Saturday, June 18, 2016

181. JARUM TERCACAK DI PELUPUK MATA



SEBELUM diajak oleh Pak Dawin ke Silungkang melihat kerja tangan tenun kain di situ, memang saya pernah juga singgah di Pandai Sikek bersama Mamak Bandaro. Perkampungan Pandai Sikek yang terletak di lereng Singgalang itu terpaksa melalui jalan sempit jauh ke dalam, di sekelilingnya sawah padi tengah menghijau.



Di Pandai Sikek juga kerja tangan tenun kain masih diteruskan oleh penduduk-penduduknya dengan tenunan kain songket yang halus. Tatkala Mamak Bandaro bertanyakan kepada pengusahanya Pak Munsa mengenai kepandaian tenun kain songket itu, dia mengakui kepandaian tersebut diperolehi sejak turun temurun.



Siapa sahaja mahu belajar tenun kain yang diturunkan oleh Pak Munsa akan dikenakan pengeras seperti mempelajari amalan kebatinan juga. Mereka yang belajar tenun kain dari Pak Munsa dikehendaki siapkan ayam seekor, jarum sepucuk, benang sebuku, bunga tujuh jenis dan wang lima puluh ribu rupiah.



Sekalipun Pak Munsa membuka kelas mengajar tenun kain di Kayu Tanam, dia tetap kenakan pengeras juga selepas mereka yang belajar di situ menamatkan pelajarannya. Perkara pengeras tidak sama dengan upah yang diberi kepada mereka yang sudah tamat belajar di tempat Pak Munsa usahakan tenun kain songketnya.



"Itu syarat orang mahu belajar, Pak Bandaro," jelas Pak Munsa memberitahu Mamak Bandaro mengenai pengeras belajar tenun kain hampir sama dengan mereka yang menuntut amalan kebatinan.



Tetapi mereka yang menuntut amalan kebatinan diingatkan padah akan menimpa diri sekiranya tidak dibayar pengeras yang ditetapkan. Lainlah dengan Pak Munsa yang tetapkan syarat itu hanya sebagai aturan sejak turun temurun. Dia diingatkan oleh arwah ayahnya syarat dikenakan pengeras itu bagi mengelakkan rabun mata semasa ilmu tenun kain itu diturunkan.



Pak Munsa juga tidak percaya sangat sekiranya mereka tidak membayar pengeras akan menerima padah rabun mata sepanjang hayat. Sama ada mereka yang belajar tenun kain membayar pengeras atau tidak memang Pak Munsa tidak pedulikan sangat. Asal sahaja kepandaiannya dapat diturunkan kepada anak-anak muda sudah memadai.



Tentu kepandaian tenun kain itu akan pupus sekiranya anak-anak muda tidak mahu belajar. Bagaimana dengan masa depan tenun kain itu apabila anak-anak muda tidak pedulikan lagi kerana alat tenunan mesin lebih mampu mengeluarkan kain dengan banyak dan cepat.



Apa sangat dengan tenun songket hingga sebulan baru dapat disiapkan sehelai, sekali pun corak bunganya rapat. Kalau dijual sehelai songket pun berapa ribu rupiah harganya kalau bandingkan dengan masa yang lama untuk menyiapkannya? Bukan semua orang mampu membeli sehelai songket sampai tiga ratus ribu rupiah.



Tetapi pengeras yang dikenakan oleh Pak Munsa bukanlah menjadi penting sangat kalau mereka yang belajar tidak mampu. Dia sekadar mahukan kerja tangan tenun kain songket yang diwarisinya sejak turun temurun itu dapat diteruskan oleh anak-anak muda. Bagaimanapun mereka yang belajar dari Pak Munsa tidah pernah mungkir untuk membayar pengerasnya.



"Macam mana fikir Pak Ustaz dengan pengeras?" tersengih-sengih Pak Dawin mengerling saya.



"Emmm, pengeras tu samalah macam budi bahasa aje," sahut saya perlahan.



Memang pengeras yang ditetapkan itu hanya sebagai budi bahasa sahaja bukanlah menjadi sebab boleh mendatangkan padah. Apabila kenangkan kejadian yang menimpa Haji Banin di Pelangai tatkala mengidap sakit mata berterusan, memang saya tahu sangat kenapa pengeras itu dituntut sangat oleh dukun yang mengubatinya.



Seisi kampung memang tahu mengenai sikap Haji Banin yang kedekut kalau sebut mengenai perkara duit. Dia tetap akan berkira sekiranya dituntut apa pun harga barang yang dibelinya. Sebab itulah apabila dia mengidap sakit mata hingga merah pelupuknya, sukar sangat dia mahu ke hospital yang jauh.



Tentu banyak menggunakan wang tambang atau makan minum, kalau semata-mata ke hospital. Sehari suntuk akan habiskan masa dengan tidak dapat turun ke kebun. Haji Banin ambil keputusan tidak mahu ke hospital kerana boleh minta jampi serapahkan pada Nenek Ibun sahaja.



