Sunday, May 10, 2015

123. KEPALA MAYAT DIPENGGAL DUA



LAMA terkejang di tengah rumah dengan nafas berombak-ombak menahan sesak, perlahan Embok Sinah membisikkan kepada menantunya Mat Johar mengenai susuk berlian yang masih belum dibuangkan. Suaranya terketar-ketar sewaktu mendesak Mat Johar beritahu bekas abang iparnya Haji Basudi di Sekincan supaya buangkan sahaja susuk berlian berkenaan.
Terpaksa pula Mat Johar turun ke Sekincan sampai santak senja baru balik semula ke Teluk Intan, tetapi hampa sangat dia disebabkan Haji Basudi sudah lama berpindah.  Ke mana lagi mahu diharapkan sekiranya Haji Basudi tidak ditemui dalam saat dia memerlukan bantuan demikian.
Tahu sangat Embok Sinah satu-satunya yang boleh diharapkan memang bekas abang iparnya Haji Basudi.  Dia sendiri melihat bagaimana Haji Basudi gunakan tempurung kelapa sahaja keluarkan susuk lam yang sudah sebati dalam tubuh Usup Gonjeng suaminya.  Memang marah juga Haji Basudi pada adiknya Usup Gonjeng yang berdegil sangat mahu gunakan susuk lam sejak usia muda lagi.
Selepas berkahwin dengan Embok Sinah janda beranak satu, lantas sahaja dia tinggalkan kampung halaman disebabkan keluarga sendiri tidak menyenangi.  Lama juga dia tidak jejak kaki balik ke kampung disebabkan tersinggung dengan sikap keluarga, tetapi Haji Basudi tetap memujuknya.  Perkara Usup Gonjeng berkahwin dengan Embok Sinah janda beranak satu tidak penting sangat asal sahaja hubungan keluarga tidak terputus.
Sebab itu Haji Basudi sanggup menjadi jambatan untuk hubungan semula Usup Gonjeng dengan keluarga.  Haji Basudi tidak mahu ungkit mengenai jodoh adiknya dengan Embok Sinah, sekalipun seisi keluarga menuduh janda tersebut gunakan ubat pengasih untuk memikat Usup Gonjeng.  Apalah salahnya anak teruna seperti adiknya Usup Gonjeng menikahi Embok Sinah kalau jodoh mereka telah ditentukan demikian.
Berkali-kali Haji Basudi menuduh Embok Sinah gunakan susuk berlian, tetapi perempuan itu tetap berdalih.  Kalau Embok Sinah tidak mahu mengakui dia gunakan susuk, memang Haji Basudi tidak boleh berkeras menuduhnya.  Tetapi dia tetap ingatkan Embok Sinah perkara yang salah di sisi Allah tidak akan menjadi betul.
Apabila  kenang perkara susuk yang diingatkan oleh bekas abang iparnya itu beberapa tahun dulu, lantas sahaja Embok Sinah mendesak menantunya Mat Johar turun ke Sekincan.  Manalah Mat Johar boleh mengenali Haji Basudi disebabkan mereka tidak pernah bertemu muka.  Lagi pun dia sekadar menantu tiri sahaja pada arwah Usup Gonjeng disebabkan lelaki itu tidak mempunyai anak dengan ibu mentuanya Embok Sinah.
“Kamu carilah dia di Parit Leman,”  ujar Embok Sinah dengan penuh harapan agar dapat menatap muka bekas abang iparnya itu.
“Macam mana kalau Haji Basudi tidak kenal saya,”  serba salah juga Mat Johar mahu memenuhi permintaan ibu mentuanya itu.
“Apa salahnya saya ikut sama,” gerutu Meliah mendesak suaminya supaya turun juga ke Sekincan.  Memang Meliah tahu tentu Haji Basudi tidak akan mengenalinya lagi disebabkan sewaktu Usup Gonjeng meninggal dunia dia belum pun berumur sepuluh tahun.
Selepas Usup Gonjeng meninggal dunia, ibunya berkahwin lagi sampai beberapa kali.  Terpaksa pula dia mengikut ibunya ke mana sahaja selepas berkahwin lain sampai ke Batang Berjuntai, ke Sungai Tengi, ke Gedangsa dan akhirnya menetap di Teluk Intan.  Manalah dia tahu lagi mengenai Haji Basudi di Sekincan yang sudah lama ditinggalkan.
Tetapi dia tidak bimbang apa kalau bertemu muka dengan Haji Basudi.  Tentu orang tua itu masih kenang lagi semasa mereka tinggal berdekatan.  Meliah dapat merasakan betapa mesranya orang tua itu melayani dia sama macam anak sendiri juga.  Kalau tidak disebabkan ibunya berpindah randah selepas berkahwin lain, tentu dia masih dimanjakan oleh Haji Basudi.
“Haji Basudi memang sayangkan kamu, Meliah,”  terketar-ketar suara Embok Sinah apabila kenang kemesraan bekas abang iparnya itu.
“Pak Tua ltu dah lama berpindah dari Sekincan,”  jelas Meliah setgelah diberitahu orang-orang kampung mengenai Haji Basudi tidak lagi menetap di kampong berkenaan.
“Ke manalah dia pindah agaknya?”  keluh Embok Sinah seolah-olah kesal kerana dia sembunyikan sangat rahsianya mengenai susuk berlian itu daripada Haji Basudi.  Kalau sewaktu didesak lelaki itu supaya buangkan susuk berliannya sudah tentu dia tidak mengalami penderitaan demikian.
“Tak tahulah, mereka kata boleh jadi ke kelang, ada yang kata ke Melaka,’  lantas sahaja Mat Johar mencelah.
