SEHINGGA pukul 10 malam, Simah
isteri Meon masih mengerang-ngerang sakit kepala. Pada mulanya saya
menyangkakan dia pening kepala biasa saja, mungkin disebabkan hawa panas.
Tetapi akhirnya Meon memberitahu Simah akan diserang sakit kepala setiap kali
saya datang ke situ.
Bagaimanapun sakit kepalanya
itu akan beransur hilang bila saya meninggalkan rumahnya. Sebenarnya Simah
memang selalu diserang sakit kepala, cuma sakitnya bertambah berat kalau saya
datang menemui Meon. Setelah lima tahun berkahwin dengan Meon rumahtangga
mereka tidak begitu tenteram. Simah sentiasa merasa tidak tenteram dengan sikap
Meon.
Tetapi mengapa dia merasa tidak
senang dengan Meon, dia sendiri tidak tahu. Mujurlah Meon dapat bersabar dengan
perangai Simah. Kalaulah tidak bersabar memang sudah lama rumahtangga mereka
runtuh. Meon dapat memikirkan tentulah ada masalah lain menyebabkan Simah
berperangai benci saja melihat Meon.
Bila hatinya senang SImah tetap
menunjukkan kasih sayangnya terhadap Meon. Sebab itulah Meon dapat memahami
bahawa Simah memang ada gangguan lain menyebabkan dia berperangai sentiasa
benci saja melihat dia apabila tiba masa hatinya tidak tenang.
Memang Meon berhajat untuk
membawa isterinya menemui Ulung Bahar. Jadi, kedatangan saya ke rumah Meon pun,
memang ada kaitannya dengan cadangan Meon untuk membawa Simah berubat kepada
Ulung Bahar.
"Dah lama ke Simah sakit
macam ni?" tanya saya bila Simah semakin kuat mengerang-ngerang sebaik
saja saya masuk ke biliknya.
"Sejak saya kahwin memang
inilah sakit idapannya" ujar Meon lemah.
"Sabar sungguh awak,
Meon..." kata saya.
Meon terdiam. Terkejut juga dia
bila saya kata demikian. Pada anggapannya saya mengatakan sabar disebabkan dia
boleh bertahan demikian lama dengan Simah. Saya dapat menangkap akan perasaan
Meon bila saya memberitahu demikian tadi.
Oleh itu cepat-cepat saya
menyambung, "Maksudnya, kau tak bawa Simah berubat. Lama sangat kau
bersabar membiarkan Simah macam ni..." jelas saya supaya Meon tidak
terkeliru dengan kata-kata saya itu.
"Inilah saya nak bawa
jumpa Ulung Bahar nanti" keluh Meon memerhati isterinya mengerang-ngerang
sakit kepala.
Simah isteri Meon ini berasal
dari Air Tawar, Perak. Sejak berkahwin dengan Meon lima tahun dulu jarang
mereka balik ke kampung Meon, di Temerloh. Lagi pun memang Meon tidak menyangka
Simah mengidap penyakit demikian, sebab itulah dia tidak cepat-cepat membawa
bertemu Ulung Bahar.
Baru kebelakangan inilah Meon
menyedari Simah sebenarnya sakit. Kadangkala bila sakit kepalanya menyerang dia
akan memaki hamun Meon. Mula -mula dulu terkejut juga Meon sampai hampir-hampir
dia menceraikan Simah. Apabila Simah pulih semula, dia sendiri tidak tahu apa
yang telah dicakapkannya kepada Meon.
Kebetulan saya berhajat mahu
bertemu dengan Ulung Bahar, maka Meon bercadang membawa Simah berubat sekali
dengan Ulung Bahar.
"Cubalah ustaz tengokkan
dulu..." kata Meon semakin rusuh melihat isterinya mengerang-ngerang sakit
kepala.
"Sakit kepala lain ni
Meon" jelas saya merasakan bulu roma saya meremang seram sejuk.
"Kalau dia melawan tak terkawal dek kita.
Cubalah kau telefon adik kau di Datuk Keramat suruh dia datang. Kalau ramai
nanti panjang juga ikhtiar kita..." saya menyuruhnya menelefon adiknya
Jamlus di Datuk Keramat.
Saya tahu Meon mempunyai adik
di Kuala Lumpur tinggal di Datuk Keramat. Sudah dua tiga kali kami bertemu di
rumah Meon itu. Kalau ada saudara mara Meon tidak segan jugalah saya mahu mencuba
mengetahui punca penyakitnya.
