SUDAH lama saya bercadang mahu
berpindah saja dari tempat tinggal Aki Sahak. Ini bukanlah disebabkan saya
tidak mahu menanggung beban yang sering diletakkan oleh Aki Sahak ke bahu saya.
Sebenarnya saya merasa penduduk-penduduk di situ sudah menganggap saya
berlebihan, malah lebih penting lagi dari Aki Sahak.
Apa lagi Aki Sahak sendiri yang
menceritakan tentang hubungan saya dengan Pak Tua Mahat di sebelah emak, dan
Tok Aji di sebelah ayah. Memanglah benar Pak Tua Mahat itu abang emak saya yang
tua, manakala Tok Aji itu ialah tok aki saya iaitu ayah kepada ayah saya.
Perkara keturunan bukanlah
perkara yang hendak disebut-sebut selalu, tetapi entah mengapa Aki Sahak selalu
saja mengaitkan saya dengan Pak Tua Mahat sedangkan dia juga pernah berguru
dengan Pak Tua Mahat saya itu. Sekarang mereka berdua sudah lama meninggal
dunia.
Sebab itulah saya mengambi
keputusan untuk berpindah saja dari situ, sama ada balik ke kampung atau pun
bertukar ke kampung isteri saya. Tetapi permohonan saya mahu bertukar itu masih
belum diputuskan oleh pihak atasan.
Apabila saya beritahu kepada
Aki Sahak mengenai cadangan saya mahu berpindah itu, dia seolah-olah berat mahu
melepaskan, tetapi dia tidaklah menghalang keputusan tersebut. Berkali-kali dia
mengingatkan saya bahawa setiap usaha menolong orang yang dilakukannya itu
bukanlah untuk membebankan saya, sebaliknya dia tahu kebolehan saya melebihi
dirinya. Sedangkan saya sendiri tidak tahu apakah ukuran yang dibuatnya.
Setahu saya Aki Sahak sudah
lama berguru dengan Pak Tua Mahat. Dia berkawan rapat dengan Pak Tua Mahat
kerana umur mereka lebih kurang sebaya. Sebelum berkahwin dengan Makda Saodah,
dia menetap di kampung saya. Tetapi setelah berpindah ke kampung isterinya
hampir 20 tahun jarang pula dia balik ke kampung.
Sebab itulah hubungan saya
hampir terputus dengannya. Abang pada Aki Sahak ini pun bukanlah calang-calang
orang. Saya percaya tentulah Aki Sahak ada juga menuntut dari abangnya.
Bagaimanapun semasa abang Aki Sahak itu meninggal dunia dulu, saya masih kecil
lagi kira-kira berumur 10 tahun. Tetapi saya masih ingat akan kejadian yang
menimpa arwah Aki Mat Tera.
Lama Aki Mat Tera jatuh sakit
menyebabkan badannya menjadi kurus kering. Walaupun sakit terlantar namun Aki
Mat Tera berselera bila makan. Dia makan bertambah-tambah. Malah kalah pula
orang yang sihat kalau melawan makan dengannya.
Isterinya bercadang mahu
memanggil Pak Tua Mahat atau Aki Sahak sendiri datang mengubatnya. Tetapi Aki
Mat Tera enggan diubat oleh Pak Tua Mahat atau Aki Sahak.
"Aku pawang besar..."
jelasnya membantah bila isterinya Simit mahu memanggil Pak Tua Mahat.
"Takkan orang baru nak belajar berpawang nak mengubat aku" katanya
angkuh.
"Jangan begitu" pujuk
Simit masih mengharapkan suaminya mehu berubat. "Pawang ni bukan kira
besar kecilnya, berubat ikut rasi..kalau rasi dengan penyakit, pawang kecil
mengubat boleh sembuh" tegasnya mencemik. Meluat juga dia dengan perangai
sombong suaminya yang tidak mahu berubat dengan Pak Tua Mahat.
"Aku tak mahu berubat dengan Mahat"
dia tetap berkeras tidak mahu Simit menjemput Pak Tua Mahat. "Aku tahu
siapa Mahat, dulu aku makam garam dari dia. Takkan dia ada rupa nak mengubat
aku" dia terus mengejek-ngejek kebolehan Pak Tua Mahat.
"Kalau tak mahu dengan Mahat,
cuba-cubalah dengan Sahak" Simit tetap mendesak.
"Sahak nak mengubat aku..." Aki Mat
Tera tersengih mengejek. "Budak hingus meleleh nak ubat aku. Kau tau, dia
tu belajar dengan aku!" katanya masih berkeras tidak mahu berubat pada Pak
Tua Mahat dan Aki Sahak.
