Monday, February 6, 2017

214. DENDAM PUAKA MEMBAWA GERUH



Terlalu tinggi harapan mereka terhadap saya sebaik sahaja saya sampai bersanma Kadir .Misai. Percaya sangat mereka cuma saya satu-satunya yang mampu puIihkan keadaan Usup  yang terkejang tidak sedar diri sejak seminggu. Tidak tahu pula saya dari mana mereka mendapat tahu tentang  diri saya hinggakan menaruh harapan terlalu tinggi demikian.
Kalau mahu dikatakan Kadir Misai. yang beritahu, saya tahu dia tidak pernah bersikap demikian. Perkara penyakit tidak ada siapa yang boleh sembuhkan kecuali Allah Subhanahu Wata'ala. Makhluk hanya mampu berikhtiar sama ada dirawat di hospital atau pun didoakan sahaja. Ikhtiar yang mampu saya lakukan memang dengan doa, kerana selebihnya diserahkan kepada ketentuan Allah.
 "Tolonglah, ustaz, buatlah macam mana pun," desak Bedah mengharapkan saya. Tidak tahan lagi dia membiarkan keadaan suaminya terkejang sejak seminggu.
 "Ustaz ni bukannya bomoh, Bedah," lantas sahaja Kadir Misai ingatkan sepupunya itu. "Tak payah desak, tahulah dia apa yang nak dibuat," dia marahi Bedah kerana tidak sabar sangat ketika itu.
"Kita tunggu sampai Udin Junuh datang," ujar saya mententeramkan perasaan Bedah yang sebak tidak menentu.
 Jiran-jiran yang sama terconggok silih berganti juga bersetuju supaya menunggu Udin Junuh datang dari Sungai Kelamah. Memang Udin Junuh sudah beritahu dia tidak mampu pulihkan semula Usup Bincut, tetapi dia berjanji akan datang juga menjengah.
Apabila dia tidak sanggup pulihkan. Usup Bincut, bukanlah bermakna Udin Junuh akan berlepas tangan begitu sahaja. Dia tetap mencuba selagi Bedah mengharapkan pertolongannya. Setidak-tidaknya dia yang tahu punca menyebabkan Usup Bincut terkejang tidak sedarkan diri.
 Terpaksa pula dipapah balik dari Sungai Kelamah setelah Usup Bincut tidak dapat dipulihkan semasa di rumpun buluh lagi. Puas juga Udin Junuh gunakan segala pengalamannya, tetapi tidak memberi kesan apa-apa.
Sebab itu dia suruh Saleh Gonjeng atau Jali Gendut carikan bomoh lain sahaja asalkan Usup Bincut dapat dipulihkan. Tetapi ke mana lagi mahu mereka cari kalau Udin Junuh sendiri sudah tidak tahu apa perlu dibuat? Kalau ada pun, mereka terpaksa balik ke kampung asal masing-masing. Bukan mudah mahu dapatkan bomoh di kampung mereka diajak datang ke kawasan Felda itu.
 Dalam keadaan terdesak Bedah teringatkan sepupunya Kadir Misai. Memang dia tahu Kadir Misai seringkali dijemput orang sekiranya terkejang sakit. . Tersengguk-sengguk dia menangis menelefon Kadir Misai memberitahu kejadian yang menimpa suamiya Usup Bincut.
Marah juga Kadir Misai dengan sikap Usup Bincut yang tidak mahu berubah sejak hertahun-tahun gilakan judi nombor ekor. Bukan takat sanggup bersengkang mata ikut  orang menurun seru puaka di batu-batu hesar tepi jeram, malah tergamak bakar colok dan menyernbah topekong di kuil Cina.
Belum pernah pun Usup Bincut dapat duit rnelambak, sekalipun berpenat lelah sengkang mata sepanjang malam menurun seru puaka. Biarlah  Bedah berleter sehari suntuk, dia tetap berdegil gilakan judi nombor ekor. Apalagi kalau ditegur saudara mara dia akan bermasam muka sampai tidak mahu jejak kaki ke rumah.
Kalau tidak kenangkan Bedah tersengguk-sengguk menelefon memang Kadir Misai tidak mahu datang menjengah muka. Biarlah Usup Bincut serik dengan kejadian yang menimpanya. Tetapi perkara Usup Bincut terkejang memang menyusahkan Bedah juga. Tentu seisi keluarga juga ikut sama susah apabila Usup Bincut terkejang tidak sedarkan diri sejak seminggu.
Jiran-jiran sudah desak juga Bedah supaya bawa Usup Bincut ke hospital. Tetapi Bedah berkeras tidak mahu dibawa ke hospital, kerana dia tahu sebab musabab penyakit yang menimpa Usup Bincut. Mereka semua tahu Usup Bincut pengsan setelah ikut Udin Junuh menurun seru puaka di rumpun buluh di kaki bukit.
Lainlah kalau suaminya dihinggapi wabak penyakit taun sampai muntah cirit-birit, memang boleh dibawa ke hospital. Tetapi Usup Bincut di-rasuk puaka tatkala ikut Udin Junuh menurun di rumpun buluh. Sia-sia sahaja kalau tergopoh-gopoh bawa suaminya ke hospital.
"Betulkah, Udin Junuh janji nak datang?" tutur saya me-mandang Saleh Gonjeng, kerana dia yang beritahu mengenai Udin Junuh akan datang juga menjengah.