"Sakit mata ni lebih baik ke hospital," jelas Nenek Ibun ingatkan dia supaya ke hospital sahaja yang jaraknya lebih 30 batu dari kampung. Ketika itu memang tidak ada klinik di kampung-kampung kerana masa perintah orang putih mereka terpaksa ke hospital hingga menumpang di rumah sanak saudara sekiranya bermalam.



"Hah, hospital tu jauh," beritahu Haji Banin berkeras meminta Nenek Ibun jampikan sahaja.



"Ubat kampung kena pengeras, Haji Banin," Nenek Ibun menjelaskan mengenai pengubatan yang memerlukan jampi serapah. Tatkala diturunkan ilmu pengubatan tertentu memang Nenek Ibun terpaksa  membayar pengeras kepada gurunya gula segenggam, garam sesudu, pisau sebilah, ayam seekor dan duit 75 sen.



Sebab itu dia mesti meminta pengeras seperti yang dikenakan oleh gurunya apabila mengubati orang. Pengeras yang dituntut itu samalah macam menghargai guru yang menurunkan ilmu mengubati sakit mata itu. Lainlah kalau dengan Tok Aji cukup sekadar memberikan fidyah Fatihah kepada guru yang  mengajarkan amalan berkenaan.



Tetapi Nenek Ibun berpegang kuat kepada petua yang diturunkan oleh emaknya yang menurunkan jampi serapah mengubati sakit mata itu. Asal siapa sahaja meminta dia ubatkan  sakit mata mestilah membayar pengeras yang ditetapkan. Kalau tidak penyakit sakit mata tersebut akan ditanggungnya pula sampai pelupuk membengkak merah.



Sudah beberapa kali Nenek Ibun mengidap sakit mata hingga merah pelupuk disebabkan mereka tidak membayar pengeras. Mahu dituntut berterus terang memang dia berasa serba salah.  Apa sangat dengan segenggam gula, sesudu garam, bilah pisau, ayam seekor dan duit 75 sen itu hingga terpaksa dituntut macam minta jelaskan hutang bertimbun.



"Ah, pengerasnya berapa sen sangat!" gerutu Haji Banin apabila kenangkan duit sekadar 75 sen sahaja. Bila-bila Haji Banin boleh seluk saku kalau mahu membayar 75 sen sahaja pengeras kepada Nenek Ibun.



Disebabkan Haji Banin bersungguh-sungguh sangat mahu berubat dia bersedia datang ke rumah Nenek Ibun sebelum orang tua itu membasuh muka. Nenek Ibun menyuruh dia duduk di anak tangga dengan meletakkan cupak di atas kepala Haji Banin. Setelah diletakkan tiga butir beras di atas cupak berkenaan Nenek Ibun memotong beras berkenaan di atas cupak yang diletakkan di kepala Haji Banin.



Sewaktu memotong beras tiga butir itu Nenek lbun membacakan jampinya:



Tebu jentang tebu jenting, tetap mari condong melompat tiga penjuru, melompat engkau ke batu putih kain putih baju kau putih, melompat engkau ke batu hitam kain hitam baju kau hitam, melompat engkau ke batu merah kain merah baju kau merah, aku menangkal ketegur hujan panas, hu...



Habis sahaja tiga kali Nenek Ibun bacakan jampinya dengan memotong tiga butir beras itu, dia menyuruh Haji Banin balik ke rumah dengan tidak menoleh ke belakang lagi. Tiga hari selepas itu Haji Banin merasakan sakit matanya sembuh sampai merah di pelupuknya hilang serta merta.



Setelah penyakitnya sembuh Haji Banin merasakan tidak penting lagi membayar pengeras. Kalau Nenek Ibun datang ke rumah memintanya dia boleh berikan sahaja gula dan garam di dapur. Pisau juga Haji Banin boleh serahkan pisau menyiang sayur isterinya yang terselit di celah dinding. Semua barang-barang yang ditetapkan itu memang disediakan bila-bila masa pun.



Apa lagi duit 75 sen tidak menjadi masalah sangat pada Haji Banin. Lebih daripada 75 sen pun dia boleh berikan pada Nenek Ibun. Tetapi Nenek Ibun tidak pernah datang menjengah muka setelah sakit mata Haji Banin sembuh betul. Dia sendiri tidak akan jejak kaki ke rumah Haji Banin macam meminta sedekah kalau takat mahu menuntut bayaran pengeras.



Perkara bayar pengeras bukannya hutang yang mesti dituntut, tetapi Haji Banin mesti tahu tanggungjawab sendiri. Selepas berubat kenalah bayar pengeras yang dikenakan. Kalau menemui doktor atau senseh pun mesti membayar harga ubat yang ditetapkan di klinik. Lainlah apabila ke hospital memang masa orang putih mereka tidak kenakan apa-apa bayaran pun kerana orang-orang kampung enggan berubat ke hospital.



