Friday, October 31, 2014

098. BERTEMU PUTERI BUNIAN



SEMUANYA bermula dengan tidak disedari oleh Mat Akir. Kegemarannya belajar ilmu-ilmu kebatinan tidak ada batasan. Disamping itu dia juga belajar ilmu pengasih supaya dirinya sentiasa dipandang kasih oleh siapa saja.
Satu ketika sewaktu dia memasang rawai di sungai jauh ke hulu sedikit, dia tercium bau wangi. Kemudian terpandang olehnya seorang gadis berjuntai kaki ke air, duduk di atas perdu pokok kelepung. Gadis itu sungguh cantik, kulitnya putih, hidungnya mancung, giginya putih bersih, matanya bulat, rambutnya ikal mayang, dan mukanya bujur sirih.
Pada mulanya Mat Akir tidak mahu menghiraukan sangat gadis tersebut. Dia mengesyaki juga sesuatu, kerana selama ini dia belum pernah melihatnya. Walau bagaimanapun dia cuba melarikan diri dari gadis berkenaan, namun hatinya bagai diruntun-runtun supaya mendekatinya.
Akhirnya dia memberanikan hati menegur gadis tersebut. Dia bersedia menghadapi apa saja risiko, kerana ilmu di dadanya sudah cukup dibekalkan.
“Buat apa duduk di situ, nak mandi ke?” tegur Mat Akir tersenyum.
“Iya, saya nak mandi. Tetapi saya nampak awak memasang rawai, sebab itu saya tak jadi nak mandi,” sahut gadis itu mengerling manja.
“Awak seorang saja ke?” tanyannya lagi.
“Iya, saya memang suka berseorangan,” jawabnya perlahan.
“Tidakkah awak takut?” Mat Akir cuba menduga.
“Apa nak ditakutkan, tempat ni tempat kita,” gadis itu tidak lepas mengerling kearah Mat Akir.
Mat Akir terus memasang rawai, sementara gadis berkenaan duduk juga berjuntai kaki ke air. Kakinya dihayun-hayun ke dalam air hingga menampakkan betisnya yang putih melepak.
Hari itu Mat Akir banyak mendapat ikan. Mahu juga hatinya mengendap di mana rumah gadis tersebut. Tetapi didapatinya kawasan itu penuh dengan belukar teberau. Tidak ada lorong orang turun ke air, atau menunjukkan adanya terdapat rumah di situ.
Apabila balik ke rumah Mat Akir tidak dapat melupakan gadis yang dilihatnya di sungai itu. Ilmu pengasihnya selama ini sudah tidak memberi kesan lagi kepadanya. Sepatutnya gaids itu yang selalu terkenang-kenangkan dia bila malam menjelang. Sebaliknya dia sendiri tidak dapat mententeramkan hatinya.
Esok pagi-pagi lagi dia sudah membawa rawai ke sungai. Dia menuju ke tempat dia bertemu gadis itu semalamnya. Lama dia menunggu di situ sehingga matahari terbit segalah, barulah kelihatan gadis berkenaan datang untuk mandi.
Dari pertemuan itu teruslah membibitkan perasaan cinta di antara dua makhluk itu. Masing-masing sudah berjanji tidak ada berpisah lagi. Rupa-rupanya ilmu pengasih yang ada pada Mat Akir masih berkesan. Sayangnya gadis itu tidak dapat menunjukkan dirinya di depan masyarakat umum.
“Namaku Puteri Bongsu, puteri penghulu bunian,” dia menerangkan kepada Mat Akir. “Aku tahu kau mencintai aku dengan hati bersih, sebab itulah aku rela menerima kau. Tetapi aku tak dapat menjelma di depan masyarakat kau, kerana kita makhluk yang berlainan,” jelasnya lagi.
“Bagaimanakah kita boleh berjumpa selalu?” Mat Akir meluahkan perasaannya.
“Aku menunggu kau di sini.....” sahut Puteri bongsu memberi jaminan.
“Bolehkah aku berjumpa dengan ayah kau?” tanya Mat Akir.
“Bersabarlah dulu, nanti bila tiba masanya aku bawa kau bertemu dengan ayahku,” kata Puteri Bungsu memeluk tubuh Mat Akir. “Ayahku marah, kalau aku bawa kau dengan tidak izinnya,” dia menjelaskan.
Sejak itu seringlah Mat Akit bertemu dengan Puteri Bungsu. Namanya juga sudah ditukar oleh Puteri Bungsu kepada Putera Ali. Pada Puteri Bungsu dia bukan lagi Mat Akir, tetapi Putera Ali.
Dalam masa pertemuannya dengan Puteri Bungsu inilah sikap Mat Akir mula berubah. Dia tidak lagi suka bercampur dengan kawan-kawannya seperti Latip Debok, Sarip Uncoi dan anak-anak muda yang sebaya dengannya. Dia lebih suka ke hutan mencari manau, rotan atau damar seorang diri saja.
Orang-orang kampung juga merasa heran mengapa Mat Akir berubah sikap, tetapi mereka tidak lah mengesyaki apa-apa. Mereka percaya kerana terlalu banyak menuntut ilmu kebatinan itulah sikapnya berubah.
Setiap kali Mat Akir balik dari hutan dia akan memperolehi banyak rotan, manau atau damar. Rezekinya juga boleh di kira sangat baik. Mak Teh tidaklah banyak soal jawabnya, kerana dia tahu Mat Akir seorang yang kuat bekerja. Kalau dia pergi merawai di sungai banyak ikan diperolehinya. Kadangkala Mak Teh sedekahkan pula pada jiran-jiran.
Semasa Mat Akir ke hutan mencari rotan, memang Puteri Bungsu menemankan dia. Hinggalah pada suatu hari Puteri Bungsu mengajak dia bertemu dengan ayahnya. Peluang yang ditunggu-tunggunya selama ini tidak dilepaskan oleh Mat Akir.