Simit tidak tertahan dengan
sikap Aki Mat Tera kerana sudah terlalu lama terlantar. Tubuhnya semakin kurus
hanya tinggal rangka saja. Bolehlah diibaratkan sebagai kata orang kalau tak
ada kulit, tulang pun habis berkecai. Begitulah kurusnya tubuh Aki Mat Tera.
Malah sepanjang dia sakit itu
Aki Mat Tera tidak membenarkan Aki Sahak menjejakkan kaki ke rumahnya. Dia
menuduh Aki Sahak cuba memikat Simit. Inilah yang menyinggung perasaan Aki
Sahak. Sejak itu Aki Sahak juga tidak mahu menjengah abangnya yang sakit tenat
itu. Hinggalah Aki Mat Tera tidak boleh bergerak lagi dia tetap tidak mahu
diubat oleh Pak Tua Mahat. Bagaimanapun selera makannya tetap terbuka.
Dengan tidak setahu Aki Mat
Tera, Simit terus memberitahu Pak Tua Mahat supaya datang mengubat Aki Mat
Tera. Setelah merasakan sesuatu yang tidak kena pada Aki Mat Tera, lantas Pak
Tua Mahat menyuruh Simit memanggil Aki Sahak datang ke rumahnya.
Setelah Aki Sahak datang dia
pun mengajak Aki Sahak sama-sama mengubati Aki Mat Tera. Pada mulanya Aki Sahak
memang enggan juga pergi ke rumah Aki Mat Tera, tetapi setelah didesak oleh Pak
Tua Mahat barulah dia mengalah.
"Ini bukan perkara Abang
Mat Tera yang kita hadapi" jelas Pak Tua Mahat menasihati Aki Sahak.
"Perkara lain yang kita sama-sama tak tau..." suaranya keras apabila
Aki Sahak enggan menemui Aki Mat Tera.
"Kecil hati aku Abang
Mahat" Aki Sahak terharu bila mengenangkan tuduhan abangnya. "Kecil
hati aku fasal dia tuduh aku ke rumahnya kerana nak mengulang Kak Simit. Adakah
patut dia tuduh aku macam tu!" ujarnya menahan perasaan kesal.
"Ah, cakap setan kau nak
ikut" Pak Tua Mahat mendengus. "Bukan Abang Mat Tera yang cakap macam
tu, setan yang cakap! Setan yang cakap!" dia menambah macam memarahi sikap
Aki Sahak kerana enggan menziarahi abang sendiri yang sedang terlantar sakit.
"Iyalah dia yang ikut cakap
setan..." balas Aki Sahak.
"Fasal itu kita jangan peduli".
"Sakit hati aku
dibuatnya!".
"Kau nak jadi setan juga?".
"Dia cakap tak fikir dulu...".
"Kau nak jadi setan?".
"Tak patut dia tuduh aku
macam tu...".
"Kau nak jadi
setan?".
"Siapa nak sabar Abang
Mahat...!".
"Kau nak jadi setan?" suara Pak Tua Mahat semakin keras menyebabkan Aki Sahak serba salah. Dia terdiam bila ditanya bertalu-talu oleh Pak Tua Mahat.
"Kau nak jadi setan?"
ulangi Pak Tua Mahat merenung tepat-tepat.
Dia merasa tidak patut Aki
Sahak langsung tidak mahu menziarahi abangnya kalau sekadar dituduh mahukan
kakak ipar sendiri. Orang sakit selalunya mempunyai fikiran yang tidak
tenteram. Sebablah cakapnya merepek sampai melalut tidak ketahuan.
Sepatutnya Aki Sahak tidak
boleh ambil hati dengan tuduhan orang yang terlantar sakit seperti Aki Mat Tera
itu. Lagi pun kalau dibandingkan isteri Aki Sahak dengan Simit pun, jauh lebih
muda dan menariknya isteri Aki Sahak. Masakan dia boleh terpengaruh dengan
tuduhan orang yang sedang terlantar sakit kerana orang seperti ini fikirannya
sudah nyanyuk.
Mahu tidak mahu Aki Sahak
terpaksa mengalah juga. Dia mengikut Pak Tua Mahat ke rumah Aki Mat Tera.
Jiran-jiran juga berkumpul di rumah Aki Mat Tera apabila mendengar Pak Tua
Mahat sanggup mengubatinya.
