MEMANG sudah diputuskan mesti dipotong juga ibu jari kaki
yang membengkak hitam itu, tetapi Malim Melano tetap berkeras tidak mematuhi
keputusan hospital. Biarlah dia diberitahu mengenai kaki yang membengkak hitam
itu akan melarat hingga seluruh kakinya akan membusuk, namun Malim Melano lebih
rela menanggung apa ,sahaja akibatnya.
Anaknya Mat Sudi juga tidak dapat memujuk setelah ayahnya
mendesak mahu balik ke rumah setelah lebih dua minggu terkejang di hospital.
Perkara mahu memotong ibu jari kaki ayah-nya yang membengkak terpulang kepada
keputusan ayahnya sendiri. Siapa pun tidak boleh memaksa apabila ayahnya tidak
mahu ibu jari kaki yang membengkak itu dipotong.
Biarlah hospital beritahu mengenai kaki ayahnya membengkak
disebabkan kencing manis, sebab itu mesti dipotong sebelum melarat hingga ke
betis. Tentu kaki ayahnya akan membusuk sampai ke lutut sekiranya berdegil juga
tidak mahu dipotong. Tetapi Malim Melano tidak peduli samaada kencing manis
atau bukan apabila ibu jari kakinya membengkak sampai hitam laksana puntung
kering.
Sebaik sahaja balik ke rumah Malim Melano menyuruh isterinya
Anjang Siyah ambilkan daun betik sudah kecut kekuningan. Dia beritahu isterinya
supaya direbus dengan curahkan tiga cawan air ke dalam periuk. Biarkan air
rebus daun betik kekuningan itu menggelegak hingga tinggal secawan sahaja baru
dihulurkan kepadanya.
Tujuh malam berturut-turut Malim Melano teguk air rebus
daun betik kecut kekuningan sebelum tidur, dia merasa kesakitan seluruh badannya
beransur hilang. Selama ibu jari kakinya membengkak memang Malim Melano rasa seluruh
badannya seolah-olah ditusuk jarum.
"Jangan-jangan ayah kamu ni pakai susuk,"
Anjang Siyah ingatkan anaknya Mat Sudi seolah-olah membantah mahu dibawa
suaminya ke hospital.
"Kalau ayah pakai susuk nanti kita ubat cara
kampung," sahut Mat Sudi berkeras mahu hantar juga ayahnya ke hospital
setelah orang tua itu mengerang-erang kesakitan sepanjang malam. "Tapi,
sekarang ni kita bawa ke hospital dulu," dia memujuk emaknya supaya
benarkan membuat keputusan dalam saat demikian.
Anjang Siyah tidak dapat membantah dalam saat suaminya
mengerang-erang tidak ketahuan. Cemas juga dia dengan keadaan Malim Melano menghempas-hempas
badan akibat kesakitan yang menusuk. Manalah dia dapat berikhtiar dalam saat
demikian kalau tidak serahkan kepada keputusan Mat Sudi.
Dia tahu suaminya tatkala jejak kaki ke kampung berkenaan
tidak sama dalam keadaan sudah ramai mempunyai cucu. Dalam usia yang sudah tua
tentu tenaganya tidak segagah mana lagi. Sebab itu Malim Melano tidak mahu
berhadapan dengan gangguan penyakit yang meresap dalam tubuhnya. Apa lagi kalau
tusukkan susuk besi di dalam tubuh biar tenaga gagah mahu membajak di tengah
sawah.
"Aku tak pernah amalkan susuk!" gerutu Malim
Melano masih mampu beritahu keluarganya mengenai dirinya tidak harapkan susuk
apa-apa.
Semenjak tinggalkan kampung halaman di Solok tidak pernah
dia harapkan susuk besi mahu kuatkan tenaga mengheret kerbau membajak di tengah
sawah. Haji Maskor sudah ingatkan dia mengenai Quran yang sudah lengkap segala-galanya.
Tidak perlu amalan lain semata-mata mahu harapkan tenaga gagah tatkala membuat
kerja-kerja berat hingga memercik keringat.
Apa sangat susuk besi ditusukkan pada tubuh kalau
bandingkan dengan doa-doa di dalam al-Quran. Setiap masa Malim Melano akan
bacakan doa:
Liyajzi yahumullahhu ahsana
ma-'amilu wayazidahum min-fadhlfhi wallahhu yarzuqu mai-yasya u-bighairihisab.
