Saturday, October 6, 2012

28. TOK AWANG NGAH - PUKUL CUCU UNTUK MATIKAN DATUK


SELAMA tiga hari tiga malam Tok Sagak terkejang di tengah rumah dihadap oleh anak-anak dan cucu-cucunya. Nafasnya kencang turun naik dengan mata terpejam. Badannya sudah tidak bergerak selama tiga hari tiga malam itu juga. Orang-orang kampung sudah tiga malam juga berturut-turut berhimpun sampai empat puluh orang membacakan Yassin. Tetapi Tok Sagak tercungap-cungap juga terkejang di tempat tidurnya.
Anak-anak dan cucu-cucunya memang rela dia menghembuskan nafasnya lebih cepat dari terkejang saja tidak bergerak-gerak. Masing-masing berdoa biarlah Tok Sagak menghembuskan nafas dengan aman tenteram, asalkan tidak menanggung kepayahan seperti yang dideritainya ketika itu.
Mat Joi menantunya yang tua duduk di hulu kepalanya mencecahkan air yang sudah dibacakan Yassin ke mulutnya. Tetapi mulutnya tidak bergerak-gerak lagi sekalipun Mat Joi menggunakan hujung daun sirih untuk menyudukan air ke mulut orang tua berkenaan. Lambat air yang tergenang di bibirnya itu masuk ke dalam mulut melalui rekahan bibirnya yang terbuka sedikit.
 "Emmm, susahnya dia nak pergi" keluh Mat Joi sambil menyudukan air yang didoakan dengan bacaan Yassin itu ke mulutnya menggunakan hujung daun sirih.
"Mengucap Tok" cucunya Tahrim membongkok membisikkan ke telinganya.
"Ingatkan Allah, Allah... Allah, ingatkan Allah Tok" Tahrim membisikkan kuat sedikit.
Tetapi Tok Sagak tetap terpejam tidak bergerak apa-apa. Nafasnya kencang turun naik tercungap-cungap. Dia tidak lagi mengerang-ngerang sakit seperti tiga hari sebelumnya. Tidak lagi menggeliat-geliat meminta picitkan betis, paha, lengan, kepala dan dada. Dia sudah nazak menunggu panggilan Ilahi pada saat yang ditetapkan. Memang siapa pun tidak mengetahui masa yang tidak diundurkan dan tidak didahulukan walau sesaat pun itu.
"Ingatkan Allah, Tok. Allah, Allah, Allah..." Tahrim tidak lekang bibir dari telinga datuknya.
Dia berdoa biarlah datuknya sentiasa mengingati Allah dalam perjalanannya yang demikian. Tiga hari sebelumnya Tok Sagak mengerang-ngerang sakit di seluruh badannya. Kaki, betis, paha, lengan dan kepala semuanya berdenyut-denyut. Merintih-rintih dia minta dipicitkan. Anak-anak dan cucu-cucunya tidak lekang duduk menjaga disisinya bertukar ganti. Tahrim yang bertugas dengan askar pun diberitahu mengenai datuknya yang sakit, terpaksa balik tergesa-gesa.
Tetapi Tahrim tidak dapat lagi bercakap-cakap dengan datuknya. Dia sampai di kampung Tok Sagak sudah sehari semalam tidak dapat bercakap lagi. Tubuhnya terkejang saja tidak bergerak-gerak. Hanya nafasnya saja kencang turun naik tercungap-cungap. Semua sanak saudaranya tahu Tahrim memang cucu kesayangan Tok Sagak. Sepanjang masa dia mengerang-ngerang tiga hari sebelumnya sempat juga dia menyebut nama Tahrim berulang kali.
"Cubalah panggilkan sesiapa yang tau" tiba-tiba saja Pak Sidi adik Tok Sagak bangun dari hujung serambi. Gelisah juga dia melihat keadaan abangnya yang tercungap-cungap nazak sejak tiga hari tiga malam.
"Cuba-cuba bolehlah..." sahut Mat Joi mendongak ke pintu tengah memerhatikan Pak Sidi berjalan ke tengah rumah.
"Di Kampung Hilir tu, Bilal tu...cuba-cubalah tanyakan..." ujarnya memberitahu mengenai ayah saya.
 "Haa, dia tu...anak Tok Aji" Pak Sidi lantas terangguk-angguk bersetuju dengan cadangan Mat Joi.
Tidak bertangguh lagi dia menyuruh Tahrim ke Kampung Hilir menjemput ayah saya. Malam itu juga ayah saya ke rumah Tok Sagak. Ketika ayah saya sampai keadaan Tok Sagak masih tidak berubah, tetapi mulutnya sudah berbuih putih. Mungkin juga buih itu berpunca dari Surah Yassin yang tidak turun ke kerongkongnya.
"Dah baca Yassin?" soal ayah saya sebaik saja dia melepaskan lelah.
"Sudah tiga malam berturut-turut, Bilal...." sahut Pak Sidi menghela nafas.
"Cubalah Bilal tengok-tengokkan, di mana lagi silapnya" ujarnya  tidak sabar lagi melihat keadaan abangnya yang tercungap-cungap.
"Takat tengok-tengokkan, awak pun boleh tengokkan!" ujar ayah saya berjenaka.
Memang sikap ayah saya suka berjenaka sekalipun dalam keadaan orang-orang disitu semuanya resah gelisah.
"Ustaz, tak ada balik Tok Bilal?" tanya Mat Joi pula, kerana dia tahu anaknya Tahrim memang berkawan baik dengan saya.
"Minggu ni tak balik pula..." beritahu ayah saya tersengih-sengih.
Setelah duduk beberapa minit, barulah ayah saya merapati Tok Sagak yang sudah nazak itu. Dia membongkok melekapkan telinganya ke dada orang tua berkenaan sambil mulutnya terkumat-kamit membacakan: Allahhu yaptafilan-fusihina mautiha-wallati lamtamut-fimanamiha fayum-saqullati qadaalihalmaut, wayarsilauhra illa-ajalun masammim inna-fizalikaliayatun likulli-yatafaqarun...

Nafas Tok Sagak yang kencang mula beransur kendur, tetapi dia menghelanya panjang sambil menghembuskan pula satu-satu.
"Siapa anak atau cucunya yang paling dia sayang?" soal ayah saya memerhati Pak Sidi.
 Menggeleng-geleng kepala Pak Sidi, kerana dia tidak dapat mempastikan siapakah di antara anak-anak atau cucu-cucunya yang menjadi kesayangan Tok Sagak. Sepanjang ingatan Pak Sidi semua cucu-cucu dan anak-anaknya mendapat kasih sayang yang sama dari Tok Sagak.
"Selalunya kalau ada apa-apa hal hendak dicakapkannya..." kata anak perempuannya yang tua Ulung Mahawa, "Dia cakap pada Tahrim saja. Memang Tahrim pun yang rapat sangat dengan dia...!" ujarnya memuncungkan bibir pada anaknya Tahrim.
"Kalau macam tu, Tahrim ke mari" ayah saya menggamitnya. Tahrim mendekati ayah saya dengan menginsut punggung.
 "Duduk disitu, dan letakkan mulut kau ke telinganya" ayah saya macam memberi perintah.
