BERPELUH-PELUH seluruh badan akibat menebas di kebun pisang hingga santak
senja. Tetapi Ucu Mahali tidak peduli apa-apa kalau sudah turun ke kebun. Dia
tidak boleh duduk diam semenjak masuk ke felda, disebabkan terpaksa bekerja
keras sepanjang hari.
Harapkan menoreh getah masakan boleh menampung hidup keluargangya, kalau
tidak ditambah dengan berkebun pisang. Dalam tempoh seminggu Ucu Mahali boleh
dapat RM70.00 apabila banyak pisang yang ditebang. Biarlah jiran-jiran menuduh
dia tamakkan harta dunia disebabkan turun ke kebun sampai santak senja.
Dia masih mengibas-ngibas mata parang ke tengah belukar sekalipun Kak
Banun sudah mendesaknya balik. Takkan menunggu azan berkumandang di surau baru
mahu tinggalkan kebun pisang hingga tergesa-gesa mandi di bilik air. Tentu
tergesa-gesa pula ambil wuduk lantas terburu-buru mencapai sejadah. Memang Ucu
Mahali jarang berjemaah ke surau, disebabkan tidak sempat mahu terburu-buru ke
surau di seberang pejabat kesihatan di dalam felda berkenaan.
Marah juga Kak Banun disebabkan suaminya mandi tatkala badan tengah panas
berpeluh-peluh. Apa salahnya kering dahulu peluh supaya badan terasa sejuk baru
curahkan air ke seluruh badan? Tetapi Ucu Mahali bukan boleh ditegur kalau mahu
menentukan cara hidupnya. Sebab itulah Kak Banun tidak peduli sangat sekiranya
Ucu Mahali berkeras juga mahu mandi
tatkala badan tengah panas berpeluh-peluh.
"His, cukuplah tu dulu, bang," Kak Banun mendesak suaminya
balik disebabkan senja sudah semakin samar sekalipun azan di surau belum
berkumandang.
Ucu Mahali mendengus. Belum sempat dia mahu menyahut, tiba-tiba terdengar
kereta berhenti jauh di hadapan rumahnya, diikuti dengan namanya dipanggil
berulang kali. Dia tidak perlu tergesa-gesa memastikan siapa yang datang ke
rumahnya. Tahu sangat Ucu Mahali asal sahaja orang datang jejak kaki ke rumah
dia tentulah fasal berubat. Apa lagi tujuan mereka kalau bukan berubat minta
dijampikan?
Sejak dia berpindah ke Felda itu memang ramai tahu fasal dia menjadi
bomoh. Sekalipun Ucu Mahali tidak mahu dia dikenali sebagai bomoh, tetapi dia
tidak dapat menghalang apabila ada orang datang jejak kaki ke rumahnya minta
dijampikan. Sampaikan suami lari meninggalkan rumah pun, mereka meminta bantuan
Ucu Mahali. Tidak boleh tiga hari, Ucu Mahali akan cuba sampai tujuh hari
nescaya lelaki yang lari meninggalkan rumah isterinya, akan datang semula
mencari isteri yang ditinggalkan. Tentu hati lelaki itu tidak tenteram apakala
namanya seringkali disebut-sebut oleh Ucu Mahali dalam jampinya.
Tetapi mereka yang pernah menemui Ucu Mahali tahu, bukan disebabkan jampi
mentera Ucu Mahali boleh memaksa orang yang lari balik semula dengan pasangannya.
Mereka tahu Ucu Mahali akan kirimkan jin-jin yang bersahabat dengannya
mengganggu sesiapa sahaja yang cuba melawan kemahuannya. Mereka tidak marah
apa-apa kepada Ucu Mahali, kerana dia tidak mengganggu sesiapapun. Dia sekadar
gunakan jin-jin yang bersahabat dengannya untuk tujuan membantu mereka yang
diganggu kesusahan. Memang Ucu Mahali tidak akan gunakan jin-jin berkenaan
untuk melakukan kejahatan.
Sewaktu dia mengajak Kak Banun balik, terjengket-jengket Mat Junoh
melompat anak-anak kayu mendapatkan dia. Tersengih-sengih Mat Junoh melihat Ucu
Mahali berpeluh-peluh memegang parang panjang di bawah perdu rumpun pisang.
"
Ah, Abang Junoh rupanya!" gerutu Ucu Mahali sebaik sahaja Mat Junoh
mendekati dia.
"Encik Kiman ajak awak ke Kuala Lumpur." beritahu Mat Junoh
setelah mereka bersalaman.
"Bila?" perlahan sahaja Ucu Mahali bertanya sekalipun hatinya
serba salah juga apakala diminta oleh Kiman ke Kuala Lumpur.
Kalau Kiman mengajak ke Kuala Lumpur tentulah Kak Banun juga ikut sama.
Masakan dia mahu tinggalkan isterinya di rumah apabila ke Kuala Lumpur sampai
bermalam di rumah Kiman. Sekiranya Kiman hantar balik pun selepas tengah malam
tentu hampir Subuh baru sampai ke rumah. Dia tahu sekiranya Kiman datang
menjemput memang lelaki itu sanggup hantar dia balik malam itu juga. Apalagi
kalau dia mendesak fasal mahu menoreh getah. Tinggal dalam kawasan felda dia tidak
boleh berdalih sekiranya tidak pergi menoreh.