Dia tidak bimbang apa-apa setelah tinggalkan kampung
halaman akibat kejadian yang menimpa keluarganya. Memang keluarganya tuduh dia
berasa malu akibat ayahnya mati mengejut dengan kepalanya bertukar menjadi
harimau hingga ekor juga tumbuh menjulur panjang. Tetapi manalah keluarganya
tahu fasal ayahnya amalkan amalan Tok Cenaku tatkala berpindah dari Silungkang
menetap di Jambi.
Sudah tentu jelmaan Tok Cenaku sentiasa meresap dalam
diri ayahnya setelah amalan tersebut tersebati tidak boleh dipisahkan. Dia
melihat sendiri jelmaan Tok Cenaku yang mahu berterusan memperkosa 44 wanita,
hingga sesiapa sahaja amalkan amalan dirasuk tidak menentu.
Tetapi Malim Melano tidak sedar apa-apa sewaktu Mat Sudi bersama
anak-anaknya usung dia ke hospital. Setelah keadaannya pulih dia diberitahu
mengenai ibu jari kakinya yang membengkak mesti dipotong. Lantas Malim Melano
membentak marah apabila diberitahu ibu jari kakinya akan dipotong semata-mata
untuk selamatkan dirinya.
"Biar aku cuba ubati diriku sendiri dulu,"
tegas Malim Melano setelah dibawa balik ke rumah. Tersenyum lebar dia menunjukkan
ibu jari kakinya kepada saya yang mula mengecut setelah berturut-turut tujuh
malam meneguk air rebus daun betik kecut kekuningan itu.
"Ayah ni, bukannya mahu ke hospital, ustaz,"
jerutu Mat Sudi mengerling ayahnya tersandar pada bantal sebaik sahaja diberitahu
saya datang menjengah.
"Lama benar ustaz tak ke sini," Anjang Siyah
pula mencelah sengaja tidak benarkan anaknya ungkit apa-apa mengenai Malim
Melano tidak mahu berubat ke hospital.
"Kalau tak dengar ayah sakit, tentu ustaz tak datang
jengah!" segera Mat Sudi jelaskan fasal dia yang beritahu semasa terserempak
saya singgah solat di masjid kampung berkenaan.
Sudah beberapa kali juga saya bertemu Mat Sudi selepas
menghantar anak-nya belajar di Kuala Lumpur. Kebetulan pula anaknya belajar
sama dengan anak saya ketika itu. Lama juga dia tergagak-agak mahu mendekati
saya setelah terserempak di situ. Manalah saya cam Mat Sudi disebabkan lama
sangat saya tidak jengah lagi ke kampungnya setelah berpindah.
Sebaik sahaja Mat Sudi beritahu mengenai ayahnya Malim
Melano lantas saya teringat semasa menetap di kampungnya. Tahu sangat saya
Malim Melano apabila kejadian lembaga hitam tidak berpakaian itu menceroboh
masuk ke rumah orang-orang kampung. Beberapa kali mereka berkawal malam tetapi
lembaga hitam berkenaan mudah juga membolos masuk.
Sebab itu mereka syak Malim Melano yang baru menetap di
kampung itu amalkan amalan ilmu hitam. Tidak pernah pun kampung mereka diganggu
jelmaan demikian sebelum Malim Melano jejak kaki ke situ. Kalau tidak
disebabkan ayah angkatnya Tok Ompek bertahan memang Malim Melano sudah merajuk
hati.
Setelah dipujuk oleh Tok Ompek, dia solat sunat hajat dua
rakaat selepas selesai maghrib. Malim Melano bacakan 100 kali surah al-Quraisy
pada kacang hijau digaul garam kasar. Dia sendiri taburkan di sekeliling rumah
Tok Ompek setelah bapa angkatnya bimbang Anjang Siyah akan diceroboh lembaga
hitam tidak berpakaian itu.
Tiga malam berturut-turut pula Malim Melano bangun tengah
malam solat sunat tahajud seperti diamalkan Haji Maskor sewaktu dia belajar di
Solok lagi. Ketika berzikir hingga santak subuh inilah Malim Melano membiarkan
dirinya seolah-olah terapung di udara. Tatkala dia merasa tubuhnya semakin
ringan hingga mudah ditolak angin, Malim Melano bagaikan tercampak di tengah
belukar senduduk.