Cepat-cepat Meon menelefon
Jamlus adiknya. Di samping itu dia juga memanggil jirannya. Dalam keadaan
demikian masing-masing kelam kabut juga melihat keadaan isteri Meon sambil
menuduhnya mati pucuk kerana sudah lima tahun berkahwin masih belum mendapat
anak.
Bagi Meon maki hamun demikian
sudah perkara biasa kepadanya. Dia tidak tersinggung kalau Simah bercakap
demikian. Tetapi bagi jiran-jiran yang baru datang menjengah terkejut juga dia
mendengar kata-kata Simah itu. Tidak lama kemudian kira-kira jam 11.30 Jamlus
datang bersama isterinya. Terkejut juga dia apabila Meon menelefon fasal Simah
sakit. Tentulah sakit Simah berat menyebabkan abangnya menelefon dia suruh
datang segera.
"Kita bawa hospital
aje..." kata Jamlus sebaik saja melihat kakak iparnya mengerang-ngerang
kesakitan. "Boleh jadi migraine. Elok cepat kita bawa ke hospital"
gesanya tidak sabar lagi melihat Simah menggelepar di atas katil.
"Sabar dulu..." sahut
Meon menahan kerusuhan hatinya.
Jiran-jiran yang lain juga mendesak supaya
Simah dibawa ke hospital memandangkan keadaannya menggelepar seperti ayam kena
sembelih. Saya masih berfikir apakah cara yang harus dilakukan dengan keadaan
yang demikian. Keadaan demikian begini bukanlah baru kali pertama saya tempuhi,
sebab itu saya tidak tergopoh-gopoh sangat melihat keadaan Simah itu.
"Kak Simah ni kena
migraine agaknya. Jangan sabar-sabar lagi, bawa aje ke hospital" desak
Jamlus lagi.
Tetapi Meon yakin Simah bukan
dihinggapi sakit migraine. Kalaulah Simah kena sakit migraine masakan dia akan
memaki hamunnya. Menuduh dirinya yang bukan-bukan. Sehingga Simah tergamak
mengatakan dia mati pucuk kerana tidak mendapat seorang anak pun setelah lima
tahun berkahwin.
Mujurlah dia dapat menahan
sabar apabila dituduh demikian. Memang dia sedar Simah sakit, tetapi tidak
dapat mempastikan sakit sebenarnya. Setelah ada ura-ura saya mahu menemui Ulung
Bahar, barulah dia bercadang mahu mencuba membawa Simah berubat pada Ulung
Bahar.
"Ada dukun di sini yang
boleh kita cuba?" saya bertanya pada Meon.
Meon menggeleng kepala tidak
tahu. Memang dia tidak tahu siapakah dukun di kawasan perumahan itu. Maklumlah
masing-masing sibuk dengan tugas harian, kadang-kadang jiran sebelah rumah pun
tidak kenal. Inikan pula mahu tahu mengenai siapa menjadi dukun di situ.
"Kita cari di Sungai Pusu..." seorang jiran memberitahu.
"Boleh juga kita panggil dukun tu"
kata saya berpaling pada jiran yang memberitahu itu.
"Saya tak tau rumahnya" sahut dia
serba salah. "Tetapi saya dengar dia duduk di Sungai Pusu. Kalau kena
penyakit macam ni, selalunya orang panggil dia" jelas jiran itu lagi.
"Kalau tak tau rumah macam
mana nak cari malam-malam ni..." keluh Jamlus pula.
Kata-kata Jamlus itu benar
juga. Sekiranya hari siang boleh juga bertanya pada siapa-siapa yang melintas
di situ. Tetapi bila hari malam masakan mahu mengetuk rumah orang mencari dukun
tersebut.
"Ah, Sungai Pusu tu
bukannya besar sangat" seorang lagi jiran mencelah. "Mari kita ke
sana, kita carilah sampai dapat..." ujarnya mengajak Jamlus mencari dukun
berkenaan di Sungai Pusu.
Setelah Jamlus dan jiran itu
pergi, keadaan Simah masih juga tidak berubah. Dia menggelepar ke kiri ke kanan
sambil mengerang sakit kepala. Jiran-jiran yang datang menziarah tadi tidak
keruan dengan keadaan tersebut.
"Sebelum dukun tu sampai,
ustazlah cuba-cuba dulu..." Meon menepuk bahu saya.
