BERKALI-KALI sudah diingatkan oleh Tok Aji amalan ilmu dunia
memang untuk sementara sahaja. Sebab itulah saya beritahu Lahak mengenai cara
dia mendapatkan Saerah menggunakan ilmu pengasih itu menyebabkan rumah
tangganya sentiasa tidak tenteram. Ada sahaja yang tidak kena hingga seringkali
bergaduh tidak menentu.
Apalah ertinya dapat menundukkan hati perempuan hanya
seketika sahaja semasa amalan itu dapat mempengaruhi. Lama kelamaan amalan ilmu
pe-ngasih itu akan luntur juga kerana ianya bersifat se-mentara.
Setiap kali saya diberitahu mengenai sikap beberapa orang
kenalan mencari bomoh untuk meminta amalan ilmu pengasih ini, seringkali juga
saya ingatkan hanya Allah sahaja yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tetapi
mereka menganggap saya terlalu kolot sehingga tidak mahu menerima kenyataan
yang berlaku sekarang.
Kalau mereka menemui Mat Jubin juga, mereka tetap
berkecil hati kerana dia juga tidak akan melayani sesiapa sahaja fasal ilmu
pengasih. Lainlah kalau rumah tangga mereka diganggu syaitan sehingga sampai
dalam keadaan retak rnenunggu belah. Bila-bila Mat Jubin sanggup berusaha biar
rumah tangga mereka kembali aman sentosa.
Sewaktu Ali Kelih tidak balik ke rumah sampai seminggu
disebabkan ikut Lisah Janda, memang isterinya Eton Juling tidak bertangguh
menemui Mat Jubin. Marah benar Eton Juling sebaik sahaja mendapat tahu fasal
Ali Kelih gilakan Lisah Janda sampai lupa tanggungjawab pada rumah tangga.
Bukan takat tidak balik ke rumah sahaja, malah beras
tidak ada di tempayan pun Ali Kelih tidak ambil peduli. Kalau Eton Juling
tinggikan suara di depannya, tengah malam pun Ali Kelih akan turun tinggalkan
rumah. Hingga seminggu dia tidak jejak kaki ke rumah jengah anak isteri.
"Dia gilakan janda di Jerantut," beritahu Eton
Juling terharu menahan sebak di dada di hadapan Mat Jubin. "Cubalah Pak
Mat tolong, biar Ali lupakan janda tu," katanya macam mendesak.
"Awak tak pandai jaga hati Ali agaknya," sengaja
Mat Jubin mengejek sekalipun dia tahu perempuan itu dalam keadaan rusuh.
"Nak jaga macam mana lagi Pak Mat," keluh Eton
Juling tersinggung juga dengan ejekan Mat Jubin. "Dah bertahun saya dengan
dia, kalau tak kerana janda tu, dia tak berubah hati macam ni..." ujarnya
meluahkan rasa yang mendongkol lama di hatinya.
Mat Jubin tersengih-sengih. Memang dalam keadaan demikian
Eton Juling tidak akan mahu mengakui kelemahan dirinya. Dia tetap bertahan
dengan menyalahkan janda tersebut.
Tentulah ada keistimewaan pada diri Lisah Janda
menyebabkan Ali Kelih mudah tertarik hati. Kalau takat cantik sahaja apalah
kurangnya dengan Eton Juling? Calang-calang berhias dan berdandan memang tidak
siapa pun menyangka Eton Juling sudah beranak tiga.
Tetapi Mat Jubin sanggup membantu bukan disebabkan Eton
Juling mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya. Dia sekadar mahu menyelamatkan
rumah tangga Ali Kelih supaya anak-anaknya tidak simpang perinang. Biarlah dia
pisahkan lelaki itu dengan Lisah Janda asal sahaja rumah tangga mereka tidak
musnah.
Mat Jubin hanya bekalkan kelongsong kertas yang dibubuh
sedikit kemenyan kepada Eton Juling. Kelongsong kertas itu ditulisnya:
Yuhibbu nahum kahubbillahhi
wallazina amanu asyaddu hubban-lillahhi, zui-yina linnasi hubbusy syahawati
nilna-nnisa-i walbanina walqa-nathiril muqantharah,
dan digulung sebanyak tiga kelongsong.
Tiga malam berturut-turut Eton Juling bakarkan kelongsong
kertas itu di bawah tangga rumah, satu kelongsong tiap-tiap malam. Malam yang kelima
Ali Kelih balik ke rumah bagaikan orang terbangun dari tidur. Dia tidak bercakap
apa pun, tetapi terus bermain dengan anak-anaknya.
Semenjak itu Ali Kelih tidak lagi menjengah Lisah Janda
di Jerantut. Tetapi Eton Juling juga diingatkan supaya tidak ungkit-ungkit
mengenai Lisah Janda sekiranya Ali Kelih balik ke rumah. Dia pegang kukuh-kukuh
pesanan Mat Jubin itu supaya tidak cabuh pantang larang yang ditetapkan.