Ketika ini dia ternampak pondok buruk dengan cahaya
pelita memancar malap. Puas Malim Melano berkeliling, tiba-tiba sahaja segumpal
kepulan asap hitam menerjah ke bumbung pondok hingga berdempum kuat. Ketika ini
Surip Labang bersila rapat di tengah pondok berkenaan membakar kemenyan.
Sebaik sahaja gumpalan kepulan asap itu jatuh di
depannya, sekaligus memercik minyak hitam pekat. Percikan itu menyinggahi Surip
Labang menyebabkan dia berguling di lantai bagaikan menahan kesakitan. Ketika
ini muka Surip Labang juga berubah laksana puntung terbakar. Setelah seluruh
badan Surip Labang berubah menjadi lembaga hitam tidak berpakaian dengan muka
seperti puntung terbakar, perlahan lahan dia duduk semula menghadap tempat bakal
kemenyan di tengah pondok.
Di tengah kepulan asap kemenyan melabun itulah tercegat
bayang lelaki tua dengan hidungnya kelompong berlubang reput tidak menentu.
Tersengih-sengih lembaga lelaki tua ingatkan Surip Labang supaya mematuhi
syarat yang ditetapkannya.
"Kamu mesti cukupkan sampai 44 orang gadis,"
beritahu bayangan lelaki tua itu dengan bercekak pinggang.
Surip Labang mengangguk bangga. Apa sangat dengan
mencabul 44 gadis kalau takat menceroboh masuk ke rumah. Bila-bila dia boleh
membolos masuk asal sahaja sudah menjelma menjadi lembaga hitam tidak
berpakaian. Dia tidak peduli siapa pun berkawal di keliling tumah mahu
memerangkapnya tatkala sudah bersatu dengan angin yang mengelus mana-mana.
"Kalau kamu tak cukupkan syarat, tengoklah muka aku
ni!" ujar bayangan lelaki tua itu menunjukkan hidungnya yang rompong macam
sarang anai-anai terpokah.
Sebab itu Surip Labang tidak boleh undur lagi setelah
amalkan amalan sangka susuk. Bertekad sangat dia amalkan sangka susuk, setelah
seisi kampung mengejeknya setiap kali mahu masuk meminang. Manalah gadis kampung
mahu terpikat kalau harapkan rupanya tidak setampan mana.
Bukan takat tubuhnya kurus sampai melengkung belakang
tatkala berjalan, malah jerawat juga habis memenuhi kulit pipi. Perkara tampan
juga tidak penting sangat kalau dia masuk meminang. Tetapi seisi kampung tahu
mengenai anak muda itu pemalas sangat hingga tidak pernah membantu emaknya
menajak tengah sawah.
Kadangkala merungut juga emaknya Mak Sumin disebabkan
Surip Labang terlentang di tempat tidur sampai matahari tegak di kepala.
Biarlah emaknya berleter panjang dia tetap pekakkan telinga tidak peduli
apa-apa. Tatkala masuk meminang pun keluarga gadis berkenaan ungkit juga mengenai
perangai Surip Labang pemalas sangat sampai tidak mahu membantu emaknya yang
sudah tua.
Setelah diejek orang-orang kampung itulah Surip Labang
tinggalkan kampung halaman dengan menyimpan dendam di hati. Sengaja dia temui
Pawang Junoh mahu buktikan dirinya boleh tundukkan mana-mana gadis pun. Dia
desak Pawang Junoh turunkan juga amalan sangka susuk, biar wajahnya bertukar
menjadi tampan.
Memang Pawang Junoh sudah ingatkan mengenai amalan sangka
susuk banyak rintangan yang mesti dilalui. Tetapi Surip Labang berkeras juga
mahu amalkan sekalipun Pawang Junoh takat tunjukkan cara bertapa di tengah
pondok kecil jauh terpencil. Surip Labang tidak peduli apa pun rintangan asal
sahaja dia boleh membalas dendam setelah seisi kampung meng-ejeknya.
"Hidung kamu akan rompong kalau tak cukupkan
syarat!" ujar lelaki tua berhidung rompong itu ingatkan Surip Labang
sekiranya tidak dapat mencabul 44 orang gadis.
Bukan mudah mahu mencari 44 orang gadis di dalam
kampungnya kalau sekadar beberapa buah rumah sahaja. Tetapi dia sudah nekad
akan menyerbu ke kampung lain yang berdekatan. Lelaki tua berkenaan tidak
benarkan dia memperkosa dalam masa masih diuji amalannya.