Puteri Bungsu membawanya ke satu tanah lapang yang dipenuhi oleh kabus memutih. Dia tidak dapat melihat dengan jelas di manakah dia berada. Dia hanya mengikut saja ke mana dibawa oleh Puteri Bungsu. Tiba-tiba saja dia sampai ke sebuah perkampungan yang indah. Orang-orang kampung yang melihat dia berjalan bersama Puteri Bungsu itu tercengang-cengang keheranan. Kampung itu belum pernah dilihat lagi oleh Mat Akir. Dia kemudiannya dibawa masuk ke sebuah rumah besar seperti istana. Jalan untuk sampai ke istana melalui kolam-kolam yang dipenuhi dengan teratai memutih.
Apabila masuk ke dalam dewan istana, Puteri Bungsu tiba-tiba menghilangkan diri. Tinggallah dia seorang tergegak di tengah dewan. Namun Mat Akir tidak merasa takut apa-apa. Sebagai seorang yang penuh ilmu di dada, memang Mat Akir bersedia menghadapi siapa saja musuhnya.
“Selamat datang Putera Ali....” suatu suara menegurnya kemudian muncul seorang lelaki berjanggut yang mendakwa dirinya penghulu bunian.
Mat Akir membongkok memberi hormat. “Penghulu berniat jahat atau berniat baik?” soalnya sambil meraba-raba parang di pinggang.
Penghulu Bunian tersenyum dengan sikap Mat Akir itu. “Tak payah Putera Ali bertanya niat saya, kalau saya berniat jahat tak sampai Putera Ali ke mari,” ujarnya macam menyindir.
Mat Akir terdiam. Terasa juga bimbang di hatinya kerana menunjukkan sikap demikian. Mana tahu kalau hasratnya mahu mengambil Puteri bungsu menjadi isteri akan ditolak, kalau dia bersikap kurang ajar terhadap Penghulu Bunian. Tetapi kalau dia menunjukkan sikap takut, tentu dirinya akan diperolok-olokkan pula.
Bila dilihatnya air muka penghulu Bunian yang jernih dia dapat memahami bahawa kedatangannya diterima dengan baik. Penghulu Bunian juga sudah mengetahui mengenai percintaannya dengan Puteri Bungsu.
“Penghulu dah tahu niat Puteri Ali.....” kata Penghulu Bunian merapati Mat Akhir. “Tetapi Putera Ali mesti berjanji merahsiakan perkara ini dari pengetahuan masyarakat Putera Ali. Kita ini berlainan jasad. Putera Ali jasad kasar, kami ni jasad halus,” Penghulu Bunian mengingatkan.
“Merahsiakan macam mana?” tanya Mat Akir tegas.
“Sebelum Putera Ali dinikahkan dengan Puteri Bungsu, janganlah ceritakan perkara ini pada keluarga Putera Ali. Kalau dah nikah nanti, tak apalah. Sebab masa tu, Putera Ali sudah menjadi keluarga kami. Putera Ali tidak akan balik lagi kepada keluarga Putera Ali,” jelasnya memandang tepat ke muka Mat Akir.
“Saya setujulah dengan syarat tu,” sahut Mat Akir. Dia memang sudah nekad untuk menikahi Puteri Bungsu sekalipun terpaksa berpisah dengan emaknya. Dia merasakan cintanya pada Puteri Bungsu sudah tidak dapat dipisahkan lagi oleh sesiapa pun.
Mat Akir bersedia menjadi keluarga masyarakat bunian untuk selama-lamanya. Inilah janjinya pada Puteri Bungsu. Bagaimanapun Puteri Bungsu pernah memberitahu dia, kalau Mat Akir menjadi keluarga bunian dia di benarkan juga bertemu dengan keluarganya. Syaratnya dia tidak boleh memberitahu tentang perkahwinannya dengan orang bunian itu. Kalaudia melanggar syarat tersebut dia terpaksa memilih antara dua sama ada keluarganya atau pun Puteri Bungsu. Kalau dia memilih Puteri Bungsu, dia tidak akan dibenarkan lagi bertemu keluarganya untuk selama-lamanya.
“Macam manapun Putera Ali kena berfikir juga dululah. Saya benarkanlah Putera Ali tinggal di sini semalam dua dulu, lepas tu bolehlah balik pada keluarga Putera Ali, dan berfikirlah habis-habis sebelum datang ke sini,” kata Penghulu Bunian mengingatkan.
Sekonyong-konyong Penghulu Bunian itu ghaib dari pandangan Mat Akir. Kemudian dia dibawa oleh seorang perempuan tua ke sebuah bilik, katil tempat tidurnya dihiasai dengan lampu-lampu berbagai warna. Di situlah dia disuruh berihat.
Semuanya berlaku seperti dalam mimpi kepada Mat Akir. Tetapi dia yakin bahawa dirinya bermimpi. Dia dapat merasakan semua itu berlaku di hadapan matanya. Malah Mat Akir sudah merasakan dunia bunian itu tidak lagi asing kepadanya.
Dalam dia berfikir-fikir itu datanglah perempuan tua itu membawakan dia hidangan makanan yang lazat-lazat. Dengan tidak berfikir panjang Mat Akir memakannya dengan rakus. Dia tidak peduli lagi tentang cerita orang-orang tua bahawa makanan yang dihidangkan oleh orang bunian sebenarnya ialah cacing gelang-gelang dan tahi cacing itu.
Air minuman yang manis seperti serbat itu sebenarnya air dari kubang babi atau gaung di sekitar kawasan tersebut. Ketikaini Mat Akir tidak pedulikan apa lagi. Dia terus menikmati makanan yang di hidangkan itu.