"Encik Kiman akan hantar balik malam ni juga," terus sahaja Mat
Junoh menerangkan supaya Ucu Mahali tidak was-was mahu ikut ke Kuala Lumpur.
Lagi pun Mat Junoh akan ikut sama
disebabkan malamnya dia tidak bertugas. Memang tugas Mat Junoh menjadi pengawal
di stor kilang getah buku akan off tiap-tiap dua malam sekali. Selepas pencen
jadi buruh di jabatan, mujur benar nasib Mat Junoh dipelawa bertugas menjadi
pengawal di stor kilang getah buku itu.
Masuk sahaja jam 6.00 petang dia akan mula bertugas sampai ke pagi. Apa
salahnya bertugas sebelah malam, bukannya dia bercekang mata tidak tidur hingga
ke Subuh. Sebab itu Mat Junoh sanggup ikut Kiman ke Kuala Lumpur sebaik sahaja
lelaki itu memintanya mengajak Ucu Mahali. Dia sendiri yang perkenalkan Ucu
Mahali kepada Kiman, disebabkan lelaki itu pernah menjadi ketua jabatannya
sebelum bertukar ke Kuala Lumpur.
Asal sahaja ada masalah memang Kiman akan bertumpu kepada Mat Junoh.
Tidak tergamak pula Mat Junoh membiarkan Kiman gelabah sepanjang masa semenjak
rumahnya diserbu rama-rama hitam sepanjang malam. Kadangkala sampai lampu di
dalam rumah tertutup akibat terlalu banyak rama-rama hitam hinggap. Apabila
rama-rama hitam gugur ke lantai akibat mati terbakar pada kaca lampu, isteri
Kiman akan mula diserang sakit kepala. Kemudian hidungnya keluar darah macam
selsema dihinguskan.
Lama juga isterinya Seridah menanggung sakit, barulah sakit di kepalanya
mulai reda. Sudah berkali-kali juga Kiman membawa isterinya menemui doktor,
tetapi tidak dapat diagakkan penyakitnya. Kalau mahu dituduh darah tinggi
keadaan Seridah tidak pula mempunyai tekanan darah yang membimbangkan. Doktor
juga tidak syak kalau ada ketumbuhan di kepala, kerana tanda-tandanya tidak ada
langsung.
Sebab itu Kiman hubungi Mat Junoh sekiranya boleh membantu dapatkan bomoh
untuk mencuba rawatan tradisional. Sudah dua kali Ucu Mahali mencuba apakala
Mat Junoh membawa Kiman dan isterinya ke rumah itu.
Mula-mula sahaja dia melihat Seridah, perempuan itu bagaikan enggan naik
ke rumahnya. Kalau tidak didesak oleh Kiman memang Seridah tidak mahu naik
disebabkan terasa seluruh badannya seram sejuk. Semakin digagahi juga naik
dadanya berdebar kencang mengombak-ombak tidak menentu.
Ketika itu Ucu Mahali merasakan dirinya dikelilingi oleh lembaga-lembaga
berjubah putih yang ramai di tengah rumahnya, dia dapat melihat seolah-olah di
ubun-ubun Seridah terletak tengkorak kepala dengan lidah terjelir panjang.
Tengkorak kepala itu bergoyang-goyang laksana kapas ditiup angin setiap kali
lembaga-lembaga berjubah putih mengibaskan tangan.
Marah benar tengkorak berkenaan kepada lembaga-lembaga berjubah putih itu
kerana membawa Ucu Mahali ke situ hingga dia tidak dapat berlindung ke mana
pun. Memang lembaga-lembaga berjubah putih itu yang tunjukkan kepada Ucu Mahali
mengenai tengkorak di atas ubun-ubun Seridah. Lidah yang terjulur dari
tengkorak itu terus menjilat-jilat darah dari ubun-ubun macam kucing menjilat
susu tumpah di lantai.
"Hah, tengkorak apa pula atas ubun-ubun Seridah ni?" keras
suara Ucu Mahali membentak sambil menuding ke kepala perempuan itu.
Terkejut juga Kiman apabila diberitahu mengenai tengkorak di atas
ubun-ubun isterinya. Dia tidak melihat apa-apa
pun kecuali tudung yang melingkupi rambut.
"Buangkan aje, Ucu," sahut Mat Junoh seolah-olah dia sendiri
dapat melihat tengkorak yang disebutkan oleh Ucu Mahali.
Lantas Ucu Mahali menjuruskan
tangan ke arah ubun-ubun Seridah dengan membacakan: Qola Musa maji'tum
bihissihira innallahha sayubthiluhu innallahha layuslihu 'amalal mufsidin,
wali-ilafin quraisy, abthil sihraka kullahu wayubthilhu, Allahhumma abthilis
sihrallazi bainazzar'i wafi jami'il mukhta-fiati kulliha.
Kemudian dia merentap kuat hingga terasa tengkorak di atas ubun-ubun
Seridah tertanggal habis. Tetapi tengkorak itu hanya seperti bayang-bayang
sahaja yang hilang sementara terlindung oleh silauan cahaya. Dalam masa
beberapa saat sahaja bayangan tengkorak itu kembali bertenggek di ubun-ubun
Seridah bagaikan terus berdegil sekalipun diancam oleh Ucu Mahali.