Memang orang-orang kampung juga sudah terputus hubungan dengan Haji Basudi semenjak dia berpindah ke Kelang.  Sebab itu mereka tidak dapat menjelaskan kepada Mat Johar dan Meliah ke mana Haji Basudi menetap.  Tetapi mereka tetap kenal Embah Sinah sekalipun sudah lama tidak jejak kaki ke Sekinchan.
Mengeluh panjang Embo9k Sinah dalam keadaan keuzurannya bertambah tenat.  Pelupuk matanyha digenangi air.  Memang dia terharu apabila kenang berkeras sangat tidak mahu mengakui gunakan susuk berlian.  Haji Basudi memujuknya supaya buangkan sahaja susuk tersebut sebelum terlambat, tetapi dia terus berdegil tidak mahu mengakui.
Dia tidak perlu berbohong kerana Haji Basudi dapat mengagak siapa sahaja gunakan susuk.  Apabila Usup Gonjeng kecewa tidak pernah mendapat anak disebabkan beberapa kali Embok Sinah keguguran, lantas sahaja dia meminta abangnya Haji Basudi ubati dirinya.  Setelah Haji Basudi salahkan susuk lam yang diamalkannya, terpaksa juga Usup Gonjeng bersetuju supaya dibuangkan sahaja.
Sejak muda dia berkeras tidak mahu buangkan susuk lam tersebut, sekalipun abangnya merungut panjang.  Tetapi Usup Gonjeng tidak boleh bertahan lama setelah beberapa tahun berkahwin masih juga tidak mempunyai anak.  Beberapa kali isterinya Embok Sinah keguguran hanya beberapa bulan sahaja mula mengandung!
“Aku dah cakap buangkan sahaja susuk lam kamu tu,”  tutur Haji Basudi tatkala adiknya kecewa dengan nasib yang dialaminya.
“Takkan kerana susuk lam, Sinah keguguran!”  merungut juga Usup Gonjeng apabila abangnya terus mendesak meminta buangkan susuk lam yang diamalkan sejak bertahun-tahun
“Manalah tahu, kalau disebabkan susuk lam tu,”  tegas Haji Basudi perlahan kerana menyedari susuk lam itu tidak berkuasa apa-apa.  Tetapi manalah tahu Allah mahu menguji hambanya dengan amalan yang tidak diredzai.
“Siapa yang nak buangkan,”  keluh Usup Gonjeng apabila kenang gurunya Wak Lijat sudah lama meninggal dunia.  Lainlah kalau Wak Lijat masih hidup tentu gurunya boleh buangkan dengan mudah.
“Tiap penyakit ada ybatnya!”  sahut Haji Basudi tidak bimbang apa sekiranya Usup Gonjeng benar-benar ikhlas mahu buangkan terus susuk lam yang diamalkannya.
“Kalau Abang Aji boleh, cubalah,”  lantas Usup Gonjeng mendesak abangnya membantu.
Namun jauh di sudut hatinya Usup Gonjeng tetap tidak yakin amalan susuk lam itu menyebabkan isterinya tidak boleh mengandung.  Beberapa kali Embok Sinah mengandung tetapi keguguran mengkin disebabkan dia tidak tahan bekerja teruk.  Setiap hari Embok Sinah terpaksa membuat kerja-kerja rumah hingga santak petang.
Kadangkala sayu juga Usup Gonjeng apabila kenang isterinya terpaksa tumpukan sepenuh masa di rumah.  Sewaktu Embok Sinah janda memang isterinya seringkali ikut menyanyi di majlis perkahwinan.  Suara lunak Embok Sinah inilah yang memikat hati Usup Gonjeng.
Biarlah seisi keluarganya melarang dia berkahwin dengan Embok Sinah, namun Usup Gonjeng tetap nekad mengharungi dugaan.  Apa sangat dugaan tatkala mengambil keputusan berkahwin dengan Embok Sinah kalau bandingkan dengan dugaan setelah ditusukkan susuk lam.  Dia terpaksa ikut Wak Lijat menyelam di dasar parit mencari rumput tempat lam melekap.
Bukan mudah mencari lam melekap pada rumput di dasar parit dengan airnya keruh bukat.  Lam pun bukanlah besar sangat hanya sama seperti hujung lidi, meliuk-liuk laksana pacat mahu mencari mangsa.  Tetapi Wak Lijat tahu di mana lam melekap di dasar parit itu lantas diikatkan dengan benang hitam ke perdu rumput.
Usup Gonjeng sendiri mesti menyelam ikut benang yang sudah diikat ke perdu rumput di dasar parit.  Perlahan dia hulurkan telunjuk ke hujung rumput sehingga terasa lam meliuk-liuk laksana pacat di tepi permatang sawah.  Sebaik sahaja lam tersebut melekat di hujung jarinya, dia mesti cepat-cepat naik ke permukaan parit sebelum binatang itu berpindah ke hujung rumput yang lain.
Setelah lam berkenaan dibawa naik ke atas, Wak Lijat bacakan jampi menteranya lantas tusukkan duri landak di bawah ketiak Usup Gonjeng.  Kesan luka yang berdarah selepas ditusuk duri landak ditonyohkan lam tersebut.  Perlahan-lahan lam melekap pada bekas luka ditusuk terus menuyusup ke celah rongga mengikut darah yang meleleh.
Sebaik sahaja lam menyusup masuk nescaya darah bekas ditusuk duri landak itu berhenti serta merta.  Usup Gonjeng  melihat sendiri luka ditusuk duri landak itu juga bertaup hingga tidak ada lagi kesan lukanya di situ.  Ketika ini Usup Gonjeng dapat rasakan lam yang menyusup ikut bekas luka yang ditusuk menjalar di dalam tubuhnya.
