Perjalanan
balik mengikut lebuh raya Karak itu terlalu letih menyebabkan saya tertidur
sebentar. Malam sudah larut kira-kira jam 2 pagi. Kadir Misai terus memandu
walaupun sekali sekala dia terkuap-kuap mmengantuk.
“Kalau
mengantuk berhenti dulu..” saya mengingatkan dia.
“Tak
apalah ustaz,” sahutnya masih yakin.
“Kita
berhenti di tepi jalan dan tidur untuk hilangkan mengantuk,”saya menyuruhnya
supaya tidak terkuap-kuap sepanjang jalan.
“Ah,
saya dah biasa ustaz” beritahu Kadir Misai berkeras mahu meneruskan perjalanan.
“ Kadangkala sampai pagi pun saya tahan memandu kereta ni ...” katanya tidak
mahu juga berhenti untuk merihatkan badan sebentar.
Saya
tidaklah berkeras sangat menyuruh dia berhenti. Kalau dia masih mampu
meneruskan perjalanan, apa salahnya. Cuma saya bimbang kerana dia sudah
berkali-kali menguap. Mana tahu terlalai sesaat akibat mengantuk,
boleh menyebabkan buruk padahnya.
Disebabkan
Kadir Misai tidak mahu berhenti untuk menghilangkan mengantuk, saya terus
merebahkan kepala ke sandar kereta. Memang saya tidak tertahan mengantuk lagi.
Semasa
dalam perjalanan ke Jerantut, Kadir Misai ada menceritakan kepada saya,
mengenai kisah hidupnya ketika bujang. Dia terlalu berminat belajar ilmu
pengasih sampai sanggup mengambil air dagu anak dara mati. Kerjanya kata Kadir
Misai bukanlah mudah. Tetapi disebabkan terlalu nakal dia sanggup juga
melakukan.
Kebetulan
ketika itu dia di Kelantan mengikut bapa saudaranya. Di situ dia berkenalan
dengan seorang pemuda yang mengajaknya untuk mencari air dagu. Mula-mulanya
keberatan juga Kadir Misai mahu mengikut pelawaan kawannya itu, tetapi
disebabkan galakan kawannya itu dia menurut juga akhirnya.
Memang
Kadir Misai suka menuntut ilmu-ilmu kebatinan. Pernah juga dia belajar dengan
seorang Tok Batin di Pahang. Apa yang dipelajarinya dari Tok Batin itu sudahlah
sampai kepada peringkat boleh menggunakan ilmu tuju. Disebabkan kebolehannya
itu dia sudah dipikat oleh seorang gadis Orang Asli. Akibatnya lelaki lain yang
menyintai gadis tersebut telah menggunakan ilmu tuju kepada Kadir Misai,
sehinggalah dinding rumah tempat Kadir Misai bersandar itu kopak akibat terkena
tuju lelaki Orang Asli yang berdendam kepadanya.
Menyedari
ancaman itu Kadir Misai terpaksa membalas serangan ilmu tuju tersebut. Bila
diserangnya lelaki berkenaan tujunya tidak mengenai sasaran. Terkena pada
sebatang pokok durian menyebabkan pokok durian itu mati. Dengan ini dapatlah
difahami oleh kedua-dua pihak bahawa mereka mempunyai guru yang sama.
Bagi
mengelakkan keadaan lebih buruk Kadir Misai pun mengikut bapa saudaranya ke
Kelantan. Dengan tindakan Kadir Misai itu gadis Orang Asli itu pun melupakan
dia, dan kemudiannya berkahwin dengan lelaki yang menyintainya itu. Berakhirlah
kisah cinta tiga segi itu di situ.
“Orang muda
mesti banyak ilmu di dada.” Beritahu Che’ Soh pada Kadir Misai. “Sebab orang
muda banyak cabaran, sebab itu kita mesti mengisi dada bagi menghadapi
cabaran,” kata Che’ Mat Soh berkeras mengajak Kadir Misai menemui Pak Mat
Kelih.
Kadir
Misai bersetuju dengan kata-kata Che’ Soh itu. Pada sangkaannya sebagai anak
muda dia harus menuntut apa saja ilmu. Dia tidak memikirkan sama ada ilmu itu
untuk kebaikan atau keburukan.
Tetapi
setelah dia berkawan rapat dengan saya, selalu saya ingatkan Kadir Misai
supaya mencari ilmu yang diredahi Allah di dunia dan di akhirat. Nampaknya dia
bersetuju dengan pendapat saya. Malah sejak ayahnya, Lebai Man memarahi dia
kerana terlalu terpengaruh dengan ilmu-ilmu kebatinan yang tidak berfungsi, Kadir
Misai sudah mula membuangkan tabiatnya sedikit demi sedikit.