"Memang dia kata nak datang, ustaz," beritahu Saleh Gonjeng mengangguk perlahan.
"Kita tunggulah sampai dia datang," ujar saya lantas berundur sedikit menyandarkan belakang ke dinding.
"Kalau dia tak datang?" cepat sahaja Bedah mencelah disebabkan semakin bimbang. "Dia dah cakap tak sanggup nak ubatkan," jelasnya tidak sabar lagi biarkan suaminya terkejang.
 "Saya pun tak boleh nak ubatkan," sahut saya mengingatkan dia supaya sentiasa, bertenang.
"Gila sangat dengan judi, inilah padahnya!" rungut Bedah melepaskan geram. Setidak-tidaknya bimbang yang semaki menyebak dapat juga dikendur-kan.
 "Perkara yang dah lepas, jangan ungkit lagi," Kadir Misai ingatkan Bedah.
 "Usup ni sakit, ikhtiar kita, ubatkan..." katanya mendengus pendek, kemudian merapati Usup Bincut sambil letakkan tapak tangan pada dahi lelaki itu. Sebaik sahaja tapak tangannya mencecah dahi Usup Bincut, serta merta sahaja Kadir Misai menyentak tangan. Dia menggertap bibir akibat terkejut, lantas berpaling memandang saya.
"Kenapa Kadir?" soal saya perlahan. Kadir Misai menggeleng-gelengkan kepala. Dia beristighfar beberapa kali lantas mengusap mukanya. Wajahnya cemas dengan bulu roma juga kelihatan menegak seolah-olah kesejukan.
"Kenapa Abang Kadir?" Bedah tidak sabar mahu mengetahui sebab musabab sepupunya tiba tiba sahaja tersentak laksana tersentuh besi panas.
" Entahlah," keluh Kadir Misai tergamam benar. "Aku rasa kulit muka Usup macam menggerutu," beritahunya sambil menggeleng-geleng lemah.  
Perlahan-perlahan Kadir Misai mengusap dadanya sambil beristighfar. Kemudian berpaIing kepada saya lantas menuturkan, "Mukanya macam kulit biawak, ustaz."
Macam tidak percaya mereka yang terconggok di situ, kerana mereka tidak melihat apa-apa perubahan pada Usin Bincut. Lelaki itu sekadar terkejang tidak sedarkan diri sejak seminggu, dengan nafasnya sahaja mengombak-ombak di dada.
"Tangan saya pula terasa macam masuk ke dalam lubang bawah rumpun buluh," ujar Kadir Misai selanjutnya masih tertegun mengusap-usap dada dengan beristighfar.
Siapa pun tidak tahu apabila tangannya menyeluk ke bawah lubang hingga terasa wap sejuk. Jiran-jiran yang terconggok di tengah rumah sekadar melihat Kadir Misai meletakkan tapak tangan di dahi Usup Bincut sahaja. Tetapi Kadir Misai sudah dapat mengagak memang Usup Bincut diganggu syaitan.
"Agaknya, Udin tak datang ni!" Bedah semakin gelisah apabila diberitahu muka suaminya menggerutu. Sebab itulah dia berkeras tidak mahu membawa Usup Bincut ke hospital, sekalipun terpaksa menanggung bimbang.
Lainlah kalau Usup Bincut jatuh tergelincir di rumpun buluh sampai patah kaki, memang tidak bertangguh dia akan bawa ke hospital. Tetapi suaminya gementar ketakutan tatkala melihat jelmaan lembaga botak tercancang tanduk di kepala terpantul di rumpun buluh.
"Jangan cepat sangat kelam kabut," ujar Kadir Misai mengerling Bedah. "Cuba bawa bertenang dulu," dia ingatkan sepupunya supaya tidak gelabah menghadapi musibah demikian.
Bedah tidak menyahut. Tahu sangat dia perangai Kadir Misai mudah sahaja panas baran sekiranya membantah. Manalah tahu Kadir Misai tersinggung lantas sahaja balik meninggalkan Usup Bincut terus terkejang. Bedah tidak mahu menyinggung perasaan Kadir Misai dalam saat dia memerlukan sangat pertolongan.
Hampir pukul 9 malam barulah Udin Junuh sampai dengan menunggang motosikal bersama Mat Kodek. Terkejut juga Mat Kodek sebaik sahaja terserempak saya di situ.
"Hah, ustaz pun ada," ujar Mat Kodek segera datang memeluk leher saya. "Udin, inilah ustaz yang aku cakapkan tu," lantas dia berpaling memberitahu Udin Junuh. Gembira sangat dia apabila bertemu saya di rumah Usup Bincut itu.
"Dah banyak Abang Mat beritahu saya fasal ustaz," Udin Junuh merapati saya terus, menghulurkan tangan bersalaman. "Alhamdulillah, malam ni kita jumpa juga," katanya tersenyum riang dalam nada suara yang terharu.
"Elok sangatlah ustaz dah datang ni," ujar Mat Kodek selanjutnya tersenyum mengerling Bedah yang masih tidak berganjak duduk di hulu kepala suaminya.