Setelahmakan perempan tua yang melayani dia pun mengemas-ngemaskan pinggan mangkuk, langsung ghaib dari pandangan mata. Walaupun Mat Akir mempunyai kelebihan ilmu kebatinan, tetapi dia semacam terpukau oleh keindahan di tempat bunian itu.
Oleh itu dia tidak pernah merasa dirinya di aniaya oleh bunian. Selalunya ilmu kebatinan itu digunakan untuk mempertahankan diri dari dianiaya oleh orang lain. Sebaliknya Mat Akir merasakan dirinya sentiasa dihormati oleh orang-orang bunian di situ.
Selepas makan datanglah Puteri Bungsu mengajaknya mandi dikolam. Mat Akir mengikut saja segala kemahuan Puteri Bungsu. Kasihnya kepada Puteri Bungsu benar-benar mendalam, bukan hanya godaan nafsu semata-mata.
Telah menjadi kelazimannya sesiapa yang benar-benar jujur dalam percintaannya, memang dapat diterima oleh orang bunian. Mengikut cerita orang tua-tua kelebihan orang-orang bunian ialah mereka dapat menilai kejujuran hati seseorang itu.
“Sudikah Putera Ali mengambil saya menjadi isteri?” tanya Puteri bungsu semasa mereka sama-sama mandi di kolam.
“Kalau tak sudi masakan saya datang ke sini...” sahut Mat Akir mengerling tubuh Puteri Bungsu yang berkemban saja. “Saya takut cuma saya bertepuk sebelah tangan,” ujarnya perlahan.
“Tidakkah Puteri Ali sedar kami ini berlainanmakhluk. Putera Ali dari jasad kasar, saya dari jasad halus?” katanya semacam mahu menduga hati Mat Akir.
“Kalau jasad kita berbeza, apakah hati kita tidak boleh disatukan?” tanya Mat Akir.
“Putera Ali patut menjelma menjadi jasad yang halus juga,” beritahu Puteri Bungsu bercampur sangsi kalau-kalau Mat Akir menolak. “Hanya dengan Putera Ali menjadi jasad halus sajalah kita tidak berpisah lagi, keranakalau tidak bertukar jasad saya bimbang Putera Ali akan kembali semula kepada keluarga Putera Ali,” dia menjelaskan dengan penuh harapan.
“Saya sudah memberitahu semuanya pada Penghulu Bunian,” Mat Akir menerangkan.
Dia memang sudah nekat untuk tinggal bersama masyarakat bunian. Kasihnya pada Puteri Bungsu sudah tidak dapat dipisahkan oleh sesiapa pun. Dia rela jasadnya bertukar menjadi jasad halus yang tidak dapat dilihat lagi oleh orang-orang kampungnya.
Memang dia tahu wanita yang dicintainya itu bukan manusia biasa, tetapi makhluk yang hidup bernyawa juga. Apalah salah baginya kalaumencintai sesama makhluk. Sedangkan Puteri Bungsu juga mencintai dia.
Dia juga tahu adalah mustahil Puteri Bungsu menjelma menjadi jasad kasar sepertinya, kerana pantang larangnya terlalu banyak kalau dia menjelma ke alam nyata. Mat Akir memang tidak sanggup memenuhi pantang larang itu sekiranya Puteri Bungsu menjelma menjadi manusia biasa.
Kononnya mengikut petua gurunya, kalau orang bunian itu menjelma menjadi manusia biasa, adalah menjadi larangan kepadanya memakan benda-benda yang berdarah. Tidak boleh bertengkar, tidakboleh memarahinya, dan macam-macam lagi yang sukar diterima oleh manusia biasa.
Sebab itu dia lebih rela meninggalkan keluarganya dan jasad kasarnya untuk bersama-sama denganmasyarakat bunian.
“Apa yang Putera Ali beritahu pada Penghulu?” tanya Puteri Bungsu.
“Biarlah saya mengikuti Puteri Bungsu, kerana saya tidak menyanggupi memenuhi syarat-syarat kalau Puteri Bungsu mengikut saya,” tegasnya tidak lepas memandang tubuh Puteri Bungsu yang berkemban ditepikolam.
“Saya tahu Putera Ali bemar-benar mencintai saya, sebab itu saya juga benar-benar mencintai Putera Ali,” bisiknya lemah lembut. “Macam mana pun Penghulu menyuruh saya menghantar Putera Ali balik dulu kepada keluarga Putera Ali, nanti bila sampai masanya kita akan dinikahkan, saya akan datang mengambil Putera Ali semula,” dia memberi tahu.
Pada malamnya Mat Akir tidur seorang diri saja di dalam biliknya. Teringat juga pada dia bahawa kalau tidur di atas tilam bunian, biasanya tidur tidur di dalam kubang babi. Tapi Mat Akir tidak peduli. Dia tetap yakin dirinya dipelihara baik baik oleh orang bunian. Hanya orang-orang yang menganggap dirinya diperdaya oleh bunian saja akan menerima akibat demikian.
Memang Mat Akir sudah mengetahui cerita menenai orang-orang yang pernah disembunyikan oleh bunian. Bila mereka sedar semula mereka dapati makanan yang diberikan kepadanya hanya tahi cacing. Tempat tidurnya ialah kubang babi.
Mereka yang menerima nasib demikian, selalunya hati mereka tidak jujur. Niat mereka ialah untuk memperdayakan orang-orang bunian, sebaliknya mereka sendiri yang kena perdaya. Apabila mereka tergoda dengan gadis-gadis bunian yang cantik-cantik mereka bertujuan untuk merosakkannya. Sebab itulah mereka diperdayakan oleh bunian.