Dia
menyedari kebanyakan ilmu kebatinan yang dipelajarinya semua mendekatkan diri
kepada syaitan. Semuanya menuju kepada syirik, kerana sebagai mukmin kita mesti
mendekati Allah. Mengapa pula mendekati diri kepada syaitan untuk menyampaikan
sesuatu hajat?.
“Kau
akan digilai oleh gasis-gadis cantik bila kita dapat minyak dagu,” jelas Che’
Soh memberi perangsang.
Tertarik
hati juga Kadir Misai dengan cerita kawannya itu. Dia mula menggambarkan
kehidupannya yang akan diuliti oleh anak-anak gadis di sekeliling pinggang.
Semua gadis-gadis cantik akan terpesona melihat dia. Siapa yang cuba menolak
dia akan gunakan minyak dagu sampai gadis berkenaan tunduk kepadanya.
Gambaran
indah inilah yang membuatkan Kadir Msai terpengaruh dengan ajakan kawannya
itu. Dia pun mengikut saja Che’ Soh menemui Pak Mat Kelih untuk menyatakan
tujuannya.
“Kamu
mesti buat sendiri....” kata Pak Mat Kelih menerangkan kepadanya bahawa hanya
orang berhajat itu saja mesti melakukannya. Tidak boleh orang lain
melakukannya. Kalau orang lain yang melakukannya maka orang itulah yang
memperolehi kegunaan minyak dagu tersebut.
Terkebil-kebil
juga mata Kadir Misai bila mendengar penerangan Pak Mat Kelih . Pada sangkanya
minyak itu boleh didapati dari Pak Mat Kelih saja, kemudian digunakan kepada
mangsanya. Bila memikirkan mahu mengambil sendiri di kubur anak dara baru
meninggal dunia, Kadir Misai mula terasa seram sejuk.
“Beranikah
kamu memanggilnya pada tengah malam pukul
12.....?” tanya Pak Mat Kelih.
“Berani...”
sahut Che’ Soh.
Kadir
Misai terkejut dengan pengakuan Che’ Soh. Disebabkan malu kepada Che Soh, dia
pun memberi pengakuan sanggup melakukannya.
“Kamu
carilah kubur anak dara, dan beritahu aku,” ujar Pak Mat Kelih.
Mereka
berdua menganggok.
Lama
juga mereka berdua mendengarkan kalau-kalau ada berita anak dara meninggal
dunia, kerana permintaan Pak Mat Kelih hanya anak dara yang baru saja meninggal
dunia. Tentulah sukar untuk mendapatkan anak dara meninggal dunia. Kerana sekiranya
ada pun orang meninggal dunia, bukanlah anak dara.
Kira-kira
lima bulan lepas itu barulah Che’ Soh
memberitahu Kadir Misai mengenai seorang gadis berumur 14 tahun di kampungnya
baru meninggal dunia. Mereka berdua bukan tergesa-gesa pergi melawat jenazah
gadis berkenaan, sebaliknya mereka memberi perkhabaran tersebut kepada Pak Mat
Kelih.
Seperti
yang dijanjikan mereka bertiga pun pergilah ke kubur gadis berkenaan pada
sebelah malamnya kira-kira jam 12. Syarat yang dikenakan pada mulanya ialah
menanggalkan semua pakaian. Kadir Misai mengikut saja arahan yang disuruh oleh
Pak Mat Kelih.
Mereka
bertiga terpaksa menanggalkan semua pakaian sebaik sahaja masuk ke kawasan
perkuburan. Ketika sampai di tanah perkuburan ribut kencang telah bertiup dari
segenap arah.
Kilat
juga sabung menyabung. Memang suasananya mengerunkan kepada mereka yang
berfikiran waras. Tetapi ketika ini Kadir Miai hanya mahukan sesuatu yang
dihajatinya. Dia tidak peduli apa pun yang akan berlaku. Dia hanya mengikut apa
saja diarahkan oleh Pal Mat Kelih.
Hujan
turun dengan lebat dengan kilat sabung menyabung. Angin bertiup kencang
menderu-deru. Sebenarnya semua itu adalah perasaan mereka saja. Kerana
keesokkan harinya kata Kadir Misai , tidak ada kesan pun hujan turun atau ribut
kencang di situ.