"Hah, nak tunjuk keras kepala ye!" bentak Ucu Mahali lantas
memberi isyarat kepada lembaga-lembaga berjubah putih segera menyerbu.
Tatkala lembaga-lembaga berjubah putih itu menyerbu, terasa pada Seridah
kepalanya sejuk laksana dicurahkan ais di ubun-ubunnya. Dia tidak melihat
apa-apa kecuali merasakan elusan angin di keliling tubuhnya yang duduk
berlunjur kaki di hadapan Ucu Mahali. Tetapi Ucu Mahali tahu elusan angin itu
memang lembaga-lembaga berjubah putih itu menyerbu lantas merentap tengkorak yang
melekap di atas ubun-ubun Seridah.
Masakan tenaga manusia mampu merentapkan bayang-bayang tengkorak itu,
kecuali lembaga-lembaga berjubah putih itu sama seperti bayang-bayang tercegat
di sisinya. Bila-bila lembaga-lembaga berjubah putih bersedia mematuhi perintah
Ucu Mahali asal sahaja dikerah dalam saat demikian. Mereka akan mematuhi apa
sahaja perintah Ucu Mahali tatkala dia terus berzikir mengulangi sampai 500
kali: Ya haiyun ya qaiyum ya latiff ya zaljalali wal ikram.
Setelah dua kali Kiman membawa isterinya Seridah berubat ke Felda sebaik
sahaja diperkenalkan oleh Mat Junoh, memang isterinya mengakui sakit kepalanya
semakin berkurangan. Dia juga tidak lepaskan kain putih yang dituliskan oleh
Ucu Mahali dengan: Waja'alna min baini aidihim saddan wamin khalfihim saddan fa
aghsyainahum fahum layubsirun, menutup ubun-ubun macam kain selindang diikat ke
kepala. Disebabkan sakit kepala Seridah semakin sembuh itulah, Kiman mengajak
Ucu Mahali ke Kuala Lumpur supaya lihat sendiri keadaan rumahnya.
Manalah tahu tapak rumah itu tidak sesuai menyebabkan penyakit silih
berganti mengganggu keluarganya. Memang Ucu Mahali sendiri mengakui apabila
diminta Kiman melihat dari jauh keadaan rumah berkenaan, berkali-kali terbersin
seolah-olah terhidu bau busuk yang menusuk-nusuk. Kali kedua Seridah datang
jejak kaki ke rumahnya berubat, Mat Junoh mencadangkan supaya Ucu Mahali
melihat keadaan di keliling rumah Kiman di Kuala Lumpur.
Tetapi Mat Junoh tahu masakan Ucu Mahali boleh ke Kuala Lumpur kalau
masih tercongok di tengah rumahnya di kawasan felda itu. Ucu Mahali sekadar
memerintahkan lembaga-lembaga berjubah putih yang menjelma setiap kali dia
menyeru. Sebaik sahaja lembaga-lembaga berjubah putih itu melayang ke udara,
dia akan mendengar apa sahaja yang dibisikkan ke telinganya oleh
lembaga-lembaga berkenaan.
Apabila diberitahu mengenai bau busuk yang terhidu di keliling rumah
Kiman jauh di Kuala Lumpur, tiba-tiba sahaja bau busuk itu menusuk ke
hidungnya. Sekaligus pula Ucu Mahali terbersin kuat menahan rasa loya yang membuak-buak
ke kerengkung akibat bau yang busuk tengit itu.
"Apa pula yang bau busuk ni?" gerutu Ucu Mahali
berlenggok-lenggok kepala di tengah rumahnya yang sengaja dipadamkan lampu. Memang
dia tidak akan memasang lampu setiap kali mengubati sesiapa sahaja.
"Carilah punca busuk tu, Ucu," ujar Mat Junoh tersengih-sengih
memerhati Ucu Mahali terlenggok-lenggok kepala di tengah rumah.
Beberapa kali Ucu Mahali mendehem bagaikan kerengkungnya tersekat akibat
loya membuak-buak. Kalau tidak dapat dikawal nescaya dia akan menyerbu ke
jendela terjeluih muntah. Memang termengah-mengah dia menahan senak perut
akibat memual-mual ketika itu.
Sebab itu Ucu Mahali tidak sanggup mengubati sesiapa pun sekiranya tidak
terpaksa melakukannya. Dia sendiri akan menanggung segala apa yang dilihatnya
setelah menyeru semua lembaga-lembaga berjubah putih itu menjelma. Sekalipun
Ucu Mahali sekadar memberitahu lembaga-lembaga berkenaan hanya sahabatnya,
tetapi Mat Junoh tahu memang Ucu Mahali menyeru jin-jin khadamnya.
Kadangkala dia akan termengah-mengah sesak nafas sekiranya
lembaga-lembaga berjubah putih dipusar angin kencang sewaktu merempuh ke tempat
yang menjadi sasaran. Ucu Mahali juga akan terdampar ke dinding apabila
lembaga-lembaga berjubah putih itu terpelanting tidak dapat mengawal diri.
Memang dia mengakui tubuhnya juga lenguh-lenguh kalau lembaga-lembaga
berjubah putih itu berdepan dengan lembaga besar yang terpaksa dilawannya.
Bukan mudah Ucu Mahali mahu mengubati sesiapa pun kalau tidak kena gayanya.