Tahrim mengikut saja perintah ayah saya lantas duduk di sisi kepala datuknya membongkok meletakkan mulutnya ke telinga orang tua itu.
 "Ikut apa yang aku cakap" ayah saya menepuk bahunya. Tahrim mengangguk memberi isyarat sudah bersedia melakukan apa saja yang dikehendaki oleh ayah saya.
"Atuk, pulanglah dulu. Segala yang tinggal ini terletak atas bahu aku..." kata ayah saya menyuruh Tahrim membisikkan  ke telinga Tok Sagak. Tahrim membisikkan seperti yang diajarkan oleh ayah saya itu.
Beberapa saat Tok Sagak membuka matanya, tetapi kemudian dipejamkan semula. Nafasnya satu-satu memanjang membayangkan betapa payahnya dia mahu bernafas dalam keadaan demikian. Kepayahan inilah yang menyebabkan sanak-saudaranya tidak sanggup lagi membiarkan dia lebih lama menanggung penderitaan tersebut.
 "Sekarang, kau cium pusatnya" perintah ayah saya selanjutnya. 
Tahrim beredar dari sisi kepala datuknya menginsut punggung ke sebelah rusuk datuknya pula. Dia membongkok mengucup pusat datuknya sambil menunggu arahan ayah saya seterusnya. Tetapi ayah saya tidak menyuruh apa-apa lagi. Dia membiarkan Tahrim membongkok mencium pusat datuknya. Kemudian dia mengisar-ngisar tangannya  membaca doa lantas  dihembuskannya perlahan-lahan ke kepala Tahrim. Selepas itu dia bangun membuka ikat tali pinggangnya. Dengan tidak diduga oleh sesiapa pun ayah saya memukulkan tali pinggang itu ke belakang Tahrim. Dua kali ayah saya memukulnya sebagai isyarat saja, tiba-tiba saja Tok Sagak menghembuskan nafasnya yang terakhir.
"Alhamdulillah" ayah saya tersenyum setelah diberitahu mengenai Tok Sagak sudah pun menghembuskan nafasnya.
"Kalau tidak sampai beratus kali pun kau kena tahanlah kena pukul Tahrim" katanya mengusik anak muda itu.
Tahrim tersengih-sengih. Dia tahu ayah saya memang suka berjenaka. Dia tidak peduli sama ada suasana gembira atau suasana muram dia tetap suka berjenaka.
 "Kalau sampai pengsan kena pukul pun, atuk punya fasal tak apa Tok Bilal...." ujar Tahrim terharu.
Dia tidak sedih lagi dengan kehilangan datuknya, tetapi terharu dengan kejadian yang dialami oleh datuknya itu. Sejak balik ke kampung setelah diberitahu mengenai datuknya sakit tenat, Tahrim sentiasa gelisah dengan keadaan orang tua itu. Dia sudah melakukan segala nasihat datuk saudaranya Pak Sidi, membukakan sekeping atap, sekeping lantai dan membuangkan anak tangga bongsu.
Masing-masing mengagak tentulah Tok Sagak mengamalkan ilmu 'sangka bunuh' menyebabkan terlalu sukar baginya mahu menghembuskan nafas. Tetapi setelah dilakukan petua-petua menghapuskan ilmu 'sangka bunuh' dengan membukakan atap sekeping, lantai sekeping dan membuang anak tangga bongsu, ternyata Tok Sagak tidak mengamalkan ilmu tersebut. Dia terus nazak dengan mengharapkan pertolongan bagi melepaskan dirinya dari kepayahan tersebut.
Setelah Tok Sagak meninggal dunia jenazahnya dibujurkan sementara menunggu hari siang. Ayah saya pun balik ke rumah selepas tugasnya disitu selesai. Semasa ayah saya sampai di rumah, saya sudah pun balik ke kampung. Dia terus memberitahu saya mengenai kematian Tok Sagak. Disebabkan sudah pukul 1.30 pagi ayah saya balik ke rumah menyampaikan khabar kematian Tok Sagak tidak dapatlah saya menziarahinya pada malam itu.
Esoknya barulah saya menziarahi jenazah Tok Sagak bersama ayah saya. Ketika kami sampai pukul 10.00 pagi, sanak saudaranya sedang memandikan jenazah kerana mahu segera dikebumikan. Tahrim memberitahu saya bau jenazah itu sudah mula mengganggu, walaupun kebiasaannya jenazah tidak akan berbau kalau satu malam  saja ditangguhkan pengkebumiannya. Keadaan di atas rumah juga menjadi gempar kerana sewaktu dimandikan daging jenazah pula menjadi reput bila digosok hingga terlekat pada sabun.
"Macam mana ni...?" Ulung Mahawa mula tersengguk-sengguk melihat daging jenazah mudah saja terlekang bila digosok kuat sedikit.
Melihat keadaan tersebut ayah saya menasihatkan supaya jenazah dimandikan dengan tidak payah digosok. Hanya disiramkan saja air mengikut ala kadar saja bagi mengelakkan daging jenazah habis luruh. Bau busuk juga meruap-ruap sekali sekala bila angin bertiup, seolah-olah jenazah itu sudah tiga hari meninggal dunia.
Atas sebab-sebab demikianlah pengurusan mengkebumikan jenazah dilakukan dengan segera. Memandikan jenazah pun tidak memakan masa yang lama, hanya cukup sekadar dapat dibersihkan saja. Selepas itu dikapan dengan dibubuh banyak sedikit kapur barus. Setelah selesai disembahyangkan, kami sama-sama menghantarkannya ke kubur.
Tahrim disuruh oleh ayah saya memikul usungan dengan tidak digilir-gilir hingga sampai ke kubur. Dia juga menyambut jenazah dari lubang kubur untuk dimasukkan ke liang lahad. Semua yang disuruh oleh ayah saya dipatuhi oleh Tahrim. Saya juga ikut sama memikul usungan Tok Sagak, tetapi kami memikulnya secara bergilir-gilir.
Pada malam selepas Tok Sagak dikebumikan, Mat Joi datang ke rumah ayah saya kira-kira jam 12.30 malam memberitahu Tahrim tidak sedarkan diri secara tiba-tiba. Tubuhnya menggeletar seperti orang dalam ketakutan, matanya meliar memerhati sekeliling kasau atap, sambil bibirnya kumat-kamit merungut tidak tentu biji butir.
Disebabkan saya masih berada di kampung, saya pun ikut menemankan ayah saya ke rumah Mat Joi setelah diberitahu mengenai kejadian yang menimpa diri Tahrim. Kebimbangan yang bersarang di hati Mat Joi selepas kematian mertuanya, bertambah lagi dengan keadaan Tahrim. Apa lagi cuti Tahrim juga sudah tamat tempohnya. Ketika saya bersama ayah saya sampai, saya dapati Tahrim menyorokkan mukanya di bawah bantal. Dia terketar-ketar bagaikan menghadapi ancaman yang amat mengerikan. Tidak ada sepatah kata pun terluah dari mulutnya kecuali rungutan yang tidak difahami biji butirnya.
"Tok Bilal tengokkan laa Tahrim ni...." ujar Ulung Mahawa terharu setelah mempersilakan kami duduk.