Pak
Mat Kelih kumat kamit mulutnya membaca serapah. Kemudian dia menghentakkan
kakinya di bahagian kepala kubur. Selepas itu dia menyuruh Kadir Misai dan Che
Soh menggali kubur tersebut. Walaupun terasa takut dan seram, namun Kadir Misai
keraskan semangat. Dia terus menggali kubur tersebut bersama Che’ Soh.
Setelah
dapat digali Pak Mat Kelih memerintahkan supaya mayat berkenaan dibawa naik ke
atas. Kadir Misai terpaksa juga melakukannya sekalipun perasaan seram mulai
mengganggui dia.
“Jangan
takut, orang dah mati....” dia terdengar Pak Mat Kelih bersuara dari atas
tebing kubur.
Apabila
mayat itu sudah dinaikkan ke atas tebing, Pak Mat Kelih menyuruh Che Soh dan
Kadir Misai berundur jauh sedikit. Ketika itu hujan ribut dan kilat sabung menyabung
masih belum reda. Kadir Misai menunggu juga apakah kesudahannya dengan hati
berdebar-debar cemas.
Dia
tidak tahu apa yang dilakukan oleh Pak Mat Kelih selanjutnya. Hanya dia nampak
Pak Mat Kelih dapat menghidupkan bara api sekalipun hujan ribut begitu kencang.
Bara api itu dipasangnya di tempat membakar kemenyan. Setelah dibakar kemenyan
dia menelangkupkan mayat itu sambil mengurut-ngurut bahagian dagu mayat pada
asap kemenyan.
Ketika
itu Kadir Misai dapat mendengar jeritan halus di udara suara seorang gadis
menangis kesakitan. Jeritan itu sayup-sayup menusuk perasaan. Tetapi Kadir
Misai tetap menahan gelora perasaannya semata-mata mahukan minyak dagu yang
dikatakan mempunyai khasiat besar sebagai ilmu pengasih.
Kira-kira
setengah jam Pak Mat Kelih mengambil air dagu yang ditadah dengan botol yang
disediakan, barulah dia memanggil Kadir Misai dan Che Soh supaya mayat tersebut
ditanamkan semula. Dua botol kecil saja disediakan oleh Pak Mat Kelih untuk
menadahkan air dagu tersebut, satu untuk Che Soh dan satu lagi untuk Kadir
Misai sendiri.
Mereka
berdua menanam semula mayat berkenaan. Mereka melakukan semuanya hingga tidak
ada kesan langsung kubur tersebut sudah digali. Keadaan mereka tetap
bertelanjang bogel semasa melakukan kerja-kerja tadi.
Setelah
semuanya siap Pak Mat Kelih tidak membenarkan mereka berdua menemuinya selama
seminggu. Cukup seminggu barulah mereka bertemu semula dengan Pak Mat Kelih.
Botol berisi minyak dagu itu diserahkan oleh Pak Mat Kelih pada mereka berdua.
Kadir
Misai menjadi resah selama tinggal di rumah bapa saudaranya di Kelantan sejak
mendapat botol minyak dagu itu. Setiap malam dia mendengar tangisan anak gadis
merintih-rintih. Akibatnya dia mengambil keputusan untuk balik saja ke Pahang.
Di
kampung keadaan Kadir Misai bertambah gelisah. Kadangkala menjadi panas
menyebabkan tengah –tengah malam dia melenging tidak berbaju. Ini disebabkan
minyak dagu yang disimpannya tidak tertahan kerana ayahnya Lebai Man seorang
yang warak. Ilmu-ilmu yang bersangkutan dengan syaitan memang tidak boleh
bertahan dengan orang-orang yang kuat mengamalkan kan ilmu agama.
Setiap
malam suara tangisan gadis itu jelas kedengaran. Lebai Man sendiri dapat
mendengarkan tangisan tersebut. Hanya membacakan Ayatul Kursi saja syaitan saja
syaitan yang mengawal botol minyak itu tidak boleh bertahan. Inilah yang
menyebabkan tangisan berkenaan boleh didengari. Hingga akhirnya botol yang
diletakkan oleh Kadir Misai di kepala tiang itu jatuh ke tanah. Mujurlah tidak
tidak pecah dan tumpah.
Bila
tempatnya beralih semakin kuatlah terdengar bunyi tangisan tersebut. Lebai Man
mengesyaki sesuatu lalu mencarinya dari mana punca tangisan berkenaan .
Akhirnya terjumpalah olehnya botol yang berisi minyak dagu itu.
“Apa
ni Kadir ?” bentak Lebai Man meradang sangat dengan perbuatan anak mudanya
sambil menunjukkan botol tersebut.
Tergagap-gagap
Kadir Misai mahu menerangkan kepada ayahnya. Takut juga dia kalau-kalau
rahsianya selama ini di Kelantan terbongkar.
