Saturday, March 14, 2015

115. BULU BETIS HANTU TINGGI

MARAH benar Utih Semik  apabila bunyi burung pungguk melilau tengah kampong.  Kalau burung pungguk  sudah menyerbu ke tengah kampong tentu mala petaka akan melanda kampong mereka.  Sudah menjadi petua orang tua-tua tentu mala petaka akan mengganggu sekiranya burung pungguk sudah berbunyi di dalam kampung.
Tidak boleh dibiarkan burung pungguk bertenggek di mana mana kalau membawa malapetaka. Dia mesti mengajak Mail Tenjot halau sahaja burung pungguk berkenaan biar terbang jauh ke tengah hutan.  Di tengah kampung bukan tempat burung pungguk bertenggek, tempatnya di tengah hutan rimba tatkala bulan mengambang penuh.
Dalam masa dia berkira-kira mahu memanggil Mail Tenjot di sebelah rumah, tiba-tiba sahaja dia mendengar dahan pokok kundang di seberang halaman berhenjut-henjut kena serbu.  Tidak lama selepas itu burung pungguk berbunyi langsing di atas dahan pokok kundang itu.
“Hah, macam nak cari geruh aku pula!” gerutu Utih Semik terus mencapai andang.  Dia membakar andang menyuluh ke bawah pokok kundang mahu memastikan sama ada benar burung pungguk yang hinggap di dahan pokok berkenaan.
“Ada apa, Utih?”  lantas sahaja Mail Tenjot membuka pintu melaung dari kepala tangga sebaik sahaja mendengar Utih Simek turun ke tengah halaman.
“Kau tak dengar ke, bunyi burung pungguk tu?”  sahut Utih Simek terhangak-hangak memerhati ke tengah rimbunan daun pokok kundang di seberang halaman.
“Ah, biarkan Utih, dia cari tikus tu,” beri tahu Mail Tenjot terus duduk di kepala tangga memerhatikan sepupunya terkial-kial membaling kayu api keatas pohon kundang.
“Kalau cari tikus tak apa,” Utih Simek mencebek bibir menyuluh dahan pokok kundang dengan andang di tangan.  “Tapi, macam mana kalau bawa malapetaka!”  tegasnya ingatkan Mail Tenjot yang sengaja mengejek dia apabila sebut mengenai pantang larang orang tua-tua.
Memang Ultih Simek petang kukuh-kukuh pantang larang yang diingatkan orang tua-tua.  Dia tahu petua orang tua-tua memang perlu diingat selalu.  Bukan takat burung pungguk berbunyi tengah kampung sahaja, kalau burung gagak bersahut-sahutan pun nescaya akan membawa petaka buruk.
Biarlah abangnya Lebai Sali berkali-kali ingatkan dia supaya buang sahaja kepercayaan demikian, tetapi Utih Simek tidak peduli.  Lebai Sali tidak tahu sangat mengenai pantang larang orang tua-tua semenjak balik belajar pondok di Kelantan.
Manalah Lebai Sali tahu mengenai Akop Botak yang sengaja ejek-ejekkan datuknya Aki Minin fasal tidak benarkan melangkah antan lesung.  Selepas menumbuk padi memang Aki Minin tidak benarkan antan dilimparkan ke tanah sampai di langkah macam barang tidak berguna.  Puas didesak oleh Akop Botak kenapa datuknya tegah sangat jangan melangkah antan lesung, tetap Aki Minin sengaja tidak mahu jelaskan.
Sebab itu Akop Botak bertanyakan pada Utih Simek yang mematuhi sangat apa sahaja petua pantang larang yang diberi tahu oleh Aki Minin,  Terkekeh-kekeh Akop Botak ketawakan Utih Simek apabila memberi tahu pantang larang mengelakkan diganggu hantu tinggi.
Masakan Akop Botak tidak ketawakan Utih Simek yang percaya sangat hantu tinggi akan menghalang jalan kalau kerap kali melangkah antan lesung.  Tahu sangat Akop Botak mengenai pantang larang yang sengaja disebut orang tua-tua.
Tentulah tidak manis antan yang digunakan menumbuk padi untuk ditanak nasi itu dilangkah.  Melangkah antan lesung menumbuk padi sama juga macam melangkah nasi tengah di tanak dalam periuk.  Sebab itu orang tua-tua melarang antan melintang dilangkah selepas selesai menumbuk padi dilesung.
“Aku hanya ingatkan petua orang tua-tua,” jelas Utih Simek apabila Akop Botak mengejeknya kerana percaya sangat dengan pantang larang demikian.
“Kalau kita tak keluar jauh-jauh malam, macam mana hantu tinggi nak halang jalan?” ujar Akop Botak memperolok-olokkan Utih Simek kerana hantu tinggi sekadar mejelma di tengah malam sahaja.  Kenapa hantu tinggi tidak menjelma tatkala siang hari tengah matahari rembang?