Setelah lebih sebulan Haji Banin sembuh daripada sakit mata, tiba-tiba dia terasa mata-nya bagaikan disimbah dengan pasir sewaktu bangun tidur sebelah petang. Habis sahaja makan tengah hari dan solat zohor, Haji Banin berbaring dulu sementara menunggu masuk asar. Ketika bangun itulah dia terasa matanya seolah-olah dimasuki pasir. Semakin dia gosok pelupuknya semakin pedih biji mata bagaikan dituris pisau.



Terjerit-jerit Haji Banin kesakitan akibat matanya sudah tidak boleh diangkat pelupuk. Apabila isterinya Saenah mahu membantu dia terkejut kerana pelupuk mata Haji Banin membengkak. Saat ini dia menyedari pengeras berubat dengan Nenek Ibun tidak dibayar!



Tatkala Saenah menemui Nenek Ibun harapkan dia dapat membantu orang tua itu sekadar menggeleng-geleng kepala sahaja. Sekalipun Haji Banin sanggup membayar berapa sahaja pengeras yang dituntut, Nenek Ibun mengakui dia tidak dapat membantu setelah Haji Banin cabuh pantang!



Perkara cabuh pantang tidak sama dengan harga pengeras yang dituntut. Sebab itu Nenek Ibun teragak-agak mahu mengubati sesiapa pun kerana bimbang mereka terlupa membayar pengeras. Sekiranya pengeras tidak dibayar padahnya akan menimpa bila-bila masa hingga Nenek Ibun sendiri tidak mampu untuk mengubati.



Disebabkan saya lama duduk di rumah Aki Sahak semasa di Pelangai, memang saya dengar juga mengenai Haji Banin yang mengidap sakit mata berlanjutan. Anaknya Manan sudah nekad mahu bawa ke hospital sekalipun terpaksa dibedah, tetapi Haji Banin berkeras tidak mahu berubat ke hospital.



"Kalau sakit mata biasa, itikkan embun pun boleh!" ujar Haji Banin membantah tidak mahu dibawa ke hospital. Tahu sangat dia sekiranya sakit mata biasa, titikkan air embun di daun pun boleh sembuh serta merta. Kalau dibawa ke hospital pun sekadar titikkan air ubat di mata biar selaputnya dicuci bersih. Sama juga macam air embun yang berkumpul di daun setiap pagi boleh dibuat ubat selagi tidak dicemari oleh debu.



"Takkan ayah nak tanggung sakit macam ni!" desak Manan mahukan ayahnya dibawa juga berubat ke hospital.



"Kalau Nenek Ibun tak boleh, kita cuba pula dengan Aki Sahak," segera Saenah mencelah. Manalah tahu sakit mata Haji Banin bencana gangguan syaitan, tentu boleh harapkan Aki Sahak juga. Lainlah kalau sakit mata biasa memang Nenek Ibun satu-satunya yang boleh ubatkan.



"Hah, Aki Sahak tu bukannya dukun sakit mata," sahut Manan kerana tahu sangat dia masakan Aki Sahak yang boleh diharapkan. Kalau penyakit diganggu pelesit atau polong, memang dia tahu seisi kampung akan mem inta bantuan Aki Sahak.



"Apa-apa hal kita cuba dulu," pujuk emaknya Saenah supaya Manan tidak terburu-buru mahu membawa ayahnya ke hospital.



Sewaktu Aki Sahak dijemput ke rumah Haji Banin, dia mengajak saya ikut sama. Sebaik sahaja naik ke rumah keadaan Haji Banin bagaikan orang hilang akal sampai dia menghantuk-hantuk kepala ke dinding akibat menahan kesakitan yang menusuk-nusuk ke kepala.



Tidak segan-segan Haji Banin memberitahu mengenai cabuh pantang berubat dengan Nenek Ibun disebabkan tidak membayar pengeras. Malu sangat dia sebabkan pengeras tidak berapa sen itu kesakitan  matanya cabuh pantang hingga tidak boleh diubati. Tetapi Haji Banin bukannya tidak mampu sediakan pengeras, dia hanya menyangka perkara mengubati sakit matanya tidak perlu dengan bayar pengeras apa-apa.



Apa sangat kaitannya sakit mata dengan segenggam gula, sesudu garam, sebilah pisau dan seekor ayam? Haji Banin menganggap Nenek Ibun macam mahu perolok-olokkan dirinya sahaja. Apa salahnya Nenek Ibun tetapkan sahaja sampai sepuluh ringgit, biar dia seluk saku terus membayar dengan tidak bertangguh.



Tatkala Aki Sahak melihat keadaan Haji Banin dia tersenyum mengerling ke arah Manan. Memang Manan tidak harapkan apa-apa dari Aki Sahak, memang dia sudah mendesak ayahnya berubat ke hospital sahaja.



"Ayah kamu ni cabuh pantang agaknya, Manan," ujar Aki Sahak mengusap-usap mukanya.



"Semua orang cakap macam tu, Aki," sahut Manan kerana dia memahami seisi kampung menuduh demikian. Tentu Aki Sahak juga sudah dengar mengenai ayahnya cabuh pantang berubat dengan Nenek Ibun. Sebab itu mudah sahaja Aki Sahak menuduh serkap jarang mengenai sakit mata yang dihidapi oleh ayahnya.