Selagi dia tidak ungkit-ungkit mengenai Lisah Janda,
sampai bilapun Ali Kelih tidak ingat lagi megenai janda berkenaan. Setelah
berbulan-bulan pun ditinggalkan Ali Kelih langsung tidak teringin mahu
menjengah Lisah Janda di Jerantut.
"Tak tahulah saya macam mana dibuat oleh Pak Mat
Jubin tu, ustaz," beri-tahu Eton Juling tersenyum simpul memberitahu tatkala
saya berkunjung ke rumahnya bersama Kadir Misai.
Memang Kadir Misai juga tahu mengenai sepupunya Ali Kelih
gilakan Lisah Janda semasa dia bertugas di Jerantut. Lama juga Eton Juling
melilau tidak tenteram hati setelah mengetahui suaminya gilakan janda beranak
satu itu. Tetapi Kadir Misai tidak peduli sangat selagi Eton Juling tidak
memberitahu apa-apa.
Tentu Eton Juling tidak percayakan dia disebabkan Ali
Kelih sepupunya. Masakan dia mahu menyebelahi Eton Juling kalau yang membuat
angkara itu Ali Kelih sendiri. Kalaupun perempuan itu mengadu kepadanya memang
serba salah juga Kadir Misai mahu mencampuri urusan rumah tangga orang.
Hanya setelah diberitahu mengenai Ali Kelih sakit sejak
beberapa bulan, terpaksa juga Kadir Misai menjengah. Apalagi emaknya ingatkan
dia fasal Ali Kelih menjadi seperti orang bingung yang sudah hilang ingatan.
"Macam mana punca Ali kena macam ni?" soal
Kadir Misai memegang pergelangan Ali Kelih yang terbaring semenjak kakinya
membengkak tidak boleh berjalan.
"Tak perasan puncanya," jelas Eton Juling
mengerling anak gadisnya Raunah yang keluar dari dapur menatang dulang minuman.
"Mulanya ayah marah-marah, sampai beberapa hari dia marah," sahut
Raunah lantas menghulurkan dulang ke hadapan emak-nya. "Lepas itulah dia
suka termenung dan merungut-rungut seorang diri," beritahunya apabila
kenangkan kejadian yang menimpa ayahnya.
"Agaknya kerja janda tu!" cepat sahaja Eton
Juling menuduh setiap kali hati-nya rusuh melihat keadaan suaminya. "His,
tak baik rnenuduh macam tu," tutur Kadir Misai mencemik muka tidak
bersetuju dengan sikap Eton Juling.
Tatkala dia menyingkapkan kain Ali Kelih, memang buku
lalinya membengkak hingga hitam lebam. Kulit buku lalinya juga keras laksana
belulang jangat dijemur. Apabila disingkapkan hingga ke betis, saya melihat
kulit betisnya juga retak-retak bagaikan tanah sawah merekah di musim kemarau.
Beberapa kali saya beristighfar menahan keluhan setelah
melihat keadaan kaki Ali Kelih demikian. Sukar juga mahu diramalkan apakah
penyakit yang dihidapinya sampai ingatan hilang menjadi orang bingung. Kulit
kaki sampai ke betis retak-retak sekalipun tidak memercik darah di situ.
"Macam mana ustaz?" ujar Kadir Misai menggeleng-geleng
kepala menatap muka saya. Dia sendiri gelisah dengan keadaan sepupunya yang
menghidap penyakit demikian.
"Dah tanya pada Mat Jubin?" soal saya berpaling
pada Eton Juling. "Pak Mat tu bukan tetap di rumah," gerutu Eton
Juling semacam hampa. Sudah berapa kali dia pesankan kepada isteri Mat Jubin,
tetapi bapa saudaranya itu tidak juga jengah muka.
Setiap kali dia ke rumah Mat Jubin, bapa saudaranya itu
sudah ke Segamat di Johor. Kadangkala terus sampai ke Pontian hingga
berhari-hari tidak balik ke rumah. Apabila balik ke Temerloh, belum sempat isterinya
Maisah memberitahu pesan Eton Juling, dia sudah ke Terengganu pula.
Kalaulah tidak disebabkan Raunah berikhtiar memberitahu
emak Kadir Misai di Lancang, memang Kadir Misai juga tidak tahu mengenai Ali
Kelih yang terlantar sakit. Berdetak juga hati Mak Tiamun, tentu anak
saudaranya itu dianiaya dengan ilmu hitam. Siapa lagi yang gunakan ilmu hitam
kalau bukan Lisah Janda yang berdendam?
Dia percaya tentulah Lisah Janda kecewa dengan keputusan
Ali Kelih meninggalkannya. Masakan janda itu boleh berdiam diri setelah mereka
berdua sudah berjanji mahu berkahwin, sekalipun sanggup bermadu. Tentulah janda
itu carikan bomoh mahu membalas dendam, biar sama-sama berputih mata.