Saya tahu Meon memang ikhlas
meminta saya mendoakan supaya isterinya sembuh. Dalam masa setahun dia
mengenali saya, memang dia sudah mengagak mestilah ada sebab mengapa saya
berhajat sangat mahu menemui Ulung Bahar. Selalu juga dia bila terasa sakit
gigi mengusik-ngusik suruh saya ubatkan. Tetapi tidak pernah saya penuhi
permintaannya.
Kalau dia mendesak juga saya
suruh dia ke klinik gigi.
Bagaimanapun Meon tidak pernah
berkecil hati kalau saya bersikap demikian. Pernah juga dia meminta saya
doakan supaya tidak basah terkena hujan,
saya beritahu dia doa supaya tidak basah terkena hujan pakailah payung.
Semua ini adalah usik mengusik
saja. Dia hanya mahu berolok-olok dengan saya, seperti juga dia pernah
berolok-olok dengan Ulung Bahar.
Tetapi kali ini saya sedar Meon
bukanlah berolok-olok. Dia meminta dengan ikhlas. Saya menjadi serba salah
dengan permintaan Meon, di samping keadaan Simah yang semakin membimbangkan.
Dalam ingatan saya sudah tergambar mungkin ada benda lain yang mengganggu
menyebabkan Simah cepat diserang penyakitnya apabila saya berada di rumah itu.
Hingga pukul 12.00 malam dukun
dari Sungai Pusu yang dijemput oleh Jamlus masih belum datang. Jamlus juga
tidak nampak muka hidung.
Memandangkan keadaan Simah
menggelepar-gelepar menahan sakit di kepalanya, saya pun meminta izin dari Meon
untuk memegang kepala Simah. Kira-kira dua minit saya memegang kepalanya,
tiba-tiba Simah bingkas bangun lalu meludah saya.
"Kau yang tukang kacau,
laknat!" bentak Simah macam mahu menerkam ke arah saya. "Buat apa kau
datang selalu ke sini, kau nak nikah dengan aku ke?" dia ketawa mengilai.
"Kau harus sabar
Meon..." bisik saya perlahan. "Yang bercakap ni bukan Simah lagi,
yang lain bercakap ni" kata saya menerangkan pada Meon.
"Saya tahu ustaz" jelas Meon
merapati saya. "Buatlah macam mana pun, memang saya tahu, fasal saya
selalu ikut Ulung Bahar" ujarnya.
Simah terus berdiri dengan
tangannya mahu mencengkam leher saya. Cepat-cepat Meon memegang pinggangnya
membawa rebah semula ke katil.
"Meon, kau jangan jadi
bodoh!" Simah meronta-ronta mahu melepaskan diri dari Meon. "Inilah
jantannya yang menggoda aku. Dia nak nikah dengan aku, tapi aku tak mau. Aku
sayangkan kau Meon" dia merintih-rintih bagaikan merayu.
"Siapa hendakkan kau, aku
pun tak mau" bentak Meon.
"Kau tak mahu pada
aku?" mata Simah terjengil memerhati Meon.
"Aku tak mau..!"
sahut Meon keras.
"Sekarang ceraikan aku..." Simah juga
bersuara keras.
"Berambuslah kau"
kata Meon.
"Lepaskan aku...!" Simah
meronta-ronta sekuat tenaga. "Lepaskan aku, biar aku berambus" dia
membentak-bentak sambil menumbuk dada Meon.
"Kalau kau nak berambus,
berambuslah" jerkah Meon semakin kuat memaut pinggang Simah. "Tapi,
tinggalkan Simah tau!" katanya memahami apa sebenarnya berlaku di sebalik
keadaan Simah demikian.
"Kau gila, aku ni bukankah
Simah" dia tertawa mengejek.
"Aku tau kau setan!" bentak Meon.
Dari cara Meon bercakap itu
memang saya tahu dia juga menyedari akan penyakit isterinya. Tetapi selama ini
dia sengaja merahsiakan dari pengetahuan saya. Dia bimbang kalau saya
mengetahuinya, nanti akan menyusahkan saya pula.
Memang Meon tahu akan gangguan
syaitan tersebut. Tetapi apakah jenis gangguannya tidaklah diketahui.
"Sekejap lagi dukun Sungai
Pusu datang, kau rasa nanti!" Meon cuba mengugut.
"Ah, bapak dukun Sungai Pusu aku tak
takut" balas Simah termengah-mengah mahu melepaskan diri dari Meon.