Sebaik saja Pak Tua Mahat dan
Aki Sahak naik ke rumah terus dimaki hamun oleh Aki Mat Tera. Terkial-kial dia
mahu bangun tetapi tenaganya ternyata lemah. Saya sendiri duduk tidak jauh dari
hujung kaki Aki Mat Tera bersama emak saya..
"Aku tau kau berdua nak berbini dengan
Simit..." gerutu Aki Mat Tera terkial-kial mahu bangun.
"Sabarlah Abang Mat
Tera" emak saya memujuk supaya Aki Mat Tera tidak berkuat mahu bangun.
"Abang Mat Tera sakit, biarlah Abang Mahat cuba-cuba tengok..." ujar
emak saya lembut.
"Mahat nak ubat
aku..." dia tertawa mengejek sambil mengerling emak saya. "Dia bukan
nak ubat aku, dia nak jumpa Simit. Aku tahu dia selalu berzina dengan
Simit" katanya lagi menggertap bibir.
Saya lihat Simit menangis
teresak-esak mendengar tuduhan Aki Mat Tera itu. "Astaghfarullah
al-azzim" keluhnya menahan perasaan sebak yang menusuk-nusuk di jiwa.
"Jangan ambil hati Kak
Simit" emak saya memegang bahu Kak Simit. "Orang sakit tenat memang
macam tu. Cakapnya merepek" ujarnya memujuk.
Simit tidak menyahut. Dia
mengangguk-angguk kepala saja menyetujui kata-kata emak saya tadi.
"Aku tau Simit, aku tau..." Aki Mat
Tera terus mengejek. "Kau berzina dengan Mahat, kau berzina dengan
Sahak" katanya tertawa menyakiti hati mereka yang dituduhnya.
"Tutup mulut kau Abang Mat
Tera!" jerkah Aki Sahak tidak sabar dengan tuduhan Aki Mat Tera. Kalaulah
tidak mengenangkan jiran-jiran ramai berkumpul di ditu, memang sanggup dia
menerkam abangnya. Dia tidak peduli lagi fasal abangnya sakit terlantar
berbulan-bulan di tempat tidur.
"Sahak..." Pak Tua
Mahat memarahi Aki sahak. "Ingat! Kau bukan bercakap dengan Abang Mat
Tera, kau bercakap dengan setan. Ingat tu...!" katanya mengerling Aki
Sahak yang masih kelihatan marah.
Aki Sahak tertunduk. Dia sedar
tidak dapat mengawal dirinya apabila mendengar tuduhan yang dilemparkan.
Perkara menuduh dirinya berzina dengan kakak ipar sendiri, tentulah macam
mencontengkan arang ke mukanya. Manakala tuduhan itu dibuat oleh abang
kandungnya sendiri.
Walaupun abangnya dalam keadaan sakit tenat,
namun dia percaya fikirannya masih baik. Aki Mat Tera masih dapat mengingat
semua kejadian yang pernah dilalui. Sebab itulah Aki Sahak percaya abangnya itu
tidak nyanyuk. Tuduhan yang dilemparkan oleh abangnya memang terbit dari
hatinya sendiri yang mulai cemburu terhadap isterinya.
Sudah berbulan-bulan dia
terlantar sakit. Tentulah timbul rasa cemburu, apabila melihat Simit sering
menemui Aki Sahak dan Pak Tua Mahat meminta tolong, sedangkan dia sudah
melarang supaya jangan meminta tolong dari dua orang lelaki berkenaan.
"Kau mesti banyak
bersabar" ujar Pak Tua Mahat masih memandang ke arah Aki Sahak.
"Usah nak berpura-pura
Mahat, aku tau kau dah berzina dengan Simit. Bukan sekali dua, sudah
berkali-kali. Simit akan buntingkan anak kau, tau..." Aki Mat Tera
mengejek.
Simit menangis tersedu-sedu
mendengar tuduhan suaminya itu. Tetapi dia tidak menyahut. Dia tahu Aki Mat
Tera sedang sakit tenat. Mungkin juga boleh dianggap membuang tebiat, kerana
masanya sudah semakin hampir. Sebab itu Simit tidak menghiraukan sangat.
"Kau pandai berpura-pura! Kau berzina
dengan bini orang! Dengan Simit! pekik Aki Mat Tera terketar-ketar.
Pak Tua Mahat tidak menyahut.
Dia membacakan sesuatu sambil menghembuskan kepada Aki Mat Tera. biarlah Aki
Mat Tera memaki hamunnya tidak berhenti-henti, namun Pak Tua Mahat tetap tidak
berundur. Dia terus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran yang tertentu.
