Sunday, October 29, 2017

251. KEPALA TERSANGKUT PADA DINDING

ASAL sahaja nampak kelibat Oyut Tisah seisi kampung mula cemas. Manalah tahu Oyut Tisah akan membalas dendam, setelah seisi kampung usir dia disebabkan sengaja melayani sesiapa sahaja lelaki. Semenjak tinggal janda memang Oyut Tisah sanggup layani sesiapa sahaja sekiranya mereka datang memujuk.
Lama dia menumpang di rumah Bidan Sibah, tidak pernah pun suaminya datang menjengah. Memang Jidut tahu mengenai Oyut Tisah menumpang di rumah Bidan Sibah setelah diusir dari rumah. Masakan Oyut Tisah balik ke kampung halamannya setelah putuskan tunang dengan Mat Labir apabila dipujuk Jidut ikut balik ke kampungnya.
Tetapi Bidan Sibah ingatkan dia supaya tidak memetik bunga bakawali yang tumbuh di penjuru pagar rumahnya, apabila Oyut Tisah seringkali tercium bau harum tatkala tengah malam. Bidan Sibah sekadar beritahu mengenai bunga bakawali berkenaan akan menguntum kembang tatkala tengah malam menjelang hingga diserkup kesepian. Ketika ini bunga berkenaan akan berdentam kuat sebaik sahaja kelopaknya terbuka.
"Janganlah awak takutkan kami, Pawang," bisik Bidan Sibah tatkala menjengah keluar tingkap sebaik sahaja mendengan namanya dipanggil dari tengah halaman. Dia melihat Pawang Kitang tercegat di situ berpakaian serba hitam dengan tidak bercakap apa-apa.
Tatkala Pawang Kitang menjelma dia ingatkan Bidan Sibah mengenai bunga bakawali itu bukan lagi jelmaan dirinya apabila kuntumnya dipetik tangan manusia. Sembilan puteri akan turun mahu memetik bunga berkenaan, tetapi tidak akan memetiknya selagi tidak dipetik tangan manusia.
Pawang Kitang sekadar memberi isyarat sahaja disebabkan dia tidak boleh bertutur apa-apa. Wajah Oyut Tisah akan pulih hingga tidak dimakan usia, asal sahaja sanggup berkahwin sampai sembilan orang suami serentak. Ketika ini sembilan puteri yang mahu memetik bunga bakawali itu akan melayani semua sembilan lelaki yang menjadi suaminya. Oyut Tisah tidak akan pulih selama-lamanya kalau tidak sanggup melakukan ber-kahwin dengan sembilan orang lelaki dalam masa yang sama.
"Sanggupkah kamu buat macam tu, Tisah?" beritahu Bidan Sibah setelah mendapat isyarat jelmaan Pawang Kitang akibat melanggar pantang larang bunga bakawali berkenaan.
"Kalau saya tak buat, tentu saya tak boleh keluar waktu slang hari, kak," keluh Oyut Tisah disebabkan tidak ada pilihan lain mahu memulihkan keadaan wajahnya yang kecut lebam asal sahaja matahari memancar.
Terpaksa pula Bidan Sibah membantunya sampai dia dapat memikat lelaki apabila terserempak waktu malam. Mudah sahaja lelaki berkenaan terpikat kalau menatap wajah Oyut Tisah. Asal sahaja berkahwin hanya malam sahaja lelaki berkenaan dibenarkan bersama dengan Oyut Tisah, kerana pagi sebelum subuh menjelang dia pasti akan menghilangkan diri.
Setelah sembilan lelaki berkahwin dengan Oyut Tisah, masing-masing tidak menyedari telah diperdayakan, barulah wajah Oyut Tisah pulih sekalipun disilau cahaya matahari. Malah wajahnya lebih memikat sesiapa sahaja lelaki yang menatap tatkala terserempak di mana-mana. Memang semua suami Oyut Tisah sekadar melihat setiap malam mereka sentiasa bersama dengan perempuan berkenaan.
Ketika ini Oyut Tisah sekadar mematuhi kemahuan puteri sembilan yang menjelma di depannya. Asal sahaja puteri berkenaan tidak mahukan lelaki yang dipilih menjadi suami nescaya dia akan mencari ganti. Terpaksa Oyut Tisah memikat lelaki lain pula dengan menghalau lelaki yang dipadankan dengan puteri berkenaan. Mudah sangat Oyut Tisah mahu memikat mana sahaja lelaki hanya sekadar tenung sahaja dari jauh.