Tetapi Aki Sahak memang tidak tahu apa-apa mengenai sakit mata yang ditanggung oleh Haji Banin. Sewaktu dia dijemput oleh Saenah, memang Aki Sahak tidak mendengar mengenai Haji Banin cabuh pantang. Saenah hanya memberitahu suaminya sudah berhari-hari diganggu sakit mata sampai merah pelupuk.



Kalau Aki Sahak tahu sakit mata itu disebabkan cabuh pantang, nescaya dia tidak akan jengah ke rumah. Bimbang juga Aki Sahak sekiranya Nenek Ibun tersinggung apabila dia macam memandai-mandai sahaja mengubati dengan tidak meminta izin terlebih dahulu.



Sudah menjadi amalan Aki Sahak dia tidak akan sanggup mengubati kalau tidak diputuskan pengeras terlebih dulu dengan Nenek Ibun. Sekiranya sudah dibayar pengeras makna-nya Nenek Ibun sudah tidak bertanggungjawab lagi. Tetapi Nenek Ibun masih berhak menentukan pengerasnya selagi sakit Haji Banin tidak sembuh sepenuhnya.



"Biarlah ustaz tengokkan dulu," lantas Aki Sahak mencuit bahu saya setelah menyedari keadaan Haji Banin cabuh pantang akibat tidak membayar pengeras berubat dengan Nenek Ibun.



Haji Banin tidak peduli siapa pun yang akan doakan sama ada saya mahu pun Aki Sahak. Dalam saat demikian dia memerlukan siapa sahaja untuk mengurangkan kesakitan yang ditanggungnya setelah Nenek Ibun tidak sanggup lagi jampikan. Perkara pengeras juga Haji Banin sanggup bayar berapa sahaja dikehendaki asal sahaja penyakit yang berdenyut-denyut sampai ke kepala itu dapat di-pulihkan.



Bukan takat Aki Sahak atau saya yang dijemput Saenah sahaja, malah kalau dipanggil sami dari kuil Hindu pun Haji Banin sanggup menerimanya. Kesakitan matanya bukan takat berdenyut-denyut lagi, tetapi sudah rasa berakar umbi di seluruh kepala.



Setelah Aki Sahak menolak kepada saya, terpaksa saya mengusap-usap pelupuk mata Haji Banin perlahan. Kemudian saya hembus perlahan dengan mem bacakan doa:



Allahhumma mata'anni bibosri waj'alhul warisa minni wa-arini fil-'aduwisyakri wa-ansurani 'ala man-tholamin.



Ketika ini Haji Banin bertambah berkerut dahi menahan kesakitan. Tatkala saya mengusap-usap pelupuk mata itu terasa macam hujung jarum berceranggah di situ. Setiap kali saya bacakan al-Fatihah cepat-cepat saya cabutkan jarum yang berceranggah di situ.



Seolah-olah tujuh batang jarum dapat saya cabut dari pelupuk mata Haji Banin, menyebabkan dia terkinjal-kinjal menahan kesakitan sekalipun tidak terjerit-jerit seperti sebelumnya. Memang malu juga dia mahu terjerit-jerit bagaikan anak-anak keciI merengek. Kalau tidak disebabkan sakitnya berdenyut-denyut memang dia tidak akan terjerit-jerit tidak menentu.



Tiga pagi berturut-turut pula selepas itu Manan membawa ayahnya Haji Banin ke rumah Aki Sahak menemui saya di situ. Semasa saya di Pelangai memang lama saya menumpang di rumah Aki Sahak yang sudah saya anggap macam datuk saya juga. Apa lagi sepupu saya arwah Mat Deh juga bersaudara angkat dengan Aki Sahak sebelum dia melanjutkan pelajaran dulu.



Setiap kali Haji Banin datang jejak kaki ke rumah Aki Sahak sebelum solat subuh, saya ingatkan dia tidak perlu ikut syarat seperti ditetapkan oleh Nenek Ibun. Sekiranya dia datang minta doakan bila-bila masa sahaja boleh dilakukan asal sahaja Haji Banin mempunyai kelapangan masa.



Setelah berturut-turut tiga pagi Haji Banin datang, dia mengaku sakit matanya sudah sembuh betul. Sebab itu dia datang menemui saya mendesak beritahu mengenai pengeras yang perlu dibayar, asal sahaja penyakit matanya tidak cabuh pantang.



"Cakaplah Aki, berapa pengeras yang ustaz minta?" desak Haji Banin harapkan Aki Sahak menjelaskan setelah saya tidak mahu memberitahu apa-apa.



"Kenapa awak tak tanya pada ustaz?" tersengih-sengih Aki Sahak dengan kebimbangan Haji Banin.