Beberapa orang jiran wanita juga turut sama membantu memegangkan kakinya.
"Dukun Sungai Pusu tu takut pada aku, takkan dia berani datang...!"
dia tertawa macam menyindir Meon.
"Diam...!" herdik
saya merenung muka Simah. Ketika ini saya tidak nampak Simah lagi meronta-ronta
di atas katil. Saya berada jauh dari rumah Meon di Gombak di sebuah bukit dekat
Air Tawar di Perak. "Diam, kata aku. Sekarang kau datang ke sini, supaya
aku bakar kau dengan Ayatul Kursi...!" saya terus membaca Ayatul Kursi
sebanyak 17 kali.
Selesai saja saya membaca
Ayatul Kursi wajah Simah bertukar menjadi seorang perempuan tua kurus dengan
rambut menggerbang putih.
Perempuan tua itu mengilai
ketawa mengejek-ngejek saya. Dia merenung saya bagaikan mahu menerkam, tetapi
tidak dapat mara.
"Jangan nak sembunyi lagi!"
suara saya semakin keras.
"Ah, merepeklah kau.
Jangan cuba nak goda aku..." perempuan tua itu terkekeh-kekeh ketawa.
"Aku ni bini Meon, buat apa kau goda. Mentang-mentang Meon mati pucuk, kau
fikir aku mudah tergoda dengan kau" dia cuba menyakitkan hati Meon yang
mendengarnya.
"Kau fikir Meon
bodoh" sahut saya sambil memerhatikan gerak gerinya yang mencari tipu
helah. "Kau dah tua, Meon tengok pun tak ada nafsu" saya pula
menyakitkan hatinya.
Dia menjadi marah bila saya
katakan dirinya sudah tua. Dia tetap mengaku dirinya Simah, walaupun saya sudah
melihat akan rupa asalnya.
"Jangan kau nak berdusta!" saya
membaca Ayat Yassin dan menghembuskan ke arahnya. Angin kencang bertiup
menyebabkan dia melayang-layang tidak jejak ke bumi. "Aku tau kau perempuan
tua simpan pelesit, tubuh kau kurus, rambut menggerbang putih macam pontianak,
siapa pun tengok tak naik nafsu" kata saya lagi.
Dia bertambah marah bila saya
sudah mengetahui dirinya yang sebenar. Pada sangkaannya saya hanya melihat
Simah terbaring meronta-ronta menggelepar di atas katil. Barulah disedarinya
saya sudah melihat dirinya yang sebenar dari kawasan hutan terbiar di sebuah
bukit di kampung Simah.
Bila diketahuinya dirinya sudah
dapat dikesan, dia terpaksa menentang habis-habisan. Perempuan tua itu
mengeluarkan botol kecil dari ikatan pinggangnya, lalu mengeluarkan seekor
belalang. "Anak aku ini akan mengajar kau...!" gerutunya lalu
melepaskan belalang tersebut.
Seekor belalang sebesar pohon
kelapa menerpa ke arah saya. Cepat-cepat saya melompat ke atas belalang
tersebut. Saya menyebut Allahu Akhbar tiga kali menyebabkan belalang itu
kembali menjadi kecil dan jatuh ke dalam genggaman saya.
Perlahan-lahan saya memulas
kepala belalang itu dengan membacakan Ayatul Kursi 33 kali. Ketika ini
perempuan tua itu terjerit-jerit memegang tengkuknya menahan kesakitan. Dia
terkial-kial merebahkan badan ke bumi mahu melawan balik. Apabila saya pulaskan
kepala belalang itu sampai putus, tubuh perempuan itu bertukar menjadi belalang
lalu terbang berligar-ligar di kepala saya mahu menyerang.
Bagaimanapun dia tidak dapat
menghampiri saya. Kemudian saya membaca lanarjumannakum dari Surah Yassin
menyebabkan dia terpelanting ke tanah. Berpuluh-puluh panah api datang menerjah
ke tubuhnya. Dia menggeliat menahan panahan api itu, tetapi masih bertahan
tidak mahu mengalah.
Apabila tidak tahan dengan
panahan api, belalang berkenaan berkepul-kepul menjadi asap hitam lalu
membentuk satu lembaga manusia. Lama kelamaan dia menjelma di depan saya. Dia
lelaki tua bertubuh kurus memakai pakaian serba hitam. Mukanya cengkung
berkedut-kedut macam kulit gajah.