“Sehari dua ni memang kamu rasa rimas,”  beritahu Wak Lijat setelah anak muda itu melepasi ujian.  Tahu sangat dia rasa rimas sepanjang hari tatkala lam berkenaan bergerak merata badan.
“Macam mana kalau lam ini keluar?”  bimbang juga Usup Gonjeng sekiranuya lam tersebut akan keluar semasa dia buang air.
“Kalau keluar pun lam yang zahir aje, lam yang batin kekal dalam tubuh kamu!”  tegas Wak Lijat semacam tersinggung dengan sikap Usup Gonjeng yang was-was dengan amalan yang diamalkannya.
“Kadangkala terasa sakit juga jantung saya,”  ujar Usup Gonjeng apabila lam berkenaan menjalar sampai menyusup ke jantung.
“Biarkan susuk lam itu sebati dengan diri kamu!”  Wak Lijat ingatkan dia mengenai petua dan amalan apabila gunakan susuk lam.  Bukan mudah dia mahu turunkan amalan susuk lam itu sekirannya hatinya tidak berkenan.  Hanya Usup Gonjeng satu-satunya yang dapat memujuk dia supaya diturunkan amalan susuk lam tersebut.
Memang Usup Gonjeng tahu sangat mengenai Wak Lijat yang amalkan susuk lam berkenaan sejak bertahun-tahun.  Asal sahaja tangannya terhiris sabit sewaktu merumput di permatang sawah nescaya lukanya akan bertaup serta merta.  Kesan luka di tangannya akan hilang tidak berbekas langsung.
Bukan takat dihiris mata sabit sahaja, malah ditusuk sengat semilang pun Wak Lijat tidak bimbang apa-apa.  Sebaik sahaja sengat semilang menusuk tapak tangan sekaligus kulit yang luka akan bertaup.  Bisa sengat semilang juga tidak jejaskan dia sekalipun tertusuk hingga melekat kedaging.
Sebab itu Usup Gonjeng puas memujuk Wak Lijat supaya diturunkan amalan susuk lam yang boleh bertahan daripada luka terguris.  Manalah abangnya Haji Basudi tahu kalau turun ke sawah, bila-bila mata tajak boleh singgah ke kaki.  Siapa sahaja luka akibat disinggahi mata tajak sewaktu turun ke sawah, nescaya berminggu-minggu menanggung kesakitan.
Selagi luka tidak sembuh tentu mereka tidak boleh turun berendam di tengah lumpur selut.  Mudah sahaja luka berkenaan membusuk akibat terendam dalam lumpur selut sekirannya gagahi juga turun ke sawah, apalagi sengat semilang akan menusuk tapak tangan kalau menimba lubuk tatkala sawah mahu keringkan air.
Lama dia memujuk Wak Lijat sebelum orang tua itu bersetuju turunkan amalannya.  Sebelum menyelam lam di dasar parit, Wak Lijat menyuruh dia mandi terlebih dahulu gunakan air tujuh muara sungai.  Wak Lijat sendiri yang jiruskan dengan menyongsang dari kaki naik ke kepala.  Sewaktu jiruskan air tujuh muara itu ke tubuh Usup Gonjeng perlahan-lahan Wak Lijat menyeru:
Alam qobir alam sagir, sudut hati pusat hati dada, tengkuk hidung dahi kita, niat tiada bersuara tiada berupa tiada berhuruf, sebenar-benar diri kapas, diri terperi benang, diri terdiri kain, malikon jibron zok haqqul mubin….
Setelah dijiruskan air tujuh muara sungai itu, Wak Lijat tidak benarkan Usup Gonjeng bertemu muka dengannya sampai seminggu.  Selama tujuh hari itu Usup Gonjeng mengalami gatal-gatal kulit.  Terpaksa juga dia menggaru disebabkan tidak tertahan dengan gatal-gatal yang merenyam seluruh badan laksana terkena birah di tengah becah.
Kalau tidak disebabkan dilarang menemui Wak Lujat memang dia tidak bertangguh menyerbu ke rumah orang tua itu.  Gatal-gatal kulitnya sampai melecet apabila digaru sekuat hati.  Bimbang juga dia dengan air tujuh muara sungai itu kalau-kalau terlalu kotor seperti air selut di tengah lubuk.
Selepas tujuh hari mengidap gatal-gatal seluruh badan barulah Usup Gonjeng menjengah ke rumah Wak Lijat.  Tetapi dia menjadi hampa disebabkan Wak Lijat suami isteri tidak ada di rumah semasa dia menjengah ke situ.  Marah benar dia dengan Wak Lijat seolah-olah memperolokkan dia dalam saat menanggung gatal-gatal kulit.  Berturut-turut tiga pagi Usup Gonjeng ke rumah Wak Lijat, tetapi orang tua itu tidak tahu ke mana.
Pagi yang keempat Usup Gonjeng kunjungi rumah Wak Lijat barulah dia menemui orang tua itu tengah mengilir mata parang.  Terkejut benar dia apabila diberitahu oleh Wak Lijat dia tidak ke mana-mana selama tiga pagi.  Tentu usup Gonjeng merasakan dia sudah jejak kaki ke rumah Wak Lijat, tetapi sebenarnya dia tidak menjengah pun ke situ.
“Tapi kamu tak berputus asa!”  tersenyum Wak Lijat kerana kesungguhan anak muda itu mengulangi berturut-turut tiga pagi mahu menemui dia.  Sekiranya Usup Gonjeng berputus asa sudah tentu dia tidak dapat melepasi ujian tersebut.
“Saya ingatkan Wak sengaja nak larikan diri!”  gerutu Usup Gonjeng setelah diberi penjelasan oleh Wak Lijat.
“Hah, kamu mesti sabra kalau mahu berjayua, Usup,”  Wak Lijat ingatkan dia supaya tidak mudah menyerah kalah.