"Ustaz tu mana dia mahu cakap," ujarnya serba salah apa-bila Aki Sahak juga tidak mahu menerangkan apa-apa. Bimbang benar dia kalau sakit matanya akan berulang balik sekiranya tidak dibayar wang pengeras.



"Kalau dia tak cakap, maknanya tak ada pengeras," sahut Aki Sahak ingatkan Haji Banin cara pengubatan saya tidak sama dengan Nenek Ibun.



"Aki tolonglah tanyakan pada ustaz," Haji Banin masih tidak berputus asa terus mendesak setelah menyedari pengeras yang tidak dibayar kepada Nenek Ibun membawa padah kepadanya.



Apabila diberitahu oleh Aki Sahak mengenai desakan Haji Banin itu, saya sekadar tersengih-sengih sahaja. Tidak pernah pun saya diajar oleh Tok Aji mengenai pengeras setelah diminta doakan orang. Tok Aji ingatkan doa itu hanya sebagai ikhtiar sahaja, ketentuan menyembuhkan penyakit hanya hak Allah Subhanahu Wata'ala.



Setelah Haji Banin sendiri meminta saya nyatakan jumlah pengeras yang diperlukan memang saya serba salah juga. Haji Banin sanggup hulurkan nampai seratus ringgit sekiranya saya masih juga berdegil tidak mahu menerangkan jumlah pengeras. Disebabkan dia bersungguh-sungguh sangat mahu membayar pengerasnya lantas saya menyuruh dia sedekahkan sahaja pisang di masjid pada hari Jumaat.



Sebab itu apakala Pak Munsa sebut mengenai pengeras menurunkan ilmu tenun kain itu saya tetap ingatkan kejadian yang menimpa Haji Banin bertahun-tahun dulu. Takut benar dia kalau padah menimpa dirinya sekira-nya pengeras itu tidak dibayar.



Tetapi saya tahu Haji Banin memang berkira sangat kalau fasal wang hingga dia sengaja tidak mahu membayar pengeras yang ditetapkan oleh Nenek Ibun. Apa sangat yang perlu dibayar kalau takat sediakan tiga butir beras dikeret di atas cupak! Takat jampi serapah sahaja tentu Nenek Ibun tidak keluar modal apa-apa. Kenapa mesti dituntut pengeras sampai sediakan gula segenggam, garam sesudu, pisau sebilah, ayam seekor dan duit 75 sen?



Tatkala saya menemui Nenek Ibun, merungut sangat dia dengan sikap Haji Banin yang kedekut. Bimbang juga dia dengan syarat semasa emaknya turunkan ilmu mengubati mata itu akan menimpa diri sendiri kalau pengeras tidak dibayar. Sebab itu dia terpaksa sediakan tiga biji limau ditusuk dengan tujuh batang jarum biar padah tidak menimpa dirinya.



Tujuh batang jarum itu ditusuk pada dua biji limau, manakala sebiji lagi dituris dengan pisau nipis tujuh kali. Kemudian Nenek Ibun lantas jampikan:



Batang penak batang badam, batang buruk guling babi, datang senak datang tajam, datang tawar tak jadi lagi, tajam hawar yang aku tawar, tajam rasuk yang aku tawar, hu....



Memang Nenek Ibun tidak berniat mahu menganiaya Haji Banin. Dia sekadar pertahankan diri sahaja seperti syarat yang ditetapkan oleh emaknya semasa amalan tersebut diturunkan kepadanya. Sudah diberitahu oleh arwah emaknya kalau orang yang diubati tidak membayar pengeras, dia mesti tusukkan tujuh batang jarum pada dua biji limau.



Kalau dia tidak lakukan nescaya penyakit mata tersebut akan menimpa dirinya pula. Sebab itu dia anggap biji limau yang ditusuk jarum berkenaan disamakan dengan dua biji mata yang akan mengganggu. Sebiji lagi limau dituris dengan pisau nipis supaya dirinya terlindung dari hawar penyakit mata yang boleh memusnahkan dirinya.



Tidak tahu pula Nenek Ibun amalan tersebut menyebabkan penyakit mata Haji Banin berbalik semula. Hanya selepas kejadian tersebut Haji Banin tidak lagi kedekut sangat kalau mahu berbelanja. Setelah dia bawakan setandan pisang emas dan setandan pisang rastali ke masjid tiga kali Jumaat berturut-turut, Haji Banin tidak pernah mengelak kalau diminta derma ke masjid atau surau.



"Kalau di sini, kita tak panggil pengeras," Pak Dawin memberitahu mengenai penjelasan Pak Munsa yang mahu turunkan ilmu tenun kain. "Di sini kita panggil upah rabun mata," dia menambah dalam ketawa memanjang.



Tetapi bukan Pak Munsa di Pandai Sikek sahaja yang sebut mengenai upah rabun mata semasa turunkan kepandaian tenun kain kepada mereka yang mahu mempelajarinya. Sebab itu tatkala diberitahu oleh Pak Aseh di Silungkang mengenai upah rabun mata itu, saya sudah memahami maksudnya samalah seperti pengeras juga.