"Tolong laa....tengokkan Ustaz, apa kenanya Tahrim ni...besok nak balik kerja dia tu" jelasnya bercampur bimbang sekiranya Tahrim tidak dapat balik bertugas semula setelah cutinya berakhir.
"Hah, tengokkanlah Angah" ayah saya menepuk paha saya.
Serba salah juga saya apabila ayah saya sudah melepaskan tanggungjawab yang diharapkan oleh Mat Joi darinya itu, kepada saya pula. Kadangkala berdetak juga hati saya tidak mahu menziarahi teman-teman yang menghadapi gangguan seperti dialami oleh Tahrim. Tetapi sekali sekala saya balik ke kampung hati saya merasa macam bersalah kalau tidak menziarahi jiran-jiran atau kawan-kawan yang sakit demikian.
Tujuan saya untuk menziarahi sudah bertukar pula dengan harapan keluarga berkenaan meminta diubati si sakit. Sewaktu Mat Joi datang menjemput ayah saya, tujuan saya mengikutnya semata-mata untuk menziarahi Tahrim yang dikatakan sakit. Tetapi ayah saya sendiri yang menyuruh saya mengubati Tahrim.
"Tengokkanlah Ustaz, Tahrim ni.." desak Ulung Mahawa lagi. Saya tidak menyahut.
Saya mendekati Tahrim yang menyembunyikan mukanya di bawah bantal.
"Apa kena kau Tahrim?" soal saya menepuk-nepuk bahunya.
 Dia menggeleng-gelengkan kepala sambil mulutnya merungut-rungut. Tidak dapat saya fahami langsung biji butirnya.
 "Apa yang kau nampak?" soal saya lagi. Tahrim merungut-rungut juga, sambil jari telunjuknya menuding ke ceruk pintu.
"Tak ada apa pun di situ..." beritahu saya tersengih-sengih.
 "Bukalah muka kau, tak ada siapa pun di situ" kata saya merenung ke ceruk pintu yang ditudingnya.
Lama saya merenung ke situ barulah saya nampak berbayang-bayang Tok Sagak berdiri melambai-lambai. Saya terus bangun mendapatkan Tok Sagak lantas berjabat tangan. Kemudian saya mengajak ke serambi duduk disitu, sambil saya memarahi dia kerana datang mengganggu Tahrim.
"Tok, bukan nak ganggu dia...tok nak jaga dia.." ujar Tok Sagak perlahan.
"Tak perlu tok jaga dia" jelas saya memujuknya.
"Allah lebih baik melindungi dia dari tok sendiri" kata saya mengingatkan dia.
"Tok sayangkan dia..." balasnya menunduk.
"Allah lebih sayangkan dia dari tok" saya masih berkeras tidak membenarkan dia mengganggu Tahrim.
Dia terdiam bila saya bacakan Surah Al-Ikhlas di depannya 11 kali, menyebabkan dia menangis tersedu-sedu.
"Tok jangan menangis, janganlah tok bimbangkan dia. Allah lebih sempurna pemeliharaanNya dari tok" ujar saya tegas.
"Sedangkan tok sendiri pun mengharapkan perlindungan Allah, macam mana tok nak melindungkan orang lain. Tok pun makhluk yang lemah..." kata saya menepuk-nepuk bahunya berulang kali.
Dia mengangguk-angguk mempersetujui nasihat saya.
"Baliklah tok dulu..Tahrim pun nak balik bekerja besok. Nanti kalau Tahrim dibuang kerja, tentu tok juga tak sukakan?" ujar saya memujuknya.
Bayangan Tok Sagak mengangguk. Dia bangun lemah dari tempat duduknya meminta diri untuk meninggalkan rumah tersebut. Sebelum dia menuruni tangga sempat dia masuk ke dalam mengucup dahi Tamrin. Kemudian dia berjabat salam dengan saya sebelum meninggalkan rumah tersebut dengan linangan air matanya.
Kira-kira setengah jam selepas itu saya merasa bahu saya ditepuk. Apabila saya berpaling saya dapati ayah saya tersenyum gembira.
"Alhamdulillah.." kata saya memberi isyarat dengan ekor matanya menunjukkan Tahrim sudah mula sedarkan diri sekalipun tubuhnya masih lemah lagi.
 "Apa kena kau Tahrim?" tanya ayah saya tersengih-sengih mengusiknya.
"Entahlah, Tok Bilal" sahutnya menggeleng-geleng lemah.
"Apa kenanya Ustaz?" Ulung Mahawa pula mendesak saya.
"Entahlah Ulung" beritahu saya serba salah mahu menerangkan sesuatu yang tidak dapat hendak digambarkan kepadanya.
"Tahrim dah sembuh, syukurlah" ujar saya supaya tidak didesak lagi oleh Ulung Mahawa.
 Bagaimanapun Ulung Mahawa tidak puas hati dengan jawapan saya itu, tetapi dia tidaklah berani mendesak sangat. Jauh di sudut hati Ulung Mahawa dia menuduh ada di antara saudara-maranya yang irihati kepada anaknya Tahrim, disebabkan dia merupakan  cucu kesayangan aruah Tok Sagak. Sebab itulah mereka melakukan apa saja untuk memusnahkan Tahrim. Namun saya tetap menafikan anggapan Ulung Mahawa itu. Inilah menyebabkan dia tidak berpuas hati dengan penjelasan saya.
Hanya beberapa bulan selepas itulah baru Tahrim menceritakan kepada emaknya, dia ketakutan sewaktu dikatakan tidak sedarkan diri itu, kerana aruah datuknya Tok Sagak datang mengajaknya pergi. Puas Tok Sagak menghulur tangan meminta Tahrim memautnya, tetapi Tahrim ketakutan untuk menyambut tangan aruah datuknya. Entah mengapa Tahrim dapat berfikir bahawa datuknya baru saja meninggal dunia sebelah siangnya.
Sebab itulah dia tidak mahu menyambut tangan yang dihulurkan oleh Tok Sagak mengajaknya pergi dari situ. Dia seolah-olah nampak datuknya berbual-bual dengan saya di serambi. Pada mulanya dia nampak datuknya bercakap dengan suara lantang tidak puas hati kerana saya menghalang  dia dari membawa cucunya. Tetapi suaranya lama kelamaan merendah hingga menangis teresak-esak. Tahrim pula tidak tahu apa yang saya cakapkan bersama datuknya. Tidak lama setelah datuknya bercakap-cakap dengan saya, Tahrim dapat melihat dengan jelas datuknya mencium dahinya sebelum pergi menuruni tangga.
Selepas itu tiba-tiba saja sekitar rumah menjadi gelap gelita beberapa minit, hingga dia terkejut bangun dari tidurnya. Hairan juga dia bila didapatinya saya dan ayah saya beserta beberapa orang jiran lain ada di sisinya.
Tetapi cerita Tahrim tidak habis disitu saja. Sehingga dia berhenti askar pun saya mendengar cerita mengenai keistimewaan dirinya, sedangkan dia sendiri tidak mengetahui dari mana datangnya keistimewaan tersebut. Saya mendengar cerita Tahrim menolong sepupunya menebang pokok rambai berhampiran dengan rumahnya. Semasa pokok rambai tumbang, Tahrim tidak dapat mengelakkan diri lantas dihempapnya.