“Itu aku tak tahu, aku hanya ikut cakap orang tua-tua,”  beritahu Utih Simek tersinggung juga dengan sikap Akop Botak perolok-olokkan dirinya.
“Kalau orang tua-tua suruh terjun lubuk, Utih nak terjun?”  sengaja Akop Botak mengusik.
Sebab itu Utih Simek tidak mahu melayani sangat Akop Botak.  Perkara pantang larang orang tua-tua bukan mahu percaya atau tidak, tetapi mahu dipatuhi atau tidak.  Sekiranya Akop Botak tidak mahu mematuhi seiapa pun tidak boleh melarang.  Malah Aki Minin sendiri tidak boleh memaksa cucunya itu.
Terpulanglah pada Akop Botak mahu menuruti pantang larang orang tua-tua atau tidak.  Kalau dia mahu melangkah antan melintang di tepi lesung, langkahlah.  Siapa pun tidak melarang sekiranya dia berkeras sangat mahu melangkah semata-mata mahu mencabar pantang larang yang mereka pegang sejak turun temurun.
Memang kerapkali Akop Botak sengaja melangkah antan selepas emaknya menumbuk padi di tengah halaman.  Dia mahu menguji pantang larang tersebut biar terserempak hantu tinggi menghalang jalan.  Tentu dia boleh tanyakan sendiri kenapa hantu inggi tidak benarkan dia melangkah antan.  Apa kena mengena antan tumbuk padi dengan hantu tinggi yang tidak ada kaitan dengan kehidupan manusia?
Tetapi apabila emaknya Embok Supi meminta jemput balik setelah menubuk emping di rumah Ngah Lamah, terpaksa juga Akop Botak menyeberangi permatang ke sawah tatkala tengah malam.  Siapa pula yang mahu bawakan bakul padi emaknya, kalau dia enggan membantu?  Dia sendiri pun gemar memakan emping, apa salahnya membantu emaknya.
Embok Supi memang bertumpu ke rumah Ngah Lamah mengemping padi muda bersama jiran-jiran lain.  Sudah menjadi amalan mereka seisi kampung kalau mengemping padi berkawan-kawan di sebelah malam.  Musim habis menuai padi apa salahnya mereka bersuka-suka mengemping padi muda sisa yang ditinggalkan selepas menuai.
Setiap kali berkumpul mengemping seisi kampung boleh mendengar bunyi hentakan lesung emping berkumandang di udara memecah kesunyian malam.  Gembira benar mereka dengan bunyi tingkah antan di hentak berbalas-balas ke dalam lesung.
Sewaktu Akop Botak sampai di rumah Ngah Lamah, emaknya sudah berkemas-kemas mahu balik.  Tetapi kawan-kawan yang lain masih menunggu Ngah Lamah menjerang air di tungku, sambil sama-sama menjamah emping campur nyiur kukur dengan gula enau ditaburkan.
“Biar aku balik dulu, Akop pun dah datang jemput,” jelas Embok Supi tidak mahu menunggu air dijerang mendidih di atas tungku.  Mereka yang lain rumah tidak jauh dari rumah Ngah Lamah.  Dia terpaksa meniti permatang sawah mahu sampai ke seberang sekalipun boleh kelihatan jarak rumah mereka.
Sengaja pula Akop Botak melangkah atan yang terlanggung di lesung emping semasa mengangkat bakul padi emaknya.  Memang Embok Supi melihat anaknya melangkah antan pengemping itu, tetapi dia tidak berani menegur.  Tidak baik tengah-tengah malam celupar sangat sebut mengenai pantang larang orang tua-tua.  Lainlah kalau hari siang boleh juga dia ingatkan Akop Botak.
Tentu meremang bulu tengkok apabila menyebut hantu tinggi tatkala tengah malam.  Lainlah kalau siang hari memang hantu tinggi tidak akan menjelma.  Apabila Akop Botak melangkah antan pengemping berdebar juga hati Embok Supi.  Kalau tidak kenang sudah tengah malam, memang dia leteri juga anaknya yang tidak pedulikan pantang larang orang tua-tua.
Semasa berjalan mengekori Akop Botak dari belakang meniti permatang sawah, Embok Supi yang memegang peita ayan di tangan.  Dia lindungkan api pelita dengan daun jambak supaya tidak diserbu angin malam.  Sukar juga dia mahu mengekori Akop Botak yang berjalan cepat di hadapan.
Sampai di tengah sawah, Akop Botak terhenti menunggu emaknya yang jauh di belakang.  Dia tidak dapat melintasi permatang apakala melihat pokok kayu hitam tersergam di depannya.  Hairan juga dia bagaimana tunggul kayu boleh tersergam di atas permatang kerana di situ jalan dia lalu lalang ke darat kampung.
“Kenapa Akop?” ujar Embok Supi sebaik sahaja sampai di belakang Akop Botak yang tidak dapagt meneruskan langkah.