Setelah lama Pak Tua Mahat
membacakannya, tiba-tiba Aki Mat Tera terus memekik. Dia meronta-ronta bagaikan
mahu bangun melawan, tetapi tubuhnya ternyata lemah.
"Bangsat kau
Simit..." gerutu Aki Mat Tera. "Dah aku cakap Mahat dengan Sahak
jangan jangan diberi naik ke rumah ni, seksa aku!" dia merintih-rintih
kesakitan.
"Kau tak beri aku dengan
Sahak datang, fasal takut rahsia kau terbuka!" tiba-tiba Pak Tua Mahat
membentak.
"Rahsia apa?" Aki Mat Tera tersengih-sengih
bagaikan orang yang tersipu malu.
"Sekarang pergi dari
sini!" jerkah Pak Tua Mahat merenung Aki Mat Tera tidak berkelip matanya.
"Tinggalkan Mat Tera biar diuruskan oleh keluarganya. Kau tidak ada hak
nak menguruskan Mat Tera!" suaranya keras macam memberi amaran yang
mengancam.
"Pergi nak ke mana?"
tanya Aki Mat Tera seperti tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Pak Tua Mahat.
Ketika ini semua jiran-jiran
yang berkumpul di situ melihat Aki Mat Tera berbantah-bantah dengan Pak Tua
Mahat. Tetapi seperti yang diceritakan oleh Aki Sahak kemudiannya kepada saya,
masa itu dia sendiri sudah nampak keadaan sebenarnya. Barulah dia menyesal
kerana memarahi abangnya apabila dituduh berzina dengan kakak ipar sendiri.
Aki Sahak ikut sama menyertai
Pak Tua Mahat. Dia melihat satu lembaga besar sedang memangku Aki Mat Tera
seolah-olah seorang ayah sedang meriba anak kecil saja lakunya. Muka lembaga
itu tidaklah jelas sangat hanya seperti bayang-bayang hitam yang terlindung.
Lembaga besar itu pun seakan-akan asap pekat saja.
"Tinggalkan Mat
Tera...!" perintah Pak Tua Mahat.
"Nak tinggalkan Mat Tera
atau kami serang kamu dengan petir" Aki Sahak pula mencelah.
Lembaga itu memerhatikan Pak
Tua Mahat bersama Aki Sahak sudah bersedia untuk menyerangnya. Dia masih juga
meriba Aki Mat Tera seperti ayah yang meriba bayi. Sementara Aki Mat Tera pula
dilihatnya seperti bayi tidur tidak bergerak langsung.
"Kau berdua..." sahut
lembaga besar seperti asap tebal itu. "Jangan ganggu aku. Ini anak aku
yang mesti aku jaga. Mengapa kau bersusah payah mahu mengambilnya dari
aku" dia ketawa mengejek lalu melemparkan besi serampang ke dada Pak Tua
Mahat. Dengan pantas Pak Tua Mahat
menangkap besi serampang itu. Kemudian diramas-ramasnya hingga menjadi cair.
"Mat Tera tu abang aku,
bukan anak kau" kata Aki Sahak sambil membacakan beberapa ayat dihembuskan
kepada lembaga berkenaan.
Ketika ini petir memancar
memukul kepala lembaga besar tersebut hingga berkecai. Tidak lama kemudian dia
bertaup semula lantas meriba Aki Mat Tera yang tidur seperti bayi.
"Sia-sia aje kerja kau
Sahak" lembaga itu mengejek-ngejek kerana dia terlepas dari ancaman petir
tadi.
Belum sempat dia duduk tetap,
Pak Tua Mahat menghembuskan ayat-ayat Quran yang datang seperti gunung menimpa
kepala lembaga berkenaan. Dia terhimpit di bawahnya meronta-ronta mahu
melepaskan diri. Puas dia terkial-kial akhirnya dapat juga dia keluar dari
bawah gunung yang menimpa dirinya.
"Nampaknya kau nak bunuh
aku, Mahat" pekik lembaga itu meradang.
"Memang aku nak bunuh kau" sahut Pak
Tua Mahat pula mengejek. "Sekarang, tinggalkan Mat Tera!" ujarnya
mencabar lembaga tersebut terus bertarung.
Lembaga itu tertawa menyakitkan
hati Pak Tua Mahat. Tiba-tiba saja dia melontarkan beratus-ratus tombak menuju
ke dada Pak Tua Mahat. Dengan pantas pula Pak Tua Mahat menghembuskan api
membakar semua tombak-tombak yang berterbangan itu.