"Aku sayang pada Simah
ni..." ujar lelaki bertubuh kurus itu. "Aku nak nikah dengan dia,
kenapa awak tak bagi?" suaranya lemah bagaikan meminta belas kesihan.
"Simah mahukah pada
awak?" tanya saya.
"Ada masa dia mau, ada
masa tak mau..." beritahunya perlahan berketar-ketar.
"Apa fasal dia tak
mau?" saya mengujinya.
"Dia kata saya mati
pucuk..." ujarnya serba salah.
"Simah dah nikah dengan
Meon" jerkah saya memberi amaran. "Kenapa awak ganggu dia lagi?"
tanya saya keras sambil mengejeknya.
"Saya cintakan dia"
jelasnya menangis tersedu-sedu. "Buruk sangat rupa awak orang tua
menangis..." sindir saya.
Dalam masa saya berkata-kata
dengan lelaki tua itu, tiba-tiba perempuan tua bertubuh kurus itu menjelma
semula. Dia terlalu marah kerana lelaki itu cuba berbaik-baik dengan saya.
"Dia inilah yang selalu
kacau kita...!" kata perempuan tua menjelirkan lidah kepada saya.
Saya mendiamkan diri. Saya mahu
lihat sejauh mana tindakan seterusnya dari mereka berdua. Tetapi mereka berdua
tidak menyerang saya. Cuma perempuan tua itu saja menyindir untuk menyakitkan
hati, sementara lelaki tua itu seolah-olah dalam ketakutan.
"Dia nak pisahkan
kita!" ujar perempuan tua itu lagi. "Kalau dia datang dekat, aku rasa
tubuh aku terbakar. Sebab itu kita mesti jauhkan dia dari berkawan dengan Meon.
Aku tak tau apa ilmu yang dia pakai" perempuan tua itu menangis
teresak-esak sambil menggeliat-geliat seperti menanggung bahang kepanasan.
Lelaki itu tetap mendiamkan
diri. Dia mengusap-ngusap rambut yang menggerbang putih. Sekali sekala saya
nampak muka perempuan tua itu berubah menjadi Simah. Tetapi apabila saya
hembuskan ayat Hazihi jahannamullati kuntum tu 'adun, wajah tersebut tidak jadi
bertukar.
Dari situ dapatlah saya
fahamkan bahawa memanglah sukar mahu mengubati Simah, kerana gangguan yang
datang itu bukanlah datangnya dari luar. Gangguan ini datang dari keluarganya
turun temurun yang pernah menyimpan pelesit. Apabila pelesit itu sudah tidak
bertuan, maka dia mencari keturunan tuannya sebagai sumpahan untuk mencari
naungan.
Simah yang tidak tahu apa-apa
tidaklah mahu menerima kedatangan pelesit yang berasal dari datuk nenek
moyangnya dulu. Inilah yang selalu mengganggu dia kerana dirinya sudah terpisah
jauh dari pelesit tersebut, sedangkan pelesit berkenaan cuba mendekatkan
dirinya.
Sebab itulah pelesit berkenaan menjadi seperti
orang yang diganggang oleh api bila berdekatan dengan orang-orang yang
mengamalkan membaca Suratul Kursi setiap hari. Mungkin Simah sendiri tidak tahu
tentang asal usul datuk nenek moyangnya dulu ada memelihara pelesit.
"Jauhkan dia dari
sini" rayu perempuan tua itu kepada lelaki tua yang berdiri di sampingnya.
Lelaki tua itu menghentakkan kakinya ke tanah tiga kali. Kemudian beribu-ribu
belalang menerpa ke arah saya. Sebaik saja belalang-belalang itu mahu menerpa
saya hembuskan Fatihah, menyebabkan semuanya gugur ke bumi seperti dibakar api.
Terasa saya seakan-akan lemas akibat bau hangit belalang terbakar.
Merah padam muka lelaki
tersebut melihat semua belalangnya habis terbakar. Semua belalang yang jatuh
itu tengkuknya terpatah dan keluarlah seulas nasi dan sehelai rambut dari
tengkuk terpatah itu.
"Aku datang mencari anak
cucu aku..." lelaki tua itu bersuara keras. "Tak patut awak putuskan
hubungan kasih sayang kami" katanya kesal dengan sikap saya menghalang
tindakan dia.
"Simah tak perlukan awak
lagi" sahut saya membentak. "Dia perlukan Meon, biar Meon yang jaga
dia. Awak tak perlu jaga dia" ujar saya memarahinya.