Tidak lama selepas Lebai Malim meninggal dunia, Oyut Tisah kembali menjelma di dalam kampung. Sengaja dia bina semula rumah di atas tapak peninggalan Bidan Sibah, dengan sembilan orang suaminya sentiasa bersama. Asal sahaja dia jemu dengan salah seorang suaminya, nescaya Oyut Tisah akan halau sahaja tidak bertangguh. Merayu-rayu suaminya minta jangan diusir, tetapi Oyut Tisah tidak peduli apa-apa setelah lelaki lain pula diambil jadi suaminya.
Hinggalah Oyut Tisah berkahwin dengan Andak Bulin, memang terkejut juga Mat Labir. Bagaimana adiknya boleh terpikat dengan Oyut Tisah yang pernah putus tunang dengannya. Apa lagi Andak Bulin masih muda benar apabila terpikat dengan Oyut Tisah yang sentiasa menawan hatinya.
"Kamu jangan terpedaya dengan Tisah tu, Bulin," segera Mat Labir ingatkan adiknya mengenai Oyut Tisah amalkan puteri sembilan bunga bakawali berdentam waktu malam.
Tetapi Andak Bulin tidak hiraukan sangat nasihat abangnya. Apa lagi Mat Labir ungkit fasal kejadian dia putus tunang dengan Oyut Tisah. Tentu Mat Labir menyimpan dendam, apabila Oyut Tisah memutuskan pertunangan setelah memilih Jidut. Tiba-tiba sahaja Oyut Tisah sengaja mahu menyakiti hati Mat Labir dengan memikat Andak Bulin menjadi suami.
Bukan Mat Labir sahaja kecewa dengan keputusan Andak Bulin berkahwin dengan Oyut Tisah, malah adiknya Mat Tera juga tidak senang dengan keputusan tersebut. Tentu usia Oyut Tisah tidak sepadan dengan Andak Bulin yang masih muda. Sia-sia dia bersama abangnya Mat Labir menjadi pawang kalau tidak selamat-kan adik sendiri daripada terperangkap menjadi sembilan orang suami Oyut Tisah.
Bila-bila pula Andak Bulin akan diusir setelah Oyut Tisah terpikat dengan lelaki lain pula. Sudah menjadi keputusan Oyut Tisah dia sekadar berkahwin dengan sembilan orang lelaki sahaja. Kalau dia mahu berkahwin seorang lagi, nescaya salah seorang suaminya mesti diusir. Biarlah lelaki itu merayu merintih-rintih tidak mahu berpisah, Oyut Tisah tidak peduli apa-apa.
"Kita mesti selamatkan Bulin!" ujar Mat Tera mendesak abangnya Mat Labir disebabkan mereka memang pawang besar di dalam kampung.
"Macam mana pun keputusan di tangan Bulin sendiri," tegas Mat Labir seolah-olah mengalah kalau adiknya sendiri tidak berkeras jauhkan diri daripada Oyut Tisah.
"Tapi, Bulin tu sudah ditundukkan dengan ilmunya!" Mat Tera menuduh Oyut Tisah tewaskan adiknya dengan amalan ilmunya.
"Bulin sendiri akan musnah kalau kita tak berhati-hati," tahu sangat Mat Labir mengenai amalan kebatinan, sudah tentu Andak Bulin yang ditimpa mudarat kalau tidak berhati-hati menghalang.
Memang Mat Labir tidak mahu berkeras sangat bertindak kerana bimbang adiknya Andak Bulin menerima padah. Semenjak balik ke kampung halaman, memang Andak Bulin sukar menerima pandangan dia. Lama juga Andak Bulin menghilang tidak tahu ke mana, tetapi muncul sahaja di situ sebaik sahaja orang-orang kampung cemas setelah Oyut Tisah balik semula setelah diusir jauh.
Sengaja Oyut Tisah menunggu Lebai Malim meninggal dunia, apabila dia balik semula ke tengah kampung. Apabila diusir orang-orang kampung memang dia tidak berani angkat muka dengan Lebai Malim. Dia menjadi gementar apabila Lebai Malim membacakan:
Bismillahhi masya Allah layasuqul hairu illallah, bismillahhi masya Allah layoriful su-i illallah, bismillahhi masya Allah makana min-ni'matin faminallah, bis-millahhi masya Allah layati bil-hasnata illallah, bismillahhi masya Allah la-haula wala qauwata illa billah.
Sebaik sahaja Oyut Tisah menyedari Lebai Malim meninggal dunia, sengaja dia balik semula ke dalam kampung. Dia sudah nekad mahu membalas dendam kepada sesiapa sahaja membakar rumah Bidan Sibah sampai kawannya itu melecur terbakar di situ.
Memang Oyut Tisah memilih mereka yang bakar rumah Bidan Sibah sahaja akan dipikat menjadi suami. Dalam masa beberapa minggu sahaja dia akan halau tidak bertangguh. Merayu-rayu lelaki itu tidak mahu diusir, nescaya Oyut Tisah akan simbah dengan air perlimbahan.