Kalau tidak disebabkan ilmu hitam, tentulah Ali Kelih
tidak menghidap pe-nyakit ganjil demikian. Dia hanya terkebil-kebil mata sahaja
semasa Mak Tiamun datang menziarah. Menitik juga air mata Mat Tiamun menatap
keadaan yang ditanggung oleh anak saudaranya itu.
"Kau kenapa ni, Ali?" sengaja Kadir Misai mahu
menguji.
"Tak guna, Ali ni tak berguna lagi,"
tersengih-sengih Ali Kelih membeliakkan matanya. Kemudian dia ketawa berdekah-dekah
sambil bertepuk tangan dengan matanya tajam merenung kasau atap.
"Kau mesti kuatkan iman," pujuk Kadir Misai
sekalipun dia sedar Ali Kelih tidak memahami apa jua pertuturannya lagi.
"Nak minum," Ali Kelih mengangakan mulutnya meminta
minuman. Tetapi Eton Juling tahu benar apabila suaminya meminta air dia
terpaksa sorongkan botol berputing laksana menyusukan bayi dalam buaian.
Memang saya juga merasa hiba dengan keadaan Ali Kelih
tatkala disorongkan botol berputing ke mulutnya. Dia menyonyotnya seperti bayi
laparkan susu apabila disuapkan oleh Eton Juling.
Keadaan yang menimpa Ali Kelih bukanlah ganjil sangat
apabila Allah sudah menetapkan demikian. Apa sangat keadaan Ali Kelih sama
seperti bayi kalau dibandingkan dengan kejadian alam yang terbentang apabila
ditentukan Allah langit tiada bertiang, gunung-gunung tersergam kukuh tidak
runtuh laksana pasir dan laut berombak yang kadangkala pasang, kadangkala
surut.
Semuanya dikawal mengikut aturan yang ditetapkan Allah.
Tentulah perkara penyakit Ali Kelih
tidak sampai sebesar hama keganjilannya kalau bandingkan dengan penciptaan
Allah yang tiada tolok bandingnya itu.
Memang tatkala melihat keadaan penyakit Ali Kelih, saya
tidak lupa kepada arwah Ucu Labat yang menghisap puting susu apabila meminta
air. Lama juga dia menghidap penyakit demikian sehingga merengek-rengek
sekiranya lapar mahu makan. Dia berkelakuan seperti anak-anak kecil yang tidak
bermaya langsung.
"Ikhtiarkanlah, biar Labat tu pulih," rungut nenek
aji setelah diberitahu mengenai adiknya yang bongsu itu. Harapkan Aki Alang,
dia sendiri sudah mengaku tidak boleh membantu apa-apa.
"Orang gila betina, tanggunglah!" Aki Alang
mencebik bibir meluahkan rasa hampa apabila didesak oleh nenek aji.
"Kau pun apa kurangnya," nenek aji tersinggung
dengan sikap Aki Alang yang mahu berlepas tangan sahaja setelah diberitahu
dengan keadaan penyakit Ucu Labat.
"Hah, kalau nak gila betina, kuatkanlah pendinding
diri," sahut Aki Alang bangga dengan kemampuan dirinya selama ini.
"Jangan takbur, alang..." cepat sahaja Tok Aji
ingatkan dia disebabkan terlalu membanggakan diri itu. Terdiam Aki Alang
ditegur abang iparnya. Memang dia tidak berani angkat muka kalau berdepan
dengan Tok Aji. Tahu sangat dia fasal adiknya Ucu Labat yang tidak mahu lagi
mendengar nasihat Tok Aji, sebaik sahaja berkahwin dengan Saenah Janda.
Tidak siapa menduga Ucu Labat yang mampu meniup serunai
batang padi untuk memikat gadis-gadis di dalam kampung tiba-tiba jatuh hati
dengan Saenah Janda yang boleh dijadikan emak. Sudah dua tiga kali dia
berkahwin disebabkan gadis-gadis itu mengejeknya badan berbau busuk. Besoknya
pagi-pagi lagi perempuan berkenaan menunggu di tangga tidak mahu berenggang dengan
Ucu Labat. Tetapi tidak sampai dua bulan mereka berkahwin, Ucu Labat ceraikan
juga.
Siapalah yang sanggup menjadi isteri Ucu Labat, kalau
mereka sahaja terpaksa bertekun di tengah sawah. Ucu Labat habiskan masa di
kedai majong bersama kawan-kawan Cinanya di kawasan estet. Kadang-kala sampai
dua tiga hari tidak balik ke rumah; bermakna dua tiga hari juga tidak mandi
hingga badan berbau hapak.
