijat menghurung tokak di leher lantas membacakan jampi menteranya:
“Ungguh ungguh anggah anggah datang nenek tongkat besi, terlanda engkau patah terpijak engaku mati, mana kamak mana kamu, kamu ku budang badang, siah kiri siah kanan siahkan ke inderaku, aku tahju asal engkau jadi, darah ular sekati munur asal engkau jadi, terserak ke laut jadi tahi naga, terserak ke darat jadi mambang kuning, inggang inggut di lautan gedang…”
Dua minggu diulangi oleh Pak Tua Mahat lat sehari, lat dua hari, lat tiga hari, lantas sahaja Manap Pekak merasa kakinya boleh dijejakkan semula.  Hampir sebulan juga dia terpaksa berjalan dengan berpaut ke dinding sebelum pulih semula seperti sedia kala.
Sekiranya badi binatang liar di hutan memang Pak Tua Mahat tidak bimbang apa-apa.  Tetapi lumpuh yang dihidapi oleh Tijah Sengih tidak sama dengan yang dideritai oleh Manap Pekak.  Segala petua yang dibuatkan kepada Manap Pekak sudah dicuba untuk memulihkan Tijah Sengih, tetapi semuanya tidak menjadi.  Sebab itu Pak Tua Mahat dapat mengagak tentu lumpuh yang dideritai oleh Tijah Sengih bukan disebabkan jembalang tanah.
Setelah lama dia terkejang lumpuh sengaja saya datang ziarah setelah diberi tahu oleh emak saya.  Lagi pun sekali-sekala balik ke kampung memang saya luangkan juga masa untuk menemui jiran-jiran yang sudah lama tidak bersua.
Tiga hari saya balik ke kampung tidaklah sekadar ziarah Tijah Sengih saja. Sewaktu saya jengah rumah nenek, dia menyuruh saya tunggu juga makan tengah hari.  Terpaksa saya memenuhi kemahuannya kerana nenek mudah sangat tersinggung kalau ke rumahnya tidak menjamah nasi terlebih dahulu.
Sampai dia pernah tidak mahu menemui bapa saudara saya Acik Habil disebabkan balik ke rumah tidak mahu menjamah nasi dulu.  Marah benar nenek saya disebabkan Acik Habil tergocoh-gocoh sangat hingga tidak mahu tunggu makan malam sebelum balik semula ke tempat kerjanya.
Tetapi selepas Acik Habil bekerja memang nenek tidak mahu lagi menjadi bidan.  Kalau tidak didesak sangat mengurut pun dia tetap mengelak.  Hanya kasihankan Tijah Sengih itu saja menyebabkan nenek terpaksa juga mengurut.  Dia sudah berjanji kepada dirinya apabila Acik Habil sudah tamat bersekolah dan bekerja, dia akan berhenti menjadi bidan di kampung.  Banyak sangat perkara yang dialaminya semasa menjadi bidan hingga menginsafi dirinya yang terlalu kerdil di sisi Allah.
Memang nenek tetap ingat kejadian dia terpaksa bersabung nyawa sewaktu selamatkan sepupunya Ngah Som dilarikan bunian.  Kalau tidak tabahkan hati memang dia tidak sanggup mengikut Tok Syeikh yang menjelma selepas membakar kemenyan menyerunya datang.  Bukan mudah apabila menyeru Tok Syeikh menjelma kerana sudah putus iktikadnya dirinya akan musnah kalau tidak memulihkan semula keadaannya ketika.
Mereka sekadar melihat nenek saya terketar-ketar di tengah rumah saja.  Tidak siapa pun tahu ketika ini nenek sudah terjun ke tengah halaman bersama Tok Syeikh meranduk kegelapan malam.  Dia dibawa jauh ke tengah belukar rotan yang padat di tengah hutan hingga tidak boleh menyusup masuk.
Sekiranya Tok Syeikh tinggalkan dia ditengah hutan itu nescaya tubuhnya yang terketar-ketar di tengah rumah itu juga akan terkejang tidak bergerak.  Macam mana baik pun Tok Syeikh bukanlah boleh dipercayai sangat.  Bila-bila saja dia akan memperdayakan diri nenek apabila keadaan terdesak.