Tetapi pada Mat Akir hatinya ikhlas. Dia tidak bertujuan untuk menyakiti hati orang-orang bunian. Semenjak dia menuntut ilmu kebatinan hatinya sudah mula diruntun oleh perasaan cintakan gadis bunian. Oleh itu bila dia terpandangkan Puteri Bungsu, cintanya sudah mula bertunas.
Apa saja hadiah diberi oleh Puteri Bungsu kepadanya belum pernah bertukar rupa apabila dibawa balik ke rumah. Pernah orang menyatakan kalau bunian memberi gelang atau barang-barang kemas, sebenarnya ialah lipan atau kala. Kalau memberi wang selalunya ialah daun-daun kering. Barang-barang itu akan bertukar rupa bila orang bunian itu ghaib.
Perkara seperti itu belum pernah terjadi pada Mat Akir. Hatinya tetap cinta sepenuh hati kepad Puteri Bungsu. Oleh itulah dia yakin bahawa Puteri Bungsu tidak memperdayakan dia.
Esoknya, pagi-pagi lagi Puteri Bungsu sudah mengejutkan dia dari tidur. Mereka sama-sama mandi di kolam. Selepas minum bersma-sama dengan Penghulu Bunian, dia pun meminta izin untuk balik ke kampungnya.
“Fikirlah habis-habis Putera Ali,” kata Penghulu Bunian semasa mnereka makan.
“Baiklah Penghulu. Bagaimana pun biarlah saya berterus terang, bahawa saya rela meninggalkan segala-galanya di kampung saya, untuk datang berhamba pada Penghulu,” Mat Akir memberi pengakuan.
“Saya tahu hati Putera Ali memang jujur, sebab itu kami menerimanya pun dengan jujur. Kami sedia menunggu kedatangan Putera Ali,” balasnya bercampur bangga.
“Terima kasihlah atas budi baik Penghulu,” Mat Akir memberi hormat apabila mahu berangkat balik. Penghulu Bunian menghantarnya sampai ke pintu pagar istana.
Semasa keluar dari pintu pagar, Puteri Bungsu terus menghantarnya. Mereka melaui denai tetapi diselubungi oleh kabus tebal. Kelilingnya memutih tidak kelihatan pun pokok-pokok yang menghijau. Tempat itu terlalu asing pada Mat Akir.
“Bolehlah saya memegang jari Puteri Bungsu?” tanya Mat Akir memberanikan hatinya.
Puteri Bungsu tidak menyahut. Dia terus berjalan tidak menoleh kebelakang. Mat Akir mengikut saja dari belakang. Bimbang juga dia Puteri Bungsu marah dengan pertanyaannya tadi. Maklumlah hati orang bunian mudah tersinggung, demikianlah yang diketahuinya melalui petua gurunya.
“Marahkah Puteri Bungsu dengan pertanyaan saya tadi?” Mat Akir merasa bimbang.
“Apakah tujuan Putera Ali mahu memegangnya, sama ada niat jahat atau niat baik?” Puteri Bungsu pula menyoalnya.
“Saya berniat baik kerana terlalu kasih pada Puteri Bungsu. Tetapi kalau Puteri Bungsu tidak benarkan, saya tidak akan memegangnya,” sahut Mat Akir perlahan.
Tiba-tiba Puteri Bungsu berhenti. Perlahan-lahan di berpaling ke belakang sambil menghulurkan tangannya. Mat Akhir pun menyambut tangan itu lalu dipimpinnya dengan penuh kasih sayang. Dia merasakan jari Puteri itu terlalu lembut bagaikan kapas.
“Kita sudah semakin hampir sampai ke kampung Putera Ali.....” Puteri Bungsu mengingatkan. “Ingatlah semula pesan Pengulu supaya rahsiakan pertemuan kita ini dari pengetahuan orang-orang kampung,” katanya sambil meminta tangannya di lepaskan.
“Saya tetap ingat,” Mat Skir menganggukkan kepala lalu melepaskan jari Puteri Bungsu dari genggamannya.
“Ingatlah, Putera Ali masih lagi berjasad kasar. Kita belum boleh lagi bersatu,” kata Puteri Bungsu.
Mat Akir mengangguk. Dia tidak bimbang kalau menjelma menjadi jasad halus seperti bunian. Tidak ada pantang larang yang harus dipengangnya selagi dia terus mematuhi keadaan hidup masyarakat bunian.
Sejak dari mula lagi dia tidak berani membawa Puteri Bungsu menjelma menjadi manusia biasa. Kalau dia membawa Puteri bungsu, banyak pula tohmah dan fitnah yang mesti dihadapinya. Walaupun Penghulu Bunian membenarkan dia membawa Puteri Bungsu, tetapi dia tidak sanggup memegang pantang larang tersebut.
Takdirnya berlaku pertengkaran suami isteri dan dia terpaksa memarahi Puteri Bungsu, mala petaka akan menimpa dirinya. Begitu juga kalau emaknya tidak sengaja memarahi Puteri Bungsu, tentulah mereka akan menerima kebinasaan.
Oleh itulah dia sendiri memilih untuk mengikuti Puteri Bungsu.
“Sampai di sinilah dulu Putera Ali.....” Puteri Bungsu tiba-tiba memeluk leher Mat Akir lalu mengucup bibirnya. “Saya akan selalu mencari Putera Ali sehingga kita akan dinikahkan oleh Penghulu,” katanya, kemudian hilang dari pandangan Mat Akir.
Apabila kabus tebal bilang. Mat Akir dapati dia berada di perdu pokok kelepung tepi sungai, di tempat dia selalu memasang rawai. Teruslah dia balik ke rumah dengan bermacam-macam persoalan di kepalanya.
Ketika inilah orang-orang kampung gempar mengatakan Mat Akir hilang selama tiga hari. Tetapi dengan pulangnya Mat Akir semula, mereka merasakan semuanya sedah selamat.