Dia masih juga tertawa mengejek
Pak Tua Mahat.
Tetapi Pak Tua Mahat tahu
lembaga besar yang meriba Aki Mat Tera itu sudah menderita kesakitan.
Bagaimanapun dia tetap berpura-pura menunjukkan serangan yang dibuat ke atasnya
tidak memberi bekas. Inilah yang dipermainkan oleh syaitan bagi menguji
kekuatan iman insan. Sekiranya insan
cepat putus asa, maka sudah tentu syaitan akan beroleh kemenangan.
"Kita serang serentak
Sahak..." Pak Tua Mahat memberi arahan kepada Aki Sahak.
Aki Sahak membacakan sesuatu
lalu berterbangan panah dari api menerkam ke arah lembaga besar itu. Serentak
dengan itu Pak Tua Mahat pula menghembuskan ke arah lembaga tersebut hingga
terlempar rantai besi melilit seluruh tubuhnya. Pak Tua Mahat dan Aki Sahak
terus menyerang dari berbagai sudut.
Bukan saja rantai besi melilit
tubuh lembaga besar itu, di samping panah api datang dari segenap penjuru,
petir juga berdentum membakarnya. Batu sebesar gunung menimpa kepalanya.
"Kau tipu aku Mahat. Kau
berdua dengan Sahak, aku berseorangan. Mana boleh aci macam ni..." dia
menggeliat-geliat menahan serangan bertubi-tubi.
"Aku suruh kau tinggalkan
Mat Tera!" suara Pak Tua Mahat semakin keras. Dia tidak berhenti dari
terus menyerang. Habis satu ayat, dibacanya ayat yang lain. Berhenti batu
sebesar gunung menimpa kepalanya, datang pula panah api meradak. Lembaga besar
itu terjerit-jerit menahan kesakitan.
Jeritan itu dapat didengar oleh jiran-jiran
yang menyaksikan melalui suara Aki Mat Tera yang menggeliat-geliat di tempat
tidur.
Serangan Pak Tua Mahat ditambah
lagi oleh serangan Aki Sahak yang tak putus-putus membaca Ayatul Kursi.
Sehingga sampai 333 kali Aki Sahak membacakan
Ayatul Kursi terdengarlah rintihan dari lembaga itu meminta diberhentikan.
"Cukuplah, terseksa
aku!" rintih lembaga itu merayu.
"Kalau takut terseksa, pergi
sekarang" perintah Pak Tua Mahat.
"Aku tak boleh tinggalkan
anak aku" jelas lembaga itu mempertahankan diri.
"Boleh atau tak boleh kau mesti
tinggalkan Mat Tera!" tegas Pak Tua Mahat tidak mahu bertolak ansur pun.
"Ini anak aku" sahut
lembaga itu berkeras.
"Sahak, teruskan..."
Pak Tua Mahat menyuruh Aki Sahak terus membacakan Ayatul Kursi.
"Jangan, jangan..." lembaga itu
menangis teresak-esak melalui Aki Mat Tera yang terbaring lemah.
"Tak tahan aku bahang api, panas..."
ujarnya merayu-rayu.
"Aku beri tempoh lima
minit" Pak Tua Mahat memberi amaran. "Kalau kau tak pergi juga, aku akan
hancur musnahkan macam debu" katanya menggertap bibir.
Kelihatan Aki Mat Tera tidur
nyenyak. Dia tidak bergerak lagi seperti mula-mula kedatangan Pak Tua Mahat dan
Aki Sahak datang. Saya yang duduk di lunjur kakinya bersama emak saya, dapat
melihat ombak dadanya turun naik dengan kencang. Matanya lelap.
Sekali-sekala saya lihat
mukanya memang menggerunkan. Pipinya sudah cengkung, sementara matanya jauh ke
dalam. Tulang pipinya menungkal ke atas. Mukanya juga sudah menjadi kecil dan
dagunya kelihatan terlalu panjang. Tetapi dia masih juga terlantar di tempat
tidur.
Setelah lima minit, Pak Tua
Mahat melihat ke dalam makrifat, dia dapati lembaga itu masih meriba Aki Mat
Tera. Tetapi seluruh badannya sudah bertukar menjadi hitam akibat serangan
bertalu-talu tadi.
Bila menyedari Pak Tua Mahat kembali datang
untuk menyerang bersama Aki Sahak, lembaga besar itu melepaskan Aki Mat Tera
dari ribaannya. Melihat keadaan ini Pak Tua Mahat tahu lembaga itu sudah
mengalah. Dia tidak sanggup lagi melawan.