Sepupunya Mat Derih menjadi panik, lantas melaung memanggil jiran-jiran datang membantu. Sewaktu jiran-jiran sampai, Tahrim merangkak-rangkak keluar dari bawah dahan dan ranting-ranting rambai yang menimpanya. Hanya bahu dan belakangnya saja calar-calar ringan, sedangkan seluruh anggota badannya tidak terjejas langsung. Bila ditanyakan oleh Mat Derih mengenai peristiwa tersebut, Tahrim hanya menggeleng-geleng kepala saja, kerana dia sendiri pun tidak tahu apa yang telah terjadi.
Semasa masih berkhidmat dalam askar pun, Tahrim pernah mengalami kejadian yang tidak disangka-sangkanya. Pasukannya telah membuat operasi jauh ke hutan. Apabila berkhemah di satu kawasan Tahrim ditugaskan berkawal hingga tengah malamnya. Dengan tidak disedarinya Tahrim merasai tersangat mengantuk lantas tertidur waktu berkawal ini. Kira-kira jam 2.00 pagi seorang anggota lain yang ditugaskan menggantikan tempat Tahrim berkawal datang ke tempat dia berkawal. Alangkah terkejutnya kawan itu apabila dilihatnya Tahrim tidur nyenyak di atas perut seekor harimau yang berbaring di sisinya.
Keesokan harinya Tahrim disoal oleh ketuanya mengapa tidak mahu digantikan berkawal oleh rakannya, dia sendiri terpinga-pinga tidak tahu apa yang telah berlaku ke atas dirinya. Apabila diberitahu oleh kawannya dia tertidur di atas perut harimau yang mengambil alih tugasnya berkawal, Tahrim hanya menerangkan semuanya itu cerita karut.
Setelah bersara dari askar Tahrim menetap semula di kampung. Setiap kali saya balik ke kampung, saya akan singgah minum kopi di warung kecil yang dibukanya.
"Beginilah Ustaz" kata Tahrim tersengih-sengih bila saya singgah minum kopi di warungnya.
"Masa muda jadi askar, dah tua jadi jaga" ujarnya berjenaka.
"Tapi jadi jaga di warung ni bagus, Rim" sahut saya tersenyum.
 "Bukannya jadi jaga berdiri depan bank perhatikan orang keluar masuk bawa duit. Tapi jadi jaga di warung ni, sendiri memerhatikan duit keluar masuk" saya sengaja mengusiknya. Bagaimanapun setiap kali saya mahu membayar duit kopinya, Tahrim tetap menolak. "Bukan selalu Ustaz minum di warung ni, sekali-sekala aje" katanya memasukkan semula wang yang saya berikan ke poket saya

27 . TOK AWANG NGAH - LEMBAGA BERKEPALA BOTAK KELUAR DARI TOMPOK-TOMPOK HITAM


SAWAH kering terbentang selepas sahaja penduduk-penduduk kampung habis menuai. Siang hari anak-anak muda berlari di tengah sawah bermain layang-layang sambil mendongak ke awan memerhati layang-layang terapung di udara. Hanya di tengah sawah itulah anak-anak muda kampung bermain menghulurkan tali layang sambil mendengarkan dengungnya yang merdu mengiang-ngiang di udara.
Tetapi malamnya tatkala kegelapan menyelubungi kampung kecil di Pelangai itu, Pak Tua Mahat meranduk tunggul-tunggul padi kering di tengah sawah bersama menantunya Saban Keme mencari kawasan lapang tidak berlindung apa. Dia mengeluarkan buluh mendekut dari saku seluarnya lantas berdiri mendongak ke awan menghadap matahari naik.
"Duduk, Saban" perintahnya menyuruh menantunya mencangkung. Saban Keme tidak membantah.
Dia mencangkung sambil meletakkan tangguk ke tanah. Bila burung wak-wak datang menyerbu berkelompok-kelompok dia akan menyerkup dengan tangguk tersebut. Kemudian akan sumbatkan ke dalam buntil yang terikat di pinggangnya. Memang Saban Keme tahu mertuanya tidak akan mengajak sesiapa kalau mahu mendekut burung wak-wak.
"Kau tunggu di sini" ujar Pak Tua Mahat lantas mara ke hadapan meninggalkan menantunya kira-kira serantai jaraknya.
Saban Keme mengangguk. Dia memerhatikan mertuanya berjalan di dalam gelap, kemudian hilang berbalam-balam di kejauhan. Dari jarak serantai darinya itulah Saban Keme mendengar mertuanya meniup buluh mendekut-dekut melangsing di tengah sawah yang lengang di gelap malam itu.
Dia tidak akan bangun menangguk burung wak-wak yang menyerbu selagi tidak diberi perintah oleh mertuanya. Saban Keme hanya menunggu sahaja burung wak-wak yang berterjunan dari awan menerpa ke tengah sawah, kemudian berjalan terlangah-langah mengejar bunyi dekut buluh yang ditiup Pak Tua Mahat. Kadangkala ada burung wak-wak yang hinggap di atas kepalanya, tetapi Saban Keme tidak akan menghiraukannya selagi Pak Tua Mahat tidak memberi perintah menangkapnya. Ketika Pak Tua Mahat mendekut-dekut jauh dari Saban Keme inilah, dia ternampak satu lembaga berlari-lari dari arah tebing menyeberang ke sawah dari arah kampung. Sekalipun malam gelap tetapi di kawasan sawah luas terbentang itu, dia masih dapat melihat orang berlari-lari di dalam samar-samar.
"Siapa tu, Saban?" laung Pak Tua Mahat memberhentikan meniup buluh mendekut.
Dia nampak lembaga itu terlangah-langah kemudian merendap mencangkung berhampiran dengan Saban Keme.
"Jonoh...!" beritahu Saban Keme sebaik sahaja adik iparnya tercangkung di belakang dia.
"Apa halnya Jonoh?" soal Pak Tua Mahat.
"Tak ada..." sahut Jonoh tersengih-sengih di dalam gelap itu.
Pak Tua Mahat menghela nafas. Memang anaknya Jonoh itu nakal. Dia tidak peduli sama ada ditegah atau pun tidak. Kalau hatinya berkeras mahu mengikut, tengah gelap pun Jonoh sanggup meranduk mendapatkan ayahnya. Ketika Pak Tua Mahat mengajak Saban Keme mendekut sebelumnya memang Jonoh tidak tahu. Tetapi setelah diberitahu oleh kakaknya Saban Keme pergi mendekut bersama ayahnya ke tengah sawah, lantas Jonoh mengikutnya. Apa lagi dia sendiri dapat mendengar bunyi buluh mendekut itu langsing sampai ke tengah kampung.
"Emm, Jonoh..Jonoh..." keluh Pak Tua Mahat meniup semula buluh mendekutnya.
Kira-kira 15 minit dia meniupnya, Pak Tua Mahat terdengar bunyi ribut kencang di udara. Awan juga kelihatan bertompok-tompok bersama deru ribut yang hitam di angkasa. Tersenyum Pak Tua Mahat kerana burung wak-wak yang didekutnya sudah datang menyerbu ke situ. Dia segera mendapatkan menantunya Saban Keme dan anaknya Jonoh menunggu.