“Tunggul apa pula di hadapan ni?” jelas Akop Botak kerana bimbang tersesat jalan.
“Tunggul apa kata kau?” gerutu Embok Supi terkejut apabila mendongak ke atas.  “Ini bukan tunggul, orang tinggi tu menghalang jalan,” beri tahu Embok Supi menarikan anaknya undur ke belakang.
Akop Botak juga mendongak ke langit.  Tunggul hitam yang tersergam di depannya hanya betis lembaga hitam yang terkangkang dengan kepalanya cecah keawan.  Dia dapat mengagak tentu lembaga hitam di depannya hantu tinggi yang di geruni sangat oleh datuknya Aki Minin.
“Ini hantu tinggi ke, mak?” Akop Botak menuding kearah lembaga hitam yang tinggi di hadapannya.
“Celupar sangat mulut kau Akop!” gerutu Embok Supi marah dengan sikap anaknya yang berani membuta tuli.
Perlahan-lahan Akop Botak meletakkan bakul padi yang dipukulnya.  Tidak bertangguh dia menerkam kearah tunggul hitam diatas permatang.  Dia tahu tunggul hitam yang tersegam tentu betis hantu tinggi yang menghalang jalannya.
Biarlah hantu tinggi itu cuba menghalang dia, Akop Botak tidak bimbang apa-apa.  Bukan macam datuknya Aki Minin yang tidak berani langsung sebut hantu tinggi.  Aki Minin sekadar menyebut orang tinggi sahaja kalau mahu memberi tahu mengenai lembaga berkenaan.
“Mak jangan takut, takkan kita nak takut dengan hantu tinggi,” beri tahu Akop Botak mendongak ke langit.  Dia nampak awan hitam berkepul di bahagian kepala lembaga itu sayup di udara.
Apabila kedengaran bunyi seperti guruh di udara, Embok Supi berbisik memberi tahu mengenai hantu tinggi itu terbatuk-batuk.  Asal sahaja dia batuk bermakna sengaja mahu mencari geruh.  Tahu sangat Embok Supi mengenai pantang larang itu yang diberi tahu oleh ayahnya Aki Minin.
Belum sempat Embok Supi menegah anaknya Akop Botak sudah menerkam kearah betis lembaga itu seperti tunggul hitam tersergam di atas permatang.  Tidak bertangguh pula lembaga tinggi itu menghayun betisnya hingga dapat dilihat oleh Embok Supi melepasi puncak-puncak bukit di keliling kampung.
Kecut benar perut Embok Supi disebabkan tidak melihat Akop Botak semasa betis hantu tinggi dihayun kuat.  Terasa elusan angin di udara semasa hantu tinggi itu menghayun betisnya dengan bunyi guruh yang kuat di udara.  Hampir setengah jam betis hantu tinggi itu dihayun kuat barulah dihentak semula keatas permatang sampai bergegar tanah dipijak.
Tersengih-sengih Akop Botak keluar dari tunggul hitam tersergam sepeti belukar anak kayu di pinggir hutan.  Memang tenggelam Akop Botak di dalam bulu betis lembaga itu yang panjang laksana lidi ijuk enau hingga setengah depa.
“Memang berani awak, Akop,” sayup-sayup kedengaran oleh Embok Supi suara garau di udara macam mengalah dengan kedegilan anaknya Akop Botak.  “Awak cabutlah bulu roma kawan sehelai buat kenang-kenang,” ujarnya seolah-olah kagum dengan keberanian Akop Botak berhadapan dengannya.
Tidak bertangguh Akop Botak mencabut bulu betis hantu tinggi yang mengalah dengan keberaniannya.  Setelah dicabut bulu betisnya angin kencang bertiup hingga sedikit semi sedikit kabus hitam yang menghalang jalan hilang dipuput angin.
“Kau ni sengaja nak cari geruh, Akop,”  tegas Embok Supi masih berkeadaan cemas apabila kenang anaknya dihayun tatkala berpaut pada bulu betis lembaga tinggi itu.
“Kita ni selalunya takut tak bersebab,” sahut Akop Botak menggenggam erat-erat bulu betis hantu tinggi itu.  Setidak-tidaknya dia boleh tunjukkan pada Utih Simek mengenai bulu betis hantu tinggi yang dicabutnya.  Manalah tahu kalau Utih Simek tidak percaya mengenai dia terserempak hantu tinggi di tengah sawah.
“Geruh buat apa dicari!”  segera Embok Supi memarahi anaknya yang terus berdegil tidak percayakan petua orang tua-tua.
“Kalau kita berani, hantu tinggi pun takut,” tersengih-sengih Akop Botak ingatkan emaknya supaya tabahkan hati apabila berhadapan dengan suasana cemas demikian.