SELESAI

Wednesday, October 22, 2014

097. BERCINTA DENGAN BUNIAN


LAMA juga saya mahu mengetahui dari nenek, mengapa To’ Sheikh selalu datang membantunya. Kalaulah To’ Sheikh itu dari golongan bunian, apakah benar bunian ini makhluk yang baik dan bertimbangrasa?

“Bunian juga makhluk seperti kita,” kata nenek menceritakan kepada saya. “Ada golongan yang baik, ada golongan yang jahat. Ada setengahnya mengganggu orang, danada setengahnya menolong,” ujar nenek lagi.

Kadangkala ingin saya mahu melihat masyarakat bunian ini. Tetapi bila mendengarkan cerita nenek tentang masyarakat bunian ini, hati saya jadi gementar. Kata nenek, makhluk bunian ini adalah makhluk halus, manakala manusia biasa makhluk kasar.

Sebab itu apabila makhluk kasar diresapi oleh makhluk halus, mereka tidak berupaya melepaskan diri.

“Bunian ini akan menjamu sesiapa yang ditawannya dengan makanan yang lazat-lazat,” nenek menceritakan kepada saya selanjutnya. “Tetapi sebenarnya yangdimakan oleh orang yangditawannya itu ialah cacing gelang-gelang atau tahi cacing,” ujarnya.

Nenek memberitahu saya beberapa tempat yangdikatakan sebagai kawasan orang bunian. Kononnya satu ketika dulu orang bunian ini berbaik-baik dengan orang-orang kampung. Sayangnya, orang-orang kampung tidak jujur terhadap orang-orang bunian.

Di kampung saya kawasan orang bunian ialah di darat kampung berhampiran dengan belukar rotan. Satu ketika dulu orang-orang kampung boleh meminjam pinggan mangkuk dari orang-orang bunian untuk melakukan upacara nikah kahwin.

Apabila dibakar kemenyan sambil menyeru penghulu bunian, sebutlah jumlah pinggan mangkuk yang dikehendaki. Esoknya, orang yang ingin meminjam itu akan mendapati pinggan mangkuk seperti yang dikehendaki sudah ada di depan pintu.

Syarat meminjamnya hanya mesti mengembalikan semua pinggan mangkuk itu dengan cukup. Kalau terdapat yang pecah atau retak mesti juga di kembalikan. Satu masa dulu orang-orang kampung sangat mematuhi syarat tersebut, kerana orang-orang tua dulu sangat jujur dan tidak pernah mungkir janji.

Tetapi selepas orang-orang tua tidak ada lagi, orang-orang muda mula berlaku tidak jujur. Ada setengah kalangan yang menyembunyikan pinggan mangkuk yang dipinjam. Ada juga setengah kalangan yang tidak mengembalikan pinggan mangkuk yang pecah atau retak, dengan alasan takut di marahi oleh orang-orang bunian.

Sejak itulah orang bunian tidak lagi memberi pinjam pinggan mangkuk. Ternyatalah manusia biasa ini tidak pernah jujur dalam berjanji. Akhirnya orang-orang bunian tidak lagi mempercayai mereka.

“Kalau difikir-fikirkan orang bunian ni tak jahat, kita manusia bertubuh kasar ni lebih jahat,” kata arwah nenek saya dulu. “Tetapi selalunya kita menyalahkan orang lain bila orang-orang bunian ini bertindak balas. Salah diri sendiri tidak di sedarinya,” begitulah nenek saya merungut bila mengenangkan perangai manusia ini.

Orang-orang bunian ini juga, menurut cerita nenek, adalah makhluk Allah seperti kita. Mereka juga hidup berkeluarga, bermasyarakat dan mempunyai peraturan hidup. Bezanya, kita tidak dapat melihat mereka, sedangkan mereka boleh melihat kita.

“Kalau kita tahu orang bunian, mereka tidak akan berani mengganggu kita,” ujar nenek saya. “Kalau kita sudah tahu mereka orang bunian, bererti mereka kenal kita. Kalau dia sudah kenal kita, masakan dia mahu mengganggu,” katanya lagi.

Setelah mencungkil dari nenek mengenai pengalaman-pengalamannya sebagai bidan kampung, barulah saya menyedaribahawa nenek memang ada hubungan dengan orang bunian. To’ Sheikh yang sering menjelma apabila nenek menghadapi kesukaran, adalah penghulu bunian.

Dari cerita nenek, To’ Sheikh itu asalnya dari manusia biasa iaitu keturunan dari moyang nenek dulu. Tetapi To’ Sheikh tidak dapat balik semula ke pangkuan masyarakat manusia biasa, setelah dibawa lari oleh orang bunian.

Sebelum To’ Sheikh dilarikan oleh orang bunian, dia seorang pemuda biasa dikenali dengan nama Mat Akir. Kerja Mat Akir ini mencari rotan, damar dan manau ke hutan. Setiap hari dia ke hutan, kadangkala hingga lewat petang barulahbalik ke rumah.

Ketika ini di mana-mana pun kampung di negeri ini masih diliputi oleh hutan tebal. Perhubungan antara satu kampung dengan kampung yang lain amat sukar. Binatang-binatang buas juga berkeliaran hingga kadangkala tersesat masuk ke dalam kampung.