Dalam masa inilah Andak Bulin balik semula ke kampungnya setelah orang-orang kampung diganggu Oyut Tisah. Mereka semakin cemas sekiranya kelibat Oyut Tisah melintas di hadapan halaman rumah. Sekiranya Oyut Tisah mengusap-usap muka nescaya suami sesiapa sahaja di rumah berkenaan akan melompat turun mengekori Oyut Tisah.
"Sia-sia kita menjadi pawang kalau tak boleh selamatkan Bulin," kecewa benar Mat Tera setelah adiknya sendiri menjadi suami Oyut Tisah.
Seisi kampung harapkan dia bersama Mat Labir bertahan dari gangguan Oyut Tisah, supaya suami atau anak teruna mereka tidak menjadi mangsa. Mereka tahu sesiapa sahaja berkahwin dengan Oyut Tisah nescaya akan bertukar menjadi tidak siuman setelah diusir dari rumahnya.
Tidak siapa pun berani menyerbu rumah Oyut Tisah setelah kejadian menimpa Utih Misah tatkala suaminya Libin Janggut tiba-tiba sahaja terpikat perempuan berkena-an. Manalah Utih Misah menyangka suaminya yang sentiasa duduk di surau tiba-tiba sahaja berubah hati.
Apabila dia menyerbu ke rumah Oyut Tisah, terjerit-jerit Utih Misah ketakutan tatkala melihat kepala suaminya tergantung di dinding dengan terkebil-kebil mata. Dia nampak Libin Janggut macam kuntum bunga sahaja, sementara tali perutnya terburai di lantai.
Tersengih-sengih Oyut Tisah menyiram kepala Libin Janggut dengan air perlimbahan hingga suaminya terkebil-kebil mata sahaja. Air perlimbahan itu mengalir terus berlumuran pada usus yang melambak bagaikan akar pokok bunga bakawali. Selepas melihat kejadian itulah Utih Misah menjadi tidak siuman dengan terkekeh-kekeh ketawa sepanjang masa.
Setelah diberitahu pada Mat Labir dan Mat Tera, mereka dua beradik menyuruh orang kampung tanam pokok lengkuas di sekeliling empat penjuru rumah. Dalam masa mereka dua beradik berusaha bantu penduduk kampung inilah, mereka terkejut apabila Andak Bulin pula mengambil keputusan berkahwin dengan Oyut Tisah.
Semasa pawang dua beradik itu berhati-hati menunggu malam gelap ke rumah Oyut Tisah, dia mendengar Andak Bulin berzikir di tengah rumah. Tatkala Mat Labir naik menyerbu ke atas rumah bersama Mat Tera, adik mereka tidak peduli apa-apa setelah tangannya mencekak rambut Oyut Tisah. Ketika ini lapan orang lelaki sekadar kepala mereka sahaja tersangkut di dinding dengan usus tali perut berjurai-jurai. Tubuh mereka tidak lagi tercegat bagaikan tercabut daripada kepala yang tersangkut di dinding berkenaan.
Ketika ini Mat Labir dan Mat Tera nampak adiknya bersila rapat merentap kuat rambut Oyut Tisah dengan membacakan:
Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim, ya Haiyun, ya Qaiyum, ya Zaljalal Wal-ikram, ya ahlattaqwa wa-ahlal maghfirati, ya zakirazzakiri-na tub-alaiya taubatan nasohan wazidni bifadhli rahmatika nurau wawadhu-han ya arhamar rahimin.
Kemudian diheretnya Oyut Tisah dengan merentap rambut turun ke tengah halaman. Ketika ini dia memberi isyarat kepada Mat Labir supaya bangkitkan ular sawa besar di tengah paya naik ke darat. Sebaik sahaja ular berkenaan menjelma terus sahaja dibelitnya Oyut Tisah. Terjerit-jerit Oyut Tisah apabila dilulur ular berkenaan.
Setelah Oyut Tisah dilulur ular sawa berkenaan, lantas Andak Bulin mendesak Mat Tera kurungkan sahaja ular berkenaan dengan Oyut Tisah hingga menjelma menjadi busut. Setelah ular tersebut bertukar menjadi busut, segera Andak Bulin beritahu dua orang abangnya mengenai dia meninggalkan kampung halaman setelah diminta oleh Lebai Malim belajar hingga ke seberang.
"Pawang tiga beradik tu yang sumpah Oyut Tisah jadi busut," serba salah Dukun Lamat beritahu saya mengenai Lajak Kubin meminta dia tunjukkan amalan cacak lidi tujuh bilah pada busut tersergam. Kesal juga Dukun Lamat disebab-kan Lajak Kubin terus sahaja cancang lidi tujuh bilah itu sebaik sahaja bulan mengambang penuh, dengan tidak bertanya apa-apa daripadanya.