"Ilmu kau berdua, bukan
ilmu pawang. Aku tak tau apa ilmu yang kamu pakai" lembaga itu bersuara
terketar-ketar.
"Jangan tanya tentang ilmu, sekarang
tinggalkan Mat Tera!" jerkah Pak Tua Mahat.
"Kau mahu kami serang lagi...?"
tanya Aki Sahak mengeraskan suara.
"Jangan,
ampun...ampun" rintihnya menangis teresak-esak. "Aku tak tau jalan
balik" katanya berpusing-pusing di sekeliling Aki Mat Tera.
"Datang tau, balik tak tau ye..."
Aki Sahak tidak mempercayai dalih lembaga tersebut.
"Tolonglah lepaskan aku. Bukakan
ikatan aku..." lembaga itu merayu bersungguh-sungguh.
Pak Tua Mahat mengangguk. Dia
bersetuju dengan permintaan lembaga itu mahu pergi dengan tidak diganggu.
Ikatan yang dimaksudkan oleh lembaga itu ialah terletak pada Aki Mat Tera
sendiri. Memang Pak Tua Mahat tahu mengenai ikatan lembaga tersebut dengan Aki
Mat Tera.
"Kak Simit jangan
terkejut..." bisik Pak Tua Mahat pada isteri Aki Mat Tera. "Selama
ini Abang Mat Tera pakai ilmu salah, inilah yang menyeksa dia sekarang"
beritahu Pak Tua Mahat.
"Habis, apa kakak nak
buat?" Simit serba salah bila mendengar keterangan Pak Tua Mahat itu.
"Suruh orang bukakan
lantai rumah sekeping, atap sekeping dan anak tangga bawah sekali" jelas
Pak Tua Mahat.
Apa yang dikatakan oleh Pak Tua Mahat itu
dilakukan oleh orang. Papan lantai sekeping dikopakkan, atap juga dibuang
sekeping, manakala anak tangga rumah juga ditetas pengikatnya. Setelah semuanya
dilakukan, Aki Mat Tera pun meninggal dunia.
Apabila Aki Mat Tera meninggal
dunia, mayatnya pun diselubungkan dengan kain. Mereka pun bersiap-siaplah untuk
menguruskan pengebumiannya pada esok harinya. Ketika mahu memandikan mayat
alangkah terperanjatnya apabila melihat mayat Aki Mat Tera sudah reput. Hanya
tulang-tulangnya saja yang tinggal seolah-olah dia sudah lama meninggal dunia.
Memang benar Aki Mat Tera sudah
lama meninggal dunia. Yang dilihat sedang sakit itu hanyalah lembaga yang
memelihara dia. Lembaga itulah yang kuat makan. Dan lembaga itulah yang
melarang Simit dari menjemput Pak Tua Mahat dan Aki Sahak, kerana dia tahu
orang-orang demikian adalah musuhnya.
Bila mengenangkan sumbangan Aki
Sahak ini kepada orang ramai, saya rasa macam berdosa pula mahu berpindah dari
situ disebabkan tidak senang dengan Aki Sahak. Saya seolah-olah mahu melarikan
diri dari membantu dia di situ. Tetapi saya tidak sanggup membuat kerja-kerja
seperti dilakukan oleh Aki Sahak itu.
Saya tidak mahu dijadikan
tumpuan oleh masyarakat. Masalahnya berat kalau kita sudah mula mahu menerima
harapan seseorang yang mengharapkan sesuatu dari kita. Sedangkan semua
kerja-kerja ini mestilah dibuat dengan ikhlas. Bila hati kecil kita sudah
mempertikaikan sesuatu, maka kerja-kerja yang dilakukan itu sudah menjadi
sia-sia.
Kadangkala timbul pula tomahan
dari orang lain yang mengatakan cara yang dilakukan itu sama seperti bomoh yang
mencari wang. Padahal bukan semua bomoh mencari wang melalui cara pengubatan
mereka. Kalau mahu dikira upah memang tidak setimpal dengan pengorbanan yang
dilakukan oleh Aki Sahak.
Apakah perasaan kita bila dikejutkan
orang sewaktu mata baru mahu terlena tengah malam? Bagaimana kita mahu mencari
nafkah apabila semalam-malaman berjaga merawat pesakit? Masyarakat hanya
melihat dari satu aspek saja iaitu bomoh tidak mengeluarkan apa-apa modal
apabila mengubati pesakit?