Memang tersinggung juga Ucu Labat apabila dileteri oleh
Saenah Janda tatkala berselisih jalan. Terasa loya tekak Saenah Janda
berselisih jalan semasa Ucu Labat balik dari bermain majong disebabkan tiga
hari tidak mandi langsung.
"Berhentilah main majong tu Labat," ujar Saenah
Janda menggalas tajak ke sawah sebaik sahaja matahari naik segalah.
"Saya bukan menyusahkan orang, Kak Nah,"
sahutnya tersengih-sengih sekalipun hatinya mendongkol.
"Tak menyusahkan orang memanglah, tapi bau badan kau
tu hapak, nak loya tekak aku!" gerutu Saenah Janda menjeling marah. Benci
sangat dia dengan perangai Ucu Labat yang tidak lekang di meja majong asal
sahaja ada duit selepas menjual getah.
"Buat apa Kak Nah sibuk, saya bukan laki Kak
Nah," lantas sahaja Ucu Labat mengejeknya apabila beberapa orang melintas
untuk turun ke sawah.
"Kalau kau tu laki aku, tahulah kau langit ni tinggi
laut tu dalam!" Saenah Janda mencebek bibir kerana terasa malu dihina oleh
Ucu Labat di hadapan orang-orang kampung.
Tetapi Ucu Labat juga terasa malu dimarahi oleh Saenah
Janda di hadapan orang-orang kampung mahu turun ke sawah. Sepanjang malam Ucu
Labat tidak dapat lelapkan mata disebabkan terlalu marah dengan sikap Saenah
Janda. Kalau tidak kenangkan usia perempuan itu sudah tua hampir sebaya dengan
emaknya, memang bila-bila dia akan uji biar sampai melutut meminta dikahwini.
Lama juga dia berfikir sebelum membuat keputusan. Apalah
salahnya membalas dendam biar Saenah Janda merayu-rayu meminta dijadikan
isteri. Setidak-tidaknya dia boleh meminta wang dari Saenah Janda untuk duduk
bertunggu hari main majong bersama kawan-lawan Cinanya. Saenah Janda mesti
diajar juga supaya mulutnya tidak celupar sangat mengejek dia.
Setelah hatinya bertekad mahu mengambil Saenah Janda
menjadi isteri buat sementara sahaja dalam masa dua tiga bulan, Ucu Labat
lantas mencapai bantal tidurnya. Ditepuknya bantal itu tiga kali terus dia
membacakan jampi serapahnya:
Hai, insan wah-di insan, hai wandi
mani manikam, aku tahu asal kau jadi, masuk ke batang tubuh aku, kembali kepada
dia, Qul-inquntum tuhibunal-lahha fatab-'uni yuhhibbu qumullah hu...
Selepas itu dilambungnya bantal tersebut tiga kali,
sebelum diletakkan dan ditepuk lagi tiga kali. Kemudian barulah dia rebahkan
kepala ke situ hingga berdengkur tidur tidak peduli apa-apa lagi.
Ketika bangun solat subuh nenek aji tidak peduli sangat
adiknya yang tidur berselubung di hujung serambi. Memang sejak menjadi duda,
Ucu Labat menumpang di rumah nenek aji. Tok Aji juga tidak peduli sama ada dia
mahu menoreh getah ataupun tidak, kecuali sekali sekala Tok Aji tegur juga
menyuruhnya tunaikan solat.
Ucu Labat sekadar mengangguk sahaja. Dia akan solat
berjemaah sekiranya tidak ke kawasan estet bermain majong. Tahu sangat saya Ucu
Labat memang tidak menemui kawan-kawan Cinanya kalau dia tidak berduit
langsung. Kerat sepuluh pun dia tidak berani meminta dari nenek aji sampai
bila-bila.
Selesai sahaja tunaikan solat subuh bersama Tok Aji
itulah, nenek aji mendengar suara perempuan memanggil Ucu Labat dari tengah
halaman. Sudah diduga oleh nenek aji memang perempuan tersebut sudah dikenakan
oleh adiknya Ucu Labat.
Nenek aji mati akal kalau dengan adiknya yang seorang
itu. Ditegah macam manapun dia tidak pernah serik. Apalagi dengan Tok Aji,
memang dia tidak mahu campur urusan adik iparnya. Cuma sekali-sekali dia
menyindir juga supaya saya tidak mengikuti jejak Ucu Labat.
Sebaik sahaja nenek aji membuka pintu terkejut dia
melihat Saenah Janda tercegat di tengah halaman. Tersipu-sipu malu Saenah Janda
apabila mendongak ke pintu melihat nenek aji di situ. Tidak segan-segan Saenah
Janda bertanyakan Ucu Labat.
Tetapi nenek aji sudah memahami asal sahaja perempuan
datang terjongol tatkala pagi sebelum matahari naik segalah, sudah tentulah
dikenakan ilmu pengasih amalan Ucu Labat. Di mana Ucu Labat belajar hingga
mujarab sangat amalannya, nenek aji juga tidak tahu.