Dia sendiri akan menanggung padah kalau tidak dapat
menahan perasaan gelora hingga sampai memperkosa. Sebab itu lelaki tua
berhidung rompong itu ingatkan syarat-syarat yang mesti dipatuhi supaya tidak
melanggar pantang larang. Setiap kali membolos masuk ke dalam rumah mangsa, dia
hanya tidur berbaring sahaja di sebelah. Kemudian buangkan pakaian mangsa sebelum
turun meninggalkan rumah berkenaan.
Memang Surip Labang tahu syarat yang ditetapkan bukan
mudah mahu dicuba. Setiap kali dia campakkan pasir ke atas bumbung rumah
nescaya seisi keluarga mangsa akan tidur nyenyak. Tatkala ini dia akan mengikut
elus angin yang membolos pada celah-celah dinding.
Sebaik sahaja Surip Labang membolos masuk terpaksa dia
menahan gelora perasaan apabila berhadapan dengan mangsa terkejang. Berdebar-debar
sahaja hatinya setiap kali rebahkan badan di sisi mangsa. Tetapi dia tetap pegang
kukuh-kukuh pantang larang setelah tua berhidung rompong itu tusukkan sangka
susuk pada tubuhnya.
Setelah tubuhnya bertukar menjadi lembaga hitam tidak
berpakaian, Surip Labang terasa lelaki tua berhidung rompong itu terbangkan dia
ke udara. sekali gus pula Malim Melano hembus ke udara hingga angin bertiup
kencang menghambat lelaki tua berhidung rompong itu. Disebabkan angin bertambah
kencang terpaksa lelaki herkenaan lepaskan Surip Labang di halaman rumah Tok Ompek.
Terpinga-pinga Surip Labang apabila tercegat di halaman
rumah Tok Ompek, tetapi melihat di sekeliling tembok batu tersergam. Tidak ada
lubang tempat angin mengelus apabila dia mahu membolos keluar. Terpaksa dia
berkeliling mencari pintu akibat tembok batu tersergam.
"Hai datuk petala, sangka susuk sangka angin, datuk
petala di langit, datang kau bantu aku, aku tunduk patuh pada perintah kau,
berkat hu..." lantas Surip Labang menyeru dengan mendongak ke langit.
Apabila kilat memancar Surip Labang terkejut melihat
gelungan. cahaya putih menyilau berligar-ligar. Puas Surip Labang memerhati
lelaki tua berhidung rompong itu tetapi bayangnya tidak kelihatan di mana-mana.
Tetapi Malim Melano yang tercegat di tengah gelungan cahaya putih berkilau itu.
"Awak ni siapa nak ganggu aku?" bentak Surip
Labang resah disebabkan tidak menemui jalan keluar.
Tetapi Malim Melano tidak menyahut apa-apa. Dia menuding
jari ke arah Surip Labang menyebabkan pandangannya berbinar hingga tidak boleh
melihat apa-apa. Terhuyung hayang Surip Labang apabila terasa kepalanya
bagaikan berputar ligat. Kemudian dia terdengar azan bergema di udara
seolah-olah bumi yang dipijaknya bergegar kuat.
"Tunjukkan diri kamu kalau nak berlawan!"
lantas Surip Labang menggertap bibir tetapi tidak berani menatap gelungan
cahaya putih berkenaan. Kalau dia berkeras menatap sudah tentu semakin
berbinar-binar pandangan hingga kepala terasa berputar ligat.
Memang Malim Melano diamkan diri sahaja memerhati keadaan
Surip Labang menerpa pada tembok mencari ruang mahu memboloskan diri. Dalam masa
tubuhnya menjelma menjadi lembaga hitam tidak berpakaian, kepalanya juga
seakan-akan tunggul puntung terbakar tidak melihat apa-apa.
"Kalau pengecut, kenapa nak halang aku?" marah
benar Surip Labang diperolok-olok demikian.
Tatkala dia mendengar Malim Melano bacakan al-Fatihah
tiga kali, sekali gus jantungnya berdetak kuat. Segera Surip Labang memegang
dadanya apabila terasa senak bagaikan dihentak kayu lima enam pemeluk. Sebaik
dia menyeru orang tua rompong hidung biar menjelma datang membantunya, dia
mendengar laungan sayup-sayup di udara. Tentu orang tua rompong hidung itu
tidak berani jejakkan kaki ke tanah akibat gelungan cahaya putih itu masih
berligar-ligar.