Dia tahu emaknya terlalu cemas sekiranya hantu tinggi itu sengaja mencari geruh. Ke mana mereka berdua mahu berlindung kalau hantu tinggi itu mahu musnahkan salah seorang daripadanya.  Tidak perlu hantu tinggi itu menguis dengan kaki, takat dikibas anginnya sahaja sudah cukup untuk memeningkan kepala.
Tentu salah seorang daripada mereka akan tersungkur jatuh akibat tidak tertahan dengan kibasan anginnya.  Tetapi Embok Supi menjadi bersemangat apakala melihat anaknya meluru menerkam kearah betis hantu tinggi.  Kalau Akop Botak terjatuh semasa berpaut di bulu betis hantu tinggi itu dia sendiri akan ikut sama menerkam.
Biarlah dia juga menerima geruh apakala berpaut pada bulu betis hantu tinggi itu.  Dia akan radak betis hantu tinggi itu dengan cucuk sanggulnya biar tercacak menjadi bekas.  Tentu hantu tinggi itu akan menerita akibat cucuk sanggul tertusuk pada betisnya.  Sudah menjadi pantang larang hantu tinggi itu tidak berani mengganggu sekiranya cucuk sanggul ditusuk ke kakinya.
Pantang larang itu sama juga dengan mengenali asal usulnya.  Masakan hantu tinggi berani mengganggu apakala asal usulnya diungkit.  Mana-mana puaka juga akan menjadi lemah selemah-lemahnya apabila diungkit asal usulnya.
Memang hantu tinggi akan mengelak daripada ditusuk cucuk sanggul kerana sumpahan Malim Panjang semasa meninggalkan isterinya tengah sarat mengandung.  Dia akan ditusuk cucuk sanggul isterinya kalau tidak balik menjengah tatkala anaknya dilahirkan.
Bagaimana Malim Panjang mahu balik menjengah setelah dia disumpah Puteri Tinggi akibat membunuh rusa-rusa di tengah hutan.  Dia terpaksa menjadi gembala binatang di hutan setelah dirinya disumpah menjadi hantu tinggi.  Malim Panjang tetap ingat mengenai sumpahan cucuk sanggul isterinya setelah menjelma menjadi hantu tinggi sekali pun.
“Kamu ni Akop, degil tak bertempat.” ujar Embok Supi kerana tidak menyangka anaknya berani menyerbu hantu tinggi yang tercegat di hadapannya.  Tentulah Akop Botak menerima geruh sekiranya hantu tinggi itu melontarkannya ke dalam gaung guntung di tengah rimba.
Macam tidak percaya Aki Minin apabila diberi tahu oleh Embok Supi mengenai Akop Botak bergayut di betis hantu tinggi.  Malah Akop Botak juga tidak mahu mengaku setiap kali disesak oleh datuknya.  Tetapi seisi kampung mendengar cerita Akop Botak dihayun oleh hantu ringgi semasa bergayut pada betis, sekali pun Akop Botak tidak mahu mengakuinya.
Perkara bergayut pada betis hantu tinggi bukan disebabkan dia mahu menyerbu atau tidak, tetapi terpaksa dilakukan setelah terdesak.  Kalau dia bertahan pun tentu geruh akan memusnahkan dirinya.  Alang kepalang ditimpa geruh lebih baik dia bulatkan tekad menyerang hantu tinggi.
Saat inilah hantu tinggi itu terkejut disebabkan Akop Botak tidak gentar berhadapan dengannya.  Disebabkan keberanian Akop Botak itulah hantu tinggi berkenaan mengalah.  Beberapa kali dicubanya nmelontarkan Akop Botak biar terhumbnan jatuh ke bawah, tetapi dia berpaut kuat pada bulu roma laksana liduk ijuk enau itu.
Selepas kejadian itu terasa juga pada Akop Botak badannya sengal-sengal hingga demam beberapa hari.  Tetapi dia gagahi juga turun ke sawah tidak peduli sama ada demam atau pun tidak.  Selagi dia boleh bangun.  Akop Botak tidak akan mengalah apa-apa.
Disebabkan letih sangat balik dari sawah, Akop Botak tertidur sahaja di rumahnya.  Ketika hujan lebat dengan rebut kencang sebelah petangnya, Embok Supi singgah di rumah ayahnya Aki Minin disebabkan tidak sempat lagi mahu balik ke rumahnya di sebelah darat.  Dalam hujan lebat serta ribut kencang itu sebatang pokok durian lima pemeluk tumbang menimpa rumah Embok Supi.
Setelah hujan teduh terkejut besar Embok Supi apabila diberi tahu oleh jiran-jiran mengenai rumahnya ranap ditimpa pokok durian tumbang.  Tentu Akop Botak terperangkap di bawah timbunan rumah ranap di bawah pokok durian yang menimpanya.  Mereka terpaksa bergotong royong memotong dahan dan ranting untuk mengeluarkan Akop Botak di bawah timbunan rumahnya yang ranap.