Dua minggu selepas berkahwin dengan Saenah Janda itulah
Ucu Labat tidak lagi bermain majong. Dia sanggup sama-sama menggalas tajak
turun ke sawah bersama Saenah Janda. Hairan juga nenek aji dengan perubahan
adiknya itu, yang mahu bekerja untuk menyara hidupnya.
Lebih sebulan Ucu Labat bersama Saenah Janda tidak siapa
pun menyangka perubahannya itu. Aki Alang sendiri gembira kerana adiknya itu
sudah menyedari tanggungjawab bersuami isteri. Dia memuji-muji Saenah Janda
kerana dapat mengawal perangai Ucu Labat yang tidak tahu tanggungjawab itu.
Hanya masuk bulan kedua barulah nenek aji menyedari
keadaan Ucu Labat terlantar sakit hingga tidak tahu melakukan apa-apa. Dia
sekadar duduk sahaja di rumah dan menangis merengek-rengek apabila perut terasa
lapar. Saenah Janda akan letakkan pinggan nasi dibubuhkan lauk ikan bilis
sahaja.
Apabila keadaannya bertambah tenat Ucu Labat tidak lagi
mampu menyuap nasi ke mulut. Dia hanya menunggu sahaja mulutnya disuapkan botol
susu berputing untuk dinyonyot. Tidak pernah Saenah Janda memberitahu nenek aji
keadaan yang ditanggung oleh Ucu Labat itu.
Hanya tergerak sahaja hati nenek aji mahu menjengah
adiknya itu disebabkan lama sangat Ucu Labat tidak jejak kaki ke rumahnya.
Jarang Ucu Labat tidak balik menemuinya sekalipun sudah beristeri. Memang sejak
kecil dialah yang memelihara Ucu Labat, seolah-olah dialah emak yang
mengasuhnya. Masakan Ucu Labat tidak mahu balik menemuinya kalau tidak
disebabkan gangguan lain.
"Kau buat apa Labat ni, Saenah?" gerutu nenek
aji sebaik sahaja melihat keadaan adiknya yang merengek-rengek laksana bayi di
dalam buaian.
"Entahlah kak aji, tiba-tiba aje dia jadi macam
tu," sahut Saenah Janda mencemik muka.
"Kenapa kau tak beritahu Labat ni sakit?"
tersinggung juga nenek dengan sikap Saenah Janda seolah-olah mahu mencabar dia.
"Nak kata sakit dia tak sakit, tapi keadaannya macam
orang sakit," ujar Saenah Janda masih berpura-pura.
Setelah menjengah Ucu Labat inilah, nenek aji memanggil
Aki Alang ke rumahnya. Dia meminta Aki Alang dan Tok Aji cuba selamatkan juga
Ucu Labat. Kalau jahat pun Ucu Labat, dia tetap adik juga kepadanya. Macam
manapun nenek aji perlu berusaha selamatkan adiknya itu.
Tetapi Aki Alang mudah sahaja panas baran. Mahu sahaja
dia menampar muka Saenah Janda biar perempuan itu mengaku apa yang telah
diperlakukannya terhadap Ucu Labat. Tentu dia gunakan ramuan makan sampai Ucu
Labat menjadi bodoh seperti bayi dalam buaian.
Aki Alang menuduh Saenah Janda hidangkan nasi kangkang
berwap kepada Ucu Labat sebaik sahaja mereka berkahwin. Sebab itulah Ucu Labat
menjadi bodoh tidak boleh berfikir langsung. Kalau tidak diberi nasi kangkang
berwap tentu Ucu Labat mudah tinggalkan Saenah Janda.
Tentu Saenah Janda tidak mahu lepaskan lagi Ucu Labat,
biar lelaki itu tidak sombong dengan amalan ilmu pengasihnya selama ini.
Disebabkan amalan ilmu pengasih itulah Ucu Labat merasakan semua orang
perempuan macam barang mainan sahaja. Apabila diperlukan dia akan menyeru
sampai perempuan itu melutut, dalam masa beberapa minggu pula dia akan halau
perempuan itu bagaikan anak tidak ber-keluarga.
"Jangan kau nak tunjuk panas baran," Tok Aji
ingatkan Aki Alang supaya tidak terburu-buru menyalahkan orang lain. Kenapa
tidak salahkan adik sendiri yang menganiaya orang dengan amalan ilmu pengasihnya
itu?
"Pandai-pandai tupai melompat, jatuh juga ke
tanah," gerutu nenek aji apabila kenangkan nasib yang menimpa Ucu Labat.
"Kau pun, kalau takbur sangat, akan jadi macam Labat juga!" tegas
nenek melepaskan rasa geram kepada Aki Alang.