Sebab itu Surip Labang berkeliling mahu mencari ruang membolos
di sebalik tembok batu tersergam. Mahu menghambur tinggi melepasi tembok
berkenaan, orang tua rompong hidung itu tidak turun membantu nya. Lainlah kalau
orang tun hidung rompong menjelma memang mudah dia lambungkan dirinya melayang
ke udara.
Seluruh tenaga Surin Labang menjadi lemah tidak bermaya
tatkala Malim Melano membacakan:
Qulya ai-yuhannasu inkuntum fi
syakkim min dini fala a'budullazina ta buduna min dunillahhi walakin a'budul
lahhal lazi yatawaffakum wa-umirtu an-akuna minal-mukminin.
Apabila Malim Melano melompat keluar dari gelungan cahaya
putih, lantas ditamparnya bahu Surip Labang tiga kali. Dia terguling ke tanah
akibat pandangan berbinar-binar tidak menentu. Sewaktu dia membuka mata, Surip
Labang sudah dipapah naik ke rumah Tok Ompek. terkejut dia apakala melihat
orang-orang kampung berkeliling memerhati dia terpinga-pinga berhadapan dengan
Malim Melano di situ.
"Kenapa aku dikelilingi ramai-ramai ni?" ujar
Surip Labang kecewa setelah menyedari rahsianya diketahui oleh orang-orang kampung.
Sengaja Malim Melano tidak menyahut apa-apa. Dia sekadar
sediakan secawan kopi lantas dihulurkan pada Surip Labang. Selepas meneguk kopi
berkenaan Surip Labang tersengguk-sengguk menahan sebak dada akibat kesal
sangat dengan amalannya. Dia mengakui fasal bertapa semata-mata harapkan jelmaan
lelaki tua rompong itu tusukkan sangka susuk pada tubuhnya.
Lama dia tidak jejak kaki balik ke kampung, tiba-tiba
sahaja seisi kampung gempar dengan kejadian diceroboh lembaga hitam tidak berpakaian.
Memang Surip Labang mahu mencabul hingga 44 orang gadis. Tetapi hasratnya
terhalang tatkala terkurung dalam pasung bumi yang dibuat oleh Malim Melano.
Bukan takat dia sahaja terkurung dalam pasung bumi
berkenaan, malah jelmaan lelaki tua hidung rompong yang diserunya juga tidak
membantu apa-apa. Tatkala ini dia menyedari bukan mudah mahu melepasi syarat
yang ditetapkan oleh lelaki tua hidung rompong itu sekalipun dia boleh membolos
masuk asal sahaja angin dapat mengelus.
Setelah seisi kampung tahu mengenai amalannya tidak
bertangguh Surip Labang meninggalkan kampung halaman. Dia tidak mahu jejak lagi
kaki menjengah muka Malim Melano apabila terperangkap di halaman rumah Tok
Ompek. Siapa pun tidak peduli lagi ke mana pun Surip Labang menghilang asal
sahaja dia tidak menceroboh lagi!
"Nasib orang merantau memang begitu," tutur
Malim Melano apabila kenang seisi kampung menuduh dia amalkan amalan menjelma
menjadi lembaga hitam tidak berpakaian itu, lantas mengerling isterinya Anjang
Siyah.
"Ustaz pun merantau sekarang ni," segera Anjang
Siyah ingatkan suaminya tatkala mula-mula saya berpindah ke kampung mereka.
"Tak sama ustaz merantau dengan saya merantau,"
jelas Malim Melano tersengih-sengih menatap muka saya. Memang dia mengakui
kejadian yang berlaku ke atas Surip Labang itu sudah lama berlalu. Malah dia
juga sudah lama berkahwin dengan Anjang Siyah setelah disuruh oleh Tok Ompek.
Sewaktu saya menetap di kampung berkenaan, Mat Sudi juga
sudah berkahwin. Sama-sama tekun usahakan sawah padi datuknya Tok Ompek yang terkejang
mengidap kudis membeng-kak pada buku lali. Puas juga dipupuk ubat oleh Malim
Melano, tetapi penyakit Tok Ompek tidak juga mahu sembuh.