Setelah dimandikan dengan air serum di bawah tangga rumah, gatal-gatal kulit yang dihidapinya hilang serta merta.  Hairan juga Usup Gonjeng apabila gatal-gatal itu sembuh sebaik sahaja dijirus dengan air serum.  Memang Wak Lijat tahu dia mengalami gatal-gatal kulit selama tujuh hari.  Sebab itu Wak Lijat sediakan daun serum direbus tatkala senja mengepak.
Air daun serum yang telah direbus itu diembunkan dahulu sepanjang malam dengan diletakkan di tengah padang terbuka.  Berturut-turut tiga pagi pula Usup Gonjaneg terpaksa mandi air serum sampai kulit melecet akibat digaru kuat pulih tidak berbekas apa-apa.
Selepas sempurna ujian awal itulah Wak Lijat menyuruh dia menyelam ke dasar parit mencari lam yang melekap di daun rumput.  Tidak perlu Wak Lijat tunjukkan pada Usup Gonjeng mengenai lam yang boleh bercantum semula sekalipun dikerat sepuluh.  Tubuh lam yang kecil melidi tetapi panjang hampir sejengkal itu meliuk-liuk di hujung jari apabila dibawa naik ke permukaan air.
Geli geleman juga Usup Gonjeng tatkala melihat lam meliuk-liuk laksana pacat di tepi permatang sawah.  Tetapi dia mesti tabahkan hati kalau mahu mengikuti jejak Wak Lijat.  Biarlah abangnya Haji Basudi tidak senang dengan amalannya, tetapi dia yang terpaksa menghadapi banyak cabaran apabila bekerja di tengah sawah.
Manalah abangnya tahu kalau ular tedung hitam berlingkar dalam lubang tanah di tepi permatang.  Sudah tentu ular berkenaan akan menerkam tidak bertangguh sekiranya lubang tempat ia bersarang diganggu.  Dia melihat sudah beberapa kali Wak Lijat dipatuk ular, tertapi gigitan ular berkenaan tidak berbekas apa-apa.
Amalkan susuk lam bukan mahu tunjukkan kepada sesiapa mengenai dirinya boleh bertahan daripada terluka ditetak mata tajak, tetapi semata-mata lindungkan diri supaya tidak cedera.  Di tengah sawah tentu pelbagai petaka boleh berlaku sekiranya tidak bersedia mencari perlindungan.  Walau tidak terluka ditetak mata tajak pun, ular tedung hitam boleh mematuk tatkala sarangnya diceroboh.
Ular tedung hitam memang bersarang dalam lubang permatang sawah.  Sebaik sahaja dicebak lubangnya nescaya ular berkenaan akan mencodakkan kepala.  Belum sempat mahu berundur ular berkenaan sudah menerkam pantas hingga taringnya melekat pada betis.  Sekaligus pula kepalanya berpiuh-piuh di situ apabila taring bengkoknya melekat pada daging betis yang  tertusuk.
Sebab itu Usup Gonjeng amalkan susuk lam yang diturunkan oleh Wak Lijat.  Tahu sangat dia mengenai Wak Lijat dipatuk ular tedung hitam hingga berlubang betisnya ditusuk taring.  Sebaik sahaja taring ular berkenaan terlepas dari daging betisnya, sekaligus ular tersebut menggelepar menghempaskan badan.  Kemudian perlahan-lahan menjadi lembik terkejang mati dengan sisiknya biru lebam.
Memang bisa taringnya memakan diri apabila mengerkah betis Wak Lijat.  Sebab itu Wak Lijat tidak bimbang apa-apa kalau diserbu ular tedung hitam di tengah belukar.  Di mana-mana sahaja Wak Lijat jejak kaki memang dia tidak pernah memakai kasut atas alas kaki.  Kalau terpijak kaca di tempat membuang sampah pun nescaya tapak kakinya tidak akan cedera hingga memercik darah.
Tahu sangat Haji Basudi memang adiknya amalkan susuk lam, tatkala dia ditetak dengan parang oleh Jali Singkong.  Tiba-tiba sahaja Jali Singkong menjadi marah apabila menuduh isterinya Timah Sengih diganggu Usup Gonjeng.  Puas Timah Sengih memujuknya supaya tidak cemberu sangat dengan Usup Gonjeng, namun Jali Singkong tidak dapat menahan perasaan.
Sudah beberapa kali dia melihat isterinya Timah Sengih bergurau-gurau mesra dengan Usup Gonjeng tatkala terserempak di sawah.  Kadangkala Usup Gonjeng sengaja membantu pikulkan anak benih sekiranya Timah Sengih mahu mengubah anak padi di tengah lopak.  Tentu Usup Gonjeng mahu menggoda isterinya kalau sanggup membantu kerja di tengah sawah.
Setelah isterinya berdalih dengan sikap mesra Usup Gonjeng, melayani mesra Timah Sengih, manalah Jali Singkong dapat menahan sabar.  Sebab itu dia terus menyerbu Usup Gonjeng tengah terbongkok-bongkok merumput di tengah sawah.  Sewaktu Jali Singkong menetak mata parang, sempat juga Usup Gonjeng bertahan dengan tangan.
Sekali gus mata parang Jali Singkong hinggap pada lengan Usup Gonjeng sampai terkulai.  Hanya dalam masa beberapa minit sahaja lengan Usup Gonjeng yang terkulai bercantum semula.  Terkejut Jali Singkong apabila melihat lengan Usup Gonjeng  yang terkulai tiba-tiba bertaup macam getah dilekatkan.  Tidak bertangguh dia membuang parangnya terus menjerit-jerit sekeliling sawah meminta pertolongan.