Ketika saya menyahut
kata-katanya dia menyimbahkan air ke atas bangkai-bangkai belalang tadi.
Sekaligus bangkai-bangkai terbakar itu menjadi kepulan asap hitam yang
berjurai-jurai seperti rambut. Juraian rambut menyerkup ke kepala saya
menyebabkan pandangan saya gelap tidak kelihatan apa-apa lagi.
Namun saya tetap bertenang
menghadapi tekanan-tekanan seperti ini. Semua yang saya hadapi itu adalah tipu
daya syaitan belaka.
Beberapa ketika saya
terperangkap dalam juraian rambut itu, hingga
hampir-hampir meliliti seluruh tubuh saya. Lalu saya bacakan Surah
Waddhuha sepuluh kali. Tiba-tiba juraian rambut itu melayang ditiup angin.
Lelaki tua itu semakin marah
kerana rambut yang menyerungkup ke kepala saya tadi diterbangkan angin. Itulah
pertama kali serangannya sampai ke tubuh saya. Memang kesilapan telah saya
lakukan membiarkan dia menyerang sambil melayani dia bercakap.
Tok Aji pernah mengingatkan
saya supaya tidak melayani syaitan apabila berhadapan dengannya. Kalau menentang
syaitan mestilah digempur sampai mereka kalah. Sekiranya kita melayaninya,
sudah tentulah kita termasuk ke dalam perangkap tipu dayanya untuk melalaikan
kita.
Setelah teringatkan Tok Aji,
saya pun menguatkan zikir saya. Saya membaca beberapa ayat yang diajarkan oleh
Tok Aji. Ketika ini seluruh kawasan itu bergoncang kuat seperti gempa disambut
oleh petir serta kilat. Orang tua lelaki dan perempuan itu berlari-lari mahu
menyelamatkan diri. Batu-batu dari atas bukit juga gugur melayang menerjah ke
arahnya.
Mereka berdua menjadi panik
dengan gempa yang datang secara tiba-tiba. Saya tetap berdiri di tengah-tengah
gempa itu memerhatikan mereka berdua berlari ke hujung ke pangkal mencari
tempat selamat. Tetapi ke mana saja mereka berlindung petir dan kilat menyambar.
Mereka terpelanting apabila disambar kilat dan petir bertalu-talu.
Termengah-mengah mereka mencari
tempat perlindungan. Akhirnya mereka lesap di dalam kepulan asap di
tengah-tengah dentuman petir serta kilat menyambar. Setelah mereka berdua hilang
saya memberhentikan bacaan. Lama saya menunggu di situ, namun dia tidak
muncul-muncul lagi.
Saya rasa buat sementara itu
dia tidak akan datang lagi mengganggu. Bagaimanapun mereka tetap akan berusaha
untuk meneruskan cita-citanya untuk bernaung kepada Simah. Hal inilah yang mahu
saya beritahu pada Meon, supaya dia sendiri mesti mempunyai persediaan
menghadapi kemungkinan tersebut.
Setelah yakin mereka tidak akan
mengganggu lagi, saya meninggalkan kawasan hutan di pinggir bukit itu, dan
kembali berdiri di dalam diri. Apabila saya membuka mata, saya dapati Simah
sudah pulih semula. Tetapi keadaannya masih letih lagi.
Rupanya ketika saya menghadapi
suasana sengit tadi, Jamlus dan rakan yang pergi menjemput dukun ke Sungai Pusu
sudah balik. Mereka berdua hampa kerana dukun berkenaan sudah pun dijemput oleh
orang di Damansara. Sehingga hampir pukul 2.00 pagi mereka menunggu, dukun itu
tidak juga balik. Akhirnya terpaksalah mereka mengambil keputusan balik semula
ke rumah Meon.
Jamlus bertanyakan kepada saya
siapakah yang melakukan gangguan itu. Saya hanya tersenyum dengan soalan
demikian. Selalunya begitulah pertanyaan yang diterima apabila menghadapi
masalah demikian. Sepatutnya mereka bersyukur kerana dapat menjauhkan diri dari
gangguan syaitan. Siapa yang membuat gangguan itu tidak harus difikirkan lagi.
Apabila saya tanyakan kepada
Simah, sama ada terdapat di kalangan keluarganya di masa lalu yang menjadi
dukun atau bomoh, Simah memberitahu ayah kepada moyangnya dulu memang dukun
terkenal. Tetapi selepas peringkat moyangnya, dia tidak lagi mahu menjadi dukun
hinggalah sampai kepada beberapa keturunan seterusnya.