Akibat kudis membengkak itu Tok Ompek terasa sakitnya
berdenyut-denyut sampai ke paha. Kadangkala dia merungut disebabkan seluruh
badannya bagaikan ditusuk jarum hingga tidak dapat bertahan. Bimbang juga Tok
Ompek sekiranya diganggu amalan ilmu hitam semata-mata mahu membalas dendam
terhadap dirinya.
"Pandai awak berdalih fasal ustaz merantau,"
lantas Anjang Siyah mengejeknya apabila Malim Melano saya Jejak kaki ke
kampungnya bukanlah merantau sangat.
"Ustaz merantau dalam Semenanjung, tapi saya merantau
dari seberang," Malim Melano menjelaskan kenapa tidak sama dia merantau
dengan saya. "Lagi pun ustaz ke sini bertugas, saya ke sini mencari tempat
berteduh," dia menambah suara merendah.
Memang Malim Melano bangga benar tatkala saya mengajak
Tok Aji menjengah situ. Perlahan dia mengesat pelupuk mata diberitahu mengenai Tok
Aji juga lama meninggalkan Bukittinggi sebelum ke Pekanbaru terus ke Semenanjung.
Lantas sahaja Malim Melano memeluk Tok bagaikan keluarga yang lama berpisah.
Tetapi saya tahu benar perangai Tok Aji, asal sahaja
menemui sesiapa yang baru jejak kaki ke Semenanjung mudah sangat mesranya dia. Tok
Aji sudah menganggap Malim Melano sama juga macam keluarganya. Semasa Malim
Melano beritahu mengenai bapa mentuanya Tok Ompek mengidap kudis membengkak
pada buku lali, segera Tok Aji menjengahnya.
Tiga kali Tok Aji jentik kepala lutut Tok Ompek dia
sekadar merungut-rungut sahaja tidak menentu. Kemudian dia menggamit saya duduk
di sisinya terus menepuk ubun-ubun saya tiga kali. Selepas Tok Aji hembus ke
muka saya tiga kali perlahan dia bacakan:
Allahhu yatawaffal anfusahina
mau-tiha wallati lam-tamut fi-manamiha fayumsikul lati qodo 'alaihal mauta
wayursilul ukhra ila ajalim musammam inna fi-zalika la-ayatin liqaumiy
yatafakkarun.
Apabila Tok Aji biarkan badan saya rebah ke lantai, saya
sekadar menyedari pergelangan tangan saya dipegangnya. Ketika ini saya dengar
Tok Aji berbisik menyuruh saya mencari punca penyakit yang dihidapi Tok Ompek.
Perlahan-lahan pula saya terasa bagaikan keluar ke permukaan air terus melayang
ke udara.
Tatkala saya melihat buku lali kaki Tok Ompek membengkak
dengan kudis membusuk, saya bagaikan melihat hama berkumpul di situ. Sebaik
sahaja dihembus dengan tiga kali al-Fatihah hama yang berkumpul itu berpusar
laksana semut terapung di tengah air, Memang saya dapat mengagak tentu tidak
ada gangguan syaitan hingga kaki Tok Ompek membengkak.
Sebaik sahaja diberitahu pada Tok Aji mengenai hama yang
banyak di buku lali kaki yang membengkak, saya mendengar Tok Aji berbisik
carikan ubat yang sesuai dengan membacakan tujuh kali surah al-Kautsar. Setelah
saya bacakan surah al-Kautsar lantas menghembus ke udara, ketika ini saya
melihat seolah-olah daun betik kecut kekuningan berombak-ombak ditiup angin.
Semasa Tok Aji bisikkan supaya segera membuka mata,
sekali gus saya bagaikan tercampak semula ke tengah pusaran air. Lama tenggelam
di dasar air baru-lah saya dapat membuka mata. Cepat-cepat pula Tok Aji
hembuskan ubun-ubun saya dengan membacakan tiga kali al-Fatihah.
"Tidak pernah saya tengok cara pengubatan Tok
Aji," tersengih-sengih Malim Melano beritahu mengenai kehairanannya
apabila Tok Aji tidurkan saya hingga rebah ke lantai. Dia melihat Tok Aji
bagaikan bercakap dengan saya tatkala tengah tidur tidak sedar apa-apa.
"Perkara ni dah lama diamalkan orang tua-tua
dulu," ujar Tok Aji tersenyurn lantas meminta saya beritahu mengenai
penyakit yang dihidapi oleh Tok Ompek.