Pak Aseh beritahu Pak Dawin mengenai sirih tujuh kapur, bunga tujuh jenis, ayam hidup seekor dengan duit lima puluh ribu rupiah. Memang Pak Dawin sudah terniat mahu kembangkan tenun kain seperti yang diamalkan di Silungkang. Sekalipun perkara tenun kain itu tidak penting sangat pada. Pak Dawin, namun saya mengajaknya ke Silungkang semata-mata mahu mencari Simuncak yang pernah menetap di Solok sebelum itu.



Kalau tidak diberitahu oleh Pak Dawin mengenai kejadian di perkebunan cengkih itu, saya juga sudah mendengarnya dari Aminin. Beberapa kali bertemu dengan Aminin di pondok dekat Bukittinggi, dia terkilan mengenai bapa :saudaranya Simuncak yang hilang tidak mendapat khabar berita.



Selepas tersinggung dengan sikap sanak saudara di kampung dia membawa diri ke Solok hingga bekerja di perkebunan cengkih. Tetapi hatinya tidak juga aman setelah dituduh oleh tuan tanah menjadi seperti beruk. Ketika meninggalkan Solok memang dia memberitahu Pak Dawin mahu ke Silungkang menjadi penenun kain.



Satu-satunya yang boleh dianggap tahu ke mana Simuncak menghilangkan diri tentunya Pak Dawin. Memang Aminin tidak tahu mengenai Pak Dawin, tetapi dia seringkali diberitahu tentang hubungan baik Simuncak dengannya semasa di Solok.



Tatkala saya mengenali Pak Dawin yang sudah menjadi pengusaha, lama juga dia termenung apakala disebut kawan lamanya Simuncak. Sebab itu apabila saya mengajaknya ke Silungkang Iantas sahaja Pak Dawin bersetuju. Memang dia juga teringin mahu menemui kawan lamanya itu.



"Silungkang bukannya besar sangat, saya tak fikir dia di sana," ujar Pak Dawin tatkala kereta membelok dari pekan Solok menuju ke Silungkang.



"Selama ni Pak Dawin tak cuba mencarinya?" saya menuturkan perlahan apabila ingatkan Aminin yakin bapa saudaranya itu menetap di Silungkang.



"Saya sudah mencarinya sejak dulu, tapi dia tak ada di sana," jelasnya mengakui sudah beberapa kali ke Silungkang. Apa lagi setelah usahakan tenun kain Pak Dawin semakin kerap berulang alik ke Silungkang mencari mereka yang mahir bertenun.



Tetapi anak-anak muda sudah tidak peduli lagi mengenai tenun kain di Silungkang. Mereka yang bertahan cuma kalangan orang tua yang membuat kerja sambilan sahaja. Apa lagi di Silungkang juga sudah didirikan kilang tenun kain yang lebih cepat gunakan mesin. Tentu tenun kain dengan tangan sudah ketinggalan masa kalau bandingkan dengan mesin tenun di kilang.



Sebab itu Pak Dawin pertahankan juga tenun kain cara tangan yang masih digemari oleh mereka yang datang dari luar Silungkang. Memang kedatangan dia ke Silungkang tidak sama dengan kedatangan saya ke situ. Apabila Pak Dawin memberitahu dia datang dari Pangkalan berhampiran Muara Takus, sejak mula-mula bertemu saya dapat rasakan dia tahu mengenai Simuncak kawannya itu.



"Bersungguh-sungguh sangat Pak Ustaz mahu ketemu Pak Simuncak!" Pak Dawin mengajak berhenti makan di Singkarak selepas balik dari Silungkang.



"Saya yakin Pak Simuncak bukan orang Silungkang," tutur saya disebabkan tidak menemui dia di sana. Sekiranya kampung halamannya di Silungkang tentu orang-orang di Silungkang masih cam lagi mengenai Simuncak.



"Tak tentulah, tapi dia beritahu saya asalnya dari sana," sahut Pak Dawin setelah kecewa tidak dapat menemui kawannya sejak berpisah di perkebunan cengkih di Solok.



"Sebetulnya Aminin yang mahu menemui dia," lantas saya beritahu mengenai Aminin di pondok Bukittinggi. Sudah beberapa kali saya ke sana, Aminin yang mengajar di situ sebut mengenai bapa saudaranya Simuncak yang tersinggung dengan perubatan tuan tanah di perkebunan cengkih. Aminin juga tahu mengenai cerita yang tuan tanah itu terkenan dengan beruk hingga sikapnya berubah menjadi seperti seekor beruk.



"Aminin tu di mana sekarang?" Pak Dawin semakin berminat mahu mengetahui tentang Aminin di Bukittinggi. "Dia mengajar di pondok," jelas saya sebaik sahaja duduk di gerai makan tepi danau Singkarak. "Aminin tu keponakan saya, dia asal dari Kapur Sembilan," saya menambah kerana Aminin memang anak cucu saudara Tok Aji sewaktu dia menetap di Kapur Sembilan dulu.