Tercungap-cungap Jali Singkong berlari mendapatkan Wak Lijat lantas berlindung di belakang orang tua itu.  Dia terketar-ketar ketakutan setelah melihat lengan Usup Gonjeng yang ditetaknya bertaup semula.  Manalah dia dapat menahan ketakutan setelah melihat kejadian yang tidak pernah dialaminya.
“Tolong aku Wak, aku dah tetak hantu dengan parang!”  gerutu Jali Singkong ketakutan tidak menentu.
“Siang hari macam ni, mana ada hantu?”  tersengih-sengih Wak Lijat dengan keadaan lelaki yang berlindung di belakangnya.
“Hantunya menjelma macam Usup Gonjeng!”  utur Jali Singkong terketar-ketar lantas menuding jari kearah Usup Gonjeng yang mara datang kearah mereka.
“Itu bukannya hantu, bukankah itu Usup Gonjeng!”  beritahu Wak Lijat mententeramkan hati jail Singkong tidak berani menatap muka Usup Gonjeng.
“Aku tetak tangannya dengan parang,”  Jali Singkong terus berlindung di belakang Wak Lijat.  “Tangan yang putus ditetak tu, bercantum semua,”  terlalu rusuh hatinya dengan kejadian yang tidak diduganya berlaku di depan mata.
“Hah, itu perkara biasa aje,”  jelas Wak Lijat sebaik sahaja Usup Gonjeng tercegat di depannya.
“Apa salah aku, jail?”  tegas Usup Gonjeng kesal dengan tindakan Jali Singkong tiba-tiba sahaja menyerangnya.
Serba salah juga Jali Singkong mahu memberitahu mengenai rasa cemburunya setelah melihat idterinya Timah Sengih melayani Usup Gonjeng.  Tetapi Wak Lijat tahju perasaan cemburu Jali Singkong semata-mata disebabkan amalan yang diamalkan oleh Usup Gonjeng gunakan susuk lam.  Kalau tidak sabar dengan amalan demikian sudah tentu banyak mudarat yang dihadapi oleh Usup Gonjeng.
Dia sudah ingatkan Usup Gonjeng supaya bersahar sekalipun diuduh Jali Singkong cuba menggfoda Timah Sengih.  Kadangkala rasa cemburu demikian seolah-=olah dibisikkan ke telinga Jali Singkong sampai di hilang pertimbangan.  Jauh di sudut hati Usup Gonjeng memang dia tidak terniat mahu menggoda Timah Sengih.  Apa lagi Jali Singkong masih mempunyai pertalian keluarga dengannya, makakan dia tergamak mahu menggoda isteri Jali Singkong.
Tetapi dugaan demikian terpaksa dihadapi oleh Usup Gonjeng.  Selagi susuk lam itu menyerap dalam dirinya nescaya seisi kampung akan menuduhnya sengaja mengoda isteri orang, sekalipun dia sekadar melayani mesra sesiapa sahaja.
Memang Jali Singkong tidak tahu mengenai Usup Gonjeng gunakan susuk lam sama seperti Wak Lijat.  Kalau tidak disebabkan dia menetak Usup Gonjeng dengan mata parang hingga terkulai lengan, kemudian bercantum semula tidak semena-mena nescaya dia menyangka di depannya bukan manusian biasa.  Tentu puaka air yang menjelma menjadi Usup Gonjeng tercegat di depannya.
Bukan Usup Gonjeng sahaja terkulai lengan ditetak dengan mata parang,  Wak Lijat juga pernah terpokah paha dikerkah buaya tatkala meranduk sungai menangguk udang.  Seisi kampung tahu mengenai Wak Lijat di kerkah buaya menyebabkan dia merangkak ke tebing dengan pahanya di gonggong ke tengah arus.  Belum sempat buaya berkenaan mengheret paha Wak Lijat tiba-tiba sahaja terlepas dari celah taring berceranggah.
Wak Liljat duduk sahaja di atas tebing, menunggu pahanya menerpa semula ke tubuh.  Kemudian melekap semula bercantum macam tidak terpokah apa-apa.  Sewaktu orang-orang kampong dating untuk membantu, mereka terkejut melihat Wak Lijat tidak cedera langsung.  Dia sekadar menepuk-nepuk pahanya yang masih berbekas darah akibat dikerkah buaya ganas.
“Bukankah Wak disambar buaya di tengah arus?”  Jali Singkong terkebil-kebil mata setelah melihat Wak Lijat tidak cedera apa-apa.  Memang dia sendiri memanggil orang-orang kampung membantu sebaik sahaja melihat Wak Lijat diheret buaya ke tengah arus.
“Memang aku disambar buaya, tapi geruh aku bukan pada taringnya.”  Beritahu Wak Lijat tenang, sekalipun dia tidak sempat mengelak dari disambar buaya.  Sewaktu dia menangguk udang bersama Jali Singkong geruh disambar buaya semacam sedang menunggunya ditengah arus.
“Macam mana Wak boleh terlepas?”  jirannya mendekati dia apabila melihat darah meleleh di pangkal paha.
“Semuanya dengan kuasa Allah,”  Wak Lijat mengusap-usap dada disebabkan masih keberah-berahan setelah diheret buaya ke tengah arus.
Tetapi mereka tidak melihat pun paha Wak Lijat terpokah habis hingga digonggong buaya berkenaan.  Semasa Wak Lijat merangkak naik ke tebing dengan pahanya terputus memang Jali Singkong sudah berundur memanggil orang-orang kampung meminta bantuan.  Ketika itu Wak Lijhat sempat menyeru.
“Araftu rabbi birabbi,’arafukum birabbihi ‘arafakum binafsihi, waman ‘araf nafsahu faqod ‘arafa rabbihi, waman ‘arafa rabbihi fasdal-jasad.