Tetapi nenek terpaksa juga menyeru Tok Syeikh berjubah kuning menjelma semata-mata mahu selamatkan sepupunya Ngah Som.  Sebab itu dia perlu bakar kemenyan menyeru Tok Syeikh.  Apabila Tok Syeikh menjelma dia akan melayang mengikut ke mana saja hingga dapat menjejaki Ngah Som yang dilarikan bunian semasa mencari kayu api di pinggir hutan.
Dia dapat menyusup masuk ke tengah belukar rotan padat jauh di hutan melihat Ngah Som terbaring di bawah akar rotan yang berselirat.  Kalau berdasarkan akal fikiran manusia biasa masakan Ngah Som boleh menyusup ke situ yang hanya boleh dilalui tikus mondok sahaja.  Malah nenek juga tidak akan dapat menyusup kalau sekadar harapkan tenaganya sendiri mahu mencari dimana-mana.
Memang siapa pun tidak tahu apakah dia menyeru Tok Syeikh berjubah kuning, seluruh tubuhnya berputar ligat laksana gasing tengah naik uri.  Terasa kepala seolah-olah tercabut dari tubuh akibat putaran tubuh yang kuat.
Apabila dia membuka mata seluruh tubuh menjadi letih di samping sengal-sengal seluruh badan.  Kalau tidak terpaksa memang nenek tidak akan sanggup menyeru Tok Syeikh datang menjelma di sisinya.  Kadangkala sampai seminggu kepalanya masih berterusan pening hingga terloya mahu muntah apabila keadaan badan yang berputar ligat itu masih terngiang-ngiang dalam ingatan.
Setelah nenek saya mula sedar daripada terketar-ketar lantas saja dia mengajak jiran-jiran mencari Ngah Som.  Dia terpaksa camkan kawasan yang dibawa oleh Tok Syeikh semasa dia terketar-ketar bagaikan tidak sedarkan diri.  Dalam keadaan biasa memang Tok Syeikh tidak akan menjelma di depannya memberikan panduan.
Segala apa yang dilihat oleh nenek sewaktu dia dibawa oleh Tok Syeikh memang sama keadaannya sekali pun dia sekadar melihat dalam keadaan berbalam-balam.  Rimbunan belukar rotan padat juga ditemui, tetapi mereka tidak dapat merangkak masuk sekali pun sudah tersuluh tubuh Ngah Som terbaring tidak sedarkan diri.
Memang siapa pun hairan kerana tidak ada lorong boleh sampai ke tempat Ngah Som terbaring.  Bagaimana dia boleh menyusup masuk ke situ kalau tidak lorong boleh membolos? Hanya lorong tikus mondok yang mengorek akar-akar rumpun rotan saja kelihatan di sekelilingnya.  Terpaksa jiran-jiran menebang tebas hampir satu jam sebelum dapat keluarkan ngah Som yang di larikan bunian ke celah akar rumpun rotan berkenaan.
Sebab itulah nenek saya mengambil keputusan nekad berhenti berbidan setelah Acik Habil sudah bekerja.  Macam mana didesak pun dia tidak akan membidankan sesiapa pun, kecuali memberikan tunjuk ajar sahaja kepada bidan yang memerlukan nasihatnya.
Tijah Sengih merasakan dirinya juga bernasib baik apabila nenek saya mahu mengurut kakinya yang lumpuh itu.  Terpaksa Pak Tua Mahat sendiri merayu setelah didesak oleh Ludin Tepek, barulah nenek mahu mengalah.  Itupun dengan bersyarat supaya dia tidak di bayar apa-apa upah kalau mahu kenang khidmatnya mengurut berturut-turut hari.
Bukan takat wang upah sahaja nenek membantah, meneguk air sejuk pun dia tidak mahu.  Dia tidak akan menjamah apa-apa ketika membantu mengurut Tijah Sengih.
“Angah dah tengok Tijah Sengih tu?’ nenek saya menhulurkan buah rambai sementara menunggu gulai masak di atas dapur.  Sengaja nenek gulaikan ikan sepat kering dengan nenas muda masak lemak kuning apabila saya jejak kaki di rumahnya.  Bersusah payah dia meranduk belukar di belakang rumahnya mencari nenas hutan tengah berputik.