Terangguk-angguk Pak Dawin apabila kenang Kapur Sembilan. Bukanlah jauh sangat dari kampungnya di Pangkalan berdekatan dengan Muara Takus. Perkara perkampungannya terletak di propinsi berlainan dengan tanah Minang tidak penting sangat, kerana di masa lalu semuanya termasuk dalam tanah Minang juga.



Sewaktu mahu menjamah nasi yang dihidangkan saya melihat keadaan nasi berkenaan seolah-olah sudah basi. Tetapi Pak Dawin terus juga menyenduk nasi ke pinggan dengan tidak hiraukan sama ada basi atau pun tidak. Kemudian dia mencedok gulai ikan masak lemak kuning, hingga saya melihat ulat berenga di situ.



Teringin juga saya mahu memberitahu Pak Dawin mengenai makanan yang dihidangkan, tetapi dia sudah menyuap nasi ke mulut. Berselera sangat dia menyuap nasi hingga tidak peduli hidangan tersebut. Tatkala saya mahu menyudu gulai ayam tiba-tiba sahaja segumpal rambut penuh di dalam piring.



Tergamam saya dengan keadaan tersebut. Apa lagi sewaktu mahu mencapai rebus pucuk ubi di dalamnya dipenuhi semut bersarang dengan telur memutih laksana beras. Disebabkan selera saya langsung tidak bernafsu mahu menjamah makanan, segera saya bisikkan kejadian itu kepada Pak Dawin.



Tercengang Pak Dawin apabila saya beritahu mengenai gulai ikan yang dimakannya sudah diganggu ulat berenga. Dia tidak melihat apa-apa perubahan pada hidangan tersebut. Malah nasi yang disuapnya tidak basi pun seperti yang saya jangkakan.



Selepas saya memberitahu demikian barulah Pak Dawin terjeluih hingga tidak berselera mahu meneruskan makan. Ketika ini dia juga melihat gumpalan rambut dalam piring gulai ayam di atas meja. Rebus pucuk ubi juga dipenuhi semut bersarang di situ. Tidak bertangguh Pak Dawin memanggil peniaga gerai makan lantas memarahinya disebabkan hidangan yang sudah tidak boleh dijamah lagi.



Terkejut benar peniaga gerai makan itu kerana tidak pernah dia berhadapan dengan masalah demikian. Masakan hidangan tersebut sudah basi disebabkan baru sahaja siap dimasak. Tetapi dia terkebil-kebil mata sahaja apabila dimarahi oleh Pak Dawin yang tidak mahu membayar harga makanan itu.



Tetapi saya bisikkan kepada Pak Dawin supaya tidak memarahi peniaga berkenaan. Tentu harga bayaran yang sudah dihidangkan sekalipun basi itu tidak sama dengan bayaran pengeras tatkala menurunkan ilmu tenunan kain. Peniaga gerai makan itu tidak akan sengaja mahu hidangkan nasi yang sudah basi dengan gulai ikan dipenuhi ulat berenga, manakala gulai ayam pula terapung segumpal rambut.



"Tak apalah Pak, tak payah bayar," kesal benar peniaga gerai makan dengan kejadian yang menimpa gerainya. Bimbang juga dia sekiranya hidangan yang lain akan mengalami kejadian yang sama. Tentu dia akan menanggung rugi sepanjang hari sekiranya hidangan yang lain mengalami kejadian yang serupa.



"Ini bukan soal bayar atau tak bayar, tapi saya sudah termakan!" jelas Pak Dawin beberapa kali terjeluih muntah di sink.



"Maaf, Pak," rayu peniaga gerai makan tidak dapat menahan kekecewaan yang berkocak di dalam jiwanya.



Ketika keluar dari gerai makan merungut-rungut Pak Dawin, kerana pada mulanya dia menikmati kelazatan hidangan di gerai makan itu. Setelah saya beritahu keadaan sebenarnya tiba-tiba sahaja nasi yang disuap menjadi masam basi.



Mengeluh panjang dia disebabkan sepanjang perjalanan dari Solok membelok ke Singkarak beberapa kali ditahan orang meminta derma tatkala melintasi masjid. Tetapi Pak Dawin enggan berhenti kerana peminta derma itu seolah-olah mengganggu kenderaan yang melintasi jalan di depan masjid.



Sepanjang perjalanan menuju ke Padang Panjang itu tidak putus-putus Pak Dawin merungut dengan hidangan yang memualkan. Terasa juga perut semakin lapar tetapi tidak berselera untuk berhenti makan di mana-mana. Lagi pun sudah melebihi waktu zohor, memang lapar perut bertambah terasa.



Perlahan-lahan Pak Dawin mengeluh apabila kenang kawan-nya Simuncak meninggalkan kebun cengkih di Solok tidak sempat menjamah makanan. Setelah membungkus pakaian di sebelah malamnya, Simuncak terus sahaja tergesa-gesa turun dengan tidak mahu lagi bertahan. Sedih benar hatinya dipanggil beruk oleh tuan tanah.