Pada suatu hati Mat Akir masuk ke hutan seorang diri saja. Sudah menjadi kebiasaan kepadanya masuk ke hutan dengan tidak mengajak kawan-kawan. Mat Akir juga suka bersendirian saja kalau membuat apa-apa kerja pun.

Hari tersebut dia masuk ke hutan tidak balik ke rumah hingga lewat malam. Orang-orang kampung menjadi bimbang kerana Mat Akir tidak balik. To’ Lah yang menjadi Ketua Kampung menyuruh beberapa orang pemuda menjejaki Mat Akir ke tempat dia selalu mencari rotan, pada keesokan harinya.

Hinggalah tiga hari orang-orang kampong mencari Mat Akir, tetapi tidak juga bertemu. To’ Lah menyuruh pula Pawang Bulin menengok tetemas (ilmu semacam nujum juga), ke mana perginya Mat Akir. Kalau ditangkap binatang buas tentu ada kesan-kesannya.

“Kalau tak salah, dia ni disorok orang bunian,” kata Pawang Bulin memberitahu To’ Lah. “Biasanya kalau dah tumbuh tanduk di kepalanya susahlah dia nak balik semula kepada manusia biasa,”

“Berapa lama baru tanduknya tumbuh?” Tanya Mak Teh ibu Mat Akir pada Pawang Bulin.

“Tak tentu, kalau orang bunian dah perkenankan dia, takat tiga hari ni dah tumbuhlah,” beritahu Pawang Bulin menambahkan bimbangnya hati Mak Teh.

Bagaimana pun To’ Leh tidak putus asa. Dia tetap menyuruh anak-anak muda di kampung itu mencari Mat Akir. Kebetulan padahari yang ketiga itu Mat Akir balik semula ke rumah. Mak Teh terlalu gembira sambil mengadakan kenduri doa selamat menyambut kepulangan Mat Akir itu.
 
Bila ditanya oleh orang-orang kampung ke mana dia menghilang. Mat Akir memberitahu dia tersesat. Dia sampai ke perkampungan Orang Asli. Kebanyakan orang-orang kampung lebih percaya dengan cerita Mat Akir dari kata-kata Pawang Bulin yang mengatakan Mat Akir disorok oleh orang-orang bunian.

Sejak kehilangan Mat Akir, kemudian dia balik semula ke rumah selepas tiga hari, orang-orang kampung tidaklah menghiraukan sangat peristiwa itu. Mereka hanya menasihatkan Mat Akir supaya pergi bersama kawan-kawan bila masuk ke hutan.

Tapi bagi Pawang Bulin, dia tetap tidak percaya Mat Akir tersesat dihutan hingga sampai ke perkampungan Orang Asli. Mat Akir juga tidak menerangkan kepada sesiapa pun apakah yang dialaminya selama tiga hari sesat di hutan.

“Anak awak tu diubat Teh” nasihat Pawang Bulin pada Mak Teh.

“Eh, budak tu tak sakit, macam mana nak diubat,” bantah Mak Teh bercampur heran dengan desakan Pawang Bulin supaya mengubat Mat Akir.

“Budah tu sakit. Cuba tengok mukanya pucat saja tidak berseri,” ujar Pawang Bulin menyakinkan dia.

“Entahlah To’ Pawang,” keluh Mak Teh semacam tidak percaya dengan dakwaan Pawang Bulin. “Fasal kulitnya putih, sebab itu kita nampak macam pucat aje. Saya tak tahu pula apa sakitnya budak Mat Akir tu,” katanya lagi.

“Aku cuma mengingatkan,” sahut Pawang Bulin. “Dia anak awak, kalau nak berubat boleh aku ikhtiarkan,” Pawang Bulin memberi pengakuan sanggup untuk menolong.

Mak Teh hanya mengangguk kepala memberi pengakuan, kerana tidak mahu melukakan hati Pawang Bulin. Pada hal di dalam hatinya dia langsung tidak percaya akan kata-kata Pawang Bulin yang mendakwa Mat Akir sedang sakit dirasuk orang bunian.

“Nantilah, kalau melarat sakit Mat Akir tu, saya beritahu pada To’ Pawang,” kata Mak Teh.

Pawang Bulin tidak boleh berkata apa-apa lagi. Mak Teh sendiri tidak berkeras mahu mengubat Mat Akir. Pada penglihatan Pawang Bulin, memang Mat Akir sudah dirasuk bunian. Mat Akir bukan lagi seperti Mat Akhir sebelumnya.

Dari mata kasar orang tidak nampak akan perubahan kelakuan Mat Akir. Tetapi Pawang Bulin sudah menduga sejak Mat Akir sering kehutan seorang diri saja. Apa lagi kelakuan Mat Akir tidak mahu bercampur gaul dengan anak-anak muda yang sebaya dengannya.

Dengan kehilangan Mat Akir selama tiga hari, kemudian muncul semula dengan tiba-tiba, menguatkan lagi alasan Pawang Bulin bahawa Mat Akir benar-benar sudah dirasuk bunian. Sayangnya, Mak Teh sendiri tidak begitu yakin dengan cerita PawangBulin itu. To’ Lah juga tidaklah boleh berkuat menggesa Mak Teh supaya mengubat Mat Akir.

Mat Akir sentiasa bersendirian saja. Kalau dia mandi ke sungai dia mengambil masa yang lama. Dia akan menggosok badannya sambil berendam di dalam air, menggosok celah-celah jarinya, menggosok celah-celah kukunya. Pendek kata dia terlalu asyik membersihkan diri dari segala daki atau kekotoran.