"Buat apa kau ke mari...?" rungutnya memarahi Jonoh. Kemudian dia cepat-cepat mencangkung supaya memudahkan Saban Keme menangguk apabila burung wak-wak berkenaan menuju ke arahnya.
Jonoh tidak menyahut. Dia hanya tersengih-sengih sahaja walaupun ayahnya melarang dia mengikuti berburu ke hutan atau mendekut burung wak-wak, tetapi Jonoh tetap berdegil mahu mengikutnya. Sekali-sekala dia dapat mengikut mendekut burung, hatinya terasa seronok melihat burung-burung berkenaan terperangkap di dalam tangguk. Kadangkala dia sendiri merampas tangguk dari tangan  abang iparnya menangguk burung-burung yang terlangah-langah datang mengikut bunyi buluh dekut-dekut yang ditiup.
Tompok-tompok hitam di angkasa tiba-tiba sahaja hilang bersama ribut kencang di udara. Pak Tua Mahat tahu burung wak-wak yang datang bersama deru ribut kencang itu sudah melencong jauh hingga tidak turun di kawasan tersebut. Dia kembali meniup buluh dekut-dekutnya bagi memerangkap semula burung wak-wak berkenaan supaya turun di kawasan lapang di tengah sawah. Kalau burung-burung berkenaan tersangkut di rumpun aur atau pohon rembia di pinggir sawah, mereka tidak akan turun ke tanah.
"Kau tunggu di sini..." Pak Tua Mahat mendongak ke langit memerhati tompok-tompok hitam yang sudah bertukar menjadi awan lebam tidak mengandungi apa-apa.
"Jonoh pegang lampu picit, kalau benda tu samapai kau tangguk dia Saban" katanya lantas berjalan naik ke atas busut tidak jauh dari Saban Keme mencangkung.
Saban Keme menghulurkan lampu picit kepada adik iparnya.
"Kau suluh kalau terdengar dia datang..." pesannya menyerahkan lampu picit tersebut kepada Jonoh.
Jonoh mengangguk sambil mencapai lampu picit dari tangan Saban Keme. Dia berhati-hati mendengar bunyi langkah burung-burung tersebut datang terlangah-langah mendengar bunyi buluh dekut-dekut ditiup ayahnya. Puas Pak Tua Mahat meniup dari atas busut tetapi tidak seekor pun burung wak-wak terjongol di depannya. Dia merasa burung wak-wak yang datang bersama tompok-tompok hitam di udara tadi sudah hilang ditiup ribut kencang. Marah juga Pak Tua Mahat tiba-tiba sahaja dia gagal mendekut burung-burung tersebut, padahal selama ini dia tidak pernah hampa kalau mendekut di tengah sawah. Kawasan lapang terbuka itu masakan burung-burung berkenaan boleh tersangkut di dahan pokok-pokok.
"Saban..." laungnya dari tengah gelap samar-samar itu.
"Jonoh..kau berdua tunggu tunggu di parit..." katanya menyuruh mereka berdua meninggalkan tempat awal menunggu sebelumnya.
Cepat-cepat Saban Keme bersama adik iparnya berlari ke parit tali air yang melintasi di tengah kawasan sawah.
"Mencangkung!" ujarnya keras sebaik ternampak berbayang-bayang Saban Keme dan Jonoh tercegat di situ macam tunggul tercancang. Cepat-cepat pula mereka berdua mencangkung.
Dari jauh mereka berdua melihat Pak Tua Mahat berlari-lari anak mengelilingi kawasan mereka duduk tercangkung kira-kira jarak dua rantai berkeliling. Tiga kali Pak Tua Mahat lari berkeliling sebelum naik ke atas busut dia berdiri sebelumnya. Kemudian dia mendongak semula ke langit lantas meniup buluh dekut-dekutnya, tetapi tidaklah melangsing seperti biasa. Dia meniup pun hanya tiga kali sahaja. Kira-kira lima minit sahaja selepas itu terdengarlah semula ribut kencang seperti tadi, dan awan juga bertompok-tompok hitam. Jauh di udara terdengar bunyi orang batuk hingga bergaung kedengaran sampai ke tengah sawah. Cepat-cepat pula Jonoh menyuluh ke udara ke arah awan hitam bertompok-tompok.
"Jangan disuluh, jadah!" pekik Pak Tua Mahat marah dari atas busut di tengah sawah.
Sekaligus Saban Keme merampas lampu picit dari tangan adik iparnya.
"Kau gila..." gerutunya memarahi Jonoh."Tak boleh disuluh ke atas!" katanya menggertap bibir setelah memahami pekikan mertuanya tadi menandakan ada pantang larang yang sudah dilanggar.
Jonoh tidak menyahut apa-apa. Dia menyedari akan kesilapannya tidak bertanya terlebih dulu kepada abang iparnya apabila menyuluh bunyi batuk bergaung di udara. Dia sendiri tidak pernah mengalami keadaan demikian sebelumnya. Setahu Jonoh selepas sahaja ayahnya meniup dekut, burung wak-wak akan berterjunan turun dari udara mengejar lampu yang disuluhkan. Kemudian Saban Keme akan menangguknya denagn mudah.
 "Siapa menyuluh tadi tu...?" bentak Pak Tua Mahat menahan marah yang membakar perasaannya.
"Jonoh" beritahu Saban Keme.
 "Kenapa kau biarkan?" soalnya keras. Saban Keme terdiam.
Dia sendiri serba salah bila disoal demikian. Bagaimana dia mahu melarang sedangkan lampu picit berkenaan berada di tangan Jonoh? Tetapi dia dapat mengagak tentulah bapa mertuanya dalam kesulitan menyebabkan dia tidak dapat menahan marahnya. Kesal juga dia dengan kehadiran Jonoh secara tiba-tiba di situ, walaupun dia sudah berpesan pada isterinya jangan diberitahu sesiapapun fasal dia mendekut burung bersama mertuanya.
 "Jangan berdiri!" dia mendengar mertuanya  melaung memberi perintah.
Ketika ini deru angin seperti ribut kencang di udara terasa turun ke tengah sawah. Saban Keme dapat merasakan angin kencang itu bertiup paras kepalanya begitu deras. Kegelapan malam bertambah gelap segelap-gelapnya semasa angin kencang itu bertiup rendah.
"Bang, aku rasa wak-wak dah turun" bisik Jonoh lantas berdiri menepis burung wak-wak yang terasa hinggap di bahunya.
Serentak dengan itu Saban Keme mendengar jeritan langsing Jonoh akibat kesakitan. Apabila dia menoleh ke belakang dilihatnya Jonoh terbaring menggelupur di tanah.
"Ayah..Jonoh ni kenapa..?" laung Saban Keme menggamit mertuanya di dalam gelap samar-samar itu. Hatinya cemas melihat Jonoh menggelupur bagaikan ayam kena sembelih. Pak Tua Mahat berkejar mendapatkan anaknya yang terbaring di tanah. Dia mencapai lampu di tangan Saban Keme menyuluh ke muka Jonoh. Anaknya mengerang-ngerang dengan kaki terkinjal-kinjal menendang angin. Tangannya mengerekot-ngerekot laksana mahu mencakar ke udara.