"Saya tersilap, ustaz," tiba-tiba sahaja Udin Junuh mengakui punca geruh yang menimpa Usup Bincut. "Tidak baik saya bersubahat dengan kerja-kerja khurafat," keluhnya lantas memandang Saleh Gonjeng dan Jali Gendut yang tertunduk di penjuru rumah. Lama dia terdiam dalam keluhan kesal. Terasa sebak di dadanya apabila kenangkan kejadian yang menimpa mereka malam menyeru puaka di rumpun buluh seminggu dulu.
Kemudian Udin Junuh menggeleng-geleng lemah lantas menuturkan perlahan, "Saya sekadar nak menakut-nakutkan, biar mereka insaf jangan mabuk nombor ekor lagi."
Saya tidak menyahut apa-apa. Manalah saya tahu perkara yang berlaku tatkala mereka membakar kemenyan di bawah rumpun buluh. Urusan mereka tidak penting sangat kepada saya,  kerana saat ini keadaan Usup Bincut itu sahaja perlu dpulihkan .
 " Abang Usup dirasuk, boleh jadi dia lemah semangat!" tegas Udin Junuh  selanjutnya lantas mengerling Saleh Gonjeng dan Jali Gendut.
Tersipu-sipu Saleh Gonjeng dan Jali Gendut apabila rahsia mereka memuja nombor ekor di rumpun buluh di Sungai Kalamah diketahui oleh jiran-jiran. Memang malu juga mereka perbuatan sanggup ikut orang menurun itu akan diejek oleh orang-orang kampung.
"Saya juga bukannya bomoh, ustaz," beritahu Udin Junuh tersengih-sengih berpaling kepada Mat Kodek. "Orang-orang kampung aje kata saya ni bomoh," sambungnya ketawa pendek.
"Macam mana pula awak jadi bomoh?" hairan juga saya apabila Udin Junuh mengaku dia bukannya bomoh.
"Saya cuma ubati isteri Abang Saleh, bengkak pangkal bahu," jelas Udin Junuh merendah.
Perkara dia ubati bengkak di pangkal bahu Midah isteri Saleh Gonjeng bukanlah disebabkan dia bomoh sangat. Kalau tidak disebabkan Mat Kodek yang beritahu dia baru balik dari Sumatera, memang siapa pun tidak harapkan apa-apa daripadanya. Tahu sangat Mat Kodek fasal anak saudaranya yang bertahun-tahun habiskan masa di Sumatera belajar di madrasah di Maninjau.
Kasihan juga Mat Kodek apabila diberitahu oleh Saleh Gonjeng mengenai penyakit yang dihidapi oleh isterinya. Memang mereka berkawan rapat disebabkan Saleh Gonjeng kerapkali datang ke Sungai Kelamah memikat tekukur. Asal sahaja dia ke Sungai Kelamah memang bertumpu di rumah Mat Kodek sebelum meranduk belukar membawa sangkar denak.
Sudah berkali-kali pula Saleh Gonjeng bawa Midah ke hospital merawat bengkak di pangkal bahu itu. Tetapi dia sekadar diberitahu bengkak tersebut hanya bisul yang masih belum meletus. Bimbang juga Saleh Gonjeng sekiranya bisul tidak meletus itu akan merebak sampai menjadi pekung kedal tidak boleh diubati lagi.
Sebab itu dia tanyakan pada Mat Kodek sekiranya kawannya itu tahu mengenai bomoh yang sanggup mencuba ubati isterinya. Lantas sahaja Mat Kodek beritahu mengenai anak saudaranya Udin Junuh yang lama menetap di Sumatera. Tentu Udin Junuh menuntut ilmu kebatinan juga semasa di Maninjau, sekalipun anak saudaranya itu beritahu dia belajar di Madrasah.
Lagipun Mat Kodek tahu, tentu Udin Junuh mewarisi cara pengubatan daripada bapa saudaranya di Maninjau dan di Batu Sangkar. Masakan Udin Junuh tidak tahu menahu mengenai pengubatan demikian.
Tidak bertangguh Saleh Gonjeng bawakan isterinya menemui Udin Junuh di Sungai Kelamah. Apabila ditunjukkan bengkak sebesar telur ayam di pangkal bahu Midah, lantas sahaja Udin Junuh mengagak tentu barah kulit. Sebab itu dia minta Saleh Gonjeng carikan akar beringin muda yan terjuntai dengan tidak cecah ke tanah.
Getah akar beringin disapukan pada bahu Midah yang membengkak sampai mengecut. Tiga hari berturut turut akar beringin muda itu disapukan, tiba tiba sahaja bengkak di pangkal bahu Midah meletus hingga nampak tiga punat.
Selepas bengkak di pangkal bahu Midah sembuh, mereka seisi kampung mula menerima Udin Junuh menjadi bomoh. Mereka akan bertumpu ke rumah Udin Junuh sekiranya keluarga masing-masing mengerang sakit. Kadangkala serba salah juga Udin Junuh mahu mengelak akibat didesak oleh Orang-orang kampung. Mereka tidak percaya sekiranya Udin Junuh mengaku tidak mampu menjadi bomoh.
"Tak apalah, Udin," usik saya setelah Udin Junuh berterus terang memberitahu mengenai kejadian yang menimpa Usup Bincut.
"Selepas di Maninjau memang saya ke Batu Sangkar, tapi tak pernah belajar jadi bomoh, ustaz," ujar Udin Junuh tersengih-sengih mengerling Mat Kdek. "Memang saya ada belajar sikit-sikit dengan mamak Batu Sangkar," barulah dia mengakui juga pernah mempelajari cara pengubatan semasa Sumatera.