Oleh kerana Mak Teh tidak berkuat untuk mengubat Mat Akir, maka Pawang Bulin juga tidaklah mengambil berat sangat lagi. Dia hanya mahu menolong, kalau Mak Teh mahu menerimanya. Sebaliknya Mak Teh menganggap dia sengaja mengada-ngadakan cerita tentang diri Mat Akir.
 
Selepas peristiwa Mat Akir hilang tiga hari itu, pernah juga Mak Teh mendengar suara seperti orang berbual-bual pada waktu malam di belakang rumahnya. Bunyi oang berbual-bual itu tidaklah berapa jelas, tetapi kerap kedengaran terutama pada waktu bulan mengambang.

Timbul juga keinginan Mak Teh mahu mengintai siapakah yang berbual-bual di tengah malam itu. Tetapi dia takut untuk turun ke tanah ketika bulan mengambang. Dia selalu mendengar cerita tentang harimau selalu berkeliaran bila bulan mengambang penuh.

Pernah juga dia mengintai anaknya Mat Akir yang tidur di hujung serambi. Setiap kali dia menjengah ke hujung serambi, didapatinya Mat Akir ada tidur nyenyak di situ. Oleh itu dia tidak mengesyaki apa-apa terhadap Mat Akir, apabila mendengar suara orang berbual-bual di belakang rumahnya.

Mak Teh menceritakan pada To’ Lah mengenai apa yang didengarnya pada waktu malam ketika bulan mengambang. Kerana To’ Lah mahu mempastikan siapa yang datang berbual-bual di belakang rumah Mak Teh, dia menyuruh anak-anak muda mengendap siapakah yang datang ke situ.

“Kalau bunyi orang lelaki berbual dengan orang perempuan, itu tanda ada orang nak mencemarkan nama kampung kita,” ujar To’ Lah marah.

“Apa To’ nak buat?” Tanya salah seorang anak muda.

“Kita nikahkan mereka,” tegas To’ Llah. “Kalau kita biarkan mereka membuat perkara sumbang, bererti kita sama bersubahat dengan maksiat,” ujarnya menaruh curiga kepada Kiah janda muda.
 
Sudah selalu juga di dengarnya Kiah janda muda suka melayan anak-anak muda yang mengusiknya. Kadangkala bila musim ke sawah, Kiah janda muda sengaja menbawa bekalan lebih untuk mempelawa anak-anak muda menjamah bekalannya.

“Kita tak boleh biarkan orang buat tak baik dalam kampung kita,” jelas To’ Lah lagi.

Sementara Sarip Uncoi iaitu adik Kiah janda muda diperintah oleh To’ Lah supaya mengawasi kakaknya. Sarip Uncoi mengintip sama ada kakaknya keluar pada waktu malam atau tidak. Kalau keluar malam-malam hari kemana tempat yangdituju oleh Kiah janda muda.

Hampir dua minggu mereka mengawasi Kiah janda muda, tetapi tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan janda muda itu keluar bila malam hari. Sebaliknya bunyi suara orang berbual-bual di belakang rumah Mak Teh tetap kedengaran juga.

“Biar saya tanya kakak saya To’ Leh,” kata Sarip Uncoi merasa tersinggung bila dituduh kakaknya mahu melakukan perbuatan sumbang.

“Takkan dia mahu mengaku,” sahut Latip Debok pula.

Mereka semua berkumpul di surau membincangkan siapakah yang kedengaran berbual-bual itu. Semasa mereka mengintai suara orang berbual-bual semakin dekat kepada mereka, tetapi semakin di serbu semakin jauh pula perginya.

Inilah yang mengherankan To’ Lah dan anak-anak buahnya. Sarip Uncoi yang disuruh mengawasi Kiah janda muda pula, mendapati kakaknya memang tidak keluar dari rumah sepanjang malam.

“Siapa pula yang melakukan perbuatan sumbang itu…?: bisik To’ Lah keheranan. “Kalau benar Kiah, mengapa pula dia ke belakang rumah Teh. Apakah dia berjumpa dengan Mat Akir…” keluhnya tertanya-tanya dengan misteri yang melanda kampungnya.

“Kalau begitu biar saya bermalam di rumah Mak Teh. Biar saya sendiri mengawasi Mat Akir,” sahut Latip Debok menawarkan diri.

Latip Debok memang berkawan rapat dengan Mat Akir sejak kecil lagi. Tetapi disebabkan
sikap Mat Akir suka menjauhkan diri sejak kebelakangan itu membuatkan Latip Debok juga tidak mahu menghampiri dia. Sebelum Mat Akir suka menyendiri itu, selalu didapati oleh Latip Debok dia bercakap seorang diri.

“Bagus juga cadangan Latip tu,” To’ Lah bersetuju sambil mengangguk-ngangguk kepala. “Latip cuba perhatikan Mat Akir, sementara Sarip pula perhatikan kakaknya. Dengan cara ini saja kita dapat memerangkap mereka. Yang lain-lain terus mengendap di belakang rumah Mak Teh,” kata To’ Lah macam memberi perintah.

Pada malamnya masing-masing melakukan seperti apa yang disuruh oleh To’ Lah. Sarip Uncoi tidak tidur semalaman mengawasi kakaknya Kiah janda sama ada keluar dari rumah atau tidak. Sementara Latip Debok pula tidur bersama Mat Akir di rumah Mak Teh.

Puas Latip Debok berpusing ke kiri ke kanan didapatinya Mat Akir tidur nyenyak. Sekali sekala terdengar senar Mat Akir beralun-alun di hujung serambi. Dia terdengar juga Mak Teh keluh kesah di tengah rumah. Sebenarnya Mak Teh sudah di beritahu tujuan Latip Debok tidur di rumahnya.