Sekaligus buaya di tengah arus menggelepar tidak menentu.  Ia berpusing-pusing bagaikan paha Wak Lijat yang digonggongnya menujah kuat ketengah rahang.  Sewaktu dia melepas gonggongan paha berkenaan buaya tersebut mengapung ke permukaan air dengan mulut ternganga tidak dapat dikatupkan lagi.
Semasa orang-orang kampung sampai di tebing sungai, buaya berkenaan masih ternganga mulut di tengah arus.  Ekornya melibas-libas ke kiri ke kanan mahu berundur selamatkan diri.  Semakin kuat dia melibas-libas ekor, buaya tersebut tidak dapat berkuat apa-apa.
“Lain kali jangan buat kurang ajar dengan Wak Lijat!”  laung Wak Lijat lantas menuding jari terlunjuk ke tengah arus.
Apabila Wak Lijat menghentak tumitnya tiga kali ke tanah, mereka melihat buaya berkenaan menggelepar kuat di permukaan air.  Ekornya tidak melibas-libas lagi, tetapi  mulutnya masih ternganga tidak dapat dikatupkan.
“Naik kamu ke tebing ini!”  seru Wak Lijat mengisar tapak tangan dengan menghembus perlahan dia menyebut:
Wama-yangngan rinaksan dinig, kinamulan dining, sukma angali-ngan angalingan dining, dining ranksan teguh, wawayangan angalingan.
Dalam keadaan mulutnya ternganga buaya tersebut perlahan-lahan merangkak naik ke tebing.  Mereka uyang berdiri di tebing melihat kaki buaya itu terkulai seolah-oleh dikerkah musuh.  Tidak bertangguh Wak Lijat menepuk-nepuk bahagian paha buaya itu yang terkulai hingga bercantum kuat semula.  Sebaik sahaja paha yang terkulai itu bertaup kuat barulah mulut binatang berkenaan terkatup semula.
“Kenapa kamu nak kurang ajar dengan Wak Lijat?”  bentak Wak L:ijat lantas menampar kepala buaya itu tiga kali.  Memang buaya itu tidak melawan apa-apa.  Ia meletakkan kepalanya di atas tanah seolah-olah menunggu apa sahaja keputusan daripada Wak Lijat.
Setelah Wak Lijat membacakan jampi serapahnya dia memberi isyarat supaya buaya berkenaan turun semula ke tengah arus.  Tidak bertangguh buaya itu terjun semula ke sungai terus tenggelam ke dasar.  Kejadian yang menimpa Wak Lijat semasa dikerkah buaya memang dilihat sendiri oleh Jali Singkong.
Sebab itu dia percaya tentu Usup Gonjeng sudah menerima amalan Wak Lijat.  Kalau tidak masakan tanganya yang terkulai ditetak dengan parang boleh bercantum semula.  Kesal benar hatinya apabila menuduh isterinya Timah Sengih melayani anak muda yang peramah itu.
Apabila diberitahu kepada Haji Basudi mengenai kejadian adiknya ditetak dengan parang oleh Jali Singkong, dia sekadar mengeluh pendek.  Sekalipun jauh di lipatan  hatinya dia tidak benarkan adiknya amalkan amalan demikian, tetapi Usup Gonjeng tetap berkeras tidak mahu buangkan susuk lam yang sudah sebati dengan dirinya.  Bukan mudah dia menyelam ke dasar parit mahu mencari lam melekap pada daun rumput di dasar parit yang berselut.
Masakan dia mahu buangkan amalan tersebut setelah bersusah payah memujuk Wak Lijat turunkan amalan tersebut.  Kalau abangnya tidak bersetuju bila-bila dia rela tinggalkan kampung halaman.  Biarlah dia tidak menatap muka abangnya sampai bila-bila pun asal sahaja susuk lam itu terus sebati dalam tubuhnya.  Usup Gonjeng tidak mahu siapa pun halang dia gunakan susuk lam yang sudah diturunkan oleh Wak Lijat.
Tetapi selepas Haji Basudi mendesak dia buangkan sahaja susuk lam berkenaan selepas beberapa kali isterinya Embok Sinah keguguran, terpaksa juga Usup Gonjeng mengalah.  Kalau disebabkan susuk lam itu dia tidak boleh mendapat anak apa salahnya dibuang sahaja sampai tubunya bersih suci daripada amalan demikian.
Sekalipun hatinya tidak senang dengan keputusan abangnya Haji Basudi namun dia terpaksa juga mematuhi.  Dia tahu Wak Lijat juga amalkan susuk lam, tetapi orang tua itu tetap mempunyai anak. Tiga orang anak lelakinya dan dua orang anak perempuannya memang tidak pernah pun meminta ayahnya turunkan susuk lam.  Tahu sangat Usup Gonjeng dia satu-satunya yang sanggup  Wak Lijat bersetuju turunkan amalan tersebut.
“Terpulanglah pada Abang Aji, saya sanggup buangkan susuk lam ni,”  tutur Usup Gonjeng setelah lama mengambil keputusan.  Biarlah susul lam itu dibuangkan asal sahaja isterinya Embok Sinah tidak keguguran.  Dia merasa berdosa laku isterinya tidak boleh mengandung disebabkan amalan tersebut.
Haji Basudi mengangguk perlahan.  Dia tahu bukan disebabkan susuk lam itu adinya mengalami kejadian Embok Sinah keguguran asal sahaja mengandung dua tiga bulan.  Tetapi amalan gunakan susuk memang tidak memberi manfaat sesiapa pun.  Apalah maknanya Usup Gonjeng boleh bertahan dari luka semasa hayatnya, tetapi belum tahu bagaimana kesudahannya.