"Isteri saya dulu dialah yang ubatkan," lantas sahaja Saleh Gonjeng mencelah disebabkan Udin Junuh terus menyem-bunyikan rahsia dirinya.
"Dia sengaja nak jadi harimau sembunyi kuku," segera Jali Gendut mengusik dalam ketawa memanjang.
"Harimau yang ada ni, memang tak ada kuku," sahut Udin Junuh hingga ketawa besar, menyebabkan semua jiran-jiran yang sama terconggok ikut ketawa geli hati dengan keletahnya.
Saya sekadar tersengih-sengih sahaja, lantas memandang Usup Bincut yang masih terkejang tidak sedarkan diri. Memang Udin Junuh sudah mengakui Usup Bincut terkejut sebaik terserempak jelmaan lembaga botak di tengah rumpun buluh. Udin Junuh sendiri tidak tahu jenis makhluk yang menjelma tatkala dia menyeru makhluk ghaib setelah membakar kemenyan dengan jampi serapah.
Tidak sama macam Mamak Capik menyeru siluman sewaktu ke Palembang, hingga menjelma lelaki berkepala babi di tepi jeram. Gementar juga Udin Junuh sebaik sahaja jelmaan siluman itu melompat-lompat di atas batu jeram dengan menyondol-nyondol kepala. Tetapi siluman yang menjelma semuanya mematuhi perintah Mamak Capik.
Memang amalan Mamak Capik itu yang dicuba oleh Udin Junuh tatkala dia membakar kemenyan di bawah rumpun buluh. Tetapi siluman yang diseru tidak menjelma melompat-lompat di depannya. Dia sendiri tidak tahu makhluk berkepala botak dengan tanduk tercancang itu, kerana bukan makhluk itu yang diserunya supaya menjelma.
"Sekarang ustazlah cuba," ujar Udin Junuh lantas berundur ke belakang.
"Mari kita sama-sama berdoa," segera saya menggamit Udin Junuh supaya mara semula ke sisi Usup Bincut. Kemudian saya menyuruh Kadir .Misai duduk di lunjur kaki bacakan Ayatul Kursi.
Mereka berdua tidak membantah apa-apa. Kadir Misai tidak bertangguh mengisar tapak tangannya dengan beristighfar, kemudian membacakan tiga kali `Auzubillahhi minasy syaitannir rajim, Bismillahhir Rahmannir Rahim, dua kalimah syahadat, selawat dan tasbih.
Selepas itu Kadir Misai bacakan Fatihah pula dengan berdoa meminta pertolongan Allah bagi mengubati Usup Bincut:
Iyya kana'budu wa-iyya kanasta'in
Hanya kepada Allah memohon pertolongan dan perlindungan.
Saat ini saya melihat Kadir Misai sudah tertunduk di hujung lunjur kaki Usup Bincut. Matanya terpejam dengan bibirnya terkatup menggertap rapat. Dadanya semakin mantap. mengukuhkan zikir yang bergema jauh ke dalam sanubari. Tidak bertangguh pula Udin Junuh menggunakan amalan jurus, dengan tapak tangannya dihalakan ke dada Usup Bincut. Sekali-sekala Udin Junuh tersentak-sentak bagaikan dadanya ditolak kuat.
Setelah mereka berdua mulakan doa masing-masing, Saya segera bacakan:
Waman 'arfa nafsihi faqad `arfa rabbun fasadal jasad
dengan memahami bahawa Bismi itu nama-Nya, Allah itu zat-Nya, ar-Rahman itu kelakuan-Nya dan ar-Rahim itu perbuatan-Nya.
Diri saya semakin gementar apabila menyedari terlalu kerdil kita di sisi Allah Yang Maha Perkasa. Tidak ada apa yang upaya kita lakukan selain daripada harapkan pertolongan dan perlindungan Allah semata-mata.
Apabila saya bacakan:
Huwa auwalu,wal akhiru, wal zahiru wal batinu, wahuwal azizul hakim,
semakin kerdil kita di bawah kuasa Allah yang wujud dan maujud. Hanya doa sahaja dipohon daripada Allah agar sakit Usup Bincut disembuhkan.
Saya sekadar berdoa. Demikian juga Udin Junuh dan Kadir Misai yang terconggok duduk di lunjur kaki Usup Bincut. Kami tidak mempunyai apa-apa kekuatan atau keistimewaan langsung untuk sembuhkan Usup Bincut yang terkejang sejak seminggu.
Ketika ini Kadir Misai sudah semakin jauh melepaskan diri daripada jiran-jiran yang terconggok cemas dengan keadaan Usup Bincut. Dia seolah-seolah terhumban jauh di pinggir hutan yang dipenuhi rumpun buluh di kaki bukit. Cepat-cepat Kadir Misai mendongak apabila angin bertiup kencang memukul daun-daun buluh hingga bersanggit ranting.
 Setiap kali angin bertiup kencang hingga rumpun buluh meliuk-liuk, Kadir Misai nampak sebuah pintu gerbang tersergam di celah-celah rumpun buluh yang merimbun. Tetapi Kadir Misai tidak bimbang apa-apa setelah tercegat di depan pintu gerbang yang tersergam daripada pintalan pucuk-pucuk rumpun buluh itu.