"Saya sedar apa yang
berlaku ke atas diri saya" ujar Simah dalam keletihan. "Tetapi saya
tak dapat nak mengawal diri, macam ada kuasa lain yang mengawal saya.."
jelasnya bila mengingatkan peristiwa sebentar tadi.
Memang saya akui cerita Simah
itu. Memang mereka yang menerima gangguan ini sedar apa yang sedang berlaku.
Tetapi mereka tidak dapat mengawal dirinya sama ada bercakap atau bertindak.
Kejadian demikian memang aneh, tetapi itulah hakikat yang sebenarnya.
Apabila saya menerangkan kepada
Simah mengenai belalang pelesit, dia teringat aruah neneknya pernah memberitahu
tentang keluarganya dari keturunan dulu memang memelihara pelesit. Semasa Tok
Bani meninggal dunia dia tidak sempat menurunkan pelesit peliharaannya itu
kepada anak cucunya. Maka pelesitnya itu sentiasalah mencari anak cucu Tok Bani
untuk tempat bernaung.
Apabila pelesit itu tidak dapat
bernaung maka anak cucu Tok Bani pun menjadi mangsa. Adik nenek Simah itu
pernah menjadi lumpuh dengan tidak bersebab. Penyakit lumpuhnya itulah yang
membawa maut kepadanya. Selepas dia meninggal dunia akibat lumpuh, seorang lagi
keluarganya mati muntah-muntah darah seperti termakan racun.
Hingga sampailah kepada bapa
saudara Simah bernama Jana, dengan tidak semena-mena diserang penyakit lemah
tenaga batin hingga menyebabkan dia menjadi tidak siuman.
Ketika mengubat Jana inilah
Dukun Busu mendapat tahu tentang Tok Bani menyimpan pelesit. Dukun Busu mencari
punca-punca Jana hilang tenaga batin hingga menjadikan dia tidak siuman. Dia
mendapati pelesit Tok Bani yang sudah tidak bertuan itu mencari perlindungan
kepada Jana. Disebabkan Jana tidak tahu bagaimana mahu memeliharanya, maka
pelesit itu telah memakan tuan sendiri.
Tidak siapa pun tahu Tok Bani
memelihara pelesit. Malah isterinya sendiri Yong Saenah tidak tahu mengenai
pelesit yang dipelihara oleh Tok Bani. Setelah berkahwin dengan Yong Saenah dia
mendapat dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Selepas itu Tok
Bani jatuh memanjat pokok menyebabkan dia patah pinggang.
Akibat dari kecederaan itulah
Tok Bani hilang tenaga kelelakiannya. Bermula dari situlah keretakan
rumahtangganya bermula, bila Yong Saenah mula bermain gila dengan anak muda.
Tok Bani tidak boleh berbuat apa-apa, kerana kononnya Yong Saenah telah
menggunakan bomoh untuk menundukkan Tok Bani. Walaupun Tok Bani tahu isterinya
bermain gila dengan pemuda lain, dia tetap membisu saja.
Satu hari telah berlaku pertengkaran
di antara Tok Bani dengan isterinya Yong Saenah, berpunca dari perbuatan Yong
Saenah yang bermain gila itu.
"Kau dah tak ada jantan,
buat apa nak cemburu" kata Yong Saenah menyindir. "Kau dah mati
pucuk, takkan boleh nak pandang alu sengkalan aje sepanjang masa..." ujar
Yong Saenah mencabarnya. Kata-kata Yong Saenah itu benar-benar menghiris
perasaan Tok Bani.
Bagi mengubat hatinya yang
luka, Tok Bani selalu membawa diri bila terdengar ada anak muda datang menemui
Yong Saenah. Perasaan marahnya tetap membara setiap kali terpandangkan wajah
pemuda yang bermain gila dengan Yong Saenah. Ada juga hatinya mahu bertindak,
tetapi terpaksa dipendamkannya saja bila teringatkan kata-kata Yong Saenah itu.
Satu malam, sebaik saja Tok
Bani terlihat anak muda yang bermain gila dengan isterinya masuk ke bilik, dia
pun keluar merayau-rayau ke dalam kampung dengan tidak ada tujuan. Ketika
sampai berhampiran dengan kawasan tanah perkuburan dia terdengar bunyi budak
menangis.