Bukan Usup Gonjeng sahaja pernah ditetak tangan hingga terkulai tetapi bercantum semula,  Haji Basudi juga tahu Wak Lijat dikerkah buaya menyebabkan paha terpokah.  Tidak lama selepas kejadian itu memang Wak Lijat meminta Haji Basudi buangkan susuk lam tersebut.  Bimbang sangat Wak Lijat sekiranya susuk lam itu tidak dibuang sekirannya dia menemui ajal.
Manalah tahu kepalanya mesti dipenggal juga setelah terbujur menjadi mayat.  Kalau tidak dipisahkan kepala dari tubuh nescaya tubuhnya akan bingkas bangun sebaik sahaja dijirus air semasa mayat dimandikan.  Tentu seisi kampung akan kelam kabut sekiranya mayat dia bingkas bangun.  Tetapi dia akan tergolek semula menjadi mayat setelah air yang dijiruskan kering daripada tubuh.
Alangkah terseksanya dia kalau mayat sudah terbujur masih bingkas bangun.  Terpaksalah dipenggal leher biar kepalanya bercerai dari badan.  Setelah dimandi dan dikapankan kepala jua tidak boleh dikebumikan sama  dengan badan.  Mesti dikebumikan berasingan dengan dipisahkan oleh anak air.  Kalau dibiarkan dikebumikan sama setelah kepala dipenggal, Wak Lijat tahu dia akan balik semula menemui keluarga.
Dia tidak mahu mayatnya dipenggal kepala setelah terkejang menunggu masa untuk dikebumikan.  Sebab itu Wak Lijat desak Haji Basudi buangkan sahaja susuk lam yang diamalkan sekian lama.  Tidak ada apa-apa yang mahu dimegahkannya kalau takat tangan yang terputus ditetak parang bercantum semula.  Apalagi Haji Basudi sering ingatkan dia semulia-mulia manusia di sisi Allah hanya mereka yang bertaqwa.
Masakan mereka yang terpenggal leher bercantum semula dapat merasakan dirinya mulia di sisi Allah sekirannya tidak bertaqwa!  Apalah gunanya susuk lam boleh pertahankan diri kalau tidak dapat kemuliaan di sisi Allah.  Memang Wak Lijat memahami pernjelasan yang diberikan oleh Haji Basudi setiap kali dia mengajar di madrasah.
Tetapi susuk lam yang diwarisinya sudah diamalkan sejak usianya masih muda.  Ketika itu memang Wak Lijat tidak peduli mengenai taqwa dan iman.  Dalam usia muda dia hanya berbangga kalau musuh tidak dapat menewaskan sewaktu berhadapan di tengah gelanggang.  Cubalah mereka menghunus keris lantas ditusukkan ke dadanya!  Bila-bila Wak Lijat bersedia busungkan dada.
Musuh akan gementar tidak ketahuan setelah melihat luka di dada akibat ditusuk mata keris akan bercantum semula.  Dia akan bingkas menghambat musuh setelah luka yang parah tiba-tiba pulih tidak berbekas apa-apa.  Kemegahan di masa muda itu tidak bermakna apa-apa lagi kepada Wak Lijat setelah usianya semakin tua.
“Kalau kamu ikhlas nak buangkan susuk lam ni Usup, isya Allah,”  beritahu Haji Basudi kerana bimbang adiknya masih mahu pertahankan juga amalannya.
Usup Gonjeng tidak menyahut apa-apa.  Dia sudah nekad mahu buangkan juga kerana tidak mahu kecewakan isterinya Embok Sinah.  Semenjak dia jatuh hati dengan janda beranak satu itu setelah bertemu dalam majlis perkahwinan, dia tidak mahu kecewakan hati perempaun itu.  Tentu Embok Sinah kecewa sekirannya beberap kali keguguran asal sahaja tengah mengandung.
Lantas Haji Basudi ambil kepala tempurung kelapa ditelangkupkan pada belikat Usup Gonjeng setelah adiknya bersetuju mahu buangkan susuknya.  Puas dia mencari tempat yang sesuai untuik dilekapkan tempurung kelapa itu, namun semuanya tidak mahu melekat apabila Haji Basudi berdoa.
Wa’indahu mafatihol ghaibi laa’lamuha illahuwa, waya’lamu mafilbarri walbahri, wamatasquthu min-waraqotin illa ya-lamuha wala hobbatin fi-zulumatil ardhi waa rath bin walayabirnilla fi-kitabin mubin.
Setelah Haji Basudi mencari-cari tempat melekapkan tempurung kelapa itu tiba-tiba sahaja ianya melekat pada bahagian bawah ketiak.  Ketika ini Usup Gonjeng merasa denyutan kuat hingga ke pangkal bahunya.  Memang dia rasakan kesakitan di bawah ketiak hingga ngilu sampai ke tulang.
Setelah tempurung tersebut melekat di situ, Haji Basudi menepuk-nepuk tiga kali.  Kemudian dia kisarkan tapak tangannya disitu dengan membaca:
Bismillahil lazi layadhurru ma’asmihi syai-in fil-ardhi wala fissama-I wahu-wassami’ul ‘alim.
Sepuluh kali dia ulangi membacanya.  Haji Basudi bacakan pula sepuluh kali lagi:
Bismillahhi amana billahhi waman yaumin billahhi lahaufu ‘alaihi, ya haiyun qa qaiyum ya latif ya zaljalal wal-ikram.
Menggeliat-geliat Usup Gonjeng apabila meras badannya panas seolah-olah terganggang ke api.  Berpeluh-peluh dia menahan kesakitan hingga beberapa kali tidak dapat menahan kentut.  Tetapi Haji Basudi teruskan juga berdoa sampai tempurung yang melekap di bawah ketiak adiknya jatuh dengan sendirinya.