Inilah yang susah hendak
dijawab.
Sebab itulah saya mahu
melarikan diri dari tempat kerja-kerja demikian. Kadangkala kepala mahu naik
pitam apabila terpaksa membacakan satu-satu ayat itu dengan kusyuk. Ayat-ayat
tersebut bukannya dibaca seperti menghafal senikata lagu yang dinyanyikan oleh
anak-anak muda. Tetapi disekalikan dengan makrifatnya. Untuk mencapai tingkat
itulah yang boleh menyebabkan kepala naik pitam.
Tetapi saya kesihan juga kepada
Aki Sahak yang sudah mula mendapat bantuan dari saya. Tentulah dia kecewa
sekiranya saya mengambil keputusan bertukar dari situ. Pernah juga Aki Sahak
membisikkan kepada saya, sementara saya masih bertugas di daerah itu, mungkin
Abang Amud bercadang juga mahu mendalami pengubatan cara ditidurkan ini.
Dalam masa berkira-kira mahu
bertukar dari daerah itu hampir saya terlalai kerana Asar sudah masuk. Isteri
saya juga sudah mengingatkan tentang Asar. Saya pun segera mengambil wudhuk di
bilik air untuk menunaikan fardhu Asar berjemaah dengan isteri saya.
Perkara mahu bertukar itu sudah
saya beritahu pada isteri saya. Dia juga tidak membantah tujuan saya, kerana
selama ini memang dia sedari saya selalu saja dipanggil orang. Kadangkala
terkuap-kuap di tempat kerja menahan mengantuk.
Pernah juga isteri saya bergurau
dengan memanggil saya doktor tak berijazah. Tetapi saya tidaklah hiraukan
sangat. Bukan saya yang meminta diri saya dipanggil, tetapi masyarakat di situ
yang mahu mencari saya. Semenjak Aki Sahak menyuruh mereka mendapatkan saya
kalau menghadapi gangguan syaitan, maka saya sudah menjadi tumpuan.
Asar itu seperti biasa kami
terus berjemaah menunaikan fardhu Asar. Semasa masuk rakaat kedua, saya
terdengar ada orang memanggil saya dari halaman. Terpaksa saya mendehem kuat.
Kemudian meneruskan sembahyang saya hingga selesai. Setelah memberi salam saya
wirid pendek saja.
Kemudian saya terus ke pintu
hadapan menjengah siapa yang memanggil tadi. Sali tercegat di tengah halaman.
"Ada apa Sali?" tanya
saya sambil mempelawanya masuk dahulu.
"Tak payah masuklah ustaz..." sahut
Sali tersengih-sengih.
"Aki Sahak panggil?"
tanya saya menduga. Selalunya mereka datang berjumpa saya kerana disuruh oleh
Aki Sahak.
Dia mengangguk.
"Kalau macam tu, masuklah dulu" saya
berkeras juga mengajak dia masuk dulu. "Masuklah, kita minum kopi dulu.
Lepas tu barulah kita pergi. Tak apa tu, Aki Sahak dah ada cukuplah..."
kata saya menyuruhnya masuk dulu.
"Elok kita cepat
ustaz..." ujar Sali mendesak.
"Tak apa, masuklah
dulu" ujar saya mendesaknya supaya masuk. Sali menjadi serba salah apabila
didesak.
Mahu tidak mahu terpaksa juga
dia masuk. Tetapi saya lihat dia di dalam keadaan rusuh. Mungkinkah ada
gangguan di lombong? Saya rasa puaka air di lombong itu masih belum musnah
lagi. Bukanlah satu perkara mudah untuk menghapuskan mereka sama sekali,
kecuali kita hanya boleh menghalang niat jahat syaitan saja.
"Takkan nak cepat
sangat" isteri saya pula keluar dari bilik menyindir. "Datang cuma
nak ajak ustaz aje?" katanya terus berjalan ke dapur.
Sali tersengih-sengih.
Dia tidak banyak bercakap bila
sudah duduk. Mungkin dia bimbang orang akan tertunggu-tunggu. Tentulah mereka
menuduh dia tidak boleh diharap disuruh memanggil saya. Sepatutnya dia mesti
segera datang semula membawa saya bersama.
"Apa halnya?" tanya saya.
"Abang Amud ajak ustaz
cepat" dia memberitahu.
"Apa halnya...?"
ulangi saya.