“Cakap...!”
jergahnya geram. “Kalau kau nak nikah aku boleh carikan. Tak payah pakai ilmu
pengasih” ujarnya mengenggam erat-erat botol berkenaan.
Mahu
tidak mahu terpaksa juga Kadir Misai menceritakan kepada ayahnya bagaimana dia
mendapatkan minyak dagu itu. Bukan kepalang marahnya Lebai Man kerana Kadir
Misai sudah terpesong dari ajaran Islam. Perbuatannya menggunakan minyak dagu
itu sama juga dengan menyekutukan Allah.
“Aku
mahu ke Kelantan. Pulangkan balik minyak ni pada guru kau !” katanya tegas.
Esoknya
juga Kadir Misai terpaksa membawa ayahnya berjumpa dengan Pak Mat Kelih di
Kelantan. Lebai Man meminta Pak Mat Kelih lepaskan Kadir Misai dari ikatan
syarat menyimpan minyak dagu berkenaan . Barulah Kadir Misai tahu minyak
berkenaan mesti diisi dengan darahnya sendiri setiap kali bulan mengambang.
Apabila tidak diisi dengan darah, itulah yang menyebabkan tangisan gadis itu
kedengaran meminta-mintanya.
Melalui
Pak Mat Kelih dipulangkan semula minyak tersebut. Kadir Misai juga tidaklah
perlu lagi memenuhi syarat untuk menjamu darah setiap kali bulan mengambang.
Sejak itu Kadir Misai disuruh oleh ayahnya menetap di Pahang saja. Dia pun
tidak tahu bagaimana kesudahan dengan kawannya Che Soh. Selepas itu dia tidak
lagi mendengar Che Soh , mungkin sudah pulang ke Patani.
Sebenarnya
menarik juga kepada saya pengalaman Kadir Misai ini dalam mengejar
cita-citanya. Semasa dia mula-mula
bertemu saya dulu pernah juga saya mengatakan mungkin kesan-kesan menuntut ilmu
kebatinan dulu, masih ada pada dirinya.
“Boleh
jadi juga ustaz...” katanya tersengih-sengih. “Fasal saya ni selalu juga panas
baran. Mudah sangat nak marah,” ujarnya macam menyesali sikapnya selama ini.
Saya
terkejut bila kita yang dipandu Kadir Misai hampir terbabas. Cepat-cepat saya
menegakkan badan.
“Mengapa
ustaz, mimpi ke ?” Kadir Misai mula mengusik.
“Tergamang....”
jelas saya perlahan. Hanya perasaan saya saja kereta itu terbabas. Pada hal
ianya meluncur laju membelah lebuh raya karak itu.
Memang
jarang saya mahu tertidur kalau dalam perjalanan dengan kereta. Sebahagiannya
saya mudah tergamang terutama bila kereta membelok pada selekoh. Bagi mengelak dari tergamang inilah saya
tidak mahu tidur. Tetapi entah mengapa balik saja dari Jerantut dengan Kadir
Misai saya berasa terlalu mengantuk. Puas saya cuba melawan rasa mengantuk itu, tetapi tidak juga berjaya.
Hinggalah
saya tergamang sebentar tadi. Selepas tergamang itu tidaklah saya tidur lagi.
“Saya
ingat ustaz tidur tadi...” ujar Kadir Misai.
“Hemmm,
terlelap juga sekejap,” beritahu saya terkeap-kuap.
“Mimpi
?” dia mengusik saya.
“Iya...”
jelas saya ketawa kecil. “Mimpi pasal kau simpan minyak dagu...” kata saya
menyebabkan Kadir Misai tertawa terbahak-bahak.
Geli
benar hatinya bila saya timbulkan kisah minyak dagu itu. Memang Kadir Misai tidak dapat melupakan
bagaimana dia mendapatkan minyak dagu tersebut. Kalaulah tidak disebabkan
ayahnya masuk campur tentu dia terperangkap dengan ilmu-ilmu demikian. Dia terpaksa
memberi darah setiap kali bulan mengambang. Takdirnya terlupa memberi darah
maka datangnya suara tangisan yang mengerunkan di tengah malam.
“Sepatutnya
kita mendoakan roh muslimin muslimat supaya diberi rahmat oleh Allah...” ujar
saya perlahan bila mengenangkan perbuatan Kadir Misai. “Tetapi, kau menyeru roh
mereka beserta dengan syaitan,” saya menyindirnya.
“Ah,
itu kisah lama ustaz” jelas Kadir Misai menyesali perbuatannya di masa lalu.