Memang nenas hutan tengah berputih muda lebih sedap di gulai kalau bandingkan nenas yang subur ditanam.  Nenas tumbuh meliar di tengah belukar siapa pun tidak akan tunggu masak kerana masam tidak berselera.  Hanya burung merbah saja hinggap memagut sampai berlubang sekiranya nenas tumbuh meliar itu masak di tangkai.
“Dah tengok juga, tapi entahlah,” jelas saya disebabkan keadaan lumpuh Tijah Sengih itu sudah terlalu lama.
“Agaknya diganggu jembalang tanah tu,” tuduh nenek bersiap-siap untuk sediakan hidangan.
Saya sendiri tidak dapat mengagak apa-apa, kerana semasa saya doakan terasa pada tangan saya seolah-olah benda bulat seperti buah nenas berkulit kesat.  Tidak pula kelihatan apa-apa, tetapi memang terasa tangan saya bagaikan memegang buah nenas hutan yang tumbuh meliar di tengah belukar.
Sebaik sahaja saya bersiap siap untuk makan tengah hari di rumah nenek, tiba-tiba sahaja Ludin Tepek memberi salam dari tengah halaman.  Cepat-cepat nenek mempelawanya naik supaya sama-sama menjamah nasi terhidang.
“Saya dah ke rumah orang tua ustaz,” beritahu Ludin Tepek apabila duduk bersila rapat di depan saya.  “Emak ustaz kata ustaz ke mari,” jelasnya mengaku sengaja menari saya ke situ.
Sewaktu menyuap nasi Ludin Tepek beri tahu mengenai kaki isterinya sudah boleh di gerakkan sedikit.  Sebab itu dia meminta saya datang juga mengulangi jengah Tijah Sengih.  Berharap sangat dia supaya saya datang juga ulangi doa biar sembuh semula kaki isterinya.
Apabila saya datang jejak ke rumahnya Tijah Sengih melirik senyum membayangkan kegembiraan hatinya.  Berulang kali dia memberi tahu saya mengenai kakinya sudah boleh digerakkan sedikit sekalipun belum dapat di angkat kuat.
Sebelah malamnya Tijah Sengih mengakui dia bermimpi kakinya dibelit ular hingga tidak boleh digerakkan.  Dia melihat sendiri saya menyentap ular yang membelit kakinya hingga berkecai-kecai lumat kena ramas.  Apabila dia terjaga tengah malam, Tijah Sengih cuba mengerakkan kakinya sampai boleh diangkat sedikit.
Lantas saja dia kejutkan suaminya memberi tahu mengenai kakinya sudah boleh digerak-gerakkan perlahan.  Memang terkejut Ludin Tepek bercampur gembira dengan perubahan isterinya itu.  Tidak bertangguh dia tunaikan solat sunat syukur tatkala kokok ayam memanjang di tengah kesepian malam itu.
Memang saya ulangi doa yang dilakukan semasa mula-mula saya jengah Tijah Sengih itu, kemudian saya teruskan dengan membaca:
Wamabikum min-nikmatin faminallaahhi thuma iza-massakumudh dhurru fa-ilaihi taj-arun.
Selepas itu lama juga saya tidak balik ke kampong, tetapi saya diberi tahu oleh ayah saya mengenai Ludin Tepek dan Tijah Sengih berkirim salam.  Dia percaya disebabkan saya kaki isterinya sembuh.  Tetapi saya sendiri tidak tahu kerana nenek saya juga jenuh urutkan, Pak Tua Mahat juga demahkan dengan umbut pisang karuk, ayah saya juga tuamkan dengan halia ditumbuk dan Usu Midun juga berikhtiar mengubati.
“Mak kirim salam dengan ustaz,” beri tahu Surip mengenai emaknya mengakui terhutang budi sangat dengan saya.  Tergegun saya dengan sikap Tijah Sengih itu kerana tidak sepatutnya dia menganggap demikian!.

SELESAi

No comments:

Post a Comment