Sampai petang mereka membersihkan dahan dan ranting pokok durian tumbang itu barulah dapat mengeluarkan Akop Botak  dibawah timbunan.  Dia tersengih-sengih sahaja keluar dari bawah timbunan rumah yang ranap sambil menyapu-nyapu sampah yang melekat pada badannya.
“Kamu tak luka apa-apa Akop?”  Aki Minin mendekati cucunya yang tidak terkejut apa-apa dengan kejadian yang menimpanya.
“Tak kena pun hempap pokok durian, mana nak luka..” ujar Akop Botak menerangkan.
“Hai rumah kau ranap tu,” sahut Utih Simek hairan kerana rumah Embok Supi merata akibat dihempap pokok durian, bagaimana pula Akop Botak terselamat?
Siapa pun tidak tahu bagaimana Akop Botak boleh terselamat apabila ditimpa pokok durian setelah rumahnya ranap tidak bersisa.  Tetapi Akop Botak mengakui dia sendiri tidak tahu apa-apa.  Tatkalan jiran-jiran membersihkan dahan dan ranting-ranting pokok durian yang tumbang dia sekadar melihat kelilingnya gelap tidak kelihatan apa-apa pun di sekelilingnya.
Kejadian yang menimpa Akop Botak itu tidak sama dengan burung pungguk berbunyi di dahan pokok kundang di hujung halaman rumahnya.  Lainlah Akop Botak memang tidak takutkan apa-apa pun hatta hantu tinggi tercegat menghalang jalan.  Tetapi burung pungguk berbunyi di tengah kampung bermakna malapetaka akan menimpa seisi kampung.
Tentu abangnya Lebai Sali juga akan mengejek Utih Simek dengan kepercayaan membuta tuli.  Lebai Sali percaya tidak ada siapa pun boleh turunkan malapetaka kepada mereka seisi kampung kecuali dengan kehendak Allah Subhanahu Wataala.
Berkali-kali Lebai Sali ingatkan Utih Simek: Wamabikum min ni’matin faminallahhi thumma izamassakumudh dhurru fa-ilaihi taj-arun. “Apa sahaja nikmat yang ada pada kamu makan dari Allah lah datangnya, dan bila kami ditimpa kemudharatan maka hanya kepadaNyalah kamu meminta pertolongan.” Ujar Lebai Sali kesaldengan sikap adiknhya Utih Simek terlalu percayakan petua orang tua-tua.
Tetapi Utih Simek tidak peduli sangat apa pun Lebai Sali mahu tuturkan.  Manalah sama dia dengan Lebai Sali yang bertahun-tahun belajar pondok di Patani.  Apa sangat dia kalau mahu bandingkan dengan abangnya Lebai Sali yang tahu banyak doa-doa mujarab.  Masakan hantu tinggi berani mengganggu Lebai Sali tatkala hati nuraninya terus bertasbih sepanjang masa.
Dia tidak mampu ikut jejak abangnya boleh bangun tengah malam berwirid panjang.  Biarlah dia amalkan petua orang tua-tua asal sahaja dijauhi mala petaka.  Sebab itu dia mesti halau burung pungguk bertenggek di dahan pokok kundang di hujung halaman rumah supaya tidak membawa mala petaka kepada keluarganya.
Tentu Lebai Sali sendiri menyedari bagaimana Akop Botak dihalang oleh hantu tinggi kerana tidak percayakan petua orang tua-tua jangan melangkah antan lesung.  Mail Tenjot juga menghidap burut disebabkan suka benar duduk di atas buah nyiur.  Kalau tidak diubati oleh Aki Minin tentu burutnya tidak seruh hingga membesar sampai sebesar tempurung nyiur.
Bukan Akop Botak dengan Mail Tenjot tengah bersunat pun menbengkak kemaluan sampai sebesar hulu parang.  Sudah menjadi pantang larang tidak boleh memegang hulu parang tatkala bersunat dengan mudim.  Tetapi Manap anak Mail Tenjot pegang juga hulu parang mahu mengupas buah betik.
Apa salahnya gunakan pisau sahaja kalau takat mengupas buah betik.  Tetapi Manap tidak peduli setelah puas mencari pisau tidak tahu di mana.  Selepas mengupas buah betik dengan memegang hulu parang, tiba-tiba sahaja kemaluannya membengkak tidak bersebab.
Terpaksa juga dijemput Aki Minin jampikan minyak kelapa disapukan berturut-turut tiga hari, biar bengkaknya seruh.  Banyak sangat pantang larang orang tua-tua tidak dipatuhi orang-orang kampung.  Apabila ditimpa geruh mereka segera menemui Aki Minin tidak bertangguh minta ubatkan.