Memang Kadir Misai tidak bimbang apa-apa sejak bertahun-tahun mengalami kejadian demikian. Apa sangat yang dia bimbangkan kerana setiap kali menuturkan kalimat-kalimat Allah, dia merasakan dirinya sentiasa dilindungi.
Walau-anna quran-na suiyirat bihil jibalu auqutti'at bihil ardh aukullima bihil mau-ti ballillahil `amru jami'an:
 Kalau dengan ayat-ayat Quran gunung-ganang boleh dihancur leburkan, apatah lagi makhluk-makhluk yang kerdil sama ada memiliki jasad ataupun yang tidak berjasad. Tentu Kadir Misai juga memahami setelah lama belajar dengan Pak Maulana semasa di Tanah Datar di Sumatera dulu.
Di depan pintu gerbang itu Kadir Misai berdiri, dan melihat seolah-olah ada lorong jauh ke kawasan lapang terbuka. Terus sahaja Kadir Misai melangkah berani dengan tidak pedulikan bunyi unggas-unggas yang terlalu banyak berterbangan hingga membingitkan telinga.
Sebaik sahaja dia memasuki lorong berkenaan Kadir Misai melihat Udin Junuh berlegar dengan menunggang di belakang harimau. Terlalu besar harimau berkenaan hampir sebesar kerbau jantan dengan gelambir di bawah lehernya sampai cecah ke bumi.
Tatkala melihat Kadir Misai tercegat, tidak bertangguh harimau tersebut menerkam mahu mengerkah. Tetapi segera dipukul oleh Udin Junuh tengkuknya dengan cemati.
"Tak kenal kawan dengan lawan!" jerit Udin Junuh memarahi harimau tunggangannya yang berang sebaik sahaja ternampak Kadir Misai.
Tidak berani harimau itu mengangkat kepala setelah dipukul tengkuknya oleh Udin Junuh. Dia hanya terkinja-kinja mahu mengelak daripada didekati oleh Kadir Misai.
Apabila Kadir Misai hentakkan tumitnya ke tanah lantas membacakan:
Kaf ha ya a'in sad, ha a'in sim kaf, uskun aiyuhal waji' billazi, in-yasya yuski-nirriha fayazialna rawa kida ‘ala zohrihi, in-nafizalika Ia-ayatin likulli sabbarin syakur —
 sekaligus harimau tunggangan itu menghambur tinggi menyebabkan Udin Junuh terhumban ke tanah. Cepat-cepat harimau tunggangan itu lari susup sasap di ceIah rumpun buluh yang menebal.
Menggeleng-geleng kepala Udin Junuh sambil mengusap-usap siku dan belakangnya yang dipenuhi pasir dan sampah sarap. Kemudian dia berbisik perlahan kepada Kadir Misai:
"Memang benar Abang Kadir, jika Dia menghendaki, Dia akan rnenenangkan angin, maka terhentilah kapal-kapai yang belayar di permukaan laut. Sesungguhnya pada kejadian yang seumpama itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan) bagi setiap orang yang banyak bersyukur."
"Kenapa kau bersahabat dengan syaitan?" jerkah Kadir Misai bercekak pinggang merenung tajam ke arah Udin Junuh terkial-kial berdiri mengibas punggung seluar dilekati pasir.
"Saya nak gunakan dia untuk lawan syaitan yang lain," beritahu Udin Junuh mententeramkan kemarahan Kadir Misai.
Saat ini mereka berdua mendongak ke udara apabila ternampak saya terapung dengan dikelilingi cahaya putih bersinar seperti kaca disilau matahari.
"Alhamdulillah, ustaz dah sampai," Kadir Misai tersenyum memerhati saya dengan terkebil-kebil mata.
Tiba-tiba sahaja belukar yang dipenuhi rumpun buluh merimbun itu bergegar kuat seperti dirempuh sekawan gajah liar sebaik sahaja saya terapung di situ. Disebabkan gegaran rumpun buluh itu terlalu kuat terpaksa juga Kadir Misai dan Udin Junuh berundur ke belakang.
Tatkala saya bacakan:
Innahu min Sulaiman wa innahu Bismillahhir Rah-mannir Rahim,
sekaligus harimau tunggangan Udin Junuh menghambur ke kawasan lapang itu lantas menggelupur tidak menentu. Seluruh tubuhnya melecur bagaikan disimbah dengan cuka getah. Terkial-kial harimau itu mahu berdiri dengan mengaum lemah seperti suara orang tua merungut-rungut.
Segera dia berpusing-pusing punggung mahu mencari tempat berlindung di sebalik rumpun buluh yang menebal, tetapi dia terketar-ketar tidak berdaya mengheret kakinya yang semakin goyah.
 "Kau ni, siapa?" bentak Kadir Misai kuat lantas mendekati harimau yang terketar-ketar itu.
Perlahan-lahan harimau berkenaan mendongak Kadir Misai macam melangut minta belas kasihan. Ketika menyeringai nampak taringnya ber-lendir dengan air liur melejeh keluar. Matanya tidak berkedip merenung tajam Kadir Misai seolah-olah menyimpan dendam.
"Cakap, siapa kau?" ulangi Kadir Misai dengan mengisar tapak tangannya hingga mengeluarkan asap nipis.