Sementara To’ Lah dengan beberapa orang lagi anak muda menunggu di bawah belukar senduduk di belakang rumah Mak Teh. Malam semakin sepi dengan angin sepoi-sepoi bahasa meniup perlahan. Sejuk terasa menyusup sampai ke tulang. Nyamuk juga mengiang-ngiang di pangkal telinga. Tetapi To’ Lah tetap bersabar menunggu bersama orang-orangnya.

Bila tengah malam mula diserkup kesepian, bulan semakin terang mengambang, Latip Debok yang ditugaskan mengawasi Mat Akir merasa sangat mengantuk. Berat sangat pelupuk matanya bagaikan tidak dapat diangkat-angkat. Semakin dilawannya mata yang mengantuk, semakin lemah terasa tubuh anggotanya.

Dalam keadaan itulah Latip Debok tertidur nyenyak tidak sedarkan apa-apa lagi. Esoknya bila dia terjaga dia memberi tahu kepada Mak Teh tentang apa yang dialaminya. Mak Teh juga mengaku dia sendiri terasa sangat mengantuk.

“Tidak pernah Mak Teh mengantuk macam ni,” ujar Mak Teh keheranan.

“Saya juga tidak pernah mengantuk sampai tidak sedar apa-apa,” sahut Latip Debok.

“Agaknya masa awak semua tidurlah, kami dapat dengar orang berbual-bual dengan jelas,” beritahu To’ Lah merasa takjub dengan kejadian tersebut. “Suara orang lelaki berbual-bual dengan perempuan. Bila kami dekati kearah suara itu, semakin jauh pula perginya. Seolah-olah kami dibawanya ke hutan pula,” ujarnya.

“Apa yang To’ Lah dengar mereka cakapkan?” Tanya Latip Debok semacam kesal kerana dia tertidur.

Lama To’ Lah terdiam. Dia masih dalam kebingungan bila mengenangkan pengalaman semalamannya berjaga di belakang rumah Mak Teh itu. Kemudian barulah dia menjawab, “Suara yang perempuan itu mengingatkan yang lelaki supaya berhati-hati. Katanya ada orang mengendap.”

Dari apa yang didengar oleh To’ Lah pasangan yang sedang berbual-bual itu menyedari ada orang mengendap. Oleh itu yang perempuan mengajak di lelaki segera mengikutinya. Sebaliknya yang lelaki meminta tangguh juga kerana takutkan dirinya tidak sesuai dengan keluarga perempuan.

To’ Lah yang mendengarkan berhati-hati perbualan pasangan berkenaan cuba memerangkap dari dekat. Tetapi suara perbualan itu beralih-alih, sekejap terdengar di sebelah darat, sekejap di sebelah baruh.

Setelah puas mengikuti bunyi suara orang berbual itu, barulah To’ Lah merasa takut. Bulu tengkuknya tiba-tiba saja meremang. Dalam hatinya sudah mula menuduh bahawa suara pasangan yang berbual itu bukan lagi suara manusia biasa.

“Kalau begitu ini bukan suara manusia biasa,” keluh To’ Lah memerhati kearah Latip Debok.

“Latip sudah mengawasi Mat Akir, Sarip juga sudah mengawasi Kiah, tetapi mereka berdua tetap ada di rumah. Ini bukan kerja manusia biasa,” To’ Lah semakin yakin dengan anggapannya itu.
 
Barulah Mak Teh menceritakan kepada To’ Lah, apa yang telah diberitahu oleh Pawang Bulin kepadanya. Dengan nasihat To’ Lah bersetujulah Mak Teh meminta Pawang Bulin menyemah rumahnya.

Semasa Mak Teh datang ke rumah Pawang Bulin, mula-mulanya dia enggan untuk mengubat Mat Akir yang dikatakan sudah dirasuk oleh bunian. Tetapi To’ Lah kuat mendesaknya supaya berusaha menyelamatkan Mat Akir. Pada pandangan mata kasar memang tidak siapa pun menduga Mat Akir itu sakit.

Kehidupannya sama seperti manusia yang tidak sakit. Dia tetap ke hutan mencari rotan, manau dan damar. Kadangkala dia memasang rawai di sungai. Dia juga rajin mencucuk atap, ke sawah dan menorah. Pendek kata tidak ada yang berbeza kehidupan Mat Akir dengan orang-orang kampung yang lain.

Inilah yang menyebabkan Mak Teh tidak begitu percaya pada mula-mulanya.

“Kalau Mat Akir sudah dapat dikuasai oleh bunian susahlah kita nak ubat,” keluh Pawang Bulin. “Saya hanya boleh mencuba sama ada berjaya atau tidak, bukan kuasa saya.” Katanya bercampur kesal kerana sikap Mak Teh kepadanya sebelum itu.

“Cubalah sedaya upaya To’ Pawang,” pujuk To’ Lah.

“Bersemah, kenalah kita potong seekor kambing,” sahut Pawang Bulin meletakkan syarat.

“Saya sangguplah To’ Pawang,” sahut Mak Teh serba salah. Hatinya sudah tekad mahu menerima Pawang Bulin mengubat anaknya Mat Akir.

Dalam masa Pawang Bulin bersiap-siap mahu mengubati Mat Akir, gempar lagi sekampung mengatakan Mat Akir sudah meninggalkan rumah. Seorang pun tidak mengetahui ke mana perginya Mat Akir. Bagaimanapun Latip Debok ada juga nampak Mat Akir ke hutan mencari rotan.

Lebih seminggu orang-orang kampung mencarinya, tetapi Mat Akir tidak juga ditemui. Sejak itu mereka semacam putus asa mahu mencari Mat Akir, kerana Mat Akir tidak lagi muncul-muncul.

SELESAI.