Sebab itulah Kiman memujuk Mat Junoh supaya Ucu Mahali bersedia mengubati
Seridah.
"His, apa ni..?" geli geleman Ucu Mahali apabila dibisikkan ke
telinganya lembaga-lembaga berjubah putih itu melihat tulang kaki manusia
bersepah-sepah di merata tempat dalam rumah Kiman.
"Kenapa Ucu?" lantas
sahaja Mat Junoh bertanya macam berasa hairan.
"Banyak benar tulang kaki
manusia ni!" beritahu Ucu Mahali menggeleng-geleng kepala hingga terpaksa
mengusap-usap lengan akibat bulu roma tegak meremang.
"Mana datangnya tulang kaki manusia tu?" hairan juga Kiman
apabila diberitahu mengenai taburan tulang kaki manusia di dalam rumahnya.
"Bukanlah betul-betul tulang kaki manusia berserak di rumah
encik," lantas Mat Junoh mengingatkan bekas ketua pejabatnya itu.
"Ucu nampak macam tulang kaki manusia, tapi itulah sihir yang
digunakan orang!" dia menjelaskan supaya Kiman tidak terkeliru dengan apa
yang disebut oleh Ucu Mahali.
Kalau tidak diterangkan tentu
Kiman menyangka di rumahnya penuh dengan tulang-tulang kaki manusia berserakan.
Disebabkan Mat Junoh sudah kerapkali melihat Ucu Mahali mengubati orang, dia
tahu apa yang dilihat oleh Ucu Mahali sekadar bayangan sahaja. Tetapi
demikianlah bentuk penyakit yang mengganggu mangsa akibat sihir ilmu syaitan
itu.
Memang mereka yang amalkan ilmu syaitan boleh menggunakan apa sahaja
kelengkapan yang sesuai untuk melepaskan marah terhadap seseorang yang
dibencinya. Apabila tulang kaki mayat dipuja dengan menyeru syaitan, maka
bayangan itulah dapat dilihat oleh lembaga-lembaga berjubah putih yang menjadi
sahabat Ucu Mahali.
Tahu sangat Mat Junoh fasal amalan ilmu syaitan yang digunakan orang
untuk mengganggu sesiapa sahaja. Mereka sanggup menggali kubur lama semata-mata
mahu dapatkan tengkorak kepala supaya boleh dipuja tengah malam tatkala bulan
mengambang penuh. Apabila sudah dikuasai ilmu syaitan memang mereka tidak
pernah takut apa-apa pun lagi, asal sahaja niat buruknya tercapai.
Bukan takat kubur lama sahaja digali, kadangkala kubur orang mati
kemalangan jalan raya yang dianggap mereka mati terbunuh juga digali. Apa
sahaja bahagian anggota mayat yang sudah ditanam baik-baik itu digunakan mereka
untuk tujuan-tujuan yang sengaja untuk memuaskan hati sendiri.
Apalagi kalau kubur anak gadis sunti yang belum disentuh mana-mana
lelaki, mereka sanggup menggali dengan tidak berpakaian langsung. Mereka tidak
bimbang sekalipun dihalang dengan berbagai-bagai bayangan yang mengerikan dalam
saat menggali kubur tersebut. Hati mereka sudah nekad melakukan apa sahaja,
asalkan hasrat di hati dapat ditunaikan. Biarlah terpaksa menarik mayat
tersebut ke atas kubur, kemudian melayur dagu mayat dengan api lilin sampai
menitik airnya. Mereka akan tadah air dagu berkenaan dengan tempurung yang
sudah disediakan. Gembira sangat mereka apabila usaha tersebut dapat
dilaksanakan sekalipun perbuatan tersebut memang dilaknati sesiapa sahaja.
"Ah, manusia ni macam-macam kepandaian!" Kak Banun menyampuk
sambil ingatkan Kiman supaya tidak gelabah apakala mendengar tulang kaki
manusia bersepah-sepah di lantai rumahnya.
"Ilmu jahat memang mudah nak amalkan," gerutu Mat Junoh
selanjutnya dengan mencebek bibir.
Marah benar dia perbuatan mereka yang gunakan sihir untuk menganiaya
orang lain. Kalau tidak puas hati apa salahnya bersemuka biar sama-sama dapat
menilai siapa di pihak benar dan siapa di pihak yang salah.
Kadangkala disebabkan mereka gunakan sihir inilah, orang seperti Ucu
Mahali juga dituduh amalkan perkara yang tidak baik. Sampaikan Imam Labim juga
nasihatkan Ucu Mahali supaya tidak amalkan ilmu-ilmu yang bertentangan. Tetapi
Ucu Mahali tidak membantah apa-apa. Perkara amalan dia tidak pernah tumjukkan
kepada sesiapa pun. Belum pernah dia meminta mereka datang jejak kaki ke
rumahnya kalau diganggu syaitan sama ada pelesit, polong atau sihir. Dia juga
tidak mengajak sesiapa pun di Felda itu amalkan zikir sepanjang malam.
Bila-bila Ucu Mahali akan jengah ke surau asal sahaja dijemput menghadiri
ceramah agama. Imam Labim boleh jemput siapa sahaja guru-guru agama mengajar di
surau, dia tetap memberikan sokongan.