"Huh, buat apa Jonoh ni ikut tadi" rungut Pak Tua Mahat kesal memerhati Jonoh terkinjal-kinjal kaki menendang angin.
"Agaknya Bibah yang beritahu kita ke sini" sahut Saban Keme menuduh isterinya yang memberitahu Jonoh fasal mereka ke tengah sawah mendekut burung wak-wak.
Anak muda nakal seperti Jonoh memang tidak peduli sama ada orang memarahi dia atau tidak. Jonoh tahu ayahnya melarang dia mengikut berburu, tetapi tidak akan marah kalau sudah terjongol bersama-sama.
"Dah jadi macam ni, bukan ke susah" katanya lantas memangku kepala Jonoh di atas paha.
Saban Keme tertunduk memerhati mertuanya mengurut-ngurut kepala Jonoh dengan ibu jari. Kemudian dia menghembus ubun-ubun anaknya tiga kali.
"Pangku kepala adik kau ni..." dia menyuruh
Saban Keme menggantikan dia. Cepat-cepat Saban Keme memangku kepala Jonoh. Dia sendiri tidak pernah mengalami lagi kejadian demikian sebelumnya. Setiap kali dia megikut mertuanya mendekut wak-wak, tidak pula diganggu puaka yang  mengembala burung-burung berkenaan. Tetapi memang mertuanya selalu mengingatkan dia supaya berhati-hati semasa mengikutnya mendekut supaya tidak diganggu puaka tersebut.
Pak Tua Mahat berjalan undur ke belakang mengelilingi Jonoh sambil meletakkan dua tangan ke dada.
"Wah..malam ni awak nak cari geruh kawan ke..." ujar Pak Tua Mahat mengisar-ngisar tapak tangannya.
Bila melintas di hulu kepala Jonoh dia menghentakkan tumitnya ke tanah tiga kali, kemudian terus berjalan lagi undur ke belakang. Ketika melintas di lunjur kaki Jonoh dia menekankan ibu jari kaki kanannya pula ke tanah. Dia berkeliling di sekitar Jonoh terbaring sambil mulutnya kumat-kamit di dalam gelap samar-samar itu. Setelah tiga kali dia berkeliling undur ke belakang, Pak Tua Mahat berpusing pula sambil berlari-lari anak mengelilingi tubuh Jonoh yang terbaring dipangku oleh Saban Keme. Kemudian dia melangkah di bahagian pusat Jonoh tiga kali berulang-alik. Ketika inilah Jonoh terbersin kuat hingga kedengaran oleh Saban Keme bergema ke udara. Awan hitam bertompok-tompok juga bergerak perlahan bagaikan daun pintu terkuak. Dari rekahan awan hitam bertompok itu kabus putih memanjang turun mencecah hingga tertampan pada busut tempat Pak Tua Mahat berdiri meniup buluh mendekut.
Dalam kepulan kabus putih itulah keluar lembaga berkepala botak berbentuk seperti manusia bertubuh kurus tinggi berdiri membongkok.
"Sekarang apa awak hendak?" jerkah Pak Tua Mahat sebaik sahaja lembaga itu menjelma di tengah sawah.
"Awak nak menceroboh gembala kawan nampaknya" sahut lembaga itu serak-serak parau.
"Kawan tak peduli, kalau awak niat baik kawan terima baik!" ujar Pak Tua Mahat berdiri tegak menghentak-hentak tumitnya ke tanah.
"Kalau awak sengaja nak cari geruh kawan, kita berjenang dulu...!" katanya macam memberi amaran tidak akan mengalah dengan kemahuan lembaga tersebut.
 "Awak yang salah tok pawang" lembaga itu terketar-ketar bagaikan kakinya goyah berjejak di bumi.
"Kawan bukan nak dengar siapa salah!" bentak Pak Tua Mahat merapatkan dua tangannya ke dada. "Kawan nak tau awak, nak cari geruh kawan ke tidak?" soalnya menggertap bibir.
Lembaga berkepala botak itu terhuyung-hayang di atas busut di dalam kepulan asap putih. Dia semakin membongkok seolah-olah memikul beban berat di belakangnya. Pak Tua Mahat berdiri tegak tidak bergerak dengan dua tangan rapat ke dada. Mulutnya kumat-kamit juga sambil matanya merenung tepat ke arah lembaga berkepala botak yang semakin membongkok.
"Jawab!" pekik Pak Tua Mahat menghentak tumitnya ke tanah menyebabkan lembaga itu jatuh bertelugu lutut.
"Awak nak cari geruh kawan ke, atau nak menguji?" ujarnya membentak marah.
Termengah-mengah lembaga berkepala botak itu mahu menegakkan kepalanya, tetapi beban di belakangnya seolah-olah menyeksa dia. Lututnya bertumpu kuat di atas busut menanggung beban yang terlalu berat terpikul di belakangnya itu. Sekali-sekala dia cuba melepaskan beban tersebut, tetapi tidak berdaya melakukan apa-apa lagi.
Setelah puas lembaga berkepala botak itu mahu melepaskan diri dari beban yang menimpa belakangnya, dia memusarkan dirinya menjadi angin berputar kuat hingga elusannya terasa memukul anak-anak rambut Saban Keme. Sekaligus pula dia naik semula ke udara masuk ke celah rekahan awan bertompok yang berkuak seperti pintu terbuka. Kemudian dari arah hulu Saban Keme nampak memutih dari jauh bagaikan sekawan lembu menyerbu ke arah mereka.
"Kau jangan bergerak di situ Saban, pangku adik kau tu!" ujar Pak Tua Mahat mengingatkan menantunya.

Saban Keme mengangguk. Dia mematuhi apa sahaja perintah mertuanya. Memang Saban Keme tahu mertuanya tidak semudah itu mengalah kepada gangguan-gangguan dari puaka tatkala berburu. Sudah berkali-kali mertuanya diganggu demikian, semuanya dilaluinya dengan tabah. Ketabahan inilah yang berjaya melepaskan dirinya dari perangkap yang boleh mengancam. Bukan sekadar mendekut wak-wak sahaja sudah dihadapi oleh mertuanya dengan tabah, malah ketika berburu ke hutan memburu rusa pun Pak Tua Mahat diganggu. Sampai rusa yang sudah terbungkang ditembak pun tiba-tiba bertukar menjadi cina tua berpakaian serba hitam tergolek di tanah. Setelah dikebas dengan kain hitam lilit kepalanya, cina tua itu bertukar perlahan-lahan menjadi rusa, tetapi bulunya tegak seperti berus dawai dengan mengeluarkan darah.
Puas pula dia memulihkan semula gangguan puaka itu sehingga rusa sebenarnya kembali menjelma. Barulah binatang tersebut dapat disembelih. Pak Tua Mahat juga tidak mengalah bila rakannya pergi berburu tertembak di tengah hutan. Dia terus melawan puaka hutan dengan tabah sehingga rakannya dapat dipulihkan semula. Sebab itulah Saban Keme yakin mertuanya tidak gentar menghadapi dugaan yang sedang mengancamnya sekarang.