"Takkan sama saya dengan Labat," ujar Aki Alang
tersinggung dengan ejekan kakaknya. Perkara kesalahan Ucu Labat tidak patut
disangkutkan kepadanya pula. Biarlah urusan Ucu Labat dipikul ke atas bahunya
sendiri, supaya dia insaf akan kesalahannya selama ini.
"Kalau benar
Saenah lakukan, biar urusan Allah tentukan," beritahu Tok Aji perlahan.
Perkara menganiaya suami memang dosa yang perlu ditanggung oleh isteri, tidak
perlu sesiapa pun campur urusan Allah.
Tok Aji hanya meminta izin daripada Saenah Janda membawa
Ucu Labat balik ke rumahnya untuk diubati. Seminggu Ucu Labat dibawa balik ke
rumah nenek aji, tidak pernah Saenah Janda datang menjengah. Memang berkeras
juga dia pada mulanya tidak benarkan Ucu Labat dibawa balik ke rumah nenek aji.
Kalau mahu diubati apa salahnya di rumah dia sahaja.
Tetapi dia terpaksa lepaskan juga kerana bimbangkan Aki
Alang. Manalah tahu lelaki itu tidak dapat menahan sabar sampai menerpa tidak
bertangguh. Cepat sahaja tangan Aki Alang merentap rambutnya sambil melepaskan
tamparan ke muka macam harimau lapar di tengah rimba.
Tahu sangat dia sekiranya Aki Alang tengah panas baran.
Kasim Pagan guru silatpun diheretnya ke tengah gelanggang tidak berani bercakap
apa-apa. Terpinga-pinga Kasim Pagan apabila Aki Alang menghunus parang mengajaknya
memencak tunjukkan ketangkasan membuka langkah.
Belum sempat Kasim Pagan menerpa kaki Aki Alang pantas
membuka langkah mengelak. Dia terus menyiku ke bawah rusuk sampai Kasim Pagan
terlentang jatuh tidak bertampan. Memang Kasim Pagan tidak mampu menyaingi
ketangkasan Aki Alang kalau mahu membuka langkah di tengah gelanggang.
Apalagi memang salah dia menuduh Aki Alang gunakan ilmu
pengasih memikat isterinya. Kalau tidak kenangkan isteri Kasim Pagan itu
sepupunya sendiri, memang tergamak juga dia hayunkan limau di tengah malam biar
Jeliyah datang tersepuk di depannya. Marah benar dia dengan cemburu Kasim Pagan
tidak bertempat. Belum tergamak dia mahu memikat Jeliyah dengan amalan ilmu
pengasihnya. Kasim Pagan tidak perlu cemburukan dia sekiranya Jeliyah melayaninya
berbual-bual. Masakan dia mahu mencemarkan sepupunya sendiri!
Sebab itu siapapun di kampung tidak berani sangat mahu
mengajak Aki Alang berkeras sampai dia panas baran. Satu-satunya yang boleh
menyabarkan dia cuma Tok Aji. Dalam suaranya yang lembut, Aki Alang tidak akan
angkat muka mahu menatap muka Tok Aji.
Setelah Ucu Labat dibawa balik, tiga hari Tok Aji
berpuasa untuk tunaikan solat tahajud. Tengah malam dia bangun bersolat hingga
terpaksa bersekang mata untuk memantapkan zikir yang bergema jauh di lubuk
hati. Selepas berturut-turut tunaikan solat tahajud inilah Tok Aji menyuruh Ucu
Labat dimandikan di dalam kain nenek aji dengan dikangkangkan kepalanya. Dia
mandikan Ucu Labat di kaki tangga dengan membacakan doa:
Fat-tahazat min dunihim hijaban
paarsalna ilaiha rohana fatamassala laha basyaran sawiyan
dan diulangi sepuluh kali.
Tiga pagi berturut-turut dia mandikan Ucu Labat, hingga
tubuhnya kelihatan segar semula, sekalipun keadaannya masih bingung lagi.
Apabila dimarahi oleh nenek aji, Ucu Labat mula memahami pertuturan orang lain.
Dia tahu mencapai cawan untuk meneguk air. Setelah seminggu dimandikan itu Tok
Aji menyuruh nenek aji memberi minum air hujan yang ditadah di tengah padang
dengan didoakan:
Ya qadim, ya daim, ya Ahad, ya Wahid,
ya Samad, Allahhumma inni as-alaka bismika al-ahadal 'aza-wada'waka,
Allah-humma bismikal ahadal-samada wada'waka, Allah-humma bismikal 'azimil
witri wada'waka, Allah-humma bismikal kabiral muta'alallazi mala-al arkana
kullaha an-tak'afa 'inni ma-asbahata wama amsita-fihi
Dengan air yang didoakan oleh Tok Aji itu, di samping
nenek aji sendiri membimbingnya, lebih sebulan barulah keadaan Ucu Labat mula
berubah. Dia boleh makan bersuap semula, dan tahu keadaan alam keliling.