“Saya pun dah lupakan kisah-kisah lama tu...” katanya.
Saya
percaya dengan kata-kata Kadir Misai. Sebab itu dia lebih suka berkawan dengan
saya, kerana pada pendapatnya saya lebih banyak mendorong dia supaya mendalami
ilmu agama. Selalu juga dia mengikiut saya ke Rawang atau ke Kajang, mengikuti
pengajian agama dari beberapa orang guru tariqat. Kadangkala kalau saya ke
Melaka, ke Segamat atau ke Sungai Besar pun dia akan ikut sama. Sebenarnya saya
suka bertukar-tukar fikiran dengan guru-guru agama di situ.
Kisah
Kadir Misai ketika umur belasan tahunnya, bukanlah dia saja. Memang anak-anak
muda demikian satu masa dulu gemar menuntut ilmu –ilmu demikian. Saya sendiri
teringin juga mahu melakukannya, mujurlah nenek saya dulu memarahinya. Dia
tidak mahu saya menuntut kepada orang yang tidak bertanggung jawab.
Apa
lagi Tok Aji membawa saya belajar di madrasahnya. Tok Aji tidaklah mengawal
sangat tindak tanduk saya ketika itu, tetapi entah mengapa saya terlalu takut
kepadanya. Saya tidak berani membuat sesuatu kalau tidak meminta izin darinya
terlebih dulu.
Sebab
itu Tok Aji juga terlalu sayang kepada saya. Dia mengingatkan saya bahawa di
dalam Quran itu sudah lengkap, hanya manusia saja tidak memahami apa yang
dikatakan sudah lengkap itu.
Tetapi
sepanjang ingatan saya memang Tok Aji ketika hayatnya tidak pernah berubat di hospital.
Dia pun tidak pernah sakit, kecuali demam biasa. Hanya pada akhir hayatnya dia jatuh sakit selama empat hari. Sehari semalam dia tidak sedarkan diri. Ketika
inilah ayah saya merapatkan mulut ke telinganya, kemudian melekapkan telinga ke
pusat Tok Aji . Beberapa saat kemudian Tok Aji pun meninggal dunia.
Jadi,
berdasarkan Quran yang sudah lengkap itu apakah perlunya kita menuntut ilmu yang
lain dari ajaran Quran? Mengapa kita sanggup mendapatkan air dagu mayat seorang
gadis semata-mata untuk mendapatkan ilmu pengasih? Sedangkan ilmu pengasih itu
terletak di hati kita sekiranya pandai mengambil hati dan bersedia mengalah
dalam beberapa hal nescaya orang akan kasih kepada kita.
“Pernahkah
ustaz masuk hospital? “ tiba-tiba saja Kadir Misai bertanya.
“Pernah....”
jawab saya ringkas.
“Ustaz
kena sakit apa ?” tanya lagi.
“Saya
tak sakit apa pun, saya melawat orang sakit aje...” beritahu saya tersenyum.
“Hus,
ustaz ni bergurau pula,” Kadir Misai mendengus mendengar jawapan say aitu.
“Maksud saya ustaz masuk hospital kerana sakit...” tegasnya macam mahu
mengetahui samada pernahkah saya mengalami sakit sampai masuk ke hospital.
“Saya
tak pernah sakit teruk, jadi tak pernahlah masuk hospital...” ujar saya
perlahan.
“Kalau
takdirnya kena sakit teruk ?” Kadir Misai menduga.
“Itu
belum tahu lagi,” jelas saya sudah dapat menduga maksudnya. “ Masa akan datang
hanya Allah saja mengetahui...” kata saya lagi.
Saya
sudah duga bahawa Kadir Misai hendak tahu sama ada saya akan berubat ke
hospital kalau mengalami sakit, pada hal saya sering menyatakan padanya bahawa
di dalam Quran juga sudah lengkap ubat-ubatnya. Memang saya tidak dapat memberi
jaminan apa yang terjadi di masa akan datang, tetapi tidak mustahil penyakit
yang banyak didengar zaman moden ini boleh diubati dengan menggunakan ayat-ayat
Quran.
Pernah
juga saya mendengar seorang pesakit jantung berlubang boleh diubat melalui
pengubatan menggunakan ayat-ayat Quran ini, sehingga pernah mengkagumkan pakar
di hospital. Apabila saya ditanyakan perkara ini saya hanya tersenyum.
Mengapa
orang bertanya demikian ? Adakah dia ragu-ragu akan kekuatan AlQuran ?