Dia juga mesti tabah menghadapinya. Kalau dia gementar mungkin puaka itu boleh mengalihkan gangguannya dari Jonoh kepada dia pula. Tentulah mertuanya semakin terancam kalau puaka itu mengganggu dia pula. Ketika ini Saban Keme teringatkan pesan saya agar membacakan Ayat Kursi bila-bila sahaja diancam syaitan. Pesanan saya inilah digunakan oleh Saban Keme, lantas dia membacakan Ayat Kursi itu dengan khusyuk berulang kali sampai 133 kali. Ketika ini dia merasakan hujan turun menitik kasar, tetapi tidaklah lebat mencurah-curah. Boleh dikatakan seperti hujan panas sahaja menyerak-nyerak.
Sekumpulan lembu putih yang menyerbu dari sebelah hulu itu tidak dapat mendekati kawasan Saban Keme bertahan, tetapi berlegar-legar seolah-olah terhalang oleh tembok besar. Debu dari kaki kumpulan lembu yang banyak itu nampak naik meruap ke atas laksana kabus memutih. Sekaligus pula Saban Keme nampak mertuanya sudah melompat ke atas salah seekor dari kawanan lembu putih itu sambil bertunggang mengelilingi dia dan Jonoh.
Sekali-sekala terdengar suara mertuanya bersorak-sorai bagaikan menghalau lembu. Kira-kira 15 minit dia menunggang lembu putih itu, tiba-tiba dia terpelanting ke tanah. Masa inilah awan hitam bertompok terkuak semula seperti daun pintu terbuka. Kabus memutih keluar dari awan hitam terkuak itu terjun laju menuju ke arah mertuanya terpelanting. Belum pun sempat kabus putih menjunam itu menimpa ke arahnya, Saban Keme nampak mertuanya cepat-cepat bangun di tengah silauan putih memancar. Dia nampak tangan Pak Tua Mahat terlalu besar memukul kabus putih itu sampai berkecai habis. Dengan pantas pula Pak Tua Mahat menggenggam kabus putih yang berkecai itu di dalam tangannya lantas bertempik,
"Kau nak tunjuk keras kepala dengan aku ye?".
"Awak menceroboh gembala kawan tok pawang," rintih suara serak-serak parau yang tergenggam di tapak tangannya yang besar seperti sebuah rumah tersergam.
Saban Keme sendiri tidak nampak di mana mertuanya berdiri ketika itu kerana kegelapan malam melindunginya. Dia hanya melihat genggaman tangan mertuanya yang dilingkari oleh silauan cahaya putih memancar.
"Aku tak menceroboh...!" bentak Pak Tua Mahat.
"Aku dah minta izin, tapi telinga kau tuli" cepat-cepat tangannya memial telinga lembaga berkepala botak yang sudah digenggamnya. Terlolong-lolong lembaga berkepala botak itu menahan kesakitan akibat telinganya dipial.
"Ini Mahat kau tau, jangan main-mainkan Mahat..!" jerkahnya semakin marah. "
tok pawang, ampunkan kawan" rintih suara serak-serak parau itu meminta dilepaskan.
"Bukan sekali dua kau dah tunjuk kurang ajar dengan Mahat!" kata Pak Tua Mahat keras.
"Ampun tok pawang, lain kali kawan tak buat lagi" lembaga berkepala botak itu merayu-rayu. Tetapi Pak Tua Mahat tidak juga melepaskan dia dari genggamannya.
 "Apa kau buat dengan Jonoh?" bentak Pak Tua Mahat menampar kepala botak lembaga berkenaan.
"Bukan kawan yang buat tok pawang..." ujarnya terketar-ketar sambil meronta-ronta dari genggaman tangan Pak Tua Mahat sebesar sebuah rumah tersergam. Puas Saban Keme memerhati tubuh mertuanya, tetapi tidak kelihatan di mana.
 "Siapa yang buat?" soal Pak Tua Mahat.
 "Itu kerja orang bukit yang tersesat" beritahu lembaga itu ketakutan.
"Jangan kau nak berdalih!" Pak Tua Mahat menguatkan genggamannya menyebabkan lembaga berkepala botak itu termengah-mengah menahan sesak nafas.
"Celaka orang bukit tu, kerja dia..kawan pula yang sudah" keluhnya menyesali kejadian yang mengelirukan itu.
Tetapi Pak Tua Mahat tahu orang bukit yang dimaksudkan oleh lembaga botak itu ialah puaka hutan yang datang bersama lembaga berkepala botak itu. Disebabkan puaka hutan itulah lembaga berkepala botak yang mengembala burung wak-wak yang didekut oleh Pak Tua Mahat terkeliru hingga bertindak mengancam Pak Tua Mahat.
"Sekarang, kau mensti lepaskan Jonoh..!" perintah Pak Tua Mahat mengencam.
Lembaga berkepala botak itu berjanji akan melepaskan Jonoh. Perlahan-lahan Pak Tua Mahat melepaskan dia dari genggaman. Pak Tua Mahat juga hilang dari silauan cahaya putih memancar itu, hanya tinggal berbayang samar-samar di dalam gelap malam. Ketika ini kabus putih memanjang tadi naik semula menyusup ke celah rekahan tompok-tompok awan hitam di udara.
Serentak dengan itu kedengaran semula bunyi tapak kaki sekawan lembu berlari kencang menyerbu ke arah Saban Keme bertahan. Lembu putih itu berombak-ombak datang dari sebelah hulu. Belum pun sempat kawanan lembu putih itu menyerbu hujan kasar turun dari tompok-tompok awan hitam menimpa kawanan lembu-lembu putih tersebut. Asap berkepul-kepul naik tergawang-gawang sebaik sahaja hujan kasar seperti air panas menimpa kawanan lembu yang datang menyerbu itu, menyebabkan semua kawanan lembu putih bertempiaran menyelamatkan diri.
Kemudian sayup di udara kedengaran bunyi batuk berdeguh-deguh berulang kali. Awan hitam bertompok-tompok itu bergerak perlahan bertukar menjadi bulat seperti lekar. Deru angin kencang kedengaran bertiup dari sebelah atas hingga seram sejuk juga kepada Saban Keme. Dia memerhati keliling tetapi tidak kelihatan lagi mertuanya. Jonoh juga masih terlentang di pangkuannya walaupun tidak terkinjal-kinjal menendang angin seperti mula-mula tadi. Lembu-lembu putih yang berlari bertempiaran tadi datang semula menyerbu dari arah yang sama. Saban Keme dapat mengagak sekiranya lembu-lembu putih itu merempuh sudah tentu dia dan Jonoh remuk di bawah kakinya.
Sebab itu Saban Keme tidak berhenti membacakan Ayat Kursi berulang kali seperti yang pernah saya pesankan kepadanya. Sayup di udara Saban Keme mendengar suara garau menghalau lembu-lembu dari celah lingkaran awan hitam. Tetapi lembu-lembu putih itu kelihatan bertambah banyak berombak-ombak datang mahu menyerbu. Saban Keme menunggu dengan tabah serbuan lembu-lembu putih yang datang menyerbu berombak-ombak itu. Mujurlah dia dapat melihat bagaimana lembu-lembu putih itu datang beratus-ratus ekor dari sebelah hulu. Tidak seperti Manan Sateh yang pernah mengalami keadaan serupa semasa dirempuh oleh kabus putih yang menyerbu laju dibawa ribut kencang tatkala mendekut wak-wak di Simpang Durian.