Tidak bertangguh Udin Junuh melompat memijak kepala harimau berkenaan sampai tertumus ke bumi. "Kau nak lawan aku ye?" jerkahnya lantas mengisar tumit ke tengkuk harimau berkenaan hingga mulutnya berpasir akibat tertumus kuat.
Sewaktu harimau itu menggelupur termengah-mengah, tiba-tiba sahaja tubuhnya menjelma menjadi lembaga besar berkepala botak dengan tanduk tercancang satu.
Kulit mukanya menggerutu berbonggol-bonggol laksana tunggul buluh di tengah rumpun.
"Kenapa buat aku macam ni?" lembaga berkepala botak itu terkial-kial tertiarap di bumi akibat tengkuknya dipijak Udin Junuh. "Kau yang panggil aku, kenapa kau seksa aku?" gerutunya melepaskan geram disebabkan tidak dapat bergerak kuat.
"Kerana kau cuba nak tipu aku!" sahut Udin Junuh membentak marah. "Kenapa kau ganggu Abang Usup?" lantas dia mengisar tumit kakinya lebih keras ke tenguk lembaga botak bertanduk itu.
Dalam keadaan lembaga botak itu terkial-kial, tiba-tiba sahaja angin kencang bertiup menyebabkan rumpun buluh di keliling mereka bergegar kuat. Terpaksa Udin Junuh melompat ke sebelah Kadir Misai.
"Nampaknya puaka ni berdegil, Abang Kadir," bisik Udin Junuh terhuyung-hayang bertahan daripada terjahan tiupan angin kencang.
 "Biarkan mereka cuba, insya Allah," beritahu Kadir Misai menampankan dadanya daripada terjahan angin kencang itu dengan mengukuhkan zikirnya seolah-olah lebur seluruh tubuhnya di dalam zikir berkenaan.
Serentak dengan angin kencang itu di tengah-tengah rumpun buluh berpusar tiupan angin hingga menjulang ke udara. Tetapi pusaran angin yung memukul rumpun-rumpun buluh itu tidak dapat menembusi sinaran cahaya putih yang menyelubungi saya.
"Kau lawanlah ustaz tu!" pekik Udin Junuh mengejek lembaga botak bertanduk satu yang masih tertiarap.
Cepat-cepat lembaga itu bingkas bangun sebaik sahaja dicabar. Tubuhnya membesar serta merta hingga melepasi pucuk-pucuk rumpun buluh berkenaan. Apabila dia dapat berdiri gagah tidak bertangguh tangannya memegang gada berduri dengan rantai besi sebesar lengan.
Tidak bertangguh dia menghayun gada berduri mahu memukul ke arah saya, tetapi tertampan pada cahaya putih yang melengkungi saya bagaikan benteng keras tidak terjejas. Semakin marah lembaga botak itu apabila gada berdurinya tidak dapat menembusi cahaya putih yang berlingkar di sekeliling saya.
Hampir pula dia terpelanting apabila gadanya memancar api tatkala tersentuh lingkaran cahaya putih itu, bagaikan disambar api elektrik. Tersentak-sentak dia setiap kali gadanya disambar api apabila dipukulkan kepada lingkaran cahaya putih itu.
"Oh, ustaz ni lindungkan awak berdua," lembaga botak bertanduk satu itu membentak lantang lantas berpaling menghadap Kadir Misai darl Udin Junuh.
"Bukan ustaz, tapi aku berlindung pada Allah!" sahut Kadir Misai terus membacakan surah al-Ikhlas sebelas kali. Apakala dihembuskan ke arah lembaga itu menyebabkan ianya terpelanting macam buah kelapa gugur bergolek. Marah benar lembaga itu seolah-olah dia dipermainkan oleh Kadir Misai.
Cepat-cepat dia bingkas bangun semula mahu menerkam Kadir Misai hingga belukar buluh habis rebah dirempuhnya. Belum pun sempat dia menerkam, tiba-tiba gumpalan awan putih seperti kaca berkilau melayang menimpa kepalanya dari arah saya berdiri.
Gumpalan putih itu terhentak kuat di kepala lembaga berkenaan menyebabkan sebahagian kepalanya berkecai seperti anak tikus ditimpa batu sebesar penumbuk. Lembaga itu jatuh tersembam dengan darah membuak di kepalanya. Hanya kakinya sahaja yang terkutik-kutik mahu bangkit melawan sedangkan kepalanya sudah tidak boleh digerakkan lagi.
Pohon-pohon buluh di sekeliling Udin Junuh dan Kadir Misai menjadi layu tiba-tiba seolah-olah diracun perdu. Cepat-cepat Kadir Misai mengajak Udin Junuh merempuh melalui lorong yang memanjang seperti terowong di celah rumpun itu sebelum buluh-buluh yang tegak merimbun habis layu.
Ketika Kadir Misai dan Udin Junuh sampai di satu tebing berteluk seperti gua, mereka ditahan oleh dua orang lelaki muda yang berpakaian comot dengan seluruh badan-nya dipaliti lumpur. Tetapi Udin Junuh terus merempuh masuk dengan tidak pedulikan dua pemuda yang bertahan dipintu.