Sebab itu dia tidak bantah apa-apa kalau Imam Labim ingatkan supaya tidak
menjadi bomoh. Imam Labim sendiri diberitahu mengenai Ucu Mahali akan berjamu
ayam panggang dengan tujuh piring nasi kunyit apabila seseorang itu sembuh
penyakitnya. Marah benar Imam Labim apabila diberitahu sudah beberapa kali Ucu
Mahali buat berjamu ayam panggang itu. Hinggakan Imam Labim menanggung derita
sakit gigi sampai membengkak pipi pun mereka tuduh disebabkan Ucu Mahali.
Mereka yang tinggal di kawasan Felda percaya memang Ucu Mahali gunakan
sihir menyebabkan Imam Labim menanggung kesakitan bengkak pipi
berminggu-minggu. Sudah beberapa kali Imam Labim ke hospital mendapatkan
rawatan tetapi bengkak pipi akibat sakit gigi tidak juga seruh. Apabila doktor
cadangkan supaya dibedah, berdebar juga hati Imam Labim. Kalau takat sakit gigi
kenapa pipinya yang membengkak perlu dibedah juga?
Tetapi bengkak pipi Imam Labim tidak seruh hingga berminggu-minggu. Sakit
giginya juga berdenyut-denyut asal sahaja senja menjelang sampai dia tidak
mampu ke surau untuk solat Maghrib berjemaah. Berdetak juga hatinya mahu
menuduh perbuatan Ucu Mahali gunakan sihir menyebabkan pipinya membengkak
berminggu-minggu. Bimbang juga dia mahu berterus-terang di hadapan Ucu Mahali.
Kalau dia percaya penyakit bengkak pipinya disebabkan sihir Ucu Mahali dan
bukannya dari Allah Subhanahu Wata'ala, tentulah dia sendiri yang mempercayai
perkara tahyol. Seisi felda itu tahu memang dia tidak percayakan perkara tahyol
demikian.
Tentu orang-orangnya di Felda akan menuduhnya iri hati dengan Ucu Mahali
sekiranya percaya penyakitnya disebabkan sihir. Tetapi Imam Labim hairan
bagaimana penyakitnya berlanjutan setelah berterus terang menegur perbuatan Ucu
Mahali menjadi bomoh di situ. Kalau Ucu Mahali tidak menberitahu dirinya bomoh
pun, penduduk-penduduk kampung itu akan bertumpu juga ke rumahnya.
Tersengih-sengih Ucu Mahali apabila naik ke rumah Imam Labim sebaik
sahaja diberitahu oleh isteri imam itu mengenai penyakit bengkak pipi yang
ditanggung suaminya. Tidak tersinggung pun Ucu Mahali apakala dituduh gunakan
sihir untuk menganiaya Imam Labim. Mereka percaya Ucu Mahali berkecil hati
apabila ditegur oleh Imam Labim mengenai amalannya. Sebab itulah dia sanggup
gunakan lembaga-lembaga berjubah putih yang menjadi sahabatnya menganiaya Imam
Labim sampai sakit gigi berdenyut-denyut.
"Imam pun tahu, sakit datang dari Allah, ubatnya juga dari
Allah," ujar Ucu Mahali perlahan dengan penuh ikhlas.
Tersinggung juga hati Imam Labim kerana menyangka Ucu Mahali sengaja mahu
menyindir dia. Tidak patut lelaki itu menyindir dia dalam saat bengkak pipinya
masih juga belum seruh.
"Ubat hanya sebagai ikhtiar saja, yang pentingnya: iyya kana'budu wa
iyya kanas ta'in," Ucu Mahali menegaskan lantas meletakkan tapak tangannya
ke pipi Imam Labim yang membengkak.
Tersengih-sengih Imam Labim dengan penjelasan Ucu Mahali. Dia sendiri
tidak tahu sangat mengenai amalan Ucu Mahali kecuali mendengar laporan beberapa
orang sahaja. Imam Labim tidak pernah bertanyakan apa-apa pun mengenai cara
pengubatan yang diamalkan oleh Ucu Mahali semenjak mereka sama-sama berpindah
ke kawasan felda.
Imam Labim sendiri mendengar Ucu Mahali membacakan doa tatkala tapak
tangan diletakkan ke pipinya yang membengkak: Alif lam mim sad, kaf ha ya a'in
sad, ha mim a'in sim kof, uskun aiyuhal waji' billazi in yasya yuskinir riho
fayazlalna rawakido 'ala zohrihi, inna fi zalika la-ayatin likulli sobbarin
syakur.
Terasa pada Imam Labim daging pipinya bagaikan disentap semasa tapak
tangan Ucu Mahali melekap di situ. Tiga kali diulangi oleh Ucu Mahali, memang Imam
Labim berasa lega juga.
"Musibah macam ni, ujian
kepada kita Imam," tutur Ucu Mahali sewaktu turun meninggalkan rumah Imam
Labim.
Seminggu selepas itu talkala bertemu di surau, Imam Labim tunjukkan
kepada Ucu Mahali bengkak di pipinya mengecut. Sakit giginya yang
berdenyut-denyut juga tidak lagi mengganggu. Tidak pula Imam Labim mengagak
sama ada ubat yang diambilnya di hospital atau doa Ucu Mahali yang
menyembuhkan.