Bagaimanapun pertuturannya masih pelat juga seolah-olah lidahnya kelu sejak
menghidap penyakit ganjil itu.
Sebaik sahaja keadaan Ucu Labat pulih, dia tidak mahu
balik semula ke rumah Saenah Janda. Sekali-sekala Aki Alang mengusiknya
menyuruh dia balik menemui isterinya, dia tersengih-sengih sahaja. Terasa macam
ada rahsia yang terpendam di lubuk hatinya sehingga tidak mahu lagi jejak kaki
di rumah Saenah Janda.
Tetapi Tok Aji tahu rahsia yang disembunyikan oleh Ucu
Labat. Tiga malam dia berturut-turut tunaikan solat sunat tahajud dengan
berzikir panjang sampai santak subuh, dia melihat seolah-olah di hadapannya
menjelma Saenah Janda mengejek dia.
Sengaja Saenah Janda tunjukkan di hadapannya bagaimana
dia memakan pucuk gelenggang hingga buang air besar keluarkan cacing gelang
bersama najisnya. Cacing gelang itulah dijemur hingga kering seperti tali perut
ayam. Setelah cukup kering cacing gelang itu disalai pula sebelum digoreng di
kuali sehingga garing.
Selepas itu ditumbuknya halus dijadikan seperti serbuk
kopi. Serbuk cacing gelang yang diteran dari perutnya itulah ditapakan di atas
busut sampai tiga malam. Hanya secubit sahaja serbuk cacing gelang itu
dicampurkan ke dalam air minuman Ucu Labat, bila-bila sahaja Saenah Janda boleh
mempengaruhi dia.
Amalan ilmu pengasih yang dibanggakan oleh Ucu Labat
selama ini tidak mampu menyelamatkan dia daripada serbuk cacing gelang yang
keluar bersama najis Saenah Janda. Kalau Ucu Labat berbangga dengan amalannya
sampai dapat menawan hati Saenah Janda, perempuan itu juga tidak kurang dengan
pengalamannya.
Perkara ilmu pengasih ini memang sudah menjadi amalan
Saenah Janda hingga semua suaminya tunduk mengikut telunjuknya. Belum pernah
mana-mana suaminya berani angkat muka setelah berkahwin dengannya. Tetapi tidak
pernah pula berlaku seperti Ucu Labat sampai terlantar sakit menjadi seperti
bayi baru dilahirkan.
Bukan sekali dua Saenah Janda sudah menjadi janda. Masuk
Ucu Labat sudah enam orang suaminya. Masakan dia tidak berpengalaman menghadapi
kerenah lelaki yang cuba memperdayakan dirinya. Apalagi dia memang menyedari
Ucu Labat menggunakan amalan ilmu pengasih hingga dia tidak dapat lelapkan mata
sepanjang malam.
Asal sahaja dia mahu lelapkan mata nescaya Ucu Labat akan
tercegat di hadapannya melayani dia sepanjang malam. Ucu Labat akan memicit-micit
tubuhnya hingga terasa segar. Sebab itulah terbangun pagi sahaja dia tidak
segan-segan ke rumah nenek aji mahu menatap wajah Ucu Labat. Kalau dia tidak
dapat menatap wajah Ucu Labat, memang hatinya berdebar-debar sepanjang hari.
Setiap detik dia merasakan dirinya bersalah terhadap Ucu
Labat kerana mengejeknya berbau busuk. Selagi tidak dapat bersua muka meminta
maaf, rasa bersalahnya itu terus menyelubungi dirinya. Selepas meminta maaf
terpulanglah pada Ucu Labat sama ada mahu mengambilnya menjadi isteri atau
tidak. Dia tidak akan terkilan setelah Ucu Labat sanggup memaafkan dirinya yang
telah bersalah.
Tentu amalan ilmu pengasih Ucu Labat yang menyebabkan dia
bagaikan orang gila sentiasa teringatkan lelaki itu. Sebab itulah Saenah Janda
tidak boleh diamkan begitu sahaja. Kalau Ucu Labat boleh perdayakan dirinya,
dia juga tidak akan lepaskan lelaki muda seperti Ucu Labat sengaja mahu
mempermainkan dia.
Satu-satunya yang boleh tundukkan Ucu Labat memang serbuk
cacing gelang yang keluar bersama najisnya. Suaminya yang terdahulu memang
tidak pernah membantah apa sahaja kemahuannya setelah diberi serbuk cacing
gelang. Kalau suaminya berani jatuhkan talak, hanya dalam masa seminggu sahaja
lelaki akan datang semula mencarinya. Menangis-nangis suaminya merayu supaya
menerimanya semula.
"Macarn mana pun Labat tetap suami kau, sekalipun
usianya muda," tutur Tok Aji mengingatkan.
“Memang aku tahu dia suamiku," sahut Saenah Janda
seolah-olah menunjukkan keangkuhan dirinya.