Sebaik sahaja Udin Junuh merempuh masuk, dua pemuda menerkam tidak bertangguh. Apabila dielakkan oleh Udin Junuh mereka berdua tercampak ke tebing hingga muka tertumus. Sewaktu mereka berpaling mahu menerkam lagi, Udin Junuh melihat muka pemuda itu bertukar menjadi seperti akar rumpun buluh. Terhuyung hayang kedua-dua pemuda itu mahu menerkam, tetapi segera Udin Junuh bacakan al-Fatihah tiga kali dengan menghentakkan tumit ke tanah. Sekaligus dua pernuda itu tercampak hingga berguling ke tanah dengan seluruh tubuhnya melecur seperti dibakar api.
"Kenapa buat kami macam ni?" gerutu salah seorang pemuda itu termengah-mengah menahan kesakitan.
"Kerana kau syaitan yang dilaknat!" jerkah Udin Junuh menjuruskan tangannya hingga kelihatan api memancar dari tapak tangannya.
"Sekarang kau buat apa dengan Usup?" Kadir Misai pula mencelah lantas membacakan Ayatul Kursi, kemudian dihembuskan ke arah kedua pemuda yang semakin parah tercedera. Api semakin marak menyala seolah-olah hembusan itu mengandungi minyak yang membakar.
Belum pun sempat dua pemuda itu menyahut, serentak dengan itu tebing-tebing gua runtuh tiba-tiba hingga menimpa pemuda berkenaan. Mereka tertimbus macam batu dicampakkan ke tengah lubuk.
Tidak lama selepas itu mereka nampak Usup Bincut tersandar pada busut jantan dengan badannya dipenuhi beribu-ribu ekor katak yang berlompatan ke sana sini. Busut tersebut dikelilingi selut menyebabkan Kadir Misai dan Udin Junuh tidak dapat menyeberang untuk selamatkan Usup Bincut.
Saat ini Kadir Misai nampak saya berdiri terapung di udara dalam gumpalan cahaya putih bersinar sambil mengheret lembaga berkepala botak bertanduk satu yang hancur lumat kepalanya. Lembaga itu terkutik-kutik menggerakkan badannya yang semakin lemah tidak bertenaga.
Kemudian lembaga itu dicampakkan ke dalam selut biar meranduk ke seberang. Terkial-kial lembaga itu meranduk mahu sampai ke busut jantan tempat Usup Bincut tersandar.
Bau hanyir kepalanya yang hancur berkecai meloyakan Kadir Misai sampai dia termuntah tidak bertahan. Segera Udin Junuh menepuk-nepuk belakangnya dengan membacakan surah al-Falaq dan surah an-Nas, 41 kali.
Terkejut mereka berdua apakala melihat lembaga berkenaan hampir tenggelam ditelan selut, tetapi digagahinya juga meranduk biar sampai ke busut jantan. Semakin dicubanya melepaskan diri daripada jerlus tanah selut itu, semakin kuat angin bertiup kencang menampannya.
"Teruskan!" perintah saya dengan gema suara yang bertala di udara.
Lembaga itu terus mencuba, tetapi tanah selut mula mendidih bagaikan karbaid dimasuki air. Sekaligus lembaga itu menjerit langsing memecah ruang angkasa. Tanah selut yang mendidih itu sekali-sekala mengeluarkan api seperti lahar menyebabkan seluruh kulit lembaga itu melecur hingga dagingnya mengelupas ditimbuni bara lumpur berkenaan.
Tiba-tiba dari dalam selut yang mendidih itu terjongol lembaga lelaki tua bongkok bertubuh besar sambil kepalanya mendongak ke udara.
"Hah, sekarang baru kau keluar ye?" jerkah Udin Junuh mengejek, kerana lembaga botak kepala bertanduk satu itu hanya umpan sahaja. Dia tahu puaka sebenarnya memang lembaga lelaki tua bongkok dengan tubuhnya disaluti lumpur itu.
Tidak bertangguh Udin Junuh menggenggam, tangan-nya lantas membacakan:
Huwallahul lazi la-ilaha illa-huwa 'alimul ghaibi wasy-hadati huwar Rahmannir Rahim, Huwallahul lazi la-ilaha illa huwal malikul quddusus salamul mukminul muhaiminul `azizul jabbarul mutakabbiru subhanallahi `amma yusyrikun, Huwallahul kholiqul bari-ul musauwiru lahu asma-ulhusna yusabbihu lahu mafis samawati wal-ardhi wahuwal 'azizul hakim.
Setelah dibacakan doa itu dengan dijuruskan tangannya, tersentak lelaki bongkok di dalam selut apabila berpuluh-puluh batu sebesar periuk menerjah ke dadanya. Setiap kali batu-batu itu menerjah ke dada, lelaki tua bongkok terbatuk-batuk sampai bersemburan darah di mulutnya.
"Kau berani kerana ada ustaz ni, Udin," ejek lelaki bongkok itu merenung tajam ke arah Udin Junuh. "Bukankah kau yang panggil aku, kenapa tak suka pula?" gerutunya mencemik muka sambil menyeringai hingga nampak giginya jarang sebesar mata kapak.
"Syaitan memang tak pernah pegang janji!" sahut Udin Junuh menggertap bibir.
"Kenapa kau ganggu Abang Usup?" jerkahnya mencebek bibir.
"His, jangan dilayan sangat," cepat-cepat Kadir Misai menepuk bahu Udin Junuh.