"Semuanya kuasa Allah, Imam," tersengih-sengih Ucu Mahali
ingatkan dia, apabila Imam Labim ungkit mengenai kesudian Ucu Mahali jejak kaki
ke rumahnya menjengah dia mengidap bengkak pipi berminggu-minggu. Dia juga
percaya kuasa Allah yang menyembuhkan apa jua penyakit, tetapi manusia wajib
berikhtiar mendapatkan ubat. Cara mana ubat itu diperolehi tidak penting
sangat, asal sahaja ikhlas mendapatkan di mana-mana.
Sebab itu Ucu Mahali tidak mengelak sangat tatkala dijemput oleh Kiman ke
Kuala Lumpur dalam saat dia baru sahaja selesai menebas di kebun. Keletihannya
akibat tidak cukup berehat sejak pagi lagi menoreh getah, kemudian menebas di
kebun pisang di sebelah petang, cuba disembunyikan oleh Ucu Mahali. Selesai
sahaja solat Maghrib, tidak bertangguh dia mengajak Kak Banun masuk sama ke
kereta Kiman.
Sewaktu turun dari rumah memang Ucu Mahali tidak mengunci mangga rumah.
Dia sekadar gantungkan sahaja mangga itu di pintu seolah-olah rumahnya terkunci
rapat. Sudah menjadi amalan Ucu Mahali tidak akan mengunci rumahnya apabila dia
berjalan ke mana-mana. Biarlah rumahnya digantungkan mangga sahaja dengan tidak
dikunci apa-apa. Tahu sangat Kak Banun petua suaminya apabila keluar rumah
dengan tidak menguncikan mangga. Kadangkala sampai berhari-hari dia
meninggalkan rumah, Ucu Mahali tidak bimbang apa-apa pun mengenai keadaan
rumahnya.
"Tak masuk pencuri ke, Ucu?" sengaja Mat Junoh menduga sebaik
sahaja kereta bergerak meninggalkan kawasan rumah.
"Ah, bukannya ada apa dalam rumah, kalau mereka nak curi pun,"
sahut Ucu Mahali tersengih-sengih lantas menyandarkan belakang kukuh-kukuh.
"Kalau TV dilarikan orang, macam mana?" Kiman pula bertanya
seolah-olah mengingatkan lelaki itu.
"Kalau mereka nak ambil,
dikunci pun mereka dapat pecahkan," tegas Ucu Mahali tidak bimbang apa-apa
meninggalkan rumahnya dengan tidak berkunci.
Tetapi Kak Banun juga tahu mengenai keistimewaan suaminya meninggalkan
rumah dengan tidak berkunci. Memang dia sendiri bimbang tatkala mula-mula
berkahwin dengan Ucu Mahali yang sudah duda itu, apabila meninggalkan rumah
dengan tidak berkunci langsung. Merungut juga Kak Banun disebabkan mahu
menghadiri majlis kahwin sampai santak malam, sengaja Ucu Mahali tidak mengunci
rumah. Mangga tergantung di pintu sekadar terlekat sahaja dengan tidak
digunakan.
Ketika balik dari kenduri majlis kahwin, tiba-tiba sahaja Kak Banun
terkejut melihat dua orang pemuda tercangkung di dalam rumah seolah-olah tangan
mereka diikat ke belakang. Sewaktu lampu dipasang dua orang pemuda itu
terkebil-kebil mata meminta ampun. Dua orang pemuda itu sendiri mengaku mahu
masuk mencuri ke dalam rumah, tetapi mereka dikejutkan oleh bayangan Ucu Mahali
terlalu banyak di keliling rumah. Ke mana sahaja mereka berpaling bayangan Ucu
Mahali tercegat di situ. Tidak sempat mereka melarikan diri, bayangan Ucu
Mahali yang terlalu banyak menerkam ke arah mereka. Lantas sahaja tangan mereka
diikat ke belakang.
Di dalam gelap itu mereka melihat terlalu banyak bayangan Ucu Mahali
tercegat di mana-mana. Hinggalah lampu dipasang dan mereka melihat sendiri Ucu
Mahali baru sahaja balik bersama Kak Banun, dua orang pemuda itu menyedari sia-sia
sahaja menyusup masuk ke rumah itu semasa Ucu Mahali tidak ada di rumah. Tetapi
Ucu Mahali sekadar memberitahu dua orang pemuda itu ketakutan sahaja sehingga
melihat bayangannya tercegat di mana-mana, bukan disebabkan melhat bayangan dia
di tengah rumah. Sekalipun Kak Banun beritahu mengenai kejadian itu, namun Ucu
Mahali tetap merahsiakan juga daripada Kiman.
Hampir jam 11.00 malam mereka sampai di rumah Kiman, terasa lapar juga
Ucu Mahali disebabkan belum menjamah nasi sewaktu turun meninggalkan rumah.
Memang Kiman mahu berhenti juga di gerai makan sewaktu dalam perjalanan, tetapi
tidak ada gerai makan di sepanjang jalan. Apabila masuk ke Kuala Lumpur, Ucu
Mahali sendiri cadangkan biar terus sahaja ke rumah Kiman. Apalah gunanya makan
di gerai makan di Kuala Lumpur kalau sudah sampai di rumah Kiman. Lebih baik
mereka makan sahaja di rumah Kiman. Tentu Seridah sudah bersiap-siap
menyediakan hidangan disebabkan dia tahu Kiman ke Felda menjemput Ucu Mahali.