"Kalau tahu suami, kenapa kau derhaka?" soal
Tok Aji mengejeknya.
"Dia buatkan aku dulu," tegas Saenah Janda
berang dengan ejekan Tok Aji itu.
"Kalau dia berdosa, kaupun nak berdosa?" Tok
Aji merenung tepat ke mukanya dengan membacakan Fatihah tiga kali.
Terkejut Saenah Janda apabila merasakan mukanya ditiup
angin kencang. Tetapi dia kembali berdiri tegak bagaikan mahu mencabar Tok Aji
di dalam kabus tebal yang memutih.
"Oh, abang aji nak menangkan adik ipar
sendiri!" marah benar Saenah Janda apabila tubuhnya hampir melayang ditiup
angin kencang.
"Aku tak
mengetahui urusan Allah, terpulanglah pada kau sendiri," jelas Tok Aji
sehingga dia merasakan seluruh bulu romanya tegak meremang dengan peluh
memercik sekalipun wap pagi terlalu dingin dengan hembusan angin segar.
Tidak lama selepas Ucu Labat beransur pulih, Tok Aji
diberitahu mengenai Saenah Janda meninggal dunia akibat sesak nafas sewaktu tidur.
Berkali-kali dia menyebut nama Ucu Labat sebelum menghembuskan nafas, tetapi
anaknya melarang diberitahu kepada bapa tirinya itu.
Hanya selepas Saenah Janda meninggal dunia, barulah
anaknya Maaris bersetuju diberitahu kepada bapa tirinya yang lebih muda usia
daripadanya iaitu Ucu Labat. Disebabkan mereka tidak pernah bercerai, Tok Aji
nasihatkan dia menjengah jenazah isterinya itu.
Serba salah juga
Ucu Labat setelah didesak oleh Tok Aji. Setelah menatap jenazah isterinya, dia
terus sahaja balik ke rumah. Ucu Labat tidak ikut sama menghantar jenazah ke
kubur. Hatinya seolah-olah luka dengan pengalaman bersama isterinya itu.
Senja selepas Saenah Janda dikebumikan, mereka seisi
kampung mendengar jeritan halus dari arah tanah perkuburan, tetapi tidak siapa
pun berani menjengah. Maaris sendiri enggan ke tanah perkuburan sekalipun
jiran-jiran percaya suara jeritan itu datangnya dari arah kubur emaknya.
Paginya sebelum mata-hari naik segalah, Sahak Genyeh adik
Saenah Janda sendiri mahu memastikan jeritan halus dari tanah perkuburan itu.
Sebaik sahaja dia menjengah kubur Saenah dia terkejut kerana kepala mayat tertimbul
di permukaan bumi. Kayu daka yang ditandakan pada bahagian kepala tercacak
keras di kepala mayat.
Termengah-mengah Sahak Gengeh memberitahu anak saudaranya
Maaris mengenai kejadian itu. Mereka tidak bertangguh memberitahu orang kampung
apabila mayat Saenah Janda ditolak ke permukaan kubur. Mahu tidak mahu Maaris
terpaksa juga menjemput Tok Aji meminta nasihatnya mahu uruskan semula mayat
emak.
Saya masih lagi berusia belasan tahun ketika itu, sampai
ke tanah perkuburan sewaktu mayat Saenah Janda sudah dikebumikan semula.
Kejadian sedih ini bukan sahaja menyayat perasaan Maaris, tetapi saya juga
disebabkan Saenah sudah menjadi nenek ucu kepada saya, selepas dia berkahwin
dengan Ucu Labat.
Kejadian mayat Saenah Janda yang dikebumikan dua kali ini
memang diketahui sangat oleh penduduk kampung, sekalipun saya tidak sempat
melihat kepalanya yang timbul di permukaan kubur dan tercacak pada kayu daka.
Tetapi, setelah mayat dikebumikan semula memang sempat juga saya duduk di situ
sama-sama aminkan doa Tok Aji.
Selepas itu pula Maaris meninggalkan kampung halaman
hingga tidak di-dengar khabarnya. Cuma saya mendengar khabar dia mengikut orang
menyelam mutiara di Australia. Bukan Maaris sahaja, meninggalkan kampung
halaman, malah Ucu Labat juga terus berhijrah jauh sampai ke Melaka. Sebab
itulah saya rasakan kejadian yang menimpa Ali Kelih itu tidak seberapa kalau
bandingkan dengan Ucu Labat. Tetapi saya sendiri memang tidak berupaya mahu
melakukan apa-apa-pun untuk membantunya.
"Macam mana kita nak buat dengan Ali ni,
ustaz?" ujar Kadir Misai mendesak. Kemudian dia berpaling memandang Eton
Juling yang tersengguk-sengguk menahan rasa terharu yang sekian lama terpendam
di hatinya.
Bersambung………