Ketika mendongak ke arah saya mereka nampak kaki saya berpijak di kepala lelaki tua bongkok itu. Apabila saya memanggil Usup Bincut yang tersandar di busut jantan, perlahan-lahan dia membuka mata. Kemudian saya segera menggamit supaya dia bangun berdiri kuatkan tenaga untuk melangkah.
Usup Bincut terhuyung hayang berpaut pada busut setelah saya menyuruhnya kuatkan semangat. Perlahan-lahan dia mara mendapatkan saya hingga masuk ke dalam lingkaran cahaya memutih. Semasa Usup Bincut membuka mata apabila mendengar saya memanggil namanya, Kadir Misai juga terkejut kerana bahunya disinggung oleh Udin Junuh. Sebaik sahaja Kadir Misai mendongak, tersengih-sengih dia kerana saya sebenar-nya yang menampar bahunya.
 "Baca istigflar, Kadir dan buka mata," tutur saya menepuk ubun-ubunnya tiga kali dengan dibacakan al-Fatihah. Memang jiran-jiran yang terconggok di situ sekadar melihat Kadir Misai tertegak duduk di lunjur kaki Usup Bincut dengan tidak bergerak-gerak.
"Handal juga Abang Kadir ni," Udin Junuh menepuk-nepuk bahu Kadir Misai tersenyum, setelah Kadir Misai terpisat-pisat bagaikan terkejut daripada tidur.
Kadir Misai tidak menyahut. Dia berulang kali beristighfar sambil mengerling Udin Junuh. Siapa pun tidak tahu mengenai rahsia mereka berdua hingga menyusup jauh sampai ke rumpun buluh di kaki bukit.
Saat ini Usup Bincut sudah pun membuka mata, tetapi tubuhnya masih lemah. Perlahan-lahan dia meminta air minuman daripada isterinya. Cepat-cepat Bedah bangun terus ke dapur ambilkan air minuman.
Tiga bulan selepas itu ketika ,Usup Bincut dan Bedah datang ke rumah bersama Kadir Misai, berlinang air matanya memberitahu dia tidak lagi main judi nombor ekor. Memang serik dia setelah terlantar seminggu akibat terserempak lembaga besar di rumpun buluh itu.
"Saya dah taubat, ustaz," keluh Usup Bincut terlalu kesal hingga malu mahu mengangkat kepala menatap muka saya.
 Berkali-kali dia ulangi kesalnya disebabkan terlalu gila dengan judi nombor ekor hingga sanggup gadaikan barang kemas Bedah. Bila-bila dia sanggup menunggang motosikal kalau diajak ikut orang menurun di mana-mana pun sekalipun jauh berkilo-kilometer. Saat ini barulah Usup Bincut menyedari hampir dia terpesong aqidah akibat membakar colok menyembah topekong di kuil semata-mata rnahu dapatkan nombor ekor.
"Baru sekarang nak insaf!" segera Bedah mencelah melepaskan geram yang kian lama mendongkol.
 "Masih belum terlambat lagi," ujar Kadir Misai perlahan.
Usup Bincut mengangguk. Apabila kenangkan kejadian di rumpun buluh itu memang dia rasa amat bersalah. Kalaulah tidak ikutkan nafsu mahu menikam judi ekor tentu dia tidak terserempak lembaga besar di rumpun buluh itu. Jelmaan lembaga berkepala botak tertanduk satu itu tidak sama dengan Lebai Suhud yang terserempak di surau buruk.
Belum sempat dia berundur tiba-tiba sahaja tengkuknya dicengkam dari belakang. Dia diheret terlalu laju melalui lorong seperti terowong di kelilingi rumpun buluh yang merimbun. Tidak sempat Usup Bincut menjerit mahu meminta tolong dari rakan-rakannya, disebabkan dia diheret macam ikan disentap terkena pancing.
Ketika dia dicampakkan ke busut jantan oleh lembaga botak itu, Usup Bincut merasa perutnya senak tidak dapat bernafas. Tubuhnya menjadi lemah menyebabkan tidak dapat bergerak langsung. Busut di kelilingi lumpur selut itu menjadikan dia terkurung tidak dapat lepas lari ke mana.
Setiap kali matanya terbuka, Usup Bincut melihat lelaki tua bongkok mengawalnya. Ketawa lelaki tua bongkok itu bergema mengejeknya kalau dia gagahi juga mahu bergerak. Hinggalah dia mendengar pusaran angin kuat yang menakutkan menerjah rumpun buluh yang merimbun.
Dalam angin kencang itu Usup Bincut nampak Kadir Misai bersama Udin Junuh terhuyung hayang mara mendapatkannya. Tetapi mereka berdua tersekat di tebing selut lumpur menyebabkan tidak dapat membantunya. Usup Bincut sekadar terkebil-kebil mata sahaja memerhati Kadir Misai dan Usin Junuh berusaha untuk meranduk.
Ketika dia mendongak ke udara melihat lingkaran cahaya putih bersama saya, terasa juga bimbang Usup Bincut. Hinggalah dia terasa tubuhnya melayang jatuh ke dalam lingkaran putih, barulah Usup Bincut dapat bertenaga semula.
"Saya dah taubat, tak akan main judi lagi, ustaz," keluh Usup Bincut berulang kali. Memang dia yang mendesak Kadir Misai mengajak menemui saya, setelah merasa dirinya sudah pulih semula.