Saya
diberitahu mengenai sahabat yang mengubat pesakit jantung berlubang seorang
kanak-kanak. Sahabat ini pun bukanlah seorang bomoh, tetapi dia memang mendalam
pengajian agamanya . Saya tidak pernah lagi bertemu dengan sahabat yang
diceritakan oleh seorang kawan saya ini, tetapi saya yakin dengan apa yang
telah dilakukannya.
Satu
hari seorang kawan sepejabatnya datang membawa anaknya yang kecil berumur dua
tahun. Anak ini kelihatan kurus, pucat dan kukunya sudah lebam biru. Kebetulan
sahabat ini bertemu dengan kawan sepejabatnya
itu lalu bertanya mengenai anak kecil itu.
Rakannya
itu memberitahu bahawa dia baru saja datang dari hospital membawa anaknya. Dia
dinasihatkan oleh dokter supaya anaknya yang mengidap jantung berlubang itu
dibedah di London. Jadi sebelum sampai tarikh untuk dibawa ke London itu dia
dikehendaki membuat check-up setiap dua mingggu sekali.
Kebetulan
hari itu dia singgah sebentar ke pejabat sekembalinya dari hospital
dengan membawa anaknya bersama. Disebabkan rakan itu perempuan dan datang
bersama suaminya ke pejabat berkenaan sahabat tadi lalu menawarkan diri mahu
merawat kanak-kanak itu mengikut cara pengubatan ayat-ayat Quran. Suami
perempuan itu lantas bersetuju , kerana dia sendiri lebih yakin dengan
perubatan secara demikian.
Sahabat
ini telah melakukan pengubatan secara tidur dengan menggunakan seorang kawannya
yang telah diberi latihan. Memang dia dapati kanak-kanak berkenaan mengidapi
jantung berlubang. Tiga hari dia merawat kanak-kanak berkenaan, kedua suami
isteri sudah dapat melihat perubahannya.
Biru
lebam pada kuku anaknya sudah tidak kelihatan lagi. Kanak-kanak itu juga sudah
boleh bernafas dengan tenang. Dua minggu kemudian apabila dibuat check-up di
hospital doktor mendapati jantung berlubang itu sudah bertaup semula. Doktor
juga merasa heran lalu bertanya kepada suami isteri itu apakah yang telah
dilakukannya.
Disebabkan
terlalu gembira kedua suami isteri itu terlupa akan janjinya pada sahabat tadi, iaitu tidak mahu
menceritakan telah berubat kepadanya, sebaliknya dia telah menerangkan kapada
doktor berkenaan, mengenai diri sahabat tadi. Doktor itu tertarik hati dan
berharap untuk bertemu dengan sahabat itu. Bagaimanapun sahabat itu tidak mahu
menemui doktor berkenaan, kerana dia tidak bertujuan mahu mencari publisiti.
Saya
setuju dengan sikap sahabat itu. Dan saya yakin dengan cara pengubatan yang
dilakukannya itu. Muga-muga lebih ramai lagi orang yang dapat memahami
pengubatan demikian, kerana ianya bukanlah seperti pengubatan tradisional yang
disalah ertikan oleh kebanyakan orang.
“Ustaz
tak yakin dengan ubat hospital ?” tanya Kadir Misai seterusnya.
“Siapa
kata saya tak yakin...?” saya berpaling pada Kadir Misai. Tidak saya sangka dia
bertanya demikian pula. “Sebaik-baiknya kita mencegah penyakit, bukannya
berubat kerana sakit,” kata saya mengingatkan dia.
“Iya,
hospital juga tak berjaya mengubati penyakit,” Kadir Misai terangguk –angguk.
“Hospital
juga mahu mencegah penyakit saja, kalau sudah menjadi wabak, hospital juga
tidak jamin boleh menyembuhkan,” ujarnya.
“Sembuh
atau tidak sembuh adalah kuasa Allah , manusia hanya berikhtiar..” tegas saya
perlahan. “Hospital juga berikhtiar, bomoh juga berikhtiar, siapa juga
berikhtiar....” kata saya. Sebenarnya saya tidak berniat mahu persoalkan
perkara ini, tetapi Kadir Misai seolah-olah mahu menguji saya.
Saya
fikir untuk mengelakkan dari Kadir Misai terus bertanya adalah lebih baik saya
tidur saja. Setidak-tidaknya saya berpura-pura tidur agar dia tidak dapat
berbual-bual.
Beberapa
minit saya melelapkan mata, tiba-tiba kereta tersengguk-sengguk. Cepat-cepat
saya bingkas apabila enjin kereta mati.
“Kenapa?”
tanya saya keheranan.