Sali terdiam. Susah benar dia
mahu menerangkan kepada saya. Mengapa pula dia masih mahu menyembunyikan tujuan
kedatangannya. Kalau dia disuruh oleh Abang Amud mendapatkan saya, mestilah
saya hendak tahu jugak apa masalah Abang Amud. Sepatutnya Sali mesti
memberitahu.
Tetapi dia tetap membisu. Sama
seperti seorang gadis yang bekerja di pejabat daerah yang pernah menemui saya
terlalu susah mahu menerangkan tujuannya. Dia mahu bercakap sama seorang saja
dengan saya. Terpaksalah saya membawanya jauh sedikit. Dia memberitahu tentang
seorang lelaki yang berjanji mahu mengahwini dia, tetapi masih juga enggan
masuk meminang. Lelaki itu memberi berbagai-bagai dalih. Akhirnya menghilangkan
diri entah ke mana. Gadis itu meminta saya membuatkan sesuatu supaya lelaki
tersebut kembali kepadanya.
Masalah gadis tersebut tentulah
tidak sama dengan Sali. Gadis itu terpaksa menyembunyikannya kerana masalah
peribadi. Saya sendiri tidak tahu apakah caranya mahu menolong, kerana seperti
saya katakan, saya bukanlah seorang bomoh.
Sedangkan gadis berkenaan
menyangkakan saya seorang bomoh. Bagaimanapun saya nasihatkan gadis itu supaya sembahyang Tahajud memohon kepada
Allah supaya lembutkan hati lelaki yang telah merosakkan masa depannya itu dan
datang menikahinya. Sama ada dia melakukan atau tidak, saya pun tidak tahu.
Selepas itu saya tidak pernah lagi menemui gadis tersebut.
"Apa halnya?" soal
saya lagi.
"Abang Amud suruh ustaz cepat itu
saja" jelasnya serba salah.
"Iyalah, cepat nak ke
mana?" heran juga saya mengapa Sali tidak mahu berterus terang.
Sebenarnya kalau memerlukan
saya cepat pun tidaklah penting sangat, kerana Aki Sahak sendiri mempunyai
pengalaman yang lebih dari saya.
Pengubatan cara tidur yang
sering saya katakan itu memang saya belajar dari Aki Sahak juga. Malah bukanlah
perkara yang pelik, kerana ada kawan saya yang pernah bekerja di Sarawak
memberitahu, di Sarawak juga pengubatan secara ini sudah meluas digunakan.
"Cepat, nak ke mana?"
saya mendesaknya.
Belum sempat Sali menjawab,
isteri saya sudah keluar membawa kopi bersama karipap yang sudah disediakannya.
Sali terus terkebil-kebil mata memerhati isteri saya datang.
"Bagilah can ustaz
rehat-rehat di rumah..." isteri saya mengusik.
"Abang Amud yang suruh
jemput" beritahu Sali tersengih-sengih.
"Kalau ustaz selalu aje
dijemput, saya ni macam mana?" ujar isteri saya. Sebenarnya isteri saya
bukanlah menyindir, sebaliknya dia memang gemar mengusik. Kadangkala kalau
orang nipis telinga mungkin mengatakan isteri saya menyindir. Tetapi dia memang
tahu mengapa masyarakat di situ menjemput saya tergesa-gesa.
Disebabkan mereka tidak pernah
mengalami pengubatan yang sering saya dan Aki Sahak lakukan, jadi mereka menyangka
ianya satu perkara baru. Sebenarnya ilmu Allah bukanlah baru, ianya sudah ujud
sejak lama dulu.
"Minumlah dulu..."
pelawa isteri saya menghulurkan cawan kepada Sali. "Lepas tu nak ambil
ustaz, ambillah. Tapi hantar balik tau..." katanya tersenyum.
Sali tersengih-sengih mendengar
usikan isteri saya itu. "Abang Amud suruh ustaz datang fasal Aki
Sahaklah" kemudiannya dia memberitahu.
"Mengapa Aki Sahak?" tanya saya.
"Entah..." jelas Sali
perlahan. "Sejak lepas Zohor tadi dia muntah darah. Fasal itu Abang Amud
minta sangat ustaz datang cepat." katanya bercampur rusuh.
Tidak jadi saya meneguk kopi
bila mendengar cakap Sali. Lantas saya suruh isteri saya bersiap-siap untuk
menziarahi Aki Sahak. Dalam kepala saya mula timbul bermacam-macam soalan, bagaimana
Aki Sahak yang sentiasa beringat itu, sekali sekala terlalai juga. Tetapi,
inilah sifat insan...
TAMAT
No comments:
Post a Comment