Alangkah membazirnya Seridah menyediakan hidangan, kalau mereka semua
makan di gerai sebelum jejak kaki di rumah! Sewaktu menghadapi hidangan di meja
makan, memang Ucu Mahali tidak bercakap apa-apa. Mat Junoh sudah mengagak tentu
Ucu Mahali terlalu letih kerana tidak sempat berehat ketika Kiman datang menjemput.
Tetapi Kak Banun tetap galak berbual dengan Seridah sewaktu menyediakan
hidangan di dapur. Kalau Ucu Mahali keletihan tentu Kak Banun juga keletihan
akibat sama-sama menebas di kebun pisang hingga santak senja. Tetapi Kiman
melihat Kak Banun masih segar berbual.
Tidak bercakap apa-apa. Ucu Mahali terus sahaja solat Isya' selepas
selesai makan. Kemudian dia menyuruh padamkan sahaja lampu di tengah rumah
dengan membiarkan lampu di luar sahaja terpasang. Dalam masa setengah jam
sahaja Ucu Mahali tercongok di penjuru rumah dengan melenggok-lenggok kepala,
tiba-tiba dia mendongakkan kepala dengan keadaan geli-geleman.
"Semua tentera Islam sahaja
datang, yang lain tak mahu!" Ucu Mahali menuding tangannya ke siling.
Ketika ini mereka semua terdiam melihat Ucu Mahali tercongok di penjuru rumah.
Tubuhnya semakin galak melenggok-lenggok seolah-olah tidak lagi lesu akibat
keletihan bekerja sepanjang hari.
Dia semakin gagah merapatkan sila dengan membacakan: Wa-in yamsaskallahu
bidhurin kasyifa lahu illahhuwa wa-in yuridka bkharin fala radda lifadhlihi,
yusibu bihi man yasya-u min 'ibadihi wahuwal ghafurrur rahim.
Serentak dengan ini terlalu banyak rama-rama hitam berterbangan di tengah
rumah, menyebabkan Kiman segera memasang kipas angin. Rama-rama hitam itu tertampan
ke dinding apakala kipas angin berputar ligat hingga berserakan ke lantai.
Tiba-tiba pula Ucu Mahali terjeluih, menyebabkan dia berlari ke dapur. Lantas
sahaja dia muntah ke dalam sink dengan tidak bersebab. Sampai merah muka Ucu
Mahali menahan loya tekak hingga perut memual-mual termuntah tidak tertahan.
"Hah, kenapa Ucu?" gementar juga Mat Junoh dengan keadaan Ucu
Mahali yang termuntah-muntah menahan loya tekak.
"Abang Junoh cuba tengok di bilik tidur Encik Kiman ni," ujar
Ucu Mahali mengurut-ngurut dadanya setelah dapat bertenang semula lantas duduk
bersila rapat.
Tidak bertangguh Mat Junoh mengajak Kiman naik ke bilik tidur di tingkat
atas. Sebaik sahaja pintu bilik terbuka, Kiman dengan Mat Junoh beristighfar
beberapa kali apakala melihat bersepah-sepah tulang kaki manusia di atas
karpet.
"His, mana datangnya Abang Junoh?" Kiman tidak jadi melangkah
masuk ke dalam bilik.
"Entahlah Encik Kiman,"
keluh Mat Junoh terasa seram sejuk hingga bulu roma tegak meremang.
"Mari kita panggil Ucu
naik," lantas dia menarik bahu kanan Kiman mengajak turun semula ke
tingkat bawah.
"Ada nampak apa-apa Abang Junoh?" segera Ucu Mahali bertanya
sebaik sahaja Mat Junoh dan Kiman bergegas-gegas turun.
Mat Junoh tidak menyahut. Dia
segera menarik tangan Ucu Mahali supaya naik ke tingkat atas. Terpaksa Ucu
Mahali ikut naik sama setelah digesa oleh Kiman. Ketika ini dua orang anak
Kiman di biliknya juga terjerit memanggil emaknya kerana terkejut dengan tulang
kaki manusia berselerak di bilik tidurnya. Termengah-mengah pula Seridah dan
Kak Banun berkejar naik ke bilik tidur anaknya. Memang mereka terkejut melihat
tulang kaki manusia berselerak dengan bau busuk yang menusuk-nusuk.
"Semua tentera Islam masuk, buangkan apa sahaja sihir dalam runah
ni!" seru Ucu Mahali dengan berlegar-legar di sekeliling bilik tidur
Kiman.
Kemudian dia menyuruh memadamkan
semua lampu di dalam rumah dengan membiarkan lampu di luar sahaja terpasang di
garaj kereta. Sedikit demi sedikit bau busuk yang menusuk-nusuk ke hidung
hilang.
Ketika ini mereka mendengar Ucu Mahali berzikir dengan: Ya zaljalali wal
ikram, hingga suaranya bertukar menjadi parau macam tersedak akibat sendawa.
Setelah bau busuk itu hilang barulah Ucu Mahali benarkan memasang lampu di
dalam bilik tidur.
Ketika ini mereka melihat tidak ada lagi tulang-tulang kaki manusia
berselerak di atas karpet. Tidak bertangguh pula Ucu Mahali mengajak turun
semula ke tingkat bawah. Dua orang anak Kiman juga turun ke tingkat bawah
disebabkan tidak berani lagi masuk semula ke dalam bilik tidur mereka. Memang
tidak pernah mereka mengalami kejadian demikian, apalagi baru sahaja balik dari
belajar di luar negeri.