Setelah diberitahu Tok Ompek kudis yang membengkak pada
buku bukan gangguan ilmu hitam, perlahan-lahan dia mengeluh lantas mengesat
pelupuk matanya. Memang menuduh Surip Labang membalas dendam setelah
bertahun-tahun mendongkol perasaan akibat diperangkap di halaman rumahnya.
Tentu Surip Labang tidak puas hati setelah tidak dapat
membolos masuk ke rumahnya mengganggu Anjang Siyah. Apabila meninggalkan
kampung halaman lantas sahaja Surip Labang mahu membalas dendam.
Tetapi Tok Ompek dengar juga mengenai Surip Labang sudah
lama meninggal dunia, apabila mengidap resdung hingga hidungnya rompong tidak
bersisa. Manalah dia mahu percaya mengenai malang yang menimpa lelaki berkenaan
kalau takat mendengar khabar angin semata-mata. Siapa pun tidak pernah
menjengah mayat Surip Labang terkejang akibat penyakit resdung hingga hidung
rompong tidak bertahan.
Memang orang-orang di kampung tidak melihat mayat Surip
Labang. Mereka sekadar diberitahu sanak saudaranya yang tidak sempat menjengah.
Setelah berbulan-bulan Surip Labang meninggal dunia baru sanak saudaranya dapat
dihubungi. Sebab itu Tok Ompek tidak percaya sangat mengenai Surip Labang
meninggal dunia apabila kakinya tiba-tiba sahaja gatal merenyam-renyam.
Puas digaru sepanjang malam berdebar sangat hati Tok
Ompek apabila melihat kudis mula membengkak. Kulit kaki juga bertukar menjadi
hitam sama macam jelmaan Surip Labang tatkala menceroboh masuk ke rumah mangsa.
Sebab itu dia percaya tentu amalan ilmu hitam Surip Labang yang mengganggu
dirinya.
"Boleh jadi awak ni kena kencing manis, Tok
Ompek," jelas Tok Aji dengan meminta Malim Melano mencuba daun betik kecut
kekuningan seperti saya beritahu tatkala ditidurkan.
Memang saya sendiri tidak tahu mengenai penyakit kudis
yang dihidapi oleh Tok Ompek, selain melihat bayangan daun betik kekuningan itu
apabila didesak Tok Aji. Setelah rebuskan air daun betik berkenaan dengan tiga
cawan hingga menjadi satu cawan sahaja, Tok Ompek meneguknya setiap pagi dan malam
hingga berturut-turut tujuh hari.
Selepas diamalkan minum air rebus daun betik kecuk
kekuningan itulah Tok Ompek merasa sakit-sakit di seluruh badannya beransur
hilang. Bengkak pada buku lali kakinya juga mengecut. Sewaktu saya berpindah
meninggalkan kampung halamannya memang Tok Ompek sudah sembuh betul, tetapi dia
masih juga amalkan minum air rebus daun betik berkenaan.
Hinggalah bertahun-tahun tidak pernah lagi jengah ke
kampung berkenaan saya terserempak Mat Sudi sewaktu sama-sama menghantar anak
masuk di pusat pengajian. Segera Mat Sudi perkenalkan dirinya setelah saya cam
mengenai ayahnya Malim Melano serta datuknya Tok Ompek yang sudah lama
meninggal dunia.
Setelah beberapa kali bertemu selepas itu, Mat Sudi
tiba-tiba sahaja beritahu mengenai ayahnya baru sahaja keluar dari hospital.
Tatkala saya menjengah ke kampungnya keadaan Malim Melano sudah bertenaga
semula. Dia tunjukkan ibu jari kakinya yang hitam lebam kembali pulih setelah
amal kan meneguk air rebus daun betik kecut kekuningan itu.
"Saya ingat lagi masa ustaz beritahu mengena ubat
-arwah bapa mentua saya Tok Ompek dulu,' tersengih-sengih Malim Melano jelaskan
mengenai dia meneguk air rebus daun betik itu.
Sudah lama sangat kejadian tersebut manalah saya ingat
apabila Tok Aji tidurkan saya tatkala Tok Ompek harapkan kakinya yang
membengkak dapat diubati. Saya sendiri tidak tahu penyakit sebenar yang
dihidapi Tok Ompek ketika itu.