Terasalah belas kesihan di hati
Tok Bani mendengar tangisan bayi yang sangat menusuk kalbu. Dia pun mencari
arah bunyi tangisan bayi itu hingga sampai ke kawasan tanah perkuburan. Semakin
di hampirinya semakin kuat bunyi tangisan bayi tadi. Tok Bani memberanikan
hatinya untuk melihat siapakah yang menangis itu.
Sebaik saja sampai di tempat
bunyi bayi menangis itu Tok Bani melihat satu bungkusan di dalam kain putih
terselit pada perdu pokok mengkudu. Dia memegang bungkusan itu, terasa lembik
saja. Apabila hendak dibukanya bunyi tangisan itu menjadi kuat dan
menggerunkan.
"Aku hanya nak menolong
kau..." satu suara halus menegurnya.
Bila diselidiki oleh Tok Bani
ternyata bungkusan kain putih itulah yang berkata-kata dengannya.
"Siapa kau?" tanya
Tok Bani keheranan.
"Aku pelesit" sahut
suara itu.
"Kau nak tolong aku?" dia merasa
gembira bila ada orang yang sanggup menolong dia.
"Iya, aku akan menolong kau..."
pelesit itu memberi jaminan.
Pelesit itu sanggup memulihkan
semula tenaga batinnya, dan menghapuskan siapa saja yang telah menodai Yong
Saenah dengan menghilangkan tenaga batin orang itu pula. Malah dia juga
berjanji akan menjaga harta benda Tok Bani dari diganggu oleh pencuri dan
sebagainya.
Mendengarkan janji pelesit itu
Tok Bani tidak berfikir panjang terus menerima saja pertolongan tersebut.
"Tetapi dengan syarat,
kita sama-sama berteguhan janji" tegas pelesit itu selanjutnya.
Tok Bani menerima juga syarat
berteguhan janji itu.
"Syaratnya kau jangan
buang aku, dan bila sampai masanya hendaklah kau serahkan aku pada waris kau
untuk menjaga aku..." kata pelesit itu lagi.
Tidak ada bantahan apa-apa dari
Tok Bani. Dia menerima saja syarat tersebut, kerana pada fikirannya syarat itu
bukanlah susah sangat.
"Setiap kali bulan mengambang kau
datanglah ke sini, dan siramkan aku dengan darah ayam" pelesit itu
mengingatkan dia.
Itu juga diterima dengan senang
hati oleh Tok Bani. Setelah berteguhan janji Tok Bani pun membuka bungkusan
tersebut. Dilihatnya seorang bayi belum bersifat sedang memegang botol kecil.
Bayi itu menyuruhnya mengambil botol seperti botol susu itu, dan di dalamnya
ada seekor belalang.
Tok Bani pun mengambil botol
itu dibawa balik ke rumah. Disimpannya baik-baik botol berisi belalang
tersebut.
Sejak itu siapa saja lelaki
tidak berani lagi menggoda Yong Saenah. Siapa saja berani main gila dengan Yong
Saenah alamatnya kena lemah tenaga batin seumur hidup. Puaslah mereka berubat
ke mana-mana pun tidak akan dapat disembuhkan. Sementara itu Yong Saenah pula
selepas itu sentiasa mahukan Tok Bani mendampinginya.
Akhirnya dia sendiri tidak mampu lagi mahu
melayani Tok Bani. Terpaksa pula Yong Saenah meminangkan ramai anak-anak gadis
untuk menjadi isteri Tok Bani. Apabila Tok Bani meninggal dunia, botol berisi
belalang itu dibuang oleh anak cucunya ke sungai, kerana pada sangkaan mereka
belalang permainan Tok Bani saja.
Itulah cerita yang dapat
diketahui oleh Dukun Busu, ketika dia mengubat penyakit Jana. Bagaimanapun Jana
tidak dapat diselamatkan juga. Dia meninggal dunia setelah menderita sekian
lama.
"Macam itulah cerita dari
aruah nenek saya dulu" beritahu Simah termengah-mengah keletihan.
"Insya Allah..." kata
saya perlahan dan merasa simpati dengan keadaan yang dialami oleh keluarga
Simah itu. "Sementara kita bertemu Ulung Bahar, kita cuba buat lagi macam
tadi. Moga-moga dia lari dari awak, sebab ianya bukan penyakit tapi benda
permainan turun temurun" ujar saya menjelaskan kepadanya.
TAMAT
No comments:
Post a Comment