Puas dipujuk oleh Pak Dawin supaya menjamah nasi terlebih dahulu, namun hatinya cekal mahu meninggalkan kebun cengkih di Solok. Di tengah kegelapan malam itu Simuncak meneruskan perjalanan tidak tentu hala dituju. Kalau kampung halamannya di Silungkang tentu seisi kampung mengenali dia. Lagi pun Silungkang bukanlah jauh sangat jaraknya dari Solok.



Tetapi Pak Dawin percaya memang Simuncak bukan berasal dari Silungkang. Dia tidak ke Silungkang selepas meninggalkan kebun cengkih. Tentu tidak juga balik ke kampung halamannya setelah tersinggung dengan sikap saudara mara. Sebab itu Pak Dawin juga menuduh Simuncak sudah berpindah ke Semenanjung semenjak orang putih memerintah lagi.



"Saya juga percaya Pak Simuncak bukan orang Silungkang," tutur Pak Dawin semasa turun dari kereta singgah di masjid dalam perjalanan ke Padang Panjang.



Saya mengangguk perlahan. Disebabkan sudah tidak berselera mahu makan lebih baik berhenti sahaja solat di masjid sebelum sampai ke Padang Panjang. Manalah tahu lewat sangat sampai di Padang Panjang sekalipun perjalanannya tidaklah jauh sangat. Kalau di Padang Panjang memang saya tidak bimbang apa-apa sekiranya mahu solat atau berhenti makan di mana-mana.



Kerapkali juga saya berhenti di Padang Panjang bersama Mamak Bandaro sekiranya ke Bukittinggi melalui Lubuk Alung dari Padang. Di Padang Panjang sahaja tempat berhenti makan. Tetapi perjalanan melalui Lubuk Bagalung ke Satinjau Laut itu disebabkan saya mahu mengajak Pak Dawin ke Silungkang terlebih dahulu.



Tatkala selesai solat saya mendengar Pak Dawin masih tidak dapat melupakan kejadian di gerai makan tepi danau Singkarak. Tersenyum sahaja seorang lelaki yang sama solat di masjid tengah sawah berkenaan apabila diberitahu oleh Pak Dawin mengenai kejadian tersebut.



"Sudah kerapkali kejadian seperti tu berlaku, Pak," jelas Kusdi lelaki yang sama solat di masjid berkenaan. Memang dia sudah beberapa kali mendengar kejadian itu berlaku di gerai makan berkenaan.



"Perbuatan sihir ke?" Pak Dawin macam tidak percaya dengan penjelasan Kusdi.



"Entahlah, Pak," sahut Kusdi tersengih-sengih. "Tapi, mereka terlalu kemaruk makan saja, derma pada masjid tak mahu," ujarnya bagaikan mengejek Pak Dawin yang tidak mahu berhenti menderma tatkala ditahan anak-anak muda di depan masjid.



"Tapi yang ruginya, peniaga gerai makan tu!" jelas Pak Dawin apabila kenangkan tentu pelanggan tidak akan masuk lagi ke gerai berkenaan.



"Sudah lama mereka berniaga," lantas sahaja Kusdi menerangkan. "Gerai makan mereka tak pernah tutup," tegasnya seolah-olah menyindir Pak Dawin.



Disebabkan Pak Dawin diganggu loya tekak hingga termuntah-muntah beberapa kali, lantas dia mengajak menemui Pak Malim di seberang jalan. Biasanya mereka yang termuntah-muntah selepas termakan nasi basi di gerai tepi danau Singkarak akan singgah di rumah Pak Malim. Bukat takat loya tekak termuntah-muntah sahaja, mereka yang termuntah darah hingga terbatuk-batuk juga akan menemuinya.



Sebab itu Kusdi tahu sangat mengenai kejadian di gerai makan berkenaan. Mereka yang tidak mahu membayar derma tatkala ditahan melintasi jalan masjid nescaya akan mengalami kejadian demikian sekiranya berhenti makan di situ. Bukan di Singkarak sahaja, malah sampai  ke Padang Panjang juga mereka akan menanggung padah.



Sudah tentulah akan berlapar sepanjang jalan hingga 1 sampai semula ke Bukittinggi  atau ke Padang. Lainlah kalau mereka berhenti solat di masjid kemudiannya menemui Pak Malim di situ, tentu Pak Malim akan pulihkan semula.



Sewaktu sampai di rumah Pak Malim, lantas sahaja dia memeluk Pak Dawin erat-erat. Kemudian Pak Malim memeluk saya. Tahu sangat dia saya bersama Pak Dawin bersungguh-sungguh sangat mahu mencari Pak Simuncak hingga sampai ke Silungkang.



"Akulah Simuncak, Dawin," terharu benar Pak Malim tatkala perkenalkan dirinya disebabkan Pak Dawin sudah tidak cam lagi. Simuncak yang ditemuinya di situ sudah berjanggut dan bertubuh gemuk. Sudah lama dia menetap di situ mengajar mengaji al-Quran kepada anak-anak.







SELESAI