Sebab itu Utih Simek tidak berani melanggar pantang larang orang tua-tua.  Kalau burung pungguk tidak boleh berbunyi di tengah kampung dia wajib halau jauh-jauh.  Kenapa burung pungguk di tengah hutan menyerbu masuk ke kampung sekiranya tidak bersebab?  Tentu puaka hutan yang membawanya terbang ke tengah kampung semata-mata membawa geruh.
Burung pungguk di dahan kudang tidak berganjak.  Sebaik sahaja disuluh dengan api andang Utih Simek nampak mata burung berkenaan bulat bersinar merenungnya.  Tidak bertangguh dia melontarkan pasir tanah kearah burung itu, menyebabkan burung tersebut terbang terus hinggap di bumbung rumah.
Marah benar Utih Simek disebabkan burung berkenaan sengaja mencari geruhnya.  Kenapa pula hinggap di bumbung rumah setelah terbang dari dahan pokok kundang?  Lantas dia mencapai kayu api panjang sehasta di bawah rumah terus dibalingnya ke bumbung atap.
Tetapi burung pungguk itu hanya melayang hinggap ke bumbung rumah Mail Tenjot pula.  Setelah diberi tahu kepada Mail Tenjot, lelaki itu hanya tersengih-sengih sahaja.  Mail Tenjot tidak peduli sama ada burung pungguk itu mahu hinggap lama atau pun tidak di bumbung rumahnya.  Biarlah burung berkenaan bertenggek di situ sampai ke pagi.
“Kau jangan nak simpan bala, Mail,”  Utih Simek tidak sabar dengan sikap Mail Tenjot tersengih-sengih tercegat di kepala tangga.
Masakan membiarkan burung pungguk hinggap di atas bumbung atap dituduh menyimpan bala.  Sebab itu Mail Tenjot tidak pedulikan sangat desakan sepupunya Utih Simek mengenai burung pungguk hinggap di atas bumbung rumahnya.  Tentu Utih Simek sendiri tahu hantu tinggi yang menghalang jalan Akop Botak tidak dapat menperdayakan lelaki berkenaan.  Apa salahnya terserempak hantu tinggi kalau berani berdepan dengannya seperti dilakukan oleh Akop Botak.
Bukan takat hantu tinggi sahaja diserbu oleh Akop Botak, semasa orang-orang kampung ketakutan diganggu harimau jadian,dia merayau-rayau tengah malam mahu menangkapnya.  Cubalah harimau jadian itu menjelma di depannya nescaya akan dicekaknya leher sampai tidak dapat lari ke mana.
Harimau jadian itu tidak dilihat oleh sesiapa pun.  Mereka sekadar melihat tapak kaki harimau di tengah halaman, setelah rumah dinaiki orang.  Pintu terkunci rapat juga tidak bermakna, kerana harimau jadian itu boleh membolos masuk asal sahaja ada lubang ditembusi angin.  Sebaik sahaja masuk harimau jadian akan mengganggu anak-anak gadis hingga seisi kampung menjadi gempar.
Sebab itu Akop Botak menyusup dalam kegelapan malam mencari punca kejadian.  Semasa dia melihat di hadapan rumah Utih Simek seorang lelaki memakai pakaian serba hitam duduk bersila di tengah halaman, Akop Botak sudah dapat mengagak tujuan lelaki berkenaan.
Dia nampak lelaki berkenaan bergolek di tengah halaman lantas meniarap seperti seekor kucing. Tatkala dia menonggeng perlahan-lahan ekornya keluar hingga memanjang sampai sedepa. Perlahan-lahan pula dia menggeliat-geliat semasa tubuhnya ditumbuhi bulu, sampai seluruh badannya bertukar menjadi harimau.
Apabila bayangan harimau melompat masuk ke dalam rumah Akop Botak menghela nafasnya sambil memukul-mukul bulu betis hantu tinggi ke tanah.   Sekali gus Akop Botak merasa dia bertenggek di atas bahu hantu tinggi dan bukan lagi berlindung di sebalik belukar di keliling rumah.
Hantu tinggi itu berdiri dengan dua kaki terkangkang.  Bumbung rumah berkenaan sayup di bawah kangkang hantu tinggi berkenaan.  Tersenyum Akop Botak memerhati ke bawah sebaik sahaja terdengar jeritan di dalam rumah.  Dia percaya Utih Simek terjaga setelah menyedari jelmaan harimau itu menyusup masuk.
Sebaik sahaja api pelita di pasang, bayangan harimau melompat keluar hingga tersungkur di tengah halaman.  Dia tidak dapat melepaskan diri dari kangkang hantu tinggi yang melangkaui bumbung.  Terkial-kial bayangan harimau itu mahu melepaskan diri disebabkan ekornya terhimpit di bawah pijakan kaki hantu tinggi.
“Apa yang kau mahu?” Utih Simek tercegat di muka pintu memjerhati harimau tergolek di tengah halaman.  Dia dapat mengagak tentu harimau jadian tidak dapat melepaskan diri dari tangkal yang dibekalkan oleh Aki Minin.