“Minyak
habis...” beritahu Kadir Misai lemah.
“Kenapa
tak diisi cukup-cukup...” saya kesal dengan kejadian minyak kereta habis di
tengah jalan. Sepatutnya Kadir Misai mestilah mempastikan minyaknya cukup.
Tetapi itu adalah urusan dia, kerana keretanya sendiri tentulah dia mesti
menguruskan.
“Tak
perasan pula saya ,” keluhnya kerana tidak mempastikan minyak cukup untuk
balik. “Huh, kacau kita macam ni...” katanya bercampur bimbang.
Kemudian
terpaksalah kami menolak kereta itu ke tepi jalan. Sambil itu menunggu kalau ada
kereta yang lalu untuk meminta pertolongan. Tetapi puas tersadai di tepi jalan
tidak ada pula kereta melintas. Selalunya lebuh raya Karak ini sampai ke subuh
pun ada kereta lalu lalang. Setidak-tidaknya lori juga banyak lalu di situ.
Jam
sudah hampir 3.00 pagi. Saya tidak bercakap apa lantas merebahkan badan ke
kosyen. Biarlah Kadir Misai memerhatikan kereta lalu untuk mendapatkan bantuan.
Di tengah malam begini bagaimana mahu mendapatkan pertolongan orang. Pemandu
kereta mungkin tidak berani berhenti kerana menyangka orang yang menahannya
mahu berlaku tidak baik. Rumah orang pula tidak ada di situ, kerana kawasan
tersebut bukannya kampung.
Puas
menunggu di tepi, akhirnya Kadir Misai pun masuk semula ke dalam kereta.
“Macam
mana ni ustaz.....? keluhnya sambil mengetuk jari ke stering kereta.
Saya
mendiamkan diri saja. Kerana saya sendiri tak tahu apa yang mahu dilakukan.
Kelalaian Kadir Misai tidak memeriksa samada minyak kereta mencukupi atau
tidak, menyebabkan kesulitan itu timbul. Kelalaianlah menyebabkan manusia
sering menghadapi kesulitan.
“Agaknya
fasal saya banyak bertanya pada ustaz mengenai ubat hospital tadi tak...?”
ujarnya macam menyesali kerana membangkitkan perkara berubat di hospital dengan
tidak berubat di hospital tadi.
“Hah,
kau yang lalai tak periksa minyak kereta ...” saya menafikan sangkaannya yang
karut. Perkara kereta kehabisan minyak tidak ada kena mengena dengan
membangkitkan perkara pengubatan yang
saya sebutkan.
“Dan-dan
saya cakap tadi, kereta ni habis minyak,” Kadir Misai mengeluh lagi.
Ketika
itu sebuah kereta meluncur laju di jalan. Tidak sempat Kadir Misai mahu keluar
memanggilnya, kereta itu sudah bergerak pantas.
“Huh,
malangnya nasib,” dia menghela nafas. “kita tunggu di luar tak ada kereta lalu,
kita masuk dalam kereta, top-top aje ada. Itu pun lari macam pelecut...” katanya
menyumpah-nyumpah.
“Di
lebuh raya mana ada kereta lari perlahan,” kata saya menenangkan perasaan Kadir
Misai.
Dia
terdiam. Terbayang kegelisahan pada wajahnya. Tidak disangkanya minyak kereta
boleh kehabisan, pada hal selalunya memang mencukupi sebanyak itu untuk pergi
balik.
“Doalah
sikit ustaz..” dia macam merayu.
“His,
doa apa!” geli pula hati saya dengan sikap Kadir Misai itu. Soal berdoa ini
memang sepanjang masa wajib kita berdoa meminta perlindungan dan pertolongan
Allah. Bukan untuk mendapatkan minyak kereta. Itu kerja orang suruhan untuk
mengadakan itu dan ini. Sebaliknya yang hamba adalah kita, bukannya Dia.
Lama
saya dan Kadir Misai terkebil-kebil mata mengharapkan ada kereta lalu untuk
meminta bantuan. Tidak selepas itu nampaklah sebuah kereta dari hadapan.
Apabila ditahan kereta itu berhenti. Sayangnya dia juga tidak memberikan
pertolongan kerana dia mahu ke Kuantan. Dia bimbang akan kehabisan minyak pula
kalau minyak di dalam tangkinya disedut.
Harapan
yang ada ialah kalau lori lalu. Mungkin lori ada membawa minyak simpanan.
Tetapi puas menunggu tidak juga ada lori.
Terfikir
juga di hati saya mungkin ada gangguan. Kerana ayah saya juga pernah diganggu
semasa balik ke rumah jam 2.00 pagi . Tiba-tiba saja lampu basikalnya padam.