Kawannya Mat Samah sudah pun mengingatkan Manan Sateh supaya tidak terlalu tamak setelah mereka berjaya mendapat dua karung burung wak-wak yang didekut. Tetapi Manan Sateh tidak hiraukan nasihat Mat Samah. Dia masih belum berpuas hati kerana melihatkan burung wak-wak masih banyak berlompatan turun ke tengah padang terlangah-langah mengejar silauan lampu yang disuluh oleh Mat Samah.
Manan Sateh terus menegakkan jaring pula supaya memudahkan dia memungut burung-burung yang tersangkut pada jaring. Belum pernah lagi dia dapat melihat terlalu banyak burung-burung berkenaan datang menyerbu bila didekut. Malam itu Manan Sateh dan Mat Samah melihat sendiri burung-burung wak-wak berlompatan dari udara terjun  ke tengah padang. Puas Mat Samah menangguk hingga penuh dua karung pun, masih ada lagi burung wak-wak berlompatan turun.
Sebab itulah Manan Sateh memasang jaring yang disediakan kalau burung-burung banyak datang menyerbu. Berkali-kali Mat Samah mengingatkan dia supaya tidak payah lagi memasang jaring. Tetapi Manan Sateh tidak tergamak balik segera meninggalkan rezeki sedang datang bergolek. Dia mesti memungut burung wak-wak yang sudah terlalu banyak menyerah diri setelah didekut itu.
Sebaik sahaja jaring direntang inilah Mat Samah nampak kabus putih seperti bukit meluru menerpa jaring dari udara ditiup ribut kencang. Sekaligus Manan Sateh terperangkap di dalam kabus putih itu menyebabkan dia bergulung di dalam jaringnya sendiri. Setelah kabus putih itu menghilang bersama ribut kencang, Mat Samah segera menerpa mendapatkan Manan Sateh yang sudah terkapar tidak sedarkan diri. Mulut dan hidung Manan Sateh berbuih dengan darah. Matanya terbeliak dengan kakinya terkinjal-kinjal menggelupur.
Dengan tidak menghiraukan burung wak-wak yang sudah penuh dua karung, Mat Samah memapah Manan Sateh balik. Hampir tiga bulan Manan Sateh menderita sakit hinggakan luruh rambutnya di kepala. Setelah dijemput Pak Tua Mahat di Mentaus, barulah Manan Sateh dapat dipulihkan semula.
Ketika ini memang Saban Keme dapat mengagak bahawa lembu-lembu putih yang menyerbu ke arahnya itu sama dengan kabus putih yang merempuh jaring Manan Sateh. Dengan tidak bertangguh lagi Saban Keme terus melaungkan azan sekuat hatinya hingga bergema sampai ke udara. Gema azannya itu seolah-olah menggegarkan di kawasan lembu-lembu putih itu berlari kencang, menyebabkan semua lembu-lembu itu bagaikan tertumus ke tanah. Mereka jatuh bertimpa-timpa sama sendiri akibat tertumus keras semasa menyerbu datang.
Semasa dia berpaling ke hulu, Saban Keme nampak dua tapak kaki seperti bukit memijak lembu-lembu itu hingga penyek. Dia tidak melihat lembaga kaki tersebut, tetapi hanya terbayang-bayang dari silauan cahaya putih memancar. Setiap kali tapak kaki itu memijak, bunyi lenguhan lembu-lembu berbaur-baur hingga sampai ke udara. Sekaligus pula lingkaran  awan hitam bergerak perlahan-lahan di udara lantas menurunkan hujan gerimis. Dalam hujan gerimis yang turun menyimbah membasahi kepala Saban Keme inilah, Jonoh mula menggeliat-geliat menyapu mukanya.
"Eh, hujan ke, bang?" soal Jonoh bingkas bangun terpinga-pinga.
"Emm, hujan" beritahu Saban Keme perlahan.
"Mana ayah?" Jonoh bangun berdiri memerhatikan sekelilingnya.
"Eh, mana wak-wak, tak ada ke kita dapat?" dia tidak tahu apa yang terjadi ke atas dirinya sejak dua jam sebelumnya. Saban Keme tidak menyahut. Dia tidak tahu bagaimana mahu menerangkan kepada Jonoh apa yang telah dilihatnya. Mungkin Jonoh sendiri tidak percaya dia tidak sedarkan diri hampir dua jam di tengah sawah dalam kegelapan malam itu.
"Mana ayah, bang?" ulangi Jonoh lagi.
Saban Keme memuncungkan bibirnya ke busut tempat mertuanya berdiri. Tetapi tidak siapa pun dilihat berdiri di situ. Bayangan mertuanya pun tidak kelihatan langsung. Berdebar juga hati Saban Keme setelah mendapati mertuanya tidak juga muncul. Kalau dia mengajak Jonoh balik meninggalkan kawasan itu, bimbang juga dia akan dimarahi mertuanya. Sejak tadi lagi dia sudah diperintah menjaga Jonoh di situ. Masakan mertuanya sudah balik lebih awal dengan tidak mempedulikan keadaan Jonoh yang tidak sedarkan diri.
Dia percaya tentu mertuanya akan datang juga ke situ. Tentu mertuanya tidak tahu fasal Jonoh sudah pulih semula. Hujan gerimis turun semakin kasar. Saban Keme terasa bajunya juga sudah basah disimbah hujan.
"Hei, bang marilah kita balik..hujan lebat ni" kata Jonoh menarik tangannya.
"Nantilah dulu, ayah suruh tunggu di sini" ujarnya perlahan.
"Mana ayah?" Jonoh tidak sabar mendesak.
"Tunggulah kejap" Saban Keme mengingatkan.
Dia terhangak-hangak juga memanjangkan leher mencari mertuanya di dalam gelap malam yang mula kelam oleh hujan gerimis menitik kasar.
"Apa jadi pada aku, bang...?" tiba-tiba Jonoh bertanya setelah menyedari dia masih berada di tengah sawah di dalam gelap demikian.
"Balik nantilah aku ceritakan" sahut Saban Keme terlangah-langah mencari mertuanya Pak Tua Mahat. Dia tetap menunggu di situ sekalipun hujan turun semakin lebat mencurah-curah. Mertuanya sudah menyuruh dia bertahan di situ sampai orang tua itu datang semula. Sebab itulah dia tidak akan balik lebih awal selagi mertuanya tidak terjongol.
Kira-kira 15 minit Saban Keme menunggu barulah dia nampak bayang mertuanya terjengket-jengket dari balik busut merempuh hujan gerimis semakin kasar.
Dia menjinjing sebatang kayu yang terikat burung wak-wak di situ. Sampai sahaja di depan Saban Keme dia menyuruh masukkan burung wak-wak yang terikat pada kayu itu ke dalam buntil.
"Jangan dibilang berapa ekor..." kata Pak Tua Mahat mengeluarkan celapah rokok dari saku seluarnya.
Dia mengambil rokok daun yang siap bergulung lantas menghisapnya di dalam hujan yang mula turun lebat. Di dalam hujan itulah mereka bertiga meranduk kegelapan balik ke rumah.