Apabila turun ke ruang tamu, mereka tidak melihat lagi bangkai rama-rama
hitam yang berselerak banyak di atas karpet. Kalau mahu dikatakan rama-rama
hitam mati setelah tertampan ke dinding akibat ditolak kipas angin berputar
ligat, tentu kepaknya bertaburan di mana-mana. Seridah akan sapu juga bangkai
rama-rama hitam kalau masih berselerak di atas lantai. Tetapi kesan bangkai
rama-rama hitam yang banyak berselerak sebelum itu tidak kelihatan di mana pun.
Macam tidak percaya pula dia dengan apa yang dilihatnya. Masakan Ucu Mahali
sengaja gunakan silap mata dalam saat demikian.
"Kalau sakit, cukuplah berubat," ujar Ucu Mahali setelah
suasana reda. "Perkara dari mana puncanya penyakit tu, tak perlu kita
ingatkan sangat," dia mengingatkan lantas menyuruh Kiman sediakan garam
dan lada hitam.
Disebabkan tidak sempat mahu mencari garam kasar dan lada hitam ketika
hampir jam 12.00 tengah malam, Ucu Mahali sekadar memberikan petua supaya dua
jenis bahan itu digaulkan sahaja. Kemudian Kiman boleh bacakan sendiri Ayatul
Kursi sebanyak 313 kali selepas solat Maghrib. Dia menyuruh Kiman serakkan
garam kasar digaul lada hitam itu di
sekeliling rumah. Tidak perlu lagi Kiman terburu-buru mendapatkan Ucu Mahali,
kalau bacaan Ayatul Kursi itu diamalkan sepanjang masa.
Apalah salahnya bacakan Ayatul Kursi itu sampai 313 kali setiap kali mahu
masuk tidur, ataupun bangun tengah malam dirikan solat Tahajud. Tetapi Kiman
sendiri bukan ambil peduli sangat mengenai solat Tahajud. Malah solat lima
waktu juga seringkali tertinggal disebabkan banyak urusan di pejabat.
Berkali-kali juga Seridah mendesak supaya tidak lupakan solat, tetapi Kiman
sendiri banyak berdalih.
"Dah jadi perkara macam ni,
baru nak ingat Allah," sengaja Seridah menyindir tatkala mereka berdua
datang ke rumah saya, disebabkan menemui isteri saya.
"Bukan macam tu," sahut Kiman terkilan dengan tuduhan isterinya
itu.
"Tapi solat ni bukannya nak menunjuk-nunjuk pada orang, solat tu
satu tanggungjawab kita," katanya mengingatkan Seridah.
Sudah lama juga isteri saya tidak bertemu dengan anak saudaranya itu,
semenjak Seridah berpindah ke Kuala Lumpur. Apalagi Kiman sudah membeli rumah
di sana, tentulah tidak ada masa lapang. Kadangkala bersua semasa menyambut
Hari Raya sahaja, itu pun kebetulan terserempak di masjid. Kalau mahu jejak
kaki ke rumah semata-mata mahu bersua, memang sukar mahu dirancang. Kadangkala
mereka pula terkilan mahu jejak kaki ke rumah apabila saya jarang di rumah.
"Ustaz ni bukannya lekat di rumah," isteri saya pula mengusik
apabila diberitahu oleh Kiman sudah beberapa kali menghubungi dengan telefon.
Kalau tidak didesak oleh Ucu Mahali memang Kiman serba salah juga mahu
berkunjung ke rumah saya. Tetapi Ucu Mahali desak juga sekiranya keadaan di rumah mereka masih juga diganggu. Memang
semenjak amalkan Ayatul Kursi itu, Seridah terasa sakit kepalanya tidak lagi
mengganggu, tetapi sekali-sekala bau busuk itu meruap-ruap juga tatkala tengah
malam.
Sekalipun mereka ada hubungan keluarga dengan isteri saya, tetapi jarang
bertemu untuk mengeratkan tali persaudaraan. Lagipun Seridah sendiri malu
berkunjung disebabkan sikap suaminya yang tidak gemar ke masjid. Bimbang juga
dia sekiranya diingatkan oleh isteri saya demikian, apabila bersua muka.
"Banyak saya belajar dari ustaz ni," beritahu Ucu Mahali semasa
dibawa berkunjung ke rumah saya oleh Kiman.
"Bolehlah dikatakan guru saya juga," tersengih-sengih dia
memeluk leher saya. Serba salah juga saya dengan pengakuan Ucu Mahali itu.
Tidak pernah pula saya memberikan petua pengubatan kepadanya, kerana saya tidak
tahu menahu langsung mengenai perubatan cara mana pun. Apa yang saya lakukan
sekadar berdoa sahaja dengan menyerah diri semata-mata kerana Allah.
"Jalan sama, cuma caranya
berlainan," segera Ucu Mahali menjelaskan apabila disedarinya saya dalam
keadaan serba salah. Memang gementar
juga hati saya apabila orang seperti Ucu Mahali yang banyak pengalaman itu
tiba-tiba sahaja mengakui saya menjadi gurunya. Lainlah kalau saya yang berguru
kepadanya, sekalipun usia saya memang lebih tua daripadanya.
TAMAT
No comments:
Post a Comment