Kemudian dia memerhati ke atas ternampak olehnya satu lembaga hitam berdiri di
hadapannya terlalu tinggi. Kepalanya seolah-olah mencecah awan.
Oleh
itu cepat-cepat saya keluar dari kereta . Saya mendongak ke langit memerhati
kalau-kalau ternampak lembaga demikian. Alhamdulillah, tidak ada pula apa-apa
yang saya lihat, selain dari awan yang lebam. Melihatkan saya keluar dari kereta
Kadir Misai juga keluar.
Masa
inilah saya ternampak lembaga orang sedang mengayuh basikal mendaki bukit di
situ. Setelah dekat saya dapati seorang lelaki tua berseluar hitam dan berbaju
hitam tidak berkatup butang, serta lilit kepala hitam. Dia turun dari
basikalnya apabila nampak kami di situ.
“Hah,
kenapa awak?” tanya orang tua itu dalam loghat Pahang.
“Kereta
habis minyak aki...” sahut Kadir Misai.
“Macam
mana boleh habis minyak...?” dia keheranan kerana perjalanan jauh selalunya
orang memeriksa tangki minyak . “Kawan agak awak ni lalai” katanya macam
menyindir.
“Aki
tinggal di mana?” tanya saya pula kerana saya tidak nampak pun kawasan kampung
di situ.
“Jauh
lagi di depan tu....” dia memuncungkan bibir.
“Dari
mana?” tanya saya lagi.
“Hai,
dari rumah anak di Bukit Tinggi...” jelasnya.
Memang
Bukit Tinggi tidak jauh lagi dari situ. Tetapi mengapa pula pukul 3.00 pagi dia
melalui di situ dengan basikal. Di mana pula rumahnya.
“Macam
mana awak ni nak balik?” dia tersengih-sengih memerhatikan kami berdua.
“Kalau
boleh biar kawan pinjam basikal aki,” Kadir Misai merapati orang tua itu.
“Buat
apa ..?” tanyanya.
“Nak
cari minyak...” sahut Kadir Misai berharap.
“Mana
ada kedai minyak di sini “ dia mengeluh pendek.
Lama
kami terdiam mencari akal bagaimana mahu mengatasi masaalah. Tiba-tiba saya
lihat orang tua itu turun ke bawah tanah. Kemudian dia datang semula membawa air
dari anak sungai di bawah lurah di dalam daun keladi. Dia menyuruh Kadir Misai
membuka tangki minyak, lalu
dimasukkannya air tersebut.
“Hah,
baliklah . Insya Allah” dia tersenyum lalu menepuk bahu Kadir Misai. “Tapi jangan awak buka lagi tangki
minyak tu...” ujarnya mengingatkan kami berdua.
Setelah
bersalaman dan mengucapkan terima kasih, kami pun balik semula ke Kuala Lumpur.
Kadir Misai melihat pada meternya memang minyaknya sudah penuh semula.
Seminggu
kemudian Kadir Misai menelefon saya, katanya sudah seminggu dia tidak mengisi
minyak kereta kerana minyaknya masih ada. Dia juga tidak berani membuka tangki
untuk memeriksanya.
Dua
minggu selepas itu Kadir Misai bersama isterinya datang ke rumah saya, dia
memberitahu mengena minyak keretanya yang masih belum habis. Isterinya tidak percaya
dengan kejadian yang diceritakan oleh Kadir Misai. Sebab itulah isterinya mahu
mendengar dari saya pula.
“Cubalah
tengok dalam sebulan lagi.......” saya memberi keyakinan kepada isteri Kadir
Misai mengena kejadian yang kami berdua alami itu
Setelah
sebulan sekali lagi Kadir Misai datang ke rumah saya bersama isterinya. Katanya
sudah sebulan dia tidak mengisi minyak kereta. Sementara isterinya tidak
percaya. Dia percaya Kadir Misai telah mengisi minyak kereta semasa dia tak
ada.
“Kalau
begitu tengoklah tangki kereta sekarang.....” ujar saya.
Kami
pun sama-sama membuka tangki kereta Kadir Misai. Dia hulurkan tali kedalam
tangki ternyata kering kontang tidak ada
minyak. Dia masuk ke dalam kereta lalu memeriksa meter, didapati jarum meter menunjukkan
tangki minyak kosong. Isteri Kadir Misai tidak terkatakan apa, kerana semasa
dia datang memang meter itu menunjukkan minyaknya masih penuh di dalam tangki.
--------------------SELESAI-----------------