Sebaik sahaja tempurung itu jatuh terlentang ke lantai,  Usup Gonjeng melihat lam terliauk-liuk di situ.  Lam sebesar hujung lidi sepanjang hampir sejengkal itu berlumuran darah laksana pacat tengah kekenyangan.  Memang binatang itu akan mati kalau dicincang lumat pun.  Bila-bila masa tubuhnya yang terputus itu akan bercantum semula.
Sebab itu Haji Basudi sendiri yang buangkan semula lam di dalam tempurung itu ke dalam parit.  Tidak lama selepas lam itu dibuangkan oleh Haji Basudi memanbg Embok Sinah mengandung juga.  Gembira benar Usup Gonjeng apabila isterinya melahirkan anak perempuan yang sekian lama di idamkannya.  Setidak-tidaknya boleh juga jadi kawan bermain Meliah anak tirinya.
Tetapi semenjak berkahwin dengan Embok Sinah memang dia melayani Meliah macam anaknya juga.  Sampaikan Meliah juga memanggilnya ayah.  Bagaimanapun Usup Gonjeng tahu selepas susuk lam dibuangkan, dia sering mengidap  sakit dalam perut.  Kadangkala berhari-hari dia tidak dapat turun ke sawah apabila terasa bisa-bisa dalam perut laksana luka dirucahkan air asam.
Semenjak mengidap sakit perut yang memedihkan itu, keadaan tubuh Usup Gonjeng bertambah kurus.  Mukanya cengkung dengan mata kian terperosok ke dalam.  Sebab itulah seisi kampung memanggilnya Usup Gonjeng sahaja dengan keadaan badannya yang kurus melidi.  Namun dia sudah mengagak badannya menjadi kurus tentu mengikut kesan tubuh lam yang meruncing laksana hujung lidi.
Tidak sampai setahun dia mengidap sakit perut itu Usup Gonjeng terkejang juga beberapa minggu.  Sengaja dia tidak mahu beritahu abangnya Haji Basudi mengenai penyakit yang dihidapinya.  Tatkala Usup Gonjeng meninggal dunia anaknya bersama Embok Sinah baru berumur dua tahu sahaja.
Tetapi Haji Basudi juga tidak boleh membantu apa-apa.  Penyakit perut yang dihidapi oleh adiknya Usup Gonjeng tidak pernah dirawat langsung.  Lainlah kalau Usup Gonjeng berusha  sendiri dapatkan rawatan, memang Haji basudi boleh mencuba.  Setikdak-tidaknya dia akan bawakan juga adiknya ke hospital sekalipun terpaksa dibedah.  Apa salahnya dibedah kala penyakit di dalam perut itu boleh disembuhkan.
Tidak lama selepas kematian Usup Gonjeng anaknya juga mengidap sakit perut tidak menentu.  Dia akan menangis sampai mengerekot menahan kesakitan dalam perut yang tiak dapat diketahui sebabnya.  Asal sahaja dia mengalami sakit perut Embok Sinah melihat muka anaknya pucat lesi.  Apabila diberitahu ada Haji Basudi dia akan berdoakan air menyuruh minum beberapa teguk.
Sewaktu berusia tiga tahun anak kecil itu juga menutup mata.  Sedih benar hati Embok Sinah dengan kematian anaknya bersama Usup Gonjeng.  Kesedihan yang menusuk itulah menyebabkan Embok Sinah tidak mahu jejak kaki lagi ke Sekincan.  Biarlah semua kesedihan itu dibawa sama berpindah ke mana-mana.
“Kalau tak jumpa Haji Basudi, kita boleh cuba siapa saja yang tahu!”  bisik Mat Johan meminta isterinya Melia bertenang apabila perempuan itu gelisah sangat.
“Awak nak cari siapa?”  kelih Meliah perlahan.  Perkara mencari orang lain mahu buangkan susuk berlian emaknya tidak sama dengan menjemput Haji Basudi ke situ.  Setidak-tidaknya hubungan kekeluargaan masih terjalin sekalipun anak Usup Gonjeng meninggal dunia tatkala berusia tiga tahun.
“Kita betanyalah pada sesiapa pun,”  ujar Mat Johan kerana bimbang tidak sempat buangkan susuk berlian emak mertuanya.
Meliah tidak menyahut.  Dia tahu emaknya bukan mahu sangat susuk berlian yang ditusukkan itu dibuang, tetapi mendesak mahu temui Haji Basudi.  Lama mereka terpisah setelah emaknya beberapa kali berkahwin lain.  Memang ramai lelaki yang terpikat selepas ayah tirinya Usup Gonjeng meninggal dunia.
Sekalipun emaknya tidak lagi menyanyi dalam majlis kahwin, tetapi lelaki yang terpikat dengan emaknya memujuk juga.  Tetapi Meliah tidak boleh menghalang apa-apa setiap kali emaknya berkahwin lain.  Memang lelaki berkenaan terpikat disebabkan Embok Sinah kelihatan berwajah muda.  Setelah Meliah dewasa pun mereka yang terserempak Embok Sinah menyangka dia bersama anaknya bagaikan adik beradik.
“Kalau tak salah di Sungai Manik ada juga yang handal pandai buangkan susu ni,”  seorang jiran menjelaskan disebabkan dia eringkali jejak kaki ke Sungai Manik.
“Siapa namanya di Sungai Manik tu?”  Mat Johor mula beras lega dengan penjelasn jiran itu.
“Saya hanya dengar namanya saja,”  beritahu jiran itu tersengih-sengih. Lama dia terangguk-angguk kemudian baru menyambung.  “Namanya Haji Kadri kalau tak salah,”  Memang dia sendiri tidak cam sangat Haji Kadri sekalipun sudah beberapa kali ke Sungai Manik.

ooooo00ooooo



No comments:

Post a Comment