Semenjak heboh seisi kampung mengenai jelmaan harimau jadian mengganggu, tidak bertangguh Utih Simek menemui Aki Minin.  Sebab itu Aki Minin minta dia siapkan buluh kuning tiga batang panjang sejengkal.  Dia mematuhi petua Aki Minin dengan menyelitkan ke dinidng buluh kuning itu pada tiga penjuru.
Ke mana lagi harimau jadian itu mahu sembunyikan diri kalau sudah melanggar tangkal Aki Minin? Tentu harimau jadian itu tidak dapat mencari jalan keluar setelah dikepung oleh Aki Minin dengan buluh kuning yang menjadi pantang laragnnya.  Sebab itu Utih Simek tahu memang harimau jadian itu sudah terperangkap di tengah halaman rumahnya.
“Huh, kamu nak tunjuk pandai ye!” lantas Utih Simek terjun ke tengah halaman dengan parang terhunus.
Tetapi segera diterpa oleh Mail Tenjot supaya naik semula ke atas rumah.  Tatkala Utih Simek melompat ke tengah halaman, memang Mail Tenjot nampak lembaga tinggi seprti asap hitam terkangkang melangkah bumbung rumah kalau bukan hantu tinggi?
“Kenapa kamu halang aku?” marah benar Utih Simek di sebabkan Mail Tenjot tiba-tiba sahaja menolak dia naik semula ke rumah.
“Hantu tinggi kangkang rumah ni,” bisik Mail Tenjot menudingkan jari ke bumbung rumah.
“Mana kau tahu?” gerutu Utih Simek tidak sabar melihat harimau jadian yang tergolek di tanah dengan mulutnya berbuih-buih tertumus ke pasir halaman.
“Aku Nampak dari rumah aku,” beri tahu Mail Tenjot ingatkan supaya mereka berlindung di dalam rumah.
Terdiam Utih Simek apabila kenangkan rumahnya dilangkah kangkang hantu tinggi.  Dia percaya sangat dengan petua orang tua-tua sekiranya berlindung di dalam rumah nescaya hantu tinggi tidak dapat mengganggu.  Sampai bila pun hantu tinggi tidak akan dapat menyusup masuk ke dalam rumah selagi persumpahan dengan anaknya Malim Kerimun masih berterusan.
Asal sahaja berlindung di dalam rumah bermakna anak cucu Malim Kerimun.  Kalau dia musnahkan anak cucu Malim Kerimun bermaksa dia memusnahkan keturunannya sendiri. Sebab itu hantu tinggi tidak akan ganggu anak cucunya yang berlindung di dalam  rumah.
Lain lah hantu raya atau pelesit, bila-bila akan menyusup masuk ke dalam rumah melalui bilik air.  Aki Minin sentiasa ingatkan Utih Simek mengenai hantu raya atau pelesit akan mencari bilik air sebelum menyusup masuk.  Kalau mahu menghalang hantu raya atau pelesit mesti serakkan lada hitam dengan garam kasar di sekeliling bilik air.
Banyak sangat petua yang diingatkan oleh Aki Minin sampai Utih Simek sendiri terlupa.  Tidak tahu bagaimana dia mahu amalkan hingga bercelaru tidak menentu.  Setelah diberi tahu oleh Mail Tenjot mengenai rumahnya di bawak kangkang hantu tinggi, dia tidak boleh lagi terjun ke tengah halaman.
Biarlah harimau jadian itu terkial-kial tidak dapat melepaskan diri.  Lama dia bergolek-golek barulah dia bangun terhuyung hayang tidak dapat melangkah kuat.  Tetapi digagahinya juga berjalan ke tengah kegelapan malam dengan kepala tergeleng-geleng.  Tidak lama selepas itu mereka berdua melihat Akop Botak mara ke tengah halaman dengan tersengih-sengih macam sengaja mahu menyakiti hati Utih Simek.
“Kamukah yang jadi harimau tu, Akop?” lantas sahaja Utik Simek menuduh disebabkan tiba-tiba sahaja Akop Botak terjongol di tengah halaman.
“Utih tengok, aku ni ada rupa harimau ke?” terkekeh-kekeh Akop Botak tertawa kerana geli sangat hatinya dengan sikap Utih Simek.
Kejadian yang menimpa Utih Simek itu cepat sahaja diketahui oleh seisi kampung.  Mereka bertumpu di rumahnya kerana bimbang perkara tidak  berlaku ke atas anak dara suntinya Selipah yang baru berumur 14 tahun.  Tetapi Selipah mengaku harimau jadian itu hanya nampak sekali imbas sahaja menyebabkan dia menjerit kuat.
Tetapi memang rumahnya bergegar kuat tatkala harimau jadian melompati tingkap melepaskan diri.  Sebaik sahaja jeritan dia melangsing tidak bertangguh ayahnya Utih Simek bingkas menerpa.  Dia terus meluru ke pintu sebaik sahaja mendengar rengekan harimau di tengah halaman.  Kalau tidak disebabkan Mail Tenjot menolaknya supaya naik semula ke rumah nescaya kepala harimau jadian itu akan ditetaknya dengan parang.
Esoknya mereka mendengar Itam Kusin di kampung berdekatan jatuh pitam hingga muntah lumut.  Tidak sampai setengah jam Itam Kusin menggelepar laksana harimau mencakar pokok, dia terkejang tidak bergerak lagi.  Satu-satunya yang tidak terkejut dengan kematian Itam Kusin yang mendadak tiba-tiba itu hanya Akop Botak.
Cam betul Akop Botak harimau jadian yang menggolekkan badan di tengah halaman rumah Utih Simek memang Itam Kusin.  Marah juga dia dengan perbuatan Itam Kusin yang sengaja menganiaya orang kampung disebabkan ilmunya itu.
Tetapi Aki Minin dapat mengagak juga hantu tinggi yang dilihat oleh Mail Tenjot terkangkang melepasi bumbung rumah Utih Simek memang berkampil dengan Akop Botak.  Sudah lama Aki Minin mengetahui selepas cucunya dapat bulu betis hantu tinggi itu memang Akop Botak sentiasa didampingi oleh lembaga berkenaan.
Tahu sangat Aki Minin tatkala rumah anaknya Embok Supi dihempap pokok durian lima pemeluk sampai ranap habis, memang hantu tinggi itu tercegat di situ.  Hantu tinggi itu tidak akan biarkan Akop Botak penyek ditimpa pokok durian.  Ketika pokok durian itu tumbang Akop Botak sendiri mengakui melihat satu lembaga besar menupang dengan tangan supaya pokok durian berkenaan tidak jatuh terhempas menimpanya.
Hanya kepada Aki Minin sahaja Akop Botak beri tahu apa yang dilihatnya.  Kalau diceritakan kepada orang-orang kampung masakan mereka semua percaya.  Tentu orang-orang kampung akan menuduhnya mahu mengada-adakan cerita disebabkan terselamat daripada dihempap pokok durian besar.
Perkara dia boleh menyerbu hantu tinggi bukan untuk bermegah-megah. Kalau dia tidak menyerbu tentu hantu tinggi itu pula akan menyerbunya. Sebab itu Akop Botak tidak peduli sangat sama ada orang-orang kampung mahu percaya atau pun tidak.
Memang Utih Simek tahu, bukan takat kejadian ditimpa pokok durian itu sahaja Akop Botak terselamat.  Semasa datuknya Aki Minin diserbu kerbau jantan naik minyak pun dia satu-satunya yang bertahan. Tatkala Aki Minin sudah terasak ke perdu pokok rambai dia sudah tidak dapat mengelak apabila kerbau jantan tengah garang itu menerpa.
Tiba-tiba sahaja kerbau jantan itu tersentak apakala ekornya diheret kuat dari belakang. Akop Botak tercegat di belakangnya memegang ekor kerbau berkenaan  dengan sebelah tangan sahaja.  Sebelah lagi tangannya mencekak dua kaki kerbau itu laksana memegang kaki anak kucing sahaja.  Terkejut juga orang kampung disebabkan tenaga luar biasa Akop Botak boleh mengangkat kerbau berkenaan macam menjinjing anak kucing sahaja dicampakkan ke dalam kubang.
Ketika ini mereka melihat bulu roma Akop Botak memercik darah laksana peluh merenik-renik.  Dia tidak bercakap sepatah pun apabila ditegur oleh datuknya Aki Minin yang terselamat daripada ditanduk kerbau tengah naik minyak.
“Kamu tak boleh samakan aku dengan Akop Botak!” Utih Simek ingatkan Mail Tenjot di sebabkan dirinya kuat berpegangn kepada petua orang tua-tua.  Lainlah Akop Botak yang berani menempah geruh, hantu tinggi pun diserbunya tidak bertangguh.
Siapa biji mata di kampung itu berani ikut jejak Akop Botak menyerbu hantu tinggi?  Jangan kata mahu menghambur menerkam betis, mahu melangkah pun kepala lutut goyah tidak dapat bertahan.  Utih Simek sendiri mengaku dia tidak sanggup menahan ketabahan seperti Akop Botak.  Sebab itu dia pegangn kukuh-kukuh petua yang diturunkan oleh Aki Minin.
Burung punguk di atas bumbung rumah Mail Tenjot mesti dihalau juga biar terbang jauh dari kampung.  Utih Simek tidak mahu burung pungguk berbunyi di dalam kampung menyebabkan seisi kampung menanggung bala.  Biarlah Mail Tenjot atau abangnya Lebai Sali tidak percaya dengan petua dan pantang larang, dia tetap tidak berganjak dengan kepercayaannya.

SELESAI

No comments:

Post a Comment